Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda City facelift 2023 dilihat sedang diuji di M’sia

    Honda City facelift 2023 dilihat sedang diuji di M’sia

    Honda City facelift 2023 mula dilihat sedang diuji di Malaysia, seperti yang dapat dilihat dalam gambar yang dikongsikan oleh pembaca paultan.org, Mayr Naru, yang merakamnya di Putrajaya. Honda City facelift ini membuat penampilan pertamanya di India pada Mac lalu.

    Dalam gambar ini, walaupun dikenakan pelekat samaran, bahagian belakangnya masih boleh dilihat dengan agak jelas. Kluster lampu belakang nampak masih sama seperti model semasa. Bahagian bawah bamparnya bagaimanapun memperlihatkan sedikit kelainan, dengan elemen ala diffuser di bahagian bawah tersebut.

    Kelainan rekaan luaran lain yang turut terlibat ialah palang krom yang lebih nipis serta gril honeycomb di depan, sementara bahagian bawah bampar depannya menerima rekaan baru untuk menempatkan kemasan hitam antara lampu kabus dan bukaan udara di tengahnya. Lampu LED pula bagaimanapun tidak berubah.

    Kelengkapan yang ada pada City facelift ini ketika pengenalannya ialah panel instrumen TFT warna penuh bersaiz tujuh inci, unit infotainmen skrin sentuh lapan-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, enam beg udara, pengilap automatik, lampu suasana, pengecas tanpa wayar, lapan pembesar suara, pendongin automatik dengan penapis kabin PM2.5, sistem tanpa kunci dan penghidup enjin, sunroof elektrik, penghadang matahari belakang manual dan peninjau tekanan tayar.

    Sistem janaan kuasa untuk pasaran India pula terdiri daripada unit 1.5 liter i-VTEC NA petrol yang menjana sebanyak 121 PS pada 6,600 rpm dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm. Ini disertai juga oleh unit 1.5 liter kitaran Atkinsion empat-silinder VTEC DOHC yang menjana 98 PS dan 127 Nm untuk City Hybrid, dan bertindak sebagai generator melalui motor elektrik untuk bateri pacuan hibrid, yang membekalkan kuasa kepada motor elektrik lain untuk bergerak, dengan kuasa 109 PS dan 253 Nm.

     
     
  • Nissan Almera facelift 2023 dilancarkan di Thailand – bermula RM73k, rupa lebih lembut, masih 1.0L Turbo

    Nissan Almera facelift 2023 dilancarkan di Thailand – bermula RM73k, rupa lebih lembut, masih 1.0L Turbo

    Selepas muncul di Amerika Syarikat pada Oktober tahun lalu, Nissan Almera N18 dalam versi facelift terbaharu sudah pun sampai ke rantau ASEAN – seperti biasa, ia terlebih dahulu dilancarkan di pasaran Thailand. Penyegaran kali ini melibatkan sedikit perubahan dari segi rupa dan juga sedikit peningkatan dibuat pada perincian.

    Di Thailand, Almera 2023 ini ditawarkan dalam empat varian, bermula dengan varian asas Almera E dijual pada harga THB 549,000 (RM72,861), sehingga varian paling lengkap Almera VL dijual pada harga THB 699,000 (RM92,952).

    Seperti yang anda boleh lihat, perubahan paling ketara adalah dengan ‘pembedahan plastik’ yang dibuat pada muka. Lampu LED utama dengan jalur lampu nyalaan yang tajam dari versi sebelumnya masih dikekalkan, namun gril V-Motion dengan elemen sarang lebah ala-GT-R R35 sebelum ini telah diganti dengan rekaan V-Motion baharu yang lebih mirip gril MPV Nissan Serena C28.

    Berbanding bahagian tengah yang yang lebih sibuk, bahagian sisi bampar baharu ini pula direka dengan permukaan lebih ringkas berbanding sebelumnya. Lampu kabus yang melintang pada sebelah bawah nampak seakan sama dengan unit dari versi sebelum facelift.

    Walau bagaimanapun, rekaan pada sebelah sisi dan belakang nampaknya masih lagi sama termasuk unit rim aloi 15-inci, grafik lampu belakang dan juga rupa untuk kemasan diffuser pada bawah bampar. Secara keseluruhan rekaan baharu ini menjadikan rupa Almera N18 berkenaan lebih elegen dan ‘lembut’, kurang imej garang pada versi sebelum facelift.

    Seiring dengan rupanya, kini tiada lagi warna Monarch Orange ditawarkan, dan ia digantikan dengan warna hero baharu Gray Sky Pearl. Pembeli turut ditawarkan dengan pilihan tema dua-tona untuk warna terpilih yang memberikan warna hitam berkilat pada bumbung.

    Nissan Almera facelift 2023 dilancarkan di Thailand – bermula RM73k, rupa lebih lembut, masih 1.0L Turbo

    Juga tiada sebarang perubahan besar dalam dilihat pada sebelah kabin di mana Almera masih diberikan rupa yang sama pada papan pemuka dan bahagian lain, kecuali kemasan-kemasan berwarna krim sebelum ini telah diubah dengan warna biru.

    Walau bagaimanapun, Almera facelift ini menerima lebih banyak menerima perubahan pada perincian. Ia kini sudahpun ditawarkan dengan servis terhubung NissanConnect – ia datang dengan aplikasi yang membolehkan pelbagai fungsi boleh dibuat secara kawalan jauh seperti kunci pintu, penghidup enjin, hon, lampu dan juga fungsi Car Finder bagi membantu pemilik mengetahui di mana kereta mereka.

    Ia juga datang dengan pengecas telefon pintar tanpa wayar serta sistem infotainmen NissanConnect menampilkan skrin lapan-inci, memberikan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, arahan suara, serta sistem navigasi menggunakan Google Maps.

    Almera facelift pasaran Thai ini juga diberikan tempat duduk premium ‘Quore Modure’ yang tidak menyerap atau memantulkan haba bagi memberikan lebih keselesaan.

    Untuk keselamatan, model ini menerima sistem keselamatan asas seperti Kawalan Dinamik Kenderaan, sistem brek ABS, EBD dan BA, bantuan mula mendaki, dan juga enam beg udara.

    Sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Nissan 360 Safety Shield juga ditawarkan, datang dengan fungsi seperti amaran lintasan trafik belakang, pengesan objek bergerak, amaran pelanggaran pintar hadapan, amaran titik buta, pemantau sekeliling pintar, bantuan lampu tinggi dan juga amaran keluar laluan.

    Tiada perubahan dibuat pada aspek mekanikal Almera facelift 2023 ini. Ia masih dijana oleh enjin HRA0 (dikenali dengan kod HR10DET di Malaysia) 1.0 liter tiga-silinder turbo yang menghasilkan 100 PS dan tork maksima 153 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT bagi memacu roda hadapan.

    Almera facelift 2023 ini diberikan pelbagai aksesori asli yang terdiri dari Iconic Package, Ignite Package dan Ultimate Package. Pelanggan yang memilih Iconic pakej akan menerima gril hadapan berwarna hitam, antena sirip yu pada bumbung, set pedal aloi, karpet lantai, dan kick plate.

    Manakala Ignite Package pula datang dengan lips pada bampar hadapan dan belakang, skirt sisi, dan juga spoiler ekor itik berwarna hitam berkilat. Bagi pembeli yang memilih Ultimate Package pula akan menerima semua perincian pada Iconic dan Ignite Package.

    Bagi Malaysia, Almera N18 ini mula dijual secara rasmi pada pasaran tempatan pada lewat 2020, iaitu sekitar setahun ia muncul di Thailand. Jadi mungkin kita akan ‘merasa’ Almera facelift ini hanya pada tahun hadapan? Apa pun anda boleh baca dahulu laporan pandu uji untuk Almera N18 sedia ada pada PAUTAN INI.

    GALERI: Nissan Almera N18 facelift 2023 pasaran Thailand

    GALERI: Aksesori asli Nissan Almera N18 facelift 2023 pasaran Thailand

     
     
  • Lexus RX 2023 muncul dalam iklan, tiba tak lama lagi?

    Lexus RX 2023 muncul dalam iklan, tiba tak lama lagi?

    Lexus Malaysia telah memuat naik teaser bagi model Lexus RX 2023 di laman Facebook mereka. RX generasi kelima itu didedahkan di peringkat global pada Jun 2022, dan menampilkan barisan enjin yang pelbagai, dengan semuanya unit empat-silinder ketika ini.

    Empat varian enjin yang ditawarkan semuanya: model paling asas RX350 dengan unit 2.4 turbo T24A-FTS yang menghasilkan 279 PS (275 hp) dan 430 Nm. Ini disertai pula oleh tiga varian hibrid — RX350h, RX450h+ dan RX500h F Sport Performance.

    RX350h menggunakan unit A25A-FXS 2.5 liter NA (190 PS dan 239 Nm) dengan sistem hibrid selari bersama bateri 1.6 kWh dan eCVT. Gabungan output RX 350h ialah 249 PS (246 hp) dan 316 Nm, dengan pacuan roda depan atau pacuan semua roda (E-Four).

    RX 450h+ plug-in hybrid pula menggunakan enjin A25A-FXS 2.5 liter NA empat-silinder, e-CVT dan 18.1 kWh lithium-ion dengan motor elektrik depan (182 PS/180 hp/134 kW) dan belakang (54 PS/54 hp/40 kW). Sistem ini menghasilkan output 309 PS (304 hp).

    Lexus RX 2023 muncul dalam iklan, tiba tak lama lagi?

    RX500h yang paling tinggi pula memanfaatkan eAxle (motor elektrik belakang) dengan unit T24A-FTS 2.4 liter turbocas empat-silinder petrol. Dengan sistem hibrid selarinya snediri, ia dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan bukannya eCVT seperti yang lain. Enjin menggerakkan roda depan sementara motor elektrik menggerakkan roda belakang, menjadikannya sistem pacuan semua roda dengan output keseluruhan 373 PS (367 hp) dan 550 Nm tork.

    Di Thailand, hanya RX450h+ ditawarkan, dengan sistem plug-in hybrid dan enjin 2.5 liter NA. Ada dua varian di sana, iaitu Luxury AWD dengan harga 4.64 juta baht (sekitar RM602k) dan Premium AWD dengan harga 5.09 juta baht (sekitar RM661k).

    Lexus RX di Malaysia ketika ini ditawarkan dari RM429,888 bagi RX300 Premium hinggalah ke RM470,888 bagi RX300 F Sport. Varian mana agaknya RX generasi kelima ini akan tiba di Malaysia?

    Decades of well-deserved prestige foreshadows the absolute luxury that is to come.

    Start the countdown. Incomparable refinement is on its way.

    Posted by Lexus Malaysia on Sunday, 14 May 2023

     
     
  • Great Wall Motor Malaysia buka pusat pameran 4S di Subang Jaya, diuruskan oleh Superhub Auto Services

    Great Wall Motor Malaysia buka pusat pameran 4S di Subang Jaya, diuruskan oleh Superhub Auto Services

    Great Wall Motor Malaysia telah membuka sebuah pusat pameran 4S dengan kerjasama Superhub Auto Services di sebuah tanah seluas tiga ekar di USJ 1 Subang Jaya, dengan menyediakan pelbagai khidmat untuk jenama di bawah GWM, termasuk Ora, Haval dan Cannon.

    Tapak pameran kereta di pusat pameran ini mempunyai keluasan 10,000 kaki persegi, dan di situ juga terdapat ruang rehat yang luas untuk pelanggan. Turut tersedia adalah bahagian mengetuk kenderaan, cat serta tujuh ruang servis.

    “Kami berbesar hati untuk memperkenalkan pusat 4S dengan dewan pengalaman menyeluruh ini di USJ, dan ia merupakan satu bukti komitmen kami untuk memberikan servis cemerlang serta kepuasan kepada pelanggan,” kata pengarah urusan GWM Malaysia, Mike Cui.

    Pusat 4S GWM ini terletak di alamat Lot 61711, Plot A, Persiaran Subang Indah Kawasan Perindustrian Subang USJ 1, 47600 Subang Jaya, Selangor, dan dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

     
     
  • Kerajaan mungkin sambung konsesi tol lebuhraya sehingga 30 tahun separa kedua tahun ini – laporan

    Kerajaan mungkin sambung konsesi tol lebuhraya sehingga 30 tahun separa kedua tahun ini – laporan

    Bagi mengelakkan sebarang kenaikan tol, kerajaan kini sedang mempertimbangkan untuk menyambung tempoh konsesi pengendali lebuhraya di Semenanjung Malaysia sehingga 30 tahun, lapor MalayMail yang memetik laporan The Edge.

    Laporan tersebut memetik sumber yang tidak dinamakan menyatakan bahawa sekiranya cadangan itu mendapat kelulusan kabinet, ia akan diumumkan pada separa kedua tahun ini.

    “Saya diberitahu bahawa kerajaan sedang melihat untuk menaikkan tempoh sehingga 30 tahun untuk semua pemegang konsesi,” kata sumber tersebut kepada The Edge.

    “Ia mungkin akan diumumkan pada separa kedua tahun ini,” katanya lagi dan menambah kerajaan telah memaklumkan kepada beberapa pengendali lebuh raya tentang kemungkinan lanjutan tempoh konsesi itu.

    Satu lagi sumber yang rapat dengan syarikat konsesi mengaitkan tempoh konsesi yang mungkin akan dilanjutkan ini adalah kerana bagi mengelakkan sebarang kenaikan tol dalam masa yang sama untuk mengelak kerajaan dari membayar pampasan kepada pengendali-pengendali lebuhraya berkenaan.

    Manakala sumber ketiga pula memberitahu bahawa dengan tempoh konsesi yang lebih panjang membolehkan kadar bayaran tol dapat diturunkan.

    Kerajaan mungkin sambung konsesi tol lebuhraya sehingga 30 tahun separa kedua tahun ini – laporan

    “Pemilik-pemilik lebuhraya mungkin perlu mengurangkan kadar tol sebagai pertukaran bagi tempoh konsesi yang lebih lama,” kata sumber tersebut.

    Satu lagi sumber pula mendakwa perjanjian untuk memanjangkan tempoh konsesi ini kini sedang dalam semakan kerajaan. “Rancangan untuk melanjutkan perjanjian konsesi untuk pengusaha lebuh raya sedang dikaji semula. Bagaimanapun, ia masih memerlukan kelulusan Kabinet,” kata sumber berkenaan.

    Pada 2020, kerajaan melalui Kementerian Kewangan yang ketika itu diterajui oleh Lim Guan Eng telah mengumumkan penurunan kadar tol sebanyak 18 peratus untuk lebuhraya yang dikendalikan oleh PLUS Malaysia Berhad bermula 1 Februari tahun itu, dan ia kekal sehingga 2058.

    Ia dibuat dengan cara melanjutkan tempoh konsesi tol untuk tempoh tambahan 20 tahun lagi, menjadikan tempoh konsesi yang sepatutnya tamat pada 2038 kepada 2058.

     
     
  • JPJ eBid: Siri QRT dan QM_N bakal dibuka bidaan

    Kali ini dua siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri pertama, QRT, bakal dibuka bidaan mulai 13 Mei 2023. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 17 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 18 Mei 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri kedua pula, QM_N, bakal dibuka bidaan mulai 18 Mei 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 22 Mei, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 23 Mei 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • 140 kes kemalangan maut dengan 146 kematian direkodkan dalam Op Selamat 20 sempena Aidilfitri

    140 kes kemalangan maut dengan 146 kematian direkodkan dalam Op Selamat 20 sempena Aidilfitri

    Sepanjang Op Selamat 20 yang dilaksanakan dari 20 hingga 27 April 2023 sempena Aidilfitri, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 140 kes kemalangan maut dengan 146 kematian.

    Ia menunjukkan peningkatan berbanding 139 kes kemalangan maut dengan 145 kematian pada Op Selamat 18 yang dilaksanakan sempena Aidilfitri tahun lalu.

    Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, penunggang dan pembonceng motosikal menjadi penyumbang tertinggi angka kemalangan maut dengan 94 kematian, laporan Berita Harian.

    “Penunggang dan pembonceng motosikal kekal penyumbang utama bagi kes kematian sepanjang Op Selamat kali ini dengan 94 kematian. Ia menunjukkan peningkatan sembilan kematian berbanding 85 kematian yang dicatatkan semasa kempen Op Selamat 18 tahun lalu,” katanya.

    Beliau turut berkata, terbabas sendiri menjadi punca kemalangan iaitu sebanyak 44 kes, diikuti faktor memasuki laluan bertentangan sebanyak 20 kes serta keletihan atau mengantuk sebanyak 20 kes yang berlaku sepanjang Op Selamat 20 berkenaan.

     
     
  • BMW Motorrad R12 nineT bakal tiba hujung tahun ini

    BMW Motorrad R12 nineT bakal tiba hujung tahun ini

    BMW Motorrad telah mendedahkan perincian awal untuk R12 nineT, yang akan dilancarkan secara rasmi hujung tahun ini sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun BMW Motorrad yang ke-100. Model ini juga akan menggantikan R nineT sedia ada sekarang, yang mana diperkenalkan buat pertama kali 10 tahun lepas.

    Hanya beberapa perincian asas disiarkan untuk R12 nineT ini, dengan antaranya termasuk penggunaan enjin boxer air/oil cooled, serta kapasiti yang berkait dengan nombor 12 pada nama model ini. Pada R nineT sekarang, ia menggunakan enjin boxer 1,170 cc yang mampu menghasilkan kuasa 109 hp dan tork 116 Nm.

    Tangki R12 nineT ini telah diubah, dengan mengambil inspirasi daripada tangki model boxer klasik BMW pada tahun 1970-an, dan salur udara luar pada bahagian tepi tangki kini sudah tiada. Pada bahagian tepi motosikal, bahagian yang sebelum ini kosong diletakkan dengan satu panel, juga seperti model klasik 70-an.

    Perubahan rekaan lain yang dibuat adalah termasuk mudguard hadapan baru dan lampu utama LED dengan panel perumah berwarna krom dan kemasan hitam di dalamnya, sementara panel instrumen analog/LCD berbentuk dua bulat masih dikekalkan. Paparan pada meter ini telah diubah dan mempunyai logo R12 di dalamnya.

    Menurut BMW lagi, model ini direka supaya mudah untuk diubah suai, sementara kelengkapan lainnya adalah termasuk fork USD di hadapan, suspensi belakang paralever, kerangka belakang yang boleh dicabut, ekzos di sebelah kiri, angkup brek hadapan monobloc empat piston dan pilihan pelbagai aksesori tambahan.

     
     
  • Toyota Yaris GR Sport 2023 dilancarkan di Indonesia – tema warna & grafik baharu, skrin 9-inci, ada MT & CVT

    Toyota Yaris GR Sport 2023 dilancarkan di Indonesia – tema warna & grafik baharu, skrin 9-inci, ada MT & CVT

    Selepas Thailand dan Malaysia, kini Indonesia juga telah mengemaskini hatchback segmen-B Toyota Yaris dalam versi 2023, yang memberikan sedikit perubahan perincian bahagian luaran dan dalaman untuk model yang sudahpun berada sekitar sembilan tahun dalam pasaran ini.

    Sama seperti sebelum ini, Yaris di Indonesia hanya tampil dalam versi GR Sport, tetapi dibahagikan kepada tiga spesifikasi berbeza. Ia bermula dengan varian paling murah Yaris GR Sport MT berharga RP326,100,000 (RM99k), Yaris GR Sport CVT 3AB berharga RP338,200,000 (RM102k) dan juga Yaris GR Sport CVT 7AB berharga RP345,000,000 (RM105k).

    Pada sebelah luar, Yaris pasaran Indonesia ini masih tidak menerima muka hammerhead seperti Yaris facelift 2023 pasaran Thailand dan juga Vios facelift 2023 pasaran Vietnam.

    Toyota Yaris GR Sport 2023 dilancarkan di Indonesia – tema warna & grafik baharu, skrin 9-inci, ada MT & CVT

    Ketiga-tiga varian Yaris GR Sport 2023 pasaran Indonesia ini menerima perincian yang sama, tanpa perubahan pada kit badan dilihat. Apa yang berbeza cuma bahagian gril, cermin sisi, spoiler belakang dan juga set rim 16-inci (dengan tayar 195/50R16) kini hadir dalam kemasan hitam.

    Ia ditawarkan dalam tiga pilihan warna badan tunggal iaitu Super White II, Attitude Black Mica dan Gray Mica, serta tiga pilihan warna badan dua tona (bumbung hitam) iaitu Super White II dan hitam, Red Mica Metallic dan hitam serta Citrus Mica Metallic dan hitam.

    Manakala pada bahagian bawah sisi ia kini menerima pelekat grafik dengan tema livery perlumbaan merah-hitam rasmi Toyota Gazoo Racing. Logo GR masih lagi dipadankan pada bampar hadapan dan juga di pintu tailgate belakang. Walaupun perubahan ini dilihat hanya bermain dengan tema warna, ia dilihat berjaya menaikkan imej lebih agresif pada Yaris GR Sport 2023 ini.

    Toyota Yaris GR Sport 2023 dilancarkan di Indonesia – tema warna & grafik baharu, skrin 9-inci, ada MT & CVT

    Pada bahagian dalam pula, Yaris GR Sport ini dilihat menampilkan lebih banyak kemasan hitam berbanding sebelumnya. Yaris GR Sport MT dan 3AB CVT diberikan upholsteri separa kulit, manakala model 7AB CVT diberikan kulit penuh pada tempat duduk yang kini berwarna hitam sepenuhnya, serta disulam dengan logo GR pada perehat kepala.

    Manakala skrin tujuh-inci untuk sistem infotainmen sebelum ini telah digantikan dengan skrin sembilan-inci yang lebih besar. Sokongan Apple CarPlay dan Android Auto masih diberikan, dan ia kini turut memberikan visual pemantau panaromik 360-darjah.

    Model dengan kotak gear CVT turut diberikan pedal penukar gear. Selain itu, logo GR kini turut boleh dilihat pada roda stereng dan juga karpet kaki.

    Untuk keselamatan, Yaris GR Sport di Indonesia ini hanya menerima sistem asas seperti VSC, bantuan mula-mendaki, ABS dengan EBD dan bantuan brek, dan cagak Isofix untuk kerusi keselamatan kanak-kanak. Model MT dan CVT 3AB hanya diberikan tiga beg udara, manakala varian 7AB hadir dengan tujuh-beg udara.

    Jadi dari segi kelengkapan, model pasaran Malaysia dilihat lebih lengkap kerana ia turut dipadankan standard dengan pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) menampilkan sistem seperti sistem pra-pelanggaran (PCS) dengan brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan (LDA), pemantau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang.

    Tiada perubahann langsung dibuat pada aspek mekanikal, di mana Yaris GR Sport 2023 ini masih digerakkan dengan enjin Dual VVT-i 2NR-FE 1.5 liter empat silinder berkuasa 107 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada takat 4,200 rpm. Bergantung pada varian, ia digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT automatik yang diberikan mod manual dengan tujuh-kelajuan maya.

     
     
  • MBSJ umum bayaran zon parkir dua jam kini boleh dibuat menerusi aplikasi Touch n Go eWallet, Setel

    Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengumumkan bahawa pembayaran bagi petak parkir di zon dua jam kini boleh dibuat menerusi aplikasi Touch n Go eWallet, sebagai tambahan kepada pilihan Setel yang diperkenalkan pada tahun lalu. Sebelum ini, pembayaran kadar parkir hanya boleh dibuat menerusi aplikasi Smart Selangor Parking dan Flexi Parking. Aplikasi JomParking kini menyokong lima pilihan kaedah pembayaran secara keseluruhannya.

    Dilaksanakan sejak September 2022, zon parkir dua jam ini melibatkan enam jajahan di bawah pentadbiran MBSJ di USJ10, SS12, SS15, USJ21, Bandar Puteri Puchong dan Jalan Kenari di Puchong. Petak parkir berkenaan juga dicatkan dengan garisan berwarna jingga dan tertulis perkataan “Zon Parkir 2 Jam”.

    Kadar bayaran yang ditetapkan bagi zon parkir dua jam itu adalah sebanyak 50 sen bagi setengah jam pertama, dan pemandu diberikan tempoh selama sejam sebelum dibenarkan untuk parkir kembali di zon berkenaan.

    Untuk penduduk di PJ pula, sistem parkir dua jam ini juga telah diimplementasikan di PJ State dan akan diperluaskan di kawasan komersil tidak lama lagi. Idea pelaksanaan zon parkir dua jam ini adalah untuk mengelakkan pemandu yang ‘menguasai’ petak parkir sepanjang hari (terutamanya yang bekerja di kawasan berkenaan) d kawasan komersil yang sibuk, memberikan peluang kepada pengguna lain yang mempunyai urusan jangka masa singkat (kurang dua jam) parkir kenderaan di situ.

     
     
  • Toyota bakal dedah SUV guna platform DNGA-B di Indonesia minggu depan; kembar SUV Perodua D66B?

    Toyota bakal dedah SUV guna platform DNGA-B di Indonesia minggu depan; kembar SUV Perodua D66B?

    Media-media di Indonesia sudahpun menerima jemputan dari Toyota untuk ke majlis pendedahan sebuah SUV serba baharu di sana pada 15 Mei ini, iaitu pada hari Isnin minggu hadapan.

    Menurut laporan Autonetmagz, jemputan yang dihantar oleh Toyota Astra Motor (TAM) itu tidak menyatakan nama sebenar SUV berkenaan. Tetapi ia ada menyebut ini adalah ‘kemunculan sulung global’ (world premier) untuk sebuah SUV yang disifatkan sebagai ‘Ikon Urban Cruiser baharu Toyota’.

    Walaupun ada menyebut nama ‘Urban Cruiser’, SUV yang bakal didedahkan di Indonesia ini tiada kaitan dengan Toyota Urban Cruiser atau Urban Cruiser Hyryder untuk pasaran India yang dihasilkan dengan kerjasama Maruti Suzuki. Ini kerana dengan jelas Toyota menyatakan bahawa ia adalah model baharu yang akan didedahkan buat pertama kali untuk peringkat dunia, belum ada di mana-mana pasaran.

    Toyota bakal dedah SUV guna platform DNGA-B di Indonesia minggu depan; kembar SUV Perodua D66B?

    Bagi pasaran Indonesia, ia dijangkakan adalah sebuah SUV berasaskan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang akan digelar sebagai Toyota Yaris Cross, seperti disebut laporan-laporan sebelum ini. Ia adalah model yang dibangunkan untuk pasaran ASEAN, berbeza dengan Yaris Cross untuk pasaran Eropah dan Jepun yang sudahpun diperkenalkan sejak tahun 2020.

    Namun bagi kita di Malaysia, ini mungkin ada kaitan dengan SUV yang sedang dibangunkan oleh Perodua sejak tahun lalu yang hanya dikenali dengan kod projek D66B. SUV yang lebih besar dari Ativa tersebut dijangka akan dilancarkan oleh Perodua disini pada tahun hadapan.

    Ini kerana perincian awalan bagi kedua-dua SUV itu dilihat sama iaitu diasaskan dari platform DNGA dalam varian DNGA-B. Platform berkenaan kini telahpun digunakan oleh dua model yang telah dilancarkan pada pasaran ASEAN iaitu kembar MPV tujuh-tempat duduk Daihatsu Xenia/Toyota Avanza dan Veloz/Perodua Alza serta sedan segmen-B Toyota Vios.

    Tidak banyak informasi yang terdedah berkenaan kedua-dua SUV ini. Apa yang diketahui ia adalah SUV segmen-B sebenar seperti Proton X50 berbanding kembar Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa yang saiznya lebih hampir kepada SUV segmen-A. Dan ia juga dijangka akan menggunakan kombo enjin dan kotak gear yang sama seperti Xenia/Veloz/Alza iaitu enjin 2NR-VE 1.5 liter NA bersama kotak gear D-CVT.

    Seperti model-model Perodua yang lain sebelum ini, agak mustahil untuk melihat versi prototaip produksinya dilihat di uji di atas jalan raya. Namun ada beberapa lakaran digital yang dibuat beberapa individu untuk SUV segmen-B baharu ini, antaranya dua bayangan yang dihasilkan oleh Theophilus Chin.

    Apa pun, kita tunggu sahaja kemunculan SUV dari Toyota ini Isnin nanti. Selepas itu rasanya bayangan untuk versi Perodua D66B mungkin akan menjadi lebih jelas.

     
     
  • UMWT bentang strategi kepelbagaian untuk capai neutraliti karbon — Innova, Vios, Camry versi hibrid?

    UMWT bentang strategi kepelbagaian untuk capai neutraliti karbon — Innova, Vios, Camry versi hibrid?

    Sebagai komitmen untuk menjadikan jalan raya di Malaysia neutral karbon dan lebih mesra alam, UMW Toyota sekali lagi menyatakan komitmen mereka melalui strategi pelbagai jalur untuk tujuan itu menjelang tahun 2050. Ini juga selari dengan sokongan Toyota Motor Corporation terhadap Perjanjian Paris, dengan matlamat untuk mencapai neutral karbon pada tahun itu nanti.

    Caranya adalah dengan menawarkan kepelbagaian penyelesaian pengangkutan peribadi yang rendah karbon yang sesuai dengan keperluan pengguna di Malaysia. Ini boleh jadi kenyataan melalui pelagai teknologi kenderaan, bergantung kepada ketersediaan prasarana dan kemudahan berkaitan yang ada di sini dari semasa ke semasa. Untuk meliputi seberapa banyak keperluan pelanggan yang mungkin, UMWT akan menawarkan penyelesaian pengangkutan yang sesuai dengan jenis janaan kuasa yang berbeza.

    Satu daripadanya ialah Toyota Hybrid System (THS) yang menjadi teras di dalam penawaran kenderaan Toyota sejak 1997 melalui pengenalan Prius. Sejak itu, lebih daripada 18.1 juta kenderaan Toyota dengan sistem hibrid telah dijual seluruh dunia.

    UMWT bentang strategi kepelbagaian untuk capai neutraliti karbon — Innova, Vios, Camry versi hibrid?

    Di Malaysia, UMWT sejak 2009 telah mula memperkenalkan model kenderaan elektrik hibrid (HEV), bermula dengan Prius generasi ketiga yang dijual di sini. Pada 2012, versi facelift model terbabit juga ada di jual di sini, bersama dengan model lebih kompak, Prius C.

    Terkini, UMWT mempunyai model seperti Corolla Cross Hybrid yang dipasang di sini oleh Assembly Service Sdn Bhd (ASSB) di kilang Bukit Raja, Selangor. Sejak 2009 hingga kini, syarikat tersebut telah menjual sebanyak 35,700 unit kenderaan hibrid di Malaysia, menyumbang kadar nyah-karbon sekitar setengah juta tan CO2 setiap tahun.

    THS pengecasan sendiri ini tidak bergantung kepada prasarana awam, dan tetap menjanjikan pengurangan karbon serta-merta tanpa berkompromi dengan praktikaliti pemanduan jarak jauh dan kesenangan penggunaan. Untuk ini, syarikat itu yakin yang HEV merupakan penyelesaian paling praktikal dan berkesan secara kosnya untuk Malaysia ketika ini.

    “Untuk Malaysia, kami percaya HEV merupakan yang paling sesuai untuk Malaysia, mengambil kira sumber bahan api bagi penghasilan elektrik serta ketersediaan prasarana pengecasan di luar bandar di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Kami akan menambah model HEV untuk 2023,” ujar Presiden UMWT, Datuk Ravindran Kurusamy.

    Walaupun tidak didedahkan model HEV mana yang akan diperkenalkan di sini, ada sebuah model yang sudah pasti akan dilancarkan tahun ini. Berkemungkinan besar ialah Innova Zenix serba baru yang membuat penampilan sulungnya di Indonesia November lalu, yang ditawarkan dalam bentuk janaan petrol dan juga hibrid.

    Kemungkinan lain ialah Camry Hybrid, yang ditunjukkan oleh UMWT di ibu pejabatnya ini, yang dibawa masuk dari Thailand untuk tujuan penilaian dan kajian, dan menjadi sebahagian daripada pameran nuetraliti karbon. Ada juga berita yang menyatakan Toyota sedang membangunkan Vios hibrid yang ditunjuk sejak dua bulan lalu.

    Toyota juga tidak menafikan kepentingan kenderaan bateri elektrik (BEV) untuk neutraliti karbon. Untuk menyokong pemapanan ekosistem yang mesra BEC di sini, UMWT menyokong sasaran Malaysia untuk mempunyai 4,000 unit pengecas awam menjelang hujung tahun ini. Syarikat itu juga telah mengesahkan bahawa model bZ4X akan turut dijual di Malaysia, walaupun belum ada sebarang tarikh yang dinyatakan.

    Unit contoh yang telah didaftarkan juga turut dipamerkan ibu pejabatnya di Shah Alam. “Dengan prasarana yang semakin bertambah untuk BEV, kami akan memperkenalkan juga model BEV dalam masa terdekat,” jelas sebuah kenyataan medianya.

    UMWT bentang strategi kepelbagaian untuk capai neutraliti karbon — Innova, Vios, Camry versi hibrid?

    Teknologi fuel cell hidrogen juga tidak asing bagi Toyota, dengan pengenalan model massa pertama dunia melalui model Mirai, sejak 2014. Di sini, Sarawak menjadi negeri yang awal memanfaatkan teknologi ini, dengan melancarkan kilang pengeluaran hidrogen bersepadu dan stesen isian semula pada 2019.

    UMWT juga pad Januari lalu menyerahkan lima buah model Mirai generasi kedua kepada SEDC Energy serta Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk digunakan sebagai kereta rasmi.

    Toyota bz4X 2023

    Toyota Camry Hybrid 2023

    Toyota menuju neutraliti karbon

     
     
  • Hyundai Exter untuk pasaran India didedah – SUV pesaing Tata Punch, Renault Kiger, Nissan Magnite

    Hyundai Exter untuk pasaran India didedah – SUV pesaing Tata Punch, Renault Kiger, Nissan Magnite

    Hyundai Motor India (HMI) telah mendedahkan sebuah model serba baru, dipanggil sebagai Exter, yang merupakan sebuah SUV panjang bawah empat meter yang bersaing dengan model seperti Tata Punch, Renault Kiger dan Nissan Magnite apabila ia mula dijual nanti – tempahan sudah pun dibuka dengan bayaran 11,000 rupee (RM598).

    Dimensi Exter masih belum diberitahu tetapi ia dijangka mempunyai saiz hampir seperti Casper yang berukuran 3,595 panjang, 1,595 mm lebar, 1,575 mm tinggi dan jarak roda 2,400 mm.

    Media India melaporkan Exter akan dibina atas platform K1, yang juga digunakan untuk Casper di Korea Selatan, dan juga Grand i10 Nios di India. Hyundai Motor India bagaimanapun telah mengesahkan bahawa Exter akan mendapat dua pilihan enjin, dengan yang pertama dilengkapi enjin empat silinder 1.2 liter Kappa II yang dipadankan bersama transmisi manual lima kelajuan atau Smart Auto AMT.

    Enjin kedua adalah unit 1.2 liter Kappa yang boleh menerima kedua-dua petrol dan juga gas asli (CNG) dan dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan. Dalam siaran akhbar Hyundai, mereka mengatakan “semua enjin ditala untuk memberikan prestasi konsisten dalam keadaan yang pelbagai, dan akan memastikan pengalaman pemanduan yang menyenangkan.”

    Hyundai Exter untuk pasaran India didedah – SUV pesaing Tata Punch, Renault Kiger, Nissan Magnite

    Untuk pilihan kemasan, ada lima yang disediakan iaitu EX, S, SX, SX (0) dan SX (0) Connect. Warna unik Ranger Khaki juga akan ditawarkan, dan ia dinyatakan sebagai satu cerminan kepada “keinginan meneroka seseorang sewaktu menyambut keterujaan untuk keluar meneroka dunia.”

    Daripada aspek rekaan, Exter menggunakan muka yang mempunyai lampu DRL LED di atas lampu utama projector, sementara di bahagian tengah terdapat gril dengan kemasan hitam manakala di bawah terdapat kemasan seakan skid plate yang berwarna perak.

    Perincian lain yang boleh dilihat adalah tulisan Exter di bawah kemasan yang menyambungkan kedua-dua DRL, lengkuk roda yang terkeluar, rel bumbung serta kemasan unik pada c-pillar. Buat masa ini juga perincian bahagian dalam dan ciri lainnya masih belum didedahkan.

     
     
  • GAC GS3 2023 sah ke Malaysia tahun depan – CKD, 1.5T 177 hp/270 Nm, 7DCT, saingan X50 dan HR-V

    GAC GS3 2023 sah ke Malaysia tahun depan – CKD, 1.5T 177 hp/270 Nm, 7DCT, saingan X50 dan HR-V

    Hari ini secara rasminya Warisan Tan Chong Automotif (WTCA) memulakan inisiatif pemasangan tempatan (CKD) untuk jenama GAC Motor di Malaysia, selepas kedua-dua pihak memeterai perjanjian kerjasama 18 bulan lalu.

    Dalam majlis yang berlangsung pagi tadi, WTCA mengesahkan model pertama yang akan diproduksi di sini bukanlah GAC GS3 generasi sedia ada yang sudahpun dilancarkan di Malaysia dalam versi CBU pada penghujung 2021, sebaliknya adalah model generasi terkini GAC GS3 2023 yang baru sahaja dilancarkan di China Februari lalu.

    WTCA masih belum mengumumkan spesifikasi rasmi GAC GS3 generasi baharu ini untuk pasaran Malaysia kelak, namun perincian dari model pasaran China mungkin dapat membayangkan apa yang akan ditawarkan di sini nanti.

    Di China, SUV segmen-B ini dikenali sebagai Trumpchi GS3, dan model 2023 ini bukan sahaja menampilkan rupa yang jauh berbeza dari model sebelumnya, malah ia hadir dengan kerangka dan juga unit rangkaian kuasa serba baharu.

    Model ini diasaskan dari platform baharu yang dikenali sebagai GPMA, menampilkan dimensi panjang 4,410 mm, lebar 1,850 mm bersama jarak roda sejauh 2,650 mm. Jadi berbanding GS3 CBU yang masih dijual di Malaysia, model generasi baharu ini adalah 52 mm lebih panjang, 25 mm lebih lebar serta jarak roda 90 mm lebih jauh. Ia juga sedikit lebih rendah dan memberikan bentuk badan yang lebih sporty.

    Jika ia mula masuk ke pasaran Malaysia nanti, sudah tentu GS3 2023 ini akan berhadapan terus dengan Proton X50 dan juga Honda HR-V. Jadi jika dibandingkan dengan X50, GS3 baharu ini adalah 80 mm lebih panjang, 50 mm lebih lebar bumbung 9 mm lebih rendah serta jarak roda 50 mm lebih jauh.

    Selain dari X50 dan HR-V, kami jangkakan saingan turut akan datang dari satu lagi SUV segmen-B dari China iaitu Chery Omoda 5 yang bakal dilancarkan di sini secara rasmi pada penghujung Jun atau awal Julai ini.

    Berbanding model generasi sedia ada yang menampilkan rekaan ‘bulat’, model generasi baharu ini lebih bersegi dengan garis-garis badan tajam serta lebih futuristik. Di China, GS3 ini turut tampil dalam varian ‘R’ dengan perincian lebih sporty menampilkan warna badan matte, serlahan-serlahan oren serta diffuser belakang yang besar bersama dua tip ekzos diletak di tengah.

    Enjin yang dibekalkan pada GS3 ini juga nampaknya akan menjadi yang paling berkuasa dalam kelasnya. Berbanding model sedia ada yang dijana oleh enjin 1.5 liter empat silinder NA berkuasa 114 PS/150 Nm, model generasi baharu nanti akan menerima enjin 1.5 liter empat silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI) generasi ketiga GAC Motor, menjana kuasa 177 hp dan tork maksima 270 Nm bermula 1,400 hingga 4,500 rpm.

    Sebagai perbandingan enjin 1.5 liter TGDI Proton X50 hanya dibekalkan dengan 255 Nm, enjin VTEC Turbo pada HR-V menghasilkan 240 Nm, manakala Chery Omoda 5 hanya datang dengan 230 Nm. Kotak gear Aisin enam kelajuan automatik konvensional pada model lama CBU juga tidak lagi akan digunakan, dan ia akan diganti dengan transmisi klac berkembar jenis basah (WDCT) automatik tujuh-kelajuan.

    WTAC turut mengesahkan bahawa GS3 CKD generasi baharu pasaran Malaysia ini juga disahkan akan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2.

    GAC GS3 2023 sah ke Malaysia tahun depan – CKD, 1.5T 177 hp/270 Nm, 7DCT, saingan X50 dan HR-V

    Untuk pengetahuan anda, model GS3 CBU sedia ada merupakan model pertama dari GAC yang dijelmakan dalam versi pemanduan sebelah kanan, khas untuk di bawa ke Malaysia. Bagi GS3 generasi baharu akan datang yang akan dipasang di sini pula merupakan operasi produksi GAC pertama di luar China.

    Menurut WTAC, projek ini melibatkan pelaburan bernilai RM60 juta meliputi kos naik taraf kilang Tan Chong di Segambut bagi memenuhi keperluan standard pemasangan model-model CKD dari GAC. Produksi GAC GS5 ini akan bermula di kilang berkenaan pada April tahun hadapan, dan ia dijangka dilancarkan di Malaysia pada pertengahan 2024.

    Pelaburan tersebut turut akan memperuntukkan pembinaan jaringan pengedar dengan sasaran 70 bilik pameran akan disediakan di seluruh negara. WTAC turut mensasarkan pengeluaran dan jualan jenama ini akan mencapai 50,000 unit dalam masa tiga hingga lima tahun.

    Harga bagi GAC GS3 CKD generasi baharu ini masih belum diumumkan. Namun kami percaya ia tidak akan lari jauh dari Omoda 5 yang turut akan ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan di sini.

    GALERI : GAC GS3 1.5L Premium CBU

    GALERI : GAC GS3 1.5L Standard CBU

     
     
  • Budak 6 tahun pandu Vios: Polis sahkan ‘Tok Wan Bulu’ tak terlibat, budak lelaki memang tahu memandu

    Budak 6 tahun pandu Vios: Polis sahkan ‘Tok Wan Bulu’ tak terlibat, budak lelaki memang tahu memandu

    Selepas kejadian sebuah Toyota Vios terbabas di Langkawi malam semalam yang kemudiannya diketahui ia dipandu seorang budak lelaki berumur enam tahun, timbul pula cerita mistik menyatakan bahawa ia membabitkan beberapa ‘makhluk’ lain termasuk ‘Tok Wan Berbulu’ yang memandu kereta tersebut.

    Cerita tersebut mula ditularkan di aplikasi whatsapp, dan kini ia telah tersebar dipelbagai saluran media sosial lain termasuk Facebook, Tiktok dan sebagainya. Namun cerita mistik ini dinafikan oleh pihak polis, dan mengesahkan bahawa kanak-kanak tersebut memang tahu setiap fungsi asas pada kereta dan tahu bagaimana untuk menggerakkannya.

    Menurut polis dalam laporan Berita Harian, kejadian itu dipercayai berpunca daripada kemampuan kanak-kanak lelaki terbabit mempelajari asas pemanduan kereta, seterusnya mengaplikasikan pada malam kejadian.

    Dalam laporan akhbar itu, Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari menyatakan bahawa berdasarkan keterangan kanak-kanak berkenaan, dia didapati tahu cara memandu kereta dan turut mengetahui fungsi dan kedudukan gear.

    “Berdasarkan siasatan didapati kanak-kanak itu juga mengetahui fungsi pedal minyak dan gear automatik, selain memiliki keyakinan dengan menunjukkan bagaimana cara untuk turunkan brek tangan.

    “Pemeriksaan rakaman kamera papan pemuka atau dashcam mendapati pemanduan tidak stabil, kadang-kala memasuki lorong bertentangan dan ada ketika ke kiri dan ke kanan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

    Beliau menjelaskan bahawa kanak-kanak itu juga boleh menunjukkan dengan betul cara menghidupkan enjin dan berjaya menghidupkannya apabila diminta oleh pegawai penyiasat.

    “Justeru, kita menolak sebarang unsur mistik dalam kes kemalangan ini seperti mana yang didakwa dan tular oleh pihak tertentu menerusi pelbagai medium media sosial.

    “Kanak-kanak berkenaan ada dibawa oleh kedua ibu bapa mereka ketika memberi keterangan di Balai Polis Trafik Langkawi, jadi polis sudah menemubual awal mereka sebagai sebahagian siasatan,” katanya.

    Shariman juga menerangkan dalam proses temubual itu kanak-kanak terbabit yang juga pemandu kereta menunjukkan cara bagaimana dia memandu pada malam kejadian.

    Nasib baik Allah lindung… Allahmdulillah selamat, semoga lepas nie Semua kena hati2 takut terjadi lagi sebegini.. Budak…

    Posted by Honeyzone Langkawi on Tuesday, 9 May 2023

    “Kanak-kanak itu mampu memberi penerangan fungsi gear D dan R kepada pegawai penyiasat, malah dia mengaku berjaya mengundur kereta terlebih dulu sebelum memandu keluar rumah pada pada malam kejadian.

    “Difahamkan jarak rumah ke kedai yang ingin dituju oleh dua beradik itu adalah sejauh lima kilometer (km), tetapi separuh jalan mereka terbabit kemalangan,” katanya.

    Hantaran-hantaran yang tular sebelum ini turut menyertakan rakaman audio perbualan suara kanak-kanak berkenaan menceritakan kejadian terbabit. Dia mendakwa dia tidak memandu kereta berkenaan, sebaliknya dipandu oleh ‘pak cik’ dan ‘tok wan’ (gelaran diberikan untuk datuk) yang mempunyai badan yang panas dan berbulu.

    Laporan sebelum ini menyebut bahawa polis sudahpun memanggil ibu bapa tersebut pada tengah hari semalam untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025