Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lingbox mini-EV akan dilancar di Malaysia – klon Daihatsu Cast, bawah RM100k, CKD; satu-beg udara?

    Lingbox mini-EV akan dilancar di Malaysia – klon Daihatsu Cast, bawah RM100k, CKD; satu-beg udara?

    Di China, pasaran kereta elektrik penuh (EV) kini dikuasai oleh model-model kompak mini-EV seperti Wuling Mini-EV dan Nano-EV. Model-model berkenaan dijual dengan harga yang mampu milik dan ia sangat praktikal untuk digunakan dalam kawasan bandar.

    Indonesia telah mula menjual model-model mini-EV dari China tersebut bermula dengan Wuling Air EV yang turut dipasang secara tempatan di negara itu. Dan Malaysia mungkin akan turut menyusul tidak lama lagi kerana hari ini EP Manufacturing Berhad (EPMB) telah mengumumkan bahawa ia telah dianugerahkan hak ekslusif untuk mengilangkan dan menjual Lingbox Mini EV di sini dan juga Indonesia.

    Lingbox mini-EV ini dikenali sebagai Lingbao Box di pasaran China dan ia didakwa merupakan antara 10 mini-EV terlaris di sana. Menurut laporan CarNewsChina, hatchback kompak EV empat-pintu ini diperkenalkan buat pertama kali di China pada Disember 2020, dan menerima pelbagai versi dan tingkat taraf selepas itu.

    Lingbox mini-EV akan dilancar di Malaysia – klon Daihatsu Cast, bawah RM100k, CKD; satu-beg udara?

    Ia dihasilkan dengan dimensi 3,584 mm panjang, 1,475 mm lebar dan 1,666 mm tinggi serta jarak roda 2,455 mm. Jadi berbanding Perodua Axia, Lingbox mini-EV ini adalah 56 mm lebih pendek, 145 mm kurang lebar, 156 mm lebih tinggi dan jarak roda 5 mm lebih jauh.

    Manakala rupa luaran Lingbox mini-EV ini pula seolah-olah ‘klon’ kepada kei-Car Jepun Daihatsu Cast, menampilkan lampu hadapan bulat serta gril palsu dengan kemasan sekeliling berbentuk heksagon, bentuk badan bersegi serta kemasan ruang roda yang direka seakan mempunyai overfender.

    Dari segi unit rangkaian kuasa, Lingbao Box di China ditawarkan dengan motor elekrik tunggal memacu roda hadapan sama ada berkuasa 41 hp atau 48 hp. Model dengan motor paling berkuasa membolehkan EV kecil ini memecut dari 0-50 km/j dalam masa 7 saat, manakala kelajuan maksimanya dihadkan hanya pada 101 km/j.

    Lingbox mini-EV (kiri) dan Daihatsu Cast (kanan)

    Ia menerima kuasa elektrik dari bateri LPF berkapasiti 19.2 kWj yang didakwa boleh dipandu sejauh 220 km dengan satu cas penuh. Sistem pengecas cepat membolehkan bateri tersebut dipenuhkan dari 20-80% dalam masa hanya 1.2 jam, namun dengan menggunakan pengecas wallbox rumah yang dibekalkan ia memerlukan masa selama 11-jam.

    Pada bahagian dalaman, Lingbox mini-EV ini menampilkan dua skrin iaitu instrumen digital dengan paparan 7-inci dan skrin infotainmen bersaiz 10.1-inci. EV kecil ini hanya dibekalkan dengan satu beg-udara – hanya untuk pemandu – sebagai ciri opsyen dengan bayaran tambahan RMB 2,000 (RM1.3k), tetapi bakal dibekalkan standard untuk model 2023.

    EPMB masih belum memberikan sebarang perincian spesifikasi untuk Lingbox pasaran Malaysia, namun dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini syarikat tersebut ada menyatakan bahawa ia akan dijual pada harga di bawah RM100k. Di China, versi terbaharunya yang digelar sebagai Lingbox BOX Cai Wenji dijual pada harga RMB 56,800 (RM36k).

    Lingbox mini-EV akan dilancar di Malaysia – klon Daihatsu Cast, bawah RM100k, CKD; satu-beg udara?

    Perjanjian kerjasama untuk membawa Lingbox mini-EV ini adalah antara anak syarikat EPMB iaitu EP 4Wheeler Sdn Bhd dengan Hubei Dongfeng Power Auto Trade Co. Ltd dan Xiamen Tsingyan Hylong Motor Technology Co. Ltd. Menerusi perjanjian yang yang ditandatangani pada 27 Disember lalu tersebut, EPMB turut boleh memasarkan Lingbox mini-EV ini dengan jenama dan nama modelnya tersendiri.

    Jun lalu, EPMB telah menandatangani perjanjian untuk penjualan dan pengedaran skuter elektrik Blueshark di Malaysia. Syarikat tersebut kemudiannya telah diberikan lesen pengilangan oleh kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (MITI) untuk penjualan dan pengedaran skuter elektrik.

    Ini membolehkan EP Blueshark mengimport komponen skuter elektrik dalam keadaan pemasangan (SKD) dan/atau CKD untuk dipasang dan dikilangkan di Malaysia, serta diedarkan ke pasaran tempatan dan ASEAN. Sasaran pengeluaran awal untuk skuter elektrik Blueshark R1 ialah 50,000 unit setahun, dengan kemungkinan peningkatan kapasiti pengeluaran sekiranya ia mempunyai permintaan lebih tinggi pada masa hadapan.

     
     
  • Aktor pandu Perodua Myvi secara zigzag di MRR2 – kekasih tercampak keluar kereta akibat kemalangan

    Aktor pandu Perodua Myvi secara zigzag di MRR2 – kekasih tercampak keluar kereta akibat kemalangan

    Seorang aktor sambilan ditahan akibat memandu secara zigzag di di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Hulu Kelang berhampiran jejambat susur Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) yang telah menyebabkan Perodua Myvi yang dipandunya hilang kawalan lalu terlanggar sebuah Toyota Innova. Ekoran kemalangan tersebut, penumpang hadapan Myvi tersebut yang juga kekasihnya tercampak keluar dan mengalami cedera ringan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kemalangan yang turut tular di media sosial membabitkan dua kenderaan itu berlaku jam 5.30 petang pada 27 Disember lalu.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu secara melulu tiba-tiba menukar lorong secara zigzag dan telah hilang kawalan sehingga terlanggar bahagian sisi kiri sebuah Toyota Innova.

    Aktor pandu Perodua Myvi secara zigzag di MRR2 – kekasih tercampak keluar kereta akibat kemalangan

    “Pelanggaran tersebut menyebabkan penumpang hadapan Myvi berkenaan tercampak keluar dan mengalami kecederaan ringan. Pemandu kedua-dua kenderaan terbabit telah pun tampil membuat laporan polis. Pemandu Myvi itu ditahan untuk siasatan lanjut. Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Pencegahan Jenayah (KPJ) akan dipohon,” kata Mohamad Farouk.

    Tambahnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, di mana jika disabit kesalahan akan dihukum penjara tidak kurang lima tahun, denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu tidak kurang lima tahun.

    Menurut laporan beberapa media tempatan pula, difahamkan ketika kejadian lelaki itu bertengkar dengan kekasihnya yang juga penumpang wanita yang tercampak dalam kemalangan tersebut.

     
     
  • Perkhidmatan bas Rapid Penang percuma dengan tajaan 150k Pas Mutiara dari k’jaan P.Pinang pada 2023

    Perkhidmatan bas Rapid Penang percuma dengan tajaan 150k Pas Mutiara dari k’jaan P.Pinang pada 2023

    Kerajaan Pulau Pinang telah bersetuju untuk untuk meneruskan lagi pembiayaan Pas Mutiara sebanyak 150,000 pas pada tahun hadapan dengan jumlah peruntukan berjumlah RM7.5 juta. Dalam pada itu, perkhidmatan bas Rapid Penang adalah percuma di seluruh Pulau Pinang pada tahun hadapan dengan penggunaan Pas Mutiara.

    “Kerajaan Negeri mula menaja Pas Perjalanan Tanpa Had atau lebih dikenali sebagai Pas Mutiara sejak 1 Mac 2021 dengan peruntukan sebanyak 100,000 pas bersamaan dengan RM3 juta. Tajaan ini diteruskan pula pada tahun 2022 dengan perbelanjaan sebanyak RM4.5 juta bagi 90,000 pas.

    “Mengambil maklum akan jumlah pembelian kad Pas Mutiara dan bilangan penumpang (ridership) yang meningkat setiap bulan, Kerajaan Negeri telah menambah pembiayaan Pas Mutiara sebanyak 30,000 pas sejurus menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan Pas Mutiara pada tahun ini ialah 120,000 pas dengan jumlah subsidi sebanyak RM6 juta,” kata Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri, Zairil Khir Johari.

    Perkhidmatan bas Rapid Penang percuma dengan tajaan 150k Pas Mutiara dari k’jaan P.Pinang pada 2023

    Tambah beliau, penggunaan Pas Mutiara sememangnya semakin mendapat sambutan memberangsangkan di mana jumlah pembelian kad Pas Mutiara kian meningkat dan bilangan penumpang (ridership) juga menunjukkan peningkatan yang baik pada setiap bulan. Peralihan ke fasa endemik di mana semua aktiviti ekonomi dan industri beroperasi sepenuhnya telah memberi impak positif dalam penggunaan pengangkutan awam.

    “Justeru, Kerajaan Negeri percaya bahawa pembiayaan subsidi ini mampu menjadi pemangkin bagi
    menarik lebih ramai penduduk Pulau Pinang beralih kepada pengangkutan awam sebagai mod pengangkutan pilihan berbanding kenderaan persendirian.

    “Secara tidak langsung, dengan subsidi langganan Pas Mutiara My50 ini juga, pengguna bakal meraih penjimatan kos seperti petrol, parkir dan tol yang jauh lebih tinggi setiap bulan,” sambungnya lagi.

     
     
  • Subsidi petrol bersasar ditentukan guna pelbagai pangkalan data termasuk JPJ, LHDN dan Bank Negara

    Subsidi petrol bersasar ditentukan guna pelbagai pangkalan data termasuk JPJ, LHDN dan Bank Negara

    Berhubung dengan isu penentuan subsidi petrol bersasar, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub memaklumkan kerajaan bukan setakat menggunakan pangkalan data dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semata-mata, bahkan dari kesemua pangkalan data termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara, Khazanah Nasional Bhd, Jabatan Perangkaan Malaysia serta kajian-kajian universiti.

    Beliau berkata pusat data yang komprehensif adalah penting dan perlu dalam menjayakan mekanisme pemberian subsidi bersasar itu, laporan Bernama.

    “Saya sebut dengan jelas sebelum ini bahawa, data JPJ adalah satu daripada data yang kita perlu, tetapi kita ada data dari LHDN, Khazanah, Jabatan Perangkaan Malaysia, Bank Negara dan kajian-kajian universiti.

    Subsidi petrol bersasar ditentukan guna pelbagai pangkalan data termasuk JPJ, LHDN dan Bank Negara

    “Kita perlu menghimpunkan kesemua data. Kementerian atau Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) harus melihat semua data itu sebelum kita membuat keputusan akhir,” katanya.

    Kenyataan ini dikeluarkan selepas mendapat pelbagai pendapat serta bantahan dari pakar ekonomi dan juga orang ramai tentang isu subsidi petrol bersasar yang akan ditentukan mengikut kuasa kuda (cc) kenderaan yang diambil dari pangkalan data JPJ. Ramai yang berpendapat bahawa pemberian subsidi menggunakan pangkalan data JPJ dengan melihat kepada cc kenderaan adalah tidak bersesuaian.

    Salahuddin baru-baru ini dilaporkan berkata pangkalan data daripada JPJ misalnya boleh digunakan untuk subsidi petrol RON95, berikutan kerajaan dapat mengenal pasti golongan yang layak menerima subsidi berdasarkan jenis cc kenderaan dimiliki.

     
     
  • Hyundai Palisade, Santa Fe FL bakal tiba di Malaysia

    Hyundai Palisade, Santa Fe FL bakal tiba di Malaysia

    Selain Ioniq 6 dan Creta, Hyundai Malaysia juga dijangka bakal memperkenalkan beberapa lagi model terbaru untuk pasaran Malaysia. Model yang dimaksudkan ialah SUV Palisade dan Santa Fe facelift.

    Palisade, sebuah SUV tiga barisan tempat duduk yang versi facelift-nya diperkenalkan di Indonesia Ogos 2022 selepas mula diperkenalkan diperingkat global pada April lalu. Untuk pasaran Indonesia, tiga varian diperkenalkan dengan semuanya dikuasakan oleh enjin 2.2 liter turbodiesel dengan janaan 200 PS pada 3,800 rpm dan 440 Nm dari 1,750 rpm hingga 2,750 rpm. Ini dipadankan pula dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dengan pacuan roda depan (atau AWD untuk varian lebih tinggi).

    Aspek keselamatan pula untuk semua varian termasuklah enam beg udara, ABS, ESC, Vehicle Stability Management, bantuan mula mendaki, Multi Collision Brake, Safe Exit Assist serta untuk varian yang lebih tinggi, kamera undur dan Parking Distance Warning belakang.

    Hyundai Palisade, Santa Fe FL bakal tiba di Malaysia

    Bagi Santa Fe facelift pula, model generasi keempat ini menggunakan platform “Integrated Architecture” berbanding model sebelumnya, menjadikannya model SUV Hyundai pertama di peringkat global yang menggunakan platform berkenaan.

    Di Indonesia, Santa Fe facelift dikuasakan oleh sama ada enjin 2.5 liter 180 PS/232 Nm NA petrol yang digandingkan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan; atau unit 2.2 liter 202 PS/441 Nm turbodiesel dengan gandingan kotak gear automatik klac berkembar lapan-kelajuan.

    Aspek keselamatan bagi Santa Fe ini, berdasarkan pasaran di negara jiran dan dari tahap kemasan Signature termasuklah Lane Keeping Assist (LKA), Lane Following Assist (LFA), Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA), Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Safe Exit Assist (SEA), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA atau AEB), Blind-Spot View Monitor (BVM) dan Driver Attention Warning (DAW).

    Bersedia untuk lihat penawaran Palisade dan Santa Fe facelift di Malaysia pula, dalam masa terdekat?

     
     
  • Kes curi elektrik dari pengecas kenderaan EV seperti Shell Recharge / Park Easy masih berlaku di Malaysia

    Kes curi elektrik dari pengecas kenderaan EV seperti Shell Recharge / Park Easy masih berlaku di Malaysia

    Awal tahun ini kita didedahkan dengan satu kes di mana sebuah van elektrik BYD M3 dengan nombor pendaftaran Singapura dijumpai mencuri elektrik di mesin mengecas EV yang terletak di stesen Shell kawasan rehat Tangkak arah selatan.

    Kes seperti ini nampaknya masih berlaku, seperti yang dimuat naik oleh ahli kumpulan Facebook MyEVOC, Jared. Pemandu kenderaan plug-in hybrid ini dilihat meletakkan kenderaan di sebelah petak mengecas, dan menggunakan kabel pengecas tanpa membayar petak letak kereta khas untuknya.

    Untuk pengetahuan anda Shell Recharge adalah satu khidmat berbayar. Anda sepatutnya bayar menggunakan aplikasi ParkEasy, dan palang untuk meletakkan kereta di petak mengecas itu akan turun, membolehkan kenderaan anda masuk dan menggunakannya. Petak yang anda lihat di dalam gambar ini mempunyai pengecas AC Type 2 7 kW, yang mengenakan bayaran RM6 untuk dua jam pertama, dan RM2.80 bagi jam yang seterusnya.

    Pengecas Shell Recharge/ParkEasy ini sebenarnya sangat terdedah kepada pencurian elektrik kerana pengecas itu sendiri sentiasa boleh digunakan, dengan kenderaan hanya dihalang untuk masuk ke kawasan letak kereta. Tapi nampaknya, ada orang yang sentiasa akan cari jalan untuk mengelak dari membayar apa-apa.

    Secara terang-terangan, ini memang adalah satu pencurian. Tolonglah jangat buat sebegini kerana tingkah laku buruk daripada pemilik EV akan menjauhkan syarikat persendirian untuk melabur dalam infrastruktur pengecasan EV.

    Selain daripada itu, ParkEasy juga mempunyai fungsi tempahan awal. Cuba bayangkan jika pemilik EV membuat tempahan awal untuk petak mengecas itu, tetapi apabila tiba, dilihat ada pula kenderaan lain yang secara curi-curi menggunakan kabel pengecas tersebut.

    Shell tahu tentang masalah ini dan akaun @pakcikshell yang bekerja dengan syarikat itu pernah memuat naik gambar berkenaan kes di Tangkak sambil memberi ulasan supaya janganlah berbuat sebegitu – boleh dilihat di atas.

    Syarikat penyedia khidmat mengecas lain tidak menggunakan konsep palang pada tempat letak kereta seperti Shell Recharge/ParkEasy, sebaliknya mengaktifkan pengecas apabila bayaran melalui aplikasi telah pun dibuat. Ini pun ada masalah sendiri, kerana ada pemandu yang meletakkan kenderaan dalam petak mengecas tersebut, tetapi tidak menggunakan pun pengecas.

    Akibat daripada ini, syarikat penyedia khidmat mengecas tersebut mengalami kerugian kerana petak mengecas itu digunakan oleh orang sebagai petak letak kereta biasa, bukannya orang yang mahu membayar dan mengecas kenderaan. Kalau anda berminat nak cuba servis Shell Recharge/ParkEasy ini, boleh gunakan kod R88W3N2T apabila memuat turun. Ada kredit percuma juga, jadi tak payah lah nak curi elektrik kat situ.

     
     
  • Kios layan diri JPJ kini sudah berada di stesen MRT; boleh perbaharui cukai jalan, lesen, cetak VOC dll

    Kios layan diri JPJ kini sudah berada di stesen MRT; boleh perbaharui cukai jalan, lesen, cetak VOC dll

    April lalu, Datuk Seri Wee Ka Siong yang ketika itu masih memegang jawatan Menteri Pengangkutan mengumumkan bahawa kementeriannya akan menambah lebih banyak unit kios layan diri JPJ di seluruh negara menjelang akhir tahun ini, bukan sahaja diletakkan di cawangan-cawangan JPJ, malah ia turut akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik seperti di pejabat kerajaan di beberapa kementerian, di stesen LRT dan MRT di sekitar Lembah Klang.

    Nampaknya kios tersebut sudahpun berada di stesen MRT; pengguna Facebook bernama Nevin Sulau Sansom telah pun membuat hantaran di FB Group paultan.org Automotive/Car Discussion bahawa dia baru sahaja menggunakan mesin layan diri tersebut yang diletakkan di stesen MRT Bukit Bintang.

    Nevin tidak memperincikan apa perkhidmatan yang dia gunakan pada kios berkenaan, namun dia ada menunjukkan sijil pemilikan kenderaan (VOC) yang baru sahaja dicetak semula.

    Menerusi pengalaman kami sendiri yang pernah menggunakan kios layan diri JPJ ini yang diletakkan di JPJ cawangan UTC Selangor, Seksyen 14 Shah Alam sebelum ini, mesin berkenaan dapat memberikan hampir kesemua urusan yang ditawarkan di kaunter fizikal sebenar JPJ.

    Antara perkhidmatan tersebut termasuk memperbaharui cukai jalan dan Lesen Kenderaan Motokar/Motosikal (LKM), mencetak semula VOC, membayar saman trafik serta memberikan maklumat yang diperlukan berkaitan dengan lesen memandu, insurans kenderaan dan lain-lain.

    Anda masih lagi perlu beratur untuk menggunakannya, tetapi ia mengambil masa yang jauh lebih singkat berbanding melakukan urusan yang sama di pejabat pos atau kaunter fizikal biasa. Bagaimana untuk memperbaharui lesen memandu ataupun cukai jalan (roadtax) menggunakan kios ini? Anda boleh baca pada artikel khas yang telah kami sediakan pada PAUTAN INI.

    GALERI: Kios JPJ di JPJ cawangan UTC Selangor, Seksyen 14 Shah Alam

     
     
  • Harga minyak 29 Dis-4 Jan – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 29 Dis-4 Jan – Semuanya dikekalkan

    Untuk tiga hari terakhir tahun 2022 dan memasuki empat hari pertama 2023, iaitu bagi tempoh 29 Disember 2022 hingga 4 Januari 2023, Kementerian Kewangan (Mof) mengumumkan bahawa harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel dikekalkan.

    Di mana petrol RON 97 dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022.

    Untuk petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Bagi diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 24 Disember lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Salahuddin Ayub menyatakan bahawa mekanisma untuk memberikan subsidi bahan api petrol secara bersasar sudah hampir lengkap, dan ia akan menggunakan data dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengenal pasti mereka yang layak menerima bantuan tersebut.

    Salahuddin berkata, pangkalan data JPJ boleh digunakan untuk pelaksanaan subsidi petrol RON 95 memandangkan kerajaan dapat mengenal pasti golongan yang layak menerima subsidi berdasarkan jenis kuasa kuda (cc) kenderaan dimiliki.

    Walau bagaimana pun, beberapa pakar ekonomi dan orang ramai yang kurang bersetuju dengn cadangan tersebut dan berpendapat, ada juga kereta jenama mewah mempunyai cc yang kecil. Apa pun kena nantikan perkembangan mengenai isu ini dimaklumkan oleh pihak kementerian terbabit.

     
     
  • Di sebalik tabir Mission: Impossible ketujuh – Tom Cruise buat sendiri aksi lompat gaung guna motocross

    Di sebalik tabir Mission: Impossible ketujuh – Tom Cruise buat sendiri aksi lompat gaung guna motocross

    Bagi penggemar filem aksi, nama Mission: Impossible bukanlah sesuatu yang asing dengan kini sudah mencapai enam siri sejak yang pertama keluar pada tahun 1996, dan watak utama Ethan Hunt yang dimainkan oleh Tom Cruise (juga penerbit filem ini).

    Tahun depan, satu lagi siri filem ini akan ditayangkan kepada umum, dengan tajuk Mission: Impossible Dead Reckoning Part One dan kita boleh melihat sedutan awalnya melalui beberapa video yang dikeluarkan oleh Paramount Pictures.

    Menambahkan lagi keterujaan, syarikat pengeluar filem itu turut menunjukkan rakaman di sebalik tabir Tom Cruise sendiri membuat aksi yang didakwa sebagai “aksi terbesar dalam sejarah filem.” Ini adalah antara langkah yang diambil untuk mengatasi tahap aksi lagak ngeri yang dilakukan sebelum ini dan memuaskan penonton.

    Tom Cruise memang diketahui suka melakukan aksi lagai ngeri sendiri dan dalam filem ini juga sama. Kita boleh melihat betapa sukarnya beliau melalui pelbagai latihan termasuk lompatan udara (base jump) dan juga motocross.

    Aksi paling mendebarkan adalah Tom Cruise melompat motocross yang ditunggang ke arah gaung, terbang bebas buat seketika dan menarik payung terjun untuk mendarat ke tanah dengan selamat. Yakin dengan latihan yang dibuat sebelumnya, segalanya berjalan lancar tanpa sebarang insiden.

    Aksi sebegini memang bukan calang-calang bagi seorang “pelakon.” Satu tahap hormat baru untuk Tom Cruise.

     
     
  • Yamaha tunjuk R3 boleh gerak dan imbang sendiri

    Yamaha tunjuk R3 boleh gerak dan imbang sendiri

    Yamaha telah menyiarkan satu video menunjukkan pembangunan sistem motosikal imbang sendiri yang digelar sebagai AMSAS (Advanced Motorcycle Stability Assist System). Ia dipasang pada sebuah R3 dan diuji dalam kawasan tertutup bersama beberapa pemerhati.

    Menurut Yamaha, AMSAS direka untuk “memberikan rasa penyatuan antara penunggang dan motosikal yang selesa dan tenang kepada semua orang” dan dapat menstabilkan motosikal secara sendiri pada kelajuan 5 km/j ke bawah, iaitu satu lingkungan laju yang memerlukan kemahiran tinggi pada penunggang.

    Bentuk asal R3 yang digunakan untuk AMSAS ini masih lagi sama seperti R3 biasa, tetapi penggeraknya nampak seperti telah ditukar kepada motor elektrik dan tiada lagi klac tangan serta ekzos.

    Dalam video itu dinyatakan bahawa sistem ini terdiri daripada fungsi kawalan untuk pacuan dan kawalan stereng/pemegang. Anda boleh melihat kelengkapan sistem ini di bahagian roda hadapan (pemacu), bawah motosikal (pengimbang) dan tengah pemegang (stereng).

    Setakat ini Yamaha menyatakan sistem ini masih lagi dalam ujian dan tiada kenyataan sama ada ia akan dipasang pada motosikal produksi. Sistem ini juga diberitahu dapat dikembangkan lagi untuk menjadi satu sistem keselamatan yang boleh membantu motosikal mengelak kemalangan.

    Teknologi motosikal imbang sendiri ini bukanlah sesuatu yang baru bagi Yamaha kerana sebelum ini mereka juga pernah menunjukkan teknologi sama pada motosikal konsep yang dipanggil sebagai Motoroid, tetapi model tersebut mempunyai rekaan yang lebih futuristik sementara R3 ini pula menunjukkan sistem tersebut boleh dipasang pada model sedia ada dengan ubah suai minimum.

     
     
  • Hyundai Creta bakal dilancarkan di Malaysia; alternatif untuk Perodua Ativa, Honda HR-V S dalam segmen-B?

    Hyundai Creta bakal dilancarkan di Malaysia; alternatif untuk Perodua Ativa, Honda HR-V S dalam segmen-B?

    Selain dari SUV Santa Fe dan Palisade facelift serta sedan EV Ioniq 6, video teaser yang disiarkan oleh Hyundai Malaysia nampaknya turut menyenaraikan satu lagi pilihan model lebih mampu milik yang bakal dilancarkan ke pasaran tempatan tahun depan iaitu SUV segmen-B Hyundai Creta.

    Creta facelift ini muncul untuk peringkat global di Indonesia pada November tahun lalu, kemudian sudahpun dilihat di Malaysia September lalu, dan nampak sudah bersedia untuk dijual ke pasaran tempatan; ia sudahpun menerima nombor pendaftaran Malaysia dan sudah tentu telah menerima kelulusan VTA dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Hyundai Creta diasaskan dari platform yang sama dengan SUV segmen-B Kia Seltos, menampilkan dimensi 4,315 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,630 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,610 mm. Walaupun ia masih dikelaskan dalam model segmen-B, Creta berada satu anak tangga di bawah Kona kerana dihasilkan untuk pasaran seperti ASEAN dan India berbanding Kona yang disasarkan untuk pasaran Eropah.

    Hyundai Creta bakal dilancarkan di Malaysia; alternatif untuk Perodua Ativa, Honda HR-V S dalam segmen-B?

    Namun dari segi saiz, Creta masih dilihat sedikit lebih besar kerana Kona hanya menampilkan ukuran 4,215 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,575 mm tinggi dan jarak roda 2,600 mm. Ia juga jelas lebih besar dari Ativa kerana SUV segmen-B Perodua itu hanya tampil dengan dimensi 4,065 mm panjang, 1,710 mm lebar, 1,635 mm tinggi dan jarak roda 2,525 mm.

    Bagi pasaran Indonesia dan Thailand, Creta menerima enjin 1.5 liter tanpa bantuan turbo yang menghasilkan 115 PS pada takat 6,300 rpm dan tork maksima 144 Nm pada 4,500 rpm, digandingkan dengan kotak gear Intelligent Variable Transmission (iVT), iaitu transmisi CVT Hyundai yang menggunakan rantai bagi menggantikan tali sawat metalik.

    Di Thailand, Creta dijual pada harga 949,000 baht (RM115,749) sehingga 999,000 baht (RM121,848). Ia menerima kelengkapan seperti skrin infotainmen 8.0-inci, paparan instrumen 10.25-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, pendingin hawa automatik dengan penghembus kabin belakang. Manakala dua varian paling tinggi diberikan lampu dalaman dan lampu suasana LED dan juga bumbung panaromik.

    Hyundai Creta bakal dilancarkan di Malaysia; alternatif untuk Perodua Ativa, Honda HR-V S dalam segmen-B?

    Ia juga menerima sistem keselamatan yang agak baik termasuk enam-beg udara serta pakej bantuan pemanduan Hyundai SmartSense dengan fungsi termasuk amaran buka pintu.

    Hyundai Kona sudah jelas menjadi pesaing terus kepada Proton X50 disini. Untuk Creta pula ia mungkin boleh menjadi alternatif kepada Perodua Ativa, namun dilihat agak sukar untuk bersaing jika dilihat pada harga dan juga kelengkapan yang ditawarkan.

    Tetapi ia mungkin berpeluang untuk ‘merebut’ pasaran Honda HR-V dalam varian paling asas 1.5 S kerana model berkenaan hanya menerima enjin 1.5 liter i-VTEC tanpa turbo dan dijual pada harga bermula RM114,800

    GALERI: Hyundai Creta facelift pasaran Indonesia

     
     
  • Pembuli jalan raya di Sg. Way telah ditahan polis PJ

    Pembuli jalan raya di Sg. Way telah ditahan polis PJ

    Polis Daerah Petaling Jaya telah mengesahkan seorang lelaki tempatan yang terlibat dengan kejadian buli jalan raya di daerah berkenaan pada minggu lalu, telah ditahan pada 26 Disember lalu untuk siasatan lanjut.

    Menurut Ketua Polis PJ, ACP Mohamad Fakharudin Abdul Hamid, lelaki berkenaan telah ditangkap di tepi jalan di Jalan Penchala, PJ selepas tiga hari video berkenaan insiden tersebut tular di laman media sosial.

    “Pada 26 Disember, lebih kurang jam 3.20 petang, pasukan polis dari bahagian siasatan jenayah IPD PJ telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan di tepi jalan di Jalan Penchala, yang terlibat dalam kes yang diadukan (kes buli jalan raya).

    “Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. Pemohonan reman dibenarkan selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Disember 2022,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.

    Pada 24 Disember lalu, IPD PJ telah menerima satu laporan polis mengenai kejadian buli jalan raya yang berlaku di persimpangan lampu isyarat SS8/2 Sungai Way. Di mana sebuah Nissan Sentra (yang dipandu oleh lelaki yang ditahan polis) enggan meneruskan perjalanan walau pun lampu isyarat telah bertukar ke warna hijau.

    Pengadu yang dipercayai pemandu e-hailing telah membunyikan hon sebanyak tiga kali dan ini menyebabkan pemandu Sentra tersebut terus keluar dari keretanya dan kedua-dua pemandu tersebut bertengkar. Kemudian pemandu Sentra itu kembali ke keretanya dan mengambil sebatang kayu rotan serta bertindak seakan mahu memukul si pengadu.

    Seorang penunggang motosikal kemudiannya tiba untuk menenangkan kedua-duanya dan kemudian pemandu Sentra tersebut kembali ke keretanya. Video berkenaan dirakamkan oleh seorang pengguna Twitter @zabedabedoo yang dipercayai penumpang e-hailing tersebut.

     
     
  • Hukuman berat menanti pesalah lumba motor haram – penjara, denda RM10k jika modifikasi motosikal

    Hukuman berat menanti pesalah lumba motor haram – penjara, denda RM10k jika modifikasi motosikal

    Bagi membendung gejala lumba motosikal haram, kerajaan merancang untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bertujuan menaikkan hukuman bagi kesalahan yang melibatkan pengubahsuaian enjin dan ekzos motosikal, termasuk menaikkan jumlah denda iaitu daripada RM300 pada masa ini kepada RM10,000.

    Selain itu, mereka yang menyertai lumba motosikal haram juga akan dikenakan hukuman penjara jika didapati bersalah di mahkamah, manakala ibu bapa yang membenarkan anak mereka mengubahsuai motosikal untuk lumba haram, serta pemilik bengkel yang bertanggungjawab melakukan modifikasi tersebut juga berhadapan dengan hukuman.

    Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak, tindakan sedemikian diperlukan untuk membanteras gejala ini, laporan New Straits Times. Tambah beliau, perlumbaan haram harus ditakrifkan secara lebih meluas, bukan setakat menyertai perlumbaan sahaja, bahkan memodifikasi ekzos dan enjin motosikal bagi membolehkan individu terbabit melakukan aksi berbahaya di jalan raya.

    “Adalah perlu untuk menaikkan denda kerana ramai anak muda secara terang-terangan melanggar undang-undang dan menyertai perlumbaan motosikal secara haram pada masa kini. Mereka mampu membayar denda RM300, dan sebab itu kita cadangkan untuk mengenakan penalti sebanyak RM10,000 bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya lumba haram,” katanya.

    Tambah beliau lagi, ibu bapa yang membernak anak mereka menyertai lumba haram serta pemilik bengkel yang terlibat dengan modifikasi ini juga perlu dikenakan hukuman yang sewajarnya.

    Isham berkata, cadangan pindaan itu akan dibentangkan di parlimen pada suku ketiga tahun hadapan. Buat masa ini, ia berada di peringkat “amalan kawal selia yang baik”, yang melibatkan beberapa siri penglibatan dan rundingan dengan pihak berkepentingan.

    Jelasnya, ini dilakukan kerana kementerian mahu memastikan undang-undang itu dapat dilaksanakan dengan berkesan selepas mengambil kira pandangan semua pihak. “Kami tidak mahu membuat pusingan U selepas memperkenalkan peraturan baharu. Kami mahu ia dilaksanakan secara berkesan dengan sokongan majoriti pihak berkepentingan,” katanya.

    Beliau turut berkata, walau pun penguatkuasaan yang berkesan adalah penting untuk membendung kemalangan jalan raya yang melibatkan motosikal, namun menaikkan penalti boleh menjadi salah satu salusi untuk menangani isu tersebut.

     
     
  • Hyundai Ioniq 6 — sedan EV bakal tiba di Malaysia

    Hyundai Ioniq 6 — sedan EV bakal tiba di Malaysia

    Satu iklan teaser berupa video telah dimuat naik ke laman web Hyundai Malaysia, menampilkan beberapa model terbaru yang diisyaratkan bakal tiba di pasaran Malaysia tak lama lagi. Antara model yang ditunjuk ialah Ioniq 6, bersama dengan tiga lagi SUV lain — Creta, Santa Fe dan Palisade.

    Ini boleh jadi petunjuk kepada ketibaan model terbaru Hyundai ke sini bagi tahun 2023, termasuklah model elektrik sepenuhnya berkenaan. Mula ditunjuk pada Jun tahun ini, sedan elektrik Hyundai Ioniq 6 tampil dengan rekaan yang lebih halus dan beralun, berbeza dengan rekaan kotak pada Ioniq 5.

    Ioniq 6 lebih panjang, tetapi keseluruhannya lebih kecil berbanding Ioniq 5. Ukuran model sedan ini ialah 4,855 mm panjang, 1,880 mm lebar dan 1,495 mm panjang dengan jarak antara roda 2,950 mm. Ioniq 5 pula berukuran 4,635 mm panjang, 1,890 mm lebar dan 1,605 mm tinggi dengan jarak antara roda 3,000 mm.

    Rekaan alun ini membolehkan sedan berkenaan mempunyai bacaan aerodinamik drag coefficient pada tahap 0.21, dengan kadar penggunaan tenaga 13.9 kWh/100 km — antara yangt terendah dalam industri ketika ini menurut Hyundai — dengan jarak perjalanan 614 km mengikut kitaran WLTP.

    Hyundai Ioniq 6 — sedan EV bakal tiba di Malaysia

    Ini dibolehkan dengan penggunaan pek bateri 77.4 kWh, yang boleh digandingkan dengan konfigurasi motor tunggal, pacuan belakang atau dua motor, pacuan semua roda. Dalam tahap kemuncaknya, Ioniq 6 menerima hampir 320 PS dan 605 Nm tork daripada tetapan dua motornya.

    Sama seperti Ioniq 5, model ini menggunakan platform E-GMP kenderaan elektrik binaan Hyundai, membawakan senireka 800 V yang boleh juga menampung pengecasan 400 V. Ini membolehkan kadar pengecasan maksimum 305 kW, dengan cas 10-80% dalam masa 18 minit: hampir sama dengan Ioniq 5.

    Selain itu, fungsi vehicle-to-load (V2L) padanya juga bermaksud Ioniq 6 boleh mengecas peranti elektrikal lain dan bertindak sebagai pembekal kuasa simpanan, menerusi outlet kuasa luarannya.

     
     
  • Kemalangan lima superbike di Lebuhraya KL-Karak semalam berpunca dari kereta ubah haluan – Polis

    Kemalangan lima superbike di Lebuhraya KL-Karak semalam berpunca dari kereta ubah haluan – Polis

    Susulan kemalangan lima buah motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 26.4 Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) semalam, polis sudah pun mengesahan bahawa ia dipercayai terjadi apabila salah sebuah motosikal berkenaan cuba mengelak sebuah kereta yang mengubah haluan .

    Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed dalam laporan Berita Harian, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, ketika kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi itu dalam perjalanan dari arah Genting Highlands menghala ke Gombak.

    “Sebuah motosikal dipercayai hilang kawalan selepas sebuah kereta yang tidak dapat dipastikan nombor pendaftaran dan jenis, mengubah haluan masuk ke lorong penunggang motosikal terbabit.

    Kemalangan lima superbike di Lebuhraya KL-Karak semalam berpunca dari kereta ubah haluan – Polis

    “Ia menyebabkan seorang daripada penunggang motosikal berkenaan terbabas ke lorong kanan jalan dan terjatuh.

    “Empat lagi penunggang motosikal turut terbabas di atas jalan akibat gagal mengelak motosikal pertama yang jatuh,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

    Zainal turut memberitahu bahawa semua penunggang motosikal lelaki berusia antara 35 hingga 58 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan beberapa bahagian badan lain.

    Kemalangan lima superbike di Lebuhraya KL-Karak semalam berpunca dari kereta ubah haluan – Polis

    “Semua mangsa kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Selayang dan menerima rawatan di Zon Merah dan Zon Kuning hospital terbabit.

    “Dalam pada itu, pihak polis masih meneruskan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Beliau turut meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 0176645812 atau 03-61262222.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025