Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lebih 200 unit Hyundai Staria 10-tempat duduk terjual hanya selepas sebulan dilancarkan di Malaysia

    Lebih 200 unit Hyundai Staria 10-tempat duduk terjual hanya selepas sebulan dilancarkan di Malaysia

    Hyundai-Sime Darby Motor Sdn Bhd (HSDM) mengumumkan bahawa MPV bersaiz besar Hyundai Staria dalam versi 10-tempat duduk kini sudahpun terjual lebih dari 200-unit selepas ia dilancarkan sekitar sebulan yang lalu.

    Menurut pengarah urusan runcitan dan pengedaran Sime Darby Motors Malaysia Jeffry Gan, syarikatnya menjangkakan permintaan terhadap Staria 10-tempat duduk ini akan terus meningkat untuk beberapa bulan akan datang.

    “Dengan lebih 200 unit terjual sejak dilancarkan pada awal Oktober, kami mengalakkan agar orang ramai Malaysia berkenalan dengan ciri-ciri Hyundai Staria 10-tempat duduk sebagai MPV dinamik yang menawarkan yang terbaik, dari segi praktikal dan prestasi. Kami menjangkakan permintaan akan terus meningkat pada bulan bulan terakhir (tahun ini) dan sehingga ke tahun baharu,” katanya.

    Lebih 200 unit Hyundai Staria 10-tempat duduk terjual hanya selepas sebulan dilancarkan di Malaysia

    Pengarah urusan HSDM Low Yuan Lung pula menyatakan bahawa stok untuk kumpulan pertama Staria 10-tempat duduk ini sudah tidak banyak, dan sekarang merupakan masa terbaik untuk menempah MPV berkenaan untuk pelanggan yang berminat.

    “Hyundai merupakan peneraju dari segi inovasi ditambah pula dengan reka bentuknya yang sangat futuristik. Inilah daya tarikan Hyundai-Staria. Kami berbesar hati dengan maklum balas yang menakjubkan dan positif daripada kumpulan pertama pemilik, yang merupakan bukti pengalaman yang ditawarkan oleh Hyundai. Memandangkan bekalan yang terhad dan dengan kumpulan seterusnya dijangka pada awal 2023, kini adalah masa terbaik untuk peminat MPV untuk membuat tempahan mereka sementara stok masih ada,” kata Low.

    Hyundai Staria 10-tempat duduk pasaran Malaysia ini ditawarkan dalam tiga varian, bermula varian paling asas Lite dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM179,888, diikuti varian pertengahan Plus berharga RM196,888 dan tertinggi Max dijual pada harga RM209,888.

    Model ini menggantikan sepenuhnya Hyundai Grand Starex yang sudah tidak lagi dijual dan ia juga menampilkan harga yang jauh lebih mampu milik berbanding Staria tujuh-tempat duduk yang hanya ditawarkan dalam varian Premium, dijual pada harga RM366,768.

    Staria dalam versi 10-tempat duduk ini masih menerima unit rangkaian kuasa yang sama dengan varian 2.2D Premium. Ia menggandingkan enjin 2.2 liter empat silinder turbodiesel berkuasa 177 PS dan tork maksima 431 Nm, bersama kotak gear lapan kelajuan automatik memacu roda hadapan.

    Warna badan Abyss Black Pearl dan Creamy White ditawarkan untuk ketiga-tiga varian Staria ini, manakala warna Shimmering Silver hanya ditawarkan untuk varian Lite. Sementara warna Graphite Grey dan Moonlight Blue Pearl hanya khas untuk varian Max.

    Lebih 200 unit Hyundai Staria 10-tempat duduk terjual hanya selepas sebulan dilancarkan di Malaysia

    Secara standard Hyundai Staria 10-tempat duduk pasaran Malaysia ini menerima waranti standard dua-tahun atau 50,000 km (yang mana sampai dahulu), tetapi HSDM turut menawarkan waranti lanjutan dengan kos tambahan sebanyak RM10,000 yang merangkumi lima-tahun atau 300,000 km (yang mana sampai dahulu) dan servis percuma tiga-tahun atau 50,000 km (yang mana sampai dahulu).

    Untuk perincian lebih lengkap berkenaan perincian bagi setiap varian, anda boleh baca laporan pelancaran Hyundai Staria 10-tempat duduk yang telah kami sediakan pada PAUTAN INI.

    GALERI: Hyundai Staria Max 10-tempat duduk

    GALERI: Hyundai Staria Lite 10-tempat duduk

     
     
  • EICMA 2022: Suzuki GSX-8S didedah – enjin dua silinder selari, quickshifter dan skrin TFT diberi terus

    EICMA 2022: Suzuki GSX-8S didedah – enjin dua silinder selari, quickshifter dan skrin TFT diberi terus

    Suzuki memperkenalkan beberapa model baru di EICMA 2022, dan salah satunya adalah model naked kelas pertengahan GSX-8S. Dianggap sebagai satu penyambung generasi kepada model tahun 70-an dan 80-an, model ini akan bersaing dalam pasaran antaranya dengan Kawasaki Z650, Yamaha MT-07 dan Aprilia Tuono 660.

    Kuasa penggerak datang daripada enjin dua silinder selari 776 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik. Kotak gear enam kelajuan bersama sistem pacuan rantai digunakan untuk menyalurkan kuasa kepada roda belakang, dan rim menggunakan saiz 17 inci.

    Pada bahagian kokpit, informasi penting dipaparkan oleh panel instrumen TFT-LCD lima inci berwarna penuh, manakala bentuk badannya pula mengikuti model yang lebih besar iaitu GSX-S1000. Model baru ini menyediakan tiga mod tunggangan, dengan Mode A yang paling agresif, diikuti Mode B, dan Mode C lebih seperti mod hujan.

    Menggunakan sistem pendikit ride-by-wire, motosikal ini turut datang dengan kawalan cengkaman tiga tahap, bantuan rpm rendah untuk memudahkan pergerakan awal serta quickshifter secara standard. Memegang rodanya ke atas jalan adalah suspensi daripada Kayaba, dengan fork USD di hadapan, sementara sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar 310 mm di hadapan, dan cakera 240 mm di belakang.

    Berat keseluruhan GSX-8S adalah 202 kg, dan tempat duduknya mempunyai ketinggian 810 mm, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 14 liter. Tiga warna ditawarkan, iaitu Pearl Cosmic Blue, Pearl Tech White dan Metallic Matt No.2/Glass Sparkle Black.

     
     
  • Toyota Innova Zenix Hybrid disahkan — MPV 7-seater guna platform TNGA diperkenal 17 November ini

    Toyota Innova Zenix Hybrid disahkan — MPV 7-seater guna platform TNGA diperkenal 17 November ini

    Selepas menunjukkan sedikit wajah depan Toyota Innova generasi ketiga bulan lalu, pengeluarnya mengesahkan yang MPV terbaru itu nanti akan turut ditawarkan dalam versi hibrid. Ini berdasarkan imej yang ditunjukkan di laman sosial Toyota Indonesia dan juga laman web rasminya.

    Nampak jelas lencana “Hybrid” di pintu, lencana yang sama dilihat pada Corolla Cross Hybrid yang ada di sini. Lain-lain rekabentuk yang kelihatan adalah lengkuk roda lebih ketara, garis tengah badan yang lebih tinggi dan bumbung lebih rendah.

    Spyshot dari Kompas juga menunjukkan lebih banyak wajah depan MPV tersebut, dengan rekaan gril hexagonal besar dan lampu utama bersegi, sementara apron bawahnya menampilkan perincian bentuk H lebar dengan warna kontras dari warna badan.

    Innova terbaru ini akan menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dan bukan casis IMV asas dari Hilux yang digunakan sebelum ini. Untuk ini, ia juga akan beralih daripada kenderaan pacuan belakang menjadi kenderaan pacuan roda depan.

    Toyota Innova Zenix Hybrid disahkan — MPV 7-seater guna platform TNGA diperkenal 17 November ini

    Platform TNGA dibangunkan untuk dapat memanfaatkan sistem janaan dengan elektrifikasi seperti yang pernah kita lihat pada Corolla Cross Hybrid dan Lexus UX300e EV. Sistem janaan yang sama dalam Corolla Cross Hybrid boleh digunakan untuk Innova bagi memberikan output sistem 122 PS, dengan unit enjin 2ZR-FXE 1.8 liter kitaran Atkinson (98 PS/142 Nm), eCVT dan motor elektrik (72 PS/163 Nm).

    Di masa akan datang, tidak mustahil akan ada versi elektrik sepenuhnya, memandangkan Toyota pernah menunjukkan Kijang Innova EV Concept, walaupun ini tidak akan diproduksi kerana menggunakan platform IMV. Peralihan kepada platform TNGA mungkin jadi penyelesaian yang terbaik.

    Menurut Kompas, Innova serba baru akan dilancarkan pada 17 November ini, dengan varian hibrid dijangka akan menggunakan nama Innova Zenix Hybrid. Jangkaan harga jualannya ialah 455 juta rupiah (RM137,745). Kijang Innova sedia ada misalnya dalam varian pertengahan V dijual pada harga 422.9 juta rupiah (RM128,027), sementara varian paling tinggi Venturer pada harga 494.4 juta rupiah (RM149,653).

     
     
  • JPJ eBid: Plat nombor SYW dan JVU sedia dibida

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Sabah dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini Sabah, SYW, dibuka bidaan mulai hari ini, 9 November, dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 13 November 2022. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 14 November. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Johor pula, JVU, bidaannya bakal dibuka bermula esok, 10 November dan akan berakhir jam 10 malam pada 14 November 2022. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 15 November ini.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Farizon SuperVAN – van komersil EV Geely, produksi 2024, ke pasaran global termasuk Asia Tenggara

    Farizon SuperVAN – van komersil EV Geely, produksi 2024, ke pasaran global termasuk Asia Tenggara

    Selain dari Homtruck Cabless, divisi kenderaan komersil dari Geely iaitu Farizon Auto turut memperkenalkan model konsep van komersil elektrik penuh yang dikenali sebagai SuperVAN.

    Model ini diasaskan dari platform Geely Multi-purpose Architecture (GMA) rekaan Farizon, membolehkan SuperVAN ini dihasilkan dalam pelbagai versi bagi memenuhi pelbagai keperluan berbeza untuk pengangkutan moden. Antaranya SuperVAN ini boleh tampil dalam versi jarak roda pendek atau panjang, sebagai MPV ataupun trak ringan dan sebagainya.

    Farizon SuperVAN – van komersil EV Geely, produksi 2024, ke pasaran global termasuk Asia Tenggara

    Ini kerana platform GMA tersebut menggunakan senireka kenderaan komersil modular drive-by-wire dwi-lewah pertama seumpamanya yang direka oleh Farizon, dakwa Geely – membolehkan badan dan casis dipisahkan sepenuhnya bagi memberikan integrasi pakej kenderaan yang lebih baik.

    Ia juga bakal menggunakan material-material mesra alam boleh urai-bio dan boleh diperbaharui ketika diproduksi kelak dalam usaha Geely mencapai sasaran sifar-karbon kitaran hidup penuh menjelang 2023.

    Tiada perincian spesifikasi didedahkan buat masa sekarang, namun Farizon menyatakan SuperVAN ini akan masuk ke fasa ujian operasi dalam kuantiti kecil di China pada separa 2023.

    SuperVAN ini bakal diproduksi secara besar-besaran pada 2024, dan ia disasarkan untuk ke pasaran global termasuk Eropah, Australasia, Asia Tenggara, Amerika Selatan dan Timur Tengah.

     
     
  • Beberapa jalan di sekitar ibu kota KL bakal ditutup pada 12-13 Nov sempena acara larian KLSCM 2022

    Beberapa jalan di sekitar ibu kota KL bakal ditutup pada 12-13 Nov sempena acara larian KLSCM 2022

    Bagi menjayakan acara Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2022, dimaklumkan bahawa beberapa jalan utama di sekitar ibu kota Kuala Lumpur bakal ditutup pada 12 hingga 13 November ini. Acara larian bertaraf antarabangsa yang melibatkan 34,000 penyertaan dari peserta tempatan dan luar negara ini bakal berlangsung pada 13 Nov, namun jalan yang terlibat mula ditutup secara berperingkat sehari sebelumnya untuk persediaan kelancaran KLSCM 2022.

    Jalan Raja (Dataran Merdeka) walau bagaimana pun bakal ditutup mulai 8 malam pada 11 November, manakala Jalan Tun Perak, Jalan TAR, Lebuhraya AKLEH (kedua-dua hala), Lebuhraya DUKE (arah utara) dan Jalan Duta akan ditutup mulai 11 malam pada 12 November.

    Manakala lain-lain jalan yang akan ditutup mulai jam 3 pagi pada 13 November termasuklah Lebuh Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Dang Wangi, Jalan Bukit Bintang, Jalan P.Ramlee, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Jalan Ampang dan Bulatan Segambut.

    Senarai jalan-jalan yang terbabit dengan penutupan adalah seperti dalam foto di bawah:

    Klik untuk besarkan

    Menurut penganjur acara KLSCM 2022, Dirigo Events, para peserta dan orang ramai disarankan menggunakan pengangkutan awam memandangkan tempat parkir di kawasan sekitar agak terhad. Malah dimaklumkan bahawa pihak penganjur juga berbesar hati untuk menaja perkhidmatan pengangkutan awam pada 12-3 Nov ini untuk semua peserta KLSCM 2022.

    Untuk perkhidmatan LRT, stesen yang terpilih ialah Laluan Ampang dan Sri Petaling iaitu dari jam 4.30 pagi hingga 6 pagi (sabtu) dan 1.30 pagi hingga 6 pagi (Ahad), ia akan bergerak selang masa 15 minit. Sebelum ini, LRT Laluan Kelana Jaya juga termasuk dalam senarai, namun memandangkan ia sedang digantung operasinya sehingga 15 November ini, jadi penajaan untuk laluan ini terpaksa dibatalkan.

    Namun demikian, selain LRT, penganjur juga menyediakan tambang percuma untuk para peserta di stesen MRT terpilih iaitu di sepanjang laluan Sungai Buloh-Kajang, juga pada waktu yang sama dengan LRT dan tren bergerak selang masa 20 minit.

    Selain itu, para peserta juga boleh menaiki pengangkutan awam lain termasuk KTM Komuter, KL Monorel dan perkhidmatan e-hailing. Untuk yang ingin membawa kenderaan sendiri, sila pastikan kenderaan anda diparkir di tempat letak kereta sedia ada. Sila patuhi papan tanda dan arahan pihak berkuasa yang bertugas mengawal lalu lintas di sepanjang laluan yang terlibat.

     
     
  • Farizon Homtruck Cabless dari Geely – trak komersil elektrik penuh tanpa pemandu, mula diuji tahun depan

    Farizon Homtruck Cabless dari Geely – trak komersil elektrik penuh tanpa pemandu, mula diuji tahun depan

    Divisi kenderaan komersil dari Geely iaitu Farizon Auto telah pun memperkenalkan trak konsep yang boleh beroperasi tanpa pemandu, yang digelar Farizon Homtruck Cabless. Ia direka seakan trak konsep Volvo Vera yang didedahkan pada 2018, menampilkan ‘kepala’ trak tanpa ruang pemandu.

    Menurut Farizon, model konsep Cabless ini masih menggunakan platform dan unit rangkaian kuasa trak konsep elektrik penuh Farizon Homtruck yang sudah pun didedahkan tahun lalu. Ia juga didakwa merupakan trak yang merintis teknologi pemanduan berautonomi Tahap 4 yang dibangunkan khas untuk operasi dengan persekitaran tetap dan dalam kawasan yang dihadkan.

    Untuk bergerak tanpa pemandu, Homtruck Cabless ini dilengkapi radar dan penderia yang direka untuk beroperasi di tempat dengan akses terhad serta pada laluan yag telah ditetapkan, seperti di dalam kawasan pelabuhan dan juga di hab-hab logistik.

    Ia juga diberikan ‘cengkerang’ perlindungan yang lebih kuat bagi membolehkan penderia mengimbas sepenuhnya kawasan bekerja ketika beroperasi.

    Tiada perincian lanjut diberikan berkenaan spesifikasi sebenar trak ini. Farizon menyatakan bahawa operasi ujian Homtruck ini bakal bermula di pelabuhan-pelabuhan di China bermula 2023, dan kemudian akan dikembangkan kepada perkhidmatan lain termasuk logistik, kawasan perlombongan dan sebagainya.

     
     
  • 16 stesen LRT Laluan KJ tidak beroperasi hingga 15 Nov – beri laluan Rapid Rail tangani isu teknikal

    16 stesen LRT Laluan KJ tidak beroperasi hingga 15 Nov – beri laluan Rapid Rail tangani isu teknikal

    Ekoran isu teknikal yang melibatkan sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang tidak stabil telah mengakibatkan gangguan LRT Laluan Kelana Jaya bermula pada 5 November 2022 mendorong Rapid Rail selaku pengendalinya untuk menggantung perkhidmatan bagi 16 stesen yang terlibat mulai hari ini (9 Nov) sehingga 15 November 2022.

    Menurut Rapid Rail yang mengumumkannya menerusi laman media sosial rasminya, 16 stesen LRT Laluan Kelana Jaya yang terlibat ialah Stesen Kelana Jaya, Stesen Taman Bahagia, Stesen Paramout, Stesen Asia Jaya, Stesen Taman Jaya, Stesen Universiti, Stesen Kerinchi, dan Stesen Bangsar.

    Selain itu, ia turut melibatkan Stesen Abdullah Hukum, Stesen KL Sentral, Stesen Pasar Seni, Stesen Masjid Jamek, Stesen Dang Wangi, Stesen Kampung Baru, Stesen KLCC dan Stesen Ampang Park.

    16 stesen LRT Laluan KJ tidak beroperasi hingga 15 Nov – beri laluan Rapid Rail tangani isu teknikal

    Rapid Rail berkata, semua pengguna perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya disarankan untuk menggunakan pengangkutan awam alternatif. Selain itu, perkhidmatan bas perantara percuma untuk LRT Laluan Kelana Jaya turut disediakan. Ia melibatkan bas tanpa henti secara dua hala untuk LRT Ara Damansara-LRT Pasar Seni, LRT Ara Damansara-LRT Kelana Jaya, dan LRT Pasar Seni-LRT Masjid Jamek. Manakala bas perantara percuma dua hala bagi LRT Kelana Jaya-LRT Pasar Seni dan LRT Masjid Jamek-LRT Damai akan berhenti di setiap stesen LRT lain yang dilalui.

    Dalam masa yang sama, Rapid Rail turut memaklumkan, terdapat 22 stesen LRT yang beroperasi dari jam 6 pagi hingga 11 malam iaitu ditamatkan awal waktu operasinya (juga sehingga 15 Nov ini). Ia melibatkan Stesen Gombak, Taman Melati, Wangsa Maju, Sri Rampai, Setiawangsa, Jelatek, Datuk Keramat dan Damai.

    Stesen lain yang turut terbabit ialah Lembah Subang, Ara Damansara, Glenmarie, Subang Jaya, SS 18, SS 15, USJ7, Taipan, Wawasan, USJ21, Alam Megah, Subang Alam dan Putra Heights.

    16 stesen LRT Laluan KJ tidak beroperasi hingga 15 Nov – beri laluan Rapid Rail tangani isu teknikal

    Semalam, dalam sidang media yang diadakan, Rapid Rail berkata, sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang tidak stabil telah mengakibatkan gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya bermula pada 5 November 2022. Ini telah menyebabkan tren terpaksa dipandu secara manual di antara Stesen KLCC dan Stesen Ampang Park serta tren berhenti lebih lama di platform. Ia juga telah mengganggu keseluruhan jadual perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya.

    “Isu tersebut yang mula dikesan pada tengahari Sabtu telah dapat diselesaikan pada awal pagi Ahad (6 November). Namun demikian, masalah yang sama telah berulang pada Isnin (7 November). Pihak Rapid Rail telah menggerakkan anggota Polis Bantuan dan kakitangan sokongan bagi mengawal keadaan serta penumpang di platform dan stesen-stesen yang terlibat.

    “Setelah berakhirnya waktu operasi, pasukan jurutera dan teknikal, dibantu oleh pihak Thales Group di Kanada selaku pengilang peralatan asal (OEM) telah menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar gangguan tersebut,” kata kenyataan yang dikeluarkan.

    Perkhidmatan itu kemudiannya dapat beroperasi semula pada awal pagi semalam sebelum kembali bermasalah pada waktu petang sehingga mendorong Rapid KL menggantung operasi Laluan Kelana Jaya sehingga 15 November ini.

     
     
  • Banjir kilat di beberapa kawasan di Shah Alam – seksyen 17, 24, 25 dan Padang Jawa terkesan

    Banjir kilat di beberapa kawasan di Shah Alam – seksyen 17, 24, 25 dan Padang Jawa terkesan

    Baru semalam kami mengeluarkan laporan MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan bagi seluruh kawasan di Semenanjung Malaysia dan beberapa kawasan di Sabah & Sarawak sehingga 11 November, dan hri ini telah terjadi banjir kilar di beberapa kawasan di Lembah Kelang.

    Antara yang terjejas adalah Shah Alam, termasuk Seksyen 17, 24, 25 dan Padang Jawa, seperti yang boleh anda lihat melalui muatan dalam media sosial – turut kami sertakan di bawah.

    Sekiranya anda bercadang mahu memandu ke mana-mana, periksa terlebih dahulu sama ada kawasan yang bakal anda lalui itu selamat ataupun tidak. Jika terkesan dengan banjir, tangguhkan dahulu perjalanan anda (jika boleh) atau cari laluan lain untuk mengelakkan sebarang masalah.

    Sebagai persediaan di musim tengkujuh ini juga, anda boleh mendapatkan perlindungan insurans untuk bencana alam. Ini amat penting bagi mengelakkan tanggungan besar yang perlu anda pikul sekiranya kenderaan terkesan atau rosak akibat banjir.

    Perlindungan special perils ini tidaklah terlalu mahal. Sebagai contoh, beberapa penyedia insurans utama Malaysia, termasuk AIA, AIG, Allianz, AXA, Etiqa, Kurnia, MPI Generali, MSIG, RHB, Takaful dan Tokio Marine memperlihatkan kadar yang dikenakan adalah antara 0.15% hingga 0.5% daripada jumlah keseluruhan perlindungan kenderaan anda.


     
     
  • LRT Laluan Kelana Jaya alami gangguan teknikal berulang – perkhidmatan tren dihentikan sementara

    LRT Laluan Kelana Jaya alami gangguan teknikal berulang – perkhidmatan tren dihentikan sementara

    Sekali lagi dilaporkan buat masa ini, LRT Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan mekanikal sehingga memaksa pengendalinya, Rapid Rail, terpaksa menghentikan perkhidmatan tren ini sehingga dimaklumkan. Menurut laman media sosial rasmi Rapid KL yang mula memaklumkan masalah ini berulang sejak dua jam yang lalu dengan menghebahkan tiada perkhidmatan tren di antara Stesen KLCC hingga ke Stesen Kelana Jaya. Malah penumpang dinasihatkan untuk mengambil mod pengangkutan alternatif.

    Kemudian, dimaklumkan pula bahawa perkhidmatan tren perantara diaktifkan antara Stesen Gombak – Stesen Damai dan Stesen Ara Damansara – Stesen Putra Heights. Di mana tren dari Stesen Putra Heights berpatah balik di Stesen Ara Damansara manakala tren dari Stesen Gombak pula terpaksa berpatah balik di Stesen Damai.

    Ekoran masalah ini menyulitkan para penumpang, Rapid Rail telah menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma untuk stesen LRT yang terlibat iaitu Stesen Lembah Subang–Stesen Pasar Seni dan Stesen Masjid Jamek–Stesen Damai. Di mana bas perantara terbabit akan berhenti di mana-mana stesen LRT di sepanjang laluan berkenaan. Dalam masa yang sama, Stesen LRT Kelana Jaya sehingga Stesen LRT Ampang Park telah ditutup kepada pengguna.

    Pagi tadi, Rapid Rail telah mengadakan sidang media mengenai isu gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya ini. Menurut syarikat ini, sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang tidak stabil telah mengakibatkan gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya bermula pada 5 November 2022. Ini telah menyebabkan tren terpaksa dipandu secara manual di antara Stesen KLCC dan Stesen Ampang Park serta tren berhenti lebih lama di platform. Ia juga telah mengganggu keseluruhan jadual perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya.

    “Isu tersebut yang mula dikesan pada tengahari Sabtu telah dapat diselesaikan pada awal pagi Ahad (6 November). Namun demikian, masalah yang sama telah berulang pada Isnin (7 November). Pihak Rapid Rail telah menggerakkan anggota Polis Bantuan dan kakitangan sokongan bagi mengawal keadaan serta penumpang di platform dan stesen-stesen yang terlibat.

    “Setelah berakhirnya waktu operasi, pasukan jurutera dan teknikal, dibantu oleh pihak Thales Group di Kanada selaku pengilang peralatan asal (OEM) telah menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar gangguan tersebut,” kata kenyataan yang dikeluarkan.

    Pada jam 5.30 pagi tadi, selepas kumpulan jurutera terbabit telah dapat menstabilkan sistem ATC itu, perkhidmatan tren telah dimulakan. Walau bagaimana pun, sekitar jam 4 petang tadi, masalah yang sama berulang kembali hingga memaksa Rapid Rail menghentikan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya.

    Menerusi Facebook Rapid KL, isu ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan para pengguna LRT. Malah ada yang mengatakan terpaksa mengeluarkan kos pengangkutan yang lebih tinggi termasuk menaiki perkhidmatan e-hailing untuk ke lokasi tertentu setelah berhadapan dengan isu LRT ini. Selain mengadu, perkara sebegini sangat membuang masa, bukan setakat terlewat sampai ke rumah, malah ada yang terpaksa menunggu di dalam tren yang sesak dalam tempoh waktu yang lama kerana tren tidak dapat atau lewat meneruskan perjalanan.

     
     
  • VinFast VF e34 EV terima penarafan 4-bintang dalam ujian ASEAN NCAP – tiada brek kecemasan automatik

    VinFast VF e34 EV terima penarafan 4-bintang dalam ujian ASEAN NCAP – tiada brek kecemasan automatik

    Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) telah menganugerahkan penarafan empat-bintang untuk kenderaan elektrik penuh (EV) buatan Vietnam, Vinfast VF e34. SUV EV ini juga merupakan model pertama yang diuji dengan protokol baharu ASEAN NCAP untuk 2021-2025, berbanding model sebelum ini iaitu Fadil, Lux SA2.0 dan Lux A2.0 yang diuji dengan protokol 2017-2020.

    Dengan skor terkumpul 78.99 mata, VF e34 tidak menerima penarafan lima bintang penuh. Namun ujian ASEAN NCAP menunjukkan model tersebut berjaya menunjukkan prestasi yang baik dalam perlindungan penumpang dewasa (35.92 mata daripada 40 mata), perlindungan penumpang kanak-kanak ( 17.71 mata daripada 20 mata) dan ujian keselamatan penunggang motosikal (12.50 mata daripada 20 mata) yang dijalankan di Pusat Teknologi dan Penyelidikan Automotif China (CATARC).

    EV dalam versi pemanduan sebelah kiri ini juga memperoleh 12.86 daripada 20 mata dalam kategori bantuan keselamatan, dengan sistem standard yang dipasang termasuk amaran keluar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan lampu tinggi automatik. VF e34 ini turut dilengkapi dengan sistem e-Call (untuk membuat panggilan kecemasan) dan pemantau titik buta yang penting di Vietnam kerana negara tersebut mempunyai bilangan motosikal berdaftar tertinggi di jalan raya di rantau ASEAN.

    VinFast VF e34 EV terima penarafan 4-bintang dalam ujian ASEAN NCAP – tiada brek kecemasan automatik

    VF e34 dijual pada harga VND690,000 juta (RM131,445) di Vietnam dan menampilkan motor elektrik tunggal yang dipasang di gandar hadapan, menghasilkan kuasa 150 PS (148 hp atau 110 kW) dan tork maksima 242 Nm. Ia menerima kuasa elektrik dari bateri lithium-ion 42-kWj, memberikan jarak gerak sekitar 285 km berdasarkan kitaran NEDC.

    Ia boleh dicas semula menerusi sistem AC 7.4 kW dengan penghubung Type 2, membolehkan ia dicas penuh dalam masa kurang daripada lima jam. Sistem pengecas pantas DC 250 kW dengan penghubung CCS2 juga boleh digunakan, membolehkan cas untuk jarak 180 km dikumpul dalam masa 18 minit.

    Selain dari sistem keselamatan aktif yang dinyatakan di atas, EV lima tempat duduk ini juga dilengkapi dengan enam beg udara, kamera 360 darjah, sistem amaran buka pintu dan pelbagai sistem keselamatan pasif termasuk brek ABS, EBD dan bantuan brek, ESC, traction control dan bantuan mula mendaki.

    Walau bagaimanapun, ia tidak disertakan dengan brek kecemasan automatik (AEB) dan juga bantuan kekal lorong – ini yang mungkin menyebabkan ia hanya menerima skor tidak sampai 65% dalam kategori bantuan keselamatan.

    Perincian lain yang diberikan termasuk rim aloi 18 inci, lampu depan dan lampu belakang LED, paparan instrumen digital dengan skrin tujuh inci, skrin sesentuh infotainmen format potret 10-inci dengan Android Auto dan Apple CarPlay, pendingin hawa manual dengan corong kabin belakang serta pemantau tekanan tayar.

     
     
  • Tram mampu dilaksana di Melaka jika BN menang 3 kerusi dalam Pilihanraya Umum ke-15 – Wee Ka Siong

    Tram mampu dilaksana di Melaka jika BN menang 3 kerusi dalam Pilihanraya Umum ke-15 – Wee Ka Siong

    Seperti yang diketahui, Bandar Melaka antara bandar yang paling sesak di Malaysia kerana ia sering dikunjungi pelancong-pelancong dari luar, dan pengangkutan awam seperti tren mungkin dapat mengatasi masalah ini.

    Namun dalam kempen sempena Pilihanraya Umum ke-15, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa perkhidmatan Tram (tren dengan landasan di atas jalan raya) mungkin boleh diwujudkan di Melaka, lapor Bernama.

    Walau bagaimanapun, untuk merealisasikan tram di serta rancangan untuk memajukan pengangkutan awam lain di Melaka hanya dapat direalisasikan jika wujud kestabilan dan keserasian di antara kerajaan Persekutuan dengan negeri, katanya.

    Dalam kata lain, Ka Siong menyatakan bahawa keserasian itu hanya akan wujud jika calon muka baharu yang bertanding atas tiket BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diberi mandat oleh pengundi di parlimen Tangga Batu, Alor Gajah dan Kota Melaka.

    “Ini (memajukan pengangkutan awam) satu cadangan daripada kerajaan Melaka dan sebagai caretaker kerajaan berkaitan pengangkutan, hasrat kerajaan Melaka ini kita akan diteruskan kerana ia sesuatu yang telah dibincangkan.

    “Kita perlukan mandat yang lebih besar untuk mendapatkan kepercayaan pengundi agar perkara ini dapat direncanakan dengan lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas bertemu pengundi di sekitar pasar malam Lereh dan Tokong Hock Seng Keng di Tanjung Kling, Melaka malam tadi.

    Ka Siong turut menyatakan bahawa, program transformasi perkhidmatan bas henti-henti juga akan direncanakan semula selain memperhalusi projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) demi kebaikan rakyat Melaka.

    “Sebab itulah penting untuk rakyat guna undi dan beri sokongan kepada parti yang sama kerana perancangan agenda pembangunan yang baik adalah berlandaskan keserasian antara kerajaan pusat dan negeri memandangkan ini menjamin kesinambungan dasar dan hala tuju bersama,” katanya.

     
     
  • Porsche 718 Cayman dan 718 Boxster Style Edition

    Porsche 718 Cayman dan 718 Boxster Style Edition

    Porsche telah mendedahkan versi Style Edition untuk model Porsche 718 Boxster dan 718 Cayman,
    dengan ciri spesifik termasuk roda 20-inci dari 718 Spyder dengan Porsche crest pada penutup hab roda. Style Edition ini boleh dibezakan dengan corong paip hitam dan perkataan Porsche dalam rona perak berkilat pada bahagian belakang. Khas untuk 718 Boxster, tingkap sisinya juga tertera nama model ini dengan corak timbul.

    718 Boxster Style Edition yang anda lihat menerusi foto ini diberikan warna luaran Ruby Star Neo, di mana warna Ruby Star ini pertama kali dilihat pada Porsche 911 Carrera RS generasi 964.

    Di dalamnya, Style Edition menerima upholstery kulit hitam dengan jahitan kontras Chalk, ambang pintu keluli tahan karat iluminasi dan Porsche crest pada bahagian perehat kepala. Kelengkap standard yang diberikan untuk 718 Boxster dan 718 Cayman Style Edition termasuklah ParkAssist, tempat duduk dan roda stereng dengan fungsi pemanas, jahitan kontras Chalk untuk alas lantai dan Power Steering Plus.

    Kedua-dua 718 Cayman dan 718 Boxster Style Editions dibangunkan dari model asas 718 Cayman dan 718 Boxster dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol yang mampu memberikan kuasa hingga 300 PS dan tork 380 Nm. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan secara standard, sementara kotak gear PDK tujuh-kelajuan diberikan secara pilihan. Kedua-dua model ini mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.1 saat (4.7 saat dengan PDK) dan kelajuan maksimum mampu dicapai pada 275 km/j.

     
     
  • Yamaha Tracer 7 dan 7 GT dipertingkat – dapat skrin TFT lima inci, cakera brek lebih besar di hadapan

    Yamaha Tracer 7 dan 7 GT dipertingkat – dapat skrin TFT lima inci, cakera brek lebih besar di hadapan

    Selain Tracer 9 GT dan Tracer 9 GT+, Yamaha juga telah memperbaharui model touring di bawahnya, iaitu Tracer 7 dan Tracer GT. Sebagai permulaan, grafiknya telah diubah, sementara panel badan masih lagi sama seperti sebelum ini.

    Peningkatan paling utama bagi kedua-dua Tracer 7 adalah skrin TFT lima inci berwarna penuh. Ia boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi MyRide, dan paparannya disediakan dalam dua pilihan mod iaitu Touring dan Sport.

    Bagi memudahkan kawalan pada skrin ini, suis baru telah diletakkan pada bahagian pemegang, sementara cakera brek hadapan turut dibesarkan menjadi 298 mm (sebelum ini 282 mm), dan suspensi boleh laras pada model ini telah ditala semula.

    Beberapa lagi naik taraf diberikan kepada hanya kepada Tracer 7 GT, dan ini termasuk penghadang angin hadapan yang lebih tinggi dan lebar, serta tempat duduk yang menggunakan balutan bertekstur serta span berbeza kepadatan mengikut bahagian tertentu. Beg barangan tepi yang diberikan secara terus kepada Tracer 7 GT masih berkapasiti 20 liter.

    Bahagian lain Tracer 7 ini semuanya masih sama, bermula dengan enjin, yang menggunakan unit dua silinder 689 cc, bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 73.7 hp pada 8,750 rpm dan 67 Nm tork pada 6,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 17 liter dan motosikal ini juga datang dengan lampu utama LED projector serta rim 17 inci.

    GALERI: Yamaha Tracer 7 2023

    GALERI: Yamaha Tracer 7 GT 2023

     
     
  • Japan Car of the Year 2022/23 — 11 calon tersenarai

    Japan Car of the Year 2022/23 — 11 calon tersenarai

    Senarai teratas bagi anugerah Japan Car of the Year 2022/23 telah didedahkan, dan nampak gayanya saigan yang ada begitu sengit, dengan barisan kereta yang menawarkan nilai berbaloi untuk pasaran di Jepun. Walaupun ia senarai 10 Teratas, ia bagaimanapun memuatkan 11 model kenderaan.

    Ini disebabkan ada model kereta yang menerima jumlah undian yang sama, dan disebabkan itu kedua-duanya diterima masuk ke dalam senarai berkenaan. Semua kereta terbabit akan dinilai oleh barisan panel yang terdiri daripada 60 orang, dari latar belakang wartawan automotif hinggalah kepada pakar industri. Pemenang anugerah ini akan diumumkan pada 8 Disember 2022.

    Senarai “10 Teratas” bagi Japan Car of the Year 2022/2023 adalah seperti berikut:

    Hyundai Ioniq 5
    Honda Civic e:HEV / Civic Type R
    Land Rover Range Rover
    BMW iX
    Mazda CX-60 e-Skyactiv D
    Nissan Fairlady Z
    Nissan X-Trail
    Suzuki Alto
    Toyota Crown
    Nissan Sakura / Mitsubishi eK X EV
    Renault Arkana

    Selain daripada anugerah utama ini, ada juga anugerah lain yang dipertandingkan, seperti Import Car of the Year, Design Car of the Year, Technology Car of the Year, Performance Car of the Year dan Kei Car of the Year juga turut akan diumumkan pemenangnya kelak. Tahun lalu, Japan Car of the Year 2021/22 diberikan kepada Nissan Note e-Power.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025