Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • SYM Joyride 300 dan Joyride 300 16 diperkenalkan

    SYM Joyride 300 dan Joyride 300 16 diperkenalkan

    Satu lagi model baru yang didedahkan oleh pengeluar dari Taiwan, iaitu SYM di pameran EICMA adalah Joyride 300. Model ini datang dalam dua versi, iaitu yang menggunakan rim 15 inci di hadapan dan 16 inci di hadapan.

    Penggerak yang digunakan untuk model ini adalah enjin satu silinder penyejukan cecair OHC 278.3 cc, mampu menghasilkan kuasa 25.4 hp pada 8,000 rpm dan 26 Nm tork pada 6,000 rpm. Jika di Eropah, ia memberi saingan kepada pelbagai model dalam segmennya termasuklah XMax yang datang dalam kapasiti enjin 300. Di negara kita, kebanyakan model segmen ini datang dalam kapasiti enjin 250 cc.

    Di bawah tempat duduknya, Joyride 300 menyediakan ruang yang boleh menempatkan dua biji helmet, sementara penghadang angin hadapan pula boleh dilaras secara manual mengikut kesesuaian penunggang. Sebagai tambahan, di bawah pemegang juga terdapat dua lagi ruang barangan kecil dan disertakan dengan soket pengecas USB.

    Suspensi menggunakan padanan biasa fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak yang boleh dilaras untuk pra beban di belakang. Brek terdiri daripada sistem cakera di hadapan dan belakang, dengan saiz masing-masing 260 mm dan 240 mm, dan datang terus dengan ABS.

    Sistem pemula tanpa kunci juga diberikan standard pada skuter ini, dan tinggi tempat duduknya adalah 770 mm bagi versi rim 15 inci. Model yang menggunakan rim 16 inci terletak lebih tinggi, menjadikan tinggi tempat duduknya 778 mm. Tangki bahan api berkapasiti 11.5 liter.

     
     
  • Suzuki Alto 2022 buat penampilan sulung di Jepun

    Suzuki Alto 2022 buat penampilan sulung di Jepun

    Suzuki Alto generasi kelapan sudah diperkenalkan sejak 2014 dan selepas ini bakal digantikan oleh model terbaru generasi kesembilannya. Didedahkan di Jepun baru-baru ini, kei car ini menampilkan rekaan yang segar dan akan ditawarkan dengan sistem janaan mild hybrid.

    Alto terbaru ini kekal dengan bentuk berkotak yang sama seperti sebelumnya, walaupun rekaan tersebut telah di “lembut”kan sedikit lagi dengan bucu yang lebih melengkung. Lampu utama trapezoidal adalah contoh terbaik untuk pendekatan ini, dengan setiap kluster diberikan perincian yang lebih.

    Wajah depan baru ini pula tida lagi empat inlet menegak dan digantikan dengan bukaan kecil di bawah logo Suzuki, dengan jalur krom kecil. Bahagian intake bawah pula menghiasi rekaan bampar baru yang ada, menampilkan bentuk bersegi dalam warna badan.

    Suzuki Alto 2022 buat penampilan sulung di Jepun

    Di sisi, lengkung tayar juga diperkemas dan lebih ringkas, dengan bahagian bawah pintu juga dihadirkan sedikit lekuk. Kedudukan pemegang pintu belakang kini dialihkan lebih rendah berbanding sebelumnya, untuk disesuaikan dengan profil baru tingkap belakangnya — yang di belakang lebih besar dan kurang agresif.

    Di belakang juga ada perubahan, dengan bamparnya membawakan imej yang sama dengan yang di depan. Lebih ketara adalah lampu belakang, yang kini dalam posisi lebih konvensional dan tidak terlalu rendah seperti model generasi kelapan.

    Ruang dalaman turut diberi kemaskini sedikit. Papan pemuka misalnya kini berlapis dan diceriakan dengan warna. Stereng juga baru, dengan panel kluster instrumen yang lebih bergaya, dan ada juga ruang meletak cawan di atas glove box. Tataletak umum selebihnya tidak jauh berbeza daripada yang sebelumnya.

    Suzuki bagaimanapun masih belum mengeluarkan perinciannya, tetapi oleh kerana Alto berada dalam klasifikasi kei car, ia akan dikuasakan oleh enjin 660 cc tiga-silinder petrol. Baru untuk model generasi kesembilan ini adalah penerapan sistem mild hybrid yang mengandungi generator penghidup bersepadu (ISG) dan bateri lithium-ion kecil.

    Seperti model sebelumnya, pakej keselamatan Safety Support juga akan ditawarkan, dengan ciri seperti AEB, bantuan lampu tinggi dan amaran penukaran lorong, sekadar beberapa contoh.

     
     
  • SYM Husky ADV diperkenal – skuter adventure 150 cc

    SYM Husky ADV diperkenal – skuter adventure 150 cc

    Melihat kepada populariti skuter adventure yang semakin meningkat terutamanya di Asia, SYM juga telah memperkenalkan sebuah model sebegitu melalui Husky ADV. Deengan kapasiti enjin 150 cc, ia memberikan saingan terus kepada model seperti Honda ADV 150 dan juga WMoto Xtreme 150i.

    Menariknya pada skuter ini, ia datang dengan tangki bahan api 15 liter, yang boleh dikira agak besar sehingga melebihi beberapa model skuter maxi. Selain mempunyai konsep rekaan seperti pesaingnya, Husky ADV juga menerapkan gaya inspirasi daripada motosikal adventure touring yang lebih besar dengan banyak lekuk-lekuk tajam dan ranggi.

    Penggeraknya adalah enjin satu silinder suntikan bahan api SOHC penyejukan cecair 150 cc bersama transmisi automatik CVT, menghasilkan kuasa 14.4 hp pada 7,500 rpm dan 14.5 Nm tork pada 6,000 rpm. Jumlah kuasanya hampir menyamai ADV 150 yang mencatat 14.6 hp dan 13.8 Nm tork.

    Semua lampu pada Husky ADV menggunakan unit LED, termasuklah DRL manakala panel instrumen pula menggunakan unit TFT-LCD yang datang dengan fungsi melaras tahap terang secara automatik mengikut keadaan persekitaran. Suspensi menggunakan fork teleskopik di hadpaan dan monoshock di belakang.

    Sistem brek ABS diberikan standard, dengan bahagian hadapan mempunyai cakera brek 260 mm manakala di belakang menggunakan unit 233 mm. Kedua-dua rim Husky ADV adalah bersaiz 13 inci dan ia dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang. Tinggi tempat duduk adalah 780 mm.

     
     
  • Mitsubishi ASX generasi baru bakal muncul pada 2023

    Mitsubishi ASX generasi baru bakal muncul pada 2023

    Mitsubishi ASX yang ada ketika ini sudah berada dalam pasaran sejak 2009 dan kerap diberi kemaskini untuk menjadikannya relevan. Apa yang lebih penting, sudah sampai masa untuk model gantiannya diperkenalkan — tapi itu tidak akan berlaku hingga tahun 2023 untuk pasaran menerima ASX serba baru.

    Hal ini dimaklumkan oleh Pengurus Perhubungan Awam dan Pemasaran Mitsubishi Czechia, Marek Vodicka yang bercakap kepada media Republik Czech Auto.cz baru-baru ini. “Sangat positif, dan kami sudah tahu yang ASX baru akan muncul pada awal 2023,” ujarnya.

    Menurut beliau, produksi ASX di negara itu telah dihentikan dan model berkenaan tidak lagi disenaraikan dalam laman rasmi Mitsubishi di sana. SUV kompak berkenaan masih lagi dijual di pasaran lain seperti UK, Sepanyol, Amerika Syarikat (dikenali sebagai Outlander Sport) dan Jepun. Sebelum ini ASX juga ada dijual di Malaysia.

    Masih belum ada perincian tentang ASX generasi baru ini didedahkan, tetapi ada laporan mencadangkan ia akan menggunakan asas daripada model Renault sedia ada. Sebelum ini, Mitsubishi mengesahkan rancangan untuk mendapatkan dua model daripada Renault untuk pasaran Eropah, yang akan menggunakan jenama Mitsubishi dan dijual di pasaran terpilih di rantau itu pada 2023.

    Renault Captur menjadi calon paling dekat untuk menggantikan ASX, sementara Clio dikatakan bakal menjadi asas kepada Mirage baru, yang kekal dala, generasinya yang keenam sejak 2011. Jika ramalan ini benar, ASX baru nanti akan jadi lebih kecil berbanding yang lama, membolehkannya diposisikan di bawah model Eclipse Cross.

     
     
  • Haval H6 PHEV buat penampilan sulung global di Thai; 1.5L Turbo, 326 hp/530 Nm, jarak gerak elektrik 201 km

    Haval H6 PHEV buat penampilan sulung global di Thai; 1.5L Turbo, 326 hp/530 Nm, jarak gerak elektrik 201 km

    Nampaknya usaha Great Wall Motors (GWM) untuk mengukuhkan tapak mereka di Thailand bukan main-main – ini dia, Haval H6 Plug-in Hybrid baru sahaja didedahkan di peringkat global, dan ia bukan ditunjuk kepada rakyat China terlebih dahulu, sebaliknya membuat penampilan sulung di Thai.

    Model ini menampilkan teknologi yang agak luar biasa. Ia masih dijana oleh enjin 1.5 liter turbo yang sama dengan Haval H6 Hybrid biasa yang menghasilkan 167 hp dan tork maksima 285 Nm. Haval belum mendedahkan spesifikasi untuk motor elektrik yang digunakan, namun ia mampu untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 326 hp dan tork maksima 530 Nm! Angka tersebut jelas 86 hp lebih berkuasa dari versi Hybrid biasa.

    Kuasa dihantar sepenuhnya ke roda hadapan menerusi kotak gear yang dihasilkan khas untuk sistem hibrid ini yang digelar sebagai DHT. Transmisi tersebut menggunakan dua set gear planetary bagi mengimbangi operasi antara enjin petrol dan motor elektrik.

    Haval H6 PHEV buat penampilan sulung global di Thai; 1.5L Turbo, 326 hp/530 Nm, jarak gerak elektrik 201 km

    Satu lagi perkara yang agak luar biasa pada Haval H6 Plug-in Hybrid ini adalah jarak gerak elektrik sepenuhnya yang dapat ditawarkan. SUV ini boleh bergerak sepenuhnya dengan kuasa elektrik tanpa menghidupkan enjin petrol sejauh 201 km! Ini bukan angka yang didakwa sendiri oleh GWM, tetapi angka ujian kitaran NEDC.

    Walau bagaimanapun, spesifikasi bateri lithium-ion yang digunakan pada H6 Plug-in Hybrid ini masih belum diumumkan. Namun ada kemungkinan bahawa ia dibekalkan dengan bateri 41.8 kWj sama seperti pada Wey Coffee 01 (Wey merupakan divisi mewah GWM) pasaran Eropah yang lebih besar dari bateri-bateri biasa digunakan pada sebuah model PHEV.

    Haval H6 PHEV buat penampilan sulung global di Thai; 1.5L Turbo, 326 hp/530 Nm, jarak gerak elektrik 201 km

    Wey Coffee 01 turut diasaskan dari platform Lemon GWM sama seperti H6. Namun ia dibekalkan dengan dua motor elektrik untuk menghasilkan kuasa lebih besar bersama sistem pacuan semua roda, membuatkan jarak gerak elektrik penuhnya kurang iaitu 150 km berdasarkan ujian kitaran WLTP.

    Secara keseluruhan, rupa H6 Plug-in Hybrid ini masih sama seperti H6 Hybrid dengan menampilkan paparan berdiri sendiri pada papan pemuka serta rim aloi bersaiz 19-inci. Tetapi ia dibezakan dengan berberapa perincian termasuk gril hadapan yang menampilkan rekaan lebih garang.

     
     
  • Harga minyak 2-8 Dis – RON 97 turun 3 sen seliter

    Harga minyak 2-8 Dis – RON 97 turun 3 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 2 hingga 8 Disember 2021, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan penurunan harga bagi petrol RON 97 iaitu sebanyak 3 sen seliter, kini menjadi RM3.02 seliter berbanding RM3.05 seliter pada minggu sebelumnya.

    Manakala harga runcit bagi petrol RON 95 masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Harga tersebut tidak berubah sejak Februari lalu dan telah mencapai harga siling.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 juga masih kekal berharga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 8 Disember 2021.

     
     
  • Samsung cadang bekalkan cip 5G yang lebih berkuasa kepada Volkswagen, ganti bekalan dari LG Electronics

    Samsung cadang bekalkan cip 5G yang lebih berkuasa kepada Volkswagen, ganti bekalan dari LG Electronics

    Samsung Electronics baru-baru ini telah mendedahkan siri cip berteknologi tinggi baharu untuk industri automotif, yang mampu untuk menguruskan tugas-tugas pengkomputeran dan elektrikal yang lebih berat, seperti yang diperlukan oleh sistem-sistem infotainmen terkini.

    Langkah yang diambil oleh Samsung ini merupakan sebahagian usaha mereka bagi memenuhi permintaan pasaran yang sedang berkembang. Malah menurut laporan Reuters, syarikat elektronik gergasi tersebut kini sedang berusaha untuk membekalkan cip baharu berkenaan kepada Volkswagen, yang kini menerima bekalan cip dari saingan senegara Samsung iaitu LG Electronics.

    Cip baharu itu dibangunkan oleh divisi rekaan cip logik Samsung iaitu LSI System. Antara kebolehan cip baharu tersebut termasuk menampilkan hubungan 5G untuk memuat turun data dengan jumlah yang besar, seperti streaming video berdefinasi tinggi ketika dalam perjalanan. Ia juga memperkenalkan cip pengurusan kuasa bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil.

    Cip ketiga adalah pemprosses sistem infotainmen yang cukup berkuasa untuk mengoperasikan empat paparan dan pelbagai kamera secara serentak. Cip tersebut dilaporkan telah pun dipadankan kepada komputer prestasi tinggi Volkswagen yang digelar In Car Application Server (ICAS) 3.1, yang dibangunkan oleh divisi komponen kenderaan LG Electronics, kata Samsung.

    Samsung dan LG Electronics kini sedang mengikut rapat perkembangan kenderaan elektrifikasi pintar global, yang mewujudkan lebih banyak peluang untuk menjual cip dan komponen-komponen termaju yang lain, kata penganalisis.

     
     
  • Kereta elektrik Toyota lebih tumpu aspek mampu milik, bukan model mewah dengan bateri berkapasiti besar

    Kereta elektrik Toyota lebih tumpu aspek mampu milik, bukan model mewah dengan bateri berkapasiti besar

    Walaupun dilihat lebih berminat terhadap teknologi hibrid dan hidrogen dalam misi neutral karbonnya, Toyota tidak meninggalkan terus pembangunan kereta elektrik penuh. Gergasi automotif Jepun tersebut telah pun mendedahkan model konsep EV Toyota bZ4X pada April lalu, di mana ia akan mula diproduksi secara massa dan masuk ke pelbagai pasaran bermula tahun hadapan.

    Bukan itu sahaja, malah ia akan diikuti oleh enam lagi model EV bZ (beyond Zero) lain yang akan dilancarkan menjelang 2025. Pelbagai maklumat berkenaan model bZ4X telah didedahkan sebelum ini, namun perincian-perincian lebih spesifik berkenaan model-model elektrik penuh Toyota yang lain masih belum didedahkan.

    Walau bagaimanapun, dalam satu temuramah bersama Green Car Reports, naib presiden kumpulan perancang produk dan strategi Toyota Motor North America (TMNA), Cooper Ericksen ada mendedahkan halatuju model-model elektrik penuh yang akan diperkenalkan selepas ini.

    Menurut Ericksen, Toyota tidak akan memfokuskan kepada model-model EV premium dengan harga tinggi serta jarak gerak yang jauh, sebaliknya ia akan menumpukan aspek mampu milik, ketahanan dan juga tanggungjawab terhadap alam sekitar bagi memastikan kereta-kereta elektrik keluarannya mampu kekal kompetitif dalam pasaran – kualiti-kualiti sama yang menyebabkan Prius berjaya dalam pasaran sebelum ini.

    Kereta elektrik Toyota lebih tumpu aspek mampu milik, bukan model mewah dengan bateri berkapasiti besar

    Walau bagaimanapun, divisi mewah Toyota iaitu Lexus mungkin akan menawarkan EV dengan jarak gerak jauh sekitar 644 km (400 batu) hingga 805 km (500 batu) menggunakan pek bateri lebih besar.

    Ericksen menyatakan bahawa Toyota melihat faktor mampu milik adalah sama penting dengan faktor mesra alam. Ini kerana sekiranya kereta EV ini boleh dijual dalam jumlah yang banyak, barulah ia mendatangkan impak untuk alam sekitar, berbanding hanya golongan tertentu sahaja yang mampu memilikinya sementara yang lain masih menggunakan enjin pembakaran dalaman konvensional.

    “‘Tidak ada apa yang akan terjadi sehingga anda menjual kereta’ merupakan ekspresi yang kami ada dalam peringkat dalaman,” kata Ericksen. “Untuk mendapatkan impak positif terhadap alam sekitar, anda terlebih dahulu perlu menjual kereta dalam jumlah yang banyak…jadi adalah sangat penting untuk titik harga seperti itu bagi membolehkan kami membuat model perniagaan sebenar darinya,” tambahnya lagi.

    Toyota kini sudahpun komited terhadap banyak sumber untuk membangunkan bateri dengan sasaran bagi mengurangkan kos (sehingga 50% bermula dengan bZ4X), yang mana, hasilnya akan menurunkan harga kereta elektrik. Model-model EV tersebut akan masuk ke pasaran sebagai model berpatutan dengan jarak gerak lebih dekat, dan bukan dijadikan sebagai model-model paling mahal. Toyota mensasarkan untuk menjual berjuta-juta EV menjelang akhir dekad ini.

    Kereta elektrik Toyota lebih tumpu aspek mampu milik, bukan model mewah dengan bateri berkapasiti besar

    Untuk aspek jarak gerak, Toyota tidak akan mensasarkan untuk mendapatkan angka-angka yang besar seperti banyak yang dikejar oleh pengeluar-pengeluar EV buat masa sekarang. “Asasnya ialah, sepanjang masa, kami lihat jarak gerak EV ini sama seperti kuasa kuda. Orang yang kaya dan mampu untuk membeli kereta yang sangat mahal mampu untuk mendapatkan lebih kuasa kuda,” kata Ericksen.

    “Bateri adalah mahal, dan lebih besar bateri yang anda hasilkan, ia akan menjadi lebih mahal. Jadi, ini helahnya, saya rasa dalam jangka masa panjang, ia bukan hanya berkenaan jarak, jarak, jarak; helahnya adalah untuk memadankan jarak gerak dan titik harga berdasarkan apa yang pelanggan mampu. Dan apabila orang ramai semakin terbiasa menggunakan EV, saya rasa kebimbangan terhadap jarak gerak akan hilang,” tambahnya lagi.

    Ericksen terus menerus menyatakan bahawa banyak pembeli EV akan mula faham bahawa mereka tidak memerlukan jarak gerak sejauh 482 km (300 batu) atau 644 km (400 batu) atau lebih, dan ia sudah tentu tidak sekiranya kereta tersebut merupakan kereta kedua atau ketiga yang mereka beli.

    Pendekatan “cukup-cukup” ini perlu dilakukan dengan betul, kerana mengikut laporan penyelidikan yang dikeluarkan oleh J.D Power, EV dengan jarak gerak lebih dari 322 km (200 batu) adalah lebih memuaskan berbanding model-model dengan jarak gerak lebih rendah. Menurut Toyota, bZ4X akan menawarkan bateri lithium ion 71.4-kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 402 km (250 batu).

    Kereta elektrik Toyota lebih tumpu aspek mampu milik, bukan model mewah dengan bateri berkapasiti besar

    “Kami sedang cuba untuk menawarkan bateri dengan saiz yang betul berdasarkan penggunaan pelanggan, bagi mendapatkan titk harga yang betul, ketenangan minda yang betul. Dan kami rasa semua sudah ada pada bZ4X sekarang. Adakah akan ada pelanggan yang mahukan lebih jarak gerak dalam tempoh lebih lama? Sudah tentu,” kata Ericksen lagi.

    Beliau turut menerangkan bahawa jarak gerak yang lebih jauh dari 644 km (400 batu) akan menjadi sasaran untuk model-model mewah, di mana Lexus telah pun menayangkannya menerusi model konsep LF-Z Electrified. Kereta tersebut menampilkan bateri lithium-ion 90 kWj bagi mencapai jarak gerak jauh, namun bateri sebesar itu memerlukan lebih sel yang menyebabkan tapak karbon lebih besar bagi menghasilkannya.

    “Tetapi bagi saya nombor-nombor lebih rendah adalah lebih menarik perhatian. Apa nombor paling rendah yang boleh anda letak bagi mencapai tahap mampu milik dan berdasarkan penggunaan pelanggan? Saya rasa kita sudah ada contoh dalam pasaran dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini dan sebagainya yang boleh kami belajar daripadanya. Ini merupakan sesuatu yang perlu kami teroka kerana ia mempunyai impak besar terhadap sumber,” kata Ericksen.

    Kereta elektrik Toyota lebih tumpu aspek mampu milik, bukan model mewah dengan bateri berkapasiti besar

    Beliau juga menegaskan bahawa untuk meyakinkan pengguna-pengguna EV bahawa mereka perlu membayar lebih untuk bateri lebih besar yang sebenarnya kapasiti tersebut jarang digunakan merupakan cara yang salah, serta pertimbangan perlu dibuat berdasarkan sumber atau bahan mentah yang digunakan.

    “Kami perlu benar-benar berhati-hati, anda tahu, jika kami menghasilkan EV dengan bateri 200-kWj, dan anda boleh buat empat EV untuk jumlah yang sama…kami perlu fikirkan perkara tersebut sebagai masyarakat dan sebagai industri bagi mengenal pasti apa yang terbaik untuk pelanggan dan alam sekitar,” jelasnya.

    Toyota turut menyatakan bahawa model-mode EV binaannya dihasilkan dari pengetahuan yang telah mereka dapat ketika membangunkan teknologi hibrid. Ia termasuk ketahanan dan jangka hayat bateri, dengan bateri bZ4X didakwa mampu untuk mengekalkan kapasitinya sehingga 90% selepas 10 tahun. Malah staf-staf servis Toyota yang biasa dengan penyelenggaraan model-model hibrid ini juga tidak mempunyai masalah dengan sistem voltan tinggi bagi memberikan khidmat kepada pelanggan.

    GALERI: Toyota bZ4X

     
     
  • Polis Johor tawar diskaun 50% bagi saman trafik hingga 15 Dis – 10.07j saman tertunggak sejak 2000

    Polis Johor tawar diskaun 50% bagi saman trafik hingga 15 Dis – 10.07j saman tertunggak sejak 2000

    Bagi anda yang berada di Johor dan memiliki saman trafik tertunggak, inilah masa yang paling tepat untuk anda melangsaikan pembayaran saman terbabit. Sempena dengan Program Ketua Polis Johor Bersama Masyarakat yang berlangsung mulai hari ini sehingga 15 Disember 2021, diskaun sebanyak 50% bagi saman terpilih kepada mereka yang membuat pembayaran melalui kaunter trafik di semua daerah negeri ini.

    Menurut pengumuman yang turut dibuat menerusi Facebook rasmi Polis Johor, semua saman layak mendapat diskaun yang ditawarkan kecuali saman lampu isyarat merah, menggunakan lorong kecemasan, memotong secara berbahaya, memotong di garisan berkembar, dan terbabit dalam kemalangan. Semua saman tersebut adalah untuk kesalahan yang dilakukan pada tahun 2021.

    Selain itu, kesalahan trafik lain yang dikecualikan dari diskaun ini termasuklah saman non compaund, kesalahan yang melibatkan perbicaraan di mahkamah, kemalangan yang melibatkan lori, dan ubahsuai ekzos.

    Polis Johor tawar diskaun 50% bagi saman trafik hingga 15 Dis – 10.07j saman tertunggak sejak 2000

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Johor Superintendan M Kumarasan, berdasarkan perangkaan, sebanyak 10.07 juta saman tertunggak bagi Kontinjen Johor, meliputi 7.15 juta saman Pol 170A dan 2.91 juta saman Pol 257 dengan 72% masih belum dijelaskan bagi tempoh sejak 2000 hingga hari ini, laporan Harian Metro.

    “Sehingga kini, sebanyak 3.75 juta saman yang sudah selesai dibayar, selain tawaran ini juga memberi ruang kepada pengguna jalan raya bagi menyelesaikan saman lalu lintas dan memahami kekangan kewangan,” katanya yang turut menasihati orang ramai yang ingin berurusan di kaunter saman trafik agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

     
     
  • Suzuki sasar lancar EV mini di Jepun menjelang 2025

    Suzuki sasar lancar EV mini di Jepun menjelang 2025

    Suzuki telah mendedahkan rancangannya untuk memperkenalkan kereta mini elektrik di Jepun menjelang tahun 2025, dan ingin menetapkan harganya sekitar satu juta yen (RM37,000) selepas subsidi kerajaan. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh presiden Suzuki Toshihiro Suzuki pada minggu lalu, laporan Nikkei Asia.

    Bercakap pada pemberita, beliau berkata pengeluar kereta itu sedang berusaha untuk mengejar pesaing, dan percaya dengan memperkenalkan model EV yang harganya separuh daripada model yang dikeluarkan oleh para pesaing boleh membantu usaha untuk menjayakan perancangan tersebut. Pesaing termasuk Nissan dan Mitsubihsi, yang bekerjasama di bawah usahasama NKMV, merancang untuk memperkenalkan model kereta mini elektrik di Jepun pada tahun hadapan, tetapi dengan harga sekitar dua juta yen (RM74,000).

    “Saya tidak nafikan yang kami agak terbelakang berbanding pesaing, tetapi pembangunan dan pembuatan infrastruktur bagi produk ini dengan kualiti adalah amat diperlukan. Jika menawarkan produk kei car (kereta mini) kepada pelanggan, adalah penting untuk meletakkan harga sekitar satu juta yen. Kami mensasarkan untuk memperkenalkannya menjelang tahun 2025,” katanya. Buat masa ini, tidak dipastikan adakah kenderaan elektrik-sepenuhnya yang pertama dari pengeluar berkenaan, adalah sama dengan yang dirancang untuk diperkenalkan di India, juga menjelang 2025.

    Suzuki sasar lancar EV mini di Jepun menjelang 2025

    Ketika ditanya adakah pemain industri dari China boleh mendominasi pasaran dengan memperkenalkan EV berharga murah, Suzuki berkata, tidak semestinya begitu. “Kita masih tidak pasti adakah mereka boleh mengambil alih pasaran. Berdasarkan ketahanan untuk bateri dan faktor lain, saya tidak rasa mereka boleh menguasai pasaran Jepun, buat masa ini,” jelasnya.

    Beliau menambah, syarikatnya akan dapat bersaing dalam aspek kualiti produk, walau pun dengan harga yang rendah. “Kuncinya ialah sama ada anda boleh membuat produk menggunakan material yang ringan pada kos serendah mungkin,” katanya sambil menambah pengeluar kereta itu juga akan bekerjasama dengan persaing untuk mengurangkan kos, merujuk kepada pakatan yang diketuai Toyota untuk membangunkan teknologi bagi kenderaan komersil.

    Kos bateri akan menjadi perkara yang paling penting untuk menurunkan harga EV. Walau pun beliau tidak mengulas mengenai perkongsian alat ganti dengan Toyota, yang sedang membangunkan baterinya sendiri, Suzuki berkata bateri belum lagi berada di “peringkat penyeragaman.”

     
     
  • Infiniti tunjuk teaser tiga model konsep elektrifikasi

    Infiniti tunjuk teaser tiga model konsep elektrifikasi

    Selepas Nissan membentangkan strategi Ambition 2030, cabang jenama mewahnya iaitu Infiniti pula menunjukkan bagaimana visi serta pandangan mereka terhadap masa hadapan. Sama seperti Nissan, Infiniti juga tidak akan pergi ke arah elektrik secara penuh dan kebanyakan kenderaannya cuma akan diberi tambahan kuasa elektrik menjelang 2030.

    Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Infiniti, tertulis “kami tidak akan membiarkan saiz bateri yang digunakan menjadi definisi untuk kami, tetapi mahu memberi kuasa kepada pelanggan untuk memilih sumber kuasa yang padan dengan gaya hidup mereka.”

    Pengerusi Infiniti, Peyman Kargar pula berkata, “hari ini, kami mengumumkan bahawa bukan sahaja hampir semua kenderaan yang kami jual menjelang 2030 akan dielektrifikasi, tetapi kenderaan itu juga akan menunjukkan langkah unik yang kami ambil kepada kenderaan mewah moden Jepun.”

    Tiada model spesifik yang dinyatakan, tetapi kita dapat melihat gambar gelap kenderaan konsep yang terduduk rendah. Kereta misteri ini juga mempunyai lampu hadapan dan belakang yang memenuhi sepanjang lebar kereta dan datang dengan logo Infiniti yang menyala di tengah.

    Kenderaan itu juga muncul sekali lagi dalam video, dan memberikan kita pandangan yang lebih baik kepada bentuknya yang melengkung dan nipis. Dua lagi model konsep juga dapat dilihat dalam video ini, termasuk sebuah crossover dan sebuah sedan fastback kecil.

     
     
  • Yamaha R15 V4 tiba di Indonesia – versi R15M dapat kawalan cengkaman, quickshifter, sistem Y-Connect

    Yamaha R15 V4 tiba di Indonesia – versi R15M dapat kawalan cengkaman, quickshifter, sistem Y-Connect

    Setelah membuat penampilan pertama di India September lalu, Yamaha R15 generasi keempat (V4) kini memasuki pasaran Indonesia. Ia diperkenalkan sebagai R15 Connected, yang bermaksud semua versi dari yang asas berharga 38.9 juta rupiah (RM11,400) hingga R15M berharga 14.1 juta rupiah (RM12,900) didatangkan terus dengan sistem sambungan Y-Connect.

    Bagi model generasi baru ini, enjin masih dikekalkan, iaitu unit satu silinder SOHC 155 cc dengan teknologi VVA dan padanan transmisi enam gear dengan klac slip & assist, mampu menghasilkan kuasa 19 hp 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Perubahan pertama yang boleh dilihat jelas adalah panel badan, di mana kesemuanya adalah baru, dan dipasang dengan lampu hadapan LED yang lebih kompak di tengah dan DRL di tepi. Tangki bahan api (kapasiti masih lagi 11 liter), panel tepi dan penghadang lumpur juga adalah baru.

    Naik taraf paling penting R15 V4 sebenarnya adalah pada bahagian elektronik, di mana ia dipasang dengan sistem kawalan cengkaman (boleh ditutup), quickshifter serta ABS two-channel. Bagi model pasaran Indonesia, semua ciri baru ini boleh didapati pada model R15M sementara model permulaan cuma datang dengan kelengkapan asas dan juga tiada ABS.

    Selain daripada grafik lebih sporty (ditawarkan dalam warna perak dan corak sambutan ulang tahun GP ke-60), R15M juga menerima balutan tempat duduk dengan corak gentian karbon, angkup brek warna emas dengan cop Bybre, rekaan bahagian atas triple clamp seperti R1 dengan penutup fork warna biru serta dua mod pada panel instrumen, iaitu Street dan Track.

    Kelengkapan lain R15 Connected masih sama seperti sebelum ini, termasuk fork USD di hadapan, monoshock dengan pelarasan pra beban, brek cakera 282 mm dengan angkup dua piston di hadapan, cakera brek 220 mm di belakang, lengan ayun aluminium, panel instrumen digital, rim 17 inci serta berat 137 kg (tambahan tiga kilogram bagi R15M).

     
     
  • Toyota Corolla Cross GR Sport dilancarkan di Thailand

    Toyota Corolla Cross GR Sport dilancarkan di Thailand

    Selepas dilancarkan di Taiwan September lalu, Toyota Corolla Cross GR Sport kini memasuki pula pasaran Thailand. Secara keseluruhannya, sebanyak 27,794 unit Corolla Cross biasa telah terjual di Thailand – satu jumlah yang dikatakan oleh Toyota sebagai paling banyak dalam segmen B – dan penambahan model GR Sport ini akan meluaskan lagi tarikannya kepada pelanggan.

    Seperti yang dijangka, varian yang lebih sporty ini diletakkan sebagai varian paling tinggi, dengan tambahan harga 50,000 baht (RM6,200) berbanding varian HEV Premium Safety yang berharga 1,240,500 baht (RM154,700). Penggerak yang digunakan adalah gabungan enjin petrol 1.8 liter serta motor elektrik untuk menghasilkan jumlah kuasa keseluruhan 122 PS. Penggunaan bahan api berada pada kadar 23.3 km/l.

    Kit badan GR Sport pada model yang dijual di Thailand ini adalah sama sahaja seperti model yang diperkenalkan di Taiwan, dan ia tertumpu kepada bahagian depan dengan penggunaan seperti gril baru dengan jalur melintang serta kemasan hitam berkilat yang bersambung ke lampu. Bampar kelihatan lebih agresif dan mempunyai skid plate yang lebih tegap.

    Skirt tepi dan bampar belakang juga mempunyai kemasan skid plate yang sama, sementara lampu LED belakang menggunakan jenis lutsinar. Melengkapkan perubahan luar adalah bumbung warna hitam serta rekaan rim 18 inci khas. Di dalam, anda akan mendapat tempat duduk balutan kulit dengan jalur putih di tengah serta sulaman GR pada penyandar kepala, tombol gear balutan kulit, kemasan hitam serta lencana GR.

    Turut disertakan adalah sedikit penambah baikan casis, di mana stereng ditala semula dan dipasang strut bar bawah. Akhir sekali, model GR Sport ini menerima fungsi gerak dan henti kelajuan rendah untuk Adaptive Cruise Control – satu ciri yang juga telah dinaik taraf pada varian HEV Premium Safety.

     
     
  • Kereta Tahunan Eropah 2022 – 7 finalis didedahkan

    Kereta Tahunan Eropah 2022 – 7 finalis didedahkan

    Peringkat akhir Anugerah Kereta Tahunan Eropah (ECOTY) 2022 bakal berlangsung tidak lama lagi, dengan 39 model kenderaan yang disenaraikan dalam peringkat separuh akhir, kini telah disenaraipendekkan ke tujuh finalis sahaja. Daripada jumlah itu, juri dari 23 buah negara akan mengundi di peringkat akhir tahun hadapan, sebelum pemenang utamanya diumumkan pada 28 Februari 2022.

    Di antara model kereta yang disenaraipendekkan itu termasuklah Peugeot 308 generasi ketiga, yang diperkenalkan pada Mac lalu dan merupakan finalis tunggal yang bukan model elektrik sepenuhnya. Ketika dilancarkan, 308 boleh ditawarkan dengan dua versi enjin plug-in hybrid dengan kuasa keseluruhan masing-masing berjumlah 180 PS (178 hp) dan 225 PS (222 hp).

    Manakala enam lagi model kereta yang menjadi finalis untuk peringkat akhir, semuanya ditawarkan dengan penjana kuasa elektrik-sepenuhnya, iaitu Hyundai Ioniq 5, Cupra Born, Ford Mustang Mach-E, Kia EV6, Skoda Enyaq iV dan Renault Megane E-Tech.

    Kesemua model EV terbabit menewaskan calon finalis pada peringkat sebelum ini termasuklah Audi e-tron GT/RS e-tron GT dan Q4 e-tron/Q4 e-tron Sportback, BMW iX dan i4, Mercedes-Benz EQS, Tesla Model Y dan Volkswagen ID.4. Sementara itu, 308 turut mengetepikan pencabar terdekatnya termasuk Honda HR-V, McLaren Artura, Toyota Yaris Cross dan Lexus NX.

    Pemenang bagi Kereta Tahunan Eropah 2021 iaitu Toyota Yaris setelah berjaya menewaskan pencabar terdekatnya iaitu Fiat 500 dan Cupra Formentor.

     
     
  • Honda Civic Si 2022 hasilkan lebih kuasa dari yang didakwa selepas diuji atas dyno; 222 hp/316 Nm!

    Honda Civic Si 2022 hasilkan lebih kuasa dari yang didakwa selepas diuji atas dyno; 222 hp/316 Nm!

    Digital Visual Media

    Model generasi baharu varian prestasi untuk Honda Civic, khas untuk pasaran Amerika Syarikat iaitu Civic Si sudahpun dilancarkan di negara tersebut pada Oktober lalu. Ia masih menggunakan enjin 1.5L VTEC Turbo yang sama dengan Civic Si generasi sebelum ini, tetapi apa yang menghairankan, Si untuk Civic generasi ke-11 tersebut hanya menghasilkan kuasa 200 hp dan tork maksima 260 Nm, berbanding 205 hp pada versi Si bagi Civic generasi ke-10.

    Pengeluar sistem pengurusan enjin prestasi aftermarket khas untuk jenama Honda, iaitu Hondata seperti biasa akan melakukan ujian dyno asas terhadap mana-mana model baharu Honda yang berpotensi untuk diubahsuai, bagi mengetahui kemampuan asasnya sebelum membangunkan produk yang lebih berprestasi tinggi. Jadi Civic Si 2022 ini tidak terkecuali.

    Apa yang mengejutkan, ujian dyno asas yang dibuat tersebut menunjukkan bahawa Honda Civic Si 2022 berkenaan mampu untuk menghasilkan 222.31 hp dan tork maksima 316.43 Nm tanpa sebarang pengubahsuaian! Hondata turut menjalankan semula ujian dyno terhadap Civic Si generasi sebelumnya, dan ia mencatatkan 201.33 hp – sedikit kurang dari yang didakwa atas kertas, mungkin disebabkan ia telah sedikit berusia.

    Graf dyno tersebut turut membuktikan (malah lebih baik!) apa yang didakwa Honda sebelum ini – tork puncak yang dicapai adalah 500 rpm lebih awal berbanding model sebelum itu. Honda sebelum ini menyatakan bahawa talaan pada enjin 1.5L VTEC Turbo tersebut kini menampilkan lengkuk kuasa lebih luas bagi membolehkan kuasa optimum digunakan pada kebanyakkan tahap rpm – walaupun tork yang dihasilkan masih sama, tetapi dapat dicapai 300 rpm lebih awal, bermula 1,500 rpm hingga 5,000 rpm, dan ia boleh dikerah ke tahap redline yang ditetapkan pada 6,500 rpm.

    Enjin pada model generasi baharu ini dipadankan dengan roda tenaga (flywheel) single mass yang 26% lebih ringan dari unit dual-mass yang digunakan pada Civic Si terdahulu. Dengan daya inersia berkurangan 30% menggunakan roda tenaga baharu ini membolehkan enjin memberikan respon yang lebih cepat, dalam masa yang sama menambah baik kualiti pemanduan.

    Civis Si generasi terkini ini turut diberikan sistem ekzos dengan penyenyap dua-gegelung baharu bagi meningkat aliran ekzos 27% lebih tinggi berbanding varian Touring Civic biasa. Ia juga menerima sistem Active Sound Control yang dipertingkat bagi memberikan bunyi ekzos semula jadi berkualiti tinggi pada tahap rpm enjin lebih luas yang dialirkan ke dalam kabin.

    Enjin berkenaan digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam kelajuan bersama short shifter, lengkap dengan LSD jenis helical membolehkan kedua-dua roda hadapan ‘mengigit’ permukaan jalan dengan lebih kuat ketika mengambil selekoh.

    Selain dari unit rangkaian kuasa, Civic Si ini juga diberikan talaan yang lebih ekstensif pada casis, suspensi dan stereng serta diberikan penggayaan lebih garang seperti gril hadapan sarang lebih, lebih kemasan-kemasan hitam, diberikan tempat duduk lebih sporty dan pelbagai lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025