Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Avanza, Veloz 2022 bakal dilancar di Indonesia 10 Nov, Daihatsu Xenia 11 Nov — D27A Perodua Alza?

    Toyota Avanza, Veloz 2022 bakal dilancar di Indonesia 10 Nov, Daihatsu Xenia 11 Nov — D27A Perodua Alza?

    Toyota Avanza 2022 dan varian sporty Veloz akan buat penampilan sulung di Indonesia pada 10 November, menurut apa yang disampaikan oleh Toyota Astra Motor kepada media tempatan di sana. Sementara itu, kembar Avanza, Daihatsu Xenia pula akan dilancarkan sehari kemudian, pada 11 November.

    Kedua-dua MPV berkenaan dijangka akan menemui khalayak ketika Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2021, yang akan dibuka kepada media pada 11 November. Perancangan asal, pameran itu sepatutnya berlangsung pada Ogos, tetapi dianjak akibat situasi pandemik.

    Avanza generasi kedua yang ada hari ini telah berada dalam pasaran hampir sedekad, dengan penampilan pertamanya pad 2011 di Indonesia. Dalam tempoh itu, pesaing datang dan pergi — misalnya, Honda BR-V diperkenalkan pada 2015, dan versi yang terbaru akan menyertai Avanza di GIIAS.

    Kerena menunggu lama, memang patut dijangkakan Avanza terbaru ini melibatkan banyak perubahan, dan nampaknya memang begitu. Gambar utama yang ada ini menunjukkan dengan lebih jelas bahagian belakang MPV berkenaan, yang dirakam di Krawang, Jawa Barat tempat di mana ia dikeluarkan.

    Avanza baru ini datang dengan lampu belakang kelebaran penuh dan dipisahkan oleh lencana Toyota. Jalur LED melintang juga diteruskan untuk model ini, sama seperti yang dilihat ada pada Harrier dan Lexus UX — cuma belum tahu sebanyak mana lampunya atau hanya hiasan. Lampu belakang Avanza selalunya menegak, maka kali ini ia lari jauh dari pendekatan itu, menjadikannya nampak lebar.

    Di bawah lampu belakang juga terletak corong hiasan dengan pemantul. Selebihnya, ada juga skid plate lebar dalam warna perak, nama Veloz pada pemegang nombor plat dan lencana Q untuk tingkat kemasan pasaran Indonesia.

    Toyota Avanza, Veloz 2022 bakal dilancar di Indonesia 10 Nov, Daihatsu Xenia 11 Nov — D27A Perodua Alza?

    Daripada gambar yang ada ini juga, bahagian sisinya kelihatan lebih jelas, dengan rim menggunakan jenis dua-tona yang sama dengan unit bilik pameran, dan nampak besar. Garis sisi badannya juga nampak panjang, dari lampu depan ke lampu belakang. Lengkuk tayar tiada hiasan plastik ala SUV, dengan landasan bumbung yang mungkin hiasan semata.

    Wajah baru Avanza agak menonjol, yang didominasi oleh gril trapezoidal besar. Pada Veloz, gril ini dihiasi pula oleh mesh corak Y dengan rekaan lampu LED utama yang tirus, dengan jalur DRL di bawahnya. Terdapat juga kemasan krom di atas gril, yang bersambung ke lampu utama.

    Bahagian dalaman juga sangat berbeza. Sentuhan rekaan terbaru ini menggunakan garis-garis tajam serta kedudukan konsol tengah yang lebih tinggi. Ada sebuah skrin terapung yang besar, stereng rekaan baru bersama dua jejari dengan butang kawalan, butang Start dan mungkin juga jalur lampu suasana. Tidak ketinggalan, brek parkir elektronik.

    Bahagian barisan penumpang juga kelihatan seperti ada skrin pada bumbung, ruang cawan boleh simpan, slot pengecas USB dan kerusi gelungsur. Belakang kerusi depan juga ada slot untuk tersusun untuk barangan pada kedudukan lebih tinggi. Ada satu slot lebar, mungkin muat untuk tablet dan satu lagi poket untuk telefon.

    Belum ada perincian rasmi setakat ini, jadi dijangkakan perubahan besar yang utama juga dilakukan terhadap Avanza ini — beralih kepada menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang sama dengan Ativa, Rocky, Raize. Jika ini betul, Avanza juga akan beralih daripada ladder frame kepada binaan monocoque, dan dari pacuan roda belakang kepada roda depan.

    Avanza akan terus menggunakan enjin 1.5L NA, atau boleh jadi berkongsi enjin 1.0L tiga-silinder turbo dan 1.2L NA tiga-silinder sebagai pilihan untuk pasaran Indonesia. Apa yang pasti, bantuan pemandu dan ciri keselamatan aktif akan diperkenalkan pada model berkenaan, dijenamakan sebagai Toyota Safety Sense. Adakah ini calon yang paling layak untuk jadi D27A Perodua Alza?

     
     
  • Toyota Raize 2022 tiba di Jepun – mungkin e-Smart Hybrid dan 1.2L NA diperkenal pada Perodua Ativa?

    Toyota Raize 2022 tiba di Jepun – mungkin e-Smart Hybrid dan 1.2L NA diperkenal pada Perodua Ativa?

    Anda telah melihat Daihatsu Rocky baru yang diberi peningkatan di Jepun, dan Toyota juga melakukan perkara sama dengan kembar model tersebut, iaitu Raize. SUV kompak ini melihatkan beberapa peningkatan, termasuklah dua penggerak NA baru.

    Berita paling utama adalah varian e-Smart Hybrid, yang menggunakan sistem hibrid seperti e-Power Nissan. Di bawah bonetnya terdapat enjin tiga silinder 1.2 liter WA-VEX yang mampu menghasilkan kuasa 82 PS pada 5,600 rpm dan 105 Nm tork pada 3,200 hingga 5,200 rpm, tetapi ia tidak dihantar terus ke roda hadapan.

    Sebaliknya, varian ini digerakkan oleh motor elektrik 106 PS/170 Nm yang mendapat tenaga daripada enjin petrol tersebut (enjin sebagai generator). Manfaat daripada tetapan ini adalah pakej yang lebih kompak, kecil dan jimat kos, menggunakan bateri lithium ion 4.3 Ah, serta penggunaan bahan api lebih cekap – 28 km/l (3.6 l/100 km) mengikut kitaran WLTP.

    Ciri lain yang diberi adalah Smart Pedal, yang membenarkan pemanduan satu pedal, lampu bawah pintu (apabila pintu dibuka) dan pilihan untuk menambah pembekal kuasa 150 volt, 1,500 watt untuk mengecas peranti elektronik atau alat elektrik lain waktu kecemasan. Tidak seperti Rocky, Raize ini tidak mempunyai sebarang beza penampilan berbanding model standard, kecuali lencana Hybrid Synergy Drive di belakang.

    Toyota Raize 2022 tiba di Jepun – mungkin e-Smart Hybrid dan 1.2L NA diperkenal pada Perodua Ativa?

    Satu lagi pilihan enijn yang diberikan adalah versi biasa WA-VE NA 1.2 liter, yang pertama kali diperkenalkan di Indonesia awal tahun lalu untuk menggantikan enjin tiga silinder turbo 1.0 liter 1KR-VET pada model pacuan roda hadapan (enjin turbo itu kini hanya ditawarkan pada model pacuan semua roda sahaja). Enjin 1.2 liter ini mampu menghasilkan 87 PS pada 6,000 rpm dan 113 Nm tork pada 4,500 rpm (kurang 11 PS dan 27 Nm).

    Penurunan prestasi ini ditimbal balik dengan penggunaan bahan api 10% lebih jimat, di mana ia mampu mencatat 20.7 km/l (4.8 l/100 km). Transmisi CVT dua mod (D-CVT) masih kekal satu-satunya pilihan bagi model Raize berenjin petrol.

    Selain enjin, Raize juga mendapat peningkatan lain seperti brek parkir dengan fungsi Auto Hold, yang memberikan tambahan fungsi stop and go untuk Adaptive Cruise Control dan menjadikan pemanduan di dalam kesesakan trafik lebih menyenangkan.

    Berkenaan teknologi bantuan pemandu, Raize mendapat kamera yang dipertingkat, dengan sistem pengesanan pejalan kaki waktu malam untuk Autonomous Emergency Braking dan tambahan jumlah tanda jalan yang boleh dibaca. Walaubagaimanapun, Raize masih tidak dilengkapi dengan fungsi yang boleh memberikan amaran sekiranya pemandu membawa kenderaan dalam keadaan melilau atau Cornering Trace Assist seperti Rocky.

    Di Jepun, Raize dijual pada harga yang lebih tinggi berbanding Rocky, bermula dengan 1,707,000 yen (RM62,300) untuk varian asas 1.2 liter X manakala varian G dan Z yang berada di atas dijual pada harga masing-masing 2,163,000 (RM79,000) dan 2,328,000 yen (RM85,000).

    Mungkinkah kita juga bakal menyaksikan enjin ini digunakan pada Perodua Ativa tidak lama lagi? Versi e-Smart Hybrid mungkin boleh dikatakan sedemikian kerana Perodua sudah pernah ditemui melakukan ujian di dalam negara menggunakan varian tersebut. Enjin 1.2L NA itu juga nampak menarik, kerana ia mungkin boleh menjadikan Ativa lebih murah.

     
     
  • Perodua catat peningkatan jualan sebanyak 96.7% bagi Okt 2021 – 27,858 unit mengatasi rekod tahun lalu

    Perodua catat peningkatan jualan sebanyak 96.7% bagi Okt 2021 – 27,858 unit mengatasi rekod tahun lalu

    Perodua berjaya menghantar sebanyak 27,858 unit kenderaan pada Oktober 2021, menunjukkan peningkatan yang signifikan berbanding 14,160 unit yang didaftarkan pada September – sekitar 96.7%. Sekaligus turut menunjukkan peningkatan yang berterusan sejak Ogos lalu selepas sektor ekonomi dibuka semula setelah beberapa bulan industri automotif bermuram durja akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Malahan angka pada Oktober 2021 turut mengatasi rekod yang dicatatkan tepat pada 12 bulan sebelumnya dengan 26,848 kenderaan dijual pada Oktober 2020, yang mana turut disenaraikan dalam Malaysia Book of Record.

    “Pencapaian ini adalah komitmen kami terhadap para pelanggan kami dan ia mewakili peningkatan sebanyak 96.7% daripada 14,160 unit yang dijual pada September 2021. Kami kini sedang berusaha untuk meningkatkan lagi pengeluaran terutamanya untuk tahun ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Daripada 27,858 kenderaan Perodua yang didaftarkan pada bulan lalu, 8,761 unit adalah Myvi, Axia pula sebanyak 5,973 unit, 5,257 unit bagi Bezza, Ativa sebanyak 3,973 unit, 2,553 unit untuk Alza dan Aruz terjual sebanyak 1,341 unit.

    Perodua catat peningkatan jualan sebanyak 96.7% bagi Okt 2021 – 27,858 unit mengatasi rekod tahun lalu

    Setakat ini, Perodua telah mencatatkan jualan sebanyak 146,951 unit dari Januari hingga Oktober tahun ini, iaitu 14.5% lebih rendah berbanding 171,861 yang didaftarkan pada tempoh yang sama pada tahun 2020.

    Bagi aspek produksi, Perodua juga telah mencatatkan rekod dalamannya tersendiri dengan penghasilan kenderaan terbanyak dalam tempoh satu bulan iaitu dengan 29,803 unit pada bulan lalu. “Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan Perodua yang telah melakukan yang terbaik untuk memastikan para pelanggan kami menerima kenderaan Perodua mereka secepat mungkin,” kata Dato’ Zainal.

    Beliau turut menambah pencapaian itu adalah di luar kapasiti pengeluaran semasa Perodua, namun kakitangannya mampu meningkatkan produktiviti mereka dengan tahap kualiti yang sama walaupun tanpa kakitangan, peralatan atau jentera baharu.

    “Kami sentiasa mengambil berat aspek keselamatan dan kesihatan keseluruhan operasi kami dengan memastikan semua kakitangan kami mematuhi garis panduan pencegahan COVID-19 dan pada masa yang sama memastikan kami menjangkaui semua keperluan kualiti,” tambahnya lagi.

    Zainal turut berkata Perodua mengalu-alukanlanjutan Pengecualian Jualan Cukai yang diumumkan menerusi Bajet 2022 kerana ia membolehkan ekosistem automotif mempunyai lebih banyak ruang untuk pulih ekoran penutupan baru-baru ini serta mengejar permintaan.

     
     
  • Honda City 1.5L V Sensing dilancar untuk Malaysia – dilengkapi Honda Sensing dan AEB, harga RM90k

    Honda City 1.5L V Sensing dilancar untuk Malaysia – dilengkapi Honda Sensing dan AEB, harga RM90k

    Honda Malaysia telah melancarkan satu varian baru untuk City, iaitu 1.5L V Sensing, dengan harga jualan RM90,212 tidak termasuk insurans (dikira dengan pengecualian cukai). Varian baru ini terletak antara varian hibrid RS e:HEV (RM105,950) dan V (RM86,561) yang ditawarkan sekarang, dan menerima beberapa peningkatan.

    Pertamanya adalah pakej sistem keselamatan dan bantuan pemandu Honda Sensing, yang termasuk Adaptive Cruise Control (ACC), Collision Mitigation Braking System (juga dikenali sebagai Autonomous Emergency Braking or AEB), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Lane Departure Warning (LDW) dan Auto High-Beam (AHB).

    Semua ciri Sensing ini memang sudah datang secara standard pada varian RS e:HEV, tetapi pada varian City yang lain tiada, sehinggalah sekarang. City V Sensing ini juga menerima panel instrumen digital tujuh inci, tidak seperti varian V yang menggunakan meter analog.

    Selain daripada itu, spesifikasinya adalah sama seperti varian V, dengan barangan seperti rim 16 inci, lampu utama LED, lampu kabus hadapan, lampu nyalaan siang (DRL), sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin (dengan fungsi kawalan jauh), pedal penukar gear di stereng, cruise control, pendingin hawa satu zon, tempat duduk balutan kulit, skrin infotainmen Display Audio lapan inci dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, serta lapan pembesar suara.

    Honda City 1.5L V Sensing dilancar untuk Malaysia – dilengkapi Honda Sensing dan AEB, harga RM90k

    Ia juga datang dengan enam beg udara, cagak Isofix untuk tempat duduk belakang, Vehicle Stability Assist, ABS, EBD, Brake Assist, Hill Start Assist, Emergency Stop Signal, dua pengesan undur, kamera pandangan belakang dan kamera LaneWatch.

    Untuk penggerak, ia masih lagi menggunakan enjin petrol empat silinder DOHC 1.5 liter bersama transmisi CVT untuk menghantar kuasa sehingga 121 hp dan 145 Nm tork ke roda hadapan. Kelajuan maksimum adalah seperti varian V, iaitu 195 km/j, tetapi pecutan 0-100 km/j sedikit perlahan dengan catatan masa 10.5 saat.

    Dengan penambahan varian V Sensing ini, pelanggan yang mahukan City dengan sistem keselamatan aktif boleh mendapatkannya melalui varian enjin biasa dan bukannya hibrid sahaja. Adakah anda antara yang menunggu kemunculan varian seperti ini?

     
     
  • Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid muncul dengan motor elektrik 106 PS – Perodua Ativa Hybrid menyusul?

    Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid muncul dengan motor elektrik 106 PS – Perodua Ativa Hybrid menyusul?

    Selepas banyak laporan dan maklumat yang bocor sejak beberapa bulan lepas, Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid akhirnya dilancarkan di Jepun. Model yang menggunakan kombinasi penggerak petrol dan elektrik ini juga boleh dianggap penting kepada pasaran kita kerana terdapat maklumat bahawa ia bakal diserapkan kepada Perodua Ativa memandangkan Perodua juga sudah dilihat menguji model ini.

    Keistimewaan utama model ini sudah tentu terdapat di bawah bonetnya, di mana anda akan menemui sistem hibrid hampir sama seperti kenderaan e-Power Nissan. SUV ini digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik 106 PS/ 170 Nm, sementara pembakaran dalaman tiga silinder 1.2 liter WA-VEX pula bertindak sebagai generator (seperti range extender). Enjin ini mampu menghasilkan 82 PS dan 105 Nm tork.

    Tetapan ini tidak menggunakan transmisi seperti kereta biasa, dan motor elektrik pemacu serta unit motor-generator yang diletakkan secara selari dapat memberikan bentuk yang lebih kompak – Daihatsu memberitahu, mereka mempunyai niat untuk meletakkan sistem e-Smart Hybrid ini pada kenderaan kei pula selepas ini. Syarikat itu turut mendakwa bahawa motor elektrik tersebut mampu memberikan prestasi yang bagus pada kelajuan rendah dan sederhana, menjadikan ia sesuai untuk kereta kecil di dalam kawasan urban.

    Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid muncul dengan motor elektrik 106 PS – Perodua Ativa Hybrid menyusul?

    Satu lagi kelebihan sistem ini adalah bateri lithium ion yang digunakan dapat dijadikan agak kecil dan menjimatkan, dengan kapasiti 4.3 Ah. Semua ini membenarkan Rocky e-Smart Hybrid untuk mencatat penggunaan bahan api 28 km/l (3.6 l/100 km) mengikut kitaran WLTP.

    Sebagai tambahan, Rocky hibrid ini juga datang dengan ciri “Smart Pedal” yang membenarkan pemanduan satu pedal, dengan mod Normal dan Eco melaras maklum balas pedal minyak. Penebat bunyi yang diletakkan pada bonet dan di bawah pelindung enjin juga menjadikan bunyi enjin lebih senyap.

    Gril honeycomb khas serta lencana e-Smart pada fender hadapan dan pintu but belakang membezakan model ini dengan model biasa. Pembeli juga boleh mendapatkan fungsi pembekal kuasa luaran untuk mengecas peranti elektronik atau barangan elektrik lain pada waktu kecemasan.

    Pelancaran Rocky e-Smart Hybrid ini juga berlaku serentak dengan peningkatan ringkas yang diberikan kepada model Rocky secara keseluruhannya. Enjin tiga silinder NA 1.2 liter yang diperkenalkan di pasaran Indonesia sebelum ini sekarang digunakan untuk semua model pacuan roda hadapan di Jepun. Ia menggantikan enjin 1.0 turbo 1KR-VET yang sekarang cuma digunakan pada model pacuan semua roda.

    kelebihan utama pertukaran enjin ini adalah penjimatan bahan api, di mana unit 1.2 liter ini mampu memberikan catatan WLTP 20.7 km/l (4.8 l/100 km), iaitu 10% lebih baik berbanding enjin 1.0 liter turbo tersebut. Harga kenderaan juga dapat dikurangkan kerana ia sudah boleh dimasukkan dalam kategori kereta eko yang lebih mesra alam.

    Walaubagaimanapun, kelebihan pada penggunaan bahan api ini menjadikan prestasinya berkurang sedikit, iaitu menurun 11 PS dan 27 Nm, menjadi 87 PS pada 6,000 rpm dan 113 Nm tork pada 4,500 rpm. Transmisi masih adalah unit CVT seperti Rocky 1.0 liter.

    Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid muncul dengan motor elektrik 106 PS – Perodua Ativa Hybrid menyusul?

    Peningkatan lain yang diberi adalah penggunaan brek parkir elektronik dengan fungsi Autohold, yang juga membenarkan tambahan fungsi stop and go untuk Adaptive Cruise Control. Rocky juga kini mendapat kamera yang dipertingkat, dengan sistem pengesanan pejalan kaki waktu malam untuk Autonomous Emergency Braking dan tambahan jumlah tanda jalan yang boleh dibaca.

    Ciri baru ini juga dilengkapi dengan fungsi yang boleh memberikan amaran sekiranya pemandu membawa kenderaan dalam keadaan melilau. Akhir sekali, Rocky kini datang dengan Cornering Trace Assist, yang bertindak seperti pengagih tork, untuk membrek roda bahagian dalam sekiranya ia mengesan understeer.

    Harga untuk Rocky yang dipertingkat ini bermula dari 1,667,000 yen (RM60,700) untuk model asas varian L 1.2 liter, sementara model e-Smart Hybrid ditawarkan dalam dua versi, iaitu X HEV dan Premium G HEV, dengan harga masing-masing 2,116,000 (RM77,000) dan 2,347,000 yen (RM85,400).

     
     
  • Peugeot 5008 facelift 2022 dilancarkan di Thai – CBU dari Malaysia; varian tunggal Allure, dari RM233k

    Peugeot 5008 facelift 2022 dilancarkan di Thai – CBU dari Malaysia; varian tunggal Allure, dari RM233k

    Peugeot 5008 generasi kedua telah pun dilancarkan di Thailand, dengan menawarkan varian tunggal Allure. Berharga dari 1.869 juta baht (RM233,083), SUV tujuh-tempat duduk ini adalah unit import (CBU) dari Malaysia, yang dipasang di kilang Naza Automotive Manufacturing di Gurun, Kedah, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Stellantis.

    Penggayaan juga ada perubahan termasuk lampu utama LED baharu yang senada dengan gril radiator tanpa bingkai. Sama seperti adiknya, SUV lima-tempat duduk 3008, ia juga menampilkan lampu nyalaan siang LED menegak yang ditempatkan di sisi bampar hadapan, yang turut menempatkan indikator membelok, sementara nombor modelnya terletak di atas lencana singa itu.

    Untuk bahagian belakangnya pula, ia menempatkan lampu LED penuh dengan tiga jaluran menegak ala cakaran yang menjadi signatur bagi jenama Peugeot, dengan lapisan kanta yang lebih gelap. Untuk pasaran Thailand, 5008 turut didatangkan dengan roda aloi 18-inci, lampu kabus LED, bumbung suria panoramik, tailgate bukaan bebas-tangan dan lima pilihan warna luaran (Amazonite Grey, Nero Black, Pearl White dan Emerald Crystal) – digandingkan dengan bumbung Black Diamond.

    Di dalamnya, SUV ini menerima konsep i-Cockpit signatur jenama ini yang menampilkan paparan instrumen digital 12.3-inci, dan roda stereng diameter-kecil, sementara itu skrin sesentuh infotainmen telah dipertingkatkan dari lapan ke 10-inci.

    Kabin bertemakan hitam ini juga menerima pengecas tanpa wayar yang dipertingkatkan, selain upholstery kulit, tempat duduk hadapan larasan kuasa (8-hala untuk pemandu, 6-hala untuk penumpang), barisan kedua yang boleh dipisahkan 60:40, barisan ketiga yang dipisahkan 50:50, enam pembesar suara, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kawalan suhu dwi-zon dan sistem pencahayaan ambien.

    Untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan, 5008 didatangkan dengan enam beg udara, kawalan kelajuan, pengesan penghad kelajuan, Advance Grip Control, kawalan menurun bukit, bantuan mendaki, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera undur, sistem pemantauan titik buta dan sistem pasif biasa (ESP, ABS, EBD dan bantuan brek). Walau bagaimana pun, ia tidak diberikan brek kecemasan automatik (AEB), tetapi disertakan dengan pemantauan titik buta dan bantuan kekal lorong.

    Peugeot 5008 facelift 2022 dilancarkan di Thai – CBU dari Malaysia; varian tunggal Allure, dari RM233k

    5008 turut digandingkan dengan enjin 1.6 liter pengecas turbo empat-silinder petrol yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 167 PS (165 hp) pada 6,000 rpm dan tork 245 Nm dari 1,400 hingga 4,000 rpm. Ia turut diberikan transmisi automatik enam-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

    Belfort Automobile (Thailand) Co, anak syarikat kepada Master Group Corporation Asia (MGC), telah diberi kepercayaan sebagai pengimport dan pengedar kereta Peugeot di Thailand sejak dilantik oleh Groupe PSA (kini sebahagian daripada gabungan Stellantis) pada 2019.

    Selepas Thailand, 5008 akan diperkenalkan di Malaysia, bersama dengan model terkini 3008. Seperti mana yang kita sedia maklum, jualan dan pengedaran model Peugeot di Malaysia kini dikendalikan oleh Bermaz Auto Alliance (BAASB) iaitu anak syarikat Bermaz Auto (BAuto).

     
     
  • Husqvarna Norden 901 diperkenal – 889 cc, 105 hp

    Husqvarna Norden 901 diperkenal – 889 cc, 105 hp

    Husqvarna telah memperkenalkan sebuah motosikal touring bawah 1,000 cc baru, iaitu Norden 901. Seperti yang ramai tahu, Husqvarna dan KTM dimiliki oleh entiti yang sama, dan Norden 901 ini sebenarnya adalah kembar kepada KTM 890 Adventure, tetapi dengan penampilan yang berbeza.

    Pada bahagian enjin, ia masih lagi adalah unit yang sama, iaitu dua silinder selari DOHC 889 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 105 hp pada 8,000 rpm dan 100 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Motosikal ini datang dengan tiga mod tunggangan dalam keadaan standard, iaitu Street, Rain dan Offroad, yang memberikan maklum balas kuasa, penyampaian serta kawalan cengkaman yang berbeza, sementara satu lagi mod iaitu Explorer yang membolehkan pelarasan sendiri oleh penunggang disediakan sebagai pilihan tambahan. ABS pula datang dengan mod Offroad dan boleh ditutup sepenuhnya.

    Bahagian suspensi dipegang oleh fork USD WP Apex 43 mm boleh laras sepenuhnya di bahagian hadapan, sementara bahagian belakang menggunakan monoshock WP Apex dengan pelarasan lantunan dan pra beban. Tetapan ini memberikan jarak gerak suspensi 220 mm di hadapan dan 215 mm di belakang.

    Brek cakera 320 mm bersama angkup empat piston digunakan untuk menghentikan roda hadapan yang mempunyai rim 21 inci manakala rim 18 inci di belakang mendapat cakera brek 260 mm dengan angkup dua piston. Tangki bahan api mempunyai kapasiti 19 liter.

    Cruise control dan quickshifter diberi secara standard sementara kelengkapan lain seperti sambungan Bluetooth, pemanas tangan dan tempat duduk, serta sistem pemerhati tekanan angin tayar disediakan sebagai pilihan tambahan. Tempat duduk didatangkan dalam pilihan sama ada 854 mm tinggi atau 874 mm.

     
     
  • Stellantis ambil alih sepenuhnya kilang Naza di Gurun

    Stellantis ambil alih sepenuhnya kilang Naza di Gurun

    Stellantis — hasil daripada penggabungan Fiat Chrysler Automobiles (FCA) dan Groupe PSA — kini telah mengambil alih sepenuhnya Naza Automotive Manufacturing (NAM) dan kilang pemasangannya di Gurun, Kedah.

    Pengambilalihan yang sudah selesai ini memperkukuhkan lagi komitmen Stellantis di Malaysia dan menandakan aras baru bagi pengeluar tersebut di Asia Tenggara. Syarikat itu menyatakan “rancangan untuk melabur dan memperluas jejaknya dengan lebih besar sebagai sebahagian daripada strategi lokalisasi,” ujarnya Stellantis dalam satu kenyataan semalam.

    “Stellantis komited untuk memperkembangkan kehadiran di ASEAN, dan mengambil alih sepenuhnya kilang di Gurun ini merupakan langkah penting ke hadapan untuk memperkukuhkan operasi kami, output pengeluaran dan tenaga kerja di rantau ini,” ujar Naib Presiden Kanan ASEAN dan Pengedar Umum Stellantis, Christophe Musy.

    “Kami mempunyai strategi pertumbuhan yang akan membolehkan kami untuk mengeluarkan kenderaan melangkauu output pengeluaran sedia ada di Gurun, dan akan memperluaskan lagi jenama dan model yang berada di bawah portfolio Stellantis yang dipasang di ASEAN dan untuk ASEAN. Kami ingin mencapai tahap pengeluaran berkelas dunia di Gurun, dengan menghasilkan kenderaan dengan pemasangan yang berkualiti tinggi dari Malaysia untuk Asia Tenggara,” tambah beliau.

    Stellantis ambil alih sepenuhnya kilang Naza di Gurun

    Stellantis baru-baru ini telah memulakan semula pengeluaran di kilang tersebut, dengan pelancaran model Peugeot 3008 dan 5008 yang dipertingkat kini sedang giat dilakukan di rantau ASEAN. Selepas itu perhatian akan diberikan pula kepada Peugeot 2008, yang akan dimulakan pemasangannya bulan ini — dan turut akan dieksport ke seluruh rantau ini.

    Syarikat itu menyatakan yang kilang di Gurun berkenaan telah mencapai kadar pengeluaran pra-pandemik sejak operasi dibuka semula, dengan jumlah kini semakin rancak untuk bagi tahun 2021 bagi menyediakan semula bekalan untuk Malaysia, Thailand, Filipina dan pasaran ASEAN lain. Kapasiti kilang tersebut adalah 70,000 unit setahun.

    “Kami sedang bekerja dengan lebih rapat dengan rakan niaga kami untuk meningkatkan kapasiti kilang mencecah 40% untuk memenuhi permintaan,” ujar Christophe, dan menambah lebih 170 pekerja telah kembali bertugas dan Stellantis kini berurusan dengan lebih daripada 50 pembekal tempatan.

    Pengedar Peugeot di Malaysia kini Bermaz, yang turut mengambil alih pengedaran jenama ia tahun ini daripada Naza. Peugeto 2008 terbaru juga baru-baru ini dilihat di atas jalan raya tempatan. 3008 pemasangan Malaysia telah dilancarkan di Indonesia dan Thailand bulan lalu — di Malaysia pula tentunya tidak lama lagi.

     
     
  • Proton X90 kelihatan di M’sia – SUV besar 7-tempat duduk berasaskan Geely Haoyue sedang diuji

    Proton X90 kelihatan di M’sia – SUV besar 7-tempat duduk berasaskan Geely Haoyue sedang diuji

    Ini bukan kali pertama SUV tujuh-tempat duduk yang berasaskan Geely Haoyue atau Okavango kelihatan sedang diuji di jalan raya di Malaysia ini. Lokasi terbaharu ia dilihat ialah di Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) menuju ke Subang, dengan menggunakan trade plates Proton (yang sebelum ini pernah dipakai oleh model ujian Geely Binyue, yang kemudiannya dikenali sebagai X50).

    Walau pun unit ujian ini atau pun mungkin bakal dinamakan sebagai Proton X90, ditutupi balutan penyamaran, namun sifatnya masih boleh kelihatan termasuk cermin sisi yang dipasang di pintu, rel bumbung ala terapung dan garisan badannya yang cukup jelas mirip Hauyue. Tetapi jika dilihat dari pandangan belakang, tailgate yang ditampilkan sedikit berbeza dengan model Geely, dan plat nombornya pula telah dipindahkan dari bampar belakang ke tailgate.

    Ia bagai memberikan bayangan bahawa Proton mahu melakukan sedikit perubahan rekaan signifikan untuk X90 ini, walau pun banyak sifat lain masih kelihatan mirip dengan Hauyue.

    Proton X90 kelihatan di M’sia – SUV besar 7-tempat duduk berasaskan Geely Haoyue sedang diuji

    Haoyue dilancarkan di China pada Jun tahun lalu, dan ia kini merupakan SUV paling besar dalam barisan model Geely, ‘Abang Long’ kepada Boyue (X70) dan juga Binyue (X50). Ia dihasilkan dengan panjang 4,835 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,784 mm dan jarak roda sejauh 2,815 mm. Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, berbanding Proton X70, Haoyue adalah 316 mm lebih panjang, 69 mm lebih lebar, 91 mm lebih tinggi dan jarak roda 145 mm lebih jauh.

    Dengan saiz yang besar ini, Haoyue ditawarkan dalam versi lima- dan tujuh-tempat duduk di China. Kesemua tempat duduk belakang boleh dilipat dengan rata, bagi memberikan ruang kargo sebesar 2,370 liter.

    Di China, Haoyue dijana oleh enjin 1.8L empat silinder turbo berkuasa 181 PS/300 Nm, dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Ia hadir dalam versi pacuan hadapan dan juga pacuan semua roda.

    Proton X90 kelihatan di M’sia – SUV besar 7-tempat duduk berasaskan Geely Haoyue sedang diuji

    Namun untuk Okavango di Filipina, SUV ini dijana oleh enjin 1.5L tiga-silinder turbo bersama sistem hibrid ringkas 48-volt bagi menghasilkan 190 hp/300 Nm. Versi ini turut digandingkan dengan kotak gear DCT tujuh-kelajuan, tetapi tiada pilihan sistem AWD. Harganya bermula dari 1,208,000 pesos (RM102,000) hingga 1,328,000 pesos (RM112,100).

    Buat setakat ini, Proton masih mengunci mulut berhubung dengan model baharu yang bakal diperkenalkan. Tetapi jika benar Proton X90 ini bakal hadir ke pasaran tempatan, adakah anda akan mempertimbangkan untuk memilikinya? Dan adakan ia boleh mengulangi sejarah ‘laku keras’ seperti mana yang dicipta oleh adik-adiknya iaitu X70 dan X50?

     
     
  • Honda RS-X dilancar untuk Malaysia – ada kelainan berbanding Winner X Vietnam, ABS, harga RM8,688

    Honda RS-X dilancar untuk Malaysia – ada kelainan berbanding Winner X Vietnam, ABS, harga RM8,688

    Model yang ditunggu-tunggu peminat kapcai di Malaysia, iaitu Winner X kini dilancarkan di Malaysia dengan nama RS-X. Ia ditawarkan dalam pilihan tiga warna, iaitu kuning, biru dan merah Trico, pada harga jualan RM8,688 tidak termasuk insurans.

    Sebelum pergi lanjut kepada spesifikasinya, kami ingin memberitahu bahawa RS-X pasaran Malaysia ini mempunyai keunikan tersendiri jika dibandingkan dengan Winner X pasaran Vietnam. Bahagian ‘kepala’ dan ekzosnya adalah berlainan, dan ia dilengkapi dengan ABS one-channel seperti varian tertinggi Winner X Sport ABS.

    RS-X digerakkan oleh enjin suntikan bahan api satu silinder DOHC 149.16 cc, dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm. Enjin hanya boleh dihidupkan dengan pemula elektrik.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan sistem cakera dengan angkup satu piston, sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Rim adalah unit 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada RS-X adalah seperti tangki bahan api 4.5 liter, meter digital dengan penunjuk kedudukan gear, lampu depan dan belakang LED, berat 122 kg dan klac jenis basah. Model ini datang dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Volvo XC60 facelift bakal dilancarkan di Malaysia?

    Volvo XC60 facelift bakal dilancarkan di Malaysia?

    Volvo Car Malaysia (VCM) telah mula menyiarkan teaser XC60 facelift menerusi laman media sosial, bagai memberikan bayangan SUV berkenaan bakal dilancarkan di pasaran tempatan tidak lama lagi. Imej tunggal yang dimuat naik oleh syarikat berkenaan menerusi laman media sosial rasmi mereka telah menunjukkan penggayaan yang disemak semula, dengan beberapa kit baharu.

    Untuk lebih spesifik, imej yang ditunjukkan itu memaparkan bahagian hadapan XC60 dalam varian Inscription, yang menampilkan kepingan perak yang ditempatkan di seksyen lampu kabus dengan bentuk yang lebih menegak.

    Lain-lain perubahan termasuklah bampar yang digayakan semula menampilkan lipatan lebih tajam berhampiran corong pengambilan di bawah dan juga kepingan kemasan krom pada bahagian bawah. Untuk bahagian belakangnya pula, ekzos diberikan sentuhan kemasan krom yang lebih kurang sama dengan bahagian hadapan.

    XC60 juga diberikan pakej R-Design, dengan gaya bampar yang lebih agresif serta gril dengan kemasan jejaring-persegi berbanding kepingan menegak. Buat masa ini, model pre-facelift tidak pernah ditawarkan dengan penggayaan R-Design sejak ia mula diperkenalkan di sini pada tahun 2018, kita cuma dapat pilihan Momentum dan Inscription.

    Di dalamnya, XC60 terkini didatangkan dengan sistem infotainmen baharu dengan Android Automotive OS, yang pertama kali diperkenalkan menerusi model XC40 elektrik sepenuhnya, dan ia berbeza dengan sistem Sensus yang digunakan pada model semasa. Lain-lain semakan termasuklah melibatkan platform penderia Advanced Driver Assistance Systems (ADAS), yang membolehkan fungsinya dipertingkatkan.

    Buat masa ini, XC60 pre-facelift – yang dipertingkatkan pada April lalu – ditawarkan dengan dua penjana kuasa untuk pasaran Malaysia, termasuk T5 (Momentum) and Recharge T8 (Inscription Plus). Kedua-duanya didatangkan dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dan transmisi automatik lapan-kelajuan, dengan T5 menyalurkan kuasa 254 PS dan tork 350 Nm ke semua roda.

    Recharge T8 ditambah dengan supercharger untuk kuasa sehingga 320 PS dan 400 Nm, dengan motor elektrik pada gandar belakang menyumbang lagi 87 PS dan 240 Nm bagi menghasilkan output keseluruhan cecah 407 PS dan 640 Nm. Pacuan bagi e-motor disalurkan dari bateri lithium-ion 11.6 kWh yang mampu memberikan jarak semua elektrik sehingga 54 km.

    GALERI: Volvo XC60 facelift 2021

     
     
  • PLUS aktifkan RFID yang disepadukan dengan sistem ANPR di sepanjang laluan Hutan Kampung-Sungai Dua

    PLUS aktifkan RFID yang disepadukan dengan sistem ANPR di sepanjang laluan Hutan Kampung-Sungai Dua

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan sistem pembayaran tol Radio Frequency Identification (RFID) di sepanjang laluan Hutan Kampung-Sg Dua diaktifkan secara langsung bagi membolehkan lebih ramai pelanggan lebuh raya menikmati perjalanan yang lancar, tanpa sentuh dan tanpa tunai, sekaligus menamatkan tempoh ujian awamnya yang dijalankan sejak Julai 2020.

    Menurut PLUS, sepanjang laluan terbabit, RFID telah diaktifkan dengan sistem Pengecaman Automatik Nombor Pendaftaran Kenderaan (ANPR). Ia bertujuan untuk mempertingkatkan keselamatan dan kelancaran perjalanan yang membolehkan pelanggan melalui lorong tersebut pada kadar kelajuan 30 km/j berbanding 20 km/j di lorong SmartTAG.

    Di samping itu, sistem RFID di PLUS dengan ANPR dan Pusat Validasi Tol (TVC) akan meningkatkan pemprosesan pembayaran sebagai langkah pertama ke arah lebuh raya sistem tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) pada masa akan datang. Sebagai langkah menggalakkan pengalaman pembayaran tanpa tunai dan tanpa sentuh sejajar dengan norma baharu, sistem RFID juga akan memudahkan pelanggan untuk menambah nilai dan mengekalkan baki yang mencukupi melalui tambah nilai atas talian yang lebih selamat dan tambah nilai automatik melalui Touch ‘n Go e-Wallet.

    “Ini merupakan sistem pertama seumpamanya bagi industri lebuh raya Malaysia, di mana keunikan pengalaman RFID di PLUS terletak pada gabungan sistem ANPR dan TVC yang diperkukuhkan dengan kemampuan Artificial Intelligence dan Machine Learning yang menggunakan kamera beresolusi tinggi di kedua-dua lorong masuk dan keluar, sekaligus membolehkan semua pelanggan RFID sentiasa melalui lorong tol dengan lancar.

    PLUS aktifkan RFID yang disepadukan dengan sistem ANPR di sepanjang laluan Hutan Kampung-Sungai Dua

    “Sistem ANPR dan TVC bersepadu ini akan dapat mengesan, menganalisis dan menyelesaikan isu pelanggan RFID secara automatik tanpa mengganggu pengalaman perjalanan pelanggan di lorong tersebut,” kata Datuk Azman Ismail, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

    Datuk Azman juga mengunjurkan penggunaan RFID di laluan PLUS’ Hutan Kampung–Sungai Dua, yang kini merupakan yang tertinggi di semua lebuh raya sistem tol tertutup di Malaysia akan meningkat sehingga 30% dalam masa terdekat berikutan kebenaran merentas negeri oleh kerajaan.

    “Kami bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kedah dan Pulau Pinang untuk membawa RFID kepada pelanggan tempatan kami untuk menikmati pengalaman yang lancar menggunakan lorong RFID.

    “Melalui kerjasama erat bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak Touch ‘n Go Sdn Bhd (TNG), PLUS juga sedang berusaha untuk memperluaskan akses kepada pembayaran tol RFID di sepanjang lebuh rayanya dari Juru ke Skudai mulai awal 2022,” tambah beliau lagi.

     
     
  • Mercedes-AMG SL R232 2022 diperkenal – sedia kuasa sehingga 585 PS dan 800 Nm tork, PHEV kemudian

    Mercedes-AMG SL R232 2022 diperkenal – sedia kuasa sehingga 585 PS dan 800 Nm tork, PHEV kemudian

    Model baru Mercedes-Benz SL biasanya diperkenalkan sekali setiap 10 tahun, dan tahun ini ia berlaku lagi. Kali ini ia sedikit berbeza kerana tidak lagi dikeluarkan dari kemudahan syarikat itu di Stuttgart, tetapi dari Affalterbach. Inilah dia, Mercedes-AMG SL R232.

    Model ini menggantikan GT Roadster sebelumnya, dan dibina atas struktur komposit aluminium baru yang tidak digunakan bagi model Mercedes lain. Selain besi yang lebih ringan, kereta ini juga dibina menggunakan bahan gentian magnesium untuk meningkatkan ketegarannya, dengan ketahanan kilasan meningkat sebanyak 18% berbanding SL R231. Kekuatan menegak dan melintang juga meningkat 50% dan 40% berbanding GT Roadster.

    Pada bahagian luar, rekaan yang diperkemas semula menunjukkan evolusi daripada GT Roadster, dengan lampu hadapan lebih nipis (dengan teknologi Digital Light) dan lampu belakang bersegi yang menunjukkan gaya rekaan terbaru Mercedes.

    Model baru ini juga membawa kembali bumbung jenis fabrik kepada model SL (kali terakhir digunakan adalah pada model R129 tahun 90-an), untuk menggantikan bumbung jenis keras yang diperkenalkan sejak model R230. Ia boleh dibuka dan ditutup pada kelajuan bawah 60 km/j, dengan mengambil masa sekitar 15 saat. Melalui perubahan ini juga, ia berjaya menjimatkan berat sebanyak 21 kg dan memberikan titik graviti lebih rendah.

    Penutup but yang sedikit membonjol di belakang untuk menyimpan bumbung tersebut turut menempatkan spoiler jenis aktif, sementara di bawahnya terdapat bampar dengan diffuser serta empat muncung ekzos. Pilihan rim terdiri dari saiz 19 hingga 21 inci, dan direka untuk melengkapi bahagian lain yang mengambil penting ciri aerodinamik seperti pembuka pintu jenis tenggelam serta gril aktif Airpanel.

    Sebagai tambahan, SL R232 ini juga datang dengan Aerodynamic Package, yang terdiri daripada panel tambahan di bukaan udara tepi bampar, diffuser besar di belakang serta spoiler aktif gentian karbon bawah badan (direndahkan apabila laju untuk mengurangkan kesan Venturi bawah badan, mengurangkan daya angkatan sehingga 50 kg pada 250 km/j dan meningkatkan ketepatan stereng serta stabiliti.

    Bahagian dalam turut melibatkan rekaan semula yang komprehensif, dengan kini boleh menempatkan empat orang di dalamnya – kali terakhir digunakan pada SL R120 – tetapi tempat duduk belakang hanya untuk mereka yang berketinggian sehingga 1.5 meter. Di bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh 11.9 inci yang diletakkan menegak dan menggunakan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) terkini serta boleh dilaras 12 hingga 32 darjah untuk mengelakkan silau.

    Mercedes-AMG SL R232 2022 diperkenal – sedia kuasa sehingga 585 PS dan 800 Nm tork, PHEV kemudian

    Konsep rekaan lain yang boleh dilihat adalah seperti corong pendingin hawa bentuk turbin serta konsol tengah yang diambil daripada AMG GT. Dalam keadaan standard anda diberikan dengan roda stereng berbentuk rata di bawah serta tempat duduk sports, sementara tempat duduk AMG Performance yang lebih gebu disediakan sebagai pilihan tambahan. Sistem Airscarf disediakan terus bagi model yang menggunakan enjin lapan silinder.

    Melalui ayat ini, kita tahu nanti akan ada pilihan enjin lain yang diperkenalkan, tetapi waktu pelancaran, ia cuma datang dengan enjin V8 twin turbo 4.0 liter M177. Ada dua varian yang disediakan, iaitu SL 63 yang berkuasa 585 PS/800 Nm, dan SL 55 berkuasa 476 PS/700 Nm.

    Varian SL 63 boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat sementara SL 55 pula mencatat 3.9 saat, manakala kelajuan maksimum masing-masing pula adalah 315 km/j dan 295 km/j. Kedua-duanya dipadankan bersama transmisi automatik sembilan kelajuan AMG Speedshift MCT 9G dengan sistem AMG Performance 4Matic+ yang boleh mengubah pacuan menjadi roda belakang sahaja atau semua roda secara sendiri.

    Mercedes juga akan memperkenalkan versi plug-in hybrid bagi model ini, berkemungkinan menggunakan penggerak sama seperti GT 63 S E Performance iaitu padanan enjin V8 639 PS/900 Nm dengan motor elektrik 14 PS dan satu lagi motor elektrik 204 PS/320 Nm, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 843 PS dan 1,470 Nm tork.

    Untuk memegang jalan, roda SL R232 disambungkan kepada badan menggunakan sistem five-link, dengan besi sambungan, knuckle stereng dan pemegang hab yang dibuat daripada aluminium forged untuk mengurangkan beratnya. Sistem penyerap adaptif dua injap dan gegelung spring didatangkan standard, sementara SL 63 dilengkapi dengan AMG Active Ride Control dan limited-slip differential elektronik (pilihan tambahan bagi SL 55).

    Semua model SL R232 ini datang dengan active rear-wheel steering yang boleh membelok sehingga 2.5 darjah, serta cakera brek komposit berliang (cakera karbon seramik disediakan sebagai pilihan tambahan). Dinamik kenderaan boleh dikawal melalui mod Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Individual, dan pada SL 63 ia ditambah dengan mod Race. Turut disediakan adalah sistem AMG Dynamics dengan pilihan mod Basic, Advanced, Pro dan Master untuk melaras tetapan casis serta stability control.

     
     
  • Cukai jalan boleh diperbaharui di 14 cawangan Puspakom di Sabah dan Sarawak mulai 1 Nov

    Cukai jalan boleh diperbaharui di 14 cawangan Puspakom di Sabah dan Sarawak mulai 1 Nov

    Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengumumkan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan kini sudah boleh dilakukan di kesemua 14 cawangan Puspakom di Sabah dan Sarawak, mulai hari ini (1 November 2021).

    Walau bagaimana pun, perkhidmatan ini hanyalah untuk motosikal dan kereta persendirian, tidak termasuk kenderaan e-hailing. Malahan perkhidmatan ini juga untuk kenderaan decontrolled (kenderaan barangan dengan berat 7,500 kg ke bawah)

    Di Semenanjung Malaysia, pembaharuan cukai jalan untuk kenderaan decontrolled di Puspakom adalah bermula tahun 2020, sebelum ia mula dibuka untuk kenderaan persendirian di kesemua 39 cawangan Puspakom pada September lalu.

    Dengan inisiatif ini, MOT berharap ia mampu meningkatkan lagi perkhidmatan oleh kerajaan, sekaligus meningkatkan lagi akses untuk perkidmatan seumpamanya. Malahan langkah ini juga dilihat mampu mengurangkan kos dan masa rakyat, ujar kementerian terbabit.

     
     
  • Great Wall Ora Good Cat dilancarkan diThailand – jarak hingga 500 km; 3 varian; harga dari RM123k-RM149k

    Great Wall Ora Good Cat dilancarkan diThailand – jarak hingga 500 km; 3 varian; harga dari RM123k-RM149k

    Great Wall Motors (GWM) secara rasminya telah melancarkan Ora Good Cat di Thailand, hatchback elektrik sepenuhnya yang telah menerima tempahan menggalakkan di negara tersebut. Ditawarkan dengan tiga varian, termasuk Tech dan Pro dengan jarak sehingga 400 km (standard NEDC) serta model spesifikasi tertinggi Ultra yang mampu mencapai jarak sehingga 500 km dengan pengecasan penuh.

    Harga bermula pada 989,000 baht (RM123,103) untuk Tech, diikuti dengan Pro berharga 1.059 juta baht (RM131,795) dan Ultra pula 1.199 juta baht (RM149,174). Setiap pembelian turut diberikan waranti lima-tahun/150,000 km serta waranti lapan-tahun/180,000 km.

    Semua varian diberikan motor elektrik hadapan dengan kadar 143 PS (141 hp atau 105 kW) dan tork 210 Nm, yang boleh. mencapai kelajuan maksimum sehingga 152 km/j. E-Motor bagi Techdan Pro dipacukan oleh bateri lithium-ion yang memiliki kapasiti tenaga sehingga 47.8 kW untuk jarak 400 km.

    Sementara bagi varian Ultra yang mampu mencapai jarak hingga 500 km, ia diberikan bateri berkapasiti 63.1 kWh, lebih kurang sama dengan versi pasaran China yang berkapasiti 59.1 kWh. Semua varian juga menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW menerusi sambungan Type 2. Varian Tech dan Pro mengambil masa selama lapan jam untuk pengecasan penuh, manakala Ultra pula memerlukan 10 jam untuk dicas penuh.

    Great Wall Ora Good Cat dilancarkan diThailand – jarak hingga 500 km; 3 varian; harga dari RM123k-RM149k

    Ia juga diberikan pilihan menggunakan pengecasan pantas DC dengan kapasiti 60 kW menggunakan sambungan CCS2, yang memerlukan antara 0-80% peringkat pengecasan (SoC) lebih kurang 45 minit untuk varian 400 km, dan sekitar sejam bagi Ultra. Untuk 30-80% SoC pula, ia mengambil masa sekitar 32 minit bagi bateri kecil dan 40 minit bagi bateri yang lebih besar.

    Bagi kelengkapan, model asas Tech diberikan roda keluli 17-inci, gril hadapan aktif, lampu utama LED manual, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, tempat duduk hadapan manual, paparan instrumen pelbaga-info tujuh-inci, pendingin hawa automatik dengan penapis udara PM2.5, telematik, sistem infotainmen skrin sesentuh 10.25-inci, empat pembesar suara, dua beg udara, lima mod pemanduan, fungsi satu-pedal, kawalan kelajuan, sistem keselamatan pasif, empat penderia parkir belakang dan brek kecemasan kelajuan rendah.

    Untuk Pro pula, ia ditampilkan dengan rim aloi 18-inci, lampu utama LED automatik, bilah pengelap cermin dengan penderia-hujan, bumbungmatahari panoramik elektrik, upholstery kulit sintetik, tempat duduk pemandu larasan kuasa, pengecas telefon tanpa wayar, kawalan kelajuan adaptif dengan intelligent turning, bantuan kesesakan trafik, kamera 360-darjah, brek kecemasan automatik dengan pengesan persimpangan, amaran pelanggaran hadapan, wisdom dodge, amaran ketibaan lorong dan pemusatan serta kawalan brek selekoh.

    Great Wall Ora Good Cat dilancarkan diThailand – jarak hingga 500 km; 3 varian; harga dari RM123k-RM149k

    Pastinya varian Ultra menerima kelengkapan yang lebih menarik termasuklah efek welcome light hingga lampu utama , tiga tema dalaman berbanding hanya hitam, fungsi memori dan mengurut untuk tempat duduk pemandu larasan kuasa, enam pembesar suara, bantuan parkir, bantuan kekal lorong kecemasan, bantuan tukar lorong, pemantauan titik buta, amaran pelanggaran belakang, kepekaan trafik lintasan belakang dengan AEB dan enam penderia parkir di hadapan.

    Good Cat adalah model import sepenuhnya (CBU) untuk Thailand, dan ia mungkin akan diproduksi secara pemasangan tempatan (CKD) pada masa hadapan. GWM telah mengeluarkan kenyataan untuk menjadikan negara berkenaan sebagai hab bagi kenderaan elektrik di rantau Asia dan telah pun memiliki kilang produksi di Rayong yang sebelum ini dimiliki oleh General Motors.

    Pada April lalu, model ini pernah terlihat di sekitar Elmina, Shah Alam, sekaligus memberikan spekulasi bahawa EV ini akan diperkenalkan di sini selepas Thailand. Namun buat masa ini, tiada kenyataan rasmi mengenainya, tetapi berdasarkan spesifikasi dan harga yang ditawarkan di Thailand, adakah model ini boleh mendapat sambutan di kalangan rakyat Malaysia?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025