Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Sasaran jualan kenderaan M’sia tahun 2021 diturunkan dari 570k ke 500k kerana lama tidak dapat beroperasi

    Sasaran jualan kenderaan M’sia tahun 2021 diturunkan dari 570k ke 500k kerana lama tidak dapat beroperasi

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah merujuk semula sasaran jumlah keseluruhan industri (TIV) 2021, iaitu jualan keseluruhan kenderaan penumpang dan komersial di dalam negara. Ia telah diturunkan, daripada 570,000 unit yang diumukan awal tahun lalu, kepada 500,000. TIV yang direkod pada tahun 2020 adalah 529,434.

    Ini adalah berikutan sektor automotif terpaksa ditutup secara penuh di Malaysia dari 1 Jun lalu, sebagai antara langkah oleh kerajaan untuk membendung penyebaran Covid-19. Kilang dan pusat pameran kereta tidak dibenarkan beroperasi dalam Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    “MAA telah membuat keputusan merujuk semula sasaran TIV 2021 selepas mengambil kira banyak faktor, terutama sekali yang berkenaan arahan kerajaan supaya kilang, pusat pengedaran dan pusat pameran automotif tidak dibenarkan beroperasi semasa Fasa 1 dan Fasa 2, dan hanya akan dibuka semula dalam Fasa 3 PPN,” kata presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad.

    Sasaran jualan kenderaan M’sia tahun 2021 diturunkan dari 570k ke 500k kerana lama tidak dapat beroperasi

    Ada juga yang menjangkakan jumlah ini lebih rendah, kerana keadaan sekarang agak sukar. Walaubagaimanapun, MAA berkata ekonomi global dijangka berkembang pada fasa paling pantas dalam tempoh 80 tahun, dengan diketuai oleh syarikat besar seperti AS. Di dalam negara, Malaysia dijangka mencatat perkembangan GDP positif tahun ini, tetapi masih rendah 6% ke 7% berbanding unjuran awal.

    Selain daripada itu, kerajaan juga telah melancarkan pakej rangsangan (paling baru adalah Pemerkasa Plus) yang memberikan pengecualian cukai jualan kepada pembeli kereta dan telah disambung sehingga hujung tahun 2021. Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa Bank Negara serendah 1.75% sekarang pula membawa maksud kadar faedah sewa beli adalah rendah. MAA juga ada menyatakan kelulusan pinjaman akan jadi lebih mudah kerana jumlah permohonan semakin menurun.

    Kemudiannya, seperti biasa, pengenalan model baru dan kempen promosi agresif yang sentiasa dilakukan oleh syarikat kereta akan membantu lagi merancakkan jualan dan mengekalkan perkongsian pasaran masing-masing bagi menarik pelanggan.

    Sasaran jualan kenderaan M’sia tahun 2021 diturunkan dari 570k ke 500k kerana lama tidak dapat beroperasi

    Di sebalik itu, MAA menyatakan bahawa sentimen pengguna dijangka terus lemah kerana rasa tidak tentu terhadap keadaan ekonomi, dan kebimbangan dibuang kerja atau gaji dipotong. Syarikat juga berkemungkinan menarik dahulu sebarang pelaburan untuk melihat terlebih dahulu keadaan sekitar, dan keadaan politik sekarang juga tidak membantu.

    Masalah paling memberi tekanan bagi pengeluar kenderaan di Malaysia sekarang adalah memenuhi pesanan yang datang. Aishah menjelaskan kumpulan pesanan ini adalah bagus. “Pesanan terus masuk, orang masih mahu membeli. Masalah sekarang adalah bila kami dapat memenuhi pesanan ini dengan kilang serta pusat pameran sekarang semua ditutup,” kata beliau.

     
     
  • Geely Xingyue L dilancarkan secara rasmi di China — 2.0T, autonomous Tahap 2, versi hibrid akan datang

    Geely Xingyue L dilancarkan secara rasmi di China — 2.0T, autonomous Tahap 2, versi hibrid akan datang

    Geely secara rasmi telah memperkenalkan model Xingyue L untuk pasaran China. Model flagship berkenaan, disifatkan sebagai SUV paling maju pernah dikeluarkan oleh Geely, membuat penampilan rasmi tersebut di Hangzhou. Didedahkan pertama kali sebagai KX11 sebelum membuat kemunculan pertama di Shanghai pada April 2021, Geely telah menerima sebanyak 30,000 tempahan bagi SUV ini.

    Menjadi model ketiga bagi model flagship “Star” keluaran Geely selepas SUV Xingyue S dan sedan Xing Rui/Preface, Xingyue L merupakan sebuah SUV lima-tempat duduk yang dibina menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) Geely-Volvo yang turut dimanfaatkan oleh Volvo XC40, Polestar 2 dan beberapa model Lynk & Co.

    SUV besar ini dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo suntikan terus dalam dua talaan. Versi janaan 238 PS/380 Nm digandingkan bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan dari Aisin serta sistem 4WD generasi keenam BorgWarner dengan agihan tork pada nisbah 50:50 depan/belakang. Ada lima mod pemanduan — Eco, Normal, Sport, Snow, Offroad, serta pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat. Versi talaan lebih rendah pula hadir dengan janaan 218 PS dan 325 Nm. Versi pacuan roda dean ini datang dengan transmisi klac berkembar dengan tujuh-kelajuan dari Geely sendiri.

    Geely Xingyue L dilancarkan secara rasmi di China — 2.0T, autonomous Tahap 2, versi hibrid akan datang

    Sebagai sebahagian daripada Blue Geely Initiative, model-model “Star” termasuk Xungyue L akan menjadi yang pertama menawarkan sistem janaan Geely Hybrid System (GHS) kepada pelanggan, dengan unit jana kuasa 2.0 hibrid. GHS 2.0 akan didedahkan sepenuhnya pada suku keempat tahun ini, menawarkan aspek “kecekapan termal kelas dunia dengan 43.32% dan penjimatan bahan api melebihi 40%,” jelas syarikat itu.

    Model terbaru ini juga dikhabarkan mampu pergi melangkaui pemanduan autonomous Tahap 2. Xingyue L hadir dengan sistem valet automatik tanpa manusia 5G; dalam kawasan 200m seperti di parkir, Xingyue boleh dikendalikan sendiri, mencari ruang parkir dan masuk ke situ sendiri. Ia boleh juga digunakan untuk “memangil” SUV berkenaan untuk mengambil penggunanya dalam kawasan 200m.

    Ciri ini dicapai melalui kesepaduan 12 radar ultrasonik, lima radar gelombang milimeter, empat kamera HD sekeliling, satu kamera monocular, satu dashcam dan satu kamera di dalam. SUV ini juga menjadi model pertama Geely yang menawarkan ciri HWA Highway Assisted Driving yang dengan aktif akan meninjau persekitaran kenderaan, menukar lorong secara autonomous dan bergerak menjauhi kenderaan besar.

    Geely Xingyue L dilancarkan secara rasmi di China — 2.0T, autonomous Tahap 2, versi hibrid akan datang

    Xingyue L datang dengan firmware OTA penuh yang membolehkan aspek utama pada kenderaan, seperti keselamatan pintar, infotainmen, kuasa, casis, pemanduan autonomous dan keterhubungan dinaik taraf dari semasa ke semasa.

    Ruang dalaman pula menurut Geely mempertemukan elemen timur dan barat. Sentuhan mewah yang tidak keterlaluan kelihatan melimpah di dalam kabin, dengan penggunaan material suede, serta visual anyaman pada kerusi mewakili bentuk ikatan klasikan China. Perisian sistem operasi menggunakan Milky Way OS, yang antaranya menghubungkan panel instrumen digital dan AR HUD 25.6-inci.

    Akhir sekali, SUV ini juga dilengkapi dengan sistem audio Bose dengan 10-pembesar suara serta penebat bunyi dua lapisan. Skim pencahayaan suasana dengan 72 warna juga tersedia.

     
     
  • Proton X70 SE dilancarkan – RM116,800, hanya 2,000-unit, warna biru, rim 19-inci unik, kulit Nappa hitam

    Proton X70 SE dilancarkan – RM116,800, hanya 2,000-unit, warna biru, rim 19-inci unik, kulit Nappa hitam

    Selepas pengumuman dan teasernya disiarkan, hari ini Proton X70 Special Edition (SE) secara rasminya telah dilancarkan pada pasaran Malaysia. Seperti yang diketahui sebelum ini, versi istimewa ini dihasilkan hanya 2,000-unit berasaskan varian Premium 2WD dan diberikan pelbagai perincian unik.

    Proton X70 SE ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM116,800, termasuk pengecualian cukai jualan oleh kerajaan sehingga hujung tahun ini. Selepas 31 Disember, model ini akan dijual pada harga RM7,000 lebih mahal iaitu RM123,800. Ia juga diberikan perlindungan waranti selama lima tahun, tanpa had perbatuan.

    Berbanding varian Premium 2WD yang dijual pada harga RM113,100, model SE ini adalah RM3,700 lebih mahal. Malah ia turut RM1,000 lebih mahal berbanding varian tertinggi Premium X (RM115,800) yang diberikan bumbung panaromik.

    Proton X70 SE dilancarkan – RM116,800, hanya 2,000-unit, warna biru, rim 19-inci unik, kulit Nappa hitam

    Hanya dua warna badan ditawarkan untuk X70 SE ini. Yang pertama adalah Ruby Red sama seperti yang ditawarkan X70 biasa, manakala satu lagi adalah Ocean Blue. Warna biru laut ini tidak pernah ditawarkan pada mana-mana varian X70 sebelum ini, dan ia sama seperti 37-unit X70 Exclusive Edition (EE) yang telah dilancarkan di Brunei Jun lalu.

    Model ini juga sebenarnya menerima tema warna badan luaran dua tona dengan cermin sisi, spoiler belakang dan juga bumbung yang diberikan kemasan hitam. Konsep yang sama sebelum ini telahpun diterapkan pada X70 Merdeka Edition iaitu model yang dihasilkan 62 unit (sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-62 tahun) pada 2019. Ia kemudiannya diberikan emblem SE yang dilekapkan pada pintu tailgate belakang.

    Satu lagi perincian istimewa pada bahagian luaran X70 SE ini adalah rim 19-inci yang dipadankan. Walaupun diameternya masih sama seperti X70 Premium 2WD, rekaannya adalah lebih unik dan tidak pernah ditampilkan pada model Proton sebelum ini, sebaliknya diambil dari Geely Boyue Pro.

    Proton X70 SE dilancarkan – RM116,800, hanya 2,000-unit, warna biru, rim 19-inci unik, kulit Nappa hitam

    Pada bahagian dalaman, upholsteri kulit Nappa X70 SE hadir dalam kemasan hitam bersama serlahan jahitan benang putih dan merah, berbanding kulit Nappa berwarna perang pada X70 Premium dan Premium X 2WD. Roda stereng model ini juga menerima jahitan benang putih, serta diberikan satu set karpet lantai istimewa dengan sulaman logo SE.

    Bagi perician lain, ia dibawa terus dari X70 Premium 2WD. Ini termasuk lampu hadapan LED projektor dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kombinasi belakang LED, lampu kabus hadapan LED, pengelap cermin dengan penderia hujan, sistem kunci pintar serta pintu tailgate berkuasa dengan operasi tanpa sentuhan.

    Manakala pada bahagian kabin ia menerima paparan instrumen LCD tujuh-inci, butang penghidup enjin, sistem pendingin hawa dua-zon automatik dengan liang kabin belakang dan sistem penyegar udara, cermin pandang belakang auto-dimming lampu bendul pintu dan selamat datang, larasan berkuasa untuk lumbar pada tempat duduk pemandu dan larasan berkuasa empat hala untuk tempat duduk penumpang hadapan (dengan suis tambahan pada bahagian bahu).

    Untuk sistem infotainmen pula, X70 SE diberikan skrin infotainment lapan-inci dengan arahan suara “Hi, Proton”, streaming muzik dalam talian, navigasi, hubungan telefon pintar, Bluetooth dan hotspot Wi-Fi 4G. Ia dihubungkan kepada sembilan pembesar suara termasuk subwoofer.

    Aplikasi Proton Link turut dibekalkan bagi memantau status kenderaan serta memberikan fungsi kawalan jauh untuk sistem seperti tingkap berkuasa.

    X70 SE ini menerima sistem keselamatan standard seperti enam-beg udara (hadapan, sisi dan tirai), cagak tempat duduk kanak-kanak di belakang dengan cangkuk atas, sistem brek ABS bersama EBD dan BA, sistem Brake Hold, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Traction, Bantuan Mula Mendaki (HHA), Bantuan Menurun Bukit (HDC) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).

    Proton X70 SE dilancarkan – RM116,800, hanya 2,000-unit, warna biru, rim 19-inci unik, kulit Nappa hitam

    Ia juga diberikan sistem keselamatan tambahan yang sama seperti varian Premium 2WD termasuk Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS), empat penderia parkir hadapan, kamera 360-darjah, serta sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) merangkumi Brek Kecemasan Automatik (AEB), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Cruise Control Adaptif (ACC), Amaran Keluar Lorong (LDW), Sistem Pemantau Titik Buta (BLIS), Sistem Amaran Bukaan Pintu (DOW) dan Kawalan Lampu Tinggi Pintar (HBC).

    Tiada perubahan sistem mekanikal pada X70 SE ini, di mana ia masih menerima enjin 1.8 liter empat silinder turbo menghasilkan 184 PS (181 hp) dan tork maksima 300 Nm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, memacu hanya roda hadapan.

     
     
  • smart EQ fortwo 2021 Racing Green Edition ditunjuk

    smart EQ fortwo 2021 Racing Green Edition ditunjuk

    Jenama kenderaan smart baru saja memperkenalkan model coupe EQ fortwo Racing Green Edition di UK. Ia kini boleh ditempah dengan harga £25,495 (RM148k). Tiada angka produksi didedahkan setakat ini, sebaliknya pengeluar memaklumkan model edisi ini akan ditawarkan dalam tempoh terhad sahaja.

    Ciri unik padanya tentulah warna Racing Green metalik yang digunaan, dilengkapkan imejnya dengan rim hitam 16-inci Brabus Monoblock XI aloi dengan bahagian warna perak. Lampu utama LED, lampu belakang LED dan bumbung kaca panoramik didatangkan secara standard.

    Lebih istimewa adalah bahagian dalam kereta ini, dengan penggunaan kulit Nappa jahitan tangan dengan bentuk berlian. Ini dilakukan oleh Brabus, dan hadir dengan kontras menarik jahitan atas warna Racing Green. Kemasan ini dilanjutkan juga pada papan pemuka, panel pintu dan stereng.

    Perincian dalaman lain termasuk pedal kaki dan tuil brek aluminium oleh Brabus, kemasan keliling gentian kaca bagi paparan skrin sentuh lapan-incinya (dengan Apple CarPlay dan Android Auto) serta batang gear aluminium Brabus.

    Tiada sebarang perubahan dilakukan terhadap sistem janaan kuasa elektriknya. Jadi, output kekal sama; 82 hp/160 Nm bagi motor elektrik dengan transmisi satu kelajuan masih menjadi penggeraknya. Semua model mempunyai jarak perjalanan 113 km dan laju maksimum 130 km/j.

    Peningkatan paling utama padanya pula ialah pemasangan pengecas dalaman 22 kW, yang menjadi standard bagi model Racing Green Edition ini. Ia memerlukan 40 minit untuk mengecas bateri dari 10% hingga 80% menggunakan pengecas pantas, atau kurang enam jam jika menggunakan soket domestik biasa.

     
     
  • Puspakom Sg Besar ditutup sementara mulai 22 Julai

    Puspakom Sg Besar ditutup sementara mulai 22 Julai

    Puspakom Sdn. Bhd telah memaklumkan bahawa operasi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Sungai Besar, Selangor, ditutup sementara mulai hari ini, 22 Julai 2021 bertujuan melakukan proses disinfeksi dan sanitasi di premis terbabit.

    “Pembukaan semula Puspakom Sungai Besar akan dimaklumkan kelak. Bagi pelanggan yang telah membuat temujanji pemeriksaan di cawangan tersebut, bayaran temujanji akan dipulangkan secara automatik.Temujanji pemeriksaan boleh dilakukan semula apabila Puspakom Sungai Besar beroperasi kembali seperti biasa. Pelanggan diminta untuk mengabaikan Peringatan Temujanji MyPUSPAKOM jika menerimanya sepanjang tempoh penutupan cawangan,” kata kenyataan terbabit.

    Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa daerah di Selangor dan lokaliti di Kuala Lumpur yang telah berakhir pada 16 Julai lalu, Puspakom telah mengumumkan semua pusat pemeriksaan di Negeri Selangor termasuk Perkhidmatan Bergerak Puspakom di kawasan Lembah Klang kini beroperasi seperti biasa.

    Pengoperasian semula ini melibatkan semua jenis pemeriksaan kenderaan. Pelanggan yang ingin menjalani pemeriksaan kenderaan wajib membuat temujanji secara dalam talian sebelum hadir ke Puspakom atau mengguna perkhidmatan bergerak. Pemeriksaan secara ”walk-in” tidak dibenarkan.

     
     
  • Mercedes-Benz M’sia umum Sagree Sardien sebagai presiden dan CEO baharu, gantikan Claus Weidner

    Mercedes-Benz M’sia umum Sagree Sardien sebagai presiden dan CEO baharu, gantikan Claus Weidner

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan perlantikan Sagree Sardien sebagai presiden dan CEO baharu. Beliau menggantikan Claus Weidner, yang memegang jawatan berkenaan sejak 2015, dan kini dilantik sebagai Ketua Serantau, Mercedes-Benz Cars South-East Asia II.

    Sardine memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam industri automotif, di mana 13 tahun daripadanya adalah bersama Daimler. Beliau memulakan kerjayanya dengan jenama ini sebagai ketua operasi di Afrika Selatan untuk jabatan Pengurusan Kumpulan. Sepanjang tempoh tersebut, beliau juga beberapa kali memegang jawatan lain dalam organisasi Daimler di Afrika Selatan, dalam operasi pengurusan, logistik, jualan, pengurusan produk dan perkidmatan pelanggan.

    Beliau juga bertanggungjawab bagi mengimplementasikan dalam model perniagaan Peruncitan Masa Hadapan di pasaran Afrika Selatan. Pada tahun 2018, beliau ditugaskan di Stuttgart, Jerman, dengan jawatan sebagai ketua jualan untuk pasaran Wilayah Luar Negara, merangkumi Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand, Timur Tengah, Egypt, Turki dan Afrika Selatan.

    “Saya sangat teruja untuk menyertai pasukan Malaysia dan ZSEA II. Pada beberapa tahun sebelum ini, Mercedes-Benz telah menunjukkan perkembangan dalam segmen automotif premium di rantau ini. Ini adalah masa yang luar biasa dan tepat untuk bergabung dengan syarikat ini, dan saya berharap dapat menyumbang kepada pelaksanaan cita-cita kami untuk membentuk masa depan mobiliti dan menyokong transformasi persekitaran automotif, ”katanya.

    Mercedes-Benz M’sia umum Sagree Sardien sebagai presiden dan CEO baharu, gantikan Claus Weidner

    Syarikat ini juga turut mengumumkan perlantikan Edmin Naidoo sebagai timbalan presiden khidmat pelanggan MBC Malaysia dan SEA II, bermula 1 Julai lalu. Naidoo yang menggantikan Jeffrey Simon bagi jawatan berkenaan, telah pun bersama jenama Mercedes-Benz lebih 25 tahun, dengan pengalaman dalam peruncitan khidmat pelanggan dan keseluruhan perniagaan.

    Sebelum berkhidmat di Malaysia, beliau pernah memegang jawatan sebagai pengarah khidmat pelanggan di Mercedes-Benz Australia Pacific dan juga Mercedes-Benz Afrika Selatan.

    “Saya teruja untuk menyertai pasukan SEA untuk membina pencapaian kami dalam membentuk masa depan produk perkhidmatan yang menawarkan Mercedes of Service Experience kepada pelanggan kami, ”katanya.

     
     
  • Pelbagai alasan termasuk mahu melakukan ibadah korban, ziarah kubur demi rentas daerah/negeri

    Pelbagai alasan termasuk mahu melakukan ibadah korban, ziarah kubur demi rentas daerah/negeri

    Sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengesahkan sebanyak 5,594 kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di seluruh negara diarah berpatah balik. Jumlah tersebut dilihat meningkat berbanding 4,666 kenderaan pada sehari sebelumnya. Manakala semalam pula sebanyak 4,581 kenderaan yang melalui SJR di seluruh negara, semalam diarahkan berpatah balik.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, berkata, pelbagai alasan diberikan oleh pemandu kenderaan ketika cuba melepasi sekatan jalan raya (SJR) dalam tempoh beberapa hari menjelang sambutan Aidiladha. Antaranya mahu pulang ke kampung, melakukan ibadah korban dan juga menziarah kubur.

    “Ada yang beri alasan mahu pulang ke kampung untuk buat ibadah korban, nak bantu mengagihkan daging korban. Ada juga yang bagi alasan nak ziarah kubur dan ada juga yang memang mahu pulang ke kampung untuk beraya.

    “Kita pun tidak faham kenapa perkara sebegini masih berlaku sedangkan sudah banyak larangan dan peringatan dikeluarkan pihak polis dan kerajaan, tetapi masih ramai yang degil dan tidak mahu mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Pelbagai alasan termasuk mahu melakukan ibadah korban, ziarah kubur demi rentas daerah/negeri

    Tambah beliau, pegawai dan anggota di SJR seluruh negara akan terus mempertingkatkan pemeriksaan untuk memastikan tiada pihak yang mencuba nasib merentas negeri dan daerah tanpa alasan kukuh.

    “Sekiranya mahu lakukan ibadah korban, ada alternatif lain yang memudahkan ibadah korban tanpa kita pulang ke kampung. Dalam SOP ibadah korban dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi sambutan Aidiladha Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga menetapkan aktiviti ziarah kubur tidak dibenarkan termasuklah ziarah raya dan jamuan raya,” katanya.

    Menurut beliau lagi mereka yang mempunyai surat kebenaran dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah pun diberikan kebenaran melalui SJR mulai esok (22 Julai). Ini berikutan pengumuman yang dikeluarkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, yang melarang sebarang pergerakan merentas negeri menggunakan surat kebenaran MITI bermula 18 hingga 21 Julai 2021.

    Larangan itu bagi mengelak perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menyalahguna surat kebenaran MITI untuk merentas negeri bagi tujuan pulang ke kampung menyambut Aidiladha.

     
     
  • Porsche Macan facelift 2022 – SUV versi petrol diberi peningkatan, semua varian kini lebih berkuasa

    Porsche Macan facelift 2022 – SUV versi petrol diberi peningkatan, semua varian kini lebih berkuasa

    Porsche Macan pertama kali diperkenalkan kepada dunia pada tahun 2013, dan kemudiannya diberikan facelift pertama pada tahun 2018. Kini, model facelift kedua diperkenalkan, sebelum ia diganti dengan model elektrik penuh serba baru pada tahun 2023.

    Untuk bahagian luar, tidak banyak yang berubah kecuali rekaan bampar hadapan dan belakang. Bentuk bukaan udara pada bampar hadapan adalah baru (warna hitam berkilat bagi GTS) sementara bampar belakang pula mempunyai diffuser lebih besar dan pemantul cahaya diletakkan di atas.

    Cermin sisi Sport Design kini diberikan standard pada Macan, bersama lampu LED adaptif (DRL empat bintik lebih nipis) serta rim lebih besar – paling kecil 19 inci pada varian asas, 20 inci pada varian S dan 21 inci pada varian GTS.

    Porsche Macan facelift 2022 – SUV versi petrol diberi peningkatan, semua varian kini lebih berkuasa

    Masuk ke dalam, bahagian konsol tengah Macan diubah, dengan butang fizikal sebelum ini diganti dengan pad sesentuh seperti Taycan. Tombol gear juga kini lebih pendek dengan penanda kedudukan gear dicetak di atasnya. Kemudiannya, di atas papan pemuka, di bahagian tengah, ia dipasang dengan jam analog, manakala roda stereng varian GT Sport pula telah direka semula seperti 911 992, bersama butang kawalan beberapa ciri.

    Melengkapi perubahan estetik ini adalah pilihan enjin baru yang kini menawarkan lebih kuasa pada semua varian. Kedua-dua Macan S dan GTS kini digerakkan oleh unit V6 twin turbo 2.9 liter (sebelum ini 3.0 liter turbo tunggal bagi varian S), sekaligus menaikkan prestasinya menjadi seperti varian GTS dan Turbo sebelum ini.

    Dengan enjin baru ini, varian S mampu menghasilkan 380 PS pada antara 5,200 hingga 6,700 rpm dan 520 Nm tork antara 1,850 hingga 5,000 rpm (26 PS dan 40 Nm tork lebih tinggi). Sekarang, Macan S boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat, sebelum mencecah laju maksimum 259 km/j (5 km/j lebih tinggi berbanding sebelum ini).

    GTS yang buat masa ini menjadi varian paling tinggi bagi Macan facelift 2022 pula mampu menghasilkan tambahan 60 PS dan 30 Nm tork, dengan jumlah keseluruhan menjadi 440 PS dari 5,700 hingga 6,600 rpm dan 550 Nm tork antara 1,900 hingga 5,600 rpm. Pecutan 0-100 km/j mampu dilakukan dalam masa 6.2 saat, sebelum mencapai laju maksimum 232 km/j. Semua varian menggunakan transmisi PDK klac berkembar tujuh kelajuan serta sistem pacuan semua roda.

    Di sebalik badan Macan facelift ini, suspensinya (termasuk penyerap Porsche Active Suspension Management (PASM) yang didatangkan terus pada varian S dan GTS) telah ditala semula untuk menjadi lebih responsif. varian GTS juga diberikan dengan suspensi udara, yang 10% lebih tegap di hadapan dan 15% di belakang.

    GALERI: Porsche Macan S facelift 2022

    GALERI: Porsche Macan GTS facelift 2022

    GALERI: Porsche Macan GTS facelift 2022 dengan pakej GTS Sport

     
     
  • Proton X70 SE – satu lagi video teaser disiarkan sebelum dilancarkan secara maya esok, pukul 11 pagi

    Selepas diumumkan sah akan dilancarkan pada 22 Julai ini pada Isnin lalu, Proton menyiarkan satu lagi video teaser berkenaan model istimewa X70 Special Edition (SE). Walau bagaimanapun, menerusi kedua-dua video berkenaan, imej sebenar model tersebut masih belum kelihatan.

    Dalam video teaser terbaharu ini, Proton menjanjikan 4R untuk X70 SE iaitu refined design, redefined connectivity, reassured safety dan responsive performance. Untuk mengetahui segala perincian model ini termasuk harganya, anda boleh ikuti pelancarannya yang akan dibuat secara maya pada pukul 11 pagi esok. Dan kalau berminat untuk membeli, pendaftaran minat secara atas talian sudahpun dibuka menerusi PAUTAN INI.

    Berdasarkan apa yang kami tahu menerusi pertandingan “Proton X70 SE Knowledge Challenge” yang dijalankan oleh Proton untuk jaringan pengedarnya pada awal bulan ini, Proton X70 SE ini hanya dihasilkan terhad kepada 2,000 unit dan diasaskan dari varian Premium 2WD.

    Proton X70 SE – satu lagi video <em>teaser</em> disiarkan sebelum dilancarkan secara maya esok, pukul 11 pagi

    Dari segi spesifikasi, ia adalah hampir sama dengan 37 unit Proton X70 Exclusive Edition (EE) yang telah dilancarkan di Brunei Jun lalu. Model SE ini akan menerima pilihan warna Ocean Blue seperti model EE di Brunei, yang tidak terdapat dalam pilihan X70 biasa. Namun untuk SE di Malaysia ini, ia juga akan ditawarkan dengan pilihan warna badan Ruby Red.

    Selain dari warna, komponen seperti cermin sisi, spoiler belakang, dan bumbung X70 SE ini akan menerima kemasan hitam bagi memberikan imej dua-tona, lebih kurang sama seperti 62 unit X70 Merdeka Edition yang dilancarkan pada Hari Kemerdekaan 2019.

    Perincian-perincian unik lain yang turut diberikan pasa model istimewa ini termasuk emblem SE pada pintu tailgate belakang, dan juga rim 19-inci dengan rekaan sama seperti Geely Boyue Pro.

    Proton X70 Exclusive Edition pasaran Brunei

    Pada bahagian dalaman pula, ia diberikan karpet lantai dengan lencana SE, upholsteri kulit Nappa hitam (warna perang pada model Premium dan Premium X) bersama serlahan jahitan benang putih dan merah, serta roda stereng yang turut diberikan jahitan benang putih.

    Tiada perubahan sistem mekanikal pada X70 SE ini, di mana ia masih menerima enjin 1.8 liter empat silinder turbo menghasilkan 184 PS (181 hp) dan tork maksima 300 Nm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, memacu hanya roda hadapan.

    GALERI: Brosur Proton X70 SE yang bocor

    GALERI: Proton X70 Exclusive Edition pasaran Brunei

     
     
  • Honda Civic generasi ke-11 akan dilancarkan di Thai 6 Ogos ini, mungkin tiada lagi model NA 1.8L i-VTEC

    Baru sahaja didedahkan secara global di Amerika Syarikat April lalu, Honda Civic generasi ke-11 nampaknya akan tiba ke pasaran Asia Tenggara. Seperti biasa, model generasi terbaharu berkenaan akan tiba dulu Thailand, dan ia sudah pun diumumkan akan dilancarkan di negara berkenaan pada 6 Ogos 2021.

    Rupa model serba baharu ini sudah tidak lagi menjadi tanda tanya. Berbanding model FC sedia ada, ia kini kelihatan lebih ringkas dan matang malah diberikan garis-garis sisi badan dan bumbung yang nampak hampir sama dengan Accord, membuang imej-imej seperti robot anime Jepun.

    Ia juga dihasilkan 33 mm lebih panjang dari FC dengan ukuran 4,674 mm, bersama jarak roda 36 mm lebih jauh kepada 2,736 mm. Walau bagaimanapun, lebar dan juga tingginya masih sama seperti model generasi ke-10 iaitu masing-masing 1,801 mm dan 1,415 mm.

    Honda Civic generasi ke-11 akan dilancarkan di Thai 6 Ogos ini, mungkin tiada lagi model NA 1.8L i-VTEC

    Imej lebih ringkas juga dibawa pada bahagian kabin dimana ia kini menerima papan pemuka minimalis dengan liang penghawa dingin rekaan sarang lebah yang merentangi dari kiri ke kanan, dan juga skrin infotainmen berdiri sendiri di tengah.

    Pemandu menerima roda stereng dan juga paparan instrument digital baharu, manakala terowong tengah serta suis-suis kawalan lain direka semula bagi memberikan ciri lebih praktikal dan lebih luas. Honda juga menyatakan bahawa kabin Civic baharu ini diberikan material-material yang lebih premium.

    Honda Thailand hanya akan mendedahkan spesifikasi lebih terperinci untuk Civic generasi ke-11 bagi pasaran negara berkenaan bulan hadapan. Namun portal automotif Thailand, Headlightmag mendakwa bahawa hanya model dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo akan ditawarkan di negara berkenaan, manakala pilihan enjin 1.8 liter i-VTEC akan digugurkan terus.

    Bagi model pasaran Amerika Syarikat, enjin 1.5L turbo berkenaan kini menghasilkan 182 PS (180 hp) dan tork maksima 240 Nm, lebih berkuasa dari enjin sama yang dipadankan pada Civic FC dengan bekalan 173 PS (170 hp)/220 Nm. Di AS juga Civic ditawarkan dengan enjin 2.0 liter NA DOHC i-VTEC yang berkuasa 160 PS (158 hp) dan tork maksima 187 Nm.

    Selain Thailand, Civic generasi baharu ini juga bakal masuk ke pasaran Singapura tahun ini, namun tarikh pelancarannya masih belum diumumkan. Bagaimana dengan Malaysia? Menerusi petunjuk yang diberikan oleh presiden dan COO Honda Malaysia Sarly Adle Sarkum, ia mungkin akan mendarat di sini pada tahun ini juga. Namun pada jangkaan kami, ia mungkin hanya akan diprebiu di Malaysia tahun ini, dan hanya akan dilancarkan pada pasaran tempatan tahun hadapan.

    GALERI: Honda Civic generasi ke-11 pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • KTM RC 8C – keluaran terhad 100 unit, kegunaan litar

    KTM RC 8C – keluaran terhad 100 unit, kegunaan litar

    Bermula 22 Julai ini, KTM akan mula membuka tempahan untuk model RC 8C, iaitu motosikal kegunaan litar yang dibangunkan bersama syarikat Kramer dari Jerman. Model ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 100 unit sahaja, namun harga sebenarnya tidak diberitahu.

    RC 8C menggunakan enjin dua silinder selari 899 cc LC8c DOHC dan mampu mengeluarkan kuasa 128 hp dan 101 Nm tork. Meskipun kuasa ini tidak kedengaran begitu tinggi, berat RC 8C cuma 140 kg, sekaligus menjadikan nisbah berat kepada kuasanya hampir kepada 1:1.

    Menggunakan kerangka tiub besi 25CrMo4, KTM menyatakan RC 8C ini sebagai “hampir kepada motosikal lumba factory, tetapi tidak memerlukan pasukan lumba pakar untuk diselenggara.” Melengkapkan bentuknya, KTM menggunakan panel badan dibuat daripada GRP yang diperkuat, siap sekali dengan winglet di hadapan.

    Suspensi premium dipasang pada model ini, dengan terdiri daripada unit fork USD WP Apex Pro 7543 di hadapan dan WP monoshock Apex Pro 7746 di belakang. Kedua-duanya boleh dilaras sepenuhnya, sementara rim pula menggunakan unit Dymag, dibalut tayar slick Pirelli SC1.

    Pam Brembo 19 RCS Corsa Corta serta angkup Brembo Stylema menjalankan tugas membrek pada roda hadapan, dan penunggang boleh melaras tiga tahap rasa brek ini dengan piihan Normal, Sport serta Race (maklum balas seperti jentera MotoGP).

    Tangki bahan api model ini, yang berkapasiti 16 liter sebenarnya berada di bawah tempat duduk, dan tempat asalnya telah digunakan untuk meletakkan kotak udara, yang mendapat udara daripada hadapan dan mempunyai saluran yang dipecahkan kepada dua bahagian.

    KTM RC 8C – keluaran terhad 100 unit, kegunaan litar

    Bagi memberikan pemilik akses kepada data penting motosikal, dan melakukan larasan kepada ECU, KTM telah memasang RC 8C dengan sistem AIM MXS 1.2 Race berserta panel paparan TFT-LCD lima inci. Antara yang boleh dilihat adalah perincian laju, kedudukan dalam litar, masa pusingan, kawalan pendikit, gear dan tahap rpm, pecutan serta prestasi enjin.

    Beberapa bahagian casis motosikal ini juga boleh dilaras untuk menyesuaikan motosikal dengan penunggang, termasuk head stick, offset fork, tinggi tempat duduk, peletak kaki, pemegang serta ketinggian motosikal.

    Daripada 100 unit yang ditawarkan, 25 pembeli RC 8C boleh memilih untuk menyertai acara ujian di litar bersama pasukan Red Bull KTM Factory Racing, di mana mereka boleh menunggang di dalam Litar Jerez, Sepanyol bersama Dani Pedrosa dan Mill Kalio. Pakej ini datang bersama satu set rim Dymag, cakera brek tambahan, peletak motosikal (paddock stand), pemanas tayar serta karpet KTM.

     
     
  • Mercedes-Benz EQG dilancar di IAA September ini?

    Mercedes-Benz EQG dilancar di IAA September ini?

    Mercedes-Benz telah mengesahkan model G-Class semua-elektrik bakal dikeluarkan tidak lama lagi, namun tidak mendedahkan bila ia akan dilancarkan. Namun, laporan terkini dari mbpassion mendedahkan model konsep tersebut akan diperkenalkan di pertunjukan IAA Mobility di Munich, pada September ini.

    Laporan yang menyebut EQG, akan menjadi model terkini dalam barisan G-Class, yang buat masa ini diproduksi dalam model petrol dan diesel. Namun demikian, laporan terbabit menyebut EQG tidak akan dibangunkan platform khas bagi kenderaan elektrik, sebaliknya menggunakan model G-Class sedia ada untuk dielektrfikasikan. Lain-lain model EQ yang terlibat dengan perancangan ini termasuklah EQA (GLA), EQB (GLB) dan EQC (GLC).

    Bagi variannya, tanda dagang difailkan menerusi European Union Intellectual Property Office (EUIPO) pada April lalu, dan terdapat dua versi EQC, yang dinamakan sebagai EQG 560 4Matic dan EQG 580 4Matic.

    Kedua-duanya dijangka akan diberikan pacuan semua-roda secara standard hasil larasan dwi-motor, dengan output menyamai EQS 580, iaitu pada kadar 523 PS (516 hp atau 385 kW) dan tork 855 Nm. Memberikan kelainan senibinanya, tidak pasti jika ia masih diberikan bateri 108-kWh, tetapi dijangka kadarnya lebih rendah disebabkan berat badannya.

    Pada Oktober tahun lalu, pengeluar kenderaan Jerman ini berkata, ia mahu menjadikan G-CLass sebagai sub-jenama bersama AMG dan Maybach. Ketiga-tiga entiti tersebut dijangka menjadi sebahagian daripada kumpulan perniagaan tunggal di bawah Mercedes-Benz, yang akan diumumkan secara rasmi di IAA.

     
     
  • Kilang Proton Pakistan akan beroperasi sepenuhnya tak lama lagi, pemasangan Saga sudahpun bermula

    Proton Pakistan telah pun menyiarkan satu video memaparkan bahawa mereka sudah bersedia untuk memulakan sepenuhnya operasi CKD menerusi kilang mereka yang terletak di Karachi. Video berdurasi 1 minit 11 saat berkenaan menunjukkan berberapa bahagian kilang tersebut, dan produksi untuk Proton Saga sudah pun bermula, namun tarikh sebenar perasmian kilang itu masih belum diumumkan.

    Sebelum ini Proton telah mengumumkan bahawa rakan kongsinya yang menguruskan jenama berkenaan di Pakistan, Al-Haj Automotive telahpun bersedia untuk memulakan operasi pemasangan tempatan di kilang baru itu bermula pada suku ketiga 2021.

    Kilang yang sepatutnya mula beroperasi sebelum berakhir tahun 2020 berkenaan dibina di luar kawasan bandar, dijangka mempunyai kapasiti 25,000 unit satu tahun. Pelan asal kilang ini diumumkan pada tahun 2019, dengan pelaburan awal USD30 juta (sekitar RM121.9 juta).

    Dalam masa tiga tahun pertama, kilang ini dijangka dapat menyediakan 2,000 peluang pekerjaan terus di sana, dan 20,000 lagi pekerjaan secara tidak langsung apabila operasinya berjalan penuh. Melalui perjanjian yang dibuat pada tahun 2019, jualan awal kenderaan Proton di sana akan dibuat melalui unit yang diimport dari Malaysia (CBU), sebelum diambil alih oleh unit pengeluaran tempatan.

    Kilang Proton Pakistan akan beroperasi sepenuhnya tak lama lagi, pemasangan Saga sudahpun bermula

    Proton X70 telah dilancarkan di Pakistan sebagai model CBU pada Disember 2020, dan selepas ini ia turut akan dipasang di kilang baru berkenaan. Sehingga April lalu, tempoh menunggu untuk X70 dilaporkan sudah mencecah sehingga sembilan bulan selepas ia dilancarkan, dan masalah ini diharapkan akan diatasi selepas produksi CKD di Pakistan bermula.

    Selepas menawarkan model premium seperti X70 di negara tersebut sebagai pengenalan, Proton Pakistan selepas itu menawarkan model lebih mampu milik iaitu Saga yang dilancarkan pada April lalu. Sedan berkenaan ditawarkan dalam lima varian termasuk model edisi terhad Saga R3 yang hanya dibawa sebanyak 100-unit dan pembeli yang berminat perlu menyertai cabutan bertuah bagi mendapat peluang untuk membelinya.

    Model-model pasaran Pakistan ini juga menampilkan kapasiti enjin yang lebih kecil berbanding pasaran Malaysia bagi mendapat potongan cukai lebih banyak dan dijual pada harga lebih kompetitif. Bagi X70, model pasaran Pakistan berkenaan dijana enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo seperti X50 di Malaysia, manakala untuk Saga (kecuali Saga R3) ia masih diberikan enjin S4PE tetapi kapasitinya dikurangkan dari 1,332 cc kepada 1,299 cc.

     
     
  • Suzuki bakal perkenal EV pertama pada 2025 di India

    Suzuki bakal perkenal EV pertama pada 2025 di India

    Suzuki kini dalam perancangan untuk memperkenalkan model elektrik sepenuhnya dalam tahun 2025, dengan model EV tersebut akan dikeluarkan di India terlebih dahulu sebelum kemudiannya ke pasaran Jepun dan Eropah. Menurut Nikkei, model pertama EV syarikat itu akan dijual pada harga 1.5 juta yen (RM57,600) atau kurang selepas mengambil kira subsidi kerajaan.

    Langkah ke arah elektrikfikasi bagi Suzuki datang selepas syarikat itu dikhabarkan akan melabur satu trilion yen (RM38.5 bilion) menjelang Marc 2026 untuk menjalankan kajian dan pembangunan EV. Syarikat itu kini sudah menawarkan kereta hibrid di India sebagai sebahagian daripada peralihan tersebut, walaupun sedikit terlewat berbanding pengeluar lain.

    Bagaimanapun, peralihan itu kini dipercepat, dengan rancangan pengeluaran bateri juga sedang diusahakan. Kilang bateri yang dibina di Gejarat, India bersama pengeluar alat ganti kenderaan, Denso dan Toshiba dijangka akan dibuka September ini, dan akan menghasilkan bateri lithium-ion bagi model-model hibridnya.

    Laporan lainnya juga ada memberi petunjuk bahawa model berkenaan, kemungkinan besar sebuah hatchback kompak atau SUV kecil, akan dibangunkan bersama Toyota, yang mana Suzuki memang mempunyai usaha sama sejak lama dulu. Jenama ini menguasai pegangan pasaran sekitar 50% di India, dan ingin mengekalkan daya saing dalam pasaran dengan menambah EV dalam barisan penawarannya.

    Jualan EV di India bagaimanapun agak perlahan, walaupun sebagai pasaran automotif kelima terbesar di dunia. Namun negara itu mempunyai impian untuk memiliki 30% jualan kenderaan baru di sana terdiri daripada model elektrik menjelang 2030. Pada 2019, kerajaan di sana mula menawarkan insentif bernilai 100 bilion rupee (RM5.6 bilion) kepada pembeli EV untuk tempoh tiga-tahun. Bulan lalu, kerajaan India mengumumkan insentif tersebut akan dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi.

     
     
  • Triumph bangunkan jentera motocross dan enduro

    Triumph bangunkan jentera motocross dan enduro

    Triumph telah membuat pengumuman kini sedang membangunkan motosikal jenis lasak, motocross dan enduro untuk menyertai barisan model sedia ada mereka sekarang. Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan ia bukan setakat satu model, tetapi dipanggil sebagai satu barisan, yang terdiri daripada model motocross perlumbaan dan juga enduro.

    Setiap kepakaran kejuruteraan dalam syarikat akan digunakan untuk pembangunan motosikal baru Triumph ini, dan mereka juga membuat kerjasama dengan pelumba motocross terkenal, Ricky Carmichael serta Ivan Cervantes sebagai rakan kerjasama aktif untuk ujian dan persiapan motosikal tersebut sebelum ia digunakan dalam perlumbaan.

    Selain daripada itu, Triumph juga akan menubuhkan satu program perlumbaan factory baru yang akan bertanding menggunakan motosikal baru ini dalam kejuaraan perlumbaan motocross serta enduro peringkat tertinggi di dunia.

    Triumph bangunkan jentera motocross dan enduro

    Kebanyakan motosikal lasak yang bertanding dalam perlumbaan motocross dan enduro sekarang menggunakan enjin satu silinder, sama ada empat lejang atau dua lejang, dan datang dalam pelbagai kapasiti, antara 125 cc hingga 450 cc. Daripada ini, kita juga boleh menjangka Triumph menggunakan tetapan enjin sama.

    Setakat ini waktu pelancaran dan pengenalan model baru ini, serta maklumat lanjut berkenaan pasukan lumba yang akan ditubuhkan masih belum diberitahu, dan hanya akan didedahkan dalam masa beberapa bulan yang akan datang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025