Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Hilux vs Isuzu D-Max vs Mitsubishi Triton vs Nissan Navara vs Ford Ranger — bandingan trak pikap

    Toyota Hilux vs Isuzu D-Max vs Mitsubishi Triton vs Nissan Navara vs Ford Ranger — bandingan trak pikap

    Trak pikap hari ini telah beralih daripada sekadar menjadi kenderaan untuk tugasan kerja kepada memenuhi keperluan gaya hidup. Antara kelebihannya yang diminati ramai adalah berkaitan utiliti; mampu digunakan untuk membawa banyak barang dan boleh meredah banyak jenis permukaan dengan mudah.

    Ini menjadikan trak pikap hadir dengan banyak pilihan seperti yang dapat dilihat dalam pasaran tempatan sekarang — penawaran menarik dengan penggayaan dan kelengkapan yang tak kalah hebat. Jika anda tidak kisah saiznya yang besar, maka pilihannya sentiasa banyak. Untuk itu, rasanya menarik juga untuk kita melihat perbezaan model-model utama yang ada untuk membantu anda membuat keputusan.

    Kami senaraikan varian tertinggi dari setiap model yang dipaparkan ini. Alasannya mudah, ia varian paling lengkap dengan senarai spesifikasi mengkagumkan. Dari Toyota, Hilux 2.8 Rogue menjadi wakil, sementara bagi Isuzu pula D-Max 3.0 X-Terrain.

    Model lain yang turut disertakan ialah Mitsubishi Triton 2.4 Athlete dan Nissan Navara 2.5 Pro-4X; penawaran terbaru dalam pasaran tempatan. Satu-satunya model bukan dari pengeluar Jepun ialah Ford Ranger 2.0 Wildtrak, yang dirasakan saingan lebih padan berbanding Raptor atau Raptor X yang jauh lebih mahal harganya melebihi RM200,000.

    Toyota Hilux vs Isuzu D-Max vs Mitsubishi Triton vs Nissan Navara vs Ford Ranger — bandingan trak pikap

    Pun begitu, Ranger Wildtrak merupakan yang paling mahal dalam senarai ini, diikuti oleh Hilux Rogue, Navara Pro-4X, D-Max X-Terrain dan Trition Athlete. Semua trak pikap tidak menikmati pengecualian SST ketika ini, jadi harganya tidak terkesan dan kekal sama. Daripada lima model ini, Hilux dipasang di sini (CKD), sementara yang lain diimport dari Thailand (CBU).

    Dari sudut enjin, semuanya menggunakan jenis turbodiesel empat-silinder, walaupun semuanya berbeza spesifikasi. Hilux Rogue menggunakan unit 2.8 liter yang menghasilkan 204 PS (201 hp) dan 500 Nm tork, meletakkannya di kedudukan kedua dari aspek janaan kuasa di belakang Ranger Wildtrak 2.0 liter dengan angka 213 PS (210 hp) dan 500 Nm — walaupun hadir dengan kapasiti enjin paling kecil antara semuanya.

    Di bawah 200 PS (197 hp) janaan, D-Max X-Terrain dengan enjin 3.0 liter serta Navara Pro-4X 2.5 liter masing-masing menghasilkan 190 PS (187 hp) dan 450 Nm — walaupun tork bagi enjin Navara tiba lebih lewat. Triton hadir dengan enjin lebih kecil, 2.4 liter, turbo tunggal yang tetap menghasilkan output boleh dibanggakan, 181 PS (178 hp) dan 430 Nm, menjadikannya datang dengan kuasa paling kecil antara semua model ini. Tetapi, Triton juga yang paling ringan dengan 1,930 kg; yang lain lebih dari dua tan berat.

    Bagi penyalur kuasa, model Toyota, Isuzu dan Mitsubishi ini menggunakan jenis kotak gear automatik enam-kelajuan, dengan Navara menggunakan jenis tujuh-kelajuan sementara Ranger dengan 10-kelajuan.
    Pacuan empat-roda melalui pilihan adalah standard untuk semua model, tetapi Hilux Rogue mempunyai tambahan limited-slip differential di belakang untuk mengawal saluran kuasa sekiranya gelincir dikesan pada roda belakang.

    Navara Pro-4X juga memiliki kelainan dengan penggunaan suspensi belakang jenis multi-link berbanding leaf spring biasa, sementara Ranger menerima sistem stereng kuasa bantuan elektrik berbanding sistem hidraulik.

    Kecuali Triton, semua trak pikap ini didatangkan dengan ciri bantuan tailgate (pilihan untuk Hilux Rogue) untuk memudahkan pengguna mengangkat pintu ruang barangan di belakang. Lain-lain ciri untuk kesenangan pengguna termasuk kamera 360-darjah sebagai standard bagi Triton Athlete dan Navara Pro-4X, dan ciri pilihan bagi Hilux Rogue.

    Aspek keselamatan menyaksikan peningkatan penawaran paling penting pada trak pikap; minimum enam beg udara, dengan Hilux Rogue, D-Max X-Terrai dan Triton Athelete menerima tambahan beg udara lutut pemandu untuk menjadikan tujuh semuanya.

    Turut tersedia ialah kawalan kestabilan, amaran penukaran lorong dan brek kecemasan autonomous (AEB) sebagai ciri standard. Lain-lain ciri tambahan termasuk bantuan titik buta ada pada semua model kecuali Ranger Wildtrak, sementara kawalan melayar adaptif hanya ada pada Hilux Rogue dan D-Max X-Terrain.

    Walaupun tetap ada perbezaannya, tidak disangkal bahawa trak pikap hari ini telah menjadi jauh lebih baik dari aspek keselamatan dan sistem bantuan pemandu berbanding sebelum ini. Terutamanya, ciri penting seperti AEB. Ciri lain selebihnya adalah bonus.

    Ruang dalaman juga sudah jauh berbeza dan sangat selesa, dari kerusi balutan kulit sebagai standard untuk semua model, dengan kawalan pendingin dua zon atau zon tunggal. Hanya Ranger Wildtrak tidak datang dengan corong pendingin belakang. Sokongan Apple CarPlay dan Android Auto juga ada, dengan D-Max X-Terrain menggunakan sambungannya tanpa wayar.

    Reka bentuk memang tertakluk kepada selera masing-masing, tetapi kelima-lima trak pikap yang ditampilkan ini memiliki penampilan yang menarik dan tersendiri. Navara Pro-4X menggunakan rim 17-inci, manakala yang lain dengan rim 18-inci. Kepada yang inginkan imej lain, sports bar boleh juga dipilih bagi semua model ini (standard bagi Triton Athlete dan Ranger Wildtrak).

    Dengan perincian perbandingan ini yang melibatkan lima model trak pikap dari varian paling tinggi yang ada di Malaysia, mana satu yang anda sanggup belanjakan duit untuk memilikinya? Boleh kongsikan pandangan anda dengan kami.

     
     
  • Puspakom umum penutupan sementara cawangan Padang Jawa mulai 20 Mei akibat penularan COVID-19

    Puspakom umum penutupan sementara cawangan Padang Jawa mulai 20 Mei akibat penularan COVID-19

    Puspakom telah memaklumkan penutupan sementara cawangannya di Padang Jawa bermula hari ini selepas seorang kakitangannya telah disahkan positif COVID-19 dan proses pengesanan kontak juga sedang dijalankan.

    Oleh itu, proses sanitasi dan pembersihan secara menyeluruh dilakukan secara serta merta. Semua kakitangan cawangan juga akan menjalani ujian saringan Covid-19, sementara mereka yang berhubung secara langsung dengan kakitangan tersebut telah diarahkan untuk menjalani kuaratin selama 14 hari.

    Menurut Puspakom, pembukaan semula cawangan terbabit akan akan dimaklumkan kelak. Sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan kepada pelanggan dari semasa ke semasa melalui Facebook rasmi Puspakom.

    “Bagi pelanggan yang mempunyai temujanji di Puspakom Padang Jawa, semua bayaran temujanji pemeriksaan yang telah dibuat akan dipulangkan secara automatik. Sebagai alternatif, pelanggan yang telah membuat temujanji di cawangan ini juga boleh menjalani pemeriksaan secara walk-in dengan pembayaran perlu dilakukan di cawangan alternatif. Pelanggan perlu membawa slip pengesahan temujanji Puspakom Padang Jawa semasa hadir ke cawangan alternatif,” menurut kenyataan media yang dihantar.

     
     
  • Ducati Hypermotard 950 diberi peningkatan – enjin kini menepati tahap emisi Euro 5, grafik baru bagi SP

    Ducati Hypermotard 950 diberi peningkatan – enjin kini menepati tahap emisi Euro 5, grafik baru bagi SP

    Barisan model Hypermotard 950 telah diberikan peningkatan oleh Ducati, dan akan mula berada di pusat pameran Eropah Jun ini. Sekarang, semua versinya, yang terdiri daripada Hypermotard 950, Hypermotard 950 RVE dan Hypermotard 950 SP menggunakan enjin yang menepati tahap emisi Euro 5.

    Walaupun dengan pelarasan ini, enjin v-twin Testastretta 11 937 cc itu masih lagi menghasilkan jumlah kuasa yang sama, iaitu 114 hp pada 9,000 rpm dan 98 Nm tork pada 7,250 rpm. Transmisi enam gearnya pula diperbaiki supaya lebih mudah untuk dimasukkan pada kedudukan neutral.

    Untuk penampilan pula, semua panel badannya masih lagi sama tetapi bagi Hypermotard 950 SP, ia diberikan grafik baru inspirasi daripada motosikal lumba MotoGP dan semangat “freestyle sports” yang tipikal bagi penunggang jentera motard. Tuil gear model ini juga telah dijadikan lebih ringan.

    Kelengkapan standard Hypermotard 950 adalah seperti fork Marzocchi USD 45 mm boleh laras sepenuhnya, monoshock Sachs boleh laras, brek cakera berkembar 320 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan, panel meter TFT dan tangki bahan api 14.5 liter.

    Bagi model Hypermotard 950 SP, ia dinaik taraf dengan fork Ohlins 48 mm boleh laras sepenuhnya di depan (+15 mm), monoshock Ohlins dengan tabung pelarasan (+25 mm), rim aluminium forged Marchesini, tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP V3 (standard menggunakan Pirelli Diablo Rosso III), pelindung tayar hadapan dan tepi enjin gentian karbon serta quickshifter naik dan turun gear.

     
     
  • Toyota gantung operasi di dua kilang di Jepun bulan depan ekoran kekurangan cip, 20k kenderaan terjejas

    Toyota gantung operasi di dua kilang di Jepun bulan depan ekoran kekurangan cip, 20k kenderaan terjejas

    Disebabkan masalah kekurangan bekalan cip di seluruh dunia yang terus memberikan kesan terhadap pengeluaran automotif, Toyota terpaksa membuat keputusan untuk mengantung operasi di dua buah kilangnya di Jepun. Pengantungan operasi kilang terbabit bakal dilaksanakan pada bulan hadapan dan berlangsung selama lapan hari.

    Menurut laporan Kyodo News, pengeluaran kenderaan yang terbabit termasuklah C-HR, Yaris Cross dan juga Yaris hatchback, yang melibatkan keseluruhannya berjumlah 20,000 unit.

    Toyota turut berkata, sebanyak tiga barisan pengeluaran akan ditutup selama tiga hingga lapan hari waktu bekerja iaitu dari 7 Jun untuk kilang yang terletak di wilayah timur laut Iwate dan Miyagi. Walau bagaimana pun, buat masa ini, kesannya tidak begitu berat, tidak seperti yang dihadapi oleh beberapa pengeluar kereta Jepun lain.

    Toyota gantung operasi di dua kilang di Jepun bulan depan ekoran kekurangan cip, 20k kenderaan terjejas

    Pada minggu lalu, Nissan berkata pihaknya terpaksa mengurangkan pengeluaran kereta pada tahun ini disebabkan masalah bekalan cip. Masalah ini mungkin turut menyebabkan pengeluaran kereta di seluruh dunia bakal berkurangan sebanyak lebih kurang 500,000 unit. Bukan itu sahaja, Mazda juga menjangkakan pengeluarannya akan dikurangkan sebanyak 100,000 unit dalam tahun fiskal semasa.

    Penganalisis turut meramalkan krisis semiconductor yang bermula sejak akhir tahun lalu, akan berlangsung sehingga 2022 dan mungkin 2023. Kekurangan bekalan cip ini telah memaksa banyak pengeluar kenderaan untuk mengurangkan pengeluaran, malah pakar dalam industri ini percaya ia akan mengakibatkan penyusutan penjualan kenderaan untuk tahun ini mencecah jutaan unit.

     
     
  • VIDEO: Tg. Djan jelaskan apa beza Toyota Vios GR-S

    VIDEO: Tg. Djan jelaskan apa beza Toyota Vios GR-S

    Walaupun sudah dijelaskan ketika pelancarannya hujung tahun lalu, pasti masih ramai yang skeptikal dengan Toyota Vios GR-Sport dan menganggapnya sebagai varian paling sporty hanya menerusi penampilannya saja bukan? Kalau masih ragu-ragu, mari sini, Prince of Drift kita yang juga juara Vios Challenge dua kali serta duta rasmi Toyota GR, Tengku Djan Ley terangkan sendiri apa yang berbeza pada Vios GR-S ini berbanding Vios biasa.

    Menerusi video berkenaan, Tengku Djan menyatakan bahawa rekaan kit badan terutamanya pada bampar hadapan adalah diinspirasikan dari rekaan bampar GR Yaris. Selain dari hanya nampak sporty, talaan suspensi Vios GR-S ini juga telah diusik semula – ia diberikan spring 20% lebih keras, kemudian penyerap hentak di tala semula bagi dipadankan dengan spring berkenaan.

    Dan untuk melengkapkan karekter baharu pengendalian Vios GR-S ini, ia menerima set rim aloi 17-inci kemasan hitam, bersama tayar Toyo Proxes TR1 (sama seperti yang digunakan pada kereta lumba Vios Challenge) dalam saiz 205/40R17. Menurut Tengku Djan, walaupun suspensi Vios GR-S ini lebih keras bagi memberikan kawalan badan dan respon stereng yang lebih baik, talaan yang dibuat turut tidak mengorbankan keselesaan bagi digunakan pada pemanduan harian.

    Kotak gear CVT mungkin antara penyebab sesebuah kereta itu kurang seronok untuk dipandu. Jadi kotak gear CVT Vios GR-S ini telah ditala semula agar ia tidak mensia-siakan keseronokan yang telah diberi pada pengendaliannya. Transmisi tersebut telah diberikan “10-kelajuan maya” yang memberikan rasa seakan tukaran gear sebenar, bersama ‘gear satu’ yang lebih pendek, bagi memberikan pecutan dari kedudukan pegun yang lebih baik.

    Dengan mod Sport, transmisi CVT pada Vios GR-S ini akan memberikan tukaran gear maya yang lebih cepat antara nisbah ketika memecut, serta memberikan ‘downshift’ yang cepat dan bertepatan dengan kelajuan ketika pemandu membrek. Ia juga menahan nisbah gear dengan lama ketika pedal pendikit ditekan ketika meredah selekoh, membolehkan kawalan pedal dibuat dengan lebih tepat.

    “Dengan penambahbaikkan pada rangkaian kuasa, bersama pengendalian yang sporty menjanjikan pemmanduan yang mengujakan buat anda,” kata Tengku Djan dalam video berkenaan. Namun tiada tambahan kuasa diberikan pada Toyota Vios GR-S ini. Ia masih dijana oleh enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i yang menghasilkan 107 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada takat 4,200 rpm.

    GALERI: Toyota Vios GR-Sport

     
     
  • Proton X50 Bumblebee kini jadi Pokemon Miltank!

    Proton X50 Bumblebee kini jadi Pokemon Miltank!

    Pastinya ramai yang tahu, antara Proton X50 terawal yang menerima pengubahsuaian menyeluruh adalah X50 berwarna kuning milik Lee seakan watak Transformers iaitu Bumblebee yang tular tak sampai sebulan selepas SUV segmen-B tersebut dilancarkan di Malaysia. Dan mungkin juga ramai yang tahu bahawa Lee bersama X50 tersebut telah pun terlibat dalam kemalangan awal tahun ini.

    Namun kejadian tersebut tidak mematahkan semangat Lee untuk terus menghidupkan semula X50 berkenaan, dan gambar yang anda lihat ini adalah X50 1.5 T-GDI Flagship yang sama tetapi telah diberi nafas baru, berubah dari robot pejuang Bumbleebee kepada Pokemon Militank!

    Seperti nama yang diberikan oleh tuannya, X50 berkenaan kini menerima balutan pelekat badan dengan warna merah jambu (Ceramic Matte Pink), bersama kemasan-kemasan hitam tanpa sebarang unsur krom – persis watak seakan lembu berperisai dari siri animasi Jepun berkenaan. Menurut Lee, untuk tema warna sahaja sejumlah RM3,500 telah dibelanjakan.

    Proton X50 Bumblebee kini jadi Pokemon Miltank!

    Ciri-ciri lain dari Bumblebee masih dibawa ke Militank ini termasuk spoiler bawah bampar hadapan tiga lapis bersama jalur LED tiga-bar pada perumah lampu kabus. Namun lampu hadapan X50 ini telah digelapkan lagi, manakala jalur LED untuk lampu nyalaan siangnya pula kini berwarna ungu.

    Rel bumbung pula masih kekal berwarna hitam dan spoiler belakang Geely Binyue Sport yang lebih besar masih lagi berada ditempatnya. Lee tidak lagi menggunakan bar LED yang menghubungkan kedua-dua lampu belakang Militank ini, manakala perkataan ‘PROTON’ telah digantikan dengan ‘POOR’.

    Lee terus menggunakan rim berdiameter 20-inci pada X50 ini, tetapi rim lama telah digantikan dengan unit baharu dari AD Wheels rekaan tujuh-jejari berkembar. Selain dari jejarinya yang berbeza, rim baharu ini sebenarnya lebih lebar dengan ukuran 9jj; 2jj lebih lebar dari rim 18-inci standard serta setengah inci lebih lebar dari rim Veemann sebelum ini. Rim baharu tersebut masih dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 4 S bersaiz 235/40R20.

    Proton X50 Bumblebee kini jadi Pokemon Miltank!

    Perubahan rupa luaran turut diselarikan dengan bahagian kabin. Pada papan pemuka, lapisan paling atas dibalut dengan Alcantara Itali 9002 asli sementara kemasan-kemasan plastik pula dibalut dengan vinyl berwarna merah jambu yang sama seperti diluar.

    Manakala bahagian kemasan tiang-A, kemasan penutup tali pinggang keledar, perehat tangan tengah dan kemasan pintu menerima balutan dari material sued. Kabin Militank ini juga diserikan dengan kemasan terowong tengah yang diperbuat dari gentian karbon forged dan juga roda stereng gentian karbon yang dibalut kulit berliang.

    Lee turut memberikan pencahayaan tambahan untuk X50 ini dengan memasang jalur LED di papan pemuka (di bawah lapisan atas yang di balut Alcantara), di mana lampu berkenaan boleh dikawal menerusi aplikasi telefon pintar dengan hubungan Bluetooth. Untuk sistem hiburan pula, sistem audio telah dipertingkat dengan sistem tiga hala dari TPR.

    Ubahsuai prestasi untuk Militank ini masih kekal sama seperti konfigurasi Bumblebee sebelum ini. Enjin 1.5 liter turbo GDI tiga-silinder berkenaan ditala semula dengan modul Race Chip GTS, membolehkan ia mengekstrak lebih 22 PS/35 Nm yang dibuktikan di atas mesin dyno. Menurut Lee, talaan tersebut akan diperkemas dan ia dijangka mampu menghasilkan 200 PS dan tork maksima 300 Nm pada aci engkol.

    Untuk pengendalian pula, X50 berkenaan kini dilengkapkan dengan set suspensi boleh laras sepenuhnya. Manakala untuk berhenti, sistem brek ditingkap taraf dengan cakera berliang dan ditebuk berdiamater 405 mm (diambil dari Cadillac CTS-V) bersama angkup Brembo enam-omboh di hadapan serta cakera 380 mm bersama angkup empat omboh di belakang. Booster brek dan kelengkapan lain turut telah dipertingkat bagi memastikan ia boleh beroprasi dengan set brek yang lebih besar.

    Macam mana? Anda lebih suka X50 ini dengan imej Bumbleebee seperti sebelumnya atau rasa Militank ini lebih cantik? Jika anda nak tahu apa yang akan Lee buat terhadap X50 berkenaan selepas ini, atau berminat untuk mendapatkan apa-apa aksesori untuk X50 anda, jangan lupa untuk singgah di laman Facebook All In Cross Fifty Accessories Malaysia.

    GALERI: Proton X50 Bumblebee

     
     
  • Harga bahan api 20-26 Mei — RON97 naik satu sen

    Harga bahan api 20-26 Mei — RON97 naik satu sen

    Kementerian Kewangan telah mengumumkan harga bahan api untuk minggu ini bermula 20 hingga 26 Mei 2021, yang menyaksikan hanya bahan api RON97 akan dinaikkan sebanyak satu sen seliter berbanding minggu sebelumnya.

    Oleh itu, bahan api untuk RON 97 akan dijual pada harga RM2.61 seliter, manakala RON 95 pula kekal pada harga siling yang telah ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan harga runcit untuk diesel, kekal pada paras harga siling RM2.15 seliter untuk gred Euro 5M B10/B20 (yang telah pun menggantikan Euro 2M di semua pam seluruh negara). Manakala untuk diesel Euro 5 B7 juga seperti biasa dijual 10 sen lebih mahal iaitu pada RM2.25 seliter.

    Semua harga yang dinyatakan di atas akan mula efektif pada tengah malam ini sehingga Rabu minggu hadapan, 26 Mei 2021.

     
     
  • Volkswagen Golf Mk8 dilancarkan di Singapura – 1.5 eTSI mild hybrid dan GTI, dari RM390k hingga RM639k

    Volkswagen Golf Mk8 dilancarkan di Singapura – 1.5 eTSI mild hybrid dan GTI, dari RM390k hingga RM639k

    Volkswagen Golf generasi kelapan telah pun dilancarkan di Singapura. Kereta paling laris di Eropah untuk tahun 2020, ditawarkan dengan varian 1.5 eTSI mild hybrid, dan juga hot hatch GTI.

    Model biasa Golf Mk8 dijanakan oleh enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder berbanding unit 1.4 liter yang digunakan pada model generasi terdahulu. Ia memberikan kuasa 150 PS/250 Nm yang lebih kurang dengan Mk7.5 TSI pasaran Malaysia. Ia turut digandingkan dengan kotak gear DSG dwi-klac tujuh-kelajuan, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat, sementara kelajuan tertingginya 224 km/j. Golf TSI yang masih berada di pasaran kita mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 8.2 saat dan kelajuan maksimum 216 km/j.

    Enjin 1.5L didatangkan dengan Active Cylinder Management (ACT), di mana separuh daripada empat silinder itu boleh ditutup pada muatan rendah, memberikan penjimatan bahan api dan emisi yang lebih ekonomi. Menurut FC, angka penggunaan bahan api didakwa sekitar 20.8 km/l, di mana ia 2.6 km/l lebih baik berbanding sebelum ini.

    Volkswagen Golf Mk8 dilancarkan di Singapura – 1.5 eTSI mild hybrid dan GTI, dari RM390k hingga RM639k

    Elektrifikasi disalurkan dari generator 48-voltan dan bateri lithium-ion 48-voltan. Sistem ini memberikan bantuan pendikitan Golf, dan ia membolehkan berluncur apabila ICE dimatikan.

    Di Singapura, terdapat tiga tahap kemasan yang ditawarkan – Life, Life Plus dan R-Line – semuanya dilengkapi dengan lebih banyak kit berbanding model sebelumnya. Ini termasuklah lampu utama LED, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, panel meter digital 10.25-inci, infotainmen skrin sesentuh 8.25-inci dan pengecas tanpa wayar secara standard.

    R-Line menerima bampar, kemasan hitam berkilat dan tempat duduk sport. Manakala model tertinggi 1.5 eTSI pula menerima lebih banyak ciri yang menarik seperti pencahayaan mood dalaman dengan 30 warna pilihan, stereng progresif dan pemilihan mod pemanduan.

    Golf GTI Mk8 yang dikesan di Malaysia pada tahun lalu

    Untuk GTI, tak perlu diperkenalkan, ia masih bancuhan yang sama dengan hot hatch terdahulu, tetapi dengan lebih kuasa dan teknologi. Unit EA888 2.0L turbo empat-silinder memiliki kuasa 245 PS dan tork 370 Nm, meningkat 15 PS dan 20 Nm berbanding GTI mk7.5 biasa dan sama dengan model sedia ada bagi versi Performance Pack. Ia juga ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, tetapi di Singapura, ia turut diberikan pilihan DSG tujuh-kelajuan.

    Bagi suspensinya, ia diberikan topang MacPherson di hadapan dan multilink di belakang, selain XDS electronic differential lock dan larasan suspensi sport yang 15 mm lebih rendah untuk ketiginan berbanding Golf standard. Ciri baharu bagi Mk8 termasuklah sistem kawalan Penguran Dinamik Kenderaan yang mengkoordinasi operasi untuk XDS dan peredam adaptif DCC.

    Harga Mk8 Golf bermula S$125,900 (RM390,621) di Singapura selepas rebat Vehicle Emissions Scheme (VES) sebanyak S$15k. GTI ditawarkan pada harga yang lebih mahal iaitu S$205,900 (RM638,831). GTI terbaharu ini telah dikesan di Malaysia pada tahun lalu dengan teaser model ini telah dipaparkan oleh VPCM menerusi Instagram. Walau bagaimana pun, selepas itu tiada sebarang perkhabaran mengenainya lagi.

    GALERI: Volkswagen Golf Mk8

     
     
  • BMW i4 EV muncul dalam laman web BMW Malaysia

    BMW i4 EV muncul dalam laman web BMW Malaysia

    Baru saja gambar awal BMW i4 muncul, dan kini coupe empat-pintu berkenaan telah dipaparkan dalam laman web BMW Malaysia pula. Adakah ini petanda ia akan tiba ke pasaran tempatan tak lama lagi? Model ini jadi model kedua BMW i yang ditampilkan dalam laman web BMW di sini selepas iX SUV hujung tahun lalu.

    Seperti dijangka, tiada sebarang maklumat yang disertakan sekali melebihi apa yang kita sudah tahu tentang i4 ini. Bagaimanapun, pengunjung boleh mendaftarkan minat mereka jika mahu, walaupun mungkin kemaskini tentang ini hanya akan dibuat beberapa bulan ke depan nanti, atau mungkin juga makan tahun.

    Apa yang diketahui berkaitan i4 ini, ia berkongsi badan yang sama dengan 4 Series Gran Coupe akan datang, serta menampilkan rekaan tersendiri pada bampar depan dan diffuser belakang, lencana i pada gril tertutup, roda aerodinamik tertutup dan perincian biru BMW i.

    Kereta ini akan ditawarkan dalam beberapa varian, dan didakwa mampu mencapai jarak 590 km dengan kitaran WLTP. Dari sudut prestasi pula, i4 didatangkan dengan kuasa mencecah sehingga 390 kW (530 PS), mungkin bagi versi M Performance, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa empat saat.

    Semua ini bagaimanapun tidak bermaksud yang kereta ini akan tiba di sini dalam masa terdekat. Kerana, di Eropah pun jualannya hanya akan dimulakan hujung tahun nanti. Mungkin, untuk pasaran Malaysia, ia akan mula di jual tidak lama selepas itu.

    Ini juga menunjukkan minat BMW Group Malaysia dalam membawakan model i4 dan iX sebagai sebahagian daripada strategi elektrifikasi masa depan dan mendesak kerajaan untuk menetapkan hala tuju yang lebih jelas berkaitan EV di Malaysia. Kita lihat nanti.

     
     
  • PLUS tutup plaza tol Alor Setar Selatan hingga 1 Jun

    PLUS tutup plaza tol Alor Setar Selatan hingga 1 Jun

    PLUS mengumumkan penutupan sementara plaza tol Alor Star Selatan bermula hari ini hingga 1 Jun nanti. Ini melibatkan penutupan kedua-dua arah, dan menurut pengendalinya, ia adalah susulan arahan daripada pihak polis.

    Sebab di sebalik langkah ini ialah akibat perisytiharan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) yang dikenakan terhadap 28 mukim di Kota Star, Kedah. PKPD di semua kawasan berkenaan dikenakan selepas berlakunya peningkatan kes Covid-19 secara mendadak.

    Pada Isnin, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat 16 Mei (Ahad), terdapat 975 kes aktif di daerah Kota Star, dan enam mukimnya berada dalam zon merah. “KKM mengesahkan bahawa Covid-19 menular secara meluas di daerah Kota Star dalam masa hanya lapan hari (8-16 Mei), dengan 799 kes positif dikesan,” jelas beliau. Itu melibatkan purata 100 kes sehari.

    Untuk keluar-masuk ibu negeri Alor Setar, plaza tol Alor Setar Utara bagaimanapun masih dibuka.

     
     
  • SYM Jet X dilancar secara rasmi – harga dari RM8.9k

    SYM Jet X dilancar secara rasmi – harga dari RM8.9k

    Model yang sebelum ini dipertontonkan kepada media bulan lalu, iaitu SYM Jet X kini sudah dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, dengan harga RM8,888 bagi versi Standard dan RM9,188 bagi versi Special Edition. Beza antara dua versi ini cuma warnanya, di mana Special Edition menggunakan warna Chameleon Blue sementara versi Standard datang dalam warna kuning, kelabu dan merah.

    SYM Jet X adalah sebuah skuter yang pada hujung tahun lepas dilancar untuk pasaran Eropah (125 cc), dan di Thailand sebagai GPX Drone. Ia dikuasakan oleh enjin suntikan bahan api satu silinder 149.6 cc, yang mampu menghasilkan kuasa 12.3 hp pada 8,000 rpm dan 12 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Selain bentuk badan yang sporty dan dinamik, Jet X juga didatangkan dengan kelengkapan canggih seperti sistem kunci pintar bersama penggera, semua lampu jenis LED dengan DRL di hadapan, penghadang angin hadapan jenis smoked, pengecas USB serta panel meter LCD digital penuh.

    Berat keseluruhan skuter ini adalah 140 kg dan ia didatangkan dengan tangki bahan api 7.5 liter dan ruang barangan bawah tempat duduk 18 liter (boleh memuatkan helmet fullface). Fork hadapan menggunakan jenis teleksopik biasa sementara di belakang pula terdapat dua penyerap hentak dengan tiga tahap pelarasan pra beban.

    Rim yang digunakan adalah bersaiz 14 inci, dengan tayar 100/90 di hadapan dan 110/80 di belakang, dan pada kedua-dua roda ini terdapat brek cakera yang masing-masing bersaiz 260 mm dan 220 mm. Untuk unit awal yang tiba, Jet X akan menggunakan brek jenis CBS sementara fungsi ABS pula hanya akan diusahakan pada model masa hadapan.

     
     
  • Yamaha YZF-R7 didedah – enjin dua silinder 689 cc daripada MT-07, kuasa 73.4 hp, suspensi boleh laras

    Yamaha YZF-R7 didedah – enjin dua silinder 689 cc daripada MT-07, kuasa 73.4 hp, suspensi boleh laras

    Selepas beberapa siri teaser, Yamaha Europe akhirnya mendedahkan secara rasmi YZF-R7 kepada dunia buat pertama kali. Seperti yang boleh dilihat daripada nama dan rupanya, ini adalah sebuah model fairing penuh yang menyertai sportsbike lain Yamaha seperti YZF-R1, YZF-R6, YZF-R25 dan YZF-R15.

    Di sebalik fairing itu sebenarnya adalah asas yang diambil daripada model naked MT-07, termasuklah enjinnya iaitu unit dua silinder selari CP2 DOHC 689 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan yang mampu menghasilkan 73.4 hp pada 8,750 rpm dan 67 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Kuasa ini hampir sama seperti MT-07, dengan perbezaan sekitar 1 hp dan 1 Nm. Walaubagaimanapun, R7 diberikan tetapan ECU dan penyampaian minyak yang baru bagi memberi kepentingan kepada kawalan dan maklum balas pendikit, serta nisbah gear yang menghasilkan pecutan lebih baik. Klac pula dikatakan 33% lebih ringan sementara quickshifter dijual secara berasingan sebagai aksesori tambahan.

    Bagi memadankan motosikal ini dengan tunggangan lebih sporty, ia dipasang dengan fork USD 41 mm Kayaba yang boleh dilaras sepenuhnya di hadapan (sebelah kiri untuk mampatan dan sebelah kanan untuk lantunan) dan monoshock yang boleh dilaras untuk pra beban serta lantunan.

    Bahagian brek juga dipertingkat dengan tetapan cakera berkembar 298 mm, angkup empat piston radial serta pam atas Brembo. Belakang menggunakan cakera 245 mm. Berat keseluruhan R7 adalah 188 kg (4.0 kg lebih berat berbanding MT-07) dan Yamaha mendakwa rangkanya adalah paling kurus dalam kategori middleweight – malah lebih kurus berbanding R25 dan R15.

    Disebabkan itu, profail badannya juga boleh dijadikan lebih kurus dan membantu dalam aspek aerodinamik. Sebagai sebuah sportsbike sudah tentu ia mengikuti rekaan model-model lain Yamaha, tetapi ada juga bahagian yang menjadikannya unik. Lampu hadapan menggunakan unit LED.

    Yamaha YZF-R7 didedah – enjin dua silinder 689 cc daripada MT-07, kuasa 73.4 hp, suspensi boleh laras

    Tangki bahan api yang disediakan oleh R7 berkapasiti 13 liter manakala rim 17 incinya dibalut dengan tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang. Pada bahagian kokpit terdapat panel instrumen digital penuh dengan pelbagai informasi. Walaupun masih belum diberitahu, kita boleh menjangka unit ini akan dipertingkat untuk menyediakan fungsi lain seperti masa dalam litar melalui aplikasi Y-Connect.

    Ada dua warna yang didedahkan untuk R7, iaitu Icon Blue dan Yamaha Black. Harganya masih belum dikeluarkan dan dijangka berada di wakil pengedar benua itu pada bulan Oktober 2021. Mungkinkah ia nanti juga akan tiba di negara kita? Anda teruja?

     
     
  • Proton Motorsport sahkan penyertaan dalam Kejohanan Rali British (BRC) 2021 dengan Iriz R5

    Proton Motorsport sahkan penyertaan dalam Kejohanan Rali British (BRC) 2021 dengan Iriz R5

    Mellors Elliot Motorsport (MEM) yang mewakili Proton Motorsport telahpun mengesahkan penyertaan mereka dalam Kejohanan Rali British (BRC) untuk musim 2021. Mereka bakal bertanding dalam kategori tertinggi kejohanan berkenaan dengan jentera Proton Iriz R5 yang dipandu oleh Oliver Mellors bersama juruarah Max Freeman.

    Proton bukan nama asing dalam perlumbaan rali di UK kerana jenama automotif dari Malaysia berkenaan sudahpun menyertai kejohanan rali nasional di negara tersebut bermula pada era 90’an, dan pernah menjuarai BRC dalam kategori Super 1600 dengan Proton Satria S1600 pada tahun 2000.

    Cabaran Proton dalam BRC kemudiannya disambung oleh Satria Neo S2000 yang dibangunkan oleh MEM dan kali terakhir jentera tersebut berlumba dalam kejohanan berkenaan adalah pada musim 2016. Proton Motorsport kembali ke BRC pada musim lalu juga dengan Iriz R5 dan Oliver Mellors, tetapi ia hanya sempat berlangsung dalam satu pusingan sebelum dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

    Dalam satu-satunya pusingan BRC musim 2020 iaitu di Cambrian Rally, Oliver Mellors berjaya menamatkan pelumbaan di tempat keempat dan mengutip 14-mata, diikuti seorang lagi pelumba muda yang baru berpeluang berlumba dalam kategori tertinggi dengan memandu Iriz R5, James William merangkul tempat kelima.

    Untuk musim 2021 ini, Oliver Mellors mensasarkan kempen BRC yang cemerlang pertamanya sejak 2016. “Sangat hebat kerana dapat kembali ke Kejohanan Rali British sekali lagi dengan Proton Iriz R5 dan kami sangat berharap agar dapat menunjukkan kebolehannya pada musim ini,” kata Oliver Mellors.

    “Kami telah menunggu musim 2021 bermula kira-kira sejak Mac tahun lalu selepas menyertai BRC musim lalu dan berasa sangat baik selepas mendapatkan tempat keempat dalam pusingan pertama di Wales. Sudah tentu, kami belum lagi buat banyak perkara selepas itu jadi kami rasa kami perlu teruskan apa yang telah ditinggalkan dan mencuba sekali lagi,” tambah pelumba berumur 26 tahun berkenaan.

    Menurutnya lagi, Iriz R5 bakal berhadapan dengan cabaran getir di UK tahun ini dan ia bakal menyerlahkan di mana tahap kebolehan sebenar jentera tersebut.

    “Covid menjejaskan kami pada tahun lalu dan rancangan seterusnya untuk jentera ini, bukan hanya di UK malah secara global. Jadi kami tak dapat berbuat apa-apa dan perlu melihat semula jalan terbaik bagi membolehkan Iriz R5 kembali menjadi perhatian.

    Proton Motorsport sahkan penyertaan dalam Kejohanan Rali British (BRC) 2021 dengan Iriz R5

    “Jika anda lihat ada persaingan hampir dari semua pengeluar pada musim ini dan ia hampir seperti bertanding dalam WRC (Kejohanan Rali Dunia) jadi BRC sesuai dengan tujuan tersebut secara sempurna,” jelas Mellors.

    BRC akan berlangsung dalam tujuh pusingan untuk musim ini, di mana pusingan pertama adalah Neil Howard Stages yang akan dilangsungkan sepenuhnya di Oulton Park Race Circuit pada 31 Mei ini. Mellors menyifatkan pusingan pertama berkenaan bakal memberikan kelebihan kepadanya atas berberapa faktor.

    “MEM merupakan rakan kerjasama Motorsport News Circuit Championship dan saya telah berlumba dalam berberapa acara sebelum ini dan semua disimpan dalam tangan. Saya agak berseronok dengan acara-acara tersebut secara jujurnya, tetapi saya rasa semua orang yang memandang rendah betapa susahnya rali ini akan memakan diri. Rancangan yang dibuat adalah untuk mendapatkan permulaan yang baik untuk musim ini di bawah penguasaan kami dan Oulton mempunyai rentak berkenaan,” jelasnya.

    “Sangat hebat untuk kembali memandu dan kembali dalam BRC dengan Proton dan saya harap kami dapat buktikan potensi Iriz menentang pesaing-pesaing terbaik dalam Kejohanan British,” tambah Olie Mellors lagi.

     
     
  • Mercedes-Benz GLE450 AMG Line V167 CKD dilancarkan – berharga RM475,501 tanpa SST

    Mercedes-Benz GLE450 AMG Line V167 CKD  dilancarkan – berharga RM475,501 tanpa SST

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan Mercedes-Benz GLE 450 4Matic AMG Line V167 pada tahun 2019, dan kini tibalah pula versi pemasangan tempatan CKD pula menembusi pasaran kita. SUV eksekutif tujuh-tempat duduk ini ditawarkan dengan harga yang. rendah sedikit, berbanding dengan model pengenalannnya tiga tahun yang lalu. Malah ia juga memberikan persaingan yang sengit untuk harga yang ditawarkan untuk pencabar terdekatnya termasuk BMW X5 xDrive45e dan Volvo XC90 Recharge T8.

    Penawaran harganya dilihat menarik, di bawah RM500,000 dengan hampir RM110,000 pengurangaj berbanding model terdahulu. Untuk model CKD ini, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM475,501 tanpa insurans. Malah angka ini adalah termasuk pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun ini, di mana selepas tarikh itu, harganya akan meningkat menjadi RM499,888. Seperti mana model Mercedes lain di Malaysia, GLE 450 ini turut didatangkan dengan waranti empat-tahun/tanpa had perbatuan.

    Pengurangan harganya bukan sahaja disebabkan ia adalah pemasangan tempatan, bahkan turut melibatkan semakan kelengkapannya. Tiada perubahan untuk luaran, GLE ini masih kekal menampilkan pakej AMG Line dengan bampar hadapan dan belakang yang sporty dan warna gerbang roda sama dengan warna badan. Selain itu, ia masih dilengkapi dengan lampu utama Multibeam LED, running boards ala aluminium dan roda aloi pelbagai-jejari 19-inci.

    Mercedes-Benz GLE450 AMG Line V167 CKD  dilancarkan – berharga RM475,501 tanpa SST

    Di dalamnya, pengurangan terbesar yang dilakukan ialah model CKD ini menerima material kulit tiruan Artico dan upholstery gentian mikro Dinamica, berbanding kulit Nappa pada model CBU. Material Artico turut digunakan pada papan pemuka dan door card, seperti sebelum ini.

    Spesifikasi AMG Line turut dikekalkan, termasuk roda stereng leper di bawah dengan balutan kulit Nappa, headlining hitam, serlahan krom dan alas lantai jenama-AMG, serta kemasan oak pada papan pemuka. Turut dikekalkan ialah sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan paparan berkembar 12.3-inci, fungsi Apple CarPlay dan Android Auto dan sistem bunyi sekeliling Burmester 590-wat dengan 13-pembesar suara.

    Ciri standard lain termasuk kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, tempat duduk hadapan dan belakang dengan larasan kuasa dan fungsi memori dan larasan belakang untuk tempat duduk hadapan, kawalan suhu automatik empat-zon, pemegang cawan dengan fungsi pemanas dan penyejukan, cermin auto kelam, bumbung suria panoramik, dua pelindung matahari, tirai mentari di belakang dengan larasan kuasa, pengecas tanpa wayar Qi, sistem kamera 360-darjah, bantuan parkir dan tailgate bebas tangan.

    Mercedes-Benz GLE450 AMG Line V167 CKD  dilancarkan – berharga RM475,501 tanpa SST

    Ciri lain yang turut dikurangkan adalah berkenaan dengan keselamatan. Di mana pakej Bantuan Pemanduan dengan bantuan pemusatan lorong kini digugurkan, ini bermakna keupayaaan pemanduan semi-autonomous Tahap 2 yang ada pada model sebelum ini, juga telah ditiada. Walay bagaimana pun brek kecemasan sendiri dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal masih dikekalkan. Manakala kawalan kelajuan adaptif Distronic, pemantauan titik buta dan bantuan kekal lorong masih diberikan.

    Model ini juga masih menggunakan penjana kuasa yang sama iaitu unit M256 3.0 liter pengecas turbo enam-silinder sebaris, dengan hamburan kuasa 367 PS dari 5,500 hingga 6,100 rpm dan tork 500 Nm antara 1,600 dan 4,500 rpm. Ia turut dilengkapi dengan kotak gear automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan dengan pacuan semua-roda 4Matic, membolehkan GLE 450 ini dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam masa 5.7 saat. Ia juga diberikan suspensi udara Airmatic dengan peredam adaptif (sistem penstabilan olengan E-Active Control telah digugurkan selepas model CBU habis dijual).

     
     
  • Lexus jual 2 juta kereta elektrifikasi peringkat global

    Lexus jual 2 juta kereta elektrifikasi peringkat global

    Lexus telah mencapai penanda aras baru pada penghujung April 2021 — syarikat itu mencecah angka jualan dua juta kenderaan dengan teknologi elektrifikasi di seluruh dunia, 16 tahun selepas RX400h diperkenalkan pada tahun 2005. Ini bersamaan dengan pengurangan 19 juta tan pembebasan CO2, atau 300,000 kenderaan penumpang setiap tahun bagi 15 tahun lalu.

    Sejak RX hibrid yang pertama, pengeluar kenderaan mewah itu telah memperluaskan barisan kenderaan elektrifikasi di bawah jenamanya. Hari ini, terdapat sembilan model hibrid dan elektrik dalam pasaran dengan operasi di kira-kira 90 negara. Tahun lalu, satu pertiga daripada keseluruhan kenderaan dijual Lexus terdiri daripada model dengan elektrifikasi.

    Selari dengan visi “Lexus Electrified” yang diumumkan pada 2019, jenama itu akan memperkenalkan 20 model baru menjelang 2025, lebih separuh daripadanya adalah model hibrid atau elektrik sepenuhnya. Lexus juga merancang untuk menjadikan semua modelnya dilengkapi teknologi elektrifikasi, dan perlahan-lahan memansuhkan penggunaan enjin konvensional. Menjelang 2050, Lexus mensasarkan untuk mencapai neutral karbon melalui semua rantaian barisan kendearannya, dari pengilangan hingga ke logistik dan kitar semula.

    Lexus jual 2 juta kereta elektrifikasi peringkat global

    Kini Lexus akan memperkenalkan model plug-in hybrid untuk pasaran massa yang pertamanya tahun ini, serta sebuah kenderaan elektrik sepenuhnya pada 2022. Model-model akan datang Lexus akan memanfaatkan sistem pacuan semua roda Direct4 dan steer-by-wire.

    Antara model yang memanfaatkan teknologi tersebut ialah model konsep LF-Z Electrified yang ditunjukkan awal tahun ini. Ia menampilkan kereta elektrik Lexus akan datang, dengan dua motor yang menghasilkan kuasa 400 kW (536 hp) dan 700 Nm tork. Bersama Direct4 dan steer-by-wire, Lexus mendakwa prestasi pecutan dan selekohnya akan memberi kepuasan kepada pemandu, dan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa tiga saat dan laju maksimum 200 km/j.

    Sebuah bateri lithium-ion 90 kWh sejukan cecair didakwa mampu menyediakan jarak 600 km dalam kitaran WLTP dan mampu untuk pengecasan pantas 150 kW. Angka menarik, begitu juga dengan reka bentuknya. Menurut Lexus lagi, bahasa rekaan dalamannya akan memberi fokus terhadap penglihatan ke luar, serta kabin yang ringkas dan bersih yang memberikan pengalaman minimalis.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025