Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • AD: Bagaimana memilih bateri kenderaan yang tahan lama dan berbaloi untuk wang — ini tips dari Amaron

    AD: Bagaimana memilih bateri kenderaan yang tahan lama dan berbaloi untuk wang — ini tips dari Amaron

    Bateri merupakan antara komponen kenderaan yang sangat penting. Dan, disebabkan ia terselindung daripada pandangan, ramai yang tidak menyedari kepentingannya sehinggalah bila sudah terlambat – biasanya, ia hanya disedari apabila tiada apa-apa yang berlaku ketika mereka cuba menghidupkan enjin kereta. Untuk itu, adalah penting untuk mempunyai sebuah bateri yang tahan lama.

    Tetapi, adakah anda pernah terfikir bagaimana untuk memilih dan membeli bateri yang betul serta tahan lama, yang berbaloi juga dengan wang yang dibelanjakan? Amaron ada nasihat yang mudah tentang bagaimana caranya untuk membuat pilihan pembelian bateri bagi kereta anda. Langkah-langkah penting dan mudah ini boleh membantu anda membeli bateri yang ideal.

    Perhatikan tempoh jaminannya: tempoh jaminan yang panjang menunjukkan keyakinan syarikat atau pengeluarnya terhadap produk mereka. Pada tahun 2020 ini, Amaron masih mengekalkan harga pasaran yang sama sejak tahun 2016. Namun Amaron memberikan lanjutan jaminan secara PERCUMA dari 12 bulan kepada 18 bulan.Di samping itu, Amaron juga memberikan tambahan percuma, 18 bulan jaminan diskaun pada bulan berikutnya. Pada keseluruhannya, anda akan menikmati *36 bulan jaminan untuk Bateri Amaron GO. Kalau dalam tempoh 18 bulan pertama bateri kereta anda rosak, Amaron akan menggantikan bateri yang baru secara PERCUMA?Jika bateri rosak dalam tempoh dari bulan ke 19 – 36, Amaron akan memberikan anda diskaun untuk membeli bateri Amaron yang baru. Amaron akan bagi jaminan 36 bulan yang baru LAGI untuk pertukaran tersebut.

    Luangkan sedikit masa untuk mendapatkan maklumat berkaitan teknologi pada bateri. Menurut Amaron, setiap bateri Amaron GO diperbuat menggunakan teknologi aloi Silven X (perak di dalam teknologi) yang dipatenkan, yang menampilkan ciri rintangan haba yang sangat baik, menjadikannya sangat sesuai dalam cuaca panas dan lembap seperti di Malaysia.

    Berat adalah satu faktor yang penting. Amaron menjadi pelopor industri dengan memanfaatkan material dengan teknologo aloi Silven X (perak di dalam teknologi) untuk mencapai prestasi yang lebih tinggi dan tahan lama. Syarikat mendakwa bateri keluaran mereka mempunyai keseimbangan sempurna antara berat dan prestasi untuk menandingi spesifikasi bateri OEM. Sebagai contoh, unit dengan spesifikasi OEM 38B20L (NS-40ZL) dari kilang pemasangan akan mempunyai berat 10 kg. Produk Amaron juga sama, atau bahkan lebih baik, berbanding spesifikasi yang telah ditetapkan oleh pengeluar-pengeluar kenderaan ternama dunia.

    Adakah akses kepada jaminan itu mudah? Sepatutnya, ya. Amaorn menjelaskan, aplikasi mudah alih “Amaron36” (untuk iOS melalui Apple Store dan Android dari Google Play) membolehkan pendaftaran dalam talian sepenuhnya dilakukan, memudahkan pelanggan untuk menyemak dan mendapatkan jaminan produk sehingga 36 bulah tanpa perlukan resit bercetak atau kad jaminan.

    Perlindungan lebih meluas bagi penukaran bateri kecemasan atau tuntutan juga perlu dipertimbangkan, dan Amaron memaklumkan syarikat itu mempunyai rangkaian pengedar sah yang luas serta pusat servis di seluruh Semenanjung, sekiranya ada keperluan untuk itu oleh pelanggan.

    Syarikat baru-baru ini melancarkan kedai rasminya di Lazada dan Shopee, menjadikannya lebih mudah untuk pelanggan meneliti dan membeli bateri yang sesuai mengikut keperluan mereka. Dengan kempen Lazada 12.12 dan Shopee 12.12 Birthday Sale yang bakal menjelang, pastikan anda meneliti tawaran-tawaran yang disediakan di kedua-dua platform jualan itu.

    *Amaron jaminan 36-bulan hanya untuk model-model bateri berikut:

    • Amaron GO 38B20L
    • Amaron GO 46B24L
    • Amaron GO 46B24R
    • Amaron GO 46B24RS
    • Amaron GO 46B24LS
    • Amaron PRO DIN 55
    • Amaron PRO DIN 65
    • Amaron PRO DIN 66
    • Amaron PRO DIN 74
    • Amaron PRO DIN 80
    • Amaron PRO DIN 100

    *Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Honda PCX 160 dan PCX e:HEV dilancar di Jepun – seluruh bahagian dipertingkat, enjin lebih berkuasa

    Honda PCX 160 dan PCX e:HEV dilancar di Jepun – seluruh bahagian dipertingkat, enjin lebih berkuasa

    Bulan lalu Honda telah mendedahkan versi baru untuk skuter PCX di Eropah yang menggunakan banyak bahagian baru, tetapi dengan kapasiti enjin 125 cc. Enjin itu bagi menyesuaikannya dengan segmen di sana, tetapi apa yang boleh diambil sebagai petunjuk adalah peningkatan lain yang akan diserap kepada PCX berkapasiti lebih tinggi untuk pasaran negara lain.

    Ternyata model itu wujud dan telah ditunjukkan kali pertama oleh Honda di Jepun. Menariknya, selain PCX 125, Honda juga memperkenalkan PCX 160 dan PCX e:HEV. Daripada namanya anda sudah boleh menjangka PCX telah diberikan peningkatan kapasiti enjin.

    PCX 160 dikuasakan oleh enjin satu silinder empat injap berkapasiti 156 cc bersama sistem suntikan bahan api, SOHC dan penyejukan cecair. Enjin yang menggunakan nisbah mampatan tinggi 12:1 ini mampu menghasilkan kuasa 15.8 PS pada 8,500 rpm dan 15 Nm tork pada 6,500 rpm, sekaligus menjadikannya 1.1 PS dan 1.8 Nm tork lebih berkuasa berbanding PCX 150 yang berada dalam pasaran kita sekarang.

    Antara peningkatan yang dibuat pada enjin ini untuk menjadikannya lebih responsiif, mesra alam dan lancar adalah ekzos baru, salur kemasukan udara lebih cekap, penggunaan cam chain tensioner lifter hidraulik serta rekaan crankshaft baru. Enjin ini juga datang dengan ciri start/stop menggunakan ACG Starter.

    Selain daripada enjin baru ini, PCX 160 turut menerapkan peningkatan lain seperti PCX 125 yang dilancarkan di Eropah termasuk penampilan serba baru dengan lampu LED, penghadang angin hadapan lebih besar, tempat duduk lebih selesa serta tinggi tempat duduk cuma 764 mm.

    Ruang simpanan di bawah tempat duduk adalah 2.4 liter lebih besar, dengan kapasiti penuh 30.4 liter, dan ia turut dilengkapi dengan soket pengecas USB. Bagi kunci pintar yang digunakan untuk model ini, selain mengawal butang pemula enjin dan ruang simpanan bawah tempat duduk, ia juga boleh mengawal kunci untuk kotak barangan belakang yang dijual berasingan. Sekiranya pemilik beredar dan kotak itu masih belum dikunci, ia akan terkunci sendiri.

    Honda PCX 160 dan PCX e:HEV dilancar di Jepun – seluruh bahagian dipertingkat, enjin lebih berkuasa

    Di bahagian kokpit, panel instrumen LCD menggunakan paparan baru dan skuter ini juga didatangkan standard dengan sistem kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC). Kerangka model ini juga diubah untuk menjadikannya lebih tegap, dan sekarang mempunyai berat 132 kg, manakala tangki bahan api berkapasiti 8.1 liter.

    Rim bersaiz sama antara depan dan belakang pada model sebelum ini telah diubah dengan kini menggunakan saiz 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang (tayar 110/70 dan 130/70). Suspensi hadapan masih lagi sama tetapi dua penyerap di belakang mempunyai tahap gerak yang lebih panjang iaitu 95 mm. Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan cakera tetapi ABS cuma ada pada bahagian hadapan.

    Bagi model hibrid PCX e:HEV, ia menggunakan gabungan enjin 125 cc baru dengan motor elektrik AC yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion, untuk memberikan tambahan kuasa 1.9 PS dan 4.3 Nm tork apabila memecut kepada kuasa 12.5 PS dan 12 Nm yang boleh dihasilkan oleh enjin pembakaran dalaman itu.

    Selain menawarkan penjimatan bahan api dan pecutan lebih pantas, model hibrid ini juga datang dengan dua mod tunggangan iaitu D untuk keadaan biasa dan S untuk rasa yang lebih sporty. Ruang simpanan bawah tempat duduk model ini bagaimanapun adalah sedikit lebih kecil.

    GALERI: Honda PCX 160 2021

    GALERI: Honda PCX e:HEV 2021

     
     
  • Mitsubishi Outlander 2021 – gambar generasi baru bocor, seiras dengan model konsep Engelberg Tourer

    Mitsubishi Outlander 2021 – gambar generasi baru bocor, seiras dengan model konsep Engelberg Tourer

    Sebelum ini kita dah tengok bagaimana Mitsubishi menjelmakan versi produksi MPV-SUV Xpander yang nampak seiras dengan model konsepnya iaitu XM. Nampaknya tak lama lagi ada satu lagi model konsep Mitsubishi yang akan dijelmakan ke bentuk produksi dengan rupa yang lebih kurang sama – model konsep Engelberg Tourer bakal diproduksi sebagai Outlander generasi baharu!

    Gambar yang bocor ini disiarkan oleh Allcarnews tetapi tidak didedahkan sumbernya. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Outlander generasi keempat tersebut bakal didedahkan pada suku kedua tahun hadapan.

    Seperti yang boleh anda lihat pada gambar yang bocor ini, kebanyakkan perincian Engelberg Tourer berkenaan diterjemahkan kepada Outlander 2021 tersebut. Ia termasuk lampu nyalaan siang LED yang tirus, lampu hadapan utama pada bampar hadapan dan juga elemen ‘X’ pada muka dengan kemasan krom yang tebal.

    Pada bahagian sisi, dengan jelas Outlander generasi baharu ini menampilkan garis badan serta bentuk tiang-D bersama kemasan krom dan kemasan hitam bagi memberikan rupa ‘bumbung terapung’ yang sama seperti Engelberg Tourer. Manakala di belakang, ia turut hadir dengan lampu yang nipis seiras dengan model konsep yang muncul di Geneva Motor Show 2019 tersebut.

    Mitsubishi Outlander generasi baharu ini dijangka akan terus ditawarkan dalam versi petrol sepenuhnya dan versi plug-in hybrid (PHEV). Bagi PHEV, ia mungkin akan diberikan sistem yang sama seperti model generasi sedia ada yang diperhalusi semula.

     
     
  • Hyundai Elantra 2021 dilancarkan di M’sia — generasi ketujuh, satu varian, 1.6L Smartstream IVT, RM158,888

    Hyundai Elantra 2021 dilancarkan di M’sia — generasi ketujuh, satu varian, 1.6L Smartstream IVT, RM158,888

    Minggu lalu, Hyundai Elantra 2021 ini sudah pun didedahkan sepenuhnya, termasuk perincian spesifikasinya, dalam satu majlis pra-tonton bersama media. Dan hari ini, ia telah pun dilancarkan secara rasmi dalam satu majlis digital dan teka-teki berkaitan harganya telah pun terjawab.

    Hyundai Elantra 2021 generasi ketujuh yang merupakan unit CBU dari Korea Selatan ini hanya ditawarkan dalam satu varian sahaja untuk pasaran Malaysia akan dijual pada harga RM158,888 bagi tahun ini (dengan pengecualian SST hingga 31 Disember nanti). Ia juga datang dengan jaminan lima-tahun/300,000 km dan servis percuma bagi 50,000 km.

    Hyundai Elantra 2021 ini menggunakan enjin baru petrol Smartstream G1.6 MPi (1.6 liter) NA DVVT dengan Dual Port Injection System yang menghasilkan kuasa sebanyak 123 PS (121 hp) pada 6,300 rpm dan tork 154 Nm pada 4,500 rpm. Enjin ini menggunakan kepala silinder jenis DOHC, bersama sistem pemasa injap boleh ubah berterusan (CVVT), sistem suntikan multi-silinder serta modul pengurusan haba enjin yang baru.

    Hyundai Elantra 2021 dilancarkan di M’sia — generasi ketujuh, satu varian, 1.6L Smartstream IVT, RM158,888

    Pacuannya disalurkan ke roda depan menerusi Smartstream Intelligent Variable Transmission (IVT) dengan lapan-kelajuan maya. Menurut Hyundai, IVT menggunakan rantai sawat (chain belt) berbanding push belt. Ini disifatkan mampu memberi respon lebih baik serta mengurangkan kehilangan kuasa dari enjin (sebanyak 5-8%) dan lebih menjimatkan minyak (sehingga 4.2%).

    Gandingan enjin dan transmisi berkenaan membolehkan Elantra 2021 ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.4 saat dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai mencecah 196 km/j. Manakala anggaran penggunaan bahan api kombinasi pula sekitar 5.6 liter bagi setiap 100 km. Ia juga hadir dengan tiga mod pemanduan, iaitu Normal & Smart, Eco dan Sport.

    Sebagai perbandingan, Elantra generasi keenam terdahulu ditawarkan dengan enjin 2.0 liter Nu NA empat-silinder dengan janaan kuasa 152 PS dan tork 192 Nm, dipadankan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan. Untuk casis, model terbaru ini dilengkapi dengan topang MacPherson di depan dan palang torsion di belakang. Manakala sistem brek pula menggandingkan cakera berliang di hadapan dan cakera solid di belakang.

    Hyundai Elantra 2021 dilancarkan di M’sia — generasi ketujuh, satu varian, 1.6L Smartstream IVT, RM158,888

    Kereta ini memiliki dimensi berukuran 4,675 mm panjang, 1,825 mm lebar, 1,430 mm tinggi dengan jarak roda 1,245 mm. Ini menjadikannya 55 mm lebih panjang dan 25 mm lebih lebar berbanding model sebelumnya. Malah jarak rodanya juga bertambah 20 mm. Namun, ia lebih rendah 20 mm. Manakala kapasiti bagi ruang but pula mencecah 474 liter.

    Bahasa rekaan yang digunakan pada model ini agak ranggi dan impresif. Sekali pandang, ia umpama model coupe empat-pintu yang sporty. Ia menampilkan pendekataan rekaan parametric dynamic yang diterjemahkan menerusi Sensuous Sportiness.

    Menurut Hyundai, garisan bentuk tiga segi pada badannya mungkin bakal dianggap taboo dalam rekaan automotif. Namun ia sebenarnya mewakili emosi baru dengan paparan inovasi geometrikal. Ia begitu jelas kelihatan bermula pada gril bahagian hadapan yang hadir dengan konsep paten batu permata. Ditambah pula dengan gabungan lampu utama dwi LED (Low & High Projection) yang nampak garang, bersama air curtain dan lampu isyarat membelok yang agak tersorok di dalam gril.

    Senada dengan bahagian hadapan, sisi profilnya juga jelas kelihatan dengan karakteristik parametric dynamic dengan garisan berinspirasikan batu pertama yang melingkar sehingga ke hujung belakang. Hyundai turut meminjam elemen fastback untuk penggayaan bahagian tepi dan belakang. Menyerlahkan lagi gayanya, ia menampilkan rim aloi 17-inci yang dibaluti tayar 225/45R17 Kumho Ecsta PS71.

    Untuk bahagian belakang, Elantra masih mengekalkan gaya elegan empat-pintu dengan elemen ducktail pada bahagian bonetnya agak tinggi, membuatkan pandangan belakangnya agak sedikit pelik. Bahagian ini diberikan lampu kombinasi LED, lampu H-tail yang seperti dua boomerang bersambungan bersama logo Hyundai dan lencana Elantra yang terpisah oleh lampu tersebut.

    Menjengah bahagian dalamnya pula, pelanggan mempunyai pilihan sama ada mahukan bentangan warna hitam atau pun kelabu cerah untuk keseluruhan kabinnya. Jika memilih rona hitam, bentangan kabinnya tampil dengan tiga kemasan termasuk kulit berwarna hitam, tricot dan natural leather yang menampakkan gaya lebih elagan. Manakala jika memilih kemasan berwarna kelabu cerah, kemasan kulit dan woven diberikan.

    Dalam kemasan ini, jangan terkejut sekiranya mendapati kemasan panel pada pintu tempat duduk penumpang hadapan berbeza daripada tempat duduk pemandu dan penumpang belakang. Ini bukan disebabkan kilang Hyundai tersalah pasang pintu, sebaliknya itu bertujuan untuk memberikan rasa mempunyai ruang tersendiri buat pemandu, yang “terpisah” dari bahagian kabin yang lain.

    Antara ciri kelengkapan lain yang diberikan termasuklah tempat duduk pemandu larasan kuasa (larasan manual untuk penumpang hadapan), pemegang cawan yang boleh dilaras ketinggiannya, tempat duduk hadapan dengan fungsi haba dan aliran udara, kawalan keselesaan suhu pintar untuk tempat duduk pemandu, paparan kluster Supervision TFT LED berwarna sepenuhnya 10.25-inci, dan skrin ‘terapung’ lapan-inci dengan ketersambungan Android Auto dan Apple Carplay.

    Selain itu, ia turut didatangkan dengan Bluetooth multi-connection bersama pengesan suara, brek parkir elektronik dengan fungsi menahan automatik, pendingin hawa automatik dwi-zon dengan tiga kawalan bagi blower, corong udara untuk tempat duduk belakang, soket kuasa dan tiga pengecas USB dan pengecas tanpa wayar bagi telefon pintar.

    Elantra 2021 ini turut diberikan ciri pintar tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, smart trunk untuk bahagian bonet, empat penderia parkir hadapan dan empat lagi untuk parkir belakang, dan Kawalan Kelajuan Pintar dengan fungsi Stop & Go.

    Untuk ciri keselamatan, ia diberikan ABS dengan EBD, sistem bantuan brek, sistem kawalan cengkaman (TCS), kawalan kestabilan elektronik (ESC), pengurusan sistem kenderaan (VSM), kawalan mula mendaki (HAC), cagak Isofix dan enam beg udara (bahagian pemandu, penumpang hadapan, sisi dan tirai).

    Hyundai Elantra 2021 dilancarkan di M’sia — generasi ketujuh, satu varian, 1.6L Smartstream IVT, RM158,888

    Bukan setakat itu sahaja, Elantra 2021 turut diberikan kelengkapan Hyundai SmartSense yang merangkumi Lane Keeping Assist (LKA), Lane Following Assist (LFA), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Forward Collision-Avoidance Assist-Junction (FCA-JT) dan Blind Spot Collision-Avoidance Assist (BSC).

    Selain itu, ia turut menampilkan Driver Attention Warning (DAW), Leading Vehicle Departure Alert (LVDM), Safe Exit Warning (SEW), Rear Cross Traffic Collision-Avoidance (RCCA) dan Rear Occupant Alert (ROA). Elantra 2021 diberikan empat pilihan warna luaran – Polar White, Electric Shadow, Amazon Grey dan Intense Blue.

    Hyundai Elantra 2021 di Malaysia

     
     
  • Toyota GR Yaris HKS – Perincian didedah; 475 hp dari enjin 1.6 liter tiga-slinder dengan dalaman standard!

    Toyota GR Yaris HKS – Perincian didedah; 475 hp dari enjin 1.6 liter tiga-slinder dengan dalaman standard!

    September lalu HKS telah menyiarkan imej digital projek GR Yaris mereka, dan ia kemudiannya muncul dalam versi nyata sebulan berikutnya. Namun perincian tentang apa yang dibuat pada kereta demo berkenaan masih belum diumumkan, kecuali apa yang didedahkan oleh pemandu ujinya, Nobuteru Taniguchi pada Oktober lalu menyatakan bahawa ia menghasilkan kuasa 340 PS.

    Dan kini, segala perincian berkenaan GR Yaris tersebut telah didedahkan portal budaya automotif, Speedhunters. Rupanya, jumlah kuasa sebenar yang dihasilkan oleh GR Yaris dengan enjin asal G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo lebih memeranjatkan – ia kini bernafas dengan 475 hp!

    Jadi apa yang HKS buat bagi meningkatkan kuasa dari 272 PS sehingga ia bertambah lebih kurang 200 kuasa kuda ini? Menurut HKS, pengubahsuaian yang dilakukan pada GR Yaris berkenaan kini hanya berada pada peringkat permulaan yang mereka gelar sebagai ‘Step 1’, dan enjin tersebut masih lagi belum dileraikan dan segala isi didalamnya masih dalam keadaan standard.

    Toyota GR Yaris HKS – Perincian didedah; 475 hp dari enjin 1.6 liter tiga-slinder dengan dalaman standard!

    Ya, 1.6 liter tiga-silinder standard tidak mempunyai masalah untuk didesak untuk mengekstrak hampir 500 hp! Apa yang HKS buat kali ini adalah memadankan pengecas turbo prototaip binaan mereka, menaikkan boost standard dari 1.4 bar kepada 2.7 bar.

    Ia turut diberikan penapis udara HKS Super Power Flow yang disorokkan di dalam kotak udara asal, paip-paip aliran udara kemasukan yang dibina semula dan juga unit intercooler prototaip lebih besar. Kotak komputer enjin asal tidak lagi digunakan untuk memberi laluan kepada ECU stand alone Motec M150 bagi membolehkan ia ditala bagi disesuaikan dengan desakan turbo lebih besar ini.

    Ubahsuai ini sahaja membolehkan enjin tersebut menghasilkan 375 HP, manakala 100 HP lagi kuasa kuda dibekalkan menerusi sistem suntikan nitrus oksida.

    Walaupun kereta ini bukan dihasilkan untuk mencatatkan rekod lap terpantas di litar Tsukuba (buat masa sekarang) dan lebih kepada demo aksi drift, ia tetap menerima kit aero agresif dari Pandem, menampilkan pelbagai spliter dan spoiler pada bampar hadapan, setiap fender yang lebih lebar dan juga spoiler bumbung bersaiz gergasi di belakang.

    Toyota GR Yaris HKS – Perincian didedah; 475 hp dari enjin 1.6 liter tiga-slinder dengan dalaman standard!

    Ia turut menerima set suspensi prototaip dari HKS bagi memberikan pengendalian dan juga stance lebih agresif, bersama lengan suspensi lebih panjang bagi memberikan trek roda lebih lebar. Ia turut digandingkan dengan set rim Yokohama Advan Racing R6s bersaiz 18×9.5 inci bersama tayar semi slick Yokohama Advan A052 265/35R18.

    GR Yaris HKS ini masih menggunakan sistem transmisi dan juga pacuan semua roda GR-Four standard dari kilang; walaupun kuasa dari enjin kini sekitar 40% lebih tinggi dari asal dan Taniguchi ‘membelasah’ kereta ini dengan aksi drift yang agresif, sistem-sistem berkenaan tidak menimbulkan sebarang masalah. Apa nak heran, memang Toyota hasilkan kereta ini agar boleh terus dijadikan jentera rali!

    Menurut laporan Speedhunters, HKS kini sedang dalam proses ubahsuai untuk tahap ‘Step 2’. Proses tersebut akan membabitkan enjin tersebut dibuka dan badan penala berkenaan akan menghasilkan peralatan prestasi lain bagi mengerah lagi kuasa dari enjin kecil berkenaan. Mungkin lepas ini kita boleh tengok GR Yaris dengan enjin G16 tersebut yang menghasilkan lebih dari 500 HP?

     
     
  • LIVE: Tonton pelancaran digital Hyundai Elantra 2021 untuk pasaran Malaysia, jam 11 pagi hari ini

    LIVE: Tonton pelancaran digital Hyundai Elantra 2021 untuk pasaran Malaysia, jam 11 pagi hari ini

    Majlis pra-tonton untuk media bagi Hyundai Elantra 2021 generasi ketujuh telah pun diadakan minggu lalu, dan hampir semua maklumat berkaitan penawaran terbaru sedan segmen C ini sudah pun diketahui. Hari ini, segala pertanyaan tentang harganya akan terjawab, di dalam acara pelancaran digital yang bakal berlangsung pukul 11 pagi nanti, di laman Facebook rasmi Hyundai Malaysia.

    Dari segi spesifikasi, Hyundai Elantra 2021 dilengkapi enjin petrol Smartstream G1.6 MPi (1.6 liter) naturally-aspirated DVVT dengan Dual Port Injection System yang mampu menjana sehingga 123 PS (121 hp) pada 6,300 rpm dan tork 154 Nm pada 4,500 rpm.

    Enjin ini menggunakan kepala silinder jenis DOHC, bersama sistem pemasa injap boleh ubah berterusan (CVVT), sistem suntikan multi-silinder serta modul pengurusan haba enjin yang baru. Kuasa itu disalur ke roda hadapan menerusi Smartstream Intelligent Variable Transmission (IVT) dengan lapan-kelajuan maya.

    Gandingan enjin dan transmisi berkenaan membolehkan Elantra 2021 memecut dari 0-100 km km/j dalam 10.4 saat dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai mencecah 196 km/j. Manakala anggaran penggunaan bahan api kombinasi pula sekitar 5.6 liter bagi setiap 100 km. Ia mempunyai tiga mod pemanduan iaitu Normal & Smart, Eco dan Sport.

     
     
  • Program restorasi Nismo untuk Nissan Skyline GT-R – kondisi keluar kilang, ada waranti; kos RM1.76 juta!

    Program restorasi Nismo untuk Nissan Skyline GT-R – kondisi keluar kilang, ada waranti; kos RM1.76 juta!

    Pada 2017, sayap perlumbaan Nissan iaitu Nismo sudah pun mengumumkan program Nismo Heritage Parts, iaitu program penghasilan semula alat-alat ganti untuk kereta sport ikonik mereka, Nissan Skyline GT-R R32, R33 dan R34. Malah pada tahun lalu, program tersebut turut menyenaraikan enjin RB26DETT yang boleh anda beli baharu untuk merestorasi semula Skyline GT-R anda.

    Nak lagi gila? Tahun ini nampaknya Nismo melancarkan program yang lebih menyeluruh digelar sebagai program Nismo Restored Car. Dengan program ini, anda boleh menghantar terus Skyline GT-R R32, R33 dan R34 terus ke fasiliti Nismo, dan mereka akan merstorasi kereta tersebut sehingga ke tahap seperti keluar dari kilang lebih dua dekad lalu!

    Bagi mereka yang menghantar kereta untuk program ini, Nismo akan membuka setiap komponen pada kereta berkenaan dan kemudian kerangka kosong tersebut akan dibaik pulih dan membuang segala karat yang ada.

    Selepas itu, proses sealing semula pada bahagian tertentu akan dilakukan seperti ia diproduksi dikilang dahulu dan Nismo akan pastikan kerangka berkenaan melepasi ujian ketegaran badan yang telah ditetapkan. Kerangka tersebut akan dicat semula sama ada mengikut kod warna asalnya, ataupun warna lain yang dimahukan pemiliknya.

    Enjin RB26DETT pada setiap Skyline GT-R berkenaan turut akan dileraikan untuk melakukan proses rombak rawat. Pelanggan bukan sahaja boleh memilih untuk menghasilkan semula enjin berkenaan dalam spesifikasi standard, malah turut boleh memilih pelbagai spesfikasi tingkat taraf seperti yang pernah diperkenalkan pada pelbagai model produksi tingkat taraf edisi terhad Nismo.

    Selepas kesemua komponen tersebut dipasang, Nismo turut akan membuat ujian dyno statik bagi memastikan kuasa yang dihasilkan adalah optimum mengikut spesifikasi. Tidak cukup dengan itu, ujian prestasi turut dilakukan di litar dengan merekodkan masa lap yang dibuat oleh pemandu profesional!

    Menurut Nismo, ujian ini bukan sahaja untuk menilai prestasi enjin, malah untuk memantau komponen lain seperti syaf penghantar, differential, kotak penghantar, driveshaft dan pelbagai lagi. Ketika ujian dilakukan, badan kereta tersebut akan diberikan pelindung bagi memastikan ia tidak rosak.

    Nismo turut akan menyegarkan semula bahagian kabin Skyline GT-R anda dalam program ini. Kesemua kemasan dalaman yang rosak akan ditukar. Dalam masa yang sama sistem pendawaian badan juga akan diperiksa dan diperbaiki jika perlu, begitu juga pada sistem pendingin hawa.

    Kesemua bahagian upholsteri juga akan dibersihkan secara ektensif – namun jika keadaannya sangat teruk, Nismo akan membalut semula dengan material yang sama digunakan pada upholsteri Nissan GT-R R35. Menurut Nismo, mereka tidak menggunakan material asal kerana ia tidak lagi menepati standard tahan api moden.

    Program restorasi Nismo untuk Nissan Skyline GT-R – kondisi keluar kilang, ada waranti; kos RM1.76 juta!

    Setiap kereta yang siap dalam program ini akan diberikan plat VIN istimewa bagi menandakan ia sebuah kereta yang baru dilahir semula oleh Nismo. Unit R32 yang anda lihat ini adalah unit pertama yang siap, dan ia diberikan plat VIN yang memberikan maklumat bahawa ia dihasilkan semula dalam spesifikasi standard, diproduksi semula pada November 2019.

    Dengan servis yang begitu terperinci ini sudah tentu kosnya juga tidak murah. Menurut Nismo, harga anggaran untuk satu projek seperti ini memerlukan anda membayar sekitar 45 juta yen, atau sekitar RM1.76 juta, dan ia akan datang sekali dengan perlindungan waranti selama setahun/20,000 km. Jika anda berminat, jangan segan untuk menghubungi Nismo pada PAUTAN INI.

     
     
  • UTeM lancar siri nombor pendaftaran kenderaan khas

    UTeM lancar siri nombor pendaftaran kenderaan khas

    Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah pun melancarkan siri plat nombor pendaftaran kenderaan khas yang telah pun dibuka bidaannya mulai hari ini (9 Dis) sehinggalah 14 Dis 2020. Ia merupakan universiti awam yang ke-10 melancarkan siri plat nombor pendaftaran khas ini dan menurut UTeM, ini merupakan fasa pertama bidaannya dibuka.

    Dengan mensasarkan kutipan sebanyak RM5 juta, Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Raha Abdul Rahim berkata lima kategori nombor kenderaan eksklusif iaitu bronze, silver, gold, diamond dan platinum akan dibuka untuk bidaan bermula pada harga RM450 hingga RM30,000, laporan Bernama.

    “Jabatan Pengangkutan Jalan telah meluluskan nombor pendaftaran 1 hingga 9999 dan akronim UTEM adalah sepenuhnya berhuruf besar.

    “Rebat RM100 akan diberikan kepada kakitangan, pelajar, alumni dan pesara UTeM yang berjaya dalam bidaan nombor pendaftaran itu dan rebat itu hanya layak untuk satu nombor bagi setiap orang,” katanya.

    UTeM lancar siri nombor pendaftaran kenderaan khas

    Tambahnya, penjualan nombor plat kenderaan itu bertujuan menjana pendapatan UTeM di samping mengurangkan beban kewangan universiti itu, khususnya menambah peruntukan dana atau geran penyelidikan dan pembangunan.

    “Penjualan nombor plat UTEM1-UTEM9999 boleh dibida melalui sistem ebida UTeM di laman khas iaitu ebida.utem.edu.my dengan fasa pertama melibatkan kategori silver dan bronze.

    “Sesi bidaan bagi semua kategori nombor akan bermula pada 2 Januari sehingga 7 Januari tahun depan selepas dilancarkan Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam yang juga Canselor UTeM,” katanya.

    Mengikut poster yang dipaparkan menerusi laman Facebook rasminya, kategori Bronze dibuka bidaan dengan harga bermula RM450, manakala Silver pula RM1,000. Untuk kategori tertinggi pula, nombor pendaftaran Gold dibuka bidaan dengan harga bermula RM1,500, Diamond (bermula RM2,000) dan Platinum (RM30,000).

     
     
  • Honda CR-V facelift 2020 telah mencecah tempahan sebanyak 1,700 unit dan 1,300 unit telah dihantar

    Honda CR-V facelift 2020 telah mencecah tempahan sebanyak 1,700 unit dan 1,300 unit telah dihantar

    Honda Malaysia telah mengumumkan CR-V facelift 2020 telah pun menerima tempahan sebanyak 1,700 unit sejak ia dilancarkan secara rasminya pada 5 November lalu. Manakala sebanyak 1,300 unit SUV generasi kelima ini telah dihantar kepada para pelanggan setakat ini.

    Daripada keseluruhan tempahan yang diterima itu, 1.5L TC-P 2WD menjadi varian yang paling popular dipilih di kalangan pelanggan iaitu sekitar 46%. CR-V facelift 2020 ditawarkan dengan tiga varian iaitu 2.0L 2WD, 1.5L TC-P 2WD dan 1.5L TC-P 4WD.

    Bagi warna luaran pula, Dark Olive Metallic menjadi pilihan yang paling popular, dengan merangkumi sekitar 30% dari keseluruhan tempahan. Bahagian sentral pula menyumbang sebanyak 45% bagi keseluruhan tempahan, diikuti dengan selatan (20%) dan utara (19%).

    Honda CR-V facelift 2020 telah mencecah tempahan sebanyak 1,700 unit dan 1,300 unit telah dihantar

    “Pelancaran bagi CR-V baharu ini berjaya menarik perhatian pada penggemar SUV. CR-V baharu ini juga memenuhi permintaan pelanggan dengan penawaran pakej yang lengkap termasuk ciri keselamatan Honda Sensing, Honda LaneWatch, prestasi dinamik dengan sistem 4AWD serta kabin yang luas dan selesa. Kami ingin berterima kasih kepada para pelanggan di atas kepercayaan dan sokongan terhadap Honda Malaysia walau pun dalam masa yang mencabar ini,” ujar CEO dan Pengarah Urusan Honda Malaysia Toichi Ishiyama.

    Model asas 2.0 2WD dijanakan oleh 2.0 liter NA empat-silinder i-VTEC dengan hamburan kuasa 154 PS (152 hp) pada 6,500 rpm dan tork maksima 189 Nm pada 4,300 rpm. Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM139,913 tanpa insurans, dengan pengecualian cukai jualan sehingga 31 Disember ini.

    Dua varian lagi ialah 1.5 TC-P 2WD dan 1.5 TC-P 4WD, yang ditawarkan masing-masing pada harga RM157,616 dan RM162,910. Model-model 1.5L TC-P digerakkan dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder berkuasa 193 PS (190 hp) pada 5,600 rpm dan tork maksima 243 Nm dari 2,000 hingga 5,000 rpm. Transmisi standard bagi kesemua model ialah CVT.

    Honda CR-V facelift 2020 telah mencecah tempahan sebanyak 1,700 unit dan 1,300 unit telah dihantar

    Ciri standard bagi kesemua varian termasuklah lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kamera undur pelbagai-pandangan, pedal penukar gear, kluster instrumen digital TFT tujuh-kelajuan dan pendingin hawa automatik dwi-zon dengan corong belakang.

    Ia juga diberikan tempat duduk upholstery balutan kulit, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa, unit utama Advanced Display Audio tujuh-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem audio dengan lapan-pembesar suara dan pengingatan tali pinggang keledar untuk tempat duduk belakang.

    Varian turbo turut hadir dengan ciri tambahan termasuk bilah pengelap cermin automatik, kemasan dalaman premium (macam kemasan kayuan) dan kawalan jauh bagi penghidup enjin, yangh merupakan elemen baharu pada CR-V. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu Honda Sensing yang merangkumi Lane Departure Warning (LDW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Forward Collision Warning (FCW), Adaptive Cruise Control (ACC), Low Speed Follow (LSF) dan Auto High Beam (AHB).

    GALERI: Honda CR-V facelift 2020 1.5L TC-P 4WD

    GALERI: Honda CR-V facelift 2020 1.5L TC-P 2WD

     
     
  • Ford Ranger Raptor akan ke India, dianggar RM367k!

    Ford Ranger Raptor akan ke India, dianggar RM367k!

    Bukan semua negara dalam dunia yang menerima trak pikap berprestasi tinggi Ford Ranger Raptor. Model yang dihasilkan oleh Ford Australia dan dikilangkan di Thailand berkenaan hanya dipasarkan di Asia Tenggara, Australiasia dan Eropah; Amerika Syarikat tidak menerima model ini walaupun Ranger standard dijual di sana.

    Terbaharu, Ford merancang untuk membawa Ranger Raptor berkenaan ke pasaran India, lapor Autocar India. Trak pikap tersebut akan dibawa dalam jumlah terhad menerusi kaedah tanpa proses homolagasi jika diimport di bawah 2,500 unit yang ditetapkan oleh negara berkenaan.

    Di India, tiada trak pikap Ford Ranger dalam versi biasa seperti XLT atau Wildtrak ditawarkan, dan model yang paling hampir adalah SUV Ford Endevour atau dikenali sebagai Ford Everest pada pasaran ASEAN.

    Menurut Autocar India lagi, Ranger Raptor akan mula masuk kepasaran berkenaan bermula separa kedua 2021, dan harga anggarannya tidak murah iaitu sekitar 70 juta rupee atau sekitar RM367k. Sebagai perbandingan, Ford Ranger Raptor dijual dengan harga RM208,888 di Malaysia tanpa pengecualian cukai jualan 2020.

    Ford Ranger Raptor akan ke India, dianggar RM367k!

    Ford Ranger Raptor dijana oleh enjin 2.0 EcoBlue empat-silinder diesel dengan dua pengecas turbo yang menghasilkan kuasa 213 PS dan tork maksima 500 Nm. Ia digandingkan bersama transmisi automatik Getrag 10R80 10-kelajuan.

    Padanan ini dilihat hampir sama dengan Ranger dalam versi Wildtrak 2020, namun apa yang berbeza Raptor menerima kerangka ladder frame yang diperkuatkan bersama suspensi Fox Racing Shox yang memberikan prestasi seakan jentera rali Baja, serta diberikan tayar all-terain dari BF Goodrich bersaiz 285/70, membaluti set rim unik berdiameter 17-inci

    Raptor juga menerima penggayaan unik yang lebih lasak antaranya bampar hadapan berketahanan tinggi yang direka bagi membolehkan ia dipasang terus pada kerangka badan, flare pada setiap fender dibina dari bahan komposit bagi membolehkan ia bertahan dari kerosakan fizikal seperti calar dan lekuk, serta direka bagi disesuaikan dengan pergerakan strok suspensi lebih panjang serta roda yang lebih besar. Manakala pada bampar belakang pula, ia turut dilengkapi dengan bar tunda bersama dua cangkuk penyelamat yang mampu menampung beban 3.8 tan.

    GALERI: Ford Ranger Raptor 2020 pasaran Malaysia

     
     
  • Mitsubishi Xpander – lebih 4k tempahan, 500 unit telah dihantar hujung Nov, produksi ditingkatkan pada Dis

    Mitsubishi Xpander – lebih 4k tempahan, 500 unit telah dihantar hujung Nov, produksi ditingkatkan pada Dis

    Timbalan Presiden Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), Hoffen Teh, telah memaklumkan sehingga kini model Xpander 2020 telah pun mencapai lebih 4,000 tempahan, dan sebanyak 500 unit telah dihantar kepada para pelanggan sehingga hujung November.

    Tempahan yang mula dibuka sejak 22 Oktober lalu, ketika Xpander dipertontonkan buat pertama kalinya kepada pihak media. Unit pertama bagi model pemasangan tempatan (CKD) telah dikeluarkan di Hicom Automotive Manufacturers di Pekan, Pahang, pada 28 Oktober lalu, dengan harga diumumkan pada 5 November lalu iaitu RM91,369 (harga atas jalan tanpa insurans, dengan pengecualian cukai jualan 2020). Pada ketika itu, tempahannya dikatakan telah mencapai lebih 2,000 unit.

    Xpander dijana oleh enjin petrol NA 1.5 liter MIVEC, menghasilkan 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada takat 4,000 rpm. Unit 4A91 MIVEC itu menyalurkan pacuannya ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik empat-kelajuan.

    Mitsubishi Xpander – lebih 4k tempahan, 500 unit telah dihantar hujung Nov, produksi ditingkatkan pada Dis

    Hanya satu varian sahaja yang ditawarkan, dengan beberapa ciri yang didatangkan tidak terdapat pada model untuk pasaran ASEAN yang lain. Berbanding model asal yang diperkenalkan pada tahun 2017, Xpander 2020 ini menerima gril hadapan baharu manakala lampu hadapan utama yang diletakkan pada bampar menerima unit reflektor bi-LED menggantikan lampu halogen sebelumnya.

    Malahan ia juga menampilkan imej Dynamic Shield iaitu olahan terkini Mitsubishi yang menampilkan lampu nyalaan siang LED tirus yang diletakkan pada posisi atas, yang lazimnya diletakkan lampu utama. Lampu belakang turut menggunakan teknologi LED dan penampilan luaran Xpander ini dilengkapkan dengan rim aloi 16-inci dua-tona.

    Di dalamnya, ia menampilkan warna hitam dengan tempat duduk quilted balutan kulit, unit utama skrin sesentuh 9.0-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem kamera 360-darjah dan dashcam yang merupakan ciri unik untuk pasaran Malaysia. Selain itu, ia turut didatangkan dengan kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, paparan pelbagai-info 4.2 inci, enam pembesar suara dan empat corong udara di belakang yang dipasang di bahagian bumbung.

    Mitsubishi Xpander – lebih 4k tempahan, 500 unit telah dihantar hujung Nov, produksi ditingkatkan pada Dis

    Untuk pengetahuan anda, Xpander adalah MPV segmen-B dengan rupa seakan SUV sama seperti Honda BR-V. Namun jika diteliti pada dimensi, Xpander dilihat mempunyai sedikit kelebihan dari segi saiz dengan ukuran 1,730 mm tinggi, 4,475 mm panjang, 1,750 mm lebar bersama jarak roda 2,775mm – atau 18mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar, 23 mm lebih tinggi dan jarak roda 113 mm lebih jauh dari BR-V.

    Untuk keselamatan pula, Xpander diberikan dengan dua beg-udara, sistem brek ABS dengan EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik, bantuan mula mendaki dan juga cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak di baris kedua. Empat warna badan ditawarkan untuk Mitsubishi Xpander 2020 di Malaysia iaitu Red Metallic, Quartz White Pearl, Graphite Grey Metallic dan Jet Black Mica.

    GALERI:Mitsubishi Xpander 2020 di Malaysia

     
     
  • Gymkhana 2020: Aksi Travis Pastrana dengan Subaru WRX STI berkuasa 862 hp/906 Nm dan sayap aktif!

    Video terbaharu dari siri Gymkhana kini sudahpun ditayangkan di saluran Youtube Hoonigan. Dan seperti yang diumumkan, kali ini ia tidak lagi dibintangi oleh pengasasnya, Ken Block, tetapi diambil alih oleh rakan baik serta pesaingnya dalam Kejohanan Rali Amerika Syarikat, Travis Pastrana.

    Dalam video bertajuk “Gymkhana 2020: Travis Pastrana Takeover” ini juga menyaksikan tiada lagi jentera Ford digunakan, dan ia kembali dibintangi oleh Subaru WRX STI seperti dua video Gymkhana yang diterbitkan lebih satu dekad lalu.

    Jentera yang digunakan oleh Pastrana ini adalah jentera khas yang dibangunkan oleh Vermont SportsCar (pasukan yang sama mengendalikan Subaru Rally Team America/Subaru Motorsport USA, iaitu pasukan yang membawa Pastrana menjuarai Rally America sebanyak empat kali), dihasilkan semata-mata untuk aksi dalam video Gymkhana kali ini.

    Subaru WRX STi berkenaan banyak menggunakan teknologi dan pengetahuan Subaru Motorsport USA dalam perlumbaan RallyCross, namun kerana tiada sebarang undang-undang, ia dihasilkan tanpa sebarang had bagi dijelmakan sebagai sebuah jentera yang benar-benar gila!

    Gymkhana 2020: Aksi Travis Pastrana dengan Subaru WRX STI berkuasa 862 hp/906 Nm dan sayap aktif!

    Ia masih dijana oleh enjin boxer empat silinder dari siri EJ, namun telah diberikan ubahsuai menyeluruh termasuk penggunaan blok dan kepala silinder yang dihasilkan dari billet dengan kapasiti 2.3 liter, pengecas turbo jauh lebih besar dari Garret Motorsport, sistem antilag turbo dan pelbagai lagi bagi menghasilkan kuasa akhir 862 hp dan tork maksima 906 Nm!

    Kuasa dihantar ke kesemua roda menerusi kotak gear rali Sadev 6-kelajuan sequential dan juga sistem 4WD yang dibintangi oleh differential hadapan dari Vermont, differential belakang dari Sadev serta syaf penghantaran dan syaf pacuan yang dihasilkan dengan material gentian karbon.

    Subaru WRX STI Gymkhana ini menampilkan sistem suspensi Reiger yang sama digunakan pada jentera RallyCross Subaru Motorsport USA, yang bukan sahaja membolehkan ia melakukan aksi drift yang tepat, malah turut boleh ‘berlepas’ dan mendarat semula ke permukaan bumi dengan selamat.

    Kereta ini juga telah ‘dibogelkan’ manakala bahagian kerangka hadapan telah dibina semula dengan tiub, dan kebanyakkan panel badannya telah diganti dengan material gentian karbon, membolehkan berat keseluruhannya ditimbang dengan hanya 1,190 kg atau 363 kg lebih ringan dari model standard jalan raya WRX STI, bagi mencapai nisbah berat kepada kuasa pada tahap 1.36 kg/hp.

    Gymkhana 2020: Aksi Travis Pastrana dengan Subaru WRX STI berkuasa 862 hp/906 Nm dan sayap aktif!

    Kereta ini juga diberikan kit aero yang begitu agresif terdiri dari pelbagai spoiler dan spliter hadapan, fender lebih lebar, dan juga diffuser di belakang. Malah spoiler belakang jentera ini juga menampilkan sayap aktif yang membolehkan Pastrana mengawalnya ketika sedang ‘terbang’ di udara.

    Penggambaran Gymkhana 2020 ini dilakukan di kampung halaman Pastrana sendiri iaitu di Annapolis, Maryland dan turut menampilkan aksi di kawasan rumahnya iaitu di ‘Pastranaland’.

    “Menghasilkan video Gymkhana pertama saya merupakan pengalaman yang menakjubkan! Saya sangat teruja kerana akhirnya dapat peluang untuk melakukakannya, lebih-lebih lagi di tempat asal saya, jadi saya boleh merealisasikan idea-idea yang telah saya fikir selama bertahun-tahun,” kata Travis Pastrana.

    “Tambahan pula, Subaru telah menghasilkan STI yang sempurna untuk tujuan ini. Jentera ini menghasilkan kuasa dan cengkaman yang sukar dipercayai, dan ia boleh menerima semua ‘seksaan’ yang boleh saya beri padanya!” tambah bintang Nitro Circus itu lagi.

     
     
  • Hyundai panggil balik Kona EV dan Nexo di Korea untuk baiki sistem brek elektronik yang bermasalah

    Hyundai panggil balik Kona EV dan Nexo di Korea untuk baiki sistem brek elektronik yang bermasalah

    Sebelum ini, jenama Hyundai-Kia telah memanggil semula ratusan ribu keretanya di Amerika Syarikat disebabkan risiko kebakaran. Kali ini, ia terjadi di negara kelahirannya sendiri, Korea Selatan.

    Menurut kementerian pengangkutan Korea Selatan, Hyundai telah merancang untuk memanggil balik sejumlah 50,864 unit Kona Electric dan Nexo di negara terbabit ekoran masalah sistem brek elektronik, laporan Reuters. Sistem brek pada EV terbabit mungkin tidak berfungsi disebabkan ada masalah pada perisian, namun begitu, pihak kementerian terbabit tidak memaklumkan jika isu tersebut ada menyebabkan kemalangan.

    Panggilan balik tersebut membabitkan sekitar 40,000 unit Kona Electrik yang diproduksi antara Mei 2019 dan November 2019, dan 10,138 unit bagi SUV Nexo janaan sel bahan api hidrogen yang dikeluarkan pada Januari 2018 hingga November 2020. Kia turut merancang untuk memanggil semula 1,895 unit model Soul EV untuk isu yang sama.

    Hyundai panggil balik Kona EV dan Nexo di Korea untuk baiki sistem brek elektronik yang bermasalah

    Walau bagaimana pun perkara ini tidak dipastikan sama ada ia turut menjejaskan model EV tersebut di pasaran lain. Kona Electrik kini menjadi salah satu model elektrik terlaris di Eropah disebabkan spesikasinya yang utuh dan juga harganya yang menarik. Laporan mengatakan jualan Kona Electrik di luar Korea mencecah lebih tiga per empat daripada jumlah jualan keseluruhan model terbabit.

    Ini adalah isu berasingan dari panggilan balik Kona Electric sebelum ini, yang melibatkan sekurang-kurangnya 74,000 unit di seluruh dunia. Isu sebelum ini melibatkan risiko kebakaran selepas beberapa insiden berlaku di Korea, Kanada dan Eropah dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

     
     
  • Genesis GV70 ditampilkan sepenuhnya – serba mewah

    Genesis GV70 ditampilkan sepenuhnya – serba mewah

    SUV kedua daripada jenama mewah bawah Hyundai, iaitu Genesis GV70 akhirnya didedahkan secara rasmi sepenuhnya. Model yang lebih kecil daripada GV80 ini mempunyai ukuran panjang 4,715 mm, lebar 1,910 mm, tinggi 1,630 mm dan jarak roda 2,875 mm.

    Walaupun berbeza saiz, ia masih menggunakan enjin sama dengan model lebih besar tersebut, iaitu unit petrol Smartstream T-GDI yang didatangkan dalam dua pilihan – empat silinder 2.5 liter berkuasa 304 PS dan 422 Nm tork, serta V6 3.5 liter berkuasa 380 PS dan 530 Nm tork. Satu lagi enjin adalah unit diesel 2.2 liter turbo dengan kuasa 210 PS dan 441 Nm tork.

    Semua enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan, yang boleh dipilih dengan pacuan dua roda hadapan ataupun semua roda, kecuali untuk varian V6 kerana ia datang dengan AWD sahaja. Antara tiga enjin ini, model diesel memberikan penggunaan bahan api paling baik iaitu 13.6 km/l berbanding 10.7 km/l untuk 2.5L dan 8.6 km/l untuk model V6.

    Genesis GV70 ditampilkan sepenuhnya – serba mewah

    Daripada aspek rekaan, GV70 menggunakan konsep sama seperti model lain jenama ini, termasuklah lampu utama dan lampu belakang bertingkat, serta gril Crest. Bahagian dalam pula nampak lebih bersih dengan terdapat satu jalur kemasan yang bersambung dari tepi pintu sehingga ke tengah papan pemuka.

    Di atas papan pemuka ini terdapat skrin infotainmen 14.5 inci yang diletakkan melintang sementara butang kawalan pendingin hawa serta lampu diletakkan dalam satu panel berlatar belakang hitam di bawahnya. Pemilih gear menggunakan tombol bulat yang terletak di konsol tengah, sementara rekaan stereng pula sama seperti GV80.

    Kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk panel instrumen TFT LCD 3D 12.3 inci, pengawal pendingin hawa empat zon (dengan corong serta kawalan tersendiri untuk bahagian belakang), sistem pembersih udara dua penapis, tempat duduk balutan kulit, lampu suasana serta tempat duduk berliang dengan ciri pemanas.

    Genesis GV70 ditampilkan sepenuhnya – serba mewah

    Selain versi standard, Genesis juga menawarkan GV70 dengan pakej Sport yang tampil lebih dinamik menggunakan gril krom gelap, bampar lebih sporty, bezel hitam, dua muncung ekzos hitam yang besar serta pilihan rim 19 atau 21 inci. Bahagian dalam juga menggunakan stereng khas tiga cabang, serta pilihan kemasan gentian karbon pada beberapa bahagian.

    Model yang datang dengan pakej ini juga diberikan limited-slip differential elektronik (e-LSD) yang boleh mengagihkan tork untuk cengkaman terbaik dalam pelbagai keadaan. Bergantung kepada varian juga, GV70 boleh datang dengan suspensi adaptif, launch control serta mod pemanduan (Eco, Comfort, Custom, Sport dan Sport+).

    Pada bahagian keselamatan, ia dilengkapi dengan Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Intelligent Speed Limit Assist (ISLA), Driver Attention Warning (DAW) and Forward Attention Warning (FAW), Navigation-Based Smart Cruise Control (NSCC), Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA) dan Parking Collision-Avoidance Assist (PCA).

    Sistem menarik lain adalah Highway Driving Assist II (HDA II), yang merupakan satu ciri separa autonomous yang dapat membantu pemandu menukar lorong setelah menyalakan lampu penunjuk arah, dan Remote Smart Parking Assist yang membolehkan kenderaan masuk sendiri ke dalam kotak letak kenderaan dengan kawalan kunci jarak jauh oleh pemandu.

    Seperti yang pernah diumumkan sebelum ini, GV70 mempunyai sistem pengenalan cap jari yang disambungkan dengan sistam bayaran atas talian serta beberapa fungsi lain seperti mod valet serta masuk dan memulakan enjin. Ia juga dilengkapi dengan sistem pengesan penumpang belakang (memberikan amaran sekiranya kenderaan telah dimatikan dan ada penumpang di belakang), serta AR Navigation yang memaparkan navigasi AR pada skrin infotainmennya.

     
     
  • MAM akan bantu Karamjit Singh dalam pelbagai cara

    MAM akan bantu Karamjit Singh dalam pelbagai cara

    Lanjutan berita yang tular bahawa lagenda rali negara, Karamjit Singh yang kini terpaksa menjual Proton Waja miliknya untuk membeli Proton Saga baharu untuk tujuan membuat perkhidmatan e-Hailing bagi meneruskan hidup, Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) memberi respon akan memainkan peranannya bagi membantu juara dunia berkenaan.

    Respon tersebut dilaporkan oleh Harian Metro yang menyebut bahawa MAM sedia membantu Karamjit Singh menerusi beberapa saluran tertentu termasuk memberikan sejumlah dana kepadanya. Bagaimanapun, Setiausaha Agung MAM, Muizz Azli berkata, pihaknya perlu mendapatkan dahulu maklumat terperinci dari Karamjit Singh sendiri.

    “Saya sudah minta kakitangan untuk berhubung dengan Karamjit dan kami juga mengalu-alukannya untuk memberi maklum balas kepada kami.

    “Memang tanggungjawab kami untuk membantu. Banyak pelumba atau pemandu yang sudah kami bantu untuk meringankan beban mereka.

    MAM akan bantu Karamjit Singh dalam pelbagai cara

    “Contohnya kami pernah bantu pelumba drift, Tengku Djan (Ley Tengku Mahaleel) dengan memberi sejumlah dana untuk perlumbaannya di luar negara.

    “Jadi perkara sama boleh dilakukan kepada Karamjit apatah lagi dia seorang ikon dan mempunyai pencapaian yang baik sebelum ini,” katanya kepada akhbar berkenaan.

    Muizz juga menjelaskan bahawa kepakaran dan khidmat Karamjit juga boleh digunakan untuk kejohanan tertentu seperti MAM Cross Rally yang berada dalam perancangan MAM, tetapi masih tidak dapat dilangsungkan kerana pandemik Covid-19.

    “Ia perlumbaan di mana setengah trek adalah laluan rali manakala setengah lagi laluan tar. Kita boleh menggunakan kepakarannya dari pelbagai sudut di saingan seperti itu,” katanya.

    Minggu lalu, Karamjit membuat hantaran pada laman Facebook miliknya untuk menjual Proton Waja 1.6 manual yang digunakan setiap hari, bagi membolehkan ia membeli Proton Saga 1.3 manual kerana Waja tersebut sudahpun berusia dan tidak memenuhi kriteria kereta yang boleh digunakan untuk servis e-Hailing. Kereta tersebut terjual dengan cepat, pada hari itu juga.

    MAM akan bantu Karamjit Singh dalam pelbagai cara

    Semalam Harian Metro melaporkan luahan Karamjit Singh bahawa beliau masih sayangkan Proton Waja berkenaan. Dia juga menceritakan bahawa banyak wang ringgit termasuk kereta, rumah, wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semuanya habis digunakan sebagai modal untuk berlumba rali di peringkat Asia Pasifik satu ketika dulu.

    Laporan tersebut turut menyebut bahawa Karamjit Singh pernah dijanjikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mendapat pencen hasil kejayaan di arena rali dunia, namun ia hanya janji mulut dan hingga kini tidak pernah menerimanya.

    Karamjit yang popular dengan gelaran ‘The Flying Sikh’ bukanlah seorang pelumba ‘biasa-biasa’. Beliau bersama pasukan Petronas EON Racing Team (PERT) telah mendominasi kejohanan rali peringkat kebangsaan pada era 90’an dan kemudian terus cemerlang diperingkat Asia Pasifik.

    Malah beliau turut pernah bergelar juara dunia dengan memenangi gelaran berkenaan ketika bertarung dalam Kejohanan Rali Dunia kategori Produksi (PWRC) pada musim 2002, juga dengan pasukan Proton PERT.

    Selepas pasukan Proton PERT dibubarkan, Karamjit Singh terus berlumba dengan duitnya sendiri. Pada tahun 2011, beliau kembali ke kancah Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) untuk memburu gelaran kategori Group N 2WD dengan memandu Proton Satria Neo pasukan Proton R3.

    Namun ia bukan projek yang dibiayai oleh Proton, sebaliknya Karamjit sendiri perlu membayar pasukan lumba Proton untuk mengejar gelaran berkenaan, dan beliau telah menghabiskan kira-kira RM600,000. Usaha tersebut berbaloi kerana beliau berjaya memperoleh gelaran juara tersebut pada 2011, dan Proton mengambil keputusan untuk meneruskan perlumbaan berkenaan untuk musim 2012, dengan membayar Karamjit sebagai pemandu rasmi – Karam dan Proton R3 sekali lagi mempertahankan kejuaraan berkenaan untuk musim 2012.

    Sebelum ini kami telah pun menyiarkan artikel bagaimana Karamjit Singh berjaya memperolehi gelaran juara dunia hanya dalam percubaan pertamanya pada tahun 2002, diceritakan sendiri oleh pengasas Mellors Elliot Motorsport (MEM) iaitu Chris Mellors dan anda boleh membacanya pada PAUTAN INI.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025