Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • DBKL umum pas bulanan parkir menerusi EZ Smart Park diaktifkan; TNG e-wallet juga boleh digunakan

    DBKL umum pas bulanan parkir menerusi EZ Smart Park diaktifkan; TNG e-wallet juga boleh digunakan

    Pada 1 Oktober lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan bahawa kaedah pembayaran caj parkir di bahu jalan yang menggunakan mesin di sekitar Kuala Lumpur telah pun berakhir pada 30 September 2020.

    Selepas tarikh tersebut, kaedah pembayaran caj parkir hanya menggunakan aplikasi terpilih seperti EZ Smart Park, Flexiparking, Wilayah Parking atau M-Cash. Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan transaksi menerusi e-wallet untuk tujuan pembayaran caj parkir yang dinyatakan.

    Walau bagaimana pun ketika itu, DBKL masih belum mengaktifkan pas bulanan menerusi aplikasi berkenaan dan ini membuatkan para pengguna terpaksa membuat pembayaran parkir mengikut jam. Justeru untuk lebih memudahkan urusan pengguna, pas bulanan untuk parkir kereta melalui aplikasi EZ Smart Park telah diaktifkan sejak 19 November lepas.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, DBKL memaklumkan buat masa ini, pas bulanan hanya boleh dibuat melalui aplikasi EZ Smart Park. Pengguna aplikasi berkenaan boleh mengemas kini aplikasi itu sebelum paparan ‘Beli Pas Bulanan’ dipaparkan pada skrin.

    DBKL umum pas bulanan parkir menerusi EZ Smart Park diaktifkan; TNG e-wallet juga boleh digunakan

    Menurut DBKL lagi, tempoh sah laku pas bulanan ini adalah sebulan sahaja bermula dari tarikh pembelian dilakukan. Sebagai contoh, pembelian pas bulanan pada 19 November, tempoh sah lakunya adalah mulai 19 November hingga 18 Disember.

    Untuk makluman, tempat letak kereta di Kuala Lumpur terbahagi kepada tiga zon dan pengguna boleh menyemak lokasi mengikut zon pada aplikasi EZ Smart Park sebelum pembelian dilakukan mengikut keperluan.

    Di mana pengguna perlu memilih nombor pendaftaran kenderaan dan zon parkir yang betul sebelum membuat pengesahan pembelian pas bulanan. Pas bulanan ini tidak boleh ditukar atau dipindah kepada nombor kenderaan lain setelah pembelian dibuat.

    Selain itu, DBKL turut memaklumkan pembayaran tempat letak kereta menggunakan aplikasi Touch n Go e-wallet juga sudah boleh digunakan mulai 21 Nov lalu.

     
     
  • Hyundai Bayon – satu lagi SUV segmen-B untuk Eropah, bakal buat kemunculan pada tahun hadapan

    Hyundai Bayon – satu lagi SUV segmen-B untuk Eropah, bakal buat kemunculan pada tahun hadapan

    Buat masa sekarang Hyundai sudah pun mempunyai model SUV segmen-B iaitu Hyundai Kona. Namun nampaknya pengeluar automotif dari Korea berkenaan kini mendedahkan satu teaser untuk satu lagi SUV segmen-B yang secara rasmi diberikan nama Hyundai Bayon.

    Tiada sebarang perincian lain didedahkan setakat ini, dan Hyundai hanya menyiarkan satu imej teaser yang menayangkan lampu belakang SUV kompak tersebut.

    Menurut Hyundai model baharu ini dihasilkan khas untuk pasaran Eropah dan ia akan dilancarkan pada separuh pertama 2021. Bayon juga diumumkan akan menyertai barisan SUV Hyundai yang lain termasuk Kona, Tucson, NEXO dan Santa Fe pada pasaran benua berkenaan.

    “Hyundai kini terkenal dalam pasaran SUV di Eropah, dalam aspek barisan model dan juga kejayaan jualan kami. Dengan melancarkan satu lagi model segmen-B tambahan sebagai model paling mampu milik berbanding barisan model SUV kami, kami nampak peluang untuk memenuhi permintaan pelanggan di Eropah dengan lebih baik dan bagi meningkatkan penawaran dalam segmen yang sangat popular,” kata naib presiden pemasaran dan produk Hyundai, Andreas-Christoph Hofmann.

    Jadi jika Hyundai Kona merupakan lawan terus kepada Toyota C-HR, kita boleh agak Bayon mungkin akan muncul sebagai pesaing terus kepada Toyota Yaris Cross di Eropah. Khabar yang bertiup turut menyatakan bahawa Bayon akan dihasilkan berasaskan hatchback segmen-B Hyundai i20, sama dengan konsep pembangunan Yaris Cross yang diasaskan dari Toyota Yaris.

    Seperti nama-nama SUV Hyundai lain dengan nama yang diambil dari nama-nama bandar terkenal dari seluruh dunia, nama Bayon ini diambil sempena nama bandar Bayonne yang terletak di selatan Perancis. Menurut Hyundai, ia dipilih kerana Bayon adalah produk yang khas dihasilkan untuk pasaran Eropah, justeru nama sebuah bandar di benua berkenaan perlu dipilih.

     
     
  • SYM Jet X 150 dan RX4 akan tiba di M’sia tahun depan

    SYM Jet X 150 dan RX4 akan tiba di M’sia tahun depan

    Pengedar motosikal SYM di Malaysia, MForce Bike Holdings Sdn Bhd telah membuat pengumuman akan memperkenalkan dua model skuter baru untuk pasaran Malaysia tahun hadapan iaitu Jet X 150 dan Jet RX4. Untuk Jet X 150, ia dijangka tiba pada suku pertama tahun hadapan manakala Jet 4 RX pula pada suku kedua.

    Jet X 150 diperkenalkan kepada dunia beberapa hari lepas dalam versi 125 cc di Eropah sementara Thailand pula menerima versi 150 cc yang telah dijenamakan semula sebagai GPX Drone. Mengikut jangkaan, spesifikasi model yang dibawa ke Malaysia adalah lebih hampir kepada model yang dipasarkan di Thailand.

    Ia dikuasakan oleh enjin suntikan bahan api satu silinder 149.6 cc, dipadankan bersama transmisi jenis CVT dan menampilkan ciri seperti kunci pintar, lampu jenis LED, panel meter LCD digital, tangki bahan api 7.5 liter dan pengecas USB.

    SYM Jet X 150 dan RX4 akan tiba di M’sia tahun depan

    Jet RX4 juga adalah model baru yang diperkenalkan oleh SYM awal bulan ini, di mana ia menampilkan bentuk ranggi serta kelengkapan seperti brek cakera depan dan belakang, dua penyerap hentak di belakang, brek ABS serta panel meter LCD. Model ini dikuasakan oleh enjin suntikan bahan api 125 cc.

    Menurut MForce, dua model skuter ini sedang melalui siri ujian di Malaysia dan dalam proses untuk mendapatkan kelulusan VTA daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Harga serta pilihan warnanya cuma akan diketahui apabila tiba waktu pelancaran nanti.

    GALERI: SYM Jet X 125 pasaran Eropah

    GALERI: SYM Jet 4 RX pasaran Eropah

     
     
  • Honda City RS e:HEV dilancarkan di Thai – RM113k

    Honda City RS e:HEV dilancarkan di Thai – RM113k

    Walaupun Honda City RS e:HEV membuat kemunculan sulung global di Malaysia bulan lalu, model dengan unit penjana sports hybrid i-MMD tersebut terlebih dahulu dijual kepada pelanggan di Thailand. Ini kerana ia telah pun dilancarkan sekali dengan City Hatchback semalam, sementara kita di Malaysia hanya menerima model ini pada awal tahun hadapan kerana produksinya di Melaka terpaksa ditangguh akibat Covid-19.

    Seperti di Malaysia, City e:HEV ini hanya ditawarkan dalam varian RS di Thailand. Ia dijual pada harga 839,000 baht (RM113,100), atau lebih mahal dari City RS 1.0L VTEC Turbo yang ditawarkan dengan harga 739,000 baht (RM99,700).

    Model e:HEV di Thailand ini juga menampilkan unit penjana i-MMD yang sama seperti pasaran Malaysia. Sistem tersebut terdiri dari enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama dua buah motor elektrik, yang membekalkan kuasa 108 PS dan tork maksima 253 Nm.

    Berbeza dengan sistem hibrid i-DCD dari City sebelum ini, ia boleh bergerak dengan motor elektrik sepenuhnya sambil enjin petrol hanya mengecas bateri seperti sebuah sistem hibrid range extender atau ‘generator pasar malam’, dan ia turut boleh menggunakan kuasa gabungan antara enjin petrol dan juga motor elektrik untuk memacu roda hadapan untuk kelajuan lebih tinggi.

    Jadi kuasa bateri lithium-ion 1.3 kWj untuk sistem hibrid ini akan sentiasa berada dalam tahap optima dan ia tidak akan ‘lemau’ kerana kehabisan caj, serta dapat memberikan jarak perjalanan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya lebih jauh dari sistem i-DCD.

    Malah dengan kuasa tork 253 Nm dari motor elektrik yang boleh dibekalkan terus dari 0 rpm, Honda City RS ini tidak memerlukan kotak gear sebenar dan ia sentiasa akan mula bergerak menggunakan motor elektrik terlebih dahulu. Honda mendakwa penggunaan bahan api pada model ini adalah pada kadar 27.8 km setiap km dalam kitaran NEDC.

    Selain dari unit penjana yang berbeza, model e:HEV ini turut menerima berberapa kelengkapan lebih baik lain dari RS Turbo. Antaranya pedal pada roda stereng untuk mengawal regenerative braking, paparan instrumen digital tujuh-inci, brek parkir elektronik bersama brek cakera untuk roda belakang, dan juga liang pendingin hawa untuk kabin belakang (standard untuk semua varian untuk model pasaran Malaysia).

    RS e:HEV ini juga satu-satunya varian City yang diberikan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing pada pada pasaran Thailand. Ia terdiri dari sistem brek kecemasan automatik (AEB), cruise control adaptif, bantuan kekal tengah lorong, bantuan kekal lorong dan juga bantuan lampu tinggi.

    Model ini juga satu-satunya varian City yang diberikan kamera titik buta Honda LaneWatch, berbanding di Malaysia di mana sistem ini turut diberikan pada model varian tertinggi untuk versi petrol sepenuh 1.5 V. Ciri keselamatan lain yang turut dibekalkan termasuk enam beg-udara, sistem brek ABS bersama EBD dan BA serta kawalan kestabilan elektronik.

    Selain itu, ciri-ciri untuk RS e:HEV dan RS turbo pasaran Thailand berkenaan adalah sama. Ia hadir dengan rupa lebih garang menampilkan kemasan hitam pada bar gril hadapan dan cermin sisi, serta diberikan gril sarang lebah, lip bampar hadapan kemasan gentian karbon palsu, spoiler but belakang berwarna hitam, diffuser belakang dan juga rim aloi dua-tona 16-inci. Ia juga datang standard dengan lampu hadapan, lampu nyalaan siang dan lampu belakang jenis LED.

    Di dalam kabin, model ini diberikan upholsteri gabungan kulit buatan dan sued, jahitan benang merah, set pedal aloi, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin (bersama penghidup kawalan jauh dan pengunci automatik walk away), sistem pendingin hawa zon tunggal, skrin sesentuh infotainmen lapan-inci dengan sokongan Apple Carplay, lapan pembesar suara dan kamera undur.

    Model RS e:HEV ini tidak ditawarkan dengan warna Passion Red Pearl di Thailand kerana warna berkenaan lebih sinonim dengan versi RS Turbo. Namun ia hadir dengan pilihan warna unik Obsidian Blue Pearl dan juga merah seakan oren Ignite Red Metallic, disamping pilihan warna Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic dan Crystal Black Pearl yang sama seperti RS e:HEV pasaran Malaysia.

     
     
  • Yamaha Gear 125 dilancar di Indonesia – skuter 125 cc

    Yamaha Gear 125 dilancar di Indonesia – skuter 125 cc

    Walaupun sudah mempunyai beberapa model skuter dalam kategori 125 cc seperti Mio, Fino, X-Ride dan FreeGo, Yamaha Indonesia telah menambah satu lagi model baru dalam kategori itu, dipanggil sebagai Gear 125. Di sana, ia ditawarkan dalam dua versi iaitu Standard dan Type S.

    Skuter terbaru Yamaha ini menggunakan digerakkan oleh enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api 124.96 cc dan mampu menghasilkan kuasa 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.5 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin yang mempunyai teknologi BlueCore ini juga dilengkapi dengan Smart Motor Generator yang mampu memberikan bunyi lebih senyap apabila dihidupkan.

    Saiz Gear 125 adalah seperti Ego di negara kita, dan ia menggunakan rim 14 inci dibalut tayar tanpa tiub 80/80 di hadapan dan 100/70 di belakang, brek cakera di hadapan, brek dram di belakang, fork teleskopik serta satu penyerap hentak di belakang.

    Sebagai sebuah skuter, Gear 125 menawarkan kelengkapan yang memudahkan pengguna seperti penyangkut barangan, soket pengecas, sistem start/stop (Type S), fungsi panggilan balik, ruang simpanan bawah tempat duduk, tangki bahan api 4.2 liter serta lampu hadapan jenis LED.

    Gear 125 Type S ditawarkan di Indonesia dalam dua warna, pada harga 17.35 juta Rupiah (RM5,024) manakala versi Standard ditawarkan dalam pilihan lima warna, pada harga 16.75 juta Rupiah (RM4,850).

     
     
  • Subaru Liberty Final Edition 2020 di Australia – edisi selamat tinggal bagi model Legacy terhad 31 unit

    Subaru Liberty Final Edition 2020 di Australia – edisi selamat tinggal bagi model Legacy terhad 31 unit

    Subaru Australia bakal mengucapkan selamat tinggal buat model Liberty tahun ini, disebabkan permintaan yang berkurangan terhadap sedan tersebut. Menurut syarikat ini, Liberty atau pun turut dikenali sebagai Legacy, hanya terjual sebanyak 2,441 unit dalam tempoh dua tahun ini, berbanding abangnya si wagon Outback yang mencatatkan jualan mencecah 13,844 unit.

    Selepas 31 tahun sejak diperkenalkan di negara berkenaan pada tahun 1989, akhirnya Liberty bakal digugurkan dari barisan Subaru pasaran tempatan. Selepas enam generasi, nampak gayanya Australia tidak akan menerima kemasukan model generasi ketujuh. Secara keseluruhannya, sebanyak 153,700 unit model tersebut terjual di sana.

    Untuk meraikan salam perpisahan itu, Subaru Australia telah memperkenalkan model Liberty Final Edition yang hanya dikeluarkan sebanyak 31 unit sahaja. Ia dijual pada harga AUD39,930 (RM120,039), kos sebelum atas-jalan, menurut CarAdvice. Ia menjadikannya lebih mahal sebanyak AUD1,990 (RM5,982) berbanding model semasa 2.5i Premium AWD, di mana ia merupakan asas bagi edisi khas tersebut. Syarikat ini berkata, pelanggan akan menerima kelengkapan tambahan bernilai AUD6,400 (RM19,240).

    Subaru Liberty Final Edition 2020 di Australia – edisi selamat tinggal bagi model Legacy terhad 31 unit

    Ciri kelengkapan tambahan tersebut termasuklah roda aloi STI 18-inci, lip spoiler hadapan, serlahan luaran berwarna hitam, boot lid spoiler belakang dan paten baharu untuk gril hadapan. Di dalamnya, ia diberikan lencana bernombor sebagai menandakan ia adalah Final Edition, bersama sistem bunyi Harman Kardon, kemasan Ultrasuede, jahitan biru dan hitam serta kemasan hitam.

    Model ini menawarkan tiga pilihan warna, dengan Magnetite Grey (bersama roda hitam) yang ditawarkan untuk 15 unit, Crystal Black (dengan roda perak) untuk 10 unit dan Crystal White (dengan roda gunmetal) sebanyak enam unit. Tiada perubahan mekanikal diberikan, masih mengekalkan enjin 2.5 liter boxer NA empat-silinder dengan hamburan kuasa 175 PS (173 hp) dan tork 235 Nm, dipadankan bersama Lineartronic CVT dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive.

     
     
  • Hyundai perincikan kotak gear iVT automatik – transmisi CVT yang guna rantai untuk ganti tali sawat

    Hyundai perincikan kotak gear iVT automatik – transmisi CVT yang guna rantai untuk ganti tali sawat

    Seperti yang semua tahu, kotak gear CVT automatik beroperasi tanpa sebarang set gear bagi memberikan nisbah, sebaliknya nisbah yang dihasilkan adalah bergantung dari dua pulley yang mengecil dan membesar, dihubungkan menerusi satu tali sawat metalik. Namun untuk kotak gear Smartstream iVT Hyundai yang baharu, tali sawat konvensional berkenaan telah digantikan sistem tali sawat rantai.

    Menurut Hyundai, berbanding sistem CVT yang menggunakan tali sawat metalik yang biasanya akan menyebabkan masalah gelincir pada pulley, tali sawat rantai yang diberikan pada transmisi iVT (Intelligent Variable Transmision) ini dapat melenyapkan simptom berkenaan.

    Hyundai menyatakan bahawa ini adalah sistem pertama seumpanya dalam segmen ini. Ia menggunakan tegangan tali sawat rantai berkenaan untuk menukar diameter pulley bagi mencipta nisbah gear, seterusnya dapat memberikan penghantaran kuasa yang lebih efisien serta rasa lebih responsif ketika pertukaran nisbah.

    Malah, jenama Korea ini turut mendakwa bahawa kotak gear iVT ini turut boleh menghasilkan pertukaran yang seakan sama dengan pertukaran gear pada transmisi manual yang memberikan nisbah lebih tepat kepada pemandu dan juga situasi pemanduan; berbeza dengan transmisi CVT yang membuatkan takat rpm tidak berubah pada satu tahap tetapi kelajuan kereta terus meningkat yang membuatkan pemandu rasa seperti kotak gear tersebut rosak.

    Hyundai perincikan kotak gear iVT automatik – transmisi CVT yang guna rantai untuk ganti tali sawat

    Bukan itu sahaja, Hyundai turut menyatakan bahawa jangka hayat tali sawat rantai ini adalah lebih lama dari jenis metalik, dan ia tidak memerlukan penyelenggaraan, membuatkan ia lebih boleh diharap.

    Buat masa sekarang, kotak gear Smartstream iVT ini telah pun dipasangkan pada Hyundai Elantra generasi baharu, digandingkan dengan enjin petrol Smartstream G 1.6 MPi berkuasa 123 PS pada takat 6,300 rpm dan tork maksima 154 Nm. Hyundai menyatakan dengan kotak gear iVT ini ia berupaya memberikan kadar penggunaan bahan api 4.2% lebih jimat dan mengurangkan kehilangan kuasa sekitar 5-8% pada enjin tersebut.

    Kotak gear ini tidak dibekalkan oleh mana-mana pengeluar OEM, sebaliknya dibangunkan sendiri oleh Hyundai Transys, iaitu syarikat yang wujud dari penggabungan Hyundai Powertech dan Hyundai Dymos.

    Hyundai turut mendakwa bahawa Hyundai Transys kini satu-satunya syarikat di dunia yang mempunyai teknologi komprehensif untuk semua jenis transmisi, yang sentiasa berevolusi selari dengan pembangunan prestasi dan teknologi terkini pada enjin.

    GALERI: Hyundai Elantra 2021

     
     
  • Honda N-One 2021 – aksesori Mugen diperkenalkan

    Honda N-One 2021 – aksesori Mugen diperkenalkan

    Kei-Car Honda yang diinpirasikan dari model klasik N360 iaitu Honda N-One telah pun dilancarkan dalam versi generasi kedua di pasaran Jepun. Seperti biasa, boleh kata serentak dengan semua model JDM Honda yang dilancarkan, ia akan turut diperkenalkan sekali dengan aksesori dari Mugen, dan N-One 2021 ini tidak terkecuali.

    Badan penala prestasi Honda ini bukan hanya menampilkan akseori estetika untuk bahagian luaran, malah berberapa peralatan prestasi untuk casis turut ditawarkan Mugen untuk N-One generasi baharu ini.

    Pada bahagian luaran, Mugen menyediakan pelbagai komponen aero bagi memberikan rupa lebih agresif pada model comel ini, antaranya adalah spoiler dagu untuk bampar hadapan dalam kemasan hitam berkilat, perumah nombor plat kemasan gentian karbon, skirt sisi dan juga spoiler bumbung di belakang.

    Penampilan luaran ini boleh dilengkapkan dengan rim aloi forged berdiameter 15-inci asli dari Mugen, yang bukan sahaja nampak lebih sporty, malah ia turut dapat mengurangkan berat yang tidak diperlukan.

    Honda N-One 2021 – aksesori Mugen diperkenalkan

    Kalau tak cukup, berberapa perincian kecil turut dihasilkan Mugen seperti pelekat-pelekat gentian karbon dan lencana Mugen, bolt untuk mengikat nombor plat, visor tingkap, dan pelbagai lagi.

    Untuk ruang enjin, Mugen menghasilkan penutup pengisi minyak enjin dalam dua rekaan berbeza, masing-masing menampilkan lima warna yang boleh dipilih.

    Sistem ekzos untuk kereta ini turut dihasilkan dan pembeli boleh memilih tip dengan kemasan gentian karbon, keluli tahan karat atau titanium. Sistem kemasukan udara prestasi tinggi juga akan ditawarkan Januari nanti.

    Berberapa aksesori dalaman ada ditawarkan Mugen untuk N-One 2021, antaranya karpet kaki, pedal aloi sport, dan juga tombol gear yang dihasilkan dalam tiga material berbeza yang boleh dipilih iaitu gentian karbon, aluminium atau yang dibalut kulit.

    Sebagai sebuah kereta yang dihasilkan bagi memenuhi undang-undang Kei-Car Jepun bagi menerima pelbagai insentif, sudah tentu N-One dijana oleh enjin dengan kapasiti tidak melebihi 600 cc. Namun Honda tetap menghasilkan ia dalam versi standard NA, dan juga versi lebih garang dengan pengecas turbo.

    Untuk model standard, ia ditawarkan dalam varian Original dan Premium, diberikan enjin 658 cc tiga-silinder tanpa turbo menghasilkan 58 PS pada takat 7,300 rpm dan tork maksima 65 Nm pada takat 4,800 rpm.

    Manakala untuk model dengan sistem induksi paksaan, ia hadir dalam varian Premium Tourer dan juga versi paling agresif RS; kedua-duanya menerima enjin 658 cc tiga-silinder bersama pengecas turbo, menghasilkan kuasa maksima yang dibenarkan untuk Kei-Car iaitu 64 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 104 Nm bermula 2,600 Nm.

    Kedua-dua jenis enjin hanya ditawarkan dengan dengan kotak gear CVT automatik bersama pilihan pacuan roda hadapan atau AWD, kecuali varian tertinggi RS yang turut boleh dipilih dengan kotak gear manual enam-kelajuan serta hanya hadir sebagai model pacuan roda hadapan.

    Walaupun ia bersaiz kecil, N-One dipadatkan dengan pelbagai ciri keselematan termaju seperti pengingat tempat duduk belakang, brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan kekal lorong dan banyak lagi.

     
     
  • Universiti Malaysia Kelantan mengeluarkan siri plat khas “Untuk Malaysia Ku” – bidaan hingga 30 Nov

    Universiti Malaysia Kelantan mengeluarkan siri plat khas “Untuk Malaysia Ku” – bidaan hingga 30 Nov

    Satu lagi siri plat pendaftaran kenderaan khas baharu telah diumumkan. Kali ini dari Universiti Malaysia Kelantan yang menjadi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terkini yang mengeluarkan plat khas ini, di mana siri UMK membawa pada tagline “Untuk Malaysia Ku”.

    Bidaan untuk siri plat ini, yang akan memiliki angka 1-9999, telah pun bermula sejak 23 November lalu dan akan berlangsung sehingga 30 November ini, dan dibuka untuk individu mahu pun syarikat. Bidaan hanya boleh dibuat menerusi sistem dalam talian khas uBIDA.

    Plat UMK 1 adalah paling bernilai tinggi, dengan bidaan bermula RM100,000, diikuti digit tunggal lain bermula dari RM20,000. Sementara plat dua-digit pula bermula dari RM5,000, dan digit berkembar (UMK 11, 22 dan lain-lain) bermula dari RM15,000.

    Selain Universiti Malaysia Kelantan, sebelum ini terdapat beberapa IPTA lain yang turut memperkenalkan siri plat nombor pendaftaran kenderaan khas, termasuklah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

     
     
  • Audi Q5 e-tron, Porsche Macan EV dilancar pada 2022

    Audi Q5 e-tron, Porsche Macan EV dilancar pada 2022

    Volkwagen Group telah mengesahkan SUV Audi Q5 e-tron dan Porsche Macan elektrik sepenuhnya bakal diperkenalkan pada tahun 2022, laporan laman web Automarket dari Romania.

    Model akan datang itu telah didedahkan menerusi laman dokumen pelabur rasmi dan turut mengesahkan versi produksi bagi Volkswagen I.D Buzz juga akan tiba pada tahun yang sama. Model ini akan hadir selepas pengenalan model elektrik sepenuhnya seperti Audi Q4 e-tron, Volkswagen ID. Crozz, Cupra el-Born dan Skoda Enyaq iV, pada tahun 2021, menurut dokumen pembentangan tersebut.

    Audi Q5 e-tron, Porsche Macan EV dilancar pada 2022

    Model tanah liat model Macan akan datang kelihatan menerusi foto model konsep 919 Street

    Walau pun Q5 e-tron dan Macan akan datang bakal diperkenalkan berada pada kedudukan yang sama hampir untuk pelancaran masing-masing, namun sebenarnya ia dibangunkan dengan plaform yang berbeza. Q5 e-tron akan menggunakan platform elektrik modular MEB sama seperti adiknya, Q4 e-tron. Sementara Macan EV pila menggunakan Premium Platform Eletric (PPE) yang merupakan asas binaan bagi Porsche Taycan.

    Macan generasi akan datang bakal menerima model EV sepenuhnya dan pembakaran dalaman yang dijual serentak, dan SUV elektrik janaan bateri akan dibangunkan menerusi binaan PPE, malah ICE Macan juga disarankan menggunakan versi model semasa yang telah dikemaskinikan.

    Manakala Q5 e-tron pula berkemungkinan akan menggunakan penjana kuasa dwi-motor yang mampu menghasilkan sehingga 306 PS seperti Q4 e-tron, di mana model konsepnya dikatakan mampu mencapai pacuan hingga 450 km.

     
     
  • NGO Eropah sifatkan kereta plug-in hybrid adalah penipuan, hasilkan lebih CO2 dari yang didakwa

    NGO Eropah sifatkan kereta plug-in hybrid adalah penipuan, hasilkan lebih CO2 dari yang didakwa

    Teknologi plug-in hybrid atau PHEV adalah teknologi peralihan antara kereta petrol dan juga kereta elektrik kerana sistem tersebut dihasilkan bagi membolehkan kereta bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya tanpa enjin petrol dihidupkan, dan diberikan bateri berkapasiti besar yang boleh dicaj menggunakan wall plug untuk jarak gerak elektrik lebih jauh.

    Namun setelah berberapa ujian dibuat, badan bukan kerajaan tanpa keuntungan dari Eropah yang berkempen kearah teknologi kenderaan lebih bersih, Transport and Environment (T&E) menyatakan bahawa teknologi PHEV berkenaan adalah penipuan semata-mata, bagi membolehkan pengeluar mendapatkan insentif cukai dari kerajaan.

    Plug-in hybrid adalah kereta elektrik palsu, ia dihasilkan untuk ujian makmal dan pengecualian cukai, bukan untuk pemanduan dunia sebenar,” kata pengarah senior T&E, Julia Poliscanova dalam laporan Reuters.

    Ujian yang dilakukan oleh T&E tersebut dikendalikan oleh Emissions Analytics, dan dibuat terhadap tiga buah model PHEV yang dijual dalam pasaran iaitu, BMW X5 G05, Volvo XC60 dan Mitsubishi Outlander PHEV. Hasil ujian tersebut menunjukkan bahawa ketiga-tiga model berkenaan menghasilkan lebih banyak gas CO2 dari yang didakwa dalam iklan, walaupun dalam penggunaan di bawah keadaan optimal.

    NGO Eropah sifatkan kereta plug-in hybrid adalah penipuan, hasilkan lebih CO2 dari yang didakwa

    Selain menyifatkan PHEV ini sebagai kereta elektrik palsu, T&E juga menggesa agar kerajaan menghentikan sebarang subsidi cukai untuk model-model berkenaan. “Kerajaan perlu hentikan pemberian subsidi kepada kereta-kereta ini dengan berbilion duit pembayar cukai,” kata Poliscanova.

    Menurut laporan ini lagi, jualan model-model PHEV mewakili hampir separuh jualan kereta dengan teknologi elektrifikasi di Kesatuan Eropah dalam tiga suku pertama 2020. Jumlah berkenaan adalah kerana kini ramai orang mengambil manfaat yang ditawarkan oleh kerajaan untuk membeli model-model PHEV ini.

    T&E dan pelbagai kumpulan aktivis alam sekitar ini menyatakan bahawa apabila bateri hibrid berkenaan kehabisan kuasa, kereta tersebut akan berjalan dengan enjin petrol sepenuhnya, dalam masa yang sama terpaksa membawa beban yang lebih kerana bateri itu sendiri sangat berat. Ditambah pula dengan beban enjin berkenaan perlu mengecas kembali bateri tersebut, ia sudah tentu menambahkan lagi penghasilan CO2 seperti yang dijumpai dalam ujian berkenaan.

    Pada Februari lalu, laporan Daily Mail menyebut bahawa dalam dunia sebenar PHEV menghasilkan sekurang-kurangnya tiga kali ganda CO2 berbanding yang didakwa dalam pengiklanannya. Malah berberapa model adalah lebih kotor dari model petrol sepenuhnya yang lebih ringan.

    Bagi memberikan respon kepada dakwaan ini, jurucakap Volvo memberitahu Reuters dalam email bahawa “kesemua kereta Volvo adalah diiktiraf dan mematuhi sepenuhnya undang-undang emisi sedia ada.”

    Jurucakap Mitsubishi, Amanda Gibson pula berkata ujian bebas berkenaan boleh menghasilkan angka-angka yang tidak boleh dipercayai dan berubah-ubah bergantung pada situasi dan “kami tidak bersetuju dengan sebarang penemuan yang tidak mempunyai pengawasan terhadap ujian atau metadologi.” BMW walau bagaimanapun masih belum memberikan sebarang respon terhadap dakwaan ini.

    Baru-baru ini, Kesatuan Eropah mencadangkan had emisi yang lebih ketat diberikan pengeluar kenderaan, agar aktiviti mereka boleh diklasifikasikan sebagai “pelaburan mampan.” Di bawah undang-undang berkenaan, kenderaan hibrid akan kehilangan label “hijau” mereka bermula 2026.

     
     
  • Audi TTS 2021 kini ada 320 PS, kit competition plus

    Audi TTS 2021 kini ada 320 PS, kit <em>competition plus</em>

    Walaupun masa depan Audi TT masih samar-samar, pengeluarnya itu bagaimanapun telah mengemaskini penawaran model TTS. Varian pertengahan model prestasi dua-pintu berkenaan kini menerima peningkatan kuasa sebanyak 14 PS menjadi 320 PS, walaupun tork puncaknya kekal sama pada 400 Nm.

    Namun, walaupun dengan peningkatan kuasa bagi enjin 2.0 liter TFSI turbocas empat-silinder petrol itu, pecutan 0-100 km/j kekal sama dengan model sebelumnya, iaitu 4.5 saat bagi versi coupe dan 4.8 saat bagi versi Roadster. Had laju maksimum juga dihadkan kepada 250 km/j.

    Satu perkara yang berubah ialah kadar penggunaan minyaknya naik sedikit kepada 7.3 dan 7.6 liter per 100 km, daripada 7.1 hingga 7.3 liter per 100 km sebelum ini. Ia masih menggunakan transmisi klac berkembar S-tronic tujuh kelajuan, sistem pacuan semua roda quattro dan penyerap hentak magnetorheological masih didatangkan secara standard.

    Audi TTS 2021 kini ada 320 PS, kit <em>competition plus</em>

    Selain daripada tambahan kuasa, Audi turut memperkenalkan tingkat kemasan competition plus, memberikan TTS gaya yang lebih sporty dengan pertambahan kelengkapan juga. Di luar, ia dibezakan melalui kemasan hitam berkilat (berbanding perak), cermin sisi dan lencana, serta spoiler belakang, kaliper brek merah, kemasan logo Audi hitam di sisi dan rim jejari-Y 20-inci.

    Di dalam, kulit Nappa hitam membaluti ruang kabin dengan jahitan merah atau biru, berserta lencana S. Kemasan pada konsol tengah dan juga kerusi juga disudahi dengan warna kelabu sebagai standard, dan boleh dipilih dalam warna turbo blue atau tango red bagi versi coupe. Balutan kulit Alcantara ada pada tombol gear dan stereng.

    Audi TTS 2021 Coupe

    Audi TTS 2021 Roadster

     
     
  • Honda Rebel 1100 guna enjin sama seperti Africa Twin, pilihan transmisi manual atau DCT enam kelajuan

    Honda Rebel 1100 guna enjin sama seperti Africa Twin, pilihan transmisi manual atau DCT enam kelajuan

    Honda Rebel 500 diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2017, dan kini ia mendapat satu lagi pilihan yang lebih berkuasa iaitu Rebel 1100. Seperti yang boleh dilihat pada namanya, model ini menggunakan enjin lebih besar, tapi mengekalkan konsep rekaan ala bobber yang sama.

    Rebel 1100 ditawarkan dengan pakej penggerak yang sama seperti Africa Twin 1100, yang terdiri daripada enjin dua silinder selari SOHC 1,084 cc berkuasa 85.8 hp pada 7,000 rpm, tork 98 Nm pada 4,750 rpm dan pilihan sama ada transmisi manual atau DCT enam kelajuan.

    Dalam keadaan standard, Rebel 1100 datang dengan dua tempat duduk, namun tempat duduk belakang yang kecil itu boleh dicabut dengan mudah. Honda juga menyediakan pelbagai pilihan aksesori untuk Rebel 1100 yang termasuk bahagian seperti penghadang angin hadapan, beg barangan, penyandar untuk pembonceng serta pelbagai lagi.

    Walaupun nampak ringkas, Rebel 1100 diberikan dengan pelbagai teknologi canggih termasuk sistem ride-by-wire, empat mod tunggangan, Honda Selectable Traction Control (HSTC), Wheelie Control, Cruise Control, lampu jenis LED, pengecas USB bawah tempat duduk serta panel meter digital.

    Rim hadapan yang bersaiz 18 inci dipegang oleh fork 43 mm dengan pelarasan pra beban manakala rim belakang bersaiz 16 inci dipegang oleh lengan ayun dan dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban serta tabung gas. Cakera brek hadapan cuma ada satu, bersaiz 330 mm bersama angkup empat piston sementara di belakang terdapat cakera 256 mm dan angkup satu piston. ABS datang secara standard.

    Berat keseluruhan Rebel 1100 adalah 223 kg, dan ia menawarkan tunggangan yang lebih mudah dan santai dengan tinggi tempat duduk cuma 700 mm dari tanah. Tangki bahan api berkapasiti 13.6 liter sementara sistem pacuan pula menggunakan rantai.

     
     
  • Bugatti Chiron Sport Les Légendes du Ciel ditunjuk — edisi sejarah penerbangan Perancis, 20 unit, RM14 juta

    Bugatti Chiron Sport Les Légendes du Ciel ditunjuk — edisi sejarah penerbangan Perancis, 20 unit, RM14 juta

    Sepanjang kewujudannya, Bugatti telah dikaitkan dengan latar pesawat; sebahagian pemandu perlumbaannya juga memang merupakan juruterbang bersama French Air Force, seperti Albert Divo, Robert Benoist dan Bartolomeo Costantini. Selain ini, ada satu lagi nama legenda lain, Roland Garros yang juga merupakan teman rapat Ettore Bugatti dan menjadi pemilik pertama Bugatti Type 18.

    Untuk meraikan pejuang-pejuang di udara ini, syarikat itu telah menghasilkan Chiron Sport Les Légendes du Ciel, yang hanya terhad kepada 20 unit sahaja, dan dijual pada harga 2.88 juta Euro (RM14 juta). Menggunakan asas Chiron Sport, model edisi khas ini menerima beberapa perincian khusus sebagai tanda hormat kepada sejarah Bugatti.

    Kereta ini diberikan penyudah warna kelabu kesat Gris Serpent, sebuah takrifan baru kepada warna yang digunakan pada pesawat dari era 1920an. Ini dilengkapi jalur putih yang dikenakan di bahagian depan hingga ke belakang, dan disudahi oleh spoiler belakang.

    Pada fender depan ditampalkan logo Les Légendes du Ciel, sementara di bahagian depan pelapik sisi menerima kemasan warna bendera Perancis (Le Bleu-Blanc-Rouge) pada bahagian atas pelindung gentian karbonnya. Puddle light kereta ini juga memancarkan logo edisi khas berkenaan, sementara penutup enjin adalah dari material yang sama dengan pelapik sisi, dengan tulisan putih.

    Di belakang, lebih banyak bahagian gentian karbon dapat dilihat. Kemasan pelitup ekzos adalah cetakan 3D Inconel kalis haba – kedua-duanya dalam warna hitam. Di depan, grilnya juga diberikan rekaan baru. Corak yang sama dapat juga dilihat pada ruang dalam kabin; kerusi dengan balutan kulit Gaucho. Kulit dalam warna coklat cerah menghiasi bahagian dalamannya, dan dikontras dengan kemasan aluminium.

    Perehat kepala dengan tulisan Les Légendes du Ciel juga dapat dilihat, dengan plat khas di konsol tengah yang tertera nombor “1 of 20”. Lebih banyak elemen dari pesawat juga dapat dilihat di ruang berkenaan.

    Edisi Les Légendes du Ciel ini dikuasakan oleh enjin 8.0 liter turbocas W16 dengan janaan 1,500 PS dan 1,600 Nm dan mampu mencapai kelajuan 420 km/j. Produksi kereta ini akan bermula pada penghujung tahun ini.

     
     
  • Geely Preface menangi Kereta Tahunan China 2021

    Geely Preface menangi Kereta Tahunan China 2021

    Geely Preface telah dinobatkan sebagai pemenang anugerah Kereta Tahunan China 2021 yang diumumkan dalam acara pembukaan Guangzhou Auto Show pada minggu lalu. Dikenali sebagai Xing Rui dalam pasaran domestik, sedan yang diasas berdasarkan Compact Modular Architecture (CMA) telah didedahkan pada September lalu di Beijing Auto Show.

    Anugerah tahunan yang disifatkan sebagai “anugerah kereta tahunan yang paling adil dan berwibawa” ini diadili oleh panel persendirian yang terdiri daripada 41 orang wartawan dan pakar permotoran. Selain anugerah utama tersebut, ahli panel turut mengundi enam lagi anugerah dalam kategori lain termasuklah SUV Tahunan, Kereta Hijau Tahunan, Kereta Prestasi Tahunan, Rekaan Tahunan dan Corporate CSR.

    Preface Concept dipertontonkan di Shanghai Auto Show 2019 dan sedan versi produksi memang tidak jauh berbeza daripada rekaan model konsepnya. Xing Rui merupakan model berasaskan CMA yang kedua dalam famili Geely selepas SUV coupe Xing Yue, dan ia bakal diproduksi di CMA Super Factory di Luqiao yang turut memasang Lynk & Co 01, Polestar 2 dan Volvo XC40 untuk pasaran China.

    Geely Preface menangi Kereta Tahunan China 2021

    Ia berukuran 4,785 mm panjang dan 1,869 mm lebar, serta jarak rodanya 2,800 mm. Dari sudut perspektif, ia 100 mm lebih pendek berbanding model semasa Toyota Camry, tetapi 29 mm lebih lebar. Manakala jarak roda Camry pula 25 mm lebih panjang. Geely berkata sedan baharu ini merupakan antara yang terbesar, dengan ruang yang lebih luas di dalam segmennya, dengan penekanan terhadap ruang kaki dan keselesaan penumpang belakang.

    Di bawah hudnya terdapat enjin 2.0 liter pengecas turbo yang dipadankan dengan kotak gear automatik dwi-klac tujuh-kelajuan yang juga digunakan oleh barisan model Geely yang lain.

    Dalam acara Guangzhau Autoshow juga, pengemaskinian Firmware Over The Air (FOTA) pertama bagi Xing Rui telah dipertontonkan pada umum. Ia didakwa sebagai yang pertama dalam industri untuk kenderaan janaan-ICE, di mana FOTA membolehkan kenderaan itu dikawal dari jarak jauh dengan peningkatan tambahan pada perisian dalam kereta, kuasa kereta, pemanduan dinamik, ciri bantuan pemanduan dan juga sistem bersepadu yang lain.

    Geely berkata menerusi FOTA yang dikemaskini, pelanggan dapat menikmati manfaat “memiliki pengalaman baharu setiap kali memasuki kenderaan tersebut.” Jualan Xing Rui di China bermula Oktober lalu, dan kini dalam perancangan untuk memasarkan sedan ini di peringkat global. Adakah anda mahu melihat Preface dipasarkan di Malaysia sebagai model perdana Proton?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025