Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Crown 2021 dijual di Jepun dengan kit baharu

    Toyota Crown 2021 dijual di Jepun dengan kit baharu

    Toyota telah pun memperkenalkan model Croen yang dipertingkatkan untuk pasaran Jepun. Walau bagaimana pun, ia tidak melibatkan pembaharuan bagi barisan enjin mahu pun luarannya. Jadi apa yang baharu untuk model sedan bersaiz besar ini?

    Seperti mana model yang diperkenalkan pada tahun 2018, ia masih mengekalkan dua penjana kuasa elektrifikasi. Pilihan pertama ialah unit 3.5 liter V6 dengan hamburan kuasa 299 PS (295 hp) dan tork 365 Nm. Sementara satu lagi pilihan pula – 2.5 liter empat-silinder dengan kuasa 184 PS (181 hp) dan tork 221 Nm. Kedua-dua penjana kuasa ini didatangkan dengan motor elektrik dan bateri lithium-ion. Manakala untuk penjana kuasa bukan-hibrid pula, ia diberikan unit 2.0 liter empat-silinder dengan kuasa 245 PS (241 hp) dan 350 Nm.

    Namun, ada perubahan dalaman yang dibuat, ini termasuklah skrin terpisah yang sebelum ini ada pada model terdahulu telah ditukar ke skrin sesentuh 12.3-inci yang lebih besar. Unit baharu ini dilengkapi dengan Toyota T-Connect yang merangkumi pilihan pemain media, serta sokongan bagi Android Auto dan Apply CarPlay.

    Toyota Crown 2021 dijual di Jepun dengan kit baharu

    Dengan paparan baharu ini, Crown turut menerima corong udara melintang pada bahagian tengah papan pemuka, dengan kawalan untuk sistem suhu ditempatkan di bawahnya. Model sebelum ini mempunyai larasan skrin tujuh-inci yang rendah untuk kawalan suhu, namun skrin-tunggal untuk model baharu ini telah menampilkan butang, tombol dan skrin yang lebih kecil sebagai ganti.

    Ia lebih memudahkan penggunaannya untuk melaras beberapa fungsi termasuk suhu dan kelajuan kipas, tanpa pemandu perlu mengalih pandangan mata dari tumpuan di jalan raya. Walau bagaimana pun, anda masih boleh melaras sistem suhu pada paparan 12.3-inci menerusi skrin menegak, jika inginkan kawalan yang lebih baik.

    Harga bagi Crown yang dipertingkatkan ini bermula 4.899 juta yen (RM194,524) dan meningkat sehingga 7.393 juta yen (RM293,552), dengan beberapa penawaran kemasan serta pilihan sama ada pacuan semua-roda atau roda-belakang.

    GALERI : Toyota Crown 2018 (pasaran Jepun)

     
     
  • Mitsubishi bakal hasilkan Xpander hibrid dan 4 model elektrifikasi lain dalam rancangan 3 tahun mendatang

    Mitsubishi bakal hasilkan Xpander hibrid dan 4 model elektrifikasi lain dalam rancangan 3 tahun mendatang

    Mitsubishi Motors membuat sasaran untuk menjual lebih banyak kereta dengan teknologi elektrifikasi iaitu separuh dari jumlah keseluruhan jualannya di seluruh dunia menjelang 2030, lapor Nikkei. Buat masa sekarang, hanya sebanyak 7% dari jumlah keseluruhan jualannya adalah kenderaan dengan teknologi tersebut.

    Rancangan ini akan dimulakan dengan menawarkan lebih banyak model yang dijana oleh kuasa elektrik dan juga teknologi hibrid plug-in (PHEV) dalam masa akan datang. Oleh itu, Mitsubishi mengumumkan lima model dengan teknologi elektrifikasi bakal diperkenalkan dalam masa terdekat, seperti disebut dalam rancangan perniagaan tiga-tahun yang telah didedahkan Julai lalu.

    Bagi model PHEV, model pertama dalam rancangan tersebut telah pun didedahkan baru-baru ini, iaitu Mitsubishi Eclipse Cross facelift yang turut hadir dengan pilihan versi PHEV dan akan mula dijual di Jepun bulan hadapan. Ia akan diikuti dengan Outlander generasi seterusnya yang akan terus ditawarkan dalam versi PHEV, dijangka akan mula masuk ke pasaran pada April 2022, selepas SUV itu didedahkan sekitar suku kedua tahun depan.

    Mitsubishi bakal hasilkan Xpander hibrid dan 4 model elektrifikasi lain dalam rancangan 3 tahun mendatang

    Tidak ketinggalan, SUV tujuh-tempat duduk yang pada awalnya dibangunkan untuk pasaran Indonesia iaitu Mitsubishi Xpander juga turut akan hadir dengan teknologi elektrifikasi. Model Xpander hibrid berkenaan dijangka akan dilancarkan pada 2023 nanti.

    Bagi model elektrik sepenuhnya pula, Mitsubishi bakal melakukan pelbagai kerjasama dengan syarikat lain untuk memperluaskan lagi pilihan modelnya. Di China, jenama tersebut kini sedang bekerjasama dengan Guangzhou Automobile Group bagi melancarkan kereta EV yang dibangunkan bersama pada 2021.

    Mitsubishi juga sudahpun membuat perancangan untuk membangunkan kereta elektrik sepenuhnya bersaiz mini bersama rakan pakatannya iaitu Nissan.

    Mitsubishi bakal hasilkan Xpander hibrid dan 4 model elektrifikasi lain dalam rancangan 3 tahun mendatang

    Buat masa sekarang, Mitsubishi hanya mempunyai tiga model dengan teknologi elektrifikasi, dan ia akan berkurangan dalam masa terdekat. Ini kerana pada awal bulan ini Nikkei melaporkan bahawa produksi kereta elektrik sepenuhnya yang telah diperkenalkan sejak 2009, Mitsubishi i-MiEV akan dihentikan pengeluarannya tahun ini.

    Mitsubishi yang kini bernaung di bawah Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi merupakan jenama automotif keenam terbesar di Jepun. Walau bagaimanapun, jenama tersebut menjangkakan akan menghadapi kerugian 360 bilion yen (RM14.3 billion) untuk tahun fiskal 2020. Syarikat berkenaan kini merombak semula operasinya dengan mengalihkan fokus kepada pasaran ASEAN.

     
     
  • Honda CRF250L, CRF250 Rally 2021 – perincian awal didedah sebelum pelancaran rasmi 13 November ini

    Honda CRF250L, CRF250 Rally 2021 – perincian awal didedah sebelum pelancaran rasmi 13 November ini

    Dalam masa beberapa hari lagi, Honda akan memperkenalkan CRF250L dan CRF250 Rally 2021, yang dipanggil sebagai “full model change“. Bagi meningkatkan keterujaan terhadap dua model dual purpose ini, mereka telah mendedahkan gambar serta sedikit perinciannya.

    Bagi CRF250L, konsep “Evolved ON-OFF GEAR” digunakan, yang bermaksud peningkatan untuk kemudahan harian, keseronokan di hujung minggu, serta mudah dikendali di dalam kawasan bandar dan offroad. Pada bahagian enjin, sistem kemasukan udara dan ekzos diperbaiki untuk mendapatkan kuasa yang lebih baik.

    Selain panel badan baru, CRF250L 2021 juga akan menerima rekaan rangka baru yang lebih ringan dan tegap, jarak gerak suspensi yang lebih panjang serta sistem ABS two-channel untuk roda hadapan dan belakang.

    CRF250 Rally akan mendapat semua peningkatan sama seperti CRF250L, tetapi ia ditambah lagi dengan lampu LED yang lebih nipis, penggunaan bahan api yang dijadikan lebih cekap, tangki lebih besar serta penghadang angin yang lebih tinggi. Perincian lain hanya akan diketahui apabila motosikal ini dilancarkan tidak lama lagi.

     
     
  • Citroën bawa Polestar ke mahkamah Perancis, saman sebanyak 150,000 euro kerana dakwa logonya ditiru

    Citroën bawa Polestar ke mahkamah Perancis, saman sebanyak 150,000 euro kerana dakwa logonya ditiru

    Citroën membawa Polestar ke mahkamah di Perancis kerana merasakan pembuat kereta sport dengan teknologi elektrfikasi dari Sweden itu mempunyai logo menggunakan konsep yang sama dengan logonya.

    Perkara ini telah menyebabkan Polestar di saman sebanyak 150,000 euro (RM727k) dan tidak boleh menjual kereta-keretanya di negara berkenaan dalam tempoh masa enam-bulan, tulis portal Autoblog berdasarkan laporan dari majalah Perancis, Automobile Magazine.

    Walau bagaimanapun, Polestar sebenarnya masih belum masuk ke pasaran Perancis secara rasmi. “Polestar tidak beroperasi di Perancis, dan buat masa ini kami belum mempunyai rancangan untuk beroperasi di Perancis,” kata jurucakap syarikat itu kepada Autoblog.

    Portal Road & Track pula melaporkan bahawa pengguna-pengguna di Perancis juga buat masa ini disekat dari melayari laman sesawang rasmi Polestar.

    Betul ke logo Polestar ini ada kena mengena dengan Citroën? Polestar pada asalnya adalah jenama talaan prestasi rasmi untuk Volvo, dan kemudian ia dipisahkan oleh Geely pada 2017 bagi membolehkan jenama tersebut bebas menghasilkan kereta sport sendiri, yang menampilkan teknologi elektrifikasi.

    Setakat ini, dua model Polestar telah pun berada dalam pasaran iaitu sebuah GT dijana enjin petrol hibrid plug-in (PHEV) Polestar 1 berkuasa 600 hp/1,000 Nm, dan juga kereta elektrik sepenuhnya Polestar 2 berkuasa 408 hp/660 Nm.

    Citroën bawa Polestar ke mahkamah Perancis, saman sebanyak 150,000 euro kerana dakwa logonya ditiru

    Seperti namanya, logo Polestar ini adalah berasaskan bentuk Bintang Kutub iaitu bintang paling terang terletak di dalam konstelasi Ursa Minor. Ketika berada di bawah Volvo, logo bintang tersebut dihasilkan dalam saiz kecil terletak di hujung atas perkataan “Polestar” berkenaan. Kemudian apabila menjadi jenama bebas, logonya diubah dengan hanya menampilkan imej Bintang Kutub tersebut.

    Manakala untuk Citroën, logo yang direka pada tahun 1919 berkenaan terbentuk dari susunan dua lekuk (double-chevron), di mana pengasasnya André Citroën memilih imej berkenaan kerana sebelum masuk ke industri automotif, beliau terlebih dahulu menghasilkan dan menjual gear dengan bentuk lekuk tersebut untuk digunakan pada mesin-mesin kilang.

     
     
  • Bugatti Bolide didedah – hypercar kegunaan litar berkuasa 1,850 PS, 1,850 Nm, berat cuma 1,240 kg

    Bugatti Bolide didedah – hypercar kegunaan litar berkuasa 1,850 PS, 1,850 Nm, berat cuma 1,240 kg

    Ramai sudah tahu, kenderaan Bugatti kebanyakannya adalah laju, tetapi badannya berat dan akhirnya cuma boleh digunakan untuk mencatat laju maksimum. Tapi dalam tahun kebelakangan ini, mereka sudah mula memberi perhatian kepada cengkaman, seperti yang boleh dilihat melalui model Chiron Pur Sport.

    Kini, Bugatti menunjukkan mereka lebih serius dengan penghasilan Bolide, yang merupakan sebuah kereta litar yang menggunakan enjin W16 8.0 liter, transmisi klac berkembar serta sistem pacuan semua roda sama seperti Chiron, tetapi dijadikan lebih ringan.

    Enjin itu kemudiannya dinaik taraf, termasuk pada bahagian salur masuk dan ekzos, kipas turbo serta sistem pelinciran dan penyejukan. Hasilnya, ia boleh mengeluarkan 1,850 PS dan 1,850 Nm tork, bersamaan 350 PS dan 250 Nm lebih tinggi berbanding Chiron biasa.

    Bugatti Bolide didedah – hypercar kegunaan litar berkuasa 1,850 PS, 1,850 Nm, berat cuma 1,240 kg

    Bugatti kemudiannya membangunkan badan paling ringan dan paling aerodinamik yang mereka mampu. Ia bermula dengan kerangka monocoque gentian karbon serba rendah – tinggi hanya 995 mm – serta subframe stainless steel kekuatan tinggi yang tebalnya cuma satu milimeter, tetapi mempunyai kekuatan tensile 1,200 Nm bagi setiap milimeter persegi.

    Beberapa bahagian lain turut dibuat daripada titanium, serta bahan campuran antara titanium dan gentian karbon, seperti drive shaft. Berat semua barang diambil kira sehinggakan skru dan nat juga menggunakan jenis besi serba ringan.

    Secara keseluruhannya, Bolide mencatat berat cuma 1,240 kg, dan nisbah berat kepada kuasa 0.67 kg bagi setiap PS. Untuk ciri aerodinamik pula, pada kelajuan 320 km/j, ia dapat menghasilkan daya tolakan ke bawah 1,800 kg di bahagian belakang dan 800 kg di bahagian depan.

    Bugatti Bolide didedah – hypercar kegunaan litar berkuasa 1,850 PS, 1,850 Nm, berat cuma 1,240 kg

    Suspensi menggunakan jenis pushrod dengan penyerap mendatar sementara brek seramiknya pula dapat disejukkan melalui angin daripada penutup rim berbentuk kipas. Rim ini dibuat daripada magnesium dan dibalut dengan tayar selebar 340 mm di hadapan dan 400 mm di belakang. Turut dipasang adalah jack angin dan sistem pengisian minyak pantas seperti jentera lumba.

    Bolide direka untuk mematuhi peraturan FIA, di mana ia boleh menggunakan kelengkapan HANS serta mempunyai barang lain seperti sistem pemadam api, cangkuk penarik, rim satu skru di tengah, cermin polikarbonat dan tali pinggang six-point.

     
     
  • PROLINTAS guna sistem teknologi pintar Smart Surveillance untuk pantau lebuhraya kendaliannya

    PROLINTAS guna sistem teknologi pintar Smart Surveillance untuk pantau lebuhraya kendaliannya

    Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) telah mengumumkan mulai 19 Ogos lalu, pihaknya menggunakan Sistem Pemantauan Lebuh Raya berteraskan teknologi pintar PROLINTAS Smart Surveillance System (S3) dalam pengurusan operasi semua lebuh raya seliaannya.

    Sistem ini adalah bagi memantau Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Kajang SILK (SILK), sekaligus telah menjadikan PROLINTAS sebagai syarikat konsesi lebuhraya yang pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi pintar ini.

    Menurut CEO PROLINTAS Datuk Mohammad Azlan Abdullah, S3 dibangunkan bagi bertujuan meningkatkan tahap kecekapan operasi lebuh raya merangkumi aspek pemantauan, pengesanan kerosakan, kemalangan, objek asing, kawasan air bertakung serta kehadiran haiwan liar. Ini adalah sebahagian daripada keupayaan sistem ini selain penstriman video, notifikasi dan pelaporan pada masa nyata.

    “Teras utama S3 adalah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin dikenali AISYA (sistem analisis AI) yang berperanan memproses imej dan pengecaman, pengkelasan, analisis data dan laporan digital seterusnya memberikan notifikasi kepada petugas melalui aplikasi mudah alih serta web,” katanya.

    Beliau berkata, setakat ini S3 telah mengesan sebanyak 1,303 kes pada bulan pertama dan 440 pada bulan berikutnya dengan lebih 50% kes kerosakan permukaan dan aset lebuh raya sudah dibaik pulih menerusi notifikasi masa nyata S3.

    Selain itu, PROLINTAS turut melancarkan sistem aplikasi pengurusan operasi lebuh raya PROLINTAS Integrated Maintenance Escalations (PRIME) yang dibangunkan menggunakan platform Microsoft Kaizala & Flow.

    “Pembangunan PRIME membantu proses penjanaan modul automasi bagi penjadualan kerja-kerja penyelenggaraan dan pendigitalan yang mana borang manual akan digantikan dengan kad tindakan menerusi platform Microsoft Kaizala,” kata kenyataan yang dikeluarkan syarikat itu.

     
     
  • Mitsuoka Buddy – RAV4 dengan rupa seperti Chevrolet

    Mitsuoka Buddy – RAV4 dengan rupa seperti Chevrolet

    Syarikat pembuat badan kenderaan dari Jepun iaitu Mitsuoka telah mendedahkan SUV pertama mereka, yang sama seperti ciptaan mereka sebelum ini, kelihatan unik dalam caranya yang tersendiri. Model ini dipanggil sebagai Buddy, menggunakan asas daripada Toyota RAV4 tetapi badannya mempunyai pengaruh daripada negara barat.

    Langkah yang diambil oleh Mitsuoka ini sebenarnya sudah pernah dibuat beberapa tahun lepas, di mana mereka mengeluarkan sebuah kenderaan yang dipanggil sebagai Rock Star, menggunakan asas daripada MX-5 tetapi badannya seperti Corvette Stingray C2. Untuk Buddy ini pula, ia seperti mendapat inspirasi daripada Chevrolet K5 Blazer tahun 80-an.

    Bagi menghasilkan Buddy, syarikat ini telah mengambil RAV4 dan mengekalkan semua bahagian mekanikalnya. Dengan itu, pelanggan boleh memilih versi yang menggunakan enjin empat silinder NA 171 PS (169 hp) dan 207 Nm tork, atau 2.5 liter hibrid berkuasa 178 PS (176 hp) dan 221 Nm.

    Mitsuoka Buddy – RAV4 dengan rupa seperti Chevrolet

    Muka depan asal RAV4 telah diganti sepenuhnya dengan muka seperti Blazer K5, yang termasuk gril dan lampu petak bertingkat, serta bampar dan kemasan krom. Bampar serta fender model ini turut diganti dengan unit baru.

    Dari tepi kita boleh melihat Buddy menggunakan rim klasik dengan penutup hab krom, dan dibalut tayar all-terrain. Pada keliling lengkuk roda pula terdapat kemasan plastik hitam. Bampar belakang juga menggunakan bentuk ringkas dan dibalut dengan krom manakala lampu pula menggunakan bentuk menegak.

    Setakat ini kita masih tidak mengetahui berapa harga Mitsuoka Buddy ini, dan kita perlu menunggu waktu pelancarannya 26 November nanti. Jika melihat kepada Rock Star sebelum ini, ia dijual pada harga hampir dua kali ganda daripada MX-5 biasa, iaitu 4,688,200 yen (RM186,053).

     
     
  • Perodua catat jualan bulanan tertinggi pada Oktober 2020 – 26,852 unit; atasi rekod bulan sebelumnya

    Perodua catat jualan bulanan tertinggi pada Oktober 2020 – 26,852 unit; atasi rekod bulan sebelumnya

    Perodua kian berlari kencang ke hadapan dengan prestasi jualan yang memberangsangkan dalam situasi ekonomi yang penuh mencabar. Terkini, Perodua telah mengumumkan prestasi jualannya bagi Oktober 2020.

    Di mana syarikat pengeluar kereta nasional ini telah memecah rekod jualan bulanan tertinggi sepanjang 27 tahun sejarah penubuhannya, iaitu mencapai 26,852 unit jualan pada Oktober. Sekaligus mengatasi rekod yang dicatatkan pada September lalu dengan 25,035 unit.

    “Pada September, kami telah mencapai jualan bulanan tertinggi sepanjang 27 tahun sejarah kami dan kini, kami telah mengatasi pencapaian tersebut. Kejayaan ini penting buat kami kerana ia membuktikan komitmen kami terhadap penghantaran secepat mungkin dan juga peranan kami dalam memulihara ekosistem automotif,” kata Presiden dan CEO Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Perodua catat jualan bulanan tertinggi pada Oktober 2020 – 26,852 unit; atasi rekod bulan sebelumnya

    Menurut Zainal Abidin lagi, sepanjang Oktober sahaja, pihaknya telah membelanjakan sebanyak RM600 juta untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan, seterusnya menghasilkan kesan pengganda ekonomi yang besar kepada ekosistem automotif tempatan, yang turut terkesan dengan pandemik yang negara hadapi sekarang.

    Ekosistem automotif merangkumi sektor langsung dan tidak langsung, seperti pembekal komponen automotif, pengedar sah, stokis, agensi dan kontraktor. Rakan niaga tidak langsung termasuk institusi kewangan seperti bank dan syarikat insurans.

    “Dari segi kapasiti pengeluaran, kami berada di 98% secara purata pada Oktober 2020 dengan 26,362 kenderaan, yang juga merupakan pengeluaran bulanan tertinggi daripada kilang kami di Sungai Choh.

    “Kejayaan ini dicapai dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang diikuti oleh setiap kakitangan dan rakan niaga kami, termasuk bekerja dari rumah serta ujian mandatori bagi mereka yang berada di zon merah – bersama dengan SOP asal yang diperkenalkan pada Mei,” ujarnya.

    Perodua catat jualan bulanan tertinggi pada Oktober 2020 – 26,852 unit; atasi rekod bulan sebelumnya

    Sambungnya lagi, “Dengan komitmen para pembekal, pengedar-pengedar sah kami dapat menjual lebih banyak kenderaan dan yang paling penting, memastikan kepuasan pelanggan kami kerana kenderaan Perodua mereka dihantar dalam tempoh yang terdekat.”

    Secara keseluruhan, Perodua telah menjual 8,052 Myvi, 6,738 Axia, 6,895 Bezza, 3,193 Aruz dan 1,974 Alza pada Oktober. Tiga model teratas kekal sebagai kenderaan terlaris di Malaysia setakat tahun ini.

    Dalam masa yang sama, Perodua juga memberi lebih ganjaran kepada para pelanggannya dengan menawarkan penebusan tunai sehingga RM1,500 untuk model Aruz (tertakluk terma dan syarat) sepanjang November, ke atas amaun pengecualian cukai semasa. Selain itu, rebat tunai sehingga RM2,000 turut ditawarkan untuk kenderaan pra-milik sehingga 31 Disember 2020. Tawaran ini hanya boleh didapati di pusat jualan Perodua KL yang terletak di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

     
     
  • Klein Vision AirCar – kereta terbang yang nampak macam kereta dibangunkan syarikat dari Slovakia

    Sehingga kini, setiap kereta terbang yang dihasilkan oleh pelbagai syarikat belum ada lagi yang nampak cantik seperti DeLorean DMC12 milik Dr. Emmet Brown dalam filem Back to the Future. Kebanyakkannya menampilkan bentuk yang pelik – ada yang nampak macam kapal terbang, dan ada juga yang nampak macam dron bersaiz besar.

    Ini adalah Klein Vision AirCar, sebuah kereta terbang buatan Slovakia. Berbeza dengan kereta-kereta terbang yang lain, AirCar ini lebih nampak macam kereta. Ya, rupanya mungkin masih lagi jauh dari kereta penumpang biasa, tapi ada jugalah nampak seperti supercar atau kereta lumba Le Mans.

    Namun, AirCar masih belum boleh terbang dengan cara berlepas menegak ke atas dari mana-mana seperti yang kita gambarkan pada tahun 80’an dulu. Ia masih memerlukan landasan untuk berlepas dengan kuasa dorongan kehadapan dari kipas propeller yang terletak di bahagian belakang.

    Dalam mod kereta, sayap AirCar ini disorokkan dalam badan dalam posisi menegak ke belakang. Dengan hanya satu butang, sayap berkenaan akan dikeluarkan dan didepangkan, manakala ekornya turut memanjang kebelakang untuk bertindak sebagai sayap belakang.

    Walau bagaimanapun spesifikasi teknikal seperti apa enjin yang digunakan atau bagaimana kuasa dihantar ke roda ketika dalam mod kereta masih lagi belum diperincikan oleh Klein Vision.

    Menurut syarikat berkenaan, mereka memerlukan masa hanya 18-bulan untuk menghasilkan AirCar ini dari lakaran kertas kepada prototaip sebenar yang boleh berfungsi. Klein Vision juga sudah mempunyai konsep lain untuk AirCar ini antaranya untuk versi empat tempat duduk dan juga versi amfibia yang boleh mendarat di atas air.

     
     
  • Proton catat jualan 11,392 unit pada Oktober 2020; 20% lebih tinggi bagi tempoh yang sama pada 2019

    Proton catat jualan 11,392 unit pada Oktober 2020; 20% lebih tinggi bagi tempoh yang sama pada 2019

    Proton telah mengumumkan prestasi jualan bagi bulan Oktober 2020, dengan melaporkan sebanyak 11,392 unit telah terjual bagi pasaran domestik dan eksport. Walau bagaimana oun, jumlah tersebut turun sebanyak 4.54% daripada 11,935 unit yang terjual pada September lalu, namun lebih 20% bagi bulan yang sama pada tahun 2019 (9,503 unit).

    Pengeluar kereta nasional itu turut berkata jumlah keseluruhan bagi tahun ini telah mencapai 84,999 unit, di mana ia melibatkan peningkatan sebanyak 6.2% berbanding tahun lalu yang terjuak 79,833 unit pada Oktober 2019. Proton turut menjangka pegangan pasaran mampu mencapai 21.3%.

    Menurut Proton lagi,walaupun jualan pada bulan Oktober menurun berbanding dengan bulan sebelumnya, tiga model Proton masih lagi mendahului segmen mereka. Sedan Persona, yang menghadapi sebilangan pesaing baharu pada tahun 2020, tetap mendahului pasaran sedan segmen-B dengan 2,360 unit manakala model X70 pula telah mencapai 2,216 unit untuk kekal sebagai SUV terlaris di Malaysia. Model Exora juga kekal di hadapan pasaran MPV segmen-C, membuktikan pasaran untuk kenderaan besar yang mempunyai tujuh tempat duduk masih wujud walaupun jualan SUV semakin menambah.

    “Penambahan kadar pelancaran model baru dan jumlah jualan bulan Oktober adalah antara tanda pemulihan pasaran automotif Malaysia. Kami menganggarkan Jumlah Pengeluaran Keseluruhan Industri (TIV) bulan ini akan melebihi 57,000 unit, jumlah kedua tertinggi bagi tahun 2020 dan ini bukti ketara pemulihan industri. Proton amat bersyukur kerana jualan bulanan bertambah berbanding dengan tahun lepas dan penambahan pula amat stabil, tetapi kami yakin boleh mencapai pretasi yang lebih tinggi.”

    “Kajian terhadap prestasi jualan secara terperinci menunjukkan jualan telah menurun secara mendadak di Malaysia Timur manakala di Wilayah Tengah pula tiada penambahan berbanding dengan bulan September. Ini dipercayai disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang telah mengurangkan pergerakan penduduk dan memberi kesan kepada jualan, tetapi mungkin juga kerana pelanggan menanti-nantikan pelancaran Proton X50. Apa jua sebabnya, Proton berasa yakin akan dapat mengakhiri tahun ini dengan pencapaian yang cemerlang supaya boleh mencapai matlamat yang lebih tinggi pada tahun 2021,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton EDAR.

    SUV segmen-B X50 telah pun dilancarkan pada 27 Oktober lalu, dan menurut Proton, setakat ini sebanyak 27,400 unit tempahan telah diterima dan sejumlah 447 unit SUV terbabit telah dihantar kepada para pelanggan.

     
     
  • Proton X50 telah capai 27,400 tempahan setakat akhir Okt 2020; 447 unit telah dihantar kepada pelanggan

    Proton X50 telah capai 27,400 tempahan setakat akhir Okt 2020; 447 unit telah dihantar kepada pelanggan

    Proton telah memaklumkan setakat akhir Oktober 2020, syarikatnya telah menerima sejumlah 27,400 tempahan bagi SUV X50 yang telah dilancarkan pada minggu lalu. Menurut CEO Proton EDAR, Roslan Abdullah, daripada jumlah tersebut, sebanyak 447 unit X50 telah selamat dihantar kepada para pelanggan yang menempahnya.

    “Proton ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan yang menempah X50. Kami sedang berusaha untuk memastikan kami dapat menyempurnakan penghantar kenderaan dalam masa tiga bulan terakhir 2020 sambil memastikan produk kami berkualiti tinggi,” ujar Roslan Abdullah.

    SUV segmen-B pertama dari Proton ini ditawarkan dalam empat varian berbeza.Model paling asas X50 Standard dijual pada harga RM79,200, diikuti varian Executive dijual pada harga RM84,800, model Premium pula berharga RM93,200, manakala versi tertinggi Proton X50 Flagship dijual pada harga RM103,300. Ini adalah harga untuk semenanjung Malaysia, manakala di harga Sabah dan Sarawak semua varian adalah RM2,000 lebih tinggi.

    Proton X50 telah capai 27,400 tempahan setakat akhir Okt 2020; 447 unit telah dihantar kepada pelanggan

    Dari kesemua varian yang ditawarkan, hanya varian tertinggi Flagship dijana oleh enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (GDI) menghasilkan 177 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 255 Nm pada takat 1,500 rpm hingga 4,000 rpm.

    Untuk varian lain, ia masih diberikan enjin 1.5 liter Turbo tetapi dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (MPI) menjana 150 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 226 Nm bermula 1,500 rpm hingga 4,000 rpm. Walau bagaimanapun, kesemua jenis enjin hanya dipadankan dengan kotak gear automatik klac berkembar jenis basah tujuh-kelajuan 7-DCT yang memacu roda-hadapan.

    Kami telah pun menyiarkan spesifikasi penuh bagi setiap varian termasuklah video mengenainya. Selain itu, kami juga telah membandingkan kos selenggara antara X50 dengan pencabar terdekatnya, Honda HR-V. Dan kalau anda mahu meneliti spesifikasi bagi X50 dan pencabarnya yang lain, boleh KLIK DI SINI.

    GALERI:Proton X50 1.5T Flagship 2020

    GALERI:Proton X50 1.5T Premium 2020

    GALERI:Proton X50 1.5T Executive 2020

     
     
  • BMW Z4 G29 sDrive30i di M’sia kini dengan AEB menerusi pakej Driving Assistance, RM469,510

    BMW Z4 G29 sDrive30i di M’sia kini dengan AEB menerusi pakej Driving Assistance, RM469,510

    Kereta sport convertible BMW Z4 G29 untuk pasaran Malaysia kini telah pun dikemaskini dengan pakej Driving Assistant, secara tidak langsung memberikan ia fungsi brek kecemasan automatik (AEB). Model yang masuk ke pasaran tempatan pada Julai tahun lalu ini walau bagaimanapun masih dijual dalam varian tunggal sDrive 30i M Sport.

    Dengan tingkat taraf berkenaan, ia kini berharga RM484,800 berbanding harga asal RM479,800. Namun dengan pengecualian cukai jualan PENJANA sebanyak 50% untuk kereta CBU, roadster ini boleh dibeli dengan harga atas jalan tanpa insuran RM469,510 sehingga 31 Disember 2020.

    Selain dari AEB, pakej Driving Assistant tersebut turut memberikan fungsi bantuan pemanduan lain seperti amaran keluar laluan dan juga pemantau titik buta. Sistem yang diberikan ini adalah sama dengan sistem yang pertama kali diberikan pada 320i dan 330i, serta selepas itu secara beransur-ansur dipadankan pada hampir kesemua model baharu BMW di Malaysia.

    Perincian lain masih lagi sama dimana Z4 sDrive 30i M Sport ini hadir dengan lampu hadapan LED, pakej M Sport, rim aloi dua ton 18-inci, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, tempat duduk larasan kuasa serta fungsi memori untuk bahagian pemandu serta sistem pendingin hawa dua zon.

    Ia juga menerima sistem bantuan parkir dengan bantuan mengundur, lampu tinggi automatik, serta sistem BMW Live Cockpit Professional yang terdiri dari dua skrin paparan bersaiz 10.25-inci untuk paparan instrumen dan infotainmen, pengecas telefon pintar tanpa wayar, kamera undur, serta sistem bunyi Harman Kardon 405-watt bersama 12-pembesar suara.

    Secara dasarnya, Z4 adalah kereta dengan asas sama seperti Toyota GR Supra A90. Model sDrive 30i M Sport ini dijana oleh enjin B48 2.0 liter turbo empat silinder berkuasa 258 PS dan tork maksima 400 Nm. Kita tidak menerima model Z4 M40i yang dijana oleh enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris seperti varian tunggal GR Supra A90 pasaran Malaysia.

    Kuasa dari enjin berkenaan dihantar sepenuhnya ke gandar belakang menerusi kotak gear ZF lapan-kelajuan automatik. Ini membolehkan Z4 sDrive 30i memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat dengan penggunaan bahan api kitaran gabungan 6.5 liter setiap 100 km.

    Dua lagi model BMW yang masih belum secara rasmi menerima pakej Driving Assistance iaitu X2 dan X3 (bukan M), juga kini sudah pun dilengkapkan dengan sistem tersebut, menurut sumber dari BMW Group Malaysia. Walau bagaimanapun syarikat berkenaan masih lagi belum mengumumkan spesifikasi dan juga harga rasmi untuk model-model tersebut.

    GALERI: BMW Z4 G29 sDrive30i pasaran Malaysia

     
     
  • Naza sah lepaskan jenama Kia dan Peugeot

    Naza sah lepaskan jenama Kia dan Peugeot

    Khabar angin yang bertiup kencang sebelum ini mengatakan bahawa Naza Group akan melepaskan dua jenama di bawah divisi automotifnya iaitu Kia dan Peugeot nampaknya benar-benar berlaku. Perkara ini disebut sendiri oleh CEO Naza Corp Holding SM Nasarudin SM Nasimuddin dalam satu temuramah oleh akhbar The Edge baru-baru ini.

    Dalam temuramah berkenaan, Nasarudin menyatakan bahawa keputusan untuk menjual perniagaan Kia dan Peugeot tersebut adalah salah satu rancangan untuk menyusun semula model perniagaan mereka kearah kelestarian yang lebih baik. Rancangan ini telah dibuat olehnya sendiri bersama ahli keluarga lain yang juga pemegang saham, serta dinasihatkan oleh jawatankuasa transformasi dan juga firma perakaunan penting.

    “Kumpulan ini diasaskan dari perniagaan automotif, tetapi apabila kami terus mara, [industri auto] kini diselia lebih ketat; ia memerlukan banyak pelaburan. Jika saya melabur RM60 juta untuk membangunkan model CKD (pemasangan tempatan), adakah saya akan mendapat keuntungan, saya pun tidak tahu. Ada banyak ketidaktentuan dalam pasaran, dan prinsipal kami sentisa mahu kami melabur. Jadi untuk adil kepada kedua-dua belah pihak, kami beritahu mereka bahawa kami tidak mahu lagi melakukan ini,” jelas Nasarudin.

    Beliau turut menyatakan bahawa pandemik Covid-19 adalah titik tolak untuk penyusunan semula perniagaan kumpulan ini, kerana ia memberikan peluang bagi “menilai semula kumpulan dan membuat keputusan penting untuk terus kehadapan.” Pandemik ini telah meninggalkan impak yang sigifikant kepada industri automotif, dengan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menetapkan kembali anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada hanya 407,000 unit berbanding 607,000 unit pada awal tahun ini.

    Naza sah lepaskan jenama Kia dan Peugeot

    Sudah tentu pandemik ini turut memberikan kesan kepada jualan model Kia dan Peugeot di Malaysia. Berdasarkan data jualan terkini MAA, untuk sembilan bulan pertama 2020, Kia hanya menjual sebanyak 635 unit manakala Peugeot pula hanya 856 unit. Berbanding tempoh sama tahun lalu, Kia berjaya menjual sebanyak 2,890 unit dan Peugeot pula menjual sebanyak 1,526 unit.

    Pada 2019, secara keseluruhan Kia berjaya menjual sebanyak 3,432 unit, manakala Peugeot pula menjual sebanyak 1,897 unit. Angka tersebut agak kontra dengan rekod pada 2015 di mana sebanyak 4,674 Kia terjual dan Peugeot pula menjual sebanyak 2,986 unit – menunjukkan angka jualan yang semakin merudum dalam tempoh berberapa tahun walaupun tanpa kehadiran pandemik.

    Walau bagaimanapun, angka jualan Peugeot menunjukkan peningkatan pada 2017, manakala Kia turut menerima manfaat ketika ‘cuti cukai’ GST pada 2018.

    Dikhabarkan ada berberapa pihak yang sudahpun berminat mengambilalih dua jenama dari Korea dan Perancis berkenaan selepas Naza melepaskan kedua-duanya. Laporan sebelum ini menyebut bahawa Bermaz Auto (BAuto) yang kini menguruskan jenama Mazda di Malaysia antara yang paling berminat terhadap peluang ini.

    Naza sah lepaskan jenama Kia dan Peugeot

    “BAuto kini sedang dalam perbincangan dengan berberapa pihak, tetapi prinsipal juga sedang berbincang dengan pelbagai pihak lain. Antaranya adalah Sime Darby Motors dan juga DRB-Hicom,” kata satu sumber kepada akhbar berkenaan.

    Walau bagaimanapun, CEO Sime Darby Datuk Jeffri Salim Davidson secara terbuka menyatakan bahawa pihaknya tidak berminat untuk mengambil alih perniagaan Kia dan Peugeot di Malaysia. “Kami tidak berminat [untuk mengambil alih] francais pengedaran Kia dan Peugoet di Malaysia. Kami tak mahu. Tapi kami sedang bekerjasama dengan Bermaz Auto untuk memasang kereta Kia secara tempatan di kilang kami di Kulim, Kedah,” jelasnya.

    Sime Darby kini memiliki saham majoriti dalam kilang di Kulim, yang memasang BMW, Mazda, MINI dan Hyundai. Kilang berkenaan dioperasikan oleh Inokom Corp, yang juga dimiliki bersama oleh BAuto (29%), Hyundai Motor Korea Utara (15%) dan juga Hyundai Sime Darby (5%).

    Apabila ditanya apa perasaan berkenaan kekurangan pendapatan dari divisi automotif Naza Group selepas melepaskan francais Kia dan Peugeot, Nasarudin menyatakan bahawa mereka juga kini sedang berbincang dengan berberapa jenama lain. “Satu atau dua jenama mahu masuk ke pasaran, jadi kami mahu kembali ke asas perniagaan,” katanya.

    Naza sah lepaskan jenama Kia dan Peugeot

    “Kami ada sejarah yang panjang bersama Kia dan Peugeot. Kami agak beremosi untuk berpisah dengan mereka, tetapi kami mempunyai sebab di mana, untuk adil kepada kedua-dua pihak, kami tidak merasakan nilai dalam melabur dan kami tidak nampak pulangan yang kami mahu,” tambahnya.

    Naza Group turut mengendalikan jenama berkelas tinggi iaitu Ferrari dan Maserati, dan Nasarudin mengesahkan bahawa kedua-dua jenama mewah Itali tersebut akan kekal di bawah portfolio kumpulan automotif berkenaan. “Itu akan kami kekalkan. Kedua-duanya agak baik, sangat baik untuk kami, dan itu adalah juga profil yang kami mahu kekalkan,” katanya.

    Jenama lain yang turut berada di bawah kumpulan automotif Naza Group termasuk Mercedes-Benz (NZ Wheels), Citroen dan DS (Naza Euro Motors), Ducati (Next Bike) dan Indian Motorcycle (Harmony Fabolous).

    Penglibatan Naza Group dalam industri automotif bukan sekadar jualan konsumer, ia juga mempunyai konsesi dengan pembekal kenderaan kerajaan, seperti yang diumumkan pada awal tahun ini. “DNA Naza Group adalah automotif, jadi walaupun kami berpisah dengan Kia atau Peugeot, ketika ia menghasilkan keuntungan yang besar kepada kumpulan, kami masih berada dalam perniagaan automotif, lebih besar dan lebih kuat dalam lapangan lain,” kata Nasarudin.

    Naza Group turut mempunyai kepentingan dalam Naza Automotive Manufacturing (NAM), yang mengoperasikan kilang pemasangan di Gurun, Kedah dengan kapasiti pengeluaran tahuan sebanyak 50,000 unit dan ia telah dibangunkan dengan kos RM700 juta.

    Naza sah lepaskan jenama Kia dan Peugeot

    Sebelum ini pada Februari 2018, PSA Group telah mengambil alih kepentingan majoriti 56% dalam NAM, sebagai salah satu rancangan bagi menjadikan Malaysia sebagai hab eksport untuk pasaran ASEAN. Dengan keputusan Naza Group untuk melepaskan Kia dan Peugeot ini, ada lagi persoalan lain timbul khususnya apa yang akan terjadi pada NAM, yang berkemungkinan akan kekurangan produksi berbanding kapasiti sebenarnya.

    Menurut data dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), PSA Group kini mempunyai ekuiti lebih besar dalam NAM dengan pegangan sebanyak 61.4%, dengan kepentingan Naza Group berkurang kepada hanya 38.6%. Pada akhir 2018, NAM mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak 1.69 juta dari pendapatan berjumlah RM56.92 juta.

    Menurut Nasarudin, keuntungan pada tahun-tahun berikutnya adalah jauh lebih rendah daripada 2018 kerana margin tipis dan situasi yang mencabar, di mana Kumpulan Naza tidak dapat membuat banyak keputusan penting. “Margin adalah terhad, malah penentuan harga juga ditentukan prinsipal, jadi ada banyak faktor risiko,” jelasnya. Ini mungkin akan menyebabkan NAM turut akan dijual seperti Kia dan Peugeot.

    “Sasaran saya adalah untuk menyiapkan keseluruhan proses transformasi ini pada Disember tahun ini, dan [mahu] sehingga suku pertama tahun hadapan untuk benar-benar menentukan halatuju kehadapan untuk kumpulan. Kami perlu meneliti apa strategi pelaburan untuk kumpulan maju kehadapan. Dengan semua pelupusan yang telah dibuat ini, kami perlu menjadi selektif bagaimana kami mahu membawa kumpulan kehadapan,” simpul Nasarudin.

     
     
  • Honda City Type R – gambaran model prestasi hatch

    Honda City Type R – gambaran model prestasi hatch

    Sekarang ini bagi Honda City generasi kelima, versi paling tinggi adalah City RS e:HEV yang menggunakan penggerak i-MMD baru. Atas kertas, jumlah kuasanya memang nampak tinggi, terutamanya dengan tork 253 Nm, tetapi sehingga kini masih belum ada versi prestasi sebenar bagi City.

    Macam mana keadaannya jika model seperti ini betul-betul ada? Bagaimanakah rupanya? Bagi memberikan sedikit gambaran, kami menggunakan khidmat Theophilus Chin untuk menghasilkan satu ilustrasi render City Type R, dalam bentuk hatchback.

    Di depan, gril City RS yang berwarna hitam dengan corak honeycomb di tengah masih dikekalkan, dan ia kemudiannya ditambah dengan lencana Honda serta Type R yang berwarna merah. Bampar pula direka dengan inspirasi daripada Civic Type R FK8v, lengkap dengan air curtain dan lip depan, tetapi tiada lampu kabus.

    Honda City Type R – gambaran model prestasi hatch

    Perincian lain adalah seperti fender serta rim lebih lebar, cakera brek berliang dengan hab berwarna merah, cermin sisi hitam, bonet yang mempunyai skup udara serta side skirt. Bahagian belakang pula sudah menghampiri seperti Mercedes A-Class, terutamanya pada bahagian spoiler, lampu brek ketiga, rekaan penutup but serta cermin belakang.

    Lampu kombinasi LED pada model ini nampak lebih nipis dan kemudian, jalur pencahayaannya dijadikan bersambung dengan garisan badan. Tempat mengisi minyak telah dialih lebih tinggi sementara bampar belakang pula mendapat kemasan penuh di bahagian bawah. Akhir sekali ia dijadikan lengkap dengan muncung ekzos heksagon serta lip belakang. Apa pendapat anda dengan rekaan ini? Cukup menarik dan garang?

     
     
  • Honda Malaysia perkenalkan aplikasi Honda Touch

    Honda Malaysia perkenalkan aplikasi Honda Touch

    Honda Malaysia telah melancarkan satu aplikasi mudah alih yang dinamakan sebagai HondaTouch, yang boleh digunakan pada peranti Android dan juga iOS. Sesiapa sahaja boleh menggunakan aplikasi ini, dan ia direka sebagai satu platform untuk memberikan pelbagai informasi serta servis yang berkenaan dengan Honda.

    “Aplikasi HondaTouch direka untuk memberikan kemudahan antara pengedar Honda dengan pelanggan, dengan menyediakan akses informasi servis kenderaan, bantuan kenderaan dan berita terkini daripada Honda Malaysia,” kata pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.

    “Akhirnya, visi kami adalah untuk menghasilkan nilai untuk mobiliti dan memperbaiki kehidupan seharian pelanggan kami melalui interaksi yang kerap, dan aplikasi HondaTouch yang intuitif ini mampu melakukannya,” tambah beliau.

    Melalui aplikasi HondaTouch, pemilik Honda dapat melakukan temu janji servis kenderaan mereka dengan lebih mudah, bersama ciri berguna lain seperti peringatan temu janji servis, pengesan status servis masa sebenar dan sejarah servis.

    Honda Malaysia perkenalkan aplikasi Honda Touch

    Sebagai tambahan, pemilik juga boleh mendapatkan servis bantuan tepi jalan sekiranya kenderaan rosak atau kemalangan, menggunakan ciri Emergency Assistance dalam aplikasi tersebut. Peringatan pembaharuan cukai jalan juga boleh dikeluarkan oleh aplikasi itu.

    Bagi yang tidak memiliki kenderaan Honda, mereka masih boleh menggunakan aplikasi ini untuk mencari pengedar Honda terdekat dan melihat promosi, acara atau berita terkini daripada jenama itu. Ada juga ciri tempatan awal kenderaan baru, yang membolehkan pengguna membuat tempahan model yang dimahukan secara digital, tanpa perlu pergi ke pusat pameran. Mereka juga boleh menghubungi Honda Malaysia sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, menggunakan aplikasi ini.

    “Telah menjadi misi kami untuk memberikan yang terbaik dalam servis pelanggan dan mencapai tahap kepuasan pelanggan yang cemerlang. Melalui aplikasi HondaTouch baru ini, pelanggan kini boleh terus berhubung dan mendapat berita terkini berkenaan Honda Malaysia melalui semua sepuluh ciri yang disediakan, dari mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa sahaja,” kata Ishiyama.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025