Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lebih 60% pembeli kereta baharu di Asia Tenggara sukakan warna hitam, putih dan kelabu – tinjauan

    Lebih 60% pembeli kereta baharu di Asia Tenggara sukakan warna hitam, putih dan kelabu – tinjauan

    Perasan tak, pilihan warna untuk kereta-kereta baharu atas jalan raya, susah untuk kita tengok warna-warna yang ‘meriah’ macam merah menyala, oren cerah dan hijau terang. Sebenarnya pilihan warna yang ditawarkan oleh pengeluar-pengeluar ini adalah berdasarkan statistik semasa permintaan pelanggan yang membeli kereta.

    Salah satu statistik semasa yang kita boleh tengok adalah tinjauan yang dibuat oleh AkzoNobel; pakar warna berkenaan menyatakan bahawa hitam, kelabu dan putih adalah tiga warna yang paling popular dipilih oleh pemilik kereta baharu di Asia Tenggara ketika membeli kenderaan mereka.

    Dari kesemua warna, hitam adalah yang paling popular, dipilih sebanyak 22% responden, diikuti putih dengan 21% dan kelabu sebanyak 19%.

    Menurut AkzoNobel, hitam adalah melambangkan kuasa, cita-cita dan kekayaan, dan Proton Saga Anniversary Edition yang dilancarkan pada 9 Julai lalu adalah salah satu contoh bukti populariti warna berkenaan. Saga yang dihasilkan sempena ulangtahun ke-35 Proton berkenaan dihasilkan hanya 1,100 unit, dan kesemuanya habis ditempah dalam masa hanya 5 hari.

    Lebih 60% pembeli kereta baharu di Asia Tenggara sukakan warna hitam, putih dan kelabu – tinjauan

    Untuk putih pula, ia selalunya dikaitkan dengan kesucian dan kebersihan, serta warna yang paling efektif untuk reflektor cahaya dan haba.

    Manakala warna kelabu boleh dianggap sebagai warna ‘diplomatik’ yang menghubungkan sifat kontra hitam dan putih, jelas AkzoNobel. Kelabu juga adalah warna yang praktikal kerana ia sangat mudah untuk dijaga; calar-calar kecil sukar untuk kelihatan pada warna ini.

    Ini adalah data-data di atas kertas menunjukkan trend pemilihan warna terkini yang dipilih oleh orang ramai. Anda pula bagaimana? Adakah anda sebahagian dari statistik ini, atau sedang menunggu pengeluar-pengeluar menawarkan warna-warna yang lebih ‘meriah’?

     
     
  • PKPB di S’gor – Polis PJ tutup 3 jalan di Kota Damansara; 29 sekatan jalan raya di KL, Putrajaya

    PKPB di S’gor – Polis PJ tutup 3 jalan di Kota Damansara; 29 sekatan jalan raya di KL, Putrajaya

    Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai hari ini hingga 27 Okt, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mula melakukan penutupan beberapa jalan utama dan juga sekatan jalan raya.

    Di Selangor, polis daerah Petaling Jaya telah mengumumkan penutupan jalan di Kota Damansara – yang dikatakan telah mencatatkan rekod tertinggi bagi kes Covid-19 di kawasan di bawah bidang kuasanya. Jalan terbabit ialah Persiaran Mahogani (Seksyen 9), Persiaran Jati (Seksyen 8) and Persiaran Sungai Buloh.

    Sepanjang tempoh PKPB, orang awam tidak dibenarkan menggunakan laluan terbabit. Walau bagaimana pun untuk perkhidmatan di bawah kecemasan termasuk BOMBA, polis, ambulans dan kakitangan MBPJ dibenarkan melaluinya.

    PKPB di S’gor – Polis PJ tutup 3 jalan di Kota Damansara; 29 sekatan jalan raya di KL, Putrajaya

    Klik untuk besarkan

    Polis menasihati orang awam agar menggunakan laluan alternatif jika hendak masuk-keluar dari kawasan berkenaan. Laluan alternatif berkenana ialah Persiaran Kenanga menghala ke plaza tol Kota Damansara, Persiaran Surian menghala Palm Spring dan Persiaran Tropicana menghala Casa Tropicana.

    Selain itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut mengumumkan sebanyak 29 lokasi sekatan jalan raya telah mula dilaksana di sekitar KL dan Putrajaya dalam tempoh PKPB ini. Kelmarin, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sekatan jalan raya di Selangor, KL dan Putrajaya dilaksanakan sama seperti yang pernah dibuat sebelum ini (Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal Mac lalu). Di mana PDRM tetap akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam penugasan di sekatan jalan raya dan rondaan di tempat awam.

    Di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan khas untuk PKPB, pergerakan di antara daerah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB. Mana-mana pekerja yang perlu melakukan pergerakan antara daerah, perlu menunjukkan pas kerja atau mendapatkan surat kebenaran dari majikan masing-masing. Bagi yang ingin melakukan perjalanan antara daerah bukan atas alasan kerja, perlulah mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak polis terlebih dahulu.

     
     
  • PKPB di S’gor, KL, Putrajaya – Terhad 2 penumpang untuk teksi, e-hailing; stesen minyak dibuka 6am-10pm

    PKPB di S’gor, KL, Putrajaya – Terhad 2 penumpang untuk teksi, e-hailing; stesen minyak dibuka 6am-10pm

    Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 12.01 tengahmalam ini (14 Okt) sehingga 27 Okt 2020, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) untuk dipatuhi oleh orang awam.

    Bagi pengangkutan awam darat termasuk bas, teksi dan perkhidmatan e-hailing, ia dibenarkan beroperasi seperti biasa. Walau bagaimana pun, hanya dibenarkan maksimum dua orang penumpang sahaja bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing, dengan waktu yang dibenarkan iaitu dari jam 6 pagi hingga 12 tengahmalam.

    Untuk kenderaan yang membawa pekerja, mereka boleh membawa penumpang seperti yang telah ditetapkan sebelum ini. Sementara yang berkaitan dengan industri, perniagaan dan kilang dibenarkan melakukan perjalanan antara daerah dan negeri seperti sebelumnya.

    Manakala stesen minyak pula dibenarkan beroperasi dalam waktu yang terhad iaitu dari jam 6 pagi hingga 10 malam, kecuali stesen minyak yang berada di sepanjang lebuhraya yang boleh dibuka 24 jam.

    Bagi mengawal pergerakan, hanya dua individu dalam satu rumah yang sama dibenarkan untuk keluar membeli makanan dan/atau keperluan lain. Manakala pergerakan antara daerah tidak dibenarkan di bawah pelaksanaan PKPB. Mana-mana pekerja yang perlu melakukan pergerakan antara daerah, perlu menunjukkan pas kerja atau mendapatkan surat kebenaran dari majikan masing-masing. Bagi yang ingin melakukan perjalanan antara daerah bukan atas alasan kerja, perlulah mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak polis terlebih dahulu.

     
     
  • Honda City 2020 – 5,000 tempahan diterima sebelum dilancarkan, disasar untuk dijual 3,000 unit sebulan

    Honda City 2020 – 5,000 tempahan diterima sebelum dilancarkan, disasar untuk dijual 3,000 unit sebulan

    Ketika pelancaran Honda City 2020 tadi, Honda Malaysia mengumumkan bahawa sejumlah 5,000 tempahan diterima untuk model berkenaan sehingga hari ini, selepas tempahannya dibuka pada Ogos lalu.

    Pada majlis pelancaran hari ini, tiga varian yang dijana oleh enjin petrol sepenuhnya iaitu Gred S, E dan V sudah pun masuk ke pasaran secara rasmi, manakala varian tertinggi yang digerakkan sistem hibrid e:HEV iaitu City RS hanya akan dijual bermula Januari tahun hadapan.

    Honda Malaysia turut mengumumkan bahawa mereka mensasarkan untuk menjual 3,000 unit sedan segmen-B ini sebulan, dan ia akan meningkat lagi 500 unit iaitu sebanyak 3,500 unit sebulan selepas City RS mula dijual. Ini akan menjadikan sasaran jualan tahunan untuk Honda City berkenaan berjumlah 42,000 unit.

    Honda City 2020 – 5,000 tempahan diterima sebelum dilancarkan, disasar untuk dijual 3,000 unit sebulan

    Untuk versi petrol sepenuhnya, model generasi terkini ini masih dijana enjin 1.5 liter NA, namun telah dikemaskini dengan kepala silinder DOHC i-VTEC berbanding SOHC sebelum ini, menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm. Kuasa hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik.

    Ini membolehkan City S dan E memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 196 km/j. Manakala varian V pula mencatatkan 10.4 saat dalam pecutan sama dan mencapai kelajuan maksima 195 km/j.

    Untuk versi Hybrid RS pula, sistem intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang dibekalkan terdiri dari enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama dua buah motor elektrik, yang membekalkan kuasa 108 PS dan tork maksima 253 Nm.

    Honda City 2020 – 5,000 tempahan diterima sebelum dilancarkan, disasar untuk dijual 3,000 unit sebulan

    Sistem hibrid ini tidak sama seperti sistem hibrid konvensional kerana ia boleh bergerak dengan motor elektrik sepenuhnya sambil enjin petrol hanya mengecas bateri seperti sebuah sistem hibrid range extender, dan ia turut boleh menggunakan kuasa gabungan antara enjin petrol dan juga motor elektrik untuk memacu roda hadapan untuk kelajuan lebih tinggi.

    Jadi dengan kuasa tork 253 Nm dari motor elektrik yang boleh dibekalkan terus dari 0 rpm, Honda City RS ini tidak memerlukan kotak gear untuk bergerak. Pecutan dari 0-100 km/j pula boleh dibuat dalam masa 9.9 saat, manakala kelajuan maksima pula adalah 173 km/j.

    Untuk lebih perincian berkenaan model ini, anda boleh baca laporan penuh pelancarannya pada PAUTAN INI. Manakala untuk mengetahui aksesori yang ditawarkan pula anda boleh baca pada PAUTAN INI.

    Honda City 1.5L RS e:HEV 2020

    Honda City 1.5L V 2020

    Honda City 1.5L E Modulo 2020

     
     
  • Mercedes-Benz EQC 4×4² – konsep EV untuk offroad

    Mercedes-Benz EQC 4×4² – konsep EV untuk offroad

    Pernahkah anda tertanya bagaimana kalau Mercedes-Benz EQC diubah suai menjadi jentera offroad? Bukan kita sahaja yang tertanya soalan ini, malah pengeluar dari Jerman itu juga sama. Jadi, mereka menghasilkan EQC 4×4² ini, yang diberitahu menunjukkan bahawa “cinta kepada pengembaraan boleh digabungkan dengan gaya hidup dan kelestarian.”

    EQC 4×4² dikuasakan oleh tetapan dua motor sama seperti EQC 400 4Matic, dengan kuasa 408 PS (402 hp) dan 760 Nm tork. Jarak badannya dengan tanah kini dua kali ganda lebih tinggi, iaitu 293 mm sekaligus menjadikannya 58 mm lebih tinggi berbanding G-Class. Jarak tinggi dari tanah untuk EQC standard adalah 140 mm.

    Kedudukan yang tinggi ini adalah disebabkan gandarnya telah ditukar kepada jenis portal, iaitu jenis sama yang digunakan pada G 500 4×4² dan E 400 All-Terrain 4×4². Melalui gandar ini, rodanya dapat diletakkan pada paras lebih rendah berbanding bahagian tengah gandar.

    Gandar ini dilekatkan kepada badan menggunakan tapak yang sama dengan suspensi standard, dan menjadikan kemampuan untuk meredah air meningkat menjadi 400 mm berbanding 250 mm bagi kereta standard. Sudut mendongak dan menunduk juga meningkat menjadi 31.8 darjah di hadapan dan 33 darjah di belakang.

    Kedua-dua sudut ini melebihi jumlah yang dicatatkan oleh G-Class, dan EQC 4×4² juga mempunyai sudut breakover yang lebih tinggi, iaitu 24.2 darjah (standard 11.6 darjah). Jarak antara roda kiri dan kanan juga bertambah lebar sebanyak 200 mm, hasil penggunaan rim 20 inci serta tayar 285/50.

    Setakat ini, EQC 4×4² cuma satu projek kajian khas, dan tidak dinyatakan akan dibuat sebagai model produksi atau tidak. Walaubagaimanapun, kita boleh mengatakan bahawa ilmu kejuruteraan yang diperoleh daripada projek ini mungkin boleh digunakan bagi model baru lain.

     
     
  • UIA lancar siri plat nombor khas, bidaan mulai 1 Nov

    UIA lancar siri plat nombor khas, bidaan mulai 1 Nov

    Universiti Islam Antarabangsa (UIA) telah melancarkan siri plat nombor khas yang boleh dibida mulai 1 November 2020. Dengan siri IIUM, siri plat nombor khas ini boleh dibida oleh individu mahu pun syarikat dengan nombor dari 1-9999.

    Bidaan bermula dari RM500 untuk nombor empat digit dan RM1,000 bagi nombor tiga digit, manakala ‘nombor emas’ akan bermula dari RM20,000. Bagi alumni UIA adalah layak untuk mendapat rebat tunai sebanyak 5%. Menurut wakil UIA, pembida yang berjaya akan diberi tempoh selama 12 bulan dari tarikh plat nombor tersebut diluluskan, bagi didaftarkan pada kenderaan.

    Bagi melalui proses bidaan, pembida perlu membuka akaun bank maya, di mana duit pembayaran akan dibayar menerusi transaksi dalam talian; contohnya, pindahan pembayaran sebanyak RM30,000 untuk bidaan yang sama amaun. Ia boleh dilaksanakan sama ada menerusi pembankan Internet, Portal IIUM atau pun pembayaran terus di kaunter bank.

    Apabila pembida seterusnya mengemukakan tawaran yang lebih tinggi, pembida pertama akan mendapat jumlah tawaran asal sebanyak RM30,000 yang akan dikembalikan ke dalam akaun bank maya mereka.

    Setiap pembida mempunyai lima peluang untuk membida dengan dikenakan yuran pertama sebanyak RM30 dan bidaan yang seterusnya hanya RM20 bagi setiap bidaan. Kesemua yuran bidaan tidak akan dikembalikan.

    UIA merupakan universiti awam terbaru yang menawarkan plat nombor siri khas, selepas Universiti Putra Malaysia (UPM) yang baru melancarkan plat nombor khas mereka dengan bidaan bermula 8 Oktober lalu. Sebelum ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga telah mengumumkan bidaan untuk plat nombor khas.

     
     
  • PKPB: KTMB kurangkan perkhidmatan ETS mulai 14-27 Okt; hanya lapan perkhidmatan berbanding 32

    PKPB: KTMB kurangkan perkhidmatan ETS mulai 14-27 Okt; hanya lapan perkhidmatan berbanding 32

    KTM Berhad (KTMB) telah mengumumkan perkhidmatan tren elektrik (ETS) akan dikurangkan mulai 14 hingga 27 Oktober 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, KTMB berkata dalam tempoh tersebut, hanya lapan perkhidmatan ETS yang akan beroperasi setiap hari berbanding 32 sebelum ini. Perkhidmatan tersebut melibatkan perjalanan di antara Stesen Gemas, KL Sentral, Ipoh, Butterworth dan Padang Besar.

    “Penumpang yang mempunyai tiket bertarikh mulai 14 Oktober bolehlah membuat pindaan perjalaan sehingga 31 Disember 2020. Pemulangan tambang penuh akan dikreditkan ke akaun pembeli menerusi KTM Wallet.

    “Sekiranya penumpang ingin meneruskan perjalanan dalam kawasan PKPB, perlulah mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengikut prosedur operasi standard (SOP),” ujar KTMB.

    Untuk pertanyaan lanjut, bolehlah menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari saluran media baharu rasmi KTMB.

     
     
  • Honda City 2020 – pakej Modulo dan aksesori lain

    Honda City 2020 – pakej Modulo dan aksesori lain

    Serentak dengan pelancaran Honda City 2020 hari ini, Honda Malaysia turut melancarkan pakej aksesori asli untuk sedan segmen-B generasi baharu berkenaan. Pakej ini dihasilkan untuk semua varian City yang dijual pada pasaran Malaysia iaitu S, E dan V, serta model tertinggi hibrid RS e:HEV.

    Untuk model-model petrol sepenuhnya, bahagian luaran City berkenaan boleh dipadankan dengan Modulo Package 1.0, yang terdiri dari spoiler bawah pada bampar hadapan dan belakang, skirt sisi dan juga spoiler belakang; kesemua ini dijual pada harga RM4,473. Pakej lengkap berkenaan bersama aksesori lain dipadankan pada City E ketika pelancarannya sebentar tadi.

    Untuk model tertinggi RS, ia turut menerima kelengkapan sama untuk spoiler bawah bampar dan juga skirt sisi, namun tidak diberikan spoiler but. Ini kerana secara standard varian RS telah pun dilengkapkan dengan spoiler berkenaan secara standard dalam kemasa Piano Black. Harga untuk pakej bagi versi RS ini masih belum didedahkan kerana harga untuk kereta tersebut juga belum diumumkan di mana ia hanya akan berada dalam pasaran Januari tahun hadapan.

    Honda City 2020 – pakej Modulo dan aksesori lain

    Honda Malaysia turut memperkenalkan aksesori dalam Urban Package 1.0 untuk City 2020. Ia terdiri dari lampu bahagian kaki, kemasan bendul pintu bernyala, pedal sport aluminium, dan juga visor pintu. Pakej ini dijual pada harga RM1,899.

    Satu lagi pakej aksesori yang ditawarkan untuk City generasi baharu ini adalah Ultility Package. Pakej ini terdiri dari tray untuk ruang but, pelindung badan kereta, pelindung matahari dan juga kemasan reflektif untuk sebelah dalam pintu. Pakej ini berharha RM1,073.

    Akhir sekali ialah Protection Package. Pakej yang bernilai RM3,007 ini akan memberikan pek Ultra Gloss Body Coating, set Ultra Window Coating dan juga nat pengunci untuk rim.

    Honda City generasi baharu ini dijual pada pasaran Malaysia bermula RM74,191 untuk varian asas S, RM81,664 untuk varian E dan RM86,664 untuk varian V – kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tidak termasuk insuran, serta dengan pengecualian cukai jualan 2020.

    Model generasi terkini ini masih dijana enjin 1.5 liter NA, namun telah dikemaskini dengan kepala silinder DOHC i-VTEC berbanding SOHC sebelum ini, menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm. Kuasa hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik. Untuk lebih perincian berkenaan model ini, anda boleh baca laporan penuh pelancarannya pada PAUTAN INI.

    Honda City 1.5L E Modulo 2020

     
     
  • Honda City 2020 generasi kelima dilancarkan — empat varian, RS e:HEV, Honda Sensing; harga dari RM74k

    Honda City 2020 generasi kelima dilancarkan — empat varian, RS e:HEV, Honda Sensing; harga dari RM74k

    Honda Malaysia hari ini secara rasminya memperkenalkan model City 2020 generasi kelima untuk pasaran tempatan. Sebelum ini, kita sudah pernah melihat dengan agak terperinci penawarannya yang paling tinggi, varian 1.5L RS i-MMD yang mana harga jualannya hanya akan diumumkan pada Januari 2021, kerana serahannya juga akan dilakukan tahun depan.

    Ini diikuti oleh varian S (RM74,191.27), E (RM81,664.82) dan V (RM86,561.45) – semua harga ini dengan pengecualian SST hingga 31 Disember 2020. Bermula Januari, harga tanpa pengecualian SST masing-masing adalah seperti berikut; RM76,800 (S), RM84,800 (E) dan RM89,800 (V).

    Honda City generasi kelima ini memiliki ukuran dimensi 4,553 mm panjang, 1,748 mm lebar dan 1,467 mm tinggi. Ini menjadikannya 111 mm lebih panjang, 54 mm lebih lebar dan 10 mm lebih rendah berbanding versinya yang lama. Jarak antara rodanya pula ialah 2,600 mm. Kapasiti ruang barangan di belakang ialah 409 liter bagi varian RS, manakala baki tiga laigi varian mempunyai 519 liter.

    Honda City 2020 generasi kelima dilancarkan — empat varian, RS e:HEV, Honda Sensing; harga dari RM74k

    Bagi aspek luaran, spesifikasinya termasuklah lampu utama LED baru (hanya bagi varian RS dan V), DRL LED serta lampu belakang yang juga dari jenis LED. Varian RS juga datang dengan kit aksesori dalam bentuk gril hitam berkilat, lip depan dengan corak gentian karbon, diffuser pada bampar belakangnya serta perumah cermin sisi dan spoiler belakang juga dalam warna hitam berkilat. Hanya varian RS yang menggunakan rim 16-inci dua-tona, dengan varian lain hanya menggunakan rim warna perak.

    Bagi ruang dalam, rekaan papan pemuka baru menghiasi City 2020 ini seperti yang dapat dilihat pada varian RS. Dengan permukaan bahagian atasnya ringkas, antara sentuhan kelainan diberikan pada reka letak bersegi corong udaranya, yang kini dalam kedudukan menegak. Di bahagian tengah, corong berkenaan mengapit skrin sentuh dalam saiz besar. Di bawahnya pula terletak tombol dan suis kawalan pendingin hawa zon tunggal. Di bawahnya lagi, terdapat soket 12-Volt dan dua slot USB.

    Stereng (electric power steering) pula diberikan balutan kulit dengan jahitan benang merah untuk nampak elegan dan sporty. Ia turut lengkap dengan tombol dan suis kawalan sistem infotainmen dan bantuan pemanduan yang ada. Tidak lupa, varian tertinggi ini juga didatangkan dengan paddle shifter. Butang penghidup enjin pula terletak di sebelah kanan, sedikit di belakang stereng, dalam tona cahaya merah.

    Honda City 2020 generasi kelima dilancarkan — empat varian, RS e:HEV, Honda Sensing; harga dari RM74k

    Panel kluster bagi memaparkan maklumat pemanduan pula terdiri daripada dua meter di kiri dan kanannya, dengan semua paparan digital dan berwarna. Meter di sebelah kanan ialah speedometer, manakala di sebelah kiri memaparkan maklumat dan keadaan bateri serta pengecasannya. Bahagian tengah pula memaparkan status pengaktifan teknologi bantuan pemanduan. Satu lagi peningkatan yang wajar disebut ialah penggunaan brek parkir elektronik pada varian tertinggi ini.

    Tempat duduknya pula menggunakan gabungan material, terdiri daripada kulit (permukaan licin dan juga kesat) yang dilengkapkan juga dengan fabrik. Seperti tema “sport” yang dipotretkan pada varian RS, benang merah digunakan sebagai kontras pada keseluruhan ruang dalamnya.

    City baru ini juga bakal dilengkapi dengan Honda Sensing. Pakej keselamatan berkenaan tidak ditawarkan untuk pasaran Thailand. Malaysia akan jadi pasaran pertama yang menerima sistem itu untuk model City. Varian RS akan menerima ciri keselamatan berkenaan yang terdiri daripada fungsi-fungsi seperti berikut:

    • Adaptive Cruise Control (ACC)
    • Collision Mitigation Braking System (CMBS)
    • Forward Collision Warning (FCW)
    • Lane Keeping Assist System (LKAS)
    • Road Departure Mitigation (RDM)
    • Lane Departure Warning (LDW)
    • Auto High-Beam (AHB)

    Sistem Honda Sensing menampilkan sebuah kamera di depan untuk mengesan sitausi serta pejalan kaki atau penunggang basikal. Model ini juga akan menerima sistem kamera sisi Honda LaneWatch. Ciri ini akan ditawarkan bermula satu varian di bawah RS, iaitu V Grade, sama seperti penawaran untuk model HR-V sebelum ini – walaupun SUV kompak itu tidak dilengkapi Honda Sensing.

    Pilihan warna luaran kereta ini juga telah didedahkan, ada lima semuanya – Modern Steel Metallic, Passion Red Pearl, Platinum White Pearl, Crystal Black Pearl dan Lunar Silver Metallic. Malaysia akan jadi negara pertama yang menawarkan City dalam sistem janaan kuasa i-MMD hibrid, yang sebelum ini pernah ditawarkan pada Jazz terlebih dahulu.

    Sistem i-MMD berkenaan menampilkan enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran Atkinson berkuasa 98 PS (pada 5,600-6,400 rpm) dengan 127Nm tork (pada 4,500-5,000 rpm) yang digandingkan dua motor elektrik (menjana 109 PS (dari 3,500-8,000 rpm) dan 253 Nm (dari 0-3,000 rpm). Untuk ini, versi RS mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 9.9 saat dengan laju maksimum 173 km/j. Kadar penggunaan minyak pula ialah 3.77 L/100 km. Transmisi pula menggunakan e-CVT.

    Bagi tiga varian lain – S, E dan V – City 2020 menerima enjin 1.5 liter petrol konvensional, tetapi tidak sama dengan unit yang ada pada model generasi sebelumnya. Ia kini dikemaskini dengan kepala silinder aci sesondol berkembar (DOHC i-VTEC) yang menjana sebanyak 121 PS pada 6,600 rpm dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm.

    Kuasa disalurkan ke roda depan melalui transmisi CVT. Bagi varian V pula, ia mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 10.4 saat (laju maksimum 195 km/j), manakala bagi S dan E dalam masa 10.2 saat (laju maksimum 196 km/j).

    Selain itu, dua varian teratas Honda City 2020 ini dilengkapi dengan enam beg udara, manakala dua varian paling bawah hanya ada empat beg udara. Semua varian bagaimanapun datang lengkap dengan ciri kestabilan VSC. Tidak lupa, City terbaru ini juga telah menerima penarafan lima-bintang bagi ujian ASEAN NCAP.

    Model ini juga didatangkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, dengan kos buruh percuma bagi lima kali servis dalam tempoh lima tahun atau 100,000 km. Bagi varian RS, bateri Lithium-ion bagi sistem hibridnya diberi jaminan lapan-tahun tanpa had perbatuan.

    Honda City 1.5L RS e:HEV 2020

    Honda City 1.5L V 2020

    Honda City 1.5L E Modulo 2020

     
     
  • Aprilia RS660 mula dijual di Eropah – harga RM54k

    Aprilia RS660 mula dijual di Eropah – harga RM54k

    Hujung tahun lepas, Aprilia telah mendedahkan sebuah model sportbike kelas pertengahan baru yang dinamakan sebagai RS660. Sekarang, ia sudah memasuki pasaran di Eropah dengan harga 11,050 euro (RM54,169) dan jualan di beberapa negara lain juga sudah dimulakan.

    Model ini mewarisi banyak rekaan daripada RSV4, dengan lampu hadapan tiga LED serta lampu siang, fairing penuh sampai ke bawah dan bahagian belakang yang tajam. Walaupun nampak agresif, Aprilia mendakwa RS660 masih sesuai untuk dibawa atas jalan biasa dengan pemegang yang diletakkan atas daripada steering plate dan tempat letak kaki yang tidak terlalu menolak penunggang ke hadapan.

    Casis motosikal ini dijadikan lebih ringan dengan penggunaan kerangka serta lengan ayun aluminium, manakala suspensi pula terdiri daripada fork 41 mm Kayaba yang boleh dilaras di hadapan serta monoshock di belakang. Brek adalah daripada Brembo, dengan unit cakera berkembar 320 mm serta angkup empat piston di hadapan.

    Selain daripada pendikit ride-by-wire, RS660 juga didatangkan terus dengan pelbagai sistem elektronik termasuk Aprilia Traction Control, Aprilia Wheelie Control, Aprilia Cruise Control, Aprilia Quick Shift (naik dan turun), Aprilia Engine Brake, Cornering ABS serta pilihan lima mod tunggangan (tiga untuk atas jalan biasa dan dua lagi untuk atas litar). Panel instrumen menggunakan unit TFT yang boleh disambung dengan aplikasi telefon pintar.

    Tiga warna disediakan untuk Aprilia RS660 ini iaitu Acid Gold, Lava Gold dan Apex Black. Sekiranya pemilik mahu menggunakannya untuk perlumbaan, pelbagai aksesori prestasi disediakan oleh Aprilia termasuk sistem ekzos lengkap Akrapovic berserta pemetaan dan perisian yang membolehkan penukaran gear jenis GP.

     
     
  • Volkwagen Passat R Line 2020 untuk pasaran Malaysia bakal dilancarkan secara dalam talian pada 14 Okt ini

    Volkwagen Passat R Line 2020 untuk pasaran Malaysia bakal dilancarkan secara dalam talian pada 14 Okt ini

    Selepas dibuka tempahan untuk pasaran Malaysia sejak 12 Ogos yang lalu, Volkswagen Passat R-Line 2020 bakal dilancarkan secara dalam talian (online) pada 14 Oktober ini, jam 12 tengahari, yang akan disiarkan secara langsung menerusi YouTube dan Facebook rasmi Volkswagen Passenger Cars Malaysia.

    Harga yang dijangka adalah sekitar antara RM200,000 dan RM210,000, sebagai perbandingan, Passat dengan varian Elegance ditawarkan pada harga RM182,879 dan Arteon R-Line pula berharga RM221,065. Ia turut ditawarkan dengan waranti selama lima-tahun dengan perbatuan tanpa had, serta tiga-tahun servis percuma dan lima-tahun bantuan tepi jalan percuma.

    Passat R-Line dikuasakan oleh enjin turbo 2.0TSI baharu yang mampu menjana 190 PS dari 4,180 rpm hingga 6,000 rpm dan tork 320 Nm dari 1,500 rpm hingga 4,180 rpm. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar basah direct shift (DSG) tujuh-kelajuan yang baharu dan telah ditambah baik, yang turut boleh dikawal menerusi pedal penukar gear.

    Bagi imej luarannya, Passat R Line ini ditampilkan dengan kemasan yang sporty termasuk dengan lampu utama dan lampu belakang unit LED, padanan bampar hadapan dan belakang R-Line baharu, lencana sisi R-Line, kemasan krom dan rim aloi Verona bersaiz 19-inci (varian Elegance dengan set 18-inci). Selain itu, kelihatan corong pengambilan udara hadapan yang lebih besar dengan sudut berbentuk-C kemasan hitam berkilat serta skirt sisi yang lebih kedalam.

    Menjengah bahagian kabinnya, Passat R Line dilengkapi dengan penggunaan kulit Nappa hitam gayaan karbon pada tempat duduk, stereng dan pedal sport aluminium. Malah ia turut didatangkan dengan sistem infotainmen Discover Pro Volkswagen bersama skrin sentuh bersaiz 9.2-inci.

    Ciri-ciri lain termasuklah kawalan suara, gestur, skrin yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian dan bersama ketersambungan Wireless App-Connect dengan Apple Car Play. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu tiga-zon, cermin pandang belakang anti-silau, kawalan kelajuan, sistem audio dengan lapan-pembesar suara dan kamera undur.

    Bagi varian R-Line ini, ia juga hadir dengam peredam adaptif Dynamic Chassis Control (DCC) dan XDS electronic differential lock. Bagi aspek keselamatan pula, R-Line dilengkapi dengan enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, pemantauan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang, sistem pemantauan tekanan tayar dan cagak ISOFIX untuk tempat duduk belakang.

    Kita akan mengetahui perincian lengkap dan harga rasmi jentera ini apabila ia dilancarkan esok. Jangan lupa bersama-sama kita menyaksikan pelancaran Passat R Line 2020 secara dalam talian esok ya.

    GALERI: Volkswagen Passat R-Line 2020 yang dipertontonkan di Malaysia

     
     
  • Honda Accord facelift 2021 didedahkan di Amerika – rupa lebih segar dengan tingkat taraf kelengkapan

    Honda Accord <em>facelift</em> 2021 didedahkan di Amerika – rupa lebih segar dengan tingkat taraf kelengkapan

    Kita baru saja menerima Honda Accord generasi ke-11 awal tahun ini. Namun untuk peringkat global, Accord berkenaan sudah pun muncul dalam versi facelift, didedahkan buat pertama kali untuk pasaran Amerika Syarikat dan bakal dihantar ke pelanggan bermula bulan ini. Selain dari rupa yang disegarkan, sedan segmen-D ini turut diberikan tingkat taraf pada berberapa kelengkapan.

    Jika anda lihat dengan teliti, muka Accord ini telah diberikan gril rekaan baharu yang nampak lebih lebar bersama tiga jalur krom pada gril bawah. Menurut Honda, rekaan ini bukan sahaja memberikan rupa yang lebih sofistikated, namun ia juga dihasilkan bagi membolehkan radar untuk sistem Honda Sensing beroperasi dengan lebih berkesan.

    Lampu hadapan Accord ini yang nampak seakan sama juga sebenarnya telah diolah semula untuk dipadankan dengan rekaan gril baharu, dan ia memberikan suluhan lebih jauh untuk lampu rendah serta lebih lebar untuk lampu tinggi. Lampu kabus yang sebelum ini direka melintang kini tampil lebih bulat dengan perumah sekeliling yang nampak terbenam pada bampar berkenaan.

    Honda Accord <em>facelift</em> 2021 didedahkan di Amerika – rupa lebih segar dengan tingkat taraf kelengkapan

    Untuk model dengan kemasan Sport, elemen krom gelap diberikan pada gril hadapan, bersama rona hitam berkilat untuk cermin sisi, spoiler but belakang dan juga antena sirip yu. Tiga rekaan rim baharu diperkenalkan dalam saiz 17- atau 19-inci, yang akan dipadankan berdasarkan tahap kemasan yang dipilih.

    Tiada perubahan besar diberikan pada bahagian kabin Accord 2021 ini. Rekaan asas papan pemuka masih lagi sama seperti sebelumnya tetapi diberikan berberapa peningkatan. Kesemua varian kemasan kini diberikan pemain utama Display Audio dengan skrin lapan-inci menyokong Apple Carplay dan Android Auto, namun hanya varian EX-L dan Touring diberikan sambungan tanpa wayar untuk fungsi tersebut.

    Perubahan kecil lain termasuk posisi port USB hadapan yang diubah ke konsol tengah bagi memudahkan akses, dua port USB pada baris kedua untuk kemasan Sport dan ke atas, dan juga pengingat pemakaian tali keledar untuk semua tempat duduk pada semua varian.

    Honda Accord <em>facelift</em> 2021 didedahkan di Amerika – rupa lebih segar dengan tingkat taraf kelengkapan

    Bagi sistem keselamatan pula, pakej bantuan pemanduan Honda Sensing yang dibekalkan adalah versi yang ditingkat taraf di mana model Touring dan Hybrid Touring hadir dengan sistem Kawalan Brek Kelajuan Rendah. Sistem ini akan memberikan amaran kepada pemandu atau memberikan bantuan brek automatik bagi mengelakkan pelanggaran apabila ia mengesan objek solid dalam kelajuan rendah, contohnya ketika memarkir kenderaan.

    Kemudian untuk Adaptive Cruise Control pula, ia telah ditala semula bagi memberikan brek yang lebih lancar dan lembut ketika ia mengekori kenderaan di hadapan, manakala Lane Keeping Assist pula mampu untuk mengekalkan kenderaan untuk bergerak di tengah lorong dengan rasa yang lebih semula jadi. Juga, kawalan pada roda stereng dan papan pemuka untuk kedua-dua sistem kini menggunakan ikon standard-industri.

    Bagi model 2021 ini juga kemasan EX telah digugurkan dan digantikan dengan kemasan Sport SE. Varian ini bersama varian Sport dibezakan dengan varian lain menerusi pemadanan spoiler belakang, rim 19-inci rekaan tersendiri, lampu kabus LED, dan juga tip ekzos krom. Secara keseluruhan, 10 kemasan untuk Accord 2021 ditawarkan di pasaran Amerika Syarikat iaitu LX, Sport, Sport SE, EX-L, Sport 2.0T, Touring, Hybrid, Hybrid EX, Hybrid EX-L dan Hybrid Touring.

    Honda Accord <em>facelift</em> 2021 didedahkan di Amerika – rupa lebih segar dengan tingkat taraf kelengkapan

    Tiada perubahan untuk sistem mekanikal Accord yang disegarkan ini. Model asas LX hingga EX-L dijana oleh enjin 1.5 liter empat-silinder VTEC Turbo berkuasa 192 hp dan tork maksima 260 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT. Model Sport 2.0T dan Touring pula menerima enjin 2.0 liter VTEC Turbo berkuasa 252 hp dan tork maksima 370 Nm, digandingkan dengan kotak gear 10-kelajuan automatik.

    Manakala untuk semua varian Hybrid, ia diberikan sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) Honda dengan dua motor elektrik. Ia terdiri dari gandingan enjin 2.0 liter empat-silinder kitaran Atkinson bersama motor elektrik bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 212 hp dan 315 Nm. Varian-varian ini juga diberikan serlahan-serlahan biru pada bahagian luar bersama lencana-lencana Hybrid.

     
     
  • Mitsubishi Eclipse Cross facelift – risalah jualan bocor

    Mitsubishi Eclipse Cross facelift – risalah jualan bocor

    Setelah tiga tahun berada di dalam pasaran, Mitsubishi Eclipse Cross nampaknya sudah bersedia untuk diberikan facelift tidak lama lagi. Kewujudan model yang dipertingkat ini telah diberitahu melalui satu gambar teaser yang disiarkan bulan lepas, tetapi kini kita boleh melihat rupa sebenarnya apabila risalah jualan dibocorkan oleh laman automotif dari Spain, Cochespias.

    Kedua-dua bahagian hadapan dan belakang mendapat pembaharuan gaya, dengan muka yang mendapat elemen daripada model konsep terbaru seperti Engelberg Tourer/e-Yi dan e-Evolution. Selain gril, gugusan lampu juga adalah baru dengan yang terletak di atas adalah DRL LED sementara lampu utama di bahagian bawah – seperti Xpander.

    Bampar SUV ini menggunakan warna yang sama seperti badannya termasuk pada skid plate dan kemasan plastik baru di bahagian tepi. Perubahan di bahagian belakang adalah lebih ketara kerana lampunya tidak lagi menggunakan jalur yang bersambung di bahagian tengah, dan tiada lagi cermin yang terpisah dua.

    Ia diganti dengan lampu berbentuk L biasa (menyerupai Xpander) dan juga cermin yang terdiri daripada satu unit sahaja. Bentuk bampar masih lagi sama tetapi diwarnakan sama seperti badan dan diffuser mempunyai tiga kemasan (model sebelumnya cuma dua). Melengkapkan penampilannya adalah rim rekaan seperti turbin.

    Eclipse Cross facelift ini nanti juga akan hadir dalam versi plug-in hybrid tetapi perinciannya masih lagi belum disiarkan. Kita boleh menjangka ia akan menggunakan teknologi sama seperti Outlander PHEV, yang mana versi terbaru digerakkan oleh enjin 2.4 liter, dua motor elektrik, bateri 20 kWh dan jarak gerak elektrik yang dikatakan boleh mencecah 70 km.

     
     
  • Subaru WRX STI Travis Pastrana untuk Gymkhana 11 didedahkan – badan karbon sepenuhnya, kit aero gila!

    Subaru WRX STI Travis Pastrana untuk Gymkhana 11 didedahkan – badan karbon sepenuhnya, kit aero gila!

    Awal tahun ini, Hoonigan telah mengumumkan siri video Gymkhana terbaharu mereka iaitu Gymkhana 11 tidak lagi akan menggunakan jentera Ford, dan mereka akan kembali menggunakan Subaru WRX STI seperti video pertamanya pada tahun 2008. Namun seperti yang diberitahu, untuk video baharu ini ia tidak menampilkan Ken Block sebagai pemandu, dan buat pertama kali Gymkhana akan diterajui oleh bintang Nitro Circus, X-Games dan Juara empat kali Rally America, Travis Pastrana.

    Seperti jentera-jentera ralinya yang lain, Subaru WRX STI yang akan dipandunya dalam video Gymkhana 11 ini dihasilkan oleh pasukan yang mengendalikan Subaru Rally Team America iaitu Vermont SportsCar. Projek ini disokong sepenuhnya oleh Subaru of America, dan Pastrana masih dinamakan sebagai mewakili Subaru Motorsport USA.

    Menurut Subaru, selain dari membawa semula nama jenama tersebut seperti dua siri pertama dalam video berkenaan, Pastrana bakal membawa konsep baharu pada video kali ini dan ia akan menyajikan aksi yang tidak pernah dibuat oleh jentera-jentera Gymkhana sebelum ini.

    Subaru WRX STI Travis Pastrana untuk Gymkhana 11 didedahkan – badan karbon sepenuhnya, kit aero gila!

    Jentera baharu berkenaan diasaskan dari model produksi Subaru WRX STI yang diubahsuai dengan badan gentian karbon sepenuhnya, kit aero agresif menampilkan badan lebih lebar bersama spoiler gergasi di belakang, suspensi dengan strok yang panjang seperti kereta rali dan ruang dalaman spesfikasi perlumbaan.

    Enjin boxer empat silinder turbo pada WRX STI ini juga telah dibina semula dan menampilkan muncung ekzos yang keluar terus dari penutup ruang enjin, namun spesifikasi serta angka kuasanya masih belum diumumkan.

    “STI ini sukar untuk dipercayai. Kami tak pernah dapat peluang untuk melakukannya sebelum ini, iaitu untuk membina sebuah kereta tanpa sebarangan kekangan. Enjin, suspensi, aero-segalanya tidak terhad, kertas kosong. Ia laju gila, mudah untuk dikendali dan boleh menggelangsar dan ia adalah ujian keluar dari kotak yang sempurna. Gymkhana adalah cabaran baru untuk saya tetapi saya mahu naikkan tahapnya, dan ini adalah kereta untuk melakukannya,” kata Travis Pastrana.

    Subaru WRX STI Travis Pastrana untuk Gymkhana 11 didedahkan – badan karbon sepenuhnya, kit aero gila!

    “Ketika kami bawa Subaru kembali ke Gymkhana, kami tahu kami perlu membina sesuatu yang hebat. Travis sentiasa mahu melakukan yang terhebat, jadi kami tahu dari awal kami tak akan lakukannya dengan kereta rali atau rallycross. Ini adalah peluang untuk kami menunjukkan apa yang boleh dibuat dengan STI, dan hasilnya akan ditunjukkan sendiri,” kata pengurus sukan bermotor Subaru of America, Willian Stokes.

    Tiada tarikh sebenar yang diumumkan bila video sebenar Gymkhana 11 ini akan disiarkan, namun menurut pengumuman sebelum ini ia akan disiapkan dalam tahun ini juga.

     
     
  • KTMB memperkenalkan helmet pengimbas suhu yang dipakai oleh Polis Bantuan yang meronda di stesen

    KTMB memperkenalkan helmet pengimbas suhu yang dipakai oleh Polis Bantuan yang meronda di stesen

    Baru-baru ini, KTM Berhad (KTMB) telah memperkenalkan helmet pengimbas suhu bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Ia adalah tambahan kepada kaedah sedia ada seperti pengimbas suhu di stesen, hand sanitizer dan sanitasi tren.

    Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasminya, KTMB memaklumkan, helmet pengimbas suhu ini dipakai oleh anggota Polis Bantuan (PB) yang membuat rondaan di stesen tren bagi mengesan penumpang bergejala melalui alat teknologi canggih itu.

    “Diharap dengan kaedah-kaedah yang dilaksanakan itu akan dapat meningkatkan keyakinan para penumpang untuk menggunakan perkhidmatan KTMB. Penggunaan helmet ini masih di peringkat percubaan bagi menilai keberkesan dan kesesuaian kepada anggota PB,” ujar KTMB.

    Nampaknya kaedah yang dilaksanakan oleh KTMB ini memang cukup sesuai dengan keadaan semasa, apatah lagi kita semua sedang berusaha untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19. Mungkin ada individu yang terlepas untuk mengimbas suhu badan di pintu masuk stesen. Justeru, dengan kaedah ini diharap dapat memantau situasi semasa dengan lebih berkesan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025