Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jualan kenderaan Q1 2020 vs Q1 2019 di Malaysia – bagaimanakah kesan daripada pandemik Covid-19?

    Jualan kenderaan Q1 2020 vs Q1 2019 di Malaysia – bagaimanakah kesan daripada pandemik Covid-19?

    Siapa sangka, tahun 2020 tidak bermula dengan begitu baik. Covid-19 yang mulanya merebak dalam satu negara sahaja kemudiannya menular menjadi satu pandemik di seluruh dunia. Bagi mengekang penyebarannya, kawalan pergerakan dilaksana termasuk di Malaysia bermula Mac lalu, namun ia turut memberi kesan buruk terhadap ekonomi yang bergerak perlahan. Melalui nombor yang ada ini kita boleh melihat kesannya kepada jualan kenderaan.

    Apabila dibandingkan jumlah industri keseluruhan (TIV) bagi tempoh yang sama tahun lepas, ia telah menurun 25.61%, daripada 143,064 kepada 106,428 unit. Kesannya sangat jelas sehinggakan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah merujuk kembali sasaran jualan 2020 dengan sekarang meletakkannya pada 400,000 (sebelum ini 607,000). Jika betullah tidak banyak kenderaan yang dapat dijual tahun ini, ia adalah kali pertama dalam tempoh 13 tahun TIV gagal mencapai tahap 500,000 unit.

    Seperti yang boleh dijangka, kebanyakan syarikat kenderaan mencatat jualan yang rendah berbanding suku pertama (Q1) tahun lepas, termasuklah Perodua yang berada di kedudukan paling atas. Jualan pengeluar kenderaan nasional ini menurun daripada 60,659 kepada 44,977 unit, bersamaan 25.85%. Walaupun begitu, perkongsian pasaran Perodua cuma menurun 0.1% menjadi 42.3%.

    Jualan kenderaan Q1 2020 vs Q1 2019 di Malaysia – bagaimanakah kesan daripada pandemik Covid-19?

    Salah satu syarikat yang mencatat peningkatan adalah Proton, di mana jualan kenderaan mereka naik hampir 20% daripada 18,281 unit kepada 21,757. Perkongsian pasaran pula meningkat daripada 12.8% kepada 20.4% – sekarang adalah lebih tinggi daripada jumlah Honda dan Toyota apabila digabungkan.

    Honda terus berada di kedudukan ketiga, meskipun cuma menjual 1,759 buah kenderaan pada bulan Februari. Tapi pada bulan Mac, ia kembali naik menjadi 3,281 unit, hasil pelancaran model Accord serta Civic facelift baru dan melebihi jumlah jualan Toyota serta Proton. Walaupun begitu, apabila melihat kepada jualan bagi tempoh Q1 2020, jumlah 11,190 unit yang dicatat cumalah separuh berbanding Q1 2019. Perkongsian pasaran pula menurun daripada 15.5% kepada 10.4%.

    Toyota yang berada di kedudukan bawahnya mencatat penurunan jualan sebanyak 24.1%, menjadi 10,415 unit tetapi perkongsian pasaran naik sebanyak 9.8%. Bagi Nissan pula, jualan Q1 2020 menurun sebanyak 46.83% berbanding tahun lepas dan cuma mencatat 2,727 unit. Ini cuma lebih sedikit sahaja berbanding Mazda yang berada di tangga keenam dengan catatan 2,723 unit (turun 17.7% berbanding Q1 2019).

    Jualan kenderaan Q1 2020 vs Q1 2019 di Malaysia – bagaimanakah kesan daripada pandemik Covid-19?

    Satu lagi jenama Jepun iaitu Mitsubishi mencatat penurunan jualan 22.35%, bersamaan 1,765 unit. Perkongsian pasaran jenama ini bagaimanapun meningkat sedikit menjadi 1.7% dan melebihi BMW dan Mercedes-Benz. Untuk jenama Korea, Hyundai naik sedikit menjadi 603 unit manakala jualan Kia menurun 74.89% menjadi cuma 333 unit.

    Sekarang ini agak sukar untuk memerhati jumlah jualan segmen premium kerana BMW dan Mercedes-Benz cuma mengeluarkan angka mereka tiga bulan sekali. Dengan suku pertama sudah berakhir, kini kita boleh melihat sebenarnya BMW sudah berjaya mengatasi Mercedes-Benz dengan masing-masing mencatat 1,600 dan 1,342 unit. Ini bersamaan dengan penurunan masing-masing 37.62% dan 55.53%.

    Jumlah jualan Audi masih belum diperolehi, jadi jenama premium yang seterusnya adalah Volvo, di mana jualan mereka turun 14.65% menjadi 367 unit. Lexus mencatat peningkatan positif sebanyak 17.48% iaitu 168 unit sementara Porsche juga turut menunjukkan peningkatan sebanyak 61.9%, bersamaan 68 unit.

     
     
  • Proton X90 tujuh tempat duduk berdasarkan Geely Haoyue VX11 – pilih model ini atau MPV Jiaji VF11?

    Proton X90 tujuh tempat duduk berdasarkan Geely Haoyue VX11 – pilih model ini atau MPV Jiaji VF11?

    Geely baru saja mendedahkan SUV tiga barisan tempat duduk saiz besar dikenali dengan nama Haoyue. Model ini diposisikan untuk bersaing dengan SUV lain seperti Hyundai Santa Fe, Mazda CX-8 dan bahkan Toyota Land Cruiser Prado.

    Selain pasaran China, Haoyue juga dijangka akan dijual di pasaran utama lain seperti Eropah. Tetapi, SUV flagship paling besar yang pernah dihasilkan oleh Geely ini juga khabarnya akan memasuki pasaran ASEAN. Kemungkinan ini menarik perhatian ramai orang, tentunya. Jadi, Theophilus Chin cuba membayangkan bagaimana rupa model berkenaan jika ia bakal dikeluarkan oleh Proton.

    Imej rendering ini nampak meyakinkan. Elemen khusus Proton, misalnya gril “infinite weave” serta logo baru Proton dikenakan padanya. Di belakang, nama Proton terletak pada bahagian bawah kemasan krom – pada Haoyue, lencana Geely ditekap di atas kemasan krom berkenaan.

    Selain daripada warna merah baru, selebihnya kekal dengan ciri dan rekaan SUV sebenar yang menjadi asasnya. Ciri lain antaranya termasuk lampu utama LED dengan DRL LED dalam bentuk L, lampu kabus LED, rim aloi 18-inci, lampu belakang LED, landasan pada bumbung dan bumbung panoramik luas.

    Proton X90 tujuh tempat duduk berdasarkan Geely Haoyue VX11 – pilih model ini atau MPV Jiaji VF11?

    Di dalam, SUV saiz besar ini memberi keutamaan kepada praktikaliti dan keselesaan penggunaan. Sebagai contoh, ruang kargo yang tersedia ialah 2,370 liter (dengan kerusi dilipat) bagi mereka yang memilih versi lima tempat duduk. Model tujuh tempat duduk pula masih lagi luas, dengan ruang kargo 2,050 liter jika kerusi barisan kedua dan ketiga dilipat.

    Head unit dengan skrin saiz tablet, kawalan pendingin empat-zon serta corong pendingin hawa di barisan kedua antara yang melengkapinya. Hoayue bukanlah satu-satunya kenderaan tujuh tempat duduk yang ditawarkan oleh Geely.

    Tahun lalu, MPV Jiaji diperkenalkan, dan dengan segera disangka akan menjadi model Proton seterusnya nanti. Ia mempunyai dimensi 4,706 mm panjang, 1,909 mm lebar dan 1,690 mm tinggi – ini 100 mm lebih panjang dan lebar daripada Proton Exora, dengan ketinggian hampir sama.

    Kedua-dua model Haoyue dan Jiaji berkongsi enjin turbocas yang sama. Versi paling asas menggunakan enjin 1.5 liter tiga-silinder petrol, menghasilkan 174 hp dan 255 Nm tork. Sementara unit lebih besar, 1.8 liter empat-silinder menjana 181 hp dan 300 Nm tork. Transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan akan melengkapi hampir semua varian, dengan Jiaji tetap didatangkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Proton X90 tujuh tempat duduk berdasarkan Geely Haoyue VX11 – pilih model ini atau MPV Jiaji VF11?

    Model Jiaji paling lengkap adalah dari varian plug-in hybrid, dengan kuasa daripada enjin 1.5 liter dengan ciri elektrifikasi. Output keseluruhan sistemnya ialah 255 hp dan 385 Nm, dengan penggunaan petrol hanya 1.6 liter per 100 km, jarak perjalanan elektrik sepenuhnya 56 km, dan boleh dicas dalam masa 90 minit menggunakan pengecas pantas DC.

    Di China, Jiaji dijual pada harga bermula 99,800 yuan (RM61k) hingga 148,800 yuan (RM91k). Sebagai perbandingan, Boyue (X70 di sini) bermula pada harga lebih rendah, 88,800 yuan (RM55k). Tetapi jurang harga berbanding versi tertingginya lebih jauh, dengan Boyue paling lengkap berharga 159,800 yuan (RM98k).

    Harga bagi Geely Haoyue pula belum diumumkan, tetapi media China melaporkan SUV berkenaan tidak akan dijual melebihi 150,000 yuan (RM92k). Jika ini benar, maka harganya tidak jauh berbeza dari Jiaji, walaupun model paling asas Hoayue dijangka lebih mahal. Antara SUV Haoyue dan MPV Jiaji, mana satu yang akan anda pilih?

     
     
  • Pusat servis dan jualan Toyota, Lexus mula buka 4 Mei

    Pusat servis dan jualan Toyota, Lexus mula buka 4 Mei

    UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) mengumumkan rangkaian cawangan rasmi pusat jualan dan servis Toyota dan Lexus yang berada di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan mula beroperasi bermula 4 Mei 2020.

    Pembukaan cawangan jualan dan servis ini selari dengan kelulusan yang diperolehi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta pihak berkuasa tempatan yang terlibat. Semua cawangan telah menerima garis panduan bagi operasi harian yang wajib dipatuhi, bersekali dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh MITI.

    SOP berkenaan memerlukan amalan penjarakkan sosial, pembasmian kuman di premis serta urusan tanpa sentuhan antara individu sekiranya boleh. Untuk itu, pelanggan dinasihatkan supaya memastikan terlebih dahulu waktu dan hari operasi bagi cawangan rasmi pusat jualan dan servis yang berkaitan untuk membuat temujanji.

    Pusat servis dan jualan Toyota, Lexus mula buka 4 Mei

    “Kami akan mengikut panduan serta SOP yang gariskan dengan ketat di semua cawangan-cawangan rasmi yang mula beroperasi untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pelanggan dan juga pekerja. Diharapkan para pelanggan dapat memahami keperluan yang diambil ini bagi menjamin kepentingan dan keselamatan umum,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, K. Ravindran.

    Berkenaan kenderaan-kenderaan yang dibeli daripada UMWT atau pengedar rasmi yang mana jaminannya tamat di dalam tempoh PKP, lanjutan 30 hari akan diberikan bermula dari tarikh akhir pelaksanaan PKP (ketika ini dijangka pada 12 Mei 2020). Untuk sebarang pertanyaan, pelanggan boleh menghubungi talian 1800-8-TOYOTA (869682).

     
     
  • Rapid KL menawarkan tempoh tambahan 15 hari secara percuma buat pengguna pas My100 dan My50

    Rapid KL menawarkan tempoh tambahan 15 hari secara percuma buat pengguna pas My100 dan My50

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah mengumumkan pemberian tempoh tambahan 15 hari secara percuma buat semua pengguna pas My100 dan My50 yang memperbaharui pas tamat tempoh, atau membeli pas baharu. Ia adalah sebagai tanda prihatin terhadap pengguna terbabit yang tidak dapat terus menggunakan pas perjalanan tanpa had mereka sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac 2020 yang lalu.

    “Kepada para pengguna yang akan memperbaharui pas yang telah tamat tempoh atau akan membeli pas baharu bermula hari ini sehingga 31 Mei 2020, kami akan memberikan penambahan 15 hari secara percuma kepada anda. Jadi, secara keseluruhan, anda akan mendapat perjalanan tanpa had selama 45 hari dengan harga yang sama.

    “Pembaharuan pas tersebut boleh dilakukan di semua Kaunter Khidmat Pelanggan stesen LRT (Transit Aliran Ringan), MRT (Transit Aliran Massa), Monorel, BRT (Bas Rapid Transit) dan hab bas terpilih,” ujar Muhammad Nizam Alias, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana.

    Pas My100 memberi akses tanpa had untuk perkhidmatan monorel, LRT, MRT, BRT Laluan Sunway, bas perantara MRT dan semua bas ganti-ganti Rapid KL, dengan hanya membayar RM100 untuk tempoh perjalanan selama 30 hari.

    Manakala pakej My50, yang berharga RM50 untuk tempoh 30 hari pula, memberikan penggunaan tanpa had untuk semua perkhidmatan bas Rapid KL, yang beroperasi di lebih 180 laluan di seluruh Lembah Klang dan Selangor, serta perkhidmatan bas perantara MRT.

    Beliau turut berkata, bagi memastikan kelancaran pembaharuan pas perjalanan ini, pihak Rapid KL akan menempatkan penambahan kakitangan di stesen-stesen yang sesak. “Sebagai langkah keselamatan, kami menyeru agar pengguna pengangkutan awam sentiasa memakai penutup mulut dan hidung, menjaga kebersihan diri serta sentiasa menjaga jarak sosial ketika berada di tempat awam,” tambahnya lagi.

    Untuk sebarang pertanyaan dan maklum balas berkenaan pas My100 atau My50, anda boleh merujuk kepada kakitangan Rapid KL di stesen atau hab bas, media sosial Rapid KL atau layari www.myrapid.com.my.

     
     
  • PKP: PDRM umum jadual pergerakan rentas negeri; permohonan Gerak Malaysia sah untuk dua hari

    PKP: PDRM umum jadual pergerakan rentas negeri; permohonan Gerak Malaysia sah untuk dua hari

    Seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Mei lalu, pergerakan rentas negeri iaitu memberikan kebenaran kepada orang ramai yang berada di kampung halaman untuk pulang ke kediaman masing-masing akan bermula dari 7 hingga 10 Mei ini.

    Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, pula berkata, orang ramai yang memohon kebenaran untuk pergerakan rentas negeri menerusi Gerak Malaysia perlulah mengemaskini aplikasi terbabit bermula 4 hingga 5 Mei, ke versi terkini untuk maklumat destinasi. Di mana proses analisis maklumat pergerakan adalah pada 6 Mei.

    Bagi kelancaran perjalanan, pihaknya juga telah mengeluarkan jadual pergerakan mengikut tarikh dan negeri di Semenanjung Malaysia. Di mana pemohon yang bergerak dari Kuala Lumpur, dibenarkan untuk melakukan perjalanan pada 7 Mei.

    Manakala pada 8 Mei pula, adalah bagi pemohon yang bergerak dari Perak, Johor dan Kelantan. Untuk yang bergerak dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang pula dibenarkan melakukan perjalanan pada 9 Mei. Dan pada 10 Mei pula, untuk pemohon yang bergerak dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

    PKP: PDRM umum jadual pergerakan rentas negeri; permohonan Gerak Malaysia sah untuk dua hari

    “Perlu diingatkan bahawa pergerakan untuk pulang ke kediaman masing-masing ini dilakukan pada hari yang telah ditetapkan sahaja. Selain itu, permohonan Gerak Malaysia ini juga sah digunakan dalam tempoh dua hari bermula pada tarikh yang diberi mengikut negeri.

    “Contohnya anda terkandas di Perak, manakala keluarga pula terkandas di Pahang. Rumah dan tempat kerja pula di Kuala Lumpur. Anda boleh bergerak dari Perak ke Pahang untuk mengambil keluarga. Dan kemudian keesokannya boleh bergerak pulang ke Kuala Lumpur,” ujar Huzir dalam sidang media semalam.

    Buat setakat ini, 1.2 juta individu telah memuat turun aplikasi terbabit dan daripada jumlah itu, seramai 503,276 orang sudah membuat permohonan kebenaran pergerakan rentas negeri.

    Klik untuk besarkan

    Tambahnya, bagi orang ramai yang tiada kemudahan telefon pintar pula, boleh memuat turun borang kebenaran rentas negeri menerusi Facebook dan Twitter rasmi PDRM.

    “Borang itu kemudian perlu dicetak dan dua salinan yang telah lengkap diisi butiran yang diperlukan, haruslah diserahkan kepada balai berdekatan untuk kelulusan.

    “Bagi mana-mana individu yang langsung tidak mempunyai kemudahan telefon pintar atau rangkaian internet pula, mereka dikehendaki menelefon mana-mana Balai Polis terdekat untuk membuat temu janji bagi mengisi borang “Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)” yang telah disediakan,” ujarnya lagi.

    PKP: PDRM umum jadual pergerakan rentas negeri; permohonan Gerak Malaysia sah untuk dua hari

    Menurut Huzir lagi, pihaknya telah menggariskan enam perkara utama membabitkan pergerakan rentas negeri bermula Khamis ini.

    “Yang pertama, tiada kemudahan makanan disediakan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R). Kedua, surau ditutup dan orang awam awam tidak dibenarkan solat berjemaah di kawasan itu. Walau bagaimana pun, fasiliti tandas di R&R sahaja dibenarkan beroperasi. Kawasan tempat letak kenderaan di kawasan terbabit pula hanya dibenarkan untuk berehat.

    “Kelima, stesen minyak hanya beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam sepanjang lebuh raya. Akhir sekali, pengguna jalan raya dilarang melakukan aktiviti berkumpulan dalam tempoh kebenaran perjalanan itu,” katanya.

     
     
  • Geely Haoyue mula dijual di China – diikuti ASEAN?

    Geely Haoyue mula dijual di China – diikuti ASEAN?

    SUV paling besar keluaran Geely iaitu Haoyue 2020 (boleh memuatkan sehingga tujuh orang) telah pun dilancarkan untuk pasaran China. Menurut China Car News, Haoyue (juga dikenali sebagai VX11) direka dengan mengambil kepentingan pasaran eksport, dan boleh memuaskan pelanggan di luar China yang mahukan “SUV besar dan luas, terutamanya di negara ASEAN.”

    Ketibaannya di negara kita masih lagi tidak dapat dipastikan tetapi Geely ada memberitahu bahawa kenderaan mereka memang biasanya direka untuk pasaran global. Walaupun begitu, perancangan mereka untuk pengenalan di pasaran tertentu masih belum boleh didedah.

    Satu pasaran yang pasti adalah Eropah, di mana Haoyue akan bersaing dengan model seperti Mazda CX-8 dan Santa Fe. Ukuran SUV ini adalah panjang 4,835 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,780 mm dan jarak roda 2,815 mm. Sebagai perbandingan, Mazda CX-8 pula memiliki ukuran panjang 4,900 mm (+65 mm), lebar 1,840 mm (-60 mm), tinggi 1,730 mm (-50 mm), dan jarak roda 2,930 mm (+115 mm).

    Selain rekaan yang lebih moden, Haoyue juga menawarkan ruang yang luas di bahagian dalam termasuk 2,370 liter untuk bahagian but versi lima tempat duduk (tempat duduk dilipat). Versi tujuh tempat duduk pula menyediakan ruang simpanan 2,050 liter apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat. Menambahkan lagi rasa luas itu, bumbungnya dipasang dengan kaca panoramik yang besar.

    Dua enjin petrol turbo disediakan untuk pasaran China iaitu unit tiga silinder 1.5 liter berkuasa 174 PS dan 225 Nm tork, manakala satu lagi enjin adalah unit empat silinder 1.8 liter berkuasa 181 PS dan 300 Nm tork sama seperti Boyue Pro. Transmisi tujuh kelajuan klac berkembar datang secara standard dan kuasa dihantar sama ada ke dua roda hadapan ataupun kesemua roda.

     
     
  • Auto Bavaria beroperasi seperti biasa mulai 4 Mei

    Auto Bavaria beroperasi seperti biasa mulai 4 Mei

    Auto Bavaria telah mengumumkan perniagaannya di seluruh negara telah beroperasi semula mulai 4 Mei, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

    Ini bermakna unit jualan dan selepas jualannya kini telah pun kembali dibuka, walau bagaimana pun Auto Bavaria masih melaksanakan sistem ‘drop-off’ bagi perkhidmatan penyelenggaraannya. Untuk pelanggan yang mahu menghantar kereta masing-masing untuk diselenggara, perlulah membuat temujanji terlebih dahulu dengan pusat servis berhampiran.

    Untuk waktu operasinya, premis yang melibatkan bilik pameran akan dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada setiap hari Isnin hingga Sabtu, dan 10 pagi hingga 5 petang untuk Ahad dan cuti umum. Manakala pusat servis pula dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Jumaat, dan 8 pagi hingga 12.30 tengahari pada Sabtu.

    Auto Bavaria beroperasi seperti biasa mulai 4 Mei

    Pembukaan semula fasiliti bagi hampir kesemua sektor perniagaan mulai 4 Mei 2020 dengan mengikut SOP yang ditetapkan adalah sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau berkata, penggantungan ekonomi sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac telah mengakibatkan negara mengalami kerugian sekitar RM2.4 bilion sehari, dan jumlah keseluruhan kerugian setakat ini telah mencecah RM63 bilion. Jika PKP yang telah pun memasuki fasa ke-empat, diteruskan dalam tempoh sebulan lagi, katanya, negara akan kerugian lagi RM35 bilion.

     
     
  • Pusat Servis HLYM Sungai Buloh kembali dibuka esok

    Pusat Servis HLYM Sungai Buloh kembali dibuka esok

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd mengumumkan pusat servis mereka yang terletak di Sungai Buloh (HQ) akan dibuka bermula 5 Mei 2020 dengan waktu operasi dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang. Walaupun begitu, ia hanyalah untuk pelanggan yang sudah membuat temu janji sahaja.

    Sebelum datang, pelanggan perlu membuat temu janji dengan menghubungi 03-61577011 (sambungan 6650) dan kemudian, tarikh servis akan diberikan. Sebaik tiba pula, mereka perlu mengikuti peraturan baru seperti memakai topeng muka, penjarakan sosial, letak motosikal di tempat yang telah ditetapkan dan hanya satu pelanggan bagi setiap motosikal.

    Walaupun pusat servis di Sungai Buloh ini telah beroperasi, HLYM memberitahu cawangan pusat servis lain iaitu di Pulau Pinang, Ipoh, Johor dan Kuantan, serta pusat alat ganti dan kaunter jualan alat ganti masih lagi ditutup sehingga satu waktu yang akan diumumkan nanti.

     
     
  • Ketua Polis Negara harap pemandu mabuk sebabkan kemalangan maut dikenakan hukuman maksimum

    Ketua Polis Negara harap pemandu mabuk sebabkan kemalangan maut dikenakan hukuman maksimum

    Memberi respon berkenaan kejadian pemandu mabuk yang menyebabkan seorang anggota polis yang bertugas dalam sekatan jalan raya di Kajang awal pagi semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berharap pemandu kenderaan yang tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya sehingga menyebabkan kematian dikenakan hukuman maksimum, lapor Bernama.

    Menurutnya hukuman itu adalah sebagai pengajaran kepada semua pihak agar perkara seperti itu tidak berulang. “Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua pergerakan dihadkan. Namun, ada lagi yang sempat mengambil minuman keras dan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan maut. Itu adalah jelas satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Hospital Serdang, semalam.

    Beliau meluangkan masa hampir satu jam di Jabatan Perubatan Forensik hospital itu bagi menziarah jenazah anggota polis yang maut dalam kemalangan di sekatan jalan raya yang berlaku berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) pada awal pagi Ahad lalu.

    Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 2 pagi itu, di mana Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol.

    “Saya rasa sedih apabila pada awal pagi tadi dikejutkan dengan berita berlaku kemalangan ini yang tidak sepatutnya berlaku dan anggap ini sebagai takdir.

    “Saya juga difahamkan arwah yang mempunyai sembilan adik beradik ialah seorang pendiam. Ada antara ahli keluarga arwah bekerja sebagai polis iaitu bapanya yang juga bekas komander VAT69 di Ulu Kinta, Perak dan sudah tiga tahun bersara,” katanya yang pilu dengan insiden tersebut.

    Mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987, individu yang didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk dan secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000.

     
     
  • PKPB: Polis PJ laksana perubahan sekatan jalan raya, ada beberapa jalan yang ditutup telah dibuka semula

    PKPB: Polis PJ laksana perubahan sekatan jalan raya, ada beberapa jalan yang ditutup telah dibuka semula

    Polis Daerah Petaling Jaya telah memaklumkan perubahan sekatan jalan raya dan pembukaan semula jalan yang ditutup bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai hari ini, 4 Mei 2020. Ia adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengatur semula barisan anggotanya untuk penugasan mobile di kawasan tumpuan ramai seperti pasaraya, pasar awam, pusat komersil dan pusat riadah.

    Terdapat sembilan lokasi sekatan jalan raya yang telah ditamatkan iaitu di Tol NPE PJS2, Tol Subang, Tol Sungai Buloh, Tol Kota Damansara, Tol Damansara, KM34.1 Lebuhraya Persekutuan (arah KL ke Klang), Persiaran Surian, Royal Chulan (masuk/keluar).

    Walau bagaimana pun, terdapat satu lokasi sekatan jalan raya yang baharu iaitu di Batu 8 1/2 Jalan Klang Lama (berhadapan Wisma Ann Joo).

    PKPB: Polis PJ laksana perubahan sekatan jalan raya, ada beberapa jalan yang ditutup telah dibuka semula

    Manakala terdapat empat penutupan jalan yang masih beroperasi iaitu di Jalan PJS 5/46 (Gasing Indah, Petaling Jaya), dan tiga lokasi di Kota Damansara; Jalan Mahogani (Seksyen 9), Jalan Persiaran Jati (Seksyen 8) dan Jalan Persiaran Sungai Buloh.

    Untuk pengguna yang perlu ke kawasan terbabit, bolehlah menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Persiaran Kenanga-Tol Kota Damansara, Jalan Persiaran Surian-Palm Spring Kota Damansara, dan Jalan Persiaran Tropicana-Casa Tropicana.

    Bagi penutupan jalan yang tidak lagi beroperasi pula melibatkan laluan lampu isyarat PJU 8.1 Damansara dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) susur keluar Mutiara Damansara.

    Walau bagaimana pun, Polis Daerah Petaling Jaya menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi PKPB agar rantaian COVID-19 dapat diputuskan.

     
     
  • PKPB: Prasarana umum jumlah penumpang dihadkan 30-50% bagi setiap trip, waktu operasi kembali normal

    PKPB: Prasarana umum jumlah penumpang dihadkan 30-50% bagi setiap trip, waktu operasi kembali normal

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), pengendali rel urban dan bas henti-henti di Lembah Klang dan negeri-negeri lain serta perkhidmatan Rapid Ferry, memaklumkan, semua perkhidmatannya beroperasi mengikut waktu normal daripada pukul 6 pagi sehingga tengah malam mulai hari ini, 4 Mei 2020.

    Langkah ini diambil susulan daripada pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lalu, yang menyatakan keputusan Kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) adalah bagi membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat. Walau bagaimana pun, hampir kesemua operasi yang dibenarkan itu tertakluk dengan syarat-syarat dan prosedur ketat bagi memastikan usaha mencegah penularan wabak COVID-19 terus diperkasakan.

    “Selaras dengan itu, bagi menggalakkan penjarakan sosial di dalam tren dan bas, perjalanan waktu puncak dipanjangkan daripada 7 pagi hingga 11 pagi untuk waktu puncak pagi; dan antara pukul 4 petang hingga 7 malam untuk waktu puncak petang bagi semua perkhidmatan. Ini bermakna kekerapan tren yang lebih tinggi pada waktu-waktu ini,” kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Muhammad Nizam Alias.

    Klik untuk besarkan

    Kekerapan waktu puncak pagi dan petang untuk LRT Laluan Kelana Jaya adalah tiga minit, manakala untuk LRT Laluan Ampang/Sri Petaling adalah enam minit. Perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang pula mempunyai kekerapan waktu puncak empat minit manakala perkhidmatan monorel pula beroperasi dengan kekerapan enam minit.

    Bagi mendapatkan jarak yang sesuai bagi penjarakan sosial, pihaknya terpakda mengehadkan jumlah penumpang untuk setiap satu perjalanan. Di mana untuk perkhidmatan tren, hanya menampung 50% penumpang daripada kapasiti penuh dan 30% untuk bas.

    Tambahnya lagi, “Kami akan meletakkan staf tambahan untuk mengawal penumpang di pintu masuk stesen dan di platform bagi memastikan penjarakan sosial di dalam tren. Tentunya, ini adalah sesuatu yang amat mencabar. Jadi, kami memohon agar semua penumpang memberikan kerjasama rapat dengan staf kami dalam menjalankan tugas mereka.

    “Kuasa untuk meneruskan usaha memutus rantaian penularan COVID-19 adalah di tangan orang ramai dan para pengguna perkhidmatan pengangkutan awam. Anda mesti bersedia melakukan penjarakan sosial secara sukarela dan menyokong satu sama lain. Tren dan bas akan mempunyai tanda-tanda khas untuk membantu urusan penjarakan sosial dalam bas dan tren. Kita jaga kita,” katanya lagi.

    Dalam masa yang sama beliau turut menasihatkan para penumpang rel, bas dan feri untuk sentiasa memakai penutup mulut dan hidung di samping mengamalkan penjagaan kesihatan peribadi khususnya mencuci tangan dengan cecari pembasmi kuman atau hand sanitisers, yang akan diletakkan di semua stesen-stesen tren LRT, MRT, monorel dan BRT, hab-hab bas dan pangkalan-pangkalan feri.

    “Kerja-kerja membasmi kuman di stesen-stesen dan hab-hab bas serta di dalam tren dan bas-bas kendalian Prasarana dan juga feri akan diteruskan secara gigih seperti masa-masa lepas. Staf-staf yang bertugas khususnya Kapten-kapten bas, anggota Polis Bantuan dan staf-staf stesen akan turut diperiksa suhu badan masing-masing sebelum dibenarkan memulakan kerja masing-masing,” katanya.

    Maklumat penuh mengenai jadual perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana boleh didapati daripada laman-laman media sosial di Facebook @myrapid, Twitter @MyRapidKL atau menerusi talian 03-78852585.

     
     
  • Proton PM5 — dari model skala jadi kereta sebenar?

    Proton PM5 — dari model skala jadi kereta sebenar?

    Mungkin ada yang masih ingat kepada Proton PM5. Pada tahun 2007, rekaannya pernah tampil dan menarik perhatian diforum-forum automotif tempatan. Ia pada asalnya hanyalah sebuah rekaan yang dihasilkan sebagai aktiviti sampingan seorang pereka Proton ketika itu.

    Sedikit latar belakang tentang rekaan yang Proton tak pernah hasilkan model sebenarnya ini; ketika itu kilang Proton di Tanjung Malim hendak dilancarkan oleh Perdana Menteri Ke-5, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau orang panggil Pak Lah. Maka, model Proton PM5 ini dihasilkan dalam bentuk skala 1:3 untuk dihadiahkan kepada beliau.

    Kini, selepas 15 tahun, perekanya, Shaharudin Busri yang pernah kita lihat kerja-kerjanya sebelum ini – antaranya melalui rekaan Proton Suprima X, Suprima R dan Proton Bayu – kembali memberi tumpuan terhadap rekaan digital model berkenaan untuk diberikan kemaskini da lebih perincian.

    Proton PM5 — dari model skala jadi kereta sebenar?

    Menurut beliau, rekaan asal Proton PM5 ini menggunakan platform Lotus M250 yang telah dipanjangkan sedikit casisnya untuk menjadikan ruang dalaman lebih luas bagi memuatkan konfigurasi penumpang melalui konsep 2+2. Hasilnya, PM5 tampil sebagai sebuah kereta sport dua pintu yang unik dan elegan.

    Rekaan keseluruhan tidak banyak diubah berbanding model contoh yang pertama dahulu. Lampu utama, jalur DRL di sudut bawah serta logo baru Proton kini ditampilkan. Sekali imbas, siluetnya ada mirip Nissan Fairlady 370Z. Tambahan dengan garis bumbung dengan jalur kemasan krom yang semakin menirus di belakang, penampilannya tampak yakin.

    Bahagian belakang nampak lebih lebar dan rendah (ada iras dari Audi TT?), dengan ruang kabin dalaman yang dibayangkan untuk tampil dengan elemen futuristik. Selepas 15 tahun rekaan ini masih nampak segar? Ada harapan untuk dijadikan kenyataan? Kepada yang berminat untuk meneliti aktiviti rekaan digital model-model kenderaan, boleh ikuti akaun Instagram @saharudindesign.

     
     
  • Max Orido X AKEa GR Supra – kit rekaan lagenda!

    Max Orido X AKEa GR Supra – kit rekaan lagenda!

    Pelumba dan drifter ikonik Toyota Supra, Manabu ‘Max’ Orido telah mengumumkan bahawa set kit badan rekaannya sendiri yang digelar Max Orido X AKEa A90 Supra kini sudahpun boleh dibeli.

    Kit badan berkenaan terdiri daripada lip spoiler bawah bampar hadapan dengan tambahan sirip sisi, skirt sisi lebih lebar dengan ‘sayap’, diffuser untuk bampar belakang serta spoiler jenis ekor itik yang lebih lebar dari standard.

    Anda boleh membeli kit ini sama ada secara berasingan atau secara set. Untuk set lip spoiler hadapan dengan sirip, ia dijual pada harga 51,000 yen (RM2k) untuk yang belum dicat dan 64,000 yen (RM2.6k) untuk yang telah dicat hitam.

    Untuk set lengkap pula akan dijual pada harga 152,800 yen (RM6.2) untuk yang belum dicat dan 194,800 yen (RM7.8k) untuk yang sudah dicat hitam. Harga yang diberikan ini sudah pun termasuk cukai tanpa kos pemasangan. Anda turut boleh membeli pemegang nombor pendaftaran yang diperbuat dari gentian karbon berharga 30,000 yen (RM1.2k).

    Seperti pelbagai Supra JZA80 yang dimiliki oleh Orido sebelum ini, kereta demo Supra A90 miliknya ini juga diberikan warna merah-hitam (tema rasmi jenama tayar yang membawa namanya naik iaitu Yokohama Advan).

    Ia turut menampilkan set brek project ? di hadapan dengan angkup enam-omboh dan cakera ‘two-piece’. Seperti biasa, Orido memilih set rim Advan GT berwarna hitam untuk GR Supra miliknya ini.

    Sebelum ini, Max Orido turut terlibat dalam menguji peralatan prestasi yang dihasilkan oleh HKS untuk GR Supra berkenaan.

    Toyota Supra generasi baharu ini dijana oleh enjin 3.0 liter enam-silinder dengan pengecas turbo yang mampu menghasilkan 340 PS dan tork maksima 500 Nm dalam keadaan standard. Ia digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik, dan hanya memacu roda belakang.

     
     
  • PKPB: Pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu masih tertakluk di bawah pengecualian oleh menteri

    PKPB: Pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu masih tertakluk di bawah pengecualian oleh menteri

    Minggu lalu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumankan bahawa bermula hari ini (4 Mei 2020), kita sudahpun masuk ke fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membolehkan sebahagian besar perniagaan boleh beroperasi semula seperti biasa. Jadi adakah ini bermaksud mereka dengan cukai jalan dan lesen memandu yang telah tamat tempoh ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu hingga empat sudah boleh memperbaharuinya hari ini?

    Menurut pengumuman Jabatan Pengangkutan Jalan, anda yang masih berhadapan dalam situasi berkenaan masih belum perlu memperbaharui dokumen-dokumen tersebut dalam tempoh PKPB ini.

    “Bagi kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing, adalah masih tertakluk di bawah pengecualian pembaharuan LKM dan lesen memandu seperti yang telah diberikan oleh YB Menteri Pengangkutan,” tulis jabatan berkenaan di laman facebook rasmi mereka.

    Walaupun kaunter di pejabat JPJ telah dibuka sepanjang PKPB ini dengan waktu operasi dari 8 pagi hingga 1 petang, urusan-urusan pembaharuan cukai jalan, lesen (GDL dan PSV), penyelesaian senarai hitam dan pembayaran saman adalah hanya untuk kenderaan perdagangan (kecuali teksi dan e-hailing) sahaja.

    PKPB: Pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu masih tertakluk di bawah pengecualian oleh menteri

    Langkah ini diambil bagi menyokong pengoperasian semula sektor ekonomi disamping mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19, menurut JPJ.

    Pada Mac lalu, menteri pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong telah mengumumkan bahawa mereka dengan lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh ketika PKP sedang berlangsung akan dikecualikan dari memperbaharuinya sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan.

    Menurutnya, dengan kapasiti beliau sebagai menteri pengangkutan telah menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 66 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dengan memberikan pengecualian kepada semua pemegang lesen memandu daripada keperluan memperbaharui lesen memandu masing-masing melalui suatu undang-undang khusus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa 25 Mac 2020.

    Begitu juga dengan cukai jalan, dimana ia tidak perlu diperbaharuinya secepat mungkin, tetapi pemilik masih perlu memperbaharui insuran terlebih dahulu kerana walaupun dengan adanya pengecualian khas ini, para pemandu masih perlu membawa salinan sijil perlindungan atau e-cover note insurans ketika memandu sepanjang tempoh PKP. Ini bermakna, sesiapa yang mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sudah luput masih boleh menggunakan kenderaan masing-masing dengan syarat kenderaan tersebut wajib memiliki perlindungan insurans yang sah.

     
     
  • Proton mulai operasi pusat 3S dan kilang secara berperingkat pada 5 Mei dengan SOP norma baharu

    Proton mulai operasi pusat 3S dan kilang secara berperingkat pada 5 Mei dengan SOP norma baharu

    Selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membolehkan pelbagai perniagaan beroperasi semula dengan SOP norma baharu bermula 4 Mei 2020, jenama atomotif nasional, Proton mengesahkan bahawa operasi syarikat mereka akan dimulakan semula secara berperingkat mulai esok.

    Walau bagaimanapun menurut Proton, setiap operasi mereka tidak akan berjalan sepenuhnya pada 5 Mei nanti, sebaliknya ia akan dimulakan secara berperingkat dan akan mematuhi setiap arahan dan syarat seperti yang disarankan oleh pihak berkuasa.

    Pusat jualan dan servis akan beroperasi semula esok, tetapi pembukaan semula ini tertakluk pada cawangan-cawangan yang terletak di zon kuning dan hijau, dan semua premis dan kakitangan perlu mematuhi protokol keselamatan yang ketat seperti yang disarankan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Malaysia dalam usaha untuk mengekang penyebaran virus COVID-19.

    Proton mulai operasi pusat 3S dan kilang secara berperingkat pada 5 Mei dengan SOP norma baharu

    “Proton akan kembali memulakan semua aktiviti perniagaan secara berperingkat. Namun, kami tetap akan mengutamakan keselamatan pelanggan dan kakitangan kami dan selari dengan seruan Perdana Menteri untuk menyesuaikan keadaan dengan norma baharu, kami akan memperkenalkan satu protokol khas di semua kawasan,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Selain operasi-operasi peruncitan ini, Proton juga akan memulakan operasi pengeluaran di kilang-kilangnya di Tanjung Malim dan Shah Alam secara berperingkat bermula esok, termasuk pejabat korporatnya di Pusat Kecemerlangan Proton (COE), dengan mempraktikkan amalan kerja baharu bagi meminimakan risiko jangkitan.

    “Kami ingin meyakinkan semua pelanggan bahawa kami akan berusaha seboleh mungkin dalam memastikan keselamatan dan kesihatan anda terjamin. Sebagai pengeluar automotif yang bertanggungjawab, keselamatan tetap menjadi keutamaan kami,” tambah Dr. Li.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025