Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • GWM Haval Jolion Hybrid 2023 dikesan di M’sia – SUV segmen-B dengan 1.5T, 7DCT; dilancar tidak lama lagi?

    GWM Haval Jolion Hybrid 2023 dikesan di M’sia – SUV segmen-B dengan 1.5T, 7DCT; dilancar tidak lama lagi?

    Ketika Great Wall Motors (GWM) mengumumkan jenama ini kembali ke pasaran Malaysia pada Julai lalu, kami dimaklumkan bahawa produk pertama syarikat ini bakal dilancarkan pada suku ke-empat tahun ini. Antara model yang dirancang bakal dilancarkan termasuklah Ora Good Cat EV dan dua model SUV Haval iaitu H6 dan Jolion.

    Dan sekali lagi, SUV segmen-B Jolion dikesan di Malaysia, bagai memberi petanda ia bersedia untuk dilancarkan. Unit berwarna biru tanpa balutan penyamaran ini kelihatannya ada lencana ‘HEV’ menandakan ia adalah janaan hibrid, berbanding model yang pernah dikesan sebelum ini dengan warna putih dan tanpa lencana tersebut.

    Untuk makluman, Jolion Hybrid telah pun diperkenalkan di peringkat global di Thailand pada November tahun lalu. Bagi spesifikasinya, SUV ini dijanakan oleh enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder petrol yang dipadankan bersama transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan dengan motor elektrik. Jumlah keseluruhan kuasa yang terhasil mencapai 190 hp dan tork 375 Nm.

    Bagi pandangan visualnya, varian hibrid dibezakan dari model bukan-hibrid berdasarkan kemasan gril (digelar Star Matrix) dan serlahan biru pada lampu utamanya. Ciri lain masih kelihatan mirip. SUV ini juga didatangkan dengan roda 18-inci, upholstery kulit, pendingin hawa automatik (dengan corong belakang), kluster instrumen tujuh-inci dan sistem infotainmen skrin sesentuh 10.25-inci.

    Di Thailand, Jolion Hybrid didatangkan dengan kelengkapan standard termasuk enam beg udara, kawalan kestabilan dan sistem bantuan pemandu yang merangkumi brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta, amaran pelanggaran belakang, kepekaan trafik lintasan belakang dan brek, bantuan mengundur dan bantuan parkir untuk letak kereta secara selari, menegak atau pun pepenjuru (diagonal).

    Menurut Headlightmag, Jolion ditawarkan dengan tiga varian – HEV Tech, HEV Pro dan HEV Ultra – harganya dari 879,000 hingga 999,000 baht (RM109,077 hingga RM123,968).

    Apabila Jolion dilancarkan ini di sini kelak, ia bakal memberikan persaingan buat Honda HR-V, Toyota Corolla Cross, Peugeot 2008 dan Mazda CX-30 yang telah pun berada di pasaran. Buat masa ini, kami sedang menantikan GWM Malaysia memberikan perincian lanjut mengenai model ini, termasuk bila ia akan dilancarkan dan harganya.

     
     
  • Etiqa syarikat insurans pertama di Malaysia sedia perlindungan untuk pengecas kenderaan EV di rumah

    Etiqa syarikat insurans pertama di Malaysia sedia perlindungan untuk pengecas kenderaan EV di rumah

    Etiqa telah mengumumkan bahawa mereka kini sudah ada menyediakan perlindungan insurans dan takaful untuk pengecas kenderaan elektrik (EV) di rumah. Perlindungan ini ditawarkan sebagai satu tambahan percuma (sehingga 31 Mac 2023) bagi polisi kenderaan EV kuasa bateri atau plug-in hybrid (PHEV) persendirian yang baru didaftarkan.

    Turut ditawarkan adalah perlindungan berasingan untuk pengecas EV rumah, di bawah insurans dan pelan takaful All Risks. Ia disediakan untuk pemilik EV yang membeli pengecas EV rumah secara berasingan dengan insurans/takaful kenderaan mereka.

    Perlindungan tambahan pengecas EV rumah ini memberikan bayaran balik sehingga RM12,000 untuk membaiki atau mengganti pengecas EV rumah anda sekiranya terdapat kerosakan akibat kebakaran, kecurian, kilat, letupan, tangki atau paip yang melimpah, ribut, gempa bumi serta banjir.

     
     
  • Indonesia saran rakyatnya guna EV lebih meluas bagi bantu kerajaan kurangkan subsidi bahan api

    Indonesia saran rakyatnya guna EV lebih meluas bagi bantu kerajaan kurangkan subsidi bahan api

    Pada akhir Ogos lalu, Indonesia menyuarakan kenyataan bahawa negara tersebut mungkin terpaksa menaikkan harga bahan api hingga 30% dan subsidi sedia ada bakal dikurangkan. Perkara ini telah membangkitkan kemarahan rakyatnya sendiri yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan keputusan tersebut kerana ia bakal meningkatkan kos sara hidup.

    Baru-baru ini, Timbalan Menteri 1 Badan Usaha Milik Negara, Pahala Mansury berkata, penggunaan kenderaan elektrik (EV) secara lebih meluas di negara berkenaan dilihat mampu mengurangkan bajet subsidi bahan api kerajaan, laporan Antara News Agency.

    “Dengan orang ramai berhenti menggunakan kenderaan berkuasa bahan api dan bertukar kepada EV, kita boleh menjimatkan subsidi kerajaan berkaitan bahan api,” katanya ketika ditemuramah pihak media tempatan di Bali pada Isnin lalu.

    Jelas beliau, pembangunan ekosistem EV di Indonesia adalah penting. Di mana EV akan dapat mengurangkan pergantungan terhadap bahan api, dan seterusnya akan membolehkan Indonesia mampu mengurangkan import dan subsidi bahan api.

    Indonesia saran rakyatnya guna EV lebih meluas bagi bantu kerajaan kurangkan subsidi bahan api

    “Semua orang akan mendapat manfaat jika Indonesia dapat membangunkan ekosistem kenderaan elektrik,” tambahnya.

    Perkara ini senada dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pengangkutan Indonesia, Budi Karya Sumadi, yang menyatakan sokongan terhadap usaha untuk meneruskan peralihan kenderaan bahan api fosil kepada EV. Ia bermula dengan sasaran untuk mempunyai sekitar dua juta motosikal elektrik di Indonesia menjelang tahun 2025.

    Dalam pada itu, beliau turut menyenaraikan tiga aspek penting yang perlu dipertimbangkan dan terus ditambah baik, iaitu kualiti bateri, mempercepatkan pembangunan stesen pengecasan atau tempat menggantikan bateri yang boleh diperoleh dengan mudah, dan kualiti enjin kenderaan elektrik.

    Budi berkata, peningkataan bilangan penggunaan motosikal elektrik juga mampu melestarikan alam sekitar daripada pencemaran udara, dan ia juga dijangka membantu dalam mengurangkan subsidi bahan api yang jumlahnya kini mencecah $502 trilion rupiah.

     
     
  • EPMB jalin kerjasama dengan Saean Group untuk bangunkan dan pasang EV mampu milik kecil di M’sia

    EPMB jalin kerjasama dengan Saean Group untuk bangunkan dan pasang EV mampu milik kecil di M’sia

    EP Manufacturing Berhad (EPMB) dalam satu kenyataan memberitahu bahawa syarikat telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Saean Group dari California, untuk pembangunan bersama serta pengeluaran kenderaan elektrik empat tayar.

    Kerjasama ini juga bakal menyaksikan EPMB masuk ke dalam dunia kenderaan elektrik dengan sasaran mengeluarkan model segmen A lima pintu, empat tempat duduk, serta menghala kepada pengeluaran kenderaan elektrik kegunaan berat untuk sektor pembinaan.

    Dalam perjanjian tersebut, Saean akan menyediakan pengetahuan teknikal serta rekaan untuk EV yang akan dibangunkan, sementara EPMB pula akan memberikan sokongan melalui sumber serta informasi pasaran untuk projek EV tersebut, serta “berusaha keras untuk pengeluaran, pembekalan serta jualan.”

    Saean adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2013, dan selain kereta EV segmen A lima pintu, empat tempat duduk yang dinyatakan tadi, juga memiliki lebih daripada 120 paten yang berkaitan dengan EV melalui pusat R&D mereka di Korea Selatan.

    Dalam barisan kenderaan elektrik yang ditawarkan oleh Saean, paling hampir sebagai EV kompak adalah Wid-U, seperti yang ditunjuk dalam gambar. Walaubagaimanapun, ia cuma boleh menempatkan dua orang dan hanya mempunyai dua pintu. Model ini dipacu oleh motor elektrik 40 Nm, dengan bateri 15 kWh dan boleh mencapai kelajuan maksimum 80 km/j.

     
     
  • ACE 2022: Kereta terpakai berkualiti tinggi myTukar — serahan segera, baucar RM1k jika tempah dan trade-in

    ACE 2022: Kereta terpakai berkualiti tinggi myTukar — serahan segera, baucar RM1k jika tempah dan trade-in

    Auto Car Expo (ACE) anjutan paultan.org bakal kembali tahun ini pada hujung minggu 5-6 November 2022 di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Untuk edisi kali ini, beberapa penaja juga turut ikut serta , seperti Petron, Yinson GreenTech dan myTukar.

    Tidak hanya akan menampilkan barisan model kenderaan baru dari pelbagai jenama dan pengedar rasmi, ACE 2022 juga akan menampilkan model-model kereta terpakai dari inventori myTukar — sejumlah 50 buah kereta terpakai yang berkualiti tinggi akan dijual ketika acara ini kelak (senarainya lebih panjang di laman rasmi myTukar). Kelebihannya, kereta-kereta ini adalah stok tersedia, dan tidak memerlukan tempoh menunggu.

    Akan turut disediakan adalah penilaian kenderaan di lokasi sekiranya anda berhasrat untuk membeli kereta lain dan trade-in kereta lama, dan ia hadir dengan tempoh harga tidak berubah selama 30-hari. Pastikan anda bawa geran kereta sedia ada. Dengan trade-in, anda akan menerima rebat segera bernilai RM1,000.

    Pembelian kereta terpakai anda dari myTukar akan diserahkan ke rumah dalam tempoh seminggu, lengkapi dengan jaminan pulangan wang selama lima hari. Pembelian tersebut juga datang dengan jaminan setahun dan dua slot servis penyelenggaraan percuma.

    ACE 2022: Kereta terpakai berkualiti tinggi myTukar — serahan segera, baucar RM1k jika tempah dan trade-in

    Untuk ACE 2022, penganjur akan menawarkan baucar RM1,000 bagi 25 pelanggan terawal yang membuat tempahan kereta terpakai atau trade-in kenderaan mereka menerusi platform berkenaan. Mereka yang trade-in kenderaan akan menerima baucar RM500 masing-masing untuk V-Kool dan Blueair. Sementara 25 lagi pelanggan terawal yang membuat tempahan kereta terpakai akan menerima baucar RM500 untuk Dodomat dan RM500 untuk kerusi kanak-kanak Recaro. Jika anda trade-in kenderaan dan menempah kereta terpakai lain sekaligus, jumlah baucar akan meningkat kepada RM1,500.

    Pengunjung ACE 2022 juga boleh memandu uji dan membeli kenderaan ketika acara, sama ada kereta baru atau terpakai, dan bakal ada banyak tawaran hebat diberikan. Lebih banyak perincian tawaran yang akan kami umumkan dalam masa terdekat, jadi terus perhatikan ruang ini. Tandakan kalender, dan jumpa hujung minggu 5-6 November 2022 di SCCC!

    Ketahui lebih lanjut tentang ACE 2022 di sini, dan klik di sini untuk maklumat terperinci berkaitan promosi kereta terpakai myTukar.

     
     
  • Toyota Innova Zenix baru dilihat diuji di India – platform TNGA, kemunculan sulung bulan depan?

    Toyota Innova Zenix baru dilihat diuji di India – platform TNGA, kemunculan sulung bulan depan?

    Unit prototaip untuk MPV tujuh-tempat duduk Toyota Innova generasi ketiga telah dilihat sedang diuji di atas jalan raya awam di India baru-baru ini, dan ia sempat dirakam oleh pemilik saluran YouTube Naveen Gowda. Menurut laporan Autocar India, Innova generasi seterusnya ini dijangka bakal membuat kemunculan sulung di Indonesia bulan hadapan, dan turut akan dilancarkan di India tahun ini juga.

    Portal berkenaan turut menyebut bahawa Innova baharu ini tidak lagi menggunakan casis ladder frame pacuan roda belakang seperti model generasi sedia ada, tetapi diganti dengan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) pacuan roda hadapan dari versi TNGA-C yang jauh lebih moden. Dengan platform ini, Innova dijangka bakal memberikan ruang dalaman lebih luas dengan lantai belakang yang rata dan lebih rendah

    Bagi model generasi baharu ini, ia akan dikenali sebagai Innova Hycross di India, mengantikan Innova Crysta generasi sedia ada. Autocar India menyatakan bahawa Innova Hycross ini menerima unit rangkaian kuasa hibrid, menjadi model kedua hibrid Toyota diperkenalkan di negara berkenaan tahun ini selepas SUV Toyota Hyryder.

    Menerusi video yang disiarkan ini, boleh dilihat Innova generasi baharu berkenaan masih menampilkan bonet hadapan yang panjang. Ia juga diberikan lampu hadapan tirus dengan gril yang tinggi, mungkin akan menampilkan rupa seakan Corolla Cross versi lebih besar. Lampu nyalaan siang melintang turut dapat dilihat pada bampar MPV ini.

    Profil sisi Innova ini juga nampak lebih seperti SUV berbanding MPV, tetapi bentuknya tidak canggung seperti model sebelumnya yang berkongsi casis ladder frame dengan trak pikap Toyota Hilux. Manakala di belakang, ia diberikan lampu ‘2-piece’ yang disusun melintang, serta spoiler bumbung yang nampak disekalikan dengan bingkai kiri dan kanan cermin belakang.

    Video ini juga memperlihatkan bahawa Innova turut menerima skrin infotainmen berdiri sendiri pada bahagian tengah papan pemuka dengan saiz yang agak besar sehingga boleh dilihat dari sebelah luar, yang tidak pernah ditawarkan oleh mana-mana model Toyota di negara berkenaan sebelum ini, dakwa Autocar India.

    Toyota Innova Zenix baru dilihat diuji di India – platform TNGA, kemunculan sulung bulan depan?

    Portal berkenaan juga menjangkakan Innova Hycross ini bakal menyajikan kelengkapan lebih mewah dari Innova Crysta. Ia termasuk paparan instrumen digital sepenuhnya untuk varian lebih tinggi, kamera 360-darjah, cermin suria, pengecas telefon pintar tanpa wayar, papan pemuka dengan bahagian sentuhan lembut, brek parkir elektronik dan juga tempat duduk kapten dengan fungsi ottoman pada baris kedua.

    Laporan berkenaan turut menyebut bahawa tiada varian dengan enjin diesel ditawarkan untuk Innova Hycross ini di India di mana ia hanya hadir dengan enjin petrol 2.0 liter bersama sistem hibrid hampir sama ditawarkan pada Toyota Hyryder. Namun, dijangka pelanggan masih boleh membeli Innova dengan enjin diesel kerana model Innova Crysta diesel akan terus dijual bersama Innova Hycross di bilik pameran.

    Di Indonesia, laporan sebelum ini menyebut bahawa Innova generasi baharu tersebut mungkin akan diperkenalkan pada 22 November nanti, dan bakal diberi nama Innova Zenix atau mungkin hanya akan dikenali sebagai Toyota Zenix bagi varian paling tinggi.

    Ia adalah untuk mengikut apa yang telah dibuat pada MPV tujuh-tempat duduk yang lebih kecil iaitu Toyota Avanza. Buat masa sekarang varian tertinggi Avanza di Indonesia hanya dikenali sebagai Toyota Veloz dan bukan lagi Toyota Avanza Veloz seperti generasi sebelumnya. Ini bagi membolehkan Avanza dipisahkan dengan Veloz bagi memberikan imej lebih premium pada Veloz, seolah-olah ia tiada kaitan dengan Avanza.

     
     
  • Audi Q8 S Line 3.0 TFSI quattro 2022 kini di Malaysia – diberikan ciri baharu ACC, roda 21-inci; dari RM867k

    Audi Q8 S Line 3.0 TFSI quattro 2022 kini di Malaysia – diberikan ciri baharu ACC, roda 21-inci; dari RM867k

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Audi Q8 2022 telah pun dibawa masuk ke pasaran tempatan selepas beberapa hari PHS Automotive Malaysia (PHSAM) dilantik sebagai pengedar rasmi kenderaan Audi di Malaysia.

    Untuk itu, kami membawakan galeri foto SUV bersaiz besar ini yang ditetapkan harganya mencecah RM867,422 atas jalan tanpa insurans, termasuk waranti lima-tahun, perbatuan tanpa had, penyelenggaran percuma selama tiga-tahun serta bantuan tepi jalan selama lima-tahun.

    Untuk Malaysia, Q8 dijanakan oleh enjin petrol V6 turbo 3.0 liter bersama padanan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan empat roda Quattro, menghasilkan 335 hp dari 5,200 hingga 6,400 rpm dan tork 500 Nm dari 1,370 hingga 4,500 rpm.

    Enjin ini juga dipadankan bersama sistem hibrid ringkas 48-volt yang boleh beroperasi sewaktu meluncur pada jarak jauh serta bergerak perlahan sehingga kelajuan 22 km/j. Daripada aspek prestasi, Q8 boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat dan mencecah kelajuan maksimum 250 km/j.

    Perubahan yang diperkenalkan untuk model naik taraf ini termasuklah roda lima-jejari W-style 21-inci yang lebih besar berbanding unit sebelum ini. Pakej S Line juga terus diberikan secara standard untuk SUV ini, yang kini tampil dengan kemasan hitam untuk gril bingkai tunggal dan pakej Black Appearance (kemasan luaran dan tingkap hitam) untuk rupa yang lebih dinamik.

    Sementara itu, Audi Pre-Sense di bahagian belakang turut diberikan sebagai tambahan kepada unit Adaptive Cruise Control di hadapan sedia ada. Tempat duduk kini menggunakan unit sport larasan 12-arah dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu yang sebelum ini dengan larasan 18-arah yang turut didatangkan bersama fungsi liang udara.

    Selain daripada itu, kit lain masih kekal sama seperti model pra-peningkatan, termasuk suspensi udara adaptif, Drive Select, lampu utama HD matrix LED , upholstery kulit Valcona, sistem infotainmen MMI navigation plus dengan MMI touch response, sistem bunyi Bang & Olufsen dan kokpit maya Audi.

     
     
  • JPJ akan ketatkan pemeriksaan kenderaan bagi sukan permotoran untuk elak insiden di litar berulang

    JPJ akan ketatkan pemeriksaan kenderaan bagi sukan permotoran untuk elak insiden di litar berulang

    Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim mengesahkan pihaknya akan mengetatkan pemeriksaan terhadap kenderaan sukan permotoran di negara ini. Ia adalah mengelakkan kemalangan di litar lumba berulang seperti mana yang berlaku hingga mengorbankan seorang pelumba drag di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu, Sabtu lalu.

    Menurut Zailani, menerusi kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pihaknya juga akan memastikan setiap pelumba menitikberatkan aspek pemeriksaan teknikal kenderaan sebelum menyertai perlumbaan, laporan Harian Metro.

    “Sekarang sudah ada kelulusan standard terhadap sukan drif dan drag termasuk spesifikasi kenderaan. Sebelum ini kita tidak pernah dengar kes kenderaan drag terbabit kemalangan sebegini. Bagi kes berlaku di Terengganu itu, kita akan semak dengan PDRM yang menyiasat dari segi pemanduan pemandu dan keadaan jalan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Tambah beliau, JPJ pada setiap masa tidak pernah memandang ringan khususnya sukan permotoran jenis drif dan drag yang sememangnya berbahaya dan berisiko berlaku kemalangan.

    Pada petang Sabtu lalu, seorang pelumba drag, Muhamad Hafez Jamal Jamaludin atau dikenali sebagai Apeh Jamal maut sewaktu menyertai perlumbaan drag Battle of The Kings (BOTK) 2022 di Litar Permotoran Terengganu. Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas kereta lumba yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas merempuh pokok di tepi litar.

     
     
  • Rapid KL sediakan perkhidmatan bas untuk perlumbaan MotoGP 2022 pada 21-23 Okt ini

    Rapid KL sediakan perkhidmatan bas untuk perlumbaan MotoGP 2022 pada 21-23 Okt ini

    MotoGP bakal kembali dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas ia ‘direhatkan’ akibat penularan Covid-19. Bakal dianjurkan pada 21 hingga 23 Oktober ini, perlumbaan Petronas Grand Prix 2022, bagi gelaran di Malaysia ini, ditaja oleh Petronas (selepas mengambil alih tajaan daripada Shell). Malaysia bakal menjadi hos bagi FIM MotoGP World Championship sehingga 2024 selepas SIC menandatangani kontrak baharu dengan Dorna Sports.

    Bagi anda yang merancang untuk menonton perlumbaan ini di hadapan mata, dan malas mahu memandu ke SIC, jangan bimbang, Rapid KL turut menawarkan perkhidmatan bas dari/ke bandaraya ke/dari Sepang, dan tiket telah mula dijual sejak 6 Oktober lalu.

    Bas terbabit akan mengambil penumpang dari KLCC dan KL Sentral, serta KLIA2. Tiket untuk kedua-dua stesen pengambilan berharga RM20 untuk perjalanan sehala dan RM35 untuk pergi-balik. Manakala jika dari KLIA2, tiketnya hanyalah RM12 sehala.

    Klik untuk besarkan

    Untuk ketiga-tiga hari tersebut, bas pertama akan bergerak dari bandaraya pada jam 8 pagi, sementara bas terakhir pula akan ke Sepang pada jam 1 tengahari. Untuk perjalanan pulang ke KL dari Sepang, bas pertama akan bergerak pada 4 petang dan bas terakhir pula pada 7 malam. Kekerapan ketibaan bas adalah setiap 30 minit.

    Untuk yang membeli tiket perjalanan, bagi stesen KLCC, anda boleh menunggu bas ini di perhentian bas di Jalan Ampang, berhadapan dengan Avenue K. Manakala bagi stesen KL Sentral, perhentiannya ialah berdekatan dengan Balai Ketibaan ERL berhadapan dengan Sooka Sentral. Untuk KLIA2 pula, tunggu di Pintu 3 di hab pengangkutan Tingkat 1.

    Tiket KL-SIC sudah boleh dibeli di stesen LRT utama (KLCC, KL Sentral, Masjid Jamek, Pasar Seni) dan juga kaunter kad konsesi Pasar Seni. Manakala tiket KLIA2-SIC pula akan dijual pada minggu perlumbaan iaitu di Kaunter 10 di hab pengangkutan.

     
     
  • Kereta dipandu laju rempuh motosikal tanpa lampu belakang di tengah lorong lebuhraya yang gelap

    Kereta dipandu laju rempuh motosikal tanpa lampu belakang di tengah lorong lebuhraya yang gelap

    Lampu pada kenderaan bukan hanya berfungsi untuk kita menyuluh laluan gelap di hadapan, malah ia juga berfungsi untuk memberitahu pemandu lain kedudukan kenderaan yang sedang kita pandu atau tunggang. Video yang kami siarkan ini merupakan contoh mengapa anda perlu pastikan lampu belakang anda berfungsi pada waktu malam atau di mana-mana kawasan gelap.

    Dalam video yang dimuat naik di laman Twitter ini, dapat dilihat sebuah kereta yang dipandu laju merempuh sebuah motosikal penghantar makanan yang ditunggang di tengah-tengah lorong lebuhraya berkenaan. Anda boleh lihat kelibat motosikal dengan lampu belakang yang tidak berfungsi berkenaan hanya kelihatan apabila kereta tersebut berada betul-betul di belakangnya.

    Dan dengan kelajuan kereta yang dipandu agak laju tersebut, agak mustahil untuk mengelak motosikal berkenaan seterusnya terjadi rempuhan yang agak kuat.

    Walau bagaimanapun, ada beberapa poin yang kita boleh lihat disini untuk diambil pengajaran, bukan setakat motosikal yang tidak mempunyai lampu belakang. Untuk lebih keselamatan, penunggang motosikal sememangnya digalakkan untuk memakai jaket dengan fungsi pembalik cahaya.

    Manakala untuk pemandu, kurangkan kelajuan khususnya ketika keadaan gelap seperti ini; kita tidak tahu apa yang berada di hadapan, kalau tidak motosikal tanpa lampu mungkin ada lubang di tengah jalan, atau mungkin ada serpihan tayar celup dari lori yang boleh menyebabkan kemalangan.

    Ingatlah, mencegah lebih baik dari mengubati, amalkan pemanduan dan tunggangan defensif. Sekiranya sudah terjadi perkara seperti ini, tidak guna lagi untuk menyalahkan sesiapa.

     
     
  • Mitsubishi siar teaser SUV konsep segmen-B baharu; bakal buat kemunculan sulung di Vietnam 19 Okt ini

    Mitsubishi siar <em>teaser</em> SUV konsep segmen-B baharu; bakal buat kemunculan sulung di Vietnam 19 Okt ini

    Mitsubishi telah menyiarkan teaser untuk kereta konsep baharunya yang bakal didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global di Vietnam pada 19 Oktober ini; seminggu sebelum Vietnam Motor Show 2022 berlangsung.

    Imej teaser berkenaan walau bagaimanapun tidak mendedahkan banyak maklumat. Ia cuma menunjukkan bahagian ‘hidung’ kereta konsep berkenaan, yang menonjolkan logo ‘tiga-berlian’ Mitsubishi di dalam bingkai berbentuk tiga-segi.

    Namun ada laporan menyatakan bahawa kereta konsep baharu ini merupakan prebiu untuk model SUV segmen-B akan datang Mitsubishi, yang akan bersaing dengan model-model seperti Hyundai Creta, Kia Seltos, Nissan Kicks, Honda HR-V, Mazda CX-3 dan sebagainya.

    Mitsubishi siar <em>teaser</em> SUV konsep segmen-B baharu; bakal buat kemunculan sulung di Vietnam 19 Okt ini

    Mitsubishi ASX facelift

    Menurut laporan AutoPro, Mitsubishi memilih Vietnam untuk mendedahkan model konsep terbahru ini kerana kejayaan Xpander di pasaran berkenaan. Selepas empat tahun dijual di Vietnam, MPV tujuh-tempat duduk tersebut telah terjual sebanyak lebih dari 65,000 unit.

    Bulan lalu Mitsubishi baru sahaja mendedahkan SUV segmen-B ASX generasi baharu di Eropah. Walau bagaimanapun model yang sebenarnya Renault Captur tetapi diberikan logo Mitsubishi berkenaan mungkin hanya akan dijual untuk pasaran Eropah. Manakala pasaran lain termasuk Australia masih akan menerima ASX facelift generasi sebelumnya.

    Jadi ada kemungkinan model konsep yang akan didedahkan ini adalah model pengganti ASX yang sudah pun berada lebih 12-tahun dalam pasaran. Model ini dilihat agak penting untuk Mitsubishi kerana SUV segmen-B merupakan pilihan yang agak popular untuk pengguna di rantau ASEAN.

    Apa pun, kita tunggu sahaja kemunculan rasmi model konsep terbaharu dari Mitsubishi ini pada hari Rabu nanti!

     
     
  • PANDU UJI: Toyota Corolla 1.8G 2022 – sedan yang masih relevan, sedap dipandu dan sesuai untuk wanita

    PANDU UJI: Toyota Corolla 1.8G 2022 – sedan yang masih relevan, sedap dipandu dan sesuai untuk wanita

    Sejak hampir sedekad ini, kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya golongan wanita lebih cenderung memilih kenderaan utitili sukan atau SUV. Malahan kecenderungan ini menambahkan langkah syarikat pengeluar kenderaan untuk lebih giat mengeluarkan model SUV memandangkan permintaannya yang kian memberangsangkan.

    Walau bagaimana pun, ini tidak bermakna model sedan makin kurang mendapat sambutan, cuma kini ia seakan bukan lagi pilihan utama. Jualan beberapa model sedan di pasaran masih lagi relevan, walau mungkin ada yang tidak sekencang SUV. Antara pengeluar kenderaan yang mempunyai model sedan yang masih relevan di pasaran tempatan termasuklah Toyota menerusi model Corolla generasi ke-12.

    Seperti mana yang pernah dilaporkan sebelum ini, namanya telah berubah. Corolla merupakan satu nama yang sangat dikenali diperingkat global. UMW Toyota (UMWT) juga telah menggugurkan penjenamaan Altis dari material pemasaran model ini; sebuah nama yang digunakan untuk kereta segmen-C berkenaan di pasaran Asia Tenggara sejak generasi kesembilan lagi. Namun, lencana Altis masih akan dikekalkan pada kereta in.

    Sebelum saya bercerita lebih mendalam mengenai sedan ini, untuk pengetahuan anda, ulasan pandu uji ini adalah atas permintaan khas daripada UMWT yang inginkan pendapat atau perspektif daripada seorang pemandu wanita untuk pemandu wanita yang lain. Tetapi kaum lelaki pun boleh membacanya, manalah tahu ada di kalangan anda yang ingin mencari-cari kereta baharu untuk si isteri.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Toyota Veloz 2022 – pelancaran di Malaysia pada 18 Okt ini; kembar Perodua Alza, harga anggaran RM95k

    Toyota Veloz 2022 – pelancaran di Malaysia pada 18 Okt ini; kembar Perodua Alza, harga anggaran RM95k

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengesahkan bahawa MPV tujuh-tempat duduk baharunya iaitu Veloz bakal dilancarkan secara rasmi esok, 18 Oktober 2022. Majlis pelancaran berkenaan akan disiarkan secara langsung di laman Facebook dan saluran YouTube UMWT pada pukul 8 malam.

    Model gantian untuk Toyota Avanza berkenaan telah pun dibuka untuk tempahan pada bulan Jun lalu, dan sehingga 9 September, tempahannya telah mencecah 5,200 unit.

    Seperti yang diketahui, Veloz juga merupakan kembar terus kepada Perodua Alza 2022 yang telah pun dilancarkan pada 20 Julai 2022. Ia diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) pacuan roda hadapan yang jauh lebih model dari casis ladder frame pacuan roda belakang Avanza generasi sebelumnya.

    Veloz juga menerima unit rangkaian kuasa yang sama dengan Alza, dijana oleh enjin petrol 2NR-VE 1.5 liter empat silinder NA berkuasa 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm pada 4,200 rpm, bersama padanan kotak gear D-CVT automatik. Malah Veloz juga sebenarnya dipasang di kilang Perodua yang terletak di Sg. Choh bersama-sama Alza, seperti kembar Perodua Aruz iaitu Toyota Rush.

    Antara perincian yang sudah disahkan untuk Veloz oleh UMWT sebelum ini termasuk sistem infotaimen Display Audio dengan skrin 9-inci bersama sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, paparan instrumen digital dengan skrin tujuh-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar, brek parkir elektronik (EPB) dengan fungsi auto brake hold, lampu hadapan LED, rel bumbung, serta sistem telematik.

    Ia juga menerima pakej sistem bantuan pemanduan keselamatan Toyota Safety Sense yang memberikan fungsi termasuk Pre-Collision System (brek kecemasan automatik) dan juga Adaptive Cruise Control.

    Sebelum ini UMWT sudahpun mengumumkan bahawa Veloz bakal dijual pada harga anggaran atas jalan tanpa insuran RM95,000, atau RM20k lebih mahal berbanding model varian tertinggi Alza iaitu Alza AV. Jadi apa kelebihan dan perbezaan antara Veloz dan Alza? Kami sudahpun menyediakan satu artikel berkenaan perkara tersebut yang boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Toyota Veloz pasaran Malaysia

     
     
  • JPJ eBid: Siri plat nombor BRE bakal dibuka bidaan

    JPJ eBid: Siri plat nombor BRE bakal dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran bagi kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia bakal boleh dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Selangor, BRE, bakal dibuka bidaan mulai 20 Oktober 2022. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 24 Oktober ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 25 Oktober 2022. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Lebuhraya DASH – orang ramai dilihat ‘melepak’ di lorong kecemasan; bakal berlaku kemalangan?

    Lebuhraya DASH – orang ramai dilihat ‘melepak’ di lorong kecemasan; bakal berlaku kemalangan?

    Tidak seperti Lebuhraya SUKE, Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang baru dibuka minggu lalu tidak menyajikan pemandangan yang benar-benar cantik. Tapi nampaknya lorong kecemasan di Lebuhraya DASH turut tidak terkecuali dari menjadi ‘tempat lepak’ dan bersantai untuk sesetengah pengguna lebuhraya tersebut.

    Gambar ini dirakam semalam – dapat dilihat sekumpulan penunggang motosikal dan pemandu kereta memarkir kenderaan masing-masing di lorong kecemasan Lebuhraya DASH berkenaan berhampiran persimpangan Puncak Perdana dan juga selepas plaza tol Kota Damansara. Penunggang-penunggang dan juga pemandu-pemandu tersebut dilihat bersantai sambil menikmati pemandangan di kawasan berkenaan.

    Apa yang dilakukan tersebut bukan sahaja akan menggangu perjalanan kenderaan-kenderaan seperti trak bomba dan ambulans, malah berpotensi menyebabkan kemalangan seperti yang berlaku di SUKE sebelum ini di sebuah motosikal merempuh bahagian belakang sebuah Perodua Myvi yang diparkir di lorong kecemasan sementara pemandunya menikmati pemandangan sekitar.

    Sekiranya berlaku kemalangan seperti itu, anda mungkin akan disiasat di bawah kaedah 16 LN 166/59 iaitu halangan sehingga menyebabkan kemalangan, dan individu yang cuai menyebabkan kemalangan boleh dikompaun sehingga RM300. Kompaun mungkin boleh di bayar, tetapi jika ia melibatkan kemalangan jiwa bagaimana?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024