Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Peugeot 308 baharu tiba pada 2020 – PHEV GTi 300 hp

    Peugeot 308 baharu tiba pada 2020 – PHEV GTi 300 hp

    Peugeot 308 generasi akan datang dilaporkan bakal diperkenalkan pada 2020, menurut portal permotoran Perancis Cadarisiac. Bagi model semasa yang diperkenalkan pada 2013, ia merupakan Peugeot pertama yang menggunakan semula nombor (308) sedia ada dan versi baharu juga akan meneruskan trend dengan perubahan yang lebih besar di bawah nama yang sama.

    Laporan tersebut turut menyebut 308 baharu banyak meminjam elemen yang sedia ada pada abangnya, 508 baharu – walau pun tidaklah begitu mirip dengan rupa sedan tersebut. Ia dijangka mengadaptasi beberapa rekaan termasuk lampu nyalaan siang LED, logo model di hadapan kereta, permukaan sisi badan yang ringkas dan garisan bumbung yang rendah untuk aerodinamik yang lebih baik. Kereta ini juga dibina di bawah evolusi platform EMP2 seperti model semasa.

    Peugeot 308 baharu tiba pada 2020 – PHEV GTi 300 hp

    508 baharu meminjamkan pelbagai elemen rekaan dan teknologi baharu kepada 308 baharu

    Oleh itu, ia turut mendakwa pembeli akan mendapat spesifikasi baharu bagi 308 ini termasuk peredam adaptif pada varian tertinggi, sama seperti 508. Struktur badan juga akan menggunakan teknik sambungan badan 508 – yang menggunakan gabungan kimpalan dan pelekat – serta peningkatan penggunaan material yang lebih ringan, sekaligus membuatkan berat badannya lebih ringan dan meningkatkan ketegaran strukturnya, tambah laporan terbabit.

    Di bawah bonetnya, 308 baharu ini ditawarkan dengan dua pilihan enjin diesel dan petrol, termasuk 1.2 liter tiga-silinder dan 1.6 liter empat-silinder PureTech bagi enjin petrol, dan juga 1.5 liter BlueHDi turbodiesel. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan yang sama ditawarkan pada model semasa, serta standard manual enam-kelajuan.

    Peugeot 308 baharu tiba pada 2020 – PHEV GTi 300 hp

    GTI akan datang dikhabarkan dijanakan oleh enjin elektrik pacuan semua-roda seperti yang dipertontonkan oleh model konsep 308 R HYbrid

    Berita yang paling menarik ialah model GT dan GTi akan menjadi plug-in hybrid pada generasi akan datang. Yang pertama akan menggunakan enjin petrol dan motor elektrik untuk menyalurkan kuasanya ke roda hadapan dengan kuasa maksimum 220 hp. Walau bagaimana pun GTi pula dikhabarkan memiliki ciri tambahan motor elektrik belakang yang menyalurkan kuasa pacuan semua-roda – teknologi pertama yang dilihat pada model konsep 308 R HYbrid – dengan hamburan kuasa 300 hp.

    Laporan lain turut menyebut ciri baharu termasuk sistem infotainmen yang lebih intuitif, paparan instrumen digital dan pilihan untuk menambah ciri sedia ada. 308 baharu ini dijangka bakal menerima bantuan pemandu yang lebih banyak, seperti kawalan kelajuan adaptif dan bantuan kekal lorong untuk pemanduan sendiri Tahap 2. Peningkatan pada brek kecemasan sendiri dan sistem bantuan parkir juga dipertingkatkan.

     
     
  • Prototaip SUV Proton pemanduan sebelah kanan buat kemunculan – diuji Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir

    Prototaip SUV Proton pemanduan sebelah kanan buat kemunculan – diuji Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir

    SUV pertama Proton yang diasaskan dari Geely Boyue telah diumumkan bakal membuat kemunculan sulungnya pada akhir September atau awal Oktober tahun ini, namun sehingga kini unit prototaip sebenar dengan pemanduan sebelah kanan masih belum kelihatan muncul diuji di atas jalan raya tempatan. Tetapi apa yang mengejutkan, baru sebentar tadi laman facebook rasmi Perdana Menteri Malaysia memuat naik gambar unit berkenaan telah pun ditontonkan kepada Tun Dr Mahathir Mohammed dipejabatnya yang terletak di Putrajaya.

    Kapsyen pada gambar-gambar tersebut menyebut “YAB Perdana Menteri menerima kunjungan wakil DRB-HICOM dan Geely Group bagi membincangkan hala tuju syarikat automotif Proton Jumaat lalu di pejabatnya di Kuala Lumpur. YAB Tun Dr Mahathir juga diberi peluang untuk memandu sendiri Proton SUV yang belum lagi dilancarkan.”

    Tiada gambar penuh didedahkan, walau bagaimanapun dapat dilihat unit SUV berwarna merah tersebut mempunyai berberapa perincian yang sedikit berbeza dari Boyue facelift yang telah membuat kemunculan pada awal tahun ini.

    Perbezaan ketara dapat dilihat adalah pada gril hadapannya, di mana unit gril dengan rekaan expanding cosmos Geely telah digantikan dengan unit menerapkan elemen tiga jalur melintang. Sudut gambar yang diberikan tidak dapat dipastikan sama ada logo Proton sudah diberikan atau pun tidak, tetapi dengan gril baharu sepenuhnya ini, berkemungikan ia telah menerima imej kepala harimau berkenaan.

    Prototaip SUV Proton pemanduan sebelah kanan buat kemunculan – diuji Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir

    SUV tersebut juga nampaknya menampilkan rekaan bampar dengan apron yang lebih agresif sama seperti pada Boyue facelift, namun ia dipadankan dengan rim 18-inci lima jejari berkembar dari model Boyue terdahulu. Perincian lain yang dapat diperhatikan adalah lencana T-GDI pada pintu hadapan bagi mengesahkan ia dari versi janaan enjin 1.8 liter turbo dengan suntikan bahan api terus, bumbung suria dan juga upholsteri dalaman dengan tempat duduk dibaluti kulit berwarna perang.

    April lalu, Proton telah mendedahkan ciri-ciri yang bakal dilengkapi pada Boyue versi mereka yang nampaknya diambil terus dari versi facelift terbaharu. Antara ciri-ciri berkenaan termasuk sistem pemantau titik buta, brek kecemasan automatik (AEB), cruise control adaptif, amaran keluar laluan dan juga lampu tinggi automatik.

    SUV ini turut didatangkan dengan pembersih udara pintar, sistem pemantau angin tayar, kamera 360-darjah dan juga sistem infotaimen bersama skrin sesentuh lapan-inci lengkap dengan hubungan internet 4G dan juga aplikasi mudah alih serta fungsi kawalan jauh menerusi telefon pintar.

    Proton sudah pun membuka peluang orang ramai untuk menamakan SUV ini menerusi pertandingan yang telah diumumkan lebih dua bulan lalu, dan model ini dijangka akan membuat pra-penampilannya bulan hadapan. Semasa dilancarkan nanti, SUV berkenaan akan hadir dalam versi diimport sepenuhnya dari China (CBU), manakala versi pemasangan tempatan akan mula dihasilkan tahun hadapan.

     
     
  • Volkswagen Jetta Bonneville – petunjuk versi prestasi

    Volkswagen Jetta Bonneville – petunjuk versi prestasi

    Volkswagen America telah menyiapkan sebuah Jetta 2019 khas untuk percubaan mencatat rekod dalam kelas BGC/C oleh Southern California Timing Association di Bonneville, Utah, Amerika Syarikat Ogos nanti. Kereta ini menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter turbo EA888 dengan direct injection (enjin asal Jetta 2019 adalah 1.4L turbo) yang telah diubah suai.

    Jumlah kuasa keseluruhan tidak didedah, tetapi ia memberi petunjuk awal kepada kemampuan enjin ini kerana nanti ia akan digunakan pada varian prestasi Jetta GLI. Bentuk badan Jetta Bonneville ini tidak diubah kerana Volkswagen mahu mengambil manfaat daripada bentuk asal yang sudah aerodinamik, dengan kadar rintangan cuma 0.27. Harapan Volkswagen, kereta ini dapat memecahkan rekod 208.472 mph (335.50 km/j) sekarang.

    Volkswagen Jetta Bonneville – petunjuk versi prestasi

    “Melalui percubaan mencatat rekod kelajuan di Bonneville menggunakan Jetta ini, kami mahu mempertengahkan ciri sporty yang ada padanya dan menaikkan rasa semangat kepada pelanggan dengan ketibaan model berorientasikan prestasi, iaitu Jetta GLI nanti,” kata CEO Volkswagen North America, Hinrich J. Woebcken, CEO of the North America Region, Volkswagen.

    Modifikasi lain yang dilakukan pada Jetta ini, supaya ia boleh bergerak laju atas litar pasir garam luas itu adalah suspensi yang direndahkan, rim dan tayar khas Bonneville dan unit limited-slip differential (SD) untuk menambah cengkaman. Bahagian dalam pula telah dikosongkan dan dipasang dengan roll-cage, tempat duduk bucket, tali pinggang lumba dan sistem pemadam kebakaran. Untuk menghentikannya, brek payung terjun diletakkan di belakang.

     
     
  • VW I.D. R kini jentera terpantas daki Pikes Peak!

    VW I.D. R kini jentera terpantas daki Pikes Peak!

    Jentera perlumbaan elektrik sepenuhnya, Volkswagen I.D R Pikes Peak kini disahkan sebagai kereta paling pantas mendaki Pikes Peak International Hill Climb setelah pemandunya, Romain Dumas berjaya mencatatkan masa 7 minit 57.148 pada laluan berkenaan. Rekod baharu yang dicatatkan tersebut bukan sekadar memecahkan rekod lama, malah ia sebenarnya jauh lebih pantas dari rekod yang dibuat oleh Sébastien Loeb menggunakan Peugeot T16 Pikes Peak sebelum ini dengan perbezaan 16 saat!

    Bukan sahaja memadamkan rekod keseluruhan, VW I.D R Pikes Peak dengan bekalan kuasa 680 PS/650 Nm ini turut menamatkan laluan sejauh 19.99 km dengan 156 selekoh itu dengan memecahkan rekod kereta elektrik yang dibuat oleh Rhys Millen yang memandu e0 PP100 pada 2016 dengan catatan masa 8 minit 57.118 saat.

    Menurut Volkswagen, kereta tersebut menerima kuasa elektriknya menerusi generator yang diletakkan pada kaki bukit Pikes Peak. Apa yang menarik, unit generator berkenaan dijana oleh glycerol, iaitu bahan api yang dihasilkan dari gula alkohol dan boleh didapati sebagai produk sampingan dari pengeluaran biodiesel. Glycerol juga boleh terbakar dengan tidak menghasilkan asap yang berbahaya atau residue.

    VW I.D. R kini jentera terpantas daki Pikes Peak!

    Dengan menggunakan kuasa elektrik juga, kuasa kuda dan juga tork kereta lumba ini adalah kekal konsisten dari petak permulaan hingga garisan penamat, berbanding jentera-jentera yang dijana enjin pembakaran dalaman konvensional yang terjejas dengan masalah ketumpatan udara yang semakin berkurangan pada kedudukan bukit yang semakin tinggi.

    “Bagi menghasilkan keputusan ini, semuanya perlu hadir dengan sempurna – dari teknologi hingga ke pemandu. Cuaca juga memainkan peranan. Kesemuanya berlaku dengan sangat lancar merupakan perasaan yang menakjubkan, dan rekod Pikes Peak ini terhasil,” kata Dumas.

    “Ini merupakan hari yang hebat untuk Volkswagen dan salah satu yang kami sangat bangga. I.D R Pikes Peak merupakan jentera yang paling inovatif dan kompleks pernah dibina oleh Volkswagen Motorsport,” kata pengarah Volkswagen Motorsport, Sven Smeets.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Nissan Serena S-Hybrid C27 2018

    Nissan Serena S-Hybrid C27 2018 kini mempunyai posisi yang sangat menarik dalam pasaran tempatan. Pertama, ia satu-satunya MPV terkini dalam erti kata yang sebenar – merujuk kepada saiz, keluasan ruang dan praktikalitinya – yang ditawarkan untuk di Malaysia ketika ini. Pesaing-pesaing lain ketika ini sama ada merupakan model lama atau tidak mempu menandingi senarai penawaran yang diberikannya.

    Untuk itu, tidak hairanlah selepas dilancarkan awal Mei lalu, dalam tempoh kurang lebih sebulan sahaja ia sudah mencatatkan tempahan sebanyak 2,500 unit. Popularitinya dijangka semakin meningkat dalam tempoh pengecualian cukai yang sedang berlangsung ketika ini; harga bagi varian tertinggi Premium Highway Star tanpa GST kini ialah RM139,195.59, pengurangan sebanyak RM8,304.41 berbanding harga yang diumumkan ketika pelancarannya.

    Nissan Serena S-Hybrid C27 2018 ini sebenarnya diberikan banyak juga pembaharuan berbandi model lamanya. Semua ini menyumbang kepada pertambahan kelebihan bagi model terbabit. Misalnya, walaupun beralih dari model lapan-tempat duduk kepada tujuh-tempat duduk kini, ia lebih selesa untuk penumpang dengan penggunaan dua captain seat untuk barisan tengah.

    Begitu juga dengan bukaan pintu sisi secara elektronik dan tanpa perlu menggunakan kunci, bukaan pintu belakang melalui dua tahap yang tersedia untuk memudahkan pengguna memasukkan barang dalam keadaan ruang terhad serta penampilan visual yang lebih menarik dan segar berbanding model lama.

    Walaupun faktor sistem janaan kuasanya masih lagi menggunakan unit yang sama, terdapat juga penambahbaikan yang telah dibuat untuk menjadikannya lebih cekap dan menjimatkan bahan api. Ini termasuk unit motor elektrik yang digunakan, yang kini memberikan bantuan lonjakan dari keadaan pegun satu saat lebih cepat kepada MPV ini.

    Banyak lagi kelebihan-kelebihan yang ditawarkan oleh model ini, terutamanya jika anda menilainya secara adil sebagai sebuah MPV untuk kegunaan seisi keluarga. Tonton video yang kami sediakan ini, yang antara lain meninjau segenap sudut model ini dan bagaimana ia dapat memudahkan urusan anda dan menjadi sebuah kenderaan yang sangat praktikal.

    Nissan Serena S-Hybrid C27 2018

     
     
  • TNGSB umumkan penamatan perkhidmatan selepas jualan untuk peranti SmartTag bagi model OBU 330

    TNGSB umumkan penamatan perkhidmatan selepas jualan untuk peranti SmartTag bagi model OBU 330

    Touch ‘n Go Sdn Bhd (TNGSB) telah memaklumkan perkhidmatan selepas jualan bagi peranti SmartTag model OBU 33O bakal ditamatkan berkuatkuasa 1 Julai 2018. Syarikat itu berkata, peranti yang telah digunakan lebih 10 tahun itu menyebabkan komponen untuk pembaikannya telah usang, terhad dan beberapa bahagian dalamannnya kini tidak dapat diperoleh lagi.

    Bagaimana pun, bagi pelanggan yang masih menggunakan peranti berkenaan, mereka boleh terus menggunakannya seperti biasa kerana makluman ini tidak menjejaskan fungsi operasi sedia ada.

    Namun demikian, selepas tarikh 1 Julai ini, TNGSB tidak akan menerima sebarang permintaan untuk membaiki model ini dan memohon maaf jika para pelanggan mengalami kesulitan berkaitan dengan perkara ini.

     
     
  • Lamborghini teguh pertahan enjin tanpa turbo untuk supercar, namun bakal guna teknologi hibrid elektrik

    Lamborghini teguh pertahan enjin tanpa turbo untuk supercar, namun bakal guna teknologi hibrid elektrik

    Disaat pengeluar-pengeluar kereta berprestasi tinggi kini mula mengecilkan sesaran kapasiti enjin dan menggunakan suapan pengecas turbo, Lamborghini masih kekal mempertahankan identiti supercar mereka dengan enjin V12 dan V10 tanpa teknologi induksi paksaan tersebut (kecuali super SUV Urus menggunakan enjin V8 turbo).

    Menurut laporan Autocar, pengarah teknikal Lamborghini, Maurizio Reggiani berkata bahawa beliau tidak menerima sebarang tekanan dari mana-mana pihak bagi mengurangkan jumlah silinder pada enjin model-model supercar syarikatnya untuk masa-masa akan datang.

    “Setiap kereta mempunyai misi, dan berdasarkan misi yang anda perlu pilih enjin yang sesuai. Untuk [SUV Urus] keputusannya adalah turbo, tetapi kami akan terus memilih enjin NA untuk kereta super sport. Pada masa hadapan, kami perlu mengambil kira penggunaan bahan api dan pencemaran. Saya yakin bahawa enjin NA digabungkan dengan sistem hibrid merupakan jawapan yang tepat,” jelas Reggiani.

    Lamborghini teguh pertahan enjin tanpa turbo untuk supercar, namun bakal guna teknologi hibrid elektrik

    Pengganti Huracán dijadualkan bakal membuat kemunculannya pada tahun 2022, dan ia dijangka bakal menampilkan unit janakuasa hibrid plug-in. Walau bagaimanapun Reggiani membayangkan bahawa Aventador yang bakal diperkenalkan sebelum 2022 juga akan diberikan teknologi elektrik pada unit janakuasanya.

    Namun, Reggiani menegaskan mereka masih perlu mengekalkan karekter asal model tersebut walaupun berat tambahan pastinya akan menjadi isu kerana pelbagai komponen tambahan perlu dipadankan untuk sistem hibrid terutamanya sel bateri yang bersaiz besar. “Kami perlu menghasilkan semula ikon tersebut tanpa [kehilangan] karekteristik kereta sedia ada: gentian-karbon, enjin NA V12 dan komponen lain. Melihat kehadapan, jika ianya hibrid, jadi bagaimana kami perlu mengimbangi beratnya?” soal Reggiani.

    Menurutnya, bateri merupakan kegusaran yang besar kerana pek bateri berkenaan memerlukan jumlah sel yang banyak. Buat masa sekarang, Lamborghini sedang dalam projek bersama Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Boston bagi menghasilkan panel badan gentian karbon yang turut boleh berperanan sebagai tempat penyimpanan bateri serta konduktor super, seperti yang telah ditunjukkan pada model konsep Terzo Millenio.

    Lamborghini teguh pertahan enjin tanpa turbo untuk supercar, namun bakal guna teknologi hibrid elektrik

    Beliau turut menjelaskan bahawa unit janakuasa elektrik ini mungkin boleh melancarkan transmisi klac-tunggal Aventador sedia ada yang kadang-kala terlalu agresif. “Anda boleh gunakan motor elektrik bagi memastikan anda tidak mempunyai gangguan tork,” terangnya.

    Pengganti Aventador akan terus menggunakan enjin V12 NA, begitu juga dengan Huracán yang akan terus dijana enjin V10. “Reaksi anda terhadap enjin 10-silinder tidak dapat dihasilkan dalam bentuk lain. Ini yang pelanggan kami suka. Kenapa saya perlu buat benda berbeza? Jika saya percayakan enjin NA, kenapa perlu guna enjin V8 atau V6 yang lebih rendah? Saya Lamborghini, saya adalah yang teratas dari yang paling atas untuk kereta super sports. Saya mahu kekal ditempat saya,” tegas Reggiani.

     
     
  • Keselamatan semua pihak adalah sama penting – Grab

    Keselamatan semua pihak adalah sama penting – Grab

    Dalam satu post di Facebook, Grab Malaysia menyatakan mereka memberi keutamaan yang sama terhadap keselamatan pemandu-pemandunya jika dibandingkan dengan penumpang dan pengguna. “Keselamatan pemandu-pemandu kami adalah sama penting dengan keselamatan penumpang. Kami mengambil berat tentang perkara itu,” jelas Grab dalam kenyataan itu.

    Perkara ini adalah susulan kepada satu kejadian di mana seorang pemandu Grab dibunuh selepas menyelesaikan satu tugas menghantar penumpang, baru-baru ini. Menurut satu laporan The Sun, lelaki berkenaan yang dikenal pasti oleh polis berusia 27 tahun dari Nilai, ditemui mati di tempat duduk belakang keretanya di sebuah tempat letak kereta di Gombak, Sabtu lalu.

    Grab menyatakan beliau seorang pemandu yang “bekerja keras dan menunjukkan prestasi cemerlang”. Penumpang juga rata-ratanya sangat senang dengan perkhidmatannya. Grab mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berhadap kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu untuk tampil dan memberi keterangan kepada polis.

    Syarikat itu tahun lalu telah memperkenalkan beberapa langkah keselamatan, termasuk menyediakan dashcam percuma kepada 3,500 pemandu yang memberikan prestasi terbaiknya diseluruh negara. Grab juga menambah fungsi butang “Kecemasan” pada aplikasinya dan memperkenalkan sistem telematik untuk mengesan tabiat memandu yang merbahaya.

     
     
  • Chevrolet Blazer 2019 – kebangkitan nama lama

    Chevrolet Blazer 2019 – kebangkitan nama lama

    Chevrolet telah membangkitkan kembali plat nama lama untuk SUV saiz sederhana moden – yang diletakkan di antara model Equinox dan Traverse bagi barisan jenama ini untuk pasaran Amerika Utara. Blazer 2019 direncana untuk bersaing hebat dengan Ford Edge dan Jeep Grand Cherokee apabila ia berada di pasaran pada awal tahun hadapan.

    Dua pilihan enjin ditawarkan untuk SUV lima-tempat duduk ini, yang turut hadir dengan versi pacuan roda-hadapan dan pacuan semua-roda – dengan unit asas dipadankan bersama enjin Ecotec 2.5 liter empat-silinder (193 hp/255 Nm), serta 3.6 liter V6 (305 hp/365 Nm). Kedua-duanya adalah enjin suntikan-terus, turut menampilkan teknologi berhenti/mula, dipadankan dengan transmisi automatik sembilan-kelajuan.

    Barisan model termasuk dengan varian spesifikasi tertinggi Premier, yang turut didatangkan dengan gril unik dan kekemasan krom tambahan untuk luaran, serta versi yang lebih sporty RS, yang mudah dibezakan dengan unsur berwarna hitam.

    Berkenaan dengan rekaannya, ia menampilkan lampu utama HID yang diposisikan sedikit rendah, lampu belakang LED dengan dwi-elemen, ekzos dengan dwi-corong dan spoiler belakang. Turut diberikan beberapa pilihan untuk roda – standard didatangkan dengan aloi 18-inci, dan unit 21-inci bagi RS dan Premier.

    SUV ini turut mendapat beberapa pilihan warna dan kekemasan bagi dalaman, dan elemen yang menarik termasuk pengecas tanpa wayar, enam USB port dan kota penyimpanan dengan pengunci elektronik yang mampu memuatkan beg tangan bersaiz kecil, ia turut dilengkapi dengan ciri keselamatan Valet Mode. Turut ditampilkan termasuklah sistem Chevrolet Infotainment 3 dengan skrin sesentuh berwarna lapan-inci bersama ketersambungan Apple CarPlay/Android Auto dan LTE Wi-Fi.

    Blazer baharu ini turut menawarkan sistem pengurusan kargo, tang menampilkan sistem rel dan pagar kargo untuk membantu melindungi barangan kecil yang diletakkan di bahagian kargo. Selain itu, tempat duduk barisan-kedua yang boleh dilaraskan juga boleh dibaringkan rata, Blazer turut menawarkan dek belakang dengan kapasiti 1,818 liter untuk ruang kargo. Pintu belakang larasan berkuasa bebas-tangan juga ditampilkan bagi kemudahan akses.

     
     
  • Volvo bakal lengkapi sistem autonomous Tahap 4 pada model XC90 generasi akan datang menjelang 2021

    Volvo bakal lengkapi sistem <em>autonomous</em> Tahap 4 pada model XC90 generasi akan datang menjelang 2021

    Volvo telah mengumumkan rancangan syarikat itu untuk memperkenalkan teknologi pemanduan autonomous tahap 4 pada tahun 2021. Kemungkinan besar ia akan disertakan pada model generasi seterusnya SUV XC90 kelak. Volvo akan membangunkan XC90 baru itu dikilangnya di South Carolina.

    Naib Presiden Kanan Volvo, Hendrik Green memberitahu The Car Connetion bahawa XC90 generasi seterusnya mampu membawa “penumpang tidur” ke destinasi mereka, walaupun hanya pada laluan yang terhad. “Itu matlamatnya,” jelas beliau. Ura-ura menyebut ciri berkenaan akan dipanggil Highway Assist, versi yang lebih maju bagi sistem Pilot System sedia ada.

    Bagaimanapun, Hendrik menjelaskan sistem berkenaan hanya akan ditawarkan sebagai pilihan premium, dan berada di antara kos tambahan empat angka; harga tepatnya masih belum ditentukan. Teknologi pemanduan semi-autonomous Tahap 4 masih belum ditawarakan secara meluas kepada pengguna umum ketika ini. Sistem berkenaan juga memerlukan campur-tangan pemandu dalam situasi kecemasan.

    Volvo bakal lengkapi sistem <em>autonomous</em> Tahap 4 pada model XC90 generasi akan datang menjelang 2021

    Volvo sebelum ini telah menguji sistem yang sama di perkarangan ibupejabat syarikat itu di Gothenburg, Sweden. Ia juga turut dibekalkan dalam jumlah yang kecil bagi tujuan ujian pemanduan sendiri kenderaan fleet, misalnya seperti yang dilakukan oleh Uber.

    Hendrik menjelaskan, program Highway Assist berkenaan menggunakan maklumat dari pendekatan cloud dan tidak bergantung kepada sistem komunikasi kenderaan-kepada-infrastruktur. Sebaliknya, ia akan menggunakan pendekatan pengesanan jarak, dengan radar serta kamera yang tersedia di dalam kereta. Menurut Volvo, langkah seterusnya adalah untuk bekerjasama dengan penguatkuasa setempat bagi meluluskan sistem pemanduan sendiri seperti itu.

     
     
  • Aseel Al Hamad ‘sesah’ Jaguar F-Type di litar sempena wanita dibenarkan untuk memandu di Arab Saudi

    Sempena pemansuhan larangan memandu untuk golongan wanita di Arab Saudi semalam, 24 Jun 2018, pelumba wanita dari negara tersebut, Aseel Al Hamad diberi peluang oleh Jaguar untuk memandu jentera sport F-Type di atas litar di negara berkenaan bagi meraikan hari bersejarah tersebut. Menurut Jaguar lagi, mereka turut menamakan tarikh berkenaan sebagai “Hari Memandu Sedunia” dan menggalakkan orang ramai berkongsi pengalaman memandu mereka dengan tanda pagar #worlddrivingday.

    “Saya cintakan kereta sejak dari kanak-kanak, hari ini merupakan detik yang sangat beremosi untuk saya. Ini merupakan detik memandu terbaik dalam hidup saya. Tiada lagi cara yang lebih baik untuk memulakan Hari Memandu Sedunia dengan melakukan pusingan lap penghormatan di tanah air sendiri dengan Jaguar F-Type – kereta yang hebat untuk mengaum di dalam litar. Saya harap masyarakat dunia akan berkongsi kegembiraan kami hari ini dengan berkongsi kisah memandu mereka menggunakan #worlddrivingday,” kata Aseel.

    Sambutan Hari Memandu Sedunia ini dijalankan oleh Jaguar bagi menggalakan masyarakat bagi memperingati peristiwa bersejarah ini dan apa ertinya pada wanita, untuk Arab Saudi dan juga perkembangan dunia secara am. Jenama kereta sport dari British tersebut turut bekerjasama dengan lebih 40 universiti dan institusi akademik dari seluruh dunia untuk penyelesaian mobiliti masa hadapan.

    Jaguar turut menjalinkan kerjasama dengan universiti-universiti di Arab Saudi bagi menyertai jaringan antarabangsa berkenaan. Kerjasama tersebut akan diumumkan kemudian tahun ini, yang bakal menyaksikan pertukaran pelbagai idea dan pandangan dari bakat-bakat muda di Arab Saudi bagi membentuk Jaguar kearah inovasi ACES iaitu masa hadapan pemanduan sendiri, terhubung, teknologi elektrik dan perkongsian.

    “Sangat mudah untuk melupakan dan mengambil ringan keseronokan memandu dan apa keistimewaannya untuk berada di belakang roda stereng sebuah kereta. Hari Memandu sedunia adalah komitmen Jaguar bagi meraikan saat penting bagi lelaki dan wanita setiap tahun. Tahun ini, kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan pelajar-pelajar hebat dari Arab Saudi bagi membentuk mobiliti masa hadapan untuk masyarakat seluruh dunia,” kata jurucakap dan pengarah pengalaman pelanggan Jaguar Land Rover, Fiona Pargeter.

    Pengumuman pemansuhan larangan memandu untuk wanita di Arab Saudi ini telah pun diumumkan pada September tahun lalu. Ia adalah sebahagian agenda perubahan ekonomi yang dibuat oleh Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman dalam rancangan yang dikenali sebagai Visi 2030. Visi berkenaan adalah untuk membolehkan wanita bergerak dengan lebih bebas, sekaligus memberikan ruang kepada mereka bagi bersama-sama membangunkan negara.

     
     
  • Saman trafik catat penurunan sebanyak 19% dalam Ops Bersepadu sepanjang Aidilfitri 2018 – KP JPJ

    Saman trafik catat penurunan sebanyak 19% dalam Ops Bersepadu sepanjang Aidilfitri 2018 – KP JPJ

    Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Seri Shaharuddin Khalid mengesahkan jumlah saman trafik yang dikeluarkan sepanjang operasi sempena Hari Raya Aidilfitri 2018 menunjukkan penurunan sebanyak 19% iaitu 30,820 saman berbanding 37,913 saman musim perayaan sama tahun lalu.

    Menurutnya, beberapa strategi berbentuk pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh JPJ sepanjang operasi terbabit, rondaan bermotosikal membantu mengurangkan kemalangan, laporan Berita Harian.

    Selain rondaan membabitkan 200 motosikal JPJ di ‘kawasan panas’ di seluruh negara yang diperkenalkan tahun ini, pegawai dan anggota meneruskan strategi menyamar sebagai penumpang bas sepanjang operasi berkenaan sejak 8 Jun lalu dan telah berakhir semalam.

    Katanya lagi, menerusi strategi rondaan bermotosikal, sebanyak 5,341 saman dikeluarkan oleh peronda motosikal dan antara kesalahan dikesan termasuk tidak mempunyai lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh.

    “Pada masa sama, kita turut mengadakan Ops Khas Motosikal pada 12 dan 13 Jun lalu di seluruh negara, yang mana kita membuat pemeriksaan terhadap 25,304 motosikal dan daripada jumlah itu kita mengeluarkan sebanyak 4,400 saman,” katanya kepada pemberita kelmarin.

    Saman trafik catat penurunan sebanyak 19% dalam Ops Bersepadu sepanjang Aidilfitri 2018 – KP JPJ

    Shaharuddin berkata dalam masa yang sama, sebanyak 35,948 saman dikeluarkan berdasarkan kesalahan yang dikesan menerusi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

    “Semua saman berkenaan membabitkan kesalahan melebihi had laju iaitu sebanyak 33,727 saman manakala bagi kesalahan melanggar arahan lampu isyarat sebanyak 2,221 saman dikeluarkan. Setakat ini sebanyak 47 kamera AWAS ditempatkan di seluruh negara termasuk 17 daripadanya di semua lebuh raya,” katanya.

    Selain itu, operasi secara penyamaran pegawai JPJ dalam bas ekspres pula pihaknya mengeluarkan 658 saman ke atas bas termasuk 139 daripadanya terhadap pemandu kenderaan awam itu.

    “Di semua terminal bas di seluruh negara, kita buat pemeriksaan pemandu dan secara keseluruhannya seramai 11 pemandu bas positif dadah dalam ujian awal air kencing, yang mana jika disabit kesalahan kita boleh membatalkan lesen memandu mereka,” katanya.

     
     
  • Honda CB1000R dan CB250R dilancarkan di Malaysia – harga jualan masing-masing RM74,999 dan RM22,999

    Honda CB1000R dan CB250R dilancarkan di Malaysia – harga jualan masing-masing RM74,999 dan RM22,999

    Pada bulan Februari yang lalu, Boon Siew Honda (BSH) telah mengumumkan model Neo Sports Cafe CB1000R akan tiba di pasaran Malaysia dengan harga jangkaan bawah RM90,000. Kini, ia sudah pun dilancarkan secara rasmi dan harga yang ditetapkan jauh lebih rendah iaitu RM74,999. Pada hari yang sama, BSH turut melancarkan sebuah lagi model naked iaitu CB250R pada harga RM22,999.

    CB1000R pertama kali diperkenalkan kepada orang ramai semasa EICMA 2017, dan ia menggunakan enjin sama seperti CBR1000R, iaitu unit empat silinder 998 cc DOHC, namun kini dinaik taraf dengan piston diperkuat, angkatan injap lebih tinggi, injap lebih besar, lubang pemasukan angin lebih besar dan kebuk pembakaran bentuk baru yang dapat meningkatkan pergerakan udara serta tork di tahap pertengahan rpm.

    Nisbah gear model ini juga dikurangkan sebanyak 4% untuk pecutan lebih baik, dan ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan yang mempunyai klac assist/slipper yang lebih ringan. Sistem ekzos 4-2-1 baru turut dipadankan pada motosikal ini, dan ia adalah 4.5 kg lebih ringan dan dapat memberikan lebih tork semasa rpm tinggi.

    Kelengkapan lain yang ada pada CB1000R 2018 adalah empat mod tunggangan (Standard, Sport, Rain, User), kesemua lampu LED, pemegang yang 0.5 inci lebih lebar dan lebih tinggi, tayar lebih lebar (190/55 ZR17), fork hadapan Showa Separate Function Big Piston (SFF-BP), kerangka besi Mono-backbone dan sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC).

    Sementara itu, CB250R pula dikuasakan oleh enjin satu silinder 250 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair, bersama padanan transmisi enam kelajuan. Kuasa yang mampu dihasilkan aalah 27.2 hp pada 9,000 rpm dan 23.3 hp pada 8,000 rpm. Enjin ini juga menggunakan sistem suntikan PGM-FI, dan sebenarnya adalah unit sama seperti yang terdapat pada CBR250R pasaran Malaysia sekarang.

    Keistimewaan CB250R adalah ia mempunyai catatan berat cuma 145 kg, dan suspensi hadapannya menggunakan unit Showa USD 41 mm. Suspensi belakang pula adalah unit monoshock dengan pelarasan pra beban. Untuk brek, bahagian hadapan menggunakan cakera tunggal 296 mm bersama angkup Nissin empat piston manakala di belakang pula terdapat cakera 220 mm bersama angkup satu piston. Kedua-duanya juga disambungkan dengan sistem ABS two-channel.

    Informasi penting motosikal boleh dilihat melalui meter LCD digital tetapi ia tidak mempunyai penunjuk kedudukan gear. Walaubagaimanapun, pengguna disediakan dengan lampu tukar gear dan tangkinya boleh menyimpan 10.1 liter bahan api. Semua lampu pada motosikal ini juga adalah daripada unit LED.

    GALERI: Honda CB1000R

    GALERI: Honda CB250R

     
     
  • Program Pelapis MSF-TOC bermula dengan sesi teori

    Program Pelapis MSF-TOC bermula dengan sesi teori

    SONY DSC

    Kelas pertama Program Pelapis MSF-TOC, iaitu satu kerjasama antara Malaysia Speed Festival (MSF) dan Kolej Otomotif TOC telah pun bermula Rabu lalu, dan 76 daripada 80 pelajar yang mendaftar telah hadir untuk melengkapkan sesi pembelajaran secara teori.

    Topik pertama yang didedahkan kepada pelajar kursus ini adalah pengenalan kepada MSF, dengan termasuk bagaimana ia bermula, serta peraturan yang dikenakan sepanjang siri perlumbaan. Semua syarahan dilakukan sendiri oleh pengetua MSF, Adian Yein.

    Bagi peraturan, terdapat dua pecahan utama yang dikuat kuasakan oleh MSF iaitu Sporting dan Technical. Pada bahagian Sporting, ia melibatkan peraturan untuk memotong, memulakan perlumbaan, format, tingkah laku pelumba dan pelbagai lagi.

    Program Pelapis MSF-TOC bermula dengan sesi teori

    SONY DSC

    Dalam bahagian teknikal pula, pelajar didedahkan dengan pelbagai peraturan lain yang termasuk kapasiti enjin, modifikasi kenderaan yang dibenarkan dan tidak dibenarkan, syarat aerodinamik dan pelbagai lagi. Senarai penuh peraturan ini sebenarnya ada terdapat dalam laman web rasmi MSF.

    Sepanjang kelas berlangsung, Adian kerap menekankan aspek keselamatan dalam semua perkara, dan apabila pelajar sudah faham kesemuanya, mereka beralih pula kepada kategori yang terdapat dalam siri perlumbaan MSF. Ini adalah supaya pelajar sudah dapat mempunyai jangkaan keadaan sebelum betul-betul turun ke acara tersebut.

    Program Pelapis MSF-TOC bermula dengan sesi teori

    SONY DSC

    Secara keseluruhannya, Program Pelapis MSF-TOC ini akan melibatkan kursus 22-minggu dan apabila tamat, pelajar akan mempunyai pengetahuan tentang pelbagai perkara dalam perlumbaan seperti keselamatan acara dan pengawasan, kawalan perlumbaan dan disiplin pemandu, pemasaan dan pemilihan, penyediaan badan dan casis, pengubahsuaian enjin dan penyediaan, aerodinamik asas, penggantungan serta pengujian dan strategi.

    Jika tidak kerana kursus ini, perkara-perkara yang disebutkan sukar dipelajari oleh peserta. Selain daripada itu, pandangan mereka juga akan lebih terbuka kepada pelbagai kerjaya dalam industri ini seperti pengawal perlumbaan rasmi, penjaga masa, pemerhati proses, marsyal grid, pengurus pasukan, tukang tala enjin dan bermacam lagi. Perkara yang dipelajari semasa kursus ini juga sudah menyediakan mereka dengan pengetahuan yang diperlukan bagi kerjaya tersebut.

     
     
  • Polis digesa segera siasat sindiket ‘lesen memandu terbang’, masih tular di laman media sosial – Chung

    Isu ‘lesen memandu terbang’ masih tidak dapat dirungkai, kerana terdapat beberapa sindiket yang tetap aktif mempromosikan iklan tersebut di laman media sosial terutamanya di Facebook.

    Itu yang mendorong Pegawai Tugas-Tugas Khas di Pejabat Menteri Pengangkutan Chung Yi Fan untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini, hari ini mengenai gejala ini. Beliau turut berkata, sindiket haram berkenaan menawarkan lesen memandu di laman sosial dengan harga mencecah ribuan ringgit, laporan Bernama.

    “Kumpulan ini disyaki melakukan pemalsuan dokumen serta terlibat kegiatan rasuah. Tindakan menjual lesen adalah bertentangan dengan undang-undang dan saya berharap siasatan segera dijalankan oleh pihak polis untuk mencari serta mengesan kumpulan ini,” katanya kepada pemberita.

    Polis digesa segera siasat sindiket ‘lesen memandu terbang’, masih tular di laman media sosial – Chung

    Rabu lepas, sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina melaporkan wujud kumpulan yang menawarkan lesen memandu pada harga antara RM990 hingga RM2,900 tanpa perlu menjalani ujian serta latihan memandu.

    Menurut Chung, sindiket berkenaan menggunakan akaun palsu untuk membuat iklan penjualan lesen berkenaan. “Segala dokumen mengenai aktiviti kumpulan ini telah diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya,” katanya.

    Pada pertengahan Mei lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke merancang untuk menghapuskan amalan rasuah dan sogokan di dalam pengeluaran lesen memandu di negara ini. Dengan langkah ini, diharap tidak akan ada lagi pemandu yang mendapatkan “lesen terbang” atau dari mana-mana saluran tidak sah yang lain.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025