Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Nissan 400Z 2022 dilihat dalam warna kelabu pula

    Nissan 400Z 2022 dilihat dalam warna kelabu pula

    Minggu lepas, Nissan perkenalkan SUV Pathfinder dan trak pikap Frontier terbaru melalui sebuah acara maya. Turut tampil memberikan taklimat ringkas ialah ketua pereka Nissan, Alfonso Albaisa yang turut menyebut tentang model konsep Z Proto dipenghujungnya.

    Kereta itu menjadi petunjuk kepada model kereta sport akan datang oleh Nissan, dengan nama 400Z. Dan, versi warna kuningnya sudah pernah kelihatan sebelum ini. Tetapi, ada satu lagi versi yang baru dapat dilihat; model sama dalam warna kelabu.

    Dikesan oleh ahli forum NewNissanZ, kereta berkenaan nampak sangat mirip dengan Z Proto, melainkan dengn warna badan yang berbeza, yang kemungkinan besar akan menjadi warna baru bagi kereta sport berkenaan. Tidak ketinggalan, ada beberapa perbezaan lain berbanding model konsepnya.

    Nissan 400Z 2022 dilihat dalam warna kelabu pula

    Antara yang dimaksudkan ialah kereta tersebut menggunakan rim yang berbeza daripada Z Proto. Kit badan sisi pula nampak lebih ringkas, tanpa sebarang kemasan hitam. Tingkap cermin bahagian sisi yang paling kecil pula di tint habis, sementara lencana Z pada model konsep tidak lagi kelihatan.

    Khabar angin menyatakan bahawa ini mungkin menjadi versi produksi bagi Z Proto. Tetapi, mungkin juga ia hanyalah clay model kereta tersebut. Tentang unit enjin yang bakal digunakan pula, ada gambaran awal yang pernah dikongsi menunjukkan bahawa Z Proto menggunakan enjin 3.0 liter turbo berkembar V6 yang turut digunakan pada Infiniti Q60 Red Sport 400.

    Enjin berkenaan menghasilkan sebanyak 400 hp dan 475 Nm tork pada model coupe Infiniti itu. Output untuk kereta sport Nissan pula masih belum didedahkan, tetapi angka yang ada sudah lebih daripada mencukupi untuk membawakan aspirasi sport. Transmisi automatik akan melengkapinya, dan tentulah tidak ketinggalan versi manual enam-kelajuan yang akan ditawarkan sekali.

     
     
  • Proton X50 dijumpai di Thailand, bakal dilancarkan?

    Proton X50 dijumpai di Thailand, bakal dilancarkan?

    Proton X50 nampaknya telah dijumpai oleh Car Spotting Thailand dengan masih menggunakan pelekat samaran di atas jalan raya. Pembangunan khas untuk pasaran negara jiran itu kini sudah bermula, dan ia berlaku selepas Geely membuat pengumuman sedang membangunkan terjemahan Thai untuk sistem kawalan suara “Hi Proton” yang merupakan sebahagian daripada Geely Key User Interface (GKUI).

    Terjemahan asal daripada Mandarin kepada Bahasa Inggeris untuk sistem “Hi Proton” dibuat menggunakan kumpulan ayat, dan kemudiannya diterjemahkan pula kepada Bahasa Thai. Cara ini bagaimanapun tidak sempurna, dan sekarang khidmat pengguna asal bahasa tersebut digunakan untuk memberi saranan berkenaan budaya tempatan dan kebiasaan tempatan, seterusnya memberi konteks dan membantu sistem tersebut memahami arahan yang diberi.

    Di Malaysia, X50 Standard, Executive dan Premium menggunakan enjin petrol tiga silinder turbo 1.5L port fuel injection, yang mampu menghasilkan kuasa 150 PS dan 226 Nm, sementara varian Flagship paling tinggi menggunakan enjin yang sama tetapi dengan sistem direct injection untuk menghasilkan 177 PS dan 255 Nm tork. Transmisi kedua-duanya menggunakan unit klac berkembar tujuh kelajuan, untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan.

    Semasa pelancaran rasminya, Proton X50 telah menerima pengiktirafan lima bintang dalam ujian Asean NCAP, dan model yang bakal dipasarkan di Thailand juga akan menggunakan penarafan yang sama. Proton juga pernah mengumumkan bahawa jumlah eksport mereka pada tahun 2020 telah meningkat hampir 50% dan mempunyai rancangan untuk menggandakan lagi jumlah tersebut tahun ini.

    Pada bulan Januari tahun lepas, CEO Proton, Li Chunrong memberitahu Geely telah meminta Proton untuk mengembangkan lagi kehadirannya di serata benua Asia Tenggara, dengan memberi fokus kepada pasaran seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei.

     
     
  • Rapid KL sediakan 15 laluan tambahan untuk Bas Perantara LRT merah jambu mulai 18 Februari ini

    Rapid KL sediakan 15 laluan tambahan untuk Bas Perantara LRT merah jambu mulai 18 Februari ini

    Rapid Bus Sdn Bhd menerusi Rapid KL telah menambah 15 laluan tambahan bagi perkhidmatan Bas Perantara LRT berwarna merah jambu mulai 18 Februari ini. Perkhidmatan yang diperkenalkan sebagai projek perintis September adalah inisiatif bagi meningkatkan kemudahan untuk para penumpang.

    “Inisiatif ini adalah kesinambungan kepada projek perintis menggunakan bas berwarna merah jambu yang bermula pada 3 September tahun lalu, yang mana ia turut melibatkan penambahbaikan perkhidmatan Bas Perantara LRT di sepanjang 10 laluan, yang menghubungkan pengguna ke Stesen LRT Gombak, Taman Melati, Sri Rampai, Wangsa Maju, Setiawangsa dan Dato’ Keramat.

    “Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak kami untuk meningkatkan mutu perkhidmatan. Dengan penampilan baharu ini, kami mendapati bahawa para pelanggan dan orang ramai lebih senang membezakan di antara bas Perantara LRT dengan bas Rapid KL biasa,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Muhammad Yazurin Sallij.

    Rapid KL sediakan 15 laluan tambahan untuk Bas Perantara LRT merah jambu mulai 18 Februari ini

    Lima belas laluan baharu itu adalah Taman Dato’ Senu-LRT Sentul (T180), LRT Bangsar-Bangsar Shopping Centre (822), Putra Permai-LRT BK 5 (541), LRT Puchong Prima-Taman Mas Sepang (T603), Stesen LRT Taman Jaya-Taman Sri Sentosa (T640) dan Stesen LRT IOI Puchong-Taman Wawasan (T600).

    Sembilan laluan lain termasuklah Stesen LRT Alam Megah-Sek 27 Shah Alam (T757), Stesen LRT USJ 21-One City (T778), Stesen LRT Kelana Jaya-Kelana Centre Point (T781), Stesen LRT Lembah Subang-Ara Damansara (T782), LRT Taman Bahagia-SS 6 (T783), LRT Taman Paramount-Kg Baiduri(T785), LRT Asia Jaya-Universiti Mahsa (T786), Stesen LRT Asia Jaya-Sekysen 14 & 17 (T787) dan Stesen LRT Kerinchi-Pantai Hill Park (T791).

    Tambah Muhammad Yazurin lagi, maklum balas positif daripada para pengguna dalam satu kaji selidik yang dilaksanakan oleh Rapid Bus memberi keyakinan kepada pihaknya untuk meneruskan program berkenaan. Di mana 81% daripada responden berkenaan menyatakan mutu perkhidmatan telah meningkat di dalam pelbagai aspek seperti lebih senang dicam, pematuhan jadual, kekerapan dan ketersediaan bas.

     
     
  • Petronas lancar filem web animasi Yi Qi sempena CNY

    Sempena menyemarakkan lagi sambutan Tahun Baharu Cina (CNY) bagi tahun ini, Petronas telah melancarkan filem web animasi, “Yi Qi”, yang disiarkan menerusi saluran Youtube dan Facebook rasmi syarikat ini. Petronas berkata, Yi Qi yang bermaksud ‘bangkit bersama’ meneroka tema perpaduan, keberanian, harapan dan ketabahan melalui kehidupan sebuah kota mitos serta penduduknya yang unik.

    Menurut Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz, filem web animasi itu diharap dapat mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus memanfaatkan keberanian mereka dalam mencari permulaan dan kebangkitan baharu terutamanya dalam tempoh sukar ini, khususnya dalam memerangi pandemik COVID-19 serta ketidaktentuan ekonomi.

    “Walaupun rentak kehidupan berubah dengan ketara sejak tahun lalu, kita tidak boleh lupa dalam diri kita terletak semangat lebih besar yang memberi kuasa kepada kita mewujudkan rentak baharu seperti kita menyesuaikan diri dengan normal baharu,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    “Yi Qi” mengisahkan kehidupan di tanah mitos yang penghuninya, Penari Tarian Singa, hidup harmoni dengan bergerak dan menari mengikut rentak irama dram di sebuah kota yang sibuk. Ia adalah hasil inspirasi tarian singa tradisional Cina, kerana penari akan bangkit semula jika mereka tersilap langkah, kerana mereka diiringi paluan gendang yang sentiasa menceriakan mereka.

     
     
  • Tesla beli RM6 bilion bitcoin, boleh guna bayar kereta

    Tesla beli RM6 bilion bitcoin, boleh guna bayar kereta

    Berita baik untuk mereka yang kaki bitcoin. Tesla baru saja mengumumkan syarikat itu telah membeli sebanyak US$1.5 bilion (RM6 bilion; 8% daripada simpanannya) matawang bitcoin, serta-merta melonjakkan nilai ke tahap baru. Matawang krypto berkenaan yang biasanya tidak menentu telah meningkat 14% kepada rekod terbaiknya dengan US$43,625 (RM177,095) selepas urusan Tesla itu selesai, lapor Reuters.

    Pada harga semasa, 0.8 bitcoin sudah mencukupi untuk membeli model peringkat kemasukan Tesla Model 3. Dan, pelanggannya memang boleh berbuat demikian kerana CEO, Elon Musk memaklumkan syarikat itu akan menerima matawang krypto berkenaan sebagai satu bentuk bayaran pembelian kereta elektrik keluarnnya, menjadikan Tesla pengeluar kenderaan pertama di dunia yang berbuat demikian.

    “Kami jangka akan mula menerima bitcoin sebagai salah satu keadah transaksi bagi produk keluaran kami dalam masa terdekat, bergantung kepada undang-undang berkaitan dan ketika ini dalam kadar terhad, yang mana kami mungkin mencairkannya sebaik bayaran diterima,” ujar syarikat itu.

    Musk memang dikenali sebagai penyokong matawang krypto ini dan berkata bitcoin kini bergerak menjadi matawang yang diterima secara meluas. “Saya fikir ketika ini bitcoin adalah sesuatu yang baik. Untuk itu, saya menyokongnya. Saya mungkin sedikit terlambat, tetapi saya menyokong bitcoin,” katanya.

    Sejak pengumuman itu dibuat, penganalisis memaklumkan syarikat lain juga akan mempertimbang untuk menerima matawang digital sebagai sebahagian daripada skim perniagaan mereka. Pengasas Galaxy Digital, Mike Novogratz berkata; “itu apa yang pelanggan mahu, ia hala tuju dunia ketika ini.” Sesetengah pihak melihat perkembangan ini menjurus kepada langkah untuk mengabsahkan matawang krypto sebagai matawang utama, dan hanya menunggu masa untuk pihak lain mengikut jejak ini.

     
     
  • Lotus keluarkan Elise dan Exige Final Edition sebagai tanda hormat akhir sebelum pengeluaran dihentikan

    Lotus keluarkan Elise dan Exige Final Edition sebagai tanda hormat akhir sebelum pengeluaran dihentikan

    Pengeluaran Lotus Elise dan Exige akan diberhentikan hujung tahun ini, dan dengan itu, syarikat dari Hethel, United Kingdom tersebut telah mendedahkan beberapa model Final Edition yang akan dikeluarkan bagi memberi penghormatan akhir kepada model yang masing-masing sudah berada dalam pasaran selama 25 dan 21 tahun itu.

    Kesemuanya ada lima varian Final Edition (dua Elise dan tiga Exige) yang akan ditawarkan kepada pelanggan, dengan setiap satunya akan dibuat dalam jumlah yang terhad. Sudah tentu, ini adalah model yang sesuai untuk pengumpul kenderaan, tetapi ada juga di antara model ini yang mendapat penambahan kuasa.

    Melihat pertamanya kepada Elise Final Edition, pelanggan boleh mendapatkan kereta ini dalam pelbagai warna termasuk Azure Blue (warna yang digunakan dalam gambar kereta produksi pertama yang diberikan kepada media pada tahun 1996), hitam (warna yang sudah sinonim dengan cabang permotoran Lotus) serta Racing Green (warna asal Elise semasa didedahkan kali pertama pada tahun 1995).

    Pilihan varian untuk Elise Final Edition bermula dengan Elise Sport 240, di mana ia menggunakan enjin empat silinder supercharge 1.8 liter 2ZR-FE daripada Toyota, untuk menghasilkan 243 PS (240 hp) pada 7,200 rpm dan 244 Nm tork antara 3,000 hingga 7,000 rpm.

    Jika dibandingkan dengan Elise Sport 220 sebelumnya, model baru ini menawarkan 23 PS (23 hp) lebih kuasa, laju maksimum 237 km/j, lebih pantas 0.1 saat dalam membuat pecutan 0-100 km/j (4.5 saat) dan mempunyai nisbah berat kepada kuasa lebih baik (260 hp bagi setiap tan).

    Ini bukan sahaja disebabkan oleh kuasa yang lebih tinggi, tetapi juga barangan lain seperti rim aloi forged yang dua kg lebih ringan untuk menjadikan berat keseluruhannya cuma 922 kg. Untuk menjadikan kereta lebih ringan lagi, pemilik boleh mendapatkan panel gentian karbon, bateri lithium ion serta cermin belakang polikarbonat, yang secara keseluruhannya akan menjadikan berat kenderaan menurun menjadi 898 kg.

    Di bahagian dalam, Elise Sport 240 mendapat panel instrumen digital TFT dengan dua mod skrin, rekaan roda stereng baru dan dibalut dengan gabungan kain Alcantara serta kulit, serta kemasan dan corak jahitan baru pada tempat duduk.

    Pergi kepada Elise Cup 250, enjin sama masih digunakan, tetapi ia menghasilkan lebih kuasa iaitu 248 PS (245 hp) dan 244 Nm. Memang, jumlah itu cuma lebih 2 hp, tetapi fokus sebenar model ini adalah pada aerodinamik, dengan pemasangan splitter hadapan, sayap belakang, diffuser belakang, serta sambungan di bahagian tepi yang secara keseluruhannya memperbaiki daya tolak ke bawah (downforce) menjadi 66 kg pada 161 km/j dan 55 kg pada kelajuan maksimum 248 km/j.

    Lotus keluarkan Elise dan Exige Final Edition sebagai tanda hormat akhir sebelum pengeluaran dihentikan

    Tetapan yang lebih memberi fokus kepada penggunaan litar ini juga datang dengan rim forged serba ringan M Sport, tayar Yokohama Advan A052, penyerap sport Bilstein, anti-roll bar boleh laras, bateri lithium ion dan cermin belakang polikarbonat. Sama seperti Elise Sport 240, pemilik juga diberikan pilihan barangan gentian karbon yang boleh menurunkan berat menjadi 931 kg.

    Melihat kepada Exige, model Final Edition terdiri daripada Exige Sport 390, Exige Sport 420 dan Exige Cup 430, dengan kesemuanya menggunakan enjin V6 3.5 liter 2GR-FE daripada Toyota. Warna ikonik yang ditawarkan adalah termasuk Metallic White (warna yang digunakan semasa Exige V6 pertama kali didedahkan pada tahun 2011) dan Metallic Orange (warna yang digunakan pada kereta media pertama pada tahun 2000 dan Exige GT3 Concept).

    Bagi Exige Sport 390, ia menggantikan Exige Sport 350 sebelum ini, dan dipasang dengan supercharger Edelbrock untuk menghasilkan kuasa 402 PS (397 hp) pada 7,000 rpm dan 420 Nm dari 3,000 hingga 6,700 rpm. Ini bersamaan peningkatan 52 hp berbanding model sebelumnya, dan pecutan 0-100 km/j menjadi 3.8 saat (-0.1 saat) dan laju maksimum kini 277 km/j (+3 km/j).

    Exige Sport 420 pula adalah satu peningkatan yang dibuat pada model Exige Sport 410. Kuasanya kini bertambah 10 hp dan 7 Nm, menjadi 426 PS (420 hp) dan 427 Nm. Ini juga adalah Exige yang boleh mencatat laju maksimum paling tinggi, iaitu 290 km/j (+16 km/j), tetapi masa pecutan 0-100 km/j masih lagi sama dengan Exige Sport 410, iaitu 3.4 saat.

    Kereta sport ini juga mendapat penyerap Nitron boleh laras, anti-roll bar Eibach boleh laras di depan dan belakang, angkup brek empat piston AP Racing, sistem ekzos titanium dan sistem kawalan cengkaman khas yang dibangunkan untuk bersesuaian dengan sukan permotoran.

    Model akhir sekali, paling atas adalah Exige Cup 430. Kuasa, masa pecutan serta laju maksimumnya masih lagi sama seperti sebelum ini, iaitu 436 PS (430 hp), 440 Nm, 3.3 saat dan 280 km/j. Ia juga dipasang dengan pelbagai barangan gentian karbon, dan rim forged (bersama tayar Michelin Pilot Sport Cup 2) yang membantu menjadikan berat keseluruhannya cuma 1,110 kg.

    Exige Cup 430 juga mendapat barangan bahagian pengendalian yang sama seperti Exige Sport 420, tetapi ditambah dengan komponen gentian karbon seperti splitter hadapan, panel akses hadapan, bumbung, keliling diffuser, salur udara, pintu but dan sayap belakang. Ia juga dipasang terus dengan sistem ekzos titanium.

    GALERI: Lotus Elise Sport 240 Final Edition

    GALERI: Lotus Elise Cup 250 Final Edition

    GALERI: Lotus Exige Sport 390 Final Edition

    GALERI: Lotus Exige Sport 420 Final Edition

    GALERI: Lotus Exige Cup 430 Final Edition

     
     
  • Mitsubishi Outlander 2022 — unit pertama dihantar

    Mitsubishi sedang menarik perhatian terhadap Outlander generasi keempat terbaru keluarannya dengan cara mengumumkan unit pertama model itu kini sudah meninggalkan premis pemasangannya di Kilang Okazaki bertempat di Aichi, Jepun. SUV berkenaan dihantar semala menuju Amerika Syarikat, dan akan membuat penampilan sulungnya 17 Februari nanti.

    Cabang Amerika Utara syarikat itu juga telah mengumumkan kerjasama dengan Amazon untuk menjayakan satu acara maya, dan menjadikan Outlander sebagai kenderaan pertama yang diperkenalkan melalui Amazon Live. Kereta ini sudah mula diacah pada bulan Disember tahun lalu.

    Menurut Mitsubishi, Outlander dibangunkan di bawah semangat istilah Jepun “I-Fu-Do-Do”, yang bermaksud asli dan majestik. Syarikat itu menambah yang SUV berkenaan menampilkan keteguhan dari luar dan dalam, dengan rekaan ruang kabin yang diperhalus, sementara rekaan bahagian wajah depannya pula akan menjadi penanda aras kepada arah tuju rekaan Mitsubishi di masa hadapan.

    Reka bentuk model baru ini juga sudah kita ketahui penampilannya daripada beberapa gambar yang mula muncul penghujung tahun lalu. Rekaannya nampak lagi matang dan menonjol berbanding model terdahulu, ia meminjam banyak ilham sentuhan rekaan daripada Engelberg Tourer/e-Yi Concept 2019, menggunakan wajah depan Dynamic Shield terbaru yang memisahkan lampu utamanya — sentuhan sama yang kini ada pada Xpander dan Eclipse Cross facelift.

    Membuatkan Outlander tampil lebih moden dan bergaya dengan rekaan cermin utama yang meliputi penuh, serta tiang D warna hitam berkilat untuk berikan kesan bumbung terapung. Setakat ini masih belum ada pendedahan berkaitan sistem janaan kuasanya melainkan Outlander akan terus ditawarkan dengan enjin petrol dan juga varian plug-in hybrid.

    Pada model konsep Engelberg, ia menggunakan sistem PHEV, dengan enjin 2.4 liter, motor elektrik pada setiap gandar dan bateri berkapasiti lebih besar 20 kWh. Jarak perjalanan mod elektrik sepenuhnya kereta ini mencapai 70 km dan jarak perjalanan keseluruhan mencecah 700 km.

    Mitsubishi juga mengesahkan, Outlander baru ini juga akan menampilkan teknologi pacuan Super All-Wheel Control (S-AWC) versi dipertingkat sebagai sebahagian daripada paltform baru ini. Kereta ini terlebih dahulu akan dilancarkan di US, Kanada dan Puerto Rico sebelum memasuki pasaran global yang lain.

     
     
  • Mercedes-Benz M’sia sahkan pengeluaran model CKD kompak, SUV tahun ini – A-Class, GLA, mungkin GLE?

    Mercedes-Benz M’sia sahkan pengeluaran model CKD kompak, SUV tahun ini – A-Class, GLA, mungkin GLE?

    Tahun lepas merupakan tahun yang agak sibuk untuk Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dengan pelancaran AMG A 35, A 45 S dan CLA 45 S, C 200 AMG Line serta GLA dan GLB. Malahan untuk tahun ini, MBM juga telah merencana pelbagai perancangan untuk melangkah lebih agresif biar pun negara masih dilanda pandemik COVID-19. Antara perancangan yang telah disahkan termasuk pengenalan model pemasangan tempatan (CKD) bagi barisan kereta kompak dan SUV.

    Sebelum ini model import sepenuhnya (CBU) A-Class, B-Class, CLA, GLA dan GLB yang dibawa masuk ke pasaran tempatan, dan membuatkan harganya agak tinggi, biar pun jualannya tetap memberangsangkan. Kini, MBM mengambil peranan bagi memastikan strategi CKD yang lebih agresif dengan memproduksikan secara tempatan model-model yang disebut itu.

    Walau bagaimana pun, kami tidak menjangkakan MBM akan memproduksi secara tempatan untuk semua kereta kompak, mungkin model-model terpilih sahaja terutamanya yang melihatkan jualan paling laris. Ini termasuklah A-Class Sedan yang agak popular di sini, begitu juga dengan hatchback lima-pintu yang mungkin termasuk dalam senarai.

    Turut dijangkakan ialah GLA, memandangkan ia juga mendapat sambutan menggalakkan di pasaran tempatan bagi segmen SUV premium. Manakala abangnya, GLB, yang memberikan pilihan SUV tujuh-tempat duduk kompak dalam pasaran turut tersenarai. Untuk B-Class dan CLA, walau pun kurang popular dan MBM juga telah mengesahkan tiada varian AMG untuk barisan CLA.

    Bagi SUV yang bersaiz lebih besar, GLE telah disenaraikan untuk diproduksi di sini, untuk menyertai barisan GLC dan GLC coupe yang telah pun ditawarkan dengan model CKD. Harga versi CKD ini mungkin akan dikurangkan berbanding harga sedia ada iaitu RM584,721 untuk GLE 450. Sekaligus memberikan persaingan yang lebih sengit buat BMW X5 xDrive45e dan Volvo XC90 T5 Twin Engine, kedua-duanya merupakan model CBU.

    Satu lagi model yang kemungkinan akan dipertimbangkan ialah EQC, yang telah dilancarkan tahun lalu tetapi masih belum dijual secara rasmi. Jika EQC diletakkan dalam senarai model yang bakal di’CKD’kan, ini membuatkannya sebagai kenderaan elektrik pertama yang dipasang di Malaysia dan pastinya harganya lebih menarik. Walau bagaimana pun, ini hanya kebarangkalian sahaja, kerana ECQ telah pun dipasang di Thailand mulai tahun ini. Mungkin juga agak mustahil untuk ia dipasang di sini dalam tempoh waktu yang terdekat.

     
     
  • Mercedes-Benz Services Malaysia biayai lebih dari 50% kereta baru — nilai kontrak cecah RM717 juta

    Mercedes-Benz Services Malaysia biayai lebih dari 50% kereta baru — nilai kontrak cecah RM717 juta

    Pernah tahu betapa popularnya servis pembiayaan dari sesebuah jenama kenderaan di negara ini? Mercedes-Benz misalnya telah umumkan bahawa melalui Mercedes-Benz Services Malaysia (MBSM), syarikat itu telah membiayai lebih daripada 50% daripada keseluruhan kereta barunya yang dijual oleh pengedar rasmi.

    Tahun lalu sahaja, syarikat berkenaan telah merekodkan keseluruhan portfolio pembiayaan berjumlah RM2.27 bilion, dengan jumlah kontrak baru bernilai RM717 juta — walaupun dalam keadaan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan. Angka itu sedikit menurun berbanding 2019 yang masing-masing mencatatkan RM2.6 bilion dan RM1 bilion.

    Sebagai tambahan, MBSB turut melancarkan produk insurans baru pada 2020, Star Protect dan Star Protect Plus, menawarkan manfaat tambahan kepada pelindungan biasa. Ini menjadi pelengkap terbaru antaranya bagi Agility Financing serta pakej sewa beli FinanceCare sedia ada.

    Agility Financing mungkin menjadi penawaran MBSM yang paling dikenali, menawarkan ansuran bulanan yang rendah dan tempoh pinjaman yang lebih pendek. Sebaik tempoh itu matang, pelanggan boleh memilih untuk melangsaikan baki jumlah yang ada, atau membuat pembiayaan semula atau terus melepaskan pemilikan kereta mereka.

     
     
  • Keliru dengan SOP semasa PKP? Polis juga kadang kala keliru, akui Pengarah JKDNKA Bukit Aman

    Keliru dengan SOP semasa PKP? Polis juga kadang kala keliru, akui Pengarah JKDNKA Bukit Aman

    Dengan pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sentiasa berubah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, tentu ramai daripada anda yang keliru bukan? Nampaknya kekeliruan ini bukan hanya terjadi dikalangan orang awam – menurut laporan Malay Mail, sebahagian anggota polis juga keliru dengan apa yang sedang dikuatkuasakan sekarang ini.

    Laporan yang dipetik dari berita Mingguan Malaysia tersebut menyatakan bahawa perkara ini diakui sendiri oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar. Menurutnya, ini adalah semula jadi kerana penguatkuasaan dibuat dalam skala yang besar.

    Abd Rahim berkata bahawa dengan sekitar 100,000 orang anggota polis dan juga penguatkuasa dari agensi lain, pasti terdapat pelbagai tafsiran yang berbeza terhadap SOP dan juga aplikasi undang-undang.

    Keliru dengan SOP semasa PKP? Polis juga kadang kala keliru, akui Pengarah JKDNKA Bukit Aman

    “Kami tak boleh nak nafikan apabila semua orang ada pemahaman berlainan terhadap undang-undang, ia pasti akan menimbulkan masalah. Kami dalam proses mendidik pegawai kami berkenaan SOP ketika PKP ini,” katanya.

    “Dalam komunikasi biasa sekalipun, apabila kami memberikan informasi dari seorang ke seorang, apabila ia sampai ke individu ke-10, mesej tersebut mungkin sudah berbeza. Cuba bayangkan memberikan informasi kepada 100,000 pegawai di seluruh negara, dan sudah tentu akan timbul masalah,” jelasnya lagi.

    Ini sudah tentu mendatangkan ketidakpuasahatian dari orang ramai yang dikenakan notis kompaun kerana apa yang ditafsirkan tersebut tidak betul. “Kami cuba perbaiki situasi ini, tetapi apabila kami sudah lakukan, ada lagi SOP baru yang ditambah,” kata Abd Rahim.

    Keliru dengan SOP semasa PKP? Polis juga kadang kala keliru, akui Pengarah JKDNKA Bukit Aman

    Walau bagaimanapun, beliau turut menjelaskan bahawa pihak berkuasa kini lebih peka terhadap situasi, dan notis kompaun yang dipersoalkan kini sudahpun berkurangan. Pihak berkuasa juga kini membuat pelbagai pengesahan baru bagi memastikan tiada lagi yang diberikan saman yang salah.

    “Pada masa hadapan sebelum mana-mana penguatkuasa keluar bertugas, kami akan memberikan taklimat dan penerangan kepada mereka dan selepas pulang dari bertugas, kami akan memeriksa kompaun yang mereka keluarkan dan mengesahkan sama ada ia benar-benar melanggar SOP,” jelasnya.

    Namun, Abd Rahim menambah bahawa “undang-undang yang ada sekarang menyatakan bahawa anda tidak boleh keluar kecuali anda ada alasan yang betul-betul kukuh.” Jadi seeloknya, kalau tiada keperluan, duduklah sahaja di rumah bagi mengelakkan anda tidak sengaja melanggar apa-apa SOP yang sentiasa berubah ini.

     
     
  • Lanjutan PKP akan bantu lindungi industri automotif untuk terus pulih – Persatuan Pembekal Perodua

    Lanjutan PKP akan bantu lindungi industri automotif untuk terus pulih – Persatuan Pembekal Perodua

    Walau pun kebanyakan sektor ekonomi terpaksa akur dengan impak yang muram disebabkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan kedua (PKP 2.0) sehingga 18 Feb 2021 namun Persatuan Pembekal Perodua (P2SA) optimis dengan keadaan ini.

    Menurut presidennya Musa Zahidin Ahmad Zaidee, lanjutan PKP 2.0 ini dilihat mampu membantu melindungi industri ketika ia mula mencatatkan pemulihan tahun ini.

    “Walaupun situasi pandemik COVID-19 masih terus menjadi kebimbangan utama bagi 129 ahlinya, PKP 2.0 dijangka mampu mengawal situasi tersebut sehingga program vaksinasi bermula. Kebanyakan ahli kami berada di Selangor tetapi mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

    “Dengan komunikasi berkesan antara ahli kami dan pengeluar peralatan tulen (OEM) kami, kami percaya kami akan dapat mencatatkan prestasi lebih baik tahun ini,” ujarnya kepada Bernama.

    Tambahnya lagi, P2SA dan Perodua akan bekerjasama untuk mewujudkan SOP bagi keseluruhan ekosistem automotif.

    “SOP ini termasuklah mematuhi prosedur keselamatan ketat di tempat kerja, asrama pekerja yang menyediakan tempat tinggal yang selamat bagi kakitangan dan menawarkan ujian COVID-19 bergilir bagi kesemua pekerja,” katanya.

     
     
  • 60% permukaan tar jalan-jalan di S’gor sudah sampai ‘tarikh luput’, pembaikan sukar kerana banyak agensi

    60% permukaan tar jalan-jalan di S’gor sudah sampai ‘tarikh luput’, pembaikan sukar kerana banyak agensi

    Untuk penduduk Selangor, anda pasti perasan bahawa kebanyakkan kualiti jalan di negeri ini berada pada tahap tidak memuaskan bukan? Ini bukan sekadar agak-agak, kerana laporan akhbar The Star mengatakan bahawa sekitar 60% jalan raya di Selangor kini telah mengalami kerosakan struktur, atau telah sampai “tarikh luput”nya, menyebabkan terjadinya lubang serta kerosakan-kerosakan lain yang tidak berkesudahan.

    Isu ini terjadi kerana dua sebab utama iaitu jalan lama dan juga kenderaan dengan muatan berlebihan seperti lori. Menurut pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani kerajaan negeri Selangor, Izham Hashim, kebanyakkan jalan di Selangor sekarang sudahpun berumur sekitar 30 hingga 40 tahun.

    “Jalan biasanya mencapai usia matang dalam masa 15 hingga 20 tahun, bergantung kepada penggunaannya. Selepas tempoh ini, kerja-kerja tingkat taraf perlu dilakukan, khususnya pada lapisan subgrade dan sub-base,” katanya dan menjelaskan bahawa langah pembaikan sementara seperti hanya menampal jalan tetapi tidak membantu untuk meningkatkan kualiti jalan. Dengan adanya kenderaan berlebihan berat melalui jalan yang sudah tidak elok tersebut, ia akan lebih memburukkan keadaan.

    Tapi apa yang susah sangat sebenarnya nak memperbaiki jalan raya ini sedangkan puncanya sudah diketahui? Di Selangor sahaja, ada lima pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk menyelenggara jalan raya iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR, menyelenggara jalan persekutuan), JKR Selangor (jalan negeri), majlis tempatan (jalan majlis), pejabat daerah (jalan kampung) serta Jabatan Parit dan Saliran (jalan pertanian). Untuk lebuhraya pula, ia dikendalikan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia dan juga syarikat-syarikat konsesi.]

    60% permukaan tar jalan-jalan di S’gor sudah sampai ‘tarikh luput’, pembaikan sukar kerana banyak agensi

    “Disebabkan terlalu banyak agensi yang terlibat, isu seperti kekangan kewangan dan juga masalah kurang komunikasi menyebabkan proses menyelenggara jalan-jalan berkenaan. Majlis tempatan dan JKR Selangor telah menyediakan peruntukan tahunan untuk memperbaiki jalan raya di bawah dana MARRIS (Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia), tetapi masih lagi tiada sistem serupa untuk jalan-jalan persekutuan,” jelas Izham.

    Menurutnya lagi, pada 2019 beliau telah mengemukakan cadangan untuk menyatukan pemilikan dan selenggara jalan-jalan di Selangor kepada dua agensi sahaja iaitu majlis tempatan dan JKR Negeri. Walau bagaimanapun proses berkenaan agak lambat dan perbincangan masih lagi dibuat.

    Walau bagaimanapun, tanpa mengambil kira bidang kuasa kerajaan negeri Selangor masih mahu memperbaiki jalan raya yang sudah berumur ini. Izham menyatakan bahawa ada perbincangan antara kerajaan negeri dan JKR Selangor bagi mengenalpasti jalan yang rosak, dan ia sudahpun dijadualkan untuk kerja-kerja pembaikan.

    Namun apa yang menjadi masalah adalah ia akan mengambil masa sekitar 10 tahun untuk memperbaiki berberapa ratus kilometer jalan raya yang rosak, dan kos tersebut adalah berbeza berdasarkan keadaan jalan, saiz dan juga bahan-bahan yang diperlukan.

    “Kita tak boleh tunggu sehingga cukup dana untuk memulakan kerja-kerja pembaikan untuk semua jalan, ia perlu dilakukan secara berperingkat. Pada masa yang sama, kami turut membina lebih banyak jalan dan kami tak dapat untuk menggunakan semua dana tersebut hanya untuk kerja-kerja penambahbaikkan,” jelasnya dan menambah jalan-jalan dengan kadar penggunaan yang tinggi berdasarkan jumlah aduan akan diutamakan terlebih dahulu.

    60% permukaan tar jalan-jalan di S’gor sudah sampai ‘tarikh luput’, pembaikan sukar kerana banyak agensi

    Kontraktor yang dilantik oleh syarikat-syarikat utiliti dan pembangunan turut menyumbang kepada masalah ini. Menurut Izham, kerja-kerja pembaikan bawah tanah yang dibuat oleh kontraktor-kontraktor ini (biasanya melibatkan kerja mengorek jalan untuk kabel internet, paip pembekalan air dan kabel elektrik) sentiasa menyebabkan majlis tempatan mengambil deposit mereka kerana kerja yang dibuat tidak memuaskan. Penalti yang lebih ketat dirancang bagi mengelakkan amalan yang tidak bertanggung jawab ini.

    Kerajaan juga kini sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan Koridor Utiliti Selangor, di mana jaringan utiliti-utiliti yang disebutkan akan dipasang di parit bawah tanah yang sama di tepi jalan. “Buat masa sekarang, ini boleh dibuat di kawasan dan pembangunan baharu. Bagi jaringan utiliti sedia ada di bawah jalan raya, ia memerlukan usaha yang besar untuk mengalihkannya semula serta ruang juga terhad di kebanyakkan kawasan. Dalam masa yang sama, kerajaan negeri turut merancang untuk memerkenalkan kaedah baharu untuk membaiki dan kerja-kerja penyelenggaraan jalan,” kata Izham.

    “Mesin penampal Jet dan thermal adalah dua pilihan yang sedang dipertimbangkn untuk memperbaiki jalan yang berlubang dan merekah. Penampal Jet tidak memerlukan kita memotong jalan. Ia hanya memerlukan emulsi bitumen yang dipanaskan yang akan menutup lubang. Penampal thermal pula menggunakan plat logam yang dipanaskan bagi melembutkan bitumen sebelum campuran bitumen baru digunakan untuk membaiki lubang berkenaan.

    Izham turut menyatakan bahawa kerajaan negeri kini sedang membuat ujian kebolehlaksanaan bagi menggunakan dron kecerdasan buatan (A.I) untuk memantau lubang dan rekahan. Dron berkenaan boleh mengenalpasti isu-isu ini dengan dan akan menghantar informasi berkenaan kepada pusat kawalan.

     
     
  • Boleh makan dalam kereta setakat ini — ketua polis PJ

    Boleh makan dalam kereta setakat ini — ketua polis PJ

    Warga Petaling Jaya boleh makan dalam kereta asalkan jumlah penumpang dua orang dipatuhi, sepanjang tempoh PKP 2.0, jelas Ketua Polis Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal dalam satu wawancara bersama radio Kool FM. Ini adalah susulan beberapa pelanggan yang mula berbuat demikian baru-baru ini.

    Cara ini tidak melanggar sebarang peraturan memandangkan tiada penegahan atau makluman secara jelas dalam SOP ketika ini berkaitan hal berkenaan, sama ada ditapau atau memang dihidang kepada pelanggan dalam kereta. Bagaimanapun, sekiranya ada kemaskini makluman atu SOP daripada MKN, pihak polis akan menguatkuasakannya serta-merta.

    Walaupun betul, makan dalam kenderaan tidak melanggar sebarang peraturan SOP ketika ini, kami tidak menggalakkan anda untuk berbuat demikian dan kekal mengawal pergerakan kita semua seminimum mungkin dalam keadaan pandemik yang belum menunjukkan tanda untuk reda ini. Tujuan utama dan asalnya adalah untuk membataskan pergerakan kita.

    Walaupun makan dalam kereta tidak melanggar apa-apa SOP yang ada ketika ini, ia sebenarnya membawa masalah lain pula. Ramai sedia maklum, ruang dalaman kereta yang kerap tertutup itu mudah membiakkan kuman. Jadi soal kebersihan mungkin akan menjadi masalah, apa lagi kalau kesan makanan berselerak dalam kabin.

    Dan, untuk duduk dalam tempoh yang agak lama dalam kenderaan untuk makan, sudah tentu pendingin hawa perlu dipasang. Dan ini akan membawa pula kepada pembaziran tenaga serta pencemaran dari ekzos kenderaan yang tidak bergerak. Ini juga satu hal yang perlu ambil maklum. Hanya kerana kita ingin bersenang-senang untuk makan, tidak patutlah kita melakukan pembaziran dan pencemaran lain.

     
     
  • Ford dedahkan trak lumba Bronco 4600 kelas stock

    Ford dedahkan trak lumba Bronco 4600 kelas stock

    Ford Performance telah mendedahkan trak lumba Bronco 4600 baru, yang akan menyertai perlumbaan kelas stock Ultra4 di Amerika Syarikat tidak lama lagi. Berbeza berbanding trak Bronco Ultra4 4400 kelas tanpa had yang diubah suai ekstrem sebelum ini, Bronco 4600 pula nampak lebih ‘biasa’ dan menggunakan betul-betul unit kereta produksi.

    “Melakukan perubahan dalam dunia offroad dan bertanding dengan kemampuan offroad kelajuan tinggi Bronco sentiasa menjadi teras kepada warisan jenama Bronco. Trak lumba Bronco 4600 ini memberi penekaran kepada warisan sukan permotoran kami dan bagaimana Bronco 2021 boleh diubah suai bermula dari unit yang keluar dari pusat pameran kepada unit lumba kelas stock Ultra4,” kata pengurus pemasaran Ford SUV, Dave Rivers.

    Bronco 4600 ini dibina atas model asas Bronco 2021 dua pintu dengan pakej Sasquatch, dan dikuasakan oleh enjin V6 twin turbo 2.7 liter EcoBoost yang dipadankan bersama transmisi SelectShift 10 kelajuan. Ia juga digunakan sebagai platform untuk menguji pelbagai aksesori yang dibangunkan oleh Ford Licensed Accessories dan Ford Performance.

    Dengan mengambil input daripada model Bronco R Prototype yang digunakan dalam perlumbaan Baja 1000 2019 dan 2020, Bronco 4600 dipasang dengan suspensi High-Performance Off-Road Stability Suspension (HOSS) System yang terdiri daripada penyerap Fox dengan reservoir kawalan jauh, serta penghenti hentakan pneumatik Fox di semua empat penjuru. Brek menggunakan unit daripada Wilwood Engineering, sementara rim pula adalah Method Race Wheels 202 Forged Beadlock, dibalut tayar BFGoodrich Mud-Terrain T/A KM3 bersaiz 35 inci.

    Hab portal kegunaan berat di hadapan datang daripada 74 Weld, dan ia disambung dengan control arm Triton Engineering serta rak stereng hidraulik Howe dengan sistem penyejuk. Demi memastikan tork dapat sampai kepada roda hadapan dengan cekap, ia menggunakan differential Dana AdvanTEK yang boleh dikunci secara elektronik, bersama halfshaft buatan khas RCV.

    Pada bahagian belakang, gandar standard diganti dengan unit XD60 daripada Dynatrac ProRock, dan dijadikan lengkap dengan Air Locker ARB 35-spline, serta syaf dan hab Spidertrax Spider 9. Untuk bahagian luaran badan, bampar besi hadapan dan belakang datang daripada Ford Performance, winch daripada Warn Zeon dan lampu LED daripada Rigid. Roll cage buatan khas pada kenderaan ini adalah hasil daripada Geiser Brothers.

     
     
  • Subaru Forester 2.0i-L GT Lite Edition – RM163,788

    Subaru Forester 2.0i-L GT Lite Edition – RM163,788

    TC Subaru telah melancarkan Subaru Forester 2.0i-L GT Lite Edition untuk pasaran Malaysia, dengan harga jualan RM163,788 tidak termasuk insurans. Ini adalah harga yang sudah dikira bersama pengecualian cukai yang diberikan sekarang (50% kerana ia diimport sepenuhnya dari Thailand) dan kenderaan didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 100,000 km.

    Model GT Lite Edition ini menggunakan asas daripada Forester 2.0i-L, tetapi ia dipasang dengan kit badan yang lebih sporty dan ranggi. Antara bahagian yang ditambah adalah lip bampar di hadapan dan belakang, side skirt, spoiler bumbung dan muncung ekzos yang lebih besar.

    Selain daripada itu, ia sama sahaja seperti varian 2.0i-L, termasuklah kelengkapan seperti rim 17 inci, lampu kabus halogen, lampu utama dan belakang LED, tempat duduk balutan kulit dan boleh dilaras secara elektrik di hadapan, pendingin hawa automatik dua zon, head unit lapan inci dengan enam pembesar suara, kamera 360 darjah dan cruise control.

    Subaru Forester 2.0i-L GT Lite Edition – RM163,788

    Ciri keselamatan juga tidak berubah, di mana varian baru ini dilengkapi tujuh beg udara (depan, tepi, bidai dan kaki pemandu), Vehicle Dynamics Contro, ABS, EBD, BA, cagak Isofix dan brek parkir dengan ciri Auto Vehicle Hold.

    Di bawah hud terdapat enjin boxer empat silinder NA 2.0 liter yang dipadankan bersama transmisi Lineartronic CVT dan sistem pacuan Symmetrical All-Wheel Drive. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 156 PS pada 6,000 rpm dan 196 Nm tork pada 4,000 rpm.

    Melalui sistem SI-Drive (Subaru Intelligent Drive), pemandu boleh memilih dua mod iaitu Intelligent atau Sport, dan kenderaan ini juga datang dengan ciri Hill Descent Control, Active Torque Vectoring dan X-Mode yang memberikan pilihan mod Snow atau Dirt. Warna yang ditawarkan untuk varian ini semuanya ada tujuh.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.40
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 16, 2024