Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • RM5.6j dikutip pada hari pertama kempen bayaran saman trafik e-payment sempena Hari Polis ke-213

    RM5.6j dikutip pada hari pertama kempen bayaran saman trafik <em>e-payment</em> sempena Hari Polis ke-213

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias mengesahkan sebanyak RM5.6 juta bayaran saman trafik berjaya dikutip pada hari pertama kempen pembayaran saman secara dalam talian (e-payment).

    Kempen sempena sambutan Hari Polis ke-213 yang dilaksanakan bermula 25 hingga 29 Mac tersebut mendapat sambutan menggalakkan kerana orang ramai akan menikmati diskaun saman sehingga 50% untuk saman-saman tertentu.

    “Orang ramai yang mempunyai tunggakan saman diminta mengambil peluang untuk membuat pembayaran saman secara dalam talian di rumah. Apabila kempen ini tamat, orang ramai perlu membayar saman mengikut kadar biasa yang telah ditetapkan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Katanya lagi, semua saman layak mendapat diskaun kecuali saman kemalangan tahun 2019 dan 2020, saman dalam perbicaraan, saman Op Selamat 2019 dan 2020, saman berstatus non compaundable, saman berstatus mahkamah, dan saman berstatus waran tangkap tahun 2019 serta 2020.

    Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan sehingga 14 April ini, semua kaunter bayaran saman di Ibu Pejabat Polis seluruh negara ditutup.

    “Justeru, dalam tempoh pelaksanaan PKP, semua urusan pembayaran saman hanya boleh dibuat secara dalam talian,” katanya.

     
     
  • Volkswagen, Audi promosikan iklan social distancing

    Di dalam masa-masa yang sukar seperti sekarang ketika berdepan Covid-19, pengeluar kenderaan juga tidak ketinggalan untuk memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran umum melalui cara tersendiri. Volkswagen misalnya telah mengeluarkan satu iklan untuk menyampaikan mesej berkenaan.

    Dengan hanya melibatkan teks sahaja, mesej teras yang ingin dihebahkan adalah supaya semua orang mengekalkan jarak antara satu sama lain ketika ini, walaupun dalam krisis-krisis terdahulu, “kita berganding bahu dengan erat dan menjadi satu”. Huruf V dan W di dalam logonya juga dipisahkan sebagai simbolik kepada penjarakan sosial ini.

    Audi juga tidak ketinggalan menyampaikan mesej yang sama, di dalam video berasingan. Empat gelung pada logo ikonik Audi dipisahkan bagi membolehkan ada “jarak selamat” antara satu sama lain. Di dalam waktu yang mencabar dengan penularan wabak Covid-19 ini, ia telah menyebabkan banyak pengeluar kenderaan terpaksa menghentikan pengeluaran dan menutup kilang mereka.

    Keep Distance. Stay Together.

    Stay at home, keep your distance, stay healthy, support each other – we are in this together. As a global company and a global community, our highest priority is to identify any opportunities to #FlattenTheCurve. Stay safe.

    Posted by Audi USA on Jumaat, 20 Mac 2020

     
     
  • Peraturan lebih ketat dikenakan bagi fasa kedua PKP

    Peraturan lebih ketat dikenakan bagi fasa kedua PKP

    Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan peraturan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diperketatkan – sebaik memasuki minggu kedua – bagi memastikan Malaysia dapat mencapai matlamat untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 seberapa segera, lapor The Star.

    Ismail yang juga merupakan Menteri Pertahanan berkata, dalam fasa pertama pelaksanaan PKP, orang ramai masih dibenarkan bergerak, walaupun dengan cara yang dihadkan. “Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah diarah untuk merangka draf prosedur operasi standard (SOP) bagi fasa kedua PKP. Ini bakal menyaksikan peraturan lebih ketat dikenakan berbanding fasa pertama,” jelas beliau.

    Pengumuman berkaitan perkara ini bagaimanapun belum dilakukan lagi, dan menyatakan bahawa MKN akan membentengkan rancangan tersebut pada Sabtu ini, 28 Mac. Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa tempoh PKP seluruh Malaysia akan dilanjutkan hingga 14 April 2020. Fasa pertama PKP adalah dari 18-31 Mac ini.

     
     
  • UMW sahkan waranti Toyota dan Lexus anda tidak terjejas jika tidak diservis sepanjang tempoh PKP

    UMW sahkan waranti Toyota dan Lexus anda tidak terjejas jika tidak diservis sepanjang tempoh PKP

    Seperti yang diketahui, semua jaringan pengedar termasuk pusat servis bertauliah semua jenama-jenama automotif di Malaysia menutup operasi mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini bagi membendung penularan wabak COVID-19. Jadi adakah ini akan menjejaskan waranti kenderaan anda sekiranya waktu servis sudah sampai ketika dalam tempoh PKP ini?

    Untuk dua jenama di bawah payung UMW iaitu Toyota dan Lexus, syarikat tersebut mengesahkan bahawa waranti pelanggan mereka yang berhadapan dengan situasi ini tidak akan terjejas. Malah, sekiranya ada waranti kenderaan pelanggan yang akan tamat dalam tempoh PKP ini, UMW turut akan memanjangkannya dengan tambahan 30-hari.

    UMW sahkan waranti Toyota dan Lexus anda tidak terjejas jika tidak diservis sepanjang tempoh PKP

    Tambahan tempoh waranti berkenaan diberikan pada “hari terakhir PKP”. Ini bermaksud ia tidak tetap pada 14 April ini, tetapi tertakluk kepada arahan selanjutnya yang akan dikeluarkan oleh kerajaan selepas ini.

    Menurut UMW lagi, semua kenderaan pelanggan yang sepatutnya perlu diservis sepanjang tempoh PKP ini akan dijadualkan semula oleh UMW Toyota dan Lexus Malaysia selepas tamat tempoh PKP berkenaan.

     
     
  • Geely hantar kunci kereta baru kepada pelanggan guna dron – tiada hubungan manusia jarak dekat

    Geely hantar kunci kereta baru kepada pelanggan guna dron – tiada hubungan manusia jarak dekat

    Bulan lepas Geely telah melancarkan sistem jualan atas talian yang dipanggil sebagai “satu penyelesaian lengkap untuk menempah kereta atas talian”, di mana orang ramai boleh memilih model kenderaan, spesifikasi, pakej pembiayaan serta insurans yang dimahukan. Kini, syarikat itu membawa sistem tersebut satu langkah ke hadapan lagi – pelanggan boleh memilih cara penghantaran tanpa sebarang hubungan jarak dekat dengan manusia.

    Untuk kereta itu sendiri, Geely memberitahu mereka boleh menghantarnya ke rumah pelanggan, selepas ia melalui proses pembersihan kuman yang menyeluruh manakala kunci pula akan diserahkan kepada pemilik menggunakan dron, sama ada di depan rumah ataupun beranda jika mereka duduk di rumah bertingkat.

    Proses ini dianggap berguna pada waktu jarak sosial ataupun interaksi terus antara manusia sedang menjadi langkah utama untuk membendung penyebaran wabak Covid-19 sekarang. Cara penghantaran ini akan dimulakan di beberapa lokasi terpilih di China sebelum dikembangkan ke kawasan lain.

    Sejak platform jualan atas talian dibuka oleh Geely Februari lalu, lebih 10,000 pelanggan telah menempah dan membayar untuk kenderaan mereka melaluinya dan 110,000 lagi pengguna lain telah mendaftarkan minat untuk membeli kenderaan Geely dalam masa terdekat. Tempahan dan pendaftaran ini kemudiannya dihantar kepada pengedar berdekatan untuk diproses.

    Geely juga pada bulan lalu telah membuat pengumuman akan melaburkan 370 juta RMB (RM218 juta) untuk pembangunan “kenderaan pintar dan sihat”, dengan memasang sistem pemulihan udara pintar G-Clean (IAPS) yang boleh menapis partikel berbahaya serta penggunaan bahan antimicrobial pada kenderaan mereka. Model terawal yang menerima barangan ini adalah Icon, yang dilancarkan pada bulan lepas.

     
     
  • Kilang pengeluaran kereta di China beroperasi semula secara berperingkat selepas COVID-19 mula reda

    Kilang pengeluaran kereta di China beroperasi semula secara berperingkat selepas COVID-19 mula reda

    Selepas melalui episod sukar dalam menangani penularan wabak pandemik COVID-19 hingga kebanyakan industrinya lumpuh, kini China perlahan-lahan kembali bangkit. Ini termasuklah beberapa kilang pengeluaran kenderaan yang sudah beroperasi semula secara berperingkat.

    Walau pun banyak kilang pengeluaran kereta di dunia termasuk di Malaysia sendiri yang terpaksa menggantung operasi disebabkan masalah yang sama, namun keputusan China untuk membenarkan kilangnya mula beroperasi dianggap tepat memandangkan statistik kes COVID-19 menunjukkan angka sifar. Walau bagaimana pun, China masih mengamalkan langkah berjaga-jaga termasuk mengarahkan pekerja di sana untuk kekal jaga jarak antara satu sama lain.

    Antara nama besar pengeluar automotif dunia yang sudah memulakan kembali operasi secara berperingkat ialah BMW, Daimler, dan Fiat Chrysler. Menurut Fiat, pihaknya telah beroperasi semula selepas mendapat kebenaran daripada pihak kerajaan. Lebih 90% wakil pengedar dan 95% kakitangannya yang berkhidmat di kilang pengeluaran hasil kerjasama Guangzhou Automobile Group telah kembali bekerja.

    Kilang pengeluaran kereta di China beroperasi semula secara berperingkat selepas COVID-19 mula reda

    Selain itu, kilang pengeluaran Ford, Honda dan PSA Group juga telah beroperasi semula hampir 100%, walau bagaimana pun terdapat beberapa kakitangannya dari wilayah Hubei dan Wuhan yang masih di bawah sekatan perjalanan. Manakala Honda pula berkata, setakat ini pihaknya tidak berhadapan dengan masalah bekalan komponen kerana mendapat sokongan daripada pembekal dari luar China.

    Begitu juga dengan Nissan, SAIC, Tesla, Toyota, Volkswagen dan Volvo. Tesla pula tiada masalah untuk penyediaan stok kerana sebelum operasi kilang produksinya digantung, syarikat ini sudah pun mencapai pengeluaran sebanyak 3,000 unit kereta seminggu.

    Manakala Toyota yang memiliki kilang pengeluaran di Guangzhou dan Changchun akan kekal dengan waktu kerja dua shif, dan satu shif di kilang di Tianjin dan Chengdu. Lebih daripada 98% pengedar Toyota telah kembali beroperasi semula dan setakat ini syarikat kereta gergasi Jepun itu tidak merancang untuk mengubah sasaran jualan China bagi tahun ini.

    Volkswagen pula mengakui berhadapan dengan beberapa masalah termasuk rantaian bekalan komponen yang agak perlahan dan juga cabaran untuk melonjakkan semula logistik memandangkan masih terdapat sekatan perjalanan dikenakan di sana. Buat setakat ini, Volkswagen terpaksa mengubah waktu bekerja dari dua shif ke satu shif.

     
     
  • SPYSHOT: Hyundai i20 N muncul di Nürburgring!

    SPYSHOT: Hyundai i20 N muncul di Nürburgring!

    Tak lama dah rasanya Hyundai akan mendedahkan sepenuhnya hot-hatch terbaharu mereka yang lebih kecil dari i30 N, iaitu i20 N – unit prototaip sebenar kereta itu nampaknya sudah dilihat diuji di litar Nürburgring.

    Sebelum ini, Hyundai dilihat menguji model tersebut dengan menyembunyikannya di sebalik badan i20 generasi kedua. Dan selepas model standard generasi ketiga didedahkan sepenuhnya tiga minggu lalu, sekarang ia muncul diuji dengan badan sebenarnya.

    Apa yang boleh dilihat pada model prototaip ini, i20 N ini tampil dengan karekter hampir sama seperti i30 N – spoiler belakang lebih besar, kedudukan badan yang lebih rendah, bampar belakang dengan diffuser yang menempatkan tip ekzos berkembar (model standard tip ekzos disembunyikan) rim lebih besar dengan tayar berprofil rendah, serta angkup brek yang juga bersaiz lebih besar berwarna merah di sebalik set roda berkenaan.

    Bahagian lain nampaknya masih berselindung dengan penyamaran yang sangat berat dan sukar untuk digambarkan bagaimana rupa sebenar hot-hatch yang akan memberikan saingan terus kepada Ford Fiesta ST dan Volkswagen Polo GTi ini.

    Namun, bumbung kereta ini tidak dilekat dengan sebarang penyamaran dan nampak ia seperti dilayangkan dengan warna Performance Blue Hyundai seperti i30 N serta tempat duduk hadapan kelihatan direka dengan perehat kepala bersepadu bersama ‘kepak’ pada bahagian bahu seakan tempat duduk jenis bucket.

    Walau bagaimanapun, awal bulan ini, Hyundai Austria secara tidak sengaja mendedahkan bayangan badan i20 N tersebut dalam video pengenalan i20 standard generasi baharu. Imej berkenaan menunjukkan bahawa berbanding model standard, spoiler belakang yang lebih besar, bampar dan skirt sisi lebih agresif bersama serlahan jalur merah di bawahnya dan juga rim yang diinspirasikan dari jentera rali i20 N WRC.

    SPYSHOT: Hyundai i20 N muncul di Nürburgring!

    Khabar yang bertiup sebelum ini, i20 N dijangka akan dihasilkan dengan resipi hampir sama dengan i30 N, dibekalkan dengan casis dan suspensi lebih keras, brek lebih besar dan nisbah stereng lebih pantas.

    Ia mungkin akan dijana oleh enjin 1.6 liter Turbo-GDI dengan kuasa sekitar 200 PS dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Tidak seperti seterunya dalam WRC untuk musim hadapan iaitu Toyota GR Yaris yang menggunakan sistem AWD untuk versi produksi jalan raya, i20 N dikhabarkan hanya akan memacu roda hadapan.

    GALERI:Hyundai i20 2021 versi standard

    GALERI:Spyshot prototaip awalan Hyundai i20 N

     
     
  • Manhart Golf RS 450 – Golf R dengan kuasa 450 PS

    Manhart Golf RS 450 – Golf R dengan kuasa 450 PS

    Syarikat talaan kenderaan aftermarket dari Jerman, iaitu Manhart telah mengeluarkan pakej naik taraf terbaru untuk Volkswagen Golf R Mk7.5 yang dipanggil sebagai Manhart Golf RS 450. Seperti kebanyakan produk lain syarikat itu, ia dijadikan lebih jahat berbanding kereta keluaran kilang.

    Bermula dengan bahagian enjin, unit asal empat silinder 2.0 liter EA888 masih lagi dikekalkan, tetapi dipasang dengan turbo TTE 535 yang lebih besar untuk menghasilkan tekanan boost yang lebih tinggi. Setelah unit ECU ditala semula, ia mampu menghasilkan 450 PS dan 500 Nm tork (unit asal berkuasa 310 PS dan 400 Nm tork).

    Peningkatan lain yang dilakukan adalah termasuk sistem intercooler oleh Wagner, palam pencucuh baru, salur udara gentian karbon oleh ARMA serta sistem ekzos khas Manhart. Tiada perubahan diberi pada transmisi klac berkembar DSG tujuh kelajuan kereta ini dan Manhart masih belum mengeluarkan sebarang catatan prestasi seperti pecutan kepada awam.

    Kemudiannya, Golf RS 450 Manhart ini juga dipasang dengan suspensi talaan khas H&R dan menggunakan rim aloi Manhart Concave One 19 inci yang dibalut tayar 235/35. Selain warna warna asal yang digilap, pelanggan juga boleh mendapatkan rim ini dengan warna hitam. Brek masih lagi sama seperti asal, tetapi pelanggan masih boleh menaik taraf bahagian itu secara berasingan.

    Untuk penampilan, kereta talaan Manhart ini dipasang dengan spoiler hadapan Rieger serta pelekat grafik khas Manhart, manakala di bahagian dalam pula terdapat set pedal penukar gear di stereng yang baru.

     
     
  • Kia Motors rancang keluarkan topeng muka menerusi kilangnya di China bagi mengekang virus COVID-19

    Kia Motors rancang keluarkan topeng muka menerusi kilangnya di China bagi mengekang virus COVID-19

    Kia Motors Corp sedang mempertimbangkan rancangan untuk mengeluarkan topeng muka menerusi kilang pengeluarannya di China bagi membantu mengekang penularan COVID-19. Menurut jurucakap syarikat tersebut, pengumuman itu selaras dengan langkah yang dilaksanakan Fiat Chrysler yang mengambil keputusan untuk menukar salah satu kilang pengeluarannya di Asia untuk menghasilkan topeng muka.

    “Kami mungkin boleh menghasilkan topeng muka di kilangnya di Yancheng selepas kerajaan China menggalakkan pengeluar kereta berbuat demikian,” ujar jurucakap berkenaan seperti mana dilaporkan oleh Reuters. Walau bagaimana pun, setakat ini tiada perincian lanjut mengenai perkara ini termasuk tempoh masa atau sasaran jumlah pengeluaran.

    Kia telah menggantung operasi pengeluaran di kilangnya di Georgia, Amerika Syarikat, Slovakia dan India susulan penularan wabak pandemik COVID-19.

     
     
  • Mitsubishi Pajero generasi baharu akan muncul pada 2022 dengan unit penjana PHEV dari Outlander?

    Mitsubishi Pajero generasi baharu akan muncul pada 2022 dengan unit penjana PHEV dari Outlander?

    Concept GC-PHEV.

    Tahun lalu, Mitsubishi telah memperkenalkan Pajero Final Edition iaitu model edisi terhad sempena berakhirnya produksi SUV off-road berkenaan. Menurut Mitsubishi, 700 unit Final Edition ini adalah benar-benar unit terakhir Pajero setelah produksinya di Jepun tamat pada Ogos 2019, dan ia tidak akan diganti dengan model generasi baharu.

    Namun khabar terbaharu yang disiarkan oleh laman dari Jepun iaitu Spyder7, atas permintaan dari peminat-peminat, produksi Pajero akan disambung semula dan model generasi baharunya bakal muncul sekitar tahun 2021 atau awal 2022.

    Menurut portal berkenaan, Pajero tersebut akan diasaskan dari kerangka ladder frame generasi baharu dengan jarak roda yang dipanjangkan, namun masih mengekalkan panjang keseluruhan yang sama dari model sebelumnya. Mitsubishi juga akan menghasilkan ruang kabin dan ketegaran yang lebih baik untuk SUV ini.

    Mitsubishi Pajero generasi baharu akan muncul pada 2022 dengan unit penjana PHEV dari Outlander?

    Concept GC-PHEV.

    Spyder7 menyatakan bahawa Pajero ini mungkin akan digerakkan oleh unit janakuasa yang sama seperti Outlander PHEV, iaitu janakuasa hibrid gabungan enjin petrol 2.4 liter empat silinder bersama dua buah motor elektrik. Ia dikatakan mampu bergerak dengan hanya kuasa elektrik sejauh 75 km, atau lebih jauh dari Outlander PHEV yang hanya mampu mencatatkan 65 km.

    Dari segi rekaan pula, Pajero generasi baharu ini dijangka adalah jelmaan versi produksi untuk model konsep Mitsubishi Concept GC yang muncul pada tahun 2013 dan Concept GC PHEV yang diperkenalkan pada tahun 2015. Walau bagaimanapun, Spyder7 tidak menyatakan dengan jelas sumber berkenaan khabar ini. Jadi, kita rileks dulu dan tunggu kalau-kalau ada petunjuk atau pengumuman rasmi dari Mitsubishi sendiri.

    GALERI: Mitsubishi Concept GC PHEV

    GALERI: Mitsubishi Pajero Final Edition 2019

    GALERI: Mitsubishi Pajero dari generasi ke generasi

     
     
  • Perlumbaan MotoGP akan diadakan secara virtual hujung minggu ini – enam pusingan di Litar Mugello

    Perlumbaan MotoGP akan diadakan secara virtual hujung minggu ini – enam pusingan di Litar Mugello

    Perlumbaan MotoGP musim 2020 cuma sempat berlangsung untuk satu pusingan sahaja, iaitu di Qatar dan itupun cuma melibatkan kategori Moto2 dan Moto3. Dengan keadaan yang bertambah buruk sekarang, kita masih tidak tahu bila siri perlumbaan ini akan disambung semula.

    MotoGP tidak mahu peminat mereka bosan menunggu, jadi sebelum ini mereka telah menawarkan semua video dalam arkib mereka secara percuma melalui laman web. Sekarang, ada satu lagi hiburan untuk peminat MotoGP – perlumbaan akan diadakan secara virtual hujung minggu ini menggunakan permainan MotoGP™19 Videogame.

    Antara pelumba yang sudah mengesahkan penyertaan mereka adalah Marc Marquez, Alex Marquez, Maverick Viñales, Aleix Espargaro, Alex Rins, Joan Mir, Fabio Quartararo, Iker Lecuona, Miguel Oliveira serta Francesco Bagnaia, dan mereka akan berlumba dalam litar Mugello sebanyak enam pusingan. Sebelum perlumbaan sebenar akan terdapat sesi ujian masa untuk menentukan kedudukan permulaan.

    Perlumbaan virtual ini akan disiarkan secara langsung melalui laman web motogp.com, esport.motogp.com dan beberapa saluran lain dalam media sosial pada 29 Mac, jam 15:00 GMT+2 (21:00 waktu Malaysia). Setiap pemain akan berlumba dalam bilik persendirian khas, lengkap dengan semua kelengkapan permainan video ini.

     
     
  • Isuzu Malaysia gantung operasi hingga 14 April

    Isuzu Malaysia gantung operasi hingga 14 April

    Isuzu Malaysia telah mengumumkan operasi perniagaannya digantung sementara sehingga 14 April 2020, sejajar dengan pengumuman kerajaan yang melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Operasi perniagaan melibatkan jualan dan selepas jualan. Menurut Isuzu Malaysia, operasinya akan disambung semula pada 15 April ini atau pun sehingga notis selanjutnya.

    Walau pun pusat servis juga ditutup, jika ada pelanggan yang memerlukan perkhidmatan kecemasan berkaitan dengan kenderaan rosak atau kemalangan, wakil pengedarnya masih bersedia memberikan bantuan, tapi tertakluk kepada arahan kerajaan.

    Isuzu Malaysia juga akan memantau situasi ini dari semasa ke semasa, dan sebarang pengumuman lanjut akan dimaklumkan menerusi laman web rasminya. Memandangkan talian bebas tol – 1300-88-33- tidak berfungsi buat masa ini, para pelanggan boleh terus menghubungi 03-77239764 untuk pertanyaan perkara yang berkaitan.

     
     
  • TIP: Bagaimana hendak mengurangkan risiko virus COVID-19 ‘berumahtangga’ di dalam kenderaan anda?

    TIP: Bagaimana hendak mengurangkan risiko virus COVID-19 ‘berumahtangga’ di dalam kenderaan anda?

    Umum mengetahui, Malaysia kini sedang berusaha keras untuk memutuskan rantaian penyebaran wabak pandemik COVID-19. Buat setakat petang ini, menurut Kementerian Kesihatan, sudah 19 kematian dicatatkan dengan sejumlah 1,796 kes positif COVID-19.

    Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), COVID-19 menular melalui orang yang terjangkit dengan virus ini. Kemudian virus ini akan tersebar melalui sentuhan atau pun titisan pernafasan dari hidung atau mulut individu terbabit ketika dia terbersin atau batuk. Titisan tersebut yang terkena dengan sesuatu benda atau permukaan dan apabila disentuh oleh individu lain, maka dia juga boleh dijangkiti virus berkenaan.

    Para saintis di United Kingdom pula mendapati, COVID-19 ini mampu bertahan pada permukaan yang kerap disentuh sehingga sembilan hari. Di mana permukaan yang mempunyai potensi jangkitan adalah tombol pintu, besi pemegang dalam kenderaan awam serta beberapa permukaan yang kerap disentuh di kawasan tumpuan ramai seperti hospital dan sebagainya.

    Menurut kajian terbaharu di Jerman pula, virus ini mampu bertahan empat kali lebih lama berbanding virus demam biasa pada sesuatu permukaan yang telah disentuh. Namun begitu, virus boleh dihapuskan jika semua permukaan tersebut dilap dengan menggunakan produk pembasmi kuman.

    TIP: Bagaimana hendak mengurangkan risiko virus COVID-19 ‘berumahtangga’ di dalam kenderaan anda?

    Tahukah anda, virus ini juga mungkin boleh ‘berumahtangga’ di dalam kenderaan anda sendiri. Bayangkan, anda baru saja pulang dari pasaraya selepas membeli keperluan dapur. Anda tidak tahu mungkin ada yang berada di persekitaran anda yang merupakan pembawa virus ini tetapi tidak mempunyai simptom.

    Anda memegang troli membawa barang yang dibeli, tidak memakai sarung tangan, tidak membasuh tangan atau menggunakan hand sanitizer, terus masuk ke dalam kereta. Pegang stereng, tombol gear, butang kawalan dalam kenderaan dan terus memandu pulang. Tanpa disedari, virus tersebut terus berada di dalam kereta anda! Dan malangnya, bukan anda seorang sahaja yang terdedah dengan virus tersebut, bahkan orang yang berada di sekeliling anda, bahkan keluarga anda sendiri.

    Justeru, apa yang perlu anda lakukan sebaik sahaja sampai di rumah? Ini ada panduan yang mungkin boleh membantu anda menghindari virus ini dari ‘berumahtangga’ di dalam kenderaan anda.

    Pembersihan

    Seperti mana yang diterangkan di atas, COVID-19 ini mampu bertahan pada permukaan yang kerap disentuh sehingga sembilan hari. Ada sesetengah kajian juga menyatakan, ia mampu bertahan selama 72 jam untuk permukaan material plastik atau keluli tahan karat. Sesetengah material seperti besi, virus boleh bertahan sekitar 13 jam, manakala bagi polypropylene (materian yang banyak digunakan dalam komponen plastik di dalam kenderaan) mampu bertahan sekitar 16 jam.

    Komponen kenderaan diperbuat daripada pelbagai material, jadi jangka hayat virus itu mampu bertahan juga adalah berbeza-beza.

    Cahaya UV, yang dipancarkan oleh matahari, diketahui adalah ejen yang boleh mendatangkan bahaya kepada mikrob ini, jadi secara tidak langsung, ia berkeupayaan membantu mengekalkan tahap virus di dalam kereta secara lebih terkawal. Walau bagaimana pun, kebanyakan pengeluar kereta kini memasang lapisan kaca UV khususnya pada cermin tingkap, maka ini tidak begitu memberikan kesan langsung kepada virus tersebut.

    Jadi, sejurus pulang, parkir kereta anda terlebih dahulu di bawah terik matahari (jika waktu tersebut masih siang lah), bukak semua pintu. Untuk proses pembersihan, memadai menggunakan sabun pencuci biasa sahaja atau pun disinfectant wipes tissue (tisu disinfektan). Jangan sesekali menggunakan hand sanitizer untuk ‘mencuci’ komponen di dalam kabin kereta anda kerana ia boleh menyebabkan hakisan atau kerosakan pada material yang digunakan terutamanya plastik, vinyl dan kulit. Selain daripada itu, anda perlukan tuala bersih (tuala gentian mikro paling sesuai) dan semangkuk air bersih.

    Anda boleh juga rujuk pada buku panduan manual kereta anda, bahagian dalaman kereta yang perlu dibersihkan dengan produk apa yang boleh digunakan.

    Langkah pertama: Kosongkan ruang dalam kereta

    Bawa keluar semua barang atau item termasuk sampah, kerusi keselamatan kanak-kanak (cara pembersihan kerusi keselamatan ini, anda boleh rujuk pada buku panduan yang dikeluarkan oleh pengeluarnya), kotak tisu, duit syiling, peranti SmarTAG, alas kaki, bantal, kasut, jaket dan sebagainya. Letakkan ia di tempat yang selamat terlebih dahulu.

    Langkah kedua: Gunakan penyedut hampagas (vacuum cleaner)

    Sedut semua habuk, kekotoran di semua permukaan dan ruang termasuk di celah-celah tempat duduk, konsol tengah, tempat duduk, dan sebagainya.

    Langkah ketiga: Mulakan mengelap semua pemukaan dan komponen yang terbabit

    Disebabkan banyak komponen elektronik di dalam kenderaan, maka anda perlu lebih berhati-hati. Jangan sampai ia menjejaskan komponen elektronik terbabit. Tuala bersih tersebut selepas direndam dalam air bersama sabun pencuci biasa (dalam kuantiti yang sedikit), perah dahulu, jangan pula masih berbuih-buih dan meleleh-leleh airnya, anda terus lakukan proses pembersihan.

    Lap semua bahagian tersebut, biarkannya selama lebih kurang 20-30 saat sebelum membilasnya dengan menggunakan tuala lain bersama air yang bersih (tanpa sabun pencuci). Jika tempat duduk kereta anda menggunakan material fabrik, jangan sampai basah pula bahagian ini.

    Berikut merupakan komponen yang perlu anda bersihkan (terutamanya yang telah anda sentuh sepanjang pemanduan):

  • Pemegang pintu di bahagian luar dan dalam. Jangan lupa bahagian but sekali
  • Roda stereng
  • Tuil gear/penukar gear/brek tangan
  • Komponen/butang kawalan (termasuk pada unit utama, sistem infotainmen, kawalan suhu, butang penghidup enjin, indikator, dan sebagainya
  • Tempat duduk
  • Kunci kereta
  • Corong pendingin hawa
  • Cermin pandang belakang
  • Pelaras tempat duduk
  • Perehat tangan
  • Tempat pemegang cawan (cup holder)
  • Skrin sesentuh
  • Glove box
  • Panel pada pintu (dalaman)
  • Cermin tingkap (luar dan dalam)
  • Tali pinggang kaledar (termasuk buckle)
  • Jaga diri!

    Selain menyah-viruskan kenderaan anda, jangan lupa tentang anda sendiri. Pastikan anda terus mandi, sejurus pulang (elakkan didekati anak atau ahli keluarga yang lain). Rendam pakaian anda dengan sabun kemudian baru membasuhnya. Juga pastikan anda selalu membasuh tangan menggunakan sabun, selain hand sanitizer. Ramai pengamal perubatan berkata, kerap membasuh tangan menggunakan sabun sudah memadai, tanpa hand sanitizer. Ingat, sentiasa jaga kebersihan diri. Jarakkan diri anda dengan orang lain ketika berada di tempat awam (jangan lupa pakai topeng penutup hidung dan mulut serta sarung tangan plastik jika anda perlu memegang sesuatu termasuk nozzle di stesen minyak, mesin ATM, troli di pasaraya dan sebagainya) dan yang paling penting, elakkan keluar rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini yang dijangka tamat 14 April ini. #duduksajadirumah #juststayathome

     
     
  • Ducati buat pelancaran Streetfighter V4 atas talian – anda juga boleh saksikan siaran langsung malam ini

    Ducati buat pelancaran Streetfighter V4 atas talian – anda juga boleh saksikan siaran langsung malam ini

    Ducati Streetfighter V4 adalah antara model yang ditunggu ramai untuk tahun 2020 dan sebelum ini ia sudah pun didedahkan sepenuhnya semasa Ducati World Premiere (DWP). Semua perincian sudah diberitahu, termasuklah harga iaitu 19,990 euro (RM93,094) untuk versi biasa dan 22,990 euro (RM107,019) versi S di Itali.

    Walaubagaimanapun, pelancaran rasminya masih belum dilakukan dan disebabkan penyebaran wabak Covid-19 sekarang, Ducati terpaksa mengambil pendekatan lain. Kali ini, untuk Streetfighter V4, pelancarannya akan disiarkan secara langsung atas talian, tanpa tetamu seperti wakil media.

    Siaran akan bermula jam 6.30 petang waktu Itali (1.30 pagi waktu Malaysia) dan anda sendiri boleh menyaksikannya melalui laman web rasmi Ducati, Facebook ataupun Youtube. Mengikut jangkaan kami, ia mungkin akan melibatkan pembentangan daripada jurutera sendiri berkenaan segala perincian motosikal tersebut.

    Mengikut maklumat yang didedahkan sebelum ini, Streetfighter V4 menggunakan enjin empat silinder V Stradale 1,103 cc dengan kuasa 208 hp pada 12,500 rpm dan 123 Nm tork pada 11,500 rpm sementara beza antara model biasa dengan model S adalah pada suspensi.

    Kedua-dua enjin dan kerangka monocoque pada model naked ini diambil terus daripada Panigale V4, cuma Streetfighter V4 ini tidak mempunyai banyak panel badan untuk mengekalkan gaya “streetfighter” Ducati. Keunikan lain adalah pemegang yang lebih tinggi, serta lampu hadapan jenis projector dan DRL LED.

    Dengan berat kering 178 kg (hampir 200 kg apabila diisi segala minyak), Streetfighter V4 mencatat nisbah kuasa kepada berat 1.17 hp/kg, dan menurut ketua pegawai eksekutif Ducati, Claudio Domenicali, ia adalah 25% lebih berkuasa berbanding pesaing terdekatnya.

    Jumlah ini ditingkatkan lagi apabila menggunakan ekzos Akrapovic titanium, yang juga menjadikan kuasanya naik kepada 216 hp dan mengurangkan lagi empat kilogram. Penyampaian kuasa Streetfighter V4 ini berbeza berbanding Panigale V4 kerana ia mampu menghasilkan 14% lebih tork pada kelajuan 100 km/j.

    Ducati buat pelancaran Streetfighter V4 atas talian – anda juga boleh saksikan siaran langsung malam ini

    Kalau dibandingkan dengan Streetfighter 1098 sebelumnya, model V4 ini mencatat 31% lebih tork pada kelajuan 100 km/j. Prestasi ini dicapai bukan dengan talaan kepada enjin, tetapi cuma penukaran sprocket yang lebih besar di belakang dan lebih kecil di hadapan. Tangki bahan api pula berkapasiti 16 liter.

    Kedudukan penunggang dihasilkan untuk lebih keselesaan atas jalan biasa di mana tempat duduk hadapannya mempunyai busa 60 mm manakala tempat duduk belakang adalah 25 mm lebih rendah berbanding Panigale V4. Untuk Streetfighter V4 S, suspensinya adalah daripada Ohlins, iaitu NIX 30 dan Smart EC 2.0 untuk hadapan dan monoshock TTX36 di belakang – kedua-duanya boleh dilaras secara elektronik.

    Sistem brek menggunakan khidmat Brembo, dengan unit angkup Stylema M4.30 Monobloc serta cakera 330 mm di hadapan dan angkup dua piston serta cakera 245 mm di belakang, sekali dengan ABS Cornering EVO. Sistem elektronik penuh diberikan kepada Streetfighter V4 termasuk Evo 2 Traction Control, Wheelie Control, Slide Control, Engine Braking Control, Power Launch dan quickshifter untuk turun dan naik gear.

    GALERI: Ducati Streetfighter V4

     
     
  • VIDEO: McLaren jelaskan bagaimana Elva boleh dipandu walaupun tidak mempunyai cermin hadapan

    Pernah pandu kereta yang cermin hadapannya pecah? Susah nak pandukan? Nak buka mata pun susah, macam tunggang motosikal tapi helmet tiada visor. Hujung tahun lalu, McLaren telah memperkenalkan model baharu yang di gelar Elva, dihasilkan bukan sahaja tiada bumbung, malah cermin depan pun tidak disertakan.

    Jadi macam mana nak pandu kereta ni? Takkan nak pakai helmet fullface setiap masa? Pengarah Kejuruteraan Rekaan McLaren, Dan Parry-Williams akan menerangkan bagaimana Elva ini direka membolehkan anda memandu kereta berkenaan tanpa gangguan aliran angin yang boleh anda tonton menerusi video di atas.

    Sebenarnya Elva diberikan fungsi Active Air Management System (AAMS) yang terletak pada bahagian hadapan kereta ini. Panel pada sistem berkenaan akan ‘menolak’ udara dari hadapan naik 120 darjah ke atas. Kemudian ia akan ditolak semula kebelakang dan akan melalui bahagian atas kepala dan bukannya tepat ke muka pemandu, atau secara teorinya satu kanopi maya terhasil dari lencongan aliran udara tersebut.

    Menurut Dan, pemandu tidak akan merasa apa-apa ganguan udara serta tidak menggangu rambut anda sekalipun dan kekal berasa selasa memandu kereta tanpa cermin hadapan ini pada kelajuan sekitar 120 km/j. Tetapi jika anda mengangkat tangan ke atas, baru anda rasa ditolak oleh angin seperti anda julurkan tangan keluar dari tingkap pada kereta biasa ketika bergerak. Dalam kelajuan lebih laju, satu panel tambahan akan keluar dari bahagian berkenaan untuk mengekalkan bentuk kanopi tersebut.

    Kenapa Elva direka sebegini? Pertamanya, ia adalah model jelmaan semula kereta lumba McLaren-Elva M1A dengan berat hanya 551 kg, yang pernah digunakan dalam perlumbaan Canadian Sports Car Grand Prix pada tahun 1964. Jadi selain rupa, kereta ini direka tanpa bumbung dan cermin hadapan kerana McLaren mahukan ia menjadi kereta paling ringan dalam barisan modelnya buat masa sekarang dengan berat hanya 1,138 kg atau lebih ringan dari McLaren F1.

    Elva dijana oleh enjin V8 4.0 liter biturbo yang mampu menghasilkan 815 PS dan tork maksima 800 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan. Ini membolehkan Elva memecut 0-100 km/j dalam masa tidak sampai tiga saat, serta catatan pecutan 0-200 km/j lebih laju dari McLaren Senna iaitu 6.7 saat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024