Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Nissan Nikaijaya Resource KL pengedar ETCM pertama di Malaysia terap Nissan Retail Concept (NRC)

    Nissan Nikaijaya Resource KL pengedar ETCM pertama di Malaysia terap Nissan Retail Concept (NRC)

    ????????????????????????????????????

    Setelah diumumkan di Jepun pada tahun lalu, kini konsep baharu fasiliti pengedar Nissan yang akan digunakan di seluruh dunia digelar Nissan Retail Concept (NRC) telah tiba di Malaysia secara rasmi, dan Nikaijaya Resource (KL) Sdn Bhd merupakan pengedar pertama Nissan di Malaysia yang menggunakan konsep tersebut.

    Menurut wakil Nissan di Malaysia iaitu Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM), NRC yang yang mengadaptasi elemen seperti dinding kaca bersama bumbung berwarna perak serta latar belakang logo Nissan yang ikonik bakal memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan.

    Bilik pameran yang terletak hanya 700 meter dari Plaza Tol Damansara ini mempunyai keluasan 6,556 kaki persegi dan mampu untuk mempamerkan sehingga lima model Nissan baharu dalam satu-satu masa. Direka dengan konsep ‘Nissan Drive’, ia dilengkapi dengan ruang jualan dan rundingan, serta mempunyai kemudahan lain seperti ruang parkir yang mencukupi untuk pelanggan dan barisan kenderaan pandu uji, ruang rehat pelangan yang moden seperti sebuah kafe, wifi percuma dan juga sudut kanak-kanak.

    “Nissan Retail Concept (NRC) mengadaptasi cara terbaru persekitaran perniagaan kami. Ia membuktikan komitmen kami dalam memberikan pengalaman berkualiti tinggi kepada pelanggan sebaik sahaja mereka sampai di bilik pameran. Kami akan terus mengembang dan meningkatkan rangkaian bilik pameran Nissan demi memastikan mereka mempunyai akses lebih baik dalam usaha memenuhi permintaan yang kian meningkatkan terhadap kenderaan jenama Nissan,” kata Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan.

    Nissan Nikaijaya Resource beroperasi setiap hari. Dari Isnin hingga Jumaat ia akan dibuka dari 9.30 pagi hingga 6.30 petang. Pada hari Sabtu ia juga dibuka bermula 9.30 pagi tetapi ditutup sedikit lebih awal iaitu pada 6.00 petang. Manakala pada hari Ahad dan cuti umum, ia akan beroperasi dari 9.30 pagi hingga 5 petang.

    Bilik pameran berkenaan akan mengadakan Karnival Pandu Uji Nissan bermula 19 hingga 20 Oktober ini. Sepanjang karnival tersebut, anda berpeluang untuk memandu uji kereta elektrik sepenuhnya Nissan Leaf serta akan dihidangkan dengan pelbagai tawaran menarik ke atas model-model Nissan serta aktiviti pelbagai aktiviti lain untuk seisi keluarga.

     
     
  • SPYSHOT: Toyota Corolla Hybrid pula diuji di Malaysia

    SPYSHOT: Toyota Corolla Hybrid pula diuji di Malaysia

    Toyota Corolla 2019 baru saja dilancarkan minggu lalu, dan sekarang sudah ada orang yang terserempak pula dengan model sama, tetapi dengan pelekat bampar. Ini versi mana pula? Unit ini ditemui oleh seorang pembaca, JohnnyBoy di Iskandar Puteri, Johor. Yang jelas, daripada sedikit perincian biru yang ada, ini adalah Toyota Corolla Hybrid.

    Lencana tulisan “Hybrid” pada kereta ini juga boleh dilihat tertampal dengan pelekat untuk menyembunyikan identitinya. Jika diperhatikan ruang dalaman pula, butang EV Mode juga ada kelihatan pada sekitar bahagian tombol gearnya. Pada Coralla 1.8G biasa, ruang butang berkenaan dibiarkan kosong.

    Dan, berdasarkan bahagian pemegang nombor plat yang ada, ia sangat mirip dengan apa yang biasa digunakan oleh UMW Toyota Motor. Head unit 2-DIN dengan skrin sentuh yang ada juga selalu kita lihat dipasangkan pada model-model syarikat itu, sama seperti yang kita lihat pada model Corolla yang dilancarkan minggu lepas untuk pasaran tempatan.

    SPYSHOT: Toyota Corolla Hybrid pula diuji di Malaysia

    Di Thailand, Toyota memang ada menjual Corolla dalam varian 1.6L, 1.8L dan hibrid. Versi hibridnya menggunakan unit enjin 2ZR-FXE kitaran Atkinson yang sama dengan versi Corolla 1.8L yang menghasilkan 98 PS pada 5,200 rpm dan 142 Nm pada 3,600 rpm. Ini dipadankan pula dengan motor elektrik 72 PS/122 Nm dan CVT, menjadikan output keseluruhan sistem 122 PS.

    Tolak tepi head unit yang ada, kereta ini nampak seperti hadir dengan tingkat spesifikasi Corolla Hybrid High di Thailand, yang hadir lengkap dengan ciri bantuan pemandu Toyota Safety Sense – ini dapat dilihat dari kamera pada cermin depan serta butang-butang disebelah kiri stereng yang digunakan.

    SPYSHOT: Toyota Corolla Hybrid pula diuji di Malaysia

    Adakan ini petunjuk bahawa UMWT sedang membuat persiapan untuk pengenalan model Corolla Hybrid untuk pasaran tempatan selepas ini? Masih terlalu awal untuk meneka. Apa pun, yang pastinya, syarikat itu sedang dalam proses membuat penilaian terhadap model terbabit, kemungkinan besar untuk disesuaikan dengan keperluan pasaran tempatan.

    Jika ini benar-benar berlaku, sangat menarik untuk melihat perkembangan segmen-C dalam pasaran, kerana kereta ini tentunya akan dijual pada harga yang cukup menarik, sekaligus akan mengganggu keselesaan pesaingnya yang lain, seperti Honda Civic dan Mazda 3.

    Toyota Corolla 1.8G 2019

     
     
  • Hong Leong Yamaha Motor buka pusat servis, pameran dan gaya hidup terbesar di Sungai Buloh

    Hong Leong Yamaha Motor buka pusat servis, pameran dan gaya hidup terbesar di Sungai Buloh

    Dalam masa beberapa bulan lepas, pelanggan yang datang ke pusat servis Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd di Sungai Buloh pasti dapat melihat beberapa bahagian ditutup untuk kerja ubah suai. Sekarang, ia sudah siap dan bakal dibuka kepada umum secara rasmi bermula esok.

    Menurut HLYM, ini adalah pusat pameran terbesar jenama itu di Malaysia, dengan melibatkan kawasan 13,000 kaki persegi, dan pelbagai ruang untuk dinikmati oleh pelanggan dan orang awam. Malah, ia adalah 10 kali ganda lebih besar berbanding pusat pameran sebelum ini.

    Antara bahagian penting di pusat sehenti Yamaha ini adalah untuk servis motosikal. Sekarang ia mempunyai 15 ruang servis, berserta tempat jualan alat ganti asli. Sementara menunggu motosikal mereka diservis, pelanggan boleh bersantai di ruang rehat selesa berpendingin hawa.

    Selain daripada itu, mereka yang berkunjung ke pusat sehenti Yamaha ini juga boleh menjamu mata di kawasan pameran, di mana ia bukan setakat menempatkan model-model motosikal Yamaha, tetapi juga barangan lain Yamaha yang dibawa dengan kerjasama HLY Marine, Yamaha Music Malaysia serta Hong Leong Bank.

    Di bahagian atas pusat pameran dan servis ini terdapat Pusat Akademi Latihan dan Pembelajaran Motosikal (META) yang menyediakan latihan teknikal serta teori untuk wakil servis dan pengedar Yamaha. Melaluinya, HLYM berharap dapat membantu menambah jumlah pekerja terlatih di dalam industri.

     
     
  • Pembeli PLUS perlu pastikan tol turun 18% – LGE

    Pembeli PLUS perlu pastikan tol turun 18% – LGE

    Minggu lalu kecoh berberapa pihak yang menawarkan diri untuk membeli konsesi Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), tetapi pemilik saham terbesar syarikat itu, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menafikan mereka akan melepaskan kepentingan dalam syarikat tersebut. Dalam pembentangan belanjawan 2020 pada Jumaat lalu pula, menteri kewangan Lim Guan Eng telah mengumumkan bahawa kadar tol di lebuhraya berkenaan akan dikurangkan sekitar 18% bermula tahun 2020 nanti.

    Walau bagaimanapun, menteri berkenaan tidak menjelaskan bagaimana proses penurunan kadar tol itu dapat dilakukan. Tetapi menerusi artikel The Sun, Lim dilaporkan berkata syarikat-syarikat yang berminat untuk mengambil alih PLUS perlu memastikan mereka boleh menurunkan kadar tol purata 18% seperti yang telah diumumkan, dalam masa yang sama dapat memastikan fiskal juga dalam keadaan positif.

    “Ia mesti tidak akan menaikkan beban hutang kerajaan dan juga tidak menaikkan caj servis hutang kerajaan,” katanya pada sidang akhbar pada Sabtu lalu.

    Pembeli PLUS perlu pastikan tol turun 18% – LGE

    Rata-rata syarikat yang menawarkan mahu membeli PLUS telah mengumumkan kadar penuruan kadar tol melebihi 18% seperti yang disyaratkan. Maju Holding yang juga operator Lebuhraya MEX menawarkan penurunan kadar tol 25% hingga 36% jika berjaya mendapatkan PLUS. RRJ Capital iaitu sebuah syarikat yang diterajui rakyat Malaysia, berpangkalan di Hong Kong pula menawarkan penurunan kadar tol 20% tetapi dengan pemanjangan konsesi selama 20-tahun sehingga 2023 jika mereka memperoleh konsesi lebuhraya tersebut.

    Pengumuman bahawa kerajaan Pakatan Harapan bersedia untuk melihat bidaan syarikat-syarikat yang berminat untuk membeli PLUS juga telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed awal bulan ini, selepas Pengarah Urusan Khazanah menyatakan bahawa PLUS tidak akan dijual kepada mana-mana syarikat.

    “Penghapusan segera tol tidak boleh dilakukan kerana ia memerlukan pembelian oleh kerajaan. Ini berdasarkan dapatan satu kajian mendalam yang dilakukan mengenai perkara itu. Tetapi menurunkan bayaran tol boleh dipikul. Jika ada (pihak) swasta yang (mengutarakan cadangan) akan kurangkan tol, cadangan mereka boleh dipertimbang,” kata Tun M.

     
     
  • Subsidi RON95 akan diperluas kepada kelompok M40

    Subsidi RON95 akan diperluas kepada kelompok M40

    KPDNHEP berharap akan dapat melaksanakan agihan subsidi petrol bersasar bukan hanya kepada kumpulan B40 dan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH), tetapi turut melibatkan kelompok berpendapatan pertengahan M40 sekali, bermula Januari tahun depan.

    Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan minggu lalu, kelompok yang tidak tergolong di dalam B40 juga turut boleh menikmati subsidi berkenaan melalui Kad95 yang akan diberikan kepada mereka yang layak – berpendapatan kurang RM4,000, tetapi tidak tersenarai dalam BSH. Agihan kad berkenaan akan dijalankan secara berperingkat tahun depan.

    “Selepas pengumuman berkaitan subsidi petrol bersasar Isnin minggu lalu, kementerian menerima banyak maklum balas, antaranya untuk memasukkan sekali kelompok M40 sebagai penerima bantuan berkenaan,” ujar Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail seperti dilaporkan The Sun.

    Beliau menambah, KPDNHEP akan berbincang dengan Kementerian Kewangan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Tenaga Nasional untuk memperoleh data mereka-mereka yang layak serta untuk memperhalusi mekanisme terlibat.

    Subsidi RON95 akan diperluas kepada kelompok M40

    “Berdasarkan pembentangan minggu lalu, kerajaan telah memperuntukkan RM2.2 bilion untuk skim subsidi petrol bersasar ini yang akan memberi manfaat kepada lapan juta pengguna. Dan, tidak termasuk 2.9 juta penerima dari kelompok B40, sekitar lima juta pengguna lain dari kelompok M40,” jelas beliau.

    Bagi mereka yang tidak tergolong di dalam dua kelompok ini, tiada lagi subsidi yang akan diberikan dan harga runcit bahan api akan bergantung kepada kaedah apungan bermula Januari tahun depan. Berdasarkan kadar terkini pengiraan Automatic Price Mechanism (APM), RON95 sepatutnya dijual pada harga RM2.37 seliter sekiranya had RM2.08 dihapuskan.

    Berikut senarai kelayakan yang diperlukan bagi penerima-penerima subsidi petrol bersasar selepas ini:

    • Subsisi hanya akan diberikan kepada pemilik kenderaan, dan hanya terhad kepada satu kenderaan sahaja bagi setiap penerima. Jika mereka memiliki sebuah kereta dan sebuah motosikal, maka subsidi akan diberikan untuk nilai yang paling besar, iaitu untuk kereta. Dan, kenderaan perlulah didaftarkan di atas nama penerima.
    • Jumlah subsidi dihadkan kepada RM30 sebulan bagi kereta, manakala bagi motosikal pula RM12.
    • Kerajaan akan membayar subsidi berkenaan setiap empat bulan sekali. Maka, pemilik kereta akan menerima RM120, manakala pemilik motosikal pula akan menerima RM48 dalam tempoh itu. Bagi penerima BSH, jumlah berkenaan akan dikreditkan ke dalam akaun mereka. Pembayaran pertama dijangka pada April 2020.
    • Pendapatan isi rumah tidak lebih daripada RM4,000 sebulan.
    • Mereka yang layak hanya boleh memiliki maksimum dua kereta dan dua motosikal dalam satu masa untuk satu isi rumah.
    • Bagi kereta, ia perlulah berkapasiti 1,600 cc ke bawah; bagi yang lebih besar dari itu pula kereta perlulah berusia 10 tahun ke atas. Manakala bagi motosikal, perlulah kurang daripada 150 cc, atau yang berusia tujuh tahun ke atas.
     
     
  • Kereta hibrid dan bas elektrik bakal digunakan di Langkawi secara meluas – Perdana Menteri

    Kereta hibrid dan bas elektrik bakal digunakan di Langkawi secara meluas – Perdana Menteri

    Bagi menjadikan Langkawi bebas pencemaran asap dengan tujuan meningkatkan industri pelancongan, kerajaan mungkin akan menggalakkan penggunaan kenderaan hibrid dan elektrik di pulau terbabit.

    Menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau ada menerima pandangan supaya kenderaan dijana kuasa hibrid dan elektrik mula digunakan di pulau itu bagi mengelak kesan pencemaran jangka panjang.

    “Saya terima cadangan agar Langkawi dibersihkan daripada pencemaran akibat kenderaan berpetrol dan kita mungkin mulakan dengan penggunaan kereta hibrid dan bas elektrik,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Tambahnya, Langkawi menunjukkan peningkatan dalam jumlah kehadiran pelancong selepas ia tersenarai antara 10 pulau pelancongan terbaik dunia sebelum ini. Walau bagaimana pun, beliau tidak mengulas lebih lanjut mengenai perkara ini termasuk fasiliti pengecasan dan yang berkaitan.

     
     
  • Drive4Paul Malaysia 2019 – beramal gaya Mat Kereta

    Drive4Paul Malaysia 2019 – beramal gaya Mat Kereta

    Pelbagai cara dilakukan bagi mengumpulkan dana yang besar untuk kerja-kerja amal tanpa keuntungan, antara yang popular adalah seperti menganjurkan makan malam amal dan konsert amal. Bagi ‘Mat Kereta’, bagaimana pula gayanya? Perhimpunan dan juga acara memandu seperti Drive4Paul ini adalah salah satu caranya.

    Apa sebenarnya Drive4Paul ini? Bagi peminat bintang utama saga filem The Fast and The Furious, Paul Walker, anda tentu tahu bahawa selain dari seorang ‘Mat Kereta’ dalam dunia sebenar, Paul juga sebenar seorang aktivis masyarakat yang telah menubuhkan badan amal tanpa sokongan kerajaan yang di gelar Reach Out World Wide (ROWW).

    Menerusi ROWW, Paul melakukan kerja-kerja amalnya dengan fokus kepada membantu mangsa-mangsa bencana alam di seluruh dunia seperti gempa bumi yang berlaku di Chile dan Haiti, puting beliung yang melanda Alabama dan ribut taufan di Filipina.

    Dan kita semua tahu, Paul Walker telah meninggal dunia 20 November 2013 dalam satu kemalangan jalan raya bersama rakannya, Roger Rodas (kedua-duanya adalah pemilik bersama syarikat talaan kereta ubahsuai AE Performance), setelah Porsche Carrera GT yang dinaiki mereka hilang kawalan dan merempuh pokok serta tiang lampu.

    Selepas kehilangan Paul, ROWW masih lagi beroperasi dan tugasnya kini disandang oleh adik lelakinya, Cody Walker. Sebagai salah satu cara untuk mendapatkan dana untuk kerja-kerja mereka, serta memperingati Paul, ROWW telah mengdakan acara amal Drive4Paul, dan ia telah berlangsung di Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong dan Jepun.

    Tahun lalu, pengasas Retro Havoc Malaysia, Rosli Mohamad Said atau lebih dikenali dengan nama Alie Kuoppa telah menyertai Drive4Paul Jepun, dan kemudian dia telah menyatakan hasratnya sendiri kepada Cody Walker bagi membawa Drive4Paul ke Malaysia. Ini kerana acara tersebut bukan sahaja dapat mengumpulkan dana untuk tujuan kebajikan, ia juga sebenarnya dapat memperkenalkan Malaysia dan juga budaya ubahsuai kereta tempatan kepada dunia.

    Drive4Paul Malaysia 2019 – beramal gaya Mat Kereta

    Maka, Drive4Paul Malaysia dengan jayanya telah dilangsungkan pada hujung minggu lalu. Acara ini bermula pada hari Sabtu 12 Oktober dengan perhimpunan di hangar bekas Lapangan Terbang TUDM (kini dikenali sebagai Bandar Malaysia), dihadiri sejumlah 420 kereta ubahsuai dan eksotik, serta berberapa kereta-kereta replika filem FnF yang pernah dipandu Brian O’Conner (nama watak Paul dalam filem tersebut), yang bukan sahaja dari Malaysia, malah terdapat juga peserta yang datang dari Thailand.

    Perhimpunan tersebut turut diserikan dengan penampilan Cody Walker sendiri, dan juga pelbagai aktiviti lain seperti ‘taxi ride’ kereta drift serta persembahan-persembahan pentas.

    Selain dari menjadi acara Drive4Paul pertama yang dilangsungkan di Asia Tenggara, Drive4Paul Malaysia juga merupakan yang pertama dalam siri acara tersebut mendapat kerjasama kerajaan tempatan setelah menerima sokongan dari Institut Automotif, Robotik dan IOT Malaysia (MARii), Tourism Malaysia dan juga Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

    Acara ini diteruskan pada 13 Oktober dengan konvoi peserta dari Hotel EQ di Kuala Lumpur ke Putrajaya, dan kemudian bergerak ke Litar Antarabangsa Sepang. Drive4Paul secara rasmi ditutup malam tadi dengan sesi ‘parade’ di dalam litar berkenaan oleh kesemua kereta peserta yang berdaftar.

    Kesemua yuran penyertaan, duit pungutan tiket ketika perhimpunan dan juga hasil jualan-jualan barangan rasmi Drive4Paul akan disalurkan terus ke ROWW. Kami juga diberitahu bahawa Cody Walker dan rombongannya akan dibawa bercuti ke Langkawi selepas ini atas tajaan LADA, bagi tujuan promosi pelancongan.

     
     
  • Pemandu e-hailing yang belum lulus PSV diberi kelonggaran dari tindakan penguatkuasaan – Loke

    Pemandu e-hailing yang belum lulus PSV diberi kelonggaran dari tindakan penguatkuasaan – Loke

    Kementerian Pengangkutan masih memberikan peluang kepada pemandu e-hailing yang dalam proses untuk mendapatkan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), tetapi masih belum selesai.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pemandu berkenaan akan dipertimbangkan untuk diberi kelonggaran daripada tindakan penguatkuasaan yang bermula 12 Oktober lalu.

    “Walaupun penguatkuasaan telah bermula, ia akan dilaksanakan secara beransur-ansur dan tindakan hanya akan tertumpu kepada pemandu yang enggan mematuhi syarat. Ini bukannya perkara baharu, saya sudah umumkan banyak kali. Malah, ada nyatakan bahawa kita mengambil pendekatan beransur-ansur selain memberikan masa dan ruang secukupnya kepada semua (pemandu e-hailing).

    “Selagi mereka sudah menduduki peperiksaan PSV, kita tiada masalah walaupun belum mendapat (lesen PSV). Mungkin ada proses yang belum diselesaikan, jadi kita masih memberikan peluang,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

    Pemandu e-hailing yang belum lulus PSV diberi kelonggaran dari tindakan penguatkuasaan – Loke

    Sebelum ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu e-hailing yang tidak melengkapkan syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan, sebaik penguatkuasaan bermula.

    Loke berkata, kaedah penguatkuasaan itu tidak bermaksud pihak berkuasa akan laksanakan pemeriksaan terhadap setiap pemandu serta-merta.

    “Jadi ada proses yang belum selesai itu kita akan memberi sedikit masa lagi tetapi penguatkuasaan sudah bermula. Bagaimanapun, ia bukan bermaksud anggota JPJ akan pergi merata tempat dan memeriksa pemandu atau menahan setiap kereta. Kita akan membuat penguatkuasaan beransur-ansur,” jelasnya.

     
     
  • Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

    Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

    Selepas trak pikap ini mencecah usia lapan tahun, Isuzu kini memperkenal model generasi ketiga D-Max. Ia diberi pembaharuan yang menyeluruh, tidak hanya melibatkan rekaan luaran dan dalaman, tetapi turut melibatkan perubahan mekanikal.

    Dibangun menggunakan konsep “Efficient & Robust”, D-Max terbaru ini didakwa akan memberikan lebih penjimatan bagi penggunaan bahan api serta ciri keselamatan dipertingkat, dan dalam masa yang sama masih kekal versatile untuk memenuhi pelbagai keperluan penggunaan.

    Dimensi model baru ini adalah seperti berikut; 5,265 mm panjang, 1,870 mm lebar dan 1,790 mm tinggi. Ini menjadikannya 30 mm lebih pendek, 10 mm lebih lebar dan lima milimeter lebih rendah. Jarak antara rodanya pula kini 30 mm lebih panjang, menjadi 3,125 mm.

    Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

    Penampilan luaran memperlihatkan sentuhan yang lebih agresif berbanding model D-Max sedia ada. Bahagian gril yang besar menjadi antara yang paling ketara. Lampu utama sedikit lebih tipis dan kecil menggunakan teknologi bi-LED, disertai sekali oleh DRL LED bentuk U. Lampu isyarat dan lampu kabus terletak sedikit ke bawah – semua ini hanya pada varian paling tinggi. Untuk varian lain, grilnya lebih kecil, dan rekaan bampar konvensional digunakan.

    Di lihat dari tepi, bentuk yang digunakan ini didakwa lebih aerodinamik. Ia telah diuji di terowong angin Institut Kajian Teknikal Keretapi milik Japan Railway (JR). Tambahan lain yang diberikan ialah penggunaan pelindung pada bahagian bawah badan untuk mengurangkan pergolakan udara di bawah trak. Lengkung tayar juga tampil lebih lembut, disokong pula oleh garis bahu pada padannya yang menjadikan trak ini kelihatan lebih tegap.

    Di belakang, lampunya menerima pembaharuan, menggunakan perumah lutsinar serta pencahayaan LED dibucu. Bampar pada model spesifikasi paling lengkap ini pula disepadukan sekali pada bahagian ruang barangan untuk nampak lebih kemas. Pilihan rim aloi 18-inci juga baru.

    Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

    Perubahan yang lebih menarik ada di dalam. Tiada lagi rekaan papan pemuka yang ringkas seperti sebelum ini. Rekaan lebih moden dan bersegi digunakan sebagai gantinya. Kualiti material, pemasangan serta binaan juga kelihatan lebih baik – bahagian permukaan papan pemuka seperti menggunakan material soft-touch dengan unsur jahitan.

    Bahagian tengahnya dilengkapi dengan susunan hexagonal, yang menempatkan skrin sentuh untuk infotainmen bersaiz sembilan-inci, lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Jumlah pembesar suara kini ada lapan, dan konsol tengah antara pemandu dan penumpang dijadikan lebih tinggi dan lebar. Namun, ini hanya pada model paling tinggi; varian lain menempatkan rekaan yang lebih ringkas.

    Struktur elektrikalnya juga telah dipertingkat, sebagai persediaan kepada teknologi maju masa depan (perhubungan, autonomous, perkongsian dan elektrifikasi). Bagaimanapun, D-Max terbaru ini masih belum dilengkapi ciri brek kecemasan autonomous (AEB). Antara ciri keselamatan lain yang ada ialah sistem peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang (buat pertama kali ditawarkan), serta enam beg udara dan kawalan kestabilan.

    Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

    Naiktaraf ciri elektronik berkenaan juga membolehkan trak ini dilengkapi dengan pelbagai ciri baru. Sebagai contoh, kunci automatik, penghidup enjin jarak jauh, pra-pencahayaan ketika mendekati kenderaan, kawalan suara dan kawalan pendingin hawa dwi-zon (dengan corong belakang). Ciri lampu dan pengilap cermin automatik juga ada ditawarkan.

    Aspek ergonomik dan keselesaan turut menyaksikan perubahan. D-Max terbaru ini antara lain dilengkapi ciri larasan stereng teleskopik, kerusi depan dengan perlindungan bahagian kepala serta kusyen polyurethane MDI untuk mengurangkan keletihan dalam perjalanan jauh. Selain itu, tiang B juga dialih sedikit ke depan untuk memudahkan penumpang belakang keluar dan masuk ke kabin.

    D-Max baru ini dibangun menggunakan Isuzu Dynamic Drive Platform. Walaupun masih menggunakan binaan body-on-frame, kerangka ladder yang ada telah diberi banyak penambahbaikan. Antara yang dilakukan ialah meningkatkan penyerapan hentakan dan mengoptimumkan lokasi sentuhan binaan tersebut. Ini tidak hanya menjadikan kerangkanya lebih ringan, tetapi juga lebih kukuh dan selamat. Standard mount badan yang digunakan juga telah ditukar kepada jenis shear mount untuk meningkatkan kestabilan dan mengurangkan kebisingan dan gegaran.

    Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

    Untuk badannya, ia kini menerima lebih banyak bahagian besi lebih kukuh, dengan peningkatan ketegangan antara 30% hingga 40%. Ini menyumbang kepada peningkatan keteguhannya sebanyak 20%, dengan bahagian bumbung yang turut diperkukuhkan, tetapi ringan. Semua penambahbaikan ini juga membolehkan Isuzu untuk memperpanjangkan ruang barangan di belakang bagi semua varian.

    Sistem gantungan turut diberi kemaskini ketara. Jenis double wishbones yang digunakan di depan menerima sambungan mount yang lebih tinggi di atas untuk memberikan lebih kestabilan. Leaf spring di belakang pula dikilang menggunakan proses warm stress shot peening tidak hanya menjadikannya lebih tahan, tetapi juga lebih anjal untuk menawarkan keselesaan. Kestabilan turut disumbangkan oleh bahagian belakang kenderaan yang lebih lebar serta sudut mounting untuk penyerap hentak yang dikurangkan.

    Stereng juga telah ditala agar lebih mudah dikendalikan. Sudut stereng juga telah ditambah untuk meningkatkan aspek pengendalian, serta radius belokan (turning radius) telah dapat dikurangkan. Cakera brek juga lebih besar, dengan saiz 320 mm berserta kaliper dua-piston di depan. Selain itu, bearing hab pada roda depan telah disepadukan menjadi satu unit bearing sahaja, menjadikannya bebas penyelenggaraan.

    Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

    Kuasa dihasilkan melalui unit enjin yang sama, iaitu 1.9 liter dan 3.0 liter empat-silinder turbodiesel – enjin 1.9L ini baru saja diperkenalkan di Malaysia, dengan janaan kuasa yang juga sama; 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm dari 1,800-2,600 rpm. Selebihnya, pada model baru ini, ia menerima nisbah gear yang lebih optimum dan sistem kawalan lebih baik untuk pecutan.

    Namun, pada unit 3.0 liter dengan kos baru 4JJ3-TCX, ia menerima lebih banyak peningkatan, diterapkan antaranya dari enjin 1.9 liter yang lebih kecil itu. Ini termasukk kebuk pembakaran yang dibentuk semula, penyuntik bertekanan tinggi, saduran karbon pada pin omboh serta Variable Geometry Turbocharger (VGT) elektronik. Semua ini membolehkannya menghasilkan 190 PS dan 450 Nm – naik 13 PS dan 70 Nm berbanding unit 4JJ1-TCX.

    Untuk memperbaiki agihan beban, kedudukan enjin dialihkan sedikit ke belakang gandar depan. Kotak gear automatik dan manual kini menampilkan enam-kelajuan bagi kedua-dua enjin; versi manual datang dengan gear undur jenis pull-ring. Versi 1.9 liter juga menerima torque converter yang lebih kecil dan penyerap hentak sudut-lebar yang disepadukan di dalam klac untuk memberikan lebih maklum balas serta kecekapan minyak.

    Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

    Model pacuan empat roda turut menerima beberapa peningkatan tambahan, seperti aci aluminium tunggal untuk menjimatkan berat, serta differential lock elektromagnetik di belakang yang membolehkan peralihan pacuan antara dua roda kepada empat roda yang lebih pantas (serta peralihan nisbah rendah kepada tinggi). Kemampuan meredah air adalah pada ketinggian 800 mm.

    Isuzu D-Max 2020 terbaru ini akan mula dijual di Thailand pada 19 Oktober ini, dan ditawarkan dalam barisan varian yang luas, dari kegunaan perniagaan hingga pengguna biasa, dengan kabin tunggal dan kabin berkembar. Harganya bermula dari 510,000 baht (RM70,200) hingga 1,164,000 baht (RM160,300). Apa pandangan anda tentang trak pikap ini?

     
     
  • Belanjawan 2020 – RM85 juta untuk kurangkan sesak di Tambak Johor, RTS JB-Singapura akan diteruskan

    Belanjawan 2020 – RM85 juta untuk kurangkan sesak di Tambak Johor, RTS JB-Singapura akan diteruskan

    Dalam pembentangan Belanjawan 2020 oleh menteri kewangan Lim Guan Eng petang tadi, ada satu berita yang mungkin akan memberikan kelegaan kepada mereka di Johor Bahru yang berkerja di seberang tambak – kerajaan telah bersetuju untuk mengeluarkan belanja sebanyak RM85 juta bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

    Dengan jumlah perbelanjaan tersebut, kerajaan bakal membuka 50 kaunter tambahan untuk penunggang motorsikal. Selain itu, operasi kaunter imigresen dan juga kaunter PLUS juga bakal ditambah baik.

    Menerusi pembentangan Belanjawan 2020 ini juga, Lim turut mengesahkan bahawa projek Rapid Transit System Link (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura turut akan diteruskan, namun tiada sebarang anggaran masa bila ia akan disambung semula.

    RTS adalah projek rel sepanjang 4km yang akan dibina untuk laluan rentas antara Bukit Chagar di Johor Bahru hingga ke Woodlands di Singapura, dengan kapasiti penumpang seramai 10,000 dalam masa satu jam.

    Pembinaan asalnya dijadualkan bermula pada tahun ini dan dijangka siap pada Disember 2024. Namun pada Mei lalu, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menangguhkannya bagi membuat kajian untuk menurunkan kos projek tersebut.

     
     
  • Belanjawan 2020: Kerajaan ambil alih Sprint, LDP, Kesas, Smart – tol percuma pada waktu bukan puncak

    Belanjawan 2020: Kerajaan ambil alih Sprint, LDP, Kesas, Smart – tol percuma pada waktu bukan puncak

    Pada Jun lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, memaklumkan kerajaan bercadang untuk ambil alih empat lebuhraya di Lembah Klang iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart. Petang ini, menerusi bentangan Belanjawan 2020, beliau mengumumkan kerajaan, menerusi sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan, akan mengambil alih keempat-empat lebuhraya terbabit.

    Dengan itu, mulai 2020, Lim berkata, tiada kadar tol yang akan dikenakan untuk semua jenis kenderaan pada waktu bukan puncak. Manakala kadar tol pada waktu puncak dan waktu biasa akan diturunkan sebanyak 30%.

    “Ia bakal memberikan penjimatan sebanyak RM180 juta setahun kepada pengguna lebuh raya sepanjang tempoh konsesi,” ujar Lim di Dewan Parlimen, petang tadi.

    Belanjawan 2020: Kerajaan ambil alih Sprint, LDP, Kesas, Smart – tol percuma pada waktu bukan puncak

    Sebelum ini, Lim juga pernah menyatakan bayaran penjimatan bagi ambil alih lebuhraya tersebut ialah RM1.92 bilion–RM2.24 billion bagi LDP, RM1.57 bilion–RM2.04 bilion bagi SPRINT, RM1.08 bilion–RM1.19 bilion bagi KESAS dan RM671 juta-RM1.03 bilion bagi SMART.

    Pada Januari lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan caj kesesakan (congestion charge) di lebuhraya terbabit akan diperkenalkan. Di mana pengguna lebuh raya akan hanya dikenakan caj yang sama dengan kadar tol sedia ada pada waktu puncak selama enam jam sehari.

    Malah pengguna lebuhraya bakal menikmati diskaun sebanyak 30% berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa. Bagi waktu “off peak” iaitu antara jam 11 malam hingga 5 pagi pula, kadar tol akan dihapuskan sama sekali, bermakna penggunaan lebuh raya adalah percuma. Walau bagaimana pun, struktur akhir caj kesesakan akan dikaji secara terperinci dan diperhalusi sebelum ia dilaksanakan pada 1 Januari 2020.

     
     
  • Belanjawan 2020: Bukan penerima BSH juga boleh menikmati Kad95 subsidi petrol jika menepati kriteria

    Belanjawan 2020: Bukan penerima BSH juga boleh menikmati Kad95 subsidi petrol jika menepati kriteria

    Semasa pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan telah mengumumkan pemberian subsidi petrol RON95 bersasar, namun perincian pemberiannya baru sahaja diumum beberapa hari lalu. Syarat pertama adalah anda perlu tersenarai sebagai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

    Bagaimanapun semasa pembentangan Belanjawan 2020 sebentar tadi, terdapat satu lagi kemas kini. Walaupun anda tidak tersenarai dalam golongan penerima BSH, anda masih layak menerima subsidi petrol ini sekiranya pendapatan berada kurang di bawah RM4,000 dan syarat pemilikan kenderaan sama yang telah ditetapkan untuk kelompok penerima BSH ditepati.

    Seterusnya, mereka yang layak tidak boleh memiliki lebih daripada dua kereta dan dua motosikal dalam satu-satu masa. Kelayakan bagi kereta adalah seperti berikut; kapasiti enjinnya di bawah 1,600 cc, atau bagi yang melebihi 1,600 cc usia kenderaan perlu lebih daripada 10 tahun. Bagi motosikal pula, kapasiti enjin mestilah kurang daripada 150 cc. Bagi enjin 150 cc ke atas pula, hanya motosikal yang berusia melebihi tujuh tahun layak menerima subsidi berkenaan.

    Belanjawan 2020: Bukan penerima BSH juga boleh menikmati Kad95 subsidi petrol jika menepati kriteria

    Bagi golongan penerima BSH, kerajaan akan membayar semula jumlah subsidi ke dalam akaun bank berdaftar penerima dengan kekerapan sekali setiap empat bulan. Sebagai contoh, bagi pemilik kereta, RM30 merupakan jumlah subsidi yang terlibat setiap bulan (bagi sebuah kereta), maka RM120 akan dimasukkkan ke dalam akaun mereka.

    Begitu juga dengan pemilik motosikal. Mereka yang layak akan menerima subsidi RM12 setiap bulan bagi satu motosikal, maka RM48 akan dimasukkan ke dalam akaun mereka setiap empat bulan. Walaupun penerima boleh memiliki dua kereta dan dua motosikal yang mematuhi syarat, subsidi cuma akan diberi untuk satu kenderaan sahaja.

    Sementara itu, bagi golongan bukan penerima BSH, subsidi akan diberi melalui Kad95, yang berjumlah 30 sen/liter terhad hingga 100 liter sebulan untuk kereta dan 40 liter sebulan untuk motosikal. Subsidi cuma layak diberi sekiranya harga pasaran RON95 melebihi RM2.08 seliter.

     
     
  • Belanjawan 2020: Diskaun tol 18% di lebuhraya PLUS, caj tol kereta persendirian di JSAHMS turun ke RM7

    Belanjawan 2020: Diskaun tol 18% di lebuhraya PLUS, caj tol kereta persendirian di JSAHMS turun ke RM7

    Dalam pembentangan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan bakal memberikan diskaun tol sebanyak 18% di semua lebuhraya PLUS mulai tahun hadapan. Di mana ia bakal memberikan penjimatan kepada rakyat sebanyak RM1.13 bilion pada tahun 2020, dan RM43 bilion sehingga 2038.

    Walau pun tiga syarikat konglomerat swasta iaitu RRJ Capital Ltd, Maju Holdings dan WIDAD Business Group (WBG) sedang berlumba-lumba untuk membeli syarikat konsesi PLUS Malaysia Berhad, buat masa ini, kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan untuk menjualnya. Malah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) selaku pemegang saham utama PLUS tidak berminat menjual aset syarikat konsesi tersebut.

    Selain diskaun tol di lebuhraya PLUS, Lim turut mengumumkan kadar tol untuk kereta persendirian di Jambatan Sultan Abdul Halim Muádzam Shah (JSAHMS) atau Jambatan Kedua Pulau Pinang akan diselaraskan dengan kadar yang sama di Jambatan Pulau Pinang iaitu RM7. Kadar semasa bagi tol untuk kereta persendirian di JSAHMS selama ini ialah RM8.50. Ini bermakna ia bakal diturunkan sebanyak RM1.50 dan pastinya mengurangkan bebanan kewangan para pengguna yang sering berulang alik melalui jambatan berkenaan.

     
     
  • Harga minyak 12-18 Okt: RON97 naik 7 sen seliter

    Harga minyak 12-18 Okt: RON97 naik 7 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 12 hingga 18 Oktober 2019, Kementerian Kewangan telah mengumumkan petrol RON 97 naik sebanyak 7 sen seliter iaitu menjadi RM2.67 seliter, berbanding RM2.60 seliter pada minggu sebelumnya. Harga baharu ini efektif mulai tengah malam ini.

    Seperti minggu-minggu sebelumnya, harga petrol RON 95 dan diesel masih dikekalkan. Di mana petrol RON 95 pula akan terus dijual pada harga tetap bersubsidi RM2.08 seliter yang telah ditentukan oleh kerajaan, tanpa bergantung kepada harga apungan dalam pasaran.

    Walau bagaimana pun, diingatkan di sini, subsidi RON 95 bakal dihentikan pada tahun hadapan untuk Semenanjung Malaysia dan mula melaksanakan Program Subsidi Petrol (PSP) untuk golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH). Tanpa subsidi, untuk minggu ini, RON 95 mungkin menjadi RM2.37 seliter.

    Untuk diesel Euro 2M, ia terus dijual pada harga RM2.18 seliter di stesen minyak, manakala diesel Euro 5 yang sentiasa berada 10 sen lebih tinggi dijual pada harga RM2.28 seliter.

    Harga minyak 12-18 Okt: RON97 naik 7 sen seliter

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.27 seliter. Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.30 seliter. Manakala diesel pula turun berbanding RM2.34 seliter pada minggu lepas.

    Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat. Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan bagi tempoh 12 Oktober 2019 sehingga 18 Oktober 2019 adalah berjumlah RM112.64 juta.

     
     
  • Penggunaan biodiesel B20 mula dilaksanakan awal tahun 2020, Langkawi jadi antara lokasi terawal

    Penggunaan biodiesel B20 mula dilaksanakan awal tahun 2020, Langkawi jadi antara lokasi terawal

    Selepas melancarkan program biodiesel B10 hujung tahun lalu, kerajaan berhasrat untuk memasarkan biodiesel B20 pula di stesen minyak di seluruh negara. Ia dianggap sebagai mekanisme bagi mengawal industri berasaskan sawit. Malah Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad berharap semua pihak bersedia sepenuhnya bagi peningkatan kadar adunan biodiesel kepada B20, iaitu 20% adunan biodiesel sawit dengan 80% diesel petroleum menjelang 2020.

    Terbaru, Menteri Industri Utama Teresa Kok memaklumkan penggunaan biodiesel B20 akan dilaksanakan secara berperingkat awal tahun hadapan dan Langkawi akan menjadi lokasi pertama program ini dilaksanakan. Menurutnya, usaha kini digerakkan untuk menyediakan fasiliti lengkap bagi tujuan tersebut termasuk depoh minyak biodiesel yang boleh menyimpan biodiesel B30 apabila dilaksanakan kelak.

    “Walaupun pelaksanaan B20 dimulakan pada tahun depan tapi (pada masa sama) kita mahu menyediakan dan menaik taraf fasiliti yang sesuai untuk biodiesel B30 untuk penggunaan pada masa akan datang,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Tambahnya lagi, kerajaan masih dalam peringkat mengadakan kajian membabitkan jumlah peruntukan diperlukan untuk menaik taraf depoh bagi penggunaan biodiesel itu di seluruh negara. Malahan, kerajaan juga telah memberi notis pemakluman kepada syarikat yang mengimport kereta dari luar negara berhubung persediaan pelaksanaan program B20 itu pada 2020.

    “Notis ini bagi memastikan semua pihak terbabit bersedia. Kita tidak mahu kereta yang dipandu di jalan raya itu tidak dapat menggunakan B20,” jelasnya.

    Selain itu, Kok turut mengumumkan kerjasama MPOB dengan enam universiti tempatan bagi menjalankan kajian sistematik selama dua setengah tahun terhadap penggunaan biodiesel sehingga B30 bagi enjin berteknologi Euro IV/4 ke bawah yang melibatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM2.5 juta. Enam universiti terlibat adalah Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknikal Melaka, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Nottingham cawangan Malaysia.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024