Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Harga minyak 16-22 Mac- petrol RON 97 naik 8 sen

    Harga minyak 16-22 Mac- petrol RON 97 naik 8 sen

    Buat enam minggu berturut-turut harga runcit bagi RON97 naik lagi. Untuk minggu bertarikh 16-22 Mac, RON97 dilaporkan naik 8 sen seliter, menjadikannya RM2.54 seliter berbanding minggu sebelum ni dengan RM2.46 seliter.

    Walau bagaimana pun, harga runcit petrol RON95 dilaporkan masih kekal di paras RM2.08 seliter. Begitu juga dengan harga runcit diesel yang juga masih kekal pada RM2.18 seliter untuk Euro 2M dan RM2.28 seliter bagi Euro 5.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian kewangan, berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 16 sehingga 22 Mac 2019 sepatutnya adalah sebanyak RM2.24 seliter dan RM2.37 seliter masing-masing.

    Namun, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh di atas adalah dikekalkan masing-masing pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter berikutan keputusan kerajaan untuk menyekat kenaikan harga runcit produk petroleum demi mengurangkan beban kewangan rakyat.

     
     
  • Senarai harga terbaru Harley-Davidson di Malaysia

    Senarai harga terbaru Harley-Davidson di Malaysia

    Semalam kami ada melaporkan harga model Sportster dan Softail dari Harley-Davidson (H-D) untuk pasaran Malaysia akan diturunkan, hasil daripada pembukaan kilang di Thailand, iaitu tempat dua model ini dikeluarkan. Sekarang, kami sudah ada senarai penuh harga setiap model, dan kebanyakannya menunjukkan penurunan, ada yang melebihi 10%.

    Jika dibandingkan dengan tahun lalu, harga purata model yang menggunakan warna hitam biasa turun 10.41%, manakala yang menggunakan warna lain pula turun purata 12.5%. Model yang menggunakan warna dua tona turun 9.19% manakala yang disudahi dengan warna Custom tidak berubah. Turut diperkenalkan bermula tahun ini adalah barisan warna Custom dua tona untuk beberapa model seperti Touring, Softail dan Sportster.

    Penjimatan paling besar adalah untuk siri model Softail CKD, dengan harga Fatboy 114 2019 dikurangkan sebanyak 29% berbanding harga 2018. Model Fat Boy yang mempunyai warna pula sekarang dikurangkan sebanyak 28%, manakala untuk keseluruhan barisan model Softail penurunannya adalah purata 23%.

    Senarai harga terbaru Harley-Davidson di Malaysia

    Melihat kepada model Sportster pula, penurunan harganya adalah purata 18%, dengan Iron XL883N sekarang dijual pada harga cuma RM68,200 daripada RM86,072 (turun 20%) sebelum ini, manakala model Forty-Eight pula turun 19%. Model Harley-Davidson baru paling murah di Malaysia sekarang adalah Sportster XL883L Super Low, dengan harga RM62,600 (tahun lepas dijual pada harga RM76,426).

    Model yang paling mahal pula adalah FLHTK Ultra Limited warna Custom dua tona dan FLTRU Road Glide Ultra (bergantung kepada aksesori), dengan kedua-duanya dijual pada RM238,200. Sekarang ini, Harley-Davidson Malaysia mempunyai dua cawangan iaitu di Melaka dan Pulau Pinang, manakala pusat pameran utama berada di Petaling Jaya.

     
     
  • Semua model Mercedes-AMG bakal ada varian PHEV

    Semua model Mercedes-AMG bakal ada varian PHEV

    Mercedes-AMG merancang untuk menawarkan versi plug-in hybrid untuk setiap model dalam barisannya, dijangka pada beberapa tahun akan datang, di mana barisan pertamanya dijangka akan diperkenalkan pada 2020, laporan Autocar. Ia senada dengan langkah Mercedes-Benz yang turut memperkenalkan varian seangkatannya bagi semua segmennya, seperti EQ Boost (mild-hybrid), EQ Power (PHEV) dan EQ (elektrik sepenuhnya).

    Buat masa ini terdapat beberapa varian mild-hybrid dalam barisan AMG, termasuk CLS 53 dan GLE 53 4Matic+ yang baru dilancarkan, yang pertama kali dipertontonkan di Geneva. Ia menampilkan sistem elektrikal 49-voltan, pemampat elektrik dan penjana pemula EQ Boost, yang mampu menyalurkan kuasa tambahan 21 hp dan 250 Nm.

    Mild-hybrid yang ditawarkan ini dilihat sebagai solusi kerana ia menemati sasaran emisi EU yang ketat. “Semua kenderaan AMG pada masa akan datang akan dilengkapi varian plug-in hybrid sebagai pilihan. Mild hybrid bukanlah strategi untuk AMG, kerana penjimatan emisi begitu kecil, ujar ketua external affair for emission Mercedes, Frank Overmeyer.

    Semua model Mercedes-AMG bakal ada varian PHEV

    Buat masa ini, Mercedes-Benz mempunyai versi EQ Power bagi C-Class, E-Class dan S-Class, tetapi PHEV dijangka berkembang kepada 10, dan lebih daripada 20 model menjelang 2020, menurut Ola Kallenius, ahli lembaga pengarah pengurusan Daimler AG yang bertanggungjawab untuk Group Research and Mercedes-Benz Cars Development.

    Operasi elektrik sepenuhnya untuk PHEV mampu mencecah sehingga 50 km mengikut kitaran ujian WLTP, tetapi menurut Kallneius, ia boleh meningkat sekali ganda sehingga 100 km apabila PHEV generasi akan didatang diperkenalkan.

    AMG PHEV akan didatangkan versi talaan prestasi bagi sistem EQ Power, dengan mengorbankan beberapa operasi, menurut Overmeyer. “Bateri dan aplikasi, termasuk motor elektrik, akan sama, dan anda boleh mempunyai ledakan signifikan (bagi prestasi) yang akan mengurangkan jarak, tetapi memberikan pengalaman yang lebih baik. Sama bateri, sama penjana kuasa, tetapi berlainan aplikasi. Untuk SUV, ia boleh menawarkan 100 km, tetapi mungkin hanya 60 hingga 70 km untuk AMG,” ujarnya.

     
     
  • Audi e-tron dilancarkan di Thailand – 5.099 juta baht

    Audi e-tron dilancarkan di Thailand – 5.099 juta baht

    Hanya selepas beberapa bulan ia ditampilkan di San Francisco, Audi e-tron kini dilancarkan di Thailand, menjadikan Audi sebagai jenama premium pertama di negara berkenaan yang memperkenalkan kenderaan elektrik sepenuhnya. SUV import sepenuhnya ini ditawarkan oleh Meister Technik, dan berharga 5.099 million juta (RM657,618).

    Ditawarkan dengan varian tunggal, e-tron 55 quatro, menggunakan dua motor elektrik. Untuk gandar hadapan, unit pacuan terdiri daripada motor, elektronik kuasa dan kotak gear kelajuan-tunggal, dengan output sehingga 168 hp (125 kW).

    Sementara unit belakang menyalurkan 188 hp (140 kW) dan apabila dipadankan dengan yang di hadapan, kuasa bagi larasan pacuan semua-roda quattro dan sistem output keseluruhan berjumlah 355 hp (265 kW) tork 561 Nm.

    e-tron juga didatangkan dengan mod ledakan untuk meningkatkan kuasa sehingga 402 hp (300 kW) dan 664 Nm untuk beberapa saat, dengan 13 hp (10 kW) disalurkan ke hadapan dan 34 hp (25 kW) di belakang. Untuk prestasinya, pecutan 0-100 km/j hanya mengambil masa 6.6 saat, atau 5.7 saat apabila mod ledakan digunakan.

    Audi e-tron dilancarkan di Thailand – 5.099 juta baht

    Motor ini dikuasakan oleh bateri lithium-ion 95-kWh, membenarkan jarak pemanduan sehingga 417 km mengikut kaedah WLTP sewaktu diuji. e-tron boleh dicas menggunakan sama ada pengecas AC di rumah 11-kW atau 22-kW dengan sambungan Type 2, atau pengecas pantas DC 150-kW menerusi Sistem Pengecasan Kombinasi standard.

    Untuk luaran, ia dilengkapi gril Singleframe yang menutupi sistem pengatup aktif yang boleh terbuka dan tertutup bergantung kepada sama ada ia memerlukan penyejukan ataupun tidak. Gril ini diapit oleh lampu utama yang kemas dan mempunyai pencahayaan yang unik untuk model e-tron ini sahaja. Bawah sedikit, bamparnya mempunyai lekuk yang dapat menghalakan udara kepada bukaan di penjuru, sekaligus sampai ke bahagian brek untuk penyejukan. Bukaan udara di tengah pula menyampaikan udara untuk menyejukkan beberapa bahagian lain yang memerlukan. Soket pengecas terdapat di tepi, berhampiran logo e-tron.

    Masuk ke dalam, kabin kenderaan ini menyediakan fokus lebih kepada pemandu termasuk skrin sesentuh untuk sistem infotainmen MMI. Seperti yang dapat dilihat pada model Audi terkini yang lain, kenderaan ini juga menggunakan dua skrin sesentuh bertingkat yang mana unit atas adalah untuk fungsi utama manakala unit bawah untuk informasi lain seperti pengawal pendingin hawa dan suis untuk menghantar input tulisan.

    Audi e-tron dilancarkan di Thailand – 5.099 juta baht

    Untuk aspek keselamatan, ia dilengkapi TCS, ESC, ABS, EBD, empat beg udara (pemandu dan penumpang hadapan, sisi hadapan dengan sistem beg udara utama), bantuan menahan Audi, bantuan parkir dengan paparan 360-sudut dan cagak Isofix.

    Lain-lain pakej termasuk cermin sisi virtual dengan Audi pre sense city suite & side assist. Walau bagaimana pun, ia didatangkan dengan kos tambahan sebanyak 200,000 baht (RM25,780).

    Setiap e-tron yang dijual di Thailand didatangkan dengan waranti standard lima-tahun/150,000 km, dan juga waranti lapan-tahun/160,000 km untuk bateri bervoltan tinggi. e-tron bukanlah satu-satunya SUV presmium elektrik yang ke pasaran Thailand, tetapi Jaguar I-pace dan Mercedes-Benz EQC juga akan dipasarkan di sana tidak lama lagi.

    GALERI: Foto rasmi Audi e-tron

     
     
  • Tesla Model Y didedah – SUV elektrik penuh dengan pilihan tujuh tempat duduk, jarak gerak 483 km

    Tesla Model Y didedah – SUV elektrik penuh dengan pilihan tujuh tempat duduk, jarak gerak 483 km

    Seperti yang dijanjikan oleh Elon Musk, Tesla telah menunjukkan Model Y serba baru di studio rekaan mereka di Los Angeles, sekaligus melengkapkan nama model mereka kepada “S3XY”. Model Y ini mungkin nampak seperti Model X yang lebih kecil, tetapi sebenarnya ia lebih banyak berkongsi persamaan dengan Model 3.

    Model Y dibina atas platform yang sama dengan Model 3, dan berkongsi 75% komponen yang sama. Ini sebenarnya sudah boleh dilihat bermula pada muka yang sama, tetapi di bahagian belakang, bumbung yang menjunam nampak seperti Model X.

    Bahagian dalam juga lebih menyerupai Model 3, dengan skrin sesentuh 15 inci terpampang jelas di tengah papan pemuka. Model Y juga datang dengan bumbung panoramik kaca serta kedudukan tempat duduk yang tinggi hasil daripada bateri yang terletak di lantainya.

    Turut diberi adalah interface seperti telefon pintar, yang dapat memberi sambungan kepada aplikasi Tesla Mobile untuk mengaktifkan fungsi seperti membuka kunci dari jauh, Summon, menghidupkan pendingin hawa dari jauh, pengesan lokasi, pengehad kelajuan dan pelbagai lagi.

    Tesla Model Y didedah – SUV elektrik penuh dengan pilihan tujuh tempat duduk, jarak gerak 483 km

    Walaupun banyak cirinya seperti Model 3, Model Y ini masih boleh ditempah sebagai sebuah kenderaan tujuh tempat duduk seperti Model X (standard adalah lima tempat duduk). Ciri ini menjelaskan kenapa bentuk bumbung yang tinggi itu digunakan (pintu masih dibuka seperti biasa, bukannya ke atas).

    Melihat kepada kuasa pula, Model Y boleh didapati dengan satu motor (RWD) atau dua motor elektrik (AWD). Hanya varian Standard Range yang boleh didapati dengan tetapan RWD, tetapi jumlah kuasanya masih belum disiarkan. Yang diberitahu cuma Standard Range boleh melakukan pecutan 0-96 km/j (0-60 bsj) dalam masa 5.9 saat, laju maksimum 193 km/j dan jarak gerak 370 km.

    Kemudiannya, terdapat satu lagi varian Long Range Rear Wheel Drive, yang mampu melakukan pecutan sama dalam masa 5.5 saat, mencecah kelajuan maksimum 209 km/j dan memberi jarak gerak 483 km.

    Melalui varian AWD yang menggunakan dua motor pula, terdapat sedikit peningkatan, menjadikan pecutan 0-96 km/j 4.8 saat, laju maksimum 217 km/j dan jarak gerak 450 km. Akhir sekali, varian paling tinggi adalah Performance, yang juga adalah AWD, dan dapat melengkapkan pecutan sama dalam masa 3.5 saat, laju maksimum 241 km/j dan jarak gerak 450 km.

    Tesla Model Y didedah – SUV elektrik penuh dengan pilihan tujuh tempat duduk, jarak gerak 483 km

    Menurut Tesla, Model Y akan menyediakan tahap keselamatan yang paling tinggi, sama seperti kenderaan lain yang ditawarkan oleh mereka, dan sesuai digunakan dengan rangkaian Supercharger yang ada sekarang, termasuk Supercharger V3 yang berada pada kadar 250 kW.

    Penghantaran Model Y dirancang berlaku bermula pada musim luruh yang berikutnya di Amerika Syarikat, dan dimulakan dengan varian Performance (USD55,700), Long Range Rear-Wheel Drive (USD42,700) dan Dual-Motor All-Wheel Drive (USD46,700). Model asas Standard Range pula akan datang kemudian, iaitu pada musim bunga 2021 dengan harga USD39,000.

    Pilihan tujuh tempat duduk memerlukan kos tambahan USD3,000, sementara untuk mendapatkan pakej yang mempunyai ciri berkaitan dengan pemanduan sendiri (seperti kamera depan, tepi dan belakang, radar hadapan serta 12 pengesan ultrasonik) pemilik perlu membayar antara USD3,000 ke USD5,000.

     
     
  • Kaedah subsidi minyak bersasar paling lewat Julai ini

    Kaedah subsidi minyak bersasar paling lewat Julai ini

    Dalam perkembangan terbaru, kerajaan memaklumkan kaedah atau mekanisme agihan subsidi bersasar bagi bahan api akan siap paling lewat Julai ini. Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini bagi memberi ruang kepada kerajaan untuk mengenal pasti vendor dan memperkemas senarai penerima yang layak, lapor Bernama. Sebelum ini, tempoh pelaksanaan perkara ini dijangka suku kedua 2019.

    “Jika Kementerian Kewangan sudah memilih vendor, mereka akan memaklumkan kementerian kami, membolehkan kedua-dua kementerian untuk bergerak bersama untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit berkaitan. Kami ingin pelaksanaannya nanti berjalan lancar. Paling penting adalah untuk memastikan senarai penerima subsidi itu adalah mereka yang berhak,” jelas beliau.

    Senarai ini sedang disediakan oleh 17 agensi, bukan hanya Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Pendaftaran dan Jabatan Pengangkutan Jalan, tetapi melibatkan agensi lain juga. Kami ingin melakukan semak-silang untuk pastikan penerima nanti betul-betul mereka yang layak,” tambahnya.

    Semalam, Timbalan Menteri KPDNHEP, Chong Chieng Jen berkata di parlimen, masih belum ada keputusan akhir berkaitan mekanisme yang akan digunakan. “Sistem subsidi ini perlu mudah untuk digunakan untuk semua, termasuk stesen petrol di seluruh negara,” jelas beliau.

     
     
  • Mitsubishi eK Cross – kei-Car dengan muka Dynamic Shield, akan dilancarkan di Jepun hujung bulan ini

    Mitsubishi eK Cross – kei-Car dengan muka Dynamic Shield, akan dilancarkan di Jepun hujung bulan ini

    Mitsubishi eK Cross

    Serentak dengan pengumuman bahawa pembangunan bersama Kei-Car antara mereka dengan Nissan diteruskan dengan kerjasama lebih luas, Mitsubishi turut mendedahkan dua model eK generasi baharunya. Model eK Wagon terus berada dalam barisan model mereka, dan kini ditambah dengan model eK Cross yang menggunakan muka lebih kacak dan lasak Dynamic Shield seperti model-model SUV terbaharu Mitsubishi.

    Seperti biasa, muka sigantur baharu Mitsubishi ini akan menampilkan elemen ‘X’ kemasan krom pada mukanya, kemudian diberikan lampu tirus di atas dan lampu lebih besar pada bahagian bampar – untuk eK Cross ini ia diinspiraskan dari MPV Delica D:5 generasi baharu di mana lampu tirus berkenaan adalah lampu nyalaan siang LED, sementara lampu utama diletak di bawah dalam susunan menegak.

    Bampar kereta comel ini juga menerima kemasan berwarna perak yang kelihatan seperti bar kanggaro bagi melindungi bahagian hadapan tersebut. Manakala untuk versi standard eK Wagon, ia tidak diberikan sebarang imej Dynamic Shield Mitsubishi. Namun kedua-duanya diberikan kemasan hitam pada tiang-C bagi memberikan rupa seakan bumbungnya terapung.

    Mitsubishi eK Cross – kei-Car dengan muka Dynamic Shield, akan dilancarkan di Jepun hujung bulan ini

    Mitsubishi eK Wagon

    Mitusbishi masih lagi belum mengumumkan unit janakuasa atau sebarang angka prestasi untuk model generasi baharu ini, tetapi menyatakan bahawa “prestasi asas akan meningkat secara drastik dengan penggunaan komponen utama baharu seperti platform, enjin dan transmisi.”

    Mitsubishi juga mengesahkan kei-Car generasi baharu ini akan dilengkapi sistem bantuan pemanduan Mitsubishi Intelligent-Pilot (MI-Pilot) yang memberikan fungsi pemanduan separa automatik di lebuhraya, berkemungkinan sama seperti sistem ProPilot dari Nissan.

    Mitsubishi eK Cross dan eK Wagon generasi baharu ini akan dilancarkan di Jepun 28 Mac ini, manakala tempahannya sudah dibuka bermula 14 Mac 2019. Perincian sepenuhnya bakal didedahkan pada pelancarannya nanti.

     
     
  • GALERI: Mercedes-AMG G 63 2019 – RM1.46 juta

    GALERI: Mercedes-AMG G 63 2019 – RM1.46 juta

    Bagi sesetengah orang, hanya ada dua kenderaan 4×4 paling ikonik pernah dihasilkan di dunia sehingga kini, dari pengeluar kenderaan Eropah dan direka untuk tujuan “belasahan” sejak penampilan terawal mereka dahulu – mana ada selain yang namanya Land Rover Defender dan juga Mercedes-Benz G-Class. Kedua-duanya ada “cult” yang tersendiri.

    Ketika pengeluar Defender sedang bergelut untuk membayangkan semula model berkenaan dengan setiap unsur moden yang boleh diterapkan (setelah sekian lama hanya tampil tersangat minimal), Mercedes-Benz bagaimanapun tidak menghadapi masalah itu. Sekurang-kurangnya ketika kita melihat versi ini, Mercedes-AMG G 63 4×4.

    Masih dengan reka bentuk kotak walaupun ini merupakan model serba baru, tetapi kelengkapan lainnya mencadangkan bahawa AMG G63 ini adalah “binatang” yang sama sekali berbeza dari model asasnya yang utilitarian yang telah menemui peminatnya sejak 1979 lagi. Perkenalkan, Mercedes-AMG G 63 dengan harga jualannya di Malaysia bernilai RM1,464,888.

    Ia dilengkapi enjin 4.0 liter turbo berkembar V8 dengan janaan 585 hp pada 6,000 rpm dan 850 Nm dari 2,500 hingga 3,500 rpm, disalurkan kuasanya melalui kotak gear automatik AMG Speedshift Plus sembilan-kelajuan. Dari segi binaan pula, ia menggunakan pendekatan body-on-frame, tetapi kini 55% lebih kukuh dan 170 kg lebih ringan berbanding sebelumnya. Aspek suspensi diberi rekaan baru sepenuhnya oleh AMG.

    GALERI: Mercedes-AMG G 63 2019 – RM1.46 juta

    Walaupun luarannya begitu setia dengan rekabentuk asal G-Class sebelum ini, lain ceritanya di dalam. Papan pemuka menempatkan sebuah skrin 12.3-inci, dengan tetapan lampu kabin berserta pilihan 64 warna dan juga corong pendingan hawa yang lebih moden dengan rekaan ala turbin. Kelengkapan klasik yang lain banyak juga yang masih dikekalkan, seperti pemegang sisi untuk penumpang serta suis besar untuk memilih sistem pacuan.

    Selebihnya, tak ada perkataan yang dapat memberi gambaran setepatnya keunikan dan keunikan model ini, melainkan himpunan gambar-gambar yang kami sediakan ini. Terima kasih kepada dua jurufoto kami, Sherman Sim dan Patrick Seow, yang bertungkus-lumus menghasilkan semua gambar yang menarik, dan menyerlahkan lagi kelainan pada AMG G 63 ini. Selamat menikmati.

     
     
  • Harga Suzuki Katana di UK telah didedah – RM62k

    Harga Suzuki Katana di UK telah didedah – RM62k

    Pengedar motosikal Suzuki di United Kingdom (UK) telah pun mendedahkan harga bagi model baru Katana di laman web mereka, dan ia diletakkan bermula pada £11,399, bersamaan sekitar RM62,000 apabila ditukarkan secara terus kepada Ringgit Malaysia.

    Untuk dijadikan perbandingan, satu lagi model berbentuk klasik tetapi dengan kelengkapan moden yang dijual oleh Kawasaki, iaitu Z900RS dijual pada harga bermula £10,199 (RM55,230) di UK, manakala di Malaysia, Z900RS ini dijual pada harga bermula RM67,900.

    Suzuki Katana generasi baru ini menggunakan asas daripada model naked GSX-S1000, yang termasuk kerangka aluminium jenis twin-spar, lengan ayun daripada GSX-R, suspensi USD di hadapan, monoshock di belakang, set brek cakera Brembo berkembar di hadapan dan satu di belakang, serta berat keseluruhan 215 kg.

    Enjin pula diambil daripada GSX-R1000 – unit empat silinder sebaris DOHC 999 cc dengan kuasa 150 hp dan transmisi enam kelajuan. Perincian lain motosikal ini adalah tangki bahan api 12 liter, tinggi tempat duduk 825 mm, lampu jenis LED dan panel instrumen digital.

    Selain daripada harga motosikal, Suzuki UK juga akan menawarkan pakej khas untuk menjadikan Katana ini lebih menarik, iaitu Samurai Accessory Pack yang bernilai £999 (RM5,409), yang memberikan penghadang angin hadapan, tempat duduk hitam/merah, penghadang lumpur depan dengan corak gentian karbon, alas tangki, jalur pelekat di rim, fairing warna merah dan pelekat di tepi tempat duduk.

    GALERI: Suzuki Katana 2019

     
     
  • Stor MotoE di Litar Jerez terbakar – semua motosikal dan peralatan hangus, siasatan sedang dijalankan

    Stor MotoE di Litar Jerez terbakar – semua motosikal dan peralatan hangus, siasatan sedang dijalankan

    Sepatutnya tahun ini, akan terdapat satu lagi siri perlumbaan dalam MotoGP, khas untuk motosikal elektrik iaitu MotoE. Perlumbaan pertama dijadualkan berlangsung pada bulan Mei, dan ia akan diadakan sebanyak lima pusingan namun sekarang ini, semuanya sudah menjadi tidak pasti kerana satu insiden telah menimpa.

    Awal pagi semalam, hampir kesemua peralatan siri perlumbaan MotoE ini telah hangus akibat kebakaran yang berlaku di stor simpanan Litar Jerez, iaitu litar tempat ia diuji pada waktu itu. Semua 18 motosikal Energica yang akan digunakan dalam perlumbaan serta kelengkapan milik pasukan kebanyakan besarnya hangus.

    Walaubagaimanapun, dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh penganjurnya, tiada kemalangan jiwa yang berlaku, dan mereka positif untuk terus juga melakukan perlumbaan MotoE ini dalam tahun 2019. Mereka juga mengesahkan tiada motosikal yang sedang dicas waktu itu.

    Daripada pihak pelumba pula, ramai yang menyatakan rasa positif, dengan pelbagai ucapan di media sosial dan tidak sabar untuk kembali berlumba. Siasatan lanjut sedang dilakukan dan mereka yang terlibat dengan MotoE ini sudah pun mula bekerja untuk memulihkan keadaan secepat mungkin.

    Di atas, kami ada video yang dimuat naik oleh laman web motosikal terkenal United Kingdom, iaitu Motorcyclenews.com di laman Facebook.

     
     
  • GALERI: Maserati MC12 dipamerkan di NAZA Italia PJ

    GALERI: Maserati MC12 dipamerkan di NAZA Italia PJ

    Ketika pelancaran Maserati Levante Vulcano kelmarin, turut kelihatan ialah sebuah model prestasi Maserati MC12 yang hanya dikeluarkan sebanyak 50 unit sahaja untuk seluruh dunia.

    Dipertontonkan di bilik pameran Naza Italia Petaling Jaya, jentera dengan penampilan dalam warna white-navy blue tersebut dibangunkan untuk kegunaan di jalan raya dan dalam masa sama layak beraksi dalam litar lumba, misalnya untuk perlumbaan sehebat FIA GT Championship.

    MC12 ini menggunakan rekaan Enzo Ferrari sebagai asasnya; Enzo memang merupakan legenda yang tersendiri, tetapi gaya dan rupa bentuk rekaan badan MC12 ini lebih seksi.

    GALERI: Maserati MC12 dipamerkan di NAZA Italia PJ

    Enjin yang dipasang di belakang merupakan unit 6.0 liter V12 yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 630 PS dan 625 Nm tork, disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear Cambiocorsa semi-auto enam-kelajuan dengan pedal penukar gear. Pecutan dari 0-100 km/j mampu dicapai dalam masa 3.8 saat dengan kelajuan maksimum 330 km/j.

    Maserati MC12 pernah ditawarkan pada harga 600,000 Euro (RM2.78 juta) pada tahun 2004-2005. Jadi, berapa agaknya harga kereta ini sekarang?

    Salah satu unit pernah dijual oleh RM Sotheby dengan harga US$2,090,000 (RM8.55 juta). Tahun lalu, ada pembida yang telah menawarkan harga 2,001,875 Euro (RM9.27 juta). Melihat kepada corak ini, harganya semakin meningkat. Adakah mustahil unit yang ada di Naza ini mencecah harga RM10 juta?

     
     
  • MARii dedahkan vendor-vendor automotif Malaysia ke pasaran eksport menerusi anjuran bersama IESS 2019

    MARii dedahkan vendor-vendor automotif Malaysia ke pasaran eksport menerusi anjuran bersama IESS 2019

    Selain dari mengeksport kereta dalam bentuk lengkap (CBU), perniagaan dalam bentuk eksport komponen alat-alat ganti juga merupakan satu cabang dalam industri automotif yang memberikan pulangan besar kepada negara dengan menunjukkan peningkatan yang begitu ketara iaitu dari RM4.7 bilion pada 2014 kepada RM12.1 bilion pada 2018.

    Oleh itu, sebagai badan di bawah Kementerian Perdagangan dan Antarabangsa (MITI) yang bertanggungjawab dalam hal ini, Institut Automotif Robotik dan Iot Malaysia (MARii) sentiasa mencari peluang bagi memperluaskan perniagaan ini. Salah satu usaha bagi mededahkan vendor-vendor Malaysia kepada pasaran luar adalah menerusi pameran-pameran antarabangsa seperti International Engineering Source Show (IESS) 2019 yang berlangsung di Chennai, India bermula hari ini.

    Bukan sekadar membawa delegasi Malaysia ke acara tersebut, malah MARii telah menjadikan Malaysia sebagai penganjur bersama untuk acara ini selama tiga tahun, di mana Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai perkara berkenaan turut ditandatangani hari ini ketika pelancarannya. CEO MARii, Dato Madani Sahari telah mewakili Malaysia untuk menandatangani MoU tersebut, manakala India diwakili oleh Suranjan Gupta, Pengarah Eksekutif Majlis Promosi Kejureteraan dan Eksport (EEPC) India.

    Untuk itu, vendor-vendor Malaysia dikumpulkan pada satu ruang yang luas pada pameran ini, dikenali sebagai ‘Malaysia Pavillion’. Malah MARii turut membawa sebuah Perodua Myvi dan sebuah Perodua Bezza bagi menunjukkan pada pihak luar kebolehan yang dikecapi oleh vendor-vendor tempatan.

    Secara keseluruhan, MARii telah membawa 15 syarikat dari Malaysia. Enam daripadanya adalah dalam bidang pemasangan dan komponen logam, terdiri dari Suria Component Manufacturing, Sapura Automotive Industries, DRB-HICOM, Sanyco Grand Industries, Fulle Technik dan Group Components Automotive (GCA).

    Empat dari syarikat berkenaan pula menghasilkan komponen-komponen plastik iaitu Azman Hamzah Plastik/Industrial Quality Management, HIL Industries, PD Kawamura Kako dan Delloyd Industries. Manakala selebihnya adalah syarikat yang memberikan pelbagai servis iaitu JHC Logistics, ORS Technologies, Feiran Technology, Talent Synergy dan TechCapital Resources.

    Sehingga kini, Malaysia merupakan pengeluar untuk komponen-komponen seperti bampar, kolum stereng, kotak komputer enjin (ECU), sistem penghawa dingin, suis-suis, tayar, sistem infotainmen, kemasan plastik dalaman, komponen-komponen getah serta pelbagai lagi.

    Syarikat-syarikat tempatan turut menghasilkan komponen yang dikilangkan semula seperti alternator, pemampat (compressor) dan juga motor penghidup, di mana ia turut dieksport dan merekodkan pulangan sebanyak RM523.1 juta tahun lalu. Termasuk eksport unit-unit CBU yang berjumlah RM2.08 bilion, eksport dalam industri automotif tahun lalu telah mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah.
    ?

     
     
  • Geely Jiaji dilancarkan untuk pasaran China – MPV, enjin 1.5L dan 1.8L T-GDi, varian mild hybrid dan PHEV

    Geely Jiaji dilancarkan untuk pasaran China – MPV, enjin 1.5L dan 1.8L T-GDi, varian mild hybrid dan PHEV

    Selepas beberapa ketika khabar angin mengenai pengenalannya menjadi buah mulut, model MPV pertama oleh pengeluar kenderaan China, Geely Jiaji kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran di sana. Ada tiga versi sistem janaan ditawarkan; enjin petrol, mild hybrid dan plug-in hybrid, dan dijual dari harga 99,800 yuan (RM60,800) hingga 182,800 yuan (RM111,400).

    Jiaji mempunyai dimensi saiz yang besar, dengan 4,706 mm panjang, 1,909 mm lebar and 1,690 mm (1,713 mm untuk versi PHEV) tinggi, dengan jarak antara roda 2,805 mm. Walaupun begitu, ia sedikit lebih pendek jika dibandingkan dengan Toyota Alphard (4,945 mm) dan Kia Grand Carnival (5,115 mm) – kedua-dua model ini hadir dengan jarak antara roda sekitar tiga meter.

    Menurut Geely, MPV Jiaji ini menggabungkan elemen dari rekaan sedan, kuasa dari SUV dan ruang sebuah MPV. Dari segi rekaan, ia menampilkan sentuhan semasa yang ditampilkan pada kenderaan keluaran Geely – gril lebar, lengkuk tayar yang lebih menonjol, garisan tingkap yang dinamik serta kesan bumbung terapung dengan bahagian tiang D yang digelapkan. Ia menggunakan rim 18-inci dengan jarak kelegaan tanah 165 mm.

    Geely Jiaji dilancarkan untuk pasaran China – MPV, enjin 1.5L dan 1.8L T-GDi, varian mild hybrid dan PHEV

    Di dalam, rekaan yang ditampilkan lebih moden. Papan pemuka yang lebar dan konsol tengah yang seolah-olah terapung memberikan rasa ruang yang lebih luas. Skrin 12.3-inci untuk infotainmen terletak bersendirian di tengah, dengan sistem operasi Geely Smart Ecosystem (GKUI) – kini dengan mod “kanak-kanak”.

    MPV ini ditawarkan dengan konfigurasi enam atau tujuh tempat duduk (2+2+2, 2+2+3 atau 2+3+2) – kerusi kapten bagi dua konfigurasi terawal itu boleh direbahkan sehingga 165 darjah dan dilengkapi perehat kepala khusus. Ciri lain termasuk bumbung panoramik luas, penebat bunyi aktif serta sistem pembersih udara AQS seperti pada SUV Boyue atau Proton X70.

    Pilihan enjin ada dua; 1.8 liter turbocaj empat-silinder petrol dengan janaan 181 hp dan 300 Nm yang digandingkan dengan transmisi enam-kelajuan automatik. Satu lagi ialah enjin 1.5 liter turbo yang dibangunkan bersama Volvo, menjana 174 hp dan 255 Nm dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik klac-berkembar (DCT) tujuh-kelajuan.

    Model dengan DCT juga turut ditawarkan dengan sistem mild hybrid 48-volt yang memberikan output 188 hp dan 300 Nm serta kadar penggunaan minyak 5.9 liter bagi setiap 100 km dalam gabungan situasi pemanduan.

    Versi PHEV pula menggunakan enjin 1.5 liter dengan motor elektrik dengan output keseluruhan sistem 255 hp dan 385 Nm. Purata penggunaan minyak ialah 1.6 liter bagi setiap 100 km, dengan keupayaan 56 km jarak pacuan elektrik sepenuhnya dan boleh dicaj semula dalam masa 90 minit melalui stesen caj pantas.

    Aspek keselamatan, Geely Jiaji ditawarkan dengan ciri pemanduan autonomous Tahap 2 dengan ciri-ciri seperti Intelligent Cruise Control (ICC), Lane Keep Assistant (LKA), Automated Park Assist (APA), Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan pengesan pejalan kaki, Lane Change Assistant (LCA), Blind Spot Detection (BSD), Speed Limit Identification (SLIF), Rear Collision Warning (RCW) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

    Jiaji dijangka tiba di Malaysia pada 2020 nanti sebagai sebahagian daripada perjanjian perlesanan antara Geely dan Proton, yang antara lain telah berhasil memperkenalkan SUV X70 dan juga akan datang, SUV segmen B, Binyue. Betul model ini akan jadi pengganti Proton Exora nanti?

     
     
  • GALERI: Perodua Bezza dan Myvi dibawa ke Chennai Trade Center, India untuk dipamerkan kepada awam

    GALERI: Perodua Bezza dan Myvi dibawa ke Chennai Trade Center, India untuk dipamerkan kepada awam

    Kami menghadiri International Engineering Sourcing Show (IESS) Chennai ke-8 hari ini, yang bertempat di Chennai Trade Center, India. Dan apa yang mengejutkan, sebuah Perodua Bezza diletakkan di hadapan pusat perdagangan berkenaan bagi dipamerkan kepada orang awam.

    IESS adalah acara yang mengumpulkan syarikat-syarikat kejuruteraan dan pembekal dari seluruh dunia dan mewujudkan peluang-peluang perniagaan, dan untuk edisi tahun ini, Malaysia menerusi Institut Automotif, Robotik dan IoT (MARii) telah menjadi rakan penganjur rasmi bagi mendedahkan vendor-vendor automotif tempatan ke pasaran eksport.

    GALERI: Perodua Bezza dan Myvi dibawa ke Chennai Trade Center, India untuk dipamerkan kepada awam

    Bezza ini sebenarnya turut di bawa oleh MARii ke sini, bagi mendedahkan hasil kerja vendor-vendor dari Malaysia ke luar. Selain dari sedan segmen-A tersebut, MARii turut membawa sebuah Perodua Myvi yang diletakkan di’Malaysia Pavillion’ dalam ruang pameran acara ini.

    Jadi, ini bukanlah prebiu Bezza dan Myvi ke pasaran India, tetapi lebih kepada promosi untuk vendor-vendor tempatan bagi membolehkan mereka mendapat lebih peluang perniagaan antarabangsa dengan mengeksport komponen-komponen automotif yang dihasilkan.

    Untuk rekod, selain dari Indonesia dan Brunei, Perodua menerusi model Bezza turut telah dieksport ke Sri Lanka dan Mauritius pada tahun 2017

     
     
  • Nissan dan Mitsubishi kembangkan kerjasama NMKV – empat kei car baharu bakal dilancarkan bulan ini

    Nissan dan Mitsubishi kembangkan kerjasama NMKV – empat kei car baharu bakal dilancarkan bulan ini

    Nissan dan Mitsubishi terus mengembangkan kerjasama mereka dalam kei car joint venture (NMKV) dengan mengumumkan empat lagi kenderaan baharu yang bakal diproduksi di kilang Mizushima milik Mitsubishi di Kurashiki, Jepun.

    Empat model kei car tersebut ialah Nissan Dayz, Nissan Days Highway Star, Mitsubisgi eK wagon dan Mitsubishi eK X, di mana kesemuanya ditawarkan dengan teknologi pemanduan sendiri yang direka khas untuk kegunaan lorong-tunggal di lebuhraya.

    Nissan dan Mitsubishi kembangkan kerjasama NMKV – empat kei car baharu bakal dilancarkan bulan ini

    Kereta jenis-wagon tinggi ini turut menawarkan prestasi yang ditambah baik hasil peningkatan platform, enjin dan transmisi. Malah juga akan berkongsi banyak komponen utama, walau bagaimana pun kei car Mitsubishi dan Nissan ini akan membawakan jenama dan rekaan masing-masing. Ia akan mula dijual pada hujung bulan ini.

    Usaha sama NMKV ini melancarkan generasi pertama model mereka pada 2013 dan ia adalah hasil kolaborasi yang dipergiatkan apabila Mitsubishi menjadi sebahagian daripada Pakatan pada 2016. Bulan lalu, Nissan Livina terkini yang berkongsi platform dengan Mitsubishi Xpander, telah memulakan jualan di Indonesia.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025