Akhirnya, Mellors Elliot Motorsport (MEM) telah mengumumkan bahawa jentera R5 binaan mereka yang diasaskan dari Proton Iriz kini sudah lengkap menjalani proses homologasi FIA. Ini bermakna, Iriz R5 sudah pun boleh digunakan pada mana-mana kejohanan rali antarabangsa seliaan FIA, termasuk pusingan-pusingan Kejuaraan Rali Dunia (WRC)!
Jentera rali ini membuat kemunculan sulungnya pada Goodwood Festival of Speed 2017, dan proses kelulusan homolagasi tersebut nampaknya mengambil masa yang cukup lama di mana peringkat akhirnya adalah pada Disember tahun lalu.
“Kami adalah pasukan kecil dan homologasi telah mengambil masa yang lebih lama dari apa yang kami harapkan, tetapi kami telah membuat pelbagai perubahan dan peningkatan seiring dengan tempoh tersebut dan ia dalam keadaan agak baik sekarang, ia adalah kereta yang sangat hebat,” kata prinsipal pasukan MEM, Chris Mellors.
MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.
Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth.
Kesemua ujian dan perlumbaan yang disertai oleh Iriz R5 dipandu sendiri oleh anak Chris Mellors iaitu Oliver Mellors. Selain Ollie, Iriz R5 juga pernah diuji oleh lagenda serta juara dua kali WRC, Marcus Gronholm dan diberikan maklum balas yang sangat positif.
Disember tahun lalu juga MEM telah mengumumkan bahawa mereka telah menyiapkan sebuah Iriz R5 dalam versi pemanduan sebelah kanan, dan mendakwa ia adalah untuk pelanggannya. Namun sehingga kini identiti ‘pelanggan’ tersebut masih lagi menjadi tanda tanya – adakah ia di bawa ke Asia Tenggara?
Baru-baru ini, muncul satu syarikat tempatan bernama DSK Industri, dan apa yang menarik mereka mendakwa sebagai pengeluar kereta elektrik sepenuhnya (EV) dari Malaysia serta sebagai “pengeluar kereta nasional Malaysia ketiga”. Laman sesawang mereka juga telah menyiarkan imej-imej sebuah hatchback EV bersaiz kompak diberi nama DSK Murni.
Setelah di teliti, hatchback Murni berkenaan adalah seiras dengan model SiTech DEV1 dari China, iaitu sub-jenama di bawah payung FAW. Walau bagaimanapun, spesifikasi Murni ini sebenarnya agak menarik – boleh dipandu sejauh 350 km dengan satu cas penuh, dengan fungsi cas cepat bagi mendapatkan 80% penuh dalam masa 40-minit, sementara cas penuh menggunakan soket tempatan biasa mengambil masa selama 5.5 jam. Kapasiti bateri kereta ini pula adalah 100,000 mAh.
Murni dibekalkan dengan motor synchronous magnet tetap berprestasi tinggi berkuasa 55 kW dan tork maksima 170 Nm. Ini membolehkan kereta dengan berat 1,120 kg ini memecut dari kedudukan pegun hingga 50 km/j dalam masa 4.8 saat. Dengan pemanduan dalam jarak 100 km akan menggunakan kuasa sebanyak 13.1 kWj.
Ia juga didakwa menggunakan litar elektrikal IP67-sealed, dan mempunyai sistem pengurusan bateri on-board bagi mengelakkan ia terlebih cas atau nyah cas terlalu cepat. Selain itu, sistem pengurusan suhu pintar juga dilengkapkan bagi mengawal selia suhu operasi bateri – memanaskan ketika cuaca sejuk dan menyejukkannya ketika cuaca panas.
Kereta ini direka dengan gaya industri Nordic ringkas, dakwa DSK Industri. Mukanya diberikan lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED berbentuk-C, dengan gril tanpa liang udara yang turut menyorokkan port pengecasnya. Bahagian belakang turut direka ringkas dengan sepasang lampu belakang LED tirus, dan rim aloi dua-tona melengkapkan rupa model ini.
Bahagian dalaman juga nampak agak menarik jika dilihat dalam gambar, menampilkan skrin sesentuh utama yang berdiri sendiri dengan saiz 10-inci, manakala pemandu menerima maklumat dari paparan instrumen digital lapan-inci. Oh ya, masih lagi belum ada gambar untuk versi pemanduan sebelah kanan, di mana imej yang disiarkan semuanya dari versi pemanduan sebelah kiri.
DSK juga mendakwa bahawa Murni menerima sistem kereta pinta D.OS, yang mereka reka sendiri secara bersendirian. Sistem tersebut memberikan pengalaman perjalanan bersepadu dari cloud menerusi “hubungan fizikal, aliran data dan pengiraan.” Kami masih kurang jelas sebenarnya apa yang dimaksudkan, namun apa yang kami perasan DEV1 turut mempunyai D.OS yang sama – tambah mengelirukan kerana DSK mendakwa mereka membinanya sendiri, dan kami tidak pasti sama ada kedua-dua sistem tersebut mempunyai fungsi yang sama.
Ciri-ciri lain yang turut diterima EV kompak ini termasuk sistem pengenalan muka untuk mengunci/membuka kunci kereta ini, aplikasi mudah alih untuk memantau status kereta dari jarak jauh, dan juga sistem pengenalan ID (D-User) bagi mengoperasikan sistem-sistem terhubung termasuk melayari internet dan streaming muzik/filem.
Pada pasaran China, DEV1 turut mempunyai sistem bayaran tanpa tunai bina dalam yang digelar “brushing payment,” dan ia dijual pada harga 100,000 yuan atau sekitar RM60,000. Laman sesawang DSK Industri ini juga mengumumkan bahawa mereka kini sedang mencari pengedar di Malaysia, tetapi apa yang meragukan nombor telefon yang diberikan adalah nombor dari Singapura, dan mempunyai laman Facebook dengan nama Autod Singapore.
Memang, sebenarnya kita sudah melihat banyak contoh kenderaan persendirian yang boleh terbang, daripada yang berbentuk seperti sebuah kereta, motosikal mahupun yang dipakai seperti beg. Prototaip juga mungkin ada, tapi yang betul-betul sudah boleh diguna mungkin belum lagi.
Kali ini kami mahu tunjukkan satu lagi contoh, daripada syarikat Jetpack Aviation yang beroperasi di Los Angeles, Amerika Syarikat dan dinamakan sebagai Speeder. Ia hanya boleh dinaiki oleh satu orang (dengan kedudukan seperti meniarap), dan dikatakan memberi tunggangan seperti sebuah motosikal.
Menariknya, Speeder ini sudah dibuka untuk tempahan melalui laman web syarikat itu, dan mereka yang berminat cuma perlu membayar USD10,000 (RM40,871) sahaja. Walaupun begitu, harga sebenar sebuah unit Speeder ini adalah 38 kali ganda daripada jumlah deposit, iaitu USD380,000 (sekitar RM1.55 juta).
Dengan harga yang juga boleh mendapatkan anda sebuah supercar itu, Speeder menawarkan ‘motosikal’ terbang yang boleh memecut sehingga 150 km/j di udara, naik sehingga ketinggian 15,000 kaki, berat sekitar 104 kg dan boleh stabil secara sendiri. Kuasa pula datang daripada enjin “turbo-jet” yang boleh diisi dengan bahan bakar kerosin, diesel atau bahan api jet. Tiada kipas pada Speeder ini, dan ia boleh naik dan turun secara menegak menggunakan daya tolakan daripada enjin tersebut.
Menurut Jetpack Aviation, sekarang ini mereka sudah ada prototaip yang berfungsi, tapi di dalam video dan gambar yang disiar, ia cuma lukisan digital. Walaubagaimanapun, syarikat ini sudah terkenal dalam penghasilan pek terbang yang dipakai seperti beg, dan sudah wujud sejak 10 tahun yang lepas. Untuk Speeder kegunaan awam, mereka cuma akan menghasilkan sebanyak 20 unit sahaja, sementara yang lain adalah untuk kegunaan askar dan pasukan penyelamat lain.
SM Sport 110R yang pertama kali dilancarkan pada 2017 kini diperkenalkan dengan grafik baru. Merupakan sebuah jenama baru yang diedarkan oleh Mforce Bike Sdn Bhd, ia menggunakan enjin satu silinder empat strok 109 cc SOHC, dengan sistem bahan api karburetor dan dibangunkan hasil kerjasama dengan Qian Jiang Motorcycle (juga adalah pemilik jenama Benelli) dari China.
Kebanyakan bahagian motosikal ini diimport manakala 30 peratus daripadanya adalah dari Malaysia sendiri. Pada masa hadapan, Mforce akan meningkatkan lagi penggunaan bahan tempatan untuk menjadi sehingga 60 peratus.
Padanan transmisi yang digunakan adalah jenis empat kelajuan, tanpa klac tangan dan ia mampu menghasilkan 6.4 hp pada 7,500 rpm dan 7.0 Nm tork pada 7,000 rpm. Pada bahagian hadapan terdapat fork teleskopik dan tayar 70/90 R17, manakala di belakang terdapat dua penyerap hentak, dan tayar 80/90 R17. Tugas membrek pula dilaksanakan sistem cakera 220 mm di hadapan dan dram di belakang.
SM Sport 110R juga mempunyai beberapa ciri keselamatan istimewa seperti, lampu nyalaan siang (DRL), lampu isyarat hadapan dan belakang LED, sistem suspensi belakang Kayaba (KYB), ruang penyimpanan besar, suis anti-kecurian, sepasang tayar tanpa tiub dan satu soket pengecas USB 5V.
Kapcai ini dijual pada harga RM3,918.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insuran) dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km, yang mana dahulu. Terdapat tiga pilihan warna – hitam, biru dan merah bagi pengenalan dengan grafik baru ini.
Seperti yang dijanjikan sebelum ini, pasukan lumba yang menguruskan jenama di bawah Geely Group di Kejuaraan TCR Dunia (WTCR), Cyan Racing kini telah mendedahkan jentera konsep jalan raya Lynk & Co 03 Cyan Concept, yang diinspirasikan dari kereta lumba sebenar pasukan tersebut untuk kejuaraan musim ini.
Seperti yang anda boleh lihat, model berprestasi tinggi ini menampilkan rupa yag jauh lebih garang dari versi standard sedan Lynk & Co 03, dan ia lebih menyerupai kereta lumba WTCR yang juga dibina oleh Cyan Racing. Rupa lebih garang kereta ini bermula dengan liang agresif pada bonet hadapan, fender lebih lebar dengan laluan aliran udara bersama rim, tayar dan brek lebih besar, apron belakang dengan diffuser dan dua tip akzos, serta GT-Wing yang besar pada bahagian belakang.
Kereta ini dijana oleh enjin 2.0 liter empat silinder turbo, dan ia menerima sentuhan ekstensif dari Cyan Racing dan mampu menghasilkan kuasa 528 hp dan tork maksima 504 Nm! Kesemua kuasa berkenaan hanya dialirkan kepada roda hadapan menerusi kotak gear sequential enam-kelajuan, lengkap dengan pedal penukar gear di stereng serta LSD dari jenis pelbagai plat.
Dengan berat hanya 1,287 kg, Lynk & Co 03 Cyan Concept ini mampu memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 4.4 saat, dengan kelajuan maksima dicatatkan pada 310 km/j.
Bagi memastikan kuasa buas ini dapat dikawal, kereta ini dibekalkan dengan set suspensi boleh laras dari Öhlins, dan juga sistem brek besar terdiri dari cakera 380 mm bersama angkup enam-omboh di hadapan, serta cakera 278 mm dan angkup dua-omboh di belakang. Keempat-empat sudut dihiasi dengan rim Cyan Racing 20-inci, dibaluti tayar bersaiz 285/30R20.
“Ini adalah langkah biasa kami bersama Lynk & Co. Menghasilkan versi jalan raya dari kereta lumba merupakan jalan terbaik untuk belajar lebih berkenaan kereta dan karekteristiknya,” kata pengasas dan pemilik Cyan Racing, Christian Dahl.
Dan untuk musim ini, Cyan Racing kembali bersama Lynk & Co, dan masih akan dipandu oleh juara WTCC yang memandu S60 pada 2017, Thed Björk dari Sweden. Projek model jalan raya ini adalah kesinambungan dari model-model dengan konsep sama sebelumnya iaitu Volvo C30 Polestar Concept berkuasa 450 hp dan Juga S60 Polestar Concept berkuasa 508 hp.
Selain dari Björk, cabaran pasukan Lynx & Co Cyan Racing dalam WTCR tahun ini turut akan dibantu oleh tiga lagi pemandu handalan dalam dunia Touring Car iaitu Yvan Muller, Andy Priaulx dan Yann Ehrlacher.
FIA WTCR 2019 akan bemula di Maghribi April 2019, kemudian bergerak ke Hungary, Slovakia, Belanda, Jerman, Portugal, China, Jepun, dan Macau pada bulan November. Apa yang menarik, pusingan terakhir WTCR musim ini akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia dengan satu dari tiga perlumabaan pusingan berkenaan akan dijalankan pada waktu malam. Walau bagaimanapun pusingan terakhir tersebut masih lagi belum ditetapkan tarikhnya.
Berita baik untuk pengguna yang memilih pengangkutan awam untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2. Kini perkhidmatan bas perantara khas dari stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Heights untuk ke KLIA atau KLIA2 telah pun mula beroperasi sejak bulan lalu. Ia telah pun dirasmikan pagi ini oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Perkhidmatan bas perantara terbabit antara inisiatif yang dilakukan Prasarana dan syarikat swasta, Hafeena melalui jenama basnya, Jetbus dalam menawarkan perkhidmatan dari stesen LRT berkenaan ke KLIA dan KLIA2.
Tiket kombo yang dijual pada harga RM10 dan boleh dibeli di mana-mana kaunter LRT, MRT, monorel serta BRT itu merangkumi tiket bas dan rel bagi perjalanan sehala. Perjalanan dari Putra Heights ke KLIA dan klia2 mengambil masa kira-kira 40 minit dengan bas bertolak setiap 30 minit. Bagi pengguna dari KLIA yang ingin mendapatkan perkhidmatan bas perantara ke stesen LRT Putra Height, boleh membeli tiket dan naik bas tersebut dari tingkat 1, bangunan utama KLIA.
Sementara Jetbus pula menawarkan harga RM4 sehala dari stesen LRT Putra Heights menuju ke KLIA dan KLIA2. Untuk perkhidmatan Jetbus, tiket bas boleh dibeli di kaunter Jetbus, stesen LRT berkenaan, yang dibuka setia hari dari jam 6 pagi hingga 8 malam.
Prasarana dan Hafeena juga telah memberikan jaminan bahawa jadual kekerapan kedua-dua perkhidmatan itu amat baik.
MINI Malaysia telah mengumumkan pengenalan generasi baharu MINI Connected dengan teknologi SIM 4G yang bersepadu untuk membolehkan para pemilik mengintegrasikan jentera MINI mereka secara lebih lancar dengan gaya hidup digital mereka. MINI Connected yang baharu ini akan ditawarkan menerusi semua model kenderaan MINI yang dikeluarkan pada tahun 2019.
MINI Connected yang baharu menampilkan Panggilan Kecemasan Pintar (Intelligent Emergency Call) yang memberikan respons apabila sensor perlanggaran bagi peregang tali pinggang dan beg udara diaktifkan, ataupun apabila data daripada sensor kadar rewang (yaw) mengindikasikan kemalangan. Ia kemudiannya mengaktifkan panggilan automatik kepada pusat panggilan kecemasan MINI, di mana sistem tersebut menghantar data yang relevan untuk memastikan maklum balas yang sebetulnya dapat diberikan. Intelligent Emergency Call juga boleh diaktifkan secara manual untuk meminta bantuan bagi pengguna jalan raya yang lain.
Selain itu, TeleServices pula menghantar data relevan kenderaan kepada MINI dan rakan servis MINI, yang akan memberitahu pemilik sama ada kereta mereka memerlukan penyelenggaraan atau apabila janji temu servis perlu dibuat. Jika insiden kerosakan berlaku, isu yang dihadapi boleh diselesaikan melalui diagnosis jarak jauh atau dengan pemberian bantuan tepi jalan.
MINI Connected terbaharu juga menawarkan MINI Online yang memberikan informasi berguna tentang berita serta cuaca terkini yang boleh dibaca menerusi sistem audio. Sementara itu, perkhidmatan baharu yang dinamakan MINI Concierge Service juga membantu pemilik dengan permintaan mereka ketika sedang memandu dengan hanya menekan satu butang. Dengan menggunakan kad SIM 4G yang dilengkapi pada kenderaan tersebut, perkhidmatan ini mewujudkan hubungan antara telefon pengguna dan pusat panggilan MINI apabila diperlukan, tanpa sebarang kos.
Bagi pengguna iPhone, fungsi Apple CarPlay tanpa wayar membolehkan aplikasi-aplikasi yang terpilih untuk dipaparkan pada paparan sentral dan dioperasikan menerusi kawalan MINI. Aplikasi iOS yang popular juga disokong seperti Spotify, Waze, Google Maps dan WhatsApp.
Aplikasi MINI Connected untuk peranti Apple dan Android telah dirumus semula dan kini menghubungkan pemandu dan kereta mereka melalui perkhidmatan seperti eDrive Services dan Remote Services. Dengan eDrive Services, pemilik kereta MINI Countryman Plug-In Hybrid boleh menggunakan telefon pintar mereka untuk memantau status bateri kenderaan serta jumlah perbatuan yang berbaki, dan untuk memulakan proses pengecasan.
Pemandu juga boleh melihat data status efisien peribadi bagi perjalanan mereka yang terdahulu. Menerusi aplikasi MINI Connected, Remote Services boleh diaktifkan untuk mengawal pelbagai kefungsian MINI menggunakan telefon pintar – sama ada untuk mengoperasikan pengelip lampu hadapan ataupun hon kereta untuk menjejak lokasi MINI yang di parkir di kawasan yang kurang dikenali oleh pemilik.
Penyelarasan antara aplikasi MINI Connected dengan kalendar peribadi juga boleh menjadikannya berfungsi sebagai pembantu mobiliti peribadi dan menolong pemandu MINI menepati waktu-waktu janji temu yang dibuat. Ia juga membolehkan kefungsian yang lain seperti Send to Car, di mana aplikasi tersebut memindahkan laluan yang dirancang daripada telefon pintar kepada sistem navigasi kereta tersebut; Last Mile Route – navigasi berterusan melalui telefon pintar yang boleh digunakan sambil berjalan selepas pengguna keluar daripada kenderaan yang diparkir dan menuju ke destinasi yang dikehendaki; Time-to-Leave Notification dan Share Live Trip Status.
Ciri-ciri MINI Connected yang standard seperti aplikasi MINI Connected, Intelligent Emergency Call, Teleservices, MINI Online dan Remote Services disediakan sebagai penawaran standard bagi model kenderaan MINI 3 Door, MINI 5 Door, MINI Clubman, MINI Countryman, serta MINI John Cooper Works. Dalam pada itu, ciri-ciri premium seperti Concierge Services dan Apple CarPlay tersedia bagi model kenderaan MINI Countryman dan MINI John Cooper Works. Perkhidmatan eDrive pula ditawarkan secara eksklusif bagi MINI Countryman Plug-In Hybrid.
Berita baik untuk mereka yang berminat dengan SUV segmen-C Volkswagen Tiguan, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan bahawa bermula Mac 2019, model tersebut akan diberikan dua ciri yang dipertingkat, tanpa sebarang tambahan harga.
Ciri pertama adalah pada bahagian luaran iaitu lampu belakang LED penuh yang direka semula membolehkan pengguna jalan raya lain melihatnya dengan lebih jelas. Manakala satu lagi adalah pada bahagian dalaman di mana pemandu akan menerima paparan meter digital Active Info Display (AID) 2019.
AID berkenaan memberikan paparan beresolusi tinggi yang menggabungkan grafik dua- dan tiga-dimensi untuk sistem navigasi serta pelbagai lagi fungsi lain. Pemandu boleh memilih tiga tema berbeza, dengan 30 pilihan kombinasi lain. Meter-meter utama juga boleh diubah bagi memaparkan pelbagai data, manakala untuk navigasi anda boleh memilih peta 3D penuh.
Tiada perubahan janakuasa diberikan kali ini, dimana kesemua model Tiguan pasaran Malaysia dijana enjin 1.4 liter TSI empat-silinder turbo berkuasa 150 PS/250 Nm. Kuasa disampaikan hanya ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik DSG enam-kelajuan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.9 saat.
Seperti yang dinyatakan tadi, tiada peningkatan harga untuk model yang dikemaskini ini. Volkswagen Tiguan Highline dijual pada harga RM165,990, manakala Tiguan JOIN pula boleh dibeli dengan harga RM175,990. Pembelian akan disertakan dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan, penyelenggaraan percuma selama tiga tahu dan juga bantuan tepi jalan selama lima-tahun.
Perodua telah menyumbang tiga unit model Bezza untuk digunakan sebagai kereta peronda oleh Polis Kontinjen Selangor (IPK Selangor). Semua unit berkenaan telah dipasangkan dengan kelengkapan peronda polis, sebagai contoh radio dan lampu amaran, dan akan digunakan di JPJKK Bukit Aman dan IPD Hulu Selangor.
Presidan dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad menjelaskan; “Sepanjang 26 tahun Perodua beroperasi di Selangor, semuanya berjalan lancar tanpa banyak masalah sebahagiannya kerana usaha keras anggota PDRM, terutamanya dari IPK Selangor, untuk mengekalkan suasana aman. Kami berharap sumbangan kecil ini akan diterima oleh PDRM sebagai tanda terima kasih kami kepada pengorbanan dan dedikasi mereka selama ini.”
Serahan itu dilakukan di Ibupejabat Polis Selangor di Shah Alam, dan disampaikan sendiri oleh Dato’ Zainal kepada Ketua Polis Selangor, Komisioner Dato’ Noor Azam Jamaludin. Dato’ Zainal menjelaskan, Bezza boleh menjadi kereta peronda yang ideal kerana tahan dan kos penyelenggaraan yang rendah serta jimat minyak.
“Saiznya yang kompak juga memudahkan penggunaan, dan di dalam ia kekal selesa. Ditambah pula dengan rangakaian pusat servis yang meluas, ia membantu memudahkan lagi tugas-tugas pemantauan masyarakat yang dilakukan oleh pihak polis,” tambah beliau.
Ini ada satu lagi SUV yang diperkemas akan masuk ke pasaran tempatan tak lama lagi. Selepas buat penampilan sulung di Thailand, Nissan X-Trail facelift terbaru akan sampai ke Malaysia pula. Edaran Tan Chong Motor (ETCM) memaklumkan, model berkenaan bakal dilancarkan secara rasmi April nanti, dan tempahannya kini sudah mula dibuka kepada pelanggan yang berminat.
Terdapat empat varian yang ditawarkan, bermula dengan X-Trail 2.0L 2WD (RM139,900), X-Trail 2.0L 2WD Mid (RM149,900), X-Trail 2.5L 4WD (RM159,900), dan spesifikasi paling tinggi, X-Trail 2.0L Hybrid (RM169,900). Namun, ambil maklum harga-harga yang dinyatakan ini adalah harga anggaran dan tertakluk kepada perubahan.
TERKINI: ETCM baru sahaja mengumumkan “harga rasmi sementara” untuk X-Trail facelift dan ia lebih rendah daripada anggaran sebelum ini: RM133,888 untuk 2.0L 2WD, RM145,888 untuk 2.0L 2WD Mid, RM153,888 untuk 2.5L 4WD dan RM159,888 untuk Hybrid (tidak termasuk insurans).
Varian spesifikasi paling rendah menggunakan enjin MR20DD 2.0 liter empat-silinder dengan janaan 144 PS pada 6,000 rpm dan 200 Nm pada 4,400 rpm. Pilihan enjin kedua pula hadir dengan unit QR25DE 2.5 liter dengan kuasa 171 PS pada 6,000 rpm dan 233 Nm pada 4,400 rpm. Versi hibrid pula berkongsi enjin 2.0 liter yang sama, digandingkan dengan motor elektrik dengan janaan tambahan 41 PS dan 160 Nm.
Nissan X-Trail Hybrid memberikan purata kadar penggunaan minyak sebanyak 6.21 liter bagi setiap 100 km; menurut ETCM, ini yang terbaik dalam kelasnya. Apa pun, semua varian X-Trail ini diiktiraf sebagai EEV di sini. Enjin berkenaan digandingkan dengan Xtronic CVT dengan mod manual. Bagaimanapun, model hibrid ini hanya hadir dengan kapasiti lima-tempat duduk; bateri sistem hibrid menngunakan lebih ruang. Varian selebihnya kekal dengan tujuh-tempat duduk.
Dari segi penampilan, gril V-Motion baru menghiasi wajah depannya, begitu juga dengan lampu utama baru serta DRL LED. Di belakang, lampu gabungan LED dengan perumah gelap antara sentuhan baru yang diberikan. Lima pilihan warna luaran tersedia – Brilliant White, Tungsten Silver, Titanium Olive, Diamond Black dan warna baru Imperial Umber (gambar).
Kelengkapan lain termasuk sistem infotainment Navi tujuh-inci dengan Apple Carplay dan Android Auto, kerusi depan balutan kulit dengan kuasa elektrik, kemasan kulit pada papan pemuka dan penampan lutut serta paparan digital lima-inci Advanced Drive Assist pada panel instrumen.
Nissan Intelligent Mobility kini ditawarkan bagi semua varian, yang terdiri daripada ciri-ciri keselamatan standard untuk semua varian seperti Around View Monitor dengan Intelligent Moving Object Detection, Intelligent Ride Control, Intelligent Engine Brake dan Intelligent Trace Control.
Varian 2.0L Mid pula menerima ciri tambahan seperti Lane Departure Warning, Blind Spot Warning, Motion Activated Power Tailgate, dan Rear Cross Traffic Alert. Hanya dua varian teratas turut menerima ciri-ciri Intelligent Cruise Control, High Beam Assist dan Intelligent Forward Collision Warning dengan Intelligent Forward Emergency Braking (AEB).
Selain itu, tiga varian teratas menerima enam beg udara keseluruhannnya, sementara yang paling asas dilengkapi empat-beg udara – tiada lagi penawaran dua beg udara seperti sebelum ini, semuanya dipertingkatkan. Lain-lain ciri keselamatan termasuk Electronic Parking Brake dengan Auto Hold, Vehicle Dynamic Control (VDC), Traction Control System (TCS), ABS dengan EBD, Brake Assist, Hill Start Assist (HSA) dan dua cagak Isofix.
Nissan X-Trail facelift ini juga datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan; ini termasuk bagi model hibrid (alat ganti sistem hibrid dan bateri). Sempena kempen pra-pelancarannya, pelanggan juga akan menerima pakej Servis Penyelenggaraan Berjadual 40,000 km atau tempoh dua tahun (yang mana dahulu). 500 kenderaan pertama yang didaftarkan pula akan menerima hadiah eksklusif bernilai RM488.
Kereta yang nampak seperti tidak masuk akal ini adalah Koenigsegg Jesko, megacar terbaru daripada pembuat kereta dari Sweden tersebut, yang menjadi pengganti kepada Agera. Jika namanya menimbulkan persoalan kepada anda, ia sebenarnya adalah sempena nama bapa kepada pengasas dan CEO syarikat tersebut, iaitu Jesko von Koenigsegg.
Selain daripada Jesko yang banyak membantu Koenigsegg berhadapan waktu mencabar dulu, kereta ini juga memberi penghargaan kepada skuad jet pejuang tentera udara Sweden. Ini kerana selepas ibu pejabat Koenigsegg terbakar pada tahun 2003, mereka telah berpindah ke kawasan yang pernah menempatkan skuad tersebut.
Melihat secara keseluruhan, Jesko banyak mengikut rekaan Agera tetapi diberi suntikan lebih moden untuk menghasilkan identiti sendiri. Sebagai contoh, lampu hadapannya lebih nipis dan mengingatkan kepada Regera, manakala lengkungan antara lampu belakang nampak lebih elegan dan kemas berbanding Agera.
Cermin hadapan yang melengkung sampai ke tepi Jesko menghasilkan bentuk seperti “jet pejuang”, dan merupakan hasil daripada perubahan dimensi – ia sebenarnya 30 mm lebih tinggi dan 40 mm lebih panjang berbanding Agera. Perubahan ini dibuat untuk membenarkan masuk dan keluar kenderaan ini lebih mudah, serta mempunyai ruang kabin dan pandangan yang lebih luas.
Agak mustahil untuk anda terlepas pandang ciri aerodinamik pada kenderaan ini. Ia termasuk splitter hadapan dan diffuser belakang baru, serta sayap yang diambil daripada One:1. Bahagian utama ini memainkan peranan penting untuk ciri aerodinamik aktif serta pakej laluan udara yang dikatakan dapat memaksimumkan daya tolakan ke bawah (downforce) dan mengurangkan rintangan.
Ada lagi perincian pada ciri aerodinamik ini – di bawah splitter hadapan terdapat kepak aktif, bukaan udara atas roda hadapan dan cermin sisi juga dibentukkan khas untuk memberikan tambahan 20 kg lagi daya tolakan ke bawah. Dalam tetapan yang paling agresif, daya tolakan ke bawah Jesko adalah 40% lebih berbanding Agera RS, iaitu 800 kg pada 275 km/j, sebelum mencapai tahap maksimum 1,400 kg.
Apabila masuk melalui pintu dihedral synchro-helix, anda akan menemui barangan premium seperti kulit, Alcantara, gentian karbon, aluminium dan kaca. Ia mungkin tidak begitu fokus kepada prestasi seperti yang anda jangka, kerana masih didatangkan dengan tempat duduk larasan kuasa, sistem infotainmen sembilan inci SmartCenter, panel instrumen digital lima inci SmartCluster dan roda stereng SmartWheel.
Meskipun dengan cuma melihat kepada rekaannya anda sudah boleh tergamam, Jesko mempunyai satu lagi ciri yang lebih menarik perhatian. Ia menggunakan enjin V8 5.0 liter twin turbo, yang kini mempunyai crankshaft 180 darjah flat-plane serba ringan (12.5 kg), serta rod penyambung dan piston baru yang dapat mengurangkan gegaran.
Kemudiannya, Koenigsegg juga memberikan fokus kepada pengurangan turbo lag dengan meletakkan sistem suntikan angin yang terdiri daripada compressor elektrik kecil untuk menyuntik udara (sehingga 20 bar) yang disimpan dalam tangki gentian karbon terus kepada dua pengecas turbonya. Jadi, di awal pecutan, unit turbo itu akan terus mempunyai udara mampat serta-merta.
Selain daripada itu, Jesko juga adalah model pertama Koenigsegg yang menggunakan sistem suntikan bahan api yang mempunyai tambahan injector untuk setiap silinder. Injector tambahan ini berada pada bahagian intake, dan menyuntik bahan api terus ke trumpet setiap silinder, seterusnya menjadikan silinder lebih sejuk, pembakaran lebih bersih dan mengurangkan beban enjin pada kelajuan tinggi.
Dengan semua teknologi ini, enjin Jesko boleh mencapai tahap 8,500 rpm, dan menghasilkan kuasa 1,280 hp menggunakan petrol biasa atau 1,600 hp apabila menggunakan bahan api E85. Tork maksimum pula berada pada 1,500 Nm bermula 5,100 rpm, sementara 1,000 Nm sudah boleh dinikmati dari 2,700 hingga 6,170 rpm.
Sekiranya anda masih belum teruja dengan enjin ini, lihat pula kepada transmisinya yang dipanggil sebagai Light Speed Transmission (LST). Ia adalah unit sembilan kelajuan, tujuh klac yang dibangunkan sendiri oleh Koenigsegg.
Keistimewaan transmisi ini, pemandu boleh menukar ke mana-mana gear secara lancar dan tidak perlu mengikut turutan seperti transmisi lain. Sebagai contoh, jika anda berada dalam gear tujuh, dan tiba-tiba bercadang mahu menggunakan gear empat, anda boleh terus tukar sahaja, tanpa perlu melalui gear enam atau lima. Operasinya boleh dilakukan menggunakan pedal belakang stereng atau tombol gear.
Dengan kuasa dan kecekapan seperti ini, anda tidak perlu risau dengan ketahanan kerana Jesko dibina atas casis monocoque gentian karbon, dan masih memegang tahap ketegaran terbaik dalam industri iaitu 65,000 Nm setiap darjah. Selain gentian karbon, casis ini juga mempunyai gabungan bahan aluminium dan diperkuat lagi dengan Dynema, iaitu gentian yang paling kuat di dunia sekarang.
Untuk memastikan kereta yang mempunyai berat 1,420 kg ini melekat atas jalan, Jesko dilengkapi dengan sistem suspensi Triplex sama seperti Agera. Ia mempunyai penyerap melintang ketiga di bahagian belakang untuk memastikan kenderaan dapat bertahan dengan kesan tekanan apabila memecut laju. Kemudiannya pada Jesko, suspensi hadapan juga mempunyai tetapan Triplex.
Teknologi lain yang dilengkapi pada kenderaan ini adalah termasuk active rear steering dan tapak enjin aktif. Anda juga mempunyai pilihan untuk memasang Jesko dengan rim gentian karbon berukuran 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang (masing-masing mempunyai berat 5.9 dan 7.4 kg), menggantikan rim aluminium serta tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang didatangkan standard.
Koenigsegg masih belum mendedahkan catatan prestasi kereta ini tetapi kami menjangkakan ia pasti agak pantas berbanding saingannya yang lain. CEO Koenigsegg, Christian von Koenigsegg turut menyatakan semasa pengenalan Jesko ini bahawa satu lagi versi yang lebih fokus kepada laju maksimum akan dihasilkan, dipanggil sebagai Jesko 300.
Perhatian untuk peminat Mitsubishi Ralliart – hujung minggu ini, 9 hingga 10 Mac 2019, anda berpeluang untuk bertemu dengan lagenda Rali Dakar pasukan berkenaan iaitu Hiroshi Masuoka di acara Mitsubishi 4Sure Thrill bertempat di tempat letak kereta luar, Pusat Konvensyen Setia City (SCCC).
Bukan sahaja berjumpa, malah anda turut berpeluang untuk ‘taxi-ride‘ di dalam Mitsubishi Triton baharu bersama juara Rali Dakar musim 2002 dan 2003 di litar off-road yang di reka khas untuk acara berkenaan. Selain Masuoka, anda juga boleh melakukan aktiviti yang sama dengan atlet sukan permotoran tempatan, Girl Drifter Leona Chin.
Selain itu, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) juga menawarkan sesi pandu uji Triton baharu berkenaan kepada pengunjung di litar on-road dan off-road yang disediakan, membolehkan anda menguji prestasi trak pikap tersebut dan juga kebolehannya mengharungi laluan lasak menggunakan sistem Super Select 4WD II, off-road mode dan juga kawalan menurun bukit.
Jika anda bercadang untuk membeli model-model baharu Mitsubishi, ambil peluang pada acara ini kerana MMM menawarkan pelbagai faedah menarik. 1,000 pelanggan pertama yang mendaftarkan Triton baharu bakal menerima beg Thule Subterra yang berharga RM2,000, dan baucer kad petrol bernilai RM30 serta payung Ralliart untuk 30 orang pertama pemilik Mitsubishi baharu.
Anda yang sekadar hadir untuk merasai pengalaman 4Sure Mitsubishi ini juga ditawarkan dengan pelbagai hadiah menarik. Bagi 100 peserta pertama yang melengkapkan semua komponen pengalaman; taxi ride berkelajuan tinggi, pandu uji di litar off-road berhalangan dan juga di litar jalan raya, anda akan ‘dibelanja’ dengan kopi Starbuck oleh MMM.
Penganjur juga akan menjalankan pertandingan foto dan video 4Sure Thrill, di mana pemenang akan menerima baucer kad petrol bernilai RM800, kad Touch n Go bernilai RM500 dan baucer Tesco bernilai RM300 untuk pemenang pertama, kedua dan ketiga. Cabutan bertuah dengan hadiah-hadiah bernilai RM5,000 juga akan diadakan pada acara berkenaan.
Acara ini akan bermula pada pukul 10 pagi dan tamat pada 8 malam setiap hari. MMM juga menyediakan pelbagai acara hiburan yang sesuai untuk seisi keluarga di Mitsubishi 4Sure Thrill ini.
Prasarana Malaysia Berhad dan MRT Corp telah pun mengumumkan tiga stesen Transit Aliran Massa (MRT) bagi Laluan Sungai Buloh ke Kajang (SBK) ditutup sepenuhnya pada 9 dan 10 Mac ini. Ia adalah bagi memberi laluan kerja pembinaan sesimpang untuk ke landasan depoh Sungai Buloh.
Menurut Ketua Pegawai Operasi MRT SBK, Azmi Mohd Zain, penutupan bagi tempoh dua hari itu yang bermula pada 6 pagi hingga 12 tengah malam membabitkan stesen MRT Sungai Buloh, Kampung Selamat dan Kwasa Damansara.
“Perkhidmatan bas perantara akan disediakan dari Stesen Kwasa Sentral melalui Kampung Selamat dan Sungai Buloh pada tempoh itu dengan kekerapan waktu operasinya antara tujuh hingga 10 minit.
“Bagi memudahkan pengguna, pihak kami akan menyediakan 10 buah bas yang mampu menampung kapasiti 1,000 penumpang dalam masa sejam,” katanya dalam sidang media di Kwasa Damansara, semalam.
Sebelum Geneva Motor Show bermula, Alfa Romeo memberitahu mereka akan membawa ‘sesuatu’ tetapi tidak dinyatakan secara jelas. Kini setelah pameran itu membuka tirai, kita dapat melihat jenama dari Itali ini mempersembahkan SUV kompak plug-in hybrid pertama mereka, dinamakan sebagai Tonale Concept.
Selain kereta yang dipamerkan, Alfa Romeo tidak mendedahkan sebarang perincian teknikal dan cuma banyak menjelaskan berkenaan konsep serta rekaannya sahaja. Seperti yang boleh dilihat, mereka mahu membawa gaya Itali, atau lebih tepat lagi, kecantikan sebuah Alfa Romeo dalam dunia moden kenderaan yang mendapat sokongan kuasa elektrik.
Alfa Romeo mendakwa Tonale adalah satu “paduan sempurna warisan yang dihargai dan jangkaan aturan baru”, yang bermaksud ia direka moden, tetapi masih membawa konsep rekaan yang pernah digunakan pada model mereka yang lain. Sebagai contoh, rekaan rim ‘dail telefon’ bersaiz 21 inci pada Tonale sudah cukup dikenali pada Alfa Romeo dan digunakan sejak tahun 1960 lagi melalui model 33 Stradale.
Kemudiannya, rekaan elegan bahagian tepi mengingatkan semula kepada model Duetto serta Disco Volante Spider, manakala di depan, ia mempunyai tanda unik ‘Trilobo’, gril ‘Scudetto’ dan lampu dengan grafik nyalaan tiga lengkung seperti model SZ dan Brera.
Bahagian dalam juga dijadikan sama canggih dan bergaya. Kebanyakan rekaannya lebih bertumpu kepada keperluan pemanduan dinamik, tetapi masih mampu memuatkan empat penumpang. Di hadapan pemandu, terdapat skrin digital penuh 12.3 inci manakala di tengah papan pemuka pula terletak skrin sesentuh 10.25 inci.
Ini bukan model konsep ataupun model prototaip, apa yang anda lihat ini adalah benar-benar lawan Honda Accord dan Toyota Camry dari Korea iaitu Hyundai Sonata generasi ke-lapan. Model generasi baharu ini bakal menggantikan generasi LF sedia ada, dan ianya menerapkan tema rekaan ‘Sensuous Sportiness’ terkini Hyundai.
Kebanyakkan elemen rekaan sedan dengan gaya coupe empat-pintu seperti Mercedes-Benz CLS atau Volkswagen Arteon pada Sonata ini menerapkan unsur-unsur dari model konsep Hyundai Le Fil Rouge yang muncul pada Geneva Motor Show tahun lalu. Muka kereta ini diberikan gril “Digital Pulse Cascading” tujuh-titik baharu yang direka seakan bersatu dengan bonet hadapan.
Ia diapit oleh lampu yang direka dengan kluster baharu unik, seiring dengan rekaan liang udara kedua-dua sisi bampar yang kelihatan seperti sayap. Bercakap berkenaan lampu hadapan, Sonata 2020 diberikan unit dengan empat elemen lampu individu dalam kluster tersebut.
Lampu nyalaan siang kereta ini juga menampilkan rupa yang luar biasa yang digelar sebagai Hidden Lighting Lamps oleh Hyundai, diinpisrasikan dari model konsep HDC-2. Lampu tersebut akan menjadi material seakan krom sebelum dihidupkan, dan ia bersambung dengan jalur kemasan krom di sisi bonet hadapan, bersambung terus dengan jalur kemasan krom disekeliling tingkap pintu.
Garis sisi kereta ini juga agak unik, menampilkan garis atas yang bermula dari pintu hadapan hingga lampu belakang yang seakan membentuk otot di atas ruang roda belakang. Manakala satu lagi garis dibahagian bawah juga direka beralun ke dalam. Dengan rupa coupe yang landai di bahagian belakang, lampu belakang kereta ini di reka seakan Civic generasi ke-10, dengan jalur LED yang juga nampak seperti ‘sepit ketam’ ketika dihidupkan.
Lampu tersebut bersambung dengan unit yang terdapat pada penutup but, di mana pada bahagian atas ia turut membentuk sebahagian rupa ‘ekor itik’, manakala satu jalur nipis pada bahagian bawah merentangi keseluruhan penutup but berkenaan bagi menghubungkan kedua-dua unit lampu. Nombor plat terletak pada bahagian bampar, yang turut mempunyai kemasan seperti diffuser, manakala tip ekzos pula langsung tidak kelihatan.
Model generasi baharu ini dihasilkan dengan panjang 4,900 mm, lebar 1,890 mm dan jarak roda 2,840 mm. Oleh itu, Sonata 2020 ini adalah 45 mm lebih panjang, 25 mm lebih lebar serta jarak roda 35 mm lebih jauh dari model sedia ada. Rupa sporty pada badan kereta ini bukan sekadar ilusi, tetapi ia benar-benar 30 mm lebih rendah dari sebelum ini dengan ukuran 1,835 mm.
Bahagian kabin juga menampilkan rekaan yang jauh lebih mengiurkan dari model generasi ke-tujuh. Papan pemuka Sonata 2020 ini direka dengan paparan meter yang diinspirasikan dari pesawat Stealth, dan turut menyerlahkan rekaan skrin utama pada bahagian tengah. Hyundai menjelaskan bahawa kedua-dua paparan tersebut diletakkan dalam susunan-S bagi mengelakkan sebarang halangan pada penglihatan pemandu.
Secara keseluruhan, rekaan kabin kereta ini akan menghasilkan ‘perasaan yang ringan’ kepada penumpang dan pemandu, dakwa Hyundai lagi. Tombol gear konvensional pula digantikan dengan butang, di mana transmisi juga menggunakan teknologi shift-by-wire. Suis-suis untuk memilih mod pemanduan dan juga kawalan sistem bantuan pemanduan juga diletakkan berhampiran.
Setakat ini Hyundai masih belum mendedahkan sebarang spesifikasi teknikal untuk aspek-aspek lain termasuk enjin dan transmisi. Tapi dengan rupa macam ni, apa pendapat anda jika dibandingkan dengan pencabar terdekatnya terutama dari Jepun?