Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Maserati Ghibli Ribelle – 200 unit untuk pasaran EMEA

    Maserati Ghibli Ribelle – 200 unit untuk pasaran EMEA

    Maserati telah memperkenalkan Ghibli Ribelle baharu, model edisi istimewa khas untuk pasaran Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA), dengan produksi terhad 200 unit sahaja. Pelanggan mempunyai tiga varian sahaja untuk dipilih – Ghibli diesel, Ghibli dan Ghibli S – semuanya dengan kemasan warna unik Nero Ribelle mica.

    Semua varian dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan secara standard, bersama penjana kuasa 3.0 liter turbodiesel dengan kuasa 275 PS dan 600 Nm, sementara unit petrol pula dengan 3.0 liter turbo-berkembar V6 berkuasa 350 PS/500 Nm bagi Ghibli dan 430 PS/580 Nm pada Ghibli S.

    Bagi imej luarannya, secara asasnya ia kelihatan seperti Ghibli GranLusso, dengan apron hadapan lebih agresif dan ruang gril radiator. Ghibli turut dipadankan dengan aloi Proteo hitam berkilat 19-inci dengan kemasan kontra merah, selain kaliper brek juga merah.

    Di dalamnya, tema dua tona hitam dan merah membentangi bahagian papan pemuka, panel pintu, roda stereng, pedal penukar gear dan juga tempat duduk upholstery. Pada konsol tengah, tuil gear turut didatangkan dengan logo Ribelle bersama nombor siri, dikemasi hiasan kayuan hitam berkilat.

    Jika tidak cukup dengan itu, ia turut menampilkan pakej Ribelle Plus, termasuk lapisan cermin tingkap bagi mempertingkatkan penebatan termal dan bunyi, lampu utama adaptif Matrix LED-penuh, sistem bunyi premium Harman Kardon dan bumbung suria berkuasa.

     
     
  • Nissan Note e-Power Nismo S – terima rupa lebih garang serta pengendalian dan talaan kuasa lebih baik

    Nissan Note e-Power Nismo S – terima rupa lebih garang serta pengendalian dan talaan kuasa lebih baik

    Nampaknya bukan Nissan Leaf sahaja kereta elektrik yang mendapat sentuhan Nismo, kini satu lagi model mesra alam mendapat olahan semula sayap perlumbaan rasmi berkenaan iaitu Nissan Note e-Power. Model yang digelar Note e-Power Nismo S sudah pun mula dijual di pasaran Jepun bermula semalam.

    Sebenar sebelum ini Note e-Power telah pun dijual dalam versi Note e-Power Nismo, namun ia sekadar diberikan peningkatan dari segi visual. Manakala untuk Note e-Power Nismo S ini, Nismo turut memberikan talaan semula pada sistem pengendalian dan juga kuasanya.

    Bagi yang belum mengetahui, Nissan Note-Power ini sebenarnya adalah model hibrid jenis range extender. Ini bermaksud, enjin 1.2 liter HR12DE tiga silinder berkuasa 79 PS/103 Nm pada kereta ini hanya bertindak sebagai pengecas kuasa elektrik, tak ubah seperti ‘generator pasar malam’. Kuasa yang disampaikan ke roda hadapan adalah 100% dari motor elektrik yang padankan pada kereta berkenaan, dan ia turut tidak mempunyai port mengecas jenis ‘plug-in’.

    Nissan Note e-Power Nismo S – terima rupa lebih garang serta pengendalian dan talaan kuasa lebih baik

    Dalam versi standard, motor elektrik pada Note e-Power tersebut menghasilkan sejum 109 PS dan tork maksima 254 Nm. Namun setelah unit inverter dan modul kawalan ditala semula pada model Nismo S ini, motor berkenaan menghasilkan 25% lebih kuasa iaitu 134 hp dan tork maksima 320 Nm.

    Bagi mendapatkan pengendalian yang lebih mantap, Nismo telah memadankan cross bar hadapan dan belakang dan juga member stay pada hadapan dan belakang rekaan khas yang lebih tegar. Suspensi pada Note e-Power Nismo S ini juga hanya unik untuknya, serta menerima bar penstabil hadapan yang lebih keras, manakala sistem stereng kuasa elektriknya pula ditala semula.

    Model talaan istimewa ini juga nampak jauh lebih garang dari versi standard. Ia diberikan bampar hadapan yang lebih agresif, paip ekzos lebih besar, serta rim Nismo bersaiz 16-inci dibaluti tayar Yokohama S.Drive.

    Pada bahagian kabin, hatchback ini diberikan meter fine vision istimewa dengan logo Nismo, tempat duduk lebih sporty balutan sued khas dengan logo Nismo dan jahitan benang merah, panel pintu dengan kemasan yang sama, pedal dan juga perehat kaki aluminium juga dengan logo Nismo.

    Minggu lalu kami telah menerima gambar intipan sebuah Note e-Power JDM yang dipandu dengan menggunakan nombor pendaftaran sementara. Unit berkenaan berkemungkinan unit yang sedang diuji oleh Edaran Tan Chong Motor atau mungkin sebuah kereta yang di bawa ke sini menerusi pengimport persendirian.

     
     
  • Hennessey Goliath 6×6 – ‘raksasa’ 705 hp, 915 Nm

    Hennessey Goliath 6×6 – ‘raksasa’ 705 hp, 915 Nm

    Pembikin modifikasi kenderaan lebih daripada dua gandar, Hennessey Performance (HPE) telah mendedah rekaan terbaru yang dihasilkan syarikat itu – Goliath 6×6. Menggunakan asas daripada trak pikap Chevrolet Silverado dari versi Trail Boss Z71, Goliath kini menyertai VelociRaptor 6×6 yang dibangunkan daripada model Ford Raptor sebelum ini.

    Antara ubah suai menarik yang dilakukan tentulah bagi enjinnya; versi asal dengan kapasiti 6.2 liter yang menghasilkan 420 hp dan 624 Nm tork telah diberikan output tambahan. Untuk mendapatkannya, ia dilengkapi dengan pakej HPE700 Supercharged yang termasuk sistem supercharger 2.9 liter dengan boost sebanyak tujuh psi, disertai dengan sistem ekzos logam.

    Output akhir yang diperoleh daripada kombinasi ini ialah 705 hp dan 915 Nm. Syarikat ini juga mendakwa jentera ini boleh mencapai pecutan 0-97 km/j dalam julat empat saat, walaupun dengan sistem pacuan 6×6. Ada juga pilihan janaan kuasa sehingga 808 hp.

    Hennessey Goliath 6×6 – ‘raksasa’ 705 hp, 915 Nm

    Selain enjin, ubah suai turut dilakukan terhadap sistem suspensi, lift kit lapan-inci, ruang belakang saiz kustom, rim 20-inci dengan saiz tayar off-road 37-inci, palang olengan baru, lampu LED serta bampar Hennessey.

    Harga asas bagi model versi berkenaan ialah US$375,000 (RM1,553,175), dengan trak berkenaan siap diubah suai dan diberi jaminan tiga tahun/57,936 km (36,000 batu). Syarikat itu menyatakan hanya 24 buat Goliath akan dibangunkan dan akan dieksport ke pasaran antarabangsa.

     
     
  • MPV Geely – teaser disiar, bakal ganti Proton Exora?

    MPV Geely – <em>teaser</em> disiar, bakal ganti Proton Exora?

    Nampaknya Geely bakal mendedahkan model produksi sebenar dari MPV konsepnya yang ditayangkan pada Auto Shanghai tahun lalu. Buat permulaan dan sebagai tanda pendedahannya semakin hampir, berberapa imej teaser telah didedahkan untuk MPV dikenali dengan kod nama VF11, yang bakal menggantikan model Emgrand EV8, dan desas-desus turut menyatakan ia bakal menggantikan MPV Proton Exora.

    Imej yang didedahkan kali ini memperlihatkan rupa MPV berkenaan, yang hampir serupa dengan imej yang bocor sebelum ini. Muka model ini menampilkan rekaan signatur terkini Geely iaitu gril “expanding cosmos”, lampu hadapan LED yang tirus dengan jalur-jalur LED terbina dalam, manakala sepasang lagi bar LED diletakkan pada bampar hadapan.

    Rekaan “bumbung terapung” dari model konsep nampaknya turut di bawa pada model produksi ini, manakala ciri-ciri ‘khayalan’ lain seperti cermin sisi nipis dan juga pintu belakang yang dibuka terbalik tidak diserapkan dan diganti dengan kelengkapan konvensional.

    Ciri lain bahawa ia dihasilkan dari model konsep sebelum ini adalah grafik jalur LED pada lampu belakang, tetapi secara keseluruhan kluster lampu berkenaan sebenarnya telah direka semula. Lampu belakang tersebut dihubungkan antara kiri dan kanan menerusi kemasan bar krom yang turut menempatkan tulisan ‘GEELY’.

    Menurut Geely, MPV ini direka dengan dimensi 4,706 mm panjang, 1,909 mm lebar, 1,664 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,805 mm. Berbanding Exora (4,592 mm), MPV ini adalah 114 mm lebih panjang. Jika ia diletakkan disebelah MPV segemen-B Perodua Alza (4,270 mm) pula, VF11 ini sememangnya jauh lebih panjang dengan perbezaan 426 mm.

    Menurut laporan-laporan yang tersebar, MPV ini bakal ditawarkan dalam versi petrol biasa, hibrid plug-in dan juga elektrik sepenuhnya. Model yang dijana oleh enjin petrol (konvensional/ hibird) akan diberikan enjin 1.5 liter turbo empat silinder berkuasa 177 hp dan ia akan ditawarkan sebaik sahaja MPV ini dilancarkan. Versi elektrik sepenuhnya pula akan muncul kemudian.

     
     
  • KTM Malaysia lancar model offroad tahun 2019 – pilihan enjin 250 hingga 450 cc, empat strok/dua strok

    KTM Malaysia lancar model offroad tahun 2019 – pilihan enjin 250 hingga 450 cc, empat strok/dua strok

    Setiap tahun, pengeluar motosikal dari Austria yang cukup terkenal dalam dunia offroad iaitu KTM akan memperbaharui barisan motosikal mereka dan kini, model terbaru tahun 2019 sudah tiba di Malaysia. Walaupun sebenarnya model offroad ini mempunyai banyak pilihan, KTM hanya telah memilih beberapa model sahaja untuk pasaran Malaysia.

    Pertamanya, untuk model khas kegunaan litar (tidak boleh didaftar untuk kegunaan atas jalan biasa), KTM Malaysia cuma membawa masuk model 250 SX-F, iaitu sebuah model yang dikuasakan oleh enjin suntikan bahan api satu silinder 250 cc empat strok, bersama padanan kotak gear lima kelajuan.

    Bagi model tahun 2019 ini, beratnya cuma 99 kg, dan antara pembaharuan utama adalah klac jenis diaphragm steel (DS) khas untuk offroad, sistem pengurusan enjin Keihin EMS dengan throttle body 44 mm, kerangka besi hydroformed chromium molybdenum, subframe belakang 40 mm lebih panjang, swing arm 5 mm lebih panjang, top clamp yang lebih keras dan sistem penyejukan yang lebih baik.

    Selain daripada itu, ia juga menerima ergonomik yang lebih baik, pam minyak baru, bateri lithium ion, ekzos baru, fork hadapan WP-USD 48 mm yang boleh dilaras bebanan dan lantunan, monoshock belakang WP dengan pelarasan pra beban, lantunan dan mampatan, dan jalur silikon pada tempat duduk. Harga untuk 250 SX-F 2019 adalah RM38,500.

    Pergi kepada model enduro, ia terbahagi kepada dua jenis enjin iaitu empat strok yang disediakan dengan pilihan kapasiti 250 cc (250 EXC-F), 350 cc (350 EXC-F) dan 450 cc (450 EXC-F), dan dua strok suntikan bahan api yang disediakan dengan pilihan kapasiti 250 cc (250 EXC TPI) dan 300 cc (300 EXC TPI). Bagi semua pilihan enjin ini, selain model standard, pengguna juga boleh mendapatkan model istimewa Six Days yang mempunyai lebih banyak aksesori.

    Selain grafik khas, model Six Days juga mempunyai kelebihan lain yang termasuk sistem kawalan cengkaman (traction control) yang boleh ditutup, pilihan dua pemetaan enjin dengan butang pelarasan di pemegang, kipas radiator, brek cakera terapung, sprocket belakang Supersprox, penarik axle hadapan, pelindung bawah enjin serta ekzos yang mempunyai logo Six Days.

    Bahagian lain yang menjadi kelebihan model Six Days 2019 adalah konsep grafik “Chile” yang boleh dilihat melalui pelekat yang berada pada seluruh panel serta tempat duduk, kerangka warna oren, pelindung ekzos gentian karbon (untuk model dua strok), triple clamp oren dan tambahan pelarasan pra beban untuk fork hadapan.

    KTM Malaysia lancar model offroad tahun 2019 – pilihan enjin 250 hingga 450 cc, empat strok/dua strok

    Kelengkapan standard yang diberikan untuk semua model asas dan Six Days enduro 2019 ini adalah termasuk brek Brembo depan dan belakang, fork WP-USD XPlor 48 dengan pelarasan mampatan dan lantunan, monoshock belakang WP XPlor PDS, rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang serta kotak gear enam kelajuan.

    Harga untuk model enduro tahun 2019 ini adalah RM44,000 untuk 250 EXC-F Standard, RM48,500 untuk 250 EXC-F Six Days, RM45,000 untuk 350 EXC-F Standard, RM49,500 untuk 350 EXC-F Six Days, RM46,000 untuk 450 EXC-F Standard, RM50,500 untuk 450 EXC-F Six Days, RM39,000 untuk 250 EXC TPI Standard, RM42,500 untuk 250 EXC TPI Six Days, RM43,500 untuk 300 EXC TPI Standard dan RM48,000 untuk 300 EXC TPI Six Days.

    GALERI: KTM 250 SX-F 2019


    GALERI: KTM 300 EXC TPI Six Days 2019

    GALERI: KTM 350 EXC-F Six Days 2019

     
     
  • Land Rover Discovery Sport 2018 terima enjin petrol 2.0L Ingenium untuk pasaran Malaysia – RM379,800

    Land Rover Discovery Sport 2018 terima enjin petrol 2.0L Ingenium untuk pasaran Malaysia – RM379,800

    Jaguar Land Rover Malaysia telah memperkenalkan model terkini Land Rover Discovery Sport yang ditampilkan dengan enjin petrol Ingenium. Model Si4 ini ditawarkan pada harga RM379,800 (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans) dan turut didatangkan dengan program Land Rover Care – waranti lima-tahun/150,000 km, penyelenggaraan lima-tahun/65,000 km dan bantuan tepi jalan tiga-tahun.

    Enjin 2.0 liter twin-scroll pengecas turbo empat-silinder ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 240 PS pada 5,500 rpm dan tork 340 Nm pada 1,250 rpm, dengan dipadankan bersama transmisi automatik sembilan-kelajuan ZF (dengan pedal penukar gear) dan sistem pacuan empat-roda. Ia juga disambungkan dengan sistem Terrain Responce, yang membolehkan pemandu menukar mod pemanduan yang berbeza bergantung pada keadaan jalan yang dilalui.

    Bagi prestasinya, Disco Sport ini hanya mengambil masa sekitar 7.6 saat untuk mencapai pacuan dari sifar ke 100 km/j, dengan kelajuan maksimum pada 200 km/j, sementara penggunaan bahan api puka sekitar 8 l/100 km. Untuk pasaran Malaysia, SUV ini menawarkan lima-tempat duduk sebagai standard tetapi anda mempunyai pilihan untuk konfigurasi kedudukan 5+2 jika mahu – dengan 0-100 km/j dalam 7.9 saat.

    Land Rover Discovery Sport 2018 terima enjin petrol 2.0L Ingenium untuk pasaran Malaysia – RM379,800

    Elemen yang didatangkan termasuklah sistem infotainmen InControl Touch dengan skrin sesentuh 8-inci dan sistem bunyi Meridian 380-watt bersama 10-pembesar suara. Malah ia turut menampilkan paparan kluster instrumen TFT berwarna lima-inci, tujuh beg udara, tempat duduk dengan 12-hala dengan fungsi memori, kawalan suhu automatik, upholstery kulit, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, fungsi navigasi, lampu utama xenon dengan lampu nyalaan siang LED, lampu utama dan bilah pengelap cermin automatik, tailgate berkuasa dan roda aloi ‘Style 512’ 19-inci.

    Turut ditawarkan tiga pilihan warna kombinasi dalaman – Ebony/Ebony, Cirrus/Lunar dan Almond/Ebony. Pilihan roda termasuk unit ‘Style 521’ 19-inci dengan warna hitam berkilat serta set yang lebih besar ‘Style 511’ 20-inci. Lapan pilihan warna luaran turut ditawarkan – Fuji White, Yulong White, Indus Silver, Scotia Grey, Corris Grey, Firenze Red, Loire Blue dan Santorini Black.

     
     
  • Volvo V60 Cross Country didedahkan secara rasmi- wagon keluarga ‘rentas desa’ generasi baharu

    Volvo V60 Cross Country didedahkan secara rasmi- wagon keluarga ‘rentas desa’ generasi baharu

    New Volvo V60 Cross Country exterior

    Selain dari SUV XC60, platform Scalable Product Architecture (SPA) dari siri 60 turut dijadikan asas kepada satu lagi crossover baharu iaitu V60 Cross Country generasi terkini yang baharu sahaja diperkenalkan oleh jenama dari Sweden berkenaan. Sama seperti model-model Cross Country terdahulu dan juga abangnya yang lebih besar iaitu V90 Cross Country, model V60 CC ini masih menampilkan rupa asas wagon V60, dan diberikan pelbagai ciri bagi memberikan ia kebolehan untuk meredah laluan off-road.

    Berbanding wagon normal V60, model ‘rentas desa’ ini menampilkan kedudukan badan yang 75 mm lebih tinggi. Menurut Volvo, ketinggian ini dihasilkan dari casis khas dan suspensi yang dibangunkan bagi membolehkan ia melalui permukaan jalan yang teruk.

    Juga masih meneruskan tradisi model Cross Country Volvo, V60 CC ini menerima pelindung-pelindung plastik berwarna hitam pada setiap ruang roda dan juga sisi bawah badan yang bukan sahaja untuk melindungi, malah memberikan rupa yang lebih lasak. Ciri lain masih lagi sama dengan V60 standard, terutamanya pada bahagian dalaman yang dilengkapi sistem infotainmen Sensus Connect, panel instrumen Adaptive Digital Display dan juga ruang kargo termasuk storan bawah lantai berjumlah 529 liter.

    Volvo V60 Cross Country didedahkan secara rasmi- wagon keluarga ‘rentas desa’ generasi baharu

    New Volvo V60 Cross Country exterior

    “Dengan V60 Cross Country baharu ini, kami bawa estate keluarga buatan Sweden kami ini dari satu habitat semula jadi kepada habitat lain. Kami mencipta segmen Cross Country lebih 20 tahun lalu dan dengan kereta ini, kami perkukuhkan lagi baka yang bertahan lama ini dalam bentuk kereta keluarga yang selamat, berkemampuan dan serba boleh,” kata Håkan Samuelsson, Presiden dan Ketua Eksekutif Volvo Cars.

    Dua pilihan enjin diberikan bagi model V60 Cross Country ini. Pertama adalah enjin petrol turbo T5 2.0 liter empat silinder berkuasa 247 Hp (250 PS) dan tork maksima 350 Nm. Manakala pilihan kedua adalah enjin diesel D4 2.0 liter empat-silinder dengan dua pengecas turbo menghasilkan 188 hp (190 PS) dan tork maksima 400 Nm. Walau bagaimanapun, pasaran Amerika hanya akan menerima enjin petrol T5 yang ditala dengan kuasa 250 hp/350 Nm.

    Kesemua enjin berkenaan digandingkan bersama kotak gear lapan kelajuan automatik AW TG-81 SC dari Aisin dan kesemua model menerima sistem AWD secara standard. Berbeza dengan wagon V60 normal, model CC ini diberikan mod pemanduan Off-Road istimewa yang boleh dipilih hanya menerusi skrin sesentuh sistem infotaimen. Model hibrid elektrik turut akan diperkenalkan untuk V60 Cross Country ini pada masa akan datang.

    Volvo V60 Cross Country didedahkan secara rasmi- wagon keluarga ‘rentas desa’ generasi baharu

    New Volvo V60 Cross Country interior

    Seperti model-model yang berasaskan platform SPA lain, V60 Cross Country juga menampilkan sistem-sistem bantuan pemanduan keselamatan yang sama. Sistem berkenaan turut termasuk Kawalan Menurun Bukit, Kawalan Kestabilan Elektronik, Corner Traction Control, City Safety dengan Brek Automatik serta Pilot Assist.

    Juga sama dengan model-model lain, pasaran tertentu membolehkan pelanggan memiliki kereta ini menerusi servis langganan Care By Volvo, iaitu sistem akses kepada kenderaan menerusi langganan bulanan kadar-rata yang berbeza dari sistem sewaan atau pembelian secara konvensional.

     
     
  • Perodua buka pusat badan, cat kenderaan di Kota Bharu – melibatkan kos pelaburan sebanyak RM2 juta

    Perodua buka pusat badan, cat kenderaan di Kota Bharu –  melibatkan kos pelaburan sebanyak RM2 juta

    Perodua telah memperkenalkan pusat Badan Kenderaan dan Cat (B&P) yang ke-66 dengan memilih Kota Bahru, Kelantan, sebagai lokasinya. Ia adalah bagi memenuhi keperluan para pelanggan di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Pusat baharu yang bernilai RM2 juta ini dimiliki dan dikendali sepenuhnya oleh pengedar Perodua, Nasrom (M) Sdn Bhd.

    Terletak di ot 12972 & 12973, Kg Padang Kala, Daerah Peringat, dalam kawasan seluas 17,000 kaki persegi, kemudahan B&P baharu ini mampu membaiki sehingga 1,080 kereta setahun.

    “Kami mengiktiraf dan menghargai pelaburan yang dibuat oleh Nasrom (M) Sdn Bhd serta komitmen mereka dalam memenuhi keperluan pelanggan kami,” ujar Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr Zahari Husin. Beliau turut menambah Perodua akan terus menambahbaik kemudahan B&P yang sedia ada ataupun mewujudkan kemudahan baru dalam memenuhi keperluan lebih daripada 3.2 juta pemilik kenderaan Perodua setakat ini di seluruh negara.

    “Dengan kemudahan baharu ini, pelanggan kami akan dijamin dengan mutu kerja yang berkualiti dan alat ganti yang tulen dalam proses membaiki kereta mereka. Kakitangan kami yang sah akan turut membantu dalam proses tuntutan insurans,” jelasnya lagi.

    Daripada 66 buah pusat B&P Perodua di seluruh negara, tujuh daripadanya berada di Pantai Timur, meliputi kawasan Kuala Terengganu, Kemaman, Kuantan, Jerantut dan Kota Bharu.

     
     
  • Peugeot 508, 508 SW Hybrid dan 3008 GT Hybrid4 diperkenalkan – 1.6L PHEV, sehingga 300 hp

    Peugeot 508, 508 SW Hybrid dan 3008 GT Hybrid4 diperkenalkan – 1.6L PHEV, sehingga 300 hp

    Sejurus selepas mengumumkan rancangan elektrifikasi, Peugeot telah mendedahkan tiga model plug-in hybrid baharu – Peugeot 508 dan 508 SW Hybrid, serta 3008 GT Hybrid4. Trio ini akan memasuki pasaran terpilih menjelang suku kedua 2019.

    Bagi 508, kuasanya dihasilkan dari enjin 1.6 liter PureTech petrol empat-silinder dengan hamburan 180 hp, dan dipadankan bersama motor elektrik 80 kW (110 hp) sekaligus menawarkan output kombinasi sebanyak 225 hp. Ia turut dilengkapi dengan pek bateri lithium-ion 11.8 kWh 300 voltan untuk pacuan semua-elektrik dalam 50 km (kitaran NEDC).

    Bateri ini terletak di bawah lantai bahagian tempat duduk belakang, manakala ruang but bagi 508 mampu mencecah 487 liter, 530 liter untuk 508 SW. Tiada angka penggunaan bahan api yang diberikan, tetapi Peugeot mensasarkan 2.0 liter per 100 km. Manakala emisi bagi CO2 pula sekitar 49g/km.

    Enjin ini juga bekerjasama dengan transmisi automatik lapan-kelajuan e-EATs yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan. Ia tidak lagi menggunakan unit torque converter, sebaliknya ditukarkan dengan klac pelbagai-cakera spesifik0hibrid, di mana Peugeot berkata ia menawarkan peningkatan tork sebanyak 60 Nm dan menambahkan kereaktifan.

    Seterusnya, 3008 GT Hybrid4 pula menerima sistem plug-in hybrid yang lebih termaju, menampilkan senibina elektrikal yang sama dnegan 508 tetapi dipadankan dengan motor elektrik kedua (juga 80 kW) yang dipasang pada gandar belakang. Enjin petrol ini ditala untuk mendapatkan hamburan kuasa 200 hp. Kombinasi ini turut membuatkan sistem tersebut mampu melonjak sehingga 300 hp, pacuan dari sifar ke 100 km/j dalam 6.5 saat. Varian petrol standard 3008 hanya sekitar 8.9 saat dalam pacuan yang sama.

    Di bawah tempat duduk penumpang belakang ditempatkan bateri lithium-ion berkapasiti besar 13.2 kWh (juga 300 voltan), yang menawarkan jarak pacuan elektrik sehingga 60 km (kitaran NEDC). Peugeot berkata mod pacuan empat-roda turut menambahkan cengkaman dalam keadaan jalan basah, berlumpur, bersalji atau winding road, dan ini dicapai oleh kuasa yang disalurkan ke setiap roda. Manakala emisi CO2 pula masih sama iaitu 49 g/km.

    Bagi angka prestasi, kedua-dua sistem hibrid dan Hybrid4 berkeupayaan dipacu dalam mod elektrik asli sehingga 135 km/j, dan baterinya boleh dicas penuh (menggunakan penyambung Type 2) dalam tujuh jam menerusi soket domestik Eropah.

    Pengecasan menerusi soket 3.3 kW 14 A pula membantu mengurangkan masa ke empat jam, sementara dengan pengecas wallbox 6.6 kW 32 A pula lebih singkat iaitu di bawah sejam 45 minit.

    Semua varian plug-in hybrid turut menampilkan sistem brek i-Booster untuk memulih tenaga semasa brek atau nyahpecutan. Ia didatangkan dengan pam elektrik di tempat pam vakum pada model bukan hibrid.

    Di dalamnya, bahagian kabin turut menampilkan instrumen yang dipertingkatkan termasyk meter kuasa, yang menggantikan takometer dan paparan pacuan hibrid. Begitu juga dengan paparan infotainmen tengah yang turut dipertingkatkan dengan disambungkan pada menu hibrid spesifik untuk data pemanduan yang lebih terperinci. Sementara aplikasi MyPeugeot juga mampu mengaktifkan pengecasan kawalan, status pengecasan, penyaman pra-termal atau penggunaan bahan api.

    508 Hybrid dan 508 SW Hybrid ditawarkan dengan empat varian– Allure, Allure Business, GT Line dan GT. Di mana varian tertinggi GT menambah beberapa lagi ciri termasuk Greval Grey Alcantara upholstery.

    Bagi 3008 GT Hybrid4 pula, ia hanya ditawarkan dengan kemasan GT bersama material Greval Grey Alcantara. Ia juga dilengkapi dengan kawalan kelajuan adaptif bersama fungsi Stop & Go serta bantuan kekal lorong. Varian 3008 Hybrid talaan lebih rendah (pacuan-hadapan, 225 hp) juga bakal menyertai barisan ini, namun tidak dimaklumkan bila.

     
     
  • Toyota GT86 GR – video teaser di siar di Sepanyol

    Selepas Toyota dilihat mendaftarkan tanda dagangan untuk Yaris GR dan 86 GR di Eropah minggu lalu, jenama berkenaan kini menyiarkan pula video teaser untuk model yang digelar “GT86 by Toyota Gazoo Racing”. Menurut Toyota dalam video tersebut, model baharu ini adalah “semuanya berkenaan keazaman untuk kelajuan”.

    Toyota 86 dengan sentuhan GR ini sebenarnya sudahpun wujud, namun ia hanyalah untuk pasaran domestik Jepun (JDM). Model berkenaan diberikan pelbagai peralatan berprestasi tinggi tinggi termasuk rim 17-inci dari Rays Engineering, tempat duduk dari Recaro, LSD jenis Torsen dan juga angkup brek baharu – enam omboh di hadapan, empat omboh di belakang – dari Brembo.

    Ia juga menerima pakej GR Sport untuk kereta sport yang terdiri dari kit badan lengkap, penyerap hentak dari Sachs, serta berberapa lagi talaan mekanikal dan juga perincian khas dari Gazoo Racing.

    Dalam hieraki barisan model GR dan GR Sport, kesemua model berkenaan secara asasnya akan diberikan sentuhan dari segi astetik dan juga pengendalian. Manakala untuk model yang mendapat tambahan kuasa, ia akan diberikan lencana Gazoo Racing Master of Nürburgring atau GRMN seperti model istimewa Yaris GRMN.

    Jadi, untuk GT86 GR ini, ia mungkin masih dijana enjin boxer empat-silinder 2.0 liter NA menjana 205 PS, tanpa sebarang tambahan kuasa. Transmisi juga masih sama, menawarkan pilihan sama ada enam-kelajuan manual atau automatik.

    GALERI: Toyota 86 GR JDM

     
     
  • Perodua sumbang RM1.1 juta kepada Tabung Harapan

    Perodua sumbang RM1.1 juta kepada Tabung Harapan

    Perodua bersama kumpulan syarikat organisasi serta kakitangannya, telah menyumbang sebanyak RM1.1 juta kepada Tabung Harapan Malaysia sebagai tanda sokongan kepada usaha kerajaan untuk mengurangkan jumlah hutang negara.

    Pengerusi Perodua Tan Sri Asmat Kamaludin menyampaikan sumbangan tersebut kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng di pejabatnya semalam, disaksikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

    “Kami memahami bahawa usaha mengurangkan jumlah hutang negara akan memakan masa yang lama, dan kami akan menyokong kerajaan masa kini dalam usaha membaikpulih semula ekonomi negara melalui eko-sistem automotif negara,” ujar Tan Sri Asmat.

    Untuk tahun ini, Perodua telah memperuntukkan RM5 bilion untuk membeli komponen kenderaan daripada pembekal-pembekalnya, yang kebanyakkannya adalah syarikat tempatan. Perodua juga mensasarkan jualan kenderaan sebanyak 209,000 unit tahun ini, yang secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada pengedar bebas di seluruh negara.

     
     
  • Ducati Monster 821, Multistrada 1260 dan Panigale V4 masuk pasaran Malaysia secara rasmi – dari RM61k

    Ducati Monster 821, Multistrada 1260 dan Panigale V4 masuk pasaran Malaysia secara rasmi – dari RM61k

    Pengedar rasmi motosikal jenama Ducati di Malaysia iaitu Next Bike Sdn Bhd hari ini melancarkan tiga model yang ditunggu ramai iaitu Monster 821, Multistrada 1260 dan juga Panigale V4. Harganya masing-masing bermula dari RM60,900 hingga RM66,900 untuk Monster 821, RM129,900 hingga RM155,900 untuk Multistrada 1260 dan RM129,900 hingga RM362,900 untuk Panigale V4.

    Melihat kepada Monster 821, ia menggunakan versi terbaru bagi enjin dua silinder V Testastretta berpenyejukan cecair, dan mampu menghasilkan sehingga 109 hp pada 9,250 rpm dan 86 Nm tork pada 7,750 rpm. Warna Ducati Yellow yang diguna datang daripada model lama Monster 900 manakala skrin LCD TFT warna penuh pula pertama kali digunakan sebagai paparan meter dan informasi untuk Monster.

    Kelengkapan lain yang boleh didapati pada model ini adalah Ducati Safety Pack, yang termasuk brek ABS Bosch dan Ducati Traction Control, pelarasan ABS dan DTC, tiga pilihan mod tunggangan, set berkembar cakera 320 mm serta angkup Brembo monobloc radial M4-32 di hadapan, angkup tunggal Brembo di belakang, fork 43 mm di hadapan dan monoshock boleh laras di belakang.

    Multistrada 1260 pula adalah sebuah model yang menggantikan Multistrada 1200 sebelum ini, dan ia sekarang menggunakan enjin enjin 1,262 cc DVT (Desmodromic Variable Timing) seperti XDiavel, dan ditala untuk menghasilkan 156 hp pada 9,500 rpm dan 129.5 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Selain enjin baru, Multistrada 1260 ini turut diubah dengan fork yang lebih condong 1 darjah, dan lengan ayun 48 mm lebih panjang. Selain itu, jarak antara rodanya juga lebih jauh; 1,585 mm dari 1,530 mm pada model sebelumnya. Di hadapan terdapat fork 48 mm terbalik (USD) manakala di belakang menggunakan penyerap hentak Sachs – kedua-duanya boleh dilaras.

    Untuk senarai kelengkapan, model asas didatangkan terus dengan Vehicle Hold Control (VHC), mod tunggangan, Power Mode, Ducati Safety Pack (Cornering ABS Bosch + DTC), Ducati Wheelie Control (DWC), Cruise Control dan penunjuk arah tutup sendiri. Melalui model 1260 S pula, ia akan ditambah dengan Ducati Cornering Lights, Ducati Skyhook Suspension (DSS), Ducati Quickshift (DQS) naik dan turun dan Ducati Multimedia System.

    Paling menarik di antara tiga model ini adalah Panigale V4, kerana ia adalah antara model termaju bagi Ducati dan banyak mendapat teknologi daripada motosikal lumba MotoGP. Ia adalah model keluaran awam pertama Ducati yang menggunakan enjin Desmosedici V4, dengan kapasiti 1,103 cc dan kuasa sebanyak 214 hp pada 124 Nm tork untuk V4 dan V4 S, manakala bagi V4 Speciale, ia meningkat menjadi 226 hp.

    Bukan setakat menggunakan enjin baru, Panigale V4 ini juga datang dengan pelbagai kelengkapan elektronik, bermula dengan pilihan tiga mod menunggang iaitu Race, Sport dan Street. Ciri lain adalah termasuk ABS Cornering Bosch EVO (untuk tayar depan sahaja), Ducati Traction Control EVO (DTC EVO), Ducati Slide Control (DSC), Ducati Wheelie Control EVO (DWC EVO), Ducati Power Launch (DPL), Ducati Quick Shift up/down EVO (DQS EVO), Engine Brake Control EVO (EBC EVO) dan Ducati Electronic Suspension EVO (DES EVO).

    Secara standard, Panigale V4 datang dengan suspensi hadapan Showa Big Piston Fork (BPF) 43 mm boleh laras, monoshock Sachs boleh laras di belakang dan steering damper Sachs, tetapi bagi versi S dan Speciale, ia datang dengan fork Öhlins NIX-30, monoshock Öhlins TTX36, steering damper Öhlins dan pelarasan separuh automatik. Brek hadapan pula menggunakan angkup Brembo Stylema Monobloc baru, yang merupakan evolusi kepada angkup prestasi Brembo M50.

    GALERI: Ducati Monster 821


    GALERI: Ducati Multistrada 1260

    GALERI: Ducati Panigale V4

     
     
  • Honda M’sia adakan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam silibus latihan automotif terpilih

    Honda M’sia adakan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam silibus latihan automotif terpilih

    Honda Malaysia Sdn Bhd hari ini menandatangani Sijil Kolobrasi (CoC) antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Malaysia, bagi membolehkan modul latihan Honda diserapkan pada silibus automotif terpilih.

    CoC ini akan mengiktiraf kerjasama strategik Honda Malaysia dengan politeknik dan kolej untuk pelajar bagi dilengkapkan dengan kemahiran teknikal industri dan juga kemahiran insaniah. Honda Malaysia akan bekerjasama dengan 17 kolej komuniti dari sembilan negeri dalam Malaysia, manakala lebih lagi politeknik dan kolej lain akan di tambah dalam senarai untuk masa akan datang.

    Inisiatif ini merupakan usaha Honda Malaysia bagi menyokong tumpuan kerajaan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) kearah membangunkan lebih ramai juruteknik yang mempunyai kemahiran dan sijil di Malaysia menerusi latihan berkualiti tinggi.

    “Honda Malaysia telah merekodkan peningkatan jualan yang tinggi sehingga 112% dalam masa 5 tahun kebelakangan ini dan ini secara tidak langsung meningkatkan kemasukan servis kami sebanyak 51% dalam masa yang sama. Ini menyebabkan kami mengembangkan jaringan pengedar kami di seluruh negara, dengan 97 outlet buat masa sekarang bagi memudahkan akses untuk semua pelanggan kami. Oleh itu, inisiatif ini adalah tepat pada masanya kerana ia membolehkan kami mendapatkan lebih ramai juruteknik mahir bagi menangani peningkatan pelanggan,” kata Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.

    Honda Malaysia akan menyerap modul untuk tahap Juruteknik Penyelenggara dan Juruteknik Baikpulih yang digunakan dalam latihan dalaman kakitangannya yang digunakan seluruh dunia, dalam kursus automotif terpilih. Pelajar-pelajar akan menerima latihan komprehensif termasuk latihan industri selama enam-bulan di pengedar-pengedar Honda Malaysia. Latihan ini akan memberikan pengetahuan servis selepas jualan kepada pelajar dan membekalkan mereka dengan pengalaman sebenar dalam industri dan menjadi asas kepada pekerjaan akan datang.

    Pelajar juga turut berpeluang untuk menjadi juruteknik atau wakil servis sebenar Honda selepas menjalani latihan dan juga penilaian yang diberikan. Honda Malaysia mensasarkan akan menerima 120 pelajar yang menamatkan kursus setahun dari politeknik dan kolej yang menyertai kerjasama ini.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia bagi bulan Ogos 2018 ikut jenama – Perodua turun 25.3%, Proton naik 17.3%

    Jualan kenderaan di M’sia bagi bulan Ogos 2018 ikut jenama – Perodua turun 25.3%, Proton naik 17.3%

    Bulan Ogos 2018, seperti yang kita sedia maklum, adalah bulan terakhir jualan kenderaan tanpa GST di Malaysia sebelum pelaksanaan SST (yang meyaksikan rata-rata harga bagi model CKD turun sedikit). Jualan pada bulan Jun dan Julai juga mencatatkan rekod terbaik bagi banyak jenama.

    Namun bagi Ogos, angka berkenaan kembali turun. Statistik jualan kenderaan bagi bulan Ogos yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengumumkan angka 65,551 unit – ia merupakan penurunan jika dibandingkan dengan bulan Julai 2018.

    Agak mengejutkan kali ini ialah Perodua, walaupun masih kekal mengungguli senarai jualan bagaimanapun mencatatkan penurunan yang agak ketara, iaitu sebanyak 25.3%; dari 23,830 unit pada Julai kepada 17,804 unit bagi Ogos 2018.

    Hal berbeza pula dengan Proton, yang terus menyaksikan peningkatan jualan sepanjang tiga bulan tanpa GST yang berlangsung; meningkat 17.3% dari 8,102 unit pada Julai kepada 9,501 unit. Lebih menarik, Proton kini berada di tangga ketiga dan mengatasi jualan Toyota.

    Dua pengeluar Jepun yang sinonim dalam pasaran tempatan juga berdepan dengan nasib sama – angka jualan yang menurun. Honda yang kekal ditempat kedua berjaya menjual 10,789 unit pada Ogos, penurunan yang agak besar iaitu 15.8% berbanding Julai 2018. Toyota pula kini ditempat keempat, “tewas” kepada Proton dari sudut angka jualan. Jenama gergasi Jepun ini berjaya menjual 8,795 unit pada Ogos, menurun 3.7% berbanding Julai.

    Bagaimanapun, beberapa jenama pengeluar Jepun yang lain rata-ratanya menikmati peningkatan yang agak memberangsangkan berbanding bulan sebelumnya. Jenama serta peningkatan yang dimaksudkan adalah seperti berikut; Isuzu (+95.4%), Mazda (+62.3%), Subaru (+47.6%), Mitsubishi (+43.7%) dan Nissan (+6.0%) .

    Sementara itu, antara jenama lain yang menyaksikan peningkatan yang ketara ialah Ford (+59%) dan Volkswagen (+26.8%). Bagi jenama kenderaan premium pula, Lexus mencatatkan peningkatan paling tinggi dengan +157.1%. Volvo juga menikmati kelebihan dengan peningkatan +40.7%, sementara BMW juga berhasil meraih kenaikan +22.8%. Mercedes-Benz pula sebaliknya, dengan jualan menurun sebanyak 14.4%.

     
     
  • Ferrari Pop-Up Experience kini berada di Pavilion KL

    Ferrari Pop-Up Experience kini berada di Pavilion KL

    Mahu rasa pengalaman berada di bilik pameran Ferrari? Pengedar rasmi kereta sport dari Itali berkenaan, Naza Italia kini sedang mengadakan showcase unik Ferrari di Kuala Lumpur iaitu Ferrari Pop-Up Experience. Showcase ini terletak di pntu masuk utama pusat membeli belah Pavilion KL, dan ia sebenarnya merupakan bilik pameran bergerak yang membolehkan orang ramai mengenali Ferrari dengan lebih rapat.

    Ferrari Pop-Up Experience ini akan berlangsung sehingga 28 Spetember, dan ia menampilkan ruang pameran kereta, lounge eksklusif dan juga ruang penyambut tetamu. Dua buah kereta sport dipamerkan pada ruang tersebut iaitu Ferrari Portofino dan GTC4Lusso T. Menerusi pameran ini juga, Portofino sebenarnya telah membuat penampilan sulungnya yang di Malaysia sejak dilancarkan pada Mei lalu.

    Menurut CEO Naza Automotive Group Datuk Samson Anand George, bilik pameran pop-up ini menawarkan prebiu yang baik bagi memberitahu segalanya tentang jenama tersebut. “Ferrari dikenali sebagai jenama yang begitu eksklusif, namun menerusi acara ini ia lebih mudah untuk diakses. Diletakkan diantara jenama mewah lain di Pavilion KL, bilik pameran pop-up ini benar-benar menawarkan pengalaman gaya hidup berkisar pemilikan Ferrari kepada pelanggan,” katanya.

    Sempena dengan pameran ini, Ferrari Malaysia turut menjalankan peraduan di Instagram sehingga 20 Spetember 2018, dan terbuka untuk sesiapa sahaja yang mempunyai akaun IG yang sah. Pertandingan tersebut menawarkan pelbagai barangan rasmi Ferrari sebagai hadiah.

    Bagaimana untuk menyertainya? Anda haya perlu menjadi pengikut di laman Instagram Ferrari Malaysia, kemudian anda perlu hadir ke Ferrari Pop-Up Experience ini bagi mengambil gambar. Foto yang diambil perlu dimuat naik pada laman IG anda sendiri, disertakan dengan kapsyen yang menarik bersama tanda pagar #ferraripopupmy, serta tag rakan anda pada kasyen berkenaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025