Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • DS7 Crossback E-Tense 4×4 – SUV PHEV 296 hp 4WD

    DS7 Crossback E-Tense 4×4 – SUV PHEV 296 hp 4WD

    Apa yang anda lihat ini adalah DS7 Crossback E-Tense 4×4, iaitu satu varian plug-in hybrid bagi SUV yang dulunya diperkenalkan pada tahun 2017. Menurut syarikat itu, model PHEV ini memberikan tanda yang penting bagi masa hadapan jenama kerana selepas ini semua model baru akan menggunakan kuasa elektrik (sama ada gabungan ataupun elektrik sahaja).

    Melihat kepada penggerak kenderaan ini, ia menggunakan enjin petrol empat silinder 1.6 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 197 hp (200 PS) pada 5,500 rpm dan 300 Nm tork pada 3,000 rpm, dan dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan EAT8.

    Enjin pembakaran dalaman ini kemudiannya mendapat bantuan daripada dua motor elektrik berkuasa 107 hp (109 PS atau 80 kW) yang diletakkan pada setiap gandar, untuk menghasilkan sistem pacuan semua roda. Menurut DS Automobiles, motor yang terletak di hadapan mempunyai tork yang lebih tinggi, iaitu 337 Nm berbanding 166 Nm untuk motor yang terletak di belakang.

    Dengan gabungan semua sumber kuasa ini, DS7 Crossback E-Tense mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 296 hp (300 PS) dan 450 Nm tork, seterusnya membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat, manakala pecutan memotong (dari 80 km/j ke 120 km/j) dapat dilakukan dalam masa 4.4 saat. Semasa dalam mod ICE, kelajuan maksimum kenderaan ini adalah 220 km/j tetapi ia dikurangkan kepada 135 km/j apabila dalam mod elektrik penuh.

    Motor elektrik pada kenderaan ini mendapat kuasa daripada bateri lithium-ion 13.2 kWh (kadar kuasa 90 kW) yang beroperasi pada kadar antara 240 hingga 400 volt, membenarkan ia bergerak sehingga 50 km (kitaran WLTP) menggunakan elektrik sahaja. Penggunaan bahan api pula terletak pada tahap 2.2 liter bagi setiap 100 km (WLTP).

    Dalam keadaan asal, kereta ini bermula dalam mod tanpa emisi di mana hanya motor elektrik yang digunakan untuk bergerak. Pemandu juga boleh menukar kepada mod Hybrid yang menjadikan ICE berfungsi apabila perlu, mod Sport untuk prestasi penuh dan mod 4WD untuk cengkaman terbaik di kawasan mencabar. Mod terakhir iaitu E-Save menyimpan tenaga supaya dapat menggunakan elektrik sepenuhnya dalam 10 ke 20 km terakhir perjalanan.

    Untuk mengecas, pengguna perlu mengambil masa selama dua jam menggunakan sambungan Type 2 pada pengecas 6.6 kW yang disambungkan kepada soket kuasa 32 A, manakala apabila menggunakan soket 14 A, ia mengambil masa empat jam dan lapan jam untuk soket domestik 8 A. Kuasa juga boleh dicas semula dengan sistem penjanaan semula kuasa brek atau menggunakan ICE itu sebagai generator.

     
     
  • Projek kereta nasional ketiga satu keperluan – MAI

    Projek kereta nasional ketiga satu keperluan – MAI

    Projek kereta nasional ketiga boleh dianggap sebagai keperluan iaitu seiring dengan dengan industri automotif yang berkembang pesat, kata Institut Automotif Negara (MAI).

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Madani Sahari, melihat projek kereta nasional ketiga ini datang pada masa yang tepat untuk melengkapkan industri automotif dengan mobiliti terhubung yang selaras dengan Revolusi Industri 4.0, laporan Bernama.

    “Teknologi yang berkaitan dengan IT dan elektronik akan berkembang dengan pesat untuk menyediakan kenderaan yang sebegitu. Itu salah satu cabang penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dapat dimajukan sekiranya kita ada kereta nasional. R&D yang kita buat sudah bagus tetapi kita perlu ke hadapan untuk membuat R&D dalam bidang mobiliti terhubung,” katanya di dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel mengenai kereta nasional ketiga malam tadi.

    Projek kereta nasional ketiga satu keperluan – MAI

    Walau bagaimana pun, Madani menolak persepsi yang cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mewujudkan projek kenderaan nasional ketiga kerana beliau kecewa dengan Proton.

    “Itu hanya persepsi. Hasrat untuk mewujudkan kereta nasional ketiga ini bukanlah untuk mendapat nama semata-mata tetapi ini mendapat limpahan ekonomi dari segi kejuruteraan mahupun perkhidmatan. Bagi saya, perkembangan industri automotif semakin besar kerana skop pembangunan sangat besar,” ujarnya.

    Sambungnya lagi, ada ruang mencukupi untuk kereta nasional ketiga memainkan peranan. Sudah pasti Proton dan Perodua akan memainkan peranan mereka tapi kereta nasional ketiga akan memjadi satu lagi entiti kereta nasional negara.

    Pada Jun lalu, Tun Mahathir menyuarakan cadangan untuk mewujudkan jenama kereta nasional baharu, bagi menggantikan Proton yang sudah tidak dianggap sebagai ‘jenama kereta nasional’. Ujarnya, Proton bukan lagi jenama kereta nasional selepas hampir separuh ekuitinya dijual kepada syarikat asing iaitu Geely. Syarikat China itu ketika ini memiliki kepentingan 49.9% dalam Proton, sementara DRB-Hicom masih mengekalkan pegangan sebanyak 50.1%. Walau bagaimana pun, cadangan beliau menerima pelbagai persepsi daripada banyak pihak, sama da secara positif dan sebaliknya.

     
     
  • Mercedes-Benz M’sia lancar AMG Owners Community Malaysia – komuniti eksklusif untuk pemilik AMG

    Mercedes-Benz M’sia lancar AMG Owners Community Malaysia – komuniti eksklusif untuk pemilik AMG

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan komuniti rasmi untuk semua pemilik kenderaan berjenama Mercedes-AMG dalam negara, tidak kira yang lama atau yang baru, dikenali sebagai AMG Owners Community Malaysia (AOCM). Majlis pekancaran komuniti tersebut telah berlangsung di Hap Seng Star Balakong Autohaus Jumaat lalu, di hadiri lebih dari 200 ahlinya.

    AOCM ini merupakan inisiatif terbaharu oleh MBM bagi mengangkat lagi pengalaman memilik AMG ke tahap yang lebih tinggi. Mereka yang menyertai ini akan menjadi sebahagian komuniti yang menerima akses terhadap kesemuanya berkenaan AMG – driving day, prebiu produk, acara suka bermotor elit dan juga koleksi-koleksi unik.

    Faedah lain termasuk jemputan eksklusif bagi menyaksikan prebiu model AMG baharu dan juga tempat duduk istimewa untuk acara sukan bermotor, selain dari barangan dan pakaian edisi terhad. Ahli AOCM turut akan dijemput untuk menyertai acara Mercedes-Benz Driving Experience di mana mereka boleh menggunakan jentera AMG mereka sendiri di dalam litar.

    Pemilik yang mendaftarkan kenderaan Mercedes-AMG mereka dan juga pemilik sedia ada yang mendaftar mulai sekarang hingga 30 November akan menerima pek selamat datang yang merangkumi kad ahli bernombor, pelekat kereta, baju polo dan juga pemberat kertas yang diukir dengan laser rekaan khas.

    “Ia membuatkan kami berbesar hati bagi mengalu-alukan pemilik-pemilik Mercedes-AMG bagi menyertai ‘Keluarga Terpantas Di Dunia’ menerusi AOCM, di mana kos keahlian tidak lebih dari pemilikan dan keseronokan kenderaan Mercedes-AMG anda. Kami tidak sabar untuk melayan peminat-peminat ini yang berminat dengan kereta-kereta yang paling berkuasa dan dinamik kami dengan pengalaman yang eksklusif hanya untuk mereka dalam masa yang sama kami berpegang kepada pemanduan berprestasi AMG yang ideal dalam segala yang kami lakukan,” kata naib presiden jualan dan pemasaran MBM, Mark Raine.

    MBM turut mengumumkan promosi untuk pakej pembiayaan fleksibel untuk model-model AMG mereka – berberapa pelanggan terawal yang mengaktifkan Performance Agility Care akan menerima pek barangan eksklusif Mercedes-AMG yang berharga RM5,000. Kempen ini akan berakhir pada 31 Oktober 2018 nanti.

     
     
  • Shell Helix kini dengan label kod QR baru, bantu pengguna kenal pasti produk tulen dari yang tiruan

    Shell Helix kini dengan label kod QR baru, bantu pengguna kenal pasti produk tulen dari yang tiruan

    Untuk memudahkan pengguna mengenal pasti barisan produk minyak pelincir tulen daripada versi tiruan keluarannya, Shell Malaysia Trading Sdn Bhd hari ini memperkenalkan label baru “Untuk Pasaran Malaysia” baru bagi produk-produk Shell Helix tulen yang rasmi yang hanya dijual untuk pasaran tempatan sahaja, sesuai dengan keperluan pengguna di sini.

    Label “Untuk Pasaran Malaysia” baru akan ditampilkan pada lima produk Shell Helix terlaris seperti berikut; Shell Helix Ultra 5W 40 (4L), Shell Helix HX7 10W 40 (4L), Shell Helix HX7 5W 30 (4L), Shell Helix HX5 10W 30 (3L), Shell Helix HX5 15W 40 (4L). Kelima-lima produk Shell Helix berkenaan kini diadun dan dipakejkan di Kilang Campuran Minyak Pelincir Shell di Port Dickson, Negeri Sembilan.

    Label baru di hadapan botol kini boleh diumpil bagi mendedahkan kod QR unik bagi tujuan pengesahan ketulenan produk dengan segera. Sementara itu, label di belakang pula menampilkan maklumat dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.

    Shell Helix kini dengan label kod QR baru, bantu pengguna kenal pasti produk tulen dari yang tiruan

    Kod QR ini juga membolehkan pendaftaran mudah bagi program ganjaran Shell Advantage Rewards (SHARE) yang memberikan pelbagai ganjaran kepada pelanggan termasuklah bonus pendaftaran, Jaminan Enjin Shell Helix (SHEW) serta produk Shell Helix percuma (tertakluk kepada terma dan syarat). 

    “Kewujudan produk palsu dan tidak sah di pasaran menjejaskan keyakinan pelanggan dan membawa kesan negatif kepada perniagaan rakan niaga kami. Keputusan untuk memulakan pengeluaran tempatan bagi produk rasmi Shell Helix tulen yang dikhususkan untuk pasaran Malaysia dan membolehkan pengecaman produk tersebut dengan jelas melalui label ‘Untuk Pasaran Malaysia’ baru adalah langkah yang penting untuk menangani isu ini,” ujar Pengarah Urusan Shell Malaysia, Shairan Huzani Husain.

    Pengenalan produk Shell Helix dengan label “Untuk Pasaran Malaysia” masih berterusan dan dijangka diselesaikan menjelang Januari 2019. Dalam tempoh peralihan ini, produk rasmi Shell Helix tulen dengan label lama masih berada dalam pasaran dan boleh disahkan ketulenannya menerusi kod produk yang unik pada label.

    Shell Helix kini dengan label kod QR baru, bantu pengguna kenal pasti produk tulen dari yang tiruan

    Minyak enjin rasmi Shell Helix yang tulen bagi pasaran Malaysia boleh dibeli dari bengkel berjenama Shell Helix, bengkel terpilih yang berurusan dengan pengedar Shell yang berdaftar serta cawangan stesen runcit Shell serta portal-portal jualan atas talian.

    Majlis pengenalan rasmi berkenaan disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Yang Berhormat Dato’ Saifuddin Nasution bin Ismail. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Yang Berbahagia Dato’ Basaruddin Sadali.

     
     
  • MazdaSports Academy bakal anjur program Advance Driving khas buat pemilik CX-5 pada 13-14 Okt ini

    MazdaSports Academy bakal anjur program Advance Driving khas buat pemilik CX-5 pada 13-14 Okt ini

    Bermaz Motor telah mengumumkan bakal menganjurkan program pengalaman pemilikan ‘Advance Driving’ pada 13 hingga 14 Oktober ini di MAEPS Serdang.

    Acara berkenaan adalah sebahagian inisiatif MazdaSports Academy, dan mensasarkan pemilik CX-5 untuk mengambil bahagian, sekali gus berpeluang merasai sendiri pengalaman mengikut filosofi Mazda, Jinba-Ittai. Dengan program ‘Advance Driving’, peserta bakal mempelajari cara terbaik bagi posisi pemanduan dan dapat mempertingkatkan keupayaan pemanduan mereka menerusi kursus praktikal dinamik.

    Program ini terhad untuk 30 pemilik CX-5 setiap hari, dan bagi yang berminat untuk menyertainya, bolehlah mendaftarkan diri di laman Facebook rasmi Mazda.

     
     
  • Maserati Levante S 2019 tiba di Malaysia – RM788,800

    Maserati Levante S 2019 tiba di Malaysia – RM788,800

    Maserati melalui pengedarnya di Malaysia iaitu Naza Italia telah membawa model Levante S yang diperbaharui untuk pasaran Malaysia, dan ia boleh didapati sama ada dalam trim GranSport atau GranLusso. Antara pembaharuan utama pada model ini adalah penukar gear yang direka semula dengan pergerakan yang lebih pendek dan operasi lebih baik.

    Dengan penukar gear baru ini, Maserati mendakwa bahagian panel tengah yang turut menempatkan pemilih mod dapat dijadikan lebih mesra pengguna. Tiada lagi butang M di situ, dan diganti dengan butang mod Off-Road. Ini juga memberikan ruang untuk meletakkan dua butang berasingan bagi mod Sport dan tetapan suspensi Skyhook. Mod pemanduan yang disediakan pada SUV ini adalah Off-Road, I.C.E (Increased Control & Efficiency) dan Sport.

    Sistem infotainmen model 2019 ini juga telah diusik sedikit, dengan grafik yang dipertingkat, serta fungsi kawalan pendingin hawa yang lebih mesra pengguna. Pada skrin itu, butang yang menutup fungsi Start-Stop dapat ditarik dan diletakkan di bawah supaya lebih senang. Bumbung panoramik yang boleh dibuka datang secara standard melalui model yang ditawarkan oleh Naza Italia ini.

    Maserati Levante S 2019 tiba di Malaysia – RM788,800

    Bagi model yang menggunakan trim GranSport, ia mendapat bampar depan dan belakang baru yang menghampiri bentuk seperti pada Levante GTS dan Trofeo. Kemudiannya, ia menggunakan rim Helion 21 inci, kemasan dalam “High Gloss Metal Weave”, kemasan hitam Black Piano, lencana GranSport pada fender hadapan dan angkup brek warna merah.

    Pergi kepada trim GranLusso yang lebih mewah, ia mendapat jalur krom pada gril serta skid plate depan dan belakang, spoiler belakang yang diwarnakan sama dengan keseluruhan badan, angkup brek warna perak dan lencana GranLusso pada fender.

    Varian GranLusso ini juga didatangkan dengan pilihan kemasan dalam kulit Itali premium penuh, Pieno Fiore atau sutera dari Ermenegildo Zegna. Turut diberi adalah tempat duduk larasan kuasa 12 arah dengan memori, sistem bunyi Bowers and Wilkins, plet tepi pintu bercahaya, pengesan jarak, sistem navigasi dan pintu yang tertutup secara lembut.

    Bahagian enjin masih tidak disentuh, bermakna Levante S ini dikuasakan oleh enjin V6 3.0 liter twin turbo yang dikeluarkan oleh Ferrari, dengan kuasa 430 hp dan 580 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan ZF, dan membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat dan laju maksimum 264 km/j.

    Pembeli juga boleh memilih 11 warna untuk Levante S 2019 ini, termasuk warna baru Blu Nobile dengan serbuk manik berkilat. Pakej Nerissimo yang baru diperkenalkan pula menggabungkan elemen gelap (gril hadapan, skid plate dan cermin sisi) dengan lampu belakang serta muncung ekzos yang juga gelap.

    Maserati Levante S 2019 dijual dengan harga bermula RM788,800 dan didatangkan sekali dengan jaminan selama tiga tahun tanpa sebarang had batuan dan ditambah dengan pakej Maserati Premium Service Plus selama tiga tahun atau 60,000 km.

     
     
  • Proton X70 mula dipertontonkan di seluruh Malaysia

    Proton X70 mula dipertontonkan di seluruh Malaysia

    Proton kian menyemarakkan lagi debaran di kalangan rakyat Malaysia yang ternanti-nantikan kedatangan SUV pertamanya, Proton X70, yang sedang mengira detik untuk dilancarkan secara rasmi. Maka, pada 19 hingga 23 September lalu, Proton telah mengadakan majlis pra-tonton secara eksklusif di Petaling Jaya bagi pelanggan terpilih untuk melihat sendiri X70. Para pelanggan, barisan pengurusan dari syarikat terkemuka serta pembeli korporat yang berpotensi telah dijemput untuk melihat reka bentuk dalaman dan luaran SUV tersebut.

    “Sejak tempahan dibuka pada 8 September lalu, kami telah menerima sambutan yang memberangsangkan dari para pelanggan. Proton X70 meletakkan paras yang baharu untuk Proton dengan reka bentuknya yang moden dan terkini, justeru, kami menganjurkan beberapa siri pra-tonton sebagai peluang kepada pelanggan melihat dengan lebih dekat bagi memahami tahap kejuruteraan dan merasai sendiri bahan-bahan premium yang kami gunakan dalam SUV ini. Sudah tentu Proton berasa teruja dengan model baharu ini dan kami berharap, selepas sesi pra-tonton ini, pelanggan turut berkongsi perasaan yang sama,” ujar Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

    Selepas ini, Proton bakal mengadakan sesi yang sama di tujuh bandar utama di Malaysia yang akan berlangsung sehingga 4 November ini. Sesi ini telah bermula di bahagian tengah, diikuti Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching, Kuantan, Ipoh dan Kota Kinabalu.

    Proton X70 mula dipertontonkan di seluruh Malaysia

    “Kami mensasarkan hampir 6,000 pembeli berpotensi melalui sesi pra-tonton ini dan sementara mereka ini hanya sebahagian kecil daripada pembeli berpotensi yang kami sasarkan, pra-tonton ini turut memberi peluang kepada mereka untuk melihat model X70 ini agar mereka dapat membuat keputusan. Tempat adalah terhad, jadi kepada mereka yang ingin turut serta, kunjungi cawangan PROTON yang terdekat dan menghubungi pasukan jualan di sana,” tambah Rashid.

    X70 bakal ditawarkan dengan empat varian iaitu model asas Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD. Kesemua varian ini bakal dijana enjin dan transmisi yang sama iaitu enjin petrol empat silinder 1.8 liter TGDI turbo berkuasa 181 hp dan tork maksima 285 Nm digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan automatik. Enjin ini diambil terus dari asas X70 iaitu Geely Boyue dan ia perlu diselenggara menggunakan minyak pelincir dari Shell.

    Seperti yang tercatat pada varian, X70 ditawarkan dengan sistem pacuan hadapan dan juga versi dengan sistem pacuan semua roda. Menurut spesifikasi untuk Boyue pasaran China, model TGDI pacuan hadapan dengan berat 1,690 kg adalah 7.8 liter untuk perjalanan 100 km (12.8 km/l).

    Proton X70 mula dipertontonkan di seluruh Malaysia

    Pada bahagian hadapan, gril asal Boyue digantikan dengan gril Proton yang dihasilkan dari inspirasikan dari busur panah dengan kemasan krom, manakala rekaan bahagian tengahnya digelar infinite weave yang diambil dari elemen ukiran kayu pada rumah-rumah tradisi melayu.

    Perincian luaran lain yang turut ditampilkan pada model ini pengenalan X70 ini termasuk sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin (bersama penderia sentuhan aktif pada pembuka pintu hadapan), cermin sisi lipatan elektrik, lampu hdapan LED projektor dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, rim aloi 18-inci bersama tayar Hankook Dynapro HP2 bersaiz 225/60R18 serta lampu belakang LED dengan kemasan lensa gelap. Kesemua unit lampu utama hadapan dan belakang diberikan cetakan ‘PROTON’ pada bahagian dalam.

    Masuk ke kabin, hampir keseluruhan rupa adalah seiras dengan Boyue facelift. Model Premium menerima balutan kulit Nappa berwarna perang pada tempat duduk dan panel dalaman pintu, manakala model Exec dan standard diberikan kulit sintetik berwana hitam. Roda stereng turut menerima balutan kulit untuk semua varian, bersama penghawa dingin automatik dua zon, sistem infotaimen dengan skrin sesentuh 8-inci beresolusi 1,920×720 piksel dan hubungan 4G, dan juga lampu hadapan serta pengelap cermin automatik.

    X70 turut menerima keseluruhan teknologi dari Boyue. Kelengkapan lain yang turut diberikan termasuk kamera 360-darjah yang memaparkan halangan persekitaran kereta dalam bentuk 3D, dan juga kamera pandangan hadapan diletakkan pada bahagian atas cermin hadapan yang dihubungkan kepada sistem bantuan pemanduan, terdiri dari sistem brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan dan cruise control adaptif.

    Ia juga dibekalkan dengan ciri “Kawalan Jauh Telefon Pintar” dan “Penyegar Udara Pintar” – dinyatakan menerusi perkataan sistem “Air Cleaner” yang terletak di bahagian atas liang pengahawa dingin belakang. Sistem pemantauan angin tayar turut diberikan.

    Seperti mana yang telah diuar-uarkan sebelum ini, X70 telah pun mula dibuka tempahannya sejak 8 Septermber lalu. Walau bagaimana pun, Proton masih mengunci mulut tentang tarikh pelancaran dan harga yang bakal ditetapkan buat SUV pertamanya ini. Kena nantikan perkembangan selanjutnya.

    GALERI: Foto rasmi Proton X70

     
     
  • Groupe PSA mendedahkan rancangan untuk mengelektrifikasi semua modelnya mulai 2019

    Groupe PSA mendedahkan rancangan untuk mengelektrifikasi semua modelnya mulai 2019

    Bermula tahun 2019, setiap model baharu di bawah Groupe PSA akan ditawarkan varian plug-in hybrid atau elektrik sepenuhnya. Ini bermakna, setiap model yang dijual oleh Peugeot, Citroen, DS, Vauxhall dan Open akan menerima model elektrifikasi sebagai sebahagian daripada langkah syarikat untuk menghasilkan mobiliti yang bersih. Model elektrifikasi ini sekurang-kurangnya memiliki emisi kurang daripada 49 g/kg bagi CO2.

    “Hari ini, Groupe PSA mahu memperluaskan lagi barisan penjana kuasa elektrifikasi baharu. Dengan teknologi sedia ada sebahagian dalam peralihan tenaga, hasil daripada pelbagai-tenaga yang ditawarkan. Wala apa jua model yang mereka mahu, pelanggan boleh membelinya sama ada dalam versi pembakaran dalaman, elektrik atau pun hibrid,” ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat terbabit.

    Dua platform akan digunakan untuk ini, iaitu dengan senibina Common Modular Platform (CMP) dan Efficient Model Platform (EMP2). PSA berkata ini boleh digunakan untuk semua penjana kuasa, sama ada pembakaran dalaman, elektrik mahu pun hibrid. Malah syarikat ini turut mensasarkan 100% elektrifikasi bagi barisan kesemua lima jenamanya menjelang 2025.

    Groupe PSA mendedahkan rancangan untuk mengelektrifikasi semua modelnya mulai 2019

    Kumpulan ini akan mengeluarkan 15 model kenderaan elektrifikasi dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan lapan model baharu plug-in hybrid termasuk DS 7 Crossback E-Tence 4×4, Peugeot 3008, 508, dan 508 SW, Citroën C5 Aircross, Vauxhall Grandland X dan Opel Grandland X. Manakala tujuh lagi model elektrik-sepenuhnya termasuk DS 3 Crossback E-Tense.

    Bagi sistem plug-in hybrid, seperti yang dipamerkan menerusi model konsep C5 Aircross Hybrid, yang menampilkan enjin petrol Turbo High Pressure 180 hp yang digandingkan dengan model elektrik dengan kuasa 80 kW (107 hp). Dengan jumlah output keseluruhan mencecah 225 hp dan 337 Nm, dengan kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik elektrik lapan-kelajuan e-EAT8.

    Malah ia mampu memberikan pacuan sehingga 50 km dalam kuasa elektrik penuh dan kombinasi penggunaan bahan api sekitar 2.0 liter per 100 km. Pengecasannya dengan bateri lithium-ion 13.2 kWh, 200 voltan menggunakan penyambung Type 2 yang mengambil masa antara empat ke lapan jam menerusi soket 14 A domestik Eropah, tetapi hanya dua jam untuk pengecasan penuh dengan menggunakan pengecas AC tiga-fasa 32 A. Dijangkakan larasan yang lebih kurang sama bagi PHEV untuk Peugeot 3008 dan 508.

     
     
  • VIDEO: Bartosz Ostałowski – Drifter professional Poland tanpa tangan dengan Nissan Skyline R34 V8

    Jika anda suka kereta, anda tentu biasa tonton video on-board sebuah kereta drift bukan? Drift bukan satu sukan yang mudah di mana kedua-dua tangan dan kaki anda perlu ‘hidup’ persis seorang pemain dram bagi menggerak segala kawalan dalam kokpit, misalnya stereng, tombol gear dan brek tangan, manakala kaki kadang kala perlu menekan pedal pendikit dan brek serentak untuk memindahkan beban kehadapan, atau melakukan aksi heel and toe ketika menurunkan gear dengan agresif.

    Namun, dengan setiap anggota badan yang lengkap, bukan syarat untuk seseorang itu boleh menjadi seorang drifter yang baik. Ini dibuktikan Bartosz Ostalowski dari Poland yang tidak mempunyai kedua-dua belah tangan – beliau bukan sekadar drifter ‘suka-suka’ yang bertanding pada perlumbaan kecil-kecilan tempatan, sebaliknya sudah berada pada tahap profesional dan kini menyertai pelbagai kejohanan Drift seperti Kejuaraan Drift Poland, Kejuaraan Drift Eropah dan juga Liga Drift Eropah!

    Ostalowski dilahirkan sempurna, tetapi nasib malang menimpanya apabila dia hilang kedua-dua belah tangan dalam satu kemalangan motosikal ketika berumur 20 tahun. Namun atas minat yang sangat mendalam dalam sukan drift, dia sentiasa mencari jalan agar dapat beraksi walaupun hanya menggunakan kedua-dua belah kaki sahaja.

    VIDEO: Bartosz Ostałowski – Drifter professional Poland tanpa tangan dengan Nissan Skyline R34 V8

    Sebuah Nissan Skyline R34 dipilih oleh Ostalowski untuk beraksi. Tiada lagi bunyi enjin enam-silinder dari siri RB keluar dari R34 tersebut sebaliknya ia menghasilkan ngauman ganas sebuah American Muscle selepas digantikan dengan enjin V8 LS3 dari General Motors. Enjin berkenaan dipertingkatkan lagi dengan kit bagi menjadikan sesarannya kini 7.0 liter, menjana sejumlah 600 hp.

    Bagi mengalirkan kuasa ke gandar belakang, kereta ini dilengkapi dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF, diambil dari kereta mewah Rolls Royce Ghost. Kotak gear tersebut bukan sahaja membolehkan ia menerima tujahan sehingga 1,000 Nm, tetapi sistem kawalan elektroniknya yang direka khas oleh Turbo Lamik adalah kunci untuk Ostalowski beraksi dengan lebih lancar.

    Menerusi sistem tersebut, kotak gear ZF berkenaan boleh dioperasikan secara manual, di mana pedal penukar gear diletakkan pada sebelah kanan pemandu bagi membolehkan Ostalowski menaikkan atau menurunkan gear dengan menggunakan bahu. Kawalan elektronik tersebut turut membolehkan tork diputuskan sementara ketika pemandunya menggunakan brek tangan – yang diubahsuai bagi membolehkan Ostalowski ‘menarik’ brek tersebut dengan menekan pedal yang terletak di sebelah kanan pedal pendikit.

    Menurut Ostalowski, kereta ini akan sentiasa ditingkat taraf seiring dengan pembangunan kemahiran memandunya. Selepas ini, pasukannya akan cuba untuk menghasilkan sistem yang akan beroperasi seolah-olah pemandunya sedang melakukan aksi ‘clucth kick‘ dengan hanya menekan butang, dan memikirkan cara bagaimana untuk membolehkan Osta?owski melakukan aksi yang menyamai teknik left foot braking.

    “Ini merupakan [drift] minat saya yang sangat besar dan saya sangat sukakannya. Saya sentiasa ternanti-nanti sesi-sesi latihan dan pertandingan saya yang seterusnya. Saya perlu sentiasa menjadi lebih baik,” kata Ostalowski pada akhir video oleh Hoonigan ini, menggambarkan betapa cintanya dia terhadap sukan drift tersebut.

    Kita di Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Anda kenal Pak Busu? Pak Busu adalah seorang drifter dan juga mekanik OKU dari Melaka yang sentiasa mewarnai pertandingan-pertandingan drift di Malaysia, beraksi dengan Toyota Corolla KE70 dijana enjin 2.0 liter turbo SR20DET dari Nissan Silvia yang diubahsuainya sendiri.

     
     
  • HLYM lancar program Kesedaran Persediaan Penunggang (KPP) – pembeli diberi buku keselamatan

    HLYM lancar program Kesedaran Persediaan Penunggang (KPP) – pembeli diberi buku keselamatan

    Sebagai tambahan kepada kempen keselamatan jalan raya lain yang telah diadakan, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd telah melancarkan satu lagi program yang dinamakan sebagai “Kesedaran Persediaan Penunggangan (KPP) untuk orang ramai.

    Program yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) dan Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA) ini bertujuan meningkatkan lagi kesedaran orang ramai terhadap kepentingan aspek keselamatan atas jalan raya.

    Melaluinya, setiap pembeli motosikal Yamaha di wakil pengedar mereka akan menerima satu buku panduan yang disediakan sendiri oleh HLYM dan JKJR. Selain daripada itu, video khas yang dibuat juga akan dipasang di kedai pengedar dan taklimat pendek akan diberi semasa serahan motosikal.

    HLYM lancar program Kesedaran Persediaan Penunggang (KPP) – pembeli diberi buku keselamatan

    “Berdasarkan pemerhatian, kami mendapati banyak pemilik motosikal baru masih kurang sedar dengan keperluan keselamatan asas apabila berada atas jalan raya. Kami harap dengan adanya program ini, kami dapat mendidik mereka dengan informasi yang betul supaya dapat menjadi contoh yang baik kepada pengguna jalan raya yang lain,” kata pengarah urusan HLYM, Datuk Jim Khor.

    Antara pengisian yang terdapat dalam buku tersebut adalah tentang peralatan keselamatan ketika menunggang, pemeriksaan sebelum menunggang, diagnosis awal motosikal, undang-undang jalan raya keselamatan yang berkaitan serta tips menunggang ketika hujan.

     
     
  • Kejuaraan Toyota Velocity raikan komuniti permainan video di Malaysia, tawar hadiah sehingga RM60k

    Kejuaraan Toyota Velocity raikan komuniti permainan video di Malaysia, tawar hadiah sehingga RM60k

    UMW Toyota Motor (UMWT) buat pertama kalinya menganjurkan Kejuaran Esports Toyota Velocity bagi meraikan komuniti permainan video di Malaysia serta menyokong sukan era baru di negara ini. Seramai kira-kira 400 peserta telah mengambil bahagian di dalam acara yang berlangsung di Blue Atrium, Sunway Pyramid hujung minggu lalu.

    Acara ini turut menjadi lanjutan atau cerminan kepada aktiviti-aktiviti sukan permotoran sebenar di bawah Toyota Gazoo Racing untuk dibawakan kepada khalayak umum, disamping memberi peluang kepada mereka untuk merasai sendiri keseronokan perlumbaan.

    Kejuaraan Esports Toyota Velocity ini menyaksikan para peserta menggunakan jentera lumba ikonik Toyota iaitu Toyota GR Supra Racing Concept. Dilengkapi dengan mesin simulator Playstation Gran Turismo Sports, kesemua peserta berlumba di atas Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun, dengan suasana perlumbaan 3D dan persekitaran yang realistik.

    Setelah berlumba selama dua hari, 10 orang peserta terbaik perlu bersaing di pusingan akhir yang berlangsung pada hari Ahad, untuk merebut trofi kejuaraan dan hadiah wang tunai. Tiga
    pemenang teratas akan membawa pulang RM20,000, RM10,000 dan RM5,000.

    Sementara itu, hadiah saguhati RM2,000 pula diberikan kepada tujuh peserta akhir yang terlibat. Keseluruhannya, sejumlah RM60,000 hadiah wang tunai ditawarkan untuk kejuaraan ini. Barisan selebriti yang terlibat di dalam perlumbaan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing (TGR) juga turut sama memeriahkan suasana pada acara berkenaan.

    Senarai pemenang bagi penganjuran sulung Kejuaraan Esports Toyota Velocity 2018 yang berjaya menduduki 10 tangga teratas mengikut turutan adalah seperti berikut: Muhammad Uzair S Abdul Nasir Khan (Juara), Mior Muhammad Hafiz Mior Lahmudin, Aiman Haziq Aidi, Muhammad Shahril Nindar, Mohammad Afif Suhaimi, Ayman Aqeem Abas, Lay Xi Quan, Kei Iskandar Hisham, Amir Haziq Amiruddin dan Muhammad Khirur Azhan.

     
     
  • Honda Malaysia maklumkan penggantian inflator beg udara Takata bagi kenderaannya kini 84% selesai

    Honda Malaysia maklumkan penggantian inflator beg udara Takata bagi kenderaannya kini 84% selesai

    Berikutan kenyataan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkaitan tindakan senarai hitam bagi mereka yang kenderaanya terlibat dengan panggilan semula inflator beg udara Takata tetapi masih berdegil untuk berbuat demikian, Honda Malaysia sekali lagi menggesa pemilik yang terlibat untuk tampil segera.

    Setakat 20 September 2018, Honda Malaysia memaklumkan sejumlah 236,800 unit inflator beg udara pemandu telah ditukar, dengan peratusan jumlah penganntian yang telah diselesaikan kini pada tahap 90%. Jika mengambil kira sekali gantian infolator beg udara sebelah penumpang depan, angka berkenaan sudah melebihi 496,400 atau 84% selesai.

    Kesediaan stok ketika ini pula bagi inflator kedua-dua belah pemandu dan penumpang ialah 100% bagi semua model terlibat. Sama seperti yang dimaklumkan sebelum ini, semua kos akan ditanggung oleh Honda Malaysia dan penggantian hanya akan mengambil masa yang singkat sahaja.

    Honda Malaysia maklumkan penggantian inflator beg udara Takata bagi kenderaannya kini 84% selesai

    Honda juga memaklumkan sejumlah 94 pusat servis bertauliah jenama itu di seluruh negara sentiasa bersedia untuk melayan servis berkaitan panggilan semula ini. Pemilik dinasihatkan untuk membuat temujanjin terlebih dahulu di cawangan yang berdekatan. Selain itu, hab bergerak juga disediakan bertempat di lokasi-lokasi pusat beli belah dan stesen Petronas terpilih. Bagi khidmat bergerak ini, temujanji tidak diperlukan.

    Honda Malaysia juga ada melakukan khidmat dari pintu ke pintu di beberapa kawasan terpilih. Ia dijalankan oleh petugas-petugas dengan seragam khas dengan surat pengesahan. Ini termasuk bagi unit-unit import yang bukan dijual atau diedarkan oleh Honda Malaysia, semuanya turut tertakluk kepada aktiviti ini. Selain itu, pemilik-pemilik kenderaan Honda juga digalakkan untuk mendaftar kenderaan mereka di pusat pengedar Honda supaya setiap maklumat yang ingin disampaikan dapat diterima dengan cepat.

    Pemilik boleh memeriksa status kenderaan mereka melalui laman web www.productrecall.honda.com.my atau www.honda.com.my. Mereka boleh juga menghubungi talian bebas tol Honda Malaysia 1800-88-2020 atau berkunjung ke mana-mana pengedar sah Honda.

     
     
  • Siri plat nombor UA dibuka bidaan sehingga 1 Okt ini

    Siri plat nombor UA dibuka bidaan sehingga 1 Okt ini

    Satu lagi siri plat nombor telah diperkenalkan, UA. Bidaan untuk nombor UA 1 hingga UA 9999 kini telah dibuka sehingga 1 Oktober ini, dan keputusannya dijadualkan akan diumumkan pada 8 Oktober. Plat nombor UA hanya boleh didaftarkan di cawangan JPJ Wangsa Maju sahaja.

    Walau bagaimana pun sekretariat pengurusan tidak meyatakan makna di sebalik UA, atau organisasi yang menguruskan bidaannya. Tetapi draf bank perlu dibuat ke “IM4U Plat”, di mana mungkin ia adalah organisasi yang sama dengan nombor siri khas IM4U, yang pernah diperkenalkan pada tahun 2013. IM4U bermaksud ‘Belia 1Malaysia’.

    Tetapi bukankah kerajaan Pakatan Harapan telah mewartakan bahawa tiada lagi plat nombor istimewa yang dikendalikan oleh organisasi persendirian? Pada Mei lalu, menteri pengangkutan Anthony Loke berkata, amalan ini telah pun berakhir. Beliau menjelaskan, NGO yang mengeluarkan plat terbabit hanya membayar RM1 juta kepada JPJ, sedangkan kutipan hasil bidaan adalah sangat tinggi, dijangka sekitar RM20 juta.

    Siri plat nombor UA dibuka bidaan sehingga 1 Okt ini

    Malah Kementerian Pengangkutan juga telah memperkenalkan siri plat nombor khas baru-baru ini, “Malaysia” yang berjaya mengutip keuntungan sebanyak lebih RM13 juta.

    Malah pada Jun lalu juga, kementerian yang sama mengumumkan akan mengeluarkan siri nombor plat khas bagi setiap negeri, contohnya SELANGOR, KEDAH, PERAK dan lain-lain. Ia akan dikendalikan oleh JPJ negeri masing-masing. Pada mulanya, ia dicadangkan akan diperkenalkan pada September atau Oktober ini.

    Antara siri nombor plat khas yang diperkenalkan sebelum ini ialah Q,FB,G1G-G999G, T1M, NBOS, G, Y, V, NAM, UUU, YA, KEN, XX, UU, SAM, K1M, PERFECT, RIMAU dan beberapa lagi.

     
     
  • Proton berjaya, bukan kegagalan – Tun Mahathir

    Proton berjaya, bukan kegagalan – Tun Mahathir

    Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamed menolak cadangan bahawa Proton adalah kegagalan, sebaliknya pembuat automotif nasional berkenaan telahpun mencapai pelbagai kejayaan, menurut laporan Bernama.

    Perkara ini disebut oleh Dr Mahathir pada sesi pertemuan dan dialog bersama hampir 200 rakyat Malaysia di London, Ahad lalu apabila isu berkenaan kereta nasional dibangkitkan. Menurutnya, pada satu masa di bawah pengurusan yang baik, syarikat kereta nasional itu mampu mengumpulkan RM4 bilion dalam rizab, yang dapat membina loji di Tanjung Malim dengan wang sendiri tanpa meminta bantuan kerajaan dan pinjaman bank.

    Dr Mahathir turut menyatakan bahawa Proton telah berjaya sehingga ia memutuskan untuk membenarkan kereta asing masuk ke Malaysia tanpa batasan tetapi sebaliknya Malaysia tidak boleh menjual kereta di negara asing kerana mereka mengenakan syarat ke atas kereta Malaysia.

    “Ia semua mengenai mengimport kereta mereka tetapi bukan mengeksport kereta kita. Dan sudah pasti jika anda tidak eksport kereta, anda tidak mendapat pertukaran asing. Jika anda terus membeli kereta asing maka anda akan kehilangan banyak wang setiap tahun,” katanya.

    Isu cadangan kereta nasional ketiga turut disentuh dalam pertemuan yang sama, di mana Perdana Menteri menjelaskan kerajaan akan meminta sektor swasta untuk melaksanakannya kerana kerajaan tidak mempunyai modal untuk membiayai projek itu.

    “Kemudian anda akan mengembangkan vendor, mewujudkan perniagaan menghasilkan alat kerana terdapat banyak bahagian (kereta) yang akan menawarkan pekerjaan untuk rakyat dan membuka peluang kepada perniagaan kecil-kecilan, ” tambahnya.

     
     
  • Peugeot 308 facelift bakal tiba di M’sia – RM130k

    Peugeot 308 facelift bakal tiba di M’sia – RM130k

    Peugeot 308 facelift telah didedahkan sejak tahun 2017, dan hatchbacke sgmen-C yang diperbaharui ini dijangka akan tiba ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. Baru-baru ini, brosur mengenainya telah pun terpapar di media sosial, termasuk perincian spesifikasi dan harganya sekali.

    Ditawarkan dengan enjin 1.6 liter pengecas turbo empat-silinder petrol yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 165 hp dan tork 240 Nm, unit THP kini mampu memberikan lebih 15 hp berbanding 308 THP (150 hp) yang masih berada di pasaran. Penjana kuasa ini masih dipadankan dengan transmisi automatik torque-converter sumber-Aisin enam-kelajuan.

    Secara ringkasnya, peningkatan visual bagi facelift ini termasuklah bonet baharu yang menempatkan logo singa sedikit sedikit bawah pada bahagian tengah dengan gril yang kini hadir dengan kemasan krom. Berdasarkan brosur, kita akan mendapat 308 dalam kemasan GT yang menampilkan bampar hadapan lebih agresif seperti mana yang dilihat pada 308 Sedan di China.

    Kelihatan pada apron bawah, garisan yang berasal dari “notch” dalam lampu utama LED (dengan lampu nyalaan siang LED) yang melunjurkan ke bawah hingga ke gerbang roda – sekaligus merangka elemen lampu kabus serta corong yang lebih luas.

    Peugeot 308 facelift bakal tiba di M’sia – RM130k

    Bagi bahagian belakang pula, pencahayaan signitur tiga ‘cakaran’ bagi lampu belakang kelihatan lebih menyerlah dan penutup tempat minyak kini berbentuk petak berbanding bulat. Sebagai sebahagian daripada pakej kemasan, dwi ekzos kemasan krom turut ditampilkan, dan turut digandingkan dengan roda aloi ‘Black Sapphire’ 18-inci. Perubahan dalam kabin pula agak minimal, termasuk tuil gear baharu yang diambil dari model 3008.

    Lain-lain elemen termasuklah sistem infotainmen skrin sesentuh 9.7-inci yang kini didatangkan dengan sokongan bagi screen mirroring telefon pintar menerusi MirrorLink bersama sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem ini juga akan disambungkan pasa pakej audio 3D Arkamys Sound Staging bersama enam-pembesar suara.

    Selain itu, ia turut menampilkan upholstery semi-kulit Mistral bagi tempat duduk semi-bucket, roda stereng sport balutan kulit, kawalan suhu dwi-zone, brek parkir elektronik, kemasukan tanpa kunci, pakej keselamatan termasuk enam beg udara, ESP, DSC, ABS, bantuan mendaki bukit, kawalan cengkaman dan bantuan brek elektronik. Walau bagaimana pun, tidak dinyatakan tentang kawalan kelajuan adaptif atau brek parkir sendiri.

    Bagi harganya pula, 308 baharu ini ditawarkan dengan RM129,888 (atas jalan) tanpa insurans, tetapi jika mahukan warna badan Ultimate Red atau Pearl White, tambahan kos sebanyak RM1,500 bakal dikenakan. Memandangkan 308 tidak disebut dalam senarai harga SST Peugeot, kami menjangkakan model ini akan dilancarkan tidak lama lagi. Nantikan perkembangan selanjutnya kelak.

    GALERI: Peugeot 308 facelift

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025