Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • SPYSHOT: Kia Sportage facelift dijumpai di Korea

    SPYSHOT: Kia Sportage facelift dijumpai di Korea

    Kia Sportage generasi keempat bakal diberikan facelift, dan unit ujiannya telah ditemui di Korea Selatan baru-baru ini. Gambar yang diperolehi daripada Motorgraph ini menunjukkan SUV tersebut berhenti sebentar untuk mengisi minyak, seterusnya dapat diambil gambar secara dekat.

    Walaupun usaha keras dilakukan untuk melindungi rupa baru Sportage ini, kita masih boleh melihat lampu hadapan bentuk baru, yang kini mempunyai empat bintik DRL seperti Forte dan Ceed baru. Gril ‘tiger nose‘ dan bahagian bawah bampar juga seperti diberi sentuhan baru, dengan bukaan yang lebih besar dan lampu kabus baru.

    SPYSHOT: Kia Sportage facelift dijumpai di Korea

    Pada bahagian belakang, terdapat lampu LED baru, dan berdasarkan apa yang terdedah di sebalik kain pelindung itu, bamparnya juga mungkin adalah baru. Tiada gambar bahagian dalam yang diberi, tapi anda boleh menjangka trim serta bahan kemasan yang diperbaharui, bersama sistem informasi, hiburan serta kelengkapan yang terkini.

    Sama juga untuk enjin. Ia mungkin diperbaharui dengan pilihan yang termasuk enjin petrol NA dan turbo, dengan kapasiti 1.6, 2.0 dan 2.4 liter, manakala enjin diesel turbo pula terdiri daripada unit 1.7 dan 2.0 liter. Semua enjin ini bakal dipadankan bersama transmisi manual enam kelajuan, automatik enam kelajuan dan automatik klac berkembar tujuh kelajuan.

     
     
  • Kymco iONEX dipertonton buat kali pertama di Jepun

    Kymco iONEX dipertonton buat kali pertama di Jepun

    Dalam masa tiga tahun lagi, Kymco meletakkan sasaran untuk melancarkan 10 model elektrik, dan ini dimulakan dengan pengenalan iONEX semasa Tokyo Motorcycle Show di Jepun. Skuter elektrik ini masih belum dilancarkan untuk jualan, tapi diperkenalkan dengan bentuk yang lengkap berserta sistem sokongannya.

    Daripada aspek rupa, iONEX mempunyai penampilan seperti model Vespa moden, dengan lampu hadapan bulat, badan yang kompak serta panel meter digital. Kebanyakan bahagian badan ini menggunakan warna putih, sementara di beberapa bahagian terdapat kemasan warna biru.

    Perincian teknikal lengkap iONEX tidak diberitahu, tetapi ia didakwa mampu menghilangkan kerisauan yang ada pada motosikal elektrik sebelum ini. Antara keistimewaan iONEX adalah ia dilengkapi dengan dua bateri mudah alih yang terletak di bahagian pelantar kaki, dan satu bateri utama yang berada sepanjang masa di motosikal.

    Dua bateri yang terletak di pelantar kaki tersebut dibina dengan bentuk yang mudah untuk dipegang oleh pengguna, dan ia boleh dicabut untuk dicas. Walaupun dua bateri itu sedang dicas, pemilik masih boleh menggunakan iONEX kerana ia boleh dikuasakan oleh bateri utama. Bateri utama tersebut akan sentiasa dipastikan berada dalam tahap penuh dengan mengambil cas daripada bateri mudah alih.

    Jika itu masih tidak mencukupi, pengguna juga boleh menyewa bateri satu lagi bateri tambahan, dan ia boleh diletakkan di bawah tempat duduk. Dengan semua bateri ini, Kymco mendakwa, iONEX boleh memberi jarak pergerakan sehingga 200 km.

    Bukan setakat motosikal itu sahaja, Kymco turut menunjukkan sistem sokongan untuk skuter elektrik ini, iaitu mesin mengecas bateri seperti mesin vendor, di mana pengguna iONEX boleh meninggalkan bateri mereka untuk dicas,. Selain daripada itu, pengguna juga mempunyai pilihan untuk mengecas bateri di rumah atau di kedai tertentu yang menyediakan hidmat mengecas.

     
     
  • Staf Porsche terima bonus sehingga lebih RM46k seorang atas prestasi jualan yang baik pada 2017

    Staf Porsche terima bonus sehingga lebih RM46k seorang atas prestasi jualan yang baik pada 2017

    Sebagai membalas jasa kakitangannya yang bertungkus lumus sepanjang 2017 dan mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan tahun lalu, pengeluar kereta sport dari Jerman, Porsche, bersetuju untuk membayar bonus sehingga 9,300 euro seorang (sekitar RM45k).

    Bayaran tersebut termasuk 700 euro (RM3.4k) yang disalurkan terus kepada skim pencen Porsche VarioRente atau skim-skim pencen lain yang disertai oleh setiap pekerja berkenaan. Tidak cukup dengan itu, setiap pekerja juga menerima bonus khas bernilai 356 euro (RM1.7k) sempena ulangtahun ke-70 syarikat tersebut, sejak ia menghasilkan kereta sport pertamanya, Porsche 356 pada tahun 1948.

    Jadi, secara keseluruhan, seorang pekerja mampu untuk menerima jumlah bonus sehingga 9,300 euro seorang. Bonus ini akan diterima oleh 23,000 orang pekerja, dan ia dibayar berdasarkan jumlah jam bekerja masing-masing, serta tempoh perkhidmatan mereka dalam syarikat tersebut.

    Sepanjang tahun kewangan 2017, Porsche berjaya menghantar sejumlah 246,000 unit kenderaan kepada pelanggannya, meningkat empat peratus dari tahun sebelumnya. Dengan itu, pendapatan syarikat dicatatkan mencapai 23.5 bilion euro atau meningkat sehingga lima peratus.

    Sehingga akhir 2017, pekerja syarikat tersebut turut meningkat sehingga lapan peratus kepada 29,777 orang. Sepanjang tahun lalu, kesemua mereka menumpukan perhatian kepada berberapa produk seperti 911 GT3, GT2 RS, Panamera Sport Turismo dan Cayenne.

    “Kejayaan Porsche pada tahun 2017 adalah kerjasama berpasukan,” kata pengerusi lembaga eksekutif Porsche AG, Oliver Blume. “Kami bangga dengan komitmen yang baik dan minat kesemua rakan sekerja. Di Porsche, kami fokus terhadap kakitangan,” tambahnya lagi.

     
     
  • Minyak hitam tiruan, kitar semula diedar berleluasa – murah tetapi beri kesan buruk kepada enjin kenderaan

    Minyak hitam tiruan, kitar semula diedar berleluasa – murah tetapi beri kesan buruk kepada enjin kenderaan

    Jika kita mampu untuk membeli kenderaan yang harganya puluhan ribu ringgit (atau lebih), mengapa bila perlu menukar minyak enjin, akan dipilih yang murah dan bukannya yang asli? Atau, kalau betul-betul tak mampu untun menyelenggara kenderaan sebaiknya – kerana kosnya agak tinggi – ramai antara kita yang sebetulnya tidak mampu pun untuk memiliki kenderaan?

    Disebabkan kelompok seperti inilah agaknya sindiket yang menjual minyak enjin terpakai atau tiruan boleh terus “bernyawa”. Seperti dilaporkan oleh akhbar Harian Metro hari ini, gejala itu didapati sangat berleluasa terutamanya di Lembah Klang.

    Menurut laporan berkenaan, minyak enjin yang dikitar semula ini kemudiannya dipakejkan semula menggunakan jenama terkenal terkenal dan dijual pada harga 50% lebih murah berbanding produk tulennya. Produk-produk tipu seperti ini boleh didapati dengan mudah dibengkel-bengkel kereta, motosikal dan lori.

    Minyak hitam tiruan, kitar semula diedar berleluasa – murah tetapi beri kesan buruk kepada enjin kenderaan

    Sindiket berkenaan membeli minyak hitam terpakai dari bengkel-bengkel yang menyediakan tong tadahan (tong dram) hasil daripada minyak terpakai yang ditukar oleh pelanggan pada harga RM40-RM50 satu tong. Ia kemudiannya di tapis berkali-kali dan melalui tindak balas kimia untuk mendapatkan warna yang jernih semula.

    Dan, bengkel-bengkel yang terlibat menjual produk tipu ini tahu tentang perkara ini. Tetapi, disebabkan pengguna hanya mahukan produk yang harganya murah tanpa mempertimbangkan kesan jangka panjang terhadap kereta mereka, maka penjual hanya menutup sebelah mata dan tetap menjualnya kerana ada permintaan.

    Perkara ini bukanlah sekadar cakap-cakap kosong dan bukan juga sesuatu yang baru. Ia kembali mendapat perhatian selepas pihak KPDNKK membuat sebuan ke tiga premis di ibu negara dan merampas sebanyak 517 botol minyak enjin empat liter yang menggunakan pakej jenama antarabangsa.

    Minyak hitam tiruan, kitar semula diedar berleluasa – murah tetapi beri kesan buruk kepada enjin kenderaan

    Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNKK, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, selain minyak hitam, turut dirampas adalah 34 unit minyak gear dan 22 unit minyak brek tiruan. Operasi berkenaan adalah sebagai tindak balas terhadap aduan pemilik jenama berkenaan yang mengesan aktiviti penjualan minyak tiruan menggunakan jenama mereka.

    “Bertindak atas aduan itu, KPDNKK Kuala Lumpur mewujudkan tiga pasukan bagi membuat pemeriksaan di tiga premis terletak di Taman Segar, Taman Daya dan Taman Melati bersama wakil jenama minyak itu di negara ini,” jelas beliau memetik laporan yang sama.

    Hal-hal seperti ini tidak akan berlaku sekiranya pengguna bertindak dan berfikir dengan bijak. Penyelenggaraan kenderaan – termasuk minyak enjin dan alat ganti yang lain – dari produk aslinya menjamin ketahanan dan kelangsungan kenderaan agar sentiasa berada dalam keadaan yang baik bagi tempoh waktu yang lama.

    Jadilah pengguna yang bijak. Hantar kenderaan untuk diservis ke bengkel-bengkel yang bertauliah. Dan, paling penting, produk-produk atau alat ganti tiruan atau kitar semula tidak sepatutnya dipertimbangkan langsung untuk digunakan pada kenderaan anda.

     
     
  • Volkswagen Polo R Supercar – jentera 570 hp untuk pertahan gelaran juara FIA Rallycross Dunia 2018

    Volkswagen Polo R Supercar – jentera 570 hp untuk pertahan gelaran juara FIA Rallycross Dunia 2018

    Selain dari jentera Polo GTI R5 yang akan bertanding dalam kategori WRC2 pada kejohanan rali dunia (WRC), Volkswagen turut terlibat dalam satu lagi kejuaraan rali iaitu FIA World Rallycross Championship. Tahun ini pasukan jenama tersebut masih lagi dikendali oleh PSRX Volkswagen Sweden iaitu pasukan milik juara WRC 2003, Petter Solberg (turut berlumba dalam kejuaraan ini), dengan jentera baharu Volkswagen Polo R Supercar.

    Buat pertama kali juga, pasukan berkenaan mendapat sokongan terus dari divisi rasmi Volkswagen R, dan jentera Polo R tersebut masih lagi akan dipandu oleh juara bertahan, Johan Kristofferson. Namun, berbeza dengan Polo GTI R5 yang telahpun menggunakan kerangka asas Polo Mk6, jentera Rallycross ini masih lagi dibina dari Polo tiga-pintu generasi kelima.

    Tetapi, grafik yang membentuk lampu hadapan belakang palsu kereta ini telah direka semula bagi menampakkan ia seolah-olah Polo model generasi keenam. Menurut VW lagi, perubahan paling besar dilakukan terhadap jentera berkenaan adalah pada bahagian hadapan, dengan liang kemasukan udara direka semula bagi mendapatkan aerodinamik lebih baik, seterusnya membuatkannya lebih efisien.

    Volkswagen Polo R Supercar – jentera 570 hp untuk pertahan gelaran juara FIA Rallycross Dunia 2018

    Elemen aerodinamik turut diperbaharui pada bahagian belakang dengan pemadanan spoiler baharu. Sayap tersebut bukan sahaja memberikan downforce yang lebih baik, malah sudutnya boleh ditala dengan lebih bebas bagi memperincikan karekter yang dimahukan oleh pemandu.

    Volkswagen Polo R Supercar ini dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbo yang mampu menghasilkan 570 hp. Menurut VW, enjin tersebut kini diberikan talaan yang lebih sesuai dengan disiplin Rallycross, di mana pelumba perlu bersaing dalam litar pendek, dengan lawan yang sentiasa mengasak antara satu sama lain dalam jarak yang sangat dekat.

    Dengan gandingan sistem pacuan semua roda, jentera ini mampu untuk memecut dari pegun hingga 60 bsj (97km/j) dalam masa hanya 1.9 saat, sementara kelajuan maksimanya pula sekitar 209 km/j.

    “Volkswagen R sentiasa melakar inspirasi dan minat dari perlumbaan bermotor,” kata Jost Capito, pengarah urusan Volkswagen R GmbH. “Sekarang kami akan membina kualiti tersebut secara aktif dengan kerjasama rapat bersama rakan kami di Volkswagen Motorsport dan pasukan PSRX. Kejuaraan Dunia FIA Rallycross ini akan menjadi sangat menarik dan kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan rakan-rakan kami.”

    Pengarah Volkswagen Motorsport, Sven Smeets pula berkata, “Tiada persoalan terhadapnya, musim baharu ini menjanjikan keterujaan. Pihak lawan akan melakukan semua yang mereka mampu untuk merampas gelaran kami. Sasaran kami tentunya untuk membekalkan Johan dan Petter dengan kereta yang baik, yang akan membolehkan mereka mencabar merebut gelaran kejuaraan dunia. Saya yakin yang kami akan mencapai kejayaan ini, dan dengan kerjasama baharu bersama Volkswagen R akan memberikan kami lebih kuasa.”

     
     
  • Subaru Forester 2019 – imej dalam majalah terbocor

    Subaru Forester 2019 – imej dalam majalah terbocor

    Subaru Forester 2019, iaitu model generasi kelima akan membuat penampilan pertama semasa pameran New York International Auto Show (NYIAS) hujung bulan ini. Walaubagaimanapun, sekarang ini susah untuk merahsiakan rupanya, dan ia telah bocor di internet.

    Gambar ini disiarkan oleh Allcarnews, dan nampaknya seperti datang daripada cetakan majalah yang di tengahnya mempunyai lipatan besar. Jadi, apa yang boleh dilihat adalah rupa hadapan dan belakangnya sahaja.

    Tidak banyak perbezaan rekaan yang boleh dilihat jika dibandingkan dengan Forester generasi keempat, tetapi model baru ini didapati ada menggunakan beberapa elemen daripada Viziv Future Concept, iaitu bamparnya lebih melengkung. Terdapat juga rekaan gril dan lampu baru, serta kemasan pada lengkuk tayar yang lebih kontras.

    Subaru Forester 2019 – imej dalam majalah terbocor

    Bahagian belakang masih lagi menggunakan lampu berbentuk C seperti Forester sekarang, tetapi keseluruhan unit tersebut kelihatan lebih kecil dan bentuknya nampak lebih dinamik. Di tengah terdapat jalur krom yang menyambungkan lampu kiri dan kanan.

    Tiada gambar bahagian dalam atau perincian teknikal yang boleh didapati, tetapi untuk enjin, kami menjangkakan tidak banyak perubahan dan masih dikuasakan oleh enjin empat silinder Boxer (termasuk hibrid), CVT dan sistem pacuan Symmetrical All Wheel Drive.

     
     
  • Nissan jadi jenama Jepun pertama lumba Formula E

    Nissan jadi jenama Jepun pertama lumba Formula E

    Musim kelima perlumbaan kereta elektrik FIA Formula E Championship akan berlangsung pada bulan Disember tahun ini, dan satu pasukan baru diumumkan menyertainya, iaitu Nissan. Ini juga sekaligus menjadikan Nissan sebagai jenama automotif pertama dari Jepun yang bertanding dalam perlumbaan tersebut.

    Semasa Geneva Motor Show yang berlangsung bulan lalu, Nissan telah memperkenalkan corak kenderaan yang akan digunakan semasa perlumbaan tersebut, tetapi jentera itu sendiri melihatkan rekaan yang agak agresif dan berlainan berbanding pasukan yang sedia ada.

    Perincian penuh berkenaan kereta tersebut belum disiarkan secara rasmi, kerana Nissan mahu menggunakan sebanyak masa yang mungkin untuk menyiapkan kenderaan mereka, dan perlumbaan juga hanya akan berlangsung pada hujung tahun.

    Nissan jadi jenama Jepun pertama lumba Formula E

    Demi pengurusan yang lebih cekap, Nissan bekerjasama dengan rakan kongsinya, Renault untuk menggunakan kepakaran serta pembangunan yang sudah sedia ada, sekaligus dapat meningkatkan lagi daya saingnya. Pengarah sukan permotoran global Nissan, Michael Carcamo turut menyatakan Nissan akan membawa pelbagai teknologi EV yang sudah diguna pada kenderaan biasa mereka ke litar pula.

    Selain ciri aerodinamik yang lebih menonjol, kenderaan lumba Formula E musim baru ini juga akan menampilkan penggunaan bateri serta pakej kuasa serba baru. Hentian untuk musim kelima ini termasuk New York, Paris, Berlin, Rome, Zurich dan Hong Kong.

     
     
  • Video kemalangan maut Volvo XC90 pemanduan sendiri milik Uber di Tempe, Arizona didedahkan

    Lagi perkembangan terkini kes kemalangan maut antara Volvo XC90 pemanduan sendiri yang melanggar pejalan kaki yang melintas jalan sambil mengusung basikal – pihak polis Tempe, Arizona telah mendedahkan video on-board ketika insiden tersebut berlaku.

    Dengan pendedahan video ini juga satu lagi persoalan timbul iaitu mengapa penderia pada kenderaan tersebut tidak dapat mengesan kehadiran pejalan kaki berkenaan.

    Dalam video di atas, dapat dilihat SUV Volvo berkenaan bergerak pada jalan yang gelap. Kaki mangsa, Elaine Herzberg yang berumur 49-tahun mula kelihatan pada 0:03 video tersebut dan kemalangan terjadi dua saat selepas itu.

    Pada rakaman dalam kabin pula mendedahkan pemandu sandaran kereta tersebut, Rafael Vasquez berumur 44-tahun melihat ke bawah berulang-ulang sekitar 10-saat sehingga berlakunya kemalangan berkenaan.

    Namun kenyataan yang dikeluarkan oleh ketua Polis Tempe, Sylvia Moir sebelum ini menyatakan, “ia sangat jelas sangat sukar untuk mengelakkan kemalangan ini dalam apa jua mod (pemanduan sendiri atau pemandu manusia) berdasarkan cara mangsa melintas jalan secara tiba-tiba dari kawasan gelap.”

    “Video ini sangat menggangu dan menyayat hati untuk ditonton, dan kami terus bersama dengan mereka yang menyayangi Elaine. Kereta kami masih ditahan, dan kami membantu pihak berkuasa tempatan, negeri dan persekutuan dalam apa cara sekalipun yang kami mampu,” kata jurucakap Uber dalam satu kenyataan. Uber telahpun menghentikan semua ujiannya terhadap kereta pemanduan sendiri berkenaan di seluruh Amerika Utara.

    Polis Tempe juga kini sedang bekerjasama dengan penyiasat dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional dan Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhrya Nasional (NHTSA) dalam menyiasat kejadian ini. Kes ini akan dibawa ke Pejabat Peguam Maricopa County setelah siasatan mengenainya selesai untuk membuat keputusan adakah kesalahan tersebut akan difailkan.

     
     
  • DHCV bakal perkenal tiga model baru Tata, mulakan program CKD untuk kukuhkan kedudukan di Malaysia

    DHCV bakal perkenal tiga model baru Tata, mulakan program CKD untuk kukuhkan kedudukan di Malaysia

    DRB-HICOM Commercial Vehicles Sdn. Bhd. (DHCV) selaku pengimport dan pengedar sah kenderaan perdagangan Tata Motor Limited di Malaysia akan merancakkan lagi operasi dan kehadirannya dalam pasaran tempatan. Antara yang sedang dirancang ialah pengenalan tiga model baru serta sebuah program pemasangan tempatan bagi jangka waktu sederhana.

    Menurut CEO Pengedaran Automotif, Pembuatan dan Kejuruteraan, DRB-HICOM Berhad, Abdul Harith Abdullah, dua daripada model yang dimaksudkan itu merupakan dari segmen kenderaan perdagangan, manakala sebuah lagi model ialah dalam segmen pikap kecil.

    “Tiga tahun terakhir ini merupakan proses pembelajaran bagi kami. Kini, kami yakin telah mempunyai barisan produk yang sesuai dari segi teknologi, harga mampu milik dan tahap ketahanan untuk benar-benar bersaing dalam kategori kenderaan komersial,” jelas beliau.

    DHCV bakal perkenal tiga model baru Tata, mulakan program CKD untuk kukuhkan kedudukan di Malaysia

    Ini juga dilihat sebagai kelangsungan jenama kenderaan Tata di Malaysia. Sejak memperkenalkannya pada 2015, DHCV telah berhasil menjual sebanyak 654 unit kenderaan perdagangan Tata yang terdiri daripada trak pikap, trak ringan dan prime mover.

    Tentang pikap kecil serba baru yang bakal diperkenalkan itu, CEO DHVC, Chin Tan Hee menyifatkan model berkenaan diyakini akan mendapat tempat sewajarnya di Malaysia. “Pikap kecil mewakili dua peratus daripada jumlah segmen pikap.

    “Matlamat kami adalah untuk menawarkan kepada pelanggan satu alternatif dan produk yang berdaya saing tinggi. Pikap kecil Tata Motors merupakan produk yang sangat berjaya, dan telah terbukti penerimaannya seperti yang dapat dilihat di jalanraya di negara serantau yang lain,” tambah beliau.

    DHCV bakal perkenal tiga model baru Tata, mulakan program CKD untuk kukuhkan kedudukan di Malaysia

    Dengan pengenalan pikap kecil itu nanti, DHVC menyasarkan penguasaan 10-15 peratus daripada segmen pikap kecil menjelang tahun 2022. Bagi tahun 2018, DHVC merancang untuk mencapai jumlah 150 unit trak tugas ringan (light-duty trucks) untuk meraih dua peratus daripada segmen yang dijangka mempunyai angka jualan tahunan sebanyak 7,500 unit.

    Bagi program pemasangan tempatan yang sedang direncanakan, ia akan dilakukan di dua kilang DRB-HICOM di Pekan, Pahang yang dikendalikan oleh HICOM Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn. Bhd dan akan dimulakan dalam masa terdekat.

    Tata Motors (yang juga memiliki Jaguar dan Land Rover) kini merupakan pengeluar kenderaan kesepuluh terbesar di dunia, dan pengeluar trak keempat terbesar serta pembuat bas kedua terbesar di dunia.

     
     
  • Mercedes-AMG C43 4Matic Coupe C205 dan C43 4Matic Cabriolet A205 facelift – pelbagai peningkatan

    Mercedes-AMG C43 4Matic Coupe C205 dan C43 4Matic Cabriolet A205 <em>facelift</em> – pelbagai peningkatan

    Pendedahan Mercedes-Benz C-Class Coupe C205 dan C-Class Cabriolet A205 facelift turut menyaksikan ketibaan versi Mercedes-AMG untuk kedua-dua model iaitu C 43 4Matic Coupe dan C 43 4Matic Cabriolet.

    Model baru ini melihatkan pelbagai peningkatan, kebanyakannya sama seperti Mercedes-AMG C 43 4Matic sedan facelift yang ditunjukkan awal bulan ini. Perubahan di luar termasuk bahagian hadapan baru, dengan elemen yang lebih segar termasuk gril radiator AMG warna perak iridium matt, serta lampu utama LED seperti pada model standard.

    Turut disertakan adalah side skirt dan rim aloi AMG baru, manakala bahagian belakang mendapat diffuser baru serta spoiler yang diwarnakan sama dengan badan. Turut diperbaharui adalah muncung ekzos yang kini mempunyai rekaan dua muncung di setiap sudut.

    Pemilik juga boleh mendapatkan pakej pilihan penggayaan tambahan AMG yang memberikan splitter hadapan lebih agresif, spoiler lip, side skirt lebih lebar dan kemasan tambahan pada bampar belakang. Selain Night Package biasa, terdapat juga pakej Carbon Fibre yang memberi perumah cermin sisi serta spoiler gentian karbon.

    Masuk ke dalam, balutan kulit/Dinamica Artico dalam warna hitam dengan jahitan merah diberikan secara standard, bersama kemasan berwarna hitam berkilat dan aluminium bercorak garis melintang. Walaubagaimanapun, masih terdapat banyak lagi pilihan tambahan.

    Antara pilihan trim yang disediakan adalah kayu ash open-pore hitam/aluminium, aluminium (tepi pintu)/kayu ash open-pore hitam (konsol tengah), high-gloss dark-brown lime, kayu oak open-pore anthracite, walnut open-pore serta trim AMG gentian karbon/ aluminium dan gentian kaca perak/ aluminium. Untuk balutan tempat duduk dan kulit pintu pula, terdapat pilihan merah/hitam, kelabu magma/hitam, coklat/hitam dan porcelain/hitam.

    Mercedes-AMG C43 4Matic Coupe C205 dan C43 4Matic Cabriolet A205 <em>facelift</em> – pelbagai peningkatan

    Seperti yang boleh dilihat pada C-Class facelift lain, model ini juga kini menggunakan skrin panel instrumen digital penuh 12.3 inci resolusi 1920×720 pixel, dan tiga gaya paparan khas AMG disediakan untuk C 43 iaitu Classic, Sport dan SUpersport. Turut diberi adalah roda stereng AMG dengan butang Touch Control yang dibalut kulit nappa.

    Enjin V6 3.0 liter M276 pada kenderaan ini turut menerima penambahan kuasa, dengan kini mampu menghasilkan 385 hp pada 6,100 rpm, iaitu peningkatan sebanyak 23 hp berbanding model sebelum ini. Tork puncak pula masih kekal 520 Nm, tetapi boleh dinikmati pada tahap rpm yang lebih luas iaitu antara 2,500 hingga 5,000 rpm. Transmisi masih lagi unit AMG Speedshift TCT 9G sembilan kelajuan.

    Pada aspek prestasi, C 43 4Matic Coupe facelift boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat, manakala versi Cabriolet boleh melakukannya dalam masa 4.8 saat. Kelajuan maksimum pula dihadkan pada 250 km/j. Selain mod Comfort, Sport, Sport+ dan Individual, kereta ini turut ditambah dengan mod Slippery untuk kegunaan di atas jalan licin atau salji.

     
     
  • Kereta tanpa pemandu Uber bukan penyebab kemalangan maut – laporan sisatan awal polis

    Kereta tanpa pemandu Uber bukan penyebab kemalangan maut – laporan sisatan awal polis

    Lanjutan dari kes kemalangan maut yang membabitkan Volvo XC90 pemanduan sendiri milik Uber di Tempe, Arizona, Amerika Syarikat tempoh hari, pihak polis tempatan mengesahkan siasatan awal menunjukkan kereta berkenaan tidak bersalah dalam insiden tersebut.

    “Pemandu [sandaran] berkata ia seperti kilat, mangsa melintas jalan di hadapan mereka. Amaran pertama yang keluar untuk kemalangan tersebut ialah bunyi kemalangan itu sendiri,” kata Sylvia Moir, ketua polis Tempe dalam laporan San Francisco Chronicle. Ketika kemalangan itu berlaku, SUV tersebut bergerak dengan kelajuan 61 km/j (38 bsj) dalam kawasan 56 km/j (35 bsj).

    Menurut polis lagi, tiada percubaan untuk memperlahankan kenderaan oleh sistem pemanduan sendiri tersebut dan pemandu sandaran sebelum melanggar mangsa, Elaine Herzberg yang berumur 49-tahun. Berdasarkan bukti yang diambil dari video on-board kereta berkenaan, Moir berkata, “ia sangat jelas sangat sukar untuk mengelakkan kemalangan ini dalam apa jua mod (pemanduan sendiri atau pemandu manusia) berdasarkan cara mangsa melintas jalan secara tiba-tiba dari kawasan gelap.”

    Moir juga menambah, insiden ini juga berlaku 100-ela dari kawasan melintas, dan menyatakan, “sangat bahaya untuk melintas jalan pada waktu malam sedangkan kawasan melintas yang bercahaya telah disediakan.”

    “Saya mengesyaki bahawa Uber berkemungkinan tidak bersalah dalam kemalangan ini. Saya tidak menolak kemungkinan untuk memfailkan caj terhadap (pemandu sandaran) dalam kenderaan Uber tersebut,” kata Moir lagi dan menambah ini merupakan “lapangan baharu untuk diteroka” adakah kereta pemanduan sendiri tersebut boleh jatuhkan sebagai bersalah.

    Buat masa sekarang, polis Tempe akan berkerjasama dengan penyiasat dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional dan Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhrya Nasional (NHTSA) dalam menyiasat kejadian tersebut. Uber pula telah menghentikan ujian kereta tanpa pemandu berkenaan di Arizona, Pittsburgh, Toronto dan kawasan lain di seluruh Amerika Utara.

     
     
  • Pusat Ujian Pelepasan Karbon Nasional (NETC) yang pertama dibuka – Perodua tanggung kos, MAI kendali

    Pusat Ujian Pelepasan Karbon Nasional (NETC) yang pertama dibuka – Perodua tanggung kos, MAI kendali

    Selari dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab EEV serantau seperti yang terkandung di dalam Dasar Automotif Nasional 2014, Pusat Ujian Pelepasan Karbon Nasional (NETC) yang pertama seumpanya di negara ini dilancarkan secara rasmi hari ini.

    Bertempat di Serendah, Rawang, pembinaan pusat berkenaan menelan kos RM50 juta dan ia ditanggung sepenuhnya oleh Perodua. Sementara itu, Institut Automotif Malaysia (MAI) akan bertindak sebagai pengendali operasi untuk kemudahan ini dan ia terbuka untuk digunakan oleh mana-mana pengeluar sekali pun, baik yang berada di Malaysia mahupun rantau ASEAN.

    “Di Malaysia ketika ini terdapat 28 OEM yang boleh memanfaatkan NETC. Jika sebelum ini pengeluar kenderaan terpaksa melakukan ujian yang sama di luar negara, dengan kos sekitar RM30k-RM40k bagi satu unit kenderaan (belum mengambil kira kos logistik), dengan pengenalan NETC kos berkenaan juga boleh dijimatkan sebanyak 40%,” jelas CEO MAI, Datuk Madani Sahari.

    Pusat Ujian Pelepasan Karbon Nasional (NETC) yang pertama dibuka – Perodua tanggung kos, MAI kendali

    Bagi fasa pertama operasinya, NETC boleh menampung ujian pelepasan karbon bagi kenderaan penumpang sahaja, dengan piawaian enjin sehingga Euro 6 (tahap B dan C; bersamaan Euro 7 di sesetengah negara). Namun, dalam tempoh tiga tahun akan datang, ia akan mempunyai kelengkapan untuk menjalankan ujian yang sama terhadap motosikal dan juga kenderaan perdagangan.

    Dari segi kepasiti NETC, ia mampu untuk menjalankan ujian dalam tempoh tiga hari bagi sebuah kenderaan penumpang. Makmal di pusat ini dilengkapi antara lain dengan soak room, Emission Chassis Dynometer dengan bilik kawalan suhu serta bilik kawalan bagi menjalankan ujian untuk menepati Peraturan UN 83 dan 101.

    Bagi Perodua, ini merupakan komitmen syarikat itu untuk menyumbang dalam membantu Malaysia ke arah mengurangkan jejak karbon yang terhasil dari kenderaan; disasarkan menjelang tahun 2030 kadarnya dapat dikurangkan sehingga 45%. Sejak 2014, sejumlah kira-kira 405,000 unit kenderaan EEV telah terjual dalam pasaran tempatan, dengan 40% daripadanya merupakan model-model keluaran Perodua, bermula dengan pengenalan Axia.

    Pusat Ujian Pelepasan Karbon Nasional (NETC) yang pertama dibuka – Perodua tanggung kos, MAI kendali

    Bersekali dengan perasmian NETC yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri MITI, Datuk Seri Ahmad Maslan, MAI turut memperkenalkan Skim Pelabelan EEV; label khas dilekatkan pada kenderaan EEV yang diiktiraf untuk memudahkan pengguna mendapatkan perincian lanjut tentang data-data berkaitan kecekapan bahan apu dan pelepasan karbon melalui QR Code.

    Turut diadakan ialah sesi menandatangani MoU antara MAI dengan Jabatan Alam Sekitar untuk menjalinkan kerjasama bagi penambahbaikan amalan indsutri automotif berkaitan hal-hal dan dasar yang melibatkan alam sekitar.

    Sebuah lagi MoU pula dimetarai antara MAI dan UKM yang dilantik sebagai rakan usahasama dalam menjalankan kajian dalam bidang ekonomi, perakaunan, perniagaan serta perdagangan.

     
     
  • Nissan Terra mula di jual di China bermula 12 April ini

    Nissan Terra mula di jual di China bermula 12 April ini

    SUV berasaskan trak pikap Nissan Navara NP300 iaitu Nissan Terra bakal dilancarkan di China pada 12 April ini, menurut ZhengZhou Nissan Automobile. SUV tujuh-tempat duduk dengan kerangka ladder frame itu juga bakal di tawarkan di Thailand pada separuh kedua 2018, manakala pasaran Asia lain masih lagi dipertimbangkan.

    Untuk pasaran China, Terra bakal ditawarkan dengan enjin petrol NA 2.4 liter berkuasa 181 hp dan tork maksima 251 Nm, digandingkan bersama kotak gear enam-kelajuan manual atau tujuh-kelajuan automatik. Sistem pacuan empat roda pula tidak dibekalkan sebagai ciri standard, sebaliknya ditawarkan secara opsyen.

    Bagi Terra pasaran Thai pula, ia dijangka bakal dijana enjin yang sama dengan Navara iaitu untuk 2.5 liter turbodisel YD25DDTi berkuasa 163 PS/403 Nm. Berkemungkinan juga Terra akan diberikan pilihan enjin 2.3 liter twin-turbo diesel dari model-model pasaran barat.

    Dari segi kelengkapan pula, Terra menerima lampu hadapan LED dan rom aloi 18-inci, tetapi gambar yang disiar turut mendedahkan ciri-ciri lain. Ia termasuk sistem infotaimen dengan skrin sesentuh, penghawa dingin automatik dua-zon, sistem kunci pintar, cruise control, penderia parkir serta kemasan kayu palsu.

    Nissan Terra dilaporkan dihasilkan dengan dimensi 4,882 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,835 tinggi dan jarak roda 2,850 mm. Ini bermaksud berbanding Toyota Fortuner, SUV Nissan ini 87 mm lebih panjang dengan jarak roda 105 mm lebih jauh, tetapi 5 mm kurang lebar. Manakala untuk meredah laluan off-road, Terra dibina dengan kelegaan tanah 220 mm, bersama sudut approach 33 darjah dan sudut berlepas 26 darjah.

    Sehingga kini, tiada lagi pengumuman dari pengedar rasmi yang menyatakan sama ada Terra akan di bawa ke Malaysia atau tidak. Sekiranya model tersebut benar-benar tiba di pasaran tempatan, anda rasa ia adalah alternatif yang baik selain Fortuner atau Isuzu MU-X?

     
     
  • Harga minyak 22-28 Mac 2018 – semua naik 2 sen

    Harga minyak 22-28 Mac 2018 – semua naik 2 sen

    Dalam kesuraman petang yang dilihat makin mendung ini, harga runcit bagi bahan api petrol RON 95 dan RON 97 serta diesel dilaporkan naik, masing-masing sebanyak dua sen, bagi minggu bertarikh 22 hingga 28 Mac 2018. Ternyata tuah minggu bertarikh 15 hingga 21 Mac yang mengalami penurunan harga bagi ketiga-tiga bahan api berkenaan tidak dibawa ke minggu seterusnya.

    Bagi petrol, harga RON 95 akan menjadi RM2.20 seliter, manakala RM2.47 seliter untuk RON 97. Untuk diesel Euro 2 pula, menjadi RM2.18 seliter dan RM2.28 seliter bagi Euro 5.

    Harga runcit baharu tersebut berkuatkuasa pada 12 tengahmalam ini sehingga 28 Mac hadapan.

     
     
  • Mitsubishi Triton Barbarian SVP II untuk pasaran UK – model edisi terhad, hanya 250-unit, bermula RM164k

    Mitsubishi Triton Barbarian SVP II untuk pasaran UK – model edisi terhad, hanya 250-unit, bermula RM164k

    Mitsubishi Motors telah memperkenalkan trak pikap L200 (atau Trition di Malaysia) edisi terhad untuk pasaran UK dikenali sebagai L200 Barbarian SVP II. Ini merupakan model SVP kedua, lanjutan dari edisi pertama sebelum ini dan masih lagi hanya dihasilkan sebanyak 250-unit.

    Pada bahagian luar, Barbarian SVP II menerima serlahan elemen berwarna oren yang lebih menonjol dari Triton Athlete pasaran Malaysia. Ia juga dilihat lebih menyerlah dari SVP sebelum ini dimana hanya menampilkan serlahan berwarna hitam dengan warna badan Electric Blue Metallic dan Cosmos Black.

    Untuk model terbaharu ini, keseluruhan 250-unit berkenaan akan dibahagikan kepada dua – sebahagian akan diberikan warna Diamond Black, dan sebahagian lagi dengan warna Metallic Grey. Serlahan berwarna oren tersebut pula akan ditampilkan pada rim aloi 17-inci, gril dan lampu hadapan, kekemasan lampu belakang, perumah lampu kabus, pelapik belakang pembuka pintu dan rel bumbung.

    Bahagian dalaman juga menerima serlahan berwarna oren berkenaan, terutamanya pada tempat duduk dengan sebahagian kulit, benang jahitan dan jalur paip kemasan diberikan warna yang menonjol tersebut. Logo SVP juga ditempatkan pada kedua-dua perehat kepala tempat duduk hadapan, selain plak dan logo-logo lain yang turut diberikan pada kabin trak pikap ini.

    Manakala pada bahagian kargo pula, L200 SVP ini diberikan pencahayaan pada bed, pintu tailgate bantuan spring serta diberikan penyerap bagi bukaan yang lebih lembut.

    Namun sistem mekanikal trak pikap ini masih lagi tidak berubah dan ia masih dijana oleh enjin turbodiesel 2.4 liter berkuasa 177 hp bersama sistem pacuan empat roda Super Select 4WD.

    Pilihan transmisi enam kelajuan manual masih ditawarkan, manakala pembeli yang memilih kotak gear lima-kelajuan automatik turut akan diberikan pedal penukar gear pada stereng.

    Pada pasaran UK, model Special Vehicle Projects ini dijual pada harga bermula £29,830 atau RM164,149 mengikut kadar tukaran semasa.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025