Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Karamjit Singh kecewa dengan Proton, bakal guna Perodua Myvi 2.0L Turbo 4WD untuk rali tahun ini

    Karamjit Singh kecewa dengan Proton, bakal guna Perodua Myvi 2.0L Turbo 4WD untuk rali tahun ini

    Nama Karamjit Singh sudah sinonim dengan Proton – beliau telah mendominasi dunia rali di Malaysia sejak era 90’an serta merangkul enam kejuaraan pada peringkat Asia Pasifik dan juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) kategori Produksi pada tahun 2002, kesemuanya dengan memandu Proton.

    Namun menurutnya sejak pengurusan Proton bertukar tangan selepas perjanjian kerjasama strategik bersama Geely pada 2017, divisi perlumbaan Proton iaitu Proton R3 sudah tidak dapat peruntukan untuk perlumbaan rali. Kecewa dengan perkembangan tersebut, hari ini Karamjit mengumumkan beliau bakal memandu Perodua Myvi untuk Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) bermula musim tahun ini.

    Kali terakhir Karamjit memandu untuk pasukan Proton R3 adalah pada tahun 2015 dengan memandu Satria Neo pacuan roda hadapan. Dengan jentera berkenaan, Karamjit telah memenangi Kejuaraaan Rali Asia Pasifik (APRC) untuk kategori 2WD pada tahun 2011 dan 2012, serta merangkul gelaran juara 2WD dalam Kejohanan Rali Malaysia dari 2013 hingga 2015.

    Beliau menyatakan bahawa R3 sudahpun membina Proton Iriz 1.6 liter turbo untuknya pada 2016, namun sehingga kini jentera berkenaan terus direhatkan di fasiliti R3 di Shah Alam dan tidak digunakan untuk berlumba walaupun sudah siap sepenuhnya.

    Karamjit Singh kecewa dengan Proton, bakal guna Perodua Myvi 2.0L Turbo 4WD untuk rali tahun ini

    Karamjit kemudiannya membeli Proton Gen2 4WD Turbo yang digunakannya buat masa sekarang pada 2017, dan sudah menghabiskan kira-kira RM500,000 untuk merestorasi semula jentera berkenaan untuk berlumba di dalam dan luar negara. Proton Gen2 tersebut sebelum ini telah digunakan oleh Felda Rally Team yang membuat kemunculan pada tahun 2007, dipandu oleh Saladin Mazlan ketika itu.

    Ia menggunakan enjin 2.0L Turbo 4G63T dan juga sistem pacuan semua roda yang diambil dari Mitsubishi Lancer Evolution VI. Namun dengan usia yang sudah mencecah 15 tahun, kerangka Gen2 berkenaan sudah “penat” dan Karamjit perlu mencari jentera lain yng lebih kompetitif.

    Beliau sebelum ini sudah cuba beberapa kali untuk berbincang dengan Proton untuk membina jentera baharu yang lebih kompetitif, namun langsung tiada jawapan yang diberikan oleh Proton. Oleh itu untuk MNRC tahun ini, Karamjit bersama pasukannya Cisco Racing bercadang untuk membangunkan sendiri jentera rali baharunya, dengan mengambil Perodua Myvi generasi ketiga sebagai asas!

    “Saya sememangnya peminat Proton. Dari tahun 1988 sampai sekarang memang saya hanya memandu kereta Proton. Tapi sayangnya, kami tak dapat sokongan dari Proton. Dari tahun 2017 saya beli kereta ni (Gen2) saya dah belanja lebih dari RM500,000 wang sendiri. Sampai wang EPF saya pun semua sudah habis,” luah Karamjit ketika majlis penyampaian hadiah MNRC 2022 di Hotel Sama-Sama, Sepang pagi tadi.

    Tambahnya, pasukannya kini memang sedang mencari penajaan untuk membangunkan kereta baru, dan bos pasukan Cisco Racing sendiri menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk melupakan Proton dan beralih ke Perodua.

    “Saya pun memang sayang nak bertukar sebab saya memang peminat Proton. Tapi apa boleh buat, mereka tidak beri sokongan kepada kami, jadi terpaksa la kami bertukar jenama,” luahnya lagi.

    Karamjit turut mendedahkan bahawa rancangannya untuk memandu Proton Iriz R5 binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) dari United Kingdom sebelum ini menelan belanja yang terlalu tinggi dan tidak dapat direalisasikan.

    Beliau menjelaskan bahawa tawaran paling rendah yang diberikan oleh MEM kepadanya untuk Iriz R5 berkenaan adalah RM900,000, dan ia tanpa sebarang bekalan alat ganti. Bagi pakej lengkap jentera tersebut, kosnya mencecah RM1.5 juta hanya untuk perlumbaan dalam tempoh satu tahun. Dan sekiranya jentera berkenaan digunakan untuk berlumba di semua pusingan APRC, kosnya boleh mencecah sehingga RM4 juta.

    Karamjit Singh kecewa dengan Proton, bakal guna Perodua Myvi 2.0L Turbo 4WD untuk rali tahun ini

    Menurut bos pasukan Cisco Racing, Rabin Nijhar pula, spesifikasi untuk Myvi berkenaan masih belum dimuktamadkan. Namun pasukannya bercadang untuk menghasilkan sebuah Myvi generasi ketiga dengan enjin 2.0 liter turbo dan dilengkapi sistem pacuan semua roda, dengan spesifikasi yang hampir dengan AP4.

    Namun disebabkan sasaran awal Myvi ini hanya untuk perlumbaan dalam negara iaitu MNRC, ia bukanlah jentera AP4 sebenar yang menerima homologasi dari FIA. Rabin menjelaskan untuk perlumbaan luar negara seperti pusingan APRC di Indonesia, Cisco Racing mungkin akan menggunakan jentera Skoda dari luar bagi menjimatkan kos perbelanjaan seperti kos pengangkutan dan sebagainya.

    Karamjit kemudiannya mendedahkan kos pembangunan untuk Myvi baharunya nanti akan menelan belanja paling kurang RM500,000. Dari segi spesifikasi, Karamjit menyatakan Myvi berkenaan mungkin akan disumbat dengan enjin dan sistem pacuan semua roda dari jenama lain seperti Mitsubishi atau Toyota.

    Gambar hiasan.Perodua Myvi pasukan JV Motorsport

    Namun disebabkan Perodua mempunyai kaitan rapat dengan Toyota, Karamjit memberitahu Myvi ralinya nanti mungkin akan diberikan enjin dan sistem pacuan semua roda dari Toyota. Untuk rekod, buat masa sekarang unit rangkaian kuasa Toyota dengan enjin 2.0 liter dan AWD yang memang khas dibangunkan untuk rali ialah enjin 3S-GTE yang pernah digunakan pada Toyota Celica GT-Four dan Caldina GT-Four.

    Bagi jentera rali homologasi FIA tebaharu Toyota iaitu Toyota GR Yaris, ia kini sudah beralih ke enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo yang mampu menghasilkan kuasa sama seperti 2.0L turbo, bersama sistem pacuan semua roda GR-Four.

    Karamjit juga menjelaskan bahawa ini merupakan projek Cisco Racing sendiri, dan ia boleh disiapkan dalam masa sekitar tiga bulan, sempat sebelum bermulanya pusingan pertama MNRC 2023 pada bulan Jun nanti. Walau bagaimanapun, pihaknya bakal berjumpa dengan Perodua dalam masa terdekat untuk menunjukkan konsep rekaan kereta rali tersebut dan berharap turut bakal diberikan penajaan dari jenama kereta nasional kedua itu.

    Karamjit Singh kecewa dengan Proton, bakal guna Perodua Myvi 2.0L Turbo 4WD untuk rali tahun ini

    Jika projek ini berjaya kelak, ini sebenarnya bukan kali pertama Perodua muncul dalam arena rali negara. Pada era 90’an, Perodua telah menubuhkan pasukan rali Perodua Castrol Rally Team yang diketuai oleh lagenda Gary Chua. Pasukan berkenaan telah menghasilkan jentera-jentera seperti Kancil 4WD Turbo dan Kelisa 4WD Turbo yang dipandu Kan Chee Hong untuk bertarung dengan Karamjit yang ketika itu mewakili pasukan Proton PERT.

    Malah pada tahun 2006, Kelisa 4WD Kan Chee Hong telah digantikan dengan Perodua Myvi 4WD Turbo. Jentera tersebut diasaskan dari Myvi generasi pertama dan menerima enjin K3VET 1.3 liter turbo, kotak gear dog-box dan juga sistem pacuan semua roda dari Daihatsu Boon X4.

    Apa dah jadi dengan Proton R3? Bukan sahaja rali, malah pasukan berkenaan sudah tidak berlumba dalam Sepang 1000km (S1K) dan juga Malaysia Championship Series (MCS) sejak tahun 2020. Malah pelumba pasukan tersebut yang juga juara dua kali S1K dengan Proton Iriz iaitu Farique Hairuman turut membuat penampilan pertamanya dengan Perodua Myvi pasukan JV Motorsport dalam S1K tahun lalu.

    GALERI: Proton Gen2 4WD Turbo yang dipandu Karamjit Singh

     
     
  • Karamjit Singh disahkan juara Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) 2022 pada usia 60 tahun

    Karamjit Singh disahkan juara Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) 2022 pada usia 60 tahun

    Lagenda rali tanah air, Karamjit Singh disahkan sebagai juara keseluruhan musim pertama Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) yang diadakan tahun lalu. Beliau yang kini berusia 60 tahun ditabalkan sebagai juara kejohanan tersebut bersama juru arahnya, Jagdev Singh di satu majlis yang diadakan di Hotel Sama-Sama, Sepang hari ini.

    MNRC dirancang untuk diadakan sebanyak lima pusingan untuk musim 2022. Namun dengan pelbagai kekangan, ia hanya sempat dilangsungkan dengan satu pusingan iaitu di Maran pada 30 dan 31 Julai tahun lalu. Dalam pusingan berkenaan Karamjit berjaya bergelar juara keseluruhan dan kelas P12 dengan memandu Proton Gen2 4WD Turbo yang sudahpun berusia 15 tahun untuk pasukan Cisco Racing Team.

    Dia disaing rapat oleh seorang lagi pemandu rali berpengalaman negara iaitu Haji Sutan Mustafa Salihin yang memandu Subaru Impreza WRX STI, menamatkan perlumbaan tersebut di tempat kedua dengan hanya ketinggalan 58 saat di belakang. Manakala tempat ketiga untuk kelas P12 di menenangi oleh Mohd Shahbandi Bin Mohd Desa dengan memandu Subaru Impreza WRX GC8.

    “Perlumbaan rali telah menjadi minat saya selama lebih 35 tahun. Dalam tempoh berkenaan, saya sentiasa melakukan yang terbaik kearah mencapai kejayaan untuk negara dan pasukan saya. Sekarang pada umur 60 tahun, apabila orang bertanya bila saya akan bersara, dengan mudah saya mengatakan saya akan bersara apabila saya dah tak boleh menang,” kata Karamjit Singh.

    Karamjit Singh disahkan juara Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) 2022 pada usia 60 tahun

    “Kembali ke kereta rali dengan Karamjit pada 2022, selepas lama bercuti berjaya seperti dirancang. Kami menerima tekanan untuk menang dalam penampilan semula di Maran dan kami lakukan dengan margin yang menakjubkan,” kata Jagdev Singh.

    “Saya pertama kali berpasangan dengan Karam pada 1997 dan saya perlu katakan walaupun masa telah berlalu, dia masih mempunyai segalanya untuk bergelar juara, bukan hanya peringkat tempatan tetapi diperingkat antarabangsa. Walaupun umur gabungan kami sudah mencecah 116 tahun! Tahun ini, kami sasarkan untuk menggunakan segala kemahiran dan pengalaman dengan sasaran jelas untuk memenangi rali dan kejuaraan untuk pasukan dan negara,” tambah Jagdev lagi.

    Dalam majlis yang sama, trofi turut diserahkan kepada juara untuk kategori 2WD iaitu Muhammad Ikhsan Husni yang memandu Proton Satria 1.6 kelas P10, bersama juruarahnya Teh Yie Sing.

    MNRC akan diteruskan tahun ini untuk musim kedua dengan empat pusingan, dan pusingan pertama dirancang akan berlangsung di Selangor pada Jun 2023. Ia dijangka akan menarik penyertaan dari luar negara.

     
     
  • Perodua Axia 2023 D74A — perincian awal muncul; empat varian 1.0L, semua CVT, warna baru Coral Blue

    Perodua Axia 2023 D74A — perincian awal muncul; empat varian 1.0L, semua CVT, warna baru Coral Blue

    Sebuah akaun TikTok, @promosiprotonperodua telah memuat naik sebuah video yang memaparkan apa yang kelihatan seperti lembar dokumen berkaitan Perodua Axia 2023 D74A terbaru yang dijangka akan diperkenalkan tahun ini.

    Jadual dalam dokumen berkenaan menyenaraikan empat varian Axia D74A tersebut — 1000 G CVT, 1000 X CVT, 1000 SE CVT dan 1000 AV CVT. Semuanya ditandakan dengan CVT, yang mungkin saja mencadangkan bahawa Axia terbaru itu nanti tidak lagi akan ditawarkan dengan kotak gear manual — setidak-tidaknya ketika pelancarannya.

    Jadual kedua di bawah jadual varian pula memaparkan pilihan warna yang akan ditawarkan — Ivory White solid, Glittering Silver metalik, Granite Grey metalik, Lava Red metalik dan terakhir pilihan warna baru, Coral Blue metalik. Ini mungkin biru yang berbeza daripada warna terbaru yang ditawarkan untuk Myvi, dengan nama Electric Blue metalik.

    Perodua Axia 2023 D74A — perincian awal muncul; empat varian 1.0L, semua CVT, warna baru Coral Blue

    Perodua Axia 2019 ketika ini ditawarkan dalam enam varian, bermula dengan 1.0 E Manual pada harga RM23,367 hinggalah kepada Perodua Axia 1.0 AV AT pada harga RM41,427 — ini meliputi tanda harga yang agak luas juga. Adakah model baru Axia nanti akan akan dijual pada harga permulaan yang lebih tinggi? Itu kita perlu tunggu dan lihat nanti.

    Varian unik Axia ketika ini pula diwakili oleh 1.0 Style AT, yang hadir dengan penggayaan lasak dan tinggi daripada Axia biasa.

    Di Indonesia, model Toyota Agya dan Daihatsu Ayla merupakan saudara kepada Axia. Ada khabar angin mengatakan yang model di sana akan memanfaatkan juga enjin dengan turbocas, dengan jangkaan pelancarannya pada Mac 2023. Adakah Perodua juga akan memperkenalkan Axia turbo?

    @promosiprotonperodua Wow ada warna baru utk All New Axia 2023. Mesti laku keras la lepas ini. Harap harga setanding dengan spect yang ditawarkan. #Axia2023 #peroduaaxia #promosiperoduaterkini #promosiaxia #tipsbelikereta #panduanbelikereta #fyp #fypage #fyp??viral ? Goyang Dua Jari – Sandrina

     
     
  • NATS Toyota Alphard Super Dually – MPV mewah yang ‘disumpah’ menjadi trak pikap dipamerkan di TAS 2023

    NATS Toyota Alphard Super Dually – MPV mewah yang ‘disumpah’ menjadi trak pikap dipamerkan di TAS 2023

    Ingat lagi Toyota Alphard yang sedang diubahsuai oleh pelajar Nihon Automotive College (NATS) di Jepun untuk menjadi trak pikap dalam laporan kami pada September tahun lalu? Pikap gergasi yang digelar sebagai Toyota Alphard Super Dually tersebut kini sudahpun siap dan ia telah dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2023 yang bermula hari ini!

    Trak pikap ini sebenarnya diinspirasikan dari trak pikap low rider bersaiz penuh dari Amerika Syarikat seperti Ford F-350, dan sebab itulah ia diberi nama sebagai Alphard Super Dually.

    Untuk menghasilkannnya, pelajar-pelajar kolej berkenaan telah memotong badan Alphard tersebut bermula pada bahagian belakang pintu gelangsar, bagi memberikan ruang kabin yang masih luas, dan memberikan rupa seakan badan “crew cab” pada Ford F-350. Ini juga membolehkan sistem suspensi belakang jenis bebas pada Alphard berkenaan masih boleh digunakan.

    NATS Toyota Alphard Super Dually – MPV mewah yang ‘disumpah’ menjadi trak pikap dipamerkan di TAS 2023

    Badan MPV tersebut dipotong di atas sebuah jig, bagi memastikan bahagian belakangnya kekal tegak ketika disambung semula. Pelajar-pelajar NATS ini telah menghasilkan kerangka baharu bagi menjadikan ia sebahagian dari casis yang dipanjangkan.

    Pelajar-pelajar NATS berkenaan mengambil bed dari Toyota Hilux bagi menghasilkan bed belakang Alphard berkenaan. Manakala untuk cermin kabin belakang, ia diubah dari pintu hatch yang diambil dari Toyota Probox. Lantai bed berkenaan dihasilkan dari kayu, manakala tangki untuk sistem suspensi udara sengaja didedahkan tanpa sebarang penutup, dan dihiasi kapas yang nampak seperti kabus.

    Secara asasnya, Alphard memang lebih lebar dari Hilux. Jadi bed belakang tersebut turut diberikan fender belakang custom yang lebih lebar dan turut boleh memuatkan rim gergasi seakan rim berkembar pada trak pikap Dually Ford. Disebabkan tiada lagi rel untuk pintu belakang, pintu berkenaan tidak lagi dibuka secara gelangsar sebaliknya kini dibuka secara “suicide door”.

    NATS Toyota Alphard Super Dually – MPV mewah yang ‘disumpah’ menjadi trak pikap dipamerkan di TAS 2023

    Perincian lain yang turut diberikan bagi membolehkan ia nampak seperti trak Amerika sebenar, ia turut diberikan lampu penanda pada bumbung dan juga cermin sisi bersaiz besar. Badan Alphard Super Dually ini disudahkan dengan semburan warna biru.

    Dalam kabin, ia masih mengekalkan segala perincian asal Alphard termasuk papan pemuka, roda stereng, konsol terowong tengah, panel pintu, tempat duduk hadapan, malah tempat duduk kapten larasan berkuasa pada baris kedua juga masih ada.

    Namun ada beberapa bahagian pada Alphard Super Dually ini masih kelihatan seperti ‘tak siap’. Antaranya panel di bahagian tempat duduk belakang dan juga bahagian cermin suku depan yang diubah kepada panel besi kedua-duanya masih belum diberikan sebarang balutan atau panel pelindung, dan juga pada kawasan corong pengisian petrol pada bed belakang yang dipotong dan dikimpal dengan tidak kemas.

    Setiap kenderaan yang dibawa oleh pelajar NATS ke Tokyo Auto Salon ini merupakan projek akhir bagi mereka yang mengambil jurusan Customize di kolej berkenaan.

    Untuk pengetahuan anda, NATS mempunyai 750 orang pelajar yang menuntut dalam empat jenis kursus pada satu-satu masa. Secara asas, kesemua pelajar perlu mengambil Kursus Penyelenggaraan selama dua tahun bagi melayakkan mereka diiktiraf sebagai mekanik kelas 2 di Jepun.

    Kemudian, mereka boleh memilih untuk menyambung pengajian dalam tiga kursus berbeza iaitu Sukan Permotoran (setahun), Customize (setahun) atau Penyelidikan (dua tahun). Bagi projek jurusan Customize seperti Alphard Super Dually ini, ia dimulakan pada bulan Julai (kursus asas bermula bulan April dan berakhir pada Jun) dan mereka mempunyai masa selama setengah tahun sebelum TAS berlangsung pada Januari tahun berikutnya.

    Selepas dipamerkan di TAS, kenderaan ini akan menjalani ujian yang diselia oleh jabatan pengangkutan jalan negara berkenaan. Setelah diluluskan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya, pelajar-pelajar berkenaan perlu mengujinya pada jalan raya sebenar yang digelar “Test Run Caravan”. Lengkap kesemua proses ini, barulah mereka diiktiraf lulus dan boleh menamatkan pengajian di NATS.

     
     
  • Alpine Style Havana – Perodua Ativa dengan gaya SUV retro Amerika era 80’an, bermula RM134k di Jepun

    Alpine Style Havana – Perodua Ativa dengan gaya SUV retro Amerika era 80’an, bermula RM134k di Jepun

    Sekali tengok, memang ini sah sebuah SUV jenama dari Amerika Syarikat dari era 80’an. Tapi bila tengok sekali lagi terutama pada bahagian tiang-A, tiang-C, bumbung dan pintu, eh, ini macam Perodua Ativa!

    SUV yang anda lihat ini adalah Alpine Style Havana, dihasilkan oleh Alpine Style dari Jepun dan dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2023 hari ini. Ia sebenarnya diasaskan dari Toyota Raize/Daihatsu Rocky/Perodua Ativa/Subaru Rex dan diberikan perincian ala-SUV retro.

    Ia diberikan nama Havana kerana mengambil inspirasi dari kereta-kereta lama buatan Amerika Syarikat yang masih banyak di ibu nagara Cuba berkenaan. Kit yang dihasilkan oleh Alpine Style ini termasuk lampu hadapan, belakang dan gril petak, bampar hadapan dan belakang baharu serta banyak kemasan-kemasan yang direka semula dan disalut dengan krom.

    Alpine Style Havana – Perodua Ativa dengan gaya SUV retro Amerika era 80’an, bermula RM134k di Jepun

    Ia juga diberikan panel dengan kemasan seakan kayu merentangi pintu tailgate belakang bersama lencana Alpine Style dan Havana. Bagi melengkapkan rupanya, Havana disembur dengan warna dua-tona serta diberikan rim besi dengan penutup hub retro salutan krom bersama tayar A/T Toyo Open Country dengan tulisan putih.

    Pada bahagian kabin, SUV ini diberikan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh sembilan-inci bersama grafik khas dan emblem baru pada roda stereng. Pembeli juga ditawarkan dengan siri opsyen seperti monitor belakang bersaiz 10.1-inci, cermin pandang belakang digital dengan skrin 12.3-inci, upholsteri tempat duduk baru, karpet kaki dan sistem bunyi lebih baik.

    Alpine Style Havana ini dijual pada harga bermula 3.98 juta yen (RM133,654), termasuk harga kereta asasnya iaitu Toyota Raize yang pada asalnya dijual pada harga 2.338 juta yen (RM78,501) di bilik pameran untuk varian paling tinggi. Ia ditawarkan dalam tiga pilihan warna badan dua-tona dan lapan pilihan warna tona tunggal.

     
     
  • GWM Ora Good Cat dengan penarafan lima-bintang Euro NCAP menangi anugerah Best in Class 2022

    GWM Ora Good Cat dengan penarafan lima-bintang Euro NCAP menangi anugerah Best in Class 2022

    Program Penilaian Kereta Baharu (Euro NCAP) telah menobatkan Great Wall Motor (GWM) Ora Good Cat sebagai pemenang bagi kategori ‘Small Family Car’ dalam penganugerahan Best in Class 2022.

    Hatchback semua-elektrik ini merupakan produk pertama Ora di United Kingdom, yang dipasarkan sebagai Funky Cat. Di sini, ia dikenali sebagai Good Cat, dan kenderaan elektrik (EV) ini telah dilancarkan pada akhir November lalu dengan harga bermula RM139,800.

    Anugerah Best in Class anjuran Euro NCAP ini adalah bagi meraikan kereta yang menerima jumlah markah keseluruhan tertinggi berdasarkan keputusan bagi perlindungan penumpang dewasa, perlindungan penumpang kanak-kanak, perlindungan pengguna yang terdedah dan teknologi bantuan keselamatan.

    Good Cat telah diuji pada September tahun lalu dan menerima markah sebanyak 92% bagi perlindungan penumpang dewasa, 83% untuk perlindungan penumpang kanak-kanak, 74% dalam perlindungan pengguna yang terdedah dan 93% bagi teknologi bantuan keselamatan. Secara standard, Good Cat yang dijual di UK diberikan ciri kelengkapan termasuk kamera 360-darjah, kawalan kelajuan adaptof dengan fungsi pemusatan lorong, bantuan menukar lorong, pengesan titik buta, pengesan isyarat trafik, brek kecemasan serta kepekaan trafik lintasan belakang.

    Good Cat bukanlah satu-satunya model dari China yang memenangi anugerah, malah Wey Coffee 01 turut memenangi kategori ‘Large Off-Roader’. Lain-lain pemenang termasuk Hyundai Ioniq 6 bagi kategori ‘Large Family Car’, manakala Tesla memenangi dua anugerah menerusi Model S dan Model Y dengan masing-masing bagi kategori ‘Executive Car’ dan ‘Small Off-Roader’.

     
     
  • Mitsubishi Xpander bukan MPV biasa-biasa!

    Mitsubishi Xpander bukan MPV biasa-biasa!

    Kalau anda berkelapangan hujung minggu ini, 14-15 Januari 2023 nanti, berkunjunglah ke Dataran Karnival, Perkarangan Shah Alam, Selangor pukul 10 pagi hingga 6 petang untuk acara Mitsubishi Xpander Venture.

    Dalam acara ini, anda akan diberi peluang untuk menguji kemampuan seakan SUV pada Xpander berkenaan dengan menyediakan satu litar yang dipenuhi pelbagai halangan. Antara halangn tersebut adalah “Log and Roll” membolehkan anda rasai kestabilan dan keselesaan Xpander ini pada laluan tidak rata, serta “Side Traverse” iaitu laluan yang menunjukkan MPV tidak ada masalah untuk dipandu pada jalan senget dengan sudut condong yang tinggi.

    Laluan ini juga menyediakan halangan “Roller Conveyer” untuk menunjukkan keberkesanan sistem Traction Control ketika dipandu pada jalan licin. Manakala laluan “Devil’s Angle” memberikan anda peluang memandu Xpander ini meredah laluan sudut tinggi serta banjir, mendemonstrasikan kelegaan tanah 205 mm MPV berkenaan.

    Terdapat juga cabaran “Agility Challenge”, iaitu satu laluan berselekoh yang sangat sempit. Pada laluan ini anda dapat merasai manfaat radius pusingan 5.2 meter pada Xpander yang membolehkan ia kekal lincah dan mudah dikendali pada laluan sempit seperti kawasan bandar dan tempat parkir walaupun direka sebagai MPV keluarga.

    Jadi, jika berkelapangan Acara ini kemudiannya akan turut dibawa ke Toppen Mall Outdoor Carpark, Johor Bahru pada 4 hingga 5 Februari dan di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 4 hingga 5 Mac.

     
     
  • Ford Escort Mk2 Pandem “Emotion” Retro Havoc – hasil karya pertama dari M’sia ke Tokyo Auto Salon!

    Ford Escort Mk2 Pandem “Emotion” Retro Havoc – hasil karya pertama dari M’sia ke Tokyo Auto Salon!

    Ingat lagi Ford Escort Mk2 milik pengasas Retro Havoc, Alie Kuoppa yang kami umumkan pada 2020 dulu? Projek Ford Escort dengan kit badan asli Pandem Rocket Bunny tersebut sudah pun siap dan hari ini dengan bangganya ia telah dipamerkan di dewan Makuhari Messe di Tokyo, sempena acara ulung budaya automotif Jepun iaitu Tokyo Auto Salon 2023!

    Alie menamakan Ford Escort ini sebagai “Emotion” kerana pelbagai kesusahan membabitkan emosi ketika menyiapkan projek ini. Ia bermula dengan perbincangan dengan Hardcore Tokyo dan juga pengasas Pandem, Kei Miura pada awal tahun 2020 untuk menghasilkan sesuatu yang baru pada 2021.

    Hasil perbincangan tersebut Alie mengambil keputusan untuk memilih Ford Escort Mk2 sebagai asas projek. Ini kerana
    Alie sememangnya sangat meminati kereta rali jalan raya berkenaan dan pernah memilikinya sejak masih menuntut di universiti dulu. Namun, Escort Mk2 empat pintu tersebut telah dicuri pada tahun 2014. Selepas itu Alie membeli lagi sebuah Escort Mk2 dalam versi dua pintu yang sememangnya perlu direstorasi semula.

    Ford Escort Mk2 Pandem “Emotion” Retro Havoc – hasil karya pertama dari M’sia ke Tokyo Auto Salon!

    Idea Alie untuk menggunakan Ford Escort Mk2 dipersetujui oleh Kei Miura, dan projek koloborasi berkenaan pada asalnya dirancang untuk dibawa ke SEMA 2021 yang berlangsung di Las Vegas, USA. Ini kali kedua Miura menghasilkan kit badan lebar untuk Ford Escort Mk2, di mana Escort Mk2 pertama yang menerima sentuhannya adalah jentera milik mendiang Ken Block.

    Namun kit yang dihasilkan untuk Emotion ini adalah berbeza dari kit yang dibuat untuk Ken Block, dan ia merupakan yang pertama seumpamanya di dunia. Selepas kit tersebut dibuat oleh Miura di Jepun, ia terus dihantar ke Baling, Kedah untuk disudahkan.

    Pada peringkat awal, Alie bercadang untuk memnyumbat enjin Toyota V8 4.0 liter 1UZ-FE pada Escort tersebut, digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan yang diambil dari enjin RB25 Nissan. Enjin berkenaan dirancang untuk diletakkan di atas crossmember yang diambil dari Nissan Silvia S14, lengkap dengan sistem suspensi dan juga hab roda juga dari kereta sport Nissan tersebut.

    Manakala bagi menyalurkan kuasa ke roda belakang, sistem live axle asal Ford Escort berkenaan juga dirancang untuk digantikan dengan gandar dari Nissan Silvia yang menampilkan konfiguarsi suspensi gantungan jenis bebas yang lebih jitu.

    Walau bagaimanapun, projek berkenaan “tersadai” di tengah jalan atas sebab-sebab tertentu. Walaupun kecewa, Alie bertekad untuk meneruskannya dengan game plan yang baru. Projek berkenaan bermula semula dari peringkat awal sepenuhnya, termasuk menyingkirkan kerangka asal, dan Alie membeli sebuah lagi Ford Escort Mk2 bagi menyudahkan projek ini.

    Bagi episod baru ini, Alie melantik Shah Bandi dari Bandi Sprayworks bukan sahaja untuk menyiapkan proses restorasi badan, pemadanan kit badan Pandem dan juga kerja-kerja mengecat, malah turut bertindak sebagai pengurus bagi memantau keseluruhan projek ini sehingga siap.

    Ford Escort Mk2 Pandem “Emotion” Retro Havoc – hasil karya pertama dari M’sia ke Tokyo Auto Salon!

    Kereta ini disembur dengan warna merah jambu istimewa yang diadun oleh Aikka Paint. Ia kemudiannya diberikan pelekat-pelekat badan yang direka oleh Zokusha Stickers. Manakala badan yang kini lebih kembang dari standard menerima rim old-school yang jauh lebih lebar; Watanabe R Type 9.5j(-19) bersama tayar 205/50R15 dan Watanabe Gotti 11.5j(-44)) 15×11.5jj (-44) di belakang dengan tayar 245/45R15

    Alie juga menyingkirkan idea untuk menggunakan enjin V8, dan memilih enjin yang ‘lebih patut’ untuk Escort tersebut iaitu enjin Toyota 4A-GE 1.6 liter Twin Cam 16 injap yang diambil dari Toyota Corolla AE86.

    Enjin berkenaan menerima pelbagai tingkat taraf termasuk menggunakan aci sesondol HKS 256-264, sistem suntikan bahan api pelbagai titik asal ditukar kepada sistem throttle body individu SK-Sanyo untuk setiap silinder, menggunakan sistem pengurusan enjin Fueltech FT450 dan pemadanan header ekzos custom dari Tonkka. Semua kerja-kerja ini dibuat oleh AMN Motorsport, Kuala Lumpur.

    Ubahsuai berkenaan membolehkan enjin 4A-GE tersebut menghasilkan 140 hp dan tork maksima 161 Nm. Ia dialirkan ke kotak gear T50 lima-kelajuan manual, bersama LSD TRD dengan nisbah akhir 4.3 pada gandar belakang kesemuanya diambil dari AE86.

    Suspensi belakang Ford Escort ini juga telah diubahsuai sepenuhnya dari sistem live axle tradisional kepada sistem jenis 5 link ala-kereta rali, serta dipadankan dengan unit LSD pada gandar belakang. Dan bagi memastikan Ford Escort ini dapat ‘merayap’ seperti biawak, ia diberikan sistem suspensi udara Airdrop yang dibuat oleh SFS Garage.

    Bahagian kabin Escort ini dibuat dengan begitu ringkas, menampilkan papan pemuka asal bersama paparan instrumen digital dari Fueltech, roda stereng Sparco, karpet kaki custom dari Trapo Malaysia, tombol gear custom dengan logo Retro Havoc serta tuil brek tangan hidraulik.

    Walaupun kereta ini dipamerkan megah di TAS 2023, Alie masih lagi memadankan nombor pendaftaran spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia lengkap dengan pelekat cukai jalan di cermin depan. Tahniah buat Alie dan Retro Havoc yang bukan sahaja menunaikan impiannya, malah impian seluruh ‘kaki kereta’ dari Malaysia untuk melihat peserta tanah air berdiri sama tinggi dengan hasil kerja negara lain!

     
     
  • PLUS Malaysia tambah 12 lorong RFID menjelang April 2023 susulan rungutan orang ramai – menteri KKR

    PLUS Malaysia tambah 12 lorong RFID menjelang April 2023 susulan rungutan orang ramai – menteri KKR

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah memuat naik entri di Facebook rasminya dengan mengumumkan PLUS Malaysia bersetuju untuk menambah 12 lorong RFID susulan rungutan yang diterima dari orang ramai disebabkan isu kesesakan teruk di plaza tol.

    Beliau berkata, PLUS Malaysia turut memaklumkan bahawa 12 lorong tambahan RFID itu akan dipersiapkan selewat-lewatnya pertengahan April ini. Untuk Lebuhraya Utara-Selatan, ia melibatkan penambahan 10 lorong RFID tambahan iaitu Plaza Tol Sungai Besi (plaza tol masuk), Jalan Duta(plaza tol masuk), Shah Alam (plaza tol masuk), Sungai Buloh (plaza tol masuk), Rawang Selatan (plaza tol masuk), Setia Alam (plaza tol masuk & keluar), Subang (plaza tol masuk), Putra Mahkota (plaza tol masuk), dan Kajang (plaza tol masuk).

    Manakala masing-masing satu penambahan lorong RFID di Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Butterwoth-Kulim (BKE) yang melibatkan Plaza Tol Kubang Semang.

    “Berdasarkan rungutan yang banyak diterima, rata-rata pengguna transaksi ini mengeluh mengenai kekurangan laluan transaksi RFID yang menyebabkan kesesakan teruk di plaza tol. Isu keselamatan juga turut dibangkitkan di mana pengguna jalan raya mempersoalkan kedudukan laluan RFID di plaza tol yang berubah-ubah yang telah menyebabkan kemalangan.

    PLUS Malaysia tambah 12 lorong RFID menjelang April 2023 susulan rungutan orang ramai – menteri KKR

    “Dalam pertemuan ini (bersama wakil dari Kumpulan Touch ‘n Go Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PLUS Malaysia), saya sudah mengarahkan tindakan diambil secepat mungkin yang menjurus kepada penyelesaian masalah di samping memastikan keselamatan semua pihak terjamin,” katanya.

    PLUS Malaysia telah melaksanakan kaedah transaksi pembayaran kadar tol menggunakan RFID sejak Januari 2022, dan sesetengah plaza tol telah pun mempunyai lebih dari satu lorong RFID. Walau bagaimana pun, ketika itu masih ramai lagi pengguna yang belum bersedia untuk menggunakan kaedah pembayaran RFID dan ini mendorong kerajaan untuk mengarahkan PLUS Malaysia supaya ‘mengembalikan’ semula lorong SmartTAG sedia ada, dengan mengurangkan lorong RFID.

    Sistem pembayaran tol RFID yang sering mengalami gangguan masih berterusan walau pun telah setahun ia dilaksanakan. Malahan perkara ini turut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang berkata keadaan itu perlu diperbetulkan sebagai respons kepada aduan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan di Twitter baru-baru ini.

     
     
  • Nissan GT-R 2024 facelift didedahkan di Jepun – rupa disegarkan, aerodinamik lebih baik, enjin masih sama

    Nissan GT-R 2024 <em>facelift</em> didedahkan di Jepun – rupa disegarkan, aerodinamik lebih baik, enjin masih sama

    Mungkin ramai yang menyangka pendedahan “GT-R 2024” tempoh hari merupakan pendedahan model generasi baharu bukan? Hakikatnya, model R35 yang telah pun muncul buat pertama kali di Tokyo Motor Show 2007 sedia ada masih panjang hayat produksinya – memperkenalkan Nissan GT-R R35 facelift 2024!

    Model ini didedahkan di Tokyo Auto Salon 2023 yang bermula hari ini, dan bakal dijual pada pasaran Jepun pada musim panas nanti, diikuti pasaran Amerika Syarikat pada musim bunga. Model yang sudah pun berusia sekitar 16-tahun dalam pasaran ini menampilkan beberapa tingkat taraf pada penggayaan dan juga hadir dengan beberapa varian serta model edisi khas.

    Kali ini GT-R R35 menerima perubahan bampar hadapan yang agak drastik berbanding versi-versi sebelumnya. Tiada lagi gril V-Motion tetapi digantikan dengan gril lebih nipis. Bahagian apron nampak lebih ringkas dengan gril bawah lebih kecil, tanpa liang kemasukan udara sisi pada perumah lampu nyalaan siang.

    Nissan GT-R 2024 <em>facelift</em> didedahkan di Jepun – rupa disegarkan, aerodinamik lebih baik, enjin masih sama

    Elemen sarang lebah bukan hanya diberikan pada gril, malah turut diadaptasi pada lampu nyalaan siang yang direka berbentuk heksagon. Di belakang, dua lampu bulat signatur bersama empat tip ekzos dengan kesan titanium masih kekal. Perubahan yang diberikan adalah pada diffuser yang turut menampilkan gril elemen sarang lebah.

    Menurut Nissan, rekaan baharu ini bukan hanya untuk kosmetik, malah ia sebenarnya turut memberikan kesan aerodinamik lebih baik. Pekali geserannya masih tidak berubah pada kadar 0.26, tetapi downforce, aliran udara untuk penyejukkan dan pengurangan geseran telah menerima peningkatan.

    Tiada perubahan besar dibuat pada bahagian kabin, malah pada tahun 2023 GT-R masih menerima kluster meter analog, tanpa paparan instrumen digital seperti yang digembar gemburkan sebelum ini.

    Nissan GT-R 2024 <em>facelift</em> didedahkan di Jepun – rupa disegarkan, aerodinamik lebih baik, enjin masih sama

    Enjin VR38DETT 3.8 liter V6 turbo berkembar masih setia dalam perut GT-R 2023 ini. Angka kuasa juga tidak berubah dengan menghasilkan 570 PS (562 hp) pada takat 6,800 rpm dan tork maksima 637 Nm bermula 3,300 hingga 5,800 rpm. Kotak gear enam-kelajuan klac berkembar automatik dan sistem pacuan semua roda ATTESA ET-S juga masih kekal digunakan.

    Perincian lain yang turut dibekalkan termasuk sistem suspensi adaptif dengan penyerap hentak Bilstein yang datang bersama tiga pilihan mod (Normal, Comfort dan R), set rim forged aloi ringan 20-inci dari RAYS bersama tayar Dunlop SP Sport Maxx GT600 dan juga set brek yang menampilkan cakera karbon-seramik.

    Model 2024 ini juga turut ditawarkan dalam versi Nismo yang diberikan tingkat taraf prestasi lebih baik. Ia termasuk penggunaan pengecas turbo yang diambil dari kereta lumba GT3 membolehkan enjin VR38DETT berkenaan bernafas dengan 600 PS (591 hp) dan tork maksima 652 Nm, kerangka badan dengan ketegaran torsi lebih tinggi serta sistem brek lebih besar.

    Nissan GT-R 2024 <em>facelift</em> didedahkan di Jepun – rupa disegarkan, aerodinamik lebih baik, enjin masih sama

    Berbeza dari versi sebelumnya, Nismo GT-R 2024 ini tampil dengan unit LSD pada gandar hadapan bagi memberikan pengendalian lebih baik.

    Seperti biasa, GT-R dalam versi Nismo akan tampil dengan perincian gentian karbon yang lebih banyak. Model 2024 ini menerima panel gentian karbon pada bahagian muka dan belakang, penutup but belakang, bendul sisi, bonet hadpaan, perumah cermin sisi dan juga bumbung untuk merendahkan lagi titik graviti.

    Spoiler belakang untuk model Nismo ini juga diperbuat dari gentian karbon yang menurut Nissan ia mempunyai permukaan 10% lebih besar serta menerima ‘kaki’ gaya ‘leher angsa’.

    Nismo GT-R R35 2024 ini juga ditawarkan dalam versi edisi khas (dikenali sebagai Nismo Appearance Package pada pasaran Amerika Syarikat). Model ini menampilkan bonet gentian karbon, serlahan jalur merah pada rim RAYS dan juga warna badan istimewa Stealth Grey.

    Nissan GT-R 2024 <em>facelift</em> didedahkan di Jepun – rupa disegarkan, aerodinamik lebih baik, enjin masih sama

    Pada bahagian dalaman, GT-R Nismo diberikan tempat duduk bucket Recaro dengan balutan sued sintetik, serlahan benang merah dan juga kemasan gentian karbon di belakang. Roda sterengnya pula dibalut dengan Alcantara bersama penanda pukul 12 kemasan merah.

    Model 2024 ini turut ditawarkan dalam versi T-Spec, yang menampilkan dua pilihan warna badan bersejarah buat GT-R iaitu Millennium Jade dan Midnight Purple. Model T-Spec ini diberikan perincian standard seperti brek karbon-seramik, rim kemasan emas, Vehicle Dynamic Control talaan Nismo dan juga fender hadapan lebih lebar.

    Lencana-lencana T-Spec dilekat di tempat-tempat sepatutnya pada badan, manakala pada bahagian kabin menerima perincian seperti upholsteri Mori Green bersama semi-aniline dan juga upholsteri sued untuk tempat duduk hadapan.

    GALERI: Nissan GT-R R35 Premium 2023

    GALERI: Nissan GT-R R35 Nismo 2023

     
     
  • Mitsubishi Xpander Venture beri peluang untuk anda pandu uji MPV Xpander pada laluan mencabar!

    Mitsubishi Xpander Venture beri peluang untuk anda pandu uji MPV Xpander pada laluan mencabar!

    Kebiasaannya jika anda ke bilik pameran untuk memandu uji kereta baharu, sudah tentu laluan untuk sesi pandu uji berkenaan hanyalah pada jalan raya biasa, dan paling tak best dah tentu terpaksa meredah kesesakan trafik. Ini peluang untuk anda memandu uji MPV tujuh-tempat duduk Mitsubishi Xpander dengan cara luar biasa – Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) kini sedang melangsungkan acara Mitsubishi Xpander Venture di lokasi-lokasi terpilih.

    Acara ini diadakan Dataran Karnival, Perkarangan Shah Alam, Selangor bermula 14 hingga 15 Januari 2023 dari pukul 10 pagi sampai 6 petang. Ia kemudiannya turut akan dibawa ke Toppen Mall Outdoor Carpark, Johor Bahru pada 4 hingga 5 Februari dan di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 4 hingga 5 Mac.

    Dalam acara ini, anda akan diberi peluang untuk menguji kemampuan seakan SUV pada Xpander berkenaan dengan menyediakan satu litar yang dipenuhi pelbagai halangan. Antara halangn tersebut adalah “Log and Roll” membolehkan anda rasai kestabilan dan keselesaan Xpander ini pada laluan tidak rata, serta “Side Traverse” iaitu laluan yang menunjukkan MPV tidak ada masalah untuk dipandu pada jalan senget dengan sudut condong yang tinggi.

    Litar ini juga menyediakan laluan “Roller Conveyer” untuk menunjukkan keberkesanan sistem Traction Control ketika dipandu pada jalan licin. Manakala laluan “Devil’s Angle” memberikan anda peluang memandu Xpander ini meredah laluan sudut tinggi serta banjir, mendemonstrasikan kelegaan tanah 205 mm MPV berkenaan.

    Terdapat juga laluan yang digelar “Agility Challenge”, iaitu satu laluan berselekoh yang sangat sempit. Pada laluan ini anda dapat merasai manfaat radius pusingan 5.2 meter pada Xpander yang membolehkan ia kekal lincah dan mudah dikendali pada laluan sempit seperti kawasan bandar dan tempat parkir walaupun direka sebagai MPV keluarga.

    Dengan menyertai pandu uji ini, anda turut akan diberikan topi eksklusif dari Mitsubishi serta peluang untuk menyertai cabutan bertuah bagi merebut hadiah seperti konsol permainan Nintendo Switch, jam tangan G Shock, dan jaket North Face.

    Selain dari pandu uji, MMM turut menyediakan aktiviti menarik lain untuk seisi keluarga serta pemberian gula-gula kapas dan ais krim secara percuma sepanjang berlangsungnya acara ini. Kemunculan selebriti-selebriti tanah air juga akan memeriahkan acara ini, antaranya Sherry Alhadad (15 Jan, 3.00 pm), Sharifah Shahirah (14 Jan, 12.00 pm) dan Bell Ngasri (15 Jan 12.00 pm)

    Untuk anda yang menempah Xpander atau trak pikap Triton ketika acara ini berjalan, MMM akan memberikan botol air gaya hidup Stanley 8oz. Dan sempena sambutan tahun baru, pelanggan yang menempah dan mendaftar Xpander baharu boleh memilih untuk menikmati sama ada kadar ansuran bulanan yang rendah bermula daripada RM798*, atau kadar faedah rendah 2.38%* sah dengan Maybank atau Public Bank sahaja.

    Pelanggan juga boleh memilih program tukar beli khas yang menawarkan sokongan RM2,000 (tertakluk kepada terma dan syarat) untuk pelanggan yang membuat pembelian Xpander baharu menerusi kaedah tukar-beli. Promosi ini hanya sehingga 31 Mac 2023.

     
     
  • Suzuki Jimny 5-Pintu 2023 dilancar di India – 505 mm lebih panjang dari 3-Pintu; 1.5L petrol 5MT atau 4AT

    Suzuki Jimny 5-Pintu 2023 dilancar di India – 505 mm lebih panjang dari 3-Pintu; 1.5L petrol 5MT atau 4AT

    Suzuki telah melancarkan Jimny 5-Pintu di India menerusi penganjuran Auto Expo 2023 di Delhi, mengesahkan khabar angin yang bertebaran sebelum ini mengenai versi lebih panjang bagi off-roader kompak tersebut.

    Berukuran 3,985 mm panjang, 1,645 mm lebar dan 1,720 mm tinggi dengan jarak roda 2,590 mm, Jimny 5-Pintu ini adalah 505 mm lebih panjang berbanding versi tiga-pintu bagi model ini, di mana jarak rodanya dipertingkatkan sebanyak 340 mm.

    Laman web rasmi Suzuki menyebut Jimny 5-Pintu ini didatangkan dengan enjin 1.5 liter petrol, unit yang sama dengan versi 3-pintu, iaitu K15B naturally-aspirated, yang menghamburkan kuasa cecah 102 hp dan tork 130 Nm.

    Suzuki Jimny 5-Pintu 2023 dilancar di India – 505 mm lebih panjang dari 3-Pintu; 1.5L petrol 5MT atau 4AT

    Ia juga diberikan dua pilihan transmiai sama ada manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan, dengan bentangan 4WD separuh masa bersama transfer case bagi pemilihan julat rendah.

    Selain memiliki pintu belakang, ciri penampilan luarannya masih mirip dengan Jimny 3-Pintu, termasuk kemasan warna Kinetic Yellow. Begitu juga dengan bampar hadapan dan belakang, bonet, cermin hadapan serta gerbang roda yang mirip dengan versi 3-pintu.

    Walau bagaimana pun, yang membezakannya adalah pada bodywork aft pintu belakang di mana perumah kacanya lebih pendek berbanding versi 3-pintu. Di dalamnya, hanya satu imej diberikan yang menunjukkan bentangan papan pemuka, yang juga mirip dengan versi 3-pintu. Untuk infotainmen, ia dipertingkatkan dengan menampilkan unit skrin sesentuh sembilan-inci, berbanding skrin sesentuh tujuh-inci yang diberikan untuk Jimny pasaran Malaysia dan Australia.

    Suzuki Jimny 5-Pintu 2023 dilancar di India – 505 mm lebih panjang dari 3-Pintu; 1.5L petrol 5MT atau 4AT

    Tidak banyak perincian yang didedahkan buat masa sekarang, tetapi Car Expert memaklumkan bahawa Jimny 5-Pintu kini ditingkatkan dari segi ciri keselamatan termasuk diberikan beg udara tirai untuk kedua-dua barisan tempat duduk penumpang.

    Sementara itu, Jimny tiga-pintu untuk pasaran Malaysia diimport dari Jepun. Manakala Jimny 5-Pintu yang baru diperkenalkan ini diperbuat di Gurugram, India, begitu juga dengan model tiga-pintu untuk pasaran negara berkenaan, menurut Motor1. ia juga dieksport ke Amerika Latin, Afrika dan beberapa pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) termasuk Australia.

    Di Malaysia, Suzuki Jimny 3-Pintu ditawarkan pada harga atas jalan RM174,900 tanpa insurans (harga yang dikemaskini pada Julai 2022), dengan tambahan RM1,500 jika memilih kemasan Bluish Black Pearl 3, atau RM2,500 untuk warna signitur Kinetic Yellow.

    GALERI: Suzuki Jimny 2021 untuk pasaran Malaysia

     
     
  • Lebuhraya Pan Borneo: Fasa satu bagi Sabah siap 70% setakat ini; Sarawak pula telah capai 91% – KKR

    Lebuhraya Pan Borneo: Fasa satu bagi Sabah siap 70% setakat ini; Sarawak pula telah capai 91% – KKR

    Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengesahkan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah bagi fasa satu telah mencapai kemajuan lebih 70% setakat Disember tahun lepas. Fasa satu itu melibatkan jarak keseluruhan 706 km dan melibatkan 15 pakej kerja, dijangka siap pada suku pertama 2025, laporan Bernama

    Menurut Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, satu pakej baharu diwujudkan melibatkan laluan dari Serusop ke Pituru yang dijangka memulakan pembinaan pada suku pertama tahun ini, menjadikan keseluruhan 16 pakej.

    Berkenaan dengan Projek LPB Sarawak sepanjang 786 km pula, tambahnya, status kemajuan bagi 11 pakej kerja dari Telok Melano ke Miri sehingga Disember 2022 adalah 91% siap dan dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini.

    “Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) fasa satu yang melibatkan jajaran sepanjang 77 km dari Bandar Lawas hingga persimpangan Long Lopeng, kini dalam pembinaan dengan tempoh kontrak selama 53 bulan bermula 9 Ogos 2021 dan dijangka siap pada 8 Jan 2026,” katanya. SSLR adalah projek jalan raya yang akan menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa perlu melalui Brunei.

    “Komitmen kerajaan jelas dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat terus diberi keutamaan manakala agenda pertumbuhan ekonomi negara terus diperkasa dan diberi sokongan dalam fasa pemulihan dan pertumbuhan ekonomi masa kini,” katanya

     
     
  • JPJ eBid: Siri nombor JVY bakal dibuka bidaan

    JPJ eBid: Siri nombor JVY bakal dibuka bidaan

    Anda sedang mencari siri nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu yang bakal tiba di rumah anda? Ini ada satu lagi pilihan menarik. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri plat nombor pendaftaran, JVY, bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian JPJ eBid.

    Siri nombor plat terkini dari Johor, JVY ini akan mula dibuka bidaan pada 15 Januari 2023. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, dan berakhir jam 10 malam pada 19 Januari. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 20 Januari 2023. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Volkswagen Passat tidak lagi ditawarkan di Malaysia

    Volkswagen Passat tidak lagi ditawarkan di Malaysia

    Sedan segmen-D Volkswagen Passat kini tidak lagi dipaparkan dalam laman web rasmi Volkswagen Malaysia. Apabila ditanya mengapa tiada lagi Passat di laman web berkenaan, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengesahkan kepada paultan.org bahawa model tersebut tidak lagi ditawarkan di Malaysia.

    Passat menerima pelbagai saingan dalam pasaran, khususnya pelbagai SUV yang lebih menarik minat pembeli berbanding sedan bersaiz besar yang semakin kurang popular.

    Malah dalam segmen sedan segmen-D sendiri tiada lagi model yang ditawarkan pada harga bermula di bawah RM150,000 dan semuanya dijual pada harga hampir atau sekitar RM200,000. Ini membuatkan ramai yang lebih rela memilih sedan kompak dari jenama premium seperti Mercedes-Benz A-Class sedan dan BMW 2 Series Gran Coupe yang dijual pada harga lebih kurang sama.

    Fenomena ini bukan hanya berlaku di Malaysia, malah Passat sedan turut tidak lagi dijual di UK bermula Januari 2022 dan ia hanya ditawarkan dalam versi wagon di sana.

    Volkswagen Passat tidak lagi ditawarkan di Malaysia

    Dengan ketiadaan Passat, kini hanya tinggal Arteon yang ditawarkan sebagai satu-satunya model Volkswagen yang mempunyai but belakang di Malaysia. Arteon merupakan ‘coupe empat-pintu’ yang dijual pada harga RM268k.

    Walau bagaimanapun, mungkin ada lagi pengedar Volkswagen yang mempunyai stok-stok terakhir Passat B8 facelift berkenaan. Jadi jika anda berminat mungkin boleh bertanya pada pengedar-pengedar tersebut. Versi terakhir Passat B8 untuk pasaran Malaysia ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Passat Elegence berkuasa 190 PS/320 Nm dan juga Passat R-Line berkuasa 220 PS/350 Nm.

    Passat tiba di Malaysia sebagai model yang diimport sepenhunya (CBU) buat permulaan ketika Volkswagen Group Malaysia bertapak di sini, dan kemudian di Passat B7 menjadi model pertama yang dipasang secara tempatan (CKD) pada tahun 2012. Ia diproduksi di kilang DRB-Hicom di Pekan, Pahang yang turut memasang model-model terkini VW seperti Golf, Tiguan dan Arteon.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025