Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Energy Absolute bakal bangunkan kilang RM5 bilion untuk pengeluaran pengangkutan awam EV — MITI

    Energy Absolute bakal bangunkan kilang RM5 bilion untuk pengeluaran pengangkutan awam EV — MITI

    Sebuah usahasama antara Energy Absolute Thailand dan Computer Forms Malaysia (CFM) telah dibentuk untuk tujuan pembinaan kilang pengeluaran EV pertama Malaysia bagi pengangkutan awam. Menurut Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melalui hantaran di akaun LinkedIn-nya itu, perlaburan yang akan terlibat pula bernilai RM5 bilion.

    Kilang berkenaan direncanakan untuk mengeluarkan bas dan bas sekolah elektrik, bot elektrik, motosikal elektrik, bateri EV, tren elektrik dan banyak lagi. CFM dan Energy Absolute juga telah bersetuju untuk memindahkan inovasi, pengalaman tenaga boleh diperbaharui dan kredit karbon kepada kerajaan Malaysia untuk mencapai matlamat sifar pembebasan karbon menjelang 2050.

    “Gabungan tenaga boleh diperbaharui dan menjadikan pengangkutan awam lebih mesra alam akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang merangkum, yang akan memberikan manfaat kepada Malaysia dan juga Thailand,” ujar Zafrul dalam hantaran tersebut.

    Energy Absolute bakal bangunkan kilang RM5 bilion untuk pengeluaran pengangkutan awam EV — MITI

    Minggu lalu, Energy Absolute Malaysia, cabang tempatan bagi syarikat itu telah menyatakan minat untuk meneroka pasaran Malaysia, dengan tumpuan untuk menyokong, melabur dan memacu projek percubaan, lapor Bernama.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata yang Energy Absolute antaranya akan bekerjasama dengan Computer Forms Malaysia (CFM) untuk pembangunan teknologi hijau di Malaysia serta untuk perpindahan teknologi EV.

    Minggu lalu, beliau juga memaklumkan melalui laman Facebooknya yang Energy Absolute, dengan modal pasaran berjumlah 380 bilion Thai baht (RM45 bilion) akan membina kemudahan pengeluaran EV khusus untuk sektor pengangkutan.

     
     
  • Stok setahun Honda Civic Type R FL5 di Australia habis dijual dalam masa 24 jam walaupun lebih mahal

    Stok setahun Honda Civic Type R FL5 di Australia habis dijual dalam masa 24 jam walaupun lebih mahal

    Selepas dibuka tempahan pada 1 Disember lalu, stok 12 bulan pertama untuk Honda Civic Type R FL5 bagi pasaran Australia habis dijual hanya dalam 24-jam, lapor Drive.com.au. Kesemua stok berkenaan habis dijual walaupun tanpa sebarang sesi prebiu dan pandu uji, tempoh menunggu yang lama dan harga model FL5 ini adalah lebih mahal dari FK8 terdahulu.

    Honda Australia tidak mendedahkan secara rasmi berapa banyak unit yang sudah dikhaskan untuk negara berkenaan, namun sumber dari pengedar jenama tersebut menyatakan bahawa untuk tempahan tahun pertama ini Australia diperuntukkan sekitar 600 unit.

    Menurut Honda Australia, mereka telah menerima lebih 4,000 pendaftaran minat terhadap model ini sebelum tempahannya dibuka tahun lalu. Ia dijual pada harga AUD72,600 (RM220,049), atau AUD12,000 (RM36,373) lebih mahal berbanding Type R FK8 yang dijual pada harga AUD60,000 (RM166,672).

    Pelanggan terawal yang menempah hot-hatch berkenaan dijangka akan menerima kereta mereka dalam tempoh 18-bulan iaitu sekitar pertengahan tahun 2024. Ada pengedar menyatakan sebahagian pelanggan mereka dijangka hanya akan menerima kereta mereka selepas dua tahun iaitu pada lewat 2024 atau awal 2025, dan warna yang paling banyak ditempah adalah warna hero Type R iaitu Championship White.

    Stok setahun Honda Civic Type R FL5 di Australia habis dijual dalam masa 24 jam walaupun lebih mahal

    Honda Civic Type R generasi baharu ini diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback. Ia masih dijana enjin KC20C1 2.0 liter turbo empat-silinder, tetapi menerima kemaskini membolehkan ia menghasilkan kuasa hingga 320 PS (315 hp atau 235 kW) dan tork maksima 420 Nm – naik 10 PS (9 hp atau 7 kW) dan 20 Nm berbanding Type R FK8.

    Enjin tersebut juga masih hanya menerima transmisi enam-kelajuan lengkap dengan LSD untuk memacu roda hadapan. FL5 tidak lagi menerima rim 20-inci, diganti dengan set berdiameter 19-inci tetapi menerima tayar yang lebih lebar (265/30 berbanding 245/30).

    Antara kelengkapan standard untuk FL5 pasaran Australia termasuk upholsteri sued hitam dan merah, karpet merah, tombol gear aluminium, sistem data logger untuk litar Honda LogR, kluster instrumen digital 10.2-inci, sistem infotainmen skrin sesentuh 9-inci, penghawa dingin dua zon, pengecas tanpa wayar dan lampu suasana kabin.

    Stok setahun Honda Civic Type R FL5 di Australia habis dijual dalam masa 24 jam walaupun lebih mahal

    Ia turut menerima pakej bantuan pemanduan keselamatan Honda Sensing yang terdiri dari fungsi brek kecemasan automaik, cruise control adaptif, bantuan kekal lorong, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan pengenal tanda trafik.

    Empat warna ditawarkan iaitu Championship White, Rally Red, Sonic Grey dan Crystal Black. Namun warna Boost Blue (atau lebih dikenali sebagai Racing Blue Pearl di Jepun) tidak ditawarkan di Australia.

    Untuk pasaran ASEAN, Honda Civic Type R sudah pun dilancarkan di Vietnam pada Oktober tahun lalu. Namun harga FL5 di Vietnam masih belum diumumkan ketika dilancarkan, dan pelanggan terawal yang menempahnya hanya akan menerima kereta mereka pada suku kedua tahun ini. Model ini kemudiannya dilancarkan di Thailand pada Disember 2022, dijual pada harga bermula 3.8 juta baht (RM 478k).

    GALERI: Honda Civic Type R 2023

     
     
  • KTMB sediakan tren tambahan ETS sempena Tahun Baharu Cina untuk perjalanan 19-24 Jan 2023

    KTMB sediakan tren tambahan ETS sempena Tahun Baharu Cina untuk perjalanan 19-24 Jan 2023

    Sempena dengan cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut pada 22-23 Januari ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan bagi laluan KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya. Di mana penjualan tiket bagi tren tambahan berkenaan dijual mulai hari ini, 9 Januari, bagi perjalanan pada 19 hingga 24 Januari 2023.

    Menurut KTMB, perkhidmatan ETS tambahan ini akan berlepas dari KL Sentral pada 5.05 petang dan tiba di Padang Besar 10.34 malam, manakala dari Padang Besar, tren ETS akan berlepas pada 11 pagi dan tiba di KL Sentral 4.36 petang.

    “Tiket tren tambahan ini menawarkan 630 tiket sehari dan menjadikan jumlah keseluruhan 3,780 tiket termasuk koc kelas perniagaan. Inisiatif penyediaan tren tambahan ini adalah sebagai memenuhi permintaan penumpang yang tinggi ketika musim perayaan serta menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam untuk pulang ke kampung halaman dengan selesa dan selamat.

    “Orang ramai digalak untuk mendapatkan tiket melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) atau di laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my bagi pembelian tanpa tunai,” kata KTMB.

     
     
  • FIA bekukan penggunaan nombor perlumbaan #43 dalam WRC sebagai tanda hormat kepada Ken Block

    FIA bekukan penggunaan nombor perlumbaan #43 dalam WRC sebagai tanda hormat kepada Ken Block

    Persekutuan Automobil Dunia (FIA) bersetuju untuk menurunkan nombor perlumbaan #43 dari digunakan oleh mana-mana pelumba yang bertanding dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) bermula musim tahun ini. Langkah ini diambil bagi menghormati pemergian mendiang Ken Block yang baru sahaja meninggal dunia awal minggu ini.

    “Memandangkan sumbangan besar rakan baik kita Ken Block kepada sukan permotoran dan hakikat bahawa dia dipandang tinggi oleh orang di seluruh dunia, adalah wajar #43 miliknya akan ditarik balik daripada digunakan semasa musim WRC 2023,” kata presiden FIA Mohammed Ben Sulayem.

    “Walaupun ia adalah tindakan yang kecil, kami berharap ia adalah satu yang akan memberikan sedikit keselesaan kepada keluarga dan rakan-rakannya buat masa sekarang. Ken adalah legenda sejati dan ingatan tentang lagenda sebenar ini akan kekal bersama kita selama-lamanya,” tambah Mohammed lagi.

    Ken Block dikenali menerusi siri video Gymkhana yang mula disiarkan di Youtube pada tahun 2008, dan telah pun menggunakan nombor #43 berkenaan sejak awal kariernya sebagai pemandu rali. Walaupun hanya menyertai 25 rali dalam WRC dan hanya mengumpul 18 mata dalam kariernya, Block menerusi siri video Gymkhana tersebut telah meluaskan lagi minat masyarakat Amerika Syarikat dan antarabangsa dalam disiplin rali.

    FIA bekukan penggunaan nombor perlumbaan #43 dalam WRC sebagai tanda hormat kepada Ken Block

    “Impak yang Ken berikan ada pada rali dalam membawa sukan ini kepada penonton yang serba baharu tidak boleh dipandang remeh,” kata pengarah urusan WRC Promoter Jona Siebel.

    “Untuk Ken, hubungan dengan peminat adalah yang paling penting, menjadikan beliau seorang tokoh yang disayangi dalam WRC. Sebagai sukan, menarik balik nombor 43 – nombor yang sinonim dengan Ken – adalah usaha kecil kami dalam menghormati keluarga, rakan dan peminat Ken,” tambahnya.

    Ken Block disahkan meninggal dunia pada usia 55 tahun setelah terbabit dalam kemalangan ketika bermain dengan snowmobile di Utah, Amerika Syarikat pada 2 Januari lalu. Block bukan sahaja dikenali dalam sukan rali, malah beliau juga merupakan pengasas bersama jenama kasut papan luncur, DC Shoes yang ditubuhkan pada 1994.

    Beliau menamatkan musim penuh Kejohanan Rali Nasional Amerika Syarikat ARA 2022 tahun lalu di kedudukan kedua dengan memandu Hyundai i20 WRC pasukan Hoonigan, tewas kepada juara Brandon Semenuk dari pasukan Subaru tetapi berjaya mengalahkan Travis Pastrana juga memandu Subaru yang berada di tempat ketiga.

     
     
  • Stesen LRT Bukit Jalil lanjut operasi hingga 12.30 t/malam 8 Jan sempena Piala AFF 2022 M’sia VS Thai

    Stesen LRT Bukit Jalil lanjut operasi hingga 12.30 t/malam 8 Jan sempena Piala AFF 2022 M’sia VS Thai

    Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali Transit Aliran Ringan (LRT) telah mengumumkan operasi bagi Stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan ke 12.30 tengah malam pada 8 Januari 2023. Ia adalah sempena dengan perlawanan separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Sabtu ini, 7 Januari 2023, melibatkan pasukan Malaysia menentang Thailand.

    “Bagi kelancaran pergerakan penumpang yang menaiki tren ke stadium, tren tambahan akan disediakan sejurus tamat perlawanan bagi keselesaan dan kelancaran pergerakan penyokong untuk pulang ke destinasi masing– masing. Kesemua stesen integrasi masih boleh diakses bagi penumpang dari Stesen Bukit Jalil yang ingin meneruskan perjalanan menggunakan tren laluan berbeza ke destinasi yang ingin ditujui.

    “Sebagai langkah keselamatan, penumpang diwajibkan untuk memakai pelitup muka sepanjang berada di kawasan stesen dan di dalam tren bagi mengekang penularan Covid-19.

    “Penumpang juga dinasihatkan agar menggunakan Kad Touch ‘n Go serta memastikan baki kad mencukupi sebelum tiba di stesen bagi memudahkan perjalanan pergi dan balik,” ujar kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambah Rapid Rail lagi, sejumlah 13,892 ruang parkir tersedia di stesen-stesen LRT dan MRT terpilih bagi penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan tren untuk ke stadium. “Penumpang boleh menikmati kadar bayaran tetap parkir (flat rate) sebanyak RM4 apabila menggunakan kad Touch ‘n Go yang sama ketika menaiki perkhidmatan tren.

    “Pihak Rapid Rail akan menempatkan kakitangan tambahan bagi melancarkan pergerakan penumpang keluar masuk di stesen serta kemudahan surau juga disediakan bagi penyokong muslim menunaikan solat,” katanya lagi.

     
     
  • Lagi rekaan Myvi generasi keempat Saharudin Design

    Lagi rekaan Myvi generasi keempat Saharudin Design

    Ingat lagi dengan rekaan konsep Myvi generasi terbaru yang pernah dihasilkan oleh Saharudin Busri? Ketika itu, beliau merasakan penampilan Perodua Myvi yang ada terlalu “sibuk” dengan garis-garis tajam dan berketul yang terserlah dengan agak ketara, dan beliau tampil dengan pendekatan yang lebih bersih.

    Rekaan ini dapat dilihat dalam rekaan Myvi merah yang ditunjuk itu, dan ia selari dengan perkembangan rekaan yang kebanyakannya diterapkan pada model-model kenderaan EV sekarang, dengan imej dan garis badan yang lebih ringkas dan kemas — hal yang sama misalnya banyak mengambil inspirasi daripada rekaan kenderaan terkini Volvo.

    Lagi rekaan Myvi generasi keempat Saharudin Design

    Terbaru, beliau menampilkan sebuah lagi versi Myvi generasi keempat, melalui laman Facebook Saharudin Design, yang menurut beliau sebuah rekaan sebelum ini yang di render semula. Ia menampilkan unit warna putih dan kemaskini perincian pada rekaannya — yang agak berbeza daripada versi yang pernah ditunjuk dalam warna merah tersebut.

    Pertama sekali, rekaan Myvi terbaru ini nampak lebih sporty, dan lebih menghampiri versi nyata. Namun, ia tetap dengan elemen canggih dan moden, misalnya seperti yang dapat dilihat pada rekaan lampu depan bentuk bulat yang diletak di dalam perumah yang tirus dan tajam.

    Lagi rekaan Myvi generasi keempat Saharudin Design

    Di atas hud depannya juga kini kelihatan seperti ada benjolan dengan dua jalur yang menekankan imej sporty itu. Di antara lampu depan kiri dan kanan pula ada jalur hitam yang menghubungkannya. Bukaan gril sedikit rendah ke bawah, dengan logo Perodua di tengah kemasan krom melintang. DRL LED juga terletak kemas di sisi bawah, dengan bahagian apron dan spoiler di bamparnya sekali.

    Bahagian tepi nampak agak menarik; ada kemasan seperti bukaan udara di belakang fender dan dilanjutkan ke pintu. Pintu belakang juga kemas tampa pemegang yang kelihatan. Bahagian belakang hatchback ini pula mengingatkan kita kepada bahagian belakang Hyundai i30 yang pernah ada sebelum ini — ringkas, tidak terlalu banyak garisan bersegi, cermin belakang agak kecil serta rekaan lampu yang nampak jelas dan besar. Lencana Myvi AV juga ada diletakkan di situ, dan tak lupa, muncung ekzos berkembar untuk melengkapkan imej ranggi kereta ini.

    Kalau ini adalah bayangan kepada Myvi versi prestasi, atau mungkin paling hampir kepada Myvi GT, adakan ia cukup mengancam?

     
     
  • Toyota bZ4X sudah dilihat di Malaysia – bakal dilancarkan, EV dengan jarak gerak sejauh 500km

    Toyota bZ4X sudah dilihat di Malaysia – bakal dilancarkan, EV dengan jarak gerak sejauh 500km

    Disember lalu, UMW Toyota Motor (UMWT) telah pun mengumumkan bahawa ia akan membawa SUV elektrik penuh (EV) Toyota bZ4X ke pasaran Malaysia tahun ini. Pengumuman ringkas yang dibuat ketika majlis bersama media berkenaan walau bagaimanapun tidak disertakan dengan perincian spesifikasi dan juga bila tarikh sebenar ia akan dilancarkan.

    Namun hari ini dua unit bZ4X telahpun dipamerkan di ibu pejabat UMWT di Seksyen 15, Shah Alam. Kedua-dua unit SUV EV tersebut adalah dari varian pacuan roda depan yang menampilkan motor elektrik tunggal diletakkan pada gandar hadapan, berkuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork maksima 266 Nm.

    Ini merupakan bZ4X dengan spesifikasi yang sama dilancarkan di Indonesia November lalu, dijual pada harga 1.19 bilion rupiah (RM334,209) di sana. Di Thailand, bZ4X dijual dalam varian pacuan semua roda dengan dua motor (diletak masing-masing pada gandar hadapan dan belakang) menghasilkan kuasa keseluruhan 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 337 Nm, dijual pada harga 1.836 juta baht (RM236,782).

    Toyota bZ4X sudah dilihat di Malaysia – bakal dilancarkan, EV dengan jarak gerak sejauh 500km

    Kedua-dua varian ini menerima pek bateri yang sama iaitu bateri lithium-ion 71.4 kWj. Ini membolehkan versi pacuan roda hadapan bergerak sejauh 500 km dalam kitaran ketat dan lebih realistik WLTP untuk satu cas penuh, manakala versi pacuan semua roda pula hanya boleh bergerak sejauh 411 km dalam standard yang sama.

    Untuk mengecas, bZ4X menyokong pengecas AC (penyabung Type 2) pada kadar sehingga 6.6 kW. Ia juga boleh menerima pengecas pantas DC (penyambung CCS2) sehingga 150 kW yang membolehkan kadar cas 0-80% dipenuhkan dalam masa hanya 30 minit.

    Seperti yang diketahui, kerajaan Malaysia kini sedang memberikan insentif pengecualian duti dan eksais bagi EV yang diimport sepenuhnya (CBU). Jadi boleh dijangka Toyota bZ4X ini juga bakal dijual pada harga kompetitif dan tidak jauh berbeza dari pasaran lain. Untuk rekod, di Jepun bZ4X dijual pada harga bermula enam juta yen (RM196,685), manakala di United Kingdom pula dijual pada harga 45,710 pound (RM238,962).

    Toyota bZ4X sudah dilihat di Malaysia – bakal dilancarkan, EV dengan jarak gerak sejauh 500km

    Dua unit terawal ini berkemungkinan adalah unit yang dibawa untuk dibuat penilaian sebelum memuktamadkan spesifikasi sebenar bagi bZ4X pasaran Malaysia kelak.

    Antara kelengkapan yang boleh dilihat pada dua unit ini termasuk lampu luaran LED, set rim 20-inci, paparan instrumen digital tujuh-inci, skrin infotainmen 12.3-inci, pendingin hawa dua zon dengan liang udara belakang, pengecas telefon pintar tanpa wayar, upholsteri kulit sintetik, tempat duduk pemandu dan pintu tailgate bantuan elektrik dan juga sistem bantuan pemanduan keselamatan Toyota Safety Sense.

     
     
  • PLUS umum R&R Seremban selatan ditutup hingga tarikh diberitahu kelak – stesen minyak dibuka

    PLUS umum R&R Seremban selatan ditutup hingga tarikh diberitahu kelak – stesen minyak dibuka

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah memaklumkan kawasan rehat dan rawat (R&R) Seremban arah selatan di Lebuhraya Utara-Selatan ditutup sepenuhnya buat sementara waktu mulai hari ini, 6 Januari 2023. Penutupan tersebut akan berlangsung sehingga ke tarikh yang bakal dimaklumkan kelak,

    Menurut PLUS, penutupan R&R terbabit bertujuan bagi meneruskan kerja-kerja pembinaan dan penambahbaikan untuk keselesaan di masa hadapan. “Walau bagaimanapun, kemudahan di stesen minyak Petronas dan Shell beroperasi seperti biasa,” menurut kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya, pengguna juga digalakkan untuk menggunakan kemudahan Surau dan Tandas di kawasan berhampiran seperti Hentian Sebelah Nilai (Arah Selatan), Plaza Tol Bandar Ainsdale dan Hentian Sebelah Senawang (Arah Selatan).

     
     
  • Toyota beritahu hibrid masih adalah teknologi elektrik paling sesuai untuk Malaysia – Innova HEV bakal tiba?

    Toyota beritahu hibrid masih adalah teknologi elektrik paling sesuai untuk Malaysia – Innova HEV bakal tiba?

    Dalam usaha untuk mengurangkan emisi karbon, Toyota telah mengambil pelbagai langkah teknologi untuk memberi sokongan kepada kepelbagaian keperluan dan keadaan pasaran di seluruh dunia. Meskipun telah memasuki dunia kenderaan elektrik bateri (BEV) dengan pengenalan bZ4X, kenderaan elektrik hibrid (HEV) bagaimanapun masih lagi menjadi fokus utama pengeluar dari Jepun itu.

    Di Malaysia, satu-satunya HEV yang dipasarkan adalah Corolla Cross Hybrid, dilancarkan Januari tahun lalu. Tidak seperti Prius dan Prius C sebelum ini yang diimport sepenuhnya, crossover2 itu pula adalah model elektrik petrol pertama yang dipasang oleh syarikat itu di dalam Malaysia (CKD).

    Untuk tahun 2023, UMW Toyota Motor (UMWT) memberitahu akan menambah satu lagi model HEV, sambil menyatakan bahawa teknologi hibrid adalah jenis elektrifikasi yang paling sesuai untuk negara kita. “Kami akan terus membuat penilaian untuk beberapa pilihan berbeza dan memperkenalkannya mengikut kesesuaian. Buat masa sekarang, kami percaya HEV adalah paling sesuai untuk rakyat Malaysia dan akan menambah model HEV kedua pada tahun 2023,” kata presiden UMWT, Ravindran Kurusamy.

    Model sebenar yang akan dilancar itu tidak diberitahu secara tepat (serta juga sama ada ia akan dipasang di dalam negara atau diimport), tetapi mengikut pandangan kami, yang nampak berpotensi adalah Innova terbaru, di mana ia ada menerima penggerak hibrid bagi model generasi ketiga.

    Di negara jiran, Indonesia, varian hibrid MPV tersebut dipanggil sebagai Kijang Innova Zenix Hybrid EV dan menggunakan enjin petrol empat silinder NA 2.0 liter M20A-FXS berkuasa 152 PS pada 6,000 rpm dan tork 187 Nm dari 4,400 hingga 5,200 rpm sebagai penggerak utama.

    Ia kemudiannya dibantu oleh motor elektrik berkuasa 113 PS dan 205 Nm, untuk menjadikan kuasa keseluruhan 186 PS. Bateri nickel–metal hydride (Ni-MH) untuk motor ini diletakkan di bawah dua tempat duduk hadapan, dan ia dipilih bagi menyesuaikannya dengan keadaan cuaca panas di negara itu.

    Toyota beritahu hibrid masih adalah teknologi elektrik paling sesuai untuk Malaysia – Innova HEV bakal tiba?

    Casis ladder frame IMV yang digunakan pada model Innova sebelum ini juga sudah digantikan dengan Toyota New Global Architecture (TNGA), atau lebih tepat lagi versi GA-C yang juga digunakan untuk Corolla Cross Hybrid CKD di negara kita.

    Model HEV lain yang dipasarkan di Indonesia adalah seperti Corolla Altis Hybrid, C-HR Hybrid dan Camry Hybrid, tetapi kita masih belum mengetahui model manakah sebenarnya yang akan diperkenalkan oleh UMWT untuk Malaysia. Bersama kita nantikan pengumuman seterusnya.

     
     
  • JSPT KL beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 10-12 Jan 2023 di Balai Polis Jalan Tun H.S Lee

    JSPT KL beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 10-12 Jan 2023 di Balai Polis Jalan Tun H.S Lee

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah mengumumkan program penawaran diskaun saman trafik sehingga 50% pada 10 hingga 12 Januari 2023, dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang bertempat di Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S.Lee.

    Menurut Facebook rasmi JSPT KL, individu yang ingin mendapatkan pengurangan kadar saman ini tidak boleh membuat pembayaran melalui laman web MYEG. “Bayaran secara dalam talian hanyalah melalui mybayarsaman dan OKS (orang kena saman) perlu hadir (ke balai polis trafik berkenaan) bagi mendapatkan barcode diskaun mybayarsaman,” kata pengendali FB JSPT KL.

    Selain itu, OKS boleh mewakilkan individu lain untuk membayar saman di balai polis berkenaan, tetapi bukan melalui mybayarsaman. “Orang awam yang ingin melakukan pembayaran perlu membuat semakan saman terlebih dahulu kemudian pindaan saman dan seterusnya pembayaran saman.

    “Pembayaran boleh dibuat dengan menggunakan tunai, kad debit atau kad kredit. Tetapi admin galakkan bayar secara tunai untuk mengelakkan masalah semasa pembayaran (merchant terminal pembayaran jika menggunakan kad debit/kredit),” sambung pengendali FB JSPT KL lagi sambil mengesahkan individu yang dari luar Kuala Lumpur yang ingin membayar saman ini juga layak mendapatkan pengurangan kadar saman tersebut. Tapi kena dapatkan barcode diskaun sekiranya membuat pembayaran menerusi mybayarsaman.

    Walau bagaimana pun, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, dan saman ubahsuai ekzos.

     
     
  • Toyota jual lebih 100k kenderaan di M’sia pada 2022 – naik 40%, kekal jenama bukan nasional nombor satu

    Toyota jual lebih 100k kenderaan di M’sia pada 2022 – naik 40%, kekal jenama bukan nasional nombor satu

    Toyota mengekalkan kedudukan sebagai jenama kenderaan bukan nasional nombor satu secara keseluruhan di Malaysia selepas menjual 100,042 buah kenderaan pada tahun 2022. Apabila dicampur pula dengan jumlah jualan Lexus sebanyak 993 unit, secara keseluruhannya UMW Toyota berjaya menjual 101,035 unit, iaitu 40% lebih tinggi berbanding jumlah 72,394 yang dicatat pada tahun 2021.

    “Kami berbesar hati dapat memberikan senyuman dan kegembiraan kepada ramai pelanggan seluruh negara, dan berterima kasih kepada setiap seorang daripada mereka kerana memberikan sokongan. Saya juga mahu menyampaikan rasa penghargaan kepada semua pekerja, pengedar dan rakan kongsi kerana dapat mengatasi tahun yang mencabar,” kata presiden UMWT, Ravindran K.

    Tahun 2022 menyaksikan UMWT mencatat jualan yang tinggi dalam kategori SUV segmen C, dengan 17,208 unit Corolla Cross berjaya dijual. Seperti yang dijangka, Hilux mendominasi segmen trak pikap dengan jualan 27,198 unit, sementara Hiace (390 unit) dan Fortuner (3,432 unit) pula masing-masing mendahului segmen van satu tan dan wagon kegunaan ringan.

    UMWT juga berbangga dengan operasi bahagian servis pelanggan (selepas jualan) mereka yang melepasi 1.25 juta kenderaan, dan ia dikatakan sebagai satu tanda kepada “tahap servis selepas jualan yang luar biasa”, di bawah inisiatif Extra Mile mereka.

     
     
  • UMWT siar senarai harga 2023 – Corolla Cross, Hilux, Fortuner naik hingga RM5k; Alphard, Vellfire gugur

    UMWT siar senarai harga 2023 – Corolla Cross, Hilux, Fortuner naik hingga RM5k; Alphard, Vellfire gugur

    Selepas mengemaskini harga bagi Toyota Corolla dan Camry untuk pasaran Malaysia, UMW Toyota Motor (UMWT) turut menyiarkan senarai harga untuk barisan modelnya yang lain.

    Salah satunya ialah Corolla Cross, yang menyaksikan peningkatan harga mulai 3 Januari 2023. Bagi varian asas 1.8G, kini berharga RM130,400 (+RM2,097), diikuti dengan 1.8V berharga RM137,400 (+RM2,971) dan model spesifikasi penuh 1.8 Hybrid dengan harga RM142,000 (+RM2,009).

    Model Fortuner turut terlibat dengan kenaikan harga sehingga RN5,000 bagi ketiga-tiga variannya, dengan 2.4 AT 4×4 kini berharga RM184,880, RM225,880 bagi 2.8 VRZ AT 4×4 dan harga varian tunggal petrol ini mencecah RM191,880.

    Untuk Hilux pula, empat varian bagi trak pikap ini (2.4 Single Cab 4×4 MT, 2.4E 4×4 AT, 2.4V 4×4 AT dan 2.8 Rogue 4×4 AT) menyaksikan peningkatan harga sehingga RM3,000.

    UMWT siar senarai harga 2023 – Corolla Cross, Hilux, Fortuner naik hingga RM5k; Alphard, Vellfire gugur

    Sementara itu, varian 2.4E 4×4 MT yang menggantikan model terdahulu 2.4G MT 4×4 dinaikkan harga sebanyak RM2,000, kini menjadi RM112,880. Kenderaan komersil yang juga ditawarkan pada harga yang lebih mahal termasuklah van panel Hiace, naik sebanyak RM5,000 menjadi RM113,000. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

    Selain dari perubahan harga yang disebut ini termasuklah Corolla dan Camry, harga bagi model lain masih dikekalkan. Ini termasuklah model Vios, Yaris dan Veloz yang tiada perubahan harga.

    Untuk Rush dan Harrier pula, menerusi paparan laman web Toyota Malaysia, kedua-dua SUV ini masih disenaraikan di dalam senarai harga 2022. Harrier telah ditambahbaik [ada bulan Oktober lalu, yang tika itu turut menerima kenaikan harga termasuklah pengenalan bagi varian baharu Luxurt SE.

    Manakala, bagi Rush pula, kemaskini terakhir bagi harganya dilakukan ketika pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berakhir pada 30 Jun 2022, di mana harga bagi varian 1.5G dan 1.5S naik masing-masing sebanyak RM4,686 dan RM5,115. Bagi MPV premium, Alphard dan Vellfire pula tidak tersenarai di laman web terbabit, sementara GR Yaris dan GR Supra masih disenaraikan tanpa harga.

     
     
  • JPJ sedang bangunkan aplikasi untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu atas talian – Loke

    JPJ sedang bangunkan aplikasi untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu atas talian – Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa proses digitalisasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bukan hanya terhenti pada penyediaan kiosk layan diri yang kini diperluas ke lebih banyak lokasi dan waktu operasinya dipanjangkan di luar waktu pejabat.

    Menurut Loke dalam hantaran akaun Facebooknya, selepas ini JPJ turut bakal memperkenalkan aplikasi telefon pintar yang bakal menawarkan servis sama seperti kiosk layan diri berkenaan, tetapi lebih selesa kerana ia boleh digunakan di mana sahaja.

    “Proses digitalisasi JPJ tidak akan berhenti di peringkat kiosk sahaja tetapi kita akan terus berusaha menawarkan perkhidmatan melalui online.

    “Bayangkan, pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan melalui aplikasi dalam smartphone anda! Kan mudah dan pantas? Ya, JPJ sedang berusaha ke arah tersebut!” kata Loke.

    Ini bermakna selepas aplikasi berkenaan diperkenalkan kelak, kita bukan sahaja tidak lagi perlu beratur di mana-mana cawangan JPJ mahupun pejabat pos untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan kerana ia boleh dibuat secara atas talian dengan hanya menggunakan telefon pintar.

    Walau bagaimanapun, Loke masih belum memperincikan bagaimana lesen atau cukai jalan baharu tersebut akan diserahkan kepada pelanggan – sama ada melalui pos ataupun serahan di kaunter fizikal.

    Buat masa sekarang anda sebenarnya sudahpun boleh memperbaharui cukai jalan dan juga lesen memandu secara atas talian menerusi aplikasi atas talian MyEG. Menerusi aplikasi ini, segala pembayaran juga dibuat secara atas talian dan dokumen yang telah siap akan dihantar ke rumah.

    Manakala untuk kiosk layan diri, ia kini sudah berada di cawangan-cawangan JPJ, premis-premis kerajaan dan juga stesen MRT terpilih. Dengan kiosk tersebut, anda tidak perlu lagi berurusan di kaunter dan dokumen baharu seperti pelekat cukai jalan, lesen memandu mahupun sijil pemilikan kenderaan (VOC) akan dicetak menerusi pencetak yang dilengkapkan pada kios tersebut.

     
     
  • Jambatan Pulau Pinang 1 dan 2 ditutup berperingkat mulai 6.30 pagi pada 8 Jan 2023 untuk acara berbasikal

    Jambatan Pulau Pinang 1 dan 2 ditutup berperingkat mulai 6.30 pagi pada 8 Jan 2023 untuk acara berbasikal

    PLUS Berhad telah memaklumkan bahawa Jambatan Pulau Pinang iaitu dari arah Pulau Pinang ke Seberang Perai akan ditutup sementara pada Ahad ini, 8 Januari 2023 mulai jam 6.30 pagi sehingga 9 pagi sempena Acara Kayuhan Berbasikal Penang Fellowship Ride 2023.

    Walau bagaimanapun, Jambatan Pulau Pinang dari arah Seberang Perai menghala ke Pulau Pinang masih beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh tersebut.

    “Orang ramai dinasihati supaya menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) sebagai jalan alternatif sepanjang tempoh penutupan Jambatan Pulau Pinang.

    “Rancang perjalanan anda dengan sebaik-baiknya, dan terima kasih atas perhatian dan kerjasama yang diberikan, “ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat konsesi berkenaan.

    Jambatan Pulau Pinang 1 dan 2 ditutup berperingkat mulai 6.30 pagi pada 8 Jan 2023 untuk acara berbasikal

    Dalam masa yang sama, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), pengendali bagi Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah turut mengumumkan penutupan sementara bagi laluan sehala (Plaza A dan Plaza B Bandar Cassia serta Plaza JK2PP dari arah Batu Kawan ke Batu Maung dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari, juga pada 8 Januari ini untuk acara yang sama.

    “Sehubungan itu, para pengguna dinasihati menggunakan Jambatan Pulau Pinang di bawah kendalian PLUS pada tempoh penutupan tersebut sebagai jalan alternatif. Sila patuhi isyarat papan tanda serta arahan yang diberikan,” kata JKSB.

    Kiranya acara berbasikal ini akan dilaksanakan di Jambatan Pulau Pinang dari jam 6 pagi hingga 9 pagi dan bersambung kayuhan melalui Jambatan Kedua Pulau Pinang pula hingga jam 12 tengahari.

     
     
  • Toyota Hilux GR Sport 2023 Australia diperkenal – lebih berkuasa, lebih lebar, rupa lebih garang!

    Toyota Hilux GR Sport 2023 Australia diperkenal – lebih berkuasa, lebih lebar, rupa lebih garang!

    Toyota Hilux GR Sport telah didedahkan di beberapa pasaran seperti Thailand, Indonesia, Jepun dan Eropah, di mana kesemuanya boleh dikatakan hanya menerima tingkat taraf kosmetik. Memperkenalkan, Toyota Hilux GR Sport 2023 pasaran Australia – ia bukan sahaja menampilkan rupa yang jauh lebih garang, malah lengkap dengan talaan semula pada suspensi, brek dan juga enjin yang lebih berkuasa!

    Menurut Toyota, Hilux GR Sport 2023 ini merupakan model off-road halo buat jenama tersebut dan ia diispirasikan dari jentera rali Toyota Hilux yang bertanding dalam Rally Dakar, serta menampilkan pengendalian yang mudah diagak dan prestasi pemanduan yang berkuasa.

    Untuk rupa luaran, Hilux GR Sport 2023 pasaran Australia ini menampilkan rupa yang berbeza dari versi pasaran lain dan didakwa turut dibangunkan dengan terowong angin bagi memberikan fungsi aerodinamik lebih baik. Pada bahagian muka ia diberikan gril dengan skrip ‘Toyota’ pada kedudukan lebih tinggi dan kemasan sebelah bawah berbeza dengan ruang liang udara lebih banyak.

    Toyota Hilux GR Sport 2023 Australia diperkenal – lebih berkuasa, lebih lebar, rupa lebih garang!

    Bampar hadapan juga kelihatan jauh berbeza dengan perumah lampu kabus tidak bersegi dan panel skid plate yang lebih agresif dalam kemasan perak. Malah bampar hadapan Hilux GR Sport ini juga direka bagi memberikan sudut approach dan jarak kelegaan tanah yang lebih baik.

    Logo eksklusif GR pula ditampal pada gril hadapan dan juga pintu tailgate belakang. Malah logo GR yang besar juga dapat dilihat pada panel kemasan bed belakang.

    Sama seperti Hilux Rogue 2022 pasaran Australia sebelum ini, Hilux GR Sport ini juga datang dengan overfender yang jauh lebih lebar dalam kemasan Satin Black, sekaligus memberikan rupa yang jauh lebih agresif. Ia bukan hanya untuk kosmetik semata-mata kerana suspensi Hilux GR Sport ini juga telah di ubah bagi memberikan jarak trek roda yang lebih lebar.

    Toyota Hilux GR Sport 2023 Australia diperkenal – lebih berkuasa, lebih lebar, rupa lebih garang!

    Ia dibuat dengan memadankan rekaan wishbone baharu pada sebelah hadapan dan juga gandar belakang yang lebih lebar dan diperkuat. Secara keseluruhan perubahan ini memberikan jarak trek roda hadapan dilebarkan sebanyak 140 mm dan belakang bertambah 155 mm.

    Penyerap hentak juga diberikan perubahan dengan pemadanan unit monotube dengan daya redaman serta penyisihan haba lebih tinggi dan spring lingkaran lebih keras. Imbangan talaan suspensi hadapan dan belakang di optimalkan bagi memberikan pengendalian luar biasa. Kestabilan trak pikap ini juga dipertingkat menerusi sudut oleng yang dikurangkan dan ia turut memerikan respon stereng yang lebih tepat.

    Menurut Toyota, talaan suspensi ini membolehkan pemandu “menikmati adrenaline kenderaan yang sporty tanpa mengorbankan keselesaan pemanduan setiap hari.”

    Toyota Hilux GR Sport 2023 Australia diperkenal – lebih berkuasa, lebih lebar, rupa lebih garang!

    Untuk menghentikan Hilux GR Sport ini, ia diberikan set brek hadapan yang lebih besar terdiri dari cakera berliang dengan angkup empat omboh dalam kemasan merah. Dan di belakang, brek dram pada Hilux biasa tidak lagi digunakan dan digantikan dengan brek cakera bersama angkup omboh tunggal yang turut diberi kemasan merah.

    Set roda Hilux GR Sport ini pula terdiri dari set rim 17-inci dengan jejari berbeza dari Hilux biasa dalam kemasan hitam berkilat, dibalut dengan tayar All-terrain Bridgestone Dueler 265/65R17. Ia juga menerima kelengkapan ‘pertahanan’ tambahan untuk laluan off-road seperti skid plate sebenar di bawah ruang enjin, pemijak sisi logam dari jenis rock rail serta dua cangkuk penyelamat belakang dalam kemasan merah.

    Toyota Hilux GR Sport 2023 ini masih dijana oleh enjin 1G-FTV 2.8 liter empat-silinder yang sama seperti Hilux pasaran lain termasuk Malaysia. Namun ia telah menerima talaan semula pada suntikan bahan api dan juga kemaskini yang dibuat pada pengecas turbo bagi mengerah 224 PS (165kW) pada takat 3,000 rpm dan tork maksima 550 Nm pada takat 2,800 rpm.

    Toyota Hilux GR Sport 2023 Australia diperkenal – lebih berkuasa, lebih lebar, rupa lebih garang!

    Ia adalah 10% lebih berkuasa berbanding kuasa asal pada kadar 204 PS dan tork maksima 500 Nm dan Toyota menyatakan bahawa ini adalah Hilux paling berkuasa pernah ditawarkan di Australia. Angka kuasa tersebut sebenarnya sama dengan Hilux GR Sport pasaran Afrika Selatan yang diperkenalkan tahun lalu.

    Enjin berkenaan masih dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan, tetapi ia turut menerima talaan semula pada pemetaan dan kawalan lock-up bagi mengoptimakan penghantaran kuasa ke roda. Walau bagaimanapun, tiada sebarang catatan prestasi didedahkan untuk Hilux Gr Sport 2023 ini.

    Toyota Hilux GR Sport ini menerima tema hitam monokromatik pada bahagian kabin. Ia juga diberikan perincian seperti roda stereng balutan kulit GR dengan penanda pukul 12 berwarna merah dan pedal penukar gear, set pedal aloi, tempat duduk sport dengan sulaman logo GR pada perehat kepala dan juga tali pinggang keledar berwarna merah.

    “Hilux GR Sport menyerlahkan semangat kejayaan Toyota di Dakar sebagai hardcore 4WD yang akan menarik pelanggan yang mahukan versi off-road terunggul kenderaan paling laris di Australia,” kata naib presiden untuk jualan, pemasaran dan operasi franchise Toyota Australia, Sean Hanley.

    “Ia telah direka bentuk untuk menarik perhatian dengan penggayaan yang agresif serta diperkuat dengan peningkatan prestasi, pengendalian ketika kelajuan tinggi yang dipertingkatkan dan cengkaman yang lebih baik pada jalan permukaan tanah.

    “Terima kasih kepada penglibatan meluas pereka dan jurutera tempatan kami, Hilux GR Sport ialah kenderaan yang menyeronokkan untuk dipandu yang akan membawa keupayaan dan keseronokan baharu kepada gaya hidup pengembaraan pelanggan di Australia,” tambahnya.

    Toyota Hilux GR Sport 2023 Australia diperkenal – lebih berkuasa, lebih lebar, rupa lebih garang!

    Toyota Hilux GR Sport 2023 pasaran Australia ini sememangnya dibangunkan oleh Toyota Australia, namun ia turut mendapat kerjasama dari pasukan jurutera Toyota dari Thailand, Jepun dan Amerika Latin.

    Ia hanya dihasilkan dalam bentuk badan Double-Cab; harganya masih belum diumumkan dan dijangka akan dilancarkan secara rasmi di negara berkenaan pada separa kedua 2023. Ok, sekiranya Hilux GR Sport 2023 ini dibawa ke Malaysia, mana pilihan anda – ini atau Ford Ranger Raptor?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025