Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GAC GS3 2023 terdedah – bentuk luar lebih bersegi, lebih besar, enjin petrol 1.5L turbo 175 hp, RM54k

    GAC GS3 2023 terdedah – bentuk luar lebih bersegi, lebih besar, enjin petrol 1.5L turbo 175 hp, RM54k

    Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Car News China, GAC Trumpchi GS3 2023 dikatakan telah terdedah melalui kementerian industri dan teknologi informasi China, menampakkan keseluruhan bahagian luar SUV segmen B tersebut. Ia lebih banyak menggunakan garisan tajam dan bersegi, berbanding model sebelumnya yang dijual di Malaysia sejak hujung tahun lalu. Di China, GS3 ini akan dijual pada harga bermula 85,000 yuan (RM53,853).

    Berdasarkan dokumen yang dihantar kepada kerajaan China itu, GAC GS3 2023 mencatat ukuran panjang 4,410 mm, lebar 1,850 mm dan tinggi 1,600 mm, dengan jarak roda 2,650 mm. Ini menjadikan ia sedikit lebih besar berbanding model sebelumnya yang mencatat panjang 4,358 mm, lebar 1,825 mm, tinggi 1,660 mm/1,685 mm (dengan rel bumbung atau tidak) dan jarak roda 2,560 mm.

    Ukuran ini juga berada dalam lingkungan untuk model segmen B, seperti Proton X50 dan Honda HR-V. Menurut Car nes China, penggerak GS3 adalah enjin petrol 1.5 liter turbo berkemampuan 175 hp dan boleh membawa ia mencecah kelajuan maksimum sehingga 190 km/j.

    Lukisan yang disediakan oleh GAC juga memberi gambaran kepada bahagian dalam, atau sekurang-kurangnya bahagian papan pemuka, yang menampakkan perubahan radikal berbanding model sebelum ini. Dua skrin lebar dapat dilihat, iaitu di depan pemandu dan juga di bahagian tengah.

    Turut dapat dilihat adalah pakej penggayaan berbeza untuk GS3, yang menurut Car News China adalah petunjuk kepada varian R. Antara perubahan yang diberi untuk kit lebih sporty ini adalah lencana R, kemasan oren, tambahan pada bampar hadapan, muncung ekzos di tengah, diffuser besar untuk bampar belakang, rekaan rim khas serta bumbung panoramik.

    Di Malaysia, GAC GS3 2022 dijual melalui Warisan Tan Chong Automotif (WTCA) sebagai sebuah kenderaan import penuh (CBU), dengan harga RM88,800 untuk varian Standard dan RM96,800 untuk varian Premium. Dengan pengecualian cukai yang sudah berakhir, harganya di dalam laman web sekarang sudah bertukar menjadi RM96,800 untuk Standard dan RM105,800 untuk Premium

     
     
  • Proton eksport 5,028 kenderaan sehingga Nov 2022

    Proton eksport 5,028 kenderaan sehingga Nov 2022

    Perniagaan eksport Proton semakin berkembang bagi tahun 2022, dengan pengeluar tersebut mengumumkan sehingga bulan November 2022 mereka telah berjaya menghantar 5,028 buah kenderaan untuk pasaran di luar Malaysia.

    Jumlah ini bersamaan peningkatan 66.6% daripada jumlah 3,018 unit yang dicatat pada tahun 2021, dan syarikat mensasarkan tambahan lagi sebelum tahun ini berakhir. Sebelum ini, Proton menyatakan bahawa perniagaan eksport mereka berkembang sehingga 50% pada tahun 2020, berbanding tahun 2019, tetapi jumlah tepatnya tidak diberitahu.

    Pakistan terus menjadi pasaran eksport paling besar bagi Proton dengan 2,610 unit setakat ini (2022), diikuti Afrika Selatan di kedudukan kedua dan Brunei ketiga. Proton juga menyatakan dalam siaran akhbar bahawa Saga masih lagi model eksport paling popular, diikuti X70 dan seterusnya X50.

    “Jumlah eksport Proton terus berkembang dengan agresif ketika kami memasuki lebih banyak pasaran baru dan membina gabungan strategi CBU dan CKD bergantung kepada pasaran. Jualan eksport adalah antara tunjang utama untuk peningkatan jualan kami dan disebabkan itu, kami akan berusaha keras untuk terus berkembang secara agresif pada tahun-tahun akan datang dang menguatkan kedudukan kami sebagai pengeksport kenderaan utama di Malaysia,” kata pengarah jualan antarabangsa Proton, Steven Xu.

     
     
  • Volkswagen Tiguan Allspace Life kini berharga RM160,590 – murah RM13k, hantar mulai Jan 2023

    Volkswagen Tiguan Allspace Life kini berharga RM160,590 – murah RM13k, hantar mulai Jan 2023

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan harga yang lebih rendah buat Volkswagen Tiguan Allspace Life, yang kini berharga RM160,590 atas jalan tanpa insurans. Pelarasan harga ini adalah serta-merta dan penghantarannya akan bermula Januari 2023 ini.

    Tiguan Allspace Life diperkenalkan pada Ogos lalu ini sebagai varian asas bagi SUV tiga barisan, tujuh tempat duduk untuk model Tiguan Allspace, bersama dengan varian Elegance dan R-Line. Harga sewaktu pelancarannya ialah RM173,590 atas jalan tanpa insurans, jadi harga terbaharu yang diumumkan ini melibatkan pengurangan sebanyak RM13,000.

    Tiada perubahan pesifikasi, di mana pembeli tetap menerima elemen sedia ada pad Life termasuk enjin 1.4 liter pengecas turbo dengan 150 PS dan 250 Nm dari 1,500-3,500 rpm. Pacuan disalurkan dari unit TSI ke roda hadapan menerusi transmisi DSG dwi-klas basah enam-kelajuan. Penggunaan bahan api dianggarkan pada 7.7 liter bagi setiap 100 km (13 km/l). Penjana kuasa ini sama dengan varian Elegance yang berharga RM189,590.

    Volkswagen Tiguan Allspace Life kini berharga RM160,590 – murah RM13k, hantar mulai Jan 2023

    Life juga berkongsi rekaan luaran yang sama dengan varian Allspace yang lain, dengan elemen penggayaan termasuk gril hadapan yang lebih bergaya dengan jaluran lampu signatur Volkswagen di antara lampu utama LED penuh dan kemasan spesifikasi ‘Allspace’.

    Ciri lain termasuk lampu belakang LED, perumah cermin sisi warna perak dan juga roda aloi tona perak Frankfurt 18-inci dengan dibaluti tayar 235/55 seperti yang turut ditampilkan pada varian Elegance.

    Senarai kit dalaman bagi Life masih lebih kurang sama dengan varian Tiguan yang lain, termasuklah roda stereng pelbagai-fungsi balutan kulit, kawalan suhu tiga-zon Climatronic (dengan corong di belakang), kluster instrumen Digital Cockpit 11.7-inci, sistem infotainmen skrin sesentuh Discover Pro 9.2-inci, fungsi navigasi, sokongan tanpa wayar bagi Android Auto dan Apple CarPlay yang diberikan secara standard.

    Klik untuk besarkan risalah spesifikasi

    Bagi aspek keselamatan, Allspace Life dilengkapi dengan enam beg udara, kawalan kestabilan, bantuan menurun bukit dan cagak Isofix untuk tempat duduk penumpang hadapan dan barisan kedua, serta bantuan kekal lorong dan kepekaan pemandu, tetapi tidak diberikan brek kecemasan sendiri.

    Dengan harga RM160,590 atas jalan tanpa insurans, iaitu RM13,000 lebih murah berbanding sebelum ini, Tiguan Allspace Life turut didatangkan dengan waranti lima-tahun tahun tanpa had perbatuan, tiga-tahun penyelenggaran percuma dan lima-tahun bantuan tepi jalan percuma.

    Lima warna pilihan bagi luaran diberikan termasuk Atlantic Blue, Platinum Grey dan Pyrite Silver metallics dan Deep Black dengan Oryx White.

    GALERI: Volkswagen Tiguan Allspace Life

     
     
  • GWM Ora Grand Cat dipertontonkan di Thai – EV dengan 408 PS, jarak gerak 705 km; bakal ke M’sia?

    GWM Ora Grand Cat dipertontonkan di Thai – EV dengan 408 PS, jarak gerak 705 km; bakal ke M’sia?

    Dalam Thailand International Motor Expo edisi tahun 2022 yang berakhir awal bulan ini, Great Wall Motors (GWM) telah menganjurkan acara ‘Light Your Future’ yang turut mempertontonkan Grand Cat. Turut dikenali sebagai Lightning Cat, kenderaan elektrik (EV) ini dilancarkan secara rasmi di negara kelahirannya, China, pada awal November lalu dan ditawarkan pada harga antara 189,800 dan 269,800 yuan (RM120,418 dan RM171,155) dengan insentif.

    GWM Thailand tidak memberikan sebarang perincian untuk spesifikasi atau harga Grand Cat ini, walau bagaimana pun Autolifethailand mengesahkan EV tersebut bakal dijual pada tahun 2023. Model ini bakal menyertai model Good Cat yang telah dilancarkan di negara berkenaan sejak November lalu.

    Secara visual, Grand Cat kelihatan seperti versi Good Cat tapi dalam bentuk badan yang lebih panjang dan lebih lebar. Rekaannya agak mirip termasuk lampu utama bulat, kurang elemen gril hadapan, dan Grand Cat lebih menyerlah hasil pintu tanpa bingkai dan garisan yang ketara dari roda hadapan hingga ke pintu belakang.

    Pada bahagian sisinya, kelihatan roda 19-inci, garisan bumbung umpama coupe yang dikaitkan dengan Porsche Panamera. Di belakangnya, bentuk ala fastback dengan lampu bujur disambungkan pada tailgate yang disepadukan bersama active rear wing.

    Di dalamnya, Grand Cat mempunyai kabin yang lebih luas berbanding adiknya, Good Cat, selain menampilkan ciri yang lebih maju termasuk penampilan kluster instrumen digital 10.25-inci yang terbahagi pada tiga bulatan, roda stereng tiga-jejari premium serta skrin sesentuh 12.3-inci lebar freestanding.

    Konsol tengah dua tingkat juga memberikan lebih kemudahan buat pemandu, serta turut diberikan ruang storan dan perumah port pengecasan. Berdasarkan video yang dimuatnaik oleh GWM Thailand, unit yang dipamerkan di atas pentas adalah contoh pemanduan sebelah-kanan yang turut didatangkan dengan bumbung suria panoramik dan corong udara belakang.

    Untuk dimensinya, Grand Cat berukuran 2,870 mm iaitu 220 mm lebih panjang berbanding Good Cat. Selain itu, ia sepanjang mencecah 4,871 mm (+636 mm), lebar 1,862 mm (+37 mm), serta berketinggian 1,500 mm (-96 mm).

    GWM Ora Grand Cat dipertontonkan di Thai – EV dengan 408 PS, jarak gerak 705 km; bakal ke M’sia?

    Di China, Grand Cat (Lightning Cat), juga dibina dengan platform Lemon buatan GWM, menawarkan tiga konfigurasi penjana elektrik. Yang pertama, menampilkan bateri lithium iron phosphate (LFP) 63.9-kWh dengan jarak gerak 450 km mengikut standard WLTP (55 km ikut CLTC) dan kuasanya disalurkan ke motor elektrik yang dipasang di hadapan yang mampu memberikan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 340 Nm.

    Pilihan kedua pula ialah menggunakan motor elektrik yang sama tetapi dengan bateri LFP yang lebih padu iaitu 83.5 kWh, dengan anggaran jarak gerak 600 km ikut WLTP atau 705 km dengan CLTC. Motor elektrik ini menyalurkan kuasa ke pacuan semua-roda dan sistem output cecah 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan 680 Nm.

    Bagi pilihan ketiga pula mampu memberikan pecutan dari 0-100 km/j dalam 4.3 saat dan boleh capai kelajuan maksimum hingga 170 km/j. Ia memberikan jarak gerak yang sedikit kurang iaitu 495 km WLTP dan 600 km CLTC. GMW tidak memberikan informasi berhubung pengecasan, namun menyatakan bahawa status pengecasan bagi Grand Cat untuk 30-80% mampu capai dalam 30 minit, mungkin menggunakan pengecas pantas DC.

    GWM Ora Grand Cat dipertontonkan di Thai – EV dengan 408 PS, jarak gerak 705 km; bakal ke M’sia?

    Bagi ciri kelengkapannya, Grand Cat diberikan pencahayaan luaran LED, upholstery kulit, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi pengudaraan dan mengurut, kawalan suhu dwi-zon dengan penapis PM2.5 dan wangian, empat mod pemanduan dan sistem bantuan pemandu (kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, bantuan kesesakan trafik, bantuan di selekoh, brek kecemasan sendiri, pemantauan titik buta dan banyak lagi).

    Dengan tambahan kos, pelanggan di China berpeluang menerima sistem bantuan pemanduan pintar
    Ora-Pilot 3.0 yang termasuk 10 kameram lima penderia radar, 12 penderia radar ultrasonic dan tiga kamera internal untuk pemanduan sendiri Tahap 3 dengan pemantauan pemandu.

    Dengan pengesahan Grand Cat bakal dijual di Thailand, adakah kebarangkalian ia juga akan tiba di pasaran Malaysia? Untuk pengetahuan anda, model dalam barisan Ora termasuk Black Cat, White Cat, Punk Cat dan Big Cat (berasaskan Wey Macchiato).

    GALERI: GWM Ora Grand Cat dipertontonkan di Thailand

    GALERI: GWM Ora Lightning Cat

     
     
  • Proton hantar kenderaan unit ke-1,000 ke Afrika Selatan hanya selepas 2 bulan kembali ke sana

    Proton hantar kenderaan unit ke-1,000 ke Afrika Selatan hanya selepas 2 bulan kembali ke sana

    Baru sahaja sekitar dua bulan di pasaran Afrika Selatan selepas ia dilancarkan semula di sana, Proton mengumumkan bahawa ia telah pun menghantar sejumlah 1,000 unit kenderaan ke negara berkenaan bagi memenuhi permintaan pasaran.

    “Penjualan pantas kenderaan kami di Afrika Selatan adalah bukti daya tarikan Proton sebagai jenama, dan rangkaian model kami kepada pembeli kereta di sana. Kami mempunyai hubungan kerja yang kukuh dengan Kumpulan CMH, dan mereka telah mengendalikan banyak aktiviti untuk memberikan peluang kepada seramai mungkin warga Afrika Selatan untuk merasai rangkaian model-model semasa kami” kata Steven Xu, Pengarah Jualan Antarabangsa Proton.

    Proton dilancarkan semula ke pasaran Afrika Selatan selepas menutup operasinya di sana selama 10 tahun. Ia kembali ke negara tersebut menerusi kerjasama dengan CMH Group yang dilantik sebagai pengedarnya pada bulan April 2022. Penghantaran pertama kenderaan yang terdiri daripada Proton X50 dan Proton X70 dibuat pada bulan Mei 2022 manakala pelancaran semula jenama dan produk berlangsung pada 14 September 2022.

    Proton hantar kenderaan unit ke-1,000 ke Afrika Selatan hanya selepas 2 bulan kembali ke sana

    Menurut Proton, CMH telah meluaskan rangkaian pengedaran secara berperingkat untuk meningkatkan akses kepada pasaran sambil turut aktif mempromosikan kenderaan Proton di media sosial. Buat masa sekarang, hanya model-model SUV Proton ditawarkan di negara itu, dan bakal diikuti Proton Saga pada tahun 2023. Proton dan CMH optimis terhadap prospek jualan di negara itu dan dengan prestasi jualan yang kukuh setakat ini dan menyasarkan untuk menggandakan jumlah jualan pada tahun 2023.

    “Proton dan CMH yakin mampu mengembangkan jualan secara eksponen di Afrika Selatan kerana sambutan yang kami terima setakat ini amat menggalakkan. Kami komited untuk menyediakan SUV mewah mampu milik untuk pembeli kereta di Afrika Selatan, dan Proton X50 dan Proton X70 mempunyai gabungan ciri dan nilai yang tepat untuk bersaing dengan jenama lain.

    “Dari segi spektrum yang lain, kami juga merasakan bahawa Proton Saga akan menemui posisinya sendiri dengan gabungan gaya, ciri canggih dan harga yang memberi nilai tinngi kepada pembeli,” tambah Steven Xu.

    Proton hantar kenderaan unit ke-1,000 ke Afrika Selatan hanya selepas 2 bulan kembali ke sana

    Proton turut mengumumkan bahawa jumlah eksportnya untuk 2022 kini sudahpun mencapai 5,028 unit sehingga akhir November lalu, berganda lebih banyak dari jumlah eksport tahun lalu walaupun berbaki satu lagi bulan untuk menutup tahun ini.

    Buat masa sekarang Pakistan masih kekal sebagai pasaran terbesar eksport Proton dengan 2,610 unit telah dihantar ke sana setakat tahun ini. Manakala Afrika Selatan pula adalah yang kedua terbesar dari segi jumlah walaupun merupakan tambahan baharu ke dalam senarai eksport, diikuti Brunei Darussalam di tempat ketiga.

    Bagi kedudukan model eksport, Saga kekal sebagai model paling popular Proton manakala jualan X70 telah meningkat hampir dua kali ganda jumlahnya tahun ini. Proton X50 pula berada di tempat ketiga tetapi telah meningkat tahun ini sebanyak tiga kali ganda setakat ini.

    “Volum eksport Proton terus berkembang secara agresif apabila kami memasuki lebih banyak pasaran baharu dan mewujudkan gabungan strategi CBU dan CKD yang bergantung kepada keadaan pasaran. Jualan eksport adalah salah satu tonggak pertumbuhan jualan kami dan oleh itu, kami akan berusaha untuk terus berkembang secara agresif pada tahun-tahun akan datang dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai pengeksport utama kenderaan untuk Malaysia,” kata Steven Xu.

     
     
  • MITI jumpa MAA, Proton, Perodua — tumpuan untuk bangunkan industri EV tempatan yang berdaya saing

    MITI jumpa MAA, Proton, Perodua — tumpuan untuk bangunkan industri EV tempatan yang berdaya saing

    Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) baru-baru ini mengadakan perjumpaan dengan pemain industri tempatan untuk berbincang tentang pembangunan industri EV tempatan.

    Ini didedahkan dalam satu hantaran di Twitter oleh Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong, yang mewakili MITI dan menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam sebuah perjumpaan bersama pemain industri tempatan, yang diwakili oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Proton dan Perodua.

    “Dalam perbincangan tentang masa depan industri automotif, ramai yang bersetuju bahawa pembangunan EV adalah jalannya untuk ke depan,” ujar Liew. “Pelaburan terhadap naik taraf teknologi, pengetahuan dan pemindahan kepakaran untuk membina industri tempatan yang mapan perlu menjadi matlamat utama industri automotif,” tambahnya.

    Lebih banyak insentif untuk pemain industri tempatan pastinya menjadi antara penawaran. September lalu, Ketua Setiausaha MITI, Datuk Lokman Hakim Ali menyatakan kementerian itu telah mencadangkan lebih banyak insentif EV dimasukkan ke dalam Bajet 2023.

    MITI jumpa MAA, Proton, Perodua — tumpuan untuk bangunkan industri EV tempatan yang berdaya saing

    “MITI dan beberapa lagi kementerian lain, agensi, pemain industri dan persatuan telah bersetuju untuk memberi lebih perhatian untuk membangunkan prasarana stesen pengecasan yang berkualiti dan cekap,” jelasnya.

    “Kami sedar keperluan untuk memastikan proses kawal selia berkenaan perlu diberi perhatian untuk memastikan persekitaran kondusif demi pertumbuhan industri EV. MITI bahkan telah menyediakan beberapa kertas cadangan untuk Bajet 2023: beberapa insientif untuk memastikan pemain industri tempatan mampu bersaing dalam ekosistem EV,” tambahnya lagi.

    Bajet 2023 yang dibentangkan Oktober lalu antaranya telah melanjutkan tempoh pengecualian duti import dan eksais bagi EV CBU sehingga 31 Disember 2024. Bagi EV CKD pula, penetapan terkininya adalah untuk diberikan pengecualian cukai sama sehingga 31 Disember 2025.

    Turut termasuk di dalamnya adalah pengecualian terhadap yuran “approved permit” bagi EV, yang berpotensi menjadikan EV import lebih murah, sekiranya syarikat menyalurkan penjimatan AP itu kepada pelanggan.

     
     
  • Elak Geely ambil alih Aston Martin, Lawrence Stroll tingkatkan pegangan saham Yew Tree Investment

    Elak Geely ambil alih Aston Martin, Lawrence Stroll tingkatkan pegangan saham Yew Tree Investment

    Oktober lalu Zhejiang Geely Holding Group telah mengumumkan bahawa ia kini telah memperolehi sejumlah 7.6% kepentingan dalam syarikat pembuat kereta sport dari British, Aston Martin. Ini membolehkan gergasi automotif dari China yang turut memiliki Lotus, Volvo, Polestar dan pelbagai jenama lain itu menjadi pemegang saham keempat terbesar dalam Aston Martin.

    Bimbang Geely akan terus membeli saham-saham dalam Aston Martin dan seterusnya menguasai terus jenama tersebut, pengerusi eksekutif Aston Martin, Lawrence Stroll menerusi Yew Tree investment group telah membesarkan lagi pegangan sahamnya dalam syarikat kereta sport berkenaan, lapor Autocar.

    Sebelum ini Yew Tree telahpun menjadi pemegang saham terbesar dalam Aston Martin dengan pegangan sebanyak 18.3%. Langkah terbaharu yang diambil ini menyaksikan suntikan dana sekitar £50 juta dibuat, membolehkan Yew Tree memegang kepentingan sebanyak 28.29% dalam Aston Martin.

    Elak Geely ambil alih Aston Martin, Lawrence Stroll tingkatkan pegangan saham Yew Tree Investment

    Geely berjaya memperolehi saham dalam Aston Martin dengan nilai £66 juta sebelum ini selepas pembuat kereta sport British berkenaan menerbitkan stok tambahan bernilai £654 juta. Langkah itu dibuat bagi membolehkan Aston Martin membayar hutang-hutangnya dan merendahkan beban bayaran faedah yang sedang ditanggung.

    Selain Geely, Aston Martin turut dimiliki oleh Saudi Public Investment Fund dengan pegangan saham 18.7% dan Mercedes-Benz dengan kepentingan 9.7%. Bloomberg melaporkan bahawa pemilik Geely, Li Shufu sememangnya berminat untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 10% lagi kepentingan bagi merapatkan lagi hubungannya dengan Aston Martin.

     
     
  • JPJ Terengganu sediakan perkhidmatan ganti dan baharui dokumen rosak akibat banjir secara percuma

    JPJ Terengganu sediakan perkhidmatan ganti dan baharui dokumen rosak akibat banjir secara percuma

    Bagi mangsa banjir di Terengganu yang berhadapan dengan masalah dokumen seperti lesen memandu Malaysia (LMM), lesen kenderaan motor (LKM) dan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) yang rosak atau hilang akibat bencana alam itu, jangan susah hati, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri terbabit bersedia untuk menggantikan atau memperbaharuinya secara percuma.

    Menurut Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin, pembaharuan dan penggantian secara percuma itu membabitkan dokumen yang rosak, hilang ataupun musnah akibat banjir yang luar biasa melanda di negeri tersebut, laporan Harian Metro.

    “JPJ sentiasa mengambil peranan dengan membantu mangsa yang terjejas banjir menerusi program penggantian dan pembaharuan lesen memandu, lesen kenderaan motor dan sijil pemilikan kenderaan secara percuma.

    JPJ Terengganu sediakan perkhidmatan ganti dan baharui dokumen rosak akibat banjir secara percuma

    “Prosedur yang dikenakan tidak sukar, dokumen yang mengalami kerosakan dan hilang, pemilik perlu hadir sendiri dengan mengemukakan dokumen asal yang rosak di mana-mana kaunter JPJ di negeri ini,” katanya.

    Jelasnya lagi, bagi dokumen yang hilang ataupun musnah akibat banjir, pemilik perlu mengemukakan salinan laporan polis atau salinan borang pendaftaran mangsa bencana yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ataupun pejabat daerah.

    “Pada masa sama kita juga akan berkolaboratif dengan pihak JKM bagi memudahkan lagi urusan mangsa banjir jika mereka tidak mengemukakan salinan dokumen yang diperlukan. Tiada tempoh tertentu diberikan kepada mangsa banjir untuk berbuat demikian, namun saya nasihatkan mereka perlu mohon seberapa segera sebaik sahaja keluar daripada Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya.

     
     
  • MIROS dan PLUS cari penunggang motosikal yang berminat untuk kajian sistem amaran perlanggaran

    MIROS dan PLUS cari penunggang motosikal yang berminat untuk kajian sistem amaran perlanggaran

    Setelah selesai dengan penghasilan prototaip dan ujian awal, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) kini bersedia untuk melakukan atas jalan sebenar untuk Sistem Amaran Perlanggaran Motosikal (MCAS) yang mereka bangunkan bersama PLUS.

    Bukan setakat melakukan ujian sendiri, MIROS juga mengajak orang awam untuk terlibat sama, dengan penyertaan kepada mereka yang berminat untuk terlibat dalam kajian rintis sistem ini sudah pun dibuka. Anda boleh mengisi borang saringan awal melalui pautan ini.

    Bagi meningkatkan kesan penyelidikan, MIROS telah menetapkan beberapa kriteria tertentu untuk pemilihan peserta kajian ini dan anda perlu menjawab siri soalan berkenaan perkara seperti latar belakang diri, tabiat tunggangan, pandangan terhadap keselamatan dan pelbagai lagi.

    Melihat kepada kenyataan yang terdapat dalam borang kajian itu, MIROS mensasarkan penglibatan penunggang motosikal sebenar yang menunggang motosikal untuk pergi dan pulang, atau untuk sebarang tujuan kerja di sekitar Lembah Kelang, Kedah dan Pulau Pinang.

    Menurut maklumat awal yang didapati sebelum ini, MCAS adalah satu sistem yang mampu mengesan kenderaan sama ada yang bergerak, ataupun berhenti di hadapan sesebuah motosikal, seterusnya mengeluarkan amaran kepada penunggang, supaya mereka dapat mengelakkan perlanggaran daripada berlaku.

    Sistem seperti ini bukanlah betul-betul baru kerana sudah diguna pakai pada motosikal produksi (dengan tambahan fungsi mengawal kelajuan dan membrek) seperti Ducati Multistrada V4, BMW R1250 RT dan Yamaha Tracer 9 GT+ tetapi MIROS menyatakan, sistem mereka dikatakan dapat memberi impak yang tinggi dengan melibatkan kos rendah, berasaskan pengguna dan mudah dipasang, termasuk pada model sedia ada.

     
     
  • Yamaha Avantiz ditawarkan dalam warna baru – RM6k

    Yamaha Avantiz ditawarkan dalam warna baru – RM6k

    Dilancarkan kali pertama untuk pasaran Malaysia pada tahun 2016, Yamaha Avantiz kini sekali lagi diberikan perubahan warna oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) bagi menjadikannya lebih segar dalam pasaran. Harga jualan skuter ini tidak termasuk insurans adalah RM5,998 dan diberi dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

    Melihat kepada rekod kami, ini adalah kali keempat Avantiz diberikan pembaharuan warna dan pilihan terbaru ini terdiri daripada warna kelabu dengan jalur kuning, cyan dengan jalur kuning serta merah dengan jalur putih. Rim untuk kesemuanya adalah berwarna hitam.

    Ciri teknikal dan spesifikasi skuter ini tidak berubah dan ia masih dipacu oleh enjin BlueCore satu silinder 125 cc berpenyejukan udara, dengan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI), yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.6 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Transmisi yang digunakan adalah jenis automatik tali sawat V, dan ia menyediakan tangki bahan api berkapasiti 4.2 liter. Di bawah tempat duduk skuter ini, terdapat ruang simpanan 14 liter, dan bahagian hadapannya menggunakan lampu utama jenis LED yang lebih terang.

    Rim pada model ini adalah bersaiz 14 inci dan di hadapannya terdapat fork teleskopik, brek cakera dan tayar 70/90, manakala di belakang menggunakan satu penyerap hentak, brek jenis dram dan tayar 90/80. Berat keseluruhan adalah 96 kg.

     
     
  • Semua jenama kereta perlu bersetuju dengan standard keselamatan minimum – Jean Todt beri pandangan

    Semua jenama kereta perlu bersetuju dengan standard keselamatan minimum – Jean Todt beri pandangan

    Duta khas setiausaha agung PBB untuk keselamatan jalan raya, Jean Todt menyatakan bahawa satu perjanjian di antara semua pengeluar kenderaan berkenaan standard keselamatan minimum untuk semua kenderaan baru yang dijual, boleh menjadi tonggak penting untuk aspek keselamatan automotif.

    Selain daripada itu, beliau juga menggesa pengguna supaya memeriksa informasi keselamatan sebelum membeli sesebuah kenderaan, sama ada baru ataupun terpakai. Ini merujuk kepada maklumat prestasi kenderaan tersebut dalam ujian perlanggaran, yang mana sepatutnya dapat membantu pelanggan membuat keputusan sebelum memiliki sesebuah kenderaan.

    “Saya berbesar hati untuk memperakui usaha MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) menerajui Program Penilaian Kenderaan Baru ASEAN (ASEAN NCAP). Dengan lebih 100 model kenderaan yang dijual di ASEAN sudah melalui ujian perlanggaran ini, saya percaya keputusannya telah memberi manfaat kepada berjuta pemilik kenderaan,” kata Todt dalam satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Motorist dan MIROS.

    Semua jenama kereta perlu bersetuju dengan standard keselamatan minimum – Jean Todt beri pandangan

    Protokol ujian kenderaan semasa ASEAN NCAP yang digunakan dari tahun 2021 ke 2025 membawa banyak tambahan parameter untuk sistem bantuan keselamatan, dan termasuk ujian untuk keselamatan motosikal. Model pertama yang diuji bawah protokol ASEAN NCAP 2021-2025 ini adalah Perodua Ativa, di mana ia mendapat penarafan penuh lima bintang pada tahun 2021.

    Penilaian sistem Autonomous Emergency Braking (AEB) dalam ASEAN NCAP pula dijalankan dalam dua bahagian; AEB City dan AEB Inter-Urban. AEB City menilai keberkesanan sistem tersebut dengan memacu kenderaan pada kelajuan antara 10km/j ke 60 km/j, ke arah kenderaan yang tidak bergerak.

    Sementara itu, AEB Inter-Urban pula menguji keberkesanan sistem dengan membawa kenderaan tersebut ke hadapan, pada kelajuan antara 30 km/j ke 60 km/j, ke arah satu lagi kenderaan lain yang bergerak pada kelajuan sekata. Ujian ini dibuat sebagai tambahan kepada ujian perlanggaran sedia ada untuk perlindungan penumpang dewasa (AOP) dan perlindungan kanak-kanak (COP).

     
     
  • MAA jangka permintaan EV naik pada 2023 kerana insentif — 2,093 unit terjual setakat Oktober 2022

    MAA jangka permintaan EV naik pada 2023 kerana insentif — 2,093 unit terjual setakat Oktober 2022

    Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad menjangkakan permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) akan meningkat dengan ketara pada 2023. Dalam satu laporan The Star, beliau berkata hal ini akan dipacu oleh insentif semasa yang disediakan oleh kerajaan serta pengenalan model EV yang lebih mampu milik di masa akan datang.

    Beliau menambah, setakat Oktober 2022, sejumlah 2,093 unit EV telah didaftarkan, dengan Fitch Solutions meramalkan angka berkenaan akan mencapai 4,449 unit tahun depan. “MAA percaya kita boleh mencapai angka ini di tahun 2023, dengan insentif cukai semasa untuk model pemasangan tempatan (CKD) dan model CBU,” ujarnya. Tahun lalu, hanya 274 unit EV yang terjual di Malaysia.

    Ketika ini, EV CKD dikecualikan daripada duti eksais serta cukai jualan, sementara komponen bagi EV pemasangan tempatan pula dikecualikan daripada duti import hingga 31 Disember 2025. Sementara itu, EV CBU pula dikecualikan daripada duti import dan eksais hingga 31 Disember 2024, seperti yang diumumkan dalam Bajet 2023.

    MAA jangka permintaan EV naik pada 2023 kerana insentif — 2,093 unit terjual setakat Oktober 2022

    Menurut Fittch Solutuions, jualan EV di Malaysia boleh melepasi 1% TIV menjelang 2024 dengan peningkatan permintaan ini, dan syarikat kajiselidik itu menjangakan kenderan plug-in hybrid (PHEV) akan kehilangan sedikit perkongsian pasarannya tahun depan.

    Awal bulan ini, Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sasarannya adalah untuk mencapai 15% TIV bagi kenderaan EV dan hibrid menjelang 2030, dan 38% menjelang 2040. Ini juga akan disertai oleh ketersediaan prasarana pengecasan lebih banyak, dengan 10,000 stesen pengecas awam menjelang 2025.

    Sasaran ini mampu dicapai, jelas Aishah, sekiranya insentif dikekalkan dan kerajaan laksanakan perancangan untuk memasang lebih banyak stesen pengecas di seluruh Malaysia. “Saya berharap kerajaan semasa akan terus memberi tumpuan dan galakan terhadap jualan EV,” jelasnya.

    MAA jangka permintaan EV naik pada 2023 kerana insentif — 2,093 unit terjual setakat Oktober 2022

    Minggu lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan EV yang lebih mampu milik akan menjadi faktor utama peningkatan jualan EV, dengan kerajaan sedang melihat untuk memperkenalkan EV di bawah harga RM100,000 dalam pasaran tempatan.

    “Kebanyakan EV ketika ini dijual pada harga lebih RM100,000, dan perhatian perlu dialihkan kepada segmen pasaran yang lebih luas, iaitu pada harga jualan di bawah RM100,000. Kerajaan sedang mencari jalan untuk memperkenalkan EV yang lebih murah itu,” katanya.

     
     
  • Proton X90 2023 dilihat makin kerap diuji, kali ini di Kuala Lumpur; bakal dilancarkan tahun depan?

    Proton X90 2023 dilihat makin kerap diuji, kali ini di Kuala Lumpur; bakal dilancarkan tahun depan?

    Baru sahaja kelibat SUV tujuh-tempat duduk Proton X90 dilihat diuji pada awal bulan ini, dan ia sekali lagi tampil dikhalayak ramai. Imej terbaharu dari pembaca kami, Izack Aizat ini dirakam ketika Proton X90 tersebut diuji oleh pasukan jurutera Proton untuk meredah kesesakan bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Sebelum ini, SUV berkenaan diuji dalam situasi berbeza termasuk dilihat ‘memanjat’ jalan berbukit di Genting Highland dan merentas Lebuhraya Utara Selatan. Dalam kedua-dua situasi tersebut, Proton turut dilihat menggunakan model keluaran jenama lain termasuk Kia Carnival generasi sebelum ini dan juga Mazda CX-8 sebagai kayu ukur.

    Proton X90 ini diasaskan dari Geely Haoyue untuk pasaran China, dan ia turut sudah dilancarkan di China dengan nama Geely Okavango.

    Di China, Geely Haoyue ditawarkan dalam versi lima- atau tujuh-tempat duduk. Namun ia hanya ditawarkan satu pilihan unit rangkaian kuasa iaitu enjin 1.8 liter empat-silinder turbo berkuasa 181 hp dan tork maksima 300 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan, sama seperti Proton X70 sedia ada.

    Proton X90 2023 dilihat makin kerap diuji, kali ini di Kuala Lumpur; bakal dilancarkan tahun depan?

    Manakala di Filipina, model ini diberikan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder yang digandingkan bersama sistem hibrid ringkas 48-volt. Ia menghasilkan kuasa keseluruhan 190 PS dan tork maksima 300 Nm, dan dipindahkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan.

    Tiada sebarang petunjuk rasmi diberikan oleh Proton berkenaan spesifikasi X90 pasaran Malaysia kelak. Namun ketika perasmian fasiliti baharu mereka di Tanjung Malim yang kini sudah mula memasang enjin 1.5 liter turbo dengan sistem suntikan terus (TGDI), Proton mendedahkan bahawa ia akan melancarkan tiga model baharu antara 2023 dan 2024, dan dua daripadanya adalah menggunakan enjin turbo tiga-silinder ini. Jadi salah satu model yang dikatakan tersebut berkemungkinan adalah X90.

    Proton ini sepatutnya dilancarkan pada pasaran Malaysia pada tahun ini. Namun disebabkan pandemik Covid-19, proses pembangunannya terjejas dan ia berkemungkinan besar akan diperkenalkan pada tahun hadapan.

     
     
  • Penunggang motosikal patut beralih ke pengangkutan awam; paling bahaya kepada paling selamat – MIROS

    Penunggang motosikal patut beralih ke pengangkutan awam; paling bahaya kepada paling selamat – MIROS

    Dalam satu sidang media yang diadakan semalam, pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Wong Shaw Voon menyatakan harapan supaya penunggang motosikal di Malaysia dapat beralih kepada pengangkutan awam untuk pergerakan harian.

    “Kami harap pada masa hadapan, kami dapat membawa kumpulan pengguna jalan ini dari cara pengangkutan yang paling bahaya kepada yang paling selamat, iaitu pengangkutan awam, seperti keretapi,” kata Wong.

    Menurut Wong, beliau sedar ini adalah satu sasaran yang sukar untuk dicapai, terutamanya di kawasan pedalaman, tetapi MIROS “mahu mendapatkan sokongan daripada semua orang” supaya pengguna jalan raya dapat memilih cara bergerak paling selamat seperti memilih kereta yang paling selamat, atau pengangkutan yang paling selamat.

    Penunggang motosikal patut beralih ke pengangkutan awam; paling bahaya kepada paling selamat – MIROS

    “Di Malaysia kita ada kumpulan penunggang motosikal yang bergerak jarak jauh setiap hari. Sebagai contoh, mereka mungkin tinggal di Serdang atau Kajang, bekerja di Shah Alam dan menggunakan motosikal setiap hari. Jaraknya adalah jauh, dan memakan masa (menggunakan motosikal), yang mana adalah tidak selamat dan tidak sihat untuk penunggang,” kata pengarah MIROS itu.

    Tambah Wong lagi, menunggang motosikal dalam jangka masa yang panjang selepas beberapa tahun boleh mendedahkan penunggang kepada masalah muskuloskeletal seperti tangan menggigil, sakit belakang, kebas dan pelbagai lagi.

    Daripada semua jenis pengangkutan yang ada, pengangkutan awam atas rel adalah yang paling selamat, terutama sekali apabila dibandingkan dengan motosikal, kata Wong. Selain daripada itu, beliau juga menyatakan bahawa walaupun pengguna pengangkutan awam sudah bertambah, ia masih tidak mencukupi.

     
     
  • Tempahan BYD Atto 3 di Malaysia sudah mencecah 1,000 unit hanya dalam 10 hari selepas dilancarkan

    Tempahan BYD Atto 3 di Malaysia sudah mencecah 1,000 unit hanya dalam 10 hari selepas dilancarkan

    Model SUV elektrik penuh yang juga model pertama diperkenalkan oleh gergasi automotif China, BYD pada pasaran Malaysia iaitu BYD Atto 3 kini sudahpun menerima tempahan mencecah 1,000 unit hanya selepas 10 hari dilancarkan pada pasaran tempatan.

    Jenama ini di bawa ke Malaysia oleh BYD SD Motors Malaysia (BYD SDM, satu lagi cabang Sime Darby Motors) dengan pelancaran yang dibuat pada 8 Disember lalu. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu Atto 3 Standard Range (SR) dijual pada harga RM149,800, dan juga Atto 3 Extended Range (ER) dijual pada harga RM167,800.

    BYD SDM turut menawarkan pakej pengenalan khas ketika pelancaran Atto 3 tempoh hari yang memberikan pengecas rumah mudah alih dan kabel V2l secara percuma serta kredit pengecasan awam bernilai RM1,000.

    Bagi model Atto 3 SR, ia datang dengan bateri berkapasiti 49.92 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 410 km dalam kitaran NEDC (345 km kitaran WLTP) untuk satu cas penuh. Manakala Atto 3 ER pula menerima bateri berkapasiti 60.48 kWj membolehkan ia dipandu sejauh 480 km dalam kitaran NEDC (420 km kitaran WLTP) dengan satu cas penuh.

    Atto 3 menerima unit bateri Blade yang dibangunkan sendiri oleh BYD, dan ia turut dibekalkan kepada pengeluar EV lain termasuk Tesla dan Toyota.

    Kedua-dua varian pasaran Malaysia ini menerima konfigurasi motor elektrik yang sama iaitu motor elektrik tunggal berkuasa 204 PS dan tork maksima 310 Nm, diletakkan pada bahagian hadapan untuk memacu hanya roda hadapan. Ini membolehkan kedua-dua varian ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat.

    Model ini diasaskan dari e-Platform 3.0 juga dibangunkan sendiri oleh BYD menggunakan seni bina elektrikal 400V. Ia menyokong pengecas AC sehingga 7 kW dengan penyambung Type 2, serta pengecas pantas DC dengan kadar 70 kW (SR) dan 80 kW (ER) menggunakan penyambung CCS2, membolehkan kadar cas 0-80% dipenuhkan dalam masa 45 minit. Atto turut mampu untuk membekalkan kuasa elektrik bagi kegunaan luar menerusi fungsi V2L.

    Kedua-dua varian Atto 3 pasaran Malaysia ini menerima kit kelengkapan standard seperti bumbung panaromik, cermin sisi dengan pemanas, paparan instrumen digital dengan skrin 5.0-inci, upholsteri kulit sintetik, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-hala (empat hala untuk tempat duduk penumpang hadapan), kamera 360-darjah, pemantau tekanan tayar, brek parkir elektrik dengan fungsi auto hold, lampu hadapan LED adaptif dan lampu belakang LED.

    Tempahan BYD Atto 3 di Malaysia sudah mencecah 1,000 unit hanya dalam 10 hari selepas dilancarkan

    Atto 3 ER dan SR ini juga menerima skrin sesentuh 12.8-inci yang boleh diputar untuk kedudukan landscape atau potret, enam pembesar suara, sistem pendingin hawa automatik, dashcam bina-dalam dan juga kad kunci NFC. Aplikasi Spotify juga sudah tersedia, manakala sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar bakal diterima dengan kemaskini perisian pada suku kedua 2023 nanti.

    Selain jarak gerak yang lebih jauh, varian ER turut menerima kit tambahan seperti pintu tailgate belakang bantuan kuasa, lampu suasana kabin dengan pelbagai warna dan mengikut irama pada pintu (hanya satu warna pada SR), lapan pembesar suara dengan sistem bunyi “Dirac HD”, penuras udara kabin PM2.5 dan juga pengecas telefon pintar tanpa wayar.

    Model ER ini juga menerima rim 18-inci dengan tayar 215/55R18, berbanding Atto 3 SR yang hanya diberikan set rim 17-inci dengan tayar 215/60R17.

    Untuk keselamatan, Atto 3 pasaran Malaysia menerima tujuh beg udara, brek parkir elektrik, enam sensor parkir, brek ABS dan kawalan kestabilan, sistem kawalan cengkaman, EBD, kawalan menuruni curam, kawalan melayar adaptif kelajuan penuh dengan Stop & Go, brek kecemasan autonomous (AEB), amaran perlanggaran belakang (RCW), pengesan titik buta (BSD), amaran buka pintu (DOW) dan amaran lintasan trafik di belakang.

    Kedua-dua varian SR dan ER menerima senarai kelengkapan keselamatan yang sama, dan BYD Atto 3 sudahpun menerima penarafan keselamatan lima-bintang dari Euro NCAP.

    BYD Atto 3 ini juga datang dengan waranti lengkap terdiri dari waranti pengeluar selama enam-tahun atau 150,000 km, waranti bateri EV Blade selama lapan-tahun atau 160,000 km, waranti untuk unit pacuan (motor elektrik, pengawal motor elektrik, pemasangan DC dan pemasangan kawalan elektrik) selama lapan-tahun atau 150,000 km.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025