Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton Pro-Net dan Gentari serahkan MoU — bina 20 pengecas DC pada 2023 untuk pengenalan smart EV

    Proton Pro-Net dan Gentari serahkan MoU — bina 20 pengecas DC pada 2023 untuk pengenalan smart EV

    Anak syarikat Proton untuk kenderaan tenaga baru, Proton New Energy Technology (Pro-Net) hari ini bertukar dokumen perjanjian persefahaman (MoU) dengan Gentari, sebuah anak syarikat tenaga bersih Petronas.

    Serahan dokumen bersama Gentar itu merupakan satu daripada usaha Proton untuk mengorak langkah dalam ekosistem EV dan NEV. NEV, atau kenderaan tenaga baru adalah istilah yang digunakan di China untuk merujuk kenderaan dengan teknologi elektrifikasi seperti hibrid, mild-hybrid, atau elektrik sepenuhnya. Bulan lalu, Proton menandatangani persefahaman pengedaran dengan jenama smart yang bakal menyaksikan syarikat itu menjual dan servis kenderaan smart di Malaysia dan Thailand.

    Kereta elektrik smart #1 dijangka akan dilancarkan di Malaysia menjelang suku keempat 2023. Ia ditunjuk pada April 2022 dan mempunyai kuasa sebanyak 272 PS dan 343 Nm dari motor elektrik yang ditempatkan di belakang, dan memberikan jarak perjalanan 440 km (kitaran WLTP) dan bateri 66 kWh.

    Sebagai sebahagian daripada MoU tersebut, Pro-Net dan Gentari akan menjalankan kajian dalam bidang berkaitan ekosistem EV tempatan. Ini termasuklah kesesuaian lokasi pengecasan, rantaian bekalan komponen EV, pelaksanaan tenaga boleh diperbaharui, usahasama pemasaran berkaitan EV dan pendidikan.

    Rancangan awalnya adalah untuk membina 20 pengecas DC pada 2023 yang mana Pro-Net akan menyediakan lokasi pengecasan dan kemudahan kuasa, sementara Gentari akan bertanggungjawab ke atas prasarana pengecasan dan penyelesaian operasi. Penukaran MoU hari ini dan perancangan pembinaan pengecas DC tersebut adalah persediaan awal untuk ketibaan smart #1 di Malaysia.

    Proton Pro-Net dan Gentari serahkan MoU — bina 20 pengecas DC pada 2023 untuk pengenalan smart EV

    “Penukaran dokumen hari ini bersama Gentari menyentuh tentang satu daripada langkah Proton untuk memasuki pasaran NEV dan membuka peluang usahasama dengan syarikat itu untuk menyumbang sama dalam pembangunan prasarana pengecasan di Malaysia. Bagaimanapun, Proton perlu memberi perhatian yang sama terhadap perkara lain dalam perniagaan itu sekiranya kami mahukan sebuah penyelesaian perniagaan yang menyeluruh,” ujar Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah.

    Menurut Proton lagi, kajian terhadap pemilikan EV telah menunjukkan corak yang mana pengguna memberi keutamaan kepada ketersambungan, pemanduan autonomous dan kemaskini over-the-air, dan bukannya seperti yang pembeli kereta tradisional jangkakan sebelum ini.

    Kajian itu juga menunjukkan bahawa pelanggan EV menjangkakan pengalaman jualan dan lepas jualan yang baru. Untuk itu, Pro-Net sedang mempertimbangan pilihan yang berbeza, daripada bilik pameran tradisional hinggalah pusat pengalaman urban, dengan penawaran EV yang menepati keperluan pengguna EV Malaysia. Pilihan untuk menjual dan langganan kenderaan dalam talian juga dipertimbangkan.

    Selain daripada penyerahan dokumen MoU, Proton turut mengumumkan syarikat itu akan menghantar 16 jurutera ke China selama enam bulan untuk dilatih dalam R&D, prestasi kenderaan, homologasi dan ujian dengan matlamat untuk membangunkan dan menjual NEV tempatan.

     
     
  • Petronas sumbang peralatan persediaan banjir kepada Pahang; termasuk bot & treler, khemah dan lain-lain

    Petronas sumbang peralatan persediaan banjir kepada Pahang; termasuk bot & treler, khemah dan lain-lain

    Sebelum berlakunya bencana banjir dalam negara yang dijangka akan berlaku pada hujung tahun ini, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengambil langkah proaktif dengan memperuntukkan RM6.7 juta sebagai sumbangan banjir bagi menghadapi bencana itu di seluruh negara tahun ini, lapor Sinar Harian.

    Buat permulaan, sumbangan berkenaan disampaikan terlebih dahulu kepada kerajaan negeri Pahang dalam bentuk peralatan menyelamat dan perlindungan kepada mangsa banjir. Antara sumbangan-sumbangan yang dibekalkan kepada agensi penyelamat dalam usaha membantu pasukan berkenaan membuat persediaan menghadapi banjir kelak termasuk dua unit bot bersama enjin, tangki bahan api dan treler bot mudah alih, 1,000 khemah (C-Tent), 700 jaket keselamatan dan 7,000 helai baju hujan.

    Menurut Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli ketika majlis penyampaian sumbangan berkenaan di Wisma Sri Pahang hari ini, sumbangan yang sama turut bakal diserahkan kepada kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu dalam masa terdekat.

    Mohammad Ahmad Shazly turut menjelaskan bahawa sumbangan untuk negeri Pahang itu merupakan sebahagian daripada 36 buah bot, 8,800 buah khemah, 5,500 jaket keselamatan dan 55,000 helai baju hujan yang disediakan Petronas untuk 14 negeri di seluruh negara.

    Petronas sumbang peralatan persediaan banjir kepada Pahang; termasuk bot & treler, khemah dan lain-lain

    “Sumbangan ini juga sebahagian daripada komitmen Petronas dalam membantu mangsa banjir melalui peruntukan RM25 juta yang diumumkan pada Disember tahun lalu.

    “Selain itu, antara Januari hingga Julai tahun ini, Yayasan Petronas turut terlibat menganjurkan Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM), kepada penduduk di Mukim Ganchong di Pekan, Pahang dan Kepulauan Tumpat, Kelantan.

    “Program latihan persediaan sebelum bencana itu dilaksanakan bagi membantu penduduk di kawasan berisiko tinggi untuk melakukan persiapan yang lebih sistematik menghadapi banjir,” katanya.

     
     
  • Yamaha NVX155 pasaran Malaysia diperkenal dalam empat warna baru – dua varian, harga dari RM9.6k

    Yamaha NVX155 pasaran Malaysia diperkenal dalam empat warna baru – dua varian, harga dari RM9.6k

    Yamaha NVX155 yang dilancarkan tahun lalu (juga dipanggil sebagai NVX V2) kini diperkenalkan dengan dua pilihan warna baru bagi setiap varian, iaitu Cyan dan Matt Grey untuk Standard, dan Mystique Ruby dan Platinum Navy untuk ABS. Harga NVX155 Standard adalah RM9,598, manakala NVX155 ABS adalah RM11,498, tidak termasuk insurans.

    Spesifikasi teknikal skuter ini tidak berubah, di mana ia masih dipacu oleh enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api 155 cc dengan sistem VVA, menghasilkan 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,500 rpm. Transmisi adalah unit CVT tali sawat.

    Meskipun versi standard dijual pada harga lebih murah kerana tidak dilengkapi dengan brek ABS, ia masih datang dengan panel instrumen digital LCD yang boleh disambungkan kepada aplikasi Y-Connect di telefon bimbit, lampu LED depan dan belakang, serta tangki bahan api 5.5 liter. Kelebihan varian ABS selain sistem brek ABS one-channel adalah sistem start/stop, suspensi belakang dengan subtank serta sistem kunci pintar.

    Kelengkapan lain antara dua varian NVX155 ini adalah sama, termasuk brek hadapan jenis cakera, brek belakang dram, soket pengecas USB, rim 14 inci depan dan belakang dengan tayar 110/80 dan 140/70, fork teleskopik dan dua penyerap hentak di belakang.

    Setiap pembelian akan didatangkan dengan jaminan pengeluar dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma.

    GALERI: Yamaha NVX155 2022 Standard

    GALERI: Yamaha NVX155 2022 ABS

     
     
  • Honda Civic e:HEV 2022 dibuka untuk tempahan

    Honda Civic e:HEV 2022 dibuka untuk tempahan

    Honda Malaysia telah mengumumkan bahawa tempahan untuk model hibrid Honda Civic e:HEV kini telah pun dibuka. Varian baru bagi sedan tersebut ditawarkan hanya dalam satu pilihan spesifikasi sahaja, dan menjadi model Honda pertama yang menggunakan penggerak e:HEV 2.0 liter di negara kita.

    Enjin empat silinder NA 2.0 liter berkuasa 143 PS (139 hp) pada 6,000 rpm dan 189 Nm pada Civic e:HEV ini merupakan sebahagian daripada sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD), dan bertindak sebagai generator sementara motor elektrik berkuasa 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 315 Nm menjadi penggerak utama. Transmisi menggunakan unit E-CVT.

    Melihat kepada bahagian luarannya, model hibrid RS ini mempunyai penampilan sama seperti model petrol RS, dengan bahagian yang berbeza cuma rim 18 inci, kemasan biru pada logo Honda serta lencana e:HEV pada bahagian belakang. Selain daripada itu, Civic e:HEV juga mempunyai lebih banyak kemasan krom, termasuk pada gril hadapan, dalam lampu serta bingkai cermin.

    Termasuk dalam senarai kelengkapan model ini adalah sistem infotainmen Advanced Display Audio dengan skrin sesentuh 9.0 inci, bersama sambungan Apple CarPlay tanpa wayar, Remote Engine Start serta pakej bantuan pemandu Sensing. Model ini juga membawa fungsi Smart Key Card Honda buat pertama kalinya ke Malaysia.

    “Civic generasi ke-11 yang dilancarkan awal tahun ini telah diterima baik oleh pengguna Malaysia, dengan jualan lebih 6,000 unit dari Januari hingga September 2022. Bagi menguatkan lagi kedudukan Civic dalam pasaran, kami teruja untuk memperkenalkan varian baru ini, dan buat pertama kalinya menawarkan penggerak e:HEV 2.0L,” kata MD dan CEO Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura.

    Selain pergi terus ke pusat pameran berdaftar Honda di seluruh negara, pelanggan juga boleh melayari prebook.honda.com.my atau memuat turun aplikasi HondaTouch untuk membuat tempahan Civic e:HEV RS.

     
     
  • Proton akan bangunkan EV jenama sendiri di Malaysia – 16 jurutera dihantar ke China untuk latihan R&D

    Proton akan bangunkan EV jenama sendiri di Malaysia – 16 jurutera dihantar ke China untuk latihan R&D

    Proton mengumumkan bahawa ia bakal membangunkan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) dan kenderaan teknologi baharu (NEV) di Malaysia selepas ini, dan bukan sekadar menghasilkan versi-versi rebadge dari Geely.

    Ini merupakan langkah susulan dalam pelan EV Proton selepas syarikat berkenaan menandatangani perjanjian pengedaran am dengan smart pada bulan Ogos dan juga selepas pembentukan Proton New Energy Technology (PRO-NET) pada bulan September, iaitu satu anak syarikat yang akan menjual dan menyediakan perkhidmatan selepas jualan EV jenama smart di Malaysia dan Thailand.

    Menurut Naib CEO Proton Roslan Abdullah, sebagai jenama automotif nasional Proton harus menerajui pembangunan ekosistem EV di Malaysia dengan melabur dalam pengetahuan dan kepakaran walaupun syarikatnya kurang berpengalaman dalam bidang berkenaan.

    “Jadi, kami akan menghantar 16 jurutera ke negara China selama enam bulan untuk dilatih dalam R&D, menguji prestasi kenderaan, homologasi dan pelbagai ujian dengan tujuan untuk membina dan menjual NEV tempatan. Ini adalah langkah penting dalam menyokong usaha kerajaan untuk menggerakkan Malaysia ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan menjadi pusat serantau bagi NEV,” katanya dalam majlis pertukaran dokumen dengan anak syarikat tenaga bersih Petronas, Gentari Sdn Bhd (Gentari) di International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) hari ini.

    Proton akan bangunkan EV jenama sendiri di Malaysia – 16 jurutera dihantar ke China untuk latihan R&D

    Kerjasama dengan Gentari amat diperlukan oleh Proton kerana pelan awalnya dalam ekosistem EV di Malaysia adalah untuk membina 20 pengecas DC pada tahun 2023 di mana PRO-NET akan bertanggungjawab untuk menyediakan lokasi pengecasan dan kemudahan kuasa manakala Gentari akan bertanggungjawab dalam menyediakan infrastruktur pengecasan dan penyelesaian pengendali.

    “Menangani keperluan pelanggan EV dan NEV di Malaysia memerlukan penyertaan banyak pihak dan kerjasama antara pemain industri automotif. Ini adalah benar terutamanya berkaitan dengan infrastruktur pengecasan yang memenuhi keperluan pengguna di seluruh negara dan PRO-NET akan menawarkan penyelesaian pengecasan yang komprehensif kepada pelanggan.

    “Kami juga menjangka pelanggan NEV mempunyai faktor pendorong yang berbeza berbanding dengan pembeli kereta tradisional. Oleh itu, kami mahu mencipta pengalaman baharu yang memenuhi keperluan mereka. Justeru, PRO-NET akan merekrut pengedar baharu secara aktif dan mengalu-alukan cadangan inovatif untuk pengalaman jenama dan transaksi,” tambah Roslan Abdullah.

     
     
  • Blueshark R1 dipamer – pelancaran rasmi skuter EV dalam masa terdekat, harga sekitar motosikal 150 cc

    Blueshark R1 dipamer – pelancaran rasmi skuter EV dalam masa terdekat, harga sekitar motosikal 150 cc

    Sedang berlangsung sekarang di Kuala Lumpur adalah Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM), dan antara yang dipamerkan di sana adalah skuter elektrik Blueshark R1 ini. Blueshark sebelum ini pernah menjadi tumpuan apabila syarikat induknya, EP Manufacturing berjaya mendapatkan kelulusan untuk perlesenan dan pendaftaran skuter elektrik ini di Malaysia.

    Turut dipamerkan bersama skuter elektrik tersebut adalah stesen penukaran bateri Blueshark, yang mengikuti tetapan seperti syarikat dari Taiwan, Gogoro. Blueshark R1 direka sebagai pengangkutan dalam bandar, dengan boleh membawa dua pek bateri di bawah tempat duduknya, untuk memberi kuasa kepada motor elektrik 5 kWh yang memacu roda belakang.

    Bateri pada Blueshark R1 boleh dibawa keluar sekiranya mahu, dan pengecasan boleh dilakukan melalui tiga cara iaitu sama ada dengan bateri berada pada motosikal, dibawa keluar ataupun ditukar terus dengan bateri di stesen yang disediakan.

    Skuter elektrik ini dikatakan boleh memberi jarak gerak sehingga 90 km, dan ia disediakan dengan tiga mod tunggangan yang mengehadkan kelajuan kepada 40,60 dan 80 km/j. Di atas bahagian pemegang terdapat skrin TFT-LCD yang dapat memaparkan pelbagai operasi motosikal termasuk mod tunggangan, jangka hayat bateri, sambungan Bluetooth kepada telefon dan aplikasi Blueshark.

    Blueshark R1 juga mempunyai beberapa ciri unik, seperti bunyi motosikal tiruan, amaran titik buta, perakam video depan dan belakang, dan juga kamera undur. Di bawah tempat duduknya masih terdapat ruang kecil yang boleh memuatkan barangan seperti baju hujan.

    Blueshark R1 akan memasuki pasaran dalam masa terdekat ini, dan akan dijual secara pajakan atau pemilikan terus. Untuk bateri pula Blueshark akan menyediakan sistem langganan. Harga sebenar skuter elektrik ini masih belum didedah, tetapi apa yang kami dapat, ia diberitahu akan berada sekitar harga motosikal 150 cc, dan akan dijadikan “mampu milik termasuk untuk golongan B40.”

     
     
  • BMW Motorrad M1000R terima peningkatan M Sport

    BMW Motorrad M1000R terima peningkatan M Sport

    Selain M1000RR, BMW Motorrad juga telah memperkenalkan satu lagi model yang diberikan sentuhan M Sport, iaitu M1000R. Menggunakan model naked S1000R sebagai asas, M1000R kemudiannya dipertingkat dengan barangan prestasi serta aksesori gentian karbon.

    Sama seperti M1000RR, enjin M1000R ini menggunakan unit empat silinder sebaris dengan sistem Shiftcam dan sekarang ia boleh dikerah sehingga 14,600 rpm. Kuasa enjin ini meningkat menjadi 210 hp pada 13,750 rpm, iaitu sekitar 45 hp lebih tinggi berbanding S1000R biasa, sementara tork maksimum pula adalah 113 Nm pada 11,000 rpm (S1000R 114 Nm pada 9,750 rpm).

    Dengan berat hanya 199 kg dalam keadaan sedia ditunggang, M1000R didatangkan dengan kotak gear enam kelajuan bersama quickshifter naik dan turun gear. Demi menghasilkan tujahan yang lebih mengujakan, nisbah gear motosikal ini telah diubah dan sprocket belakangnya menggunakan saiz yang lebih besar.

    Walaupun merupakan sebuah motosikal naked, M1000R masih dipasang dengan winglet pada panel tepinya bagi memberikan lebih stabiliti pada kelajuan tinggi. Bentuk winglet ini direka untuk mengurangkan daya geseran angin dan meningkatkan daya tolak ke bawah sehingga 11% pada kelajuan 160 km/j.

    Antara yang baru pada M1000R adalah brek M Sport, sama seperti M1000RR. Brek ini dibangunkan menggunakan teknologi serta pengetahuan yang diperoleh daripada penyertaan BMW dalam Superbike World Championship, dan dijadikan menonjol denagn warna biru dan logo M.

    M1000R didatangkan dengan rim aloi lightweight, sementara apabila memilih pakej M Competition pula, pemilik akan menerima rim gentian karbon M serta beberapa barangan lain seperti pelindung tangki, rantai serta roda hadapan dan belakang gentian karbon, peletak kaki M boleh laras, serta penutup tempat duduk belakang.

     
     
  • Toyota Yaris dengan platform DNGA bakal muncul – mungkin bakal jadi kembar kepada Perodua Myvi?

    Toyota Yaris dengan platform DNGA bakal muncul – mungkin bakal jadi kembar kepada Perodua Myvi?

    Toyota Vios generasi keempat sudah pun dilancarkan di beberapa buah negara ASEAN termasuk Thailand, Laos dan terbaharu adalah Indonesia. Model generasi baharu itu dihasilkan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang jauh lebih moden berbanding model generasi ketiga yang telah pun mula dijual sejak 2013.

    Seperti yang kita tahu, Vios mempunyai kembar hatchbacknya iaitu Yaris. Bagi yang belum mengetahui, Yaris untuk pasaran ASEAN adalah berbeza dengan Yaris yang dijual di Jepun dan juga Eropah. Untuk rantau ini, secara asasnya Yaris merupakan sebuah Vios tanpa ‘punggung’ dan diganti dengan pintu hatch. Jadi bagaimana dengan model generasi baharu ini? Adakah Yaris ASEAN generasi baharu turut akan dihasilkan diasaskan Vios generasi keempat dengan platform DNGA?

    Menurut pengarah pemasaran PT Toyota Astra Motor (TAM) Anton Jimmi Suwandy ketika pelancaran Vios 2023 di Indonesia tempoh hari, Yaris generasi baharu pasti akan diperkenalkan selepas ini, namun statusnya sekarang masih di peringkat kajian pasaran.

    Toyota Yaris dengan platform DNGA bakal muncul – mungkin bakal jadi kembar kepada Perodua Myvi?

    “Sudah tentu untuk setiap produk, bukan hanya Yaris, kita perlu lihat dahulu tahap jualan dan penerimaannya dalam pasaran. Dan untuk waktu ini, kami muktamadkan untuk melancarkan Vios terlebih dahulu. Jadi untuk Yaris pada waktu ini masih dalam peringkat kajian pasaran sambil kami melihat minat pengguna pada masa hadapan,” kata Anton dalam laporan Autonetmagz.

    “Kita tidak akan melupakan Yaris, jadi kita juga akan terus mengkaji berkenaan pasarannya, tapi untuk waktu ini melihat dari pasaran keseluruhan, bukan hanya untuk Indonesia malah pada peringkat global, Vios terlebih dahulu muncul. Ini bukan bermaksud Yaris tidak ada pengganti, yang pasti kami akan terus membuat kajian pasaran berkenaan hal ini,” jelas Anton lagi.

    Namun bagi kita di Malaysia, sekiranya Yaris dihasilkan berdasarkan Vios generasi keempat ini nanti, agak menarik untuk dilihat bagaimana UMW Toyota ‘menjarakkan’ penawaran antara Yaris dengan hatchback segmen-B dari jenama tempatan iaitu Perodua. Ini kerana Vios 2023 ini nampaknya menggunakan terus enjin yang sama dengan Perodua Alza dan Myvi facelift 2022 iaitu unit 1.5L 2NR-VE Dual VVT-i.

    Toyota Yaris dengan platform DNGA bakal muncul – mungkin bakal jadi kembar kepada Perodua Myvi?

    Enjin pada Vios berkenaan ditala bagi menghasilkan 105 hp (106 PS) pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 138 Nm pada takat 4,200 rpm – ‘sebiji’ sama dengan angka talaan pada Perodua Alza, dan hanya 3 hp dan 1 Nm lebih tinggi berbanding Myvi. Ini berbeza dengan model generasi sebelumnya kerana Vios/Yaris menerima enjin 2NR-FE Dual VVT-i, yang bukan sahaja menghasilkan kuasa lebih tinggi (107 PS/140 Nm), malah blok enjin tersebut adalah diperbuat dari aluminium berbanding blok besi tuang untuk enjin 2NR-VE.

    Perincian pada Myvi buat masa sekarang juga tidak kurang hebatnya – sistem bantuan pemanduan ASA 3.0 pada Myvi adalah hampir sama dengan sistem Toyota Safety Sense (TSS) yang ditawarkan pada Vios 2023, menawarkan sistem pemanduan autonomi Tahap 2 yang memberikan fungsi seperti Kawalan Kekal Lorong (LKC) dan juga cruise control adaptif (ACC). Namun satu perincian yang kurang pada Myvi adalah sistem Low Speed Follow, yang tidak membolehkan ACC digunakan ketika dalam kesesakan trafik.

    Perodua Myvi generasi sedia ada ini sudah pun berada sekitar lima tahun dalam pasaran, diperkenalkan sejak penghujung 2017. Jadi tidak mustahil ia akan menerima model generasi baharu mungkin dalam masa 2-3 tahun dari sekarang, dan sudah tentu ia turut bakal dihasilkan dengan platform DNGA seperti dua model terbaharu Perodua iaitu Ativa dan juga Alza 2022.

    Untuk pengetahuan anda, fasiliti R&D Perodua di Rawang buat masa sekarang bukan calang-calang – ia adalah jauh lebih lengkap berbanding fasiliti Astra Daihatsu Motor di Indonesia. Pada 2020, Perodua telah mengumumkan fasiliti berkenaan akan menjadi menjadi hab R&D untuk pasaran ASEAN dan bakal membangunkan empat model baharu berdasarkan platform DNGA, bukan sahaja untuk model-model mereka sendiri, malah untuk Daihatsu serta syarikat induknya iaitu Toyota.

    Dua model sudahpun didedahkan iaitu kembar Perodua Ativa/Daihatsu Rocky/Toyota Raize dan kembar Perodua Alza/Daihatsu Xenia/Toyota Avanza dan Veloz. Berdasarkan apa yang diumumkan Perodua pada 2020, ada kemungkinan besar Vios 2023 yang sebelum ini dikenali dengan kod projek D92A juga telah mendapat kerjasama pembangunan dengan Perodua.

    Persoalannya selepas ini – Toyota dan Perodua kedua-duanya memerlukan hatchback segmen-B generasi baharu yang diasaskan dari platform DNGA, adakah ianya akan dibangunkan berasingan atau di buat bersama? Dengan fakta bahawa Vios dan Myvi kini berkongsi enjin dan sistem keselamatan yang hampir sama, ada kemungkinan Yaris dan Myvi akan menjadi kembar seperti Perodua Alza dan juga Toyota Veloz bukan?

    GALERI: Toyota Vios 2023 pasaran Indonesia

     
     
  • Lebuhraya KL-Karak akan dilebarkan; lorong ditambah, terowong baharu dibina di Genting Sempah

    Lebuhraya KL-Karak akan dilebarkan; lorong ditambah, terowong baharu dibina di Genting Sempah

    Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju dengan cadangan pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) iaitu dari Tol Plaza Gombak ke Tol Plaza Bentong, seperti mana yang dibentangkan pada 4 Mac lalu.

    Menurut KKR, cadangan melebarkan KLK bertujuan bagi membina lorong tambahan dan satu terowong baharu di Genting Sempah untuk menampung trafik yang tinggi serta menangani masalah kesesakan lalu lintas di lebuh raya ke Pantai Timur.

    Selain dari itu, KKR turut memaklumkan, kerja-kerja tebatan banjir di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) juga telah dimulakan sejak 1 Oktober lalu. Ia susulan daripada kejadian banjir yang sering kali melanda lebuhraya terbabit.

    “Kesemua kerja penambahbaikan ini mengambil kira penstrukturan semula kadar tol‘ dengan penjanjian konsesi tambahan yang sedang dimuktamadkan,” kata KKR menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Polestar 3 2023 — SUV EV baru dengan dua motor, hingga 517 PS/910 Nm; bateri 111 kWh, jarak 610 km

    Polestar 3 2023 — SUV EV baru dengan dua motor, hingga 517 PS/910 Nm; bateri 111 kWh, jarak 610 km

    Polestar 3 kini didedahkan sepenuhnya secara rasmi, setelah beberapa bulan di tunjuk sebahagiannya. Ia merupakan model EV kedua bagi sub-jenama Volvo-Geely ini selepas Polestar 2, dan akan menjadi pesaing bagi model seperti BMW iX dan Audi e-tron.

    SUV ini menerapkan sentuhan rekaan yang pernah dihasilkan melalui model konsep Precept, yang direka untuk memperbaiki aerodinamik. Misalnya, bahagian gril SUV ini tidak tertutup sepenuhnya, dengan masih ada bukaan kecil untuk menyalurkan udara ke bahagian bonet.

    Lampu utama bentuk T juga masih menempatkan DRL LED khusus Polestar, walaupun tidak terlalu menggamit perhatian seperti yang ada pada sedan konsep itu. Panel hitam di sudut bampar depan juga disambungkan ke bahagian apron, sementara bukaan udaranya lebih besar untuk disesuaikan dengan saiz SUV berkenaan.

    Polestar 3 2023 — SUV EV baru dengan dua motor, hingga 517 PS/910 Nm; bateri 111 kWh, jarak 610 km

    Dari sisi, terlihat jelas body cladding, tiang C yang besar serta cermin sisi dengan lengan yang panjang. Garis bumbung juga lebih rendah di bahagian belakang dan dilanjutkan imejnya dengan spoiler, dan kelihatan seperti rekaan bumbung terapung.

    Dari segi ukuran, SUV ini mempunyai dimensi 4,900 mm panjang, 2,120 mm lebar (termasuk cermin sisi), 1,627 mm tinggi dan jarak antara roda 2,985 mm. Ini bermakna SUV Polestar ini lebih kecil daripada iX. Menarik juga untuk disebut, reka bentuk Polestar 3 ini memberikan bacaan drag coefficient hanya 0.29.

    Ruang dalaman pula menerapkan rekaan minimal, dengan papan pamuka menempatkan corong udara nipis dan kluster instrumen digital 9-inci serta skrin sentuh 14.5-inci menegak. Skrin berkenaan menampilkan sistem operasi yang dibangunkan bersama Google dan menggunakan asas Android Automotive OS.

    Polestar 3 2023 — SUV EV baru dengan dua motor, hingga 517 PS/910 Nm; bateri 111 kWh, jarak 610 km

    Melalui sistem berkenaan, pengguna akan menikmati pelbagai servis keterhubungan yang turut didokong kemaskini over-the-air (OTA) untuk penambahbaikan berterusan perisian serta pengenalan ciri baru tanpa perlu ke pusat servis.

    Polestar 3 ini menyediakan ruang sebanyak 484 liter untuk but belakang (termasuk 90 liter di bawah lantai) dengan kerusi dalam kedudukan biasa, atau 1,411 liter jika dilipat. Turut disediakan adalah ruang simpanan di depan dengan saiz 32 liter tambahan, manakala bumbung pula boleh menampung beban 100 kg.

    SUV ini didatangkan dengan satu pilihan sistem janaan kuasa dikenali sebaga “Long range Dual Motor”. Ini terdiri daripada bateri lithium-ion 400-volt dengan pam haba untuk menguruskan thermal, 204 sel prismatik dalam 17 modul dan tenaga boleh guna berkapasiti 107 kWh (111 kWh secara kasar) yang boleh memberikan jarak 610 km mengikut kitaran WLTP.

    Polestar 3 2023 — SUV EV baru dengan dua motor, hingga 517 PS/910 Nm; bateri 111 kWh, jarak 610 km

    Polestar tidak memaklumkan tempoh pengecasan, tetapi ada dinyatakan yang model ini menyokong pengecasan AC (sambungan Type 2) sehingga 11 kW dan pengecasan pantas DC (CCS2) sehingga 250 kW, yang mampu mengecas bateri dari 10%-80% dalam masa hanya 30 minit. Turut ada ialah sokongan untuk pengecasan dua arah.

    Kuasa dari bateri itu memacu dua motor elektrik — satu untuk setiap gandar — yang memberikan output keseluruhan sistem sebanyak 489 PS (483 hp atau 360 kW) dan 840 Nm tork, dengan laju maksimum 210 km/j serta pecutan 0-100 km/j dalam masa lima saat.

    Polestar juga menawarkan pakej Performance yang menambah angka janaan kepada 517 PS (510 hp atau 380 kW) dan 910 Nm, menjadikan pecutan 0-100 km/j kepada 4.7 saat, dengan laju maksimum yang sama. Ini cukup menarik untuk dicapai oleh sebuah kenderaan mempunyai berat antara 2,584 hingga 2,670 kg, dan boleh menunda beban seberat 2.2 tan.

    Polestar 3 2023 — SUV EV baru dengan dua motor, hingga 517 PS/910 Nm; bateri 111 kWh, jarak 610 km

    Polestar 3 menggunakan suspensi double wishbone di depan dan tetapan integral link di belakang, yang dihubungkan oleh suspensi udara dengan dua kebuk dan penyerap hentak adaptif yang boleh membuat larasan setiap dua milisaat (500 Hz).

    Brek daripada Brembo juga penting untuk disebut, dengan bahagian depan dilengkapi kaliper empat-omboh dan cakera 400 mm, sementara di belakang dengan kaliper omboh tunggal dengan cakera 390 mm. Untuk lebih ketangkasan, motor elektrik di belakang merupakan unit klac berkembar dengan ciri torque vectoring, dan boleh di”rehat”kan supaya hanya motor elektrik depan yang berfungsi, untuk menjimatkan tenaga.

    Polestar 3 2023 — SUV EV baru dengan dua motor, hingga 517 PS/910 Nm; bateri 111 kWh, jarak 610 km

    Kelengkapan lain yang ada termasuklah bumbung panoramik, semua lampu LED, pemegang pintu tersorok dan rim 21-inci. Plus Pack dan Pilot Pack juga disediakan, dengan ciri mewah seperti sistem audio Bowers & Wilkins dengan kesan bunyi 3D dan Dolby Atmos dan 25-pembesar suara.

    Harganya bermula dari 89,900 Euro (RM409,060), dengan Performance Pack melibatkan tambahan 6,600 Euro (RM30,021). Produksi dijangka bermula di kilang Volvo Cars di Chengdu, China pada pertengahan 2023, dengan serahan pertama dijangka dilakukan pada suku keempat 2023.

     
     
  • Kadar tol AKLEH, GCE, LKSA dan SILK dikurangkan mulai 20 Okt; LEKAS, Besraya mulai 1 Jan 2023 – PM

    Kadar tol AKLEH, GCE, LKSA dan SILK dikurangkan mulai 20 Okt; LEKAS, Besraya mulai 1 Jan 2023 – PM

    Dalam majlis pelancaran Lebuhraya DASH sebentar tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk penstrukturan semula kadar tol di empat buah lebuhraya di Lembah Klang.

    Keputusan ini dibuat oleh jemaah menteri pada 3 November 2021 yang telah bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat buah syarikat konsesi di bawah kendalian PROLINTAS, selain pada 18 Mei 2022 telah bersetuju dengan cadangan pengumuman awal pengurangan kadar tol.

    “Sebagai tanda keprihatinan, kerajaan bersetuju untuk menstrukturkan semula enam buah konsesi lebuhraya iaitu bagi mengurangkan kadar tol di lebuhraya berkenaan. Empat lebuhraya terbabit ialah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), di mana kadar tolnya akan dikurangkan bermula 20 Oktober ini.

    “Manakala Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) di bawah kumpulan IJM Corporation Berhad juga akan terbabit dengan pengurangan kadar tol berkuatkuasa 1 Januari 2023,” kata Ismail Sabri.

    Tambah beliau lagi, kadar pengurangan tol bagi lebuhraya berkenaan adalah sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

    “Melalui penstrukturan baharu ini, kerajaan juga telah menjimatkan kira-kira RM8.8 bilion dalam bentuk pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat konsesi yang terlibat. Di samping itu, pengguna lebuhraya juga bakal menikmati kadar tol yang lebih rendah bagi meringankan beban kos sara hidup,”katanya lagi.

    Walau bagaimana pun, pengurangan kadar tol bagi kesemua lebuhraya terbabit belum diumumkan secara terperinci. Nantikan perkembangan selanjutnya dari syarikat konsesi lebuhraya terbabit.

     
     
  • Lebuhraya DASH dilancar secara rasmi – dibuka mulai 12.01 t/malam pada 14 Okt, tol percuma hingga 30 Nov

    Lebuhraya DASH dilancar secara rasmi – dibuka mulai  12.01 t/malam pada 14 Okt, tol percuma hingga 30 Nov

    Hari ini, Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) telah dilancarkan secara rasmi dengan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam majlis yang berlangsung di Plaza Tol Denai Alam yang berada dalam jajaran lebuhraya tersebut.

    Dalam majils pelancaran ini, Ismail Sabri mengumumkan bahawa DASH bakal dibuka untuk pengguna bermula tepat jam 12.01 tengahmalam pada 14 Oktober 2022. Malahan kadar tol untuk DASH adalah PERCUMA mulai esok sehingga 30 November 2022.

    Seperti Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang baru dilancarkan sebulan yang lalu, DASH turut dikendalikan oleh Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLintas), dan ia juga merupakan “lebuhraya terapung” yang dibina merentasi lokasi-lokasi sesak sebagai alternatif bagi penyuraian trafik di kawasan sekitar.

    DASH dibina merentasi Puncak Alam menerusi Persimpangan Mokhtar Dahari dan berakhir di “Persimpangan Spagheti” yang menghubungkan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Penchala Link dan Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) di Penchala, berhampiran Taman Tun Dr. Ismail dan juga kawasan tumpuan seperti Bandar Utama Damansara, Damansara Utama serta Mutiara Damansara.

    Lebuhraya DASH dilancar secara rasmi – dibuka mulai  12.01 t/malam pada 14 Okt, tol percuma hingga 30 Nov

    Laluan utama jajaran DASH sepanjang ini adalah sejauh 20.1 km, namun jika diambil kesemua jarak termasuk susur persimpangan, keseluruhan jaraknya mencecah 55.4 km. Sama seperti SUKE, DASH juga menampilkan jalan tiga lorong dua hala, dengan setiap lorong berukuran 3.5 meter bersama lorong kecemasan selebar tiga meter, serta 90% adalah jalan raya bertingkat dan hanya 10% berada di atas tanah.

    Selain itu, lebuhraya ini memiliki tiga plaza tol iaitu Plaza Tol Denai Alam, Plaza Tol RRIM (Kwasa Damansara) dan Plaza Tol DASH Kota Damansara. PROLintas memaklumkan bahawa kesemua plaza tol di lebuhraya ini bersedia untuk menggunakan sistem kutipan tol tanpa palang Multi Lane Free Flow (MLFF). Sebelum ini Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof sudah mengumumkan bahawa jemaah menteri sudah pun bersetuju untuk menggunakan sistem berkenaan menjelang 2025.

    Bagi kemudahan akses yang lebih optimum, DASH menyediakan 13 persimpangan iaitu Persimpangan Puncak Perdana, Persimpangan Alam Suria, Persimpangan Denai Alam, Persimpangan Kampung Melayu Subang, Persimpangan Pinggiran Subang, Persimpangan Subang 2, Persimpangan Subang Airport, Persimpangan RRIM (Kwasa Damansara), Persimpangan Surian, Persimpangan Seksyen 5 Kota Damansara, Persimpangan Sunway Damansara, Persimpangan Damansara Perdana dan Persimpangan Penchala.

    Lebuhraya DASH dilancar secara rasmi – dibuka mulai  12.01 t/malam pada 14 Okt, tol percuma hingga 30 Nov

    Menurut PROLintas, selain menyediakan ‘jalan pintas’ dari Shah Alam ke Damansara dalam masa hanya 30 minit berbanding 90 minit melalui laluan sedia ada, DASH turut bakal menyuraikan trafik di Persiaran Mokhtar Dahari sebanyak 39%, Jalan Sungai Buloh (33%) dan Persiaran Surian (43%). Selain itu, DASH juga didakwa bakal menjadi penyelesaian penyuraian trafik untuk beberapa kawasan pembangunan baharu seperti Kwasa Damansara, Elmina dan di sepanjang Shah Alam ke Damansara.

    Bukan itu sahaja, lebuhraya ini juga akan menjadi penghubung antara bahagian timur dan barat Lembah Klang, dan merupakan laluan alternatif penduduk Shah Alam dan Puncak Alam untuk ke Persiaran Surian di Kota Damansara, Lapangan Terbang Subang, Damansara Perdana, Penchala dan menuju ke Bandaraya Kuala Lumpur.

    Bagi yang ingin ke utara tanah air, DASH turut dihubungkan dengan Lebuhraya Guthrie bagi membolehkan pengguna ke Lebuhraya Utara-Selatan menerusi susur keluar berhampiran Rawang.

    Lebuhraya DASH dilancar secara rasmi – dibuka mulai  12.01 t/malam pada 14 Okt, tol percuma hingga 30 Nov

    Seperti mana lebuhraya lain, PROLintas bakal menyediakan dua kawasan Rehat dan Rawat yang terletak di kedua-dua arah di Plaza Tol Denai Alam (RSA Denai Alam), dan juga dua hentian sebelah di kedua-dua arah di Plaza Tol RRIM.

    DASH turut menampilkan pelbagai ciri unik, antaranya penghadang bunyi keseluruhan (termasuk bahagian atas) di laluan berhampiran Persimpangan Damansara Perdana sepanjang 260 meter kerana ia merentasi ‘celah-celah’ bangunan-bangunan kondominium di kawasan berkenaan. Menurut PROLintas, ia adalah perincian pertama digunakan oleh lebuhraya di Malaysia.

    Selain itu, tanjakan susur masuk khas turut dibina di Persimpangan Damansara Perdana, Ramp 12A, untuk memudahkan trafik di Jalan PJU 8/1 masuk ke lebuhraya berkenaan menuju ke TTDI tanpa melalui sebarang plaza tol, sekaligus memanfaatkan 12,000 penduduk sekitar.

    Lebuhraya DASH dilancar secara rasmi – dibuka mulai  12.01 t/malam pada 14 Okt, tol percuma hingga 30 Nov
    Antara perincian lain yang ditampilkan pada lebuhraya ini termasuklah dilengkapi 37 CCTV, 18 telefon kecemasan, 30 sistem pengesanan kenderaan dan kemalangan (VIDS), 10 papan tanda mesej pelbagai (VMS) di sepanjang jajaran dan 100% berlampu dengan 2,441 lampu jalan LED.

    Malah semua bangunan yang dibina sepanjang lebuhraya ini adalah menepati Indeks Bangunan Hijau (GBI) bersepadu dengan dilengkapi panel solar, penuaian air hujan, bumbung dengan tanaman di bangunan operasi plaza tol.

    Pembinaan projek DASH ini sudah bermula sejak Ogos 2016 dengan tempoh konsesi bermula pada 25 Disember 2014 dan berakhir pada 24 Disember 2069 (55 tahun tempoh konsesi). Ia sudah pun siap pada 30 September 2022 dengan kos keseluruhan pembinaan bernilai RM4.2 bilion.

     
     
  • Toyota Vios 2023 dilancar di Indonesia – bermula RM96k, enjin sama dengan Myvi, platform DNGA

    Toyota Vios 2023 dilancar di Indonesia – bermula RM96k, enjin sama dengan Myvi, platform DNGA

    Selepas Thailand dan Laos, kini Toyota Vios generasi keempat secara rasmi sudah pun dilancarkan di Indonesia. Tidak seperti pasaran Thai yang hanya menerima enjin 3NR-VE Dual VVT-iE 1.2L (dikenali sebagai Yaris Ativ) dan Laos hanya dengan enjin 1NR-VE 1.3L, Vios 2022 di Indonesia ini diberikan enjin paling berkuasa 1.5L.

    PT Toyota Astra Motor (TAM) menawarkan Vios dalam tiga varian untuk pasaran Indonesia. Ia dimulai dengan model asas Vios 1.5 E M/T dijual pada harga Rp 314,900,000 (RM96k), diikuti varian pertengahan Vios 1.5 G CVT dijual pada harga Rp 355,200,000 (RM108k), manakala varian tertinggi Vios 1.5 G CVT TSS pula dijual pada harga Rp 368,400,000 (RM112k).

    Enjin Dual VVT-i empat-silinder berkenaan dikenali dengan kod 2NR-VE, merupakan enjin yang sama boleh ditemui pada perut Perodua Alza 2022 dan juga Perodua Myvi facelift 2022, menghasilkan kuasa 105 hp (106 PS) pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 138 Nm pada takat 4,200 rpm. Angka-angka tersebut adalah seiras dengan kuasa yang ditala pada Alza, serta 3 hp dan 1 Nm lebih tinggi berbanding Myvi.

    Jadi Vios generasi baharu ini nampaknya menerima enjin yang 1 PS dan 2 Nm kurang berkuasa dari model generasi sebelumnya yang dilengkapi enjin 2NR-FE Dual VVT-i, menghasilkan kuasa lebih besar 107 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada 4,200 rpm. Di Indonesia, Vios masih ditawarkan dalam versi kotak gear manual lima kelajuan, manakala model dengan transmisi automatik diberikan kotak gear CVT.

    Toyota Vios 2023 dilancar di Indonesia – bermula RM96k, enjin sama dengan Myvi, platform DNGA

    Seperti yang diketahui sebelum ini, Toyota Vios generasi baharu berkenaan diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) iaitu platform yang berkait rapat dengan Perodua Ativa dan Alza 2022, bagi menggantikan platform model generasi ketiga yang telah digunakan sejak 2013. Model pasaran Indonesia ini menampilkan dimensi panjang keseluruhan 4,410 mm, lebar 1,740 mm, tinggi 1,480 mm dan jarak roda sejauh 2,620 mm.

    Oleh itu, ia adalah 15 mm lebih pendek berbanding spesifikasi yang diumumkan dari Yaris Ativ di Thailand – mungkin ada sedikit kelainan pada ukuran bampar hadapan atau belakang.

    Jadi berbanding model sebelumnya, Vios generasi baharu menampilkan panjang keseluruhan yang hampir sama, tetapi 10 mm lebih lebar dan 5 mm lebih rendah. Manakala jarak rodanya pula adalah 70 mm lebih panjang yang tentunya memberi gambaran bahawa bahagian kabinnya dapat dihasilkan lebih luas.

    Namun jika dilihat pada gambar, model pasaran Indonesia ini dilihat agak sama dengan Yaris Ativ di Thailand. Muka Vios baharu ini dilihat seperti Corolla Altis dalam skala lebih kecil, dengan menampilkan rekaan lampu LED hadapan bersama jalur LED nyalaan siang bina dalam dan gril atas yang hampir sama. Namun Vios diberikan gril bampar yang lebih tinggi bersama sepasang liang udara sisi unik dengan rekaan lima segi.

    Toyota Vios 2023 dilancar di Indonesia – bermula RM96k, enjin sama dengan Myvi, platform DNGA

    Manakala pada profil sisi, Vios generasi keempat ini jelas menggunakan rekaan garis bumbung yang sama seperti model konsep Daihatsu DN-F Sedan yang muncul pada 2017, menampilkan rupa seakan sebuah fastback empat pintu. Cermin sisi untuk model ini masih kekal diletakkan pada bahagian cermin tingkap dan bukan pada pintu. Ia juga diberikan garis badan sisi yang dilihat bersambung dari lampu hadapan melalui pembuka pintu dan berakhir pada lampu belakang.

    Bahagian belakang Vios ini diberikan lampu dengan rekaan nipis dan bersegi, dan menampilkan lampu isyarat membelok LED jenis sequential untuk varian G CVT dan G TSS CVT. Dengan garis bumbung yang direka seakan fastback, penutup but pada model generasi baharu ini juga dilihat lebih pendek dan sporty, namun ia direka lebih tinggi bagi memberikan ruang kargo yang besar.

    Perumah nombor pendaftaran kekal diletak pada bahagian atas, manakala bampar model generasi baharu ini menerima liang udara palsu sisi yang seiras dengan bahagian hadapan, serta diberikan diffuser pada bahagian bawah.

    Model asas E diberikan rim aloi dua tona bersaiz 16-inci bersama brek dram di belakang, manakala model G CVT dan G TSS CVT pula menerima rim dua tona dengan diameter 17-inci dengan brek cakera di belakang.

    Toyota Vios 2023 dilancar di Indonesia – bermula RM96k, enjin sama dengan Myvi, platform DNGA

    Lima warna badan ditawarkan pada Toyota Vios 2023 pasaran Indonesia ini termasuk Platinum White Pearl, Attitude Black, Metal Stream Metallic, Grey Metallic, dan Red Mica Metallic.

    Pada bahagian dalaman, model pasaran Indonesia ini masih menampilkan kelengkapan dengan rupa yang sama, namun ia tidak ditawarkan dengan kemasan dua tona hitam-merah seperti di Thailand.

    Vios kini menerima papan pemuka dengan rekaan yang sangat minimalis, menampilkan skrin infotainmen berdiri sendiri bersaiz sembilan-inci dengan hubungan kepada telefon pintar untuk semua varian di bahagian tengah, serta diberikan banyak material sentuhan lembut dan juga perapi-perapi kemasan perak yang nampak premium.

    Secara keseluruhan, papan pemuka baharu ini menampilkan rekaan dengan elemen melintang, termasuk rekaan untuk liang pendingin hawa. Ia juga diberikan pad pada sebelah kanan konsol tengah, bagi ‘mengasingkan’ pemandu untuk rupa kokpit yang tertumpu kepada pemandu.

    Menerusi spesifikasi yang didedahkan, hanya model G CVT dan G TSS CVT sahaja yang menampilkan larasan stereng atas-bawah dan teleskopik serta brek parkir elektrik (EPB) dengan fungsi Brake Hold.

    Jika anda perhati dengan teliti, sedan dengan platform DNGA ini menerima roda stereng, paparan instrumen digital tujuh-inci (untuk varian G CVT dan G TSS CVT) dan tombol gear yang seiras dengan Perodua Alza dan Ativa. Malah rekaan elemen quilted pada perapi-perapi pada konsol gear Vios ini juga nampak seiras seperti elemen kemasan dalaman pada Ativa.

    Untuk keselamatan, kesemua varian Vios 2022 pasaran Indonesia ini menerima sistem brek ABS dan EBD, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki dan juga Traction Control. Hanya varian tertinggi Vios G TSS hadir dengan enam-beg udara serta pakej sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS).

    Pakej tersebut memberikan fungsi termasuk sistem brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, amaran pergerakan kenderaan hadapan, cruise control adaptif untuk semua kelajuan, kawalan salah operasi pedal dan lampu tinggi automatik – kesemuanya kelihatan sepadan dengan sistem ASA 3.0 yang ditawarkan pada Perodua Alza 2022.

    TAM juga menawarkan sistem terhubung secara langsung T inTouch untu varian G dan G TSS. Sistem ini menampilkan fungsi seperti penjejak kenderaan dan juga geofencing untuk memberitahu bahawa kereta berkenaan berada di luar zon yang dibenarkan pemilik, serta perkhidmatan terhubung lain seperti pengingat servis, bantuan tepi jalan dan juga pertolongan terus dari pusat panggilan Toyota sekiranya apa-apa pertolongan diperlukan.

    Selepas ini, Toyota Vios generasi keempat ini sudah tentu akan dilancarkan di Malaysia pula. Namun kami jangkakan ia mungkin tiba di sini paling awal pun tahun hadapan kerana UMW Toyota pastinya perlu menyediakan barisan produksinya terlebih dahulu untuk menghasilkan Vios tersebut dalam versi CKD, bagi memastikan ia dapat dijual pada harga kompetitf untuk bersaing dengan Honda City.

    Bagi kuasa enjin, jelas Vios masih lagi bukan tandingan City. Namun apa pendapat anda? Ada perincian lain yang anda rasa Vios ini jauh lebih menyengat dari City?

     
     
  • BMW Motorrad M1000RR dan M1000RR M Competition diperkenal – pakej aerodinamik gentian karbon, 212 hp

    BMW Motorrad M1000RR dan M1000RR M Competition diperkenal – pakej aerodinamik gentian karbon, 212 hp

    Selepas memberikan peningkatan kepada S1000RR, BMW Motorrad kini memperkenalkan pula superbike M1000RR dan M1000RR M Competition. Seperti yang boleh dilihat daripada huruf ‘M’ yang terdapat padanya, model ini dibangunkan untuk tujuan perlumbaan, serta menguatkan lagi aspirasi jenama tersebut dalam perlumbaan World Superbike Championship (WSBK).

    Pakej aerodinamik motosikal ini telah diperbaiki, dengan ia kini dapat memberikan lebih daya tolak ke bawah termasuk waktu motosikal condong mengambil selekoh. Ia juga membawa kepada laju maksimum yang lebih tinggi, iaitu 314 km/j, daripada 306 km/j.

    Anda boleh melihat kejuruteraan aerodinamik M pada motosikal ini melalui winglet baru, penutup roda hadapan dengan salur angin brek bersepadu (untuk kedua-dua versi), dan M Aero Wheel Covers (untuk M1000RR M Competition sahaja). Penghadang angin hadapan yang lebih tinggi memberi lebih perlindungan angin kepada penunggang, sementara fairing baru padanya pula dibuat daripada gentian karbon.

    Barangan lain yang diberikan secara standard adalah rim M Carbon, yang diperkemas dengan cat lutsinar (clear lacquer), serta pelekat yang tertulis BMW Motorrad M. Untuk lebih prestasi, pemilik boleh mendapatkan rim forged lightweight yang dijual secara berasingan.

    Pada bahagian enjin, unit empat silinder daripada S1000RR telah diubahsuai dengan sistem salur udara yang lebih pendek, bersama corong yang dibuat secara CNC, connecting rod titanium Pankl – lebih panjang tetapi 85 gram lebih ringan – serta piston forged yang membolehkan ia dikerah sehingga 14,500 rpm dan menghasilkan kuasa keseluruhan 212 hp dan 113 Nm pada 11,000 rpm.

    Sistem ekzos turut menyumbang kepada pengurangan berat motosikal ini, dengan penggunaan manifold serta ekzos titanium. Sistem bantuan elektronik penuh diperlengkapkan pada M1000RR, termasuk tujuh mod tunggangan.

    Selain Dynamic Traction Control (DTC) dan Wheelie Control, M1000RR juga membenarkan pelarasan dua mod pada pendikit manakala pelarasan engine braking boleh dilakukan dalam mod Race Pro. Quickshifter yang boleh digunakan untuk turun dan naik gear datang secara standard (boleh ditukar untuk tetapan biasa dan race), bersama Launch Control dan pengehad kelajuan dalam pit.

    Sekiranya memilih model M Competition, motosikal akan dinaik taraf dengan M GPS Laptrigger dan kod pengaktifan, pakej barangan milled M, pakej M Carbon serta lengan ayun 220 gram lebih ringan. Pakej ini juga termasuk dengan rantai DLC-coated M Endurance serta penutup tempat duduk penumpang.

    Melengkapkan senarai barangan motosikal prestasi ini adalah bateri M serba ringan, soket pengecas USB, lampu LED, cruise control dan pemanas tangan. Pilihan warna yang diberi untuk M1000RR adalah Lightwhite, sementara M1000RR M Competition pula disediakan dalam warna Blackstorm.

     
     
  • JPJ eBid: JVS dan VJV sedia untuk dibida

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini Johor, JVS, telah pun dibuka untuk bidaan mulai hari ini (12 Okt) dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 16 Oktober 2022. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 17 Oktober. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur pula, VJV, bidaannya bakal dibuka bermula 14 Oktober dan akan berakhir jam 10 malam pada 18 Oktober 2022. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 19 Oktober ini.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025