Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Harga minyak 10-16 Mac – RON97 naik 30 sen seliter

    Harga minyak 10-16 Mac – RON97 naik 30 sen seliter

    Untuk minggu bertarikh 10 hingga 16 Mac 2022, kenaikan harga runcit hanya melibatkan bahan api petrol RON 97, di mana Kementerian Kewangan memaklumkan ia bakal naik sebanyak 30 sen seliter. Menjadikan harga petrol RON 97 mencecah RM3.75 seliter pada tempoh ini, berbanding RM3.45 seliter pada minggu sebelumnya.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi petrol RON 95 pula masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Ia telah pun mencapai harga siling dan dikekalkan sejak setahun yang lalu.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang masih dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Harga ini berkuatkuasa mulai 12 tengah malam ini sehingga Rabu hadapan, 16 Mac 2022.

     
     
  • Honda City dapat warna metalik Meteoroid Gray dan Ignite Red baru gantikan Modern Steel, Passion Red

    Honda City dapat warna metalik Meteoroid Gray dan Ignite Red baru gantikan Modern Steel, Passion Red

    Dua warna metalik, Meteoroid Gray metallic dan Ignite Red yang sebelum ini diperkenalkan pada model City Hatchback dan Accord kini disediakan pula untuk model City sedan. Tiada tambahan bayaran yang dikenakan bagi dua warna ini, kerana ia menggantikan warna Modern Steel Metallic serta Passion Red sebelum ini.

    Pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia berkata: “Warna metalik Ingnite Red dan Meteoroid Gray diperkenalkan buat kali pertama pada City Hatchback serba baru. Kedua-dua warna ini diterima baik oleh pasaran dan kami mengembangkan lagi pilihan warna ini kepada Civic serba baru.”

    “Untuk merangsangkan lagi pasaran, kami kini telah menawarkan pula pilihan warna baru ini kepada City dan juga Accord. Warna baru ini menyerlahkan lagi penggayaan City, dan meningkatkan lagi profail Accord. Kami akan terus mempertingkatkan produk kami demi menyampaikan Kepuasan Membeli kepada pelanggan.”

    Honda City dapat warna metalik Meteoroid Gray dan Ignite Red baru gantikan Modern Steel, Passion Red

    Honda City ditawarkan untuk pasaran Malaysia dalam lima varian iaitu S, E, V dan V Sensing yang menggunakan enjin 1.5 liter petrol i-VTEC 121 hp/145 Nm, serta RS e:HEV yang menggunakan padanan enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran Atkinson berkuasa 98 PS/127Nm bersama dua motor elektrik (109 PS/253 Nm).

    Sehingga kini, Honda Malaysia telah menjual lebih daripada 32,500 unit City generasi kelima, dan ia sekarang telah menjadi model mereka yang paling laris bagi bulan Januari dan Februari, dengan mengambil bahagian 30% daripada jumlah jualan keseluruhan.

     
     
  • Honda Accord dapat warna Meteoroid Gray Metallic

    Honda Accord dapat warna Meteoroid Gray Metallic

    Honda Malaysia telah memperkenalkan pilihan warna baharu untuk Honda Accord. Kini Meteroid Gray Metallic telah menyertai pilihan warna barisan Accord, menggantikan Modern Steel Metallic. Secara asasnya, ia adalah bayangan kelabu yang berbeza. Honda City juga menerima warna kelabu baharu ini, bersama rona merah (Ignite yang lebih cerah menggantikan Passion) baharu, tetapi merah tidak ditampilkan dalam palet warna bagi Accord.

    “Warna Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic telah diperkenalkan buat pertama kali pada City Hatchback baharu. Kedua-dua warna baharu ini makin diterima di pasaran dan kita juga akan menambah pilihan warna ini untuk Civic serba baharu.

    “Untuk menambah keterujaan pasaran, kami kini turut menawarkan pilihan warna baharu tersebut pada model City dan Accord. Warna baharu ini dilihat mampu meningkatkan profil lebih anggun bagi Accord”,ujar Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Madoka Chujo.

    Dilancarkan di Malaysia pada Februari 2020, Accord generasi ke-10 ini dijanakan oleh enjin 1.5 liter pengecas turbo dengan hamburan kuasa 201 PS dan tork 260 Nm, di mana Honda menyatakan ia adalah lebih padu berbanding 2.4L NA. Ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.5 TC yang dijual pada harga RM178,203 dan varian tertinggi 1.5 TC-P pula berharga RM187,390.

    Merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Honda di Pegoh, Melaka, Accord turut menerima 100% pengecualian cukai jualan (SST) yang berlangsung sehingga 30 Jun 2022. Setakat ini, lebih 2,000 unit model baharu bagi sedan segmen-D ini telah terjual di Malaysia.

    GALERI: Honda Accord 1.5 TC-P 2020

     
     
  • Mazda CX-60 – SUV PHEV mewah, 327 PS/500Nm; versi 6-silinder sebaris RWD menyusul selepas ini

    Mazda CX-60 – SUV PHEV mewah, 327 PS/500Nm; versi 6-silinder sebaris RWD menyusul selepas ini

    Selepas imejnya bocor hujung tahun lalu, dan beberapa teaser rasmi disiarkan, kini SUV yang benar-benar premium dari Mazda iaitu CX-60 secara rasminya didedahkan di Eropah sebagai kemunculan sulungnya bagi peringkat global. ‘Premium’ yang dimaksudkan adalah benar-benar premium – SUV besar dengan platform enjin hadapan yang diletakkan secara menegak untuk memacu roda belakang ini dihasilkan untuk berhadapan terus dengan saingan-saingan sekelasnya dari pengeluar premium seperti BMW, Mercedes-Benz, Lexus dan Volvo.

    Secara spesifiknya, CX-60 dibina berasaskan platform baharu Mazda yang digelar Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture. Ia adalah sebahagian dari kumpulan Large Product yang telah diumumkan oleh Mazda sebelum ini, dan ia akan diikuti dengan model CX-70, CX-80 dan CX-90 selepas ini.

    Dari segi saiz, CX-60 menampilkan dimensi 4,745 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,680 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,870 mm. Untuk mudah anda membayangkan saiznya, model ini adalah 195 mm lebih panjang, 50 mm lebih lebar serta jarak roda 170 mm lebih jauh berbanding Mazda CX-5.

    Mazda CX-60 – SUV PHEV mewah, 327 PS/500Nm; versi 6-silinder sebaris RWD menyusul selepas ini

    Untuk permulaan, CX-60 tampil sebagai model pertama Mazda yang menerima unit rangkaian kuasa plug-in hybrid yang digelar e-SkyActiv PHEV. Sistem berkenaan menampilkan enjin SkyActiv-G 2.5 liter empat silinder tanpa turbo, dengan suntikan bahan api terus bagi menjana 192 PS (189 hp) dan tork maksima 261 Nm.

    Ia digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 135 PS (134 hp/100 kW) dan tork maksima 250 Nm yang diletakkan diantara enjin petrol dan juga kotak gear lapan-kelajuan automatik. Walaupun secara asasnya ia menampilkan konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang, sistem transmisi berkenaan digandingkan dengan syaf untuk menghantar tork ke gandar hadapan bagi mewujudkan sistem pacuan semua roda Mazda i-Activ.

    Menurut Mazda, secara keseluruhan unit rangkaian kuasa PHEV pada CX-60 ini menghasilkan kuasa 327 PS (323 hp/241 kW) dan tork maksima 500 Nm, menjadikan CX-60 sebagai kereta produksi Mazda paling berkuasa pernah dihasilkan, lebih berkuasa dari kereta sport Mazda RX-7 atau RX-8 sebelum ini dalam keadaan standard produksi.

    Ini membolehkan SUV besar tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.8 saat dengan kelajuan maksima dihadkan kepada 200 km/j. Manakala untuk penggunaan bahan api, ia mampu mencapai kadar serendah 1.5 liter untuk 100 km, dan kadar emisi CO2 pula adalah 33 g/km.

    Motor elektrik pada CX-60 PHEV ini menerima kuasa dari bateri lithium-ion 355-volt dengan kapasiti 17.8-kWj. Dengan satu cas penuh, bateri tersebut mampu menggerakkan SUV ini dengan hanya kuasa elektrik sepenuhnya dalam jarak 63 km dengan kelajuan 100 km/j atau kurang.

    Mazda menyatakan dengan pengecas AC biasa, bateri berkenaan boleh dicas dari sifar hingga penuh dalam masa empat jam. Untuk memandu dengan kuasa elektrik sepenuhnya, pemandu boleh memilih mod pemanduan EV menerusi Mazda Intelligent Drive Select (Mi-Drive). Mod EV ini hanya khas diberikan pada model PHEV, manakala mod lain seperti Normal, Sport, Off-Road dan Towing turut akan ditampilkan pada varian lain kelak.

    Selepas ini, CX-60 turut akan ditawarkan dengan enjin-enjin pembakaran dalaman lain. Ia termasuk dua enjin pilihan enjin enam-silinder dalam versi petrol dan turbodiesel. Bagi enjin petrol, ia adalah unit e-SkyActiv X 3.0 liter yang menggunakan teknologi Spark Controlled Compression Ignition (SPCCI), manakala untuk turbodiesel pula ia dijana enjin Skyactiv-D 3.3 liter.

    Mazda CX-60 – SUV PHEV mewah, 327 PS/500Nm; versi 6-silinder sebaris RWD menyusul selepas ini

    Kedua-dua pilihan enjin enam-silinder ini turut digandingkan dengan sistem hibrid ringkas 48-volt Mazda yang digelar M Hybrid Boost, dan kedua-duanya mungkin hanya akan tampil dengan pilihan pacuan roda belakang sepenuhnya sahaja.

    Dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang ini membolehkan CX-60 menerima sistem suspensi double wishbone di hadapan, dengan suspensi bebas jenis multi link di belakang. Ia juga diberikan sistem Kinematic Posture Control (KPC) seperti MX-5, iaitu sistem yang mengggunakan brek bagi mengurangkan daya olengan badan serta memberikan karekter lebih tajam ketika masuk ke selekoh.

    Dengan konfigurasi mekanikal tersebut juga menjadikan rekaan CX-60 ini tampil dengan bahagian muncung yang lebih panjang, sama seperti model-model pacuan belakang lain. Ia masih menggunakan falsafah rekaan Kodo tetapi dalam versi terkini yang menyerlahkan konsep “Noble Toughness”.

    Sekali imbas, muka CX-60 ini dilihat sama seperti model-model Mazda yang lain, tetapi ia sebenarnya diberikan lampu hadapan yang lebih kecil bersama jalur LED berbentuk-L bina dalam, yang kelihatan seperti bersambung dengan bar lampu pada gril.

    Mazda CX-60 – SUV PHEV mewah, 327 PS/500Nm; versi 6-silinder sebaris RWD menyusul selepas ini

    Bahagian sisi SUV ini juga diberikan permukaan yang bersih tanpa garis-garis tegak, tetapi diberikan aliran yang lebih lembut seperti kaligrafi Jepun, sama seperti pada Mazda 3. Manakala di belakang, ia tampil dengan lampu melintang yang direka nipis, bersama empat tip ekzos yang diserlahkan pada bampar.

    CX-60 hadir dengan pilihan rim bermula dari diameter 18-inci sehingga 20-inci. Untuk warna badan, ia hadir dengan pilihan rona Rhodium White sebagai satu lagi warna signatur Mazda selain Soul Red Crystal dan Machine Grey. Warna lain yang boleh dipilih termasuk Jet Black, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, Platinum Quartz dan Arctic White.

    Kita dah lihat bagaimana tahap premium bahagian dalaman Mazda untuk model-model ‘biasa’ mereka seperti Mazda 3 dan lain-lain. Namun bagi CX-60, tahap premium berkenaan naik satu lagi anak tangga. Ia menampilkan penggunaan material dan tekstur seperti kayu maple, kulit Nappa, tekstil Jepun, perincian-perincian krom dan juga jahitan halus pada panel instrumen.

    Namun kombinasi-kombinasi berkenaan masih terpulang pada varian kemasan yang dipilih oleh pelanggan, iaitu varian asas Prime-Line, varian pertengahan Exclusive Line, serta dua varian tertinggi iaitu Takumi dan Homura.

    Mazda CX-60 – SUV PHEV mewah, 327 PS/500Nm; versi 6-silinder sebaris RWD menyusul selepas ini

    Papan pemuka SUV ini direka ringkas dengan bentangan melintang dan berlapis, menampilkan skrin infotainmen 12.3-inci yang berdiri sendiri di tengah. Pemandu pula diberikan paparan instrumen digital TFT-LCD berwarna dengan paparan head-up yang memaparkan maklumat dalam saiz tiga kali lebih besar dari HUD pada CX-30.

    Bagi sistem infotainmen, model ini menerima sistem Mazda Connect dengan hubungan Android Auto dan Apple CarPlay. Ia turut diberikan sistem pendingin hawa tiga-zon dengan liang penghembus kabin belakang, pemanas untuk semua tempat duduk, sistem telematik dengan aplikasi MyMazda, serta sistem bunyi Mazda Harmonic Acoustic yang dipertingkat, bersama ciri opsyen 12-pembesar suara dari Bose.

    Kabin CX-60 ini menampilkan sistem yang digelar sebagai Driver Personalisation System yang datang dengan tiga fungsi. Fungsi pertama adalah larasan automatik kedudukan pemandu yang menggunakan kamera bagi mengesan posisi mata pemandu serta input berkenaan ketinggian pemandu bagi membuat jangkaan terhadap saiz fizikal mereka. Dengan input-input ini, sistem tersebut akan membuat larasan tempat duduk, roda stereng, HUD, dan juga cermin sisi bagi disesuaikan dengan posisi mata pemandu.

    Yang kedua adalah restorasi tetapan automatik yang menggunakan sistem pengenalan muka dan data dari lebih 250 larasan serta tetapan yang telah disimpan dalam kenderaan – termasuk posisi pemanduan, audio dan juga pendingin hawa. Sistem ini akan mengembalikan semula tetapan untuk setiap individu setiap kali pemandu bertukar. Fungsi ini boleh menyimpan tetapan untuk enam orang, dan juga pelawat.

    Ia juga tampil dengan fungsi bantuan masuk/keluar seakan sistem pada model-model Mercedes-Benz dan Lexus, bagi memudahkan pemandu masuk atau keluar dari ‘kokpit’ dengan menggelangsarkan tempat duduk dan roda stereng ke belakang.

    Bagi aspek keselamatan pula, perincian unik yang ada pada CX-60 ini adalah sistem See-Through View. Ia menggunakan empat kamera untuk beroperasi, dan bukan sahaja memberikan pandangan 360-darjah disekeliling kereta, malah ia turut memaparkan imej seolah-olah pandangan pemandu boleh ‘tembus’ bagi melihat sudut hadapan dan belakang kereta dari posisi duduk mereka.

    Mazda CX-60 – SUV PHEV mewah, 327 PS/500Nm; versi 6-silinder sebaris RWD menyusul selepas ini

    Selain itu, ia menerima sistem Kawalan Menurun Bukit (HDC), i-Adaptive Cruise Control (i-ACC) yang kini boleh mengehadkan kelajuan berdasarkan input dari Pengenal Tanda Trafik (TSR), dan Amaran Keluar Kenderaan (menggunakan pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang) bagi memberikan amaran kepada penumpang ketika keluar dari kereta sekiranya terdapat kereta lain menghampiri.

    Sistem bantuan pemanduan i-Activsense pada CX-60 ini menampilkan fungsi seperti Advanced Smart City Brake Assist (Advanced SCBS) dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal serta fungsi dipersimpangan, Rear Emergency Brake Assist (SBS-R) dengan pengesan pejalan kaki, Bantuan Kekal Lorong dengan Bantuan Stereng (ELK) serta Pengesan Mengantuk (DAA).

    Menurut Mazda, tempat duduk pada CX-60 ini adalah hasil pembangunan lanjutan tempat duduk yang digunakan pada model-model sedia adanya yang lain, di mana ia telah direka bagi memberikan sokongan pada bahagian pelvis dengan betul bagi memastikan mobiliti pada spina.

    Apa yang berbeza, tempat duduk pada model lebih besar ini diberikan sokongan terhadap titik fulkrum pada badan ketika pemandu memutarkan roda stereng, pedal pendikit dan brek, mewujudkan struktur yang Mazda sifatkan sebagai “menyokong percubaan bawah sedar pemandu untuk mengekalkan keseimbangan sebagai tindak balas kepada daya-G dari semua arah.”

    Mazda CX-60 – SUV PHEV mewah, 327 PS/500Nm; versi 6-silinder sebaris RWD menyusul selepas ini

    Dengan saiz yang besar, secara tidak langsung memberikan kabin yang luas pada CX-60 ini. Ia menampilkan ruang bahu 1,504 mm pada tempat duduk hadapan (44 mm lebih dari CX-5), dan 1,441 mm pada tempat duduk belakang (50 mm lebih dari CX-5). Walau bagaimanapun, CX-60 hanya menampilkan dua baris tempat duduk. Konfigurasi tiga baris tempat duduk hanya akan diberikan pada model CX-80 dan CX-90 akan datang, tetapi ia masih hanya ditawarkan pada pasaran tertentu.

    Tanpa sebarang tempat duduk pada bahagian but, CX-60 menampilkan ruang kargo dengan kapasiti 570 liter. Jika tidak cukup, tempat duduk baris kedua boleh dilipat bagi memberikan ruang keseluruhan 1,148 liter. Pintu tailgate juga memberikan bukaan yang luas dengan lebar 1,082 mm (35 mm lebih lebar dari CX-5) dan bukaan tinggi 758 mm bagi memudahkan anda memuatkan barang-barang yang besar.

    Bahagian but belakang ini juga diberikan oulet kuasa DC 12-volt (outlet opsyenal 1.5 kW AC untuk model PHEV), serta pintu tailgate berkuasa dengan bukaan tanpa sentuhan yang ditawarkan sebagai ciri opysen.

    Mazda CX-60 akan mula dijual di Eropah tahun ini, dan pada 2023, Mazda akan melancarkan versi lebih besar dengan tiga baris tempat duduk seperti CX-80. Syarikat dari Hiroshima itu juga merancang untuk melancarkan lima model baharu yang tampil dengan unit rangkaian kuasa elektrifikasi menggunakan platfom ini bagi tempoh tiga tahun akan datang. Selepas 2025, Mazda akan memperkenalkan platform Skyactiv EV Scalable Architecture yang akan menjadi asas kepada pelbagai kereta elektrik dalam pelbagai saiz.

     
     
  • Volkswagen Virtus 2022 diperkenalkan di India – gaya baharu; 1.0L dan 1.5L TSI; 6MT, 6AT dan 7DCT

    Volkswagen Virtus 2022 diperkenalkan di India – gaya baharu; 1.0L dan 1.5L TSI; 6MT, 6AT dan 7DCT

    Volkswagen Virtus facelift telah pun diperkenalkan di peringkat global di India, selepas empat tahun sedan ini didedahkan pada tahun 2017. Menggantikan model Vento dalam barisan tempatan, Virtus adalah setaraf dengan model Skoda Slavia dan ia dibangunkan dengan platform MQB A0 yang sama dibikin untuk India. Ia akan dijual di lebih 25 buah negara, menurut Autocar India.

    Bagi aspek rekaannya, Virtus ini tidak lagi kelihatan seperti versi sedan untuk Polo, hasil olahan yang lebih segar untuk bahagian hadapannya. Malah bahagian bamparnya juga lebih menyerlah berbanding sebelum ini dan corong pengambilan udara bahagian bawah yang lebih lebar diserlahkan dengan elemen hitam berkilat dan krom.

    Lampu utama LED juga diberikan sentuhan baharu, sementara kepingan tunggal bagi gril dihiasi bingkai krom, dan lampu belakang pula kini ditampilkan dengan grafik baharu. Ia disambungkan dengan bampar belakang dengan paip ekzos palsu dan elemen seperti diffuser.

    Daripada sudut profilnya, Virtus memiliki banyak persamaan dengan Slavia, termasuk scuttles sisi yang meregang hingga ke belakang. Dimensi juga lebih kurang, di mana Virtus berukuran 4,561 mm panjang, 1,752 mm lebar, 1,507 mm tinggi dan jarak roda pula 2,651 mm. Ia ditawarkan dengan enam warna badan iaitu Wild Cherry Red, Candy White, Carbon Steel Grey, Curcuma Yellow, Reflex Silver dan Rising Blue Metallic.

    Bahagian dalamnya juga hampir sama, walau bagaimana pun bentangan papan pemuka Virtus lebih besar berbanding model pre-facelift. Antara ciri yang diberikan perubahan termasuklah kepingan kemasan krom yang membahagikan bahagian atas dan bawah, disambungkan dengan panel sesentuh untuk sistem pendingin hawa automatik.

    Lain-lain ciri yang ditampilkan termasuklah kluster instrumen digital lapan-inci, sistem infotainmen skrin sesentuh 10-inci, telematik, bumbung suria, sistem pencahayaan ambien, tempat duduk hadapan dengan aliran udara, dan pad pengecasan tanpa wayar. Untuk aspek keselamatan, ia diberikan enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik, bantuan mendaki dan pemantauan tekanan tayar.

    Dua enjin pengecas turbo diberikan, termasuklah 1.0 liter TSI tiga-silinder dengan hamburan kuasa 115 PS (113 hp), bagi varian standard Dynamic Line. Manakala bagi varian Performance Line, dengan lencana GT, yang diberikan enjin yang lebih padu iaitu 1.5 liter TSI empat-silinder yang mampu meledakkan sehingga 150 PS (148 hp). Kedua-dua penjana kuasa ini menyalurkan pacuan ke roda hadapan menerusi kotak gear manual enam-kelajuan, tetapi enjin yang berkapasiti kecil turut diberikan pilihan automatik enam-kelajuan, sementara versi 1.5 liter TSI juga ditawarkan dengan transmisi dwi-klac DSG tujuh-kelajuan.

    Harganya akan diumumkan tidak lama lagi, dan Virtus ini bakal bersaing dengan model sedan premium lain di India termasuk City, Hyundai Verna, Maruti Suzuki Ciaz dan pastinya Slavia.

     
     
  • PACE 2022: Dekati SUV hibrid ringkas Volvo XC90 B5 AWD Inscription Plus, pelbagai tawaran menarik

    PACE 2022: Dekati SUV hibrid ringkas Volvo XC90 B5 AWD Inscription Plus, pelbagai tawaran menarik

    Acara Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org kembali tahun ini, dengan akan berlangsung pada 19-20 Mac di Setia City Convention Centre (SCCC). Sepanjang dua hari ia berlangsung, anda akan dapat menikmati pelbagai tawaran untuk kereta premium bukan sahaja baru, tetapi juga terpakai.

    Bagi yang membeli kenderaan di acara ini, anda bukan sahaja akan disediakan dengan pelbagai kelebihan dan hadiah menarik, tetapi juga yang lebih penting, adalah penjimatan yang diperoleh daripada pengecualian cukai yang masih lagi berlangsung sehingga 30 Jun ini, iaitu 50% bagi kenderaan CBU dan 100% bagi kenderaan CKD.

    Banyak model baru akan berada di acara ini, dan salah satu daripadanya adalah Volvo XC90 B5 AWD Inscription Plus, yang baru sahaja diperkenalkan bulan lalu. Model ini menggantikan varian T5 AWD Momentum, dan datang dengan senarai kelengkapan yang sama seperti XC90 Recharge T8 AWD Inscription Plus (PHEV), tetapi didatangkan dengan penggerak hibrid ringkas yang mempunyai kuasa keseluruhan 245 hp dan 350 Nm tork.

    PACE 2022: Dekati SUV hibrid ringkas Volvo XC90 B5 AWD Inscription Plus, pelbagai tawaran menarik

    Pada bahagian luar, barangan yang diberikan secara standard adalah termasuk pakej penggayaan Inscription, rim 10 cabang 20 inci dengan tayar 275/45, lampu hadapan LED penuh dengan Active High Beam dan Active Bending Lights serta DRL LED, sementara di dalam pula terdapat tempat duduk yang dibalut kulit Nappa, kawalan pendingin hawa empat zon dengan corong di baris kedua dan ketiga, sistem infotainmen Sensus Connect, pengecas telefon tanpa wayar serta sistem bunyi Bowers & Wilkins 1,400 watt dengan 19 pembesar suara.

    Setiap kenderaan yang ditempah di PACE akan didatangkan dengan baucar bernilai RM2,500 daripada rakan niaga kami. Ini termasuk baucar RM500 untuk filem pelindung cat kenderaan (Kuziq Glanz), baucar RM500 bagi filem penapis haba (V-Kool), baucar RM500 bagi penapis udara (Blueair), baucar RM500 untuk kerusi kanak-kanak (Recaro Kids) dan baucar RM500 untuk produk gaya hidup Ogawa.

    Jenama yang ikut serta juga membawakan barisan kenderaan terpakai yang berkualiti, dan pembeli akan menerima baucar bernilai RM1,000 daripada PACE, mengandungi dua baucar rawak RM500 daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.

    PACE 2022: Dekati SUV hibrid ringkas Volvo XC90 B5 AWD Inscription Plus, pelbagai tawaran menarik

    Tawaran menarik ini tidak sekadar berakhir di situ kerana selain tawaran daripada jenama terlibat dan baucar tersebut, pembeli di PACE 2022 juga berpeluang untuk memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.

    Jenama lain yang akan menyertai PACE 2022 adalah seperti Mercedes-Benz (melalui Hap Seng Star), BMW, MINI (melalui Auto Bavaria), Volkswagen, Jaguar, Land Rover, Ford dan Hyundai. Bukan setakat kereta, BMW Motorrad dan Harley-Davidson juga akan berada di acara ini. Jadi, jangan lupa, 19 dan 20 Mac ini!

     
     
  • AXA, Setel bekerjasama bagi menawarkan SmartDrive Enhanced – beli insurans kereta secara dalam talian

    AXA, Setel bekerjasama bagi menawarkan SmartDrive Enhanced – beli insurans kereta secara dalam talian

    AXA Affin General Insurance Berhad (AXA) telah bekerjasama dengan Setel yang merupakan aplikasi mudah alih pertama di Malaysia yang mengintegrasikan platform e-pembayaran dengan pam, untuk menawarkan perkhidmatan pembelian insurans kereta secara digital dengan cara yang cepat, selamat dan mudah.

    Dengan kerjasama AXA sebagai penyedia insurans pertama bersama Setel, pengguna Setel boleh membeli pelan insurans motor AXA – SmartDrive Enhanced dengan mudah melalui aplikasi Setel. Pelanggan juga boleh mendapatkan sebut harga dengan kadar segera, membeli insurans motor dan menerima e-polisi mereka, semuanya melalui aplikasi Setel.

    Selain itu, pelanggan juga akan memperoleh mata ganjaran Mesra dengan setiap pembelian insurans motor menggunakan aplikasi ini. Ia juga dilengkapi dengan pilihan perlindungan yang fleksibel dan mengikut ketetapan masing-masing, membolehkan pengguna mendapat perlindungan segera mengikut keselesaan mereka.

    Menurut Emmanuel Nivet, Ketua Pegawai Eksekutif AXA, pelanggan hari ini menggunakan kaedah digital untuk membeli dan memperbaharui insurans motor mereka, dengan mengharapkan perkhidmatan yang segera, mudah, dan berpatutan.

    “Keutamaannya di sini adalah untuk menyesuaikan diri dengan keperluan yang berubah-ubah, meningkatkan tumpuan kepada pelanggan dan memastikan pengalaman yang lancar di semua peringkat. Ia akan memperkasakan pelanggan untuk mendapatkan penyelesaian yang sesuai dengan keperluan melalui platform pilihan mereka.

    ‘Disokong oleh keupayaan untuk menawarkan khidmat melalui pelbagai rangkaian yang kukuh, kami teruja untuk bekerjasama dengan Setel kerana ia bukan sahaja akan membuka peluang lebih besar yang akan melengkapkan keseluruhan rantaian nilai, tetapi juga menawarkan pengalaman insurans dalam talian yang berintegrasi kepada pelanggan,” kata Emmanuel.

    Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel berkata, “Kami mahu menjadi teman setia kepada pengguna kami di jalan raya dengan mengubah pengalaman mereka melalui mobiliti berinovasi. Dengan kerjasama antara Setel dengan AXA, matlamat kami adalah memudahkan akses terhadap proses pembelian insurans motor, serta menjadikannya lebih mesra dan lancar untuk pemandu.

    “Kami sentiasa berusaha untuk memberikan kemudahan yang tiada tandingan kepada pelanggan kami dan kemudahan insurans motor ini hanyalah salah satu daripada pelbagai kemudahan menarik yang kami bakal lancarkan untuk menangani masalah mobiliti harian rakyat Malaysia.”

    Pelanggan terawal yang membeli insurans melalui aplikasi Setel akan menerima diskaun 10% tambahan selain Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) mereka dari 28 Februari hingga 27 Mei 2022. Selain itu, 500 pengguna pertama yang berjaya membeli insurans melalui Setel akan menerima e-Baucar Penghantaran KFC bernilai RM20 untuk masa terhad sehingga 27 Mac 2022.

    Pelan insurans motor AXA SmartDrive Enhanced menawarkan perlindungan komprehensif di jalan raya termasuk perkhidmatan tunda kenderaan secara percuma sehingga 30km, bantuan kecemasan tepi jalan 24/7, waranti pembaikan dan kelulusan tuntutan yang pantas. Pelanggan juga boleh memilih manfaat tambahan seperti perlindungan untuk cermin depan, banjir dan bencana alam, pembaikan dan banyak lagi.

     
     
  • Hyundai Ioniq 5 2022 EV dilancar di M’sia — 58 kWh 2WD Lite/Plus, 72.6 kWh AWD Max, dari RM199,888

    Hyundai Ioniq 5 2022 EV dilancar di M’sia — 58 kWh 2WD Lite/Plus, 72.6 kWh AWD Max, dari RM199,888

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) secara rasmi telah melancarkan Ioniq 5 EV untuk pasaran Malaysia. Tempahan bagi model elektrik ini mula dibuka minggu lalu, dan kami juga pernah membawakan pra-tonton penampilan pertamanya di 1 Utama.

    Untuk pasaran tempatan, Ioniq 5 ditawarkan dalam tiga varian; Lite, Plus dan Max, sama seperti penawaran Kona Electric sebelum ini. Lite dilengkapi bateri lithium ion polimer 58 kWh dan pacuan roda belakang, sementara Plus merupakan versi lebih lengkapnya. Max pula varian paling tinggi dengan bateri 72.6 kWh dan dwi-motor AWD.

    Harga pula adalah seperti berikut; Lite (RM199,888), Plus (RM229,888) dan Max (RM259,888). Ini adalah harga atas jalan tidak termasuk insuran, dan tidak termasuk duti import dan eksais, cukai jualan serta cukai jalan. Sebagai perbandingan, Kona Electric dijual pada harga RM149,888 (39.2 kWh) hingga RM199,888 (64 kWh).

    Ioniq 5 ini juga datang dengan jaminan standard dua tahun atau 50,000 km serta jaminan bateri EV lapan-tahun atau 160,000 km. Pakej lanjutan jaminan dan servis ditawarkan dengan kos tambahan RM10k, dan menjadikan tempoh jaminan lima-tahun atau 100,000 km, dan termasuk penyelenggaraan untuk tiga tahun atau 50,000 km. Jaminan bateri EV kekal sama.

    Hyundai Ioniq 5 2022 EV dilancar di M’sia — 58 kWh 2WD Lite/Plus, 72.6 kWh AWD Max, dari RM199,888

    HSDM juga menawarkan dua pengecas di rumah sebagai pilihan — unit 7 kW AC pada harga RM6,000 atau 22 kW AC pada harga RM7,000. Harga ini termasuk pemasangan standard, tetapi ia mungkin melibatkan caj tambahan untuk penkabelan tambahan dan keperluan pemasangan lainnya. Jika anda pilih varian Max dan tambahn lanjutan jaminan dan pengecas 22 kW ini, harga maksimumnya adalah RM276,888.

    Tentang spesifikasi. Varian 58 kWh RWD mempunyai motor belakang dengan janaan 170 PS/350 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat, sementara versi dwi-motor AWD pula dengan 305 PS/605 Nm (225 kW) dan 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat. Jarak WLTP dengan satu cas penuh ialah 384 km bagi versi 58 kWh dan 430 km bagi versi 72.6 kWh AWD. Laju maksimum adalah 185 km/j untuk kedua-duanya.

    Bagi pengecasan, dengan pengecas pantas 350 kW DC, ia boleh dilakukan dari 10%-80% dalam masa hanya 18 minit. Dengan hanya lima minit pengecasan saja sudah boleh memberikan 100 km jarak perjalanan mengikut kitaran WLTP. Memang kita belum mempunyai pengecas dengan kapasiti tinggi seperti ini, tetapi kereta ini mampu untuk menampung pengecasan pantas seperti ini jika ia tersedia nanti.

    Pengecas pantas yang kita ada ketika ini, seperti di rangkaian Shell Recharge, mempunyai kadar 180 kW. Pada takat 50 kW, Hyundai memaklumkan Ioniq 5 boleh di cas dari 10%-80% dalam masa 47 minit, jadi jika dengan pengecas DC 180 kW ia akan menjadi lebih singkat. Dengan pengecas rumah 11 kW AC pula memerlukan lima jam bagi versi 58 kWh dan lebih enam jam untuk bateri 72.6 kWh. Ioniq 5 mempunyai port CCS2.

    Hyundai Ioniq 5 2022 EV dilancar di M’sia — 58 kWh 2WD Lite/Plus, 72.6 kWh AWD Max, dari RM199,888

    Dibina menggunakan Electric-Global Modular Platform (E-GMP) untuk EV, Ioniq 5 menyokong prasarana pengecasan 400V dan 800V tanpa perlu adapter atau komponen tambahan. Kereta ini juga boleh bertindak sebagai power bank, dengan soket vehicle-to-load (V2L) di bawah kerusi belakang yang membekalkan kuasa 3.6 kW untuk peralatan seperti basikal elektrik, skuter, kelengkapan perkhemahan dll.

    HSDM merujuk model ini sebagai Crossover Utility Vehicle (CUV), walaupun ia lebih dekat dengan reka bentuk hatchback yang besar. Ia mempunyai ukuran dimensi 4,635 mm panjang dan 1,890 mm lebar, model ini 430 mm lebih panjang dan 90 mm lebih lebar berbanidng Kona Electric, dengan jarak antara rodanya juga lebih panjang 400 mm.

    Jarak antara roda 3 meter Ioniq 5 juga sebenarnya lebih panjang berbanding Toyota Camry (2,825 mm), Mercedes-Benz E-Class (2,939 mm) dan rim 20-inci (pada varian tertinggi Max) juga nampak padan dengannya.

    Di dalam, Hyundai menyatakan kabin Ioniq menggunakan bahan kitar semula. Kerusi misalnya dibalut dengan kulit yang diproses secara mesra alam dan diwarna menggunakan minyak tumbuhan. Material kain pula didapatkan daripada komponen bio tebu, wool dan benang poly, serta bahan yang diperbuat daripada botol plastik. Jangan terkeliru dengan stereng yang tiada logo, kerana itu memang disengajakan.

    Hyundai Ioniq 5 2022 EV dilancar di M’sia — 58 kWh 2WD Lite/Plus, 72.6 kWh AWD Max, dari RM199,888

    Kelengkapan lain yang ada termasuk ciri bantuan pemandu SmartSense sebagai penawaran standard. Cuma, Lite kekurangan peninjau titik buta (input kamera, amawan normal masih ada) serta bantuan pintu aktif Safe Exit Alert. Lite dilengkapi dengan lampu utama reflektor LED sementara varian lain menggunakan dwi-projektor LED.

    Bagi kerusi, Lite menggunakan material kain sementara kulit untuk yang lain. Max melibatkan pertambahan liang pada kerusi untuk pemanas/pengudaraan di depan dan belakang, dengan larasan kuasa, serta sistem bunyi Bose dengan tujuh pembesar suara dengan subwoofer dan amp. Lite dan Plus didatangkan dengan kabin hitam, tetapi dengan Max pembeli boleh memilih antara hitam sepenuhnya atau dwi-tona dengan warna gelap dan kerusi kelabu.

    Hyundai Ioniq 5 Max 2022

    Hyundai Ioniq 5 Lite 2022

     
     
  • Toyota bZ4X – kurang 100 unit untuk Thai bakal tiba pada 2022, harga antara RM250k hingga RM380k?

    Toyota bZ4X – kurang 100 unit untuk Thai bakal tiba pada 2022, harga antara RM250k hingga RM380k?

    Awal Januari lalu, Toyota Motor Thailand (TMT) telah mendedahkan bakal melancarkan SUV elektrik-sepenuhnya bZ4X pada separuh kedua tahun ini. Menurut penerbitan Thai Headlightmag, bZ4X akan diimport sepenuhnya dari Kepun, dan kumpulan pertama dijangka akan tiba pada penghujung tahun 2022.

    Difahamkan, rantau ASEAN hanya akan mendapat sekitar 100 unit sahaja, dan tidak dipastikan berapa jumlah yang bakal diperuntukkan untuk pasaran Thailand. Bagi harganya, model asas dijangka bermula sekitar dua juta baht (RM250k), dan varian tertinggi tidak melebihi tiga juta baht (RM380k).

    Mengenai SUV lima-tempat duduk ini (ia menggunakan platform yang didedikasikan untuk EV dengan kerjasama Subaru) ditawarkan dengan konfigurasi sama ada pacuan roda-hadapan atau pacuan semua-roda. Untuk pacuan roda-hadapan, ia menggunakan motor elektrik tunggal yang mampu menghasilkan 150 kW (204 PS), sementara AWD pula memiliki dua motor 80 kW (109 PS) dengan gabungan kuasa cecxah 160 kW (218 PS).

    Toyota bZ4X – kurang 100 unit untuk Thai bakal tiba pada 2022, harga antara RM250k hingga RM380k?

    Kedua-dua versi menggunakan bateri 71.4 kWh yang sama, dengan jarak gerak sekitar 460 km untuk sekali cas. Ia boleh dicas semula menggunakan pengecas AC sehingga 6.6 kW dan pengecas DC sehingga 150 kW. Ia mampu dipecut 0-100 km/j dalam 8.4 saat untuk FWD, dan 7.7 saat bagi AWD.

    bZ4X juga dijangka bakal tiba di pasaran Malaysia, tetapi kemungkinan besar pada tahun 2023. Sebelum itu, model pesaingnya, Lexus UX 300e, pula akan dilancarkan di sini pada tahun ini. Jadi, mana satu menjadi dambaan hati?

     
     
  • Yamaha 135LC V8 Fi dilancar di M’sia harga RM7,798 – 135 cc suntikan bahan api elektronik, 4 kelajuan

    Yamaha 135LC V8 Fi dilancar di M’sia harga RM7,798 – 135 cc suntikan bahan api elektronik, 4 kelajuan

    Yamaha 135LC Fi (dipanggil ramai sebagai LC V8) akhirnya dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia hari ini, dengan harga RM7,798 tidak termasuk insurans, dalam pilihan tiga warna iaitu Crystal Cyan, Midnight Star dan Ruby Red.

    Selain versi standard, satu lagi versi yang dipanggil sebagai Special Edition (SE) turut diperkenalkan, pada harga RM8,198. Keistimewaan 135LC Fi SE ini adalah ia didatangkan dalam warna matte Desert Storm bersama rim warna emas, lencana 135 LC timbul di bahagian tepi serta bakul hadapan khas yang di dalamnya mempunyai bahagian tertutup serta soket pengecas USB.

    Seperti yang boleh dilihat pada namanya, pembaharuan utama pada 135LC Fi adalah penggunaan sistem suntikan bahan api elektronik, tetapi masih dipadankan bersama kapasiti enjin yang sama, iaitu 135 cc. Ini sekaligus menjadi perubahan besar bagi model LC yang sudah menggunakan sistem karburetor dan berada dalam pasaran sejak tahun 2006.

    Kuasa yang mampu dihasilkan oleh enjin dengan sistem penyejukan cecair ini adalah 12.5 hp pada 8,000 rpm, dan tork maksimum 12.2 Nm. Kuasa ini meningkat sedikit berbanding 135LC karburetor sebelum ini yang menghasilkan 12 hp dan 11.8 Nm tork sementara saiz gerek dan lejang 135LC Fi ini adalah 54 mm x 58.7 mm, dan nisbah mampatannya pula adalah 10.9:1.

    Walaupun didatangkan dengan enjin baru, transmisi 135LC Fi ini masih lagi menggunakan unit empat kelajuan tanpa tuil klac tangan dan dipadankan bersama sprocket belakang saiz 39. Rim menggunakan rekaan baru enam cabang seperti Y125ZR bersaiz 17 inci, dengan tayar saiz 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang.

    Untuk sistem brek, kedua-dua bahagian menggunakan sistem cakera, dengan angkup satu piston di hadapan dan belakang, sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang. Hanya pemula elektrik sahaja yang disediakan pada motosikal ini, dan tiada penendang kaki.

    Yamaha 135LC V8 Fi dilancar di M’sia harga RM7,798 – 135 cc suntikan bahan api elektronik, 4 kelajuan

    Satu lagi yang menarik bagi 135LC Fi ini adalah pada bahagian meter, di mana ia menggunakan unit digital LCD seperti Y16ZR. Berat keseluruhan 135LC Fi adalah 109 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 4.6 liter (sebelum ini 4.0 liter).

    Keistimewaan lain 135LC Fi ini adalah kerangka lebih ringan berbanding sebelum ini, lampu LED depan dan belakang, enjin bertaraf emisi Euro 4 serta suis membuka tempat duduk di bahagian kunci utama. Setiap pembelian akan diberikan kunci cakera brek percuma dan jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.


    GALERI: Yamaha 135LC Fi Special Edition

     
     
  • Festival Perlumbaan Toyota GR M’sia kembali untuk musim ke-5, bakal tampilkan semula litar jalan raya

    Festival Perlumbaan Toyota GR M’sia kembali untuk musim ke-5, bakal tampilkan semula litar jalan raya

    UMW Toyota Motor mengumumkan bahawa Festival Perlumbaan Gazoo Racing Malaysia akan terus diadakan tahun ini untuk musim kelima. Ia masih menampilkan perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge sebagai acara utama, dan akan dilangsungkan dalam tiga pusingan dengan enam perlumbaan secara keseluruhan.

    Seperti musim lalu, Vios Challenge akan menampilkan empat kategori berbeza iaitu Promotional (untuk selebriti), Rookie (untuk bakat-bakat muda), Sporting (amatur) dan juga Super Sporting (profesional). Pusingan pertama perlumbaan ini akan berlangsung pada 18-20 Mac, diikuti pusingan kedua pada 24026 Jun dan pusingan terakhir pada 23-25 September.

    Tidak seperti musim keempat yang menyaksikan kesemua pusingan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang kerana kekangan pandemik Covid-19, UMWT merancang untuk kembali mengadakan perlumbaan di atas litar jalan raya untuk musim kelima ini. Dua pusingan disahkan akan berlangsung di Sepang, manakala satu lagi pusingan untuk litar jalan raya akan diumumkan kemudian.

    Musim lalu, duta Gazoo Racing Malaysia iaitu Tengku Djan Ley sekali lagi mendominasi siri perlumbaan tersebut dan bergelar juara untuk kali ketiga dalam kategori Super Sporting. Manakala Clement Yeo merangkul gelaran juara untuk kategori Sporting, Shukri Yahaya dinobatkan sebagai juara untuk kategori Promotional, dan Naquib Azlan bergelar juara untuk kategori Rookie.

     
     
  • Toyota GR 86 akan dilancarkan di Malaysia tahun ini bersama model-model baharu GR Sport yang lain

    Toyota GR 86 akan dilancarkan di Malaysia tahun ini bersama model-model baharu GR Sport yang lain

    UMW Toyota Motor hari ini mengumumkan bahawa mereka bakal melancarkan beberapa model prestasi penuh GR dan juga GR-Sport baharu ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. Model mana yang bakal dilancarkan belum diumumkan dengan jelas, namun untuk model GR penuh, sudah tentu ia merujuk kepada Toyota GR 86.

    Ini kerana buat masa sekarang Toyota hanya ada tiga model GR penuh untuk pasaran global – GR Supra dan GR Yaris sudah pun berada di Malaysia, cuma tinggal GR 86 sahaja belum mendarat di sini. GR 86, iaitu model generasi kedua selepas Toyota 86 ZN6 sebelumnya, telah pun didedahkan di Jepun pada April tahun lalu, dan mula dijual di sana pada Oktober 2021.

    Model generasi baharu ini masih tidak diberikan pengecas turbo, sebaliknya dibekalkan enjin Boxer empat silinder NA dengan kapasiti lebih besar. Ia dijana oleh enjin petrol 2.4 liter (berbanding hanya 2.0L pada generasi sebelum) berkuasa 235 PS pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 250 Nm seawal 3,700 rpm.

    Toyota GR 86 akan dilancarkan di Malaysia tahun ini bersama model-model baharu GR Sport yang lain

    Enjin dengan kod FA24D berkenaan masih dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api D-4S Toyota, yang menampilkan sistem suntikan terus ke dalam kebuk pembakaran dan juga suntikan port. Ia juga dibekalkan dengan sistem injap bervariasi dual Active Valve Control System (DAVCS), dengan empat aci sesondol (dua setiap kepala) yang digerakkan oleh timing chain.

    Kuasa dari enjin masih hanya disalurkan hanya ke roda belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan dalam pilihan manual atau automatik. Ini membolehkan GR 86 dalam versi manual mampu untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.3 saat, atau 1.1 saat lebih pantas dari Toyota GT86 generasi sebelum ini dan mencapai kelajuan maksima 226 km/j. Model automatik pula melakukan pecutan yang sama dalam masa 6.9 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 216 km/j.

    Manakala untuk model GR-Sport, masih lagi belum jelas model ‘biasa’ mana yang akan dijelmakan untuk versi lebih sporty tersebut. Buat masa sekarang, UMWT telah pun menghasilkan Vios GR Sport di fasiliti mereka di Bukit Raja, Shah Alam. Berbanding Vios biasa, Vios GR-Sport tersebut bukan sahaja diberikan kit badan dan kemasan dalaman yang lebih garang, malah ia turut diberikan talaan semula terhadap kotak gear CVT yang memberikan 10-kelajuan maya, talaan suspensi lebih sporty, bersama rim 17-inci yang dibalut dengan tayar Toyo Proxes TR1.

    Untuk rekod, Toyota telah pun memperkenalkan model Corolla Altis GR-Sport, Corolla Cross GR-Sport dan juga Hilux GR-Sport di pasaran Thailand – mungkin sebahagian model-model tersebut turut akan dilancarkan di Malaysia? Tak mustahil juga UMWT mungkin akan memperkenalkan Yaris GR-Sport memandangkan hatchback tersebut berkongsi banyak komponen dengan kembar sedannya iaitu Vios.

    Selain dari memperkenalkan model-model baharu, UMWT turut akan mengadakan klinik pemanduan, pengalaman dan aktiviti Gazoo Racing untuk pemilik-pemilik model GR dan GR-Sport. Ia dibuat bagi membekalkan pemilik-pemilik berkenaan dengan pengalaman dan kemahiran yang diperlukan bagi tujuan keselamatan serta dapat menggunakan sepenuhnya potensi yang ada pada kereta mereka.

    UMWT juga akan meluaskan lagi jaringan GR Garage di pengedar-pengedar Toyota seluruh negara. Ini termasuk untuk memperkenalkan lebih banyak peralatan prestasi aftermarket jenama GR yang dijual di GR Garage serta barangan-barangan GR lain.

    Toyota GR 86 akan dilancarkan di Malaysia tahun ini bersama model-model baharu GR Sport yang lain

    Syarikat tersebut turut mengumumkan bahawa Tengku Djan Ley akan terus menjadi duta rasmi bagi GR Malaysia. Pelumba yang terkenal dengan gelaran “The Prince of Drift” berkenaan bukan sahaja berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan untuk kategori Super Sporting dalam siri perlumbaan Vios Challenge di Malaysia, malah beliau turut membantu dalam pembangunan model Vios GR-Sport.

    “Saya mahu rakamkan keterujaan dan komitmen saya untuk melakar jalan kehadapan bagi Gazoo Racing untuk terus membuat sumbangan yang berkesan dan bernilai kepada Malaysia – dalam penyertaan kami dalam sukan bermotor dan pembangunan bakat-bakat baharu, menerusi lebih banyak pengalaman GR dan melalui titik sentuh kenderaan GR kami, pemasangn model-model GR-Sport di Malaysia, pengembangan jaringan GR Garage dan penawaran komponen berprestasi serta barangan untuk pelanggan Toyota dan GR,” kata Takashi Obata, naib pengerusi UMW Toyota Motor.

    Obata baru sahaja memegang jawatan berkenaan pada bulan lalu, menggantikan Akio Takeyama yang juga ketua pegawai sukan permotoran UMW Toyota serta sempat berlumba dalam siri Vios Challenge Malaysia selama empat musim. Beliau kini kembali ke Jepun untuk berkhidmat dengan Toyota Motor Corporation dengan menggalas tanggungjawab baharu.

     
     
  • UMW Toyota jual 6,432 unit sepanjang Februari 2022

    UMW Toyota jual 6,432 unit sepanjang Februari 2022

    UMW Toyota Motor (UMWT) berjaya menjual sebanyak 6,432 unit kenderaan (6,366 unit Toyota dan 66 unit Lexus) sepanjang bulan Februari 2022. Ini melibatkan peningkatan 27% untuk bulan yang sama tahun lalu, tetapi kurang 14.5% jika dibandingkan dengan jualan pada Januari 2022 (7,528 unit).

    Syarikat itu bagaimanapun tidak menyediakan pecahan jualan mengikut model, bagaimanapun ia kekal optimistik dengan jualan tahun ini dengan taruhan dua model utama, Vios dan Yaris — yang ketika ini dengan tawaran promosi sepanjang bulan Mac.

    Pengenalan model baru juga dijangka akan membantu jualan, dan ini sudah pun dimulakan dengan pengenalan Camry facelift bulan lalu. Berdasarkan laporan sebelum ini, Avanza serba baru tidak berada dalam perancangan UMWT, tetapi Vios baru sudah pasti akan diperkenalkan di sini.

    “Kami amat menghargai sokongan pelanggan yang telah diberikan kepada jenama Toyota dan sangat optimistik dengan pertumbuhan berterusan sektor automotif Malaysia. Ketika kami sentiasa berinovasi dan membawakan mobiliti dengan teknologi dan keselamatan terbaik yang mempertingkat gaya hidup, kami percaya warga Malaysia akan terus memilih Toyota sebagai pilihan utama,” ujar Presiden UMWT, Ravindran Kurusamy.

    UMW Toyota jual 6,432 unit sepanjang Februari 2022

    Syarikat ini juga melancarkan cawangan 2S terbaru (dengan servis mengecat badan kenderaan) di Skudai, yang dilakukan dengan kerja sama Super Evergreen (Nusajaya) Sdn Bhd, dan ini melebarkan lagi rangkaian kemudahan rasmi Toyota di negara ini.

    Selain itu, UMWT juga mengumumkan pada Februari, syarikat itu telah menyumbang RM140,000 kepada Pertubuhan Kanser Kebangsaan Malaysia yang digunakan untuk membeli mesin ultrasound digital baru bagi memberikan rawatan lebih baik kepada pesakit.

    Syarikat ini juga menyudahi peraduan Dream Car Art ke-15, dengan menerima 2,300 penyertaan. Tiga pemenang peraduan peringkat kebangsaan itu akan mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat global di Jepun nanti. Pertama kali dilancarkan pada 2004, peraduan ini bertujuan untuk menyuburkan imaginasi dan luahan artistik kanak-kanak dalam bentuk seni.

    “Sebagai pelopor mobiliti, UMW Toyota komited untuk memacu masyarakat ke depan dengan cara mendidik serta memberdaya masyarakat. Kami akan melakukan apa yang boleh untuk menyumbang semula kepada komuniti tempatan di pelbagai kawasan untuk mempertingkatkan gaya hidup hari ini dan masa depan,” tambah Ravindran.

     
     
  • Toyota Vios facelift 2022 – teaser mula disiar, akan dilancarkan pada pasaran Malaysia tidak lama lagi

    Toyota Vios facelift 2022 – <em>teaser</em> mula disiar, akan dilancarkan pada pasaran Malaysia tidak lama lagi

    Laman-laman media sosial Toyota Malaysia kini sudahpun menyiarkan video teaser yang bertajuk “Vios – Irresistible As Ever”, menandakan bahawa model kemaskini untuk sedan segmen-B tersebut bakal diperkenalkan tidak lama lagi.

    Video tersebut tidak menampilkan sebarang imej kereta. “Jangan terpedaya dengan ketenangan persekitaran anda kerana apa yang akan datang pasti akan mengujakan anda,” tulis kapsyen pada video yang memaparkan tasik yang tenang, tetapi secara tiba-tiba papan tanda amaran di tepinya di makan oleh “raksasa misteri”.

    Video ini juga sebenarnya dikaitkan dengan video iklan bertajuk “Bait” untuk Vios generasi pertama di Malaysia pada tahun 2005. Video tersebut memaparkan raksasa misteri di dalam tasik, yang menggunakan mock-up Vios untuk mengumpan manusia.

    Untuk model kemaskini 2022 ini, Vios pasaran Malaysia dijangka menerima peningkatan sama seperti model kemaskini Vios pasaran Thailand (dikenali sebagai Yaris Ativ) yang dilancarkan pada September tahun lalu. Model tersebut diberikan beberapa penyegaran rupa dan juga perubahan kelengkapan.

    Untuk rupa, model kemaskini pasaran Thailand berkenaan diberikan bampar hadapan baharu dengan perumah lampu kabus lebih lebar dan besar. Ia juga menerima bahagian apron bawah bampar belakang yang sedikit berbeza. Selain dari perubahan yang dinyatakan ini, bahagian lain masih lagi nampak sama. Begitu juga dengan bahagian kabin, tiada perubahan besar diberikan.

    Model kemaskini pasaran Thailand tersebut juga mula diberikan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang menampilkan fungsi seperti Sistem Pra-pelanggaran (PCS) yang terdiri dari brek kecemasan automatik (AEB) dan Amaran Keluar Lorong (LDA). Sistem-sistem ini sebenarnya telah pun diberikan pada Vios pasaran Malaysia sejak model facelift terakhir yang dilancarkan pada Disember 2020, malah ia turut menerima fungsi pemantau titik buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang.

    Jadi untuk Vios 2022 pasaran Malaysia kelak, ia mungkin akan hanya menerima penyegaran dari segi rupa dan sedikit perubahan kelengkapan. Ia turut dijangka mengekalkan sistem mekanikal yang sama, digerakkan dengan enjin 2NR-FE 1.5 liter empat-silinder Dual VVT-i berkuasa 107 PS dan tork maksima 140 Nm, digandingkan bersama kotak gear CVT automatik.

    Ini mungkin kemaskini terakhir yang diberikan pada generasi XP150 sedia ada yang sudah pun mula dijual bermula pada tahun 2013. Toyota dilaporkan sudahpun mula membangunkan Vios generasi baharu yang dikenali dengan kod projek D92A, diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) seperti Perodua Ativa/Daihatsu Rocky/Toyota Raize.

    Model generasi keempat berkenaan dijangka akan dilancarkan di Thailand pada Ogos tahun ini. Ia juga mungkin akan menerima varian e:Smart Hybrid seperti Daihatsu Rocky Hybrid JDM, untuk berhadapan terus dengan Honda City Hybrid e:HEV.

     
     
  • BFGoodrich Trail-Terrain T/A dilancarkan di Malaysia – 41 saiz untuk SUV, trak ringan dan crossover

    BFGoodrich Trail-Terrain T/A dilancarkan di Malaysia – 41 saiz untuk SUV, trak ringan dan crossover

    BFGoodrich Trail-Terrain T/A telah pun dilancarkan di Malaysia, merupakan tayar premium “on-road plus” dengan prestasi atas jalan raya yang cemerlang berserta keupayaan ringan untuk pemanduan di luar jalan raya. Ia dikhususkan untuk kenderaan seperti crossover, SUV dan trak pikap.

    Mencerminkan slogannya “Lives on the road, loves to get away”, BFGoodrich Trail-Terrain T/A dirumus dengan ciri ketahanan yang tinggi, sesuai dalam semua musim, dan dibangunkan untuk mengharungi pelbagai jenis cuaca dan kondisi jalan.

    Ia membawakan tiga kelebihan utama untuk memberikan prestasi atas jalan raya yang cemerlang serta kehebatan dalam keupayaan dalam merentasi laluan off-road. Kelebihan pertamanya ialah ia berketahanan tinggi agar anda boleh merentas lebih jauh.

    Ia disumbangkan oleh reka bentuk permukaan tayarnya yang dioptimumkan di mana Alur Mengunci 3D tayar ini membekalkan kestabilan blok bunga tayar yang tinggi untuk menjamin kehausan yang sekata. Sekaligus memberikan hayat bunga tayar yang lebih panjang, di samping pemanduan yang lebih senyap dan selesa. Tayar ini juga diberikan enam tahun waranti pengeluar.

    BFGoodrich Trail-Terrain T/A dilancarkan di Malaysia – 41 saiz untuk SUV, trak ringan dan crossover

    Selain itu, ia juga sesuai untuk semua keadaan kerana tayar ini mampu mengharungi cuaca salji yang ekstrem, hadir dengan penarafan ‘three-peak mountain snowflake’ (3PMSF) yang masih dapat membekalkan cengkaman walaupun paras merkurinya telah lama menyusut, disumbang oleh Alur Mengunci 3D untuk membekalkan kuasa dan cengkaman luar basa sepanjang hayat tayar ini.

    Bukan itu sahaja, BFGoodrich Trail-Terrain T/A ini juga dibangunkan untuk mengeksplorasi kerana ia memiliki ciri rintang serpihan dan kesan koyak yang berpotensi diakibatkan oleh pemanduan yang sesekali dibuat di atas jalan berbatu, berserta reka bentuk bahu bergerigi yang dioptimumkan untuk cengkaman tanah lembut dalam situasi kegunaan ringan di luar jalan raya tanpa mengkompromikan bunyi hingar jalan raya.

    The BFGoodrich Trail-Terrain T/A baharu didatangkan dalam 41 saiz tayar (23 bertaraf-T, dan 18 bertaraf-H) untuk kegunaan SUV, crossover dan trak ringan. Ia boleh dibeli di di pusat pengedaran bertauliah Michelin yang terpilih di seluruh negara

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025