Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Geely jual 1.33 juta kereta pada 2021; naik 1% berbanding 2020, sasar jualan 1.65 juta pada 2022

    Geely jual 1.33 juta kereta pada 2021; naik 1% berbanding 2020, sasar jualan 1.65 juta pada 2022

    Geely Automobile Holding telah mengumumkan bahawa mereka telah berjaya menjual 1,328,029 unit kenderaan secara global sepanjang tahun 2021, atau 1% lebih banyak berbanding jumlah jualan pada 2020. Walau bagaimanapun, angka jualan tersebut adalah 13% lebih rendah dari sasaran awal, dengan anggaran jualan yang sepatutnya mencecah 1,530,000 unit kenderaan. Geely tidak memberikan sebarang sebab mengapa sasaran tersebut tidak berjaya dicapai.

    Jumlah jualan Geely tersebut dilihat konsisten sepanjang tahun lalu. Pada Disember 2021, jumlah jualan global gergasi automotif China tersebut berada pada 158,765 unit (3% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, naik 17% berbanding November). Sebanyak 18,813 unit atau 12% dari jumlah keseluruhan berkenaan adalah kenderaan tenaga baharu, naik 162% berbanding tempoh sama 2020. Jumlah eksport pula naik 44% dari tahun-ke-tahun kepada 17,125 unit.

    Dari keseluruhan jualan berkenaan, model-model SUV Geely adalah yang paling laris, dengan jumlah jualan 90,966 dijual pada bulan Disember sahaja – mewakili 57% dari keseluruhan jualan bulan berkenaan. Ia diikuti dengan model-model sedan dengan jualan 66,303 unit (42%), manakala 1% lagi adalah barisan model MPV yang dijual sebanyak 1,496 unit.

    Geely jual 1.33 juta kereta pada 2021; naik 1% berbanding 2020, sasar jualan 1.65 juta pada 2022

    Bagi divisi mewah Lynk & Co (diwujudkan bersama oleh Geely Auto dan Volvo), ia berjaya menjual sebanyak 220,516 unit kenderaan sepanjang 2021, naik 26% berbanding 2020. SUV Lynk & Co 01 dilaporkan telah dihantar kepada 11,602 pelanggan di Eropah. Pada bulan Disember, seramai 1,557 orang pelanggan memilih untuk melanggan SUV tersebut, bagi membolehkan keseluruhan 5,937 unit 01 dihantar ke pelanggan menerusi portfolio berkenaan sepanjang 2021.

    Divisi baharu Geely yang hanya menghasilkan model-model elektrik iaitu Zeekr juga telah mula menghantar unit-unit awalan Zeekr 001 bermula hujung Oktober tahun lalu. Menurut Geely, hanya dalam masa 10 minggu, 6,007 unit Zeekr 001 telah dihantar kepada pelanggan yang menempahnya. Buat masa sekarang, Zeekr hanya menjual 001 dalam pasaran China, tetapi dijangka akan mula dieksport pada 2023.

    Untuk tahun ini, Geely mensasarkan untuk menjual sebanyak 1,650,000 unit kereta, atau 24% lebih banyak berbanding pencapaian yang telah dicatatkan pada 2021.

     
     
  • Honda Step WGN generasi keenam diperkenal – tiada lagi Waku Waku Gate, rekaan lebih matang dan ringkas

    Honda Step WGN generasi keenam diperkenal – tiada lagi Waku Waku Gate, rekaan lebih matang dan ringkas

    Honda Stepwagon ini adalah antara model yang tidak dibawa masuk secara rasmi ke Malaysia, tetapi masih boleh didapati melalui pengimport persendirian. Di Jepun, model generasi keenam baru sahaja diperkenalkan, dan datang dengan rekaan yang lebih matang dan ringkas.

    Bentuk kotak seperti dulu masih dikekalkan, tetapi rekaan keseluruhannya dijadikan lebih bersih dan tidak terlalu pelik. Varian Spada tampil lebih sporty dengan gril krom lebih besar, kemasan krom di bahagian bawah badan serta spoiler belakang.

    Antara ciri unik pada Step WGN sebelum ini adalah penutup but belakang Waku Waku Gate yang boleh dibuka seperti pintu dengan sebelah bersaiz lebih kecil. Bagi model generasi baru ini, ia tidak lagi digunakan, dan diganti dengan penutup but konvensional yang boleh dibuka secara elektrik. Pintu tepi masih lagi menggunakan unit gelungsur di kedua-dua sisi dan boleh dibuka dengan hanya menekan butang.

    Step WGN menggunakan cermin yang besar di bahagian tepi dan menurut Honda, ia boleh memberikan lebih pemandangan kepada penumpang dan mengurangkan rasa mabuk dalam kenderaan. Bagi sistem infotainmen, pemilik boleh mendapatkan skrin sesentuh 11.4 inci yang boleh disambungkan kepada Honda Connect Navi dan skrin 15.6 inci di bumbung untuk penumpang belakang.

    Ciri praktikaliti yang menjadi keistimewaan Step WGN masih dikekalkan pada model baru ini, dengan tempat duduk baris kedua boleh dilungsur rapat ke hadapan atau belakang, dan juga ke tepi. Tempat duduk belakang pula dijadikan lebih tinggi supaya penumpang dapat melihat ke hadapan, dan jika perlu, ia boleh dilipat masuk ke dalam lantai untuk memberikan lebih ruang barangan.

    Spesifikasi teknikal masih belum diberitahu tetapi Honda telah mengesahkan bahawa Step WGN akan ditawarkan dengan enjin petrol dan hibrid e:HEV. Dengan ini, kita boleh menjangka penggunaan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dan unit 2.0 liter NA i-VTEC yang dipadankan bersama dua motor elektrik seperti model sebelumnya.

     
     
  • Toyota bakal dedahkan GR Yaris lebih liar dan kereta lumba GR GT3 Concept di Tokyo Auto Salon 2022

    Toyota bakal dedahkan GR Yaris lebih liar dan kereta lumba GR GT3 Concept di Tokyo Auto Salon 2022

    Anda rasa model sedia ada ‘jentera rali jalan raya’ Toyota GR Yaris sedia ada dah cukup berkuasa? Tunggu dulu, ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon (TAS) 2022 yang akan bermula 14 hingga 16 Januari nanti, Toyota bakal mendedahkan GR Yaris dalam versi lebih liar, bersama sebuah lagi kereta lumba misteri dalam bentuk konsep GT3.

    Gergasi automotif Jepun berkenaan telahpun menyiarkan teaser untuk kedua-dua model yang akan didedahkan tersebut, berupa imej yang menayangkan bayangan kereta-kereta berkenaan. Bagi GR Yaris dalam versi lebih garang ini, ia bakal tampil dengan rupa yang lebih agresif menampil penutup bonet enjin dengan liang aliran udara serta spoiler belakang dan juga spoiler bawah bampar hadapan lebih besar.

    Model ini berkemungkinan adalah versi produksi dari model prototaip yang dilihat diuji di litar Nürburgring sebelum ini, menampilkan splitter udara tambahan pada bampar hadapan, liang aliran udara di belakang ruang roda hadapan serta spoiler belakang lebih besar.

    Berkemungkinan besar, enjin asal 1.6 liter tiga silinder pada GR Yaris tersebut turut akan menerima talaan semula bagi menghasilkan kuasa lebih bertenaga. Buat masa sekarang, enjin G16-GTS pada GR Yaris pasaran Jepun menghasilkan kuasa maksima 272 PS dan tork maksima 370 Nm.

    Toyota bakal dedahkan GR Yaris lebih liar dan kereta lumba GR GT3 Concept di Tokyo Auto Salon 2022

    Bagi kereta lumba yang digelar GR GT3 Concept, ia masih kekal misteri tanpa sebarang petunjuk. Apa yang diketahui, GT3 adalah regulasi perlumbaan dari FIA, diasaskan dari kereta sport produksi dan diberikan pelbagai ubahsuai untuk dijelmakan sebagai kereta lumba Grand Touring berdasarkan garis panduan yang ditetapkan.

    Namun apa yang menjadi persoalan, kereta sport produksi Toyota yang mana akan dipilih untuk asas jentera lumba GR GT3 Concept tersebut, dan bayangan badan yang diberikan tidak sepadan dengan kereta sport produksi Toyota sedia ada.

    Selain dari dua model ini, Toyota turut akan mempamerkan jentera-jentera lumba GR mereka yang bertanding di Super GT, Super Formula, Kejuaraan Rali Jepun dan juga jentera GR010 Hybrid yang telah memenangi gelaran kejuaraan WEC dan juga Le Mans 24 Jam tahun lalu.

    Pelbagai komponen-komponen alat ganti untuk model-model klasik lagenda Toyota yang diproduksi semula di bawah program GR Heritage Parts turut akan di bawa ke TAS tahun ini. Buat masa sekarang, GR Heritage Parts telah pun menyenaraikan pelbagai komponen alat ganti yang dihasilkan semula untuk model seperti Toyota 2000GT, Toyota Supra A70 dan A80, jentera off road Toyota Land Cruiser BJ40 serta Toyota Corolla Levin dan Sprinter Trueno AE86.

     
     
  • Lorong kecemasan Lebuhraya LDP kini dibuka untuk kelancaran trafik – selepas tol Penchala, arah Kepong

    Lorong kecemasan Lebuhraya LDP kini dibuka untuk kelancaran trafik – selepas tol Penchala, arah Kepong

    Litrak telah mengumumkan pembukaan lorong kecemasan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) untuk mengurangkan kesesakan trafik pada waktu puncak. Ia melibatkan KM 1.85 hingga 1.45, iaitu selepas plaza tol Penchala, iaitu dari arah Bandar Utama menghala Kepong/Sungai Buloh.

    Menuru syarikat konsesi terbabit, lorong kecemasan di laluan berkenaan dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pada jam 5 petang hingga 8 malam, kecuali pada cuti am. Ia adalah untuk kenderaan Kelas 1 sahaja (kereta) dan dilaksanakan bermula hari ini, 10 Januari 2022.

    “Kami berharap menerusi inisiatif ini, ia dapat memendekkan waktu perjalanan dan melancarkan aliran trafik di lokasi berkenaan,” kata LITRAK, sambil menambah langkah ini mendapat sokongan daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

     
     
  • Kawasaki Z900, Z900RS, Z650 dan Z650RS ulang tahun ke-50 diperkenal – warna seperti model ikonik lama

    Kawasaki Z900, Z900RS, Z650 dan Z650RS ulang tahun ke-50 diperkenal – warna seperti model ikonik lama

    Model siri Z oleh Kawasaki dikeluarkan kali pertama pada tahun 1972, melalui model Z1 yang juga pada masa itu adalah model empat strok paling berkuasa keluaran syarikat Jepun. Sekarang, 50 tahun telah berlalu dan Kawasaki ingin mengingati model tersebut, dengan mengeluarkan model ulang tahun ke-50 bagi Z900, Z900RS, Z650 dan Z650RS.

    Dua model moden klasik Z900RS dan Z650RS itu memang sesuai dijadikan model peringatan bagi Z1, dan ia datang dengan konsep warna sama yang dipanggil sebagai “Fireball”. Kemudiannya, ia dipadankan bersama rim warna emas serta pemegang belakang warna krom.

    Ciri penampilan lain yang membezakan Z900RS dengan Z650RS 50th Anniversary adalah kemasan tempat duduk dan juga lencana tepi enjin, di mana bagi Z900RS ia mendapat lencana yang tertulis DOHC seperti model lama.

    Bagi model naked sports Z900 dan Z650 50th Anniversary, penampilannya dijadikan lebih seperti Z1100GP tahun 80-an, dengan warna Firecracker Red di badan, rim merah dengan jalur putih, serta lencana dan fork (Z900) yang berwarna emas.

    Ciri mekanikal semua model ulang tahun ke-50 ini tidak berubah, dengan Z900 dan Z900RS digerakkan enjin empat silinder 948 cc bersama transmisi enam kelajuan berkuasa 111 PS dan 98.5 Nm tork, manakala Z650 dan Z650RS dipacu oleh enjin dua silinder selari 649 cc bersama transmisi enam kelajuan, menghasilkan 68 PS dan 64 Nm tork.

    GALERI: Kawasaki Z900RS 50th Anniversary

    GALERI: Kawasaki Z900 50th Anniversary

    GALERI: Kawasaki Z650RS 50th Anniversary

    GALERI: Kawasaki Z650 50th Anniversary

     
     
  • UMW Toyota catat jualan 72,394 unit kenderaan pada 2021 – naik 22%, Hilux kekal trak pikap terlaris

    UMW Toyota catat jualan 72,394 unit kenderaan pada 2021 – naik 22%, Hilux kekal trak pikap terlaris

    UMW Toyota Motor telah mengumumkan angka jualan bagi 2021, di mana ia menyaksikan sejumlah 72,394 unit kenderaan telah terjual pada tahun lalu. Angka jualan bagi 2021 juga menunjukkan peningkatan sebanyak 22% berbanding yang direkodkan pada 2020, iaitu sebanyak 59,320 unit.

    Pada Disember lalu, UMW Toyota mencatatkan jualan sebanyak 9,289 unit, atau 0.5% lebih tinggi berbanding 9,246 unit yang terjual pada bulan yang sama pada 2020. Malahan ia juga meningkat sebanyak 9% berbanding 8,487 unit yang terjual pada November tahun lalu.

    Sedan segmen-B Vios masih terus menjadi model paling laris dalam barisan produk UMW Toyota di Malaysia, dengan merangkumi 31% daripada keseluruhan jualan, sementara Hilux pula kekal menjadi trak pikap paling ‘laku keras’ di Malaysia sejak 2005, menurut syarikat tersebut.

    UMW Toyota catat jualan 72,394 unit kenderaan pada 2021 – naik 22%, Hilux kekal trak pikap terlaris

    “Walau pun hampir sepanjang 2021 merupakan tahun yang agak mencabar bagi kebanyakan sektor, termasuk industri automotif, namun pasukan kami di Toyota mampu menunjukkan daya tahan untuk terus berinovasi bagi menawarkan solusi mobiliti terbaik kepada para pelanggan kami yang tidak sabar untuk kembali merentasi jalan raya selepas lockdown pada Ogos lalu,” ujar presiden UMW Motor Ravindran Kurusamy.

    Hari ini, UMW Toyota Motor telah melancarkan model Corolla Cross Hybrid 2022 versi unit pemasangan tempatan. Tempahannya telah pun mula dibuka sejak Oktober 2021, dan harga rasminya akan diketahui pada malam ini.

    “Rakyat Malaysia memang menyokong teknologi hijau dan kelestarian alam sekitarm dan ini terbukti apabila tempahan untuk Corolla Cross Hybrid baharu terus meningkat sejak kami membuka tempahan pada Oktober. Ini menunjukkan bahawa mobiliti mampan untuk melangkah kehadapan apabila dunia secara kolektif beralih ke arah bahan api yang bersih dan boleh diperbaharui, serta kenderaan yang inovatif dan pintar,” ujar timbalan pengerusi UMWT Akio Takeyama.

     
     
  • Toyota Corolla Cross Hybrid 2022 pasaran M’sia – spesifikasi didedahkan; CKD, 122 PS, lebih pantas

    Toyota Corolla Cross Hybrid 2022 pasaran M’sia – spesifikasi didedahkan; CKD, 122 PS, lebih pantas

    Selepas tempahannya dibuka pada Oktober lalu, hari ini UMW Toyota telah mendedahkan secara rasmi Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid, iaitu versi lebih mesra alam berbanding Corolla Cross 1.8V dan 1.8G dengan enjin petrol sepenuhnya yang telahpun berada dalam pasaran Malaysia.

    Walau bagaimanapun, harga rasmi bagi model ini masih lagi belum diumumkan kerana pelancaran rasminya hanya akan dibuat pada 9 malam, 14 Januari nanti. Namun ketika pengumuman tempahannya yang dibuka pada tahun lalu, Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid ini diberikan harga anggaran atas jalan tanpa insuran RM137,000.

    Model 1.8 Hybrid ini akan terus dipasarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) yang diproduksi di kilang UMWT Bukit Raja, Shah Alam. Ia akan dihasilkan sekali dengan varian petrol 1.8V dan 1.8G yang sebelum ini diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand. Secara tidak langsung, Corolla Cross merupakan model pertama Toyota yang diasaskan dari platform baharu Toyota New Global Architecture (TNGA) yang dipasang di Malaysia.

    Seperti juga model pasaran Thailand, Corolla Cross Hybrid pasaran Malaysia ini menerima rangkaian kuasa hibrid elektrik Toyota generasi keempat. Ia terdiri dari enjin kitaran Atkinson 2ZR-FXE 1.8 liter empat silinder berkuasa 98 PS pada takat 5,200 rpm dan tork maksima 142 Nm pada takat 3,600 rpm, bersama motor elektrik berkuasa 72 PS dan tork maksima 163 Nm yang dijana oleh bateri nikel logam hidrat berkapasti 6.5 Ah.

    Toyota Corolla Cross Hybrid 2022 pasaran M’sia – spesifikasi didedahkan; CKD, 122 PS, lebih pantas

    Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan kuasa gabungan 122 PS bagi memacu roda hadapan menerusi kotak gear automatik E-CVT, tanpa menampilkan kelajuan maya yang ditampilkan pada model petrol penuh. Menurut Toyota, secara keseluruhan Corolla Cross Hybrid ini mampu mencapai penggunaan bahan api 23.3 km/l.

    Unit rangkaian kuasa ini menyediakan tiga mod pemanduan iaitu mod Eco yang memberikan penggunaan bahan api paling efisien, mod Sport untuk pemanduan lebih agresif serta mod EV yang memberikan pemanduan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dengan enjin petrol dimatikan terus.

    Bateri untuk sistem hibrid pada Corolla Cross ini ditempatkan di bawah tempat duduk belakang, membolehkan ia mengekalkan ruang kapasiti but belakang. Tidak seperti pengeluar lain yang hanya menawarkan waranti hanya untuk bateri, Toyota memberikan perlindungan waranti untuk keseluruhan sistem hibrid berkenaan (termasuk inverter dan juga unit pengurusan kawalan kuasa) selama lapan-tahun tanpa had perbatuan.

    Pembeli juga boleh memanjangkan perlindungan waranti tersebut dua tahun lebih lama (10-tahun secara keseluruhan) dengan bayaran tambahan RM2,950.

    Toyota Corolla Cross Hybrid 2022 pasaran M’sia – spesifikasi didedahkan; CKD, 122 PS, lebih pantas

    Menurut UMWT lagi, mereka kini yakin dengan ketahanan sistem hibrid terkini Toyota berkenaan dengan memetik kajian lapangan di Singapura, yang membuat penilaian terhadap unit-unit Toyota Prius yang digunakan untuk perkhidmatan Grab. Sejak diperkenalkan pada 2016, tiada langsung kerosakan sistem tersebut dilaporkan sehingga kini, dengan sebahagiannya telah mencatatkan perbatuan lebih 150,000 km dalam tempoh enam tahun.

    UMWT turut menyatakan bahawa kabin model 1.8 Hybrid ini adalah lebih enam desibel lebih senyap berbanding versi petrol penuh ketika ia memecut sepenuhnya, serta empat (hadapan) dan tujuh (belakang) desibel lebih senyap ketika bergerak dengan halaju malar 60 km/j.

    Malah prestasi untuk versi hibrid ini juga lebih baik dari versi petrol kerana model 1.8 Hybrid ini mampu memecut dari 0-50 km/j 2.1 saat lebih pantas; 0-80 km/j 1.7 saat lebih pantas; 0-100 km/j 0.9 saat lebih pantas berbanding Corolla Cross 1.8G dan 1.8V.

    Bagi membezakan penampilan luaran antara versi Hybrid ini dengan model-model petrol penuh, ia menerima lampu hadapan Bi-LED dengan serlahan biru. Fungsi lampu follow-me-home masih diberikan, bersama lampu nyalaan siang dan fungsi larasan manual seperti pada model-model petrol penuh. Model Hybrid ini juga diberikan rim aloi 18-inci yang sama seperti model 1.8V.

    Toyota Corolla Cross Hybrid 2022 pasaran M’sia – spesifikasi didedahkan; CKD, 122 PS, lebih pantas

    Ia juga menerima perincian standard sama seperti kedua-dua varian petrol termasuk lampu kabus LED hadapan dan belakang, pengelap cermin automatik, cermin hadapan akustik, lampu belakang LED, cermin sisi elektrik (auto-lipat, larasan automatik ketika undur), dilengkapi rel bumbung yang boleh menampung beban sebanyak 70 kg serta penderia kaki untuk membuka pintu tailgate belakang.

    Model CKD ini juga menyaksikan tayar Michelin Primacy 4 yang dipadankan pada model CBU sebelumnya digantikan dengan tayar Toyo Proxes CR1 yang didakwa memberikan penggunaan bahan api serta keselesaan yang lebih baik. Model kumpulan pertama CKD ini hanya akan diberikan port USB-A dibelakang, dan ia akan digantikan dengan port USB-C bermula Februari nanti.

    Corolla Cross Hybrid ini menerima kelengkapan dalaman yang lebih baik berbanding varian-varian petrol penuh. Ia diberikan skrin pelbagai info berwarna TFT yang lebih besar bersaiz 7-inci (4.2-inci pada 1.8V dan G) pada panel instrumen, cermin pandang belakang elektrokromik dan sistem pendingin hawa automatik dua zon (zon tunggal untuk varian lain).

    Model ini juga berkongsi perincian dengan model tertinggi petrol 1.8G seperti roda stereng pelbagai fungsi dengan butang kawalan sistem bantuan pemanduan, serta sistem pencahayaan pada pintu hadapan, pemegang cawan dan tray tengah.

    Perincian dalaman lain adalah standard untuk ketiga-tiga varian Corolla Cross pasaran Malaysia termasuk tempat duduk upholsteri kulit hitam dengan fungsi larasan kuasa lapan-hala bagi sebelah pemandu serta fungsi lipat nisbah 60:40 dengan larasan rebah kebelakang satu langkah untuk tempat duduk belakang.

    Sistem infotainmen juga adalah seragam untuk semua varian SUV segmen-B ini, yang terdiri dari skrin sesentuh kapasitif Display Audio sembilan-inci yang menyokong hubungan Apple CarPlay, Android Auto, Miracast, USB dan Bluetooth, serta menerima enam pembesar suara.

    Varian Hybrid bagi Corolla Cross pasaran Malaysia ini masih tidak menampilkan brek parkir elektronik, dan dia masih menggunakan brek parkir manual menggunakan pedal kaki seperti model petrol. Namun ia diberikan karpet kaki serlahan biru bagi menandakan ia adalah varian lebih mesra alam.

    Seperti model juga model petrol 1.8V, model Hybrid ini diberikan sistem bantuan pemanduan keselamatan Toyota Safety Sense. Ia terdiri dari fungsi seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng, cruise control adaptif/Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC), Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

    Klik untuk besarkan

    Selain itu ia turut menerima sistem bantuan pemanduan asas yang turut terdapat pada model asas 1.8G termasuk Pemantau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) serta Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS). Kelengkapan keselamatan standard lain yang turut dibekalkan termasuk tujuh-beg udara, cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix di belakang serta penderia parkir hadapan dan belakang.

    Sistem kamera perakam digital (DVR atau dashcam) untuk bahagian hadapan adalah standard untuk kesemua varian. Namun untuk mereka yang mahukan unit perakam sebelah belakang, ia turut ditawarkan sebagai ciri opsyen. UMW Toyota turut menawarkan fungsi pengecas telefon pintar tanpa wayar untuk semua varian Corolla Cross, juga dengan bayaran tambahan.

    Ketiga-tiga varian Corolla Cross pasaran Malaysia ini juga diberikan sistem telematik kenderaan (VTS) secara standard. Ia adalah sistem yang mampu untuk menjejaki kedudukan kenderaan menggunakan isyarat GSM/GPS. Sekiranya kereta dicuri, pusat panggilan 24/7 akan dapat mengesannya dengan segera dan memaklumkan pihak berkuasa untuk tindakan pantas. Ciri ini ditawarkan dengan langganan percuma selama tiga tahun.

    Lima warna badan ditawarkan untuk model 1.8 Hybrid ini termasuk Red Mica Metallic, Nebula Blue Metallic, Platinum White Pearl, Silver Metallic serta warna eksklusif Celestite Grey Metallic. Setipa pembelian model ini datang sekali dengan waranti pengeluar selama lima-tahun.

    GALERI: Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid 2022 pasaran Malaysia

    GALERI:Brosur Toyota Corolla Cross Hybrid pasaran Malaysia

     
     
  • DBKL dan Miros bekerjasama memperkenalkan had laju 30 km/j, 50 km/j di zon terpilih di sekitar ibu kota

    DBKL dan Miros bekerjasama memperkenalkan had laju 30 km/j, 50 km/j di zon terpilih di sekitar ibu kota

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang berusaha untuk memperkenalkan had laju 30 km/j dan 50 km/j di zon terpilih di sekitar ibu kota Kuala Lumpur tidak lama lagi. Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Lembaga Pengarah MIROS, Datuk Suret Singh, melalui Twitternya baru-baru ini.

    Katanya, kerjasama antara kedua-dua pihak terbabit melibatkan dalam mengenalpasti jalan raya di mana had laju tersebut boleh diperkenalkan sebagai langkah keselamatan. Selain itu, ia juga melibatkan perkongsian data kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kesalahan trafik, laporan Berita Harian.

    Sebelum ini, MIROS mencadangkan had laju standard 30 km/j untuk kawasan bandar, desa dan kediaman sebagai sebahagian daripada Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2021-2030. Cadangan had laju 30 km/j di kawasan-kawasan seperti dinyatakan itu adalah juga sebahagian daripada kempen “Street for Life” di bawah Minggu Keselamatan Jalanraya Global PBB ke-6 (UNGRSW), yang menyasarkan untuk pemberdayaan komuniti di Asia Tenggara untuk melaksanakan had 30 km/j di kawasan yang menyaksikan pejalan kaki bercampur dengan trafik.

    Menurut Ketua Pengarah MIROS, Khairil Anwar Abu Kassim, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berwajib lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan untuk tujuan tersebut.

     
     
  • Baucar Diskaun Automotif Keluarga M’sia bagi mangsa banjir – tebus baucar RM1k di pusat servis terpilih

    Baucar Diskaun Automotif Keluarga M’sia bagi mangsa banjir – tebus baucar RM1k di pusat servis terpilih

    Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan turut menyediakan inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia kepada rakyat terjejas akibat banjir. Ia adalah sebahagian daripada Kemudahan Bantuan Bencana di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang komprehensif.

    Jelas beliau, inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 kepada warganegara yang layak adalah untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir.

    Katanya, inisiatif itu dilaksanakan menerusi usaha sama antara kerajaan dan syarikat automotif di mana syarikat terbabit menawarkan diskaun sekurang-kurangnya diskaun 15% bagi kerja pembaikan serta kos tunda kenderaan secara percuma dan kerajaan akan menyediakan baucar diskaun sehingga RM1,000 yang sah sehingga 31 Mac 2022, laporan Malaymail.

    “Bagi memanfaatkan baucar diskaun itu, pemilik kenderaan yang rosak akibat banjir, tidak perlu membuat sebarang permohonan, selain boleh menebus baucar berkenaan di pusat servis atau pengedar sah syarikat automotif yang terbabit.

    Baucar Diskaun Automotif Keluarga M’sia bagi mangsa banjir – tebus baucar RM1k di pusat servis terpilih

    “Pengurangan kos pembaikan dinikmati secara potongan terus daripada kos keseluruhan pembaikan atau kos penggantian kenderaan baharu melalui invois yang akan dikeluarkan oleh pusat servis dan pengedar sah. Baucar ini sah digunakan sehingga 31 Mac ini dan pengguna dinasihatkan untuk segera membuat tuntutan dari pusat servis/pengedar sah yang berdaftar bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya.

    Tambah beliau lagi, setakat ini sebanyak 19 syarikat automotif dengan rangkaian lebih daripada 1,000 pusat servis berdaftar di seluruh negara, telah bersetuju untuk menyertai inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia. Walau bagaimana pun, senarai syarikat yang terbabit bersama dengan pendaftaran pusat servis sah serta bengkel, terutama untuk motosikal akan dikemaskini sepanjang tempoh pelaksanaan.

    19 syarikat automotif yang turut mengumumkan program bantuan baikpulih kenderaan dengan kadar diskaun sekurang-kurangnya 15% adalah termasuk Perodua, Proton, UMW Toyota Motor, Tan Chong Motor, Honda Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) dan Volvo Car Malaysia.

    Selain itu TC Euro Cars (Renault), Mercedes-Benz Malaysia, BMW Malaysia, Sime Darby Motor Group (untuk Ford, Hyundai dan lain-lain), Bermaz (Mazda, Peugeot dan KIA), TC Subaru, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd, Boon Siew Honda Sdn Bhd, MODENAS, Mofaz Motorsikal Sdn Bhd dan KMSB Motors Sdn Bhd (Suzuki) turut mengambil bahagian.

     
     
  • VIDEO: Isuzu D-Max 3.0L X-Terrain 4×4 AT — mampu tandingi saingan segmen trak pikap gaya hidup?

    Isuzu tak mahu ketinggalan dalam perlumbaan penawaran segmen trak pikap yang mensasarkan penggunaan lebih kepada gaya hidup berbanding sebagai jentera kerja belasahan. Ini dapat dilihat pada varian D-Max 3.0L X-Terrain 4×4 AT yang ada dalam pasaran ketika ini.

    Rekaannya kini kurang berpetak-petak dan lebih menarik, enjin jimat dengan penambahbaikan, ruang kabin ala SUV, kelengkapan keselamatan ADAS lengkap yang mengkagumkan — semua ini menjadi kelebihannya. Tetapi, pesaing lain juga ada yang menggunakan pendekatan yang sama. Bagaimana D-Max X-Terrain ini berbeza daripada pesaing lain?

    Itu yang kami soroti dalam video kali ini. Adakah ia mampu menjadi pilihan bagi segmennya? Atau, adakah harga yang diletak itu terlalu tinggi berbanding apa yang diberikan dari segi spesifikasi? Hanya ada satu perkara yang sudah terbukti bila bercakap tentang D-Max; ia memang lasak dan tahan lama, boleh digunakan tanpa banyak soal, untuk tujuan apa sekali pun, asalkan masuk akal!

     
     
  • myTukar AutoFair 2022 hujung minggu ini – lebih 1,000 kenderaan terpakai, pelbagai tawaran, hadiah menarik

    myTukar AutoFair 2022 hujung minggu ini – lebih 1,000 kenderaan terpakai, pelbagai tawaran, hadiah menarik

    Acara myTukar AutoFair 2022 telah pun bermula hari ni di myTukar Retail Experience Centre, Puchong Selatan dan akan berlangsung sehingga 9 Januari ini (Ahad). Acara ini dikatakan sebagai acara jualan kenderaan terpakai terbesar di Malaysia, dengan melibatkan lebih 1,000 buah kenderaan pelbagai jenama dari kategori bajet, hinggalah premium.

    Semasa tinjauan ke acara itu, kami dapati penganjur telah mengambil inisiatif mengasingkan kenderaan mengikut negara pengeluar seperti Jepun, Eropah dan Korea, menjadikan pengunjung lebih mudah untuk mencari kenderaan yang dimahukan.

    Selain model yang sudah sememangnya popular, kami juga menjumpai beberapa model yang boleh menarik perhatian kaki kereta seperti Honda S660 dan Subaru BRZ, dan kedua-duanya datang dengan transmisi manual! Berhampiran dengannya pula terdapat model Lexus RC coupe dan Bentley Continental GT.

    Kereta lain yang menarik perhatian kami adalah Proton Iriz berwarna hijau yang telah direndahkan dan menggunakan transmisi manual, serta Perodua Myvi facelift 2015 dengan nombor pendaftaran TU 51. Bagi yang mencari kereta hatchback kompak selain jenama Proton dan Perodua, ada juga beberapa Kia Picanto yang kami temui di kawasan pameran.

    Cabang perniagaan kenderaan terpakai di bawah Sime Darby Motors (SDM), iaitu Sime Darby Auto Selection (SDAS) turut menyertai acara ini, dengan membawa bukan sahaja model jenama BMW (melalui Auto Bavaria), Hyundai, Jaguar, Land Rover dan Ford, tetapi juga beberapa jenama lain.

    Setiap kenderaan yang dibeli waktu acara yang berlangsung sehingga 9 Januari ini akan datang dengan lanjutan tempoh jaminan setahun dan juga servis setahun percuma; ini jarang ditawarkan untuk kenderaan terpakai sebelum ini. Dan, jika merasakan kereta itu tidak sesuai dengan anda selepas pembelian, ada jaminan untuk anda pulangkannya dalam tempoh lima hari untuk mendapatkan semula wang, tanpa sebarang pertanyaan.

    myTukar AutoFair 2022 hujung minggu ini – lebih 1,000 kenderaan terpakai, pelbagai tawaran, hadiah menarik

    Tawaran istimewa lain turut diberikan kepada pembeli kereta, seperti kadar faedah pinjaman serendah 1.68%, kelulusan pinjaman dan serahan kenderaan pada hari yang sama* serta pengalas kaki Trapo untuk setiap pembelian kereta.

    Ia tidak berhenti di situ sahaja. Anda juga berpeluang memenangi hadiah menarik melalui promosi myTukar Lucky Spin Promo. Ada enam hadiah disediakan untuk pemenang, termasuk Apple iPad generasi kesembilan, pulangan tunai RM888, filem penapis haba Raytech bernilai RM1,000, lanjutan waranti tambahan selama setahun, kad minyak bernilai RM500 atau baucar Trapo bernilai RM500.

    Jika itu masih belum cukup, anda juga mempunyai peluang untuk memenangi sebuah Proton X70 Premium bernilai RM100,000 melalui peraduan Ulang Tahun ke-4 myTukar, yang boleh disertai dengan membeli kenderaan sewaktu acara tersebut. myTukar juga menyediakan tawaran trade-in di lokasi dengan nilai maksimum untuk kenderaan semasa anda ketika acara berlangsung, sekaligus menjadikan urusan lebih mudah.

    Tahap keselamatan yang tinggi akan dipraktikkan sewaktu acara berlangsung – prosedur pencegahan Covid-19 yang ketat akan dipastikan, termasuk kaedah bayaran tanpa sentuhan dan penggunaan pelitup muka sepenuh masa, vaksinasi penuh dan jaga jarak fizikal.

    Maklumat lanjut tentang acara ini boleh didapati di laman rasmi myTukar, atau layari inventori di sini untuk mencari kereta yang anda inginkan. Jumpa di sana!

    myTukar Retail Experience Centre – Puchong Selatan
    Lot 14225, KM 3.8,
    Lebuhraya Damansara-Puchong
    47100 Puchong, Selangor, Malaysia.

     
     
  • VCM siar teaser Volvo V60 – wagon Recharge T8 PHEV ini akan dilancarkan di Malaysia, CKD tak lama lagi?

    VCM siar <em>teaser</em> Volvo V60 – wagon Recharge T8 PHEV ini akan dilancarkan di Malaysia, CKD tak lama lagi?

    Volvo Car Malaysia (VCM) telahpun menyiarkan imej kembar wagon untuk model sedan Volvo S60, iaitu Volvo V60 di laman-laman sosial mereka, dipercayai sebagai teaser sebelum ia dilancarkan secara rasmi di sini. Model tersebut telah pun didedahkan diperingkat global pada Februari 2018, dan kemudian pernah dilihat beberapa kali dipandu di atas jalan raya Malaysia pada 2019, tetapi ia masih belum dilancarkan di sini sehingga sekarang.

    Menerusi teaser yang disiarkan tersebut, Malaysia mungkin akan menerima V60 dengan spesifikasi yang sama seperti S60, iaitu model dengan unit janakuasa plug-in hybrid (PHEV) T8 yang kini dijenamakan sebagai Recharged, dan dihasilkan dalam versi pemasangan tempatan.

    Ini adalah kerana Thailand telah pun menerima pasangan V60 dan S60 ini dalam varian Recharge T8, yang diimport dari kilang Volvo di Malaysia yang terletak di Shah Alam. Malah imej V60 yang dilihat sedang dicaj semula dalam gambar teaser berkenaan menguatkan lagi jangkaan ini.

    Bagi pasaran Thailand, Volvo V60 Recharge berkenaan menerima unit rangkaian kuasa gandingan enjin Drive-E 2.0 liter yang disuap pengecas turbo dan supercharger berkuasa 320 hp/400 Nm, bersama motor stater/generator bersepadu dengan aci engkol serta kotak gear automatik Aisin lapan kelajuan bagi memacu roda hadapan, dan juga motor elektrik berkuasa 87 hp/240 Nm pada gandar belakang.

    VCM siar <em>teaser</em> Volvo V60 – wagon Recharge T8 PHEV ini akan dilancarkan di Malaysia, CKD tak lama lagi?

    Ia bukan sahaja menjadikan V60 tersebut sebuah model pacuan semua roda, malah dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 407 hp/640 Nm. Ini membolehkan wagon tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 180 km/j yang dihadkan oleh Volvo sebagai inisiatif mereka bagi mengurangkan kemalangan maut.

    Bagaimana dengan harga? Buat masa sekarang, kembar sedannya iaitu S60 Recharge T8 R-Design CKD dijual di Malaysia dengan harga atas jalan tanpa insuran RM282,540, termasuk pengecualian sepenuhnnya cukai jualan. Di Thailand pula, V60 ini dijual pada harga bermula 2.29 juta baht (RM286,185), manakala versi sedan S60 dijual lebih murah dengan harga bermula 2.19 juta baht (RM273,688).

    Oleh itu, kita mungkin boleh jangkakan bahawa V60 ini akan dijual lebih mahal berbanding S60 pasaran Malaysia. Peminat-peminat model ‘bumbung panjang’ diluar sana macam mana? Teruja dengan berita ini?

     
     
  • MForce dilantik jadi pengedar Moto Morini di Malaysia

    MForce dilantik jadi pengedar Moto Morini di Malaysia

    Selepas Benelli, SYM, Keeway, SM Sport, WMoto, Brixton dan Niu, MForce Bike Holdings kini menambah satu lagi jenama di bawah pengurusannya apabila dilantik menjadi pengedar rasmi untuk Moto Morini di Malaysia.

    Moto Morini adalah pengeluar motosikal yang berpusat di Itali dan sudah wujud sejak tahun 1937, tetapi kini berada di bawah Zhongneng Vehicle Group dari China. Antara produk yang ditawarkan sekarang adalah X-Cape 650 (adventure-tourer), Corsaro ZZ dan ZT 1200 (naked).

    Selain daripada itu, Moto Morini juga menyediakan pilihan motosikal klasik moden seperti Milano, Super dan Scrambler, manakala dua lagi model iaitu Seimezzo SCR dan STR diberitahu akan diperkenalkan kepada pasaran tidak lama lagi.

    Untuk pasaran Malaysia, MForce bercadang melancarkan Moto Morini X-Cape 650 pada separuh kedua tahun 2022, melalui semua pengedar mereka di seluruh Malaysia. Pada tahun 2021, MForce telah mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 25% berbanding tahun 2020 dan diberitahu akan terus meningkatkan kualiti produk serta servis selepas jualan.

    GALERI: Moto Morini Seimmezzo STR/SCR

    GALERI: Moto Morini X-Cape

    GALERI: Moto Morini Corsaro ZZ

    GALERI: Moto Morini Milano

     
     
  • Toyota GR86 X Initial D FasterClass – tampil Fujiwara Takumi dan Keiichi Tsuchiya dalam bentuk anime!

    Toyota GR86 X Initial D FasterClass – tampil Fujiwara Takumi dan Keiichi Tsuchiya dalam bentuk anime!

    Kalau anda peminat siri anime Initial D, anda pasti ingat babak di mana pelumba lagenda Jepun, “Drift King” Keiichi Tsuchiya melakukan cameo dengan membuat panggilan telefon kepada Bunta Fujiwara, iaitu ayah kepada wata utama Takumi Fujiwara bukan?

    Babak berkenaan dibuat hanya dengan menampilkan suara Tsuchiya yang sedang bercakap di telefon, bersama illustrasi jentera Nissan Skyline GT-R R32 Group A yang pernah di pandunya dalam kejohanan Touring Car Jepun bersama topi keledar ikonik beliau yang berwarna hijau.

    Namun kali ini, Tsuchiya benar-benar muncul dalam bentuk watak animasi Initial D, tetapi bukan dalam episod baharu anime yang telahpun tamat pada tahun 2014 berkenaan, sebaliknya dalam siri video FasterClass GR86 X Initial D yang disiarkan oleh Toyota USA sebagai salah satu kempen promosi untuk Toyota GR86.

    Menurut Toyota USA, FasterClass adalah “tempat di mana pakar jalan raya melakukan kepakaran mereka di tempat duduk pemandu.” Video pertama dalam siri GR86 X FasterClass ini menunjukkan bagaimana Fujiwara Takumi yang sedang memandu Toyota AE86 ‘Panda Trueno’ GT Apex miliknya dicabar oleh sebuah Toyota GR86 yang dipandu seorang perekrut FasterClass misteri.

    Tanpa disangka, Takumi tewas dalam battle berkenaan, dan terdedah bahawa perekrut tersebut sebenarnya adalah Keiichi Tsuchiya yang muncul dalam watak anime. “Panggil saya guru. Selamat datang ke FasterClass.” Kata Keiichi Tsuchiya kepada Takumi Fujiwara pada akhir video berkenaan.

    Selain dari siri video GR86 X Initial D ini, kempen berkenaan turut menampilkan satu siri video FasterClass yang lebih dekat dengan dunia sukan permotoran sebenar di Amerika Syarikat. Siri video tersebut menampilkan pemilik pasukan Papadakis Racing (pasukan yang berlumba dalam siri Formula D Amerika Syarikat) iaitu Stephan Papadakis sebagai “profesor” yang ingin mengetahui “apa yang boleh dilakukan oleh GR86” dan sudah tiba “masa untuk menguasai pemanduan”.

    Siri video ini turut dibintangi oleh empat orang pemandu Formula D iaitu juara dunia dua kali dan pemandu Papadakis Racing sendiri iaitu Fredric Aasbo, pemandu paling muda pernah dibertanding dalam Formula D iaitu Ken Gushi, Ryan Tuerck dan juga Hunter Taylor. Siri video tersebut tidak kurang hebatnya dengan menampilkan pelbagai aksi termasuk pelbagai gerakan drift, j-turn dan sebagainya.






     
     
  • PANDU UJI: Hyundai Kona 1.6L N Line Turbo — mampu jadi alternatif popular dalam segmennya?

    PANDU UJI: Hyundai Kona 1.6L N Line Turbo — mampu jadi alternatif popular dalam segmennya?

    Barisan kenderaan terbaru Hyundai, termasuk seperti yang dapat kita lihat ditawarkan di Malaysia ketika ini, dari banyak segi memisahkan jenama itu dari imej lama yang pernah ditampilkan sebelum ini. Perhatikan saja model-model seperti Elantra dan Sonata misalnya, yang sama sekali berbeza daripada rekaan model generasi sebelumnya. Dan, dalam beberapa model terkini yang ada itu — jangan lupa di sini juga ada i30 dan MPV mewah Staria yang baru saja dilancarkan — SUV kompak atau crossover Kona mungkin mempunyai pakej penampilan yang paling menarik dan lebih mudah dijangkau oleh pembeli.

    Sekurang-kurangnya dari segi rupa, Hyundai kini lebih cenderung menghasilkan rekaan yang sangat segar, dengan pendekatan yang terarah kepada sentuhan dan selera yang lebih dekat dengan Eropah berbanding Korea. Ini tentunya dengan mudah boleh difahami; syarikat ini ingin menjadi pemain global, justeru perlu meletakkan nilai dan estetikanya di tahap tertinggi untuk diterima secara meluas. Peralihan ini dapat kita lihat dengan jelas; model-model akan datang Hyundai semuanya mengambil jalan yang sama.

    Dan ini jugalah yang menjadikan Kona sangat berbeza. Untuk pasaran Malaysia, terdapat beberapa versi Kona yang sudah diperkenalkan. Ketika dilancarkan secara rasmi pada penghujung Oktober 2020, ia didatangkan dalam versi dengan enjin 2.0L dan juga 1.6L Turbo CBU. Tak lama selepas itu, pada April 2021, Kona facelift 2.0L pula diperkenalkan, dengan menampilkan beberapa penambahbaikan. Kemudian pada Julai 2021, versi yang sedang anda lihat ini, Kona N Line dan Kona 1.6L Turbo facelift pula menjengah pasaran di sini.

    Baca lanjut di sini

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025