Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ umum MySikap akan ditutup 17-19 Dis untuk penyelenggaraan, tiada servis di kaunter pada 18 Dis

    JPJ umum MySikap akan ditutup 17-19 Dis untuk penyelenggaraan, tiada servis di kaunter pada 18 Dis

    Anda ada lagi cukai jalan dan lesen memandu yang tertangguh untuk diperbaharui sejak Perintah Kawalan Pergerakan tempoh hari? Jika ada, anda dinasihatkan untuk tidak berlengah. Ini kerana bukan sahaja Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bertegas sekiranya ianya tidak dilakukan selepas 31 Disember nanti, malah perkhidmatan MySikap dan juga servis di kaunter JPJ turut terdapat gangguan pada tempoh saat-saat akhir nanti.

    Menurut JPJ, sistem atas talian di portal MySikap akan ditutup untuk diselenggara bermula 6 petang pada 17 Disember (Jumaat) sehingga 6 pagi 19 Disember (Ahad) 2021. Tiada sebarang perkhidmatan dapat dibuat ketika tempoh tersebut. Malah pada 18 Disember (Sabtu) JPJ turut menyatakan bahawa semua kaunter fizikal mereka di seluruh negara tidak dapat beroperasi.

    Untuk pengetahuan anda, buat masa sekarang JPJ sudah pun mula membuka kaunter-kaunter terpilih pada hujung minggu bagi memastikan mereka yang belum memperbaharui cukai jalan dan lesen boleh menyelesaikan urusan tersebut sebelum 31 Disember nanti.

    JPJ umum MySikap akan ditutup 17-19 Dis untuk penyelenggaraan, tiada servis di kaunter pada 18 Dis

    Sehingga pertengahan bulan lalu, JPJ menyatakan bahawa sejumlah 3.78 juta kenderaan di seluruh negara masih bergerak dengan cukai jalan yang sudah tamat tempoh. Jabatan berkenaan sudahpun memberikan kelonggaran untuk tidak terlebih dahulu memperbahrui cukai jalan dan lesen (termasuk lesen vokasionan GDL/PSV) yang tamat tempoh antara 1 Jun sehingga 31 Julai lalu, kerana ketika itu negara sedang dalam sekatan pergerakan penuh bagi mengekang penularan Covid 19 yang sedang mengganas.

    Ketika itu, JPJ memberikan tempoh sehingga 30 September bagi menyelesaikan urusan tersebut, kemudian tempoh berkenaan dipanjangkan lagi oleh menteri pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong sehingga akhir tahun ini. Menteri tersebut sebelum ini turut telah turun melakukan pemeriksaan mengejut di JPJ Taman Daya, Johor Bahru dan mendapati sistem yang digunakan oleh jabatan tersebut disifatkan sebagai ‘kuno’.

     
     
  • Lexus ROV Concept – jentera offroad kuasa hidrogen

    Lexus ROV Concept – jentera offroad kuasa hidrogen

    Bila disebut nama Lexus, kita biasanya tidak akan terbayang kenderaan offroad. Bagaimanapun, ini tidak menghalang pengeluar Jepun itu untuk menunjukkan kemampuan mereka dalam penghasilkan kenderaan jenis tersebut, dengan pengenalan ROV (kenderaan rekreasi luar lebuh raya) Concept. Ia juga menggunakan sumber bahan bakar hidrogen, yang kini menjadi antara sumber yang mahu diketengahkan oleh Toyota.

    Melalui rekaan suspensi terbuka, roll cage serta tayar berbunga kasar, kenderaan ini memang jelas adalah sebuah model lasak, tetapi Lexus memberitahu pasukan rekaan mereka mahu mencipta sesuatu yang boleh dijangka daripada pengeluar kenderaan mewah, tanpa mengabaikan ciri prestasi sebuah ROV.

    Badan ROV Concept ini dibuat daripada besi kekuatan tinggi dan disambung dengan suspensi yang mempunyai jarak gerak tinggi. Menurut Lexus, ia direka untuk kedua-dua ciri keselesaan dan keseronokan pemanduan offroad. Bagi aspek rekaan, kenderaan ini menggunakan lampu serta lencana yang menggambarkan identiti jenama itu sementara warna gangsa itu adalah dibuat khas untuknya.

    Kenderaan ini dipacu oleh enjin 1.0 liter yang bertindak seperti enjin pembakaran dalaman biasa, dan menerima hidrogen sebagai bahan bakar melalui sistem suntikan terus dan tangki tekanan tinggi. Sama seperti Toyota GR Yaris yang menggunakan enjin pembakaran hidrogen, ROV Concept ini juga menghasilkan hampir tiada gas ekzos.

    Pada bahagian dalam, kokpitnya menggunakan konsep rekaan Tazuna, seperti yang ditunjukkan kali pertama melalui model LF-Z Electrified awal tahun lalu. Elemen rekaan ini termasuk meter yang ringkas untuk memaparkan hanya informasi penting sahaja, sekaligus pengguna boleh lebih menumpukan perhatian kepada pemanduan.

    Disebabkan ia adalah sebuah Lexus, ROV Concept mendapat sentuhan mewah seperti roda stereng yang dibalut kulit serta balutan kulit sintetik tahan lasak untuk tempat duduk. Tempat duduk ini juga mempunyai tetapan suspensi sendiri bagi memberikan lebih keselesaan.

     
     
  • Toyota bakal perkenal model elektrik penuh ke-2 pada 2022 – sedan, RM133k di China, guna bateri LFP BYD

    Toyota bakal perkenal model elektrik penuh ke-2 pada 2022 – sedan, RM133k di China, guna bateri LFP BYD

    Selepas SUV elektrik sepenuhnya (EV) Toyota bZ4X didedahkan, gergasi automotif Jepun berkenaan bakal memperkenalkan satu lagi model EV dari siri bZ (Beyond Zero) pada lewat 2022. Apa yang menarik, model seterusnya ini akan menampilkan bentuk badan sedan, dihasilkan bersama pengeluar kereta dari China iaitu BYD, dan bakal muncul dalam bentuk konsep pada April ini di Beijing Auto Show, lapor Reuters.

    Model berkenaan dijangka bakal menampilkan saiz yang lebih besar serta kabin yang lebih luas dari Corolla. Ia juga bakal dijual pada harga yang sangat kompetitif, iaitu di bawah 200,000 yuan (RM132,800), menurut satu sumber yang berkait dengan perkara ini.

    Jika benar dakwaan berkenaan, sedan EV baharu dari Toyota tersebut bakal ‘mengacau’ model mampu milik baharu yang bakal diperkenalkan oleh Tesla khas untuk pasaran China. Model tersebut dilaporkan akan diasaskan dari Tesla Model 3, tetapi diletakkan pada kedudukan lebih rendah dan akan dijual pada harga antara 150,000 yuan (RM99,600) hingga 200,000 yuan (RM132,800).

    Sumber tersebut turut mendedahkan kepada Reuters bahawa model ini bakal menggunakan bateri lithium-besi-fosfat (LFP) Blade dari BYD, membolehkan Toyota menghasilkan sebuah kereta elektrik dengan harga mampu milik, dalam masa yang sama menyediakan kabin yang luas.

    Toyota bakal perkenal model elektrik penuh ke-2 pada 2022 – sedan, RM133k di China, guna bateri LFP BYD

    “Kereta tersebut wujud dengan teknologi bateri BYD. Ia sedikit sebanyak telah membantu kami untuk menyelesaikan cabaran yang perlu kami hadapi terhadap sedan elektrik kecil mampu milik dengan ruang dalaman yang luas,” kata salah seorang sumber berkenaan kepada agensi akhbar tersebut.

    Pada 2019 Toyota dan BYD telah menandatangani perjanjian bagi membangunkan bersama kenderaan elektrik menggunakan bateri (BEV) untuk pasaran China, dengan kerjasama menghasilkan model-model BEV sedan dan SUV lantai-rendah, serta unit-unit bateri yang akan digunakan pada model-model tersebut.

    Kerjasama ini telah mencetuskan interaksi bagi jurutera-jurutera Toyota untuk melihat kearah bateri Blade, yang mereka sifatkan sebagai perubah permainan, kerana ia lebih murah serta tidak memerlukan ruang yang besar. “Ia sejenis teknologi ‘skala jatuh dari mata saya’ yang pada mulanya kami singkirkan kerana rekaannya yang terlampau ringkas,” kata salah seorang dari empat sumber berkenaan lagi.

    Pek bateri Blade yang tipikal biasanya hanya menampilkan tebal 10 cm apabila modul tersebut dibaringkan rata di atas lantai, atau secara kasarnya sekitar 5 hingga 10 cm lebih nipis berbanding bateri lithium-ion yang banyak digunakan oleh pengeluar buat masa sekarang.

    Toyota bakal perkenal model elektrik penuh ke-2 pada 2022 – sedan, RM133k di China, guna bateri LFP BYD

    Walaupun bateri LPF ini mempunyai ketumpatan untuk menyimpan tenaga yang lebih rendah dari lithium-ion, ia adalah lebih murah, tidak menggunakan material kobalt atau nikel, mempunyai jangka hayat penyimpanan yang lebih lama serta kurang risiko untuk terjadinya suhu melampau.

    Teknologi ini juga sudah pun terbukti kerana Tesla juga telah menggunakan bateri LPF ini untuk Model 3 dan Model Y pada pasaran China.

    Namun satu lagi persoalan yang belum terjawab, masih tidak dapat dipastikan sama ada model EV baharu yang bakal didedahkan ini bakal dijadikan sebagai model global, atau model khas yang hanya akan dijual di China sahaja.

     
     
  • Perodua Alza D27A sah akan dilancar tahun hadapan

    Perodua Alza D27A sah akan dilancar tahun hadapan

    Lukisan render Perodua Alza D27A

    Sebelum ini kami sudah menyiarkan banyak laporan berkenaan Perodua Alza baru yang setakat ini cuma dikenali dengan nama kod D27A. Dengan menggabungkan informasi serta petunjuk yang ada, kami membuat jangkaan MPV generasi kedua ini akan dilancarkan tahun hadapan. Walaubagaimanapun, Perodua tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, sehinggalah sekarang.

    Semasa sesi pandu uji Myvi facelift 2022 di Johor Bahru, presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad ditanya berkenaan perancangan tahun hadapan, dan jika Alza baru akan tiba tidak lama lagi. Beliau akhirnya mengambil keputusan untuk berterus-terang.

    “Kalau saya kata tiada, maknanya saya berbohong. Memang akan ada satu model serba baru (FMC) tahun depan, tetapi saya tidak boleh jamin waktunya sekarang kerana batas pergerakan dan Covid. Ya, memang akan ada perubahan, tetapi saya tidak boleh beritahu bila kerana kami sedang menyelesaikan beberapa perkara,” kata beliau.

    Perodua Alza D27A sah akan dilancar tahun hadapan

    Apabila diminta memberikan lebih penjelasan, Zainal sekali lagi menegaskan bahawa Perodua mempunyai kemampuan untuk memperkenalkan sebuah model FMC dan dua model MC (Minor Change atau facelift) setiap tahun. “Pertamanya, kami perlu melihat kepada kemampuan. Berdasarkan kapasiti R&D, jumlah pekerja yang kami ada, dan jumlah jurutera bahagian R&D, sekarang ini kami mampu mengeluarkan satu model FMC dan dua model MC setiap tahun,” tambah beliau.

    “Untuk Perodua, jangka umur model kami adalah enam ke tujuh tahun. Sekarang ini kami ada enam model. Setiap tahun kami akan ada satu model FMC,” kata Zainal.

    Seperti yang dilaporkan bulan lepas, pengeluaran model Alza yang ada sekarang akan berakhir selepas 12 tahun, dengan pengeluaran kumpulan akhir sebanyak 1,100 unit akan dibuat pada bulan Januari 2022. Zainal juga memberitahu bahawa meskipun sudah berumur, masih ramai yang berminat dengan Alza dan tempahan yang diterima setiap bulan sentiasa memberangsangkan.

    Perodua Alza D27A sah akan dilancar tahun hadapan

    “Alza adalah sebuah model yang unik bagi kami. Alza sekarang masih mencatat tempahan 1,500 unit setiap bulan. Ia mempunyai pengikut yang tersendiri. Ia juga sudah berumur 13 tahun, berbanding usia model lain yang biasanya antara enam ke tujuh tahun. Jika satu tahun umur kereta bersamaan dengan lapan tahun umur manusia, Alza sudah berusia 160 tahun! Tapi ia masih popular,” kata Zainal.

    Disebabkan itu, Perodua sebenarnya tidak perlu pun untuk mengganti Alza, kerana ia masih mendapat permintaan tinggi dan ia telah lama memberi pulangan kepada segala pelaburan yang dibuat untuk pembangunannya.

    “Kalau dilihat pada sisi perniagaan, saya tidak akan membuat perubahan kepada Alza, kerana ia sudah memberi pulangan kepada pelaburan dan masih boleh mencatat 1,500 tempahan setiap bulan. Itu adalah apa yang akan berlaku dalam membuat keputusan perniagaan. Walaubagaimanapun, Perodua adalah sebuah syarikat pengeluar kenderaan negara yang bertanggungjawab. Saya mahu memastikan pengguna Malaysia mendapat lebih ciri keselamatan dan teknologi baru,” kata Zainal.

    Perodua Alza D27A sah akan dilancar tahun hadapan

    Toyota Avanza 2022 pasaran Indonesia

    Ini bukan setakat cakap kosong kerana pada setiap model baru yang diperkenalkan, Perodua sentiasa meningkatkan teknologi keselamatannya, dengan menyediakan ciri yang sebelum ini tidak diberikan pada model serta lingkungan harganya. Tanpa mengambil kira Alza, AEB kini sudah disediakan pada semua model yang dijual oleh Perodua manakala adaptive cruise control pula diperkenalkan kali pertama pada Ativa dan kini kini juga didatangkan pada Myvi. Ciri seperti ini, dan juga Adaptive Driving Beam seperti Matrix LED Audi yang diberikan pada Ativa AV sebelum ini cuma boleh ditemui pada kereta premium. Alza baru nanti juga boleh dijangka menerima ciri seperti ini.

    Kita juga boleh menjangkakan Alza baru nanti akan menjadi kembar baru bagi Toyota Avanza/Daihatsu Xenia. Rupa model ini memang jauh berbeza daripada Alza sekarang, dan ia menggunakan platform DNGA dengan tetapan pacuan roda hadapan. Di Indonesia, Avanza ditawarkan dalam pilihan enjin 1.3L dan 1.5L Dual VVT-i, dan enjin ini juga ada dikeluarkan sendiri oleh Perodua. Ada juga pilihan transmisi manual di negara jiran, tetapi Perodua mungkin hanya akan menyediakan transmisi automatik D-CVT untuk pasaran Malaysia.

    GALERI: Toyota Avanza 2022 pasaran Indonesia

    GALERI: Daihatsu Xenia 2022 pasaran Indonesia

     
     
  • Toyota GR Corolla – lagi teaser disiarkan di AS!

    Toyota GR Corolla – lagi <em>teaser</em> disiarkan di AS!

    Laman instagram Toyota USA sekali lagi menyiarkan teaser untuk hot-hatch baharu jenama berkenaan, iaitu GR Corolla. Sekali tengok, imej yang mereka siarkan ini hanya nampak sebuah Corolla Hatchback biasa berwarna biru sahajakan? Tapi cuba anda tengok lebih teliti – ada sebuah Corolla dengan pelekat penyamaran Gazoo Racing berada pada sebelah kiri imej tersebut!

    Walau bagaimanapun, gambar berkenaan sengaja dibuat gelap serta dengan resolusi yang agak kabur. Apa yang boleh dilihat adalah ia diberikan set rim berbeza dari Corolla Hatchback biasa, dan pelekat penyamaran merah-putih-hitam Gazoo Racing tersebut turut terdapt tulisan “GR Four”, merujuk kepada sistem pacuan semua roda yang sama dibekalkan pada jentera rali jalan raya, GR Yaris.

    Sistem AWD yang mendapat sentuhan juara WRC empat kali, Tommi Makkinen tersebut diberikan LSD pada gandar hadapan dan belakang, dan hadir dengan tiga mod tetapan iaitu Normal (agihan tork 60% roda hadapan dan 40% roda belakang), Sport (30:70) dan Track (50:50).

    Toyota GR Corolla dijangka akan membuat kemunculan sulung globalnya tahun hadapan di Amerika Syarikat, bagi ‘mengubat hati’ peminat di sana kerana mereka tidak menerima GR Yaris. Dalam teaser ala-teka-teki juga disiarkan oleh instagram Toyota USA sebelum ini, GR Corolla diberikan hint bakal menerima enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo berkuasa 268 hp (272 PS) yang sama seperti GR Yaris.

    Toyota sudah lama menyebut berkenaan versi prestasi tinggi untuk Corolla generasi baharu ini, di mana idea berkenaan telah disebut pada 2018. Malah pada Februari 2019, hampir setahun sebelum GR Yaris didedahkan secara rasmi, penolong ketua pereka Toyota, Toshio Kanei telah menyebut berkenaan enjin 1.6L Turbo yang mahu disumbatkan ke dalam Corolla tersebut, ketika semua orang belum tahu sedikit pun berkenaan GR Yaris yang turut akan dijana enjin yang sama!

     
     
  • Nissan Z GT500 didedahkan; selamat tinggal GT-R!

    Nissan Z GT500 didedahkan; selamat tinggal GT-R!

    Selepas tampil selama 12-tahun, Nissan GT-R R35 GT500 akhirnya direhatkan terus dari perlumbaan Super GT Jepun. Dan ini penggantinya – Nissan Z GT500 yang dihasilkan dari Nissan Z generasi baharu yang diperkenalkan Ogos lalu! Jentera baharu ini didedahkan di Litar Antarabangsa Fuji Speedway semalam, dan ia akan berlumba dalam Super GT bermula musim 2022.

    Ini kali pertama dalam tempoh 14-tahun lencana Z kembali berlumba dalam kategori GT500 Super GT selepas jentera Z33 350Z GT500 yang bersaing dalam perlumbaan tersebut bermula musim 2004 direhatkan pada 2007. Menurut Nissan, langkah untuk menggantikan GT-R dengan Z generasi baharu ini merupakan sebahagian dari usaha mereka bagi mentransformasikan perniagaannya kepada untuk memberikan nilai jenama yang hebat.

    Nissan Z sentiasa menjadi pesaing hebat dalam dunia perlumbaan sejak model generasi pertama S30 240Z (model yang menginspirasikan rupa Nissan Z generasi baharu ini) pada era 70’an. Ia terus memberikan Nissan gelaran juara dalam siri perlumbaan SCCA C Production di Amerika Syarikat sejak ia pertama kali berlumba dalam kejohanan tersebut, dipandu oleh John Morton dengan pasukan Brock Racing Enterprise (BRE). Pada era 90’an, Nissan merangkul pelbagai kemenangan dalam siri perlumbaan IMSA menerusi Z32 300ZX.

    Nissan Z GT500 didedahkan; selamat tinggal GT-R!

    “Nissan Z GT500 melambangkan semangat Nissan menyahut cabaran dan membawa keterujaan dalam kehidupan. Menerusi usaha kami dalam berlumba kami terus menginovasikan kereta-kereta kami dan kami berlumba untuk menang dengan keberanian yang telah kami tunjukkan banyak kali selama bertahun-tahun,” kata COO Nissan, Ashwani Gupta.

    Presidan dan CEO sayap perlumbaan Nissan iaitu Nismo, Takao Katagiri pula berkata:”Kami menyertai siri Super GT 2022 dengan jentera serba baharu Nissan Z GT500 dan keghairahan kami untuk sukan permotoran. Kami harap agar peminat kami akan terus memberikan semangat kepada Nissan dan pasukan Nismo Motorsport.”

    Pendedahan jentera baharu ini turut disertai berberapa sosok lagenda perlumbaab Nissan secara maya, antaranya pemilik pasukan BRE sendiri iaitu Peter Brock dan John Morton di Amerika Syarikat, dan juga Haruhito Yanagida serta Kozuyushi Hoshino (juga kini Prinsipal pasukan Impul) di Jepun.

    Tiada sebarang perincian teknikal didedahkan ketika jentera lumba baharu ini diperkenalkan. Namun pastinya Nissan Z GT500 ini turut dibangunkan berdasarkan regulasi FIA Class 1, sama seperti Kejohanan Touring Car Jerman atau lebih dikenali sebagai DTM. Dalam undang-undang ini, kesemua jentera hanya dibenarkan menggunakan enjin turbo empat-silinder 2.0 liter, bermaksud enjin-enjin dari model produksi tidak akan digunakan oleh mana-mana pasukan.

     
     
  • PANDU UJI: Honda City RS e:HEV – hampir seperti kereta elektrik sebenar; pilihan lebih baik dari EV?

    PANDU UJI: Honda City RS e:HEV – hampir seperti kereta elektrik sebenar; pilihan lebih baik dari EV?

    Dulu, kerajaan Malaysia pernah menghapuskan duti terhadap kenderaan import sepenuhnya (CBU) yang hadir dengan teknologi hibrid selepas ia diumumkan dalam Bajet 2011. Langkah berkenaan dibuat salah satunya bagi menggalakkan penjualan kereta yang lebih mesra alam tersebut dalam negara.

    Hasilnya, boleh kita lihat – bukan sahaja Toyota yang ketika itu menerajui teknologi hibrid dapat menjual Prius dengan harga RM140k (dari RM175k sebelum itu), malah Honda juga meriah membawa banyak model hibrid dengan sistem IMA ke Malaysia termasuk Civic Hybrid, Insight dan juga model sport hibrid CR-Z.

    Ketika itu, Honda Civic Hybrid yang diimport sepenuhnya dijual oleh Honda Malaysia dengan harga hanya RM109k, atau lebih murah dari Honda Civic 1.8S yang dipasang di Melaka. Ternyata usaha tersebut berjaya menarik minat rakyat Malaysia untuk ‘berkenalan’ dengan teknologi elektrifikasi ini.

    Walau bagaimanapun, insentif tersebut telah pun berakhir pada 2014 untuk model-model hibrid CBU. Dalam masa yang sama juga sebenarnya kerajaan turut menawarkan insentif yang sama kepada model hibrid pemasangan tempatan (CKD), menyaksikan Honda dengan berani memasang Jazz Hybrid di sini pada 2012, menempa sejarah sebagai kereta hibrid CKD pertama di Malaysia. Namun insentif tersebut turut dihentikan pada 31 Disember 2015.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Kia Carnival 2022 dibuka untuk tempahan di Malaysia – CBU, diesel turbo 2.2 liter , harga diumum kemudian

    Kia Carnival 2022 dibuka untuk tempahan di Malaysia – CBU, diesel turbo 2.2 liter , harga diumum kemudian

    Pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia, Dinamikjaya Motors telah membuat pra tonton awal Carnival baru hari ini dan ia sekarang sudah dibuka untuk tempahan. Ini adalah model versi import sepenuhnya (CBU), sebelum versi CKD diperkenalkan Mei tahun hadapan, dan harganya cuma akan didedah waktu pelancaran nanti.

    Hanya satu varian ditawarkan, iaitu 2.2D yang menggunakan enjin diesel turbo empat silinder 2.2 liter dengan padanan transmisi automatik lapan kelajuan, menghasilkan kuasa 202 PS pada 3,800 rpm dan 441 Nm tork pada 1,750 hingga 2,750 rpm.

    Pada bahagian luar, rekaan Carnival baru ini diubah sepenuhnya, dengan kini tampil lebih moden dan mempunyai kemasan plastik hitam di bawah bampar serta skirt, skid plate dan juga rel bumbung. Pada bahagian hadapan, gril “Tiger Nose” yang digunakan kini lebih besar dan menyambungkan lampu hadapan yang menggunakan unit projector LED. Dalam keadaan asal, kenderaan ini datang dengan rim 18 inci.

    Kia Carnival 2022 dibuka untuk tempahan di Malaysia – CBU, diesel turbo 2.2 liter , harga diumum kemudian

    Model CBU yang dibawa ke Malaysia ini menggunakan tetapan 11 tempat duduk dan rekaan bahagian dalamnya juga diubah sepenuhnya dengan kini mempunyai konsol tengah tinggi, pemilih gear jenis tombol bulat serta skrin sesentuh 12.3 inci untuk sistem infotainmen, dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Panel meter menggunakan gabungan analog serta digital 4.2 inci.

    Ruang di dalam juga bertambah luas kerana model baru ini lebih besar, dengan catatan panjang 5,155 mm (+40 mm), jarak roda 3,090 mm (+30 mm) dan lebar 1,995 mm (+10 mm). Bahagian belakang yang lebih panjang juga menjadikan ruang barangan lebih luas.

    Kelengkapan lain yang diberikan terus adalah termasuk lampu kabus depan dan belakang, sistem tanpa kunci, butang pemula enjin, kawalan pendingin hawa tiga zon, tempat duduk hadapan larasan kuasa, balutan kulit tiruan Saddle Brown, pengecas Qi tanpa wayar, enam pembesar suara, sistem kamera 360 darjah serta pintu gelungsur dan pintu but bukaan kuasa.

    Bagi aspek keselamatan, ia datang dengan enam beg udara, kawalan stabiliti, pemerhati titik buta dan amaran trafik melintas dari belakang. Walaubagaimanapun, model ini tidak diberikan sebarang sistem bantuan pemandu seperti Autonomous Emergency Braking atau Adaptive Cruise Control.

    Di sebalik badannya, Carnival baru ini menggunakan sistem suspensi serba baru serta tahap bunyi yang ditambah baik, menjadikan perjalanan di dalamnya lebih selesa. Bukan setakat itu, maklum balas sistem stereng kuasa juga telah dilaras semula.

     
     
  • GALERI: Mazda BT-50 2022 di Malaysia — lima varian CBU, asas dari Isuzu D-Max, harga dari RM124k

    GALERI: Mazda BT-50 2022 di Malaysia — lima varian CBU, asas dari Isuzu D-Max, harga dari RM124k

    Harga rasmi bagi Mazda BT-50 generasi ketiga untuk pasaran Malaysia telah pun didedahkan minggu ini, dan kini kami bawakan pula galeri penuh trak pikap tersebut. Jika model generasi sebelum ini menggunakan asas daripada Ford Ranger, model baru ini beralih kepada Isuzu D-Max pula, yang baru juga dilancarkan tahun ini.

    Walaupun platform dan enjin dikongsi dari D-Max, BT-50 diberikan rekaan luaran yang jauh lebih menarik dan menawan. Rekaan Kodo menyaksikan wajah depannya membawakan imej yang sama dengan barisan SUV CX Mazda yang lain, dengan lampu tirus serta bukaan gril yang luas. Bahagian belakang BT-50 juga lebih ringkas dengan rekaan lampu yang berbeza daripada D-Max. Rekaan dalaman BT-50 juga berbeza, dengan kecenderungan yang lebih menyerupai ruang kabin kereta.

    Dibawa masuk CBU dari Thailand, variannya bermula dengan 1.9L Single Cab MT, diikuti dengan double cab 1.9L Mid MT, 1.9L Mid AT, 1.9L High AT dan yang paling lengkap 3.0L High Plus AT. Ketika ini, hanya ada harga untuk dua varian terakhir yang dinyatakan itu sahaja, dengan 1.9L High AT pada harga RM124,179.20, sementara 3.0L High Plus AT pada harga RM143,218.40.

    Semuanya harga atas jalan tidak termasuk insurans dan termasuk jaminan lima-tahun atau 100,000 km jaminan pengeluar. Pengecualian SST ketika ini tidak terpakai untuk model ini, kerana ia trak pikap dan dikategorikan sebagai kenderaan komersial.

    Untuk enjin, BT-50 menggunakan enjin sama dengan D-Max, dengan varian 1.9L memanfaatkan unit RZ4E-TC 1.9 liter empat-silinder turbodiesel, menghasilkan 148 hp pada 3,600 rpm dan 350 Nm tork dari 1,800 rpm hingga 2,600 rpm.

    Varian paling tinggi pula menggunakan unit 4JJ3-TCX 3.0 liter empat-silinder turbodiesel yang menghasilkan 188 hp pada 3,600 rpm dan 450 Nm dari 1,600 hingga 2,600 rpm. Pacuan empat roda adalah standard untuk semua varian, tetapi ada pilihan penawaran kotak gear manual enam-kelajuan (MT) atau automatik enam-kelajuan (AT).

     
     
  • Brixton Cromwell 1200 dan Crossfire 500/500X didedah – model gaya retro dengan enjin dua silinder selari

    Brixton Cromwell 1200 dan Crossfire 500/500X didedah – model gaya retro dengan enjin dua silinder selari

    Brixton Motorcycles kini menyertai segmen motosikal retro kapasiti tinggi apabila memperkenalkan Cromwell 1200, Crossfire 500 dan Crossfire 500X. Tiga model baru ini menyertai model 125 cc dan 250 cc yang turut diberikan peningkatan ringkas bagi model tahun 2022.

    Cromwell 1200 menggunakan enjin dua silinder selari penyejukan cecair, dengan sistem suntikan bahan api Magneti Marelli dan melepasi tahap emisi Euro 5. Dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan sistem pacuan rantai, enjin ini mampu menghasilkan 82 PS pada 6,500 rpm dan 108 Nm tork pada 3,500 rpm.

    Rim menggunakan saiz yang berlainan, iaitu 18 inci di hadapan bersama tayar 110/80 manakala di belakang terdapat rim 17 inci dengan tayar 160/60. Suspensi menggunakan unit biasa fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak Kayaba di belakang. Brek datang dengan tetapan cakera berkembar di hadapan dengan angkup Nissin.

    Brixton Cromwell 1200 dan Crossfire 500/500X didedah – model gaya retro dengan enjin dua silinder selari

    Hasil penggunaan sistem ride-by-wire, motosikal ini dapat menyediakan dua mod tunggangan, iaitu Eco dan Sport, dan didatangkan dengan sistem kawalan cengkaman. Melengkapkan penampilannya adalah lampu DRL LED di hadapan, manakala di hadapan penunggang terdapat panel instrumen LCD. Tinggi tempat duduk adalah 800 mm dan berat keseluruhan adalah 235 kg.

    Model Crossfire 500 juga menggunakan rekaan retro dan didatangkan dengan pilihan versi scrambler yang dinamakan sebagai Crossfire 500X. Penggeraknya adalah enjin dua silinder selari penyejukan cecair 486 cc, yang mampu menghasilkan kuasa 48 PS pada 8,500 rpm dan 43 Nm tork pada 6,750 rpm.

    Brek Crossfire 500 menggunakan unit daripada J Juan, dengan tetapan cakera hadapan dan belakang manakala suspensi pula menggunakan padanan fork USD di hadapan dan monoshock Kayaba di belakang. Tinggi tempat duduk Crossfire 500 adalah 795 mm dan berat yang dicatat adalah 190 kg.

     
     
  • Toyota GR Yaris dapat enjin bahan bakar hidrogen

    Toyota GR Yaris dapat enjin bahan bakar hidrogen

    Toyota telah lama menjadi penyokong penggunaan hidrogen sebagai sumber kuasa, dan kini mereka menunjukkan teknologi enjin pembakaran hidrogen eksperimen yang digunakan pada GR Yaris. Enjin asal tiga silinder 1.6 liter turbo G16E-GTS pada model itu diubah usai untuk menerima hidrogen sebagai bahan bakar.

    Bagi membolehkan enjin pembakaran dalaman itu menerima hidrogen, sistem bekalan dan suntikan bahan api telah diubah suai, sementara bahan hidrogen, tangki serta proses mengisi semula adalah sama seperti yang digunakan pada model Mirai.

    Tetapan enjin kuasa hidrogen ini juga telah dilihat digunakan pada Corolla Sport yang berlumba dalam siri Super Taikyu di Jepun, bawah pasukan Rookie Racing oleh Toyota Gazoo Racing, bagi melihat kemampuannya bertahan dengan pemanduan maksimum di litar.

    Sebagai makluman, enjin standard GR Yaris itu, apabila menggunakan bahan api petrol, mampu menghasilkan 261 PS pada 6,500 rpm dan 360 Nm tork pada 3,000 hingga 4,600 rpm. Ini adalah jumlah kuasa yang disediakan untuk model Eropah (juga negara kita) sementara di Jepun, jumlah kuasanya kurang 11 PS dan 10 Nm.

    “Kami telah mengambil langkah pertama untuk bertanding dan membangunkan enjin kuasa hidrogen kami dengan matlamat menyahut cabaran. Saya bayangkan keadaan akan berubah sedikit 10 tahun akan datang, dan saya berharap nanti orang ramai akan mengimbas kembali dan melihat bagaimana kami menyahut cabaran secara positif dan menikmati setiap waktu dengannnya,” kata presiden Toyota, Akio Toyoda.

     
     
  • GoCar perkenalkan program GoEV di M’sia — 25 unit Nissan Leaf tersedia untuk fasa ujian penggunaan

    GoCar perkenalkan program GoEV di M’sia — 25 unit Nissan Leaf tersedia untuk fasa ujian penggunaan

    GoCar Malaysia kini memperkenalkan GoEV, sebuah program yang melibatkan kenderaan teknologi elektrifikasi ke dalam portfolio perkhidmatan langganannya. Dalam fasa ujian awal ini, 25 unit model elektrik Nissan Leaf generasi kedua boleh dilanggan bagi tempoh singkat dan tempoh panjang untuk kegunaan di Lembah Klang.

    Kereta EV Leaf ini boleh didapati melalui tiga zon perkongsian EV yang telah disediakan di lokasi strategik. Ini termasuk di pejabat GoCar Malaysia di Petaling Jaya, serta MyTown Cheras dan Avenue K di KL. Syarikat itu memaklumkan mereka akan meluaskan lagi zon GoEV ini kepada 10 lokasi lagi tahun ini, dengan semuanya di Lembah Klang terlebih dahulu.

    Terbuka kepada semua pemandu berusia 18 tahun ke atas, pengguna hanya perlu mendaftar sebagai ahli GoCar untuk memilih pelan GoEV atau GoEV Subs yang diinginkan. Melalui aplikasi GoCar, pengguna boleh menyemak ketersediaan kenderaan, membuat tempahan perkongsian atau langganan, melunaskan pembayaran serta untuk mengunci atau membuka kunci kenderaan. Tiada pra-tembahan diperlukan, walaupun deposit sekuriti yang akan dipulangkan semula diperlukan untuk pelan langganan.

    GoCar perkenalkan program GoEV di M’sia — 25 unit Nissan Leaf tersedia untuk fasa ujian penggunaan

    Pilihan untuk perkongsian ketika ini hanya disediakan untuk pusingan lengkap (ambil dan pulangkan kenderaan di zon yang sama) dan untuk kegunaan jangka pendek, yang dikira mengikut jam atau hari. Kadarnya bermula dari RM24.90 sejam, atau RM249 sehari. Kadar berkenaan akan jadi lebih rendah dengan penggunaan yang lebih lama — misalnya untuk 30 hari, kadar akan menjadi RM106 sehari.

    Mereka yang ingin mengalami sendiri penggunaan EV untuk jangka panjang boleh memilih langganan, dengan pelan 24-bulan dengan kos RM2,499 sebulan, dan 36-bulan pada kadar RM2,299 sebulan. Kadar ini termasuk cukai jalan, insurans, servis biasa dan pengecas wallbox di rumah.

    GoCar perkenalkan program GoEV di M’sia — 25 unit Nissan Leaf tersedia untuk fasa ujian penggunaan

    Sebagai tambahan, GoCar juga akan menyediakan kad ChargEV tanpa sebarang kos secara percuma untuk setiap kenderaan, membolehkan pengguna memanfaatkan 300 stesen pengecas yang ada di seluruh negara dalam rangkaian berkenaan.

    Syarikat itu menambah pihaknya juga akan mempunyai stesen pengecas di semua 10 zon GoEV, dengan lebih banyak lokasi lain dirancang bagi 12 bulan akan datang — semua ini bebas untuk digunakan secara percuma oleh pelanggan GoEV.

    GoCar juga dalam usaha untuk mengubah pejabatnya di PJ menjadi hab, dan ini akan tersedia pertengahan tahun depan. Di sana, prasaran pengecasan — termasuk unit DCFC — akan disediakan untuk semua yang mempunyai EV, bukan hanya kepada pelanggannya.

     
     
  • Proton catat jualan melebihi 100k unit untuk tahun ketiga, Saga sedan terlaris, X50 terjual 4,000 unit

    Proton catat jualan melebihi 100k unit untuk tahun ketiga, Saga sedan terlaris, X50 terjual 4,000 unit

    Proton telah melepasi angka 100,000 unit jualan kenderaannya bagi tiga tahun berturut-turut, disumbangkan oleh jualan sebanyak 14,187 unit bagi November. Ini gabungan jualan pasaran domestik dan eksport, menjadikan angka tahunannya setakat ini sebanyak 100,566 unit.

    Jualan November tahun ini bagi Proton naik 6.2% berbanding bulan sebelumnya, dan mewakili peningkatan 24.3% berbanding November 2020. Hal ini juga mencerminkan peningkatan 4.3% dalam jualan tahunan setakat ini. Perkongsian pasaran domestik dijangkakan pada kadar 24.5%, sementara perkongsian pasaran tahunan setakat ini meningkat 1.9% menjadi 22.8%

    Proton Saga kembali menjadi model paling laris di sini sepanjang November dengan jualan sebanyak 5,666 unit, menjadi bulan dengan jualannya yang terbaik sejak Disember 2020 dan sekali lagi menjadikan sedan itu model paling laris di Malaysia dari segmen A, sebuah pencapaian yang pernah diraih pada September lalu.

    November juga menjadi rekod baru untuk X50 dengan mencatatkan jualan sebanyak 4,010 unit telah diserahkan kepada pelanggan. Angka ini telah mengatasi 3,839 unit yang terjual pada Oktober lalu, menjadikannya bukan hanya sebagai SUV B segmen terlaris, bahkan bagi SUV keseluruhannya.

    Proton catat jualan melebihi 100k unit untuk tahun ketiga, Saga sedan terlaris, X50 terjual 4,000 unit

    Bagi segmen SUV lebih besar pula, Proton X70 terus menunjukkan prestasi meyakinkan dengan angka jualan 1,901 unit terjual pada November. Exora juga masih menunjukkan pertumbuhan jualan bagi tempoh empat bulan sebelum ini dengan 434 unit terjual, dan masih menjadi MPV terlaris kelasnya.

    Masalah bekalan komponen bagaimanapun terus memberi kesan kepada angka jualan Iriz dan Persona, walaupun masing-masing masih mampu mencatatkan 642 unit dan 1,534 unit.

    “Melepasi angka 100,000 unit dengan berbaki sebulan sahaja lagi tahun ini merupakan sesuatu yang kami banggakan, dalam keadaan kita semua masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19. Kami yakin akan dapat mengakhiri tahun ini dengan peningkatan jumlah jualan. Ini akan membantu Proton meningkatkan pertumbuhan jualan dan perkongsian pasaran tahun ini, dan menjadi persediaan yang kukuh untuk menempuh 2022 kelak,” ujar CEO Proton Edar, Roslan Abdullah.

     
     
  • Mercedes-Benz Project Maybach – kereta konsep gaya lasak hasil kerjasama dengan mendiang Virgil Abloh

    Mercedes-Benz Project Maybach – kereta konsep gaya lasak hasil kerjasama dengan mendiang Virgil Abloh

    Ini adalah Project Maybach, sebuah model konsep yang direka dan dibuat hasil daripada kerjasama Mercedes-Benz dengan mendiang Virgil Abloh, iaitu seorang pereka fesyen yang baru sahaja meninggal dunia 28 November lalu. Model konsep ini didedahkan kepada umum mengikuti permintaan keluarga Abloh dan sekarang dipamerkan di Muzium Rubell, Miami.

    Ia juga adalah hasil kedua kerjasama antara pengeluar kenderaan Jerman ini dengan pengasas jenama Off-White tersebut, sementara hasil pertama adalah kereta lumba Project Gelandewagen yang menggunakan asas daripada G-Class.

    Kedua-dua Abloh dan ketua bahagian rekaan Daimler AG, Gorden Wagener diberikan kebebasan penuh untuk menghasilkan rekaan kereta ini, tanpa mengambil kira sebarang batasan yang biasanya wujud bagi kereta produksi, dan membayangkan kenderaan elektrik masa hadapan.

    Seperti yang anda boleh lihat, mereka pergi ke arah kenderaan lasak, tetapi menggunakan bentuk sebuah coupe mewah yang berukuran hingga enam meter panjang. Garis badan yang digunakan juga adalah ringkas, dengan bentuk petak di depan dan belakang, serta garis lurus dari fender hadapan hinggalah ke bonet belakang.

    Kemudiannya, ia mempunyai kelengkapan yang bersesuaian dengan kegunaan lasak di jalan offroad seperti tayar yang tebal, besi penghadang di depan dengan skid plate tebal, serta roll cage yang bersambung sekali dengan rak barangan dan lampu tambahan di atas bumbung.

    Bahagian dalam juga sama unik, dengan lekuk-lekuk berpetak serta butang yang ringkas sementara di tepi pintu terdapat kapak yang melekat terus pada tapak khas. Mercedes-Benz bagaimanapun tidak menyatakan sama ada kereta ini akan memasuki fasa produksi ataupun tidak.

     
     
  • Malaysia tiada dasar EV jelas selain kecualikan cukai

    Malaysia tiada dasar EV jelas selain kecualikan cukai

    Cadangan kerajaan untuk memberikan pengecualian cukai import, eksais dan cukai jalan kepada kenderaan elektrik seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2022 Oktober lalu, disambut baik oleh syarikat pengeluar dan pengguna. Model pertama yang diperkenalkan selepas itu, Hyundai Kona Electric, telah memanfaatkan kelebihan ini dan tercermin daripada harga yang dikenakan.

    Bagaimanapun, harga bukanlah satu-satunya perkara yang akan mempengaruhi penerapan penggunaan umum terhadap EV. Ada banyak perkara lain mempengaruhi, misalnya pengilangan dan pemasangan EV dan prasarana pengecasannya. Dan, menurut pemerhati industri, tanpa kerangka dasar yang jelas, Malaysia akan terus ketinggalan dalam penerapan berkenaan, lapor The Edge.

    Menurut presiden Kelab Pemilik Kereta Elektrik Malaysia, Datuk Shahrol Halmi, walaupun pengecualian cukai akan membantu meningkatkan permintaan dan menggalakkan pelaburan terhadap pembangunan prasarana pengecasan pantas, tempoh kelayakan dua tahun yang dikenakan tersebut akan menghalang pemain luar untuk masuk ke sini. “Had dua tahun itu akan menghalang syarikat seperti Tesla untuk masuk, dan ini merugikan, memandangkan mereka cemerlang dalam membangunkan prasarana pengecasan,” jelas beliau.

    Tesla sudah pun mempunyai kehadiran di rantau Asia Tenggara di Singapura, di mana syarikat itu menjual Model 3 dan mengendalikan tiga stesen pengecasan pantas Supercharger. Walaupun stesen berkenaan hanya terhad untuk kenderaan Tesla sahaja, syarikat itu merancang untuk berlahan-lahan membuka rangkaian Supercharger itu untuk EV lain, dan telah menjalankan program ujian di Norway.

    Malaysia tiada dasar EV jelas selain kecualikan cukai

    Ini ditambah dengan tiada arah tuju jelas berkaitan prasarana pengecasan. Walaupun kerajaan telah menyediakan pelepasan cukai sehingga RM2,500 bagi individu yang membeli pengecas untuk di rumah, masih belum tahu sama ada syarikat penyedia juga akan diberi insentif untuk melabur dalam membangunkan stesen pengecasan awam.

    Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad pula menyatakan yang pihaknya berterima kasih terhadap pengecualian cukai yang diberikan itu, yang akan menjadi pemangkin kepada pengeluar untuk memasang EV di Malaysia. “Bagaimanapun, pembangunan prasarana dan ketersediaan stesen pengecasan juga mesti dibangunkan dan ada di seluruh Malaysia,” ujarnya.

    Mungkin hal yang sedikit baik daripada semua ini adalah kita sudah ada pergerakan berkaitan itu, dengan ironinya syarikat petroleum yang menjadi pelopor. Shell bekerjasama dengan Porsche dan BMW untuk memasang stesen pengecasan pantas di sepanjang Lebuhraya PLUS untuk memenuhi keperluan penggguna. Petronas juga melakukan hal sama dengan Mercedes-Benz. Kedua-duanya dijangka selesai menjalankan ujian tersebut pertengahan tahun depan.

    Pengarah Eksekutif Eclimo, sebuah pengeluar motosikal elektrik dan bateri, Datuk Dennis Chuah berkata, pengilangan kenderaan elektrik akan memerlukan “teknologi perubahan baru” dan berpotensi membentuk semula beberapa industri dan mewujudkan peluang ekonomi.

    “EV tidak sama dengan kenderaan enjin biasa. Sebahagian besar kenderaan ini terdiri daripada komponen elektrikal dan teknologi. Untuk menyokong ini, Malaysia memerlukan lebih banyak orang dalam kajian, kejuruteraan, kepakaran teknologi inovatif serta pembangunan rekaan kenderaan dan teknologi bateri.

    Malaysia tiada dasar EV jelas selain kecualikan cukai

    “Pendidikan memainkan peranan penting. Kita perlu fokus terhadap latihan dan meningkatkan kemahiran pekerja dalam sektor automotif untuk bersedia bekerja dengan teknologi akan datang,” jelas beliau, dan menambah bahawa kerajaan perlu mempertimbangkan dasar dan geran R&D bagi menggalakkan usahawan dan pengilang untuk ikut serta dalam pembangunan e-mobiliti.

    Laporan tersebut juga menyebut bahawa dasar EV yang jelas juga perlu mengikut-sertakan sebuah garis masa untuk kerajaan menghentikan pengeluaran kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman, seperti yang telah dipersetujui oleh banyak negara ketika ini. Shahrol setuju, bahawa Malaysia perlu mendidik warga umum tentang kos subsidi minyak dan mewujudkan sebuah pelan untuk perlahan-lahan menaikkan harganya agar orang tidak lagi menggunakan kenderaan enjin konvensional. “Ini boleh dimulakan dengan mengenakan cas bagi kenderaan dengan enjin konvensional jika memasuki pusat bandar, serta adakan garis masa untuk melaksanakan cukai karbon, mungkin bermula dari tahun 2025.”

    Aishah pula bagaimanapun berpendapat mengharamkan terus kenderaan dengan enjin konvensoional bukanlah satu idea yang bagus dan akan menyusahkan kerajaan dalam pilihanraya, memandangkan kumpulan berpendapatan rendah masih perlu mengakses kenderaan yang lebih mampu milik tersebut.

    Cadangan pengecualian cukai tersebut telah menjadi pemangkin kepada perkembangan menggalakkan dalam sektor automotif, dengan syarikat seperti Mercedes-Benz mengumumkan barisan kenderaan EV mereka akan memasuki pasaran di sini bermula tahun depan. Bagi pengeluar kenderaan tempatan, Proton juga telah mengesahkan pembangunan kenderaan dengan teknologi hibrid, plug-in hybrid dan EV penuh, sementara Perodua kini sedang menjalankan kajian pasaran terhadap kenderaan hibrid.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025