Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton X70 SE – satu lagi video teaser disiarkan sebelum dilancarkan secara maya esok, pukul 11 pagi

    Selepas diumumkan sah akan dilancarkan pada 22 Julai ini pada Isnin lalu, Proton menyiarkan satu lagi video teaser berkenaan model istimewa X70 Special Edition (SE). Walau bagaimanapun, menerusi kedua-dua video berkenaan, imej sebenar model tersebut masih belum kelihatan.

    Dalam video teaser terbaharu ini, Proton menjanjikan 4R untuk X70 SE iaitu refined design, redefined connectivity, reassured safety dan responsive performance. Untuk mengetahui segala perincian model ini termasuk harganya, anda boleh ikuti pelancarannya yang akan dibuat secara maya pada pukul 11 pagi esok. Dan kalau berminat untuk membeli, pendaftaran minat secara atas talian sudahpun dibuka menerusi PAUTAN INI.

    Berdasarkan apa yang kami tahu menerusi pertandingan “Proton X70 SE Knowledge Challenge” yang dijalankan oleh Proton untuk jaringan pengedarnya pada awal bulan ini, Proton X70 SE ini hanya dihasilkan terhad kepada 2,000 unit dan diasaskan dari varian Premium 2WD.

    Proton X70 SE – satu lagi video <em>teaser</em> disiarkan sebelum dilancarkan secara maya esok, pukul 11 pagi

    Dari segi spesifikasi, ia adalah hampir sama dengan 37 unit Proton X70 Exclusive Edition (EE) yang telah dilancarkan di Brunei Jun lalu. Model SE ini akan menerima pilihan warna Ocean Blue seperti model EE di Brunei, yang tidak terdapat dalam pilihan X70 biasa. Namun untuk SE di Malaysia ini, ia juga akan ditawarkan dengan pilihan warna badan Ruby Red.

    Selain dari warna, komponen seperti cermin sisi, spoiler belakang, dan bumbung X70 SE ini akan menerima kemasan hitam bagi memberikan imej dua-tona, lebih kurang sama seperti 62 unit X70 Merdeka Edition yang dilancarkan pada Hari Kemerdekaan 2019.

    Perincian-perincian unik lain yang turut diberikan pasa model istimewa ini termasuk emblem SE pada pintu tailgate belakang, dan juga rim 19-inci dengan rekaan sama seperti Geely Boyue Pro.

    Proton X70 Exclusive Edition pasaran Brunei

    Pada bahagian dalaman pula, ia diberikan karpet lantai dengan lencana SE, upholsteri kulit Nappa hitam (warna perang pada model Premium dan Premium X) bersama serlahan jahitan benang putih dan merah, serta roda stereng yang turut diberikan jahitan benang putih.

    Tiada perubahan sistem mekanikal pada X70 SE ini, di mana ia masih menerima enjin 1.8 liter empat silinder turbo menghasilkan 184 PS (181 hp) dan tork maksima 300 Nm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, memacu hanya roda hadapan.

    GALERI: Brosur Proton X70 SE yang bocor

    GALERI: Proton X70 Exclusive Edition pasaran Brunei

     
     
  • Honda Civic generasi ke-11 akan dilancarkan di Thai 6 Ogos ini, mungkin tiada lagi model NA 1.8L i-VTEC

    Baru sahaja didedahkan secara global di Amerika Syarikat April lalu, Honda Civic generasi ke-11 nampaknya akan tiba ke pasaran Asia Tenggara. Seperti biasa, model generasi terbaharu berkenaan akan tiba dulu Thailand, dan ia sudah pun diumumkan akan dilancarkan di negara berkenaan pada 6 Ogos 2021.

    Rupa model serba baharu ini sudah tidak lagi menjadi tanda tanya. Berbanding model FC sedia ada, ia kini kelihatan lebih ringkas dan matang malah diberikan garis-garis sisi badan dan bumbung yang nampak hampir sama dengan Accord, membuang imej-imej seperti robot anime Jepun.

    Ia juga dihasilkan 33 mm lebih panjang dari FC dengan ukuran 4,674 mm, bersama jarak roda 36 mm lebih jauh kepada 2,736 mm. Walau bagaimanapun, lebar dan juga tingginya masih sama seperti model generasi ke-10 iaitu masing-masing 1,801 mm dan 1,415 mm.

    Honda Civic generasi ke-11 akan dilancarkan di Thai 6 Ogos ini, mungkin tiada lagi model NA 1.8L i-VTEC

    Imej lebih ringkas juga dibawa pada bahagian kabin dimana ia kini menerima papan pemuka minimalis dengan liang penghawa dingin rekaan sarang lebah yang merentangi dari kiri ke kanan, dan juga skrin infotainmen berdiri sendiri di tengah.

    Pemandu menerima roda stereng dan juga paparan instrument digital baharu, manakala terowong tengah serta suis-suis kawalan lain direka semula bagi memberikan ciri lebih praktikal dan lebih luas. Honda juga menyatakan bahawa kabin Civic baharu ini diberikan material-material yang lebih premium.

    Honda Thailand hanya akan mendedahkan spesifikasi lebih terperinci untuk Civic generasi ke-11 bagi pasaran negara berkenaan bulan hadapan. Namun portal automotif Thailand, Headlightmag mendakwa bahawa hanya model dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo akan ditawarkan di negara berkenaan, manakala pilihan enjin 1.8 liter i-VTEC akan digugurkan terus.

    Bagi model pasaran Amerika Syarikat, enjin 1.5L turbo berkenaan kini menghasilkan 182 PS (180 hp) dan tork maksima 240 Nm, lebih berkuasa dari enjin sama yang dipadankan pada Civic FC dengan bekalan 173 PS (170 hp)/220 Nm. Di AS juga Civic ditawarkan dengan enjin 2.0 liter NA DOHC i-VTEC yang berkuasa 160 PS (158 hp) dan tork maksima 187 Nm.

    Selain Thailand, Civic generasi baharu ini juga bakal masuk ke pasaran Singapura tahun ini, namun tarikh pelancarannya masih belum diumumkan. Bagaimana dengan Malaysia? Menerusi petunjuk yang diberikan oleh presiden dan COO Honda Malaysia Sarly Adle Sarkum, ia mungkin akan mendarat di sini pada tahun ini juga. Namun pada jangkaan kami, ia mungkin hanya akan diprebiu di Malaysia tahun ini, dan hanya akan dilancarkan pada pasaran tempatan tahun hadapan.

    GALERI: Honda Civic generasi ke-11 pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • KTM RC 8C – keluaran terhad 100 unit, kegunaan litar

    KTM RC 8C – keluaran terhad 100 unit, kegunaan litar

    Bermula 22 Julai ini, KTM akan mula membuka tempahan untuk model RC 8C, iaitu motosikal kegunaan litar yang dibangunkan bersama syarikat Kramer dari Jerman. Model ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 100 unit sahaja, namun harga sebenarnya tidak diberitahu.

    RC 8C menggunakan enjin dua silinder selari 899 cc LC8c DOHC dan mampu mengeluarkan kuasa 128 hp dan 101 Nm tork. Meskipun kuasa ini tidak kedengaran begitu tinggi, berat RC 8C cuma 140 kg, sekaligus menjadikan nisbah berat kepada kuasanya hampir kepada 1:1.

    Menggunakan kerangka tiub besi 25CrMo4, KTM menyatakan RC 8C ini sebagai “hampir kepada motosikal lumba factory, tetapi tidak memerlukan pasukan lumba pakar untuk diselenggara.” Melengkapkan bentuknya, KTM menggunakan panel badan dibuat daripada GRP yang diperkuat, siap sekali dengan winglet di hadapan.

    Suspensi premium dipasang pada model ini, dengan terdiri daripada unit fork USD WP Apex Pro 7543 di hadapan dan WP monoshock Apex Pro 7746 di belakang. Kedua-duanya boleh dilaras sepenuhnya, sementara rim pula menggunakan unit Dymag, dibalut tayar slick Pirelli SC1.

    Pam Brembo 19 RCS Corsa Corta serta angkup Brembo Stylema menjalankan tugas membrek pada roda hadapan, dan penunggang boleh melaras tiga tahap rasa brek ini dengan piihan Normal, Sport serta Race (maklum balas seperti jentera MotoGP).

    Tangki bahan api model ini, yang berkapasiti 16 liter sebenarnya berada di bawah tempat duduk, dan tempat asalnya telah digunakan untuk meletakkan kotak udara, yang mendapat udara daripada hadapan dan mempunyai saluran yang dipecahkan kepada dua bahagian.

    KTM RC 8C – keluaran terhad 100 unit, kegunaan litar

    Bagi memberikan pemilik akses kepada data penting motosikal, dan melakukan larasan kepada ECU, KTM telah memasang RC 8C dengan sistem AIM MXS 1.2 Race berserta panel paparan TFT-LCD lima inci. Antara yang boleh dilihat adalah perincian laju, kedudukan dalam litar, masa pusingan, kawalan pendikit, gear dan tahap rpm, pecutan serta prestasi enjin.

    Beberapa bahagian casis motosikal ini juga boleh dilaras untuk menyesuaikan motosikal dengan penunggang, termasuk head stick, offset fork, tinggi tempat duduk, peletak kaki, pemegang serta ketinggian motosikal.

    Daripada 100 unit yang ditawarkan, 25 pembeli RC 8C boleh memilih untuk menyertai acara ujian di litar bersama pasukan Red Bull KTM Factory Racing, di mana mereka boleh menunggang di dalam Litar Jerez, Sepanyol bersama Dani Pedrosa dan Mill Kalio. Pakej ini datang bersama satu set rim Dymag, cakera brek tambahan, peletak motosikal (paddock stand), pemanas tayar serta karpet KTM.

     
     
  • Mercedes-Benz EQG dilancar di IAA September ini?

    Mercedes-Benz EQG dilancar di IAA September ini?

    Mercedes-Benz telah mengesahkan model G-Class semua-elektrik bakal dikeluarkan tidak lama lagi, namun tidak mendedahkan bila ia akan dilancarkan. Namun, laporan terkini dari mbpassion mendedahkan model konsep tersebut akan diperkenalkan di pertunjukan IAA Mobility di Munich, pada September ini.

    Laporan yang menyebut EQG, akan menjadi model terkini dalam barisan G-Class, yang buat masa ini diproduksi dalam model petrol dan diesel. Namun demikian, laporan terbabit menyebut EQG tidak akan dibangunkan platform khas bagi kenderaan elektrik, sebaliknya menggunakan model G-Class sedia ada untuk dielektrfikasikan. Lain-lain model EQ yang terlibat dengan perancangan ini termasuklah EQA (GLA), EQB (GLB) dan EQC (GLC).

    Bagi variannya, tanda dagang difailkan menerusi European Union Intellectual Property Office (EUIPO) pada April lalu, dan terdapat dua versi EQC, yang dinamakan sebagai EQG 560 4Matic dan EQG 580 4Matic.

    Kedua-duanya dijangka akan diberikan pacuan semua-roda secara standard hasil larasan dwi-motor, dengan output menyamai EQS 580, iaitu pada kadar 523 PS (516 hp atau 385 kW) dan tork 855 Nm. Memberikan kelainan senibinanya, tidak pasti jika ia masih diberikan bateri 108-kWh, tetapi dijangka kadarnya lebih rendah disebabkan berat badannya.

    Pada Oktober tahun lalu, pengeluar kenderaan Jerman ini berkata, ia mahu menjadikan G-CLass sebagai sub-jenama bersama AMG dan Maybach. Ketiga-tiga entiti tersebut dijangka menjadi sebahagian daripada kumpulan perniagaan tunggal di bawah Mercedes-Benz, yang akan diumumkan secara rasmi di IAA.

     
     
  • Kilang Proton Pakistan akan beroperasi sepenuhnya tak lama lagi, pemasangan Saga sudahpun bermula

    Proton Pakistan telah pun menyiarkan satu video memaparkan bahawa mereka sudah bersedia untuk memulakan sepenuhnya operasi CKD menerusi kilang mereka yang terletak di Karachi. Video berdurasi 1 minit 11 saat berkenaan menunjukkan berberapa bahagian kilang tersebut, dan produksi untuk Proton Saga sudah pun bermula, namun tarikh sebenar perasmian kilang itu masih belum diumumkan.

    Sebelum ini Proton telah mengumumkan bahawa rakan kongsinya yang menguruskan jenama berkenaan di Pakistan, Al-Haj Automotive telahpun bersedia untuk memulakan operasi pemasangan tempatan di kilang baru itu bermula pada suku ketiga 2021.

    Kilang yang sepatutnya mula beroperasi sebelum berakhir tahun 2020 berkenaan dibina di luar kawasan bandar, dijangka mempunyai kapasiti 25,000 unit satu tahun. Pelan asal kilang ini diumumkan pada tahun 2019, dengan pelaburan awal USD30 juta (sekitar RM121.9 juta).

    Dalam masa tiga tahun pertama, kilang ini dijangka dapat menyediakan 2,000 peluang pekerjaan terus di sana, dan 20,000 lagi pekerjaan secara tidak langsung apabila operasinya berjalan penuh. Melalui perjanjian yang dibuat pada tahun 2019, jualan awal kenderaan Proton di sana akan dibuat melalui unit yang diimport dari Malaysia (CBU), sebelum diambil alih oleh unit pengeluaran tempatan.

    Kilang Proton Pakistan akan beroperasi sepenuhnya tak lama lagi, pemasangan Saga sudahpun bermula

    Proton X70 telah dilancarkan di Pakistan sebagai model CBU pada Disember 2020, dan selepas ini ia turut akan dipasang di kilang baru berkenaan. Sehingga April lalu, tempoh menunggu untuk X70 dilaporkan sudah mencecah sehingga sembilan bulan selepas ia dilancarkan, dan masalah ini diharapkan akan diatasi selepas produksi CKD di Pakistan bermula.

    Selepas menawarkan model premium seperti X70 di negara tersebut sebagai pengenalan, Proton Pakistan selepas itu menawarkan model lebih mampu milik iaitu Saga yang dilancarkan pada April lalu. Sedan berkenaan ditawarkan dalam lima varian termasuk model edisi terhad Saga R3 yang hanya dibawa sebanyak 100-unit dan pembeli yang berminat perlu menyertai cabutan bertuah bagi mendapat peluang untuk membelinya.

    Model-model pasaran Pakistan ini juga menampilkan kapasiti enjin yang lebih kecil berbanding pasaran Malaysia bagi mendapat potongan cukai lebih banyak dan dijual pada harga lebih kompetitif. Bagi X70, model pasaran Pakistan berkenaan dijana enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo seperti X50 di Malaysia, manakala untuk Saga (kecuali Saga R3) ia masih diberikan enjin S4PE tetapi kapasitinya dikurangkan dari 1,332 cc kepada 1,299 cc.

     
     
  • Suzuki bakal perkenal EV pertama pada 2025 di India

    Suzuki bakal perkenal EV pertama pada 2025 di India

    Suzuki kini dalam perancangan untuk memperkenalkan model elektrik sepenuhnya dalam tahun 2025, dengan model EV tersebut akan dikeluarkan di India terlebih dahulu sebelum kemudiannya ke pasaran Jepun dan Eropah. Menurut Nikkei, model pertama EV syarikat itu akan dijual pada harga 1.5 juta yen (RM57,600) atau kurang selepas mengambil kira subsidi kerajaan.

    Langkah ke arah elektrikfikasi bagi Suzuki datang selepas syarikat itu dikhabarkan akan melabur satu trilion yen (RM38.5 bilion) menjelang Marc 2026 untuk menjalankan kajian dan pembangunan EV. Syarikat itu kini sudah menawarkan kereta hibrid di India sebagai sebahagian daripada peralihan tersebut, walaupun sedikit terlewat berbanding pengeluar lain.

    Bagaimanapun, peralihan itu kini dipercepat, dengan rancangan pengeluaran bateri juga sedang diusahakan. Kilang bateri yang dibina di Gejarat, India bersama pengeluar alat ganti kenderaan, Denso dan Toshiba dijangka akan dibuka September ini, dan akan menghasilkan bateri lithium-ion bagi model-model hibridnya.

    Laporan lainnya juga ada memberi petunjuk bahawa model berkenaan, kemungkinan besar sebuah hatchback kompak atau SUV kecil, akan dibangunkan bersama Toyota, yang mana Suzuki memang mempunyai usaha sama sejak lama dulu. Jenama ini menguasai pegangan pasaran sekitar 50% di India, dan ingin mengekalkan daya saing dalam pasaran dengan menambah EV dalam barisan penawarannya.

    Jualan EV di India bagaimanapun agak perlahan, walaupun sebagai pasaran automotif kelima terbesar di dunia. Namun negara itu mempunyai impian untuk memiliki 30% jualan kenderaan baru di sana terdiri daripada model elektrik menjelang 2030. Pada 2019, kerajaan di sana mula menawarkan insentif bernilai 100 bilion rupee (RM5.6 bilion) kepada pembeli EV untuk tempoh tiga-tahun. Bulan lalu, kerajaan India mengumumkan insentif tersebut akan dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi.

     
     
  • Triumph bangunkan jentera motocross dan enduro

    Triumph bangunkan jentera motocross dan enduro

    Triumph telah membuat pengumuman kini sedang membangunkan motosikal jenis lasak, motocross dan enduro untuk menyertai barisan model sedia ada mereka sekarang. Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan ia bukan setakat satu model, tetapi dipanggil sebagai satu barisan, yang terdiri daripada model motocross perlumbaan dan juga enduro.

    Setiap kepakaran kejuruteraan dalam syarikat akan digunakan untuk pembangunan motosikal baru Triumph ini, dan mereka juga membuat kerjasama dengan pelumba motocross terkenal, Ricky Carmichael serta Ivan Cervantes sebagai rakan kerjasama aktif untuk ujian dan persiapan motosikal tersebut sebelum ia digunakan dalam perlumbaan.

    Selain daripada itu, Triumph juga akan menubuhkan satu program perlumbaan factory baru yang akan bertanding menggunakan motosikal baru ini dalam kejuaraan perlumbaan motocross serta enduro peringkat tertinggi di dunia.

    Triumph bangunkan jentera motocross dan enduro

    Kebanyakan motosikal lasak yang bertanding dalam perlumbaan motocross dan enduro sekarang menggunakan enjin satu silinder, sama ada empat lejang atau dua lejang, dan datang dalam pelbagai kapasiti, antara 125 cc hingga 450 cc. Daripada ini, kita juga boleh menjangka Triumph menggunakan tetapan enjin sama.

    Setakat ini waktu pelancaran dan pengenalan model baru ini, serta maklumat lanjut berkenaan pasukan lumba yang akan ditubuhkan masih belum diberitahu, dan hanya akan didedahkan dalam masa beberapa bulan yang akan datang.

     
     
  • Prasarana buka PPV sementara di Stesen LRT Putra Height dan Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan

    Prasarana buka PPV sementara di Stesen LRT Putra Height dan Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah menggunakan dua asetnya iaitu Stesen LRT Putra Heights dan Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan di Balakong untuk dijadikan fasiliti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebagai menyokong program immunisasi nasional untuk pencegahan kepada wabak Covid-19.

    Fasiliti di Stesen LRT Putra Heights, yang merupakan stesen integrasi Laluan LRT Kelana Jaya dan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, mula beroperasi pada 19 Julai selama lima hari. Manakala PPV di kompleks yang menjadi ibu pejabat korporat Rapid Bus Sdn. Bhd., dibuka mulai hari ini (21 Julai) sehingga 26 Julai 2021 dan ia adalah eksklusif untuk kakitangan Rapid Bud. Kedua-dua PPV yang dibuka dari jam 8 pagi hingga 4 petang itu adalah untuk urusan pemberian dos pertama.

    Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, pembukaan PPV ini melengkapkan pemberian vaksin bagi sektor pengangkutan sebagai antara perkhidmatan perlu (essential services) bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat selain memastikan pergerakan barangan dan penumpang tidak terjejas.

    “Para petugas perkhidmatan rel dan bas tetap memainkan peranan penting mereka demi manfaat rakyat walaupun berdepan risiko jangkitan COVID-19. Justeru, mempercepatkan vaksinasi kepada barisan hadapan ini adalah langkah proaktif yang diambil Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) demi melindungi para petugas serta penumpang mereka,” katanya.

    Menurut satu kenyataan media Prasarana, langkah pembukaan kedua-dua pusat vaksinisasi itu dibuat selepas Prasarana mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), yang membuat tinjauan dan pemeriksaan terhadap kedua-dua aset pengangkutan awam itu pada 11 Julai.

    Kedua-dua premis dipilih kerana lokasi yang strategik serta mempunyai ruang yang luas dan selesa, sesuai dengan keperluan yang digariskan oleh CITF. Lebih kurang 4,000 jam masa kerja (manhour) digunakan untuk menyiapkan kedua-dua pusat, dengan Prasarana memperuntukan sebanyak RM350,000 bagi menampung kos keseluruhan program vaksinasi ini.

    “Prasarana berasa bangga diberi peluang melaksananakan program vaksinasi nasional ini kerana ia adalah agenda terpenting sekarang untuk proses pemulihan negara. Kami berharap sumbangan kami akan memberikan impak yang besar untuk kejayaan program ini; sekali gus membantu menamatkan ancaman penularan wabak Covid-19 ini,” tambah kenyataan itu.

    Selain itu, Prasarana turut menawarkan penggunaan aset-asetnya untuk menjadi pemacu kepada program imunisasi berkenaan khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang. Termasuklah untuk menjadikan bas-bas miliknya di Pulau Pinang dan Pahang sebagai pusat-pusat vaksinasi bergerak untuk memudahkan pengambilan vaksinasi di kalangan rakyat.

     
     
  • Lamborghini Urus – produksi capai angka 15,000 unit hanya dalam tiga tahun, rekod baharu untuk syarikat

    Lamborghini Urus – produksi capai angka 15,000 unit hanya dalam tiga tahun, rekod baharu untuk syarikat

    Lamborghini sememangnya jenama eksotik dan ekslusif dengan satu-satu produk mereka biasanya tidak dihasilkan dalam jumlah yang banyak. Namun menerusi SUV terbaharunya, Lamborghini Urus, sambutan yang diterima dilihat agak luar biasa. Baru tiga tahun berada dalam pasaran, produksi Urus kini sudah pun mencapai angka ke 15,000-unit!

    Menurut Lamborghini, ini merupakan model dengan jumlah produksi tertinggi pernah mereka hasilkan dalam masa yang singkat selepas dilancarkan. Urus dengan casis yang ke-15,000 berkenaan adalah unit yang didatangkan dengan pakej Graphite Capsule dan akan dihantar ke pelanggan di Britain. Dengan pakej tersebut pembeli boleh memilih antara empat warna matte yang ditawarkan, dan pelanggan unit berkenaan telah memilih warna Grigio Keres bersama serlahan Verde Scandal .

    Lamborghini Urus dijana oleh enjin V8 4.0 liter dengan pengecas turbo berkembar, menghasilkan 650 PS dan tork maksima 850 Nm. Kuasa berkenenaan dihantar ke kesemua roda menerusi kotak gear ZF lapan kelajuan automatik dan sistem AWD. Ia masih SUV produksi paling pantas dalam pasaran buat masa sekarang – mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat, 0-200 km/j dalam masa 12.8 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 305 km/j.

    Lamborghini Urus – produksi capai angka 15,000 unit hanya dalam tiga tahun, rekod baharu untuk syarikat

    Mac lalu, Urus telah pun mencatatkan rekod kelajuan di atas permukaan ais di Tasik Baikal, Rusia ketika acara Days of Speed. SUV berkenaan mencatatkan kelajuan maksima 298 km/j dan kelajuan purata 114 km/j bermula dari kedudukan pegun sehingga 1,000 meter di atas permukaan licin tersebut. Menurut Lamborghini, rekod ini membuktikan “prestasi hebat dan pengendalian yang luar biasa walaupun dengan cengkaman yang berkurangan” pada Urus.

    Dalam perkembangan berkaitan, Lamborghini juga baru sahaja mengumumkan prestasi jualan separa pertama 2021 mereka yang mencatatkan jualan sebanyak 4,852 unit seluruh dunia. Ini merupakan satu lagi kejayaan besar buat jenama Itali ini kerana angka berkenaan adalah angka jualah separa tahun pertama yang paling tinggi dalam sejarah mereka.

    Dari keseluruhan angka jualan tersebut, Urus adalah model yang paling laris dengan jualan 2,796 unit (naik 35% berbanding tempoh sama tahun lalu). Ia diikuti dengan barisan kereta sport dan super mereka iaitu Huracan dengan jualan 1,532 unit (naik 46%) dan Aventador terjual sebanyak 534 unit (naik 21%). Tempahan untuk kereta-kereta yang diproduksi di kilang Sant’Agata Bolognese berkenaan juga diumumkan telah penuh sehingga bulan April tahun hadapan.

     
     
  • Toyota Prius C 2021 didedahkan — platform TNGA-B, 1.5L Dynamic Force 3-silinder, bateri bipolar NiMH

    Toyota Prius C 2021 didedahkan — platform TNGA-B, 1.5L Dynamic Force 3-silinder, bateri bipolar NiMH

    Sudah masuk 10 tahun sejak Toyota mula meluaskan barisan Prius hibrid dengan model Prius C. Ini satu kitaran hayat yang agak panjang bagi sesebuah produk automotif. Namun, berbeza dengan khabar angin sebelum ini, pengeluar kereta dari Jepun itu akhirnya memperkenalkan model generasi keduanya, dengan jolokan “kereta kompak untuk 10 tahun ke depan.”

    Menarik tentang perkembangan ini ialah Prius C terbaru tersebut menampilkan perubahan rekaan yang komprehensif, walaupun bentuk umum, penggayaan dan dimensi tidak banyak berubah. Dibangun menggunaan platform segmen B Toyota New Global Architecture (TNGA-B), Prius C ini mempunyai dimensi 4,050 mm panjang dan 1,695 mm lebar. Bagaimanapun, ia kini 30 mm lebih tinggi dengan 1,485 mm, dengan jarak antara roda juga 50 mm lebih panjang dengan 2,600 mm. Menurut Toyota, ini memberikan tambahan keluasan ruang kabin, terutama pada ruang kaki dan ruang barangan.

    Sistem janaan hibrid yang ada pada Prius C terbaru ini juga dirombak. Ia menggunakan enjin 1.5 liter Dynamic Force tiga-silinder dalam versi kitara Atkinson — unit sama yang digunakan pada Yaris hatchback dan Yaris Cross SUV — menghasilkan 91 PS pada 5,000 rpm dan 120 Nm tork dari 3,800 hingga 4,800 rpm.

    Toyota Prius C 2021 didedahkan — platform TNGA-B, 1.5L Dynamic Force 3-silinder, bateri bipolar NiMH

    Enjin ini dipadankan dengan dua elektrik motor dan set gear Toyota Hybrid System II yang sudah teruji, dengan motor yang lebih besar menghasilkan 80 PS dan 141 Nm. Tiada angka janaan gabungan didedahkan setakat ini, tetapi pada Yaris dan Yaris Cross sistem ini menghasilkan 116 PS, 16 PS lebih tinggi berbanding Prius C sebelum ini.

    Pembaharuan paling utama ialah pada bateri. Walaupun masih menggunakan sel nickel-metal hydride (NiMH), ia menampilkan penggunaan teknologi bipolar pertama di dunia, menggunakan katod untuk satu sisi bagi setiap pengumpul aliran dan anod di sebelah yang satu lagi. “Elektrod bipolar” ini mengurangkan penggunaan pengumpul aliran dan bahagian lain, menjadikan tindanan sel bateri tersebut lebih kompak.

    Elektrod ini mempunyai permukaan aktif yang lebih luas dengan binaan yang ringkas, mengurangkan rintangan dalam bateri itu sendiri. Ini membolehkan aliran yang lebih besar untuk meningkatkan output sekitar 1.5%. Dengan rekaan yang lebih kompak (membolehkan lebih banyak sel dimuatkan), teknologi baru ini membolehkan bateri Prius C ini dua kali ganda lebih berkuasa berbanding model sebelumnya.

    Toyota Prius C 2021 didedahkan — platform TNGA-B, 1.5L Dynamic Force 3-silinder, bateri bipolar NiMH

    Menurut Toyota, bateri baru ini membolehkan kerata tersebut memberikan maklum balas pendikit yang lebih baik, pecutan lancar dan berkuasa dari kelajuan rendah dan julat peningkatan kelajuan menggunakan pacuan elektrik sendirian. Ini juga membolehkan Prius C memberikan penggunaan minyak gabungan 35.8 km seliter dalam kitaran WLTP, meningkat daripada sekadar 29.8 km seliter sebelum ini.

    Di Jepun (dengan menggunakan nama Aqua), kereta ini turut ditawarkan dalam sistem pacuan semua roda E-Four untuk pertama kali, menambah satu lagi motor elektrik di gandar belakang. Model generasi kedua ini juga menampilkan penggunaan pertama kali Comfort Pedal, yang diaktifkan melalui Power+ Mode, yang menambah “regenerative braking” ketika mengangkat kaki dari pedal untuk membolehkan pemanduan melalui satu pedal sahaja.

    Rekaan luaran Prius C secara umumnya masih kekal sama dengan yang lama. Bagaimanapun, ada banyak bahagian yang diberikan sentuhan baru, seperti lampu utama LED yang lebih tirus, kerangka bawah gril dalam bentuk U, tiang-C lebih tinggi dan lampu belakang bentuk-C yang bercantum dengan spoiler. Fender belakang juga kini lebih lebar, memberikan penampilan lebih menarik. Juga ada pertambahan warna baru, Clear Beige.

    Ruang dalaman pula turut meneruskan pendekatan rekaan di luar, misalnya bahagian papan pemuka yang dirangkum oleh bingkai nipis dan dibalut kulit tiruan, begitu juga pada bahagian panel pintu dan kerusinya (kerus pemandu larasan kuasa elektrik). Prius C juga menjadi model pertama Toyota yang datang dengan skrin sentuh 10.5-inci yang lebih besar untuk infotainmen; glovebox bahagian atas dan juga talam konsol tengah turut tersedia. Outlet kuasa 100-volt AC padanya juga datang standard untuk pasaran Jepun.

    Dari sudut keselamatan, Prius C dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense, termasuk brek kecemasan autonomous dengan pengesanan lintasan trafik, kawalan melayar adaptif, bantuan laluan lorong dan kawalan salah-aplikasi pedal. Buat pertama kali, kereta ini juga hadir dengan bantuan parkir dan AEB kelajuan rendah yang kini mengesan objek di kedua-dua sisi.

    Prius C sudah mula dijual di Jepun dengan harga bermula 1,980,000 yen (RM76,200) bagi model B paling asas hingga 2,598,000 yen (RM100,000) bagi spesifikasi Z dengan pilihan untuk sistem pacuan semua roda. Toyota mensasarkan jualan 9,800 unit sebulan model ini untuk pasaran di sana.

     
     
  • Proton X70 SE akan dilancarkan di M’sia 22 Julai ini

    Proton X70 SE akan dilancarkan di M’sia 22 Julai ini

    Proton akhirnya telah mengesahkan bahawa model edisi istimewa, X70 Special Edition (SE) akan dilancarkan secara rasmi pada pasaran tempatan pada 22 Julai ini. Ia diumumkan menerusi laman Facebook rasmi mereka, dan seperti amalan norma baharu sekarang, pelancaran tersebut akan diadakan secara maya bermula pada pukul 11 pagi hari tersebut.

    Anda juga sudahpun boleh mendaftarkan minat secara atas talian jika berminat terhadap model ini, namun harga SUV tersebut hanya akan didedahkan ketika pelancarannya nanti. Proton X70 SE ini diasaskan dari varian Premium 2WD dan hanya dihasilkan sebanyak 2,000 unit. Dari segi spesifikasi, ia adalah hampir sama dengan 37 unit Proton X70 Exclusive Edition (EE) yang telah dilancarkan di Brunei Jun lalu.

    Model SE ini akan menerima pilihan warna Ocean Blue seperti model EE di Brunei, yang tidak terdapat dalam pilihan X70 biasa. Namun untuk SE di Malaysia ini, ia juga akan ditawarkan dengan pilihan warna badan Ruby Red.

    Selain dari warna, komponen seperti cermin sisi, spoiler belakang, dan bumbung X70 SE ini akan menerima kemasan hitam bagi memberikan imej dua-tona, lebih kurang sama seperti 62 unit X70 Merdeka Edition yang dilancarkan pada Hari Kemerdekaan 2019.

    Perincian-perincian unik lain yang turut diberikan pasa model istimewa ini termasuk emblem SE pada pintu tailgate belakang, dan juga rim 19-inci dengan rekaan sama seperti Geely Boyue Pro.

    Pada bahagian dalaman pula, ia diberikan karpet lantai dengan lencana SE, upholsteri kulit Nappa hitam (warna perang pada model Premium dan Premium X) bersama serlahan jahitan benang putih dan merah, serta roda stereng yang turut diberikan jahitan benang putih.

    Tiada perubahan sistem mekanikal pada X70 SE ini, di mana ia masih menerima enjin 1.8 liter empat silinder turbo menghasilkan 184 PS (181 hp) dan tork maksima 300 Nm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, memacu hanya roda hadapan.

    GALERI: Brosur Proton X70 SE yang bocor

    GALERI: Proton X70 Exclusive Edition pasaran Brunei

     
     
  • MINI Anniversary Edition dikeluarkan sempena sambut ulang tahun Mini Cooper asal – 740 unit sahaja

    MINI Anniversary Edition dikeluarkan sempena sambut ulang tahun Mini Cooper asal – 740 unit sahaja

    Mini yang asal dilancarkan pada tahun 1959, dengan rekaannya dibuat oleh Alec Issigonis untuk British Motor Corporation (BMC). Selepas ia muncul, pemilik Cooper Car Company, John Cooper melihat model hatchback kecil ini mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai kereta prestasi, dan dari situ muncullah pula Mini Cooper, pada tahun 1961.

    Kerjasama antara dua pihak ini masih berterusan sehingga sekarang, dan anda boleh melihat nama John Cooper Works digunakan pada pelbagai model MINI yang menawarkan lebih prestasi berbanding versi biasa. Demi menyambut ulang tahun Mini Cooper yang ke-60, dan memberi penghormatan kepada Cooper yang telah meninggal dunia pada tahun 2000, MINI telah mengeluarkan model 3 Door edisi khas yang dipanggil sebagai Anniversary Edition.

    Ia ditawarkan untuk 3 Door biasa, Cooper S dan John Cooper Works, dan hanya akan dikeluarkan terhad 740 unit sahaja. Nombor ini dipilih sebagai memperingati nombor 74 yang pernah digunakan oleh Mini Cooper klasik dulu dalam perlumbaan.

    Pada waktu dulu, kereta lumba yang dibuat oleh Cooper boleh dikenali dengan warna hijau serta kemasan putih. Disebabkan itu, model Anniversary Edition ini diwarnakan British Racing Green, bersama bumbung, cermin sisi, pemegang pintu, serta kemasan keliling lampu yang berwarna putih.

    Di atas bonet juga terdapat dua jalur berwarna putih, dan kemudiannya ia diserikan lagi dengan kemasan merah pada bahagian gril. Melengkapkan penampilannya, ia dipasang dengan rim Circuit Spoke John Cooper Works 18 inci warna dua tona.

    Masuk ke dalam, pada panel sebelah pemandu, terdapat tanda tangan John, Mike dan Charlie Cooper, sementara pada tiang pintu terdapat lencana yang datang dengan tanda tangan John Cooper, serta tulisan tangan “1 daripada 740” serta tulisan “60 Years of Mini Cooper – The Unexpected Underdog.”

     
     
  • Smart tunjuk lagi teaser SUV elektrik konsep baharu

    Smart tunjuk lagi teaser SUV elektrik konsep baharu

    Smart telah mengeluarkan satu lagi teaser untuk model SUV elektrik konsep baru mereka, sebelum ia didedahkan secara rasmi di Munich Motor Show September nanti. Sementara teaser pertama Mei lalu menunjukkan bahagian depan dan sisi, teaser kedua ini pula menunjukkan bahagian atas.

    Kita boleh melihat bumbung kaca besar, dengan corak berbintik di atasnya, dan rel bumbung warna perak di tepinya. Penyambung antara bumbung dengan badan pula menggunakan warna emas, dan turun sehingga ke d-pillar.

    SUV elektrik ini adalah produk pertama hasil kerjasama Daimler dan Geely, dengan Geely mengendalikan pembangunan model masa hadapan manakala Mercedes-Benz pula terus melakukan bahagian rekaannya. Gaya jenama ini masih diketuai oleh Gordon Wagener, dan beliau pernah memberitahu Auto Express bahawa SUV ini sepatutnya kelihatan “cool, seksi dan matang, bukannya comel dan ceria.”

    Secara tidak langsung ini membawa makna rekaan unik kereta smart seperti Tridion Safety Cell dan lampu yang besar tidak akan digunakan. Peralihan kepada penggerak elektrik juga bermaksud akan ada ruang lebih luas. “Sama seperti model semasa smart sekarang, kereta era baru ini akan menawarkan nisbah panjang kepada ruang yang lebih baik berbanding kereta biasa,” kata Wagener.

    Model produksi nanti dijangka menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) Geely, dengan jarak roda antara 2,650 mm hingga 2,900 mm, dan disasarkan untuk bersaing dengan model seperti MINI Countryman.

     
     
  • Xpeng P5 cuba tarik pelanggan dengan harga murah – kereta elektrik penuh dijual bermula RM104k di China

    Xpeng P5 cuba tarik pelanggan dengan harga murah – kereta elektrik penuh dijual bermula RM104k di China

    China yang merupakan pasaran kenderaan elektrik paling besar di dunia melihatkan persaingan hebat pelbagai pengeluar yang mahu menarik pelanggan kepada produk mereka. Salah satunya adalah Xpeng, yang baru sahaja mengumumkan sedan P5 mereka akan dijual pada harga bermula 160,000 yuan (RM104k), lapor South China Morning Post.

    Xpeng dilihat cuba mengalihkan pandangan pelanggan daripada Tesla kerana pengumuman ini dibuat beberapa hari selepas Tesla mendedahkan Model Y jarak gerak lebih pendek, dengan harga lebih rendah, iaitu 276,000 yuan (RM180k) – 20% lebih rendah berbanding Model Y biasa.

    Xpeng yang sebenarnya mempunyai sokongan Alibaba Group Holding ini memberitahu akan terdapat enam varian untuk P5, dengan harga antara 160,000 yuan (RM104k) hingga 230,000 yuan (RM150k). Daripada semua varian itu, empat akan dipasang dengan teknologi canggih LiDAR.

    Xpeng P5 cuba tarik pelanggan dengan harga murah – kereta elektrik penuh dijual bermula RM104k di China

    Pengurus jualan Yiyou Auto Service, Tian Maowei berkata, struktur harga Xpeng “mensasarkan pelanggan yang luas dan nampak menarik bagi golongan berpendapatan sederhana yang mahu memiliki EV pintar. Pangkalan pelanggan EV harga bawah 200,000 yuan (RM130k) adalah besar di China.”

    Daripada semua kenderaan elektrik yang dijual pada tahun 2020 secara global, 45.3% (1.2 juta unit, 6.3% daripada semua kenderaan penumpang) datang daripada China, dan ini bersamaan dengan 3.7 kali ganda daripada jumlah EV yang dijual di AS. Bank Switzerland, UBS berkata jumlah ini meningkat 34% setiap tahun dan boleh mencecah 4.2 juta pada tahun 2025.

    Bagi Xpeng, pada tahun produksi pertama, iaitu 2018, mereka berjaya menyerahkan 29 unit kenderaan kepada pelanggan, sebelum menjual 12,729 unit pada tahun 2019 dan 27,041 pada tahun 2020. Pada suku pertama tahun 2021, ia menjual 13,340 buah EV.

     
     
  • Thierry Neuville terima saman RM12k sebab pandu laju di Rali Estonia – catat 190 km/j di kawasan 90km/j

    Thierry Neuville terima saman RM12k sebab pandu laju di Rali Estonia –  catat 190 km/j di kawasan 90km/j

    Thierry Neuville (BEL) Martijn Wydaeghe (BEL) of team Hyundai Shell Mobis are seen performing during the World Rally Championship Estonia in Tartu, Estonia on 18,July // Jaanus Ree/Red Bull Content Pool // SI202107180044 // Usage for editorial use only //

    Uniknya perlumbaan rali, ia tidak berlangsung dalam litar, tetapi ia dibuat secara ‘time attack’ dijalan awam yang dikenali sebagai laluan Special Stage (SS). Dan bagi bergerak dari service park ke SS atau dari satu SS ke SS yang lain, kereta-kereta rali ini perlu dipandu sendiri melalui jalan raya awam dan perlu mengikut peraturan trafik sama seperti kereta lain – sebab itulah kereta rali mempunyai nombor plat pendaftaran yang sah serta perlu membayar cukai jalan.

    Jadi ketika bergerak atas jalan raya awam, kereta-kereta rali ini tidak kebal dari undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan. Ketika berlangsungnya Rali Estonia, iaitu pusingan ketujuh Kejohanan Rali Dunia (WRC) hujung minggu lalu, pemandu Hyundai Motorsport, Thierry Neuville telah disaman setelah dikesan memandu jentera Hyundai i20 Coupe WRC melebihi had laju yang ditetapkan di jalan raya awam.

    Neuville dikesan mencatatkan kelajuan 190 km/j pada jalan raya dengan had laju maksima 90 km/j ketika bergerak dari SS ke-22 menuju ke garis permulaan SS ke-23 pada hari terakhir Rali Estonia 2021. Ini menyebabkan dia didenda sebanyak €2,500 (RM12k) dari FIA serta akan digantung satu perlumbaan untuk musim ini. FIA turut memberi amaran bahawa dia boleh digantung terus selepas ini sekiranya sekali lagi melakukan kesalahan yang sama dengan kelajuan melebihi 30% had maksima yang ditetapkan.

    Thierry Neuville terima saman RM12k sebab pandu laju di Rali Estonia –  catat 190 km/j di kawasan 90km/j

    Keputusan dari pegawai pengelola FIA tersebut menyatakan bahawa Neuville dan juruarahnya Martijn Wydaeghe memberitahu mereka lewat tiba di tempat kawalan masa “kerana menghadapi masalah teknikal pada kereta”.

    Dalam sidang media selepas berakhirnya Rali Estonia, Neuville memberitahu bahawa mereka menghadapi masalah berkenaan motor penghidup enjin, dan kerana mereka “sedang berentap untuk kedudukan podium mereka tidak dapat mengelak kesalahan memandu melebihi had laju tersebut kerana tidak mahu lewat tiba di TC23”.

    Dokumen pegawai pengelola tersebut turut menyebut bahawa Neuville dan Wydaeghe menyatakan “keadaan trafik ketika itu adalah lengang”.

    Walau bagaimanapun, FIA masih menganggap insiden berkenaan sebagai “pelanggaran yang serius” terhadap Kod Sukan Antarabangsa FIA 2021 dan juga Undang-undang Kesukanan WRC – secara spesifiknya Artikel 34.3.1 yang menyatakan bahawa “sepanjang berlangsungnya rali, kedua-dua ahli kru perlu patuh kepada undang-undang trafik nasional”.

    Thierry Neuville terima saman RM12k sebab pandu laju di Rali Estonia –  catat 190 km/j di kawasan 90km/j

    “Dalam kes ini kelajuan yang dicatatkan adalah melebihi 100% dari had laju, dan ketiadaan lalu lintas tidak boleh diambil kira bagi mendakwa bahawa kesalahan tersebut tidak dapat dielakkan,” tulis laporan tersebut lagi. Ia juga memetik kempen Action for Road Safety yang dijalankan oleh FIA dan menambah “keselamatan kekal menjadi cabaran utama dan FIA komited untuk melakukan segala yang boleh bagi memperbaiki sikap pemanduan”.

    Dalam insiden yang sama, Thierry Neuville turut dikenakan penalti 10-saat terhadap catatan masa keseluruhan mereka kerana tiba lambat di garis permulaan, namun tetap berjaya mencatatkan masa terpantas di SS ke-23 berkenaan.

    Rali Estonia dimenangi oleh Kalle Rovanpera yang baru berumur 20-tahun dari pasukan Toyota Gazoo Racing, yang juga mencatatkan rekod baharu sebagai pemenang WRC termuda dalam sejarah. Ia diikuti oleh pemandu Itali, Craig Breen dari pasukan Hyundai Motorsport di tempat kedua, manakala Neuville berjaya menduduki podium tempat ketiga.

    Thierry Neuville bukan satu-satunya pelumba yang dikenakan hukuman gantung satu perlumbaan untuk WRC musim ini. Rakan sepasukannya, Ott Tanak dikenakan hukuman yang sama selepas memandu keretanya dengan hanya tiga tayar semasa pulang ke service park di Rali Monte Carlo. Manakala pendahulu kejuaraan Sebastien Ogier juga diberikan hukuman serupa selepas terlibat dalam kemalangan dengan trafik awam dan meninggalkan kejadian tersebut secara tergesa-gesa ketika berlangsungnya Rali Croatia April lalu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025