Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota GR Yaris akan tiba Thailand bulan depan!

    Toyota GR Yaris akan tiba Thailand bulan depan!

    Kereta rali yang dihasilkan untuk produksi jalan raya, Toyota GR Yaris disahkan akan membuat kemunculan sulungnya di Thailand bulan hadapan. Menurut laporan Headlightmag, Yaris yang dihasilkan untuk asas jentera WRC tersebut akan didedahkan pada Thailand International Motor Expo 2020 di Bangkok, kemudian tempahannya akan mula di buka dan pelanggan akan menerima kereta mereka pada tahun hadapan.

    Tidak seperti Toyota 86 dan GR Supra yang dihasilkan bersama pengeluar lain, GR Yaris adalah kereta sport yang dibangunkan sepenuhnya oleh Toyota selepas 20-tahun. Model ini adalah jentera yang dibangunkan khas menerusi permintaan prinsipal pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team iaitu Tommi Makinen, bagi membolehkan mereka mendapat asas sebuah jentera rali yang lebih kompetitif pada masa hadapan.

    Walaupun ia dihasilkan dari platform TNGA-B yang sama dengan Yaris biasa pasaran Jepun dan Eropah, GR Yaris ini menampilkan lebih banyak ciri tersendiri yang tidak dikongsi dengan Yaris standard, dan memerlukan ia dipasang di fasiliti GR Factory khas terletak di di kilang Motomachi, Toyota City, Jepun.

    Toyota GR Yaris akan tiba Thailand bulan depan!

    GR Yaris mungkin berkongsi rekaan lampu hadapan dan belakang yang sama dengan Yaris standard, namun model yang jauh lebih berkuasa ini dihasilkan hanya dalam bentuk badan tiga-pintu yang jauh lebih kuat, berbanding lima pintu pada Yaris biasa.

    Dengan badan yang berbeza dan bespoke ini juga membolehkan bumbung GR Yaris ini dihasilkan lebih landai di belakang, 91 mm lebih rendah dari Yaris biasa bagi memberikan kesan aerodinamik lebih baik. Selain itu, GR Yaris juga menerima panel-panel badan yang lebih ringan dan kuat seperti bumbung yang diperbuat dari plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP) dan juga penutup bonet hadapan dan belakang aluminium.

    Jentera rali jalan raya ini ia dijana oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo menghasilkan kuasa 272 PS dan tork maksima 370 Nm – didakwa enjin produksi paling berkuasa dalam kelasnya buat masa sekarang. Ia digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan iMT, dan kuasa diagihkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda GR-Four, secara tidak langsung ini adalah model kesinambungan dari jentera-jentera Celica GT-Four Toyota sebelum ini.

    Toyota GR Yaris akan tiba Thailand bulan depan!

    Walaupun tidak mempunyai LSD tengah, GR Yaris dibekalkan dengan sistem Torque Vectoring dengan klac pelbagai lapisan, membolehkan agihan tork antara tayar hadapan dan belakang dapat diberikan menerusi tiga mod pemanduan berbeza; Normal dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; Sport 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; Track 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.

    Model paling tinggi GR Yaris RZ dan juga versi yang diberikan Circuit Pack di Eropah turut menerima LSD jenis torsen di gandar hadapan dan belakang. Berbanding model Yaris biasa yang hanya memacu roda hadapan dan disertakan hanya sistem suspensi torsion beam di belakang, gandar untuk sistem GR-Four ini pula bergandingan dengan sistem suspensi bebas dari jenis double wishbone.

    Malah sistem brek parkir elektronik pada Yaris biasa turut digantikan dengan brek tangan manual pada GR Yaris ini, dan Toyota turut menghasilkan sistem agar kuasa pada gandar belakang diputuskan ketika brek tersebut ditarik, memudahkan pemandu membuat aksi hand brake turn atau memulakan aksi drift.

    Toyota GR Yaris akan tiba Thailand bulan depan!

    Toyota GR Yaris ini didedahkan buat pertama kali ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2020 awal tahun ini, dan mula dijual di Jepun Jun lalu. Ia juga telah dilancarkan di Eropah minggu lalu, dan harga untuk model tertinggi dengan Circuit Pack pada pasaran Jerman adalah 36,740 euros (RM178,800) – lebih kurang dengan harga Honda Civic Type-R FK8 pada pasaran sama.

    Tempahan untuk model ini turut sudah dibuka untuk pasaran Australia pada September lalu, dan kesemua 1,000 unit untuk kumpulan pertama sudah pun habis ditempah hanya dalam masa enam hari.

    Selepas Thailand, adakah pasaran lain di ASEAN akan menerima GR Yaris ini? Kita di Malaysia mungkin turut akan menerimanya selepas ini – Julai lalu, pengedar Toyota di Malaysia iaitu UMW Toyota Motor (UMWT) sudah pun menaikkan satu hantaran di laman media sosial mereka, yang mungkin adalah teaser untuk GR Yaris tersebut.

    Tambahan pula, UMWT telah pun melantik berberapa pengedar untuk mengoperasikan GR Garage di Malaysia bagi menjual GR Supra yang telah dilancarkan pada tahun lalu. Fasiliti dah bersedia, memang tak mustahil GR Yaris akan dijual di sini. Harga? dengan trend yang ditunjukkan bahawa model ini dijual pada harga lebih kurang Civic Type R diseluruh dunia, ia mungkin akan dijual pada harga lebih RM300k di sini.

    GALERI: Toyota GR Yaris di Tokyo Auto Salon 2020

     
     
  • Royal Enfield Meteor 350 dilancar di India – enjin 349 cc suntikan bahan api , boleh paparkan navigasi

    Royal Enfield Meteor 350 dilancar di India – enjin 349 cc suntikan bahan api , boleh paparkan navigasi

    Royal Enfield telah memperkenalkan sebuah model baru dipanggil sebagai Meteor 350, dan ia dikeluarkan sebagai pengganti model Thunderbird 350 sebelum ini. Di India, ia ditawarkan dalam tiga versi iaitu Fireball berharga 175,000 rupee (RM9,780), Stellar 181,000 rupee (RM10,190) dan Supernova 190,000 rupee (RM10,611).

    Walaupun masih mengekalkan tetapan sama iaitu satu silinder 350 cc, enjin pada Meteor 350 ini adalah serba baru, di mana ia menggunakan sistem suntikan bahan api dan overhead cam untuk menggantikan pushrod pada enjin Thunderbird 350.

    Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 20.2 hp pada 6,100 rpm dan 27 Nm tork pada 4,000 rpm. Menurut Royal Enfield, gabungan enjin ini bersama transmisi lima kelajuan mampu menghasilkan tunggangan yang selesa dengan kurang gegaran dan boleh dikerah sehingga rpm lebih tinggi.

    Royal Enfield Meteor 350 dilancar di India – enjin 349 cc suntikan bahan api , boleh paparkan navigasi

    Kerangka model ini juga adalah serba baru, iaitu menggunakan jenis downtube dan model ini diperkenalkan sebagai sebuah model global yang bermaksud ia juga akan memasuki pasaran negara lain. Di hadapan menggunakan fork teleskopik manakala di belakang terdapat dua penyerap hentak.

    Satu ciri menarik pada Meteor 350 ini adalah panel meternya, walaupun berbentuk klasik, mempunyai satu paparan LCD khas yang boleh menunjukkan navigasi setelah sistemya disambungkan kepada telefon pintar melalui Bluetooth. Penunjuknya juga dijadikan lebih mudah dilihat dan tidak mengganggu penunggang.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada motosikal ini adalah termasuk brek cakera depan dan belakang, sistem ABS, rim 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, tangki bahan api 15 liter, tinggi tempat duduk 765 mm dan berat keseluruhan 191 kg.

     
     
  • PDRM tambah 39 Toyota Hilux 2.8 Black Edition dan 24 BMW R 1250 GS sebagai kegunaan unit K9, UTK

    PDRM tambah 39 Toyota Hilux 2.8 Black Edition dan 24 BMW R 1250 GS sebagai kegunaan unit K9, UTK

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah menerima sejumlah 39 unit trak pikap Toyota Hilux 2.8 Black Edition yang bakal digunakan oleh unit K9 dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ). Selain itu, PDRM turut menerima 24 unit motosikal BMW R 1250 GS yang bakal digunakan oleh Unit Tindakan Khas (UTK). Kenderaan-kenderaan tersebut adalah bagi tujuan penambahbaikan dan penugasan kedua-dua unit berkenaan.

    Kesemua kenderaan berkenaan telah pun tiba di depoh penyimpanan kenderaan PDRM baru-baru ini. Di mana penyerahan kenderaan berkenaan telah pun disaksikan oleh YDH CP Datuk Seri Mazlan Lazim, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog) IPP PDRM Bukit Aman, diiringi YDH SAC Adnan Ahmad, KPP Cawangan Pengangkutan JLog.

    Toyota Hilux 2.8 Black Edition itu dijanakan oleh enjin 1GD-FTV 2.8 liter empat-silinder turbodiesel, dengan hamburan kuasa 177 PS dan tork 450 Nm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

    PDRM tambah 39 Toyota Hilux 2.8 Black Edition dan 24 BMW R 1250 GS sebagai kegunaan unit K9, UTK

    Kenderaan untuk kegunaan PDRM itu telah pun diberikan modifikasi termasuklah bull bar hadapan dengan lampu LED, snorkel, winch, palang pencahayaan yang dipasang di bumbung dan juga pelekat rasmi PDRM serta jabatan.

    Sementara R 1250 GS juga diberikan beberapa ciri pelindungan untuk lampu utama, sementara badannya pula dilengkapi crash bar dan saddle bag. Motosikal BMW berkuasa tinggi ini menampilkan enjin 1,254 cc boxer twin dengan kuasa 136 PS dan tork 143 Nm, dipadankan bersama kotak gear enam-kelajuan.

     
     
  • Lynk & Co Cyan Racing sapu bersih gelaran juara dunia untuk pemandu dan pasukan bagi WTCR 2020!

    Lynk & Co Cyan Racing sapu bersih gelaran juara dunia untuk pemandu dan pasukan bagi WTCR 2020!

    Tahun lalu, Lynk & Co Cyan Racing bersama jentera Lynk & Co 03 TCR menempa sejarah apabila menjadi juara dunia untuk kategori pasukan hanya pada tahun pertama mereka berlumba dalam World Touring Car Cup (WTCR), serta mengangkat jenama automotif pertama dari China yang merangkul gelaran juara dunia dalam perlumbaan. Tahun ini pasukan berkenaan terus mendominasi WTCR dengan merangkul kedua-dua gelaran juara dunia untuk pemandu dan pasukan!

    Kemenangan ini disahkan pada pusingan terakhir WTCR musim ini yang berlangsung di Litar MotorLand Aragon, Sepanyol semalam. Pemandu Perancis, Yann Ehrlacher yang dinobatkan sebagai juara dunia WTCR tahun ini bukan sahaja mencatatkan sejarah buat Lynk & Co Cyan Racing, malah dia turut berjaya mencipta sejarah untuk diri sendiri dengan menjadi juara dunia paling muda untuk kejohanan itu dalam usia baru 24 tahun.

    Cyan Racing merombak pasukan dan pemandu mereka tahun ini di mana Ehrlacher yang berpasangan dengan Andy Priaulx tahun lalu ditukarkan ke pasukan Cyan Racing Lynk & Co untuk bergandingan dengan pakcik kandungnya sendiri iaitu Yvan Muller. Manakala juara WTCC 2017, Thed Bjork mengetuai pasukan Cyan Performance Lynk & Co, berpasangan dengan pemandu baharu dari Uruguay yang juga baru berusia 24 tahun, Santiago Urrutia.

    Strategi gandingan baharu ini ternyata menjadi untuk Lynk & Co Cyan Racing, dengan persefahaman yang begitu baik antara Ehrlacher dan Muller membolehkan pasangan anak saudara dan pakcik berkenaan berjaya naik ke podium dengan keputusan 1-2 sebanyak dua kali sepanjang musim 2020 ini.

    “Kami mencapai sesuatu yang sangat besar tahun ini, bersama dengan Yvan kerana dia yang mengajar saya semuanya dari kosong, saya tak pernah pandu go-kart, atau apa sahaja, dan tujuh-tahun lalu saya tak berada dalam kereta lumba. Sekarang kami juara dunia dan ia sukar untuk di percayai,” kata Ehrlacher setelah disahkan sebagai juara dunia semalam.

    Yann Ehrlacher mengutip mata keseluruhan 234 bagi dinobatkan sebagai “King of WTCR 2020”, diikuti juara dunia empat kali Yvan Muller di tempat kedua dengan 195 mata. Ini secara tidak langsung membolehkan Cyan Racing Lynk & Co sekali lagi mempertahankan gelaran juara dunia untuk kategori pasukan dengan pungutan keseluruhan 429 mata.

    Lynk & Co Cyan Racing sapu bersih gelaran juara dunia untuk pemandu dan pasukan bagi WTCR 2020!

    Pasukan ALL-INKL.COM Münnich Motorsport yang mempertaruhkan dua Honda Civic Type R TCR dipandu oleh Esteban Guerrieri dan Nestor Girolami berada di tempat kedua dengan ketinggalan 104 mata di belakang. Manakala pasukan kedua Lynk & Co yang di ketuai oleh Thed Bjork iaitu Cyan Performance Lynk & Co berada di tempat ketiga dengan 311 mata.

    Perlumbaan pusingan terakhir yang berlangsung di Aragon hujung minggu lalu juga menyajikan pelbagai aksi luar jangkaan. Santiago Urrutia tiba-tiba menunjukkan taringnya di perlumbaan terakhir musim ini dengan mencatatkan masa terpantas untuk sesi kelayakan pertama dan ketiga, serta mencatatkan masa kedua terpantas ketika sesi kelayakan kedua.

    Pada perlumbaan pertama di Aragon, pemandu Civic Type R TCR pasukan ALL-INKL.COM Münnich Motorsport, Esteban Guerrieri pula membuat kejutan – beliau muncul juara untuk Race 1 walaupun hanya bermula dari petak ke-16! Gelaran juara dunia untuk Enlarcher pula disahkan pada perlumbaan kedua semalam setelah Yvan Muller berjaya menamatkan Race 2 di tempat pertama.

    Lynk & Co Cyan Racing sapu bersih gelaran juara dunia untuk pemandu dan pasukan bagi WTCR 2020!

    Pada perlumbaan tersebut, kedudukan pungutan mata untuk Enlarcher sudah tidak tercabar setelah beliau menduduki tangga ke-enam untuk mengutip 10 mata, manakala pemandu kedua yang berpeluang mencabar kedudukannya iaitu Esteban Gurrieri gagal untuk menematkan perlumbaan kerana terlibat dalam kemalangan.

    Manakala pada perlumbaan ketiga, Santiago Urrutia sekali lagi membuat kejutan dengan berjaya mengungguli Race 3 sekaligus mencatatkan kemenangan sulungnya sepanjang berada dalam cabaran WTCR yang hanya bermula tahun ini. Yvan Muller juga berjaya mengesahkan gelaran naib juaranya pada perlumbaan terakhir ini setelah menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

    Muller yang bermula di petak ke-10 berjaya untuk berada di kedudukan ke-enam, kemudian menerima bantuan dari Thed Bjork yang ketika itu berada di kedudukan ke empat. Bjork berjaya memperlahankan Cupra Leon Competición dipandu oleh Mikel Azcona yang berada di belakangnya, membolehkan Muller memotong kedua-dua mereka.

    Dengan tindakan Thed Bjrok berkenaan, Yvan Muller berjaya mengutip 13 mata pada perlumbaan terakhir ini bagi bergelar naib juara dengan kelebihan hanya 1 mata berbanding Jean-Karl Vernay. Esteban Guerrieri yang sepatutnya menjadi pencabar utama Yann Enlarcher untuk gelaran juara dunia sebelum bermula pusingan terakhir ini hanya berjaya menamatkan musim 2020 pada kedudukan keempat dengan 188 mata.

    Bagi Hyundai, segalanya seakan tidak menjadi untuk perlumbaan bagi musim 2020 ini. Setelah bergelut dengan pelbagai masalah dengan penganjur berkenaan Balance of Performance (BoP) pada awal musim sehingga kedua-dua pasukan mereka iaitu BRC Hyundai N LUKOIL Squadra Corse dan Engstler Hyundai N Liqui Moly Racing Team bertindak memboikot dan menarik diri dari perlumbaan di pusingan kedua di Nürburgring, juara dunia tahun lalu iaitu Norbert Michelisz hanya berada di tempat ke-13 tahun ini.

    Perlumbaan terakhir di Sepanyol ini juga mencatatkan satu sejarah baru untuk pelumba Malaysia, Mitchell Cheah. Jika tahun lalu Mitchell hanya mendapat peluang sebagai peserta wildcard bagi pusingan terakhir yang berlangsung di Sepang, tahun ini Engstler Hyundai N Liqui Moly Racing Team memberikan tempat duduk sebenar untuknya bagi memburu mata pertama di WTCR.

    Peluang yang diberikan untuk Mitchell Cheah ini adalah berikutan kejayaannya pada menggondol tempat kedua dalam perlumbaan pusingan terakhir TCR Jerman musim ini yang berlangsung Red Bull Ring Austria bulan lalu. Mitchell nyata tidak mensia-siakan peluang yang diberikan kali ini apabila berjaya menduduki tempat ke 13 dalam Race 2 sekaligus mengutip 4 mata pertamanya dalam perlumbaan TCR kelas dunia berkenaan.

     
     
  • Toyota Vios 2020 ditunjukkan menerusi teaser di Facebook – bakal dilancarkan tidak lama lagi

    Toyota Vios 2020 ditunjukkan menerusi teaser di Facebook – bakal dilancarkan tidak lama lagi

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah pun menayangkan teaser bagi model Toyota Vios facelift 2020 menerusi laman Facebook, selepas dua minggu mempromosikan teaser bagi Yaris facelift. Kami menjangkakan ia bakal dilancarkan tidak lama lagi.

    Seperti Yaris yang dipertingkatkan, Vios bakal menerima wajah hadapan yang direka semula sepenuhnya, menampilkan gril yang lebih menyerlah dengan kepingan melintang, lampu utama reflektor LED tiga-bezel yang lebih nipis dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk-L (ini merupakan ciri standard bagi barisan Yaris, jadi Vios mungkin bakal menerima peningkatan yang sama), lampu kabus bulat dengan dalaman menegak berwarna hitam serta lip hadapan dengan dua tona.

    Walau bagaimana pun, tiada perincian lain didedahkan. Namun berdasarkan apa yang kami tahu dengan Yaris baharu, Vios facelift ini mungkin turut akan menerima skrin sesentuh tujuh-inci (dipertingkatkan berbanding paparan 6.8-inci sebelum ini), dilengkapi fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

    Lain-lain ciri yang akan diberikan termasuklah kawalan suhu automatik zon-tunggal, panel meter Optitron dengan paparan pelbagai-fungsi berwarna, cermin pandang belakang elektrokromik (baharu) serta alas pengecasan tanpa wayar yang ditempatkan di kotak konsol tengah.

    Secara mekanikalnya, Vios akan terus dijanakan oleh enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i empat-silinder NA yang boleh menghamburkan hingga 107 PS dan tork 140 Nm (sama seperti Yaris), dengan pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT dengan mod Shiftmatic tujuh-kelajuan. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 170 km/j, manakala penggunaan bahan api kombinasi dianggarkan sekitar 5.8 liter per 100 km.

    Dijangkakan ia juga bakal dilengkapi dengan Toyota Safety Sense, bagi model tertinggi, yang merangkumi sistem pra-pelanggaran (PCS, atau turut dikenali sebagai AEB, yang berfungsi dari 15 km/j ke atas), kepekaan ketibaan lorong (LDA), paparan pandangan panoramik 360-darjah 3D, VSC, kawalan bantuan mula mendaki, paparan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang serta perakam dashcam hadapan dan belakang.

    Jumlah beg udara juga dijangka sama seperti sebelum ini iaitu tujuh unit (dua di hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu) bakal ditawarkan untuk semua varian. Harga bagi unit pemasangan tempatan (CKD) masih belum diumumkan, tetapi jika mengikut Yaris, dijangka angkanya ada sedikit peningkatan berbanding sebelum ini.

    Maklumat lebih terperinci bagi Vios baharu ini akan dipaparkan sekiranya ada perkembangan lanjut. Jadi, nantikannya bersama kami.

    GALERI: Toyota Yaris facelift 2020

     
     
  • PLUS umum surau dibuka semula di R&R, plaza tol, hentian sebelah di lebuhrayanya kecuali di N.Sembilan

    PLUS umum surau dibuka semula di R&R, plaza tol, hentian sebelah di lebuhrayanya kecuali di N.Sembilan

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan semua surau di di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol di lebuh raya kendaliannya telah dibuka semula bermula hari ini. Ia adalah selari dengan keputusan Jabatan Agama Islam di kawasan dan negeri Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

    Menurut PLUS, pengguna lebuh raya kini dibenarkan untuk menunaikan solat di surau-surau yang terletak di R&R, hentian sebelah dan plaza tol di negeri-negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Johor. Begitu juga di Terengganu, surau-surau yang terletak di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) seperti di R&R Perasing, Paka dan Ajil serta di hentian sebelah dan plaza tol lebuh raya tersebut turut dibuka semula.

    Walau bagaimanapun, surau-surau yang terletak di R&R, hentian sebelah dan plaza tol di Negeri Sembilan masih lagi ditutup kepada orang ramai sehingga diberitahu kelak.

    “Sehubungan itu, PLUS menasihatkan pelanggan lebuh raya yang berhenti untuk menunaikan solat di kawasan-kawasan tersebut agar terus patuh kepada SOP keselamatan seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan keselamatan semua pihak,” ujar CEO PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi.

    PLUS umum surau dibuka semula di R&R, plaza tol, hentian sebelah di lebuhrayanya kecuali di N.Sembilan

    Bergantung pada luas dan ukuran setiap surau, poster pemberitahuan mengenai had jumlah pengguna surau turut diletakkan untuk rujukan pengguna. Pendaftaran diri juga diperlukan menggunakan Aplikasi MySejahtera atau secara manual untuk tujuan pengesanan kontak sebelum menggunakan kemudahan tersebut.

    “Pelanggan juga dinasihatkan supaya membawa kelengkapan untuk bersolat seperti telekung dan sejadah sendiri untuk memastikan kebersihan diri terjaga ketika bersolat kerana kelengkapan tersebut tidak disediakan buat waktu ini, Penanda penjarakan fizikal turut disediakan di setiap ruangan solat di surau serta di kawasan mengambil wuduk untuk memastikan jarak fizikal satu meter,” tambahnya.

    Dalam masa yang sama, PLUS juga turut menasihatkan agar orang ramai segera meninggalkan surau setelah menunaikan solat untuk mengurangkan kontak fizikal di lokasi.

    “PLUS turut memberi penekanan terhadap kebersihan di semua premis lebuh raya seperti di seluruh kawasan R&R, hentian sebelah dan kemudahan awam yang lain. Malah pihak kami turut memastikan semua surau dan kemudahan awam lain sentiasa disanitasi secara berjadual. Oleh itu, orang ramai diminta untuk turut mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan diri sendiri, selari dengan slogan Kerajaan, #Kita Jaga Kita,” ujar Zakaria lagi.

     
     
  • Tiga penumpang serumah berada dalam sebuah kenderaan kini dibenarkan sepanjang tempoh PKPB

    Tiga penumpang serumah berada dalam sebuah kenderaan kini dibenarkan sepanjang tempoh PKPB

    Menteri Kanan (kluster keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob telah mengumumkan, kerajaan telah bersetuju untuk memberikan kelonggaran untuk tiga orang yang tinggal serumah berada dalam sebuah kenderaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Prosedur operasi standard (SOP) baharu yang diumumkan ini telah mengetepikan pematuhan terdahulu iaitu hanya dua orang boleh berada dalam satu kereta, dengan kedua-duanya dari satu isi rumah yang sama.

    Dalam masa yang sama, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengulangi semula kenyataan tempoh hari, tidak ada sebarang larangan atau syarat ditetapkan tentang di bahagian mana penumpang itu patut duduk.

    Ismail sebelum ini pernah berkata, “Tidak ada sebarang peraturan tentang di mana penumpang harus duduk, dan tidak semestinya mereka duduk di kerusi belakang. Anda boleh duduk di bahagian mana saja dalam kereta. Kalau nak duduk depan, dipersilakan. Anda datang dari isi rumah yang sama, jadi tidak perlulah gunakan pelitup muka di dalam kereta tersebut,” ujarnya.

     
     
  • Honda CRF250L dan CRF250 Rally 2021 didedah di Jepun – seluruh bahagian dirombak, lebih ringan

    Honda CRF250L dan CRF250 Rally 2021 didedah di Jepun – seluruh bahagian dirombak, lebih ringan

    Honda telah memberikan pembaharuan menyeluruh kepada model pelbagai guna CRF250L dan juga CRF250 Rally. Dua model ini menggunakan asas sama, yang dicipta untuk kegunaan atas jalan biasa dan offroad, tetapi versi Rally mendapat penampilan yang lebih sporty dan juga kelebihan beberapa kelengkapan lain.

    Bagi model tahun 2021 ini, enjin satu silinder DOHC 249 cc padanya telah ditala semula dengan perubahan pada bahagian camshaft intake, penapis udara, ekzos serta pemasaan pengapian (ignition timing). Kuasa walaubagaimanapun masih lagi sama iaitu 24 PS pada 9,000 rpm dan 23 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Transmisi enam kelajuan pada dua model ini turut diubah dengan nisbah gear 1 hingga 5 yang lebih pendek serta gear 6 yang lebih panjang. Kemudiannya, ia dilengkapi dengan klac slip & assist baru yang memberikan operasi 20% lebih ringan dan mengurangkan loncatan tayar apabila mengurangkan kelajuan dengan pantas.

    Kerangka model ini juga adalah baru, di mana ia direka untuk mendapatkan keseimbangan kekuatan dan pengurangan berat yang lebih baik. Bagi CRF250L, beratnya sekarang adalah 140 kg manakala CRF250 Rally pula 152 kg (masing-masing lebih ringan 4 kg dan 5 kg berbanding sebelum ini).

    Panel meter masih lagi menggunakan LCD tetapi bentuknya kini lebih petak dan dilengkapi dengan tulisan yang lebih besar serta tambahan informasi kedudukan gear serta penggunaan bahan api. Di bahagian tepi meter ini terdapat satu butang khas untuk menutup fungsi brek ABS belakang sekiranya penunggang mahu memasuki kawasan offroad.

    Perubahan lain yang diberikan khas untuk CRF250L adalah termasuk tempat duduk lebih kurus, sudut pemegang yang lebih selesa, peletak kaki diletakkan sedikit ke hadapan serta lampu utama dan penunjuk arah LED. Tinggi tempat duduk CRF250L adalah 830 mm dan jarak dari tanah 245 mm.

    Honda CRF250L dan CRF250 Rally 2021 didedah di Jepun – seluruh bahagian dirombak, lebih ringan

    Untuk CRF250 Rally, perubahan khas untuknya, selain panel badan yang berbeza adalah termasuk tangki bahan api 12 liter (dua liter lebih besar berbanding sebelum ini), pemegang untuk kedudukan lebih tegak dan kurang bergegar, tempat duduk lebih lebar dan pelapik getah pada pemijak kaki untuk memberi lebih keselesaan. Tinggi tempat duduk model ini adalah 830 mm dan jarak dari tanah adalah 220 mm.

    Selain CRF250L dan CRF250 Rally versi biasa, Honda turut memperkenalkan versi S untuk kedua-dua model ini di mana kedudukan tempat duduk serta jarak dari tanah adalah lebih tinggi, iaitu 880 mm dan 285 mm untuk CRF250L, dan 885 mm dan 275 mm untuk CRF250 Rally.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada dua motosikal ini adalah fork teleskopik, brek cakera dan rim 21 inci di hadapan, manakala di belakang terdapat monoshock berserta ProLink, brek cakera serta rim 18 inci. Tangki bahan api CRF250L berkapasiti 7.8 liter.

    GALERI: Honda CRF250L 2021

    GALERI: Honda CRF250 Rally 2021

     
     
  • Harga minyak 14-20 Nov – Petrol naik sebanyak satu sen seliter, diesel naik hingga enam sen seliter

    Harga minyak 14-20 Nov – Petrol naik sebanyak satu sen seliter, diesel naik hingga enam sen seliter

    Jika minggu sebelum ini, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama negara dilaporkan turun, namun bagi minggu baharu bertarikh 14 hingga 20 November 2020, kesemua harganya mengalami peningkatan.

    Bagi petrol, ia dilaporkan naik masing-masing sebanyak satu sen seliter. Ini bermakna harga runcit bagi petrol RON 97 akan menjadi RM1.92 seliter berbanding RM1.91 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala RON 95 pula, daripada RM1.61 seliter, bakal menjadi RM1.62 seliter.

    Bagi diesel pula, gred Euro 2M pula bakal menjadi RM1.74 seliter dan Euro 5 pula berharga RM1.84 seliter. Kesemua harga baharu ini akan efektif mulai 12.01 tengah malam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 20 November 2020.

     
     
  • BMW 4 Series G22 kini di Thailand — varian tunggal 430i M Sport dengan 258 PS, 400 Nm; dari RM542k

    BMW 4 Series G22 kini di Thailand — varian tunggal 430i M Sport dengan 258 PS, 400 Nm; dari RM542k

    BMW 4 Series G22, yang pertama kali diperkenalkan untuk pasaran global pada bulan Jun lalu, kini sudah dilancarkan di Thailand. Coupe terbaru ini akan ditawarkan hanya dalam satu varian, iaitu 430i M Sport, yang dijual pada harga 3.969 juta baht (RM542,313).

    430i berkenaan menggunakan enjin B48 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol yang menghasilkan 258 PS (255 hp) dari 5,000 rpm hingga 6,500 rpm dan 400 Nm tork dari 1,550 rpm hingga 4,400 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi Steptronic Sport lapan-kelajuan. Coupe ini boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat dengan kelajuan maksimum 250 km/j.

    BMW 4 Series G22 kini di Thailand — varian tunggal 430i M Sport dengan 258 PS, 400 Nm; dari RM542k

    Pakej luaran M Sport ditawarkan sebagai standard, merangkumi bampar depan yang lebih sporty dan aerodinamik. Di belakang, dua muncung ekzos disepadukan pada bamparnya, dengan elemen ala diffuser, yang secara umumnya meminjam pendekatan rekaan yang dilihat di depan.

    Pakej berkenaan turut disertakan dengan suspensi dan brek M Sport, sementara kelengkapan lain termasuk rim 19-inci aloi M jejari berkembar, lampu utama LED adaptif, bumbung kuasa elektrik, tingkat kemasan berkilat BMW Individual Shadow Line dan lampu kabus LED.

    Di dalam, 430i datang dengan stereng balutan kulit M Sport, papan pemuka kulit Sensated dengan kemasan Aluminium Tetragon, pelapik bumbung antracite black serta kerusi kemasan kulit Vernesca. Selain itu, kereta ini juga ada kawalan pendingin hawa dua-zon, kerusi depan laras elektrik, lampu suasana, BMW ConnectedDrive, pengecas telefon tanpa wayar, head-up display dan sistem BMW Live Cockpit.

    BMW 4 Series G22 kini di Thailand — varian tunggal 430i M Sport dengan 258 PS, 400 Nm; dari RM542k

    Kelengkapan keselamatan standard dan bantuan pemandu termasuk di dalam pakej Driving Assistant ialah amaran menukar lorong, tinjauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, brek kecemasan autonomous, penghindar perlanggaran belakang dan penegsanan papan tanda trafik. Ciri lain termasuk juga kawalan melayar adaptif, bantuan parkir, enam beg udara serta sistem pasif yang lain.

    Menurut Headlightmag, 430i akan ditawarkan dalam empat warna; Black Sapphire, Dravit Grey, dan Mineral White akan hadir dengan kulit merah Tacora, sementara Arctic Race Blue dengan kulit warna Cognac.

     
     
  • BMW ingin teruskan kerjasama dengan Toyota untuk tempoh masa lebih dari satu dekad akan datang

    BMW ingin teruskan kerjasama dengan Toyota untuk tempoh masa lebih dari satu dekad akan datang

    Jenama automotif dari Jerman, BMW menyatakan mereka berminat untuk meneruskan kerjasama sedia ada dengan gergasi automotif dari Jepun, Toyota yang sudahpun bermula sejak 2011, lapor Reuters.

    Menurut CEO BMW, Oliver Zipse, beliau berharap agar kerjasama antara kedua-dua syarikat ini akan terus berjalan sehingga melangkaui 2025. “Pada dekad hadapan, kami akan berusaha untuk mengukuhkan ikatan ini,” kata Zipse ketika sesi soal jawab berkenaan strategi syarikatnya semasa berlangsungnya Automobilwoche Kongress semalam.

    Kerjasama ini bermula dengan minat untuk meneroka pembangunan kenderaan mesra alam dan juga teknolgi berkaitan seperti sistem bahan api sel dan juga penyelidikan terhadap bateri lithium-ion, serta berkongsi enjin diesel di Eropah.

    Selepas ini, model janaan bahan api sel BMW i Hydrogen NEXT akan mula masuk ke produksi pada tahun 2022, di mana pembangunannya dibuat bersama Toyota. Antara projek yang sangat diketahui umum antara kedua-dua jenama ini sudah tentulah Toyota GR Supra A90 dan juga BMW Z4 G29 yang berkongsi platform dan enjin yang sama.

    Walau bagaimanapun, kerjasama untuk kereta sport sebegini mungkin tidak akan diteruskan selepas ini kerana BMW turut sedang mengurangkan portfolio barisan modelnya. “Coupe, convertible dan roadster, kami akan lihat apa yang akan ditinggalkan,” kata Zipse

     
     
  • Tiga stesen MRT ditutup hujung minggu ini untuk kerja migrasi Laluan Putrajaya; bas percuma disediakan

    Tiga stesen MRT ditutup hujung minggu ini untuk kerja migrasi Laluan Putrajaya; bas percuma disediakan

    Makluman untuk penumpang MRT yang terlibat, pada hujung minggu ini iaitu 14-15 November 2020, terdapat tiga stesen MRT bakal ditutup bagi memberikan laluan kerja-kerja migrasi untuk Laluan MRT Putrajaya.

    Stesen yang terlibat ialah Stesen Kwasa Damansara, Kampung selamat dan Sg Buloh, di mana ia adalah tiga perhentian terakhir (atau terawal) bagi Laluan MRT Kajang. Untuk stesen Kwasa Damansara, ruang parkir juga akan ditutup. Walau bagaimana pun ruang parkir bertingkat di Stesen Sg Buloh dibuka seperti biasa.

    Sepanjang penutupan sementara ini, perkhidmatan MRT akan berakhir di Stesen Kwasa Sentral. Perkhidmatan bas perantara secara percuma akan digerakkan untuk ke Stesen Sg Buloh, dan dalam perjalanan akan berhenti di Kg Selamat. Kekerapan bas perantaran tersebut adalah setiap 15 minit.

    Laluan MRT Putrajaya, atau sebelum ini dikenali sebagai Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) telah pun mencapai 80% siap. Fasa pertama untuk laluan berkenaan adalah dari Kwasa Damansara ke stesen Kampung Batu dijangka boleh beroperasi pada pertengahan 2021, dan laluan selebihnya direncana boleh dibuka pada tahun 2022.

    Laluan MRT Putrajaya merangkumi jarak 52.2 km keseluruhannya – dengan 38.7 km laluan bertingkat dan 13.5 km laluan bawah tanah. Fasa pertama bagi laluan ini yang menelan belanja RM32 bilion dijangka akan mula beroperasi pada suku ketiga 2021 sebelum selesai sepenuhnya pada 2022. MRT pertama dengan laluan Sg Buloh-Kajang telah beroperasi sejak Julai 2017.

     
     
  • Mercedes-Benz GLA 200 Dynamic H247 dilancarkan di Thailand — 1.33 liter turbo, harga dari RM328k

    Mercedes-Benz GLA 200 Dynamic H247 dilancarkan di Thailand — 1.33 liter turbo, harga dari RM328k

    Mercedes-Benz GLA generasi kedua telah diperkenalkan secara rasmi di Thailand, dan ditawarkan hanya dalam satu varian, GLA 200 AMG Dynamic, pada harga 2.399 juta baht (RM327,634). GLA H247 pertama kali membuat penampilan globalnya Disember tahun lalu, ia disasarkan untuk menjadi lebih sporty dan menjadi alternatif yang lebih memenuhi aspek gaya hidup kepada GLB.

    Bagi pasaran Thailand, GLA 200 menggunakan enjin yang sama dengan GLB 200 Progressive yang dijual di sini. Ia dilengkapi unit M282 1.33 liter turbocas empat silinder yang menghasilkan sebanyak 163 PS (161 hp) pada 5,500 rpm dan 250 Nm tork dari 1,620 hingga 4,000 rpm.

    Enjin berkenaan digandingkan bersama transmisi klac berkembar 7G-DCT tujuh-kelajuan yang memacu tayar depan, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 8.7 saat dan laju maksimum pada 210 km/j. SUV ini juga menggunakan suspensi direndahkan serta lengkap dengan sistem Dynamic Select, menyediakan beberapa pilihan mod pemanduan.

    Mercedes-Benz GLA 200 Dynamic H247 dilancarkan di Thailand — 1.33 liter turbo, harga dari RM328k

    Di luar, SUV ini menerima pakej penggayaan AMG, dengan bampar yang lebih agresif, menempatkan bukaan udara hiasan yang lebih besar, tanpa penampan bampar dan diserikan dengan “diamond grille”. Di belakang, muncung ekzos yang lebih kecil menghiasinya. Lampu utama LED High Performance digunakan, serta rim 19-inci AMG lima-jejari dan landasan pada bumbung.

    Di dalam, kemasan dari pakej AMG dikenakan pada SUV ini. Termasuklah kulit Artico dan gentian mikro Dinamica yang membaluti kerusi dan bahagian panel dalaman, dengan benang kontras merah. Lain-lain kelengkapan termasuk kerusi sport, stereng balutan kulit Nappa, kemasan karbon, pedal sport AMG, pelapik kaki AMG, kawalan pendingin hawa dua-zon Thermatic dan sistem lampu suasana.

    Mercedes-Benz User Experience (MBUX) ditawarkan secara standard, dan ia terdiri daripada touchpad, butang stereng Touch Control, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, berserta dua paparan 10.25-inci – satu bertindak sebagai kluster instrumen digital, dan satu lagi sebagai skrin sentuh untuk sistem infotainmen.

    Mercedes-Benz GLA 200 Dynamic H247 dilancarkan di Thailand — 1.33 liter turbo, harga dari RM328k

    Dari sudut keselamatan, GLA 200 ini datang dengan tujuh beg udara, serta ciri keselamatan pasif yang lain seperti ESP, ABS, Active Brake Assist dan lampu brek adaptif. Ciri bantuan pemandu juga ada, seperti kawalan melayar Speedtronic, Parktronic, bantuan perhatian dan peninjau tekanan tayar. Tetapi, ciri seperti brek kecemasan autonomous dan sistem keselamatan aktif yang lain tidak disertakan.

    Di Malaysia, GLA yang ada masih dari generasi pertama (X156), dengan empat varian ditawarkan – GLA 200 Style, GLA 200 Night Edition, GLA 250 4Matic dan AMG GLA 45 4Matic.

     
     
  • Ducati Scrambler Night Shift sertai barisan model 2021

    Ducati Scrambler Night Shift sertai barisan model 2021

    Ducati telah menambah satu lagi varian Scrambler 803 untuk model keluaran tahun 2021, dipanggil sebagai NightShift. Perbezaan paling jelas adalah ia menggunakan warna serba gelap, dengan panel badan serta tangki yang dicat warna Aviator Grey.

    Selain daripada itu, Scrambler NightShift juga datang dengan beberapa kelengkapan lain yang menjadikannya unik berbanding varian lain. Ini termasuk tempat duduk jenis rata yang boleh dinaiki dua orang, pemegang lebih lurus yang diambil daripada Scrambler 1100 Sport Pro, cermin sisi cafe racer, lampu siang LED, rim spoked 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, plet tepi daripada Full Throttle serta penunjuk arah LED.

    Kelengkapan asas lain sama sahaja seperti Scrambler 803 yang lain, termasuklah enjin L-Twin 803 cc serta padanan transmisi enam kelajuan yang mampu menghasilkan kuasa 73 hp pada 8,250 rpm dan 66.2 Nm tork pada 5,750 rpm. Enjin ini juga menepati tahap emisi Euro 5.

    Suspensi model ini menggunakan unit daripada Showa, yang terdiri daripada fork 41 mm di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Brek adalah unit cakera 330 mm dengan angkup empat piston di hadapan, 245 mm dengan angkup satu piston di belakang, dan ia dilengkapi dengan sistem Cornering ABS.

    Melihat kepada harga di pasaran Eropah, Scrambler Nightshift dijual pada harga yang hampir dengan Scrambler Full Throttle, iaitu 10,990 euro (RM53,597). Ini sekaligus meletakkan ia lebih murah berbanding Scrambler Cafe Racer dan Desert Sled tetapi lebih mahal berbanding Scrambler Icon dan Icon Dark.

     
     
  • Petron tawar pulangan tunai sehingga RM240k jika guna aplikasi Boost di Watson, sah hingga 31 Dis

    Petron tawar pulangan tunai sehingga RM240k jika guna aplikasi Boost di Watson, sah hingga 31 Dis

    Berita baik untuk pelanggan Petron yang juga suka membeli-belah di Watson. Petron kini menawarkan pulangan tunai sebanyak RM3 sekiranya anda menggunakan aplikasi e-wallet Boost ketika membuat pembayaran di Watson.

    Sebanyak 80,000 pulangan tunai dengan nilai keseluruhan mencecah RM240,000 bakal diamounkan menerusi Boost sepanjang durasi promosi yang bermula 1 November hingga 31 Disember ini. Di mana setiap pelanggan dibenarkan untuk menggunakan maksimum empat penebusan pulangan tunai dari Petron dan Watson dengan menggunakan aplikasi Boost.

    Pelanggan hanya perlu berbelanja minimum RM30 bagi satu pembelian dengan menggunakan Boost di mana-mana cawangan Watsons yang mengambil bahagian untuk mendapatkan pulangan tunai sebanyak RM3 yang boleh ditebus ketika membeli produk minyak dari Petron.

    Petron tawar pulangan tunai sehingga RM240k jika guna aplikasi Boost di Watson, sah hingga 31 Dis

    Bagi cara yang sama juga, para pelanggan bakal menerima pulangan tunai RM3 daripada Watson setiap kali berbelanja sebanyak RM30 dalam satu resit di stesen Petron yang mengambil bahagian.

    Menurut Ketua Peruncitan dan Perniagaan Komersil Petron Malaysia, Choong Kum Choy, “Kerjasama dengan Boost dan Watsons ini adalah untuk memberi penghargaan buat para pelanggan kami dengan tawaran lebih menarik ketika mengisi minyak di Petron. Di samping itu, mereka juga terus diberikan dua mata ganjaran PMiles untuk setiap liter bahan api yang mereka beli melalui program kesetiaan kami.”

    Promosi ini telah pun bermula sejak 1 November lalu dan akan berakhir pada 31 Disember 2020. Walau bagaimana pun, pulangan tunai terbabit perlulah digunakan sebelum 14 Januari 2021.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025