Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PKPB Selangor, KL, Putrajaya – PDRM laksana sembilan sekatan jalan raya di Lebuhraya PLUS

    PKPB Selangor, KL, Putrajaya – PDRM laksana sembilan sekatan jalan raya di Lebuhraya PLUS

    Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang sedang dilaksanakan sehingga 27 Oktober 2020, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melaksanakan sembilan sekatan jalan raya di Lebuhraya PLUS.

    Menurut PLUS, buat masa ini ini, sembilan lokasi sekatan jalan raya itu melibatkan beberapa laluan kritikal di lebuhraya PLUS iaitu Plaza Tol Jalan Duta, Setia Alam, Shah Alam, Putra Mahkota, Sungai Buaya, Bukit Tagar, Bukit Beruntung, Lembah Beringin dan Seafield.

    Justeru, PLUS menasihatkan orang ramai supaya terus kekal berada di rumah bagi mengawal penularan wabak Covid-19 bertepatan dengan semangat #KitaJagaKita, yang membolehkan petugas barisan hadapan menjalankan tugas mereka dengan selamat.

     
     
  • Perodua jual 25,035 unit pada Sept 2020, catat jualan bulanan tertinggi sepanjang 26 tahun penubuhannya

    Perodua jual 25,035 unit pada Sept 2020, catat jualan bulanan tertinggi sepanjang 26 tahun penubuhannya

    Pengeluar kereta nasional Perodua telah merekodkan jualan paling tinggi dalam sejarah 26 tahun penubuhannya, dengan 25,035 unit terjual pada September 2020, iaitu meningkat sebanyak 10.8% berbanding 22,604 unit yang dijual pada Ogos lalu.

    Dicampurkan dengan jualan pada Julai sebanyak 23,203 unit, jumlah keseluruhan jualan bagi suku ketiga 2020 mencecah 70,842 unit, meningkat sebanyak 13,870 unit (atau 24.3%) berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019. Dalam sembilan bulan pertama tahun ini, Perodua telah menjual sebanyak 145,012 unit, yang mewakili 69.1% untuk sasaran jualan sebanyak 210,000 unit untuk tahun ini. Angka prestasi jualan ini telah diumumkan oleh UMW Holdings, yang mempunyai 38% kepentingan di dalam Perodua.

    Pada awal 2020, Perodua telah menetapkan sasaran jualan sebanyak 240,000 unit untuk tahun ini, tetapi telah membuat semakan semula memandangkan negara turut dilanda wabak pandemik Covid-19. Pada Ogos lalu, Presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad telah mendedahkan syarikat ini menjangka akan mampu menjual hampir 210,000 unit untuk tahun ini.

    Walau bagaimana pun, difahamkan 25,000 unit kenderaan adalah jumlah maksimum yang Perodua mampu produksi setiap bulan. Pada Ogos lalu, Zainal mendedahkan pelan pengeluaran bagi Ogos hingga Disember iaitu dianggarkan pemasangan sekitar 25,000 unit mampu dikeluarkan dalam sebulan, iaitu hampir mencapai 98% hingga 99% bagi kapasiti syarikat ini.

    Beliau menambah permintaan yang signifikan ini telah membawa kepada tempoh waktu menunggu yang lebih lama iaitu lebih daripada dua bulan (tempoh pada Ogos). Walau bagaimana pun Perodua sentiasa berusaha keras untuk memenuhi permintaan tersebut.

     
     
  • SPYSHOT: Toyota GR Yaris lebih liar akan diperkenal?

    SPYSHOT: Toyota GR Yaris lebih liar akan diperkenal?

    Apa lagi yang tak cukup dengan Toyota GR Yaris? Ia adalah sebuah hot-hatch kompak yang dihasilkan dengan gelaran juara WRC sebagai sasaran, menampilkan badan berbeza yang lebih tegap dari model biasa, dijana oleh enjin berkuasa 272 PS/370 Nm, dan kuasa dihantar ke kesemua roda. Tapi nampaknya Toyota masih melihat ada lagi ruang untuk menghasilkan GR Yaris yang lebih liar.

    Ini adalah set foto yang berjaya dirakan oleh jurugambar intipan kami di Eropah – sebuah GR Yaris dilihat sedang diuji oleh Toyota di Nürburgring menampilkan spoiler belakang bertingkat yang lebih tinggi, liang udara yang besar pada fender hadapan, splitter udara tambahan pada bampar hadapan serta set rim yang disesuaikan untuk kit aero lebih agresif tersebut.

    Dengan perincian aerodinamik yang lebih serius ini, tidak mustahil prototaip yang diuji tersebut diberikan enjin yang lebih berkuasa dari GR Yaris sedia ada. Tapi, apa projek apa sebenarnya yang dirancang oleh Toyota ini?

    SPYSHOT: Toyota GR Yaris lebih liar akan diperkenal?

    Kalau anda ingat, sebelum munculnya GR Yaris, Toyota sebelum itu sudah pun memperkenalkan model edisi terhad Yaris Gazoo Racing Meister of Nürburgring (GRMN), yang dihasilkan dari Yaris generasi sebelumnya. Tidak mustahil, ini adalah kesinambungan dari model berkenaan.

    Walau bagaimanapun, dengan tanpa sebarang pelekat penyamaran dipadankan, ini juga mungkin prototaip untuk sebuah jentera lumba sebenar. Buat masa sekarang, Toyota aktif berlumba dalam perlumbaan Nürburgring 24-jam, dan ini mungkin model pembangunan untuk kereta lumba yang bakal mereka gunakan dalam perlumbaan tersebut pada tahun hadapan.

    Apa pun yang dibuat, kami sebagai peminat sukan permotoran gembira kerana Toyota adalah salah satu jenama yang masih lagi aktif dalam menghasilkan kereta berprestasi jalan raya seiring dengan perlumbaan sebenar. Toyota GR Yaris ini juga berkemungkinan besar akan di bawa oleh UMW Toyota ke pasaran Malaysia dalam masa terdekat.

     
     
  • PKPB di Selangor: Polis PJ buka semula tiga jalan di Kota Damansara selepas ditutup hampir 24 jam

    PKPB di Selangor: Polis PJ buka semula tiga jalan di Kota Damansara selepas ditutup  hampir 24 jam

    Tak sampai 24 jam mengumumkan tiga jalan di Kota Damansara ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 27 Okt ini, polis daerah Petaling Jaya memaklumkan jalan terbabit dibuka semula untuk laluan umum.

    Jalan-jalan yang terlibat ialah Persiaran Mahogani (Seksyen 9), Persiaran Jati (Seksyen 8) and Persiaran Sungai Buloh.

    Dalam kenyataan yang disiarkan menerusi Facebook rasminya, Ketua Polis daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faizal berkata, jalan-jalan terbabit dibuka semula bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengatur gerak semula petugas-petugas frontliner untuk penugasan sekatan jalan raya dan penugasan mobile di kawasan tumpuan ramai seperti pasaraya, pusat-pusat komersil dan riadah.

    Di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan khas untuk PKPB, pergerakan di antara daerah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB. Mana-mana pekerja yang perlu melakukan pergerakan antara daerah, perlu menunjukkan pas kerja atau mendapatkan surat kebenaran dari majikan masing-masing. Bagi yang ingin melakukan perjalanan antara daerah bukan atas alasan kerja, perlulah mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak polis terlebih dahulu.

     
     
  • Hyundai siar teaser jentera rali i20 N R5 – senjata baru untuk program perlumbaan pelanggan dan WRC2

    Nampaknya pandemik Covid-19 yang masih lagi belum reda seolah-olah tidak memberi sebarang kesan kepada sayap perlumbaan Hyundai – mereka telah menyiarkan dua teaser untuk model prestasi tinggi jalan raya yang bakal didedahkan tak lama lagi iaitu sedan Hyundai Elantra N dan i20 N serta mendedahkan jentera perlumbaan Elantra N TCR baharu, dan kini satu lagi teaser kereta lumba disiarkan!

    Tiada langsung perincian diberikan pada video yang baharu sahaja disiarkan ini kecuali tarikh pendedahannya iaitu pada 21 Oktober 2020 nanti. Namun menerusi bentuk badan serta lampu hadapan dan belakang, ia diasaskan dari hot-hatch segmen-B i20 N, manakala dengan pelekat ‘Hyundai Customer Racing’ pada badannya, sudah tentu ini adalah jentera rali i20 N R5 baharu yang bakal menggantikan model sedia ada.

    Menerusi bayangan badan i20 N berkenaan nampak diberikan sentuhan seperti jentera-jentera R5 yang lain – tampil dengan kit badan lebih lebar serta spoiler bumbung lebih besar. Dalam regulasi R5, ia perlu dijana oleh enjin 1.6 liter turbo, dan juga transmisi serta kelengkapan pacuan semua roda yang dikawal oleh FIA.

    Selain boleh berlumba dalam WRC untuk kategori WRC2 dan WRC3, jentera-jentera R5 ini juga perlu dihasilkan untuk program perlumbaan pelanggan dan ia perlu dijual dengan kos yang ditetapkan oleh FIA, agar ia boleh dibeli oleh pasukan-pasukan persendirian untuk berlumba secara kompetitif.

    Untuk model jalan raya i20 N, model yang belum didedahkan sepenuhnya ini turut akan dijana oleh enjin 1.6 liter turbo menghasilkan 204 PS dan tork maksima 275 Nm. Tiada sistem pacuan semua roda seperti Toyota GR Yaris ditawarkan, di mana kuasa akan memacu roda hadapan sepenuhnya menerusi kotak gear manual enam-kelajuan.

     
     
  • KTM X-Bow GTX – kereta litar 530 PS, RM1.12 juta

    KTM X-Bow GTX – kereta litar 530 PS, RM1.12 juta

    Ini adalah KTM X-Bow GTX, yang merupakan kereta kegunaan litar terbaru KTM, dijual pada harga bermula 230,000 euro (RM1.12 juta). Casisnya menggunakan jenis monocoque gentian karbon sama seperti X-Bow dan kemudiannya ditambah dengan roll cage penuh yang mendapat kelulusan FIA Appendix J.

    Untuk bahagian cerminnya, GTX menggunakan “Jetfighter Canopy”, di mana rangka untuk cermin hadapan dan tepi adalah satu unit yang dibuat daripada gentian karbon dan boleh dibuka ke atas. Cermin tepi masih lagi menggunakan kaca tetapi cermin hadapan menggunakan Makrolon, iaitu bahan polikarbonat yang boleh diganti dengan mudah dan lebih murah.

    Lampu utama kereta ini terdiri daripada dua jalur LED sementara bahagian badan lain yang dibuat daripada gentian karbon dibentuk dengan mengambil penting ciri aerodinamik. Tiada cermin sisi, dan ia diganti dengan dua kamera, seterusnya pandangan kamera tersebut dipaparkan pada dua skrin di dalam kabin.

    KTM X-Bow GTX – kereta litar 530 PS, RM1.12 juta

    Di dalam pula terdapat tempat duduk Recaro jenis perlumbaan yang dibuat daripada carbon kevlar, dan dijadikan lengkap bersama tali pinggang six point jenama Schroth, roda stereng lumba dibalut suede, paparan informasi digital serta kotak pedal yang boleh dilaras.

    Berbeza dengan GT4 yang menggunakan sistem hidraulik, GTX ini menggunakan sistem stereng kuasa elektrik yang dikatakan lebih ringan dan boleh dilaras kepada tiga tahap. Ciri lain pada kereta ini adalah termasuk sistem kawalan cengkaman boleh laras lapan tahap serta sistem ABS Bosch jenis perlumbaan yang boleh dilaras 10 tahap – larasan menggunakan butang pada stereng.

    GTX digerakkan oleh enjin lima silinder 2.5 liter turbo keluaran Audi Sport, dan diubah suai untuk menghasilkan kuasa 530 PS (523 hp) dan 650 Nm tork. Ia kemudiannya dipadankan bersama kotak gear sequential enam kelajuan oleh Holinger, klac perlumbaan sintered metal serta limited-slip differential. Penukar gear pula menggunakan sistem elektrik keluaran SaReni, seperti kereta lumba LeMans LMP.

    KTM X-Bow GTX – kereta litar 530 PS, RM1.12 juta

    Secara keseluruhannya, GTX mencatat berat cuma 1,048 kg, dan dengan kuasa yang dihasilkan, nisbah kuasa kepada beratnya terletak pada 1.98 kg/PS. Ini sudah tentu menakjubkan, tetapi KTM masih belum memberitahu kemampuan pecutannya.

    Barangan lain yang dipasang pada kereta ini adalah termasuk penyerap Sachs yang boleh dilaras sepenuhnya, tangki bahan api FT3 120 liter, jack angin, sistem elektronik MoTec, data logger serta wheel carrier aluminium yang membolehkan camber dilaras secara mudah.

     
     
  • PKPB di S’gor: 4 sekatan jalan raya utama di Shah Alam, 6 di Klang; kompaun selepas jam 10 malam

    PKPB di S’gor: 4 sekatan jalan raya utama di Shah Alam, 6 di Klang; kompaun selepas jam 10 malam

    Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor mulai hari ini, polis daerah Shah Alam telah memaklumkan pihaknya akan mengetatkan pemeriksaan serta sekatan terhadap pengguna jalan raya selepas jam 10 malam sepanjang tempoh PKPB hingga 27 Okt ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, sekiranya ada individu yang dikesan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika pemeriksaan sekatan jalan raya dijalankan, mereka akan dikompaun serta-merta, laporan Berita Harian.

    “Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang tidak mengikuti SOP yang ditetapkan selepas jam 10 malam, bagaimanapun, untuk sekatan jalan raya pada waktu siang, kita akan lebih longgar yang mana kita faham kebanyakan penduduk daerah ini masih bekerja dalam tempoh PKPB,” ujarnya.

    Tambah beliau lagi, sepanjang tempoh PKPB ini, terdapat empat sekatan jalan raya dilakukan di beberapa laluan masuk ke daerah ini iaitu di Persiaran Kayangan Seksyen 7, Persiaran Tengku Ampuan Seksyen 26, Plaza Tol Shah Alam dan Plaza Tol Setia Alam.

    PKPB di S’gor: 4 sekatan jalan raya utama di Shah Alam, 6 di Klang; kompaun selepas jam 10 malam

    “Sekatan jalan raya bergerak juga akan dijalankan di beberapa lokasi mengikut keperluan yang mana akan dijalankan selama dua jam (di setiap lokasi) dan akan dilaksanakan oleh balai-balai polis,” katanya sambil menambah secara keseluruhan, seramai 250 pegawai dan anggota IPD Shah Alam digerakkan untuk sekatan jalan raya kali ini manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menempatkan 36 anggota.

    Katanya, selain daripada sekatan jalan raya, elemen seperti Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Pemantauan PKPB Op COVID-19 akan membuat hebahan dan peringatan.

    Bagi daerah Klang pula, IPD Klang Utara memaklumkan, terdapat tiga lokasi sekatan jalan raya dilaksanakan iaitu dihadapan Stesen Minyak Petron (berdekatan Aeon Mall Bukit Raja), Batu 8 di Jalan Meru Tambahan dan Batu 10 di Jalan Kapar. Manakala menurut IPD Klang Selatan pula, tiga lokasi sekatan jalan raya telah dilaraskan di Persiaran Kota (susur keluar Majlis Perbandaran Klang); Batu 2 Jalan Langat (arah Klang ke Banting) dan Jalan Datuk Mohd Sidin.

     
     
  • Honda City 2020 – 5 perkara yang perlu anda tahu

    Honda City 2020 – 5 perkara yang perlu anda tahu

    Setelah diprebiu pada Ogos lalu, akhirnya Honda City generasi kelima dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia semalam. Anda mungkin dah tahu spesifikasi untuk setiap varian model-model ini, namun ada berberapa perkara yang tidak akan anda ketahui menerusi mana-mana brosur, dan maklumat-maklumat tersebut kami perolehi menerusi satu pembentangan khas ketika pelancarannya.

    1. Ia masih menggunakan platform, enjin dan kotak gear dari City generasi ke-empat

    Tidak seperti model-model sebelum ini di mana City merupakan versi sedan dari Jazz/Fit generasi yang sama dengannya, model generasi kelima ini pula masih menggunakan platform dari City generasi keempat, dan ia tiada kaitan dengan Honda Jazz/Fit generasi baharu di Jepun dan Eropah.

    Sebab itu, City yang dibangunkan di Thailand ini masih mengekalkan jarak rodanya iaitu 2,600 mm. Walau bagaimanapun ada perubahan untuk dimensi lain dibuat di mana ia kini 111 mm lebih panjang (4,553 mm), 54 mm lebih lebar (1,748 mm) dan 10 mm lebih rendah (1,467 mm) berbanding sebelumnya.

    Untuk enjin pula, walaupun masih menggunakan enjin dari siri L15 1.5 liter NA, kepala selinder SOHC i-VTEC dari versi sebelum ini telah ditukar dengan kepala silinder DOHC i-VTEC. Ini membolehkan ia menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm, atau 1 PS lebih berkuasa dari sebelumnya. Ia juga masih dipadankan dengan kotak gear CVT yang sama dengan model generasi keempat.

    2. Brek belakang model RS menggunakan cakera, versi petrol masih menggunakan drum

    Honda City 2020 ini ditawarkan dalam empat varian di Malaysia di mana tiga varian pertama (S, E dan V) dijana oleh enjin petrol sepenuhnya, manakala varian tertinggi RS e:HEV menerima janaan hibrid petrol elektrik Intelligent-Multi Mode Drive (i-MMD). Antara perbezaan lain dua versi penjana ini adalah model petrol masih diberikan brek dram di belakang dan model hibrid pula hadir dengan brek cakera.

    Menurut Honda Malaysia, sistem brek dram di belakang masih lagi boleh menampung kereta dengan berat seperti Honda City ini. Tetapi mengapa model hibrid diberikan brek cakera? Ini kerana model RS turut menawarkan sistem brek parkir elektrik (EPB) seiring dengan pakej Honda Sensing yang canggih ditawarkan, berbanding hanya brek parkir manual pada model biasa. Sistem brek parkir elektrik ini adalah lebih mudah dipadankan pada sistem cakera berbanding sistem dram.

    Honda Malaysia turut menyatakan bahawa sistem dram adalah lebih ringan dari sistem cakera, dan sebab itu ia lebih sesuai untuk model petrol sepenuhnya.

    3. Model hibrid RS e:HEV hanya masuk pasaran Malaysia pada Januari 2021

    Honda City 2020 – 5 perkara yang perlu anda tahu

    Ketika dilancarkan semalam, harga untuk varian RS e:HEV masih belum diumumkan. Ini bukan kerana harga berkenaan masih belum mendapat kelulusan kerajaan, tetapi kerana kereta tersebut hanya akan berada dalam pasaran tempatan pada Januari 2021.

    Kenapa lambat? Untuk pengetahuan anda, Malaysia adalah pasaran pertama di dunia yang menerima Honda City e:HEV ini; Thailand hanya menawarkan enjin VTEC turbo 1.0 liter, manakala India pula ditawarkan dalam versi 1.5 NA dan juga diesel.

    Jadi dengan teknologi yang jauh lebih rumit, City Hybrid ini memerlukan masa yang lebih lambat untuk mula diproduksi di kilang mereka di Melaka, ditambah lagi dengan situasi wabak Covid-19 yang melanda dunia, pengenalan model ini dalam pasaran terpaksa di tunda ke tahun hadapan.

    4. Model hibrid RS menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya lebih jauh dari sebelum ini

    Honda City 2020 – 5 perkara yang perlu anda tahu

    Sistem i-MMD pada Honda City RS ini bukan sahaja tidak sama dengan sistem i-DCD pada City Hybrid sebelum ini, malah ia tidak sama dengan sistem-sistem hibrid pada jenama lain. Jadi anda perlu membuang skeptikal terhadap bagaimana sistem hibrid pada City ini berfungsi.

    Sistem tersebut terdiri dari enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama dua buah motor elektrik, yang membekalkan kuasa 108 PS dan tork maksima 253 Nm. Apa yang berbeza, ia boleh bergerak dengan motor elektrik sepenuhnya sambil enjin petrol hanya mengecas bateri seperti sebuah sistem hibrid range extender atau ‘generator pasar malam’, dan ia turut boleh menggunakan kuasa gabungan antara enjin petrol dan juga motor elektrik untuk memacu roda hadapan untuk kelajuan lebih tinggi.

    Jadi kuasa bateri lithium-ion 1.3 kWj untuk sistem hibrid ini akan sentiasa berada dalam tahap optima dan ia tidak akan ‘lemau’ kerana kehabisan caj, serta dapat memberikan jarak perjalanan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya lebih jauh dari sistem i-DCD.

    Malah dengan kuasa tork 253 Nm dari motor elektrik yang boleh dibekalkan terus dari 0 rpm, Honda City RS ini tidak memerlukan kotak gear sebenar dan ia sentiasa akan mula bergerak menggunakan motor elektrik terlebih dahulu. Pecutan dari 0-100 km/j pula boleh dibuat dalam masa 9.9 saat, manakala kelajuan maksima pula adalah 173 km/j. Manakala kadar penggunaan bahan apinya pula dicatat serendah 3.77 liter setiap 100 km, atau 26.5 km/l!

    5. Suspensi Honda City RS lebih selesa dari City Hybrid sebelumnya

    Honda City 2020 – 5 perkara yang perlu anda tahu

    Untuk model generasi keempat, varian Hybrid untuk Honda City yang lebih berkuasa dari City biasa diberikan sistem suspensi yang lebih keras dan sporty. Namun dengan respon yang diberikan oleh pemilik model City Hybrid i-DCD tersebut, Honda Malaysia mengambil keputusan untuk memberikan suspensi yang ditala untuk lebih keselesaan pada model City RS terbaharu ini.

    Walau bagaimanapun dengan perbezaan berat yang ketara disebabkan sistem hibrid termasuk bateri (Intelligent Power Unit atau IPU) yang diletakkan di belakang membuatkan model RS ini 111 kg lebih berat dari City Gred V, talaan pada suspensi tetap perlu dibuat semula dan ia unik pada kedua-dua versi penjana.

    Jadi ini antara perkara-perkara yang perlu anda tahu tetapi mungkin tidak terdapat dari sumber-sumber lain. Manakala untuk mengetahui perincian lain seperti harga dan perbezaan setiap varian, anda boleh baca satu lagi artikel kami pada PAUTAN INI.

    GALERI: Pembentangan produk ketika pelancaran Honda City 2020

    GALERI: Honda City 1.5L RS e:HEV 2020

    GALERI: Honda City 1.5L V 2020

    GALERI: Honda City 1.5L E Modulo 2020

     
     
  • Honda City 1.5L 2020 — perbandingan spesifikasi dan penawaran lengkap antara semua empat varian

    Honda City 1.5L 2020 — perbandingan spesifikasi dan penawaran lengkap antara semua empat varian

    Honda Malaysia telah pun melancarkan model Honda City 2020 generasi kelima terbaru, dan model berkenaan setakat pelancarannya sudah menerima 5,000 tempahan. Satu angka yang agak besar memandangkan pelanggan sebelum itu belum lagi mengetahui harga jualan serta perincian lengkapnya.

    Semua sekali, ada empat varian ditawarkan semuanya – S, E, V dan RS – dengan dua pilihan enjin; varian paling tinggi, RS hadir dengan enjin 1.5L serta sistem i-MMD hibrid, manakala tiga lagi varian menggunakan enjin 1.5L biasa yang kini menerima pembaharuan.

    Sistem i-MMD – yang menggantikan unit i-DCD generasi terdahulu – terdiri daripada enjin 1.5 liter kitaran Atkinson DOHC i-VTEC (98 PS/127 Nm) dan dua motor. Enjin ini berfungsi terutamanya sebagai generator dengan bantuan motor elektrik bersepadu, yang juga bertindak selaku penghidup.

    Motor kedua yang lebih besar, yang menghasilkan 108 PS dan 253 Nm, menghantar pacuan ke roda. Enjin bagaimanapun masih menghantarkan pacuan terus ketika dalam kelajuan tinggi memandangkan dalam keadaan itu, ia lebih cekap. Unit bateri yang digunakan ialah lithium-ion 1.3 kWh.

    Honda City 1.5L 2020 — perbandingan spesifikasi dan penawaran lengkap antara semua empat varian

    RS bagaimanapun hanya akan beredar bermula Januari 2021. Ketika ini, hanya tiga varian akan ditawarkan – S, E dan V. Enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC baru yang digunakan menjana sebanyak 121 PS/145 Nm, dengan transmisi CVT. Kadar penggunaan minyak didakwa pada 5.4 liter per 100 km, atau 18.5 km/l.

    Harga bagi varian City masing-masing ialah seperti berikut: varian S (RM74,191.27), E (RM81,664.82) dan V (RM86,561.45) – semua harga ini dengan pengecualian SST hingga 31 Disember 2020. Bermula Januari, harga tanpa pengecualian SST masing-masing ialah RM76,800 (S), RM84,800 (E) dan RM89,800 (V).

    Untuk itu, kami akan bawa anda untuk meneliti secara terperinci dari satu varian ke satu varian yang lain untuk melihat perbezaan penawarannya. Ambil maklum varian E yang ditunjukkan dalam gambar dilengkapi dengan kit aksesori Modulo, sementara varian paling rendah, S, tidak dipamerkan ketika pelancarannya.

    Honda City 1.5L S 2020 – RM74,191

    Honda City 1.5L 2020 — perbandingan spesifikasi dan penawaran lengkap antara semua empat varian

    Kelengkapan standard:

      Mekanikal:

    • 1.5 liter DOHC i-VTEC NA empat silinder
    • 121 PS (119 hp) pada 6,600 rpm, 145 Nm pada 4,300 rpm
    • Automatik dengan Mode ECON
    • Stereng kuasa elektrik (EPS)
    • Suspensi: MacPherson struts (depan), torsion beam (belakang)
    • Brek: Cakera berliang (depan), drum (belakang)
    • Luaran:

    • Lampu projektor halogen
    • Lampu DRL LED
    • Lampu belakang kombinasi
    • Rim 15-inci dengan profil tayar 185/60 Continental UC6
    • Cermin sisi boleh lipat dengan lampu isyarat larasan kuasa
    • Antena “shark fin”
    • Pemegang pintu ikut warna badan
    • Sistem tanpa kunci
    • Dalaman

    • Butang Push Start
    • Stereng larasan teleskopik dan “tilt”
    • Stereng dengan butang kawalan audio
    • Audio standard dengan Bluetooth, operasi telefon bebas tangan, satu port USB
    • Empat pembesar suara
    • Panel meter analog dengan paparan multi-info
    • Pendingin hawa manual dengan corong belakang
    • Kemasan fabrik
    • Kerusi dengan nisbah lipatan 60:40
    • Keselamatan

    • Empat beg udara (depan dan sisi)
    • VSA, ABS, EBD, Brake Assist
    • Bantuan mula mendaki
    • Lampu isyarakat berhenti kecemasan
    • Peringatan tali keledar depan dan belakang
    • Isofix pada kerusi belakang dengan cangkut atas
    • Sensor undur

    Honda City 1.5L E 2020 – RM81,664

    Honda City 1.5L 2020 — perbandingan spesifikasi dan penawaran lengkap antara semua empat varian

    Ditambah:

      Luaran

    • Pemegang pintu krom
    • Rim 15-inci aloi dua-tona dengan tayar 185/60 Continental UC6
    • Dalaman

    • Penghidup enjin jarak jauh
    • Paddle shifter
    • Kawalan melayar
    • Pendingin hawa zon tunggal automatik
    • Paparan skrin sentuh audio 8.0-inci
    • Apple CarPlay dan Android Auto sambungan wayar
    • Dua port USB
    • Keselamatan

    • Kamera undur, pelbagai sudut

    Honda City 1.5L V 2020 – RM86,561

    Honda City 1.5L 2020 — perbandingan spesifikasi dan penawaran lengkap antara semua empat varian

    Tambahan:

      Luaran

    • Lampu LED automatik
    • Lampu kabus LED
    • Rim 16-inci aloi dengan profil tayar 185/55
    • Dalaman

    • Stereng dan tombol gear balutan kulit
    • Kerusi balutan kulit dengan kemasan Ivory
    • Lapan pembesar-suara
    • Keselamatan

    • Enam beg udara, termasuk beg udara langsir
    • Kamera Honda LaneWatch

    Honda City RS e:HEV 2020 – jualan bermula Januari 2021

    Honda City 1.5L 2020 — perbandingan spesifikasi dan penawaran lengkap antara semua empat varian

    Tambahan:

      Mekanikal

    • Sistem janaan hibrid i-MMD
    • Enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC NA kitaran Atkinson empat silinder
    • 98 PS (97 hp) pada 5,600 hingga 6,400 rpm, 127 Nm pada 4,500 hingga 5,000 rpm
    • Motor elektrik dengan 108 PS (107 hp) dan 253 Nm dari 0 hingga 3,000 rpm
    • Automatik e-CVT automatic dengan mod ECON
    • Brek belakang jenis cakera
    • Brek parkir elektrik dengan fungsi Auto Brake Hold
    • Luaran

    • Gaya dan lencana RS
    • Gril hitam berkilat dengan honeycomb mesh
    • Perumah cermin sisi hitam berkilat
    • Kemasan sporty sekitar lampu kabus
    • Lip depan, diffuser dengan kemasan ala gentian karbon
    • Spoiler belakang hitam berkilat
    • Rim 16-inci aloi dua-tona
    • Pemegang pintu warna badan
    • Honda City 1.5L 2020 — perbandingan spesifikasi dan penawaran lengkap antara semua empat varian

      Dalaman

    • Deceleration selector paddle bagi i-MMD
    • Panel instrumen digital 7.0-inci dengan paparan hibrid
    • Kemasan kulit dan Ultrasuede dengan benang merah
    • Benang merah pada stereng, tombol gear, terowong tengan dan papan pemuka
    • Lapik bumbung hitam
    • Pedal sporty aluminium
    • Keselamatan

    • Honda Sensing:
    • Adaptive Cruise Control (ACC)
    • Collision Mitigation Braking System (CMBS or AEB)
    • Forward Collision Warning (FCW)
    • Lane Keeping Assist System (LKAS)
    • Road Departure Mitigation (RDM)
    • Lane Departure Warning (LDW)
    • Auto High-Beam (AHB)

    Terdapat lima pilihan warna ditawarkan, terdiri daripada Crystal Black Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Passion Red Pearl dan Platinum White Pearl. RS bagaimanapun hanya ditawarkan dalam tiga warna terakhir berkenaan sahaja. Pakej aksesori lima-peralatan Modulo juga ada disediakan pada harga RM4,473.

    Honda City 1.5L RS e:HEV 2020

    Honda City 1.5L V 2020

    Honda City 1.5L E Modulo 2020

     
     
  • Volkswagen Taos diperkenalkan – SUV yang lebih kecil daripada Tiguan, enjin 1.5 liter turbo 158 hp, 249 Nm

    Volkswagen Taos diperkenalkan – SUV yang lebih kecil daripada Tiguan, enjin 1.5 liter turbo 158 hp, 249 Nm

    Selepas beberapa teaser, akhirnya Volkswagen Taos didedahkan sepenuhnya untuk Amerika Syarikat dan pelancaran rasmi dijangka berlaku pada tahun hadapan. Ada tiga varian yang ditawarkan iaitu S, SE dan L, sementara pengeluarannya pula dibuat di Puebla, Mexico.

    Dalam barisan produk SUV Volkswagen di Amerika, Taos diletakkan di bawah Tiguan dan akan bersaing di dalam segmen SUV kompak. Menurut syarikat itu, empat juta unit SUV kompak dijual pada tahun 2019 – sekitar 24% daripada keseluruhan pasaran – sekaligus menjadikan ia sebagai segmen paling hangat di Amerika Utara.

    Untuk dimensi, Taos mempunyai ukuran 4,465 mm panjang, menjadikan ia 236 mm lebih pendek berbanding Tiguan yang mencatat 4,701 mm dari hujung bampar hadapan hingga hujung bampar belakang. Lebar adalah 1,841 mm, tinggi 1,636 mm dan jarak roda 2,690 mm.

    Volkswagen Taos diperkenalkan – SUV yang lebih kecil daripada Tiguan, enjin 1.5 liter turbo 158 hp, 249 Nm

    Melihat kepada rupa, Taos kelihatan seperti Tiguan yang dikecilkan, tetapi masih ada beberapa bahagian yang dijadikan unik untuk membezakan keduanya. Pada bahagian hadapan, lampu LED yang digunakan mempunyai pencahayaan hampir seperti Atlas Cross Sport dan di tengah gril juga terdapat jalur lampu yang menyala.

    Bukaan udara di bahagian bucu bampar pula menjadikan muka SUV ini lebih tegap sementara di bahagian bawah pula terdapat kemasan yang berwarna perak. Atas padanya terdapat kemasan honeycomb yang kebanyakannya tertutup.

    Garis badan dan lekuk yang boleh dilihat pada bahagian tepi juga sama seperti Tiguan tetapi anda boleh melihat perbezaannya pada lengkuk roda yang lebih berpetak. Bahagian belakang Taos pula kelihatan lebih membulat berbanding Tiguan, termasuklah lampunya yang kurang tajam. Muncung ekzos krom pula diletakkan lebih tinggi.

    Volkswagen Taos diperkenalkan – SUV yang lebih kecil daripada Tiguan, enjin 1.5 liter turbo 158 hp, 249 Nm

    Pada bahagian dalam, Volkswagen memberitahu model baru ini menyediakan ruang 2,817 liter, iaitu cuma kurang 45 liter berbanding Tiguan. Ruang simpanan di bahagian belakang adalah 796 liter, dan apabila tempat duduk baris kedua dilipat, ia menjadi 1,877 liter. Ruang kaki tempat duduk hadapan 1,018 mm manakala di belakang pula 963 mm.

    Rekaan bahagian kokpit adalah ringkas, dengan terdapat jalur yang memisahkan skrin sesentuh di tengah dengan butang kawalan pendingin hawa, dan bersambung hingga ke tepi pintu. Skrin ini mempunyai saiz lapan inci dan menggunakan sistem MIB3. Bagi varian yang lebih tinggi, ia akan diberikan dengan sistem bunyi BeatsAudio lapan pembesar suara serta lampu suasana.

    Kelengkapan lain pada Taos adalah termasuk sistem mula enjin tanpa kunci, pilihan akses Kessy, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan arah, pengawal pendingin hawa dua zon Climatronic, pengelap cermin automatik, roda stereng dengan pemanas, tempat duduk berliang serta cermin sisi dengan pemanas. Dalam keadaan standard tempat duduk datang dengan balutan fabrik dua tona, tetapi balutan kulit masih disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Pakej bantuan pemandu IQ.Drive disediakan sebagai pilihan tambahan, di mana ia memberi fungsi seperti Forward Collision Warning dengan brek autonomous (Front Assist), Blind Spot Monitor, Lane Keeping System (Lane Assist), Adaptive Cruise Control dengan ciri henti dan gerak, Travel Assist, Emergency Assist, High beam Control (Light Assist), Adaptive Front-Lighting serta Park Distance Control.

    Kuasa penggerak datang daripada enjin petrol empat silinder 1.5 liter turbo, sama seperti yang digunakan pada Jetta dengan kuasa 158 hp dan 249 Nm tork. Untuk versi pacuan dua roda hadapan, ia menggunakan transmisi automatik lapan kelajuan sementara versi pacuan semua roda menggunakan transmisi DSG tujuh kelajuan dengan sistem pacuan 4Motion.

     
     
  • Audi Q8 TFSI e quattro – model plug-in hybrid didedah dengan kuasa sehingga 462 PS dan tork 700 Nm

    Audi Q8 TFSI e quattro – model plug-in hybrid didedah dengan kuasa sehingga 462 PS dan tork 700 Nm

    Audi akhirnya telah mendedahkan sepenuhnya Q8 plug-in hybrid. Ini adalah model ketujuh Audi yang menggunakan kuasa elektrik (sepenuhnya atau gabungan), dan ia ditawarkan dalam dua varian iaitu Q8 55 TFSI e quattro yang berharga £73,860 (RM396k) dan Q8 60 TFSI e quattro pada £85,760 (RM460k).

    Kedua-dua varian menggunakan enjin pembakaran dalaman yang sama, iaitu unit petrol V6 3.0 liter TFSI, yang mampu menghasilkan kuasa 340 PS dan 450 Nm tork. Ia kemudiannya dibantu dengan motor elektrik 100 kW yang disepadukan pada kotak gear tiptronik lapan kelajuan.

    Pada varian 55 TFSI e quattro, gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan 381 PS, 600 Nm tork dan membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat, tetapi pada varian 60 TFSI e quattro ia menjadi lebih tinggi dengan kuasa 462 PS, 700 Nm tork dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat. Laju maksimum untuk kedua-duanya adalah 240 km/j.

    Audi Q8 TFSI e quattro – model plug-in hybrid didedah dengan kuasa sehingga 462 PS dan tork 700 Nm

    Pek bateri lithium ion 17.8 kWh pada kenderaan ini mampu memberikan jarak gerak elektrik sehingga 47 km (berdasarkan ujian WLTP) dan dalam mod elektrik penuh, ia boleh dipandu sehingga kelajuan 135 km/j tanpa sebarang bantuan daripada enjin pembakaran dalaman.

    Menurut Audi, bateri ini boleh dicas penuh dalam masa 2.5 jam apabila menggunakan soket 7.4 kW. Ia juga dilengkapi dengan pembantu kecekapan yang boleh membantu menentukan sama ada motor elektrik patut membiarkan kenderaan “meluncur” apabila pemandu melepaskan pedal pendikit, atau mengurangkan kelajuan menggunakan motor elektrik untuk menjana semula tenaga.

    Tambah Audi, sistem ini boleh menjana semula sehingga 25 kW apabila meluncur dan motor elektrik juga boleh memberikan tambahan 0.3 G kuasa brek, sekaligus merangkumi kebanyakan penggunaan seharian. Brek roda hidraulik hanya akan digunakan apabila membrek kuat dan melaluinya, kenderaan akan mendapat penjanaan semula kuasa sehingga 80 kW.

    Audi Q8 PHEV datang dengan tujuh mod pemanduan – Comfort, Efficiency, Auto, Dynamic, Individual, Offroad dan Allroad. Mod terakhir diberikan untuk model yang menggunakan suspensi udara adaptif. Untuk sistem hibrid, terdapat empat mod tambahan iaitu Hybrid, Auto, Charge dan Hold (mengekalkan tahap bateri dengan cuma menggunakan enjin pembakaran dalaman sahaja).

    Model ini juga boleh didapati dengan sistem bantuan pemandu terkini Audi yang termasuk Adaptive Cruise Assist dengan Steering Assist, Active Lane Keep Assist dan Autonomous Emergency Braking. Menurut Audi, Q8 yang mempunyai tahap autonomous Level 2 mencatat markah penuh dalam ujian keselamatan kenderaan Europe NCAP.

     
     
  • Volkswagen Passat R-Line 2020 dilancarkan di Malaysia – 2.0L TSI baharu, 190 PS/320 Nm, RM203,411

    Volkswagen Passat R-Line 2020 dilancarkan di Malaysia – 2.0L TSI baharu, 190 PS/320 Nm, RM203,411

    Genap dua bulan tempahannya mula dibuka iaitu sejak 12 Ogos lalu, hari ini secara rasminya Volkswagen Passat R-Line dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Teka-teki tentang harganya juga telah terjawab iaitu RM203,411, atas jalan, termasuk pengecualian cukai jualan (SST) sehingga 31 Disember 2020. Selepas tarikh itu, harganya akan menjadi RM208,888.

    Passat R-Line menerima padanan penjana kuasa turbo baharu iaitu unit EA888 generasi 3B 2.0 liter TSI yang mampu menghamburkan output sehingga 190 PS dari 4,180 rpm hingga 6,000 rpm dan tork 320 Nm dari 1,500 rpm hingga 4,180 rpm. Malahan ia juga digandingkan dengan kotak gear klac berkembar basah direct shift (DSG) tujuh-kelajuan yang baharu dan telah ditambah baik, yang menyalurkan pacuannya ke roda hadapan. Penggunaan bahan apinya dianggarkan sekitar 6.5 liter bagi setiap 100 km mengikut kitaran WLTP.

    Melihat imej luarannya, ia diberikan sentuhan gaya sporty yang boleh dikatakan agak menyerlah. Wajah hadapannya ada sentuhan yang agak agresif dengan kemasan krom serta lampu utama LED penuh dengan ciri Dynamic Range Control yang menukar lampu tinggi dengan lebih baik mengikut kelajuan dan juga keadaan. Manakala bamparnya menampilkan rekaan baharu dipadankan dengan lampu nyalaan siang LED melintang.

    Untuk profil sisinya pula, terdapat lencana eksklusif R-Line, dan corong pengambilan udara hadapan yang lebih besar dengan sudut berbentuk-C kemasan hitam berkilat serta skirt sisi yang lebih kedalam. Padanan rim aloi pelbagai-jejari Verona bersaiz 19-inci menjadi pilihan bagi menyerlahkan imejnya jadi bertambah mantap.

    Volkswagen Passat R-Line 2020 dilancarkan di Malaysia – 2.0L TSI baharu, 190 PS/320 Nm, RM203,411

    Melewati bahagian belakangnya pula, sentuhan yang lebih ringkas dengan kehadiran lampu belakang juga unit LED, bampar juga menerima rekaan baharu yang lebih kemas. Manakala corong ekzos berkembar memberikan sedikit kesan yang lebih sporty untuk imej belakangnya.

    Menjengah bahagian kabinnya, Passat R-Line 2020 dilengkapi dengan penggunaan kulit Nappa hitam gayaan karbon pada tempat duduk, stereng dan pedal sport aluminium. Malah ia menampilkan kokpit digital termasuk didatangkan dengan sistem infotainmen Discover Pro Volkswagen bersama skrin sesentuh bersaiz 9.2-inci.

    Ciri-ciri lain termasuklah kawalan suara, gestur, skrin yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian dan bersama ketersambungan Wireless App-Connect dengan Apple Car Play. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu tiga-zon, cermin pandang belakang anti-silau, kawalan kelajuan, sistem audio dengan lapan-pembesar suara dan kamera undur.

    Bagi varian Passat R-Line 2020 ini, ia juga hadir dengan penyerap hentak Dynamic Chassis Control (DCC) yang boleh dilaras secara elektronik, ciri ini juga didatangkan dengan pemilihan mod pemanduan dan XDS electronic differential lock.

    Volkswagen Passat R-Line 2020 dilancarkan di Malaysia – 2.0L TSI baharu, 190 PS/320 Nm, RM203,411

    Bagi aspek keselamatan pula, Passat R-Line 2020 dilengkapi dengan enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, pemantauan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang, sistem pemantauan tekanan tayar dan cagak ISOFIX untuk tempat duduk belakang.

    Selain itu, ciri keselamatan yang dipertingkatkan termasuklah Side Assist dengan jarak pengesanan 180 darjah sehingga 50 meter. Manakala ciri Rear Traffic Alert pula memberi amaran kepada pemandu apabila mengundur keluar dari ruang parkir jika terdapat kenderaan yang mendekati pada sudut 90 darjah.

    Passat R-Line 2020 didatangkan dalam enam warna iaitu tona metalik terdiri daripada Aquamarine Blue, Tamarind Brown, Manganese Grey dan Reflex Silver. Serta dua warna mutiara iaitu Deep Black dan Oryx White turut ditawarkan tanpa sebarang penambahan harga.

    Pembelian Passat R-Line 2020 ini turut didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan, tiga-tahun pakej servis percuma dan juga lima-tahun bantuan tepi jalan percuma. Untuk perincian dan spesifikasi penuh Passat R-Line 2020, sila layari Carbase.my.

    GALERI: Volkswagen Passat R-Line 2020 yang dipertontonkan di Malaysia

     
     
  • Volkswagen Golf GTI Clubsport Mk8 didedahkan – 300 PS/400 Nm, pacuan hadapan, 0-100 km/j tak sampai 6s

    Volkswagen Golf GTI Clubsport Mk8 didedahkan – 300 PS/400 Nm, pacuan hadapan, 0-100 km/j tak sampai 6s

    Volkswagen Golf GTI untuk versi generasi Mk8 baru sahaja diperkenalkan pada Februari lalu, dan sekarang satu lagi versi lebih berkuasa pula didedahkan oleh VW iaitu Golf GTI Clubsport!

    Sekejap, walaupun ia menerima lencana ‘Clubsport’, ini bukan bermaksud ia adalah model yang hardcore seperti Mk7 Clubsport S yang tidak mempunyai tempat duduk belakang serta pernah memecahkan rekod Honda Civic Type R di Nürburgring. Menurut VW, model tetap lebih berkuasa dari versi standard dan ia diposisikan antara model pertama Clubsport pada 2016 dan juga Clubsport S.

    Malah ini juga bukan model edisi terhad seperti dua versi Clubsport sebelum ini, dan hanya sedikit usaha yang dibuat untuk mengurangkan beratnya. Secara ringkas, model Clubsport baharu ini adalah versi kesinambungan untuk VW Golf GTI TCR yang diperkenalkan sebelum ini.

    Volkswagen Golf GTI Clubsport Mk8 didedahkan – 300 PS/400 Nm, pacuan hadapan, 0-100 km/j tak sampai 6s

    Untuk model GTI Clubsport Mk8 ini, ia masih dijana oleh enjin EA888 evo4 2.0 liter empat silinder turbo sama seperti Golf GTI standard. Namun, enjin tersebut telah diolah dan ditala semula bagi menghasilkan 300 PS dan tork maksima 400 Nm, berbanding hanya 245 PS/370 Nm pada GTI biasa.

    Kuasa masih hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan. Ini membolehkan Golf GTI Clubsport tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai enam saat, dan mencapai kelajuan maksima 250 km/j yang dihadkan secara elektronik.

    Talaan semula bukan hanya dibuat pada enjin, malah ia turut melibatkan aspek dinamik pemanduan. Golf GTI Clubsport ini menerima sistem Vehicle Dynamics Manager yang ditingkat taraf. Sistem tersebut berintergrasi dengan kawalan unit locking differential pada gandar hadapan (VAQ), sistem differential lock elektronik (XDS) dan juga ciri opsyen penyerap hentak kawalan elektronik (DCC).

    Volkswagen Golf GTI Clubsport Mk8 didedahkan – 300 PS/400 Nm, pacuan hadapan, 0-100 km/j tak sampai 6s

    Menurut Volkswagen, sistem tersebut memberikan respon yang lebih pantas pada input stereng dan juga melenyapkan understeer yang biasanya terjadi pada sebuah kereta pacuan roda hadapan. Suspensi pada versi Clubsport ini juga 15 mm lebih rendah dari GTI biasa, serta diberikan sudut camber lebih positif pada gandar hadapan bersama stereng kuasa dengan kadar progresif yang ditala bagi memberikan respon lebih terus ketika meredah selekoh.

    Empat mod pemanduan pada GTI biasa iaitu Eco, Comfort, Sport dan Individual masih dikekalkan, tetapi apa yang istimewa model Clubsport ini menerima satu lagi mod tambahan yang dinamakan sebagai Special. Mod ini dihasilkan khas untuk pemanduan dalam litar ‘The Green Hell’ Nürburgring Nordschleife.

    Berbanding mod Sport, mod Special ini menampilkan talaan suspensi lebih lembut bagi disesuaikan dengan permukaan jalan tidak menentu di litar berkenaan. Hasilnya, dengan mod ini, Volkswagen Golf GTI Clubsport mampu untuk mencatatkan masa lap terpantas 13 saat lebih laju dari Golf GTI Mk8 biasa di Nürburgring.

    Model istimewa ini juga diberikan sistem brek yang ditingkat taraf dengan pemadanan cakera brek lebih besar, serta angkup aluminium yang setiap satunya 600 gram lebih ringan dari komponen standard.

    Golf GTI Clubsport ini turut diberikan elemen penggayaan yang unik. Pada bahagian muka, ia menerima bampar dengan liang pengambilan udara yang sangat besar, direka seakan sayap bersama elemen gril sarang lebah. Manakala di belakang, spoiler bumbung direka lebih tinggi dengan satu lagi tambahan ‘sayap’, bersama diffuser pada bampar yang lebih agresif serta dua tip ekzos oval lebih besar.

    Bahagian bawah bendul sisi direka lebih labuh bagi disesuaikan dengan spoiler hadapan dan diffuser belakang, serta diberikan grafik istimewa di bawah pintu hadapan. Bagi melengkapkan rupanya, versi lebih berkuasa ini hadir standard dengan rim aloi lima-jejari 18-inci, namun pembeli masih boleh memadankan rim 19-inci yang ditawarkan sebagai opsyen.

    Dalam kabin pula, Golf GTI Clubsport ini hadir dengan serlahan-serlahan jahitan merah pada tempat duduk, perehat tangan tengah, karpet kaki, dan juga roda stereng yang dibalut dengan kulit berliang. Secara standard, model ini diberikan upholsteri fabrik ArtVelours pada tempat duduk dan panel pintu, namun pilihan kulit berliang untuk tempat duduk masih ditawarkan.

     
     
  • Volkswagen Passat R-Line — tonton siaran langsung pelancarannya secara online sebentar sahaja lagi

    Di mana pun anda berada tengah hari ini dan jika berkelapangan, tonton siaran langsung pelancaran rasmi Volkswagen Passat R-Line 2020 dalam talian pada jam 12 tengahari. Mula dipertontonkan dan dibuka untuk tempahan sejak 12 Ogos lalu, acara berkenaan akan disiarkan melalui saluran rasmi Youtube dan Facebook Volkswagen Passenger Cars Malaysia.

    Passat R-Line dikuasakan oleh enjin turbo 2.0TSI baru yang menjana 190 PS dari 4,180 rpm hingga 6,000 rpm dan 320 Nm tork dari 1,500 rpm hingga 4,180 rpm. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar basah direct shift (DSG) tujuh-kelajuan baru dan telah ditambah baik, yang turut boleh dikawal menerusi pedal penukar gear.

    Imej luaran Passat R Line ini ditampilkan dengan kemasan yang sporty termasuk dengan lampu utama dan lampu belakang unit LED, padanan bampar hadapan dan belakang R-Line baharu, lencana sisi R-Line, kemasan krom dan rim aloi Verona bersaiz 19-inci (varian Elegance dengan set 18-inci). Selain itu, kelihatan corong pengambilan udara hadapan yang lebih besar dengan sudut berbentuk-C dengan kemasan hitam berkilat serta skirt sisi yang lebih kedalam.

    Volkswagen Passat R-Line — tonton siaran langsung pelancarannya secara <em>online</em> sebentar sahaja lagi

    Di dalam, Passat R Line dilengkapi dengan penggunaan kulit Nappa hitam gayaan karbon pada tempat duduk, stereng dan pedal sport aluminium. Malah ia turut didatangkan dengan sistem infotainmen Discover Pro Volkswagen bersama skrin sentuh bersaiz 9.2-inci.

    Ciri-ciri lain termasuklah kawalan suara, gestur, skrin yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian dan bersama ketersambungan Wireless App-Connect dengan Apple Car Play. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu tiga-zon, cermin pandang belakang anti-silau, kawalan kelajuan, sistem audio dengan lapan-pembesar suara dan kamera undur.

    Bagi varian R-Line ini, ia juga hadir dengan ciri Dynamic Chassis Control (DCC) adaptif dan XDS electronic differential lock. Bagi aspek keselamatan pula, R-Line dilengkapi dengan enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, pemantauan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang, sistem pemantauan tekanan tayar dan cagak ISOFIX untuk tempat duduk belakang.

    Pra-tonton Volkswagen Passat R-Line 2020 di Malaysia

     
     
  • AD: Nikmati rebat tunai sehingga RM1,500 dengan pembelian model baru Perodua sepanjang Oktober ini

    AD: Nikmati rebat tunai sehingga RM1,500 dengan pembelian model baru Perodua sepanjang Oktober ini

    Pastinya telah mendengar bahawa sekarang inilah masa terbaik untuk membeli kereta. Selain penjimatan daripada pengecualian cukai jualan 2020 oleh kerajaan melalui program Penjana, pengeluar kenderaan turut menjalankan promosi sendiri sebagai tambahan. Contohnya ialah tawaran Oktober 2020 oleh Perodua, yang sah sehingga hujung bulan ini.

    Aruz kini ditawarkan dengan penebusan tunai sebanyak RM1,500 bagi Aruz X dan RM1,300 bagi varian paling tinggi Aruz AV. Membeli produk keluaran tempatan juga akan membolehkan anda menikmati penjimatan daripada pengecualian SST maksimum – Aruz dijual pada harga RM68,526 bagi varian X dan RM73,226 bagi varian AV, iaitu 6% lebih rendah daripada harga biasa. Ini sebelum mengambil kira penebusan tunai sehingga RM1,500.

    Dikuasakan oleh enjin 1.5L Dual VVT-i dengan Eco Idle, Aruz merupakan sebuah kenderaan keluarga yang luas dengan tujuh-tempat duduk dalam gaya SUV. Kelengkapan keselamatan juga mantap; selain enam-beg udara dan VSC standard, varian AV juga menerima ciri Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 yang termasuk di dalamnya sistem amaran pra-perlanggaran, brek pra-perlanggaran, amaran pergerakan hadapan dan kawalan jika tersilap operasi pedal. Aruz menerima penarafan ASEAN NCAP lima-bintang.

    Jika anda inginkan kereta yang lebih kecil, model popular Myvi pula datang dengan penebusan tunai sebanyak RM1,000 sepanjang bulan ini. Barisan model Myvi bermula dari RM41,292 selepas pengecualian cukai (sebelum ini RM42,790) dan varian yang layak menerima rebat RM1,000 ialah Myvi 1.5 H. Myvi H kini hadir dengan Advanced Safety Assist (ASA) 2.0, yang sebelum ini hanya eksklusif untuk varian AV tertinggi sahaja. Turut ditawarkan ialah warna baru untuk 2020, Electric Blue.

    Jika anda ada kenderaan untuk “trade-in” untuk bertukar kepada model baru Perodua, cabang kenderaan terpakai (POV) kini sedang menawarkan penebusan tunai RM300 bulan ini. “Trade-in” dengan POV untuk menikmati pindahan hak milik segera serta pengesahan nilai “trade-in” sehingga 30-hari. Anda hanya perlu menyerahkan kereta sedia ada ketika anda menerima kereta baru Perodua yang dibeli. Tawaran POV ini hanya ditawarkan di bilik pameran Perodua terpilih sahaja.

    Klik pautan ini untuk mengetahui tentang tawaran istimewa Aruz dan Myvi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025