Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Modenas perkenal pelincir sintetik penuh EMOS 7000E

    Modenas perkenal pelincir sintetik penuh EMOS 7000E

    Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) kini memperkenalkan siri minyak enjin terbaru sintetik sepenuhnya, yang dikenali dengan nama EMOS 7000E. Disasarkan untuk kegunaan street bike, ia hadir dengan kelikatan SAE 10W-50 dengan formulasi campuran bahan tambahan premium dan minyak asas yang terdiri daripada Polyalphaolefins (PAO) dan Ester berkualiti tinggi.

    Dijual pada harga RM62 sebotol dalam botol 1 liter, pelincir ini membolehkan prestasi enjin yang konsisten dalam pelbagai keadaan tunggangan. EMOS 7000E sintetik penuh ini melepasi standard antarabangsa API SN dan JASO MA2.

    Aspek minyak pelincir yang betul bukan sahaja mengurangkan penggunaan bahan bakar, tetapi juga meningkatkan kuasa serta ketahanan enjin. EMOS 7000E direka khas memberikan perlindungan pada suhu tinggi yang lebih baik untuk omboh (piston), kawalan enap cemar kepada injap, silinder yang berkarat dan juga “seal” yang bocor.

    Modenas perkenal pelincir sintetik penuh EMOS 7000E

    “Di Modenas, kami mahu semua pelanggan memanfaatkan motosikal mereka dengan sebaik mungkin. Dengan memperkenalkan pelincir sintetik penuh ini, semua penunggang motosikal di luar sana akan dapat menikmati produk premium berkualiti tinggi pada harga yang sangat berpatutan.

    “EMOS 7000E bukan hanya akan memaksimumkan prestasi motosikal, tetapi juga memberikan kos penyelenggaraan yang lebih rendah dengan memberikan perlindungan dan kebersihan enjin yang sangat baik,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan. EMOS 7000E boleh didapati di semua pusat servis Modenas dan juga di cawangan pusat Modenas Service Plus seluruh negara.

     
     
  • Tommi Makinen dilantik penasihat sukan permotoran Toyota, bersama bangunkan jentera GR seterusnya

    Tommi Makinen dilantik penasihat sukan permotoran Toyota, bersama bangunkan jentera GR seterusnya

    Sepatutnya, Toyota tak perlu pun menghasilkan hot-hatch GR Yaris kerana jentera WRC sekarang boleh dihasilkan dari hatchback penumpang biasa. Namun untuk menghasilkan jentera lumba yang lebih kompetitif berbanding pasukan lain, prinsipal Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT), Tommi Makinen memohon syarikatnya membina kereta asas yang lebih baik berdasarkan kriteria tertentu.

    Jadi, boleh dikatakan antara penyebab wujudnya Toyota GR Yaris ini adalah disebabkan Tommi Makinen. Dan baru-baru ini, Toyota telah mengumumkan bahawa juara dunia WRC empat kali berkenaan akan dinaikkan pangkat sebagai penasihat sukan permotoran Toyota Motor Corporation bermula 2021, bukan sahaja untuk membangunkan pelumba-pelumba dan perancangan strategik, malah turut akan membangunkan kereta-kereta prestasi jalan raya GR yang seterusnya!

    Tommi Makinen mula menyertai Toyota Gazoo Racing WRT bermula sejak pasukan itu ditubuhkan pada 2017, dengan misi mengembalikan nama Toyota dalam kejohanan dunia berkenaan setelah menarik diri 18-tahun sebelum itu. Sehingga kini, pasukan yang dikemudi Makinen berkenaan telah mencapai pelbagai kejayaan besar antaranya bergelar juara dunia kategori pengeluar pada 2018, dan juga juara dunia kategori pemandu 2019 menerusi Ott Tanak.

    Bermula 2021 juga, segala projek pembangunan dan rekaan jentera rali WRC yang sebelum ini dikendalikan Tommi Makinen Racing Oy (TMR) akan diambil alih semula oleh pasukan sama yang membawa nama Toyota pada era 80’an dan 90’an iaitu Toyota Team Europe, atau kini dikenali sebagai Toyota Gazoo Racing Europe GmbH.

    Tommi Makinen dilantik penasihat sukan permotoran Toyota, bersama bangunkan jentera GR seterusnya

    Menurut Toyota, mereka telah membuat pelbagai perancangan dengan resolusi dari Makinen, belajar dari pengetahuan pembangunan jentera perlumbaan yang berkelas dunia oleh TMR, dalam usaha untuk menghubungkan pembangunan perniagaan spesifik ini. TGR WRT akan meneruskan aktivitinya di Finland dan Estonia seperti sebelum ini, dan masih menggunakan sumber manusia dan sebahagian fasiliti dari TMR.

    “Sasaran projek Toyota WRC adalah untuk memulakan kembali operasi rali dunia secara efektif dengan organisasi yang fleksibel di mana ia hanya boleh dicapai oleh syarikat kecil. Suka untuk saya katakan bahawa sasaran itu telah pun dicapai dan tiba masa saya untuk maju menerima cabaran baharu bersama Toyota,” kata Tommi Makinen.

    “Saya mahu berterima kasih kepada Akio Toyoda kerana mempercayai saya dengan projek ini dan menyokong kami sepanjang tempoh untuk mencapai sasaran yang telah kami tetapkan bersama. Saya tidak sabar untuk terus berkerja dengannya, mencorakkan masa hadapan Toyota dalam sukan bermotor.

    “Kami gembira kerana seperti yang dirancang Toyota kini mengambil keputusan untuk mengambil alih operasi WRC yang telah kami bangunkan bersama dan saya juga sangat gembira dengan cara Toyota menyediakan pakar-pakar kami dengan pangkalan yang stabil serta masa hadapan Toyota Gazoo Racing World Rally Team. Adalah sangat penting untuk saya bagi memastikan operasi masih berjalan di Jyväskylä dan Tallinn, manakala Toyota Gazoo Racing Europe meletakkannya di bawah sayap mereka,” jelas Makinen lagi.

    Tommi Makinen dilantik penasihat sukan permotoran Toyota, bersama bangunkan jentera GR seterusnya

    “Hanya selepas saya berjumpa dengan Tommi barulah saya boleh membuat keputusan untuk membawa kembali Toyota ke WRC. Kerana sokongannya kami membolehkan kami menang di WRC. Dan dengan menggunakan kepakarannya, kami mampu untuk menghasilkan GR Yaris, kereta sport 4WD,” kata presiden Toyota, Akio Toyoda.

    “Selepas ini, beliau akan menjadi penasihat sukan permotoran kami. Selain dari memberikan nasihat pakarnya bagaimana mahu menang dalam perlumbaan, seperti apa yang telah dilakukan sebelum ini, kami mahukan beliau untuk memberikan segala nasihat bagi membolehkan Toyota menghasilkan kereta yang lebih baik.

    “Walaupun selepas perlantikan jawatannya, tugasnya sebagai tenaga pengajar pemanduan saya tidak akan berubah. Tommi, mari kita memandu bersama lagi!” tambah Toyoda lagi.

     
     
  • 400 kenderaan tersadai di kuanters kerajaan di Putrajaya telah dilupuskan sejak 2016 – JPN

    400 kenderaan tersadai di kuanters kerajaan di Putrajaya telah dilupuskan sejak 2016 – JPN

    Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) telah bekerjasama dengan Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi melupuskan sebanyak 400 kenderaan yang tersadai di kuarters kerajaan di sekitar pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya sejak 2016.

    Menurut Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri (JPN), Datuk Mohd Sallehuddin Hassan, tindakan pengalihan kenderaan tersadai di kuarters kerajaan itu adalah bagi memastikan keadaan kemas dan tidak mencemar pandangan penduduk, laporan Berita Harian.

    “Pihak BPH membuat semakan dan siasatan awal bersama-sama pihak yang bertanggungjawab sebelum kenderaan terbabit dialihkan ke depoh penyimpanan PPj di Presint 20,” katanya semalam ketika operasi pengalihan kenderaan tersadai (Ops Alih).

    Difahamkan, operasi pengalihan diadakan secara berterusan sepanjang tahun bagi memastikan penggunaan optimum petak parkir serta memastikan tiada halangan kepada penghuni kuarters.

     
     
  • VIDEO: Nissan Almera Turbo 2020 ditunjukkan

    Salah satu pelancaran terbesar bagi tahun 2020 ialah Nissan Almera baharu, yang bakal berentap dengan Toyota Vios dan Honda City baharu apabila ia dilancarkan pada bulan ini. Sempena pelancaran sedan segmen-B itu, pengedar Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah menyiarkan video iklan yang memaparkan teknologi dan tork dari engin pengecas turbo standard model terbabit.

    Menerusi video berdurasi 60 saat tersebut, ia memaparkan semangat seorang chef, pelumba basikal dan model di bawah tema “Challenge All Beliefs”, sepadanan dengan jentera Almera dengan rona Radiant Red dan dalam varian tertinggi VLT. Video terbabit juga memaparkan logo baharu Nissan di mana ETCM akan menggunakannya dalam semua medium komunikasinya selepas ini.

    Menampilkan rekaan baharu yang lebih segar dan terkini, Almera baharu ini menawarkan ciri yang cukup impresif. Ini termasuklah lampu utama LED, kawalan suhu automatik, paparan instrumen digital tujuh-inci, skrin sesentuh lapan-inci, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem kamera 360-darjah, enam beg udara dan paling menarik; brek kecemasan sendiri sebagai ciri standard.

    Tidak kira mana varian yang jadi pilihan, Almera ini akan dikuasakan oleh enjin baharu 1.0 liter pengecas turbo tiga-silinder, dengan output 100 PS pada 5,000 rpm dan tork 152 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi Xtronic CVT.

    GALERI: Nissan Almera VLT 2020 pasaran Malaysia

     
     
  • Hot Wheels Legends Tour M’sia tetap direalisasikan oleh Art of Speed – berlangsung pada 12 Nov 2020

    Hot Wheels Legends Tour M’sia tetap direalisasikan oleh Art of Speed – berlangsung pada 12 Nov 2020

    Hot Wheels Legends Tour Malaysia yang diselia oleh Art of Speed Malaysia (AOS) sepatutnya berlangsung ketika pusingan Super GT Malaysia 2020 di Sepang pada Julai lalu. Namun akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan menyebabkan perlumbaan tersebut dibatalkan, ia turut menjejaskan pertandingan yang julung kali diadakan di Malaysia ini.

    Namun atas usaha berterusan yang dibuat oleh AOS, pusingan Malaysia yang juga merupakan acara pertama Hot Wheels Legends Tour di Asia ini masih akan berjalan pada tarikh baharu, dengan format yang diubah sesuai dengan situasi Perintah Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang berjalan di Malaysia sekarang.

    Sebelum pergi lebih jauh, diingatkan bahawa ini bukanlah pertandingan perlumbaan atau ubahsuai kereta mainan Hot Wheels, tetapi ia sebenarnya melibatkan pencarian kereta-kereta kustom dalam saiz sebenar, di mana pemenang pada peringkat Malaysia akan berpeluang untuk bertanding di peringkat global, manakala kereta terbaik akan ditransformasikan dalam bentuk model kereta Hot Wheels dalam skala 1:64, dan ia akan dipasarkan ke seluruh dunia!

    Untuk pusingan di Malaysia ini, AOS akan turut dibantu oleh Toys “R” Us Malaysia. Acara yang dibuat dengan cara “penjelahan digital” ini akan disiarkan secara langsung di laman Facebook Hot Wheels – akan ditonton di seluruh dunia – dan pemenangnya akan diumumkan pada 12 November nanti.

    Acara berkenaan akan berlangsung di pusat beli belah 1 Utama, Bandar Utama pada tarikh tersebut, serentak dengan acara on-ground Art of Speed Malaysia 2020. Finalis yang disenarai pendek pada acara ini akan dipilih oleh juri berdasarkan kreativiti, keaslian dan semangat garasi kereta masing-masing pada hari berkenaan.

    Finalis dari lokasi maya Hot wheels Legends Tour Malaysia akan menyertai semua finalis Tour Legends yang lain di Virtual Global Finale di Los Angeles pada bulan November untuk merebut peluang bagi mengabadikan kereta mereka sebagai sebuah kereta die-cast 3-inci Hot wheels, dijual rak-rak jualan mainan ikonik tersebut di seluruh dunia.

    Bagaimana untuk melayakkan diri bagi menyertai Hot Wheels Legends Tour Malaysia ini? Pertama sekali, penyertaan anda perlu dipohon dengan cara unik iaitu dengan mengirim foto dan video kereta kustom/ubahsuai anda ke laman rasmi Hot wheels Legends Tour Malaysia PADA PAUTAN INI.

    Penyertaan berkenaan dibuka bermula hari ini, 5 Oktober 2020 dan akan ditutup pada 15 Oktober 2020. Mereka yang berjaya melayakkan diri kemudiannya perlu membawa kereta masing-masing di lokasi maya Hot Wheels Legends Tour Malaysia 2020 ketika berlangsungnya The 9th Annual Art of Speed Malaysia 2020 bermula 11 hingga 15 November ini.

    Hot wheels Legends Tour kini sudahpun masuk tahun ketiga penganjurannya. Tahun lalu, acara jelajah tersebut menyaksikan kehadiran lebih 110,000 peserta, mendapat lebih daripada 5,000 penyertaan, manakala seorang pemenang telah dipilih dari kalangan 18 finalis.

    Bukan senang nak tengok kereta anda dijadikan sebuah model skala Hot wheels, dan menjadi rebutan kanak-kanak (dan bapak budak) dari seluruh dunia, dan membawa nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Jadi kalau anda rasa kereta anda cukup unik, jangan lepaskan peluang untuk menghantar penyertaan anda segera!

     
     
  • BMW Financial Services sumbang RM100 dari setiap kontrak Engage untuk tempat duduk kanak-kanak

    BMW Financial Services sumbang RM100 dari setiap kontrak Engage untuk tempat duduk kanak-kanak

    BMW Group Financial Services Malaysia (juga dikenali sebagai BMW Credit Malaysia) telah memperuntukkan RM100 sebagai sumbangan kepada program subsidi BMW Safety 360°, untuk setiap kontrak pembiayaan atas talian BMW Engage. Setelah permohonan lengkap, pelanggan secara tidak langsung boleh terus menyumbang secara automatik.

    BMW Engage adalah satu platform pembiayaan atas talian yang menyediakan pelanggan kemudahan untuk memohon dan mendapatkan kelulusan pembiayaan dari mana-mana sahaja dan melalui proses yang mudah. Ia juga mempromosikan inisiatif mesra alam dengan mengurangkan penggunaan kertas.

    “Kami sedar bahawa saranan penggunaan tempat duduk kanak-kanak adalah satu tanggung jawab bersama, dan dengan BMW Safety 360° dan rakan kerjanya, kami juga mahu memastikan lebih banyak tempat duduk kanak-kanak dapat dimiliki oleh golongan B40,” kata pengarah urusan BMW Group Financial Services Malaysia, Tobias Eismann.

    BMW Financial Services sumbang RM100 dari setiap kontrak Engage untuk tempat duduk kanak-kanak

    Program yang merupakan sebahagian daripada inisiatif BMW Safety 360° ini dilancarkan buat kali pertama pada Disember 2019 bersama Safe ‘n Sound and Childline Foundation, di mana 150 unit tempat duduk kanak-kanak dapat dijual pada harga subsidi RM100 setiap satu. Melalui inisiatif ini, lebih 25,000 pendaftaran daripada ibu bapa golongan B40 diterima.

    Fasa kedua program subsidi ini memberikan fokus untuk menyediakan tempat duduk kanak-kanak snskidz (sehingga berat 36 kg) kepada baki mereka yang telah mendaftar dalam fasa pertama. Ia kemudiannya mendapat sokongan daripada Shopee sebagai rakan e-commerce eksklusif, KU.KU Duckbill, Otomo, Mideer, Ankou dan Kakimotor.

    “Sekali lagi, kami ingin menggesa individu, rakan kongsi serta syarikat yang mampu untuk memberi sokongan – sama ada dengan meningkatkan kesedaran melalui pendidikan, menjadikan tempat duduk kanak-kanak lebih mudah diperoleh atau datang kepada kita untuk kerja sama – untuk menjadikan tempat duduk keselamatan kanak-kanak sebagai keperluan utama ibu bapa,” tambah Eismann.

     
     
  • SPYSHOT: Mitsubishi Xpander dijumpai di KL- semakin hampir untuk dilancarkan di pasaran M’sia?

    SPYSHOT: Mitsubishi Xpander dijumpai di KL- semakin hampir untuk dilancarkan di pasaran M’sia?

    Suku keempat tahun ini, pasaran automotif di Malaysia akan sibuk dengan berberapa pelancaran model yang ditunggu-tunggu. Selain dari Proton X50, Nissan Almera Turbo dan Honda City 2020, mereka yang berkeluarga pula pasti ramai yang sedang menunggu pelancaran MPV crossover tujuh-tempat duduk Mitsubishi Xpander.

    Berita baik, model tersebut dijumpai oleh pembaca kami, Sutesh R di Heritage Row, Kuala Lumpur sedang menjalani penggambaran iklan – ini antara petanda bahawa tarikh pelancarannya akan tiba dalam masa terdekat. Dua buah Xpander dilihat di lokasi tersebut, tanpa sebarang pelekat penyamaran, namun ia diberikan lapisan filem penapis haba pada cermin tingkap yang sangat gelap.

    Sebelum ini, Xpander telah pun diprebiu di Mid Valley Megamall, dari 8 hingga 13 September 2020, namun ia dipamerkan dalam keadaan separa tertutup. Menurut Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), Xpander untuk pasaran tempatan akan dipasang secara CKD menerusi fasiliti produksi baharu yang terletak di Pekan, Pahang.

    “Xpander juga disesuaikan untuk pasaran di sini bagi memenuhi keperluan dan permintaan pelanggan tempatan. Ia akan diletakkan tanda harga yang kompetitif untuk membolehkan pelanggan yang berkeluarga mampu memiliki kenderaan tujuh-tempat duduk ini pada harga yang berpatutan,” kata CEO MMM, Tomoyuki Shinnishi.

    Seperti Xpander di Indonesia, model pasaran tempatan turut dijana enjin petrol NA 1.5 liter 4A91 berkuasa 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada takat 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear empat-kelajuan automatik dan kuasa dihantar ke roda hadapan.

    Antara perincian yang akan diberikan pada Xpander pasaran Malaysia termasuk sistem infotainmen yang menyokong fungsi Apple CarPlay, kamera 460-darjah, bahagian dalaman balutan kulit berwarna hitam, serta rim aloi 16-inci kemasan dua tona dengan tayar Toyo Porxes CR1.

     
     
  • Honda sahkan kematian ke-17 berlaku di USA angkara beg udara Takata – melibatkan model Civic 2002

    Honda sahkan kematian ke-17 berlaku di USA angkara beg udara Takata – melibatkan model Civic 2002

    Honda telah mengesahkan kematian ke-17 telah berlaku di Amerika Syarikat (USA) melibatkan isu inflator beg udara buatan Takata. Agensi berita Reuters melaporkan, kes ini dikesan hasil pemeriksaan bersama US National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) yang mengesahkan peranti terbabit adalah punca kematian seorang pemandu Honda Civic 2002, di Mesa, Arizona, selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya pada 20 Ogos lalu.

    Kenderaan terbabit tersenarai dalam program panggilan balik sejak Disember 2011 untuk penggantoan inflator beg udara hadapan pemandu, sementara panggilan balik untuk menggantikan inflator beg udara untuk bahagian penumpang pula telah dikeluarkan pada tahun 2014. Honda telah menghantar lebih 15 notis maklumat untuk panggilan balik tersebut kepada pemilik berdaftar sebelum kemalangan tersebut berlaku, dan juga telah berusaha dengan cara lain untuk menghubungi pemilik kereta berkenaan.

    Walau bagaimana pun, pemandu yang terbunuh dalam insiden berkenaan bukanlah pemilik berdaftar kereta itu, dan Honda berkata tidak dapat dipastikan sama ada pemandu terbabit mengetahui tentang panggilan balik tersebut mahu pun tidak. Sebelum ini, kes kemalangan terbaru berlaku di negara berkenaan akibat inflator beg udara yang bermasalah dilaporkan berlaku pada Jun 2018, apabila pemandu kereta berkenaan meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Juga melibatkan Honda Civic 2002 – di Buckeye, Arizona.

    Honda sahkan kematian ke-17 berlaku di USA angkara beg udara Takata – melibatkan model Civic 2002

    Selain Honda, masalah inflator beg udara buatan Takata di USA turut melibatkan model Nissan dengan 345,700 unit kereta terlibat dengan panggilan balik pada Januari lalu. Di Malaysia pula, Honda telah merekodkan sebanyak 23,476 unit kereta dari pelbagai model yang terlibat dengan panggilan balik disebabkan masalah yang sama, sehingga Oktober 2019.

    Setakat ini, panggilan balik untuk penggantian inflator beg udara Takata ini telah melibatkan sekitar 100 juta unit inflator bagi 19 pengeluar kereta di seluruh dunia, termasuk 63 juga inflator di USA. Pada Ogos, pengeluar kereta Jepun telah bersetuju untuk membayar US$85 juta (RM353 juta) bagi menyelesaikan siasatan oleh kebanyakan negeri di USA mengenai penggunaan inflator keluaran Takata yang rosak.

    Penarikan semula itu memberi kesan besar kepada syarikat alat ganti kenderaan Jepun, yang memohon perlindungan muflis di Amerika Syarikat dan juga di Jepun berikutan jumlah liabiliti 1.7 trilion yen (RM64.3 bilion) pada tahun 2017. Syarikat itu mula membuat pembayaran ganti rugi kepada mangsa di 2019.

     
     
  • BMW G310GS facelift – beberapa kelengkapan baru

    BMW G310GS facelift – beberapa kelengkapan baru

    Selepas lebih empat tahun diperkenalkan buat pertama kali kepada pasaran, BMW G310 GS kini diberikan facelift bagi menjadikan ia lebih menarik dalam pasaran. Selain pilihan warna, terdapat juga beberapa peningkatan lain yang dibuat untuk tunggangan yang lebih memuaskan.

    Pada bahagian kawalan, tuil brek dan klac motosikal adventure permulaan ini sekarang datang dengan unit yang boleh dilaras empat tahap sekaligus memudahkan ia disesuaikan dengan saiz jari atau kegemaran pengguna yang berbeza.

    Kemudiannya untuk lampu, sebelum ini cuma lampu belakang sahaja yang menggunakan unit LED, tetapi sekarang lampu hadapan dan DRL juga menggunakan LED. Untuk lampu penunjuk arah pula, unit LED disediakan sebagai pilihan tambahan yang tersedia dalam katalog BMW Motorrad.

    Pada bahagian mekanikal, ‘baby GS‘ ini masih dikuasakan enjin sama iaitu unit satu silinder 313 cc DOHC, bersama kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 34 hp pada 9,500 rpm dan 28 Nm tork pada 7,500 rpm. Walaubagaimanapun, pada bahagian klac, ia telah dinaik taraf dengan unit anti-hopping.

    Kelengkapan lain masih lagi sama termasuk brek cakera 300 mm dengan angkup empat piston Bybre di hadapan, cakera 240 mm di belakang dengan angkup satu piston, rim 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, ABS two-channel yang boleh ditutup, fork USD 41 mm, monoshock di belakang, tangki bahan api 11 liter, berat 169.5 kg dan tinggi tempat duduk 835 mm.

    Bagi pilihan warna, selain skema biasa putih dan kelabu, model facelift 2020 ini turut disediakan dalam pilihan dua warna baru iaitu yang menggunakan rangka merah dengan panel plastik biru dan perak, serta satu lagi yang menggunakan konsep edisi “40 Years GS” dengan kebanyakan bahagian berwarna hitam dan dihias pada beberapa tempat dengan warna kuning.

     
     
  • Hyundai Sonata 2020 dipertonton di Malaysia – 2.5 MPI

    Hyundai Sonata 2020 dipertonton di Malaysia – 2.5 MPI

    Nampak gayanya, Kona bukanlah satu-satunya model yang bakal dilancarkan oleh Hyundai-Sime Darby Motor tidak lama lagi. Beberapa hari lalu, syarikat ini telah pun mempertontonkan model Sonata baharu. Diimport sepenuhnya dari Korea Selatan, DN8 generasi kelapan yang berada dalam kategori sedan segmen-D yang tidak begitu meriah pasarannya di sini, tapi masih memberikan persaingan sihat buat pencabarnya termasuk Toyota Camry, Honda Accord dan Volkswagen Passat.

    Buat masa ini, ia hanya didatangkan dengan satu tahap kemasan sahaja, dijanakan oleh enjin baharu 2.5 liter Smartstream MPI empat-silinder petrol. Ia mampu memberikan kuasa hingga 180 hp pada 6,000 rpm dan tork 232 Nm pada 4,000 rpm, dengan pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Sonata baharu ini kelihatan lebih berketerampilan berbanding model sebelumnya. Ia merupakan model pertama yang mengetengahkan bahasa rekaan Sensuous Sportiness ciptaan Hyundai yang terkini, ibarat gaya ala coupe empat-pintu YF generasi ke-enam.

    Pada bahagian hadapannya, kelihatan gril Cascading yang lebih lebar dan agresif, disambungkan dengan lampu utama LED trapezoidal yang nipis melunjur ke atas sehingga gerbang roda hadapan. Jaluran bonet krom yang lebih berkarakteristik ini juga mempunyai fungsi baharu untuk menyembunyikan lampu nyalaan siang LED.

    Hyundai Sonata 2020 dipertonton di Malaysia – 2.5 MPI

    Manakala untuk bahagian sisinya, garisan bumbung yang rendah selari dengan garisan sisi yang melengkung, menampakkan permukaan yang cembung pada kereta ini. Lampu belakang berbentuk-C pula seakan macam Honda Civic, bersatu menerusi jaluran bawah butnya.

    Sonata yang memasuki pasaran dalam bentuk standard, namun ia telah didatangkan dengan imej yang lebih konservatif termasuk dengan jaluran krom lebar sepenuhnya dan paip ekzos tersembunyi. Ia turut ditampilkan dengan roda aloi 18-inci.

    Bagi dimensinya, Sonata ini sedikit besar berbanding model sebelumnya. Ia berukuran 4,900 mm panjang dan 1,890 mm lebar, iaitu 45 mm lebih panjang dan 25 mm lebih lebar. Malah jarak rodanya juga lebih panjang sebanyak 35 mm, kini 2,840 mm. Walau bagaimana pun, ia lebih rendah sebanyak 30 mm iaitu pada 1,445 mm, yang memberikan imej lebih dinamik bagi kereta ini.

    Di dalamnya, ia dibentangi papan pemuka yang lebih nipis, dengan konsol tengah yang agak tinggi dan skrin sesentuh infotainmen freestanding. Unit paparan kelihatan lebih menarik dengan skim warna dua tona, dengan papan pemuka dan tempat duduk balutan kulit berona perang. Skrin sesentuh lebih kecil, bersaiz lapan-inci ditampilkan berbanding unit paparan 10.25 inci untuk pasaran lain, tetapi masih menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

    Hyundai Sonata 2020 dipertonton di Malaysia – 2.5 MPI

    Sentuhan unik lain termasuklah pemilih gear dengan push-button dan pengecas tanpa wayar Qi yang mampu mengelakkan telefon pintar menjadi terlebih panas. Ciri standard lain termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu, kawalan suhu dwi-zon dengan corong udara di belakang, bilah pengelap cermin dan lampu auto, cermin pandang belakang anti-silau, paparan instrumen 12.3-inci dan sistem kamera 360-darjah.

    Di bawah hudnya, Sona menggunakan platform generasi ketiga baharu yang membuatkan kereta ini lebih ringan dan tegar. Terdapat struktur lintasan pelbagai-beban dan penggunaan material keluli berketahanan tinggi, di mana ia mempertingkatkan keselamatan sekiranya kemalangan, dan mengurangkan bunyi bising, getaran dan kekerasan. Menurut Hyundai, geometri suspensi dan stereng juga telah ditambah baik untuk meningkatkan kestabilan dan respon pengendalian.

    Bagi aspek keselamatannya, Sonata diberikan Paparan Pandangan Titik Buta baharu, yang berfungsi seperti Honda LaneWatch tetapi dengan dua elemen berbeza. Ia menggunakan kamera yang diletakkan di kedua-dua belah sisi kereta, memberikan paparan kepada kluster instrumen, berbanding skrin infotainmen.

    Ia juga didatangkan dengan enam beg udara dan kawalan kestabilan, tetapi tidak dilengkapi bantuan pemanduan Hyundai SmartSense yang menampilkan ciri termasuk brek kecemasan sendiri. Sayangnya, ciri ini tidak ditampilkan sedangkan Kona 1.6 TGDI yang jauh lebih murah pun dilengkapi aspek keselamatan ini.

     
     
  • Review: Michelin Power 5 – bantu penunggang nikmati motosikal sports jalanan, tak perlu risau bila hujan

    Review: Michelin Power 5 – bantu penunggang nikmati motosikal sports jalanan, tak perlu risau bila hujan

    Pengguna motosikal berkuasa tinggi kini mempunyai pilihan tayar baru apabila Michelin memperkenalkan barisan model Power tahun ini, yang terdiri daripada Power 5,, Power GP, Power Cup 2 dan Power Slick 2. Tayar ini mempunyai nisbah penggunaan jalan biasa dan litar masing-masing 100% (jalan biasa sahaja), 50:50, 10:90 dan 100% (litar sahaja).

    Bagi memberi peluang merasakan sendiri prestasi tayar ini, Michelin Malaysia telah menyediakan saya dengan satu set Power 5 bersaiz 120/70 (hadapan) dan 160/60 (belakang) untuk dipasang pada KTM 690 Enduro R yang menggunakan rim supermoto. Penukaran dilakukan di Syarikat Motosikal Sunny, Setapak.

    Dalam barisan model Power yang baru dilancarkan ini, Power 5 adalah yang paling sesuai digunakan atas jalan biasa kerana ia mampu memberikan cengkaman baik atas jalan kering dan juga basah. Kalau dibandingkan pula dengan Power GP, bahagian tepi Power 5 tidak menggunakan bahan slick.

    Bunga bahagian tengah kelihatan sama sementara untuk campuran bahan pula, bergantung kepada saiz, ia boleh mencecah sehingga 68% silika di bahagian tengah dan 22.5% untuk bahagian tepi.

    Sebaik tayar ini dipasang kepada motosikal, perkara pertama yang disedari adalah ia cukup melekit sehingga mengeluarkan bunyi berdecit apabila melalui garis jalan. Atas jalan bersimen seperti kawasan letak kereta juga ia menjadi lebih jelas sekaligus membuatkan saya tersenyum.

    Rasanya sebelum ini, tidak pernah lagi saya mendengar bunyi melekit seperti ini apabila menggunakan tayar street baru dan awalnya saya berpendapat ia mungkin disebabkan lapisan paling atas yang biasanya terdapat pada tayar baru.

    Sekadar memberitahu, apabila menggunakan apa-apa pun tayar baru, anda sepatutnya memberikan sedikit masa untuk membuang lapisan ini dan perlu menunggang lebih berhati-hati terutamanya apabila mengambil selekoh. Lapisan ini biasanya akan membuatkan tayar lebih licin dan bagi tayar ini, kami memberikannya masa sekitar 50 km untuk mula merasakan cengkaman sebenar.

    Habis tempoh itu dan tayar sudah mula memberikan prestasi yang meyakinkan, bunyi melekit itu masih ada dan saya berpendapat ia mungkin disebabkan oleh campuran bahannya. Tiada apa yang perlu dirisaukan, malah ia membuatkan saya lebih yakin.

    Review: Michelin Power 5 – bantu penunggang nikmati motosikal sports jalanan, tak perlu risau bila hujan

    Sewaktu artikel ini ditulis, saya telah menggunakan tayar ini hampir 3,000 km dalam pelbagai keadaan dari tunggangan bersemangat atas jalan biasa, perjalanan jauh, hinggalah ke dalam litar. Gambar terakhir yang anda lihat dalam set gambar di bawah adalah selepas saya menghabiskan masa dalam Litar Tangkak.

    Atas jalan biasa, saya boleh katakan tayar ini sangat berbaloi untuk digunakan oleh mereka yang mempunyai motosikal sports. Harga untuk unit yang diberi kepada kami ini adalah RM423 untuk bahagian depan dan RM530 untuk bahagian belakang.

    Mereka seperti ini biasanya mencari tayar yang boleh memberikan keyakinan untuk mereka melayan selekoh, dan pada masa sama masih boleh digunakan tanpa risau atas jalan basah dan tidak terlalu cepat habis.

    Semua ini dapat disediakan oleh Power 5 dan pada pendapat saya, ia adalah lebih baik berbanding tayar jenama pesaing dalam segmen sama yang digunakan pada motosikal saya sebelum ini.

    Review: Michelin Power 5 – bantu penunggang nikmati motosikal sports jalanan, tak perlu risau bila hujan

    Atas jalan kering, saya tidak perlu risau langsung berkenaan cengkaman kerana seingat saya, tidak sekali pun atas jalan yang elok saya terasa ia tergelincir. Ini termasuklah waktu saya menunggang pada kadar yang boleh dikatakan laju untuk jalan biasa.

    Setelah beberapa ratus kilometer, saya sudah mula mendapat tanggapan ini adalah tayar prestasi jalanan, yang bermakna cengkaman atas jalan kering adalah sangat baik. Melalui tayar seperti ini, kita juga sudah boleh membuat jangkaan mesti terdapat sedikit kekurangan atas jalan basah.

    Menurut Michelin, Power 5 masih boleh memberi cengkaman yang baik atas jalan basah kerana menggunakan campuran bahan silika serta carbon black, dan bunga bahagian tepinya juga anda boleh lihat lebih panjang dan besar.

    Walaupun begitu, saya sentiasa memberikan rasa berjaga-jaga yang lebih apabila menggunakan tayar sebegini dalam waktu hujan. Memang ada rasa sedikit geli kalau dibandingkan dengan Pilot Road 4 tetapi ia tidaklah sehingga menyebabkan saya menunggang dengan rasa takut atau terlalu perlahan, dan saya masih dapat mengambil selekoh dengan selamat.

    Review: Michelin Power 5 – bantu penunggang nikmati motosikal sports jalanan, tak perlu risau bila hujan

    Bercerita tentang perjalanan jauh, saya telah menggunakan Power 5 ini untuk satu perjalanan Kuala Lumpur – Teluk Intan – Cameron Highlands – Tasik Kenyir – Kuala Terengganu – Kuantan – Kuala Lumpur.

    Walaupun jalan yang dilalui banyak bercampur antara lebuh raya dan selekoh-selekoh, saya masih risau bahagian tengah akan mula nampak seperti berpetak atau rata, seperti yang akan terjadi apabila menggunakan tayar lembut untuk perjalanan jauh.

    Pada Power 5 ini ia tidak sebegitu. Setelah perjalanan lebih 1,300 km, tayar yang digunakan, terutamanya bahagian belakang masih dalam bentuk biasa yang bulat dan tidak terlalu terkesan. Satu lagi tambahan, saya juga ada membawa motosikal ini untuk melalui sedikit jalan offroad di Gopeng, dan meskipun dipulas atas jalan berbatu, ia masih lagi bertahan dan tidak terkoyak.

    Disebabkan Power 5 boleh dikatakan sebagai tayar prestasi jalanan tahap pertengahan, saya merasa yakin untuk menggunakannya di dalam litar, sewaktu acara Supermoto Track Day di Litar Tangkak, Johor.

    Keadaan selepas penggunaan dalam litar

    Sehari suntuk saya membelasah Power 5 ini dengan dalam beberapa sesi iaitu Practice 1, Practice 2, Qualifying, Race 1 dan Race 2. Kalau dikira, saya rasa mungkin ada lebih 60 pusingan yang dibuat, dengan hampir kesemuanya pada tahap maksimum.

    Saya boleh katakan, sekiranya anda masuk ke dalam litar hanya untuk berseronok atau berlatih pada tahap bawah 60% daripada maksimum, tayar ini masih boleh digunakan. Tiada masalah untuk menggunakan Power 5 ini termasuklah untuk mengambil selekoh sehingga mencecah lutut.

    Tetapi apabila anda sudah masuk dalam mod perlumbaan dan mahu mengerah kuasa maksimum motosikal, tayar ini akan mula rasa sedikit kekurangan. Apabila ia sudah mula rasa tergelincir, anda harus mengawal pendikit supaya tidak terlalu agresif dan ini akhirnya membuatkan anda ketinggalan berbanding mereka yang menggunakan tayar slick.

    Untuk tugas ini Michelin ada menawarkan Power Cup 2 atau Power Slick 2 yang mana harganya untuk setiap unit cuma berbeza tidak sampai RM160 (atau kurang) bergantung kepada saiz.

    Review: Michelin Power 5 – bantu penunggang nikmati motosikal sports jalanan, tak perlu risau bila hujan

    Sejak mencuba Michelin Power 5 ini, saya sudah mula membuat keputusan ia mungkin adalah tayar kegemaran saya sekarang untuk tunggangan atas jalan biasa. Cuma yang perlu diperhatikan lagi adalah berapa jumlah perjalanan keseluruhan yang boleh dicapai menggunakannya sebelum bunga menjadi botak atau prestasinya mula menurun.

    Apabila sudah tahun nanti saya akan mengemas kini artikel ini dan sekiranya lebih daripada 7,000 km pun, ia sudah boleh menjadi pilihan utama saya berbanding tayar lain yang sudah pernah digunakan sebelum ini.


     
     
  • Volvo patenkan rekaan posisi pemandu bervariasi

    Volvo patenkan rekaan posisi pemandu bervariasi

    00170001

    Volvo ditemui memfailkan paten teknologi yang pelik di Pejabat Paten dan Tanda Dagangan Amerika Syarikat – rekaan tersebut menunjukkan teknologi yang membolehkan sebuah kereta itu mempunyai tempat duduk pemandu yang boleh diubah dengan mudah tidak kira pada sebelah kiri, sebelah kanan, malah pemandu turut boleh duduk di bahagian tengah!

    Dalam fail yang dihantar oleh Volvo kepada pejabat berkenaan yang ditemui oleh ahli dari forum pemilik Rivian, rekaan ini adalah berkaitan dengan teknologi kereta pemanduan sendiri (autonomous), dan ia turut menyebut berkenaan lima tahap autonomous yang telah dibangunkan oleh Persatuan Jurutera Automotif (SAE).

    Lima tahap berkenaan bermula dari tahap 0 di mana semua perkara adalah dikawal oleh pemandu, tahap 1-4 gandingan antara manusia dan komputer, sehingga ke tahap 5 yang menyaksikan semua kawalan dibuat secara automatik tanpa sebarang bantuan manusia.

    Menurut Volvo, ketikan kenderaan itu dalam mod yang dipandu oleh manusia (Tahap 0-2), pemandu boleh berada pada sebelah kiri atau kanan, bergantung pada undang-undang dalam sesebuah negara di mana kereta itu berada. Walau bagaimanapun, untuk kenderaan yang ditawarkan dengan mod autonomous tahap 3-5, kawalan tidak semestinya dibuat dengan kawalan pemandu manusia yang biasa, dan dalam berberapa situasi, pemandu manusia mungkin tidak perlu duduk di tempat pemanduan konvensional.

    Oleh itu, posisi pemandu bervariasi yang boleh berubah dengan mudah seperti yang ditunjukkan pada paten ini akan memberikan lebih tahap fleksibel pada kereta-kereta yang diberikan sistem autonomous tahap tinggi, khususnya dalam situasi di mana pemandu manusia sudah tidak diperlukan untuk mengawal kereta.

    Secara teori, Volvo mengatakan bahawa roda stereng yang menggunakan teknologi steer-by-wire (tidak memerlukan kolum stereng mekanikal konvensional) boleh dialihkan dengan satu rel merentasi papan pemuka, membolehkan ia dialihkan dari sisi ke sisi.

    Volvo patenkan rekaan posisi pemandu bervariasi

    00170001

    Bahagian roda stereng yang boleh dialih tersebut dilihat turut bersama tuil gear dan tuil-tuil kawalan lain. Jika bahagian hadapan diberikan tempat duduk jenis bench, stereng turut boleh diposisikan pada bahagian tengah.

    Paten ini turut menunjukkan satu lagi sistem di mana tuil gear turut berada pada rel tetapi tidak bersama roda stereng, manakala tempat duduk hadapan boleh direka sama ada dalam bentuk kekal atau turut diletakkan pada rel – bagaimana sebenarnya ia berfungsi masih belum dinyatakan dengan jelas.

    Untuk kawalan pedal kaki pula, fail paten ini menyatakan bahawa pedal konvensional masih lagi boleh digunakan, tetapi dengan kaedah lebih canggih menggunakan pad penderia pada panel lantai, membolehkan ia diaktifkan mengikut posisi roda stereng.

    Volvo patenkan rekaan posisi pemandu bervariasi

    00170001

    Manakala untuk panel paparan instrumen pula, Volvo memberikan dua pilihan. Pertama, ia boleh direka dengan paparan digital yang dihasilkan lebar mengikut keseluruhan lebar papan pemuka, bagi memberikan maklumat pemanduan yang penting bergantung di mana posisi pemandu.

    Satu lagi rekaan adalah dengan menempat satu paparan instrumen bersaiz biasa yang bergerak sekali mengikut posisi roda stereng.

    Walau bagaimanapun, setelah paten ini difailkan, ia bukan bermaksud teknologi tersebut sah untuk dibangunkan dan diterapkan pada model produksi akan datang. Buat masa sekarang Volvo masih belum membuat sebarang pengumuman untuk memperkenalkan teknologi posisi pemandu bervariasi ini pada model-model produksi mereka.

     
     
  • Proton catat jualan lebih tinggi dari tahun lalu empat bulan berturut-turut; jualan September naik 33.6%

    Proton catat jualan lebih tinggi dari tahun lalu empat bulan berturut-turut; jualan September naik 33.6%

    Proton telah mengumumkan bahawa mereka berjaya mencatatkan jualan sebanyak 11,935 unit pada bulan September lalu, meningkat sebanyak 33.6% berbanding bulan sama untuk tahun 2019 dan 4.9% lebih tinggi berbanding bulan Ogos. Dengan rekod ini juga momentum jualan Proton dilihat kekal dalam empat bulan kebelakangan ini, yang mencatatkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Jumlah jualan yang dicatatkkan pada September ini juga merupakan catatan kedua tertinggi bagi tahun 2020 bersamaan dengan penambahan 4.9% berbanding dengan Ogos. Secara kumulatif pula, Proton telah menjual sebanyak 73,607 unit kenderaan pada tahun ini, bersamaan dengan pegangan pasaran sebanyak 21.6% dan menduduki tempat kedua dalam industri automotif Malaysia.

    Sama seperti Ogos, tiga model Proton mendahului segmen masing-masing pada bulan ini. SUV segmen-C Proton X70 masih lagi kekal bukan sahaja model terlaris dalam kelasnya, malah merupakan SUV terlaris dalam pasaran Malaysia dengan jumlah jualan 2,849 unit, juga dicatatkan sebagai prestasi jualan yang kedua terbaik dalam tahun 2020.

    Proton Persona juga masih kekal sebagai sedan segmen-B paling laris sepanjang September 2020 dengan jumlah jualan 2,606 unit, begitu juga dengan Proton Exora yang mendahului carta jualan MPV segmen-C pada bulan sama dengan jualan berjumlah 748 unit. Proton juga yakin bahawa status untuk semua model yang menjadi peneraju dalam segmen ini akan kekal hingga akhir tahun.

    “Setelah Kadar Keseluruhan Industri (TIV) melebihi 50,000 unit untuk tiga bulan berturut-turut, kita boleh membuat anggapan bahawa pasaran automotif Malaysia telah mencapai kestabilan buat masa ini. Proton berasa lega dan yakin kerana pencapaian jualan bulanan ini melebihi jumlah jualan bulanan pada tahun lepas dan ini adalah penunjuk bahawa kita telah kembali ke tahap penjualan yang lestari,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton EDAR.

     
     
  • Proton sahkan tempahan X50 cecah 20k unit! – harga akan diumumkan ketika pelancarannya tak lama lagi

    Proton sahkan tempahan X50 cecah 20k unit! – harga akan diumumkan ketika pelancarannya tak lama lagi

    Pelbagai khabar angin bertiup sebelum ini tentang angka tempahan yang diterima untuk Proton X50, dan menerusi satu kenyataan rasmi yang baru sahaja dikeluarkan oleh Proton, tempahan untuk SUV segmen-B berkenaan disahkan telah melebihi jangkaan mereka dengan mencecah 20,000 unit hanya selepas dua minggu didedahkan!

    Untuk maklumat anda, pendedahan yang dibuat pada tengah bulan lalu hanya preview untuk model ini dan ia belum dilancarkan secara rasmi ke dalam pasaran. Oleh itu, harga untuk setiap varian Proton X50 ini juga masih belum diumumkan.

    “Pihak Proton ingin berterima kasih kepada para pelanggan yang menunjukkan minat yang amat tinggi kepada Proton X50. Kami di Proton akan memberi tumpuan kepada proses pengeluaran untuk memenuhi permintaan pelanggan dalam tiga bulan terakhir 2020, pada masa yang sama memberi penekanan terhadap kualiti produk,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton EDAR, Roslan Abdullah.

    Proton sahkan tempahan X50 cecah 20k unit! – harga akan diumumkan ketika pelancarannya tak lama lagi

    Angka tempahan 20,000 unit ini memang sangat tinggi untuk sebuah kereta yang masih belum diketahui harganya. Malah tempahan yang dibuat bukanlah sekadar dengan ‘air liur’, tetapi setiap pelanggan yang menempah perlu membayar yuran sebanyak RM500, dan Proton tidak lagi membuka tempahan secara atas talian (untuk X70 sebelum ini tempahan dengan cara ini hanya mengenakan yuran sebanyak RM99 pada 2018 dan awal tahun ini) bagi memastikan tempahan yang dibuat adalah realistik kepada hanya pembeli yang serius.

    Mengapa harga untuk X50 ini masih belum diumumkan? Adakah benar harga tersebut masih belum diumumkan secara rasmi kerana Proton masih menunggu harga yang diluluskan oleh kerajaan seperti yang dilaporkan berberapa media sebelum ini?

    Ketika paultan.org bertanyakan perkara ini terus kepada En. Roslan sendiri, beliau memberitahu bahawa Proton tidak berhadapan dengan masalah sedemikian. Pendedahan informasi-informasi untuk model baharu termasuk harga jualannya adalah tertakluk kepada jadual pelancaran yang telah ditetapkan syarikatnya.

    Jika anda lihat apa yang dilakukan oleh Proton ketika memperkenalkan dan melancarkan model-model baharu berberapa tahun kebelakangan ini, jelas prosedurnya adalah konsisten – harga untuk model-model berkenaan hanya akan diumumkan oleh CEO Proton, Dr Li Chunrong ketika majlis pelancaran rasminya. Jadi tiada apa yang berubah, ia kekal sama pada X50 ini.

    Proton sahkan tempahan X50 cecah 20k unit! – harga akan diumumkan ketika pelancarannya tak lama lagi

    Jadi bila majlis pelancaran rasmi ini akan berlangsung? Dengan segala tahap informasi yang telah didedahkan oleh Proton, kami jangkakan ia akan berlangsung dalam sedikit masa lagi. Selamat untuk diagak bahawa ia mungkin akan dibuat mungkin dalam dua minggu lagi, sekitar satu bulan selepas tempahannya dibuka.

    Ada yang bertanya, macam mana nak buat tempahan jika harga pun belum tahu? Menurut rakan kami, Hafriz Shah yang telah pun menempah sebuah Proton X50 ini, buat masa ini hampir semua pengedar Proton akan memberikan harga jangkaan bermula RM80k hingga RM110k sebelum seseorang itu mahu menempah kereta ini. Kalau nasib baik, Proton mungkin akan mengumumkan harga sebenar yang lebih rendah dari jangkaan ini.

    Namun sekiranya anda tidak berpuas hati dengan harga sebenar yang diumumkan kelak, anda masih boleh membuat keputusan lain seperti menukar pilihan varian, malah untuk membatalkan tempahan dengan bayaran RM500 dipulangkan sepenuhnya juga masih boleh dibuat.

    Proton X50 ini ditawarkan dalam empat pilihan varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship. Dibangunkan berdasarkan Geely Binyue/Coolray, antara ciri yang ditampilkan termasuklah sistem infotainmen GKUI 19 terkini, remote engine start dan pemanduan semi-autonomous Tahap 2.

    Proton sahkan tempahan X50 cecah 20k unit! – harga akan diumumkan ketika pelancarannya tak lama lagi

    Kesemua varian X50 diberikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo, namun tiga versi paling rendah hadir dengan sistem suntikan bahan api pelbagai-titik (MPI), manakala varian Flagship menerima sistem suntikan bahan api terus (GDI).

    Jadi, untuk model Turbo-GDI, kuasa yang dihasilkan adalah sama seperti Geely Binyue 1.5 T-GDI iaitu 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Manakala untuk tiga varian lebih rendah dengan enjin Turbo-MPI pula, ia menjana kuasa lebih rendah iaitu 150 PS dan tork maksima 226 Nm.

    Kami telah pun menguji model ini dalam satu sesi yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang tempoh hari dan ulasannya anda boleh baca PADA PAUTAN INI. Untuk lebih perincian Proton X50 ini dan juga pecahan spesifikasi mengikut varian, anda boleh baca artikel-artikel yang telah kami tulis sebelum ini seperti di bawah:

  • Proton X50 ditunjuk secara rasmi – tempahan dibuka, TGDi 1.5L 3-silinder, ciri semi autonomous Tahap 2
  • Proton X50 2020: Perbezaan spesifikasi bagi setiap varian — Standard, Executive, Premium dan Flagship
  • Carta warna Proton X50 didedahkan – 6 warna, merah ‘Passion Red’ hanya untuk Premium dan Flagship
  • Proton X50 – kadar penggunaan bahan api didedah; 6.4 L setiap 100km untuk 1.5L 3-silinder Turbo GDI
  • Proton X50 ditala untuk keadaan jalan di Malaysia, ujian penuh libatkan 1.9 juta kilometer, 75,000 jam
  • GALERI: Proton X50 1.5 T-GDI Flagship 2020

     
     
  • Juara perlumbaan S1K 2 kali, Farique Hairuman dah tempah Proton X50 – suka dengan pengendaliannya

    Juara perlumbaan S1K 2 kali, Farique Hairuman dah tempah Proton X50 – suka dengan pengendaliannya

    Macam-macam angka tempahan yang kita dengar pasal Proton X50 kan? Namun hakikatnya Proton sendiri belum mengumumkan sebarang angka tempahan rasmi yang diperolehi (kemaskini: Proton dah sahkan tempahannya dah cecah 20k unit dalam masa dua minggu!). Tetapi jika benar angka berkenaan tinggi, saya tak hairan. Ini kerana ramai dari kenalan saya sendiri memang sudah menempah SUV segmen-B tersebut.

    Rabu lalu, saya berkesempatan untuk menguji X50 ini pada satu sesi uji pandu yang dianjurkan Proton di Litar Antarabangsa Sepang (ulasannya anda boleh baca PADA PAUTAN INI), dan ketika sesi ‘hot lap’ yang dibuat, saya bertuah kerana dapat duduk di dalam X50 yang dipandu oleh juara perlumbaan Sepang 1000km untuk tahun 2018 dan 2019, memandu untuk pasukan Proton R3, iaitu Farique Hairuman.

    Ketika sesi tersebut, Farique yang juga terkenal dengan nama panggilan Wak Tempe jelas teruja dengan SUV ini, bukan sahaja kerana prestasi enjin 1.5L tiga-silinder Turbo GDI yang diberikan, malah turut gembira dengan prestasi pengendalian yang dihasilkan oleh pasukan ‘ride & handling’ Proton ini.

    Dan tak sangka, dalam satu hantaran di akaun Facebook rasminya hari ini, Farique menyatakan bahawa dia telah menempah sebuah Proton X50 tersebut!

    Juara perlumbaan S1K 2 kali, Farique Hairuman dah tempah Proton X50 – suka dengan pengendaliannya

    Menurut Farique, pengendalian Proton X50 ini tidak seperti model-model SUV lain yang pernah dipandunya kerana ia seronok, lincah dan mudah untuk masuk ke selekoh kerana sistem Traction Control pada kereta ini berfungsi dengan baik dan ia memberikan pembetulan yang lancar.

    “Keluar dari selekoh T6 (di Sepang) saya boleh terus tekan habis pedal pendikit dan biar ia terus ke sisi dan mengejutkan ia tidak mempunyai rasa understeer yang biasa ada pada SUV. Selekoh T12 saya tidak merasakan sebarang oversteer tiba-tiba walaupun ada empat orang di dalam X50,” tulis Farique dalam hantaran tersebut.

    “Dengan empat orang duduk di dalam X50 meter kelajuan menunjukkan 168 km/j sebelum saya membrek sebelum masuk ke selekoh T1,” tambahnya lagi.

    Apa yang diperkatakan oleh Farique ini adalah selari dengan apa yang diterangkan oleh Ketua Jurutera untuk projek X50, Noor Hisham Ismail kepada kami dalam satu sesi soal jawab selepas habis sesi pandu uji ini di Sepang tempoh hari.

    Juara perlumbaan S1K 2 kali, Farique Hairuman dah tempah Proton X50 – suka dengan pengendaliannya

    Menurut Noor Hisham, asas kepada X50 iaitu Geely Binyue diberikan suspensi yang terlalu keras untuk memberikan karekter sporty memandangkan jalan raya di China sangat rata dan baik. Namun jika talaan suspensi yang sama diterapkan pada X50 di Malaysia, pemandu di sini bukan sahaja tidak selesa, malah sifatnya yang akan ‘melantun-lantun’ membuatkan dinamik pemanduannya tidak dapat dinikmati di atas jalan raya tempatan dengan permukaan yang tidak rata.

    Jadi Proton perlu ‘melembutkan’ suspensi tersebut dengan talaan semula dibuat pada penyerap hentak, spring, bar anti-oleng dan juga setiap bush-bush getah pada komponen sistem suspensi. Bukan itu sahaja, Proton juga memadankan tayar Continental UltraContact UC6 (untuk varian Flagship dan Premium) dengan kompaun lebih lembut berbanding tayar pada Binyue pasaran China.

    Ini bukan bermaksud pengendalian X50 ini akan menjadi lembut seperti ‘sampan’, tetapi ayat yang lebih tepat sebenarnya Proton telah menyeimbangkan aspek dinamik pengendalian dan juga keselesaan – ia masih tetap seronok untuk dipandu dalam masa yang sama masih selesa untuk membawa seisi keluarga dengan keadaan jalan raya seperti di Malaysia ini.

    Juara perlumbaan S1K 2 kali, Farique Hairuman dah tempah Proton X50 – suka dengan pengendaliannya

    Dinamik pengendalian pada X50 ini bukan disumbangkan pada suspensi yang ditala semula ini sahaja. Menurut Noor Hisham lagi, Proton turut menala semula mod pemanduan Sport pada X50 ini – ia bukan sahaja melibatkan karekter penghantaran kuasa dari enjin dan juga respon dan tukaran gear dari transmisi dan juga respon pada stereng, malah sistem kestabilan elektronik pada model ini turut di tala semula bagi memberikan dinamik pemanduan yang lebih sporty.

    Berbalik pada Farique Hairuman, pelumba kelahiran Johor Bahru ini bukan sekadar ‘jaguh kampung’. Farique merupakan antara pelumba tempatan yang membawa cabaran pasukan Petronas Syntium Proton di kejuaraan Touring Car British dengan memandu Proton Waja BTCC.

    Beliau juga pernah bertanding di siri kejohanan Super Taikyu Endurance di Jepun untuk pasukan Petronas Syntium untuk musim 2008 hingga musim 2013, dan pernah bergandingan dengan bekas juara D1GP serta juara GT300, Nobuteru Taniguchi. Malah tahun lalu, Farique bersama pasukan Viper Niza Racing telah dinobatkan sebagai juara dalam kategori Pro Am dalam perlumbaan TCR Spa 500 di litar Spa Francochamps, Belgium.

    GALERI: Proton X50 1.5 T-GDI Flagship 2020

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025