Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GALERI: Perodua Myvi 1.3 X 2020 dengan ASA 2.0 dan warna baharu Electric Blue – RM46,959 tanpa SST

    GALERI: Perodua Myvi 1.3 X 2020 dengan ASA 2.0 dan warna baharu <em>Electric Blue</em> – RM46,959 tanpa SST

    Minggu lalu, Perodua telah melancarkan model kemaskini Myvi 2020 yang diberikan berberapa perincian baharu. Antara tingkat taraf yang diberikan adalah sistem bantuan pemanduan ASA sedia ada kini telah diperbaharui dengan sistem ASA 2.0, dan ia kini dilengkapkan standard pada model 1.5 AV dan 1.5H, serta ditawarkan secara opsyen untuk varian 1.3 X.

    Model yang kami paparkan ini adalah Myvi 1.3 X yang dilengkapi ASA 2.0, serta dalam warna baharu Electric Blue. Sistem ASA 2.0 ini boleh anda dapatkan sekiranya memilih varian 1.3 X dengan bayaran tambahan RM2,000. Ini bermaksud harga asal RM44,959 akan meningkat kepada RM46,959 sekiranya anda memilih 1.3 X dengan sistem ASA.

    Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk pengecualian cukai jualan yang telah diumumkan kerajaan sebelum ini.

    GALERI: Perodua Myvi 1.3 X 2020 dengan ASA 2.0 dan warna baharu <em>Electric Blue</em> – RM46,959 tanpa SST

    Sistem bantuan pemandua ASA 2.0 tersebut adalah versi tingkat taraf untuk sistem pada Myvi sebelum ini. Ia juga kini telah dipadankan pada model-model Perodua yang lain seperti Aruz, Axia facelift dan juga Bezza facelift.

    Sistem ASA 2.0 ini masih menawarkan pakej sistem yang sama iaitu Pre-collision Warning (PCW), Pre-collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC), tetapi fungsi untuk sistem ini telah dipertingkatkan.

    Antara peningkatan tersebut termasuk penambahan sistem Pengesan Pejalan Kaki yang berfungsi sehingga 50 km/j, manakala kelajuan operasi PCW dan PCB ditingkatkan masing-masing kepada 100 km/j dan 80 km/j. Lebih perincian untuk sistem ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Untuk perincian lain, spesifikasi pada Myvi 1.3 X ini masih lagi sama dengan sebelum ini. Jadi ia hadir dengan ciri seperti sistem bantuan mula mendaki, lampu kabus hadapan, penderia parkir hadapan dan juga cermin sisi boleh-lipat berkuasa.

    Dari rupa luaran dan dalaman, varian ini turut diberikan kemasan-kemasan krom/metalik tambahan. Bahagian kabin 1.3 X diberikan pemain audio utama 2-DIN bersama Bluetooth, roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit dan juga perehat kepala boleh laras pada bahagian belakang.

    Sistem mekanikal juga tidak berubah di mana ia dijana enjin 1NR-VE berkuasa 94 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 121 Nm pada takat 4,000 rpm bersama sistem eco-idle, digandingkan dengan kotak gear automatik empat kelajuan elektronik E-AT.

    Lebih perincian berkenaan Perodua Myvi 2020 ini termasuk perbezaan setiap varian, anda boleh rujuk di laman Carbase.my.

     
     
  • Ssangyong E100 – teaser SUV elektrik mula disiarkan

    Ssangyong E100 – teaser SUV elektrik mula disiarkan

    SsangYong telah mula mengeluarkan teaser untuk kenderaan elektrik pertama mereka, yang dirancang untuk dilancarkan di Korea Selatan awal tahun depan. Dikenali setakat ini melalui nama kod “E100”, kereta elektrik tersebut menggunakan asas daripada SUV kompak Korando, yang dijual dalam dua versi enjin biasa iaitu petrol dan diesel.

    Berdasarkan dua gambar yang disiarkan ini, kita boleh melihat E100 mempunyai beberapa perubahan rekaan berbanding Korando biasa, dengan yang paling utama adalah penggunaan gril tertutup yang sudah biasa bagi sebuah kereta elektrik. Di tengahnya terdapat logo jenama itu sendiri.

    Ssangyong E100 – teaser SUV elektrik mula disiarkan

    Perubahan lain adalah bampar baru, yang kebanyakannya adalah tertutup, dan beberapa garisan dan lekuk di bawah sedikit untuk menjadikan rupanya lebih agresif. SsangYong juga memberitahu bahawa bonet EV ini dibuat daripada aluminium untuk mengurangkan berat dan merendahkan titik graviti kenderaan.

    Menurut laporan yang dikeluarkan lebih awal oleh Auto Express, EV yang menggunakan asas Korando ini akan mendapat motor elektrik 191 PS (188 hp atau 140 kW), dengan kuasa datang daripada bateri 61.5 kWh keluaran LG Chem. Tetapan ini dikatakan dapat memberi jarak gerak sehingga 420 km dalam ujian NEDC, dengan laju maksimum 153 km/j.

     
     
  • Subaru WRX dan WRX STI akan datang bakal dipadankan dengan enjin 2.4 liter – laporan

    Subaru WRX dan WRX STI akan datang bakal dipadankan dengan enjin 2.4 liter – laporan

    Model akan datang bagi Subaru WRX dan WRX STI dikhabarkan bakal menerima enjin 2.4 empat-silinder mendatar, seperti mana yang pernah dilaporkan oleh Forbes pada Februari lalu. Perkembangan terkini datang daripada satu lagi laporan, Car Sensor, media dari Jepun sendiri.

    Menurut laporan terbabit, pengeluar Jepun ini dikatakan merancang untuk memasukkan enjin 2.4 liter sebagai salah satu daripada tiga pilihan penjana kuasa yang merangkumi 80% produksi enjin pengecas turbo menjelang tahun 2021. Ketiga-tiganya merupakan enjin pengecas turbo suntikan-terus, dan enjin kedua pula ialah unit 1.8 liter yang akan dipadankan dengan model generasi akan datang Levorg, dan ketiga pula merupakan versi 1.5 liter yang akan menggantikan enjin 2.0 NA sedia ada.

    Langkah untuk menghasilkan enjin boxer baharu ini adalah untuk mematuhi peraturan emisi yang lebih ketat, malah model berprestasi tinggi bagi jenama berkenaan juga tidak dikecualikan kerana ia turut mengimplementasikan kaedah pengukuran bahan bakar yang sama untuk semua enjin Subaru. Oleh itu ia juga harus “memperoleh kecekapan bahan bakar bersesuaian dengan kapasiti enjin,” ujar laporan terbabit.

    Alasan lain bagi hal ini ialah disebabkan sukan permotoran, atau kekurangannya. Hanya kejuaraan rali All Japan yang menawarkan tempat untuk enjin Subaru EJ20 untuk bersaing, dan ini sahaja tidak memberikan alasan yang cukup buat Subaru untuk terus menghasilkan enjin 2.0 liter. Malah World Rally Championship juga kini hanya menggunakan enjin 1.6 liter, dan Subaru sudah lama menarik diri dari perlumbaan tersebut.


    Model konsep Subaru Viziv Performance STI (kiri) dan WRX STI EJ20 Final Edition (kanan)

    Kebolehan mengendalikan kuasa merupakan alasan ketiga untuk menggunakan enjin berkapasiti lebih besar bagi WRX dan WRX STI akan datang. Menurut laporan terbabit, kapasiti yang lebih besar membolehkan enjin tidak terlalu terbeban pada tahap output tertentu. Apabila WRX STI 2.4 liter dihasilkan, ia disasarkan untuk menghasilkan 400 hp dan tork 490 Nm, atau pun hampir dengan enjin 2.0 liter turbo empat-silinder M139 Mercedes-AMG berkuasa 421 hp/500 Nm, yang dijadikan sebagai penanda aras bagi Subaru.

    WRX STI Diamond Edition untuk pasaran Afrika Selatan diperkenalkan pada November 2018, dan ia merupakan variasi terakhir bagi enjin EJ257 2.5 liter yang telah berkhidmat untuk beberapa generasi, bermula tahun 2004 pada Impreza WRX STI untuk pasaran Amerika Utara. Ia menghasilkan kuasa sebanyak 348 hp dan tork 468 Nm untuk Diamond Edition, atau lebih 52 hp dan 57 Nm untuk model biasa WRX STI.

    Enjin EJ20 pada WRX STI EJ20 Final Edition pula dihasilkan untuk angka kuasa yang lebih rendah iaitu sekitar 308 PS dan tork 422 Nm. Pacuan disalurkan ke semua-roda menerusi transmisi manual enam-kelajuan. Manakala penjana kuasa EJ20 2.0 liter pula telah digunakan selama 30 tahun pada beberapa model.

    Enjin 2.4 liter suntikan-terus boxer empat-silinder telah pun digunakan pada SUV Subaru Ascent, yang menghasilkan kuasa sehingga 260 hp pada 5,600 rpm dan tork 375 Nm dari 2,000 hingga 4,800 rpm, disalurkan oleh pacuan semua-roda menerusi kotak gear Lineartronic CVT dengan fungsi mod manual lapan-kelajuan.

     
     
  • Kerajaan telah agihkan bantuan kepada 68,336 pemandu e-hailing dan 37,127 pemandu teksi/bas

    Kerajaan telah agihkan bantuan kepada 68,336 pemandu e-hailing dan 37,127 pemandu teksi/bas

    Kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM11.14 bilion kepada 10.4 juta penerima bantuan di bawah program Bantuan Prihatin Nasional (BPN) setakat ini, yang diumumkan bulan Mac lalu sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi Prihatin Rakyat.

    Dalam sesi ucapan semalam, Perdana Menteri menyatakan bahawa 1.4 juta pemandu perkhidmatan ride-hailing telah menerima bantuan kewangan RM500, membawa kepada jumlah keseluruhan RM34 juta, sementara seramai 477,000 pemandu teksi, pemandu bas pelancong dan pemandu bas telah menerima elaun tunai sebanyak RM600 dengan jumlah keseluruhan RM28.8 juta.

    Bagaimanapun terdapat kesilapan besar dalam pengumuman itu, seperti yang dibangkitkan oleh bekas menteri pengangkutan, Anthony Loke di dalam hantaran media sosialnya semalam. Katanya, jika 1.4 juta pemandu dibayar RM500 seorang, jumlah keseluruhan yang sebetulnya ialah RM700 juta, bukan RM34 juta.

    Anthony menambah, jumlah pemandu ride-hailing yang berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) cuma 120,000 orang, dan RM34 juta itu sebetulnya hanya dapat dinikmati oleh 68,000 pemandu sekiranya bayaran RM500 seorang diberikan.

    Kerajaan telah agihkan bantuan kepada 68,336 pemandu e-hailing dan 37,127 pemandu teksi/bas

    Ini juga terpakai untuk program bantuan untuk pemandu teksi dan bas. Jika 477,000 orang masing-masing diberikan RM600, Anthony menyatakan jumlah bantuan itu sepatutnya menjadi RM286.2 juta, dan bukannya RM28.8 juta, yang lebih tepat jika bayaran itu melibatkan 48,000 individu sahaja.

    Angka-angka ini bagaimanapun telah diperbetulkan oleh pejabat perdana menteri, melalui satu kenyataan yang mendedahkan angka sebenar. Dinyatakan, seramai 68,336 pemandu ride-hailing telah menerima bantuan RM500 seorang, sementara 37,127 pemandu teksi dan bas juga telah menerima RM600 seorang bantuan kewangan, dengan jumlah RM22.2 juta.

    Jumlah 68,336 orang ini selari dengan jumlah yang dilaporkan bulan lalu, ketika menteri pengangkutan mendedahkan, setakat 11 Jun, seramai 68,103 atau 99.8% pemandu ride-hailing di Semenanjung yang layak telah menerima bantuan berkenaan. Pakej rangsangan pada mac lalu juga ada menyebut tentang peruntukan RM60 juta untuk membantu 120,000 pemandu ride-hailing di negara ini.

     
     
  • SPYSHOT: BMW M3 G80 akhirnya juga dapat gril besar

    SPYSHOT: BMW M3 G80 akhirnya juga dapat gril besar

    Ramai yang sudah tahu BMW sekarang mempunyai rekaan gril besar yang dipakai pada kebanyakan model baru mereka. Nampaknya, gril seperti itu juga akan dibawa kepada model M3 G80 dan M4 G82, dan jurugambar risikan kami telah berjaya menangkap model tersebut.

    Jika benar akan digunakan pada model produksi, rekaan gril ini pastinya bakal menimbulkan banyak kontroversi, dan anda juga boleh melihat di bahagian bawah bampar terdapat bukaan udara yang dibahagikan kepada dua bagi setiap bahagian. Sudahlah gril itu kelihatan seperti gigi kapak, bukaan udara itu pula seperti satu lagi set gigi bawah.

    Melihat kepada bahagian tepi, M3 ini menggunakan fender yang lebih lebar bagi menyembunyikan bukaan serta saiz roda yang juga lebih lebar. Cermin sisi khas untuk model M masih digunakan, sementara di belakang terdapat spoiler atas but yang lebih nipis serta diffuser yang turut menempatkan empat muncung ekzos yang berfungsi sepenuhnya.

    SPYSHOT: BMW M3 G80 akhirnya juga dapat gril besar

    Beberapa perincian M3 dan M4 baru ini telah pun didedahkan, termasuk enjin yang menggunakan unit enam silinder 3.0 liter twin turbo S58 berkemampuan 480 PS dalam keadaan standard. Transmisi pula terdiri daripada pilihan automatik lapan kelajuan atau manual enam kelajuan, dan kuasa dihantarkan kepada dua roda belakang.

    Versi Competition bagi model ini akan mempunyai kuasa yang lebih tinggi, iaitu 510 PS dan 650 Nm tork, dan hanya ditawarkan dengan transmisi automatik serta sistem pacuan semua roda xDrive M. Seperti biasa bagi model prestasi ini, bahagian casis turut diperkuat, termasuk suspensi, spring, penyerap dan brek.

     
     
  • GALERI: Volvo S90 T8 dan T5, pilihan warna terbaru

    GALERI: Volvo S90 T8 dan T5, pilihan warna terbaru

    Volvo S90 pertama kali diperkenalkan di Malaysia pada Mac 2017. Sedan flagship ini ketika itu tampil dengan versi wagon V90 sekali, sebagai unit CBU, sebelum dipasang di sini kemudiannya.

    Sebagai model CKD, S90 dijual dalam varian T8 Twin Engine Inscription dan Inscritption Plus, sebelum T5 Momentum tiba pada November 2018. Versi kemaskini model ini diperkenalkan pada Ogos tahun lalu dengan perubahan kecil, dan sebelihnya ia kekal seperti penawaran awal dahulu.

    Pilihan warna yang ada juga diperbaharui. Baru-baru ini, kami mendekati lima unit S90 yang berbeza — dari segi warna dan juga varian T8/T5 – untuk melihat perbezaan penawaran yang ada ketika ini. Ikuti galeri yang disediakan ini untuk lihat dengan lebih lanjut.

    Semua model S90 dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbocas Drive-E empat-silinder, dan digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan Aisin. Model paling asas T5 memberikan kuasa sebanyak 254 hp dan 350 Nm pacuan roda depan, manakala pecutan 0-100 km/j pula dalam masa 6.8 saat dan laju maksimum 230 km/j.

    Varian T5 tampil dengan kurang kemasan krom pada luarannya berbanding T8 dengan rim 19-inci dengan rekaan yang berbeza dan lebih sporty. Di dalam, T5 hanya menggunakan tombol gear balutan kulit berbanding tombol kristal pada T8.

    T8 Twin Engine pula menggunakan dua sistem janaan kuasa plug-in hybrid. Unit enjin 2.0 liter empat-silinder Drive-E datang dengan supercas dan turbocas dengan angka janaan yang lebih besar – 320 hp dan 400 Nm. Enjin ini disertai pula oleh motor elektrik yang memacu roda belakang, dengan kuasa 87 hp dan 240 Nm.

    Ia menggunakan bateri lithium-ion 10.4 kWh yang boleh menyediakan jarak perjalanan EV 50 km. Digabungkan kedua-duanya, sistem ini menyediakan 407 hp dan 640 nm, membolehkan T8 untuk memecut 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat, dengan laju maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j. Selebihnya, teliti galeri lengkap ini untuk melihat perbazaan estetik yang lain antara kedua-dua varian dan tingkat kemasannya.

    Sepanjang tahun ini, dengan pengecualian SST hingga 31 Disember nanti, S90 T5 Momentum dijual pada harga RM319,630 sementara T8 AWD Inscription pada harga RM349,670 dan T8 AWD Inscription Plus pada harga RM368,920 atas jalan tidak termasuk insurans.

    Volvo S90 T5 Momentum

    Volvo S90 T8 Inscription

    Volvo S90 T8 Inscription Plus

     
     
  • Benelli Imperiale 400 kembali dalam pasaran – RM16k

    Benelli Imperiale 400 kembali dalam pasaran – RM16k

    Semasa minggu perlumbaan MotoGP di Litar Sepang tahun lepas, pengedar motosikal Benelli di Malaysia, MForce Bike Holdings Sdn Bhd telah memperkenalkan sebuah model baru iaitu Imperiale 400 pada harga RM15,888. Walaubagaimanapun, disebabkan sambutan yang sangat baik – 100 tempahan diterima sejak bulan Januari tahun ini – motosikal telah kehabisan stok.

    MForce Bike meminta maaf kepada pelanggan kerana perkara ini, dan sekarang stok baru akan tiba secara berperingkat di wakil pengedar bermula minggu ini. Harganya masih sama dan datang bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Motosikal bergaya klasik ini menggunakan enjin satu silinder suntikan bahan api dengan sistem penyejukan udara, yang dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 20.8 hp pada 5,500 rpm dan 29 Nm tork pada 4,500 rpm. Enjin ini juga mendapat penarafan emisi Euro 4.

    Daripada enjin, kuasa disampaikan kepada roda belakang menggunakan sistem rantai, dan motosikal ini turut dilengkapi dengan pemula enjin elektrik. Rim yang digunakan pada Imperiale 400 ini adalah unit spoked dengan saiz 19 inci di hadapan bersama tayar 110/90 dan 18 inci di belakang dengan tayar 130/80.

    Brek Imperiale 400 datang dengan sistem ABS, dengan di hadapan mempunyai cakera 300 mm tunggal serta angkup dua piston terapung, manakala di belakang pula mempunyai cakera 240 mm serta angkup satu piston. Suspensi hadapan menggunakan fork teleskopik dengan jarak gerak 121 mm, manakala di belakang terdapat dua penyerap dengan jarak gerak 55.5 mm.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada model ini adalah termasuk tangki bahan api 12 liter, berat 197 kg, jarak dari tanah 165 mm, pelapik getah di tepi tangki, serta cermin sisi dan ekzos krom.

     
     
  • M’sia perlu 2 dekad untuk seorang lagi ‘Alex Yoong’

    M’sia perlu 2 dekad untuk seorang lagi ‘Alex Yoong’

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif, Malaysia memerlukan tempoh antara 15 hingga 20 tahun lagi untuk melihat pemandu tempatan beraksi semula bersama jentera Formula 1, lapor Harian Metro.

    “Sasaran untuk meletakkan pemandu di F1 bukan projek jangka pendek. Kalau kita bermula sekarang, mungkin 15 hingga 20 tahun kemudian baru kita ada seseorang dari Malaysia yang isi tempat duduk F1.

    “Dalam soal pembangunan pelumba, kita selalu terburu-buru (mahu melihat pelumba) bertukar dari satu perlumbaan ke perlumbaan lain yang lebih tinggi. Sebenarnya kita kena bagi masa kepada pelumba ini untuk asah bakat mereka dalam setiap siri perlumbaan disertai,” katanya

    Beliau menjelaskan bahawa setiap kali pelumba beraksi di perlumbaan F4, F3, F2 dan kemudian F1, mereka memerlukan peruntukan dan sokongan kewangan agak tinggi. “Pendek kata untuk melahirkan perlumba F1 perlukan sokongan pihak swasta dan kerajaan,” tambahnya.

    Azhan turut memberitahu, di bawah kepimpinannya di SIC, beliau akan berusaha untuk memastikan pembangunan pemandu berbakat jentera empat roda tidak akan ketinggalan, sebaliknya seimbang bersama pembangunan pelumba jentera dua roda.

    M’sia perlu 2 dekad untuk seorang lagi ‘Alex Yoong’

    Jadi bila pula agaknya perlumbaan F1 akan kembali ke sini setelah perlumbaan terakhir yang diadakan di Malaysia pada 2017? Menurut bos SIC berkenaan mengakui bahawa pihaknya tidak mempunyai jangkaan tepat.

    “Jika satu hari nanti F1 berminat untuk kembali ke Malaysia dan tawarannya juga agak menarik serta boleh dipertimbangkan, kita akan berbincang dengan pihak kerajaan.

    “Sebab yuran untuk menyertai F1 memang agak tinggi berbanding MotoGP. Keputusan sama ada F1 akan kembali ke Malaysia harus dibuat secara menyeluruh,” katanya.

    Setakat ini, Malaysia hanya mempunyai seorang pemandu yang berjaya sampai ke peringkat Formula 1, menerusi Alex Yoong pada tahun 2002. Namun kita sebenarnya mempunyai ramai lagi bakat-bakat lain dalam disiplin empat roda yang berbeza seperti Karamjit Singh dalam rali yang pernah bergelar juara dunia, Farique Hairuman dalam Touring Car yang pernah sampai ke British Touring Car Championship (BTCC) dan Super Taikyu di Jepun.

    Malah buat masa sekarang seorang bakat muda kita, Mitchell Cheah sedang berlumba dalam siri Kejohanan TCR di Jerman bersama Team Engstler. Jadi anda pula bagaimana? Mahukan seorang lagi Alex Yoong, atau lebih suka melihat bakat-bakat baru kita menyerlah dalam disiplin empat roda lain di peringkat dunia?

     
     
  • PLUS umum ujian awam pertama sistem tol RFID di sembilan plaza tol di utara bermula pada 22 Julai ini

    PLUS umum ujian awam pertama sistem tol RFID di sembilan plaza tol di utara bermula pada 22 Julai ini

    Mulai esok, 22 Julai 2020, pengguna kenderaan penumpang persendirian di utara iaitu di sekitar Kedah serta Pulau Pinang di antara Hutan Kampung sehingga Sungai Dua berpeluang menikmati perjalanan yang lebih lancar apabila sembilan buah plaza tol di laluan terbabit menyediakan laluan khas RFID di plaza tol masuk dan keluar.

    Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata pengguna yang melanggan RFID akan dapat menikmati perjalanan lebih lancar menerusi lorong khas RFID di Plaza Tol Sungai Dua, Bertam, Sungai Petani Selatan, Sungai Petani Utara, Gurun, Pendang, Alor Setar Selatan, Alor Setar Utara dan Hutan Kampung.

    “Pelanggan kami di Utara bakal menikmati pengalaman menggunakan sistem transaksi tol RFID yang lebih mudah, cepat dan selamat. Ia adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk melaksanakan sistem tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) di mana pelaksanaan RFID adalah langkah awal ke arah matlamat tersebut. Teknologi RFID membolehkan transaksi tol dilakukan secara lebih pantas dan seterusnya mengurangkan kesesakan di lorong tol. Ini adalah matlamat utama PLUS,” jelas Azman.

    Pada 1 Januari lalu, RFID telah diperkenalkan di 10 buah plaza tol Sistem Terbuka (pembayaran tol berdasarkan jenis kenderaan dan dikenakan setiap kali kenderaan melalui plaza tol) iaitu di Plaza Tol Jitra, Lunas, Kubang Semang, Jambatan Pulau Pinang, Mambau, Lukut, Kempas, Perling, Lima Kedai dan Tanjung Kupang.

    Walau bagaimanapun, perancangan PLUS untuk memperkenalkannya di 84 plaza tol Sistem Tertutup (kadar tol berdasarkan jarak perjalanan serta jenis kenderaan dan pembayaran tol hanya dibuat di plaza tol keluar dari lebuhraya) bermula 1 April lalu terpaksa ditunda ekoran pandemik Covid-19 di mana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan oleh Kerajaan. Namun begitu, sejak fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), PLUS telah mula mengadakan pelbagai persediaan untuk melaksanakan RFID.

    “Lebih-lebih lagi, transaksi tol melalui sistem RFID tanpa sentuh yang tidak melibatkan pertukaran dan transaksi wang tunai secara fizikal berupaya mengurangkan risiko jangkitan Covid-19. Dihubungkan terus kepada e-wallet sebagai sumber dana, RFID berupaya mengurangkan kejadian baki kurang yang menyumbang kepada kelewatan dan gangguan perjalanan di lorong tol.

    “Dengan menambah nilai e-wallet secara online pada bila-bila masa, pelanggan boleh memainkan peranan mengurangkan interaksi fizikal di plaza tol (akibat baki kurang) dan seterusnya mengurangkan risiko penularan Covid-19,” jelasnya.

    PLUS telah menawarkan Tag RFID percuma (selagi stok masih ada) di pusat-pusat pemasangan RFID yang terpilih di Pulau Pinang dan Kedah sahaja (seperti senarai di atas) serentak dengan kempen #JomRFID bersempena dengan pelaksanaan Ujian Awam RFID di laluan Hutan Kampung-Sungai Dua.

    PLUS umum ujian awam pertama sistem tol RFID di sembilan plaza tol di utara bermula pada 22 Julai ini

    “Kami optimis, dengan penerimaan baik daripada pengguna di Pulau Pinang, pelanggan kami di Kedah akan turut berminat untuk mendaftar bagi mendapatkan RFID terutamanya apabila Touch ‘n Go Sdn Bhd (Touch ‘n Go, penyedia perkhidmatan RFID) bersetuju untuk memberikan 1,500 tag RFID secara percuma sepanjang tempoh promosi. Bagi membolehkan ini dilaksanakan, beberapa pusat pemasangan RFID di Utara turut ditambah,” kata Azman.

    Bagi mendapatkan tag RFID percuma ini, pelanggan perlu mendaftarkan diri sebagai ahli PLUSMiles dan melayari https://jomrfid.plusmiles.com.my untuk menerima kod baucar pemasangan percuma (stok adalah terhad). Walau bagaimanapun, sekiranya tag RFID percuma sebanyak 1,500 tersebut telah habis, 15,000 pelanggan akan menerima 500 mata ganjaran PLUSMiles apabila mendapatkan tag RFID dengan harga RM35 setiap unit di pusat-pusat pemasangan RFID yang terpilih.

    PLUS dan Touch ‘n Go juga akan menambah jumlah pusat pemasangan RFID sementara di sepanjang lebuhraya PLUS terutamanya di R&R Gurun (kedua-dua arah) serta di lain-lain lokasi utama tidak lama lagi. Dengan memasang tag RFID di pusat-pusat pemasangan ini, ia membolehkannya diuji sebelum ia digunakan di lebuhraya untuk transaksi tol.

    Pelanggan juga boleh merujuk senarai penuh pusat pemasangan RFID di pautan https://mx.touchngo.com.my/fitment-centres. Walau pun pelanggan digalakkan untuk beralih kepada sistem transaksi tol RFID untuk menikmati perjalanan yang lebih selesa, transaksi tol menggunakan kad Touch ‘n Go atau SmartTAG masih lagi dikendalikan sehingga satu tempoh yang ditetapkan kelak.

    Senarai pusat fitmen RFID di utara:

    • Bok Tyre and Battery, Bayan Lepas
    • BSS Resources Management, Bayan Lepas
    • Best Tune Auto Workshop, Sungai Jawi
    • SS Tyre & Motorcraft Enterprise, Georgetown
    • BH Petrol Jalan Jelutong, Georgetown
    • Pusat khidmat pelanggan, Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Seberang Perai
    • BH Petrol Jalan Baru, Bukit Mertajam
    • BSS Wealth Consultancy, Sungai Petani
     
     
  • Proton tarik balik beberapa kereta bersejarah dari dilelong, kereta rali Proton PERT masih belum selamat

    Ini satu lagi lanjutan perkara yang kami naikkan sebelum ini di mana sebahagian kereta-kereta bersejarah Proton Motorsport termasuk jentera-jentera rali Proton PERT yang terkenal di arena antarabangsa telah ‘hilang’ dari tempat parkir Garaj Warisan Proton, Hicom, dan kemudian kami temuinya bersama kereta-kereta lain di pusat lelongan Pickles Auction di Jalan Klang Lama minggu lalu.

    Petang tadi, laman Facebook rasmi Pickles Auction mengumumkan beberapa kereta berkenaan telah ditarik balik dari di lelong. Kami masih belum tahu sebab sebenarnya, namun jika ini adalah tindak balas dari Proton sendiri yang mendengar suara-suara peminat automotif tempatan, kami mengucapkan Alhamdulillah dan setinggi-tinggi terima kasih atas tindakan tersebut.

    Antara kereta yang telah ditarik balik adalah semua model-model yang dijana oleh enjin Petronas E01 termasuk Proton Satria GTI, Proton Putra, Proton Perdana dan dua buah Lotus Elise. Sebuah Lotus Europa S berwarna kuning dan juga sebuah Satria Cabriolet (berwarna ungu) turut tersenarai dalam penarikan semula dari lelongan ini.

    Walau bagaimanapun, jentera rali PERT Proton Wira 4WD Turbo pemenang Rali Ng Pilipinas untuk tahun 1995, 1996 dan 1997 serta Proton Waja Turbo 4WD telah terjual pada minggu lalu – kami sangat berharap pemilik barunya tahu akan sejarah kereta-kereta tersebut dan ia tidak diceraikan sebagai alat ganti.

    Manakala untuk jentera gantian yang digunakan dalam Kejohanan Rali Asia Pasifik, dan juga ‘artifak’ serta ‘sumber primer’ untuk sejarah bahawa kita pernah melahirkan seorang juara dunia dalam WRC iaitu Proton PERT Evo VI dengan nombor pendaftaran ‘PROTON 1880’ masih lagi disenaraikan untuk dilelong. Jika ada pihak dari Proton yang terbaca artikel kami ini, tolong, itu satu lagi jentera penting yang perlu diselamatkan.

    Apa pun, kami dan juga peminat automotif dan sukan permotoran berharap agar satu muzium atau galeri Proton untuk mempamerkan bahan-bahan sejarah ini akan direalisasikan satu masa nanti. Bagi anda yang masih belum tahu apa cerita sebenar, sila baca dahulu dua artikel kami sebelum ini pada PAUTAN INI dan PAUTAN INI.

    Kemaskini: Proton PERT Evo VI ‘Proton 1880’ turut telah diumumkan ditarik balik dari dilelong oleh Pickles Auction!

    GALERI: Kereta rali bersejarah Proton Motorsport di Pickles Auction, Jalan Klang Lama

    GALERI: Kereta Proton dan Lotus dengan enjin Petronas E01 di Pickles Auction, Jalan Klang Lama

    GALERI: Kereta bersejarah Proton di Pickles Auction, Jalan Klang Lama

    GALERI: Kereta konsep pertandingan kemahiran Proton di Pickles Auction, Jalan Klang Lama

     
     
  • UMW Toyota sudah mula siar teaser GR Yaris!

    Minggu lepas UMW Toyota telah pun melancarkan GR Supra 2020 iaitu model kemaskini dengan kuasa 48 PS lebih tinggi dari sebelum ini, dimana ia baru sahaja didedahkan untuk pasaran Amerika Syarikat pada Februari lalu. Oleh kerana GR Garage Malaysia nampak begitu serius, kami syak UMW Toyota mungkin akan turut membawa satu lagi model GR sebenar ke Malaysia iaitu GR Yaris.

    Nampaknya tekaan kami ini nampak akan menjadi nyata – UMW Toyota baru sahaja menyiarkan gambar hot-hatch berkenaan pada laman facebook mereka, seolah-olah mereka akan membawa model tersebut ke sini tidak lama lagi!

    Pada yang tidak tahu, GR Yaris ini adalah model berprestasi sebenar yang diasaskan dari hatchback Toyota Yaris, tapi bukan Yaris pasaran ASEAN yang dijual di Malaysia buat masa sekarang, sebaliknya Yaris generasi baharu untuk pasaran Jepun dan Eropah, didedahkan buat pertama kali di Tokyo tahun lalu.

    UMW Toyota sudah mula siar <em>teaser</em> GR Yaris!

    GR Yaris ini pula telah muncul buat kali pertama ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon pada Januari tahun ini. Berbanding Yaris biasa yang datang dalam bentuk badan lima pintu, GR Yaris dihasilkan hanya dalam versi tiga pintu.

    Ini adalah permintaan dari prinsipal pasukan rali dunia Toyota Gazoo Racing, Tommi Makinnen yang mahukan asas sebuah hatchback yang lebih aerodinamik dengan bumbung belakang lebih rendah, bagi menghasilkan jentera WRC sebenar yang lebih kompetitif untuk musim hadapan. Oleh itu, GR Yaris ini sebenarnya adalah model kelahiran semula Toyota Celica GT-Four, yang juga satu ketika dahulu dihasilkan sebagai model homolagasi sebenar untuk membolehkan Toyota bertanding dalam WRC.

    Selain itu, kerangka GR Yaris ini juga dihasilkan lebih ringan dengan pemadanan komponen seperti bonet hadapan dan pintu but belakang aluminium, serta bumbung dari material diperbuat dari plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP).

    UMW Toyota sudah mula siar <em>teaser</em> GR Yaris!

    Walaupun FIA tidak mensyaratkan enjin, sistem transmisi dan penghantaran produksi perlu digunakan untuk jentera WRC sebenar seperti pada era Group A, GR Yaris masih dibekalkan dengan unit janakuasa yang berbisa iaitu enjin G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter turbo, menghasilkan 272 PS dan tork maksima 370 Nm – setakat ini merupakan enjin 1.6 liter tiga-silinder produksi paling berkuasa dan paling ringan pernah dihasilkan di dunia.

    Enjin tersebut digandingkan dengan hanya pilihan kotak gear enam-kelajuan manual, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda GR-Four. Ini membolehkan jentera ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa kurang dari 5.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j yang dihadkan secara elektronik.

    Walaupun tidak mempunyai LSD tengah, GR Yaris dibekalkan dengan sistem Torque Vectoring, membolehkan agihan tork antara tayar hadapan dan belakang dapat diberikan menerusi tiga mod pemanduan berbeza; Normal dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; Sport 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; Track 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.

    UMW Toyota sudah mula siar <em>teaser</em> GR Yaris!

    Untuk suspensi pula, bahagian hadapan masih lagi menggunakan konfigurasi sistem topang McPherson. Namun di belakang, sistem torsion beam pada Yaris standard telah dibuang, bagi digantikan dengan sistem double wishbone yang bukan sahaja lebih jitu, malah untuk menempatkan gandar bagi sistem pacuan semua roda.

    Di Jepun, varian tertinggi GR Yaris RZ High Performance dijual pada harga sedikit lebih mahal dari Honda Civic Type R FK8 pada pasaran sama iaitu 4.56 juta yen atau sekitar RM180k. Jadi mungkin ini kita boleh jadikan kayu ukur berapa agaknya harga hot-hatch ini jika ia dilancarkan di Malaysia kelak.

    GALERI: Toyota GR Yaris di Tokyo Auto Salon 2020

     
     
  • Jaminan enam-tahun, kos selenggara percuma hingga 31 Disember sempena ulang tahun ke-100 Mazda

    Jaminan enam-tahun, kos selenggara percuma hingga 31 Disember sempena ulang tahun ke-100 Mazda

    Sempena ulang tahun ke-100 Mazda tahun ini, Bermaz mengumumkan syarikat itu bakal memberikan pakej jaminan enam-tahun/120,000 km dan penyelenggaraan percuma (termasuk tenaga buruh, alat ganti dan pelincir) bagi pembelian kenderaan baru Mazda (kecuali BT-50) bermula kini hingga 31 Disember 2020.

    Tawaran tempoh terhad ini adalah tambahan berbaloi kepada pengecualian SST yang sedang berlangsung ketika ini, yang telahpun menyaksikan penurunan harga kenderaan Mazda sehingga RM8,090 hingga hujung tahun nanti. Cenderahati rasmi Mazda juga akan diberi untuk menarik minat orang-ramai terhadap tawaran ini.

    Pada kebiasaannya, Bermaz memberikan tempoh jaminan lima-tahun dan pakej penyelenggaraan percuma sejak awal tahun 2019, yang menjadi naik taraf kepada pakej jaminan tiga-tahun/60,000 km sebelum itu.

    Promosi lanjutan jaminan itu bukan satu-satunya cara Bermaz meraikan ulang tahun berkenaan. Pakej aksesori Mazda CX-3 Limited Edition juga telah diperkenalkan bulan lalu; dijual pada harga RM14,500 termasuk pemasangan, pakej berkenaan melibatkan kit penggayaan tambahan, termasuk sub-woofer JBL Basspro Hub 11-inci.

     
     
  • Penggunaan getah asli latex akan diperluaskan untuk projek turapan jalan raya tahun ini – Kem. Kerja Raya

    Penggunaan getah asli latex akan diperluaskan untuk projek turapan jalan raya  tahun ini – Kem. Kerja Raya

    Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Eddin Syazlee Shith mengesahkan penggunaan getah asli latex sebagai bahan tambahan turapan jalan raya di seluruh negara akan diperluaskan pada tahun ini.

    Menurutnya, usaha itu akan dilaksanakan melalui peruntukan RM140 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN). Malah usaha itu juga mampu membantu meningkatkan kepelbagaian penggunaan getah tempatan selain meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

    “Selain itu, Kementerian Kerja Raya juga telah menjalankan kajian dalam penggunaan sisa plastik sebagai bahan tambahan dalam turapan jalan.

    “Pemantaun ke atas prestasi turapan jalan plastik mendapati turapan jalan plastik juga lebih baik berbanding turapan konvensional. (Kajian) mendapati turapan plastik retak selepas 15 bulan berbanding konvensional iaitu (retak) enam bulan,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Kenyataan ini dikeluarkan di persidangan Dewan Rakyat hari ini, bagi menjawab soalan Mohd Anuar Mohd Tahir (PH-Temerloh) yang ingin kerajaan menyatakan status terkini penggunaan bahan getah dan plastik sebagai bahan tambahan untuk turapan jalan.

     
     
  • Subaru Impreza 22B STI – kini berharga RM1.57 juta!

    Subaru Impreza 22B STI – kini berharga RM1.57 juta!

    Sepanjang penghasilannya dari model pertama pada tahun 1992, sehingga generasi terkini, Subaru Impreza WRX (hanya dikenali sebagai Subaru WRX sahaja untuk model-model terbaharu) hadir dalam pelbagai versi edisi terhad. Selain model-model tingkat taraf yang lebih berkuasa dihasilkan oleh badan penalanya, Subaru Technica International (STI) seperti siri S201 sehingga S209, Subaru turut menghasilkan banyak model bagi meraikan kejayaan-kejayaan mereka di kancah Kejuaraan Rali Dunia (WRC).

    Antara model berkenaan adalah seperti Series McRae sempena gelaran Juara Dunia yang diperolehi oleh Colin McRae pada tahun 1995, Impreza WRX RB5 sempena ‘kepulangan semula’ Richard Burns ke pasukan Subaru pada tahun 1999 setelah berhijrah sementara ke Mitsubishi Ralliart (5 adalah nombor kereta Richard Burns dalam WRC), dan juga Impreza WRX P1 yang dihasilkan pembina kereta WRC Subaru iaitu Prodrive.

    Dan yang paling lagenda dari antara semua model edisi terhad ini sudah tentu Subaru Impreza 22B STI yang diperkenalkan pada tahun 1998. Kereta ini dihasilkan sempena ulangtahun ke-40 Subaru, dan juga meraikan gelaran Juara Dunia kategori pengeluar mereka dalam WRC untuk tiga tahun berturut-turut – 1995, 1996 dan 1997.

    Antara faktor yang menjadikan kereta ini sangat ikonik sudah tentu pada rupanya – ia dihasilkan dengan kit badan lebar bersama bampar dengan rupa yang sama dengan jentera lumba sebenar Subaru Impreza WRCar 1997, direka oleh pereka tersohor British yang turut menghasilkan rekaan supercar McLaren F1 iaitu Peter Steven.

    Subaru Impreza 22B STI – kini berharga RM1.57 juta!

    Manakala rekaan spoiler belakang dengan sudut attack yang boleh dilaras pada 22B ini pula dihasilkan dengan kerjasama Fuji Aerospace (salah satu syarikat di bawah Fuji Heavy Industri iaitu pemilik jenama Subaru, kini dikenali sebagai Subaru Corporation), yang turut bertanggungjawab menghasilkan berberapa komponen untuk pesawat seperti Boeing 777 dan Airbus 380.

    Namun anda jangan keliru, jentera WRC sebenar Subaru dihasilkan dari kerangka Impreza coupe dua pintu biasa seperti yang disyaratkan dalam regulasi WRCar yang menggantikan regulasi Group A pada tahun 1997. Manakala Subaru 22B ini pula dihasilkan dari kerangka Subaru Impreza WRX STI version IV Type R (coupe dua pintu, manakala model empat-pintu dikenali sebagai Type RA) dengan inspirasi rekaan dari jentera rali Impreza WRCar berkenaan.

    Selain itu, model istmewa ini turut menerima warna badan yang sama dengan jentera WRC sebenar iaitu Sonic Blue (ada juga yang menggelarnya sebagai Mica Blue), bersama rim BBS Electra 17-inci dalam kemasan emas.

    Pada bahagian dalaman, 22B STI ini masih mengekalkan rupa yang hampir sama dengan WRX STI Version IV Type R. Namun ia diberikan pelbagai perincian istimewa antaranya upholsteri dengan fabrik biru-hitam, paparan instrumen meter STI dengan latar belakang putih, tombol gear dan roda stereng Nardi balutan kulit dengan serlahan benang merah dan juga plat istimewa yang dicetak dengan nombor siri unik.

    Subaru Impreza 22B tidak dijana oleh enjin boxer empat silinder EJ20 2.0 liter turbo sama seperti WRX STI version biasa, sebaliknya ia diberikan enjin EJ22 lebih besar berkapasiti 2.2 liter bersama pengecas turbo IHI RHF 5HB. Atas kertas, enjin tersebut menghasilkan 280 hp dan tork maksima 363 Nm, atau jumlah kuasa kuda yang sama tetapi tork yang sedikit lebih besar dari WRX STI Version biasa.

    Namun sebenarnya itu cuma jumlah kuasa yang dihadkan kerana Subaru perlu mematuhi undang-undang ‘gentlemen agreement’ antara pengeluar-pengeluar di Jepun pada era 90’an dahulu bagi mengelakkan ‘perang kuasa kuda’ yang akan terjadi seterusnya menyebabkan jentera-jentera berbahaya di jual dalam pasaran. Ada laporan menyatakan, enjin EJ22 tersebut boleh menghasilkan sekurang-kurangnya 350 hp hanya dengan talaan semula dibuat pada kotak komputer.

    Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear yang turut diambil berasaskan kotak gear WRX STI Version, iaitu kotak gear lima kelajuan nisbah rapat yang boleh digunakan terus dalam perlumbaan rali Group N pada era berkenaan. Kuasa dihantar ke kesemua roda dengan sistem AWD yang dilengkapi tiga LSD (depan, tengah dan belakang), dibantu sistem Driver Controlled Center Differential (DCCD) membolehkan pemandu membuat larasan penghantaran tork gandar belakang dan hadapan dari 50:50 hingga 70:30.

    Selain itu, 22B turut menerima perincian prestasi unik lain seperti sistem suspensi dari pembekal suspensi jentera WRCar mereka iaitu Bilstein dan juga sistem klac dua-lapis dengan plat dari bahan seramik.

    Subaru Impreza 22B STI – kini berharga RM1.57 juta!

    Subaru hanya menghasilkan sejumlah 424 unit 22B STI ini. Ia terdiri dari tiga unit prototaip pra-produksi, 400 unit model untuk pasaran domestik Jepun (kesemuanya habis dijual tidak sampai sejam selepas diumumkan!) dan lima unit dibawa ke Australia.

    Manakala 16-unit selebihnya adalah model yang dihasilkan untuk pasaran United Kingdom, dikenali sebagai Subaru Impreza 22B STI Type UK. Kesemua 16-unit tersebut telah dibawa ke UK dan diolah semula untuk kesesuaian di negara berkenaan, dibuat oleh Prodrive.

    Antara perkara yang disentuh semula oleh firma kejuruteraan perlumbaan yang berpusat di Banbury berkenaan adalah memanjangkan lagi nisbah pada kotak gear, agar ia tidak ‘mengerang’ ketika dipandu di lebuh raya.

    Pernahkah anda terfikir, apa sebenarnya maksud di sebalik nama ’22B’ ini? Ada yang mengatakan, ’22’ bermaksud enjin EJ22 yang digunakan, manakala ‘B’ pula bermaksud suspensi Bilstein yang dilengkapkan pada model edisi terhad ini. Ya, tidak salah, tetapi ada lagi satu maksud yang diselindungkan oleh Subaru disebalik nama berkenaan.

    Subaru Impreza 22B STI – kini berharga RM1.57 juta!

    Untuk pengetahuan anda, 22B ni sebenarnya kod berasaskan hexadecimal (nombor berasaskan 16 yang digunakan dalam coding program komputer di mana huruf A dan F digunakan untuk nombor 10 hingga 15). Ia boleh boleh dirungkai dengan kiraan seperti berikut:

    2x16x16 = 512
    2×16 = 32
    B = 11

    Setelah semua jawapan dari hexadecimal tersebut diperolehi, sekarang campurkan jumlahnya; 512+32+11, jawapan akhirnya ialah 555. Ya, 555 iaitu jenama rokok yang begitu sinonim dengan Subaru. Tajaan dari syarikat tersebut dari era 90’an hingga pasukan Subaru World Rally Team menarik diri WRC pada tahun 2008 membuatkan imej Subaru melekat dengan warna biru-kuning yang berasal dari kotak rokok 555 berkenaan.

    Dengan nilai sejarah yang begitu tinggi, berapa pula harga Subaru Impreza 22B ini dalam pasaran sekarang? Unit yang anda nampak dalam gambar yang kami siarkan ini adalah unit yang sememangnya untuk dijual oleh laman Appreciating Classics.

    Subaru Impreza 22B STI – kini berharga RM1.57 juta!

    Walaupun ia berada di UK, ini bukan 22B Type UK, sebaliknya adalah antara unit terawal dari pasaran Jepun yang berjaya dibeli individu dari UK untuk dibawa pulang. Berdasarkan plat produksi yang berada dalam kabin, ini adalah unit yang ke-309 dari 400-unit 22B JDM.

    Menurut laman tersebut, tujuan kereta ini dibeli dahulu sememangnya untuk pelaburan masa hadapan. Oleh itu ia dipandu seminima yang mungkin, dan meter perbatuannya hanya mencatatkan 270 km walaupun sudah berumur 22-tahun! Malah plastik pada tempat duduk belakang dan juga pelekat pada tayar Pirelli P Zero kereta ini juga masih ada!

    Pemilik kereta ini juga telah membuat servis rutin bagi memastikan bahagian-bahagian kritikal tidak terjejas kerana tidak berjalan. Antaranya menukar timing belt bersama pulley, pam air, kesemua minyak, bendalir dan juga penapis – tentunya semua ini menggunakan alat ganti tulen.

    Selain itu, semua yang ada pada 22B ini adalah asli dari kilang. Dan harga untuk anda memiliki kereta ini adalah 295,000 pound sterling, atau sekitar RM1.57 juta! Sekarang, siapa cakap nak melabur tak boleh beli kereta?

     
     
  • Rapid KL mula jadual baru bas perantara KLIA/KLIA2

    Rapid KL mula jadual baru bas perantara KLIA/KLIA2

    Rapid KL telah umumkan jadual baru bagi perkhidmatan bas perantara lapangan terbang, yang menghubungkan stesen LRT Putra Heights dengan KLIA dan KLIA 2. Jadual baru ini bermula hari ini, 20 Julai 2020.

    Dengan jadual baru ini, ia akan melibatkan empat perjalanan setiap hari dari setiap tiga hentian yang terlibat – stesen LRT Putra Heights, KLIA dan KLIA 2. Dua di sebelah pagi, dan dua lagi di sebelah petang, berkemungkinan untuk menampung keperluan mereka yang bekerja di sana.

    Pengurangan kekerapan ini tentunya mengikut corak permintaan terhadap perkhidmatan bas perantara ketika ini, yang semakin berkurang selepas penularan wabak Covid-19 kerana lapangan terbang juga kurang sibuk. Walaupun pergerakan antara negeri telah dibenarkan, pergerakan rentas negara dan sempadan masih lagi ditutup.

    Bagi mereka yang tidak mengetahui tentang kewujudan perkhidmatan perantara lapangan terbang ini, ia adalah cara ekonomikal untuk ke sana. Dilancarkan pada Februari 2019, caj RM10 untuk tren dan bas itu melibatkan perjalanan ke stesen LRT Putra Heights (menggunakan LRT, MRT, Monorail atau BRT) dan bas perantara dari Putra Heights ke lapangan terbang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025