Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ducati Panigale V4R saiz sebenar daripada Lego

    Ducati Panigale V4R saiz sebenar daripada Lego

    Sebelum ini Lego telah menghasilkan set skala kecil untuk Ducati Panigale V4R, yang dijual pada harga sekitar RM280 dan terdiri daripada 646 kepingan Lego. Kini, untuk projek istimewa bersama Ducati, mereka menghasilkan pula replika saiz sebenar yang menggunakan panel badan kepingan Lego.

    Untuk menjadikan projek ini satu realiti, Lego telah menggunakan khidmat Riccardo Zangelmi, yang mengambil masa 400 jam untuk menyiapkannya. Secara keseluruhan, ia menggunakan 15,000 kepingan Lego dan mempunyai berat keseluruhan 180 kg dan lebih berat daripada motosikal sebenar.

    Zangelmi juga tidak mahu menggunakan sebarang perisian komputer seperti CAD untuk menghasilkan model istimewa ini, dan beliau terpaksa membuka dan memasangnya semula sebanyak lapan kali bagi memastikan binaannya sempurna.

    Tiada sebarang gam yang digunakan pada kepingan Lego ini dan ia dipegang menggunakan pin dan blok khas. Kebanyakan kepingan Lego itu adalah berwarna merah, hitam dan kelabu, untuk memastikan ia sama seperti Panigale V4R sebenar.

    Model Lego saiz sebenar Ducati Panigale V4R ini ditunjukkan secara rasmi di litar Modena dan didedahkan oleh pelumba MotoGP pasukan Ducati, Andrea Dovizioso bersama CEO Ducati, Claudio Domenicali dan pengarah urusan Lego Italy, Paolo Lazzarin.

     
     
  • BMW akan jadi pengeluar pertama guna ciri Apple CarKey – buka kunci dengan iPhone atau Apple Watch

    BMW akan jadi pengeluar pertama guna ciri Apple CarKey – buka kunci dengan iPhone atau Apple Watch

    Setiap tahun, Apple akan menganjurkan Worldwide Developers Conference (WWDC) sebagai platform untuk mereka menunjukkan pembangunan teknologi terbaru. Tahun ini, antara yang ditunjukkan kepada orang ramai adalah fungsi kunci digital penuh menggunakan iPhone dan Apple Watch.

    BMW akan menjadi pengeluar kenderaan pertama yang menggunakan ciri ini, dan menyediakannya kepada pelanggan pertamanya melalui model 5 Series LCI G30. Selepas itu, hampir semua model lain yang dikeluarkan selepas 1 Julai 2020 akan dipasang dengan ciri ini.

    Apple CarKey menggunakan teknologi NFC yang membenarkan pengguna membuka kunci kereta mereka dengan hanya menyentuh peranti kepada pembaca NFC yang berada di pembuka pintu. Anda kemudiannya perlu melakukan pengesahan melalui Face ID atau Touch ID sebelum kereta dibuka. Jika tidak mahu melakukan langkah itu, anda boleh memilih mod Express yang lebih pantas.

    Apabila sudah masuk di dalam kenderaan, anda perlu meletakkan iPhone di atas tempat khas, tekan butang pemula dan enjin akan hidup. Tetapan asas untuk CarKey dibuat melalui aplikasi Wallet, manakala tetapan lain boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar BMW atau arahan pada sistem infotainmen.

    BMW akan jadi pengeluar pertama guna ciri Apple CarKey – buka kunci dengan iPhone atau Apple Watch

    Menurut BMW, pemilik yang menggunakan ciri ini boleh berkongsi akses dengan sehingga lima orang yang menggunakan iPhone atau Apple Watch melalui iMessage dan mereka boleh menetapkan parameter seperti had laju maksimum, kuasa, tahap bunyi radio dan beberapa ciri lain.

    Bagaimana pula kalau bateri telefon habis sepenuhnya? Menurut BMW, di dalam telefon pintar terdapat simpanan kuasa yang masih membolehkan ia berfungsi sebagai kunci, sehingga lima jam daripada waktu telefon tersebut mati akibat kehabisan bateri. Sebagai ciri keselamatan, Apple pula memberitahu, sekiranya telefon pengguna hilang, mereka boleh menghalang akses CarKey melalui iCloud.

    Apple CarKey pada kenderaan BMW boleh digunakan melalui peranti berikut: iPhone XR, iPhone XS, iPhone XS Max, iPhone 11, iPhone 11 Pro, iPhone 11 Pro Max, iPhone SE (generasi kedua) dan Apple Watch Series 5. Ia juga memerlukan perisian iOS 13.6 serta WatchOS 6.2.8.

     
     
  • Ferrari Roma diperkenalkan di Malaysia – dari RM968k

    Ferrari Roma diperkenalkan di Malaysia –  dari RM968k

    Ferrari Roma telah pun diperkenalkan secara rasminya di peringkat global pada November 2019. Jentera prestasi tinggi serba baharu ini merupakan peralihan penawaran Ferrari daripada model-model sedia ada sebelum ini. Malah reka bentuknya diilhamkan dengan sentuhan klasik bersama bancuhan moden yang masih mengekalkan sisi kemewahan dan serba bergaya. Roma pula merupakan ibu kota yang terbesar di Itali, mendorong Ferrari untuk menggunakan nama tersebut pada model terbaharunya.

    Beruntungnya Malaysia kerana menjadi salah satu negara di rantau Asia yang turut menerima kehadiran model coupe ini. Malah Naza Italia, pengedar dan pengimport rasmi Ferrari di sini sedang menayangkan model pra-produksi Roma secara eksklusif di bilik pamerannya di Platinum Walk, Kuala Lumpur sehingga 29 Jun ini ini.

    Model coupe ini dijanakan oleh enjin F154 3.9 liter turbocas berkembar dari Portofino, dengan tambahan kuasa sebanyak 20 PS, menjadi 620 PS dari 5,750 hingga 7,500 rpm dan tork 760 Nm antara 3,000 dan 5,750 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan dwi-klac dari Stradale.

    Ferrari Roma diperkenalkan di Malaysia –  dari RM968k

    Dengan berat 1,472 kg – 200 kg lebih ringan berbanding Portofino – Roma mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat dengan laju 200 km/j yang boleh dicapai dalam masa 9.3 saat serta kelajuan maksimum pula mencecah 320 km/j.

    Roma memiliki dimensi 4,656 mm panjang, selebar 1,974 mm, berketinggian 1,301 mm dan jarak roda 2,670 mm. Ia ditampilkan dengan tempat duduk 2+ bersama sedikit ruang di belakang untuk meletak barang atau mampu memuatkan penumpang bertubuh kecil mahu pun kanak-kanak. Manakala ruang butnya berkapasiti 272 liter.

    Jentera ini ditampilkan dengan karakteristik yang lebih kemas dengan rekaan yang cukup harmoni dan elegan, hasil inspirasi daripada model ikonik 250 GT Berlinetta lusso dan 250 GT 2+2. Ia banyak meminjam bayangan imej model grand tourer Ferrari buatan tahun 60-an.

    Setiap garisan sudutnya menampilkan rekaan yang cukup ekstrem dan mementingkan nilai estetika, dalam masa yang sama masih mengekalkan sentuhan sporty walau pun sedikit ‘keterlaluan’ daripada pandangan sisi dengan bahagian hadapan yang tirus membawa ke membonjol di pertengahan bonet hadapan sehingga ke melunjur ke belakang.

    Untuk bahagian hadapannya, imejnya meminjam elemen daripada Monza SP1 dan SP2, dengan jaluran lampu utama Matrix LED ditampilkan bersama lampu nyalaan siang melintang, mengapit rekaan gril yang besar. Garis bumbungnya juga kelihatan rendah, beralun dan bergaya yang boleh dilihat terus dilanjutkan ke belakang serta lengkung tayar.

    Manakala rekaan belakangnya juga menggunakan lampu rekaan rata dan bukannya berbentuk bulat. Imej “garang” bahagian belakang dilengkapi dengan rekaan diffuser besar dengan corong ekzos berkembar. Kemasan gentian karbon diberikan sedikit pada bahagian bawah bampar walau pun tidak begitu menonjol tetapi masih memberikan sentuhan mewah.

    Satu elemen menarik yang ditonjolkan di bahagian belakang dengan adanya spoiler yang mampu digerakkan dengan tiga posisi berbeza; Low Drag, Medium Downforce, dan High Downforce dengan setiap satunya memiliki fungsi pergerakan tertentu bagi pengaliran udara ketika jentera sedang dipacu mengikut kelajuan.

    Menjengah bahagian kabinnya, konsep dwi kokpit diperkenalkan memberikan evolusi terkini bagi jentera Ferrari. Roma hadir dengan struktur simetri pada hampir segenap sudut. Skrin sesentuh HD 8.4-inci umpama tablet di bahagian tengah papan pemuka bersaiz sedikit kecil. Roma juga hadir dengan butang kawalan digantikan dengan butang digital atau kawalan sesentuh, menampakkan gaya yang lebih terkini. Ini termasuklah butang kawalan digital pada roda stereng. Tiada lagi butang kawalan konvensional seperti sebelum ini.

    Bukan itu sahaja, kawalan tuil gear yang klasik bersama shifter manual juga merupakan antara elemen menarik bagi kabin Roma. Malah paparan instrumen HD 6-inci dan butang penghidup enjin digital turut ditampilkan. Sebenarnya ruang dalaman terutamanya papan pemuka Roma dibentangkan secara ringkas, tidak sarat dengan pelbagai ciri yang futuristik. Walau bagaimana pun bentangan papan pemukanya direka bagaikan sambungan sehingga ke tempat duduk belakang, merentangi panel pintu dan juga tunnel di bahagian tengah.

    Ferrari Roma diperkenalkan di Malaysia –  dari RM968k

    Menambahkan elemen penuh kemewahan dengan pemilihan material eksklusif termasuk balutan kulit Frau®, Alcantara, aluminium krom dan gentian karbon. Hasilnya pasti memberikan gaya yang lebih sofistikated dan mampu menepati citarasa pemiliknya. Apatah lagi dengan jentera V8 2+ baharu ini yang menterjemahkan konsep keseluruhan “La Nuova Dolce Vita” yang bererti “kehidupan yang lebih baik”.

    Untuk jentera ini juga, Ferrari turut memperkenalkan sistem pilihan ADAS (SAE Level 1) yang merangkumi Kawalan Kelajuan Adaptif, Brek Kecemasan Sendiri, Amaran Penukaran Lorong dengan Pengesan Isyarat Trafik, Pengesan Titik Buta dengan Kepekaan Trafik Lintasan Belakang dan Kamera Pandangan Sekeliling.

    Ferrari Roma ditawarkan dengan harga bermula RM968,000 (tanpa insurans, cukai dan pilihan customization) dan turut hadir dengan waranti penyelenggaran selama tujuh-tahun.

     
     
  • Proton X50 – tempahan sudah dibuka? Hati-hati dengan sebarang tawaran untuk letakkan deposit

    Proton X50 – tempahan sudah dibuka? Hati-hati dengan sebarang tawaran untuk letakkan deposit

    Lain macam penangan ‘hype’ dari model SUV segmen-B Proton yang dikhabarkan akan dilancarkan selepas ini iaitu Proton X50. Orang ramai nampaknya sudah tidak sabar untuk menantikan pelancarannya, dan seperti biasa sudah ada yang membentuk komuniti maya di Malaysia walaupun model berkenaan belum lagi masuk ke pasaran.

    Paling mengejutkan, ada juga khabar yang bertiup bahawa Proton X50 ini akan dilancarkan seawal Julai ini, dan akan dijual dengan harga serendah RM50k (yang dibuat berdasarkan harga model paling asas Geely Binyue di China), serta ada jurujual yang sudahpun menawarkan pelanggan untuk membuat tempahan awal dengan bayaran deposit.

    Tuan-tuan dan puan-puan, tolong jangan terlalu mudah percaya dengan khabar angin yang sama sekali tidak berasas seperti ini. Untuk pengetahuan anda, tiada sebarang pengumuman rasmi atau pengesahan dari Proton sendiri berkenaan perkara berkenaan termasuk jangkaan harga dan juga bila ia akan dilancarkan.

    Proton X50 – tempahan sudah dibuka? Hati-hati dengan sebarang tawaran untuk letakkan deposit

    Malah dengan serangan dari pandemik Covid-19 yang menyebabkan segalanya tergendala selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan kerajaaan untuk membendung penularan wabak berkenaan, ia sudah pasti menjejaskan apa yang telah dirancang oleh Proton sebelum ini.

    Jadi, kami nasihatkan anda untuk bertenang dan tidak terpengaruh dengan khabar-khabar angin yang bertiup ini. Kalau sekadar teruja mungkin tidak mengapa. Tetapi jika turut melibatkan pengambilan deposit dari pelanggan yang bersungguh untuk menjadi pemilik terawal Proton X50 tersebut oleh penasihat jualan walaupun tiada sebarang pengumuman rasmi dari Proton sendiri bahawa tempahannya sudah dibuka, ini sudah menjadi satu kegusaran yang serius.

    Untuk lebih memahami dan mengagak sendiri bila X50 ini akan dilancarkan, kita boleh imbas semula apa yang telah dilakukan Proton ketika memperkenalkan X70 sebelum ini. Pada tahun 2018 sebelum X70 dilancarkan secara rasmi, pihak Proton sendiri telah melancarkan kempen pra-pelancarannya.

    Ia dibuat dengan membuat pengumuman menerusi kenyataan media rasmi serta dan juga menyiarkan imej-imej teaser dilaman-laman sosial rasmi milik mereka sendiri seawal April 2018. Selepas kempen tersebut berlangsung, barulah tempahan untuk model berkenaan dibuka secara rasmi pada September 2018.

    Kami juga ingin mengingatkan anda untuk tidak memberikan sebarang bayaran deposit secara peribadi kepada mana-mana penasihat jualan. Sebarang pembayaran sepatutnya hanya dibuat menerusi pengedar sah satu-satu jenama berkenaan dengan resit bayaran rasmi, serta jaminan bayaran tempahan tersebut boleh di pulangkan semula.

    Satu lagi, untuk mengatahui sebarang kemaskini dan berita sebenar berkenaan Proton X50 ini, teruskan bersama paultan.org. Sebelum itu, anda boleh baca dahulu artikel berkenaan apa yang kami tahu berkenaan Proton X50 tersebut pada PAUTAN INI.

     
     
  • VIDEO: Toyota Supra dibelasah tanpa rasa kasihan

    VIDEO: Toyota Supra dibelasah tanpa rasa kasihan

    Sejak Toyota Supra A90 dilancarkan untuk pasaran, kita sudah melihat pelbagai ubah suai dan kemampuannya untuk berhadapan dengan pemanduan bersemangat. Walaubagaimanapun, kebanyakannya adalah atas jalan berturap.

    Video yang dikeluarkan oleh Roby Works ini pula berbeza. Ia menunjukkan pemiliknya membelasah kereta sports yang dibangunkan oleh Toyota bersama BMW ini tanpa rasa kasihan di dalam jalan hutan yang bukan sahaja tidak berturap, malah juga diliputi salji.

    Daripada apa yang kami lihat, semua bahagian kereta itu masih lagi dalam keadaan asal tanpa sebarang modifikasi dan catatan batuannya pula baru mencecah sekitar 5,000 km. Walaupun dalam keadaan sebegitu, pemandunya, Kristaps Bluss masih boleh mengawal kereta tersebut tanpa sebarang tragedi.

    Kereta ini berkemungkinan dibelasah tanpa rasa kasihan sebegitu disebabkan mereka mahu menanggalkan semua bahagian, dan memulakan projek modifikasi untuk menjadikannya sebuah kereta drift. Jadi, itu mungkin kali terakhir ia dipandu dalam keadaan standard.

    Dari kilang, Supra A90 datang dalam pilihan dua enjin iaitu 2.0 liter turbo yang berkuasa 197 PS atau 258 PS, dan 3.0 liter enam silinder dengan kuasa 340 PS antara 5,000 hingga 6,500 rpm dan 500 Nm antara 1,600 hingga 4,500 rpm.

     
     
  • Range Rover Evoque L551 tiba di Malaysia 26 Jun ini

    Range Rover Evoque L551 tiba di Malaysia 26 Jun ini

    Range Rover Evoque generasi kedua akan diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia melalui sebuah sesi maya atas talian di laman Facebook Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) pada 26 Jun ini. Model berkenaan sebelum itu pernah dipertontonkan di acara Premium Auto Car Expo (PACE) paultan.org November tahun lalu.

    JLRM bulan lalu mendedahkan penawaran terbaru Evoque itu nanti akan menerima sistem bantuan pemandu dan Smart Settings, sebuah sistem kepintaran buatan (AI) yang akan mempelajari kecenderungan pemandu bagi hal-hal seperti kedudukan posisi tempat duduk, audio, serta kawalan pendingin.

    Evoque terbaru untuk Malaysia itu juga akan menerima teknologi ClearSight di depan dan belakang; Clearsight Ground View akan memaparkan pandangan 180-darjah bahagian bawah dan depan kenderaan, begitu juga dengan bahagian belakang kenderaan.

    Bagi sistem infotainmen, Evoque baru ini akan menampilkan ciri InControl Touch Pro Duo dengan dua skrin sentih 10-inci serta sebuah paparan digital 12.3-inci untuk pemandu. Kelengkapan keselamatan aktif juga termasuk bantuan mengekalkan lorong, serta peninjau keadaan pemandu yang akan memberikan amaran audio dan visual sekiranya ia mengesan pergerakan mengejut disebabkan keadaan pemandu yang letih.

    Range Rover Evoque L551 tiba di Malaysia 26 Jun ini

    Unit enjin yang dijangka akan ditawarkan untuk pasaran tempatan ialah 2.0 litre Ingenium turbocas petrol, kemungkinan dalam versi janaan 300 PS dan digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan dengan pacuan semua roda. Untuk laluan yang lebih mencabar, ciri Terrain Response 2 datang sebagai standard, sementara kemampuan meredah air kini ialah 600 mm – tambahan 100 mm berbanding model sebelum ini.

    Model generasi kedua ini menggunakan platform Premium Transverse Architecture, dengan jarak antara roda yang lebih panjang memberikan ruang dalaman yang lebih luas dan praktikal. Kerusi dengan nisbah lipatan 40:20:40 di belakang pula menyediakan 1,383 liter kapasiti ruang barangan – peningkatan 10% melebihi yang terdahulu.

     
     
  • Volkswagen Arteon facelift ditunjuk dalam video awal

    Volkwagen Arteon facelift akan diperkenalkan pada 24 Jun, tetapi sebelum itu sebuah video telah mula ditunjuk, menampilkan sebahagian daripada produk akhir yang akan memasuki pasaran selepas ini.

    Beberapa kemaskini dari sudut penampilan antara perkara yang dilakukan terhadap Arteon terbaru itu. Paling jelas, elemen lampu utama di depan – ia bersekali dengan lampu LED pada bahagian atas gril. Lampu utama itu juga menggunakan teknologi LED matrix, dikenali dengan nama “IQ.Light”, sama seperti yang ada pada Passat dan Toureg yang paling baru.

    Berdasarkan teaser terdahulu, tingkat kemasan R-Line bagi versi fastback memperlihatkan rekaan apron baru dengan “sisip” pada inlet bampar, dengan rekaan gril yang lebih menonjol serta mengenakan warna yang sama dengan badan.

    Bagi varian Shooting Brake terbaru yang akan menyertai barisan model ini, bukaan udara pada sisi bampar depan dijadikan lebih agresif, dilengkapi dengan gril gelap yang memberikan penampilan bahagian depan yang tersendiri. Kedua-dua kemasan R-Line datang dengan logo Volkswagen “R” yang baru.

    Volkswagen Arteon <em>facelift</em> ditunjuk dalam video awal

    Lain-lain peningkatan termasuk sistem Modular Infotainment Matrix (MIB3) termasuk sistem bantuan pintar tambahan seperti Travel Assist, yang membolehkan kereta untuk dikemudi, pecut dan brek sendiri dalam kelajuan hingga 210 km/j dengan kawalan oleh pemandu.

    Bagi unit janaan kuasa, Arteon akan ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin empat silinder. Tidak pasti sama ada versi prestari Arteon R akan turut serta dalam pengenalan model facelift ini. Jika ada, ia mungkin akan menggunakan enjin 2.0 liter turbo empat-silinder yang sama dari Golf R dan T-Roc R dengan angka 330 hp, atau mungkin juga enjin 3.0 liter turbo VR6 dengan janaan sekitar 400 hp. Model hibrid mild atau plug-in juga dijangka akan ditawarkan.

     
     
  • Kemalangan maut meningkat sejak PKPP dilaksanakan

    Kemalangan maut meningkat sejak PKPP dilaksanakan

    Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah pun memasuki hari ke-12 sejak dilaksanakan 10 Jun lalu. Walau pun PKPP bukanlah boleh dianggap sebagai ‘kebebasan’ sepenuhnya untuk orang ramai bergerak ke sana ke sini. Tetapi kelonggaran pergerakan yang diberikan oleh kerajaan memberikan kesempatan untuk orang ramai melakukan perjalanan domestik terutamanya apabila larangan merentas negeri yang dikuatkuasakan sebelum ini telah ditarik balik.

    Dalam sidang media mengenai perkembangan PKPP hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kemalangan maut telah meningkat sejak PKPP dilaksanakan.

    Menurut beliau, laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati orang ramai mengambil kesempatan pulang ke kampung ketika ini.

    “Jumlah kenderaan di jalan raya bertambah dan PDRM memuji orang ramai yang singgah di R&R (Hentian Rehat dan Rawat) mematuhi SOP (prosedur operasi standard) diperkenalkan kerajaan.

    Kemalangan maut meningkat sejak PKPP dilaksanakan

    “Cuma agak bimbang, laporan PDRM mendapati kemalangan maut dan biasa banyak berlaku. Saya percaya akan ramai lagi balik kampung selepas ini dan harap jagalah keselamatan masing-masing serta pandu dengan cermat,” katanya walau pun tidak memaklumkan statistik terkini kemalangan maut buat masa ini.

    Pada 11 Jun lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah meluahkan rasa kebimbangannya mengenai peningkatan kes kemalangan jalan raya sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) jika dibandingkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Daripada 13 Mei 2020 sehingga 9 Jun 2020, 25,251 kes kemalangan direkodkan dengan 231 iaitu 738 kemalangan sehari. Bukan sekadar kehilangan nyawa dan kecederaan, kemalangan juga boleh menyebabkan peningkatan penggunaan fasiliti kesihatan untuk rawatan seperti kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Kemalangan,” ujarnya.

    Dalam masa yang sama, beliau mewakili KKM turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati di jalan raya. “Pandulah kenderaan dan tunggang motosikal dengan lebih berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan jalan raya. Begitu juga, elakkan daripada memandu sekiranya penat atau tidak cukup rehat. Perkara yang tidak diingini boleh dielakkan sekiranya orang ramai lebih cermat dan mematuhi undang-undang di jalan raya. Ingatlah orang yang tersayang,” katanya lagi.

     
     
  • Farizon FX – trak pikap berasaskan Geely Boyue Pro, boleh hasilkan semula Proton Arena generasi baharu?

    Farizon FX – trak pikap berasaskan Geely Boyue Pro, boleh hasilkan semula Proton Arena generasi baharu?

    Eh, apa ni? Sekali tengok nampak macam kembar SUV Proton X70 iaitu Geely Boyue dalam versi Pro, tapi kenapa ada bed belakang macam trak pikap? Gambar ini sebenarnya telah pun didedahkan oleh laman Facebook CarNewsChina.com, dan menjelaskan bahawa ini adalah trak pikap yang diberi nama Farizon FX.

    Farizon Auto ini pula sebenarnya adalah salah satu jenama di bawah Geely, dan ia hanya menumpukan terhadap penghasilan kenderaan-kenderaan komersial termasuk yang dijana oleh elektrik sepenuhnya.

    Menurut laman berkenaan lagi, trak pikap Farizon FX ini sememangnya dihasilkan berasaskan Geely Boyue Pro yang mengenakan gril hadapan berbeza, tetapi dengan dimensi dari hadapan hingga tiang-D serta jarak roda yang sama seperti SUV segmen-C tersebut. Ia cuma ditambah dengan bed kargo yang bersaiz agak kecil di belakang, menjadikannya kelihatan sangat pelik.

    CarNewsChina turut menyatakan bahawa Farizon FX ini turut dijana oleh enjin yang sama seperti Boyue Pro dan Proton X70 iaitu 1.8 liter Turbo GDI berkuasa 184 hp, namun kelajuan maksima trak pikap ini hanya dihadkan pada 150 km/j.

    Laman automotif China tersebut turut menyebut, tahun lalu Farizon telah menghasilkan trak pikap elektrik G300EV, namun model tersebut hanyalah sebuah kenderaan komersial yang sangat ringkas. Manakala Farizon FX ini pula adalah trak pikap berkuasa petrol dengan teknologi yang lebih terkini.

    Di Malaysia, ramai juga yang tertanya-tanya, bila Proton nak buat balik trak pikap Arena generasi baharu? Jadi, ada ke yang berminat sekiranya Proton menghasilkan trak pikap berkuasa petrol, tanpa casis ladder frame seperti Toyota Hilux, serta tampil dengan rupa pelik macam ni?

    GALERI: Geely Boyue Pro pasaran China

    GALERI: Proton X70 Premium X 2WD 2020

     
     
  • Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di KM16.0 hingga KM18.0 ditutup pada 23-24 Jun

    Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di KM16.0 hingga KM18.0 ditutup pada 23-24 Jun

    Pengendali Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) atau Jabatan Kedua Pulau Pinang,
    Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) memaklumkan laluan di antara KM16.0 hingga KM18.0 di kedua-dua arah di jambatan berkenaan akan ditutup sementara pada 23 hingga 24 Jun ini. Penutupan laluan berkenaan adalah dari jam 9 pagi hingga 6 petang bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan.

    JKSB berkata, lokasi penutupan pada 23 Jun melibatkan arah laluan Barat iaitu laluan dari Batu Kawan ke Batu Maung iaitu di KM16.0 sehingga KM18.0 di kawasan Rentang Navigasi Utama.

    Manakala lokasi penutupan pada 24 Jun melibatkan arah Timur iaitu laluan dari Batu Maung ke Batu Kawan iaitu di KM18.0 sehingga KM16.0 di kawasan Rentang Navigasi Utama.

    “Laluan kontra akan diaktifkan sehingga kerja-kerja penyelenggaraan selesai bagi melancarkan aliran trafik,” ujar kenyataan media yang dikeluarkan oleh JKSB.

     
     
  • Yamaha Tracer 900 GT datang dalam dua warna baru

    Yamaha Tracer 900 GT datang dalam dua warna baru

    Selepas hampir setahun setengah berada dalam pasaran Malaysia, Yamaha Tracer 900 GT kini didatangkan dalam dua pilihan warna baru yang dipanggil sebagai Reddish Copper dan Midnight Silver. Harganya pula masih sama iaitu RM58,888 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    Model yang berkonsepkan jelajah ini dikuasakan oleh enjin tiga silinder 847 cc sama seperti MT-09, dengan padanan transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa sebanyak 115 PS pada 10,000 rpm dan 87.5 Nm tork pada 8,500 rpm. Untuk brek, di hadapan ia menggunakan set cakera berkembar 298 mm manakala di belakang menggunakan cakera 245 mm.

    Sebagai sebuah model yang membawa nama GT, ia juga dilengkapi dengan beberapa kelengkapan prestasi seperti quickshifter, cruise control, suspensi yang boleh dilaras sepenuhnya, pemanas tangan serta panel instrumen TFT yang dibangunkan daripada superbike YZF-R1.

    Yamaha Tracer 900 GT datang dalam dua warna baru

    Kelengkapan lain yang datang terus dengan Tracer 900 GT adalah rim 17 inci, tangki bahan api 18.7 liter, klac jenis slip & assist, brek ABS, dua tahap kawalan cengkaman dan boleh ditutup, tiga mod tunggangan (A, B dan Standard) dan penghadang angin hadapan yang boleh dilaras secara manual.

    Sekarang, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memberikan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km untuk Tracer 900 GT dan sebagai tambahan, pembeli baru juga akan menerima pengunci cakera brek yang bernilai RM200 secara percuma.

    GALERI: Yamaha Tracer 900 GT 2019

     
     
  • Mazda MX-5 R Sport 2020 tampil di UK — RM146k

    Mazda MX-5 R Sport 2020 tampil di UK — RM146k

    Mazda MX-5 R Sport akhirnya telah mula dijual untuk pasaran UK, dengan angka pengeluarannya 150 unit sahaja. Harga bermula dari £27,700 (RM146k), dan sebagai promosi tempoh terhad, Mazda mengumumkan tak ada bayaran deposit minimum yang diperlukan.

    Kereta ini berdasarkan varian Sport bagi MX-5 2020 dan dikuasakan oleh enjin SkyActiv-G 1.5 liter empat-silinder dengan janaan 132 PS dan 152 Nm. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear manual enam-kelajuan.

    Unik untuk model edisi khas ini ialah warna Polymetal Grey metalik yang dipadankan dengan warna bumbung soft-top yang juga kelabu, serta rin 16-inci RAYS aloi warna gunmetal. Selebihnya, warna kontras hitam digunakan misalnya pada bahagian perumah cermin, sementara ruang kabin menggunakan kulit Nappa burgundy dengan kemasan benang warna perak.

    Mazda MX-5 R Sport 2020 tampil di UK — RM146k

    Kelengkapan lain termasuk kawalan pendingin hawa automatik, sistem infotainmen MZD Connect tujuh-inci, pemanas kerusi, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto dan kawalan melayar.

    Pengarah Urusan Mazda UK, Jeremu Thomson menjelas: “Saya sangat berbesar hati kami dapat menawarkan MX-5 Convertible yang eksklusif seperti ini kepada pelanggan. Dengan tambahan terbaru berkenaan, kami mempunyai pilihan yang pelbagai bagi model MX-5 untuk barisan model tahun 2020 ini.”

    “Generasi MX-5 semasa ini telah dikenali dengan pengendalian sebuah kereta sports, dan dengan model tahun 2020 ini serta versi R-Sport edisi khas ini, kami terus memberikan penawaran terbaik dan menarik kepada mereka yang inginkannya,” jelas beliau.

     
     
  • Toyota tunjuk kilang GR Factory khas hasilkan GR Yaris di Jepun – banyak lagi model GR selepas ini?

    Tak banyak kereta sport yang dihasilkan di Jepun buat masa sekarang. Toyota GR Supra misalnya, ia dipasang bersama BMW Z4 oleh Magna Steyr menerusi kilang mereka yang terletak di di Graz, Austria, manakala Honda Civic Type R pula dipasang oleh Honda UK menerusi kilangnya yang terletak di Swindon.

    Buat masa sekarang, antara kereta sport yang masih dipasang di Jepun adalah Nissan GT-R, dan ini yang terbaharu – jentera yang dihasilkan untuk mendominasi semula kejuaraan rali dunia (WRC), Toyota GR Yaris yang dihasilkan oleh kilang khas yang digelar GR Factory, terletak di kilang Motomachi, Toyota City, dan anda boleh lihat bagaimana ia diproduksi menerusi video yang baharu sahaja disiarkan oleh Toyota ini.

    Walaupun ia salah satu varian dari Toyota Yaris generasi baharu, GR Yaris ini dipasang jauh dari model standard berkenaan – Yaris biasa dihasilkan di kilang Iwate, terletak 800 km dari GR Factory. Ini adalah kerana GR Yaris adalah sebuah jentera berprestasi tinggi sebenar yang harus dihasilkan dalam satu kilang khas, berbeza dengan kilang untuk memasang sebuah hatchback penumpang biasa.

    Toyota tunjuk kilang GR Factory khas hasilkan GR Yaris di Jepun – banyak lagi model GR selepas ini?

    Juga tidak seperti Supra yang dihasilkan dengan kerjasama BMW, serta Toyota 86 dibangunkan bersama Subaru, GR Yaris adalah model berprestasi tinggi pertama yang dihasilkan sendiri oleh Toyota selepas 20-tahun.

    Dalam video berkenaan anda boleh lihat bagaimana GR Yaris dihasilkan dengan pelbagai kaedah khas, antaranya gam struktur yang 11 meter lebih panjang dari model lain, bersama 200 poin kimpalan yang lebih banyak bagi memastikan badan kereta ini lebih tegar.

    Juga, bumbung GR Yaris ini juga tidak boleh dipasang secara kimpalan seperti kereta biasa kerana ia diberikan bumbung yang diperbuat dari material gentian karbon, memerlukan teknik istimewa bagi mencantumkannya. Selain dari membuatkan ia lebih ringan, bumbung gentian karbon ini juga penting bagi mendapatkan titik graviti yang lebih rendah.

    Badan dan casis kereta ini juga disatukan dengan teknik istimewa yang tidak sama dengan proses pada model biasa, di mana kedua-dua bahagian utama tersebut dicantumkan di atas satu permukaan yang direka khas. Kemudian, penjajaran roda pula dibuat oleh juruteknik pakar serta peralatan istimewa yang membolehkan kerja tersebut dibuat tanpa memberikan sebarang beban terhadap tayar.

    Jadi, jika Toyota sanggup berbelanja besar untuk menghasilkan satu fasiliti yang canggih sebegini, ini bermaksud lebih banyak model-model GR sebenar lain yang akan dihasilkan di kilang berkenaan pada masa hadapan.

    Toyota GR Yaris dijana oleh enjin G16E-GTS 16 liter tiga-silinder turbo yang mampu menghasilkan 272 PS dan tork maksima 370 Nm. Ia digandingkan dengan kotak manual enam-kelajuan dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD GR-Four.

    Untuk pasaran Jepun, GR Yaris turut ditawarkan dalam varian ‘kosong’ RC khas untuk pasukan lumba mentrasformasi kereta berkenaan kepada jentera rali sebenar yang dijana oleh enjin serta sistem AWD yang sama, serta satu lagi varian paling asas GR Yaris RS yang hanya dikuasakan oleh enjin M15A-FKS 1.5 liter tiga-silinder Dynamic Force berkuasa 120 PS/145 PS bersama kotak gear CVT dan hanya memacu roda hadapan.

    GALERI: Toyota GR Yaris di Tokyo Auto Salon 2020

     
     
  • Volvo Selekt tiba di M’sia – program kereta pra-milik

    Volvo Selekt tiba di M’sia – program kereta pra-milik

    Volvo Car Malaysia (VCM) telah memperkenalkan program pra-milik Selekt di negara kita. Melaluinya, orang ramai boleh membeli kereta Volvo terpakai yang telah lulus ujian kualiti, dengan lebih mudah dan menyenangkan.

    Pada mulanya, kereta yang berada di bawah program ini akan dipilih secara teliti untuk memastikan ia berusia tidak sampai lima tahun dengan jarak batuan tidak melebihi 100,000 km. Kemudiannya, ia perlu melalui proses pengesahan jarak batuan serta sejarah servis, pemeriksaan rapi 125 bahagian dan diberikan naik taraf perisian terkini.

    Apabila semuanya baik, termasuklah ciri keselamatan, prestasi serta penampilan mematuhi standard yang ditetapkan, barulah kereta tersebut akan diluluskan untuk dijual. Untuk memastikan pemilik lebih tenang, kenderaan yang dijual di bawah program Selekt ini juga datang dengan jaminan minimum 12 bulan serta bantuan tepi jalan satu tahun.

    Buat masa ini, Volvo Selekt hanya disediakan di pusat pameran Sisma Auto Glenmarie dan mereka yang berminat boleh menghubungi mereka untuk maklumat lanjut.

     
     
  • BMW buang 10,000 pekerja kontrak kesan Covid-19

    BMW buang 10,000 pekerja kontrak kesan Covid-19

    Seperti juga banyak pengeluar kenderaan lain di seluruh dunia, BMW akan mengikut jejak yang sama. Syarikat itu dijangka tidak akan menyambung kontrak bagi 10,000 pekerja, seperti dilaporkan oleh Reuters memetik sumber-sumber yang dekat dengan perkara tersebut.

    Selain itu, BMW juga menamatkan kerjasama dengan Mercedes-Benz buat sementara waktu; usaha itu sepatutnya bakal memperlihatkan kedua-dua jenama itu membangunkan teknologi-teknologi generasi baru bagi sistem bantuan pemandu, pemanduan autonomous di lebuhraya serta parkir automatik ke Tahap 4. Matlamat awalnya adalah untuk memperkenalkan sistem-sistem tersebut ke dalam kenderaan menjelang tahun 2024.

    “Berdasarkan penilaian semula menyeluruh yang dijalankan, kedua-dua syarikat terbabit bersetuju untuk memberi tumpuan kepada usaha masing-masing yang sedang berjalan terlebih dahulu, termasuk kemungkinan untuk bekerjasama dengan rakan baru,” seperti dipetik dari kenyataan bersama yang dikeluarkan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025