Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Balik Raya: Tak cukup anggota nak pantau semua rumah patuhi SOP ketika beraya – Ismail Sabri

    Balik Raya: Tak cukup anggota nak pantau semua rumah patuhi SOP ketika beraya – Ismail Sabri

    Pasti ramai yang kecewa dengan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini yang menyatakan kita tidak dibenarkan pulang ke kampung untuk beraya walaupun hanya perlu merentas daerah bukan?

    Dalam program ‘Ruang Bicara’ yang disiarkan Bernama TV malam tadi, beliau menjelaskan lebih lanjut mengapa langkah ini terpaksa dibuat walaupun ia satu perkara berat untuk dihadapi semua rakyat terutama yang menyambutnya.

    Menurut Ismail, adalah sukar untuk memastikan setiap rumah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan berkaitan pencegahan COVID-19 berbanding dengan pasar raya sebagai contohnya. SOP tersebut sebenarnya lebih mudah untuk ditetapkan di premis perniagaan seperti itu.

    “Sebagai contoh siapa yang nak masuk mesti beratur, jarak satu meter… jarakan sosial mesti dijaga, sebelum masuk juga kena saring dan untuk masuk juga kena ada jumlah tertentu yang kita perlu tetapkan, jadi semua SOP itu kita jelas.

    Balik Raya: Tak cukup anggota nak pantau semua rumah patuhi SOP ketika beraya – Ismail Sabri

    “Tetapi balik kampung siapa yang nak pantau, dalam satu rumah tiba-tiba berpeluk-peluk dengan saudara-mara, macam mana kita nak pastikan jarakan sosial berlaku, bagaimana nak pastikan ada yang periksa suhu setiap orang yang masuk ke rumah,” jelasnya.

    Beliau turut menambah, walaupun satu jawatankuasa khas telah dibentuk antara agensi kerajaan untuk memantau kepatuhan kepada SOP berkenaan, anggota yang ada tidak mencukupi untuk memantau setiap rumah di seluruh negara.

    “Jadi (pemantauan) pematuhan itu kita jangka tak dapat kita laksanakan. Jadi apa yang kita buat ini adalah untuk menjaga kepentingan semua, kita tidak mahu hari raya ini menjadi satu kluster baharu, akibat raya balik ke tempat kerja bawa penularan baharu,” katanya.

    Balik Raya: Tak cukup anggota nak pantau semua rumah patuhi SOP ketika beraya – Ismail Sabri

    Namun Ismail turut menyebut arahan ini masih tertakluk kepada Menteri Kesihatan yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sebarang arahan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan ini, termasuk kebenaran untuk pulang ke kampung.

    “Seperti saya katakan, kita akan rujuk kepada Kementerian Kesihatan, kerana Akta 342 ini adalah akta di bawah kementerian ini, dan di dalam akta ini Menteri Kesihatan boleh keluarkan arahan, jadi arahan menteri pada ketika ini, tidak boleh,” katanya.

    Beliau berkata, walaupun ada juga beberapa pihak yang minta supaya kebenaran diberikan dengan mengenakan SOP tertentu, beliau berkata ia tidak dapat dilakukan, selagi ia diletakkan di bawah senarai terlarang. “Selagi itu ia tidak boleh ada SOP pun, SOP hanya boleh dikeluarkan kepada senarai dibenarkan,” jelasnya.

    KEMASKINI: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin telah memberikan lampu hijau untuk rakyat menziarahi ahli keluarga terdekat dalam negeri sempena Aidilfitri tetapi bersyarat. Berita penuh pada PAUTAN INI.

     
     
  • PKP: Pergerakan rentas negeri menggunakan motosikal, pengangkutan awam darat kini dibenarkan

    PKP: Pergerakan rentas negeri menggunakan motosikal, pengangkutan awam darat kini dibenarkan

    Pergerakan rentas negeri bagi orang ramai yang terkandas di kampung halaman untuk kembali ke rumah masing-masing telah pun bermula semalam sehingga 10 Mei ini. Terdahulu, pergerakan hanya membenarkan orang ramai menggunakan kereta persendirian sahaja. Walau bagaimana pun timbul rungutan segelintir masyarakat yang perlu melakukan perjalanan dengan menaiki pengangkutan awam dan motosikal, akhirnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) membenarkan untuk berbuat demikian.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed, untuk itu, pengangkutan awam darat perlulah mempunyai permit sah daripada pihak berkuasa.

    “Orang ramai yang menggunakan kenderaan pengangkutan awam darat atau penunggang motosikal hendaklah mendapatkan kelulusan pengerakan antara negeri daripada polis melalui aplikasi Gerak Malaysia atau secara manual dari balai polis berhampiran.

    “Kebenaran pergerakan antara negeri ini hanyalah untuk orang ramai yang terkandas di kampung yang ingin untuk kembali ke kediaman masing-masing atau mereka yang pergi dan balik bekerja sahaja,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    PKP: Pergerakan rentas negeri menggunakan motosikal, pengangkutan awam darat kini dibenarkan

    Pergerakan rentas negeri ini bermula pada semalam, 7 Mei, untuk mereka yang bergerak dari Kuala Lumpur, manakala untuk mereka yang bergerak dari Perak, Johor dan Kelantan pula adalah hari ini, 8 Mei. Pada 9 Mei pula, adalah bagi yang bergerak dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang. Manakala 10 Mei untuk yang bergerak dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

    Menurut Huzir lagi, pemerhatian dan kajian di sepanjang lebuh raya dan jalan persekutuan pada hari pertama rentas negeri ini mendapati pergerakan kenderaan berjalan lancar.

    “Orang ramai diingatkan agar sentiasa menjaga keselamatan diri serta mengamalkan jarakan sosial sepanjang masa, ” katanya.

    PDRM juga telah menggariskan enam perkara utama membabitkan pergerakan rentas negeri iaitu
    tiada kemudahan makanan disediakan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R). Malah surau juga ditutup dan orang awam awam tidak dibenarkan solat berjemaah di kawasan itu. Walau bagaimana pun, fasiliti tandas di R&R sahaja dibenarkan beroperasi. Kawasan tempat letak kenderaan di kawasan terbabit pula hanya dibenarkan untuk berehat.

    Manakala stesen minyak hanya beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam sepanjang lebuh raya. PDRM turut menegaskan pengguna jalan raya dilarang melakukan aktiviti berkumpulan dalam tempoh kebenaran perjalanan itu.

    PKP: Pergerakan rentas negeri menggunakan motosikal, pengangkutan awam darat kini dibenarkan

    Sebelum ini, kerajaan telah melonggarkan beberapa syarat dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini termasuklah empat sekeluarga dibenarkan menaiki sebuah kereta persendirian, namun ada juga pertanyaan daripada orang ramai yang mahu melakukan perjalanan rentas negeri dengan jumlah penumpang melebihi empat orang.

    Mengikut laman Facebook rasmi Malaysia Goverment Call Centre (MGCC), sekiranya penumpang adalah lebih dan terdiri daripada budak kecil, orang uzur atau orang kurang upaya; anggota polis bolehlah menggunakan kuasa budi bicaranya untuk membenar atau tidak membenarkan pergerakan tersebut.

    Malah MGCC turut mengingatkan orang ramai agar mengemaskini aplikasi Gerak Malaysia versi 2.5 untuk mendapatkan kod QR pada tarikh hari perjalanan masing-masing.

    “Pergerakan anda adalah mengikut jadual pergerakan. Bukan dua hari seperti sebelum ini. Jana kod QR pada tarikh anda ingin bergerak. Kod QR aktif selama 24 jam sahaja. Malah anda tidak boleh membuat pergerakan dua hala secara terus kerana perlu mengikut jadual pergerakan,”ujar MGCC.

     
     
  • Rentas daerah ketika Aidilfitri tidak akan dibenarkan

    Rentas daerah ketika Aidilfitri tidak akan dibenarkan

    Walaupun buat masa sekarang pergerakan rentas daerah dibenarkan tanpa masalah dan had masa, tetapi kerajaan nampaknya tidak akan membenarkan perjalanan yang sama menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti kerana ia masih disenaraikan dalam perkara yang dilarang, lapor Berita Harian.

    Perkara ini disebut oleh Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam wawancara ekslusif bersama akhbar berkenaan, baru-baru ini. Menurutnya kerajaan masih belum membenarkan ziarah untuk hari raya dan tidak semua pergerakan dibenarkan pada masa ini, begitu juga aktiviti sosial dan sukan.

    “Contohnya, permainan bola sepak masih tidak dibenarkan kerana ia berada dalam senarai negatif namun sukan lain seperti badmintan dan golf dibenarkan.

    “Seperti diumumkan Perdana Menteri pulang ke kampung untuk berhari raya tidak dibenarkan,” jelasnya.

    Beliau juga ditanya mengenai kebenaran untuk solat Jumaat dan tarawih di surau dan masjid, katanya setakat ini, belum lagi diputuskan sebarang keputusan mengenainya.

    “Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan hal ehwal agama ada membentangkan cadangan tetapi kita belum putuskan apa-apa keputusan mengenainya. Mungkin kita akan bincangkan lebih lanjut di dalam mesyuarat Kabinet.

    “Cadangan itu bagaimanapun bukan mahu dilaksana dalam waktu terdekat. Jika mahu dilaksanakan pun seminggu atau dua minggu lagi. Saya kira adalah lebih baik menteri yang berkenaan mengulas mengenainya,” katanya.

    Selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu, kerajaan telah memberi kelonggaran bergerak secara beransur-ansur. Buat masa sekarang, rakyat tidak lagi perlu untuk berseorang di dalam kenderaan, perjalanan melebihi radius 10 km sudah dibenarkan, dan tiada lagi had perjalanan hanya sehingga 10 malam.

    KEMASKINI: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin telah memberikan lampu hijau untuk rakyat menziarahi ahli keluarga terdekat dalam negeri sempena Aidilfitri tetapi bersyarat. Berita penuh pada PAUTAN INI.

     
     
  • Perodua X-Concept dah boleh tempah? Biar betul?

    Lepas tular berkenaan kereta elektrik murah yang akhirnya didedahkan sebagai satu penipuan tempoh hari, kini ada satu lagi penularan yang membuatkan warganet tertanya-tanya berkenaan satu video dengan kapsyen “jom pi tempah” – ini Perodua apa pula bukan main canggih dengan pintu yang boleh dibuka macam tingkap istana di zaman silam?

    Tuan-tuan, ini bukan baharu. Kereta berwarna merah yang anda lihat dalam video tersebut sebenar sebuah model konsep yang didedahkan oleh Perodua pada Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 yang diberi nama Perodua X-Concept.

    Kereta ini muncul sekali dengan Perodua Mvvi GT dan kami pun sebenarnya telah menaikkan satu artikel berkenaan kereta tersebut pada hari yang sama ia didedahkan, serta satu lagi artikel istimewa dengan menemuramah ketua pereka Perodua, Muhamad Zamuren untuk mengetahui dengan lebih mendalam berkenaan X-Concept ini.

    Perodua X-Concept dah boleh tempah? Biar betul?

    Model konsep ini sebenarnya dihasilkan oleh Perodua bagi menunjukkan halatuju rekaan untuk model-model hatchback mereka pada masa akan datang atau bahasa mudahnya rekaan yang mewakili “Perodua Di Masa Hadapan”, dan bukannya akan diproduksi dan dijual dengan rupa ‘bulat-bulat’ seperti ini.

    Ia juga sebagai penanda bahawa selepas ini syarikat automotif berpusat di Rawang ini akan hadir dengan lebih banyak model dengan rekaan badan atas mereka sendiri seperti Bezza dan Myvi 2018. Jadi janganlah selepas ini ada yang ke bilik pameran Perodua untuk menempah kereta ini, memang tiada.

    Sebagai sebuah model konsep, sudah tentu ia menampilkan bahagian-bahagian yang agak ‘fancy’ dan mustahil akan diberikan pada model produksi sebenar seperti rim bersaiz besar, tayar nipis, cermin sisi nipis dan kecil, pembuka pintu yang tersembunyi dan pintu yang terbuka secara suicide (pintu belakang terbuka dari depan). Di bahagian depan, grilnya yang lebar mempunyai logo Perodua manakala lampu LED pula terletak rendah.

    Perodua X-Concept dah boleh tempah? Biar betul?

    Kabin Perodua X-Concept ini dihasilkan cukup minimalis, dengan papan pemuka tidak mempunyai sebarang butang dan berkemungkinan segala fungsi seperti pengawal pendingin hawa, audio dan navigasi boleh dikawal melalui pad elektronik besar yang terkeluar di panel tengah. Operasi gear juga dikawal melalui butang di permukaan rata di antara dua tempat duduk hadapan.

    Untuk tempat duduk pula, kami dapati ia mempunyai bentuk bucket yang sporty, tetapi warnanya berlainan antara di depan dan belakang – di depan menggunakan padanan warna hitam, jalur merah dan kemasan hitam berkilat, manakala di belakang menggunakan warna putih, jalur merah dan kemasan krom.

    Imej bayang Perodua Axia generasi seterusnya dengan rekaan asas X-Concept

    Jadi jika X-Concept ini diterjemahkan dalam model produksi sebenar, agaknya macam mana rupanya? Untuk memudahkan anda membayangkanya, kami juga telah menghasilkan satu imej bayangan Perodua Axia generasi seterusnya menggunakan asas X-Concept ini. Garis badan asal masih kami kekalkan, namun perincian lain telah diubah kepada ciri yang lebih masuk akal seperti muka dengan inspirasi dari Perodua Aruz, pintu normal, set rim seperti model-model Perodua sedia ada, dan lain-lain.

    Dan tidak mustahil, rekaan asas untuk X-Concept ini akan diterapkan pada SUV segmen-B Perodua dikenali dengan nama kod D55L yang khabarnya akan dilancarkan tahun ini, yang sah menggunakan platform dan enjin yang sama seperti Daihatsu Rocky yang telah dilancarkan di Jepun tahun lalu.

    GALERI: Perodua X-Concept di KLIMS 2018

     
     
  • MOF sahkan tiada caj tambahan faedah dikenakan ke atas moratorium pinjaman selama enam bulan

    MOF sahkan tiada caj tambahan faedah dikenakan ke atas moratorium pinjaman selama enam bulan

    Selepas meminta Bank Negara Malaysia (BNM) agar melupuskan kadar faedah tambahan bagi tempoh enam bulan moratorium untuk pinjaman sewa beli (konvensional dan shariah) tempoh hari, hari ini Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa kata sepakat telah dicapai bagi melupuskan kadar caj tambahan tersebut.

    Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, persetujuan dicapai untuk menetapkan bahawa jumlah ansuran bulanan pinjaman tidak akan berubah bagi peminjam sewa beli (konvensional dan Shariah) sepanjang tempoh pembiayaan tersebut. Ini juga bermakna tiada sebarang caj tambahan akan dikenakan sewaktu tempoh moratorium (penangguhan).

    MOF sahkan tiada caj tambahan faedah dikenakan ke atas moratorium pinjaman selama enam bulan

    Sehubungan itu, peminjam akan perlu menyambung pembayaran ansuran seperti biasa selepas tempoh moratorium (1 April hingga 1 September) berdasarkan terma-terma perjanjian dengan bank masing-masing, termasuk tambahan 6 bulan bagi keseluruhan jadual pembiayaan jika memilih untuk memanfaatkan moratorium tersebut, tambahnya lagi.

    Beliau turut berkata kerajaan berharap keputusan ini akan dapat meringankan beban rakyat dalam tempoh yang mencabar ini.

     
     
  • Volkswagen Malaysia buka semula operasi pusat servis di seluruh negara — SOP kesihatan diamalkan

    Volkswagen Malaysia buka semula operasi pusat servis di seluruh negara — SOP kesihatan diamalkan

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan pembukaan semula oeprasi di semua pusat servisnya dalam kapasiti penuh susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak awal minggu ini.

    Pengedar di seluruh negara akan mematuhi garis panduan ketat yang telah dikeluarkan, serta menganjurkan kempen “Safe Hands” yang memberi tumpuan kepada tiadanya sentuhan secara langsung ketika menerima atau menyerahkan kenderaan kepada pelanggan, penjelasan melalui video, sanitasi sebelum dan selepas kenderaan diselenggarakan sementara bayaran pula dilakukan secara elektronik tanpa tunai.

    Pengedar terpilih juga ada menawarkan perkhidmatan menjemput kenderaan dan menyerahkannya kembali kepada pelanggan. Slot servis kenderaan bagaimanapun hanya melalui temujanji sahaja. Untuk itu, pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi pusat servis Volkswagen pilihan mereka terlebih dahulu untuk membuat temujanji.

    Pelanggan dan frontliner yang telah membuat tempahan melalui kempen Welcome Back sebelum ini akan diberi keutamaan, bergantung kepada kekosongan. Premis terlibat akan selalu disanitasi, sementara bacaan suhu badan akan diambil bagi semua staf dan pelanggan yang hadir.

    “Dalam usaha kami untuk memenuhi keperluan lepas jualan pelanggan, kami juga mematuhi norma-norma baru seperti penjarakkan sosial, dan kebersihan serta sanitasi adalah perkara penting sebagai langkah penghindaran yang perlu diambil. Kempen “Safe Hands” yang kami anjurkan memenuhi semua keperluan itu,” ujar Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter.

     
     
  • Pengguna perlu kemaskini butiran dan dapatkan kod QR untuk pergerakan rentas negeri pada 7-10 Mei ini

    Pengguna perlu kemaskini butiran dan dapatkan kod QR untuk pergerakan rentas negeri pada 7-10 Mei ini

    Seperti yang kita sedia maklum, bermula esok hingga 10 Mei nanti, pergerakan rentas negeri bagi mereka yang terkandas sepanjang PKP ini akan dibenarkan. Ini hanya bagi mereka yang telah membuat permohonan melalui aplikasi Gerak Malaysia, melibatkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke kampung dan juga sebaliknya.

    Jadual perjalanan telah ditetapkan oleh PDRM adalah seperti berikut; 7 Mei adalah dikhaskan untuk mereka yang bergerak dari Kuala Lumpur; 8 Mei untuk mereka yang bergerak dari Perak, Johor dan Kelantan; 9 Mei untuk anda yang bergerak dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang; manakala 10 Mei untuk anda yang bergerak dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

    Tengahari tadi, Pengarah CID Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengadakan satu sidang media untuk menjelaskan maklumat yang lebih terperinci serta prosedur berkaitan pergerakan rentas negeri yang akan berlangsung ini. Pertama sekali, pengguna perlulah mendapatkan kebenaran daripada polis, sama ada melalui aplikasi Gerak Malaysia atau pun salinan surat dari balai polis.

    Pengguna perlu kemaskini butiran dan dapatkan kod QR untuk pergerakan rentas negeri pada 7-10 Mei ini

    Beliau juga menggesa kepada mereka yang ingin membuat pergerakan untuk mengemaskini aplikasi berkenaan kepada versi 2.5 yang boleh didapati untuk dimuat turun ke telefon pintar. Pemohon juga perlu mengemaskini alamat asal serta alamat destinasi yang ingin dituju untuk mendapatkan kod QR. Dan, kod QR ini sangat penting sebagai buktik bahawa anda diberi kebenaran untuk melakukan pergerakan.

    Setakat 5 Mei, aplikasi Gerak Malaysia telah dimuat turun sebanyak 1,407,143 kali, dan mencatatkan sebanyak 503,276 permohonan bagi pergerakan rentas negeri. Daripada jumlah itu, 143,516 permohonan telah mengemaskini butiran mereka dan telah diberi kelulusan. Bagi permohonan secara manual pula, balai polis seluruh negara telah mengeluarkan 13,069 salinan surat kebenaran.

    Menurut beliau lagi, adalah penting untuk mendapatkan kod QR ini kerana daripada jumlah keseluruhan permohonan melalui aplikasi berkenaan, 70.5% masih lagi belum mengemaskini butiran. Ini mungkin ada dua sebab; orang ramai mengandaikan dengan hanya memohon maka mereka akan dibenarkan untuk bergerak tanpa mendapatkan kelulusan daripada polis. Atau kedua, ramai yang menunggu ke saat terakhir untuk mengemaskini butiran yang diperlukan itu.

    Pengguna perlu kemaskini butiran dan dapatkan kod QR untuk pergerakan rentas negeri pada 7-10 Mei ini

    Kod QR itu juga akan memastikan tiada orang yang dapat mengambil kesempatan sepanjang tempoh pergerakan rentas negeri itu. Tempoh pergerakan empat hari ini hanya untuk mereka yang terkandas dan ingin pulang ke rumah sahaja.

    Penggunaan kod QR ini juga akan menjimatkan masa ketika melalui sekatan jalan raya yang diadakan. Polis akan mengimbas kod QR berkenaan untuk mengesahkan butiran pengguna. Dan ya, akan ada sekatan jalanraya terutamanya di sempadan negeri-negeri. Bagi mereka yang mendapatkan salinan surat kebenaran pula hendaklah menunjukkan salinan tersebut.

    Jika anda tertanya-tanya kenapa perlu untuk mengemaskini butiran dan mendapatkan kod QR tersebut, tujuannya adalah untuk memudahkan kerajaan dan kementerian kesihatan mengesan individu dan orang lain yang ada kontak rapat dengan mereka, sekiranya ada orang yang dijangkiti Covid-19.

     
     
  • Pusat servis, bilik pameran Mitsubishi M’sia sudah mula beroperasi – pelanggan digalak buat temu janji

    Pusat servis, bilik pameran Mitsubishi M’sia sudah mula beroperasi – pelanggan digalak buat temu janji

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan bahawa kebanyakkan bilik pameran dan juga pusat 3S mereka di seluruh negara sudah pun beroperasi bermula 4 Mei lalu, selaras dengan kebenaran yang telah pun diberikan oleh kerajaan dalam perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

    Oleh itu, operasi mereka disemua di premis-premis berkenaan akan mengamalkan langkah-langkah pencegahan penularan wabak Covid-19, yang bukan sahaja selari dengan arahan kerajaan, malah turut dibuat bagi memastikan keselamatan pelanggan mereka.

    Jadi, pelanggan yang ingin datang ke mana-mana bilik pameran adalah dinasihatkan untuk membuat panggilan temu janji dahulu. Kemudian, semua fasiliti pengedar bertauliah MMM akan menjalankan langkah-langkah seperti berikut:

    • Suhu badan setiap orang yang masuk ke bilik pameran akan diperiksa terlebih dahulu.
    • Cecair pembasmi kuman untuk tangan akan disediakan di pintu masuk.
    • Kesemua staf dan pelanggan sangat digalakkan untuk memakai topeng muka di dalam premis.
    • Penjarakan sosial akan sentiasa diamalkan dan diperhatikan.
    • Proses sanitasi akan sentiasa di buat di fasiliti-fasiliti bilik pameran.
    • Kereta-kereta yang dipamerkan dan dipandu uji turut akan sentiasa dilakukan proses sanitasi.

    Pusat servis, bilik pameran Mitsubishi M’sia sudah mula beroperasi – pelanggan digalak buat temu janji

    MMM turut menegaskan bahawa pelanggan yang mahu menservis kereta mereka adalah wajib untuk membuat temu janji terlebih dahulu. Kemudian, mereka sangat digalakkan untuk meninggalkan kereta untuk diservis dan hanya datang semula untuk mengambil kereta yang telah siap.

    Setiap kereta yang diservis akan diberikan pelindung tempat duduk dan stereng, dan ianya akan dibuka sebelum kereta dipulangkan kepada pemilik serta tidak akan digunakan semula pada kereta lain. Proses sanitasi juga akan dibuat sebelum kereta diserahkan kembali kepada pelanggan.

    Anda juga tidak perlu tergesa-gesa untuk menghantar kenderaan anda untuk diservis kerana risau waranti akan terjejas. Ini kerana MMM memberikan tempoh lanjutan 90 hari (atau 2,500 km dari bacaan perbatuan) dari tarikh sepatutnya ia diservis ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Kesihatan dan keselamatan semua pelanggan dan staf kami sentiasa menjadi keutamaan. Dalam masa kesemua langkah-langkah ini diambil, pasukan kami komited untuk memastikan gangguan yang minimal kepada perniagaan dan penyediaan servis kami kepada pelanggan. Kami akan terus memantau rapat semua perkara dan memperkasakan langkah berjaga-jaga dan pencegahan bagi memastikan pengalaman yang selamat dan selesa untuk pelanggan kami,” kata Tomoyuki Shinnishi, CEO MMM.

     
     
  • Tiada kenderaan terjual di India sepanjang bulan April

    Tiada kenderaan terjual di India sepanjang bulan April

    Perintah berkurung yang dilaksana di India berikutan pandemik Covid-19 nampaknya memberikan kesan besar kepada industri automotif di negara itu. Menurut laporan Bloomberg dan The Times of India, tiada satu pun kenderaan yang dijual dalam negara itu sepanjang bulan April lalu.

    Perdana menteri India, Narendra Modi mengumumkan perintah berkurung selama 21 hari bermula 25 Mac, dan kemudiannya ia telah disambung lagi sehingga 17 Mei tetapi dengan beberapa kelonggaran diberi bermula 4 Mei.

    Pengeluar kenderaan utama di negara itu seperti Maruti Suzuki dan Mahindra & Mahindra tidak menyerahkan sebarang kenderaan kepada pelanggan di dalam negara bulan lepas, sementara syarikat lain seperti Hyundai Motor India, Tata Motors, Ashok Leyland, Toyota Kirloskar Motor dan Honda Cars India juga melaporkan keadaan yang sama.

    Tiada kenderaan terjual di India sepanjang bulan April

    “Di Mahindra, kami bekerja rapat dengan semua pihak berkepentingan, terutamanya pengedar dan pembekal untuk memulakan kembali ekosistem sebaik perintah berkurung ini ditamatkan,” kata ketua pegawai eksekutif bahagian automotif Mahindra & Mahindra, Veejay Nakra.

    Menurut data daripada Society of Indian Automobile Manufacturers (SIAM), pengeluar kenderaan dalam negara tersebut menjual 2,773,575 kenderaan penumpang bagi tahun kewangan 2019-2020 (berakhir 31 Mac 2020), dan jumlah ini adalah kurang berbanding tahun sebelumnya (tahun kewangan 2018-2019) iaitu 3,377,389. Dengan catatan bulan April yang terus kosong, tahun kewangan 2020-2021 pastinya sekali lagi menunjukkan penurunan.

    Walaupun tiada jualan bagi pasaran domestik, beberapa syarikat masih berjaya menjual kenderaan kepada pasaran eksport selepas operasi kembali berjalan, termasuk Maruti Suzuki (632 units), Mahindra & Mahindra (733 units) dan Hyundai (1,341 units).

     
     
  • PDRM umum jadual pergerakan rentas negeri untuk 7-10 Mei bagi mereka yang sudah membuat permohonan

    PDRM umum jadual pergerakan rentas negeri untuk 7-10 Mei bagi mereka yang sudah membuat permohonan

    Untuk anda yang telah terperangkap di kampung dan telah memohon untuk pulang semula ke bandar, ini mungkin perkara yang anda tunggu – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah pun mengumumkan jadual perjalanan untuk anda. Pergerakan rentas negeri ini hanya dibuka selama empat hari iaitu bermula 7 hingga 10 Mei 2020.

    Perlu diingatkan sekali lagi, pergerakan ini hanya boleh dibuat sekiranya anda telah mendapat kebenaran dari pihak polis sama ada dengan permohonan di Balai Polis, mahupun secara atas talian menerusi aplikasi Gerak Malaysia.

    Dalam pengumuman tersebut telah menyebut, 7 Mei adalah dikhaskan untuk mereka yang bergerak dari Kuala Lumpur; 8 Mei untuk mereka yang bergerak dari Perak, Johor dan Kelantan; 9 Mei untuk anda yang bergerak dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang; manakala 10 Mei untuk anda yang bergerak dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

    Sekali lagi diingatkan, tarikh-tarikh yang diberi ini adalah tempat di mana anda mula bergerak, dan bukan destinasi anda. Fahamkan betul-betul bagi mengelakkan kekeliruan dan salah maklumat yang boleh menyebabkan anda terperangkap sekali lagi.

    PDRM umum jadual pergerakan rentas negeri untuk 7-10 Mei bagi mereka yang sudah membuat permohonan

    Seperti apa yang telah di sebut oleh Menteri Kanan (kluster keselamatan ) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selepas tempoh empat hari ini berakhir, tiada lagi pergerakan merentas negeri dibenarkan. Namun, anda masih boleh membuat permohonan kepada pihak polis, tetapi kelulusan hanya akan diberikan atas budi bicara polis.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed pada 3 Mei lalu, sekitar 1.16 juta orang pengguna telefon pintar telah memuat turun aplikasi Gerak Malaysia menerusi Apple AppStore, Google Play dan Huawei AppGallery. Manakala PDRM sendiri telahpun menerima sebanyak 462,505 permohonan antara 25 April hingga 1 Mei untuk pergerakan rentas negeri ini.

    Bagi melakukan perjalanan ini, pihak Kementerian Pengangkutan mengingatkan semua pengguna jalan raya agar terus mengamalkan amalan norma-norma baharu bagi membendung jangkitan Covid-19 ini seperti amalkan penjarakan sosial, memakai topeng muka dan sentiasa membasuh tangan.

    PDRM umum jadual pergerakan rentas negeri untuk 7-10 Mei bagi mereka yang sudah membuat permohonan

    Mereka juga perlu mengambil perhatian bahawa ketika perjalanan nanti:

    • Restoran dan gerai-gerai makanan masih belum dibuka.
    • Surau di semua perhentian juga masih belum dibuka.
    • Hanya tandas awam yang akan dibuka.
    • Pengguna jalan raya hanya dibenarkan berehat dalam kenderaan masing-masing dalam kawasan parkir. Keluar hanya jika perlu ke tandas.
    • Tiada solat jemaah dibenarkan di fasiliti-fasiliti R&R, kawasan parkir atau mana-mana tempat terbuka disepanjang lebuh raya.
    • Tiada sebarang aktiviti berkumpulan di benarkan.
    • Stesen minyak di sepanjang perjalanan hanya akan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 12 malam.

    Selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu, kerajaan telah memberi kelonggaran bergerak secara beransur-ansur, namun perjalanan untuk merentas negeri selain dari empat hari ini masih belum dibenarkan.

    Buat masa sekarang, rakyat tidak lagi perlu untuk berseorang di dalam kenderaan, perjalanan melebihi radius 10 km sudah dibenarkan, dan tiada lagi had perjalanan hanya sehingga 10 malam.

     
     
  • Aprilia RS250 SP mula dijual di Itali pada harga RM45k

    Aprilia RS250 SP mula dijual di Itali pada harga RM45k

    Semasa pameran EICMA tahun lepas, Aprilia telah mendedahkan sebuah jentera litar 250 cc yang dipanggil sebagai RS250 SP. Ia sepatutnya digunakan bagi siri perlumbaan FIM Aprilia Sport Championship dan akan didedah secara rasmi waktu Italian Sports Production Championship tapi disebabkan keadaan sekarang, perlumbaan tersebut mungkin akan ditangguh.

    Oleh itu, Aprilia mendedahkan harga RS250 SP ini atas talian. Ia dijual pada harga 9,700 euro (RM45,307) di Itali dan hanya datang dalam versi untuk kegunaan litar sahaja. Hampir keseluruhan bahagian motosikal ini dibangunkan oleh pengeluar motosikal lumba mini terkenal iaitu Ohvale dan cuma enjinnya sahaja datang daripada Aprilia – unit satu silinder 28 hp.

    Disebabkan ini adalah motosikal khas untuk kegunaan litar, ia datang dengan kelengkapan untuk tujuan itu sahaja dan tiada sebarang lampu atau tempat meletak nombor plet. Saiznya pula adalah seperti motosikal 250 cc biasa, dengan berat yang didakwa sekitar 105 kg.

    Aprilia RS250 SP mula dijual di Itali pada harga RM45k

    Dengan harga sebegitu, sudah tentu RS250 SP didatangkan dengan kelengkapan prestasi, dan ini termasuk fork hadapan Andreani, monoshock Ohlins, kerangka aluminium, brek Brembo, ekzos SC Project, rim Marchesini dan tayar jenis slick.

    Nama RS250 sebenarnya sudah digunakan oleh Aprilia untuk model yang dikeluarkan pada tahun 90-an tapi itu adalah jentera yang menggunakan enjin dua lejang. Ia juga agak popular kerana mendapat banyak input daripada jentera lumba GP yang pernah digunakan termasuk oleh Valentino Rossi, dan ramai yang mengeluarkan versi replika seperti itu.

     
     
  • PKPB: Polis sedang kaji untuk membenarkan rakyat balik dari kampung guna pengangkutan awam

    PKPB: Polis sedang kaji untuk membenarkan rakyat balik dari kampung guna pengangkutan awam

    Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memaklumkan, polis sedang meneliti untuk membenarkan rakyat yang terkandas di kampung dan berhasrat pulang ke kediaman masing-masing dengan menggunakan pengangkutan awam.

    Walau bagaimana pun, katanya, buat masa ini hanya kenderaan persendirian dibenarkan untuk perjalanan rentas negeri bagi tujuan itu.

    “Kenderaan persendirian sudah ditetapkan, tetapi kenderaan (pengangkutan) awam, polis sedang membuat kajian secara terperinci jumlah kenderaan awam diperlukan kerana pergerakan antara negeri masih tidak dibenarkan.

    “Oleh itu, pengangkutan awam seperti bas ekspres dan sebagainya belum ada lagi. Saya percaya polis sedang meneliti perkara ini dan bagaimana nak selesaikan isu ini supaya mereka boleh pulang guna pengangkutan awam,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

    PKPB: Polis sedang kaji untuk membenarkan rakyat balik dari kampung guna pengangkutan awam

    Pada Isnin lalu, PDRM telah mengumumkan jadual perjalanan untuk rentas negeri mengikut tarikh yang ditetapkan iaitu mulai 7 hingga 10 Mei ini. Di mana pemohon yang bergerak dari Kuala Lumpur, dibenarkan untuk melakukan perjalanan pada 7 Mei.

    Manakala pada 8 Mei pula, adalah bagi pemohon yang bergerak dari Perak, Johor dan Kelantan. Untuk yang bergerak dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang pula dibenarkan melakukan perjalanan pada 9 Mei. Dan pada 10 Mei pula, untuk pemohon yang bergerak dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

    “Perlu diingatkan bahawa pergerakan untuk pulang ke kediaman masing-masing ini dilakukan pada hari yang telah ditetapkan sahaja. Selain itu, permohonan Gerak Malaysia ini juga sah digunakan dalam tempoh dua hari bermula pada tarikh yang diberi mengikut negeri.

    “Contohnya anda terkandas di Perak, manakala keluarga pula terkandas di Pahang. Rumah dan tempat kerja pula di Kuala Lumpur. Anda boleh bergerak dari Perak ke Pahang untuk mengambil keluarga. Dan kemudian keesokannya boleh bergerak pulang ke Kuala Lumpur,” ujar Huzir.

    Sehingga semalam, aplikasi Gerak Malaysia sudah merekodkan sejumlah 1,364,000 muat turun dan PDRM pula telah menerima 605,723 permohonan perjalanan antara negeri melalui aplikasi tersebut.

     
     
  • Triumph Malaysia kembali beroperasi 11 Mei 2020

    Triumph Malaysia kembali beroperasi 11 Mei 2020

    Walaupun sudah dibenarkan beroperasi bermula 4 Mei, Triumph Malaysia mengambil sedikit masa untuk mempersiapkan pusat pameran mereka dengan standard operasi yang telah ditetapkan, dan membuat keputusan akan memulakan perniagaan daripada 11 Mei 2020.

    Ini adalah tertakluk untuk semua pusat pameran dan servis mereka, iaitu di Petaling Jaya, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu. Waktu operasi pula adalah dari jam 8 pagi hingga 3.30 petang untuk hari Isnin hingga Jumaat dan 9.30 pagi hingga 3.30 petang untuk hari Sabtu. Pada hari Ahad, cuma bahagian jualan di Petaling Jaya sahaja yang dibuka dari jam 9.30 pagi hingga 3.30 petang.

    Waktu operasi ini juga adalah untuk bulan Ramadhan, dan mungkin akan dirujuk semula sebaik tamat nanti. Untuk khidmat servis dan penyelenggaraan, pelanggan diminta membuat temu janji terlebih dahulu sebelum menghantar motosikal, sementara peraturan lain seperti penggunaan topeng muka dan penjarakan sosial sentiasan diambil kira terutamanya yang melibatkan urusan secara berhadapan.

     
     
  • Pusat jualan Hap Heng Star dibuka semula

    Hap Seng Star (HSS), pengedar Mercedes-Benz, telah mengumumkan beberapa pusat jualannya dibuka semula dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Ia susulan dengan pengumuman syarikat tersebut sebelum ini dengan pembukaan semula pusat servisnya pada hujung April lalu dengan waktu operasi seperti biasa, tetapi masih mengikut sistem temujanji sahaja.

    Menurut pengumuman yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasminya, cawangan Autohaus yang kini telah mula dibuka termasuklah di Kuala Lumpur, Kinrara, Balakong, Jalan Ipoh, Puchong South, Bukit Tinggi, Setia Alam, Melaka, Iskandar dan pusat kereta terpakai HSS Kinrara.

    Bagi menjamin tahap keselamatan pelanggan dan pekerja, langkah berjaga-jaga yang lebih ketat turut diimplementasi di kesemua fasiliti HSS, termasuk wajib melakukan pemeriksaan suhu badan, menyediakan hand sanitizer, penjarakan sosial dan melakukan pembasmi kuman secara kerap di premis.

     
     
  • Trak pikap Hyundai Santa Cruz – rupa badan terdedah

    Trak pikap Hyundai Santa Cruz – rupa badan terdedah

    Februari lalu, jurugambar pengintip kami berjaya merakam imej trak pikap Hyundai yang dikhabarkan akan digelar Santa Cruz sedang di uji dalam cuaca sejuk. Seperti biasa, ia mengenakan pelekat penyamaran dan sukar untuk kita melihat perinciannya. Manakala gambar di atas adalah imej kerangka yang berjaya dirakam oleh sumber Motor1, dan ia mendedahkan lebih banyak informasi berkenaan trak pikap ini.

    Sekali pandang, kita dapat lihat rupa jelas profil sisi trak pikap dari jenama Korea ini – ia kelihatan lebih bersegi dari model konsep Santa Cruz yang didedahkan pada tahun 2015, namun masih mengekalkan rupa tiang-C yang condong, manakala garis-garis geometrinya pula adalah seiras dengan rekaan Elantra generasi baharu.

    Jika anda lihat dengan lebih teliti, ada satu lagi perincian penting terdedah menerusi imej ini – trak pikap tersebut hampir pasti sebuah model yang dibina di atas platform unibody, dan bukan kerangka ladder frame trak pikap arus perdana seperti Toyota Hilux dan Mitsubishi Triton. Suspensi belakang pikap ini juga nampak seperti akan menggunakan sistem gantungan bebas.

    Oleh itu, boleh diagak Hyundai Santa Cruz ini akan diasaskan dari platform sama seperti SUV Hyundai Santa Fe. Jadi ia berkemungkinan akan menerima barisan enjin yang serupa; sama ada versi petrol NA dengan unit 2.4 liter empat-silinder berkuasa 185 hp, 2.0 liter turbo berkuasa 238 hp, atau versi turbodiesel 2.2 liter R CRDi berkuasan 193 PS/440 Nm.

    Pembangunan trak pikap Hyundai Santa Cruz ini dilakukan di Amerika Syarikat di mana produksi pertamanya nanti akan bermula di Montgomery, Alabama pada 2021. Oleh itu, ia juga dijangka akan diperkenalkan di pasaran tersebut terlebih dahulu dengan enjin petrol, dan akan disusuri dengan model diesel untuk pasaran lain selepas itu, lapor Motor Authority.

    GALERI: Model konsep Hyundai Santa Cruz 2015

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025