Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Material gentian-karbon dari tumbuhan kini sedang dibangunkan oleh pasukan penyelidik di Amerika

    Material gentian-karbon dari tumbuhan kini sedang dibangunkan oleh pasukan penyelidik di Amerika

    Gentian-karbon merupakan antara material yang paling popular dalam menghasilkan komponen-komponen berprestasi tinggi untuk industri automotif bagi menggantikan penggunaan aluminium kerana bahan tersebut nyata lebih ringan dan lebih kukuh. Namun seperti yang diketahui, setiap komponen yang diperbuat dari gentian-karbon ini tidak murah.

    Ini kerana gentian karbon dihasilkan dari bahan kimia yang digelar acrylonitrile, iaitu sejenis bahan yang diperolehi dari campuran minyak, ammonia, oksigen dan pemangkin yang mahal. Selain itu, penggunaan bahan berasaskan petroleum juga menjadikan harganya tidak stabil dan bergantung kepada harga minyak mentah dunia.

    Faktor ini mungkin akan berubah tidak lama lagi kerana menurut laporan NexusMedia, ahli sains kini sedang membangunkan acrylonitrile yang boleh dihasilkan dari tumbuh-tumbuhan. Usaha ini dijangka bakal membolehkan gentian-karbon dihasilkan dengan kos yang lebih rendah serta lebih mesra alam kerana haba berlebihan serta sisa toksik yang terhasil ketika menghasilkan produk tersebut dapat dikurangkan.

    Penyelidik di Makmal Tenaga Guna Semula Nasional (NREL) di Amerika Syarikat telah membangunkan proses baharu yang boleh menghasilkan acrylonitrile dari tumbuh-tumbuhan, atau secara spesifiknya dari bahagian yang tidak boleh dimakan seperti tangkai jagung dan jerami gandum. Pasukan penyelidik tersebut akan memecahkan bahan berkenaan kepada gula dan menukarnya kepada asid. Setelah itu, ia akan digabungkan dengan bahan pemangkin yang lebih murah untuk menghasilkan acrylonitrile.

    Pasukan penyelidik NREL berkenaan percaya proses berasaskan tumbuhan ini boleh dibuat dalam proses pengeluaran berskala besar bagi menyedikan acrylonitrile, seterusnya mampu merendahkan lagi kos produksi material gentian-karbon.

    Makmal berkenaan juga menyatakan mereka kini sedang berkerjasama untuk menghasilkan acrylonitrile dengan jumlah yang banyak yang boleh menghasilkan gentian-karbon dan akan diuji pada produk automobil, namun kini penyelidikan asas masih lagi dijalankan.

     
     
  • Givi buka pusat sehenti di JB, sampaikan hadiah Honda RS150R kepada pemenang peraduan Cielo Yuzy

    Givi buka pusat sehenti di JB, sampaikan hadiah Honda RS150R kepada pemenang peraduan Cielo Yuzy

    Pengeluar aksesori motosikal, Givi Asia Sdn Bhd telah membuka sebuah pusat sehenti di Jalan Tampoi Susur 1, Johor Bahru untuk kesenangan pelanggannya yang berada di sekitar kawasan tersebut. Pusat ini dibuka dari hari Sabtu hingga hari Ahad, jam 10 pagi hingga 7 malam.

    Di situ, orang ramai boleh mendapatkan pelbagai barangan yang dikeluarkan oleh Givi, berserta khidmat pemasangan. Ini adalah pusat sehenti ketiga yang dibuka oleh Givi, selepas satu di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, dan satu lagi di Pulau Pinang.

    Semasa majlis perasmian pembukaan pusat sehenti ini, Givi turut melancarkan produk baru iaitu tapak lampu brek ketiga yang boleh ditambah kepada kotak barangan mereka. Ini sekaligus dapat meningkatkan ciri keselamatan motosikal yang menggunakan kotak barangan Givi.

    Givi buka pusat sehenti di JB, sampaikan hadiah Honda RS150R kepada pemenang peraduan Cielo Yuzy

    Selain daripada itu, Givi turut menyampaikan hadiah utama kepada pemenang peraduan Cielo Yuzy Racing, iaitu sebuah motosikal Honda RS150R yang telah diubah suai dengan pelbagai aksesori Givi, serta grafik khas seperti jentera lumba Yuzy Racing.

    Pemenangnya, Nazeri Mohd Isa yang berasal dari Klang, Selangor turut hadir untuk menerima sendiri hadiah ini, dan beliau telah dipilih selepas satu cabutan diadakan dalam satu acara berasingan yang lebih awal bersama pemenang tempat kedua dan ketiga yang lain.

     
     
  • VIDEO: Porsche jelaskan bagaimana untuk menyebut nama kotak gear Doppelkupplungsgetriebe atau PDK

    Seperti yang diketahui, Jerman antara negara terawal membangunkan kotak gear klac berkembar, khususnya jenama-jenama di bawah payung kumpulan Volkswagen iaitu Audi dan Porsche. Jika VW sendiri menggelar kotak gear tersebut sebagai DSG, Porsche memanggil transmisi tersebut sebagai PDK atau nama penuhnya Doppelkupplungsgetriebe.

    Selain fungsinya yang kompleks, untuk menyebut Doppelkupplungsgetriebe ini juga sesuatu yang boleh menyebabkan muka anda berkerut-kerut. Jadi, Porsche mengeluarkan satu video pendek bagaimana untuk menyebut dengan betul nama kotak gear ini. Memang sukar untuk dijelaskan bagaimana sebutannya dalam bahasa melayu, jadi ada baiknya anda tonton video di atas.

    Menurut Porsche, mereka telah mula membangunkan kotak gear yang sangat laju ini sejak era 60’an dan disasarkan untuk digunakan pada lapangan sukan bermotor. Walau bagaimanapun, kotak gear tersebut membuat penampilan pertamanya pada era 80’an, diberikan pada kereta lumba Porsche 956 Group C.

    Setelah sekian lama digunakan pada jentera perlumbaan sebenar, kotak gear PDK versi produksi jalan raya hanya pada pertengahan era Y2K, diperkenalkan buat pertama kali pada Porsche 911 model 997.

     
     
  • Kilang enjin Volvo di Sweden diiktiraf neutral-karbon

    Kilang enjin Volvo di Sweden diiktiraf neutral-karbon

    Assembly in Volvo Cars’ engine factory in Skövde, Sweden

    Volvo sekali lagi mengangkat persaingan sebagai pengeluar kenderaan paling mesra alam ke satu tahap lagi apabila kilang enjinnya yang terletak di Skövde, Sweden diiktiraf sebagai kilang neutral-karbon – fasiliti pertama seumpamanya di dunia yang menerima penarafan tersebut. Status tersebut diperolehi setelah kilang berkenaan menerapkan pemanasan yang boleh diperbaharui bermula awal tahun ini.

    Menurut Volvo, kilang Skövde berkenaan merupakan antara berberapa kilang automotif di dunia yang telah mencapai status neutral-iklim dan mencatatkan langkah yang signifikant terhadap sasaran Volvo bagi menjadikan operasi pengilangan global mereka sebagai neutral-karbon menjelang 2025.

    Pencapaian terbaharu ini dapat dicapai dengan perjanjian baharu antara Volvo Cars dan penyedia tenaga tempatan, yang memastikan fasiliti di Skövde ini menerima kuasa pemanasan yang dijana dari hasil buangan, biomass dan bahan api-bio yang dikitar semula.

    “Penjagaan alam sekitar merupakan salah satu nilai utama kami. Bersama rancangan kami untuk menggunakan teknologi elektrik terhadap semua kereta Volvo baharu yang dilancarkan dari 2019, operasi pengilangan neutral-iklim juga akan mengurangkan keseluruhan pengeluaran karbon kami secara signifikant, menyokong usaha global untuk menyelesaikan masalah perubahan iklim,” kata Stuart Templar, pengarah kemampanan Volvo Cars.

    Untuk kilang Volvo di Ghent, Belgium, sistem pemanasan kawasan telah diperkenalkan bagi mengurangkan pencemaran CO2 sehingga 40% atau 15,000 tan CO2 dapat dikurangkan dalam masa setahun, tambah jenama tersebut. “Kami akan terus bekerja keras dengan pembekal tenaga kami di semua rantau bagi mendapatkan akses seterusnya kepada tenaga yang boleh diperbaharui untuk kilang-kilang pengeluaran kami,” kata Javier Varela, naib presiden senior Volvo Cars untuk pengeluaran dan logistik.

     
     
  • Volvo V40 T5 kini dengan kit luar R-Design – RM181k

    Volvo V40 T5 kini dengan kit luar R-Design – RM181k

    Volvo V40 T5 facelift yang dilancarkan pada bulan Jun lalu kini datang dengan pakej luaran R-Design, menggantikan pakej Inscription sebelum ini. Walaupun dengan perubahan ini, harganya masih lagi sama iaitu RM180,888 atas jalan, tidak termasuk insurans, bersama jaminan lima tahun tanpa had batuan.

    Perubahan pada bahagian hadapan boleh dilihat dengan adanya gril serta bampar R-Design, dengan bukaan udara di penjuru dan kemasan hitam pada bahagian bawah. Pergi ke belakang pula, anda dapat melihat rekaan diffuser yang lebih agresif, serta dua muncung ekzos yang lebih besar. Rim masih lagi 17 inci, tetapi rekaan yang berlainan (tayar 205/50).

    Walaupun bahagian luar mempunyai banyak barangan R-Design, ia tidak diteruskan untuk bahagian dalam. Maknanya, bahagian dalam masih sama seperti varian Inscription sebelum ini, dengan menggunakan kemasan aluminium di beberapa bahagian serta Comfort Seat. Walaupun begitu, plet tepi pintu yang sebelum ini tertulis Inscription telah diganti dengan tulisan Volvo sahaja, dan stereng serta tombol gear tidak menggunakan unit balutan kulit R-Design.

    Kelengkapan pada kenderaan ini masih tidak berubah, di mana ia datang dengan panel instrumen digital lapan inci, lampu utama LED dengan DRL LED bentuk ‘tukul Thor’, pengawal pendingin hawa dua zon dengan Clean Zone, Sensus Connect dengan skrin tujuh inci dan lapan pembesar suara 180 watt.

    Di bawah bonetnya terdapat enjin empat silinder petrol 2.0 liter turbo Drive-E, yang dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan Geartronic. Padanan ini mampu menghasilkan 245 hp pada 5,500 rpm dan 350 Nm tork pada antara 1,500 hingga 4,800 rpm – cukup untuk melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat dan laju maksimum 240 km/j.

     
     
  • Honda kereta penumpang paling laris 2017 di Thai

    Honda kereta penumpang paling laris 2017 di Thai

    Honda Automobile Thailand telah mendedahkan prestasi jualan mereka untuk tahun 2017, dan syarikat berkenaan kekal sebagai pengeluar kenderaan penumpang paling laris untuk tahun ketiga berturut-turut.

    Honda Thai telah menjual sejumlah 127,768 kenderaan pada tahun 2017, meningkat 19% berbanding jualan untuk tahun 2016. Bahagian pasaran untuk kenderaan penumpang Honda pula dicatatkan pada 32.2%. Namun disebabkan Honda hanya menjual kenderaan penumpang, tanpa pilihan kenderaan komersial, jenama berkenaan hanya menduduki tangga ketiga dalam pasaran automotif Thai secara keseluruhan dengan bahagian pasaran 14.7%, naik 0.7% berbanding tahun sebelumnya.

    Sepanjang 2017, jenama tersebut telah melancarkan lima model baharu di negara gajah putih berkenaan iaitu City facelift, Civic Hatchback, CR-V generasi kelima, Jazz facelift dan Mobilio facelift.

    Dalam segmen sub-kompak, Honda mendominasi bahagian pasaran dengan 49.4% atau 58,315 unit; City merupakan plihan paling popular dengan 34,955 unit manakala Jazz pula terjual 23,360 unit. Manakala segmen lebih tinggi, penguasaan Honda dilihat lebih menyerlah dengan bahagian pasaran 50.9% – Civic sedan dijual sebanyak 24,432 unit, manakala saudara Hatchback-nya pula hanya dijual sebanyak 3,016 unit.

    Honda kereta penumpang paling laris 2017 di Thai

    Untuk SUV pula, Honda menguasai sebanyak 61.2% bahagian pasaran dengan jualan sebanyak 32,690 unit; HR-V 15,371 unit, CR-V 11,232 unit dan BR-V 6,087 unit. Namun, Honda dilihat kurang berdaya saing untuk pasaran kereta Eco Thai di mana Toyota dilihat menguasai pasaran ini dengan model Yaris Hatchback dan sedan Yaris Ativ.

    Pasaran automotif di Thailand untuk 2017 dilihat meningkat 13% berbanding tahun sebelumnya, dengan TIV dicatatkan pada 870,000 unit – pertumbuhan paling tinggi direkodkan sejak lima tahun lalu. Honda menganggarkan TIV di negara berkenaan akan mencapai 900,000 unit untuk tahun ini, walaupun jenama berkenaan menjangkakan rekod jualan mereka akan berada pada tahap yang sama seperti tahun lalu dengan anggaran jualan sekitar 127,000 unit.

    Sebagai perbandingan dengan pasaran Malaysia, Honda telah pun melangkaui sasaran jualan mereka untuk tahun 2017 dengan jumlah 109,511 unit – jumlah jualan yang menghampiri rekod di Thai, walaupun pasaran di Malaysia seperti yang diketahui lebih kecil. Rekod berkenaan merupakan jumlah paling tinggi pernah dicatatkan Honda di Malaysia, dan ia juga merupakan pertama kali angka 100k dapat digapai.

    Berdasarkan data dalaman Honda sendiri, peningkatan tersebut mewakili pertumbuhan sebanyak 19% dan membawa Honda mengusai bahagian pasaran sebanyak 19%. Angka rasmi dalam industri untuk tahun 2017 akan diketahui minggu ini setelah Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengeluarkan pengumuman rasmi kelak.

     
     
  • DBKL akan cabut segera pembahagi laluan basikal

    DBKL akan cabut segera pembahagi laluan basikal

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam telah memutuskan untuk mencabut dengan segera pembahagi laluan basikal yang terdapat di sekitar Kuala Lumpur seperti yang kami laporkan sebelum ini

    Dalam satu kenyataan kepada Utusan, pengarah eksekutif pengurusan projek DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah memberitahu langkah ini diambil selepas pemisah laluan itu dikata menyebabkan bahaya kepada pengguna jalan raya, terutamanya penunggang motosikal.

    Penyelaras projek Cycling Kuala Lumpur, iaitu Bicycle Map Project, Jeffrey lim pula memberitahu secara berasingan kepada kami bahawa masalah seperti ini sememangnya sudah boleh dijangka, dan beliau kekal positif bahawa hasil yang sepatutnya akan terjadi.

    DBKL akan cabut segera pembahagi laluan basikal

    “Langkah mendapatkan sokongan daripada orang ramai adalah satu proses yang lama dan ia tidak akan berakhir. Segalanya berubah. Yang penting, bagaimana kita menyesuaikan diri dan bekerjasama untuk hasil yang positif. Mesej utamanya di sini adalah kepercayaan,” tambah Lim.

    Projek laluan basikal ini dikenali dengan nama Bike4U dan ia melibatkan jarak 11 km dalam pusat bandar KL bagi fasa pertama perancangan lima-tahun yang bermula pada April 2017 dengan kini sudah menyediakan laluan khas sepanjang 5 km dari Mid Valley ke Dataran Merdeka sebelum ini.

    Laluan di tengah pusat bandar itu menggunakan warna biru, dan diasingkan dengan pembahagi berketinggian 50 mm, dan direka agar ia tetap boleh dilalui pada bahagian atas pembahagi. Niatnya adalah untuk memisahkan antara basikal yang lebih berlahan daripada aliran trafik utama.

     
     
  • Toyota akan guna semula nama ‘Corolla’ di UK bagi perkuatkan semula prestasi jualan, sisih nama Auris

    Toyota akan guna semula nama ‘Corolla’ di UK bagi perkuatkan semula prestasi jualan, sisih nama Auris

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Di UK, Toyota hanya menjual Corolla dengan bentuk badan hatchback sejak tahun 2007, tetapi versi tersebut digelar Auris untuk pasaran berkenaan. Namun kini, jenama Jepun tersebut merasakan nama Auris tidak cukup gah dan jualan kereta tersebut juga dilihat semakin menurun.

    Oleh itu, dengan kemunculan model generasi ke-12 pada masa akan datang, nama Auris bakal disisihkan dan lencana Corolla akan kembali pada pasaran UK, menurut laporan Autocar.

    Portal tersebut melaporkan bahawa Toyota berharap Corolla generasi baharu berkenaan mampu menaikkan semula angka jualan, memandangkan buat masa sekarang Auris berhadapan saingan sukar terhadap Volkswagen Golf, Opel Astra, Peugeot 308 dan Ford Focus. Hanya sejumlah 13,983 unit Auris dapat dijual oleh Toyota UK sepanjang Januari hingga November 2017, berbanding 16,528 unit sepanjang tahun 2016.

    Toyota akan guna semula nama ‘Corolla’ di UK bagi perkuatkan semula prestasi jualan, sisih nama Auris

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Model generasi baharu berkenaan dijangka akan membuat kemunculannya tidak lama lagi memandangkan versi generasi ke-11 sedia ada sudahpun berada dalam pasaran sejak 2013. Malah, model generasi ke-12 tersebut telahpun dilihat keluar diuji diatas jalan raya dalam versi sedan dan hatchback. Autocar turut menyatakan Toyota turut bakal memperkenalkan versi wagon bagi menggantikan model Auris Touring Sports.

    Sumber laporan berkenaan turut menyatakan, Corolla yang dibina berdasarkan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) tersebut bakal dijana pilihan enjin petrol dan unit janakuasa hibrid. Versi petrol bakal diberikan enjin 1.2 liter turbo, manakala versi hibrid pula akan digerakkan dengan enjin 1.8L dari Auris Hybrid sedia ada.

    Model diesel pula dijangka akan digugurkan dari barisan model kerana benua Eropah kini memandang enjin berkenaan sebagai penyumbang kepada pencemaran NOx. Toyota UK setakat ini juga telah menghentikan jualan model Auris diesel sejak hujung tahun lalu, dan hanya 651 unit terjual sepanjang tempoh 2017.

    Toyota akan guna semula nama ‘Corolla’ di UK bagi perkuatkan semula prestasi jualan, sisih nama Auris

    Autocar turut menambah bahawa Toyota turut bercadang untuk menghentikan penjualan Avensis di UK kerana jumlah jualannya yang tidak memberangsangkan. Avensis yang merupakan sedan bersaiz seakan Ford Mondeo hanya dijual sebanyak 3,302 unit dari Januari hingga November 2017, berbanding 5,133 sepanjang 2016.

    Untuk Avensis, faktor jualannya merudum bukan hanya kerana ia sebuah model yang telah ketinggalan, malah jualan Ford Mondeo juga kini sedang mengalami masalah untuk bersaing dengan pasaran kereta eksekutif kompak premium (BMW 3-Series dan Mercedes-Benz C-Class) serta lambakan SUV dalam pasaran.

    Oleh itu, dengan ketiadaan Avensis, ada juga ura-ura mengatakan Corolla sedan bakal kembali ke UK, bagi mengisi kekosongan model dengan but belakang yang ditinggalkan oleh Avensis.

    GALERI: Spyshot Toyota Corolla sedan generasi ke-12

    GALERI: Spyshot Toyota Corolla hatchback generasi ke-12

     
     
  • VPCM akan perkenal program kenderaan terpakai diiktiraf Das WeltAuto dan pusat jualan atas talian

    VPCM akan perkenal program kenderaan terpakai diiktiraf Das WeltAuto dan pusat jualan atas talian

    Semasa majlis pembentangan prestasi hari ini, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) turut mendedahkan bahawa mereka akan menubuhkan satu cabang program kenderaan terpakai diiktiraf digelar Das WeltAuto. Program ini sudah wujud sejak tahun 2010 oleh Volkswagen Group dan kini aktif di 24 buah negara termasuk Singapura.

    Waktu tepat bila program ini akan dilancarkan dan perinciannya walaubagaimanapun masih belum diberitahu. Di Singapura, kenderaan yang termasuk dalam program ini akan melalui beberapa siri pemeriksaan, dan apabila dijual, diberi jaminan 12 bulan dan sijil pengesahan Das WeltAuto.

    VPCM akan perkenal program kenderaan terpakai diiktiraf Das WeltAuto dan pusat jualan atas talian

    Selain program kenderaan terpakai itu, VPCM juga akan melancarkan satu tapak jualan atas talian Volkswagen Marketplace, untuk kenderaan edisi khas atau terhad yang diasaskan daripada model biasa. Langkah ini adalah menyamai apa yang dilakukan oleh MINI Malaysia melalui model Clubman Sterling Edition, yang dijual hanya secara atas talian.

    VPCM mula melakukan penjualan kenderaan atas talian melalui kerjasama dengan Lazada tahun lepas, menyaksikan 12 unit model Beetle edisi terhad habis dijual dalam masa hanya 20 minit. Beetle tersebut ditawarkan dalam tiga warna, pada harga RM112,112 seunit (tanpa pendaftaran dan insurans).

     
     
  • Perkhidmatan ETS Gemas ke JB Sentral dijangka beroperasi pada 2021 – kos anggaran RM9.4b, 192 km

    Perkhidmatan ETS Gemas ke JB Sentral dijangka beroperasi pada 2021 – kos anggaran RM9.4b, 192 km

    Pembinaan projek landasan berkembar Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Gemas-Johor Bahru (JB) Sentral bakal bermula pada bulan ini dan dijangka akan siap dalam tempoh empat tahun akan datang.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Rani Hisham Samsudin, laluan itu akan menyediakan perkhidmatan ETS secara terus dari JB Sentral, Johor Bahru ke Padang Besar, Perlis, laporan Bernama.

    Pembinaan landasan berkembar dengan kos dianggarkan RM9.4 bilion itu meliputi laluan sepanjang 192 kilometer.

    Sebelum ini khidmat ETS hanya bermula dari stesen Gemas, Negeri Sembilan dan pada masa sama ia dapat meningkatkan jumlah penumpang selain jaringan sektor sosial dan ekonomi serta tempoh perjalanan yang lebih menjimatkan masa.

    “Seperti kita sedia maklum perkhidmatan ETS adalah paling popular kerana akses ke suatu tempat dapat dicapai dengan tempoh masa lebih singkat dengan kelajuan 140 kilometer sejam. Kita percaya dengan penambahan landasan berkembar dari Gemas ke Johor Bahru yang ditawarkan dalam empat tahun lagi dapat membawa lebih ramai penumpang untuk ke arah utara dan selatan tanah air,” katanya.

     
     
  • Yamaha R25 diperkenal dalam warna baharu – RM21k

    Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd telah memperkenalkan dua warna baru untuk model sports R25 tahun 2018, iaitu hitam dan biru, dengan grafik yang berlainan berbanding warna yang diperkenal pada bulan Mac tahun lalu. Penampilan baru ini lebih ringkas, dengan warna hitam sekadar mempunyai jalur merah manakala warna biru dengan jalur hitam.

    Perkara lain berkenaan motosikal ini masih tidak berubah, termasuk harganya iaitu kekal seperti cadangan yang dikeluarkan oleh HLYM sebelum ini – RM20,630.78 termasuk GST, tetapi tanpa insurans, cukai jalan dan pendaftaran.

    Yamaha R25 dikuasakan oleh enjin dua silinder selari 249 cc suntikan bahan api, dengan padanan transmisi enam kelajuan. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah sebanyak 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm tork pada 10,000 rpm. Kapasiti tangki bahan api adalah 14.3 liter.

    Pada bahagian depan motosikal ini, terdapat fork teleskopik dan brek cakera dengan angkup dua piston manakala di belakang pula terdapat monoshock serta brek cakera hidraulik bersama angkup satu piston. Rim yang digunakan adalah bersaiz 17 inci (tayar 110/70 di depan dan 140/70 di belakang).

     
     
  • Volkswagen Passenger Cars Malaysia catat jualan 6,536 kenderaan, kepuasan pelanggan meningkat

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia catat jualan 6,536 kenderaan, kepuasan pelanggan meningkat

    Selepas lebih satu tahun mengendalikan pengedaran kenderaan Volkswagen secara rasmi di Malaysia, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) buat pertama kalinya telah mengadakan pembentangan prestasi kepada wakil media hari ini. Selain jumlah jualan pada tahun 2017, syarikat itu turut membentangkan peningkatan bahagian servis selepas jualan dan perancangan masa hadapan.

    Untuk jualan tahun 2017, walaupun hanya satu produk dilancarkan iaitu Tiguan, VPCM masih mampu menunjukkan peningkatan sebanyak 8.1% berbanding tahun 2016, dengan keseluruhannya 6,536 buah kenderaan berjaya diserahkan kepada pemilik baru. Daripada jumlah ini 94.5% adalah unit pemasangan tempatan (CKD) manakala selebihnya adalah import.

    Untuk langkah penambah baikan pengalaman selepas jualan kepada pelanggan, VPCM sentiasa menilai proses yang dilakukan, memerhati prestasi pengedar dan meningkatkan kemampuan pengurusan melalui latihan, bimbingan dan insentif buat pengedar.

    Langkah yang diambil ini ternyata berhasil, apabila dilihat melalui sistem penilaian mereka, kepuasan pelanggan meningkat menjadi 4.37 untuk jualan dan 4.17 bagi khidmat selepas jualan. Markah penuh adalah 5 bintang. Menurut Malaysia Customer Service Index (CSI) Study oleh J.D Power pula, Volkswagen berjaya mendaki ke tempat kelima dari tempat kelapan pada tahun 2016.

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia catat jualan 6,536 kenderaan, kepuasan pelanggan meningkat

    Pengarah urusan khidmat selepas jualan, teknologi informasi dan kewangan VPCM, Florian Steiner, VPCM sentiasa terbuka dengan harga servis untuk setiap model yang dijual. Perkara ini boleh dilihat pada laman web rasmi mereka, seterusnya memberikan bakal pemilik pandangan awal bagaimana kos pemilikan kenderaan Volkswagen.

    Memasuki tahun 2018, VPCM akan terus meningkatkan servis selepas jualan melalui penglibatan yang lebih aktif dengan pelanggan dan juga pengedar. Selain itu, semua kenderaan Volkswagen juga kini datang dengan jaminan pengilang lima tahun, dan pakej penyelenggaraan percuma tiga tahun atau 45,000 km.

    Satu lagi langkah penting yang akan menjamin kepuasan pelanggan adalah pemindahan pusat alat ganti dari Singapura ke Tanjung Pelepas, Johor Bahru dalam tahun ini. Alat ganti dari pusat ini, selain untuk pasaran Malaysia, juga akan dieksport ke 28 pasaran lain sekitar Asia Tenggara dengan ketersediaan alat ganti berada pada tahap 95%.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

    Hujung minggu lalu, Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing telah berkunjung ke Bandar Medini, Iskandar Puteri di Johor Bahru. Festival kali ini juga turut membawa perlumbaan Vios Challenge Malaysia ke pusingan ketiga, menyaksikan persaingan makin mendebarkan.

    Buat mereka yang masih lagi belum tahu berkenaan Vios Challenge ini, ia adalah perlumbaan ‘one-make’ yang dibawakan oleh Toyota Gazoo Racing menggunakan kereta produksi Toyota Vios 1.5 liter. Kesemua pasukan menerima kereta yang sama – diubahsuai oleh Wing Hin Motorsport dibawah seliaan TRD Jepun – dan mereka dilarang untuk melakukan ubahsuai tambahan kecuali talaan semula suspensi.

    Jadi, walaupun kereta-kereta lumba dalam siri ini dipandang remeh kerana masih menggunakan enjin asal dan juga brek dram pada bahagian belakang, Vios Challenge sebenarnya merupakan antara perlumbaan paling teknikal, kerana kemenangan bukan bergantung kepada kemampuan kewangan, tetapi kesemua pelumba dan pasukan akan bertarung dengan pengetahuan teknikal dan strategi perlumbaan masing-masing. Anda sebagai penonton juga bakal disajikan dengan aksi sengit ‘head-to-head‘ sepanjang perlumbaan ini.

    Untuk litar jalanan di Johor ini, ia menampilkan tujuh selekoh, lawan arah jam, sepanjang 1.9 km. Berbanding litar Batu Kawan Pulau Pinang dan MAEPS Serdang sebelum ini, litar Medini dibina pada jalan tiga lorong, membolehkan pelumba memecut lebh laju dan lebih ruang untuk memotong.

    HARI PERTAMA – JUMAAT, 19 JANUARI 2018

    Kategori Sporting

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

    Seperti biasa, perlumbaan hari pertama dimulakan dengan kategori Sporting. Branden Anthony dari pasukan Dream Chaser yang telah menang buat kali pertama di MAEPS sebelum ini sekali lagi menunjukkan taringnya dengan mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan dan bermula pada posisi paling hadapan.

    Drama untuk Perlumbaan 1 kategori Sporting ini bermula dari selekoh pertama selepas kesemua pelumba dilepaskan. Patrick Tham dari Pasukan Nanoplus yang bermula baris keempat berjaya memecut ke barisan hadapan menggunakan melalui laluan paling dalam, namun setibanya di selekoh pertama, posisi berkenaan bukanlah yang paling ideal untuk masuk ke selekoh. Dengan ruang yang sangat terhad, Patrick merempuh Brendan dan menolaknya terus ke dinding pelindung sebelah luar.

    Turut terjejas dalam insiden berkenaan adalah Dato’ Ken Foo yang merempuh Patrick Tham ke dinding sebelah dalam. Ini menyebabkan pengawal perlumbaan menaikkan bendera merah, dan setiap pelumba perlu pulang ke grid untuk memulakan semula perlumbaan. Walau bagaimanapun, Tham dan seorang lagi pelumba, Clement Yeo terpaksa masuk ke pit kerana kerosakan yang teruk.

    Selepas bermula semula, Brendan terpaksa membrek lebih awal pada selekoh pertama kerana keretanya mengalami sedikit masalah ketika insiden sebelumnya. Ini membolehkan Wong Chin Eeg dari Heiwa Racing Team mengambil tempat sebagai pendahulu perlumbaan dan Brendan tertinggal ke kedudukan keenam. Pelumba rali Kenneth Koh yang bermula dari petak keempat pula mengambil risiko membrek lebih lambat pada laluan paling dalam dan bergeser dengan dinding, menyebabkan sedikit kerosakan pada bampar, namun tindakannya itu membolehkan dia memintas Dato Ken Foo yang ketika itu berada pada kedudukan ketiga.

    Pada lap kelima, ‘Safety Car‘ terpaksa keluar untuk memimpin kesemua pelumba selama tiga lap kerana marsyal perlu mengeluarkan kereta Goh Eng Peng yang terlibat dengan kemalangan di selekoh pertama. Kesempatan ini membolehkan pelumba merapatkan semula jurang masa antara mereka, dan setelah Safety Car masuk semula ke pit, Kenneth Koh melakukan pula serangan terhadap Brendon Lim dan kemudian berjaya memintasnya untuk merebut tempat kedua.

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

    Ketika ini juga Brendan Anthony mula mendapat rentaknya semula berjaya memintas Brendon Lim pada lap ke-10 dan mula memburu Kenneth Koh pula selepas itu. Pertarungan sengit antara Brendan dan Kenneth bermula pada lap ke-13, membolehlah Wong Chin Eeg menjarakkan lagi kedudukannya lebih kehadapan.

    Walau bagaimanapun, Chin Eeg membuat kesilapan di selekoh keempat pada lap terakhir, membolehkan Brendan dan Kenneth kembali memburunya. Ketiga-tiga pelumba ini bertarung pada selekoh kelima dan kemudian beraksi seperti perlumbaan drag sejurus keluar dari selekoh terakhir. Pertarungan sengit ini akhirnya dimenangi oleh Chin Eeg, diikuti Brenden ditempat kedua dan Kenneth Koh terpaksa berpuas hati di tempat kelima.

    Kategori Promotional

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

    Ini merupakan kategori yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat-peminat yang mengenakan baju seperti ‘Janna Nickers’ yang membanjiri tapak festival berkenaan kerana barisan selebriti tempatan berlumba dalam kategori ini. Seperti perlumbaan di Batu Kawan dan Maeps, artis beatbox Shawn Lee dan dramatis Syukri Yahaya terus mendominasi kategori ini tanpa tentangan lebih sengit diberikan dari pelumba lain.

    Namun yang jelas, Shawn Lee memang seorang yang berbakat besar kerana walalupun beban penalti berat yang diberikan (undang-undang penalti berat untuk pemenang perlumbaan lalu ini adalah seiras dengan dengan undang-undang GT Jepun mahupun mana-mana perlumbaan touring car lain, bagi memastikan perlumbaan kekal sengit setiap pusingan tanpa didominasi seorang pelumba sahaja), masa yang dicatatkan masih lagi paling laju, malah berada pada liga yang sama dengan kategori Sporting.

    Walau bagaimanapun, Diana Danielle turut menunjukkan prestasi yang agak baik kerana berjaya memintas Danny Koo untuk merebut tempat ketiga. Tambah mencabar, hujan mula turun pada sebahagian litar ketika pertengahan perlumbaan, secara tidak langsung menyukarkan corak pemanduan pelumba kerana separuh dari litar dalam keadaan basah, dan sebahagiannya lagi pula kering.

    Pertarungan antara Danny dan Diana berakhir apabila kereta Diana berpusing disentuh Vios yang dipandu Danny pada selekoh hairpin, akibat Danny yang terlalu agresif dan membrek lebih lambat pada selekoh tersebut. Diana terpaksa keluar dari perlumbaan kerana kerosakan yang dihadapi, manakala Danny pula berada ditempat ketiga.

    Perlumbaan berakhir dengan Shawn dan Syukri kekal pada kedudukan 1-2, dan Danny berada ditempat ketiga. Walau bagaimanapun, kedudukan podium yang diperolehi Danny telah dibatalkan kerana dia tidak masuk ke laluan pit untuk penalti sebagai ‘hukuman’ tindakannya terhadap Diana sebelum itu. Ini secara tidak langsung membolehkan Fattah Amin yang berada di tangga ke empat untuk naik ke podium.

    Kategori Super Sporting

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

    Ini merupakan perlumbaan yang paling ditunggu-tunggu oleh ‘racing fans‘ sebenar kerana ia disertai oleh nama-nama besar seperti Tengku Djan Ley, Keifli Othman, Boy Wong, Syafiq Ali dan sebagainya.

    Pemenang perlumbaan kedua di MAEPS, Mitchell Cheah dan Mark Darwin terpaksa bermula di barisan paling belakang pada perlumbaan ini akibat tidak menghadiri taklimat pelumba dan sesi latihan pada hari khamis, kerana kedua-duanya terpaksa ke Sepang untuk menghadiri sesi pemilihan pemandu. Hujan yang bermula pada kategori Promotional tadi nampaknya terus menggila apabila pelumba kategori Super Sproting ini mula keluar ke grid permulaan.

    Namun hujan ini nyata membawa tuah kepada pakar hujan William Ho. Bermula dari petak pertama setelah mencatatkan masa terpantas semasa sesi kelayakan, William terus meninggalkan pelumba lain sejurus dilepaskan. Kesemua pelumba selamat melepasi selekoh pertama, tetapi pada selekoh kedua, Tengku Djan terlibat dengan insiden bersama Kenny Lee. Kemalangan ini turut melibatkan Akina Teo yang terbabas sehingga ke dinding keselamatan dan menyebabkan sebahagian laluan litar tersekat.

    Insiden ini menyebabkan Safety Car keluar bagi membolehkan marsyal membersihkan kawasan kemalangan. Serentak dengan itu, hujan menjadi semakin lebat dan memerlukan Safety Car memimpin perlumbaan sehingga ke lap-11. Masuk ke lap-12, pengarah perlumbaan memutuskan perlumbaan selamat untuk diteruskan walaupun hujan masih belum berhenti.

    Setelah 30 minit perlumbaan berlangsung, ia akhirnya ditamatkan pada lap ke-16, dan William Ho kekal ditempat pertama, diikuti Boy Wong dari pasukan ST Wangan, dan pelumba dari Johor Syafiq Ali, memandu untuk pasukan tuan rumah -M7 Racing Team- di tempat ketiga.

    HARI KEDUA – SABTU, 20 JANUARI 2018

    Kategori Sporting

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

    Perlumbaan kedua kategori Sporting menyaksikan tiada insiden berlaku pada selekoh pertama. Wong Chin Eeg terus memimpin perlumbaan diekori rapat Brendan Anthony di tempat kedua, meninggalkan kelompok belakang yang menyaksikan Kenneth Koh mempertahankan tempat ketiga yang ingin direbut oleh Brendon Lim.

    Namun masuk ke lap kedua, serangan yang dilancarkan oleh Brenden terhadap Wong pada selekoh pertama menyaksikan takhta pendahulu perlumbaan bertukar tangan. Masuk ke lap keenam, Kelompok utama berkenaan telah pun meninggalkan Kenneth dan Brandon dengan jarak 5 saat.

    Selain dari dua kelompok ini, pertarungan sengit turut berlangsung antara Clement Yeo, Shanmuganathan dan Dato’Ken Foo. Pada lap ke-sembilan Yeo cuba untuk memintas Shan pada selekoh pertama, menyebabkan sedikit pelanggaran tetapi ketiga-tiga mereka berjaya meneruskan perlumbaan dengan Yeo kini memimpin Shan dan Ken Foo. Namun Yeo kembali dipintas oleh kedua-dua saingannya itu pada selekoh hairpin berikutnya.

    Dua lap kemudian, Yeo kembali membina momentumnya, tetapi ketika ini dia mula menghadapi masalah brek. Dengan kelajuan penuh pada laluan lurus utama, kereta Yeo terus menuju ke dinding penghadang selekoh pertama dan merempuh Vios yang dipandu oleh Shan. Insiden ini menyebabkan bendera kuning diangkat sehingga pelumbaan tamat dengan Brenden Anthony menjuarai perlumbaan, diikuti Wong Chin Eeg dan Kenneth Koh.

    Kategori Promotional

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

    Persaingan untuk kategori ini masih lagi tertumpu pada Shawn Lee dan Syukri Yahaya di mana kedua-duanya terus meninggalkan pelumba lain sebaik sahaja dilepaskan. Namun kali ini, tentangan yang diberi oleh Syukri nampaknya lebih agresif dan Shawn terpaksa menerima tekanan yang begitu hebat pada lap kedua.

    Safety Car keluar pada lap kelima, kali ini disebabkan kemalangan yang menimpa Janna Nick. Sebaik sahaja Safety Car masuk semula, Syukri terus melakukan serangan dan berjaya memotong Shawn pada selekoh pertama. Sejurus dipintas, Shawn tidak mengalah dan terus melakukan counter attack dan menyaksikan penguasaan Syukri hanya bertahan selama dua lap.

    Sementara itu, kelompok kedua pula menyaksikan pertarungan antara Danny Koo dan Fattah Amin untuk merebut tempat ketiga. Danny berterusan mengejar Fattah tetapi sifat agresifnya telah mengundang padah pada lap kesembilan – dia membrek lambat untuk memotong Fattah dari luar di selekoh kedua, mengakibatkan keretanya understeer dan melanggar dinding keselamatan ketika keluar dari selekoh.

    Insiden tersebut menyebabkan kerosakan teruk pada suspensi kanan hadapan keretanya dan tidak boleh lagi meneruskan perlumbaan. Tamat perlumbaan, keputusan masih kekal seperti perlumbaan pertama dengan Shawn Lee juara, diikuti Syukri Yahaya dan Fattah Amin.

    Kategori Super Sporting

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

    Untuk kategori ‘super pro’ ini, grid untuk perlumbaan kedua ditentukan dengan menterbalikkan kedudukan pada perlumbaan pertama bagi enam pelumba di hadapan. Oleh itu, permulaan perlumbaan ini akan dipimpin oleh Keifli Othman, diikuti Tengku Djan, Kenny Lee, Syafiq Ali, Boy Wong dan William Ho – kedudukan ini memberikan lebih debaran kepada perlumbaan yang bakal berlangsung.

    Tanpa sebarang penalti berat, Keifli Othman dari pasukan Laser Motor Racing terus meluru kehadapan diekori rapat Tengku Djan. Namun tindakan Boy Wong untuk memotong dari dalam telah menyebabkan kereta Tengku Djan terhimpit.

    Insiden ini secara tidak langsung telah mewujudkan kelompok perlumbaan dimana kumpulan pertama menyaksikan ‘dogfight‘ antara Keifli, Tengku Djan dan Syafiq, dan kelompok kedua menyaksikan pertarungan antara William Ho dan Kenny Lee.

    Tengku Djan terus melakukan serangan demi serangan terhadap Keifli tetapi tujuh lap sebelum berakhirnya perlumbaan, dia mula mengalami kerosakan brek dan mula tertinggal kebelakang. Syafiq juga menyedari masalah yang dihadapi Tengku Djan, secara terus menerus pula melakukan pelbagai serangan.

    Aksi paling mengejutkan sepanjang TGR Johor terjadi pada lap terakhir kategori Super Sporting ini. Pada selekoh pertama, dengan masalah brek yang semakin ketara, Tengku Djan sudah boleh mengagak Syafiq akan memotongnya dari dalam. Oleh itu, dia terlebih dahulu berfikir untuk melakukan sesuatu untuk terus kekal di tempat kedua.

    Jadi, ketika Syafiq mula untuk memotong dari dalam, Tengku Djan melakukan aksi ‘Scandinavian Flick’ dari luar untuk mengekalkan momentumnya sepanjang selekoh tersebut dan berjaya memintas semula Syafiq ketika keluar dari selekoh! Lebih malang, Syafiq yang cuba kembali mengejar Tengku Djan mengalami understeer di selekoh ketiga dan melanggar dinding penghalang, menyebabkan tayar hadapan kanannya pecah.

    William Ho yang bergelut dengan penalti berat diterima setelah menang perlumbaan pertama sehari sebelum itu kemudian berjaya memotong Syafiq sebelum tiba ke garisan penamat untuk merebut podium tempat ketiga.

    Walaupun hanya berlumba dengan sekumpulan Vios dengan enjin asal, Tengku Djan mengakui tujuh lap terakhir pada perlumbaan ini merupakan “tujuh lap paling panjang” sepanjang kariernya sebagai seorang pelumba. Sekiranya anda tertinggal untuk menonton tiga pusingan perlumbaan sebelum ini, anda masih lagi berpeluang untuk merasai adrenalin perlumbaan ini secara live pada pusingan akhir yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, Mac ini.

    Selain dari Vios Challenge, Festival TGR turut membawakan persembahan drift dari dua orang ikon drift D1GP Jepun iaitu ‘Drift Samurai’ Imamura Takahiro dan Kawabata Masato yang memandu dua buah Toyota 86, serta penampilan selebriti-selebriti tempatan.

    GALERI:Toyota Gazoo Racing 2018 Pusingan ketiga, Medini, Johor Bahru – Hari pertama

    GALERI:Toyota Gazoo Racing 2018 Pusingan ketiga, Medini, Johor Bahru – Hari kedua

     
     
  • Volkswagen Golf Mk7.5 bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi – barisan model termasuk R-Line, GTI dan R

    Volkswagen Golf Mk7.5 bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi – barisan model termasuk R-Line, GTI dan R

    Volkswagen Golf facelift bakal diperkenalkan di Malaysia tidak lama lagi, iaitu dalam tempoh lebih kurang tiga bulan akan datang, seperti mana yang didedahkan oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dalam sesi bersama media sebentar tadi.

    Walau bagaimana pun perincian spesifikasi bagi Golf baharu ini akan diumumkan kelak, namun menurut erik Winter, pengarah urusan VPCM, telah memberitahu beberapa maklumat mengenainya. Pertama, Golf yang bakal tiba ini adalah dalam bentuk model import sepenuhnya, dengan dilengkapi elemen yang pasti mengujakan, menurut Winter.

    Barisan varian pula termasuk R-Line iaitu model prestasi tinggi seperti juga GTI dan juga model pacuan semua-roda R. Harganya masih tidak didedahkan, namun menurut Winter, semua varian tersebut akan ditawarkan dengan harga yang kompetitif.

    Volkswagen Golf Mk7.5 bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi – barisan model termasuk R-Line, GTI dan R

    Diperkenalkan pada November 2016, Golf Mk7.5 ditampilkan dengan rekaan semula bagi luaran serta didatangkan dengan beberapa teknologi baharu. Ini termasuklah Paparan Info Aktif yang diwarisi daripada Passat, sehinggalah sistem infotainmen Discover Pro 9.2-inci dan juga beberapa sistem keselamatan dan bantuan pemanduan.

    Di bawah bonetnya, Golf biasa dipadankan dengan enjin baharu petrol 1.5 liter pengecas turbo TSI Evo empat-silinder dengan kuasa 150 PS, yang menggantikan unit 1.4 liter TSI pada model semasa yang dijual di sini.

    Manakala varian GTI dijanakan oleh enjin 2.0 liter TSI empat-silinder, dengan versi standard kini menghasilkan lebih 10 PS pada 230 PS, dan varian Performance boleh menghamburkan output sehingga 245 PS, lebih 15 PS berbanding sebelum ini. Lebih kurang sama, Golf R pula hadir dengan kuasa 310 PS dan tork 400 Nm, iaitu lebih 10 PS dan 20 Nm berbanding sebelum ini.

    GALERI: Volkswagen Golf Mk7 facelift R-Line

    GALERI: Volkswagen Golf GTI facelift

     
     
  • Land Rover Defender – 12 unit edisi memorial terakhir diperkenalkan di Malaysia, tiga warna istimewa

    Land Rover Defender – 12 unit edisi memorial terakhir diperkenalkan di Malaysia, tiga warna istimewa

    Baru-baru ini, Jaguar Land Rover telah memperkenalkan Land Rover Defender Works V8 yang dihasilkan sebanyak 150 unit sahaja. Ia adalah sempena sambutan ke-70 tahun jenama tersebut.

    Terkini Jaguar Land Rover Malaysia telah pun mengumumkan 12 unit edisi memorial terakhir bagi110 Double Cab Defender, di mana ia ditawarkan dengan tiga warna istimewa iaitu Montalcino Red, Sicilian Yellow dan Baltic Blue. Ia adalah daripada 150 unit edisi terhad bagi meraikan ulang tahun Land Rover yang ke-70

    Simbahan warna kontras menjadi pilihan bagi luaran. Di mana varian Sicilian Yellow dan Montalcino Red ditampilkan bersama hitam berkilat, pada bahagian bumbung, gril hadapan, gerbang roda, penutup lampu utama dan roda 16-inci. Manakala bagi versi Baltic Blue pula, kekemasan perak menjadi pilihan bagi bumbung dan roda.

    Di dalamnya, Defender terakhir ini ditampilkan dengan tempat duduk kulit dengan jahitan kontras untuk membuatkan ia nampak lebih sepadan dengan warna luaran. Jahitannya juga kelihatan pada tombol gear dan roda stereng balutan kulit, manakala headlining bagi edisi ini telah ditingkatkan ke Alcantara.

    Dijanakan oleh enjin diesel 2.2 liter dengan padanan transmisi manual enam-kelajuan, Defender 110 Double Cab edisi memorial atau peringatan ini ditawarkan pada harga RM198,800, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jun 27, 2024