Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Honda CB650F, CBR650F 2018 akan keluar Ogos ini

    Honda CB650F, CBR650F 2018 akan keluar Ogos ini

    Honda baru sahaja mendedahkan awal dua model terkenal mereka iaitu CB650F dan CBR650F yang akan dipasarkan sebagai model tahun 2018 di Amerika Syarikat (AS). Kedua-dua model ini mempunyai spesifikasi yang sama, cuma gaya badannya berbeza di mana CBR650F menggunakan fairing penuh, yang menjadikannya 5 kg lebih berat (bagi model ABS).

    Enjin yang digunakan pada dua model ini masih adalah unit empat silinder sebaris 649 cc DOHC berpenyejukan cecair, bersama padanan transmisi enam kelajuan, tetapi menurut kenyataan yang dikeluarkan, CBR650F menerima peningkatan kuasa hasil daripada salur udara yang dipertingkat, ekzos baru yang menghasilkan bunyi berbeza dan nisbah gear yang dirujuk semula untuk rasa pecutan yang lebih memuaskan. Walaupun begitu, Honda masih belum menyiarkan kemampuan kuasa motosikal ini.

    Fork hadapan dua model ini kini menggunakan unit teleskopik Showa Dual Bending Valve 41 mm, manakala di belakang pula terdapat penyerap hentak tunggal. Untuk brek, bahagian depan menggunakan unit cakera 320 mm bersama angkup Nissin dua piston manakala di belakang terdapat cakera 240 mm dan angkup Nissin piston tunggal. Kedua-dua cakera brek ini kini menggunakan bentuk berkelopak.

    Bagi CBR650F, ia mempunyai beberapa lagi peningkatan untuk model tahun 2018, termasuk lampu utama yang dilengkapi mentol LED serta injap angin pada rim berbentuk L bagi memudahkan pengguna mengisi angin kepada tayar.

    Kedua-dua CB650F dan CBR650F 2018 hanya akan membuat penampilan umum sepenuhnya pada bulan Ogos tahun ini, di Amerika Syarikat dan pada masa itu, barulah rupa keseluruhan, harga serta spesifikasi penuhnya akan disiarkan.

     
     
  • Mercedes-AMG SLC 43 tiba di Malaysia, harga RM571k

    Mercedes-AMG SLC 43 tiba di Malaysia, harga RM571k

    Model keenam dari siri AMG 43 yang diperkenalkan di Malaysia bagi meraikan 50 tahun sayap AMG ialah Mercedes-AMG SLC 43. Ia merupakan model terlengkap bagi barisan SLC yang diperkenalkan di sini, selepas pengenalan SLC 200 dan SLC 300 AMG Line. Ia dijual pada harga RM570,888, atas jalan tidak termasuk insurans.

    Antara membaharuan yang diberikan bagi roadster R172 generasi ketiga ini, yang dibangun dari model SLK, ialah bampar baru, gril radiator diamond dan lampu utama dengan rekaan baru (dengan ciri LED Intelligent Lights). Di belakang, ruang yang menempatkan hujung ekzos diberi sentuhan baru, termasuk juga lampu belakang yang tampil dengan rekaan lebih segar.

    Sama dengan lima lagi model AMG 43 yang diperkenalkan untuk pasaran tempatan hari ini, SLC 43 dilengkapi dengan enjin M276 DELA dengan kapasiti 3.0L biturbo V6, yang menjana 362 hp pada 5,500 rpm hingga 6,000 rpm dan 520 Nm tork dari 2,000 hingga 4,200 rpm. Daripada semuanya, hanya varian E 43 yang mempunyai output yang lebih tinggi.

    Ia digandingkan dengan kotak gear talaan AMG, 9G-Tronic dengan torque converter, yang menggunakan perisian khusus bagi memendekkan masa pertukaran gear. Ia juga menampilkan ciri multiple downshift dan fungsi double declutching dalam mod Sport dan Sport+ (melalui sistem AMG Dynamic Select) – tiga lagi mod yang tersedia ialah Comfort, Eco dan Individual.

    Mercedes-AMG SLC 43 tiba di Malaysia, harga RM571k

    Bacaan 0-100 km/j yang mampu dicapai ialah dalam masa 4.7 saat. Kelajuan maksimumnya pula dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    Antara ciri standard lain termasuk slip-differential mekanikal AMG pada gandar belakang, sistem brek komposit prestasi tinggi AMG (dengan cakera lebih besar) dan sistem ekzos sport dengan dua penutup automatik – dalam mod biasa, Eco dan Comfort, ia akan tertutup pada kebanyakan waktu.

    SLC 43 di Malaysia datang dengan suspesi sport AMG dan menggunakan rim AMG 18 inci. Model ini turut dilengkapi dengan kit TireFit, serta Night Package, yang datang dengan penggayaan hitam berkilat. Di bahagian dalam menggunakan kerusi balutan kulit Nappa serta kemasan gentian karbon. Ia didatangkan dengan tali keledar merah dengan stereng AMG pelbagai fungsi baru dengan tiga jejari, dengan material Nappa dan gentian mikro Dinamica.

    Bumbung kaca panoramik, yang boleh dibuka dalam kelajuan hingga 40 km/j, datang dengan Magic Sky Control, yang membolehkan kaca berkenaan dicerah atau digelapkan untuk disesuaikan dengan suasana di luar. Turut ada ialah pembahagi but semi-automatic, penampan angin Airguide, kawalan suhu Thermotronic dwi-zon, kamera undur dan Keyless Go.

    Kelengkapan standard lain adalah seperti COMAND Online, yang dipertingkat dengan grafik baru dan kini hadir dengan skrin tujuh-inci dan sokongan terhadap Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem bunyi Harman Kardon Logic 7 menyeluruh melengkapi sisi infotainmen.

    Selain itu, SLC 43 turut ditawarkan dengan pembiayaan Agility Financing dari MBM, pada kadar RM5,708 sebulan berbanding RM7,265 sebulan dengan pembiayaan biasa. Ikuti perincian lanjut model ini di Carbase.my.

     
     
  • Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC, GLC 43 4MATIC Coupe di M’sia – 3.0L biturbo V6, 362 hp, dari RM539k

    Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC, GLC 43 4MATIC Coupe di M’sia – 3.0L biturbo V6, 362 hp, dari RM539k

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini memperkenalkan enam model baru untuk pasaran Malaysia sempena ulang tahun ke-50 sayap AMG jenama itu. Dua daripadanya ialah Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC dan juga GLC 43 4MATIC Coupe.

    Masing-masing dijual pada harga RM538,888 dan RM580,888 – atas jalan dengan GST, tidak termasuk insurans. Ia menyertai model-model sedia ada yang turut dijual di Malaysia, seperti GLC 250 4MATIC dan GLC 250 Coupe.

    Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC, sebuah SUV saiz sederhana dengan ciri dinamik ini dilengkapi enjin 3.0 liter V6 biturbo yang menghasilkan 362 hp pada 5,500-6,000 rpm dan tork maksimum 520 Nm dari 2,500 rpm hingga 4,500 rpm. Kuasa berkenaan disampaikan melalui sistem transmisi 9G-Tronic, yang lengkap dengan masa tukaran lebih pendek serta sistem pacuan prestasi AMG 4MATIC.

    Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC, GLC 43 4MATIC Coupe di M’sia – 3.0L biturbo V6, 362 hp, dari RM539k

    Lagi berkenaan prestasinya; ia mampu mencapai kelajuan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat, sementara laju maksimumnya dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    Bagi meningkatkan ketangkasan dalam pemanduan, suspensi sport berdasarkan Air Body Control (suspensi udara) turut melengkapi model ini. Ia memberikan kawalan serta karekteristik pemanduan yang lebih baik. Ciri Adaptive Damping System (ADS PLUS) yang dipadankan khusus untuknya hadir dengan pilihan Comfort, Sport dan Sport Plus.

    Sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC yang digunakan pula adalah lebih cenderung lebih kepada pacuan belakang; dengan agihan torknya 31% ke gandar hadapan, sementara gandar belakang menerima 69%. Konfigurasi ini adalah untuk memastikan tahap dinamik pemanduan yang mampu diberikan.

    Pemilihan melalui AMG Dynamic Select pula hanya dihujung jari. Pengguna boleh memilih dari lima pilihan pemanduan yang ada; Eco, Comfort, Sport, Sport Plus dan Individual. Pemilihan ini juga akan mengubah beberapa parameter utama seperti maklum balas enjin, transmisi, suspensi serta stereng.

    Selain daripada lima mod ini, pemandu boleh menekan butang M untuk beralih kepada mod manual. Kemampuan membreknya dikendalikan oleh cakera bersaiz 360 x 36 mm dengan kaliper kekal empat piston di bahagian hadapan, sementara di belakang menggunakan saiz cakera 320 x 24 mm dengan kaliper piston tunggal – ia menggunakan rim 21 inci aloi AMG dengan lima jejari berkembar.

    Di bahagian luar, ia menerima kemasan dan kelengkapan luar AMG Line. Gril radiator diamond dengan butiran krom, dengan bahagian dalam warna hitam berkilat serta perincian dengan warna krom berkilat dengan lambang AMG. Corong laluan udaranya juga hadir dengan kemasan krom.

    Upholstery ruang dalaman menggunakan kulit buatan Artico dengan gentian mikro Dinamica, dengan sulaman benang merah. Dengan dua tombol kawalan di bahagian konsol tengah, ia turut dilengkapi dengan paparan skrin 5.5 inci di tengah papan pemuka. Senarai kelengkapan lain yang turut tersedia adalah seperti sistem audio Burmester, kendalian sistem infotainmen oleh COMAND Online serta melalui Touchpad.

    Bagi Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupe, selain hadir dengan penampilan rekabentuk luaran yang lebih sporty, ia turut dilengkapi beberapa ciri yang membezakan antara keduanya. Kelengkapan sistem infotainmen turut hadir dengan Audio 20 CD dengan paparan 7 inci.

    Dengan COMAND Online, paparan media berwarna 8.4 inci dengan resolusi yang lebih tinggi akan ditampilkan. Sistem audio Burmester padanya turut dilengkapi amplifier sembilan saluran DSP, 13 pembesar suara dan output sistem berkapasiti 590 watt. Turut hadir sebagai ciri standard ialah sistem LED Intelligent Light.

    Walaupun dengan rekabentuk coupe, ia tak kalah praktikal. Dengan kapasiti membawa barangan yang tersedia dari 491 liter hingga 1,400 liter, ia mendahului segmennya. Kerusi belakang juga boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40.

    Selain itu, dua model ini juga ditawarkan dengan pembiayaan Agility Financing dari MBM. Dengan skim ini, bayaran bulanan bagi Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC ialah RM5,388, berbanding RM7,233 dengan pembiayaan biasa. Bagi Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupe pula, bayaran bulanannya RM5,808 berbanding RM7,797. Untuk maklumat lanjut, layari Carbase.my.

    Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupe

    Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC

     
     
  • Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD dan facelift untuk versi petrol di buka untuk tempahan bagi pasaran Malaysia

    Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD dan facelift untuk versi petrol di buka untuk tempahan bagi pasaran Malaysia

    Seperti yang kami jangkakan sebelum ini, Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD kini sah masuk kepasaran tempatan setelah Honda Malaysia (HM) hari ini mengumumkan tempahan untuk model berkenaan secara rasmi dibuka. Bersama model hibrid tersebut, Jazz versi petrol turut diumumkan akan menerima sentuhan facelift dan turut boleh mula untuk ditempah.

    Jazz Sport Hybrid bakal dilancarkan di Malaysia pada suku kedua tahun ini, manakala pelanggan akan menerima kereta mereka pada suku ketiga 2017. Untuk pengetahuan anda juga, Malaysia merupakan pasaran pertama di luar Jepun yang menerima Jazz versi Sport Hybrid ini.

    Jazz dengan teknologi hibrid baharu menggunakan unit janakuasa yang berbeza dari model generasi sebelumnya. Unit janakuasa yang digelar Sports Hybrid i-DCD berkenaan menggunakan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama motor elektrik dengan suapan kuasa dari bateri lithium-ion yang diletakkan di bawah lantai kargo (bermaksud ia tidak akan mengganggu konfigurasi tempat duduk Ultra). Gabungan berkenaan menghasilkan kuasa akhir 137 PS, sama seperti kemampuan yang dihasilkan oleh enjin 1.8 liter, menurut Honda.

    Kuasa dialirkan ke roda hadapan bukan melalui kotak gear CVT, tetapi model ini menggunakan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan. Transmisi ini bukan sahaja memberikan aliran kuasa yang lebih responsif, malah dengan sistem i-DCD ini, Jazz Hybrid kini boleh dipandu dengan mod elektrik sepenuhnya. Mod EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive akan berubah secara automatik berdasarkan situasi pemanduan ketika itu.

    Kejayaan Honda Malaysia untuk membawa model hibrid baharu ini membawa momentum yang dimulakan pada tahun 2004 dahulu setelah jenama berkenaan merupakan syarikat pertama memperkenalkan teknologi hibrid kepada rakyat Malaysia, serta pasaran pertama di luar Jepun dan Amerika Syarikat yang menghasilkan model hibrid secara pemasangan tempatan pada tahun 2012.

    Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD dan facelift untuk versi petrol di buka untuk tempahan bagi pasaran Malaysia

    Pengenalan Jazz (petrol) versi facelift juga agak istimewa kali ini kerana model berkenaan baharu sahaja didedahkan di Jepun dan bakal dilancarkan bulan hadapan pada pasaran berkenaan, manakala maklumat awalannya hanya kami terima menerusi brosur yang telah bocor di internet.

    Tiada gambar hadapan diberikan oleh Honda Malaysia buat masa sekarang, namun menerusi brosur Jepun berkenaan menampilkan beberapa perubahan dengan bahagian depan yang direka semula kelihatannya menerima kemasan krom pada bahagian atas logo Honda, serta lampu utama yang lebih tajam juga menerima kemasan yang sama.

    Menurut kenyataan rasmi dari Honda, model versi tingkat taraf ini bakal diberikan roda aloi dua-tona dan juga lampu nyalaan siang LED baharu. Pada bahagian belakang, bampar Jazz kini tidak lagi diberikan kemasan liang udara palsu, sebaliknya digantikan dengan kemasan melintang yang kelihatan lebih kemas dan matang.

    Sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin bakal diberikan secara standard untuk semua varian bermula versi facelift 2017 ini. Tempat duduk separa-kulit dan juga kamera undur dengan ciri baharu juga bakal diberikan pada varian yang lebih tinggi.

    Bagi sistem mekanikal pula, Jazz facelift bakal dikuasakan oleh unit janakuasa sama seperti sebelum ini iaitu enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC berkuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm bersama transmisi CVT Earth Dreams.

     
     
  • Modenas keluarkan teaser ketiga – jelas adalah Bajaj V

    Modenas keluarkan teaser ketiga – jelas adalah Bajaj V

    Bukan sekadar perkiraan rambang, kini jelas model ketiga yang akan dilancarkan oleh Modenas pada 19 Mei ini adalah Bajaj V. Perkara ini boleh dilihat selepas syarikat pengeluar motosikal tempatan itu menyiarkan teaser ketiga mereka yang menunjukkan rupa motosikal itu dengan jelas, walaupun hanya separuh. Di atas motosikal itu pula terdapat lambang V unik untuk motosikal tersebut.

    Bajaj V akan menjadi satu daripada tiga model pertama yang akan dikeluarkan oleh Modenas hasil kerjasama dengan pengeluar motosikal dari India tersebut, selain Pulsar NS200 dan RS200. Teaser untuk dua motosikal ini turut dikeluarkan oleh Modenas dalam siri pertama dan kedua.

    Bajaj V juga sudah pernah dilihat atas jalan raya, di sebelah utara Malaysia, dan seorang pembaca menghantar gambarnya kepada kami. Di India Bajaj V dijual dalam pilihan enjin 124.5 cc dan 149.5 cc, tetapi bagi Malaysia, kami menjangka yang tiba adalah model 149.5 cc.

    Enjin 149.5 cc Bajaj V adalah daripada binaan satu silinder SOHC empat strok penyejukan udara dan mampu menghasilkan 12 PS pada 7,500 rpm dan 12.7 Nm pada 5,500 rpm. Pada bahagian hadapan motosikal ini terdapat fork teleskopik 33 mm, brek cakera 240 mm, rim 18 inci dan tayar 90/90, sementara di belakang pula terdapat suspensi gas berkembar, brek dram, rim 18 inci dan tayar 120/80.

    Untuk model Bajaj V15, ia dijual di India pada harga sekitar 63,000 rupee, bersamaan apabila ditukar terus kepada Ringgit Malaysia adalah RM4,239.

     
     
  • Mercedes-AMG E43 4Matic di Malaysia – RM658,888

    Mercedes-AMG E43 4Matic di Malaysia – RM658,888

    Nampak gayanya tahun ini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) kian rancak membawa masuk model terbaharu ke pasaran tempatan. Hari ini sahaja, sebanyak enam model telah diperkenalkan. Antaranya Mercedes-AMG E43 4Matic, yang kini menjadi varian tertinggi bagi barisan W213 E-Class, mendahului model E 300.

    Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM658,888 tanpa insurans. MBM turut menawarkan pembiayaan kewangan khas iaitu bayaran bulanan bagi model ini sebanyak RM6,588, berbanding pembiayaan kewangan klasik yang biasa ditawarkan iaitu pada RM8,219.

    Di bawah hudnya, E 43 didatangkan dengan enjin petrol 3.0 liter biturbo V6 (sama seperti model AMG 43 lain yang turut dilancarkan hari ini), dengan padanan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan digandingkan bersama sistem pacuan semua-roda AMG Performance 4Matic (pecahan tork 31:69).

    Mercedes-AMG E43 4Matic di Malaysia – RM658,888

    Enjin berkenaan mampu menghamburkan kuasa sehingga 401 hp pada 6,000 rpm dan tork 520 Nm antara 2,500 hingga 5,000 rpm, peningkatan 156 hp dan 150 Nm berbanding unit 2.0 liter turbo pada model E 300. Malah penjana kuasa ini mampu memacu jentera tersebut dari 0-100 km/j dalam hanya 4.6 saat (1.6 saat lebih pantas berbanding E 300) dan berkeupayaan mencapai kelajuan maksimum sehingga 250 km/j.

    Menambahkan lagi kemantapan pengendaliannya, E 43 dipadankan dengan talaan versi sport iaitu suspensi udara Air Body Control dan roda aloi-ringan AMG 19-inci, serta cakera brek AMG untuk hadapan (cakera solid di belakang).

    Seperti mana model E 300, E 43 juga ditampilkan dengan suis Dynamic Select pada bahagian konsol tengah yang membenarkan pemandunya memilih mod pemanduan seperti Eco, Comfort, Sport, Sport Plus dan Individual. Setiap mod mengolah kunci parameter termasuk respon enjin, transmisi, suspensi dan stereng.

    Melihat akan imej yang diperagakan, E 43 dilengkapi dengan kit luaran AMG Line, dengan bampar dan skirt sisi yang sporty ditampilkan secara standard. Walau bagaimana pun, versi sedan menerima gril radiator berlian palang-tunggal dengan chrome pin berbanding dua-palang, berlian yang kurang seperti mana pada E 63 4Matic+.

    Pada bahagian belakangnya, ia dilengkapi dengan boot lid spoiler, tip ekzos berkembar AMG dan kit penggayaan Night Package. Malah ia juga menggunakan kekemasan hitam berkilat pada bahagian bampar, perumah cermin sisi, tip ekzos dan belt line.

    Menjengah bahagian dalamnya pula, kabin E 34 menerima sentuhan kulit upholstery Artico/Dinamica gentian mikro berwarna hitam dengan jahitan kontra merah pada kebanyakan permukaan termasuk papan pemuka dan panel pintu. Malah turut menampilkan roda stereng sport AMG balutan kulit Nappa, tali pinggang keledar designo berwarna merah, pedal sport dan Race Timer secara standard.

    Lain-lain elemen yang turut disertakan termasuklah sistem kawalan suhu Thermotronic dwi-zon, windscreen cockpit dengan dua skrin 12.3-inci, bumbung panoramik, pengecas telefon bimbit tanpa wayar, lampu utama Multibeam LED, Keyless-GO, akses but bebas-tangan, kamera 360-darjah, sistem bunyi sekeliling Burmester dengan 13-pembesar suara dan paparan unit utama.

    Selain itu, ia turut didatangkan dengan sistem infotainmen COMAND Online dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, Touch Control dengan sentuhan-sensitif pada roda stereng dan COMAND Touchpad Controller.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perincian dan spesifikasi model ini, sila layari CarBase.my.

     
     
  • Mercedes-AMG C43 4Matic Sedan dan Coupe kini di M’sia – 3.0L biturbo V6 362 hp, RM500-RM549k

    Mercedes-AMG C43 4Matic Sedan dan Coupe kini di M’sia – 3.0L biturbo V6 362 hp, RM500-RM549k

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) meraikan ulangtahun ke-50 AMG dengan melancarkan enam model “43” baharu di pasaran tempatan. Antara yang dilancarkan hari ini ialah Mercedes-AMG C 43, yang diposisikan di antara model C 350 e plug-in hybrid berharga RM300k dan AMG C 63 S berharga RM700k.

    Ditawarkan dengan dua versi; sedan dan coupe, C 43 dijual pada harga RM499,888 untuk sedan empat-pintu dan RM548,888 bagi coupe dua-pintu. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans, termasuk waranti empat-tahun, dengan perbatuan tanpa had. Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM658,888 tanpa insurans.

    MBM turut menawarkan pembiayaan kewangan khas iaitu bayaran bulanan bagi varian coupe sebanyak RM5,488, berbanding pembiayaan kewangan klasik yang biasa ditawarkan iaitu pada RM6,486. Manakala bagi varian sedan pula, ditawarkan sebanyak RM4,998 bagi pembiayaan kewangan dari MBM, dan pilihan bayaran bulanan klasik sebanyak RM,6576.

    Penjana kuasa bagi kedua-dua varian ini ialah enjin M276 3.0 liter V6 dengan dua pengecas turbo yang mampu menghamburkan sehingga 362 hp dari 5,500 hingga 6,000 rpm dan tork 520 Nm antara 2,000 dan 4,200 rpm.

    Mercedes-AMG C43 4Matic Sedan dan Coupe kini di M’sia – 3.0L biturbo V6 362 hp, RM500-RM549k

    Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan, yang mampu memberikan penukaran gear dan kuasa pendikitan yang lebih pantas dengan adanya mod Sport dan Sport Plus. Ia juga menerima renjatan pencucuhan dan suntikan yang membolehkan penghantaran kepada penukaran gear yang lebih cepat serta mencetuskan bunyi yang lebih agresif apabila gear ditingkatkan.

    Walau bagaimana pun mod Eco dan Comfort yang turut ditampilkan turut memberikan penukaran gear yang pantas, disamping lebih menjimatkan penggunaan bahan api. Malah mode Edo juga berfungsi apabila kenderaan dipacu antara 60 dna 160 km/j. Mod transmisi manual juga berfungsi dalam keadaan peningkatan gear tertentu, walau ketika dalam redline.

    Pacuan model ini lebih tegar dengan kuasa cengkaman optimum dibantu oleh sistem pemanduan empat-roda AMG Performance 4Matic, bersama agihan tork 31:69 hadapan-ke-belakang. Malah kedua-dua sedan dan coupe juga boleh mencecah pacuan antara 0-100 km/j dalam hanya 4.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum pada 250 km/j.

    Talaan suspensi juga telah disemak semula dengan menampilkan steering knuckle dan load-bearing front joints khas bagi memberikan komponen lebih ketegaran terutamanya ketika pendikitan dan cengkaman, di samping mengurangkan olengan badan serta memberikan pengendalian yang lebih neutral. Bukan itu sahaja, stereng sport nisbah-pembolehubah sensitif-kelajuan turut dipadankan pada model ini.

    Semua model C 43 yang dijual di Malaysia turut menerima peredam adaptif AMG Ride Control secara standard, dengan pelarasan Comfort, Sport dan Sport Plus. Ia juga disepadankan dengan mod pemanduan Eco, Comfort, Sport, Sport Plus dan Individual pada sistem AMG Dynamic Select, yang turut melaras respon enjin, transmisi dan stereng.

    Bagi memantapkan lagi penggayaan model ini, ia turut didatangkan dengan pakej AMG Line pada bampar dan skirt sisi yang sporty, dengan C 43 menerima sentuhan yang lebih berlainan berbanding C 250 dan C 350 e AMG Line. Ini termasuklah gril berlian dengan logo AMG bersama chrome pins, perumah cermin sisi hitam, roda aloi lima-jejari dua-tona AMG 19-inci, bootlid lip spoiler dan tip ekzos berkembar.

    Bagi pasaran tempatan, ia turut didatangkan dengan Night Package ditambah kekemasan hitam berkilat pada splitter hadapan, cermin sisi, diffuser belakang dan paip ekzos. Bukan itu sahaja, ia turut diperagakan dengan lampu utama LED Intelligent Light System dengan Adaptive Highbeam Assist Plus serta sistem ekzos AMG Performance.

    Menjengah bahagian kabinnya, ia ditampilkan dengan roda stereng rata-di bawah, tempat duduk AMG Performance dengan tambahan sokongan sisi, upholsteri kulit tiruan Artico dan gentian mikro Dinamica bersama jahitan merah. Selain itu, ia turut dipadankan dengan kluster instrumen AMG, papan pemuka dan kekemasan pintu balutan Artico, tali pinggang keledar designo berwarna merah dan kekemasan aluminium.

    Lain-lain kit standard yang turut disertakan termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, bumbung matahari panoramik, pencahayaan ambien, pelarasan tempat duduk berkuasa dengan empat-cara sokongan belakang (tiada memori), kawalan suhu auto dwi-zon Thermatic, Park Pilot, kamera 360-darjah, pintu but belakang berkuasa dengan bukaan bebas-tangan, sistem infotainmen COMAND Online bersama paparan 8.4-inci dan sistem bunyi sekeliling Burmester bersama 13-pemnbesar suara.

    Bagi varian sedan, ia turut ditambah dengan tirai matahari manual untuk cermin sisi belakang dan tirai-berkuasa untuk cermin belakang, dan kawalan suhu tiga-zon Thermotronic.

    Untuk mengetahui perincian dan spesifasi lanjut mengenai semua model C-Class AMG, sila layari CarBase.my.

    Mercedes-Benz AMG C43 4Matic Coupe

    Mercedes-Benz AMG C43 4Matic Sedan

     
     
  • Harga bahan api 11-17 Mei – petrol, diesel turun lagi

    Harga bahan api 11-17 Mei – petrol, diesel turun lagi

    Tiga minggu berturut-turut menyaksikan penurunan harga siling bahan api pastinya melukiskan segaris senyuman dan kelegaan di hati kita semua.

    Bagi minggu bertarikh 11 hingga 17 Mei 2017, ketiga-tiga bahan api utama sekali lagi dilaporkan melibatkan penurunan harga. Bagi RON95 kini berharga RM2.01 seliter dan RON97 pula RM2.29 seliter, iaitu kedua-duanya melibatkan penurunan sebanyak 10 sen. Manakala bagi diesel pula turun sebanyak 13 sen, kini menjadi RM1.95 seliter. Bagi diesel Euro 5 pula seperti biasa dijual 10 sen lebih mahal berbanding diesel Euro 2M, kini berharga RM2.05 seliter.

    Kesemua harga yang diumumkan di atas bakal berkuatkuasa tengah malam ini, dan seperti biasa, ia akan kekal selama seminggu iaitu sehingga 17 Mei 2017.

    Berbanding harga minggu lalu, RON 95 berharga RM2.11 seliter dan RM2.39 seliter pula bagi RON 97. Bagi diesel pula, ia turun sebanyak 6 sen, menjadi RM2.08 dan RM2.14 seliter bagi diesel Euro 5 pula seperti biasa dijual 10 sen lebih mahal berbanding diesel Euro 2M.

     
     
  • Kia Stinger dipertontonkan di Sabah sempena Konvensyen Pengedar Kia Asia 2017

    Pada hujung bulan lalu, Kia Stinger dikesan berada di Malaysia walau pun sebahagian besar badannya ditutupi balutan penyamaran. Hari ini tanda tanya mengenai kehadiran model tersebut di sini terjawab juga apabila akaun Instagram milik Kia Malaysia dan juga SM Nasarudin iaitu Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza Group of Companies telah memaparkan foto Stinger yang dipertontonkan di Konvensyen Pengedar Kia Asia 2017 yang sedang berlangsung di Sabah.

    Walau pun tiada butiran lanjut mengenainya, namun kami menjangkakan Kia Malaysia amat menaruh harapan yang tinggi untuk membawa masuk jentera prestasi ini seperti mana yang pernah dinyatakan pada Februari lalu. Malah ketika Paultan.org mengikuti rombongan Kia Malaysia ke Melbourne, Australia, bagi memandu uji model Kia Rio pada bulan yang sama, Dato’ Samson Anand George, CEO Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, yang turut serta dalam sesi lawatan tersebut sempat memberitahu kami, pihaknya amat berminat untuk membawa masuk Stinger ke pasaran Malaysia pada tahun hadapan.

    “Kia telah menjalani pelbagai revolusi drastik sejak sedekad ini, malahan barisan model baharunya dengan rekaan yang cukup bergaya dan selari dengan arus model masa kini, dilihat mampu membawa jenama ini lebih ke hadapan,” ujarnya.

    Kia Stinger dipertontonkan di Sabah sempena Konvensyen Pengedar Kia Asia 2017

    Mengadaptasi imej yang diambil dari model konsep Kia GT yang pernah diperkenalkan di Frankfurt Motor Show 2011, Stinger turut mengekalkan DNA reka bentuknya dengan berberapa perincian dirombak semula. Bahagian hadapannya nampak lebih garang dengan gril “hidung harimau’ yang menjadi signatur model baharu Kia, malahan diapit dengan sepasang lampu berbentuk tirus.

    Untuk penjana kuasanya pula, Stinger didatangkan dengan dua enjin berbeza iaitu enjin 2.0 liter empat-slinder turbo berkuasa 255 hp pada takat 6,200 rpm serta tork maksima 353 Nm bermula 1,400 hingga 4,000 rpm. Serta enjin yang lebih berkuasa iaitu 3.3 liter turbo-berkembar V6 Lambda II dengan output 365 hp pada takat 6,000 rpm dan juga tork maksima 510 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm. Kia mensasarkan model dengan enjin V6 bakal memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 5.1 saat dan kelajuan maksima 269km/j.

    Kedua-dua enjin ini hanya akan dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dari Optima K9, bersama pedal penukar gear serta torque converter jenis Centrifugal Pendulum Absorber (CPA) pertama dari Kia untuk mengurangkan getaran kilasan pada sistem transmisi.

    GALERI: Kia Stinger yang dipamerkan di Australia Open 2017 Februari lalu

     
     
  • SPYSHOT: Yamaha NVX 155 ditemui sekitar Rawang

    SPYSHOT: Yamaha NVX 155 ditemui sekitar Rawang

    Skuter Yamaha NVX 155 (atau juga dikenali sebagai Aerox) pernah dipertontonkan kepada wakil media di Litar Sepang tahun lalu bersempena perlumbaan MotoGP. Walaubagaimanapun, itu sekadar pra tonton dan ramai yang menunggu waktu pelancarannya.

    Yamaha NVX 155 adalah sebuah skuter sports yang menggunakan enjin 155 cc suntikan bahan api, dengan teknologi Blue Core dan VVA, dan ia adalah unit sama seperti yang terdapat pada model NMax, berkuasa 14.8 hp dan 14.4 Nm tork. Cumanya, ia ditambah dengan sistem Start/Stop dan berat keseluruhannya adalah 11 kg lebih ringan.

    Walaupun sporty, skuter ini menyediakan ruang simpanan 25 liter kalis air di bawah tempat duduknya, dan ia boleh menempatkan sebuah helmet fullface. Menambahkan ciri modennya, motosikal ini turut dilengkapi dengan sistem kunci pintar yang membolehkan pengguna menghidupkan enjin tanpa kunci (disimpan dalam beg atau poket) dan tangki minyak 4.6 liter.

    SPYSHOT: Yamaha NVX 155 ditemui sekitar Rawang

    Agak sukar untuk kami menjangka tarikh sebenar pelancaran skuter sports ini kerana pihak Hong Leong Yamaha Motor cukup pandai mengunci mulut berkenaan perkara ini. Tetapi biasanya, selepas ujian jalanan seperti gambar yang dihantar oleh pembaca kami ini (yang juga sudah banyak kali ditemui), ia tidak akan mengambil masa yang lama untuk dilancarkan. Kami menjangkakan dalam waktu antara bulan Jun dan Julai.

    Motosikal ini sudah pun dilancarkan di Indonesia, dalam tiga versi dan bagi yang paling asas, harga pasarannya adalah 21,850,000 rupiah (RM7,314). Jika dibandingkan dengan model NMax tanpa ABS, ia adalah lebih murah 3,100,000 rupiah (RM1,037). NMax tanpa ABS dijual di Indonesia pada harga 24,950,000 rupiah (RM8,352).

    Bagi model yang ditemui ini, melihatkan kepada suspensi belakangnya, kami menjangkakan ia adalah versi asas, dan bukannya R yang terletak paling atas. Yamaha NVX 155 Versi R menggunakan suspensi belakang dengan sub tank dan berwarna emas.

    GALERI: Yamaha NVX 155 di Litar Sepang

     
     
  • Honda Malaysia panggil semula 419 unit Civic Type-R FD2R berhubung masalah inflator beg udara Takata

    Honda Malaysia panggil semula 419 unit Civic Type-R FD2R berhubung masalah inflator beg udara Takata

    Honda Malaysia (HM) hari ini mengumumkan senarai baharu dalam siri panggilan semula berhubung masalah pada unit inflator beg udara keluaran Takata, kali ini melibatkan sejumlah 419 unit Honda Civic Type-R FD2R (model 2007 – 2008 dan versi facelift 2010).

    Bagi Civic Type-R, HM akan menggantikan kedua-dua belah (pemandu dan penumpang hadapan) inflator beg udara berkenaan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku sekiranya terlibat dalam kemalangan.

    Seperti panggilan balik sebelum ini, semua pelanggan yang terlibat akan dimaklumkan menerusi surat pemberitahuan, termasuk perincian mengenai kempen ini. Pelanggan yang telah menerima makluman ini dinasihatkan agar untuk membawa surat dan kenderaan mereka ke mana-mana pengedar Honda bertauliah yang berdekat untuk pemeriksaan. Kerja-kerja penggantian akan dilakukan sebaik sahaja alat ganti berkenaan tersedia dan semua kos alat ganti dan buruh ditanggung oleh Honda Malaysia.

    Honda Malaysia panggil semula 419 unit Civic Type-R FD2R berhubung masalah inflator beg udara Takata

    Sebagai usaha untuk mempercepatkan proses panggilan semula, HM turut berkerjasama dengan Petronas Dagangan Berhad (PDB), bagi membolehkan pusat penukaran tambahan diwujudkan pada stesen-stesen Petronas terpilih.

    Selain itu, Hab Bergerak yang ditempatkan pada pusat-pusat membeli belah terpilih masih lagi kekal beroperasi. Pemilik yang terlibat juga masih boleh melakukan penukaran ini di semua 84 pusat servis Honda bertauliah diseluruh Malaysia.

    Bagi mereka yang mahu menukar inflator beg udara tersebut di stesen Petronas terpilih (rujuk jadual di bawah untuk lokasi dan waktu operasi) dan juga pusat servis Honda bertauliah, anda terlebih dahulu perlu membuat temu janji bagi mengelakkan kelewatan berlaku untuk proses penukaran. Manakala untuk mereka memilih untuk menukarnya di hab-hab bergerak pusat membeli-belah, tiada sebarang temu janji perlu dilakukan.


    Klik untuk besarkan

    Pasukan bergerak dari pintu-ke-pintu juga masih lagi beroperasi untuk mempercepatkan proses panggilan semula ini. Pasukan dari bahagian servis pengedar sah Honda ini akan mengenakan pakaian seragam Honda berserta surat pengesahan untuk memudahkan pelanggan mengenal pasti kesahihan mereka.

    Pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol Honda 1-800-88-2020 atau pengedar sah Honda untuk pengesahan lanjut ketika dikunjungi oleh pasukan berkenaan. Pasukan bergerak ini juga akan membuat temujanji untuk menukar inflator beg udara tersebut terus di lokasi jika perlu, sekiranya pelanggan benar-benar tidak dapat berkunjung ke hab sementara atau pengedar berdekatan.

    Honda Malaysia juga kini berkerjasama rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menghubungi kesemua pemilik kenderaan terlibat yang tidak lagi berhubung dengan pihak mereka.

    Honda Malaysia panggil semula 419 unit Civic Type-R FD2R berhubung masalah inflator beg udara Takata

    Setakat 7 Mei 2017, stok alat ganti untuk inflator beg udara Takata bahagian pemandu berada pada tahap 100%, manakala segala usaha yang dilakukan oleh Honda Malaysia untuk memanggil semula semua kenderaan yang terlibat menyaksikan 79% dari jumlah keseluruhan telah berjaya ditukar.

    Untuk inflator beg udara Takata bahagian penumpang hadapan pula, stok alat ganti pada tarikh yang sama kini mencapai 90.5%. Honda Malaysia kini sedang berusaha keras untuk mendapatkan stok alat ganti tersebut ke tahap 100%. Mereka juga kini komited untuk mengambil langkah-langkah tambahan bagi menambah baik nisbah lengkap untuk penukaran inflator antara bahagian pemandu dan penumpang hadapan.

    Jika anda ragu-ragu sama ada kenderaan Honda anda terlibat atau tidak dengan panggilan semula ini, anda boleh lawati laman web khas yang disediakan DI SINI, dan masukkkan nombor pengenalan kenderaan (VIN) atau dikenali juga sebagai nombor casis kereta anda DI LAMAN TERSEBUT. Anda juga boleh memeriksa status kereta anda atau untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan apa-apa juga tentang isu ini dengan menghubungi talian 1800-88-2020 atau kunjungi mana-mana pengedar sah Honda.

     
     
  • BMW M2 CSR oleh Lightweight Performance – 610 hp

    BMW M2 CSR oleh Lightweight Performance – 610 hp

    Sementara BMW masih belum mengesahkan akan mengeluarkan M2 versi yang lebih berkuasa, sebuah syarikat ubah suai kenderaan Jerman, Lightweight Performance telah melakukannya lebih awal, dan model yang diubah suai tersebut dipanggil sebagai M2 CSR, yang bermaksud “Carbon Sport Race.”

    Dengan nama seperti itu, sudah tentu, orang ramai menjangkakan penggunaan meluas gentian karbon, dan ia memang benar. Beberapa elemen pada pakej aerodinamik serta badan kenderaan ini diperbuat daripada gentian karbon, termasuk lapik cermin sisi, kemasan ekzos, diffuser belakang, bumbung, pintu dan penutup but.

    Perubahan luaran lain yang dilakukan pada kenderaan ini adalah pembelah angin hadapan yang agresif, sayap belakang besar dan set rim aloi ringan yang dibalut tayar Michelin Cup 2 saiz 265/35 di hadapan dan 295/30 di belakang. Terdapat juga banyak kemasan berwarna merah serta lencana khas, dan tema ini diguna juga pada bahagian dalam.

    Di dalam, hampir keseluruhan permukaan yang boleh dicapai diperbuat daripada gentian karbon untuk meningkatkan lagi aspek ringan yang sudah menjadi pakej bagi kenderaan ini. Tidak cukup dengan itu, tempat duduk belakang juga telah dibuang dan diganti dengan roll cage yang dicat warna merah untuk menjadikannya serasi dengan bahagian lain.

    Dua tempat duduk yang tinggal di hadapan juga diperbuat daripada gentian karbon dengan bentuk bucket, lengkap bersama tali pinggang lumba. Pada bahagian penyandar tempat duduk ini, terdapat sulaman M2 CSR yang menjadikannya lebih unik. Semua penggunaan gentian karbon ini menjadikan M2 CSR 195 kg lebih ringan berbanding kereta standard, pada 1,371 kg.

    BMW M2 CSR oleh Lightweight Performance – 610 hp

    Walaubagaimanapun, Lightweight Performance turut bertindak menukar enjin asal N55 M2 kepada unit S55 iaitu enjin yang digunakan pada M3 dan M4. Hasilnya, M2 CSR mampu menghasilkan 610 hp dan 767 Nm tork, dan catatan ini adalah 240 hp dan 302 Nm lebih berbanding M2 biasa.

    Catatan masa pecutan yang lebih pantas boleh dijangka dan kenderaan ini boleh mencapai kelajuan maksimum 328 km/j. Enjin ini dipadankan bersama kotak gear manual enam kelajuan ataupun DCT M tujuh kelajuan, dengan kuasa disampaikan kepada tayar belakang.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Modenas Kriss MR2 110 – pilihan berbaloi untuk wang, tetapi prestasinya bagaimana?

    TUNGGANG UJI: Modenas Kriss MR2 110 – pilihan berbaloi untuk wang, tetapi prestasinya bagaimana?

    Bagi pengeluar atau pengedar motosikal di Malaysia, selain jenama-jenama pengeluar premium atau berkuasa besar, hampir semua menyedari segmen motosikal jenis kapcai atau moped adalah sangat penting, dengan pasaran yang besar dan meluas. Di sebabkan itu, sebut sahaja nama-nama jenama utama yang bertapak di Malaysia, mereka pasti ada model yang dipertaruhkan dalam segmen berkenaan.

    Jenama tempatan seperti Modenas juga tidak ketinggalan dalam merebut peluang dalam pasaran yang sama. Mengapa pasaran motosikal kapcai dan moped begitu penting? Sedangkan, jika kita lihat hari ini, pilihan yang tersedia kepada peminat-peminat atau pengguna motosikal adalah sangat meluas.

    Satu daripada sebabnya kerana segmen motosikal berkenaan yang paling mampu milik. Dan, untuk urusan harian, ia yang paling praktikal – murah, kos pemilikan dan penyelenggaraan juga rendah serta dapat memenuhi keperluan individu dari pelbagai lapisan masyarakat. Ia tidak hanya tertumpu kepada segelintir kelompok yang berkemampuan sahaja, misalnya.

    Di sebabkan itu, motosikal jenis kapcai dan moped sangat popular, jika dilihat dari sudut jumlah penggunaannya. Namun, mengapa pula penawaran model-modelnya terlalu banyak, sedangkan jika dilihat dari perbezaan kapasiti misalnya, perbezaannya terlalu sedikit?

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • KL MRT: Jln Bukit Bintang, Jln Sultan Ismail dan Jln Changkat Bukit Bintang ditutup 16 hari mulai 10 Mei ini

    KL MRT: Jln Bukit Bintang, Jln Sultan Ismail dan Jln Changkat Bukit Bintang ditutup 16 hari mulai 10 Mei ini

    MMG Gamuda KVMRT Sdn BHd (MGKT) dalam kenyataan medianya menyatakan laluan sepanjang Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Changkat Bukit Bintang akan ditutup selama 16 hari pada sebelah malam, bermula esok sehingga 25 Mei depan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pengambilalihan kemudahan jalan raya MRT laluan Sungai Buloh-Kajang.

    Syarikat terbabit turut memaklumkan semua jalan itu akan ditutup secara berperingkat mulai jam 11 malam hingga 6 pagi dengan hanya satu lorong dibuka pada satu-satu masa.

    Semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi arahan papan tanda. Malahan sepanjang penutupan jalan itu juga, Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) bagi projek MRT akan ditempatkan di lokasi bagi membantu mengawal lalu lintas.

    Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai perkara ini, bolehlah melayari Twitter @MRTMalaysia atau @MyMRTUndeground atau Facebook @MRTMalaysia atau menghubungi hotline MRT di 1-800-82-6868.

     
     
  • Labis menjadi lokasi pertama di Malaysia yang menggunakan getah sebagai turapan jalan

    Labis menjadi lokasi pertama di Malaysia yang menggunakan getah sebagai turapan jalan

    Usaha Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam memilih getah beku sebagai bahan campuran asfalt untuk turapan jalan dilihat semakin menampakkan hasil setelah banyak kajian mengenainya dilakukan.

    Terkini, laluan dua hala sepanjang 10 kilometer antara Kampung Desa Temu Jodoh ke Kampung Kwong Sai, Johor Bahru bakal menjadi jalan raya pertama di negara ini menggunakan teknologi Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA), laporan Berita Harian.

    Menurut Jurutera Awam Penguasa Kanan Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Zulkifli A Ghani, projek pemilikan tapak CMA itu dijangka bermula 17 Julai ini dan dijangka siap pada Januari 2020. Katanya, projek berkenaan akan dianalisis dalam tempoh dua tahun membabitkan pelbagai aspek seperti keselamatan pengguna, kos selenggara dan bentuk kerosakan pada jalan itu.

    “Projek perintis CMA sepanjang 500 meter sudah dilaksanakan di tiga lokasi iaitu, Tampin Negeri Sembilan; Temerloh Pahang dan Kedah sejak 2015. Hasil laporan awal CMA di tiga lokasi perintis menunjukkan kaedah ini sesuai digunakan untuk menambahbaik penurapan jalan raya dan pembinaan jalan baharu di Jalan Persekutuan seluruh negara.

    “Untuk tempoh jangka masa panjang, kos penyelenggaraan CMA menjimatkan berbanding turapan konvensional dengan jangka hayat jalan lebih baik,” katanya ketika membentangkan secara terperinci pembinaan semula jalan di lokasi terbabit kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd Azhar Ibrahim.

    Ketika ini, kebanyakan pembinaan turapan jalan raya di negara ini menggunakan bitumen asli gred 80/100 dan 60/70 sebagai bahan pengikat dalam campuran asfalt.

    Fadillah pula berkata, “Pelaburan awal CMA tinggi sekitar RM53 permeter daripada kaedah konvensional, RM29 permeter tetapi kos penyelenggaraan adalah rendah untuk jangka panjang. Yang lebih penting, kerjasama teknologi ini membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah.”

    Ketika menjawab soalan pemberita mengenai kemungkinan memperluaskan penggunaan CMA ke seluruh negara dalam masa terdekat, Fadillah berkata kerajaan akan memuktamadkan aspek teknikal dan analisis kos menerusi hasil laporan penilaian akhir CMA, yang dijangka diumumkan awal tahun 2018.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024