Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz GLA facelift tampil rasmi di Detroit

    Mercedes-Benz GLA facelift tampil rasmi di Detroit

    Selepas gambar teaser dikeluarkan, akhirnya Mercedes-Benz GLA membuat penampilan secara rasmi di Detroit Auto Show, dengan SUV kompak ini menerima sedikit perubahan gaya, pilihan enjin baharu dan tambahan kelengkapan. Kemunculannya adalah bersesuaian untuk menjadikan model ini lebih segar dalam pasaran.

    Pada bahagian luar, muka depannya mendapat gril rekaan baharu, dengan elemen berpetak pada jalurnya dan lampu utama LED High Performance didatangkan sekali. GLA juga mendapat bampar baharu, yang menggantikan corong udara hiasan di bahagian tepi dengan lampu kabus.

    Bahagian bawah bampar yang direka semula juga mendapat tema berpetak seperti yang terdapat pada gril beberapa model, manakala yang lain mendapat bahagian dengan skid plate. Pada bahagian tepi, sehingga ke bucu belakang, semuanya sama seperti sebelum ini.

    Mercedes-Benz GLA facelift tampil rasmi di Detroit

    Bampar belakang model ini adalah baharu, dengan terdapat kemasan hitam berkilat pada diffuser, dan kini bersepadu lebih baik dengan muncung ekzos. Lampu belakang juga mendapat grafik baharu, bersama pilihan roda tambahan, dan pada masa hadapan, pakej Night.

    Menurut Mercedes, penggayaan baharu ini membantu meningkatkan kecekapan aerodinamik kenderaan ini, dari 0.29 menjadi 0.28 cd. Sebagai tambahan, GLA yang lebih ranggi seperti di dalam gambar ini mendapat warna baharu – canyon beige – dan datang dengan pilihan suspensi Comfort yang meningkatkan tinggi badan kenderaan sebanyak 30 mm.

    Pada bahagian dalam, pembaharuan yang diberi termasuk meter serta jarumnya, kemasan krom pada butang pengawal tempat duduk elektrik, tempat barangan pada konsol tengah dan pilihan kain baharu untuk tempat duduk dan trim pintu.

    Mercedes-Benz GLA facelift tampil rasmi di Detroit

    Senarai kelengkapan untuk model ini juga ditambah dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, skrin paparan 8 inci standard untuk semua varian, kamera undur dan sistem kamera dengan pandangan keseluruhan kenderaan.

    Enjin (diesel dan petrol) pula masih lagi sama seperti sebelum ini, dan varian GLA 220 ditambah dengan enjin petrol, yang menawarkan 184 hp dan 300 Nm tork. Ia hanya boleh didapati dengan sistem pacuan empat roda 4Matic, dan seterusnya meletakkan GLA 220 di antara GLA 200 (154 hp) dan GLA 250 (211 hp).

    Sekiranya anda mahukan lebih kuasa, terdapat model GLA 45 AMG yang mempunyai kuasa sebanyak 381 hp dan 475 Nm tork, datang daripada enjin 2.0 liter. Menurut timbalan presiden jualan dan pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Mark Raine, GLA baharu ini dijangka tiba di Malaysia pada pertengahan tahun ini.

    Mercedes-AMG GLA 45

    Mercedes-Benz GLA 220d

    Mercedes-Benz GLA 250

    Mercedes-AMG GLA 45 Yellow Night Edition

     
     
  • Kamera AES akan dipasang di tujuh lagi lokasi bahaya

    Kamera AES akan dipasang di tujuh lagi lokasi bahaya

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dipetik sebagai berkata bahawa tujuh lagi kamera Automated Enforcement System (AES) akan dipasang di kawasan yang kerap kemalangan, termasuk Pagoh, Johor di mana kemalangan maut melibatkan bas ekspres yang mengorbankan 13 nyawa baru-baru ini – serta di Kampar, Perak.

    Seperti dilaporkan oleh The Sun, beliau memaklumkan, sekiranya ada keperluan dan permintaan, kamera AES di kawasan baharu akan dipasang. Menurut beliau, permintaan itu dilakukan oleh badan-badan bukan kerajaan, pengendali lebuhraya serta kerajaan tempatan untuk dipasang dalam kawasan seliaan mereka.

    Sesetengah pihak berkuasa tempatan meminta untuk dipasangkan kamera berkenaan di persimpangan jalan yang kerap berlaku kemalangan, termasuk di persimpangan lampu isyarat. Menurut Liow lagi, setakat ini 14 kamera AES sedia ada tidak pernah dibatalkan dan kekal beroperasi. Bagaimana pun, beliau menolak dakwaan yang beredar di dalam media sosial bahawa terdapat 200 lagi kamera AES akan dipasang di seluruh negara.

    Menurut Liow, setakat ini kementeriannya hanya menerima permintaan terhadap tujuh pihak sahaja, dan telah mengeluarkan arahan kepada jabatan-jabatan yang berkaitan untuk tindakan lanjut, termasuk Jabatan Kerja Raya, PDRM dan SPAD.

    Beliau juga menambah, kamera AES telah disepadukan ke dalam Automated Awareness Safety System (Awas), yang turut merangkumi sistem mata demerit.

     
     
  • Nissan sahkan tiada integrasi produk bersama Mitsubishi, tiada Lancer dan Lancer Evo selepas ini

    Nissan sahkan tiada integrasi produk bersama Mitsubishi, tiada Lancer dan Lancer Evo selepas ini

    Dengan pengambilalihan 34% saham dalam Mitsubishi Motors Corporotion (MMC) oleh Pakatan Renault-Nissan seterusnya membolehkan MMC menjadi milik mereka, tentu ramai yang beranggapan Nissan akan membantu Mitsubishi membina semula Lancer generasi baharu, dan yang paling ditunggu-tunggu, varian berprestasi tingginya – Lancer Evolution XI.

    Namun perkara ini disangkal oleh ketua pegawai perancangan global Nissan, Philippe Klein, ketika ditemu bual oleh CarAdvice di Consumer Electronics Show (CES) 2017 Las Vegas dengan mengatakan “kami tidak akan berintegrasi dengan Mitsubishi.”

    Menurut Klein, pendekatan Nissan terhadap Mitsubishi ialah dengan memacu skala dalam pembuatan dan komponen untuk meningkatkan margin keuntungan, bukan membina model klon dari model sedia ada dengan hanya berbeza lencana jenama. Integrasi antara Nissan dengan Mitsubishi akan mengakibatkan kegagalan jika pelanggan menganggap kedua-dua jenama berkenaan adalah sama.

    “Kami akan cuba dan mewujudkan hubungan yang kami ada antara Renault dan Nissan, bermaksud kami akan cuba dan berkongsi komponen, platform, dan teknologi sebanyak yang mungkin tetapi Mitsubishi bertanggungjawab untuk merekabentuk kereta mereka sendiri dan kekal sebagai syarikat yang berbeza, jadi ia menjadi kaedah yang sama digunakan kepada Renault dan Nissan yang telah kami gunakan selama 17 tahun,” jelas Klein.

    Menurut Klein lagi, Mitsubishi, Nissan dan Renault mempunyai warisan dan visi mereka tersendiri, jadi Mitsubishi mempunyai kekuatannya di dalam segmen dan negara tertentu, begitu juga Renault dan Nissan.

    Setakat ini, Mitsubishi sedang menumpukan pada kereta-kereta elektrik dengan bajet R&D yang agak terhad, menyebabkan sedan segmen-C mereka – Lancer – yang kini generasi sedia ada sudah pun mencapai usia sepuluh tahun, tidak akan diteruskan pengeluarannya. Ini juga akan menyaksikan legasi Lancer Evolution juga berakhir kerana ketiadaan platform yang berpotensi.

    Perkara ini juga telah disahkan timbalan presiden eksekutif dan COO Mitsubishi Amerika Utara, Don Swearingen kepada Autoblog sebelum ini bahawa produksi Lancer akan ditamatkan pada Ogos nanti dan model tersebut akan lenyap pada musim panas 2017 setelah stok-stok akhir dijual dan tiada model generasi baharu dibangunkan.

    Menurut Swearingen, pasaran sedan semakin mengecil dan syarikatnya perlu membina model-model yang boleh mendatangkan keuntungan. Oleh itu Mitsubishi kini lebih menumpukan pembinaan model-model crossover yang kini sedang berkembang dan menguasai pasaran.

    Walau bagaimanapun, berbalik kepada Klein, Mitsubishi Triton generasi berikutnya akan dibina berasaskan platform Nissan Navara. Tetapi, pembinaan Triton baharu tersebut bukan sekadar semudah menukar logo di mana Mitsubishi perlu membina sendiri trak pikap versinya, sama seperti yang dilakukan oleh Mercedes-Benz yang turut membina trak pikap menggunakan platform Navara.

     
     
  • Toyota Fortuner terima status EEV, harga turun RM16k

    Toyota Fortuner terima status EEV, harga turun RM16k

    Berita baik dipermulaan 2017 bagi penggemar SUV keluaran Toyota. Bermula hari ini, harga bagi Toyota Fortuner akan dikurangkan harganya sehingga RM16,000; model berkenaan menerima kelayakan sebagai sebuah kenderaan cekap tenaga (EEV) di Malaysia.

    Dengan insentif yang diberikan di bawah Dasar Automotif Nasional ketika ini, harga-harga baru bagi Fortuner adalah seperti berikut; Toyota Fortuner 2.7 SRZ 4×4 (RM183,800) dan Toyota Fortuner 2.4 VRZ 4×4 (RM175,400). Harga yang dinyatakan ini ialah harga atas jalan termasuk insurans untuk Semenanjung.

    “Kami berbesar hati kerana Fortuner kini diiktiraf sebagai kenderaan EEV. Sejak pengumuman Dasar Automotif Nasional pada Januari 2014, UMW Toyota menyokong dasar berkenaan; pemasangan kenderaan EEV kami di sini menjadi petunjuk kepada komitmen kami.

    “UMW Toyota Motor juga berkerjasama dengan lebih dekat dengan Toyota Motor Corporation untuk mengenalpasti model-model akan datang yang akan dipasang di sini agar ia menepati kriteria EEV,” jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

    Toyota Fortuner terima status EEV, harga turun RM16k

    “Lebih penting, kelayakan terhadap status EEV ini juga menjadi cerminan kepada pelaburan yang dilakukan, pemindahan teknologi, penghasilan komponen tempatan serta sumbangan ekonomi syarikat untuk negara,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamy.

    “Toyota Fortuner merupakan SUV 4×4 pertama yang layak menerima status EEV, selain menjadi model dengan harga yang paling berpatutan dalam kelasnya. Ia juga merupakan model keempat Toyota yang dipasang di Malaysia yang menerima status EEV yang sama setakat ini, selain Camry, Vios dan Innova,” tambah beliau.

    Dalam menepati kriteria EEV, Fortuner 2.7 liter petrol dan 2.4 liter turbodiesel ditala untuk mendapatkan kecekapan penggunaan bahan api terbaik daripada tangki 80 liter yang tersedia. Begitu juga dengan transmisi automatik enam-kelajuan yang diselia secara elektronik – semuanya untuk tujuan mendapatkan kecekapan yang tinggi.

    Fortuner diberikan penarafan ASEAN NCAP lima-bintang bagi aspek keselamatan dan ketahanan casisnya untuk memberikan perlindungan terbaik kepada penumpang. Bagi model tahun 2017, spesifikasinya kekal sama seperti sejak ia mula diperkenalkan pada Mei 2016.

    Varian paling tinggi dilengkapi antara lain dengan lampu utama Bi-LED, tujuh beg udara SRS dan kawalan kestabilan VSC. Selain itu, ia juga hadir dengan jaminan 5 tahun tanpa had perbatuan. Untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan model ini, anda boleh layari laman Carbase.my.

     
     
  • Maserati Quattroporte facelift tiba di Malaysia – varian GranSport, GranLusso; 3.0 V6, harga dari RM779k

    Maserati Quattroporte facelift tiba di Malaysia – varian GranSport, GranLusso; 3.0 V6, harga dari RM779k

    Maserati telah mengumumkan ketibaan model facelift bagi Maserati Quattroporte di Malaysia, yang ditawarkan dengan tiga bentuk iaitu Quattroporte, Quattroporte S dan Quattroporte GTS. Dan kesemua varian adalah pacuan roda-belakang.

    Bagi model asas Quattroporte, ia mampu menghamburkan lebih 20 hp berbanding sebelum ini, menjadikannya dengan sejumlah kuasa 350 hp dan tork 500 Nm dari enjin 3.0 liter pengecas turbo berkembar V6. Manakala V6 pula mampu menghasilkan kuasa sebanyak 410 hp dan tork 550 Nm, dengan enjin yang sama iaitu 3.0 liter turbo V6. Bagi Quattroporte GTS pula, dipadankan dengan enjin 3.8 liter pengecas turbo berkembar V8 dengan terjahan kuasa sehingga 530 hp dan tork 710 Nm.

    Bagi pacuan 0-100 km, model asas Quattroporte mampu mencatat masa dalam tempoh 5.5 saat dan menjejaki kelajuan maksimum sehingga 270 km/j. Menurut Maserati, Quattroporte S pula mampu mencatat masa 5.1 saat dan kelajuan maksimum 286 km/j. Sementara Quattroporte GTS pula dengan 4.7 saat dan kelajuan maksimum mencecah 310 km/j.

    Maserati Quattroporte facelift tiba di Malaysia – varian GranSport, GranLusso; 3.0 V6, harga dari RM779k

    Bagi semua versi, pacuan disalurkan dari roda belakang menerusi transmisi automatik ZF lapan-kelajuan, sementara peredam Skyhook kawalan elektronik pula menguruskan pergerakan badan Quattroporte.

    Model Quattroporte facelift ini diberzakan mengikut bampar yang direka semula, dengan profil matte black di hadapan dan matte black extractor untuk belakang. Kawalan Air Shutter pelarasan elektrik mengawal aliran udara ke bahagian hadapan kereta dan juga mengawal selia suhu penyejuk, manakala seretan pula dikurangkan sehingga 10% dengan rekaan bawah dan air conveyor yang lebih rata.

    Maserati Quattroporte facelift tiba di Malaysia – varian GranSport, GranLusso; 3.0 V6, harga dari RM779k

    Dengan dua varian, GranSport dan GranLusso, ia tampil lebih sporty dan mewah. Ditawarkan dengan pelbagai penambahbaikan, sementara GTS yang dikuasakan oleh V8 turut ditawarkan pada kedua-dua varian tersebut sebagai standard. Profil GranLusso menggabungkan skirt sisi, sementara bahagian belakang pula tampil dengan ukiran reflektor dan spoiler yang sama dengan warna badan, dipadankan dengan rim Mercurio 20-inci dan kaliper brek hitam.

    Ruang dalaman GranLusso pula menerima rekaan pilihan Ermenegildo Zegna Edition dengan menampilkan fabrik sutera pada tempat duduk, pintu, headliner dan pelindung matahari. Sementara kayuan Radica menjadi hiasan pada papan pemuka dan roda stereng. Elemen lain yang turut ditampilkan termasuklah pedal kaki berkuasa, tirai matahari belakang larasan elektrik, empat zon penyaman udara, tempat duduk belakang dengan suhu panas dan kemasukan tanpa kunci.

    Sementara itu, GranSport menawarkan elemen yang lebih agresif di bahagian hadapan, manakala bahagian belakang pula dihiasi dengan spoiler hitam berkilat. Sebagai pilihan, gril hadapan bagi GranSport boleh ditempah dalam kekemasan hitam berkilat. Tona biru turut ditampilkan pada logo hadapan Trident dan sisi Saetta, sementara rim Titano 21-inci turut dihiasi biru Trident.

    Untuk bahagian dalam GranSport, tempat duduk hadapan dan belakang direka secara berlainan, menampilkan konsep “prestasi pemanduan sport yang dipertingkatkan,” menurut Maserati. Manakala roda stereng pula menampilkan kekemasan sama ada gentian karbon atau pun kulit sepenuhnya. Kekemasan hitam berkilat turut digunakan pada papan pemuka, manakala material aluminium pada pedal penukar gear di belakang roda stereng, serta keluli tahan karat untuk pedal kaki. Pilihan Pek Karbon turut ditawarkan secara tambahan bagi GranSport, dengan cermin sisi, pemegang pintu dan pelindung tiang-B dihiasi dengan gentian karbon.

    Maserati Quattroporte facelift tiba di Malaysia – varian GranSport, GranLusso; 3.0 V6, harga dari RM779k

    Bagi Quattroporte ini, ia menerima elemen termasuk unit infotainme dengan paparan pelbagai-sentuhan kapasitif 8.4-inci, yang boleh disambung dengan Apple CarPlay dan Android Auto, berkongsi ruang konsol tengah dengan kawalan suhu baharu dan tempat penyimpan barang baharu. terowong tengah turut menerima padanan lid baharu dengan ruang storan telefon bimbit, serta tuil gear, tombol fungsi dan pemutar nada suara turut diberi rekaan semula.

    Bagi menambah rasa keselesaan, pengesan kualiti udara baharu boleh mengesan tahap pencemaran dari luaran dan menghalangnya daripada memasuki kabin Quattroporte. Bagi keselamatan hadapan, sistem bantuan pemanduan termaju turut ditawarkan dan pakej ini termasuklah kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi Stop&Go, amaran penukaran lorong, amaran pelanggaran hadapan dengan bantuan brek serta brek kecemasan sendiri.

    Dengan harga bermula RM778,800 bagi model asas Quattroporte, sementara Quattroporte S dan GTS pula hanya boleh didapati berdasarkan permintaan. Semua model turut ditawarkan dengan waranti tiga-tahun, pakej servis 60,000 km dan harga termasuk cukai dan duti tempatan.

    Maserati Quatrroporte GranLusso

    Maserati Quattroporte GranSport

     
     
  • Naza World sampaikan hadiah pertandingan Merdeka Autofair – 1 bawa balik Ducati Panigale, 5 dapat Vespa

    Naza World sampaikan hadiah pertandingan Merdeka Autofair – 1 bawa balik Ducati Panigale, 5 dapat Vespa

    Bersempena dengan acara promosi Ducati Red Weeekend yang kini sedang berlangsung, sehingga esok di Naza Automall, Petaling Jaya, Naza World turut mengadakan satu majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Merdeka Autofair Spend and Win.

    Seorang pemenang bertuah, Juzmaini Binti Hassan, yang pada asalnya membeli sebuah Ducati Monster 821, membawa pulang hadiah utama yang juga merupakan motosikal Ducati iaitu Panigale 1199 ABS dengan pelekat bercorak WSBK.

    Sementara itu, lima lagi pemenang hadiah saguhati iaitu Sheila Devi a/p Muniandy, Mohd Zaidi bin Mohd Zin, B&M Concept Sdn Bhd (Bok Siew Mun), Johari bin Matsah dan Khor Chin Eng menerima hadiah masing-masing sebuah Vespa LT150.

    Kesemua mereka layak menyertai pertandingan ini setelah membeli pelbagai kenderaan yang ditawarkan oleh Naza World termasuk Toyota Estima, Toyota Wish, Vespa Sprint 150, N5R dan Indian Vintage.

    Naza World sampaikan hadiah pertandingan Merdeka Autofair – 1 bawa balik Ducati Panigale, 5 dapat Vespa

     
     
  • Karnival MYPerodua Nation – peluang menangi Axia

    Karnival MYPerodua Nation – peluang menangi Axia

    Perodua akan menganjurkan karnival MYPerodua Nation mulai 20 hingga 22 Januari di Aeon Mall Shah Alam (tempat parkir terbuka), dan semua rakyat Malaysia dijemput untuk memeriahkannya.

    Menariknya, para pengunjung berpeluang memenangi Perodua Axia, di samping pelbagai lagi hadiah menarik menerusi aktiviti cabutan bertuah. Selain itu, acara ini juga akan dihiburkan oleh persembahan artis popular, penampilan istimewa selebriti dan juga tayangan filem secara terbuka.

    “MYPerodua Nation terbuka untuk semua orang. Nikmati pengalaman penuh bermakna bersama kami dengan pelbagai tawaran menarik serta pelbagai lagi kejutan yang bakal menanti kunjungan anda semua,” ujar pengarah urusan bahagian jualan Perodua, Datuk Dr.Zahari Husin.

    Malah ahli Perodua UFirst juga berpeluang menyertai “UFirst Warrior Challenge” dengan tawaran wang tunai sebagai hadiah. Bagi yang berminat, boleh mendaftar menerusi www.ufirst.com.my sebelum 13 Januari ini.

    Karnival MYPerodua Nation – peluang menangi Axia

    “Malah kami turut menyediakan aktiviti dan promosi istimewa buat penuntut universiti dan kolej yang ingin membeli kereta Perodua pertama mereka atau boleh menyertai Uni-Quest Challenge sebagai sebahagian daripada aktiviti promosi tahunan,” tambah Zahari lagi.

    Bagi yang berminat untuk memilik kenderaan Peroda baharu, Golden Prosperity Deals turut memberikan tawaran menarik sempena dengan promosi Tahun Baru Cina. Malah pelanggan boleh menerima rebat tunai sehingga RM3,888 bagi model Perodua terpilih. Bagi pelanggan sedia ada, turut berpeluang menerima baucer servis percuma, berserta diskaun istimewa sehingga 50% bagi alat ganti dan aksesori.

    “Semua orang dijemput untuk bersama-sama Perodua bagi memeriahkan lagi acara ini sebagai cara kita menyambut kedatangan 2017 dengan penuh keceriaan,” ujar Zahari lagi.

     
     
  • Terowong Genting Sempah ditutup mulai 10 Jan ini

    Terowong Genting Sempah ditutup mulai 10 Jan ini

    Klik untuk besarkan

    Terowong Genting Sempah akan ditutup selama 60 hari mulai 10 Januari 2017. Menurut ANIH Berhad, ia ditutup bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaran dalam terowong terbabit dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.

    Sehubungan itu, laluan kenderaan dalam Terowong Genting Sempah akan ditutup selama 9 jam sehari bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja berkenaan. Laluan kontra akan diaktifkan sepanjang tempoh kerja tersebut. Ia akan dibuka semula seperti biasa dari jam 6 petang hingga 7 pagi.

    Terowong Genting Sempah ditutup mulai 10 Jan ini

    Menurut ANIH lagi, walau bagaimana pun kerja-kerja penyenggaraan akan dihentikan pada cuti musim perayaan Tahun Baru Cina dan Thaipusam.

    Oleh itu, ANIH turut menasihati pengguna supaya mematuhi papan tanda serta arahan yang diberikan petugas di lokasi. Malah mesej turut dipaparkan menerusi papan tanda elektronik (VMS) di sepanjang lebuh raya bagi membolehkan pengguna membuat persediaan awal.

    Untuk sebarang maklumat, sila ikuti medium komunikasi seperti Facebook di Lebuhraya Pantai Timur dan laman Twitter di @LPTTrafik bagi mengetahui status dan keadaan terkini serta isu- isu lain di sepanjang jajaran lebuh raya KLK dan LPT 1. Pengguna juga dinasihatkan untuk mengikuti akaun laman sosial LPT untuk merancang perjalanan.

     
     
  • Tiada Silvia baharu kerana ‘tiada pelanggan’ untuk kereta sport mampu milik sedemikian – Nissan

    Tiada Silvia baharu kerana ‘tiada pelanggan’ untuk kereta sport mampu milik sedemikian – Nissan

    Nissan tidak bercadang untuk menghasilkan model generasi baharu untuk 200SX atau dikenali juga sebagai Silvia kerana kereta sport pacuan roda belakang mampu milik sedemikian agak sukar untuk dipasarkan buat masa sekarang.

    Perkara ini diberitahu sendiri oleh ketua pegawai perancangan global Nissan, Philippe Klein, kepada CarAdvice semasa berlangsungnya pameran Consumer Electronics Show (CES) 2017 yang diadakan di Las Vegas.

    Menurut Klein, syarikatnya setakat ini tidak mempunyai rancangan untuk membina apa-apa model untuk bersaing dengan Toyota 86 dan Subaru BRZ, sebaliknya lebih fokus terhadap divisi perlumbaannya iaitu Nismo untuk mewujudkan model-model talaan dari barisan model sedia ada.

    “Ia merupakan segmen yang susah. Tiada lagi pelanggan pada segmen itu. Apa yang saya percaya ialah lebih derivatif Nismo dari model-model utama, saya rasa perniagaan itu adalah lebih mampu bertahan dan meyakinkan pada sesetengah negara, kereta sport mampu milik yang di bina berasingan merupakan perkara yang sukar dilakukan,” jelas Klein.

    Tiada Silvia baharu kerana ‘tiada pelanggan’ untuk kereta sport mampu milik sedemikian – Nissan

    Sebelum ini, Nissan pernah mendedahkan model konsep IDx Freeflow dan IDx Nismo yang direka sebagai kereta sport pacuan belakang mampu-milik – jelmaan semula Datsun Bluebird 510 SSS, tetapi kemudiannya membatalkan semua rancangan untuk membina model-model sedemikian setelah melihat jumlah jualan yang tidak memberangsangkan ditunjukkan oleh Toyota 86.

    Tetapi perkara sebaliknya diambil oleh Toyota di mana mereka mengesahkan generasi seterusnya 86 akan mula dibangunkan sedikit masa lagi dan bakal muncul sekitar tahun 2018-2019 nanti, atas permintaan yang menggalakkan di berberapa negara.

    Walau bagaimanapun, model flagship Nissan GT-R masih lagi model yang dipandang berat oleh Nissan dan kini telah masuk tahun produksi yang ke sepuluh.

    “Masih lagi ada kedudukan yang berpotensi untuk kereta seperti ini, ia masih lagi sebahagian dari kami, apa akan terjadi kepada kereta ini dan bila [generasi baharu akan muncul]… saya tidak boleh beritahu anda, tetapi apabila saya melihat emosi dan maklum balas yang kami terima setiap masa berkenaan untuk membina versi evolusi kereta ini, saya percaya ini merupakan sesuatu yang kami perlu terus melabur,” kata Klein lagi.

     
     
  • PANDU UJI: Proton Ertiga Executive Plus AT – tunjuk potensi jadi kenderaan keluarga yang lebih bermanfaat

    PANDU UJI: Proton Ertiga Executive Plus AT – tunjuk potensi jadi kenderaan keluarga yang lebih bermanfaat

    Sampai ke tahap sekarang, orang ramai sepatutnya sudah tahu bahawa kerjasama strategik antara dua pengeluar berlainan jenama bukanlah satu perkara yang sepatutnya dikecam. Ia mempunyai pelbagai kebaikan kepada kedua-dua pihak dan perincian kerjasama itu boleh jadi pelbagai – namun apa yang lebih penting, persetujuan dapat dicapai.

    Lihat saja contoh pada waktu yang mencabar dalam industri automotif kini, terutamanya syarikat dari Jepun. Semakin banyak yang menjalin kerjasama seperti Toyota dan Mazda, Toyota dan Suzuki, Mazda dan Isuzu, serta pelbagai lagi, demi memastikan syarikat dapat bertahan dalam keadaan ekonomi yang sukar.

    Proton juga tidak terkecuali dalam mengambil langkah sama, dan ia bukanlah sesuatu yang baru bagi syarikat itu. Namun dalam tahun ini sahaja, Proton telah menghasilkan dua produk hasil kerjasama dengan syarikat pengeluar lain iaitu Perdana, dengan Honda dan Ertiga dengan Suzuki. Selain itu, Proton juga akan mengumumkan tiga rakan kongsi strategik sebelum pertengahan tahun ini.

    Bagi Ertiga, ia baru sahaja dilancarkan sekitar sebulan yang lalu, dan rakan sekerja, Farid Awaludin telah berpeluang memandunya di dalam litar ujian Proton. Kali ini, saya pula akan memberi pandangan tentang bagaimana pengalaman memandunya di jalan biasa, dalam perjalanan dari Shah Alam ke Sekinchan, dan berpatah balik dalam satu acara yang dianjurkan oleh Proton sendiri. Ertiga yang dipandu adalah dari varian paling tinggi, Executive Plus.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Hyundai perkenalkan skuter elektrik untuk Ioniq EV

    Hyundai perkenalkan skuter elektrik untuk Ioniq EV

    Selepas model kereta Ioniq, Hyundai tambah satu lagi kenderaan peribadi untuk dipadankan dengan model berkenaan; sebuah skuter elektrik peribadi, yang juga dipamerkan ketika Consumer Electronics Show (CES). Tidak pasti jarak yang boleh dilaluinya, tetapi skuter kecil ini boleh dilipat dan disimpan pada poket pintu depan Ioniq EV, dan penurut pengeluarnya, boleh juga di cas dalam kedudukan itu.

    Skuter elektrik Ioniq ini dilengkapi dengan lampu depan dan belakang, serta sensor pengesan kedudukan penunggang – selepas penunggang sudah selesa dan selamat di atasnya, barulah ia bersedia untuk bergerak.

    Untuk tambah kelajuan, ia dikawal melalui satu suis pada kedudukan ibu jari. Untuk memperlahankannya pula, adalah melalui sebuah pad dibahagian roda belakang skuter berkenaan – atau dengan arah bertentangan pada suis yang sama.

    Buat masa ini, skuter Ioniq ini hanyalah sebuah model konsep, memandangkan Hyundai belum ada perancangan untuk mengeluarkannya secara rasmi.

    Ia sebahagian daripada inisiatif Project Ioniq; yang setakat ini telah menyaksikan tiga model kereta Ioniq dengan sistem janaan berbeza diperkenalkan – Ioniq hibrid, plug-in dan elektrik sepenuhnya. Menjelang 2020, Hyundai mensasarkan akan memperkenalkan 28 model kenderaan “hijau” di Amerika Syarikat.

     
     
  • Honda perkenal Riding Assist di CES – motosikal boleh tegak tanpa sokongan tongkat atau penunggang

    Honda perkenal Riding Assist di CES – motosikal boleh tegak tanpa sokongan tongkat atau penunggang

    Tanpa kaki penunggang atau tongkat, mustahil motosikal akan dapat “berdiri” tegak. Untuk mencari kemungkinan penyelesaian kepada perkara ini – bagi mengurangkan kebarangkalian motosikal akan rebah pada kedudukan pegun – Honda memperkenalkan ciri Riding Assist ketika pameran Consumer Electronics Show (CES) yang sedang berlangsung di Las Vegas.

    Riding Assist berkenaan adalah sebahagian daripada Cooperative Mobility Ecosystem yang turut melibatkan model NeuV, sebuah kenderaan konsep urban elektrik. Teknologi yang digunakan pada ciri ini dibangun dari Honda UNI-CUB, sebuah kenderaan pergerakan persendirian dengan imbangan sendiri.

    Honda perkenal Riding Assist di CES – motosikal boleh tegak tanpa sokongan tongkat atau penunggang

    Menggunakan gyroscopes untuk imbangan – yang menambah kompleksiti dan berat kepada jentera berkenaan – Riding Assist mengurangkan sudut pada fork motosikal ketika ia bergerak kurang daripada lima km/j. Sebuah servo akan melakukan talaan segera pada pemegang untuk memastikan motosikal sentiasa lurus dan tegak, dengan atau tanpa penunggang.

    Walaupun masih belum pasti sama ada Riding Assist ini akan disertakan pada penggunaan sebenar, teknologi seperti ini mampu memainkan peranan di dalam pembangungan robotik untuk masa hadapan. Sementara kita menduga seperti apa lanjutan daripada perkembangan ini, tonton dahulu video khas yang disediakan oleh Honda ini.

     
     
  • Volkswagen Golf facelift R-Line kini diperincikan

    Volkswagen Golf facelift R-Line kini diperincikan

    Setelah mendedahkan perincian Volkswagen Golf facelift pada November lalu, jenama berkenaan kini memperincikan pula pakej R-Line untuk Golf Mk7 versi kemaskini tersebut.

    Jangan keliru antara Golf-R dan pakej ini kerana ia tidak menerima janakuasa seperti Golf varian tertinggi itu, tetapi hanya diberikan penampilan yang diinspirasikan dari model tersebut. Pakej ini ditawarkan untuk Golf hatchback dan Avant (wagon) serta hadir dalam dua versi iaitu pakej luaran R-Line dan pakej R-Line.

    Untuk pakej luaran, ia hadir dengan kit badan penuh R-Line yang terdiri dari bampar hadapan bersama gril bawah dengan elemen sarang lebah, kemasan liang kemasukan udara sisi berwarna hitam kilat, bampar belakang lengkap dengan diffuser, dan tip ekzos krom berbentuk trapezoid. Ia turut hadir dengan spoiler belakang berserta flap aero serta lencana R-Line diletakkan pada gril hadapan dan juga pada panel sisi.

    Untuk pakej penuh R-Line pula, kesemua ini turut disertakan dan di tambah dengan kelengkapan bahagian dalaman yang terdiri dari tempat duduk sport R-Line dengan rekaan “Carbon Flag/San Remo” atau pilihan upholsteri kulit “Vienna” dengan kemasan Black-Crystal Grey, roda stereng sport pelbagai fungsi balutan kulit dengan jahitan benang kontras serta sulaman logo R-Line dan juga panel bumbung berwarna hitam.

    Jahitan benang kontras turut diberikan pada pelindung tuil gear dan karpet lantai, manakala panel pintu, pedal dan perehat kaki diberikan kemasan keluli tahan karat. Logo R-Line juga diberikan pada skrin pemula.

    Pelbagai rim aloi berbeza boleh dipilih oleh pembeli iaitu rim “Sebring” berdiameter 17- dan 18-inci, rim “Singapore” berdiameter 17-inci serta rim “Marseille” berdiameter 18-inci.

    GALERI: Volkswagen Golf Mk7 facelift R-Line

     
     
  • Yamaha MT-07 diperkenalkan dalam dua warna baharu

    Yamaha MT-07 diperkenalkan dalam dua warna baharu

    Masuk ke tahun 2017 ini, Hong Leong Yamaha cuba memberikan kesegaran pada model MT-07 dengan menawarkan dua warna baharu yang digelar Night Fluo dan Yamaha Blue. Harganya pula meningkat sebanyak RM1,499 berbanding sebelum ini, menjadi RM36,795.78 termasuk GST, tanpa insurans.

    Spesifikasi lain MT-07 ini masih lagi dikekalkan iaitu enjin dua silinder selari 689 cc DOHC yang berkuasa 73.7 hp pada 9,000 rpm dan tork 68 Nm pada 6,500 rpm, dan disampaikan kepada tayar melalui kotak gear enam kelajuan.

    Berat keseluruhan MT-07 adalah 179 kg, dan ia dilengkapi dengan brek cakera 282 mm berkembar di hadapan, dan cakera tunggal 245 mm di belakang. Tangki minyak yang disediakan pula boleh memuatkan 14 liter bahan api dan tempat duduknya mempunyai ketinggian 805 mm.

     
     
  • Sistem lampu digital Mercedes-Benz guna dua juta cermin pada lampu hadapan – mampu pancarkan imej

    Sistem lampu digital Mercedes-Benz guna dua juta cermin pada lampu hadapan – mampu pancarkan imej

    Pada pameran Consumer Electronics Show (CES) 2017 yang diadakan di Las Vegas, Mercedes-Benz telah mendedahkan sistem lampu digital berdefinasi tinggi, atau secara teorinya boleh digunakan sebagai projektor yang membolehkan anda menonton filem apabila dipancarkan ke dinding.

    Teknologi baharu ini menggunakan sejuta cermin mikro pada setiap sebelah lampu hadapan bagi memberikan pancaran cahaya yang lebih selamat untuk pemandu, pengguna jalan raya lain serta pejalan kaki. Menurut ahli lembaga Daimler AG, penyelidikan kumpulan dan pembangunan Mercedes-Benz Cars, Ola Kallenius, lampu kini menjadi antara alat yang paling sofistikated pada kenderaan untuk melihat apa yang terjadi dan menjadikan pemanduan lebih selamat.

    “Kami akan memperkenalkan teknologi baharu dalam masa berberapa tahun akan datang digelar Lampu Digital. Setiap unit lampu – jadi, pada bahagian hadapan, ada dua lampu utama – akan mempunyai sejuta cermin kecil, piksel, yang boleh menghasilkan lebih atau kurang apa jua spektrum warna pada jarak yang sangat jauh, yang boleh anda fikirkan,” kata Kallenius.

    Beliau juga menambah, “ia boleh menyalakan sesuatu, dan boleh tidak memancarkan cahaya ke muka pejalan kaki di tepi jalan pada waktu malam secara individu – tetapi masih menyuluh bahagian lain. Jadi anda tidak akan silau kerana lampu tersebut, tetapi bahagian lain disekeliling anda tetap disuluh.”

    Selain dari menyuluh cahaya, lampu ini turut boleh memaparkan imej. Menurut Kallenius lagi, ia boleh memancarkan logo Mercedes-Benz Star pada jalan, atau memancarkan imej lintasan belang pada permukaan jalan sebagai isyarat kepada pejalan kaki bahawa mereka selamat untuk melintas. “Jika TV anda rosak, anda juga boleh menggunakan lampu ini sebagai projektor di dalam garaj untuk menonton filem,” ujar beliau lagi.

    Tegas Kallenius lagi, ini merupakan contoh di mana Mercedes-Benz sedang mendahului dalam menggunakan teknologi untuk menjadikan keseluruhan sistem pengangkutan lebih selamat dan lebih pintar.

    Sistem ini berfungsi menggunakan algoritma berdasarkan informasi terperinci pada sekeliling kereta tersebut dan “mengira nilai kecerahan pada masa sebenar untuk setiap satu dari lebih dua juta piksel.” Dynamisme dan ketepatan tersebut memberikan sistem pintar ini kemungkinan yang hampir tidak terkira untuk memberikan pengagihan cahaya yang ideal dan beresolusi tinggi, sesuai dengan keadaan sekitar secara sempurna.

    Lampu ini juga boleh digunakan untuk membantu sistem navigasi GPS dengan cara memancarkan arahan arah tuju terus kepermukaan jalan. Ketika berhadapan pada permukaan jalan yang tidak elok, misalnya pada jalan yang sedang di baiki, lampu ini juga boleh memberikan panduan kepada pemandu untuk meredahnya pada permukaan terbaik. Ia juga boleh memberikan amaran kepada pemandu untuk memberitahu keadaan permukaan jalan jika terdapat ais dengan memancarkan imej snowflake pada jalan raya.

     
     
  • Volkswagen Atlas dengan pakej R-Line didedahkan

    Volkswagen Atlas dengan pakej R-Line didedahkan

    Volkswagen telah mendedahkan pakej R-Line bagi model Atlas 2018. Pengeluar yang berpangkalan di Wolfsburg menyatakan kemasan baharu bagi pakej berkenaan menyerlahkan lagi imej sporty, baik luaran mahupun dalaman, dan memberikannya penampilan yang lebih dinamik.

    Merupakan tambahan kepada kemasan bagi pakej Atlas SE dan SEL, R-Line turut menambah penggunaan rim aloi 201 inci dengan jejari berkembar, penjenamaan R-Line, bampar depan dan belakang khusus, dengan saluran masukan udara di depan serta diffuser di bahagian belakang, dan juka kit badan.

    Di dalam, pakej ini menempatkan logo R-Line sebagai “penyambut tetamu”; terpampang pada skrin Modular Infotainment Platform (MIB II) sebaik unit berkenaan dihidupkan. Ciri lain termasuk stereng R-Line dan pelindung pedal yang diperbuat daripada besi tahan karat.

    Ia bagaimanapun hanya melibatkan kemasan dan trim bagi R-Line. Oleh itu, sama seperti penawran Atlas sebelum ini, ia ditawarkan dengan dua pilihan enjin; 2.0 liter TSI dengan 235 hp atau 3.6 liter V6 dengan 276 hp – dan dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Sistem 4Motion AWD Volkswagen pula disertakan bagi model V6. Atlas akan mula dijual tahun ini di Amerika Syarikat, dengan pakej R-Line menyusul kemudiannya.

     
     
  • Kawasaki Versys 250 semakin hampir tiba di M’sia

    Kawasaki Versys 250 semakin hampir tiba di M’sia

    Semasa majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya Kawasaki di Plaza Tol Sg Besi, kami sempat mendekati seorang wakil Kawasaki Malaysia untuk bertanyakan tentang ketibaan model hangat terbaru iaitu Versys 250 untuk pasaran Malaysia. Ia adalah sebuah model yang ditunggu-tunggu kerana mempunyai kapasiti enjin kecil, tetapi dilengkapi dengan ciri-ciri motosikal dual-purpose.

    Jawapan beliau,”pelancaran Kawasaki Versys 250 sebenarnya sudah begitu hampir untuk pasaran Malaysia. Saya tidak boleh memberi tarikh tepat, tetapi ia memang sangat hampir. Namun, meskipun sudah dilancarkan nanti, ia boleh mengambil sedikit masa sebelum boleh tiba kepada pelanggan.”

    Versys 250 sudah pun dilancarkan di Indonesia Disember yang lalu, dan spesifikasi motosikal untuk pasaran Malaysia boleh jadi sama dengan unit ini. Ia dikuasakan oleh enjin 249 cc dua siinder selari, DOHC lapan injap dengan sejukan cecair dan berkemungkinan besar diasaskan daripada enjin sama yang digunakan pada model Ninja 250R; dengan janaan kuasa sekitar 29.9 hp pada 10,500 rpm dan 21.7 Nm tork pada 10,000 rpm.

    Kawasaki Versys 250 semakin hampir tiba di M’sia

    Enjin ini mempunyai sistem suntikan bahan api elektronik (EFI) dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan yang menggunakan klac jenis slipper. Rim pula bersaiz 19 inci di depan, manakala 17 inci di belakang, manakala brek menggunakan cakera tunggal 290 mm di bahagian depan dan 220 mm di belakang, dengan kaliper hidraulik Nissin. Kapasiti tangki minyak yang ada ialah 17 liter.

    Di Indonesia, Versys 250 dijual pada harga 61,900,000 rupiah (RM20,397) untuk varian City dan 72,700,000 rupiah (RM23,956) untuk varian Tourer. India juga menjangka ketibaan Versys 250 di pasaran mereka dengan harga jangkaan antara 300,000 rupee (RM19,782) dan 500,000 rupee (RM32,970). Saingan paling dekat Versys 250 adalah KTM Duke 390 Adventure dan BMW G310 GS. Di Malaysia, semua motosikal ini masih belum tiba lagi.

    GALERI: Kawasaki Versys 250

     
     
  • Proton Iriz dikesan di Indonesia – bakal dilancarkan?

    Proton Iriz dikesan di Indonesia –  bakal dilancarkan?

    Proton telah lama memperkatakan akan mengekport Iriz, namun setakat ini, masih tiada perkembangan mengenainya. Walau bagaimana pun, baru-baru ini, portal automotif Indonesia AutoNetMagz.com telah menyiarkan foto hatchback segmen-B ini yang dikesan di Jakarta, seakan memberikan petanda bahawa kebarangkalian ia akan dilancarkan di negara tersebut.

    Unit Atlantic Blue dikesan di sebuah hotel dengan lencananya yang ditutup, namun bahagian lain terdedah begitu sahaja. Berdasarkan foto ini, ia adalah model asas 1.3 Standard manual, yang dikesan menerusi cermin pintu dan pemegang berwarna hitam, serta kurang dilengkapi dengan kit badan, lampu kabus hadapan dan bilah pengelap cermin belakang.

    Bahagian dalamannya juga standard sahaja, dengan dilengkapi unit utama berserta Bluetooth dan roda stereng tanpa pelbagai-fungsi, serta tombol gear yang dipadankan dengan model spesifikasi Malaysia telah digantikan dengan elemen yang sama pada Savvy dan Satria Neo.

    Di bawah bonetnya, ia pasti dijanakan oleh enjin 1.3 liter VVT (94 gp/120 Nm) yang digabungkan bersama transmisi manual lima-kelajuan, seperti model dalam pasaran kita. Dijangkakan spesifikasi dan elemen yang bakal ditampilkan lebih kurang sama dengan apa yang kita ada, tetapi terdapat perkhabaran bahawa pasaran Indonesia mungkin bakal menerima model 1.3 Premium CVT yang tidak terdapat di negara kita.

    Proton di Indonesia tidak begitu aktif sejak kebelakangan ini, model terakhir yang dilancarkan di sana buat setakat ini ialah Suprima S pada tahun 2013. Iriz pernah dijangka akan dilancarkan pada Mei 2015, namun terpaksa ditunda kerana menantikan kelulusannya pada Oktober. Dan adakah Iriz akan benar-benarkan dilancarkan di pasaran Indonesia? Tunggu dan lihat.

     
     
  • Proton bakal terima tawaran dari tiga pengeluar automotif asing sebagai rakan strategik luar

    Proton bakal terima tawaran dari tiga pengeluar automotif asing sebagai rakan strategik luar

    CEO Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali sebelum ini telah menyatakan syarikatnya kini telah menyenarai pendek tiga pengeluar automotif asing yang bakal dipilih sebagai rakan strategik luarnya, tetapi kesemua calon tersebut masih lagi belum lagi diumumkan dan dijangka bakal lengkap pada suku pertama tahun ini.

    Namun, dalam laporan New Straits Times, tiga calon yang berkemungkinan dipilih tersebut adalah Geely, Groupe PSA dan juga Renault. Calon-calon ini dijangka bakal memberikan sokongan dalam aspek teknologi serta skala ekonomi, dan sebagai pulangan, mereka akan diberikan sebahagian kepentingan di dalam Proton.

    Geely merupakan pengeluar dari China yang kini turut mengusai jenama automotif dari Sweden iaitu Volvo. Group PSA pula merupakan kumpulan automotif dari Perancis yang di anggotai oleh Peugeot dan Citroen, manakala Renault pula merupakan sebahagian dari Pakatan Renault-Nissan yang kini merupakan kumpulan automotif ketiga terbesar di dunia setelah mengambil alih 34% saham dan seterusnya memiliki Mitsubishi Motors Corporation.

    Pencarian rakan strategik dari luar yang dilakukan Proton ini adalah sebagai memenuhi syarat kerajaan ketika meluluskan pinjaman mudah bernilai 1.5 bilion tahun lalu. Walau bagaimanapun, Datuk Fuaad dilaporkan telah membayangkan tarikh akhir pencarian tersebut yang dijangka pada Mac ini perlu ditunda, mungkin hingga ke Jun 2017. Menurut pengarah urusan DRB-Hicom Datuk Seri Syed Faisal Albar pula, syarikatnya berharap pemilihan rakan strategik luar Proton ini akan lengkap pada separuh pertama tahun ini.

     
     
  • Kawasaki adakan kempen keselamatan jalan raya di Plaza Tol Sg Besi – sasarkan pengguna motosikal

    Kawasaki adakan kempen keselamatan jalan raya di Plaza Tol Sg Besi – sasarkan pengguna motosikal

    Bersempena dengan musim perayaan Tahun Baru Cina yang akan tiba tidak lama lagi, Kawasaki Motors Malaysia mengadakan satu kempen keselamatan jalan raya di Plaza Tol Sg Besi Arah Selatan, dengan tema “jelas dilihat, selamat tunggangan.” Masa ini dianggap sesuai kerana trafik di atas jalan raya bertambah apabila orang ramai ingin balik ke kampung atau bercuti.

    Dalam kempen yang dijalankan selama satu hari ini, Kawasaki telah menyediakan kawasan pemeriksaan motosikal, di mana mekanik terlatih Kawasaki akan memeriksa 16 bahagian motosikal, tidak kira jenama. Penunggang yang lalu di kawasan Plaza Tol Sg Besi Arah Selatan boleh berhenti untuk mendapatkan khidmat ini secara percuma. Turut diberikan adalah helmet baru dan jaket berwarna terang.

    Ini adalah kali kedua Kawasaki Motors Malaysia mengadakan kempen sebegini, di tempat sama, dan penunggang motosikal sentiasa diberi perhatian kerana golongan ini menyumbang kepada 60 peratus daripada jumlah kemalangan yang berlaku di atas jalan raya.

    “Objektif utama kempen dan tema bagi tahun ini adalah memberi kesedaran tentang kepentingan penyelenggaraan motosikal yang teratur dan pakaian cerah yang dapat memastikan penunggang sentiasa dapat dilihat atas jalan raya,”  kata pengerusi eksekutif Kawasaki Motors Malaysia, Ahmad Faez Tan Sri Yahya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026