Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Isuzu Malaysia anugerahkan plak pusat servis trak tugas sederhana kepada sembilan pengedarnya

    MHD Centre 1

    Baru-baru ini Isuzu Malaysia telah menganugerahkan plak Pusat Servis Sah Trak Tugas Sederhana-Berat (MHD) Isuzu kepada sembilan pengedarnya. Ia sekali gus menandakan satu tahap baru dari segi pengalaman pemilikan dalam kalangan pelanggan Isuzu di seluruh negara.

    Dengan persijilan tersebut, outlet ini secara rasmi dikenali sebagai pusat servis trak utama Isuzu. Ia mampu mengendalikan semua kelas trak Isuzu, terutama trak tugas sederhana seperti Forward dan model trak tugas berat, Giga.

    Cawangan-cawangan itu telah berjaya memenuhi standard kelayakan baharu yang ditetapkan oleh pasukan teknikal Isuzu. Kemudahan-kemudahan itu mestilah berupaya memenuhi keperluan trak tugas berat dengan kebolehdapatan alat ganti yang banyak. Di samping memiliki pasukan juruteknik yang bertauliah dan terlatih untuk menyelenggara serta membaik pulih trak tugas berat. Mereka juga perlu menunjukkan keupayaan dari segi teknikal ketika menggunakan peralatan diagnostik yang canggih.

    Para pengendali cawangan tersebut menerima plak masing-masing daripada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia, Kenji Matsuoka. Matsuoka memuji usaha mereka dalam membantu Isuzu meningkatkan lagi aspek kepuasan pelanggan.

    MHD Plaque

    “Sebagai jenama peneraju trak di Malaysia, kami mempunyai tanggungjawab. Bukan sahaja untuk menyediakan sokongan infrastruktur yang sepatutnya kepada para pelanggan, malah terus meningkatkan tahap kualiti servis kami. Sembilan buah cawangan yang menerima plak jelas membuktikan komitmen mereka dalam memastikan tahap kepuasan pelanggan. Ia nyata selari dengan prinsip-prinsip Kaizen kami,” kata Matsuoka.

    Cawangan yang dioperasi oleh Automotive Corporation Malaysia (ACM), Indah Utara Auto, Jumbo Arena dan Ultra Gallant di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang itu menjadi pengedar terawal yang mencapai status dalam program ini. Beberapa buah cawangan di Malaysia Timur dijangka mendapat persijilan masing-masing tidak lama lagi.

    Dengan adanya cawangan-cawangan utama ini, para pelanggan boleh mendapatkan sokongan yang efisien dan profesional di sepanjang laluan pengangkutan penting. Terutama di lebuh raya utara-selatan dan kawasan Pantai Timur. Lokasi cawangan terbabit cukup penting bagi memastikan trak jarak jauh boleh mendapatkan bantuan teknikal atau penyelenggaraan yang pantas dan mudah, memandangkan mereka kerap berada di laluan berkenaan.

    “Demi memenuhi jadual yang ketat, adalah amat penting buat para pelanggan kami untuk terus bergerak secara efektif dan efisien. Dengan menempatkan sokongan di lokasi yang strategik, kami boleh memastikan mereka akan mendapat penjagaan trak yang profesional dan mudah,” tambah Matsuoka.

     
     
  • Hanoi larang motosikal masuki bandar mulai 2025

    Motorcycles

    Berhadapan dengan kesesakan trafik dan pencemaran udara yang kian meruncing, Hanoi, ibu negara bagi Vietnam, mengambil keputusan untuk melarang semua jenis kenderaan dua-roda daripada memasuki ibu kota tersebut mulai tahun 2025. Laporan Thanh Mien News menyebut, pengumuman ini dilakukan selepas satu mesyuarat mengenainya berlangsung pada Isnin lalu.

    Malahan, keputusan ini diambil untuk membendung peningkatan kenderaan persendirian yang kian pesat, sekaligus mempromosikan lagi penggunaan pengangkutan awam secara lebih meluas di Hanoi. Difahamkan Hanoi bercadang untuk membangunkan infrastruktur pengangkutan awam termasuk pembinaan sistem kereta api metro sedekad sebelum pengharaman itu dilaksanakan. Walau bagaimana pun, tiada maklumat diberikan mengapa kenderaan lain termasuk kereta tidak termasuk dalam larangan ini.

    “Hanoi perlu menggandakan jumlah bas yang ada, yang buat masa ini hanya mampu menampung antara lapan hingga 10% permintaan bagi pengangkutan,” ujar Nguyen Phi Thuong, Pengerusi Lembaga Perkhidmatan dan Pengangkutan Hanoi, yang mengendalikan perkhidmatan bas awam di bandar berkenaan. Buat masa ini Hanoi memiliki 1,000 bas di jalan, dengan 17 juta penumpang menggunakannya setiap bulan.

    Menurut statistik rasmi yang disebarkan pada tahun 2015, Hanoi memiliki 5.5 juta kenderaan berdaftar, dengan 4.9 juta daripadanya adalah motosikal dan skuter, dengan populasi sebanyak 7.7 juta di bandar berkenaan. Antara 8,000 hingga 20,000 motosikal baharu didaftarkan di Hanoi setiap bulan, manakala antara 6,000 hingga 8,000 unit bagi kereta.

     
     
  • Alpinestars lantik Sinar Puncak jadi pengedar baharu

    2016-Alpinestars-9-BM 850x567

    Alpinestars kini melantik Sinar Puncak Sdn Bhd selaku pengedar rasmi jenama itu di Malaysia. Pengeluar pakaian dan kelengkapan tunggangan motosikal yang berpusat di Itali itu akan memasarkan barisan lengkap produk-produk aksesori pelindungan tunggangan keluaran jenama itu untuk pasaran Malaysia.

    Antara produk utaman jenama berkenaan termasuk kasut, sut perlumbaan, sarung tangan, jaket penunggang dan termasuk pelindung bahagian belakang penunggang. Dengan pendekatan yang dikenali sebagai Alpinestars Protect, jenama itu melalui barisan produknya mensasarkan untuk memperkembang rangkaian pengedarnya di Malaysia dalam usaha untuk mempromosi tunggangan selamat dalam kalangan penunggang motosikal.

    Mula mengeluarkan but motocross pada 1963, kini Alpinestars memiliki lebih daripada 70 rangkaian produk yang direka untuk tunggangan di atas jalan mahupun di litar lumba, termasuk juga peralatan dan kelengkapan tunggangan off-road.

    Jenama ini mensasarkan untuk menawarkan pelbagai jenis produk bagi peringkat keperluan dan bajet yang pelbagai. “Ini selari dengan hasrat Alpinestars untuk berkembang bersama pelanggan-pelanggannya. Pengalaman tunggangan dan faktor mampu milik semakin berubah,” ujar Francesco Venier, individu yang bertanggungjawab di dalam pengembangan pengedaran Alpinestars.

    Alpinestars turut menaja dua pelumba motosikal negara, iaitu Muhammad Zulfahmi Khairuddin dan Azlan Shah Kamaruzaman yang masing-masing berlumba di dalam Supersport World Championship dan Asia Road Race Championship.

     
     
  • Jalan-jalan utama di PJ ditutup sempena PJ Fair 2016

    petaling-jaya-one-way-loop

    Berberapa jalan utama di sekitar Petaling Jaya akan ditutup dari 26 hingga 29 Ogos ini sempena acara PJ Fair 2016, lapor The Sun Daily.

    Jalan yang terlibat adalah Jalan Yong Shook Lin yang akan ditutup dari 7 petang pada 25 Ogos hingga 2 Pagi pada 26 Ogos dan 11 malam pada 26 Ogos hingga 8 malam pada 28 Ogos.

    Jalan Tengah, Jalan 52/18 (berhadapan KFC) dan jalan masuk ke Jalan Yoong Shook Lin (berhadapan Affin Bank) akan ditutup bermula 11 malam pada 25 Ogos hingga 11 malam pada 28 Ogos.

    Dewan Sivik MBPJ juga akan ditutup dari 8 pagi hingga 8 malam bermula 25 hingga 28 Ogos.

     
     
  • PANDU UJI: Volkswagen Golf 1.4L TSI – Harga turun, prestasi dan teknologi penjimatan jadi kelebihan

    2016 VW Golf 1.4 TSI BM 08

    Rasanya tiada keperluan untuk memperkenalkan Volkswagen Golf secara panjang lebar lagi. Kini di dalam penampilan generasi ketujuhnya, Golf Mk7 diperingkat global sudah menerima banyak pengiktirafan, termasuk dipilih sebagai World Car Of The Year 2013. Itu sudah cukup untuk memberi gambaran bagaimana sambutan dan imej serta prestasi model ini di mata dunia.

    Model pertamanya, Golf Mk1 mula dikeluarkan pada tahun 1974, dan banyak diperkenalkan dalam bentuk hatchback tiga pintu pada peringkat awal. Ia kemudian turut ditawarkan dalam versi hatchback lima pintu yang diteruskan sehinggalah kepada versi Mk7 yang ada kini, termasuk yang dijual untuk pasaran Malaysia. Selebihnya, versi convertible Golf turut pernah dihasilkan.

    Model paling ikonik bagi Golf ini tentulah dari versi yang memiliki lambang GTi di bahagian belakangnya. Ia serta-merta membayangkan angka-angka prestasi dan pemanduan padu serta kelincahannya. Ia juga menjadi satu lambang yang begitu sinonim dengan Volkswagen, dan untuk itu, berhasil mengumpul peminatnya yang tersendiri.

    Sepanjang berkesempatan untuk mendekati Golf secara peribadi, paling tidak sejak pengenalan generasi kelimanya (Mk5) dahulu, yang paling diingati dan dicari-cari ialah penawaran pengendalian yang dipadankan dengan prestasi pemanduan dari kejuruteraan Jerman yang sudah terbukti ketangkasannya, terutama versi GTi, yang dahulunya menggunakan enjin 2.0 liter.

    Baca laporan selanjutnya di sini

     
     
  • Ford GT – produksi dipanjangkan dua tahun lagi

    GT Configurator: Triple yellow Ford GT front three quarter

    GT Configurator: Triple yellow Ford GT front three quarter

    Ford mengumumkan bahawa produksi supercar mereka iaitu Ford GT akan dilanjutkan selama dua tahun lagi. Ini menjadikan tempoh keseluruhan untuk melengkapkan produksi Ford GT yang diambil ialah empat tahun. Sebelum ini Ford mengumumkan tempoh dua tahun diperlukan untuk menyiapkan sejumlah 500 unit pertama model ikonik tersebut, walau bagaimanapun mereka masih tidak menjelaskan berapa unit yang akan disiapkan dalam tempoh masa baharu yang ditetapkan ini.

    “Sementara kami tidak mampu untuk membina Ford GT dalam jumlah yang cukup untuk semua yang memohon, kami akan memproduksi lebih bilangan kereta ini untuk memuaskan hati lebih ramai duta Ford kami yang setia. Kami mahu Ford GT kekal eksklusif, tetapi pada masa yang sama kami tahu betapa pentingnya pelanggan pada jenama kami,” kata Dave Pericak, pengarah global Ford Performance.

    Untuk memiliki Ford GT bukanlah perkara yang mudah, kerana pembeli prospektif perlu membuat pemohonan dalam talian terlebih dahulu, dan memenuhi syarat yang ditetapkan, iaitu pada asasnya anda perlu menyatakan mengapa anda layak untuk memilikinya. Sejumlah 6,506 permohonan lengkap telah dihantar untuk pembelian Ford GT dari seluruh dunia tetapi hanya 500 daripada mereka akan layak untuk membeli supercar dengan warisan dari lagenda Ford tersebut. Menurut Ford lagi, hampir 200,000 orang telah melawat laman maya berkenaan dan 10,800 orang telah menunjukkan minat untuk membeli Ford GT terbaharu.

    All-New Ford GT bird's eye view, January 2015

    Ford menyatakan tahun ketiga produksi Ford GT akan memenuhi permintaan mereka yang diletakkan dalam senarai menunggu, manakala permintaan untuk pemohonan yang ditunda sebelum ini dan mereka yang terlepas permohonan kali pertama hanya akan dilayan pada tahun keempat produksi. Pemohonan akan dibuka semula untuk orang ramai pada awal tahun 2018, dan mereka yang pernah memohon sebelum ini hanya perlu untuk mengemaskini permohonan mereka.

    Mengapa permintaan terhadap Ford GT ini terlalu tinggi? Model asal Ford GT (dikenali sebagai Ford GT40) ini adalah kereta lumba berenjin tengah yang dibina oleh Ford untuk perlumbaan Le Mans 24 Jam dan memenangi perlumbaan tersebut empat tahun berturut-turut dari tahun 1966 hingga tahun 1969. Generasi terbaharu supercar ikonik ini direka dengan rekaan yang seiras model terdahulu, menampilkan panel badan yang diperbuat dari bahan gentian-karbon, dipadankan pada kerangka aluminium hadapan dan belakang.

    Model terbaharu ini dijana oleh enjin EcoBoost 3.5 liter V6 turbo berkembar yang turut diletakkan pada bahagian tengah, berkuasa lebih 600 hp serta dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan.

    GALERI: Ford GT di Geneva


    GALERI: Ford GT untuk perlumbaan Le Mans

     
     
  • DBKL umum penutupan sebahagian Jln Mohd Yatim Yahya, Jln 34/26 mulai 22 Ogos ini selama 5 bulan

    Road_construction

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan kenyataan berhubung penutupan persimpangan Jalan Mohd Yatim Yahya dan Jalan 34/26 bagi pembinaan jalan sambungan dari Jalan 1/27A ke Setiawangsa. Penutupan jalan ini berlangsung selama lima bulan iaitu mulai 20 Ogos 2016 hingga 20 Jan 2017.

    Menurut DBKL, penutupan itu bagi membolehkan kerja gerudi cerucuk, pembinaan jejambat dan laluan bawah dijalankan dengan lancar, laporan Bernama.

    Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengguna jalan raya yang datang dari arah Jalan 34/26 (Sri Rampai) menuju ke Jalan Setiawangsa perlu pusingan U di Jalan Mohd Yatim Yahya dan Jalan 34/26 (bangunan Zetro).

    Manakala bagi yang datang dari arah Jalan Mohd Yatim Yahya menuju ke Jalan 34/26 (Sri Rampai) perlu membuat pusingan U di Jalan 34/26 (bangunan Zetro) dan Jalan Setiawangsa.

    Bagi pengguna jalan raya yang datang dari Jalan Setiawangsa menuju ke Jalan 34/26 (bangunan Zetro) perlu membuat pusingan U di Jalan 34/26 (Sri Rampai) dan Jalan Mohd Yatim Yahya.

    DBKL turut menasihatkan para pemandu supaya memandu dengan berhati-hati dan mematuhi semua arahan papan tanda isyarat yang disediakan.

     
     
  • KPDNKK masih kaji pemakaian topi keledar kura-kura

    saigon-motorbike

    Penggunaan topi keledar separuh atau lebih dikenali sebagai topi keledar kura-kura masih lagi dikaji oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sama ada ia selamat dan boleh dijual atau sebaliknya, lapor Bernama.

    Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata kajian itu antara lain akan melihat sejauh mana topi keledar itu memenuhi spesifikasi yang ditetapkan di bawah Akta Standard Malaysia 1996. Pematuhan terhadap standard ditetapkan bagi semua barangan yang ada di pasaran termasuk topi keledar amat penting terutama dalam misi Malaysia mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

    “Kementerian telah mengambil (sampel) topi keledar untuk membuat kajian dengan beberapa kementerian menerusi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi melihat ia boleh digunakan atau tidak.

    “Kita tidak mahu nanti mencapai status negara maju, tapi mempunyai barangan berkualiti rendah. Apa yang penting adalah keselamatan dan keselesaan pengguna,” katanya kepada wartawan.

    Rabu lalu Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin ketika membuat saranan itu berkata pihaknya mendapati ramai penunggang motosikal yang gemar membeli topi keledar tersebut walaupun ia tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan.

     
     
  • MAA umum prestasi jualan, produksi bagi Julai 2016

    Perodua Bezza Launch Stage

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan kenyataan media mengenai prestasi jualan dan produksi bagi Julai 2016.

    Rekod prestasi produksi untuk bulan Julai 2016 bagi kenderaan penumpang, ia mencatatkan sejumlah 34,944 unit, iaitu menurun sebanyak 2,747 unit pada bulan yang sama tahun lalu (dengan sejumlah 37,691 unit). Penurunan ini juga memberikan kesan pada rekod tahunan bagi Januari hingga Julai 2016 iaitu 275,593 unit berbanding 339,793 unit pada tempoh yang sama tahun lalu.

    Manakala bagi kenderaan komersial pula, ia meningkat dua kali ganda iaitu 4,153 unit untuk Julai 2016 berbanding hanya 2,964 unit pada tempoh yang sama tahun lalu. Walau bagaimana pun, rekodnya tidak setara bagi Januari hingga Julai kedua-dua tahun, dengan 2016 hanya mencatatkan produksi sebanyak 26,107 unit, berbanding 28,526 unit pada tahun 2015.

    MAA_1

    Bagi rekod jualan kenderaan penumpang untuk bulan Julai 2016 pula, ia turut mengalami penurunan yang mendadak dengan hanya 37,647 unit, berbanding 52,636 unit bagi tempoh yang sama tahun lalu. Bahkan rekod jualan tahunan dari Januari hingga Julai 2016 hanya tercatat sebanyak 282,004 unit, berbanding 339,244 unit pada tahun 2015.

    Begitu juga dengan rekod jualan kenderaan komersial, di mana tercatat sejumlah 4,824 unit bagi Julai 2016, berbanding 6,041 unit pada bulan yang sama tahun lalu. Malah perbezaannya juga ketara bagi rekod tahunan antara Januari hingga Julai, di mana tahun 2016 mencatatkan sebanyak 35,926 unit, manakala tahun 2015 pula sejumlah 41,687 unit.

    MAA_2

    Menurut MAA, jumlah jualan bagi Julai 2016 adalah kurang sebanyak26% atau 14,887 unit berbanding tempoh yang sama pada 2015 adalah disebabkan dua faktor utama iaitu tempoh waktu bekerja yang pendek disebabkan cuti Hari Raya Aidilfitri dan juga permintaan yang lebih tinggi pada bulan Jun 2016 disebabkan perayaan yang sama.

    Ini bermakna Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi Jumlah Rekod Terkini (YTD) 2016 menurun sebanyak 16.5% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

    Walau bagaimana pun, jumlah jualan bagi Ogos 2016 dijangka lebih tinggi berbanding Julai tahun ini disebabkan tempoh waktu bekerja yang lebih panjang dan juga beberapa model kenderaan yang dilancarkan sejak akhir Julai 2016. Ini termasuklah Perodua Bezza yang dilancarkan pada 21 Julai lalu.

     
     
  • Kerajaan disaran beri AP untuk pemilik teksi – GPPTM

    Malaysia-Taxi-03

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) disarankan untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mempertimbangkan pemberian Permit Import (AP) kepada pemilik teksi berpermit.

    Menurut jurucakap Gabungan Pemandu-pemandu Teksi Malaysia (GPPTM), Norfaiza Abdul Ghani, dengan insiatif ini membolehkan pemilik teksi berpermit mendapatkan kenderaan terpakai bagi dijadikan teksi. Malah menurutnya lagi, ia mampu mengurangkan kos operasi sebanyak 40% kerana kenderaan terpakai dengan harga yang murah mampu mengurangkan pinjaman bank, laporan News Strait Times.

    “Harga kenderaan terpakai yang murah, membolehkan kami membeli kenderaan yang lebih baik untuk dijadikan teksi. Contohnya Toyota Vellfire, yang selalunya dijual pada harga lebih RM200,000, boleh dibeli dengan harga antara RM60,000 dan RM70,000 jika diberi AP dan pengecualian cukai eksais,” ujar Norfaiza.

    Beliau turut berkata, kualiti kenderaan mampu menaikkan semula industri teksi, sekaligus memberikan nilai yang lebih kepada para penumpang.

    Sambungnya lagi, “Kebanyakan pemandu teksi dibebani dengan pinjaman bank, ada yang mencapai RM1,500 untuk teksi bajet dan RM2,700 bagi teksi eksekutif. Namun kebanyakan mereka hanya memperoleh pendapatan lebih kurang RM150 setiap hari.”

    Sehubungan itu, GPPTM akan mengusulkan cadangan kepada SPAD, MITI dan Kementerian Kewangan bagi tujuan ini dalam masa terdekat.

    Baru-baru ini, SPAD mendedahkan Pelan Transformasi Industri Teksi (TITP) yang bakal dilaksanakan mulai 1 September ini. Malah kerajaan juga telah meluluskan geran tunai sejumlah RM5,000 untuk membantu pemandu teksi keluar dari model pajak untuk membeli kereta baharu sebagai salah satu daripada 11 program di bawah TITP.

    Selain itu, kerajaan juga bakal menyuntik bantuan kewangan sebanyak RM150 juta untuk industri teksi dalam jangka masa lima tahun akan datang.

     
     
  • Vossen Wheel tembusi pasaran Malaysia secara rasmi – harga bermula RM11k untuk rim berdiameter 19-inci

    Vossen-Wheels-Malaysia-45_BM

    Untuk mereka yang menggemari sport rim, jenama Vossen semestinya tidak asing bagi anda. Jenama rim dari Florida, Amerika Syarikat yang sering menjadi pilihan kereta mewah seperti Audi, BMW mahupun Ferrari ini kini boleh dibeli secara terus melalui pengedar sahnya, Authentic Wheels Centre di premis mereka yang terletak di Sunway.

    Mereka yang berminat boleh memilih barisan rim-rim ini yang ditawarkan dengan saiz bermula 19-inci hingga 22-inci. Anda juga turut boleh menempah saiz ‘custom’ untuk kereta anda, di mana sebelum ini ada pelanggan yang telah pun membuat tempahan rim bersaiz 24-inci. Terlalu besar? sudah tentu, kerana seperti yang disebutkan tadi, pasaran Vossen lebih tertumpu kepada kereta berjenama mewah.

    Harga rim Vossen di Malaysia bermula dari RM11,000 (untuk setiap set) bagi saiz 19-inci, dan barisan rim Vossen Forged pula dijual dengan kos dua kali ganda dari harga ini. Vossen turut sedang mempertimbangkan untuk memproduksi rim bersaiz 18-inci kerana permintaan yang agak tinggi, tetapi keputusan berkenaan masih lagi belum dimuktamadkan.

    Kevin McQuenney, wakil dari Vossen berkata, menerusi saiz sahaja anda dapat menilai sama ada sesebuah rim Vossen itu asli atau tidak kerana Vossen hanya mengeluarkan rim bersaiz 19-inci dan keatas.

    Vossen turut menawarkan waranti hasil kerja selama lima-tahun serta waranti struktur seumur hidup untuk setiap rim keluarannya, tetapi waranti ini tidak termasuk kerosakan faktor luar seperti melanggar lubang atau keadaan jalan raya yang lain.

    Vossen juga sering terlibat dengan kerjasama dengan syarikat-syarikat talaan, contohnya projek Lamborghini yang ditala oleh Novitec baru-baru ini. Presiden Vossen Wheels, Jav Azadi menyatakan syarikatnya kini sedang berbincang dengan berberapa lagi syarikat talaan untuk projek akan datang, dan juga bersama pengeluar untuk membekalkan rim OEM. Walau bagaimanapun, tidak dinyatakan secara terperinci syarikat yang terlibat.

     
     
  • VIDEO: Proton tayang video teaser terbaharu Persona 2016 – dibintangi oleh Fazura dan Zul Ariffin

    Proton telah menyiarkan video teaser terbaharu yang berjudul ‘Evolusi Persona’ bagi model Persona 2016 menerusi Facebook Proton Cars. Video terbitan KRU Studios dan diarahkan oleh pengarah kreatif, Ghaz Abu Bakar, ini turut menggandingkan dua pelakon terkenal, Fazura bersama Zul Ariffin.

    Ia sebagai menambahkan lagi debaran menjelang pelancarannya yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi. Seminggu yang lalu, teaser kedua bagi Persona 2016 dengan memaparkan foto bahagian hadapan model kedua Proton yang dilancarkan untuk tahun ini.

    Manakala awal bulan ini, Proton turut menyiarkan Video Safety 360 dengan penampilan Persona 2016 sepenuhnya dalam balutan penyamaran. Ia menunjukkan Persona dalam beberapa siri ujian di litar ujian, termasuk bagi ABS dan sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC).

    Hujung minggu lalu, kami juga telah diberi peluang untuk menyertai sesi pandu uji Persona 2016 di trek ujian Pusat Kecemerlangan Proton, Shah Alam. Malah kami juga telah menyiarkan spesifikasi dan perincian mengenai sedan berdasarkan binaan Iriz ini.

    Bakal ditawarkan dengan empat varian iaitu 1.6L Standard MT/CVT, 1.6L Executive CVT, 1.6L Premium CVT dan 1.6L Premium SE CVT, ia menggunakan penjana kuasa yang sama iaitu 1.6 liter VVT petrol, dengan 107 hp pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 4,000 rpm. Varian Standard hanya dipadankan dengan kotak gear automatik lima-kelajuan, manakala varian Executive dan Premium dilengkapi dengan transmisi CVT automatik.

    Beberapa hari lalu, Proton telah mendedahkan harga indikatif bagi Persona 2016 iaitu bermula RM47,000 hingga RM61,000 bagi Semenanjung Malaysia, manakala untuk Sabah/Sarawak pula dari RM49,000 hingga RM63,000.

    Ia kini boleh mula ditempah dengan bayaran tempahan sebanyak RM300 (bayaran akan dikembalikan dalam sebarang keadaan). Malah Proton turut menawarkan pakej servis percuma selama tiga tahun bagi alat ganti dan tenaga buruh. Walau bagaimanapun, ia hanya sah bagi tempahan yang dibuat sebelum 30 September ini.

     
     
  • Honda EX-5 Fi dan tiga lagi model diiktiraf jentera EEV

    Honda Future F1 02

    Boon Siew Honda Sdn Bhd di dalam satu kenyataan menggumumkan empat daripada model motosikal yang dikeluarkan syarikat itu kini diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (Energy Efficient Vehicles, EEV) di Malaysia pada 1 Ogos lalu. Ia menjadi pengeluar motosikal pertama yang menerima pengiktirafan seumpamanya.

    Empat model motosikal yang dipasang di kilang Boon Siew Honda di Pulau Pinang itu ialah Honda EX-5 Fi, Honda Future Fi, Honda Wave Dash Fi dan Honda Wave Alpha. Bagi motosikal dengan kapasiti enjin 101 cc hingga 150 cc, ia akan diiktiraf sebagai kenderaan EEV jika penggunaan bahan apinya adalah pada kadar kurang daripada 2.2 liter bagi setiap 100 km.

    Daripada kadar berkenaan, tiga model Honda yang dijual untuk pasaran tempatan kini iaitu EX5 Fi, Future Fi dan Wave Dash Fi mencatatkan penggunaan minyak 1.8 liter bagi setiap 100 km. Angka ini ialah 18% lebih baik daripada tarif piawaian yang ditetapkan bagi motosikal EEV.

    Boon Siew Honda EEV Correct Price BM

    Bagi Boon Siew Honda, jumlah pengeluaran tiga model berkenaan meliputi 83% daripada jumlah jualan keseluruhan syarikat, bagi tempoh Januari hingga Julai 2016. Syarikat itu juga menyatakan komitmennya untuk terus memperkenalkan model-model yang menepati piawaian dan polisi kerajaan dalam usaha mencapai sasaran 85% pengeluaran kenderaan EEV menjelang 2020.

     
     
  • Stok alat ganti inflator beg udara Takata bahagian pemandu untuk Honda Malaysia berada pada tahap 100% – pemilik digesa bertindak segera

    Honda airbag

    Honda Malaysia (HM) hari ini mengesahkan mereka telah menerima bekalan alat ganti mencukupi pada tahap 100% untuk memperbaiki inflator beg udara keluaran Takata bahagian pemandu pada kenderaan-kenderaan keluaran mereka yang terjejas.

    Oleh itu, HM menggesa kesemua pelanggan mereka untuk segera menghubungi pusat servis terdekat dan membuat temu janji bagi membolehkan inflator beg udara mereka ditukar secepat mungkin untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku. Selain dari pusat servis bertauliah, HM turut membuka Hab Pusat Servis dan Hab Bergerak khas untuk mempercepatkan usaha memanggil semula semua kenderaan keluarannya yang terjejas kerana masalah ini.

    Hab Pusat Servis sementara akan dibuka di berberapa lokasi khas untuk penukaran inflator beg udara Takata bermula 1 Ogos hingga 30 September 2016 dan ia akan beroperasi tujuh hari seminggu, dari 8 pagi hingga 7 petang. Lokasi Hab Pusat Servis berkenaan adalah :

    • Hab Utara (bersebelahan S.M.J.K. Convent Dato’ Keramat)
    Alamat: No.401, Jalan Dato’ Keramat, 10150 Georgetown, Penang

    • Hub Tengah – Soo & Sons Metal Works Sdn. Bhd. (bersebelahan Hospital Columbia Asia)
    Alamat: Lot 15 Jalan 13/6, Seksyen 13, 46200 Petaling Jaya, Selangor.

    • Hub Selatan – Oriental Assemblers Sdn. Bhd.
    Alamat: 99 & 99A-C, Jalan Tampoi, 81200 Johor Bahru, Johor.

    Kesemua Hab Pusat Servis ini disasarkan untuk menampung kapasiti tambahan untuk menukar inflator beg udara berkenaan, dan juga menyediakan ruang simpanan alat ganti bagi memastikan ia mencukupi. Pelanggan boleh membuat temu janji dengan mana-mana Hab Pusat Servis ini dengan menghubungi talian bebas tol Honda 1-800-88-2020.

    Honda-Mobile-Hubs-1-e1469690447203_BM
    Honda-Mobile-Hubs-2-e1469690457881_BM

    Klik untuk besarkan

    Honda Malaysia turut memperkenalkan Hab Bergerak untuk memberikan lebih keselesaan untuk pelanggan agar penukaran inflator berkenaan dapat ditukar dengan segera. Sebanyak 24 Hab Bergerak akan diwujudkan di 21 stesen minyak Petron terpilih dan tiga lokasi acara Honda Family Road Trip. Hab-hab bergerak ini akan dibuka bermula 5 Ogos hingga 25 September 2016, dibuka setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad di tiga lokasi berbeza, dari pukul pagi hingga 7 petang. Rujuk lampiran di atas untuk lokasi hab bergerak berkenaan.

    Honda Malaysia juga turut mewujudkan Pasukan Bergerak untuk menyokong Hab Pusat Servis dan Hab Bergerak. Pasukan dan staf di semua hab berkenaan terdiri staf Honda yang terlatih dari kilang Honda di Melaka. Pasukan berkenaan juga akan mengunjungi pengedar-pengedar kereta terpakai untuk memeriksa status kenderaan Honda yang dijual. Jika perlu, inflator beg udara pada kenderaan-kenderaan berkenaan akan terus ditukar. Untuk pemilik kenderaan terpakai jenama Honda juga boleh memastikan status kenderaan mereka secara atas talian di dengan memasukan nombor VIN kenderaan mereka di sini: http://productrecall.honda.com.my

    Honda-Malaysia-Airbag-Compensation-e1469690494291_BM

    Honda Malaysia juga faham mengenai kesulitan pelanggan yang terpaksa menunggu alat ganti yang diperlukan dalam panggilan semula ini. Oleh itu pampasan “kerugian kerana tidak boleh menggunakan kereta” akan diberikan kepada pelanggan yang terjejas. Pelanggan boleh mendaftar dengan Honda Malaysia menerusi laman web http://productrecall.honda.com.my bagi mendapatkan ganti rugi sebanyak RM50 sehari atas kesulitan berkenaan. Tempoh pampasan berkenaan bermula 28 Julai dan berakhir pada 31 Ogos 2016. Pelanggan yang sudah mendaftar akan dihubungi sekiranya alat ganti mereka telah sampai dan akan dinasihatkan untuk menukarnya dalam masa dua hari. Anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pampasan ini di laman web yang dinyatakan diatas.

    Sehingga 17 Ogos 2016, HM telah pun melengkapkan 45% penukaran iaitu kira-kira 175,000 unit inflator beg udara dari jumlah keseluruhan kenderaan yang terjejas. Dalam tempoh tiga minggu Hab Pusat Servis dan Hab Bergerak, HM berjaya melengkapkan 31,800 penukaran inflator beg udara termasuk di pusat servis bertauliah.

    Honda Malaysia turut memohon maaf sekali lagi atas kelewatan yang terjadi kerana kekurangan alat ganti dan juga kebolehan yang terhad pada pusat servis biasa untuk menampung penukaran inflator beg udara berkenaan sebelum ini.

     
     
  • Proton Perdana 2.0 ganjaran untuk atlet negara yang merangkul pingat emas di Olimpik – DRB-Hicom

    Proton_Perdana_20_Grey_Ext_04

    Proton Perdana 2.0 bakal menanti atlet negara yang berjaya merangkul pingat emas di Sukan Olimpik yang sedang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil sehingga 21 Ogos ini.

    Kenyataan ini diucapkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar, yang menurutnya lagi, pemenang pingat perak pula bakal menerima sebuah Proton Suprima S dan Proton Iriz pula bagi pemenang pingat gangsa, laporan Berita Harian.

    “DRB-Hicom dan Proton mengucapkan selamat berjuang kepada atlet tanah air yang masih meneruskan misi di Olimpik di Rio,” katanya lagi.

    Setakat ini, penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong serta pasangan beregu campuran badminton negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying telah berjaya memenangi pingat perak buat Malaysia. Manakala Azizulhasni Awang melakar sejarah sebagai pelumba basikal pertama negara memenangi pingat dalam Sukan Olimpik apabila meraih gangsa di Velodrom Olimpik Rio.

     
     
  • SPYSHOT: Hyundai i30 N diuji – pamer muka agresif

    Hyundai-i30-N-Spyshots-03_BM

    Sebelum ini, Hyundai telah menyiarkan video ‘teaser’ hot-hatch sebenar dari mereka iaitu Hyundai i30 N yang telah memperdengarkan bunyi enjin yang sangat menggiurkan. Kini imej jentera berprestasi tinggi dari Korea berkenaan dilihat sedang diuji, memperlihatkan muka hadapannya yang begitu agresif.

    Hyundai juga sebelum ini telah menyiarkan imej teaser i30 generasi berikutnya (model standard, bukan model berprestasi tinggi N) yang akan membuat kemunculan sulung di Paris Motor Show 2016 pada Oktober nanti, jadi muka sebenar unit yang sedang diuji ini agak mudah untuk dibayangkan. Lampu hadapan projektor dilihat sama dengan versi standard, tetapi lampu nyalaan siang LED pada model N ini diletakkan pada kedudukan melintang, berbanding menegak pada model biasa.

    Imej ini juga memaparkan dengan jelas ciri-ciri seperti liang kemasukan hadapan, roda aloi bersaiz besar dengan serlahan berwarna biru, angkup brek besar berwarna merah dan dua tip ekzos juga bersaiz besar pada setiap sisi belakang. Dijangkakan model produksi versi N ini turut akan dilengkapi dengan sayap belakang yang lebih besar dari model standard.

    Hyundai-i30-N-Spyshots-05_BM

    Hyundai i30 N merupakan model pertama talaan divisi prestasi tinggi Hyundai yang dijenamakan sebagai N (seperti AMG-Mercedes dan BMW M), dan ia akan diperkenalkan dalam dua versi tahun hadapan – varian N standard serta varian yang dilengkapi dengan performance pack. Hatchback berprestasi tinggi ini akan dijana enjin 2.0 liter turbo empat silinder berkuasa lebih dari 260 hp, dan menyasarkan Volkswagen Golf GTi, Ford Focus ST dan Peugeot 308 GTI sebagai saingan.

    Enjin berprestasi tinggi berkenaan kini masih lagi dalam pembinaan, dan seperti yang boleh disaksikan pada video teaser yang disiarkan sebelum ini, ia menampilkan bunyi yang ‘meletup dan bersepah’ ketika beraksi seakan bunyi yang dihasilkan oleh Mercedes-AMG A45, membezakan ia dari i30 versi standard. Hyundai mendakwa model baharu N yang akan diasaskan dari i30 generasi ketiga berkenaan adalah 40% baharu, termasuk enjin, transmisi serta suspensinya.

     
     
  • Penutupan sementara laluan di Petaling Jaya sempena PJ Half Marathon 2016 pada 20 dan 21 Ogos ini

    PJ_Marathon

    Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mengeluarkan kenyataan media berhubung penutupan jalan dan kawalan lalu lintas secara berperingkat sempena PJ Marathon 2016 pada 20 dan 21 Ogos ini. Di mana Jalan Yong Shook Lin akan ditutup bagi persiapan tempat pelepasan (flag off) pada 20 dan 21 Ogos dari jam 7 malam (Sabtu) hingga 10 pagi (Ahad).

    Pada 21 Ogos, jalan-jalan yang terlibat bagi penutupan secara perkala oleh pihak polis trafik Petaling Jaya dari jam 5 pagi hingga 10 pagi ialah Jalan Yong Shook Lin, Jalan Sultan, Jalan Barat, Jalan Utara, Jalan Timur, Jalan Changai 6/22, Jalan Gasing, Jalan Othman, Jalan Pasar 1/21, Jalan Railway 2/28, Jalan 2/27, Jalan Penchala dan Jalan Templer.

    Ia turut melibatkan Jalan Bukit Menteri Selatan 7/2, Jalan Selangor, Jalan Sultan, Persiaran PP Narayanan, Jalan 229, Jalan Baiduri SS1/22, Jalan SS1/36, Jalan SS2/24, Jalan 19/8, Jalan Harapan, Jalan 17/21, Jalan 17/13, Jalan 17/1, Jalan Universiti dan Jalan Bukit 1 1/2.

    Sehubungan itu, para pengguna jalan raya dinasihati mengikut arahan laluan dari pihak polis dan sentiasa bersedia sepanjang acara berlangsung.

     
     
  • Kerajaan suntik dana sokongan RM250j untuk Proton

    Proton_Iriz_Review_-019

    Kerajaan bersedia menyuntik dana sebanyak RM250 juta seperti yang dijanjikan kepada Proton, menerusi langganan 250 juta Saham Keutamaan Boleh Tukar Boleh Tebus Terkumpul (RCCPS).

    Dalam satu pemfailan dengan Bursa Malaysia semalam, DRB-Hicom berkata keputusan Proton bagi cadangan pengeluaran telah dibuat selepas satu mesyuarat antara petugas khas yang ditubuhkan bagi memantau rancangan pemulihan syarikat pengeluar automotif ini bersama wakil-wakilnya yang lain pada 10 Ogos lalu, laporan The Sun.

    Pasukan petugas khas ini, diketuai oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), dengan ahli yang dilantik oleh kerajaan.

    Pada 16 Ogos lalu, Proton telah menghantar surat rasmi kepada Menteri Kewangan untuk menyatakan keputusannya berhubung baki dana kewangan sokongan daripada kerajaan berjumlah RM250 juta akan diperoleh menerusi RCCPS yang dijual pada harga RM1 sesaham kepada Govco Holdings Bhd, yang 99.99% dimiliki oleh Kementerian Kewangan (Diperbadankan).

    Ia adalah sebahagian daripada pinjaman mudah yang disalurkan oleh kerajaan kepada Proton, bernilai RM1.5 bilion. Di mana perkongsian ini turut diluluskan oleh pemegang saham DRB-Hicom.

     
     
  • Mellors Elliot Motorsport kongsi imej ‘teaser’ jentera rali baharu binaanya – Proton Iriz spesifikasi R5?

    Mellors Elliot Motorsport (MEM) iaitu syarikat yang berpengkalan di UK dan sebelum ini bertanggungjawab membina Proton Satria Neo S2000 telah berkongsi imej teaser jentera rali baharu binaan mereka iaitu Proton Iriz di laman Facebook MEM.

    Tiada lagi perincian yang diumumkan, namun khabar angin mengatakan MEM membina Iriz ini berdasarkan regulasi FIA R5, iaitu kelas yang dipertandingkan dalam Kejohanan Rali Dunia-2 (WRC-2 atau sebelum ini dikenali sebagai S-WRC) dan ditetapkan perlu menggunakan enjin berkapasiti 1.6 liter dengan bantuan pengecas turbo, pacuan empat roda serta berat minima 1,230 kg.

    Menerusi imej teaser ini, dapat disaksikan Iriz berkenaan masih lagi mengekalkan hud (dilengkapi dengan pin kunci), lampu hadapan serta gril asal. Bampar hadapan turut mengekalkan bentuk asalnya tetapi ia dilihat dilengkapi dengan sepasang splitter bersaiz besar dan bersambung terus dengan fender hadapan yang lebih lebar. Bahagian ‘dagu’ turut direka lebih tebal dan kemasan plastik pada gril bawah digantikan dengan gril mesh serta disembur dengan tulisan ‘Iriz’.

    MEM membina Proton Satria Neo untuk Proton Motorsport sebelum ini berdasarkan regulasi FIA Super 2000 (S2000) yang menetapkan kapasiti enjin maksimum 2.0 liter tanpa pengecas turbo. Oleh itu, MEM menggunakan enjin Renault yang diambil dari Proton Waja 1.8 liter, dan membinanya semula agar mencapai kapasiti 2.0 liter, mengekstrak sejumlah 278 hp pada takat 7,600 rpm dan tork maksima 271 Nm pada takat 7,000 rpm.

    Proton Satria Neo S2000 2012 Rally Sweden 1

    Proton Satria Neo S2000 bertanding di kejohanan Intercontinental Rally Challenge (IRC) bermula tahun 2009 hingga 2011, S-WRC pada tahun 2012 dan Kejohanan Rali Asia Pacific (APRC) pada tahun 2010 hingga 2012. Kejayaan terbesar yang dicatatkan oleh Neo S2000 ini adalah pada APRC musim 2011 apabila pemandu mereka Alister McRae (adik kepada lagenda WRC mendiang Colin McRae) dinobatkan sebagai juara keseluruhan, tempat kedua keseluruhan juga disandang pemandu Proton Motorsport Chris Atkinson (bekas pemandu Subaru World Rally Team), dan secara tidak langsung Proton Motorsport juga dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori pengeluar.

    Walaupun Proton telah mengundur diri dari kejohanan rali antarabangsa, jentera-jentera Neo S2000 ini masih lagi digunakan untuk berlumba oleh pasukan-pasukan persendirian di kejohanan-kejohanan sekitar Eropah.

    Lagenda rali tanah air ‘The Flying Sikh’ Karamjit Singh turut berpeluang berlumba menggunakan Proton Satria Neo S2000 ini di beberapa pusingan Rali Malaysia pada tahun 2009 di bawah pasukan Proton R3, sebelum beralih ke Satria Neo 1.6L 2WD dan menjuarai APRC dalam kategori berkenaan pada tahun 2011 dan 2012.

     
     
  • Johor bakal membina taman karavan pertama di M’sia

    Screen Shot 2016-08-18 at 9.03.02 PM

    Bagi menarik lebih ramai pelancong mengunjungi Johor Darul Takzim, kerajaan negeri berkenaan bakal membina taman karavan pertama seumpamanya di Malaysia tidak lama lagi. Ia direncanakan mampu menempatkan 14 buah karavan dalam satu masa, taman karavan seluas 0.4 hektar itu terletak antara Bio Desaru yang merupakan hab menghasilkan makanan dan produk bioteknologi pertanian, berhampiran dengan daerah Sedili.

    Menurut Johor Now, Menteri Besar Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, projek pembinaan taman karavan itu adalah hasil kerjasama antara Johor Tourism dan Bio Desaru Sdn Bhd (BDSB), untuk menjadikan Johor sebagai pusat agro-pelancongan menjelang tahun 2020.

    Katanya, beberapa lokasi telah dikenal pasti mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai taman karavan. “Ini mampu menjadikan Johor sebagai pusat pelancongan terbaharu yang digemari oleh rakyat tempatan, mahu pun dari luar negara. Dengan kemudahan yang ditawarkan ini, pelancong boleh melancong di Johor dengan menggunakan karavan. Di Australia dan New Zealand, konsep percutian menggunakan karavan amat popular dan digemari ramai,” ujarnya.

    Setakat ini, 14 kawasan telah dikenal pasti sebagai lokasi yang bersesuaian untuk dibangunkan taman karavan ini iaitu di Tanjung Peng Jia Menghal dan Pantai Air Papan di Mersing, Pantai Tanjung Leman di Desaru, Bio Desaru, Tanjung Pian di Pontian, Hutan Lipur Gunung Pulai dan Hutan Lipur Gunung Soga di Batu Pahat.

    Selain itu, ia turut membabitkan Hutan Lipur Gunung Ledang, Hutan Lipur Gunung Panti dan Punggai di Kota Tinggi, Hutan Lipur Sg Bantang di Segamat, Kuala Sedili, Hutang Lipur Arong dan Hutan Lipur Gunung Belumut di Kluang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026