Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • GIIAS 2016: Mercedes-AMG A45 dengan Elbaite Green

    MercedesBenz_A45_Green-2

    Mercedes-AMG A45 berwarna Elbaite Green turut dipertontonkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS). Tiada perubahan yang dilakukan tetapi ternyata warna ini cukup menarik perhatian. Selain itu, ia juga hadir dengan warna biasa termasuk hitam, putih dan merah. Tetapi dengan adanya Elbaite Green, ia dianggap sebagai hero color bagi model ini.

    Model hot hatch ini turut ditampilkan dengan AMG Aerodynamic Package dengan flics hadapan, wing belakang yang besar dan sirip di atas corong palsu pada bampar belakang. Malah ia turut didatangkan dengan Night Package berserta warna hitam gelap pada perumah cermin sisi, splitter hadapan, skirt sisi, kekemasan tingkap dan corong paip ekzos.

    Selain tampil dengan elemen yang agresif, AMG A45 ini dilengkapi dengan enjin 2.0 liter M13 empat-silinder turbo yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 381 hp dan tork 475 Nm, iaitu lebih 21 hp/25 Nm berbanding sebelum ini. Ia turut dipadankan dengan kotak gear AMG Speedshift DCT tujuh-kelajuan dan 4Matic AWD yang dipertingkatkan. Ia turut membolehkan hot hatch dipacu dalam masa 4.2 saat.

    Bagi pasaran Malaysia, model ini dijual pada harga atas jalan RM348,888 tanpa insurans. Jadi warna Elbaite Green ini adalah untuk semua pasaran.

     
     
  • TIPS PEMANDUAN: Gandakan fokus dan lebih berhati-hati sewaktu memandu dalam keadaan berjerebu

    HAZE

    Hari ini, Berita Harian melaporkan, jerebu kembali melanda negara kita. Tinjauan akhbar berkenaan tengahari tadi mendapati, jarak penglihatan di sekitar bandar raya agak kabur dan berasap.

    Semakan di laman web Jabatan Alam Sekitar mendapati sehingga jam 10 pagi ini, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara menunjukkan bacaan sederhana iaitu kurang daripada 100. Petaling Jaya dan Shah Alam masing-masing mencatatkan bacaan IPU 54 dan 60 manakala bacaan tertinggi ialah di Kemaman, Terengganu iaitu 70.

    Selain boleh menjejaskan kesihatan, jerebu ini turut boleh mengganggu pemanduan. Jerebu yang teruk boleh menjejaskan jarak penglihatan, sekali gus menyulitkan lagi keadaan ketika sedang memandu. Lantas, kami ingin memberikan 15 tips pemanduan untuk anda bagi ‘musim’ jerebu ini. Semoga ia dapat membantu anda mempertingkatkan lagi keselamatan ketika memandu dalam musim berjerebu ini.

    1- Kawal had kelajuan
    Jangan memandu dalam kelajuan yang tinggi terutamanya ketika jarak penglihatan agak terhad. Anda pasti sukar menjangka keadaan di hadapan apatah lagi sekiranya kenderaan di hadapan anda tidak memasang lampu (walau pun hari siang). Seelok-eloknya pandu dalam kelajuan rendah atau sederhana untuk memudahkan anda sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

    2-Elak dari membrek secara mendadak (emergency brake)
    Seandainya anda masih boleh mengawal kenderaan, elak dari menggunakan brek secara mendadak. Ia boleh mengundang kecelakaan dengan kenderaan di belakang mungkin melanggar anda.

    3-Elak dari cuba memotong kenderaan lain
    Jika anda tingkatkan kesabaran, pasti anda dapat mengelakkan dari memotong kenderaan lain. Jarak penglihatan yang agak terhad boleh mengundang bahaya jika anda tidak dapat mengagak pergerakan kenderaan yang ingin dipotong itu atau pun kenderaan disekeliling.

    4-Jarakkan kenderaan
    Pastikan jarak kenderaan anda dengan kenderaan di hadapan berada dalam keadaan yang selamat. Ia penting terutamanya jika kenderaan di hadapan membrek secara mengejut dan membolehkan anda sentiasa bersedia untuk mengelak daripada terlanggarnya.

    5-Pastikan bilah pengilap cermin berfungsi dan ada air pembersih cermin
    Ketika berjerebu, ia turut membuatkan kenderaan cepat kotor berdebu. Dan ini turut membuatkan cermin hadapan juga cepat kotor serta boleh menjejaskan lagi penglihatan anda. Jadi pastikan bilah pengilap cermin (wiper) berfungsi dengan baik serta air pembersih cermin boleh membantu membersihkan cermin bila diperlukan.

    6-Nyalakan lampu
    Bergantung pada keadaan jerebu, seeloknya nyalakan lampu kenderaan bagi membantu penglihatan anda dan juga pemandu lain menyedari kehadiran kenderaan anda. Elak dari memasang hazard light, sebaliknya gunakan lampu utama. Sama konsep sewaktu pemanduan ketika dalam hujan.

    RON_95_vs_RON_97_Fuel_Test_Malaysia_ 028

    7-Fokuskan penglihatan pada garisan jalan
    Jika jerebu sangat teruk dan menurunkan jarak penglihatan, anda masih boleh menggunakan garisan jalan sebagai panduan.

    8-Bunyikan hon sekiranya perlu
    Tidak perlu menekan hon secara kuat atau membabi-buta, sebaliknya hon mampu membantu pemandu lain menyedari kehadiran kenderaan anda di situ.

    9-Gunakan lampu kabus untuk membantu penglihatan lebih baik
    Sekiranya kenderaan anda ada lampu kabus, seeloknya anda memasangnya dan ia boleh digunakan untuk penglihatan yang lebih baik.

    10-Minta bantuan penumpang di hadapan (sekiranya ada)
    Jika ada penumpang bersama anda, minta bantuannya untuk sama-sama memerhatikan keadaan jalan.

    11-Perlahankan (atau tutup terus) sistem audio anda
    Bunyi trafik dari luar sebenarnya boleh membantu memberikan panduan jika jarak penglihatan anda terjejas akibat jerebu. Contohnya, jika sistem audio kuat berbunyi, jika ada kenderaan lain yang membunyikan hon (atas kes kecemasan dan sebagainya), pasti anda kurang mendengarnya. Malah anda juga boleh mengagak jarak kenderaan lain berhampiran anda dengan hanya mendengar bunyi yang terhasil dari kenderaan terbabit.

    12-Berhenti di kawasan yang selamat
    Jika anda tidak yakin untuk meneruskan pemanduan, berhenti di kawasan yang selamat. Elakkan berhenti di lorong kecemasan mahu pun ruang yang terhad untuk anda memarkir kenderaan. Seeloknya berhenti di kawasan rehat yang disediakan di lebuhraya atau pun mana-mana yang selamat.

    13-Gandakan fokus pemanduan anda
    Ini paling penting! Tidak kira apa jua keadaan yang dihadapi, gandakan fokus pemanduan anda. Elak dari menggunakan telefon bimbit, atau leka bersembang dengan penumpang. Pastikan anda sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

    14-Pastikan kenderaan anda sentiasa berada dalam keadaan yang baik
    Bertambah sadis jika kenderaan anda breakdown atau tersadai di tepi jalan kerana mengalami kerosakan. Jadi pastikan kenderaan anda berada dalam keadaan yang baik untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku.

    15-Dapatkan bantuan
    Jika anda benar-benar tidak yakin untuk terus memandu, anda juga boleh mendapatkan bantuan kenalan untuk mengambil anda/atau memandukan kenderaan anda. Atau pun dapatkan bantuan peronda lebuhraya yang boleh membantu anda untuk memandu arah (guide) agar anda boleh memandu hingga di kawasan yang lebih selamat.

     
     
  • GIIAS 2016: Daihatsu Cast Activa – SUV kei comel!

    Daihatsu_Cast_Activa-2

    Daihatsu seringkali mempamerkan model Kei-Car JDM pada acara-acara Motor Show di Indonesia. Mereka membawa model Move Custom, Mira Cocoa dan Wake pada GIIAS tahun lalu. Untuk acara yang sama tahun ini, Daihatsu mempamerkan pula model Cast Activa.

    Daihatsu Cast antara kei-car yang mendapat sambutan dalam pasaran JDM buat masa ini, bersaing dengan Suzuki Hustler. Kedua-dua model berkenaan menampilkan lampu hadapan berbentuk bulat dan muka yang comel, manakala Hustler tampil dengan rupa seakan SUV 4×4 mini. Cast hadir dengan tiga varian iaitu Style, Activa dan Sport.

    Varian Style merupakan versi standard dalam barisan model Cast, manakala Sport merupakan model yang lebih sporty. Seperti yang anda boleh lihat pada gambar, varian Activa merupakan varian ‘crossover kei-car’, di mana SUV kecil ini dikuasakan dengan enjin 660 cc dan hadir dengan pilihan 2WD atau 4WD.

    Daihatsu_Cast_Activa-14

    Untuk model yang dipamerkan ini, ia diberikan warna hijau untuk memberikan imej ‘pengembaraan’ pada SUV berkenaan, dan turut dilengkapi para bumbung serta tayar off-road. Pelindung takung minyak dan kemasan badan yang diinspirasikan dari SUV sebenar mungkin hanya sekadar hiasan estetika, namun model Activa ini mempunyai kelegaan tanah 180 mm iaitu 30 mm lebih tinggi dari Cast standard.

    Selain dari Cast Activa, model konsep Daihatsu dari Tokyo Motor Show 2015 seperti Hinata, ‘trak makanan’ Tempo dan Copen Cero turut dipamerkan pada GIIAS 2016. Copen Cero iaitu roadster kecil dengan lampu hadapan bulat dibawa ke Indonesia berkemungkinan untuk meninjau permintaan pasaran tempatan. Daihatsu Copen standard sebenarnya sudah pun berada pada pasaran Indonesia dan ditawarkan dalam varian manual dan automatik buat masa sekarang.

     
     
  • GIIAS 2016: Ducati XDiavel, 959 Panigale serta 939 Hypermotard dan Hyperstrada tiba di Indonesia

    2016-Ducati-launch-GIIAS-5-850x567

    Turut berlangsung di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) ialah pengenalan empat model Ducati oleh pengedarnya di Indonesia, Garansindo Euro Sports; model XDiavel, 959 Panigale, serta 939 Hypermotard and Hyperstrada untuk pasaran di sana.

    Ducati XDiavel 2016 merupakan jentera power cruiser, yang dibangun berdasarkan model Diavel sebelumnya. Dengan enjin 1,262 cc Testastretta V-Twin dengan Ducati Variable Timing (DVT). Kuasa yang dihasilkan ialah 156 hp dan 128.9 Nm tork pada 5,000rpm, dengan berat basah 247 kg.

    Ducati Hypermotord, yang direka untuk kepelbagaian penggunaan pula dilengkapi dengan enjin 937 cc Testastretta 11 darjah yang menghasilkan 113 hp dan 97.9 Nm tork pada 7,500 rpm. Beratnya pula ialah 204 kg.

    Ducati 959 Panigale, sebuah superbike peringkat kemasukan, merupakan jentera paling kecil dalam barisan model Panigale. Ia menggunakan enjin 955 cc Ducati Superquadro V-Twin dengan janaan kuasa 157 hp ada 10,500 rpm dan 107.4 Nm tork pada 9,000 rpm. Berat basahnya mencecah 200 kg.

    Harga jualan di sana belum di umumkan. Lebih menarik, model-model yang sama ini juga akan diperkenalkan oleh Ducati Malaysia, dijangka pada Oktober tahun ini.

     
     
  • Sistem kunci pintar VW terdedah risiko digodam

    Volkswagen Jetta CKD 15

    Berjuta-juta kenderaan keluaran Volkswagen Group terdedah pada risiko untuk mudah digodam menerusi sistem kunci pintar mereka, menurut laporan Reuters. Pakar keselamatan komputer di Universiti Birmingham telah menyiarkan kertas kerja bagaimana mereka dapat menghasilkan kunci klon dari kenderaan keluaran kumpulan berkenaan, dengan mencuri isyarat ketika pemandu menekan suis kawalan jauh pada kunci ketika mengunci dan membuka kunci kereta mereka.

    Kajian mereka menemukan model yang berpontensi untuk digodam adalah kebanyakkan model Audi, VW, SEAT dan Skoda yang dijual bermula tahun 1995, dengan jangkaan sekitar 100 juta unit kenderaan penumpang yang dijual oleh VW Group selepas itu. Kelemahan berkenaan turut dijumpai pada model terkini seperti model Audi Q3 2016.

    “Ia dapat dipastikan bahawa semua kereta keluaran VW Group (kecuali pada sebahagian Audi) masa lalu dan sebahagian model terkini bergantung pada skim ‘kunci-malar’ dan mempunyai risiko untuk mudah digodam,” kata akhbar berkenaan. Pengecualian pada kelemahan ini adalah pada model yang dibina menggunakan platform MQB, seperti Golf Mk7.

    Golf model sedia ada, Tiguan, Touran dan Passat adalah model yang tidak berisiko untuk diserang penggodam, jurucakap Volkswagen memberitahu Reuters. “Kenderaan generasi sedia ada tidak terjejas dengan masalah yang dinyatakan,” Jurucakap VW Peter Weisheit berkata dalam kenyataannya, tetapi beliau tidak menyatakan risiko pada model lain.

    Kontraktor yang membina komponen sistem kunci pintar berkenaan tidak didedahkan dalam akhbar tersebut, dan VW juga tidak membuat kenyataan mengenai hubungan mereka dengan pembekal. Kenderaan keluaran VW Group telahpun didapati pernah digodam melalui sistem kunci pintar mereka sebelum ini; tahun lalu kumpulan berkenaan mengelakkan agar perincian teknikal utama tidak didedahkan pada akhbar lain, yang akan mendedahkan kenderaan keluaran mereka untuk dicuri.

     
     
  • GIIAS 2016: Royal Enfield Himalayan, enjin L410

    Royal Enfields Himalayan 2016 BM 21

    Jika ada yang tertanya-tanya mengapa pasaran motosikal di Indonesia lebih menarik dan kerap mendapat model-model baharu terlebih dahulu berbanding pasaran lain, jawapannya ialah skala dan saiz pasaran yang tersedia di sana. Sebab itulah, pengenalan global sulung seperti yang kita saksikan bagi jentera Honda CBR250RR 2016 sebelum ini turut berlangsung di sana terlebih dahulu.

    Begitu juga dengan jentera dua roda dari pengeluar India ini, Royal Enfield Himalayan 2016 yang membuat penampilan di GIIAS 2016. Ia menggunakan enjin rekaan terbaharu yang dibangunkan, L410 411 cc overhead cam, silinder tunggal dengan sejukan udara/cecair. Model terbaharu ini ‘lari’ dari model Bullet, yang tidak banyak berubah sejak mula diperkenalkan pada 1949.

    Enjin baharu berkenaan didakwa mampu menghasilkan kuasa sebanyak 24.5 hp pada 6,500 rpm dan 32 Nm tork pada 4,500 rpm. Transmisi pula menggunakan kotak gear lima kelajuan.

    Reka bentuknya mengambil pendekatan rekaan sebuah motosikal dual-purpose; kedudukan yang tinggi, rim 21 inci di bahagian depan manakala 17 inci dibahagian belakang. Ketinggian tempat duduk ialah 800mm. Berat basahnya pula ialah 183 kg. Ia sebuah jentera yang direka untuk kegunaan pada permukaan yang pelbagai dan jelajah.

    Antara ciri lainnya adalah sistem gantungan depan yang menggunakan fork berdiameter 41 mm, dengan jarak mendapan 200 mm. Bahagian belakang pula menggunakan penyerap hentak tunggal, dengan jarak mendapan 180 mm. Bagaimana pun, tidak dapat dipastikan sama ada ia dari jenis tetapan boleh laras atau sebaliknya.

    Pelindung di bahagian depan jentera ini adalah ciri standard. Begitu juga dengan kerangka untuk membawa beg barangan dibelakang; ia diperbuat daripada kimpalan besi biasa untuk memudahkan kerja-kerja baik pulih sekiranya perlu.

    Lampu belakang dari jenis LED, sementara di depan hanya menggunakan lampu halogen biasa. Panel meter pula kekal menggunakan paparan analog, yang digandingkan dengan paparan LCD bagi bacaan odometer.

    Royal Enfields Himalayan 2016 dijangka berkemungkinan besar akan dilancarkan bagi pasaran Indonesia tahun hadapan. Ketika ini, anggaran harganya masih belum diumumkan.

     
     
  • Honda Civic Hatchback 2017 – gambar pertama versi produksi untuk pasaran Amerika Syarikat didedahkan!

    honda_civic_touring_hatchback-e1471258952678_BM

    Honda secara rasminya telah mendedahkan secara rasmi gambar Honda Civic Hatchback 2017 sebelum masuk menembusi pasaran Amerika Syarikat yang dijangka pada musim luruh ini.

    Ini bukan gambar versi konsep atau prototaip yang dipamerkan di Geneva atau GIIAS 2016 minggu lalu, ini merupakan versi produksi sebenar. Kit badan yang agresif,liang kemasukan udara pada bampar, skirt sisi hitam berkilat serta spoiler belakang yang menghubungkan kedua-dua lampu belakang berbentuk-C pada versi prototaip diterapkan terus pada versi produksi ini.

    Tip ekzos berkembar pada bahagian tengah bampar belakang turut disadur pada varian tertentu. Apa yang berbeza adalah tiada serlahan berwarna lime-green, dan roda aloi lebih kecil (bersaiz 18-inci) tetapi menampilkan rekaan dua ton seiras.

    4160815_001H-e1471245540531_BM

    Tidak seperti model sedan dan coupe, model hatchback yang diproduksi di kilang Honda Swindon, UK ini hanya dikuasakan oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo, tanpa varian yang dikuasakan enjin 2.0 liter i-VTEC NA. Enjin 1.5 liter VTEC Turbo pada varian LX, EX dan EX-L bakal menghasilkan kuasa 174 hp/220 Nm, manakala model Sport dan Sport Touring yang dipadankan sistem ekzos dengan aliran lebih besar bakal menghasikan kuasa maksimum 180 hp.

    Model hatchback ini juga menampilkan pilihan transmisi baharu untuk Civic iaitu transmisi enam-kelajuan manual untuk model LX, Sport dan EX, bersama pilihan CVT yang masih dikekalkan. Penggunaan bahan api dicatatkan pada 7.6 liter untuk 100 km dalam kawasan bandar, 5.9 liter setiap 100 km untuk lebuhraya dan 6.9 liter setiap 100 km untuk kitaran gabungan, untuk model yang dipadankan dengan transmisi CVT.

    Berbeza dengan generasi sebelum ini yang menyaksikan versi sedan (FB) dan hatchback (FK) dibina dengan asas yang kelihatan tidak serupa, hatchback generasi baharu ini mengambil terus asas dari model sedan termasuk kerangka badan yang ringan serta suspensi bebas sepenuhnya (model FK dilengkapi dengan suspensi torsion beam pada bahagian belakang).

    Ia juga turut dipadankan sesendal (bushing) suspensi yang diisi dengan bendalir, stereng berkuasa elektrik pelbagai nisbah talaan sport dan sistem ABS dengan EBD serta Bantuan Mula Mendaki (HSA). Honda juga mendakwa Civic hatchback mempunyai kapasiti ruang kargo terbaik dalam kelasnya.

    honda_civic_touring_hatchback_1-e1471259013257_BM

    Ciri lain yang turut dipadankan adalah sistem Honda Display Audio infotainment dengan hubungan Apple CarPlay
    dan Android Auto pada varian EX dan keatas, pemanas pada tempat duduk hadapan dan cermin sisi, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dan penghidup enjin kawalan jauh. Kesemua ciri ini dipadankan secara standard untuk model Sport Touring, dan berberapa ciri lain seperti pemanas pada tempat duduk belakang.

    Ciri bantuan pemanduan Honda Sensing turut ditawarkan meliputi sistem Sistem Brek Elak Pelanggaran (CMBS), Amaran Pelanggran Hadapan (FCW), Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Amaran Keluar Laluan dan Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC) dengan Low-Speed Follow – opsyenal untuk semua model, dan standard untuk Sport Touring.

    Honda Australia turut mengumumkan Civic Hatchback ini turut akan dilancarkan di pasaran negara berkenaan pada 2017. Untuk pasaran Australia, Civic Hatch akan dipasang di Thailand. Ini bermaksud, hatchback ini berkemungkinan besar akan turut dipasarkan di rantau ASEAN dan spekulasi ini diperkuatkan lagi apabila Honda mempamerkan model ini di GIIAS minggu lalu.

    GALERI: Prototaip Honda Civic Hatchback di GIIAS 2016

    GALERI: Prototaip Honda Civic Hatchback

    GALERI: Imej paten Honda Civic Hatchback

     
     
  • Proton Persona 2016 – harga indikatif bermula RM47k, dilancarkan pada 23 Ogos ini, tempahan telah dibuka

    Persona 2016 booking BM

    Proton telah mengesahkan model Persona 2016 bakal dilancarkan pada 23 Ogos ini dan turut mendedahkan harga indikatifnya iaitu bermula RM47,000 hingga RM61,000 bagi Semenanjung Malaysia, manakala untuk Sabah/Sarawak pula dari RM49,000 hingga RM63,000.

    Proton Persona 2016 kini boleh mula ditempah dengan bayaran tempahan sebanyak RM300 (bayaran akan dikembalikan dalam sebarang keadaan). Malah Proton turut menawarkan pakej servis percuma selama tiga tahun bagi alat ganti dan tenaga buruh. Walau bagaimanapun, ia hanya sah bagi tempahan yang dibuat sebelum 30 September ini.

    Proton Persona 2016 akan dilengkapi dengan enjin 1.6 liter VVT petrol yang digandingkan dengan sistem transmisi CVT dan manual. Ia turut didatangkan dengan empat varian iaitu varian Standard dengan pilihan transmisi manual atau CVT. Sebagai varian paling asas, tidak mempunyai lampu kabus, disediakan cermin sisi hitam dan rim 15-inci.

    Manakala varian kedua pula ialah Executive, yang antara lain turut dilengkapi dengan radio biasa, b-pillar dengan warna badan kenderaan serta rim 15-inci rona kelabu. Namun begitu, pilihan transmisi yang ditawarkan hanyalah dari jenis CVT sahaja.

    Bagi varian Premium pula, ia juga dilengkapi dengan sistem transmisi CVT. Tambahan lain padanya ialah dari aspek keselamatan; ia dilengkapi dengan enam beg udara. Selebihnya, penggunaan material kulit bagi tempat duduk dan stereng, paparan skrin sentuh, kemasukan tanpa kunci (keyless entry), bodykit dan rim 15-inci warna perak.

    Varian tertinggi pula ialah Premium SE yang menerima aksesori bodykit penuh bagi keseluruhan kereta, termasuk spoiler pada but belakang.

    Kami juga telah memandu uji Persona 2016 ini secara ringkas di litar ujian Pusat Kecemerlangan Proton pada Jumaat lalu. Anda boleh membaca ulasan kami untuk mendapatkan gambaran awal mengenainya. Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasinya, boleh baca di sini.

    Ia akan didatangkan dengan enam pilihan warna iaitu Cotton White, Fire Red, Sterling Silver, Graphite Grey, Quartz Black dan warna terbaharu, Carnelian Brown. Kami akan memaparkan perkembangannya dari semasa ke semasa.

     
     
  • Renault Fluence 2.0L kini dijual di bawah RM80k

    Print ads

    Renault Malaysia telah mengumumkan kempen terbaharu kepada pelanggan mereka, Renault Fluence It’s a Big Deal yang antara lain menawarkan model Fluence 2.0L pada harga RM79,888, tidak termasuk insurans. Ini adalah bagi Renault Fluence versi sebelum facelift terakhirnya.

    Menurut pengedarnya, TC Eurocars Sdn Bhd, angka itu menjadikan penawarannya unik; kenderaan segmen C yang dijual pada harga kenderaan segmen B.

    Renault Fluence ditawarkan dalam dua varian, Expression dan Dynamique, dengan harga RM108,888 dan RM119,888 masing-masing. Dengan promosi terbaharu ini, pelanggan yang membeli model berkenaan mampu berjimat sehingga RM40,000.

    Ia bagaimana pun tertakluk kepada beberapa terma dan syarat. Tawaran ini hanya sah bagi pelanggan di Semenanjung (tidak termasuk Langkawi). Harga yang dipamerkan juga tidak termasuk insurans, serta tidak termasuk tawaran servis percuma lima tahun yang diberikan sebelum ini. Ia juga turut melibatkan unit pamer Fluence yang dikilangkan pada 2016, bagi varian yang dilengkapi dengan tempat duduk fabrik sahaja.

    Renault Fluence dilengkapi dengan enjin 2.0 liter empat silinder petrol yang menghasilkan kuasa sebanyak 143 hp pada 6,000 rpm dan 195 Nm tork pada 3,700 rpm, dipadankan dengan transmisi X-Tronic CVT. Kelengkapan standard bagi model ini termasuk paparan skrin sentuh tujuh inci, sistem infotainmen R-Link, enam beg udara dan masukan tanpa kunci.

    Kempen ini akan berlangsung hingga 30 September 2016 atau sementara stok masih ada. Setiap pembelian disertakan dengan jeminan pengeluar lima tahun/perbatuan tanpa had. Maklumat lanjut berkaitan kempen berkenaan ada di sini.

     
     
  • GIIAS 2016: Hyundai i20 hatchback lima-pintu dilancarkan di Indonesia – harga bermula RM76k

    Hyundai_i20-2

    Hyundai telah melancarkan model i20 hatchback pada acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2016 yang sedang berlangsung. Hatchback segmen-B lima pintu ini yang dipasang di India ini dijana oleh enjin petrol 1.4 liter Kappa berkuasa 100 PS/133 Nm, yang dipadankan sama ada kotak gear enam-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik. Model ini menggantikan model Hyundai Grand Avega untuk pasaran Indonesia sebelum ini.

    Generasi kedua i20 ini membuat kemunculan sulungnya pada Ogos 2014, dan dibina di Turki untuk Eropah dan India untuk bahagian lain di dunia. Di India, hatchback ini dikenali sebagai Elite i20 dan ditawarkan dalam dua pilihan enjin iaitu 1.2 liter Kappa berkuasa 83 PS/115 Nm dan kotak gear lima kelajuan, serta enjin 1.4 liter U2 CRDi turbodiesel berkuasa 90 PS/220 Nm dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual. Varian SUV crossover juga turut ditawarkan pada beberapa pasaran. Badan dan nama i20 ini digunakan oleh Hyundai dalam membawa cabaran mereka di dalam kejohanan Rali Dunia (WRC) buat masa sekarang.

    Hyundai_i20-12

    Untuk pasaran Eropah, i20 hatchback turut ditawarkan dengan pilihan enjin turbo berkapasiti kecil iaitu enjin 1.0 liter tiga-silinder dengan dua versi kuasa – 100 PS/171 Nm dan versi T-GDi 120 PS/171 Nm.

    Pada pasaran Indonesia, Hyundai i20 merupakan hatchback premium yang dijual pada harga 249 juta rupiah (RM76,454) untuk model manual dan 263 juta rupiah (RM80,730) untuk model automatik. Kereta yang berwarna merah dalam gambar adalah model sebenar untuk pasaran Indonesia, manakala yang berwarna hitam hanyalah show car yang diserlahkan dengan kemasan merah serta roda aloi bersaiz 18-inci.

    Setakat ini, tiada lagi ura-ura berkenaan Hyundai-Sime Darby akan mengimport model ini ke Malaysia atau tidak. Jika ia mendarat di pasaran tempatan, sudah pasti model import sepenuhnya (CBU) ini akan berhadapan saingan yang sukar dan kurang kompetitif dengan Honda Jazz CKD.

     
     
  • Proton Preve, Exora hanya akan ditawarkan dengan enjin 1.6 Turbo; Persona, Saga baharu hanya dibekalkan enjin VVT; tiada lagi Campro CPS

    Selain dari melancarkan model-model baharu tahun ini, Proton turut membuat susunan semula terhadap barisan enjin pada modelnya, menurut Ketua Pegawai Teknikal Proton, Abdul Rashid Musa. “Kami sedang menyusun semula model dan enjin kami untuk mengelakkan mereka bertindih dan ‘membunuh pasaran’ sesama sendiri,” kata beliau kepada paultan.org.

    Pengenalan Persona 2016 akan menyaksikan berakhirnya penggunaan enjin CamPro IAFM (Intake Air-Fuel Module) pada model segmen-B Proton. Dan ia akan digantikan dengan enjin 1.6 liter VVT (Variable Valve Timing) dari Iriz.

    Penggunaan enjin IAFM juga akan ditamatkan pada model lain termasuk Saga dan Preve. Saga baharu yang bakal dilancarkan selepas Persona nanti akan menggunakan enjin 1.3 liter VVT juga dari Iriz. Saga FLX sedia ada yang masih lagi berada dalam pasaran pula hanya akan dibekalkan dengan enjin IAFM untuk varian CVT dan manual.

    2016 Proton Persona Spoiler_02

    Persona dan Saga generasi baharu akan bertukar kepada penggunaan enjin VVT atas faktor penggunaan bahan api yang lebih efisien. Dari segi kuasa, enjin 1.3 liter VVT pada Iriz menghasilkan kuasa kuda yang sama dengan enjin 1.3 IAFM+ pada Saga FLX (95 PS/120 Nm), manakala enjin 1.6 liter VVT juga menghasilkan kuasa kuda yang hampir sama dengan enjin 1.6 liter IAFM+ (109 PS/150 Nm). Setakat ini, hanya Iriz yang menggunakan kedua-dua jenis enjin berkenaan dalam barisan model Proton.

    Untuk Preve pula, enjin IAFM pada varian Executive manual dan CVT akan digugurkan pada masa hadapan, dan ia hanya hadir dalam varian 1.6 liter Turbo CFE dengan kotak gear CVT. Begitu juga Exora, yang hanya ditawarkan dengan enjin 1.6 liter Turbo CFE untuk ketiga-tiga variannya iaitu Executive, Premium dan Super Premium.

    Enjin CamPro CPS (Cam Profile Switching) tidak akan diproduksi lagi selepas ini dan tidak lagi dipadankan pada mana-mana model Proton sedia ada. Enjin berkenaan mula diperkenalkan pada Gen2 facelift sekitar tahun 2008, sebelum turut dipadankan pada model lain seperti Waja, Satria Neo dan Exora.

     
     
  • Discovery Sport 2.2L SD4 dibuka untuk tempahan; harga RM450k, RM30k lebih tinggi dari model petrol

    Land Rover Discovery Sport_5 BM

    Setelah versi enjin petrolnya diperkenalkan pada Ogos 2015, Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd kini membuka tempahan bagi model Land Rover Discovery Sport diesel pula.

    Land Rover Discovery Sport 2.2L SD4 Diesel dilengkapi dengan enjin turbodiesel 2.2 liter, yang menjana 190PS kuasa dan 420Nm tork, digandingkan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan. Ia ditawarkan pada harga RM450,000, termasuk GST tetapi tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans. Harga berkenaan adalah RM30,000 lebih tinggi berbanding model petrolnya.

    Dalam perkembangan sama, SUV dengan konfigurasi tempat duduk 5+2 ini turut ditawarkan dengan pelan ansuran percuma sehingga 12 bulan. Selain itu, jika pelanggan membuat tempahan sekarang, mereka turut akan menikmati tawaran rebat tunai.

    Setiap Discovery Sport 2.2L SD4 didatangkan bersama jaminan 5 tahun atau 150,000km, penyelenggaraan berjadual percuma selama 5 tahun atau 80,000km dan bantuan jalanan 3 tahun, yang mana datang dahulu.

    Discovery Sport dibangunkan dengan ciri keselamatan aktif dan pasif terkini. Pakej keselamatan pemandu dan penumpang yang menyeluruh, termasuk tujuh beg udara – bagi pemandu dan penumpang, lutut, dan tirai sisi dan toraks.

    Ciri keselamatan lain termasuk Kawalan Penurunan Bukit (HDC®), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Cengkaman Elektronik (ETC), Stereng Bantuan Kuasa Elektronik (EPAS), Bantuan Permulaan Bukit, Kawalan Kestabilan Olengan (RSC), dan Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC).

    Ciri Terrain Response® membolehkan stereng, tindak balas pedal minyak, kotak gear, sistem brek/kestabilan Discovery Sport disesuaikan secara khusus dengan keperluan permukaan; General; Grass/Gravel/Snow (untuk keadaan licin di atas jalan mahupun off-road), Mud dan Ruts serta Sand.

    Jaguar Land Rover Malaysia juga akan menganjurkan jualan istimewa bertempat di bilik pamerannya pada 20 dan 21 Ogos 2016.

     
     
  • GIIAS 2016: Toyota Veloz Tigre – Avanza Inspirasi SUV

    Toyota_Veloz_Tigre-2

    MPV yang dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2016 ini bukanlah model baharu, tetapi ia adalah model konsep SUV yang diasaskan dari MPV Toyota Avanza – dinamakan Toyota Avanza Veloz Tigre.

    Model konsep ini mungkin akan memberikan sumber inspirasi kepada pemilik Avanza sedia ada untuk ‘menyolek’ MPV tujuh-tempat duduk mereka. Tigre bermaksud Tiger atau harimau dan MPV ini benar-benar kelihatan garang dari Avanza Veloz standard. Bahagian atas bampar hadapan Veloz Tigre ini diberikan serlahan berwarna merah, begitu juga pada kemasan sisi dan bahagian belakang.

    Veloz Tigre ini dibina sejak Mac lalu, dan menampilkan kit badan di seluruh badan bersama panel sisi tambahan pada bahagian bawah badan persis sebuah SUV sebenar. Tiada panel berwarna krom pada keseluruhan badan dan bahagian belakang dilengkapi spoiler bumbung yang lebih besar. Model konsep ini juga diberikan roda aloi 16-inci bagi memberikan ruang kelegaan jalan yang lebih tinggi.

    Tiada maklumat adakah ia akan diproduksi, tetapi ini mungkin jawapan PT Toyota Astra Motor untuk bersaing dengan Honda BR-V?

     
     
  • CEO MAI sifatkan Proton boleh menjadi “pemain global yang kompetitif” berdasarkan prestasi terkini

    Proton_Iriz_Review_-019

    Sebelum pelancaran tiga model mampu milik Proton yang akan dimulakan dengan model Persona 2016 minggu hadapan, CEO Institut Automotif Malaysia (MAI) Mohamed Madani Shahri telah mengeluarkan kenyataannya berhubung prestasi Proton buat masa sekarang. Dalam kenyataan berkenaan, beliau menzahirkan keyakinannya terhadap model perniagaan Proton untuk bersaing dalam peringkat global bermula dengan pelancaran Proton Perdana 2016 pada Jun lalu.

    Madani menyifatkan 2016 merupakan tahun yang mencatatkan peristiwa pahit manis buat Proton bermula dengan sokongan bersyarat yang diberikan oleh kerajaan selepas mereka memohon suntikan dana. Banyak pihak melihat isu tersebut sebagai anjakan untuk Proton kerana pengeluar automotif nasional berkenaan perlu berusaha kearah perniagaan yang mampan sebagai jenama global sebelum apa-apa bentuk bantuan kerajaan diwujudkan.

    Dalam bulan yang sama, kerajaan telah meluluskan pinjaman berjumlah RM1.5 bilion untuk Proton membayar semula vendor mereka, dan Proton mula merencanakan pelan transformasi mereka, bermula dengan pengumuman beberapa model baharu yang akan dilancarkan pada tahun yang sama. Proton juga perlu mencari rakan strategik luar baharu untuk membawa semula jenama berkenaan diperingkat global.

    Menurut Madani, Perdana 2016 yang dilancarkan Jun lalu menunjukkan simbol model perniagaan Proton yang telah dirombak semula – model yang dibina oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan Proton menggunakan platform yang dikongsi oleh pembuat automotif bertaraf global. Hasilnya, Perdana merupakan model segmen-D yang elegen diasaskan dari modus operandi perniagaan yang menguntungkan.

    Madani juga menyatakan beliau sudahpun memandu uji Persona dan Saga baharu dan beliau teruja dengan prestasi model-model berkenaan, secara spesifiknya pada pengendalian, keselesaan di dalam kabin serta tahap getaran dan kekasaran yang rendah. Beliau juga menyifatkan kedua-dua model baharu ini mencerminkan personaliti dua watak utama dalam Proton buat masa sekarang iaitu CEO Proton Datuk Fuaad Kenali dan timbalannya Datuk Radzaif Mohamed – yang berfikiran terbuka serta penuh fokus, namun tegas dan berorientasikan matlamat.

    madani wm

    CEO MAI itu yakin tahap konsisten Proton berkenaan kualiti mereka boleh meningkat, dan turut mengatakan model sedia ada telah pun menunjukkan prestasinya dalam aspek keselamatan penumpang dan mendapat penarafan yang tinggi secara konsisten dalam program penilaian kereta baharu. Beliau juga mengakui prestasi pemanduan dan pengendalian Proton merupakan antara yang terbaik dalam kelasnya.

    Walau bagaimanapun, Madani menegaskan walaupun menerima sokongan dari kerajaan, kesemua usaha rancangan, membuat keputusan dan menjalankan semua langkah dalam program transformasi berkenaan perlu dilakukan sendiri oleh Proton. “Berdasarkan hasil dalam berberapa bulan kebelakangan ini, saya masih yakin Proton akan menjadi pemain yang kompetitif dalam pasaran automotif dunia.”

    Madani merujuk kepada Proton yang menjadi topik utama dalam berita hampir setiap minggu atas sebab yang betul, bukan sahaja berkenaan model baharu seperti Persona dan Saga, malah berkenaan hala tuju baharu perniagaan mereka.

    Walaupun bercampur antara kebenaran dan spekulasi, Madani mengatakan ini adalah petanda rakyat Malaysia masih berminat dengan masa hadapan Proton dan kebanyakkan mereka meramalkan kejayaan Proton pada masa hadapan. Akhir sekali, Madani merumuskan sekarang adalah masanya untuk teruja dengan masa hadapan Proton dan industri automotif.

    Jadi, apa pendapat anda berkenaan pandangan CEO MAI ini? Adakah anda turut bersetuju atau berpendapat sebaliknya? Kongsikan pandangan anda pada ruangan komen di bawah.

     
     
  • GIIAS 2016: Honda HR-V Mugen di dalam pakej ‘sporty’

    Honda_HR-V_Mugen-2

    Selain Honda Jazz RS CVT Sepcial Edition yang ditampilkan sebelum ini, ruang pameran Honda di GIIAS 2016, Jakarta mempamerkan sebuah lagi model yang sama menarik, iaitu Honda HR-V Mugen. Ia dilancarkan oleh pengedarnya di sana, PT Honda Prospect Motor, dengan penggunaan kit aksesori Mugen asli.

    Antara bahagian yang terlibat di dalam pakej Mugen ini ialah gril depan yang menempatkan logonya, spoiler bahagian bawah di depan, side skirt, spoiler bawah bahagian belakang, lambang Mugen pada bahagian cermin sisi, termasuk pelekat khasnya pada badan. Imej rangginya dilengkapkan dengan penggunaan rim aloi Mugen 17 inci.

    Di Indonesia, pakej Mugen ini ditawarkan bagi dia varian; 1.5L E CVT dan yang paling tinggi, 1.8L Prestige. Tiga warna sebagai pilihan, iaitu Orchid Pearl, Rallye Red dan Crystal Black Pearl.

    Varian Mugen ini di sana turut didatangkan dengan apa yang dikenali sebagai Premium Entertainment System (PES). Unit audio biasa digantikan dengan sistem AV dengan skrin lapan inci; dengan saiz yang lebih besar daripada set audio 2-DIN. Ia boleh disambung dengan capaian Bluetooth dan HDMI.

    PES dengan kuasa 120 watt itu didatangkan dengan lapan pembesar suara dan menggunakan magnet neodymium dan pembesar belakang jenis co-axial (enam pembesar suara, 50 watt, magnet ferrite bagi sistem audio standard).

    Honda HR-V Mugen dijual pada harga 326.4 juta Rupiah (RM100,587) bagi 1.5L manakala 398.8 juta Rupiah (RM122,784) bagi 1.8L. Bagaimana jika pakej yang sama ditawarkan oleh Honda Malaysia, adakah ia akan mendapat sambutan?

     
     
  • Proton Persona 2016 dibuka untuk tempahan; servis percuma tiga tahun, tawaran sebelum 30 September

    Persona 2016 booking BM

    Proton Persona 2016 kini mula dibuka untuk tempahan kepada pelanggan yang berminat. Turut diberikan ialah tawaran pengenalan yang melibatan pakej servis percuma selama tiga tahun bagi alat ganti dan tanaga buruh. Ia bagaimapun hanya sah bagi tempahan yang dibuat sebelum 30 September ini.

    Jumaat lalu, kami berkesempatan untuk mengikuti sesi pandu uji dan taklimat ringkas Proton bersama media berkenaan model yang bakal dilancarkan itu. Proton Persona 2016 akan dilengkapi dengan enjin 1.6 liter VVT petrol yang digandingkan dengan sistem transmisi CVT dan manual.

    Bagi spesifikasi dan varian, terdapat empat pilihan disediakan kepada pelanggan. Pertama, varian Standard dengan pilihan transmisi manual atau CVT. Sebagai varian paling asas, ia tidak mempunyai lampu kabus, disediakan cermin sisi hitam dan rim 15 inci.

    Kedua ialah varian Executive, yang antara lain turut dilengkapi dengan radio biasa, b-pillar dengan warna badan kenderaan serta rim 15 inci rona kelabu. Namun begitu, pilihan transmisi yang ditawarkan hanyalah dari jenis CVT sahaja.

    Bagi varian Premium pula, ia juga dilengkapi dengan sistem transmisi CVT. Tambahan lain padanya ialah dari aspek keselamatan; ia dilengkapi dengan enam beg udara. Selebihnya, penggunaan material kulit bagi tempat duduk dan stereng, paparan skrin sentuh, masukan tanpa kunci (keyless entry), bodykit dan rim 15 inci warna perak.

    Varian keempat ialah Premium SE. Perkara yang membezakannya dari varian Premium ialah aksesori bodykit penuh bagi keseluruhan kereta, termasuk spoiler pada but belakang.

     
     
  • Enjin Infiniti baharu tampil teknologi nisbah mampatan bervariasi akan membuat penampilan sulung di Paris

    Enjin Infiniti VC-T

    Infiniti bakal menjadi pengeluar pertama dalam dunia yang akan menjual kenderaan mereka dilengkapi dengan enjin nisbah mampatan bervariasi apabila enjin VC-T mereka mula menembusi pasaran kelak, lapor Autocar.

    Enjin serba baharu 2.0 liter empat-silinder berkenaan didakwa akan memberikan “ekonomi seperti enjin diesel dan kuasa serta kelancaran seperti enjin V6”. Ia akan menggantikan enjin 3.5 liter V6 Infiniti bentangan melintang sedia ada dan dijangka akan menjana crossover tujuh tempat-duduk GX80 yang akan menembusi pasaran pada masa hadapan. Enjin ini juga dijangka akan menjana model Q30 dan QX30, dan akan dipamerkan buat pertama kali pada Paris Motor Show Oktober nanti.

    Menurut jurutera Infiniti, enjin produksi dengan pendesak turbo ini akan menghasilkan kuasa 270 bhp dan tork maksima 390.5 Nm serta 27% lebih ekonomikal berbanding enjin petrol konvensional dengan kapasiti yang sama. Ini menjadikannya ia sebuah enjin yang mempunyai penjimatan seperti enjin diesel 2.0 liter tipikal.

    Jurutera Infiniti juga memberitahu Autocar tahap NVH dan karekter enjin ini juga sama sepert enjin V6. Enjin VC-T ini juga difahamkan lebih murah untuk dibina berbanding enjin diesel Euro-6 tipikal.

    Enjin Infiniti VC-T_2

    Enjin VC-T ini mempunyai dua sistem pancitan selari, satu pancitan terus ke kebuk pembakaran dan satu lagi ke manifold kemasukan. Kedua-dua sistem pancitan berkenaan boleh ditukar sama ada menggunakan mod pembakaran biasa atau mod penjimatan bahan api kitaran pembakaran Atkinson.

    Nisbah mampatan enjin VC-T ini boleh berubah secara lancar dari 8:1 (ideal untuk prestasi tinggi) hingga 14:1 (untuk kecekapan tinggi) dengan lengan penggerak mekanikal yang dihubungkan pada rod penghubung omboh menerusi slot pada sisi blok enjin.

    Rod penghubung direka dengan dua bahagian dan bersambung dengan penghubung jenis tuil. Lengan penggerak (beroperasi menggunakan motor elektrik yang diletakkan pada bahagian luar blok enjin) akan menggerakan penghubung-penghubung ini, dan akan menggubah jarak pergerakkan omboh. Pergerakkan yang panjang (TDC lebih tinggi) akan memberikan nisbah mampatan maksimum 14:1 manakala dengan pergerakan lebih pendek (TDC lebih rendah) akan memberikan nisbah mampatan terendah 8:1.

    Jurutera Infiniti turut memberitahu pembinaan enjin VC-T ini telah pun dimulakan sejak tahun 1998, dan boleh dihibridkan untuk mencapai ekonomi 10% lebih baik.

     
     
  • SPAD dapat lampu hijau sahkan khidmat Uber dan Grab; pemandu teksi bakal mogok selama enam hari

    Taxi protest KL 8 April 2016 feat 1

    Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (Pers1m) memberi amaran bahawa pemandu teksi akan mogok selama enam hari berturut-turut berikutan keputusan Suruhanjaya Pengangkutan Aawam Darat (SPAD) untuk mengesahkan perkhidmatan atas talian, Uber dan Grab.

    Presidennya, Kamaruddin Mohd Hussain turut berkata, pemandu-pemandu teksi juga tidak bersetuju dengan keputusan Kabinet yang membenarkan pengendali perkhidmatan untuk menggunakan dua perkhidmatan aplikasi atas talian terbabit yang dikatakan telah menjejaskan pendapatan mereka.

    “Tarikh protes belum ditentukan, tetapi ia pasti diadakan. Ketegangan antara pemandu teksi dan perkhidmatan aplikasi atas talian itu akan berpanjangan,” kata beliau, seperti dilaporkan The Malay Mail. “Matlamat tindakan itu adalah untuk menunjukkan kepada kerajaan bahawa industri teksi semakin tenat disebabkan peraturan yang tidak seragam,” tambahnya.

    Selain keluhan bahawa pemandu dari dua aplikasi berkenaan “mencuri” pelanggan mereka, industri teksi juga menyatakan mereka tidak dapat bersaing dengan perkhidmatan atas talian itu disebabkan terikat dengan peraturan yang ditetapkan oleh SPAD.

    Kerajaan pada Khamis lalu memberikan lampu hijau kepada SPAD untuk mengesahkan operasi perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian itu selepas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azharuddin Mat Sah, membentangkan rancangan untuk merombak industri teksi dan menjadikan perkhidmatan aplikasi perkongsian kenderaan itu sah.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini berkata dua perkhidmatan perkongsian kenderaan itu akan dikawal selia, manakala industri teksi tradisional adalah sebaliknya. Pemandu teksi membidas dua perkhidmatan atas talian itu dengan alasan persaingan mereka tidak adil kerana Uber dan Grab tidak tertakluk kepada keperluan syarat perlesenan yang sama.

    Mogok yang dijalankan oleh pemandu teksi sebelum ini berkaitan isu sama menyebabkan kesesakan teruk di pusat bandar. Jika mogok enam hari ini menjadi kenyataan, ia mungkin akan melumuhkan aliran lalu lintas di Kuala Lumpur.

    SPAD dijangka akan mengadakan sidang media untuk mengumumkan maklumat lanjut terhadap kawal selia bagi Grab dan Uber minggu ini.

     
     
  • Kadar rata RM4 untuk tempat parkir stesen LRT baharu

    prasarana-lrt-kj27-glenmarie

    Rapid KL akan mengenakan kadar rata RM4 untuk setiap kali pengguna memarkir kenderaan mereka di stesen LRT baharu mulai hari ini (15 Ogos) selepas tamatnya promosi parkir percuma, menurut laporan The Star.

    Stesen-stesen fasiliti “park n ride” baharu berkenaan adalah stesen Ara Damansara, Glenmarie, USJ21, Alam Megah, Subang Alam dan Putra Heights. Walau bagaimanapun, parkir untuk motosikal dan basikal adalah kekal percuma.

    Menurut jurucakap Rapid KL Lim Jin Aun, tempat parkir percuma disediakan di semua fasiliti “park n ride” pada Projek Jajaran LRT baharu sejak ianya dibuka 30 Jun lalu untuk penumpang LRT dalam kawasan kejiranan berhampiran dan promosi berkenaan tamat pada 14 Ogos.

    Lim yang juga ketua komunikasi dan pemasaran strategik kumpulan Prasarana Malaysia Berhad turut menasihatkan orang ramai agar memarkir kenderaan mereka di tempat yang telah disediakan dan tidak meletakkan kenderaan mereka di tepi dan bahu
    jalan yang bukan sahaja menghalang aliran trafik, tetapi mereka juga akan disaman dan kederaan mereka berisiko untuk ditunda.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026