Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Menteri Pengangkutan saran agar pembatalan kawal selia syarat untuk pemandu teksi disambut baik

    liow tiong lai

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menyarankan agar pengendali operasi teksi menyambut baik saranan pembatalan kawal selia syarat untuk pemandu teksi oleh Kementerian Pengangkutan bagi memastikan mereka dapat bersaing dengan Uber dan GrabCar, lapor Bernama.

    Menurut beliau pengusaha teksi akan mendapat faedah dengan cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) tersebut berikutan peraturan tambahan akan dikenakan kepada pemandu Uber dan GrabCar yang pasti akan menyelaraskan platfom yang sama bagi perkhidmatan teksi, dan sudah tentu akan membolehkan mereka bersaing dengan perkhidmatan berteknologi baharu berkenaan.

    “Sudah sampai masanya pemandu teksi menjadi lebih berdaya saing dan fleksibel selepas kabinet meluluskan operasi GrabCar Dan Uber secara sah di negara ini.

    “Mereka (pengusaha teksi) tidak boleh memberhentikan operasi hanya kerana mereka perlu bersaing dengan Uber dan GrabCar. Ini kerana teknologi dan aplikasi sentiasa berkembang,” katanya kepada pemberita.

    Menurut Liow lagi SPAD akan memaklumkan mengenai peraturan penyelarasan perkhidmatan pemandu teksi dan GrabCar dalam masa terdekat.

    Beliau juga menjelaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan mengenai langkah Kementerian Kewangan (MoF) untuk mengkaji mekanisme percukaian terhadap perkhidmatan Uber dan GrabCar

    “Terpulang kepada MoF kerana itu merupakan portfolio mereka dalam memastikan apabila ada keuntungan dan hasil syarikat yang menjalankan perniagaan, mereka perlu membayar cukai.

    “Kita akan kaji sistem cukai sedia ada untuk melihat sama ada perlu atau tidak pengendali Uber dan GrabCar membayar cukai kepada kerajaan,” katanya.

     
     
  • Roadshow Toyota Sienta – lihat sendiri MPV baharu ini di Sunway Giza hari ini, Setia City Mall esok

    Toyota-Sienta-Mobile-Truck-023-1_BM

    Berminat untuk melihat Toyota Sienta dengan lebih dekat? Bermula hujung minggu ini hingga pelancaran rasminya minggu hadapan, UMW Toyota akan membawa keluar MPV ini dan merancang pelbagai aktiviti antara 13 hingga 25 Ogos ini. Hari ini (13 Ogos), Trak Mudah Alih Sienta akan berada di Sunway Giza, dan esok (14 Ogos) trak ini akan dibawa ke Pintu Masuk Timur Setia City.

    Roadshow mudah alih ini akan membawa dan mempamerkan sepenuhnya MPV berkenaan, dengan informasi tambahan serta memberikan peluang kepada orang ramai untuk menerima kupon pandu uji, yang akan memberikan keutamaan kepada anda untuk memandu uji model ini di bilik pameran Toyota setelah ia dilancarkan. Anda boleh rujuk jadual penuh di bawah.

    Trak Mudah Alih Sienta ini akan bergerak ke lokasi terpilih sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam, Putrajaya, Cyberjaya dan Petaling Jaya. Di setiap lokasi, pengunjung boleh mengambil bahagian dalam peraduan “Catch The Sienta Photo Contest” untuk memenangi voucer membeli-belah. Pada hujung minggu, Fun Truck ini turut menyediakan Zon Ria Kanak-kanak serta memberikan gula-gula kapas dan popcorn secara percuma.

    Tempahan untuk Toyota Sienta sudah pun dibuka, dan ia bakal dijual pada harga RM92,900 untuk varian asas 1.5G, manakala varian tertinggi 1.5V akan dijual pada harga RM99,900. Jika anda sedang dalam membuat keputusan untuk membeli MPV tujuh-tempat duduk baharu, singgah dahulu di roadshow Trak Mudah Alih Sienta ini untuk melihat sendiri rupa paras MPV yang agak funky berkenaan.

     
     
  • PANDU UJI: Proton Persona 2016 – impresi awal

    2016 Proton Persona BM Front Red

    Okay, ini mungkin antara ulasan yang paling ditunggu-tunggu rakyat Malaysia. Saya percaya, ramai yang tertanya-tanya bagaimana prestasi Proton Persona 2016 ini. Selain dari ingin membuat keputusan sedan mampu milik mana yang mahu dibeli (lebih-lebih lagi selepas Perodua Bezza dilancarkan baru-baru ini, walaupun ia berlainan segmen), rakyat Malaysia juga pastinya mahu melihat bagaimana Proton melakukan perubahan dan bangkit semula selepas menerima pinjaman bernilai RM1.5 bilion dari kerajaan.

    Pelancaran model-model lain yang dibuat selepas model premium sedan segmen-D iaitu Proton Perdana 2016 juga merupakan salah satu strategi pemulihan yang dijalankan Proton. Proton tidak mensasarkan angka jualan yang tinggi untuk Perdana dan ia dilancarkan terlebih dahulu bertujuan untuk menaikkan semula imej Proton – membuktikan mereka masih mampu untuk menarik pelanggan dari pasaran segmen-D, iaitu segmen yang sering dikaitkan dengan golongan eksekutif dan elit.

    Bukan itu sahaja, usaha Proton turut dapat dilihat dalam menaikkan semula tahap servis selepas jualan mereka seperti pusat servis yang kini dibuka selama tujuh hari, diskaun untuk alat ganti sehingga 30% serta aplikasi atas talian MyProton untuk memudahkan urusan pembelian kereta Proton dan urusan servis pemilik Proton.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Proton Persona 2016 – Perincian ringkas, penawaran dan pilihan varian serta spesifikasi yang diketahui

    Persona 2016 Spoiler_02

    Bulan ini, Proton Persona 2016 mungkin menjadi model kenderaan yang paling hangat diperkatakan. Setakat ini, Proton sudah pun menunjukkan beberapa video berkaitan ciri keselamatannya dan semalam, melalui laman Facebook rasmi Proton, teaser terbaharu berkaitan model ini pula didedahkan.

    Ramai yang ingin tahu apa yang akan ditawarkan olehnya. Apa spesifikasinya? Apa ciri-ciri terbaharu dan sebagainya. Untuk itu, siang tadi kami berkesempatan mengikuti sesi khas pihak media bersama Proton untuk mendekati penawaran sedan terbaharu Proton ini.

    Dijangka bakal dilancarkan pada bulan ini, berikut adalah maklumat-maklumat yang disahkan berkaitan model terbaharu berkenaan. Dari segi berat, Persona 2016 ini 20 kg lebih ringan berbanding model lamanya. Dibangun menggunakan platform yang sama dengan Iriz, ia bagaimana pun 20-30 kg lebih berat daripada model hatchback kompak itu.

    Persona 2016 TouchScreenWithHand_03

    Ia hanya akan ditawarkan dengan enjin 1.6 liter VVT petrol. Penggunaan minyaknya melalui ciri VVT baharu yang dibangunkan pada enjin berkenaan didakwa mampu memberikan penjimatan sekitar 10% bagi versi automatik dan 13% bagi versi manual (dengan purata kelajuan pemanduan 90 km/j), jika dibandingkan dengan model terdahulu.

    Bacaan penggunaan minyaknya di atas kertas disifatkan mampu mencapai 5.6 liter bagi setiap 100 km untuk versi manual. Bagi transmisi CVT, ia memberikan bacaan 6.1 liter bagi setiap 100 km.

    Beralih ke bahagian yang melibatkan enjin, Persona 2016 dipasangkan dengan tiga engine mount baharu, bertujuan untuk menyerap lebih banyak gegaran enjin; ia menyumbang kepada pengurangan kebisingan sebanyak 6 db di dalam ruang kabin. Dari segi prestasi dan ketangkasan, pecutan dari kedudukan pegun 0-100 kmj pula mengambil masa 10.9 saat.

    Enjin yang digunakan secara mekanikalnya sama dengan enjin 1.6 liter pada Proton Iriz, tetapi ditala agar sesuai bagi penggunaan sebuah sedan. Unit komputer ECU yang digunakan adalah dari jenis yang baharu, manakala transmisi CVT yang melengkapi varian automatiknya juga kini semakin lancar dan bertambah linear.

    Selain itu, ruang yang tersedia pada but belakangnya ialah 510 liter (Persona terdahulu 470 liter sahaja), dengan nisbah lipatan 60:40 tempat duduk.

    Model ini juga akan dipasangkan dengan tayar baharu; Silverstone Kruiser dan Goodyear Assurance (bagi varian Premium sahaja).

    Jarak membreknya berjaya dipendekkan, sekaligus meningkatkan keupayaan memberhentikan kenderaan; Persona terdahulu dengan brek cakera pada semua roda memerlukan jarak 44.6 meter untuk berhenti. Bagi Persona 2016 pula, jarak itu dipendekkan kepada 41.4 meter, dengan brek belakang dari jenis brek dram.

    Persona 2016 Trunk Boot empty

    Bagi varian, terdapat empat pilihan yang ditawarkan. Bagaimanapun, sistem kawalan kestabilan kenderaan (VSC) adalah ciri standard bagi semua varian.

    Pertama, varian Standard dengan pilihan transmisi manual atau CVT. Sebagai varian paling asas, ia tidak mempunyai lampu kabus, disediakan cermin sisi hitam dan rim 15 inci.

    Kedua ialah varian Executive, yang antara lain turut dilengkapi dengan radio biasa, b-pillar dengan warna badan kenderaan serta rim 15 inci rona kelabu. Namun begitu, pilihan transmisi yang ditawarkan hanyalah dari jenis CVT sahaja.

    Bagi varian Premium pula, ia juga dilengkapi dengan sistem transmisi CVT. Tambahan lain padanya ialah dari aspek keselamatan; ia dilengkapi dengan enam beg udara. Selebihnya, penggunaan material kulit bagi tempat duduk dan stereng, paparan skrin sentuh, masukan tanpa kunci (keyless entry), bodykit dan rim 15 inci warna perak.

    Varian keempat ialah Premium SE. Perkara yang membezakannya dari varian Premium ialah aksesori bodykit penuh bagi keseluruhan kereta, termasuk spoiler pada but belakang.

    Berikut pecahan spesifikasi setiap varian:

    Proton Persona 1.6 2016 Standard MT/CVT

    Enjin 1.6 liter VVT
    107 hp pada 5,750 rpm, 150 Nm pada 4,000 rpm
    5.6 l/100 km bagi 5MT (90 km/j)
    6.1 l/100 km bagi CVT (90 km/j)
    Ecodrive Assist
    Lampu utama Reflector halogen (tinggi boleh laras)
    Lampu kabus belakang
    Sensor parkir depan dan belakang
    Rim 15-incikelabu (dengan tayar Silverstone Kruizer)
    Cermin sisi dan pemegang pintu tidak dicat
    Cermin sisi elektrik
    B-pillar warna badan
    Kunci Remote dan penghidup enjin dengan kunci
    Unit audio Single-DIN & Bluetooth
    Tempat duduk fabrik
    Tempat duduk boleh dinaikkan
    Kapasiti but belakag 510 liter
    Tempat duduk kanak-kanak Isofix
    2 beg udara
    ABS dengan EBD dan BA
    Vehicle Stability Control (VSC)
    Hill-hold assist
    Brek cakera depan, brek dram belakang

    Proton Persona 2016 1.6 Executive CVT

    Tambahan:
    Lampu kabus depan
    Cermin sisi dan pemegang pintu warna badan
    Spoiler but belakang
    Unit audio Double-DIN & Bluetooth
    Konsol tengah warna kelabu berkilat
    Port mengecaj USB
    60:40 lipatan kerusi belakang
    Trim pintu fabrik

    Proton Persona 2016 1.6 Premium CVT

    Tambahan:
    Rim 15 inci warna perak (dengan tayar Goodyear Assurance)
    B-pillar hitam
    Masukan tanpa kunci dengan butang penghidup
    Unit skrin sentih (Android) dengan Bluetooth dan kamera undur
    Tempat duduk dan stereng kulit
    Trim pintu kulit
    Cermin sisi berkuasa dan boleh lipat
    6 beg udara

    Proton Persona 2016 1.6 Premium SE CVT

    Tambahan:
    Bodykit dwi tona menyeluruh

    2016 Proton Persona BM 2

    Di bahagian luar, semua varian menggunakan lampu utama jenis reflector tanpa lampu nyalaan siang (DRL). Lampu belakang juga menggunakan bulb biasa dan bukannya LED. Sama seperti Iriz dan Perdana, pada bahagian dalam lampu depan tertera jenama Proton.

    Pada ruang dalaman, varian dengan CVT menerima rekaan tuil gear baharu dengan butang. Semua model menerima warna latar dua tona hitam dan beige (bahagian bawah) pada panel. Menurut Proton, ini membantu membuatkan penumpang merasakan lebih selesa.

    Persona akan menjadi model baharu kedua yang diperkenalkan oleh Proton tahun ini selepas Perdana. Proton mensasarkan penjualan 3,000 unit Persona 2016 setiap bulan.

    Setakat ini dahulu maklumat-maklumat awal yang dapat kami peroleh dari sesi khas siang tadi. Sebarang pertambahan maklumat baharu akan dibuat dari semasa ke semasa. Jangan lupa kongsikan pandangan anda.

     
     
  • JPJ nafi khabar angin bahawa pengesahan biometrik diperlukan bagi pembaharuan Lesen Kenderaan Motor

    JPJ_VOC

    Sebagai maklum balas terhadap mesej yang sebelum ini disebarkan melalui media sosial, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini mengeluarkan kenyataan rasminya berhubung pengesahan biometerik pemilik kenderaan.

    Menurut JPJ, mesej yang menyatakan bahawa bermula 1 September ini pemilik kenderaan wajib hadir ke JPJ bagi membuat pengesahan biometrik untuk tujuan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor adalah tidak benar. Prosen pembaharuan berkenaan adalah sama seperti sebelumnya, sama ada pemilik atau wakil boleh hadir ke JPJ dan tiada pengesahan biometrik diperlukan.

    Mulai 1 September 2016, mana-mana kenderaan yang memperbaharui Lesen Kenderaan Motor akan diberikan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) baharu bagi menggantikan Perakuan Pendaftaran Kenderaan (geran) sedia ada. Penggantian geran kepada VOC juga akan dibuat dalam urusan pindaan dan pembetulan rekod yang belum pernah mendapat VOC.

    JPJ juga memaklumkan, penukaran VOC bagi kali pertama adalah percuma. Bagi kenderaan yang telah mendapat VOC sebelum ini, JPJ boleh mengeluarkan VOC baharu di atas permintaan pemilik, sekiranya berlaku sebarang pindaan atau perubahan rekod kenderaan.

    Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak lekas percaya kepada khabar angin yang disebarkan melalui media sosial yang tidak dapat disahkan sumbernya berkaitan hal ini.

     
     
  • Volvo XC60, V40 terima status EEV, harga turun RM22k

    Volvo XC60 Facelift Drive-E- 1

    Volvo Car Malaysia mengumumkan dua model jenama itu, iaitu XC60 dan V40, yang mana kedua-duanya dilengkapi ciri Drive-E – telah diberikan status Energy Efficient Vehicle (EEV) di Malaysia. Kesan daripada itu ialah penurunan harga bagi kedua-dua model berkenaan sehingga RM22,000.

    Model SUV XC60 T6, yang sebelum ini dijual pada harga RM318,888 kini menjadi RMRM298,888; pengurangan RM20,000. Sementera itu, bagi varian T5 pula kini dijual pada harga RM266,888 berbanding RM288,888 sebelum ini. Ia menyaksikan penurunan harga sebanyak RM22,000.

    Volvo XC60 dilengkapi enjin petrol 2.0 liter empat silinder turbocaj Drive-E, dengan janaan kuasa 306 hp pada 5,700 rpm dan 400 Nm tork pada 2,100 rpm hingga 4,500 rpm. Bagi versi T5, ia menyalurkan kuasa 245 hp dan 350 Nm tork dari 1,500 rpm hingga 4,800 rpm.

    V40 Price wide shot_HR

    Bagi Volvo V40 hatchback, versi T5 Drive-E kini boleh dimiliki pada harga RM180,888 berbanding RM192,000 sebelumnya. Ia melibatkan penurunan harga sebanyak RM12,000. Model dengan ciri Drive-E terkini yang diperkenalkan pada Jun lalu untuk pasaran tempatan itu dilengkapi enjin 2.0 liter empat silinder turbocaj dengan kuasa 245 hp dan 350 Nm tork.

    Semua harga yang dinyatakan ini tidak termasuk insurans, dan sah bermula hari ini. Dari sudut spesifikasi, kedua-dua model ini masih mengekalkan tahap penawaran yang sama seperti sebelum ini. Hanya harganya diturunkan disebabkan insentif EEV yang diperoleh.

     
     
  • Honda CBR500R, CB500F dan CBX500X 2016 untuk pasaran Malaysia terima peningkatan; guna lampu LED

    16YM CB500F

    16YM CB500F

    Siri jentera 500 cc Honda di Malaysia, iaitu CBR500R, CB500F & CB500X kini menerima beberapa peningkatan bagi pasaran Malaysia. Perubahan utama yang melibatkan semua model dalam siri 500 cc ini ialah penggunaan lampu LED untuk bahagian depan dan belakang jentera terbabit. Antara peningkatan lain ialah penggunaan sistem wave key.

    Turut melengkapi penawaran terkini barisan motosikal Honda ini ialah sistem penyerap hentak boleh laras pada bahagian hadapan serta sistem brek depan yang turut boleh dilaraskan dengan lima titik penyelarasan bagi brek bahagian hadapan. Selain itu, bagi CBR500R & CB500F, kapasiti tangki petrol turut menerima pembaharuan kepada 16.7 liter. Manakala bagi CB500X pula kapasiti tangki petrolnya kini 17.5 liter.

    Boleh didapati bermula Ogos ini disemua bilik pameran Impian Honda, CBR500R dijual pada harga RM31,681.28, manakala model CB500F pula akan dijual pada harga RM31,363.28. Kedua-dua model ini hanya didatangkan di dalam satu varian standard sahaja.

    Sementara itu, bagi model CB500X pula, varian standradnya dijual pada harga 31,893.28, manakala bagi varian dengan ciri ABS pula ialah RM35,391.28. Semua harga ini adalah termasuk GST. Siri jentera dua roda ini menggunakan enjin selari berkembar dengan kapasiti 471cc DOHC dengan sistem sejukan cecair. Ia menawarkan kuasa 37kW pada 8,500 rpm dan tork maksimum mencapai 44 Nm pada 7000 rpm.

    Semua model-model dari siri 500 cc 2016 Honda ini didatangkan dengan jaminan kilang untuk dua tahun atau 20,000km jarak perjalanan.

     
     
  • Perodua Bezza – Sasaran 6,000 unit dapat diserahkan, 19,000 unit tempahan sudah diterima setakat hari ini

    Perodua Bezza Launch Stage

    Setakat ini, sekitar 6,000 unit Perodua Bezza dalam proses untuk diserahkan kepada pemiliknya, manakala angka tempahan pula sudah meningkat kepada 19,000 unit. Di dalam sebuah kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Perodua menjelaskan pecahan bagi unit yang diserahkan adalah seperti berikut; 42% bagi Perodua Bezza 1.3L Advance, 43% bagi Perodua Bezza 1.3L Premium X dan 15% terdiri daripada Perodua Bezza 1.0L.

    “Setakat semalam, 5,000 unit Perodua Bezza sudah diserahkan,, sejak model sedan pertama kami itu dilancarkan pada 21 Julai lalu. Kami menjangka akan menyerahkan sekurang-kurangnya 1,000 unit lagi hari ini,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.

    Sedan kompak ini merupakan kenderaan sedan pertama di dalam segmen A yang dikeluarkan oleh Perodua, dengan reka bentuk badan yang dihasilkan oleh warga Malaysia. Projek ini bermula pada 2014 dengan sokongan rakan kongsi Perodua, iaitu Daihatsu Japan.

    Sejumlah RM300 juta dilaburkan bagi menghasilkan model sedan terbaharu itu, yang turut memuatkan 95% kandungan tempatan. Ia dipasang di kilang EEV Perodua yang baharu, Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd yang meliputi 75% daripada kerja-kerjanya dijalankan secara automatik.

    Perodua Bezza ditawarkan di dalam tiga varian, dengan harga bermula dari RM37,300 hingga RM50,800 bagi varian paling lengkap, 1,3L Advance dengan transmisi automatik. Enam pilihan warna turut ditawarkan, termasuk dua warna baharu, Sugar Brown dan Ocean Blue.

    “Kami sangat berterima kasih kepada rakyat Malaysia di atas sokongan yang ditunjukkan dan kerana memilih kenderaan kami sebagai jenama automotif pilihan mereka. Kami kini akan mempergiat proses serahan kepada pelanggan yang sudah membuat tempahan,” tambah beliau lagi.

     
     
  • Perodua Bezza di dalam imej ‘render’ sebuah teksi

    Perodua-Bezza-Taxi-Theophilus-Chin-e1470973050241-850x515

    Di dalam hasil rendering terbaharunya, Theophilus Chin menampilkan pula sebuah rekaan bayangan bagi model sedan Perodua Bezza, kali ini sebagai sebuah teksi. Dengan ciri yang ada, serta ruang barangan yang luas, ditambah pula dengan penjimatan yang mampu diberikan, Perodua Bezza mempunyai pakej yang menarik juga sebagai sebuah teksi yang ekonomikal.

    Versi render Perodua Bezza yang dihasilkan oleh beliau menampakkan model berkenaan dalam versi paling asas. Ia meminjam imej yang biasa kita lihat pada kebanyakan teksi bajet yang ada kini, misalnya bagi teksi yang menggunakan Proton Iswara. Bampar plastik hitam dan rim besi terdedah (yang dipinjam dari Axia mungkin) antara ‘gaya’ penting teksi ini. Mungkin, inilah miripnya jika Perodua Bezza benar-benar akan digunakan sebagai teksi nanti.

    Perodua-Bezza-Taxi-Theophilus-Chin-2-e1470973615671-850x558

    Ramai yang menganggap Perodua Bezza sebagai lawan paling dekat kepada Proton Saga yang ada kini. Dan kebetula, Saga berkenaan juga banyak digunakan sebagai teksi bajet. Jika Perodua Bezza ini benar-benar akan digunakan sebagai teksi oleh syarikat pengusaha perkhidmatan itu nanti, tidak musatahil ia juga akan menandingi populariti Saga dalam penggunaan yang sedemikian.

    Dengan penawaran enjin yang ada, terutama bagi enjin 1.3 liter dengan kuasa maksimum 94 hp dan 121 Nm tork, prestasi berkenaan sebenarnya lebih daripada mencukupi untuk sebuah teksi. Apa lagi dengan penggunaan bacaan minyak yang didakwa mampu dicapai oleh Bezza ialah 20 km per liter; membolehkan penjimatan kos operasi kepada pemiliknya.

    Apa pula pandangan anda tentang rekaan bayangan teksi Perodua Bezza ini? Mungkinkah ia akan menjadi kenyataan selepas ini? Jangan lupa kongsikan pendapat anda.

    Galeri Perodua Bezza Premium X

     
     
  • GIIAS 2016: Honda Jazz RS CVT Special Edition

    Selain dari prototaip Honda Civic Hatchback yang membuat penampilan pertamanya di rantau Asia, Honda turut mempamerkan sebuah Honda Jazz edisi istimewa pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) tahun ini khas untuk pasaran di republik berkenaan.

    Honda Jazz RS CVT Special Edition ini hadir dengan warna Attract Yellow Pearl (juga boleh dipilih dengan warna Crystal Black Pearl) serta roda aloi 16-inci berwarna hitam, yang membezakannya dari Honda Jazz RS biasa di Indonesia dan Jazz V pasaran Malaysia.

    Berbanding Jazz RS CVT (Jazz RS Indonesia turut dijual dalam versi manual!), varian tertinggi Special Edition ini diberikan serlahan jalur berwarna merah pada gril hadapan dan kemasan perak yang kelihatan seperti diffuser serta antena sirip jerung.

    Pada bahagian dalaman, Jazz edisi khas ini turut diberikan tema berwarna kuning dengan balutan tempat duduk sport menampilkan jahitan berkejituan-tinggi, menurut PT Honda Prospect Motor. Selain itu, ia turut dilengkapi elemen kuning pada panel dalaman pintu serta logo RS yang disulam pada perehat belakang tempat duduk. Logo RS turut dipadankan pada panel meter, bahagian hadapan serta belakang, sama seperti varian RS biasa. Skrin infotainmen “sistem AV terapung” bersaiz lapan inci turut dilengkapkan.

    Honda Jazz RS CVT Special Edition ini dijual dengan harga 269.3 juta rupiah (RM82,267, di Jakarta untuk pembeli kereta pertama).

     
     
  • Maserati Levante dipertonton di Malaysia dan dibuka untuk tempahan; penampilan sulung di Asia Tenggara

    Maserati Levante preview 1

    Maserati Levante, SUV pertama yang dikeluarkan oleh pengeluar Itali itu, hari ini dipertontonkan secara rasmi secara eksklusif di Malaysia. Ia juga merupakan penampilan sulung model berkenaan di Asia Tenggara. Majlis berkenaan diadakan oleh pengedar jenama itu di sini, Naza Italia Sdn Bhd di Naza Tower, Kuala Lumpur.

    Ia dibangun berdasarkan model Quattroporte dan Ghibli, ia merupakan penawaran SUV mewah pertama daripda jenama itu. Dengan sejarah dan kepakaran selama 100 tahun pengeluarnya, Maserati Levante menggabungkan fleksibiliti dengan pacuan kuasa klasik kenderaan Itali, prestasi dan imej yang menjadi sangat dekat dengan jenama berkenaan. Ia menjadi pelengkap barisan model kenderaan mewah dalam pasaran.

    “Levante membawa nama Maserati ke satu tahap yang baharu. Penampilan dan sentuhan mewahnya kini digandingkan di dalam satu pakej yang praktikal serta mengkagumkan. Sebaik sahaja ia dilancarkan nanti, Levante akan menjadi pilihan yang sukar ditandingi bagi pasaran kenderaan mewah yang diwakilinya,” jelas Naib Presiden Naza Italia, Farid Sulaiman.

    Levante sangat sinonim dengan sentuhan dan reka bentuk Itali, dan diperkemas dengan reka bentuk tersendiri Maserati. Gril radiator menjadi lambang utamanya, dengan rekaan lampu utama yang tirus memberi identiti tersendirinya pada bahagian depan. Walaupun merupakan sebuah SUV, Levante turut menerapkan garisan dan bayangan silhouette yang mirip sebuah kereta sport.

    Antara ciri utama uniknya ialah ia menggunakan rekaan bahagian tingkap tanpa kerangka. Dengan ketelitian dan sifistikasi reka bentuk yang dipamerkan, sangat jelas bahawa Maserati Levante ingin mewakili definisi baharu bagi sebuah kenderaan mewah yang menawarkan keselesaan dan pada masa yang sama, berkeupayaan untuk menggalas tugas dilaluan yang lebih mencabar.

    Di peringkat global, model ini ditawarkan dengan pilihan enjin 3.0L Twin Turbo V6 petrol yang menghasilkan 350 hp kuasa dan tork pada kadar 430 Nm. Satu lagi pilihan ialah enjin 3.0L Turbo Diesel V6, dengan janaan kuasa 250 hp dan 275 Nm tork. Model ini dipasang di Turin, Itali.

    Bagi pasaran tempatan, hanya versi diesel yang akan dibawa masuk nanti, disebabkan versi enjin petrol tiada pemasangan pemanduan sebelah kanan.

    Dengan nama yang diambil daripada istilah yang bermaksud ‘angin Mediterranean’, Levante direka untuk memberikan keseimbangan prestasi. Di atas jalan biasa, Levante memberikan pengendalian yang lancar dan lembut dengan karekteristik mewah yang sama seperti pada kenderaan salon Maserati sebelum ini.

    Pada laluan dan permukaan off-road pula, ia tetap mampu memberikan keupayaan yang sangat baik, menjadikanny model Maserati yang begitu praktikal. Gabungan antara reka bentuk, eksklusiviti dan prestasi meletakkan SUV dengan penggayaan coupe yang pertama ini sebagai sebuah penawaran yang lengkap, baik bagi sudut estetika mauhupun prestasi dan kejuruteraannya.

    Naza Italia kini sudah pun membuka bagi mereka yang berminat untuk membuat tempahan bagi Maserati Levante dan menjemput semua untuk mengunjungi bilik pameran jenama itu di Petaling Jaya bagi mendekati dan mendapatkan maklumat lanjut bagi SUV mewah ini.

     
     
  • SPAD sedang merangka platform yang adil untuk teksi dan aplikasi e-hailing bersaing secara positif

    Malaysia-Taxi-03

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata SPAD kini sedang merangka perincian untuk membina platform yang adil untuk teksi konvensional bersaing secara sihat dengan aplikasi e-hailing seperti Grab dan Uber, menurut laporan The Sun Daily.

    “Salah satu jalan adalah mengatur kembali industri teksi agar peraturan dikurangkan terhadap pemandu teksi seperti menghantar teksi mereka untuk diperiksa oleh Puspakom dua kali setahun dan lebih peraturan untuk mengawal selia Uber dan Grab,” kata Liow selepas melancarkan pertandingan klip video pendek “Dare to Dream” anjuran MCA semalam.

    Liow menegaskan salah faham dan masalah sekitar isu Uber, Grab dan Teksi ini adalah kerana undang-undang yang berlainan untuk mengawal selia teksi, Uber dan Grab.

    Ketua untuk Grab Malaysia Jaygan Fu berkata berita tersebut menyorot komitmen kerajaan untuk menyokong “jalan penyelesaian inovatif” bagi menyelesaikan masalah pengangkutan dalam negara.

    Fu menambah Grab bersedia untuk bekerja sama dengan SPAD dan pihak berkuasa lain untuk memahami rombakan yang dicadangkan pada undang-undang sedia ada.

     
     
  • SPAD akan kemuka cadangan untuk membina laluan pantas bas Klang-KL di Lebuhraya Persekutuan

    Rapid-KL-Double-Decker-Bus-02

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dijangka akan mengemukan “Permohonan untuk Cadangan” bagi membina laluan pantas bas (BRT) sepanjang Lebuhraya Persekutuan selewat-lewatnya awal tahun hadapan, menurut laporan Bernama.

    Menurut CEO SPAD Mohd Azharuddin Mat Sah laluan BRT berkenaan akan dibina dari Klang ke Kuala Lumpur untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bas. Untuk itu, SPAD akan mengambil tindakan penguatkuasaan (pada kenderaan biasa yang menggunakan laluan bas), atau membina infrstruktur khas, supaya mereka tidak perlu membuat penguatkuasaan.

    “Selain itu, bas BRT lebih murah berbanding LRT,” kata beliau selepas membentangkan kertas kerja “Transformasi Pengangkutan Awam Malaysia” di Affin Hwang Capital Conference Series 2016 semalam.

    Menurut Azharuddin lagi, laluan bas sedia ada di sekitar pusat bandaraya tidak begitu efektif kerana bas terpaksa bergerak mengikut aliran trafik.

     
     
  • Uber, Grab diluluskan atas kehendak rakyat – Menteri

    uber-x-car_BM

    Keputusan Kabinet untuk meluluskan operasi perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian seperti Uber dan Grab adalah kerana kepentingan rakyat, lapor The Sun Daily.

    Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberitahu akhbar berkenaan, keputusan Kabinet berkenaan adalah dipengaruhi kehendak rakyat.

    “Kami tiada masalah untuk mengawal selia Uber dan Grab kerana ini adalah apa yang rakyat mahukan,” kata beliau. “Kami bersikap objektif dan kami berpandukan kepentingan rakyat.”

    “Pengguna adalah aspek yang jauh lebih penting dari pemandu teksi. Apa yang rakyat mahukan dan suka gunakan adalah faktor utama kami membuat keputusan untuk mengawal selia Uber dan Grab,” tambah beliau.

    Beliau juga memberikan mesej mengejutkan, “Uber tidak akan diharamkan (di Malaysia).”

    Menurut Nazri lagi, Grab dan Uber adalah organisasi nasional, merujuk kepada pelaburan tidak langsung Khazanah Nasional Berhad dalam permulaan teknologi dan DNA tempatan Grab.

    “Sebagai Menteri Pelancongan, saya pastinya menyokong inisiatif teknologi untuk perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih efisien. Mereka (Uber dan Grab) adalah lebih kompetitif dan kadang-kala menawarkan tambang yang lebih murah dari teksi konvensional yang mana ia baik untuk rakyat dan pelancong.”

    Beliau turut mengingatkan pemandu agar melihat kelulusan operasi Uber dan Grab ini sebagai peringatan supaya mereka memperbaiki perkhidmatan mereka.

    “Kami tidak melupakan mereka. Ada berberapa insentif yang kami (Kabinet) telah luluskan minggu ini yang mana ia akan dilaksanakan oleh SPAD dalam Program Transformasi Industri Teksi tidak lama lagi,” kata Nazri dan menambah kerajaan tidak akan tunduk pada ugutan mereka untuk tidak memberikan mengundi kepada parti memerintah.

    “Mereka melakukan kesalahan besar jika pemandu-pemandu teksi ini terus mengugut kami,” tegas beliau.

     
     
  • Proton tayang teaser kedua bagi Persona 2016 menerusi FB – bakal dilancarkan sebelum Merdeka ini

    Persona_teaser

    Menjelang pelancarannya yang dijadualkan berlangsung sebelum Merdeka ini, Proton telah menayangkan teaser kedua bagi Proton Persona 2016 menerusi laman Facebook Proton Cars. Dengan foto sebahagian hadapannya, turut tertera perkataan ‘Coming Soon’ atau ‘Akan Datang’, menambahkan lagi debaran menjelang pelancarannya.

    Bahagian hadapannya ternyata memang mempersona dengan kehadiran lampu utama reflektor yang sedikit nipis bersama grafik yang agak sarat. Malah ia turut menampilkan bar krom yang kelihatan ‘terapung’ serta rekaan bampar bawah yang dipertingkatkan. Begitu juga dengan gril radiatornya yang diapit sepasang lampu kabus.

    Awal minggu ini juga, Proton telah menyebarkan teaser pertama Persona menerusi video Safety 360, yang menunjukkan model ini dalam beberapa siri ujian di litar ujian, termasuk bagi ABS dan sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC).

    Persona ini dijangka dipadankan dengan enjin yang sama dengan Iriz iaitu 1.3 liter dan 1.6 liter VVT, bersama transmisi manual lima-kelajuan atau CVT.

    Ia merupakan antara tiga model Proton yang bakal dilancarkan, termasuk Saga yang dijangka pada bulan hadapan, diikuti dengan MPV yang dibangunkan berdasarkan Suzuki Ertiga pada Oktober ini.

     
     
  • GIIAS 2016: Daihatsu Sigra, kembar Toyota Calya turut dilancarkan – enjin 1.0L dan 1.2L, harga dari RM33k

    Daihatsu_Sigra_Deluxe-2

    Semasa berlangsungnya GIIAS 2016, kembar kepada Toyota Calya iaitu Daihatsu Sigra turut diperkenalkan. Seperti Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia atau Toyota Passo dan Daihatsu Boon, kedua-dua model ini diasaskan dari platform yang sama tetapi dibezakan dengan rekaan pada muka yang tersendiri dan lencana jenama yang berbeza. Ia juga diletakkan dibawah sedikit dari Toyota dengan menampilkan pilihan enjin 1.0 liter.

    Sigra varian 1.0 liter menggunakan enjin 1KR-VE, enjin yang sama pada versi sedan platform yang sama iaitu Perodua Bezza. Enjin tiga-silinder DOHC berkenaan merupakan versi tingkat taraf enjin 1KR-DE pada Perodua Axia.

    Selain dari penambahan sistem VVT-i tunggal, enjin 1KR-VE ini turut menerima nisbah mampatan yang lebih tinggi (11.0:1 kepada 11.5:1), liang kemasukan udara yang lebih tinggi, liang kemasukan lebih panjang serta pemancit bahan api yang memberikan semburan lebih halus. Akhir sekali penggerak injap (valve lifter) menerima kemasan akhir sehingga 90% lebih halus. Seperti juga enjin Bezza, enjin Sigra ini bernafas lebih lega dengan menghasilkan kuasa 67 hp dan tork maksima 91 Nm.

    Enjin 1.0 liter ini hanya dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan manual untuk varian D dan M. Varian X dan R yang lebih tinggi dikuasakan dengan enjin 1.2 liter Dual VVT-i sama seperti Calya. Enjin 3NR-VE empat silinder DOHC ini merupakan versi lebih kecil enjin 1NR-VE yang dipadankan pada Bezza 1.3 liter – khas untuk memenuhi syarat 1.2 liter undang-undang Low Cost Green Car Indonesia – berkuasa 88 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 108 Nm pada takat 4,200 rpm. Enjin 1.2 liter ini boleh dipilih sama ada mahu dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan manual atau empat kelajuan automatik.

    Bahagian lain, Sigra adalah sama dengan Calya termasuk suspensi topang McPherson dan cakera brek berliang pada bahagian hadapan, gandar torsion beam dengan brek dram di belakang, stereng berkuasa elektrik dan juga roda bersaiz 14-inci dibaluti tayar 175/65R14. Varian M dan X dilengkapi roda besi, manakala untuk varian tertinggi R diberikan roda aloi. Walau bagaimanapun, varian terendah D hanya dipadankan dengan roda besi bersaiz 13-inci dengan tayar 155/80R13. Toyota Calya dilengkapi roda aloi kemasan dua ton 14-inci untuk semua varian.

    Bahagian dalaman Sigra dan Calya juga serupa, dibezakan dengan tema warna hitam dan perak untuk Sigra dan hitam dan perang pada Calya. Sigra boleh dipilih dalam enam warna badan berbeza, dengan warna Nebula Blue Metallic sebagai warna utamanya. Warna biru berkenaan tiada dalam senarai pilihan warna untuk Calya, tetapi ia diberikan warna Orange Metallic sebagai warna eksklusif. Daihatsu Sigra dijual pada harga bermula 106.6 juta rupiah (RM32,550) hingga 147.35 juta rupiah (RM44,993).

     
     
  • MINI MALAYSIA umum kempen ‘Ignite the MINI in You’ – siri jelajah, pandu uji di seluruh negara

    MINI-Malaysia-to-Ignite-the-MINI-in-You-e1470908694736

    MINI MALAYSIA akan menganjurkan satu siri jelajah ke seluruh negara mulai 12 Ogos hingga 2 Oktober ini. Ia menawarkan pelbagai aktiviti termasuk tawaran hebat dengan rebat tinggi dan kadar faedah pinjaman yang rendah. Malahan para pengunjung juga boleh memandu uji model-model baharu MINI sepanjang siri jelajah tersebut.

    Siri jelajah MINI itu juga menawarkan pakej pemilikan mudah. Ia merangkumi Jaminan Perbatuan Tanpa Had MINI selama empat tahun, selain Program Servis Berjadual Percuma dan Program Perlindungan Insurans Terbaik.

    MINI-Malaysia-to-Ignite-the-MINI-in-You-map

    Klik untuk besarkan

    Bukan itu sahaja, pengalaman pemilikan MINI anda akan ditingkatkan lagi menerusi Keahlian MINI Black Card. Ia menawarkan gaya hidup mengujakan, menikmati hidangan di luar, di samping manfaat dan pengalaman premium bersama rakan-rakan MINI Malaysia di seluruh negara.

    Siri Jelajah ‘Ignite the MINI in You’ ini akan dilancarkan pada 22 Ogos ini di Desa Park City sehingga 14 Ogos. Kemudian, siri jelajah ini akan singgah ke Paradigm Mall pada 19-21 Ogos sebelum meneruskan penjelajahannya ke lokasi lain. Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Ignite the MINI in You, sila daftarkan diri anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih eksklusif.

     
     
  • GIIAS 2016: Honda CBR250RR, jentera 250 cc yang ditunggu-tunggu, tinjauan pertama dari Indonesia

    2016 Honda CBR250RR -1

    Ini merupakan tinjauan secara langsung pertama terhadap jentera dua roda Honda CBR250RR 2016 dari pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2016 yang mula dibuka kepada media hari ini. Seperti yang sudah sedia maklum, ini merupakan model gantian kepada CBR250R silinder tunggal yang sangat ditunggu-tunggu.

    Diperkenalkan buat pertama kali bagi peringkat global di Indonesia Julai lalu, Honda CBR250RR 2016 merupakan jentera sport yang hadir dengan imej dan prestasi yang menawan. Banyak pembaharuan yang tambah menyerlahkan penampilannya, sebagai contoh rekaan keseluruhan, termasuk bahagian fairing yang lebih tajam serta lampu hadapan LED dengan reka bentuk yang kelihatan garang.

    Dengan enjin selari berkembar 249.7 cc sejukan cecair dengan lapan injap, ia seperti menjanjikan prestasi tunggangan yang mengkagumkan. Ia dilengkapi juga dengan teknologi ride-by-wire, serta sistem suntikan minyak PGM-FI dan juga tiga pilihan mod tunggangan. Saluran kuasa ini dilengkapkan dengan kotak gear enam kelajuan.

    Didatangkan dalam varian dengan ABS dan tanpa ABS, sistem suspensi CBR250RR ini menggunakan fork jenis terbalik di bahagian hadapan daripada Showa. Di belakang, penyerap hentak tunggal dengan lima pilihan kadar tampungan boleh laras melengkapi sistem suspensi keseluruhannya. Brek depan menggunakan kaliper dua piston sementara brek belakang hanya disertakan kaliper brek piston tunggal.

    Antara maklumat lain yang menarik tentang jentera terbaharu Honda ini ialah jarak antra rodanya ialah 1,389 mm, yang dijangka akan memberikan tunggangan yang jitu jika dipadankan dengan maklumat prestasinya awal tadi. Ketinggian tempat duduknya pula ialah 790 mm, memudahkan penyesuai tunggangan tidak kira saiz penunggang yang bagaimana.

    Penggayaan tempat duduknya juga menerapkan sentuhan perlumbaan, dengan mengambil kira faktor aerodinamiknya. Ia lebih tirus di depan untuk memudahkan penunggang beralih kedudukan sedikit ketika ingin mengambil selekoh. Lampu LED di bahagian depan dan belakang juga memberi perubahan positif. Lampu nyalaan siangnya (DRL) turut berfungsi bersekali sebagai lampu isyarat.

    Dengan rupa bentuk badan yang diberi sentuhan baharu sepenuhnya, CBR250RR turut diberi penampilan yang lebih minimal dengan penggunaan warna hitam matte, dengan pelekat grafik yang sangat minimum. Hanya ada grafik RR pada fairing, dan logo CBR kecil di belakang.

    Pengedarnya di Indonesia, PT Astra Honda membawa masuk dua versi akan ditawarkan; model tanpa ABS pada harga 63-68 juta Rupiah (RM19.5K – 21K) dan model dengan ABS pada harga sekitar 69-74 juta Rupiah (anggaran RM21,500 hingga RM22,000). Model sama turut akan diperkenalkan untuk pasaran Jepun dalam tahun ini.

    Adakah Honda CBR250RR 2016 ini akan turut menjengah pasaran Malaysia? Jika ya, ia akan memberi tentangan sengit kepada model-model sedia ada di dalam pasaran tempatan seperti Yamaha YZF-R25 (RM20,630), KTM RC250 (RM21,081), dan Kawasaki Ninja 250 (sekitar RM22,000). Dan, jika ini benar-benar berlaku, pasaran tempatan bagi jentera 250 cc akan bertambah rancak dengan pengguna mempunyai lebih banyak pilihan.

     
     
  • BMW 330e iPerformance akan didedahkan di BMW Innovation Days dari 26 hingga 28 Ogos ini – imej ‘teaser’ kini disiarkan dalam laman web rasmi

    Screen-Shot-2016-08-11-at-3.38.43-PM-850x323_BM

    Teaser untuk BMW 330e telah pun dikeluarkan oleh BMW Malaysia di laman web mereka, sebagai salah satu langkah promosi untuk acara BMW Innovation Days yang bakal berlangsung di Desa ParkCity bermula 26 hingga 28 Ogos ini. Sedan plug-in hybrid ini bakal didedahkan pada acara berkenaan, seminggu selepas BMW Malaysia mengesahkan model ini bakal masuk ke pasaran Malaysia.

    Harga untuk model ini masih lagi belum didedahkan, tetapi ia dijangka akan menawarkan harga yang sangat menarik dan pengedar telah membayangkan 330e akan dijual pada harga sekitar RM240k hingga RM260k. Ini akan meletakkan 330e berada di antara 320i Sport Line (RM231,800) dan 330i M Sport (RM297,800), menggantikan model-model 320d dan 320i M Sport (yang dijual pada harga RM269k dan RM259k) yang tidak lagi dijual sejak awal tahun ini.

    Imej teaser yang dipaparkan ini merupkan model yang dilengkapi denga pakej Sport Line, dan ia tidak mewakili model yang akan dijual untuk pasaran tempatan, dan ia disokong oleh laporan sebelum ini yang menyatakan 330e mungkin akan ditawarkan sama ada dalam varian Sport Line atau M Sport.

    BMW 330e ini dilengkapi dengan enjin 2.0 liter empat silinder, motor elektrik dan kotak gear lapan-kelajuan yang sama dengan yang ada pada BMW X5 xDrive40e dan 740e. Bagaimana pun, enjin berkenaan menghasilkan kuasa 180 hp dan tork maksima 290 Nm, dan digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 87 hp dan tork 250 Nm. Secara keseluruhan, model ini memberikan kuasa 248 hp dan tork 420 Nm; berbeza dengan model 330i petrol yang menawarkan kuasa 252 hp dan tork 350 Nm.

    Dengan padanan tersebut, 330e mampu mencapai bacaan 0-100km/j dalam masa 6.3 saat dan kelajuan maksimum 252 km/j. Ini hampir dengan bacaan yang dihasilkan oleh model 330i; 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat dan laju maksimum 250 km/j. Dari sudut penggunaan minyak pula, 330e mampu mencapai 2.1 liter per 100 km, berbanding 6.1 liter per 100 km bagi model 330i. Ia juga boleh dipacu menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dengan jarak 22.5 km, pada kelajuan sehingga 120 km/j.

    Anda juga boleh mendaftar di sini sekiranya berminat untuk menyertai acara BMW Innovation Days ini.

     
     
  • GIIAS 2016: Toyota Calya baharu – 1.2L Dual VVT-i, MPV 7-tempat duduk, harga bermula RM40k

    Toyota Calya GIIAS 3

    Toyota Calya baharu telah pun dilancarkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2016 yang sedang berlangsung ketika ini. Calya dibangunkan oleh PT Astra Daihatsu di kilang Karawang, yang mampu menghasilkan kapasiti sebanyak 200,000 unit. MPV ini menggunakan 94% komponen tempatan.

    MPV bajet yang menerima penarafan Low Cost Green Car (LCGC) Indonesia ini ditawarkan dalam dua pilihan iaitu varian asas E dan varian tertinggi G A/T dengan harga bermula 129.65 juta rupiah (RM39,662) hingga 150 juta rupiah (RM45,887).

    Ia didatangkan dengan pilihan enjin petrol tunggal 3NR-VE 1.2 liter Dual VVT-i empat-silinder berkuasa 88 PS pada takat 6,000 rpm dan tork 108 Nm pada 4,200 rpm. Enjin 3NR-VE MPV yang dibina berasaskan platform Perodua Axia/Daihatsu Ayla/Toyota Agya ini juga merupakan salah satu enjin dari siri NR. Ia turut dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan, yang dipacu roda-hadapan.

    Toyota_Calya-8

    Sama seperti Avanza yang mampu memuatkan kapasiti tujuh-tempat duduk, namun Cayla ternyata memiliki saiz yang lebih kecil iaitu 4,070 mm panjang (-120 mm), 1,655 mm lebar (+5 mm) dan 1,600 mm tinggi (-95 mm), dan jarak roda 2,525 mm (-130 mm).

    Manakala sistem suspensi dan brek pula sama seperti yang digunakan pada Perodua Axia/Bezza iaitu menampilkan suspensi topang Macpherson dan brek cakera pada bahagian hadapan, dan gandar torsion beam serta brek dram pada bahagian belakang. Kesemua varian juga didatangkan secara standard dengan roda aloi 14-inci dua-ton dibaluti tayar Bridgestone Ecopia bersaiz 175/65R14.

    Bagi rekaannya pula , untuk bahagian luaran, Calya agak mirip dengan Toyota Yaris facelift yang dijual di pasaran Eropah. Ia menampilkan gril bawah yang agak besar pada bampar hadapan dan bersambung pada gril utama. Pada bahagian belakang pula, ia dilengkapi dengan lampu belakang berbentuk-L, seperti rekaan pada Toyota Innova baharu.

    Selain itu, kedua-dua varian juga ditampilkan dengan lampu hadapan reflektor halogen, immobilser penderia undur dan penggera kawalan jauh, penghawa dingin manual (dengan corong pada tempat duduk barisan kedua), tingkap berkuasa untuk semua pintu, penunjuk ECO, paparan pelbagai info, tempat duduk barisan kedua boleh lipat nisbah 60:40 dengan satu sentuhan tuil dan tempat duduk barisan ketiga one-piece.

    Toyota_Calya-33

    Walau bagaimana pun, bagi membezakan model asas dan spesifikasi tertinggi, varian G dilengkapi dengan lampu kabus hadapan, cermin sisi berkuasa dilengkapi lampu isyarat membelok, kemasan perak pada pintu dan papan pemuka serta kemasan krom pada corong penghawa dingin dan tombol gear.

    Kedua-dua varian juga turut dilengkapi dengan pemain audio utama 2-DIN dengan fungsi CD, USB dan AUX. Walau bagaimanapun hanya varian G mempunyai hubungan Bluetooth dan empat-pembesar suara (varian E hanya dua-pembesar suara).

    Malah bagi aspek keselamatannya, Calya dilengkapi dengan dua beg udara dan cagak ISOFIX secara standard serta ABS bagi varian G sahaja. Ia turut ditawarkan dengan enam pilihan warna, termasuk merah dan jingga metalik.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026