Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Wartawan jatuh motosikal kerana leka kejar Pokemon

    Pokémon GO

    Memandu kereta atau menunggang motosikal sambil menggunakan telefon bimbit merupakan antara kesalahan trafik yang boleh dikenakan saman oleh pihak berkuasa. Walau pun ketika kenderaan dipandu/ditunggang secara perlahan mahu pun melibatkan jalan yang lengang.

    Kini, demam Pokemon Go yang sedang melanda dunia turut membabitkan pemainnya yang sanggup mengejar karakter tersebut biar pun ketika sedang memandu atau menunggang motosikal. Malah dua hari lalu, Kementerian Pengangkutan telah mengingatkan pengguna jalan raya agar memberikan perhatian sepenuhnya ketika memandu dan tidak terganggu dengan Pokemon.

    Namun petang semalam, media tempatan melaporkan seorang wartawan cedera apabila motosikal yang ditungganginya terlanggar jalan berlubang ketika terlalu leka mengejar ‘charmander’, salah satu karakter dalam Pokemon Go, laporan Bernama.

    Menurut mangsa, Azim (bukan nama sebenar), akibat keterujaan selepas berjaya menangkap ‘poliwag’ di rumahnya, dia terus bersemangat untuk menangkap lebih banyak karakter Pokemon. Apabila ‘charmander’ pula muncul kira-kira 100 meter dari rumahnya, dia bergegas menunggang motosikal secara perlahan untuk menangkap karakter itu. Jalan di sekitar kawasan perumahannya lengang ketika itu dan sambil memegang ‘handle’ motosikal dengan sebelah tangan dan tangan kiri memegang telefon bimbit, beliau menunggang perlahan.

    Namun tiba-tiba tayar motosikalnya termasuk lubang dan dia gagal mengawal motosikalnya lalu terjatuh. Biar pun hanya mengalami kecederaan ringan, dia mengaku akan lebih berhati-hati selepas ini dan masih belum serik untuk menangkap lebih banyak Pokemon.

    Hujung minggu lalu seorang pemuda 32 tahun di Kuantan ditahan polis ketika dia bersama rakan-rakannya sedang memandu dan memburu Pokemon pada Sabtu lalu, ketika hari pertama permainan itu muncul di atas talian di Malaysia. Pemuda berkenaan disaman RM300.

    “Saya menggunakan aplikasi berkenaan untuk mengetahui lokasinya (Pokemon) ketika saya memandu. Tangkapan yang saya peroleh untuk permainan itu sangat baik. Polis hanya senyum sebaik melihat skrin telefon saya dan menyerahkan saman,” kata pemuda itu.

    Permainan augmented reality itu, yang mendapat sambutan luar biasa di Barat ketika diperkenalkan bulan lalu, turut menjadi penyebab kepada beberapa kemalangan di sana. Setakat ini, polis dan bomba di Lembah Klang menyatakan keadaan masih tidak terlalu meresahkan dan tiada laporan berkaitannya diterima, bagi tempoh hujung minggu pertama ia dilancarkan.

     
     
  • Kerajaan sambung beri bantuan RM142.7 juta kepada syarikat pengendali bas henti-henti terpilih – SPAD

    metrobus-fb-pix-2-850x452

    Kerajaan akan menyambung bantuan berjumlah RM142.7 juta kepada lebih 60 syarikat bas henti-henti yang beroperasi di laluan yang kurang menguntungkan di bandar-bandar kecil di bawah Interim Stage Bus Support Fund (ISBSF), seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Star.

    Mengumumkan perkara itu semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, ini menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk mengubah industri bas henti-henti supaya kualiti perkhidmatan yang diberikan serta kekerapannya dapat dipertingkatkan. Ini terutama sekali bagi laluan-laluan yang kurang pengguna.

    Tahun lalu, sejumlah RM150 juta telah diagihkan. Namun, selepas itu, tiada khabar kedengaran berkenaan ISBSF sehingga Mei lalu, menyebabkan pengendali-pengendali yang terkesan meminta bantuan kerajaan itu disambung. “Peruntukan kritikal ini akan disalurkan kepada 65 pengendali bas henti-henti yang sudah memohon bantuan bagi tahun ini,” jelas Syed Hamid.

    Diperkenalkan pada 2012, ISBSF merupakan langkah sementara yang telah memberi manfaat kepada 347 juta penumpang di 608 laluan. Pada 2015, 100 syarikat pengendali menerima bantuan ini dan dapat meneruskan operasi mereka. Setakat tahun ini, SPAD sudah mengagihkan RM11.62 juta kepada pemohon dari Johor, Kedah, Kelantan, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu sementera pemohon selebihnya sedang dinilai.

    Dalam tempoh empat tahun lalu, kerajaan secara keseluruhannya telah mengagihkan RM519 juta untuk membolehkan 347 juta perjalanan dilakukan, merangkumi 600 juta km jarak perkhidmatan. Secara puratanya bagi tempoh itu, pendekatan ini membabitkan RM130 juta setahun, sebagai subsidi kepada 86.75 juta perjalanan yang merangkumi 150 km. Dengan pengumuman semalam, pembiayaan terkumpul bagi ISBSF kini ialah RM661.7 juta.

    Ketua Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah turut berkata, penyelesaian jangka panjang bagi perkara ini adalah untuk berpindah ke myBas. Ia sebuah inisiatif yang diperkenalkan pada 2015 di bawah program Stage Bus Transformation (SBST). Ia direka dengan matlamat untuk memperbaiki kedudukan kewangan syarikat pengendali serta meluaskan rangkaian laluan perkhidmatan sedia ada.

    Ia juga bakal menyaksikan pengendali bas yang terlibat akan meninggalkan kaedah operasi lama yang dikenali sebagai fare-box revenue model (kadar tambang mengikut kawasan yang diluputi). Ia bakal diganti dengan kaedah baharu di mana operator dibayar sejumlah kadar seperti yang dipersetujui untuk membolehkan mereka beroperasi di sesuatu laluan (yang kurang menguntungkan) dengan kekerapan tertentu. Hasil kutipan tambang kemudian akan diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan.

    Berikutan pelaburan RM100 juta yang dibuat untuk tujuan itu, SPAD kini sudah melaksanakan program myBas ini di Kangar, Seremban dan Ipoh. Ini akan dituruti oleh Kuala Terengganu dan Johor Bahru dalam masa terdekat. “Kerajaan menyedari bahawa di luar Lembah Klang, perkhidmatan bas henti-henti menjadi nadi utama pengengkutan, dan kami perlu memastikan perkhidmatan ini sentiasa berterusan,” tambah Azharuddin.

     
     
  • Lotus Elise generasi seterusnya bakal muncul pada tahun 2020 – lebih selamat dan lebih mudah dipandu

    lotus elise cup 250 01

    Ketika ini, Lotus dilihat sedang giat membina SUV mereka di China. Tetapi usaha tersebut tidak membuatkan syarikat berkenaan melupakan kereta sport ikonik mereka – Lotus Elise. CEO Lotus Jean-Marc Gales mengesahkan syarikatnya masih komited untuk membina Elise generasi seterusnya, lapor Autoblog.

    Gales juga menyatakan, Elise selepas ini akan dilengkapi dengan stereng berkuasa, menggunakan sistem hidraulik. Gales juga menegaskan Elise tidak akan menggunakan sistem stereng berkuasa elektrik kerana ia akan menjejaskan respon natural pada stereng.

    Berita tentang pembangunan Elise ini mula hangat diperkatakan bermula dari laporan dari Autocar bulan lalu, yang memetik Gales sebagai berkata Elise baharu akan membuat kemunculan menjelang tahun 2020, menggunakan teknologi aluminium terekstrud yang digunakan sejak Elise generasi pertama. Autocar turut menyatakan panjang Elise baharu berkenaan adalah sama dengan model sedia, tetapi lebih lebar.

    lotus elise cup 250 02

    Ini kerana, kereta berkenaan turut akan dilengkapi dengan beg udara sisi dan struktur penahan pelanggaran sisi tambahan untuk memenuhi standard perlindungan pelanggaran Amerika Syarikat, di mana Elise akan kembali ke pasaran negara tersebut. Ketiadaan ciri-ciri ini telah menyebabkan ‘adik’ Elise iaitu Exige terpaksa dihentikan penjualannya pada tahun 2011.

    Gales menambah Elise baharu berkenaan tidak ada kena mengena dengan model Elise Concept yang dipertontonkan bersama empat lagi model lain pada tahun 2010 dahulu. Model konsep tersebut merupakan sebuah jentera yang lebih berat, dikuasakan dengan enjin yang 2.0 liter yang lebih besar dan lebih berkuasa, berbanding model sebenar yang akan dibangunkan ini menggunakan konsep asal Elise iaitu kereta sport yang sangat ringan – disasarkan hanya 900 kg atau kurang.

    Selain dari Elise, Gales turut menyentuh berkenaan sumber kuasa alternatif dengan mengatakan Lotus tidak akan membina model hibrid kerana teknologi sedemikian akan menambah berat dan lebih kompleks, serta menggunakan ruang yang lebih banyak. “Selain itu, apabila anda mempunyai beban yang rendah ia lagi mudah untuk menjadi efisien,” kata beliau.

    lotus-apx

    Walau bagaimanapun, Gales mengatakan Lotus mungkin akan mempertimbangkan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV), tetapi ia bukanlah sesuatu yang akan muncul dalam masa terdekat. Malahan Elise berkuasa elektrik sebenarnya sudahpun wujud dalam bentuk Tesla Roadster – yang dibina berasaskan casis aluminium Elise.

    Menyentuh hal berkenaan SUV pula, Gales berkata segmen yang tidak pernah disertai Lotus sebelum ini tersebut “merupakan pasaran yang agak menarik,” dan menambah kenderaan berkenaan masih lagi dalam fasa merekabentuk. “Kami sedang membina konsep tetapi masih lagi belum membuat sebarang keputusan,” kata beliau.

    Sebelum ini, Bernama melaporkan SUV tersebut akan dijual bukan sahaja di China, tetapi pada pasaran Asia yang lain. Ini sejajar dengan komen bekas Pengerusi Proton Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa SUV Lotus akan dipasarkan di luar China (dan boleh juga dijual dibawah jenama Proton), bertentangan dengan laporan sebelumnya.

     
     
  • Lebuhraya Persisiran Pantai Barat dijangka siap 2019

    latar-highway

    Satu lagi projek lebuhraya yang sedang rancak dibina iaitu Lebuhraya Persisiran Pantai Barat dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak dijangka siap pada tahun 2019. Menurut Pengarah Urusan West Coast Expressway Sdn Bhd (WCESB), Datuk Neoh Soon Hiong, lebuhraya sepanjang 233 kilometer yang menelan kos pembinaan sebanyak RM6 bilion ini sudah pun 23% siap.

    Katanya, walau pun pada awal pembinaannya projek yang dimulakan pada tahun 2014 mengalami sedikit masalah, namun buat masa ini ia berjalan seperti yang dirancang, laporan Berita Harian.

    “Ia membabitkan 11 fasa pembangunan dan kini sedang memasuki fasa kelima membabitkan kawasan di Selangor. Manakala fasa ke-lapan dan 11 di Perak. Apabila pakej yang dibina secara berperingkat ini siap sepenuhnya, kita akan mula buka untuk kutipan tol,” katanya kepada pihak media.

    Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat bakal menghubungkan bandar seperti Banting, Shah Alam, Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sabak Bernam dengan Teluk Intan.

     
     
  • Toyota 86 facelift bakal menerima varian lebih sporty

    ta861607_09

    Varian yang lebih sporty dalam barisan Toyota 86 facelift akan diperkenalkan sebelum berakhirnya 2016, menurut laporan Drive. Ketua Jurutera Tetsuya Tada mendedahkan, beberapa peralatan untuk brek dan suspensi dari “jenama besar” akan digunakan pada varian 86 yang lebih hardcore ini.

    Toyota 86 facelift yang sudahpun dijual di Jepun dan menerima kerangka badan yang lebih tegar menerusi kadar kimpalan ‘spot weld‘ yang lebih banyak, membolehkan suspensi ditala sedikit lembut tanpa mengorbankan kejituan pengendalian untuk pemanduan yang lebih selesa. Jadi, ada ruang kosong perlu diisi untuk memenuhi permintaan dari pemandu yang lebih mengutamakan prestasi pengendalian berbanding keselesaan pemanduan.

    “Ia akan dilengkapi dengan brek dan suspensi yang [diubahsuai],” kata Tetsuya, dan menambah pakej brek Brembo dari Subaru BRZ mungkin akan diberikan kepada 86, walaupun ia akan dilengkapi dengan suspensi berbeza. “Bukan sahaja talaan yang berbeza, malah akan melibatkan komponen binaan yang sama sekali [tidak sama]. [Ia akan menjadi] talaan yang lebih sofistikated berbanding suspensi standard,” jelas beliau lagi.

    Tada turut mengatakan 86 yang lebih sporty ini akan dijual secara global menjelang “hujung tahun ini,” manakala untuk model JDM pula “mungkin akan ditawarkan dengan pakej istimewa bersama peralatan lain”. Tada tidak menyatakan berkenaan jumlah kuasa kuda yang bakal dihasilkan tetapi dijangkakan bakal mengekalkan enjin boxer FA20 D-4S pancitan bahan api terus dengan talaan yang sama seperti model sedia ada.

    Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 207 PS pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 212 Nm bermula 6,400 hingga 6,800 rpm – peningkatan 7 PS dan 7 Nm berbanding model asal untuk varian manual enam-kelajuan. Walau bagaimanpun, talaan pada model versi automatik enam-kelajuan, tiada peningkatan kuasa diberikan.

    GALERI: Toyota 86 facelift 2017

     
     
  • MIROS laksana kajian keselamatan lorong motosikal

    Miros-Motorcycle-Lane-Survey-screencap

    Institut Keselamatan Jalanraya (MIROS) telah mengeluarkan kajian kepuasan dan penggunaan lorong motosikal, sejak Jun 2016. Borang kajian menerusi dalam talian ini turut merekodkan data mengenai umur pengguna, jenis motosikal dan sebab menggunakan/tidak menggunakan lorong motosikal di seluruh negara, termasuk di lebuhraya.

    Berdasarkan tinjauan kami di sepanjang lorong motosiikal di Lebuhraya Persekutuan, kami menemui beberapa kebenaran seperti mana yang sering didakwa oleh kebanyakan pengguna lorong motosikal terbabit, termasuk ia tidak diselenggara dengan baik dan faktor keselamatan yang terabai. Malah banjir turut menjadi isu yang kerap terjadi di lorong motosikal berkenaan.

    2016-Fed-Highway-bike-tunnel-2

    Menurut kenyataan pada borang kajian berkenaan, ia adalah bagi mengukur tahap kepuasan dan faktor lain yang mempengaruhi penggunaan lorong motosikal.

    Namun persoalannya, dengan segala data yang diambil dan kajian yang dilakukan ini, adakah pihak berwajib akan segera mengatasi masalah yang telah pun acapkali ditimbulkan sejak sekian lama? Atau pun ia sekadar rekod sahaja? Kongsikan pendapat anda mengenai perkara ini di ruang komen di bawah.

     
     
  • GALERI: Ducati Scrambler Sixty2 400 cc – RM52,999

    2016-Ducati-SCrambler-Sixty2-4-850x567

    Dilancarkan secara rasmi pagi tadi, Ducati Scrambler Sixty2 2016 menjadi model kedua jentera jenis scrambler oleh jenama Itali itu untuk pasaran Malaysia. Jika sebelum ini Ducati Scrambler yang diperkenalkan dilengkapi enjin 803 cc, Ducati Scrambler Sixty2 ini adalah ‘adiknya’, dengan kapasiti enjin 399 cc. Harga jualannya yang diumumkan ialah RM52,999.

    Dengan mensasarkan penawarannya kepada penunggang yang masih baharu, ia mewarisi banyak persamaan atau DNA dari model Ducati Scrambler asal, yang dikeluarkan sejak 1962 hingga 1974. Dengan enjin V-Twin 90 darjah sejukan udara, ia juga meminjam talaan injap Desmodromic bagi semua empat injap yang terlibat. Kuasanya mencapai 41 hp pada 8,750 rpm, manakala tork ialah 34.6 Nm pada 8,000 rpm.

    Enjinnya juga menepati piawaian Euro 4, ia menggunakan sistem EFI bagi penyaluran minyaknya. Kotak gear enam kelajuan pula melengkapi kitaran janaan dan penyampaian kuasa ke roda belakang melalui rantai. Berat keseluruhannya ialah 183 kg; tidak terlalu ringan bagi kelas motosikal 400 cc.

    Ketinggian tempat duduk ialah pada 790 mm, dan ia ditawarkan dalam tiga pilihan warna; Atomic Tangerine dan Ocean Grey serta Shining Black. Lampu depan dan belakangnya menggunakan nyalaan LED. Panel meter juga diambil daripada sentuhan retro model terdahulu.

    Ciri lainnya termasuk ABS yang menggunakan sistem 9M daripada Bosch; satu-satunya ciri bantuan tunggangan yang ada pada model Sixty2 ini. Brek depan menggunakan cakera 320 mm manakala brek belakang pula menggunakan cakera 245 mm; dengan kaliper berkembar dan tunggal di bahagian masing-masing. Selebihnya, tunggangan akan bergantung secara penuh kepada input dan kawalan penunggang sendiri.

    Aspek lain yang dilakukan bagi menurunkan kos model ini berbanding versi 803 cc adalah dengan menggantikan bahagian swing-arm aluminium dengan unit yang diperbuat daripada unit besi yang dikimpal dan dimampat. Selain itu, fork terbalik di bahagian depan menggunakan unit Showa Telescopic 41 mm. Penyerap hentak tunggal bahagian belakang pula adalah dari Kayaba, dengan kadar tampungan boleh laras.

     
     
  • Projek TEB di China didakwa hanyalah penipuan

    Transit-Elevated-Bus-China-4

    Ingat lagi Transit Elevated Bus (TEB) yang diuji buat pertama kali di Qinhuangdao minggu lalu? Menurut laporan dari pihak tempatan di China, projek berkenaan berkemungkinan besar adalah sebuah penipuan besar.

    Model berskala mininya dipamerkan buat pertama kali di 19th China Beijing International High-Tech Expo pada Mei lalu dan unit ujian yang sebenar (TEB-1) berkenaan berukuran 22 meter panjang, 7.8 meter lebar dan setinggi 4.8 meter. Walaupun ujian berkenaan dikatakan berjaya, tetapi ia tidaklah seperti yang digambarkan.

    Menurut CarNewsChina dan Xinhua News Agency, ujian berkenaan bukanlah ujian yang sebenar. Bas ini diuji hanya terhad pada trek sepanjang 300 meter, tidak melalui kawasan trafik yang mencabar dan membuat pusingan. Tambahan pula, masih belum jelas bagaimana kenderaan dengan ketinggian melebihi 2.1 meter boleh melalui di bawahnya (tinggi maksimum kenderaan di atas jalan raya China adalah 4.2 hingga 4.5 meter) dan bagaimana ia boleh berpusing.

    Malahan, walaupun ia digelar sebagai ‘Bas’, ia sebenarnya bukanlah bas kerana ia memerlukan landasan untuk bergerak, menjadikan ia lebih kepada tren. Stesen yang dibina untuk tujuan ujian berkenaan juga didakwa dibina dalam masa hanya dua bulan, dengan hasil kerja yang teruk serta catnya juga sudah mula mengelupas pada beberapa bahagian.

    Media tempatan China juga mendakwa projek TEB ini sebenarnya penipuan untuk mendapatkan dana dari pelabur. Projek ini dibiayai dengan pinjaman peer-to-peer (P2P), di mana syarikat atas talian memadankan pelabur berpotensi dengan peminjam, dan menjanjikan pulangan keuntungan yang tinggi. Platform P2P beroperasi tanpa kawalan di China, dengan penipuan yang berleluasa dalam sektor berkenaan.

    Walau bagaimanapun, pengasas projek TEB tersebut menafikan tuduhan sedemikian dan mengatakan dan projek berkenaan datang dari “pelabur sulit dan persendirian.” Masih belum dapat dipastikan sama ada projek TEB adalah satu penipuan atau usaha yang benar-benar untuk mengatasi masalah lalu lintas di republik berkenaan.

     
     
  • VIDEO: Iklan Honda CR-V – bila si meow jadi pelakon

    Apabila Honda mengetengahkan kucing-kucing comel (oh kucing memang tak ada yang tak comel. Maaf, saya pencinta kucing!) di dalam iklan promosi bagi model CR-V di Amerika Utara, ternyata ia bagaikan bertepatan pula dengan Hari Kucing Antarabangsa yang diraikan baru-baru ini. Dan hasilnya, memang cukup mengagumkan, ternyata kucing-kucing ini juga nampak tertarik dengan CR-V ini termasuk leka bermain di dalam kabinnya.

    Walau pun, iklan ini tidak ada kena-mengena dengan CR-V yang dijual di Malaysia, namun video unik ini berbaloi dikongsikan kerana ia cukup kreatif. Siapa sangka, kucing pun boleh jadi model utama iklan kereta!

     
     
  • Vespa 946 Emporio Armani 2016 edisi khas kini di Malaysia; 12 unit sahaja, dijual pada harga RM68,551

    2016-Vespa-946-Emporio-Armani-1-850x638

    Bagaimana rupanya jika dua jenama Itali – satu pengeluar skuter ternama, dan satu lagi jenama fesyen dikenali ramai – bergabung dalam memberikan sentuhan masing-masing dalam satu penawaran? Dalam kes ini, sebuah model Vespa.

    Vespa 946 Emporio Armani 2016 menjadi antara contoh jawapannya. Sebagai sebuah model edisi khas, ia kini sudah berada di Malaysia dengan harga jualannya RM68,551. Bagi pasaran tempatan, hanya 12 unit model edisi khas ini dibawa masuk. Diperingkat global pula, hanya 100 unit sahaja dihasilkan.

    Enjin yang digunakan ialah berkapasiti 155 cc empat lejang sejukan udara, SOHC dengan tiga injap. Transmisi CVT dengan klac centrifugal kering melengkapkan aspek pacuannya. Kapasiti tangki petrolnya ialah 8.5 liter, dengan penggunaan minyak yang didakwa ialah 2 liter bagi setiap 100 km. Beratnya pula ialah 147 kg.

    Bagi sistem brek, ia menggunakan brek cakera di bahagian depan dan belakang; ia turut dilengkapi ciri ABS dengan anti-slip regulation (ASR). Suspensi depan adalah dari jenis lengan tunggal dengan gegelung spring dan penyerap hentak dual-action hydraulic. Di belakang, penyerap hentak tunggal dengan berat tampungan boleh laras.

    Antara sentuhan utama pada edisi khas ini adalah tempat duduk tunggal balutan kulit, serta pemegang pendikit juga dengan kemasan yang sama. Keseluruhan badan skuter ini diwarnakan dengan hitam matte, dan dilengkapi panel LCD.

     
     
  • Ducati Scrambler Sixty2 2016 di Malaysia – RM52,999

    2016-Ducati-SCrambler-Sixty2-launch-1

    Ducati Malaysia telah melancarkan Scrambler Sixty2, versi 399 cc bagi Scrambler berkapasiti lebih besar 803 cc. Dengan penyejukan-udara berkembar-V, Sixty2 ini direka sebagai jentera dua-roda “gaya hidup” untuk penunggang baharu, yang inginkan keseronokan ketika menunggang.

    Kuasa yang disalurkan oleh enjinnya mencecah 41 hp pada 8,750 rpm, sementara tork pula mencapai 34.6 Nm pada 8,000 rpm, menerima saluran bahan api dengan sistem EFI melalui badan pendikit 55 mm. Sixty2 juga didatangkan dengan Bosch 9M ABS hadapan dan belakang, bersama sistem brek Brembo dengan cakera tunggal hadapan dan belakang.

    Terdapat dengan tiga pilihan warna iaitu Atomic Tangerine, Ocean Grey dan Shining Black. Ia seberat 183 kg, dan ketinggian tempat duduknya pula ialah 790 mm.

    Ducati Scrambler Sixty2 dijual pada harga RM52,999 termasuk GST, tanpa cukai jalan dan insurans. Malah Ducati Malaysia turut mengesahkan ia ditawarkan pada kuantiti yang agak terhad.

     
     
  • Insiden kekerasan terhadap pemandu Grab dan Uber akan terus berlaku sehingga pelan transformasi SPAD mula diimplementasi – syarikat pengendali teksi

    Pemandu teksi akan terus menggunakan kekerasan terhadap perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian seperti Uber dan Grab sehingga Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mula mengimplementasikan undang-undang yang jelas dalam industri, menurut salah sebuah syarikat teksi tempatan dalam laporan The Star.

    Menurut The Star, pengasas Big Blue Taxi Services Datuk Shamsubaharin Ismail berkata insiden sedemikian akan terus berlaku sehingga pihak berkuasa mengambil langkah penyelesaian isu berkenaan, dan menambah servis Uber dan Grab perlu dihentikan sementara sehingga SPAD selesai menyediakan undang-undang berkaitan.

    Shamsubaharin memberikan respon beliau terhadap insiden Sabtu lalu, di mana seorang wanita mendakwa dikasari dengan kata-kata oleh dua orang pemandu teksi ketika mengambil rakannya dari Stesen LRT Kelana Jaya. Dua orang pemandu teksi berkenaan beranggapan wanita tadi sebagai pemandu Uber, dan membaling telur kearah kereta miliknya.

    Presiden Pengendali Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor Datuk Aslah Abdullah berkata semalam bahawa insiden tersebut terjadi mungkin kerana pemandu teksi tidak dapat membezakan kereta biasa dan kereta yang digunakan oleh pemandu Uber dan Grab.

    uber-cash-payment

    Insiden ini merupakan insiden terbaharu yang dilaporkan dalam berberapa siri laporan kekasaran terhadap pemandu Uber dan Grab sejak Mac lalu. Pada 20 Jun lalu, sekumpulan pemandu teksi dilaporkan mengasari seorang penumpang wanita di KL Sentral dan ditahan empat hari selepas itu.

    Lima hari selepas penahanan berkenaan, sekumpulan pemandu teksi dikatakan menakut-nakutkan pemandu Grab di Mid Valley Megamall, manakala pada 16 Julai, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan saman RM2,000 terhadap dua orang pemandu teksi selepas didapati bersalah kerana merosakkan kenderaan milik pemandu Uber di Mid Valley pada 28 Jun lalu.

    Kabinet masih lagi belum membuat keputusan terhadap cadangan yang dikemukakan oleh SPAD berkenaan Program Transmformasi Industri Teksi, yang turut meliputi undang-undang khas untuk mengawal selia servis seperti Uber dan Grab, selian dari mewujudkan lapangan baharu untuk pemandu teksi.

     
     
  • Honda Freed 2016 – dilengkapi transmisi klac berkembar dan pakej keselamatan Honda Sensing

    Honda baru-baru ini telah menyiarkan video informasi berkenaan Honda Freed generasi baharu di laman web Jepun mereka, yang turut memperlihatkan bahagian dalaman, teknologi dan juga pilihan unit janakuasa.

    Freed baharu ini berukuran 4,265 mm panjang, membuatkan ia 50 mm lebih panjang berbanding model sebelum ini (4,215 mm). Sebagai perbandingan, Toyota Avanza sedia ada berukuran 4,190 mm panjang, manakala Toyota Sienta yang bakal dilancarkan tidak lama lagi pula berukuran 4,235 mm panjang.

    Panjang yang ditambah ini membolehkan kabinnya direka lebih luas. Menurut Honda, jarak antara barisan tempat duduk (pertama hingga kedua dan kedua hingga ketiga) ialah 90 mm setiap satu. Tempat duduk barisan kedua boleh dipilih sama ada sebagai kerusi berbentuk bangku atau kerusi kapten, menawarkan ruang sehingga 120 mm.

    Untuk pasaran Jepun, Freed turut ditawarkan dalam pilihan pacuan empat roda. Model bukan hibrid akan dikuasakan oleh enjin petrol 1.5 liter sistem pancitan bahan api terus DOHC i-VTEC, manakala untuk model hibrid ia akan dikuasakan dengan unit janakuasa Sport Hybrid i-DCD Honda.

    Sistem Sport Hybrid i-DCD ini menampilkan transmisi klac berkembar, menggantikan transmisi CVT pada Freed Hybrid generasi sebelum ini. Kotak gear klac berkembar Honda mula diperkenalkan semasa pertunjukkan Earth Dreams Technology pada tahun 2012, dan dikatakan menawarkan penggunaan bahan api yang rendah. Tidak dinyatakan sama ada varian bukan hibrid akan dipadankan dengan kotak gear ini atau tidak.

    Selain itu, Freed turut dilengkapi dengan pakej keselamatan Honda Sensing yang dihubungkan kepada radar gelombang-milimeter dan kamera monokular. Ia terdiri dari sistem-sistem seperti Amaran Keluar Lorong, Sistem Bantuan Kekal Laluan, Sistem Pengelak Keluar Jalan, Kawalan Kelajuan Adaptif, Amaran Pelanggaran Hadapan dan Sistem Brek Anti-Pelanggaran.

    Untuk pasaran domestik Jepun, Freed akan ditawarkan dengan dua model iaitu Freed dan Freed+ dalam versi lima-, enam-, atau tujuh-tempat duduk. Sembilan warna untuk dipilih iaitu Citron Drop, Cobalt Blue Pearl, Premium Deep Rosso Pearl, Mandarin Gold Metallic, White Orchid Pearl, Luna Silver Metallic, Modern Steel Metallic dan Crystal Black Pearl.

    Sebelum ini, Freed mula mendarat di Malaysia pada tahun 2010. Selepas itu, versi facelift pula dilancarkan pada tahun 2013 dengan dua varian dan dijual pada harga bermula RM99,800 hingga RM113,500. Honda Malaysia menghentikan penjualan Freed atas sebab kurangnya permintaan. Dengan pelancaran Toyota Sienta yang dijadualkan akan berlangsung bulan ini, adakah anda merasakan Freed perlu kembali dalam pasaran untuk memberikan saingan?

     
     
  • Polis Melaka beri amaran pada pemandu yang bermain Pokemon Go sewaktu memandu – saman menunggu!

    roadblock-pokemon

    Semalam Kementerian Pengangkutan telah mengingatkan pengguna jalan raya agar memberikan perhatian sepenuhnya ketika memandu dan tidak terganggu dengan permainan dalam talian Pokemon Go.

    Hari ini laporan Berita Harian menyiarkan kenyataan dari Polis Melaka yang akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang didapati bermain permainan siber Pokemon Go ketika memandu di negeri ini termasuk mengeluarkan saman.

    Menurut Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Ruslan Hassan, tindakan saman itu sejajar dengan larangan menggunakan telefon bimbit ketika memandu sebagaimana yang dikuatkuasakan sebelum ini.

    “Buat masa ini, belum ada kes saman trafik di Melaka yang membabitkan pemandu yang bermain Pokemon Go. Tetapi saya sudah arahkan semua anggota untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang didapati bermain permainan itu ketika memandu kerana ia boleh membahayakan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya pada pihak media.

    Di Kuantan, Pahang, seorang pemandu menjadi penerima saman pertama kerana menggunakan telefon bimbit ketika memandu sambil bermain Pokemon Go pada Sabtu lalu. Difahamkan, ahli perniagaan itu sedang mengimbas karektor raksasa digital di sepanjang laluan di Jalan Stadium, Kuantan sebelum perbuatannya itu disedari anggota polis.

     
     
  • SPYSHOT: Mitsubishi ASX generasi akan datang dilihat sedang diuji di Amerika Syarikat

    CP4I7953

    Mitsubishi ASX generasi akan datang dilihat sedang diuji di Amerika Syarikat, memberikan petanda ia akan diperkenalkan di peringkat dunia pada tahun hadapan. Reka bentuknya diinspirasikan dari model konsep XR-PHEV II yang pernah dipamerkan di Geneva Motor Show tahun lalu, yang dipertingkatkan dari model asal Concept XR-PHEV yang pernah dipertontonkan di Tokyo.

    Pada bahagian hadapannya, ia tidak begitu berbeza dengan rekaan model konsep, dengan penampilan gril yang lebih menyerlah, sementara bamparnya pula juga telah dipertingkatkan dengan lebih banyak lubang bagi pengaliran udara yang lebih optimum. Manakala lampu utamanya pula dibuat oleh rakan Mtisubishi dari China, dan dijangka akan berbeza dengan beberapa pasaran lain termasuk Malaysia.

    Melihat dari sisi, garisan yang lebih padu kelihatan, dengan olahan tiang-A yang bersifat konvensional dan sedikit landai melunjur ke arah cermin hadapan. Malah hampir setengah bahagian SUV ini mengalami banyak perubahan, termasuk perumah kaca yang lebih tinggi dan lebih konvensional bagi ruang kepala dan sisi pandangan yang lebih baik. Sementara bahagian belakang juga telah dirapikan.

    Bagi penjana kuasanya, model konsep menampilkan enjin petrol 1.1 liter pengecas turbo yang mampu memberikan 98 hp, dipadankan dengan sistem electric plug-in, dengan tambahan kuasa sebanyak 160 hp dari pek bateri 14 kWh. Ada kemungkinan penjana kuasa ini juga akan turut digunakan bagi model produksi, di samping enjin petrol turbo dan mungkin diesel.

     
     
  • Ferrari Challenge Asia Pacific 2016 pusingan keempat – persaingan sengit di Litar Antarabangsa Sepang

    FC APAC Sepang_002

    Siri kejuaran one-make pengeluar supercar dari Itali – Ferrari Challenge Asia Pacific 2016 pusingan keempat yang diadadakan di Litar Antarabangsa Sepang telah berakhir dengan jayanya hujung minggu lalu. Seperti biasa, dua perlumbaan dijalankan untuk pusingan ini, dengan kesemua 31 pelumba dari 13 negara memandu Ferrari 458 Challenge EVO dan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Trofeo Pirelli, Pirelli AM dan Coppa Shell.

    Untuk perlumbaan pertama , Steve Wyatt dari Australia mendahului kategori Trofeo Pirelli, mengulangi kembali kejayaan pada pusingan di SIC tahun lalu. Wyatt bersaing sengit dengan Alexander West dari Sweden sepanjang perlumbaan, menyaksikan West akhirnya terpaksa akur di tempat kedua dan diikuti Florian Merckx dari Belgium di tempat ketiga. SIC merupakan litar kegemaran Wyatt, dan dengan permukaan yang baharu sahaja diturap semula, menambahkan lagi keseronokan Wyatt berlumba disini.

    Perlumbaan pertama kategori Pirelli AM pula dimenangi oleh Xin Jin dari China yang diekori rapat rakan senegara, Huilin Han di tempat kedua. Tempat ketiga kategori ini dimenangi oleh Greg Teo dari Singapura.

    Kategori Coppa Shell pula menyaksikan Liang Wang dari China mengekalkan pendahuluannya dari petak permulaan dan diikuti Makoto Fujiwara dari Jepun hanya satu saat di belakang. Yuan Yang dari China turut menyertai kelompok pendahulu dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

    FC APAC Sepang_003

    Steve Wyatt membuktikan kata-katanya bahawa SIC adalah litar kegemarannya dengan memenangi perlumbaan kedua kategori Trofeo Pirelli. Kali ini, Wyatt beraksi dengan lebih cemerlang dengan menjarakkan dirinya dari kelompok utama selepas tiga lap. Perlumbaan berakhir dengan Renaldi Hutasoit dari Indonesia di tempat kedua dan rakan senegaranya David Tjiptobiantoro di tempat ketiga.

    Kategori Pirelli AM pula menyaksikan pemenang perlumbaan pertama, Xin Jin terpaksa berpuas hati di tempat ketiga pada perlumbaan kedua setelah dikenakan penalti drive-through pada lap ke-13, dan kemudiannya dipintas oleh rakan seegara, Hulin Han dan Eric Cheung dari Kanada.

    Juara kategori Coppa Shell untuk perlumbaan kedua ini kekal milik Liang Wang dari China, meninggalkan Ken Seto dari Jepun di tempat kedua dan Sam Lok dari Hong Kong di tempat ketiga.

    Pusingan seterusnya Ferrari Challenge Asia Pacific akan diteruskan di litar jalan raya Singapura dari 16 hingga 18 September ini, sebagai perlumbaan sokongan Grand Prix Formula Satu di republik berkenaan.

     
     
  • DRB-Hicom nafi laporan mahu menjual Proton – komited untuk perubahan, cari rakan strategik

    Proton_Iriz_Review_-019

    Dalam maklumbalas terhadap laporan yang disiarkan semalam mengenai DRB-Hicom mahu menjual kepentingannya di dalam Proton, syarikat konglomerat terbabit menafikannya. DRB-Hicom berkata, mereka “komited untuk melakukan perubahan di samping mencari rakan strategik baharu” bagi Proton.

    Walau bagaimana pun, DRB-Hicom tetap menegaskan bahawa Proton perlu menjalani Request For Proposal (RFP) dalam mencari rakan kongsi tetap yang strategik, sesuai dengan operasi dan budaya, sebagai sebahagian daripada syarat yang ditetapkan oleh kerajaan yang meluluskan pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion kepada Proton.

    Request For Proposal (RFP) ini dijangka selesai pada suku pertama 2017, dan implementasi ini dipantau oleh jawatankuasa pemantauan khas yang dilantik oleh kerajaan bagi memastikan progres perubahan Proton berjalan lancar. DRB-Hicom juga telah membuat pengumuman menerusi Bursa Saham Malaysia, sebagai syarat yang diperlukan.

    Malah Ketua Pegawai Eksekutif DRB-Hicom Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza turut memberitahu Business Times bahawa laporan tersebut adalah “tidak tepat sama sekali”.

     
     
  • Mercedes-Benz lancar pusat 3S komersial pertama di Pantai Timur, mampu kendalikan 100 unit trak sebulan

    Mercedes-Benz Commercial Vehicles Kuantan-BM

    Mercedes-Benz Malaysia Commercial Vehicle (MBM CV) telah melancarkan pusat 3S komersial dengan kelengkapan penuh di Kuantan bersama pengedar sahnya, Hap Seng Commercial Vehicles. Terletak di lokasi strategik di Kuantan, ia merupakan pusat khas bagi mengendalikan kenderaan komersial Mercedes-Benz di Pantai Timur.

    Pusat berkenaan akan mampu menjalankan tidak hanya aspek jualan, tetapi turut merangkumi servis kenderaan, penyelenggaraan dan baik pulih bagi kedua-dua jenama kenderaan komersial yang berkaitan, iaitu Mercedes-Benz dan Fuso.

    “Kami kini dengan berbesar hati memperkenalkan pusat 3S dengan kelengkapan penuh untuk kemudahan pelanggan-pelanggan di Pantai Timur. Ia juga sebahagian daripada usaha kami untuk memperkukuh dan memperluas rangkaian serta kedudukan di Malaysia,” jelas Naib Presiden MBM CV, Albert Yee.

    Pusat 3S Hap Seng Commercial Vehicle di Kuantan dibangunkan di atas keluasan 9,780 kaki persegi yang terdiri daripada ruang pameran yang mampu memuatkan 14 buah trak dan tiga ruang kerja/servis. Ia dikendalikan oleh pasukan khusus dengan kapasiti 100 kenderaan sebulan.

    “Penyelesaian pengangkutan yang memberi tumpuan kepada pelanggan kami yang diguabungkan dengan kepakaran kemprehensif menjadi bukti Mercedes-Benz Commercial Vehicles membawa visi yang sama seperti syarikat induknya, Daimler AG, dalam menjadi penanda aras bagi kenderaan dan servis berkualiti premium. Akan ada lagi pusat 3S bagi kenderaan komersial seperti ini yang sedang kami rancang,” tambah beliau.

     
     
  • 19 pemain Leicester City terima hadiah BMW i8

    Leicster-BMW-i8-1

    Sebagai penghargaan kerana berjaya memenangi Liga Perdana Inggeris musim lalu, pengerusi Kelab Bola Sepak Leicester City yang berasal dari Thailand, Vichai Srivaddhanaprabha, telah menghadiahkan BMW i8 kepada 19 orang pemainnya.

    Billionaire terkenal ini telah membelanjakan sejumlah 2 juta pounds (RM10,524,196) untuk membeli kereta hybrid sport tersebut, yang berharga bermula 104,540 pounds (RM550,100) setiap satu, di United Kingdom.

    Pada mulanya, setiap pemain dijanjikan model B-Class Electric Drive, namun Srivaddhanaprabha mengubah fikiran dan membuat keputusan untuk memberikan jentera yang lebih sporty. Walau bagaimana pun, empat pemainnya iaitu Joe Dodoo, Andrej Kramaric, Yohan Benalouane dan N’Golo Kante, tidak menerima i8 ini.

    Manakala 19 pemain yang bertuah menerima i8 yang kesemuanya berwarna biru, dengan segelintirnya ditampilkan dengan rekaan rim yang berlainan. Jentera ini dipadankan dengan enjin petrol 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder TwinPower Turbo, dengan bantuan sistem pacuan elektrik eDrive.

    Leicster-BMW-i8-2

    Enjin ini berupaya memberikan gabungan kuasa sehingga 362 hp pada 5,800 rpm dan tork 570 Nm dari 1,200 hingga 5,000 rpm, dan penjana kuasa hibrid ini berupaya memacu i8 dari 0-100 km/j dalam hanya 4.4 saat, dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 250 km/j.

    Dengan penghargaan ini, pastinya membuak-buakkan lagi semangat para pemain Leicester City bagi memastikan trofi ini kekal di Stadium King Power. Malah Srivaddhanaprabha juga tidak kisah berbelanja lebih untuk menghargai para pemainnya jika mereka berjaya berbuat demikian, tetapi sayangnya bila musim baharu berlangsung baru-baru ini, mereka tewas dengan Manchester United dan ia bagaiman petanda yang kurang memberangsangkan.

    BMW i8 dilancarkan di pasaran Malaysia di pameran BMW World Malaysia 2015, dengan harga atas jalan RM1,188,800 tanpa insurans.

    Screen Shot 2016-08-08 at 4.38.33 PM

     
     
  • Proton memperkenalkan aplikasi mudah alih MyProton

    Proton telah memperkenalkan aplikasi mudah alih yang baharu yang dinamakan sebagai MyProton, bertujuan untuk memberi kemudahan kepada semua pelanggan yang memiliki kereta Proton. Pada masa yang sama, membenarkan mereka dan semua bakal pengguna Proton untuk membuat temu janji bagi memandu uji kereta Proton. Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan Apple App Store.

    Aplikasi ini memberikan beberapa kemudahan bagi penggunanya iaitu membuat temu janji untuk memandu uji kereta Proton, temu janji bagi servis atau penyelenggaraan kereta, sambungan ke panggilan Mobile Assist untuk bantuan dan maklumat mengenai semua model Proton.

    Selain itu, ia turut menyalurkan informasi terkini mengenai promosi dan acara semasa, lokasi jualan PROTON dan pusat-pusat perkhidmatan, sambungan ke saluran media sosial PROTON – Facebook, Instagram dan Youtube dan kalkulator pengiraan pinjaman.

    “Kami memahami bahawa dalam persekitaran yang pesat dan maju, cara terbaik untuk mencapai dan memaklumkan pelanggan adalah melalui aplikasi mudah alih ini. Justeru, kami menyediakan akses kemudahan untuk pelanggan bagi mendapatkan maklumat di hujung jari seiring dengan keperluan pelanggan yang semakin moden. Ini menjadikan perhubungan kepada pelanggan lebih cekap dan berkesan,” ujar Datuk Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Dalam fasa perkembangan seterusnya, MyProton akan turut menyediakan akses kemudahan bagi pelanggan untuk menyemak status tempahan kereta, rekod penyelenggaraan, peringatan untuk menyelenggara kereta mereka dan banyak lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026