Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mark Higgins pecah rekod baharu untuk kategori kereta di Isle of Man dengan WRX STI yang diubahsuai

    PACEMAKER, BELFAST, 4/6/2016: Mark Higgins on Glencrutchery Road for the Subaru practice lap. PICTURE BY TONY GOLDSMITH

    PACEMAKER, BELFAST, 4/6/2016: Mark Higgins on Glencrutchery Road for the Subaru practice lap.
    PICTURE BY TONY GOLDSMITH

    Setelah dua kali memperbaharui rekod lap terpantas di litar jalan raya Isle of Man dengan Subaru WRX yang hampir standard, Juara Rali British tiga kali, Mark Hinggins memecahkan sekali lagi rekod peribadi beliau di litar tersebut dengan WRX STI yang diubahsuai sepenuhnya oleh Prodrive, menurut laporan autocar UK.

    Hinggins melengkapkan litar sejauh 37.73 batu (60.72 km) tersebut dalam masa 17 minit 49.75 saat dengan kelajuan purata 126.971 bsj (204.34 kmj), menggunakan tayar slick Dunlop Sport Maxx kompaun sederhana yang diambil terus dari jentera Kejohanan Touring Car British (BTCC). Beliau memecahkan rekod yang dicatatkan oleh dirinya sendiri pada tahun 2014 dengan masa 19 minit 15.88 saat dengan kelajuan purata 117.51 bsj (189.11 kmj) menggunakan tayar radial jalanan biasa.

    Sejurus selepas mencatatkan rekod baharu tersebut, Higgins memeberitahu Manx Radio ” Saya fikir 125 bsj hanyalah mimpi sebelum memulakannya. Saya hanya melakukan sekali latihan jadi saya sangat gembira kerana dapat mencatatkan rekod sedemikan pada lap kedua dan ia pastinya akan diperbaiki lagi kerana saya sentiasa belajar setiap kali saya menghabiskan satu lap litar ini – begitu juga dengan kereta, ia pastinya dapat melakukan lebih lagi.”

    “Keadaan litar sangat baik – satu-satunya masalah yang saya hadapi adalah pada lima atau enam batu sebelum garis penamat apabila penglihatan saya kurang jelas pada cermin hadapan. Ini membuatkan ia agak sukar pada sektor terakhir, tetapi saya sebenarnya tidak boleh mengeluh kerana penunggang yang menunggang disini mengalami masalah yang sama pada visor mereka setiap masa,” tambah Higgins.

    subaru_wrx_sti_003_0

    Prodrive adalah sebuah pasukan yang sangat memahami WRX STI. Hubungan antara STI dan Prodrive telah wujud seawal 1990 apabila kerjasama mereka bermula dengan pembinaan jentera Subaru Legacy untuk kejohanan rali dunia. Kerjasama tersebut terus terjalin dengan pembinaan jentera WRC Subaru Impreza WRX generasi pertama dan seterusnya, sehingga Subaru mengundurkan diri dari WRC pada tahun 2008. Dalam tempoh tersebut Impreza berjaya menggondol gelaran juara bagi kategori pemandu dan pengeluar beberapa kali, dan Prodrive juga turut bertanggungjawab mengeluarkan beberapa versi edisi terhad Impreza WRX seperti Impreza P1.

    Tiada lagi data mekanikal yang didedahkan. Tetapi dengan rupa paras agresif dan saiz roda perlumbaan sebenar yang lebih besar, pastinya enjin boxer STI 2.5 liter turbo berkuasa 296 hp dan tork 407 Nm memacu kesemua roda melalui kotak gear enam kelajuan asal serta sistem suspensinya telah diubahsuai secara ekstensif, tipikal jentera-jentera binaan Prodrive sebelum ini.

    Higgins mencatatkan rekod 19 minit 26 saat di litar jalan raya Isle of Man TT (terkenal sebagai litar jalan raya untuk perlumbaan motorsikal Manx Grand Prix), memecahkan rekod 19 minit 56.7 saat yang juga dibuat oleh beliau sendiri pada tahun 2011. Kedua-dua rekod tersebut dilakukan Higgins menggunakan jentera WRX STI yang hampir standard, dengan ubahsuai hanya dilakukan pada bahagian suspensi yang ditala untuk laluan beralun dan melompat pada kelajuan tinggi serta kelengkapan keselamatan perlumbaan seperti roll cage, tali keledar keselamatan perlumbaan, alat pencegah kebakaran, dan juga sistem ekzos terus berdesibel tinggi untuk keselamatan penonton.

     
     
  • Bumblebee Chevrolet Camaro baharu didedahkan

    bumblebee-chevrolet-camaro-from-transformers-the-last-knight_100555510_l

    Filem Transformer ke-lima yang berjudul “Transformers: The Last Knight” dijangka akan menerjah pawagam seluruh dunia pada 23 Jun 2017 ini. Pengarahnya Michael Bay turut mendedahkan filem tersebut akan menampilkan Bumblebee Chevrolet Camaro generasi ke-enam.

    Menurut Bay, Bumblebee ini bukan sekadar Camaro biasa. Ya, ia masih mengekalkan warna signatur iaitu kuning-hitam, tetapi Bumblebee baharu ini bakal tampil dengan kit badan baharu dengan spoiler yang lebih agresif. Malah turut menampilkan kit aerodinamik baharu termasuk pemisah (splitter) hadapan yang lebih dalam, skirt sisi dan “wing” belakang yang lebih besar.

    Logo Autobot masih kekal di sisi badannya. Bukan itu sahaja, profilnya lebih rendah berbanding Bumblebee sebelum ini. Rekaan bagi corong bawah juga telah dimodifikasi serta turut menampilkan roda unik dengan imej baharu.

    Walau bagaimana pun, perincian mengenai penjana kuasanya masih belum didedahkan. Namun dijangka menerima padanan enjin 6.2 liter LT1 V8 dari Camaro ZL1.

     
     
  • Mercedes-Benz G350d Professional – untuk ‘purist’

    Mercedes-Benz-G350d-Professional-04_BM

    Setelah menerima facelift setahun yang lalu, Mercedes-Benz mengumumkan varian baharu dalam barisan G-Class mereka iaitu Mercedes-Benz G 350 d Prodessional yang akan dilancarkan September ini. Varian ini dibina untuk mereka yang benar-benar “purist” dan hadir dengan pakej Off-Road, menurut Mercedes ia ideal untuk penggunaan off-road kelas profesional.

    Seperti model G-Class yang lain, G 350 d Professional dibina berasaskan kerangka badan ladder-type, sistem pacuan semua roda (AWD) sepenuh masa dengan nisbah gear untuk off-road dengan tiga pilihan yang boleh dipilih secara elektrik serta pengunci differential 100%. Ia dijana oleh enjin V6 3.0 liter turbodiesel berkuasa 245 hp yang menjana 33% lebih kuasa berbanding model G 300 CDI Pro sebelum ini. Kuasa dari enjin dialirkan ke kotak gear 7G-Tronic tujuh-kelajuan automatik Mercedes, serta mempunyai penggunaan bahan api 9.9 liter untuk 100 km perjalanan dalam kitaran NEDC, 15.4% lebih baik dari sebelum ini.

    Varian Pro ini dilengkapi dengan gril hadapan kemasan hitam matte dan roda aloi 16-inci lima jejari kemasan hitam, dibalut dengan tayar all-terrain bersaiz 265/70R16. Ia juga turut dilengkapi dengan suspensi yang ditala semula, yang menampilkan kelegaan tanah 10 mm tambahan (245 mm) dan sudut pendekatan/perlepasan yang lebih baik iaitu 36 dan 39 darjah (30/30 darjah pada G 350 d biasa). Ia juga berupaya membawa beban 592 kg dan keupayaan kapasiti menunda melebihi 3,200 kg.

    Mercedes-Benz-G350d-Professional-03_BM

    Bahagian dalaman menerima balutan sepenuhnya pada setiap bahagian. Papan pemuka 350 Pro diambil dari model W463, dan tidak mempunyai fungsi yang lebih banyak seperti papan pemuka W461. Ia juga dilengkapi dengan roda stereng pelbagai fungsi, kolum stereng elektrik dan tempat duduk hadapan yang boleh dilaras sebahagiannya berkuasa eletrik sebagai ciri standard. Lantai kabin dibina dengan permukaan anti-gelincir serta terdapat lubang membuang air untuk memudahkan bahagian tersebut dicuci dan dibersihkan.

    Mercedes-Benz menawarkan beberapa ciri opsyenal yang terdiri dari bampar hadapan besi dengan cagak untuk sistem winch, gril pelindung untuk lampu hadapan bi-xenon serta cermin gelap untuk cermin sisi dan cermin belakang. Pakej ini juga menawarkan kemasan kayu pada kompartmen belakang dan peralatan untuk sistem hands-free. Pelanggan juga boleh memilih untuk memadankan para bumbung dengan tangga serta running board pada bahagian sisi.

     
     
  • KL Supercar Drag Race bakal diadakan di Dataran Merdeka – empat siri mulai 17 Julai hingga 4 Dis 2016

    13332988_1209061195779471_839668842238595846_n

    Program KL Supercar Drag Race pertama kali bakal dianjurkan di Dataran Merdeka mulai 17 Julai hingga 4 Disember ini. Menurut pengerusinya, Nazir Hussin Akhtar Hussin, dijangkakan seramai lebih 10,000 pengunjung akan hadir dalam acara ini, laporan News Strait Times.

    “Ini juga merupakan kali pertama perlumbaan seumpama ini diadakan di tengah pusat bandar Kuala Lumpur. Kami menjangkakan lebih 1,600 supercar dari dalam dan luar negara bakal mengambil bahagian. Ia diadakan bagi merealisasikan minat dan cita rasa golongan muda bandar di negara ini terutama pemilik dan peminat supercar,” ujarnya.

    Acara ini bakal melibatkan empat siri dengan yang pertama bermula pada 15-17 Julai, siri kedua 16-18 Sept, siri ketiga 4-6 Nov dan siri keempat 2-4 Dis ini.

    Pra-pelancaran acara anjuran Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan (HELP) Pemuda UMNO Malaysia ini telah disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak semalam.

    Menurut Salleh, acara ini berpotensi mengasah bakat anak muda dalam pelbagai bidang khususnya permotoran selain mempromosikan Malaysia.

     
     
  • Penunggang motosikal usah bertindak melulu – polis

    Screen Shot 2016-06-06 at 3.32.54 AM

    Beberapa hari ini viral di laman media sosial Facebook yang menggesa penunggang motosikal menyertai kempen ‘Terajang Side Mirror’. Ekoran banyak insiden yang berlaku disebabkan faktor kecuaian atau pemanduan yang tidak berhemah, kempen tersebut menyarankan agar penunggang motosikal menendang kereta yang memasuki lorong kecemasan, menukar lorong tanpa memberikan lampu isyarat, memotong barisan dan memarkir di garisan kuning berkembar.

    Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Nadzri Hussain berkata, penunggang motosikal yang melanggar undang-undang dengan merosakkan kenderaan lain yang menggunakan lorong kecemasan, boleh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat, laporan News Straits Times.

    “Ia adalah satu kesalahan, tanpa menghiraukan sama ada ia niat penunggang motosikal itu untuk menghalang atau menghalau pemandu lain dari menggunakan lorong kecemasan,” ujarnya ketika dihubungi oleh akhbar berkenaan bagi menjawab isu yang sedang viral yang mendapat ‘Like’ lebih dari 10,000 dan pengkongsian melebihi 14,000.

    Katanya lagi, walau pun mahu memberikan pengajaran kepada pengguna jalan raya agar tidak menggunakan lorong kecemasan atas dasar kepentingan sendiri, dengan menendang atau merosakkan kenderaan yang terbabit, penunggang motosikal ini dinasihatkan tidak ‘membuat undang-undang sendiri’.

     
     
  • Volvo S90, V90 muncul dalam laman web Volvo M’sia

    Screen-Shot-2016-06-03-at-2.09.13-PM_BM

    Selepas Volvo XC90 T8 Twin Engine versi CKD dilancar rabu lalu, sedan dan wagon yang turut diasaskan dari Scalable Product Architecture (SPA) iaitu S90 dan V90 kini muncul di laman web Volvo Malaysia, membayangkan kedua-duanya akan mula menembusi pasaran tempatan dan mungkin turut dipasang secara CKD.

    Malah, V90 turut ditampilkan pada slide utama laman web tersebut yang turut menampilkan Zlatan Ibrahimovic, bintang bola sepak Sweden yang membintangi kempen V90 di Eropah dengan tagline “Made by Sweden”. Walau bagimanapun, tiada perincian berkenaan harga dan tarikh pelancaran diberikan. Namun dengan kemunculan kedua buah model tersebut di laman web berkenaan sudah cukup untuk memberikan petunjuk ia akan dilancarkan pada masa terdekat (sebahagian khabar angin mengatakan awal tahun hadapan).

    Tetapi dengan sedikit perincian yang diberikan, boleh dijangka S90 dan V90 pasaran Malaysia akan dilengkapi dengan sistem bantuan kekal laluan, run-off road mitigation serta pengesan pejalan kaki dan haiwan besar juga pelbagai ciri lain lagi. Seperti yang diketahui, kedua-dua model ini turut dilengkapi dengan rekaan signatur terbaharu Volvo iaitu lampu LED penuh beserta lampu nyalaan siang “Tukul Thor”, gril hadapan “Iron Mark” serta lampu belakang berbentuk-C.

    Dibuktikan dengan pelancaran XC90 T8 CKD tempoh hari, S90 dan V90 tidak mustahil turut akan ditawarkan dalam varian T8 Twin Engine yang menggabungkan enjin petrol 2.0 liter dengan pengecas turbo serta supercharger dan motor elektrik plug-in hybrid menghasilkan kuasa keseluruhan 407 hp/640 Nm digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik. Ini akan memberikan pengecualian cukai khas dibawah polisi EEV kerajaan untuk kereta mesra alam yang dibuat secara CKD.

    Kilang Swedish Motor Assemblies di Shah Alam juga kini telah dilengkapi dengan infrstruktur untuk memasang kenderaan dari platform SPA dan unit janakuasa berteknologi tinggi, setelah Volvo melaburkan sejumlah modal yang besar untuk tujuan tersebut.

    “Pelaburan terbaharu kami di Malaysia menunjukkan komitmen kami terhadap aspirasi negara ini untuk menjadi hab kenderaan EEV di ASEAN, selari dengan Polisi Automotif Nasional,” kata Pengarah Urusan Volvo Cars Malaysia Lennart Stegland ketika pelancaran XC90 CKD.

    GALERI: Volvo S90


    GALERI: Volvo V90

     
     
  • Volkswagen up! GTI bakal dibangunkan?

    DB2011AU01151_large-e1317117379986

    Menurut Autocar UK, Volkswagen sedang merancang untuk membuat model up! bagi versi GTI. Sekali gus mampu mengundang persaingan hebat dengan Fiat Abarth 595.

    Ibu pejabat kejuruteraan Volkswagen yang berpusat di Braunschweig, Jerman, memberitahu Autocar UK, model baharu GTI yang masih dirahsiakan akan menerima kuasa yang lebih padu hasil enjin 1.0 liter pengecas turbo TSI tiga-silinder.

    Bagi model facelift Up!, enjinnya mampu memberikan kuasa sehingga 90 PS dan tork 160 Nm. Walau bagaimana pun kuasa yang dihamburkan oleh Golf TSI BlueMotion ialah 115 PS dan 200 Nm.

    Enjin tresebut dikatakan bakal dipadankan sama dengan transmisi DSG tujuh-kelajuan atau pun manual enam-kelajuan. Prototaip bagi up! GTI mampu mencecah kelajuan maksimum sehingga 200 km/j, dengan pacuan dari 0-100 km/j dalam masa lapan saat.

    DB2011AU01150_large-e1317117418235

    Ternyata kuasa yang dihasilkan mampu memberi persaingan buat Abarth 595 yang dipadankan oleh enjin 1.4 liter T-Jet dengan kuasa mencecah 142 PS.

    Peningkatan casis untuk up! GTI ini juga termasuk dengan suspensi yang dipertingkatkan, di mana topang MacPherson untuk bahagian belakang dan torsion di belakang turut menerima gegelung pegas dan peredam sendiri. Malah ketinggian kenderaan juga direndahkan bagi pengendalian yang lebih mantap.

    Selain prestasi, versi GTI ini juga dikatakan menerima padanan kerangka tiga- atau lima-pintu, bampar baharu, rim 16-inci yang lebih besar (dengan tayar 205/40), ambang yang lebih besar dan paip ekzos krom berkembar.

    GALERI: Volkswagen up! facelift

     
     
  • SPAD akan bawa isu teksi ke Kabinet – CEO

    Taxi protest KL 8 April 2016 feat 2

    Akibat kemelut pemandu teksi yang masih belum selesai, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Malaysia (SPAD) akan membawa cadangan mengenai isu ini ke Kabinet menerusi Kementerian Pengangkutan.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah, antara perkara yang akan diutarakan dalam cadangan tersebut ialah berkaitan dengan pendapatan dan kebajikan pemandu teksi, laporan Berita Harian.

    Katanya, “Kita akan membawa cadangan ini bagi mencari keadilan kepada semua pemandu teksi terutama yang menyediakan perkhidmatan di Lembah Klang.”

    Dalam pada itu, Mohd Azharuddin berkata, SPAD juga akan mencari kaedah terbaik bagi memastikan semua pemandu menggunakan aplikasi telefon pintar bagi memudahkan urusan pemandu, pengendali dan penumpang.

    “Kaedah itu memudahkan banyak perkara. Sepanjang tahun lalu kami menerima 9,000 aduan mengenai tingkah laku pemandu, kualiti perkhidmatan dan pemandu yang tidak menggunakan meter,” katanya.

     
     
  • Mitsubishi Malaysia panggil balik Triton 4WD buatan 2006 hingga 2014 akibat masalah beg udara Takata

    Triton Automatic and Manual Transmission

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan panggilan balik bagi model Triton 4WD buatan tahun 2006 hingga 2014. Di mana varian yang terlibat ialah Triton 3.2 liter, Triton 2.5 liter (auto/manual) dan Triton VGT 2.5 liter. Terdapat 35,000 unit Triton dijangka terlibat dnegan kempen ini.

    Menurut MMM, panggilan balik ini adalah disebabkan pengepam beg udara buatan Takata yang melibatkan bahagian pemandu. Di mana terdapat kemungkinan besar beg udara tersebut bermasalah dan boleh menyebabkan risiko sekiranya kenderaan terbabit dengan kemalangan. Di mana beg udara tersebut boleh meletup dan mengeluarkan serpihan besi yang mungkin boleh membahayakan keselamatan pemandu sendiri.

    “Keselamatan adalah keutamaan kami, justeru MMM mengambil inisiatif ini untuk memastikan tahap keselamatan para pelanggan kami dan kami turut berdukacita dengan isu ini. Kami nasihatkan agar pemilik Triton berkenaan segera ke pusat servis Mitsubishi yang bertauliah untuk pemeriksaan selanjutnya,” ujar Yang Won-Chul, selaku CEO MMM.

    Dalam masa yang sama, MMM turut melancarkan kempen pembaikian butang lampu yang didapati mengalami kerosakan untuk sesetengah model Mitsubishi buatan tahun yang sama. Di mana ia mungkin boleh menjejaskan unit pada lampu utama, lampu kecil, lampu kabus hadapan, lampu kabus belakang, lampu belakang, lampu isyarat, lampu kabin dan lampu plat nombor.

    MMM akan menghantar surat pemberitahuan kepada semua pemilik kenderaan Mitsubishi yang terbabit dan kos penggantian komponen tersebut akan ditangguh oleh syarikat ini.

    Dalam masa yang sama, sekali lagi MMM ingin mengingatkan para pemilik model Lancer sedan (tahun buatan September 2004 hingga April 2006) untuk membawa kenderaan masing-masing ke pusat servis bertauliah Mitsubishi bagi kempen panggil balik awal tahun ini yang juga berkaitan dengan beg udara bahagian penumpang,

    Bagi pemilik yang hendak memeriksa status kenderaan masing-masing, boleh layari laman web rasmi MMM, www.mitsubishi-motors.com.mu dan masukkan Vehicle Identification Number (VIN) untuk semakan.

     
     
  • McLaren 570S M2B – edisi istimewa sempena 50 tahun pasukan McLaren dalam pentas kejohanan Formula 1

    McLaren-570S-M2B-1-e1464924483344_BM

    Pasukan McLaren muncul buat pertama kali dalam kejohanan Formula Satu di GP Monaco 1966, menampilkan jentera pertama mereka digelar M2B. Untuk GP Monaco tahun ini, pembuat kereta dari British berkenaan mengambil keputusan untuk memperingati jentera tersebut dengan membina edisi khas McLaren 570S.

    Digelar 570S M2B, jentera ini dibina untuk menghormati kereta Formula Satu pertama Bruce McLaren, yang siap dibina hanya selepas tiga tahun menubuhkan pasukan perlumbaannya sendiri. McLaren 570S M2B menerima tema warna yang diinspirasikan dari jentera asal M2B, menampilkan warna badan keseluruhan putih asli dengan serlahan jalur tengah berwarna hijau serta beberapa kemasan berwarna perak.

    Walau bagaimanapun, tiada perubahan bahagian mekanikal dilakukan pada model Sport Series ini. Ia masih dijana oleh enjin 3.8 liter V8 turbo berkembar menghasilkan sejumlah 570 PS dan tork maksima 600 Nm. Kuasa dialirkan ke roda belakang menerusi kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan. Prestasi juga dilihat tidak berubah dengan pecutan dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.2 saat dan kelajuan maksima dicatatkan pada 328 km/j.

    McLaren-570S-M2B-4_BM

    McLaren kini masih lagi terus membangunkan pelbagai kaedah inovatif untuk mempertingkatkan lagi prestasi mereka di litar. Pasukan tersebut telah memperkenalkan kereta Formula Satu binaan gentian karbon pertama di dunia menerusi jentera MP4/1. Menerusi jentera MP4/12 selepas itu pula, pasukan McLaren hadir dengan teknologi Brake Steer, tetapi akhirnya sistem tersebut diharamkan dari perlumbaan kerana “mempunyai kelebihan kompetitif yang terlalu hebat”.

    Kereta yang dibina oleh McLaren untuk jalan raya juga tidak kurang hebatnya. 570S menampilkan sel penumpang monosel gentian-karbon, brek karbon seramik yang diambil dari teknologi Formula Satu dan penyerap hentak boleh laras pada setiap sudut sistem suspensi tulang selangka berkembar Supercar tersebut.

     
     
  • Ford lancar ST-Line baharu bagi Fiesta dan Focus

    Ford-Focus-ST-Line-1-e1464920938534

    Ford telah melancarkan barisan ST-LIne baharu bagi model Fiesta dan Focus, yang berada di pertengahan antara model standard dan versi ST. Di UK, Fiesta ST-Line dijual dari harga 15,645 pounds sterling (RM93,374), sementara Focus ST-Line pula bermla 20,595 pounds sterling (RM122,966).

    Bagi rekaan luarannya, Fiesta ST-Line menerima ‘lip’ bampar hadapan, sementara Focus ST-Line pula dengan bampar yang kedalam. Selain itu, ia juga berkongsi elemen penambahbaikan termasuk rim aloi 17-inci dengan warna Rock Metallic Grey, gril hadapan trapezoidal dengan rekaan ‘sarang lebah’, lampu kabus dengan warna gelap di sekelilingnya, peresap belakang dan spoiler bumbung yang lebih besar.

    Malah ia juga menampilkan ‘beltline’ hitam di bawah tingkap, skirt sisi dan logo ST-Line pada ‘wing’ hadapan. Bahagian kabin juga telah dipertingkatkan termasuk tempat duduk sport dengan jahitan merah dan roda stereng gaya-ST balutan kulit dengan jahitan kelabu. Selain menampilkan tombol gear gaya-ST dan ST-Line scuff plate.

    Ia juga telah dipertingkatkan casisnya, di mana kedua-dua model kini 10 mm lebih rendah untuk memberikan suspensi yang lebih sporty. Manakala pemilihan enjin masa sama dengan model standard. Bagi Fiesta ST-Line, ia juga ditawarkan dengan enjin petrol 1.0 liter EcoBoost tiga-silinder dengan tiga talaan iaitu 100 PS, 125 PS dan 140 PS. Juga ditawarkan dengan enjin diesel 1.5 liter TDCi dengan kuasa 95 PS. Kesemua enjin dipadankan dengan transmisi manual lima-kelajuan.

    Sementara bagi Focus ST-Line pula, ia didatangkan dengn dua enjin petrol iaitu 1.0 liter EcoBoost (125 PS) dan 1.5 liter EcoBoost dengan dua talaan kuasa iaitu 150 PS dan 182 PS. Manakala enjin diesel pula tampil dengan pilihan 1.5 liter (120 PS) dan 2.0 liter (150 PS) TDCi. Pilihan transmisi termasuk manual enam-kelajuan dan auto enam-kelajuan (bersama pedal penukar gear di belakang roda stereng).

     
     
  • 10 jaga kereta haram didenda RM1,000 setiap seorang

    Public-Parking-Lots

    Seramai 10 orang tukang jaga kereta didenda antara RM500 hingga RM1,000 setiap seorang olah majistret mahkamah selepas mereka didapati bersalah mengambil bayaran parkir secara haram, laporan The Sun Daily.

    Kesemua individu terbabit disabitkan di bawah kesalahan Seksyen 50 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang boleh membawakan hukuman penjara selama enam bulan, atau denda sehingga RM2,000 jika disabitkan kesalahan. Daripada 10 individu terbabit, sembilan daripadanya adalah warga Malaysia manakala seorang lagi rakyat Sri Lanka.

    Pada hujung minggu lalu, Jabatan pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama pihak polis, Agensi Dadah Kebangsaan dan Jabatan Imigresen, telah menyerbu operasi jaga kereta di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam. Beberapa individu telah ditahan di dalam operasi khas tersebut.

    JPJ turut berkata, operasi tersebut akan diteruskan dengan mensasarkan lokasi tumpan ramai untuk membanteras gejala jaga kereta haram ini. Dengan adanya operasi ini, pastinya dapat memberikan kelegaan kepada orang ramai yang tidak perlu lagi membayar wang parkir kepada jaga kereta haram ini, atau bimbang keselamatan tergugat.

     
     
  • Naza Quest lancar Kempen Raya Chevrolet

    Screen Shot 2016-06-02 at 6.05.30 PM

    Tinggal beberapa hari lagi Ramadan bakal menjelang tiba, ini bermakna sebulan akan datang umat Islam akan menyambut kehadiran Syawal pula. Selain mempertingkatkan ibadah, mungkin ada di antara kita yang sedang merancang untuk membeli kenderaan baharu.

    Selain Ford Malaysia yang telah mengumumkan kempen jualan sempena Aidilfitri, Naza Quest Sdn.Bhd juga telah berbuat demikian. Kempen Raya Chevrolet dan Kempen Pemanduan Selamat Sempena Raya telah pun dilancarkan dari 26 Mei hingga 31 Julai ini.

    Pengedar rasmi Chevrolet di Malaysia ini menawarkan rebat tunai untuk barisan modelnya. Bagi model Cruze dan Orlando, ia ditawarkan dengan rebat sehingga RM8,888 atau lima tahun servis percuma/100,000 km mana yang tiba terlebih dahulu. Manakala model Colorado dan Colorado Sport menerima rebat sehingga RM3,000.

    Untuk Kempen Pemanduan Selamat Sempena Raya, Naza Quest turut menawarkan 40-mata pemeriksaan dan Keahlian Bantuan Chevy selama satu-tahun percuma. Ini bagi mengutamakan keselamatan pemilik dan penumpang kenderaan tersebut.

    Selain itu, Naza Quest turut menganjurkan peraduan ‘Pandu Uji & Servis untuk Menang’ mulai 26 Mei hingga 15 Ogos ini. Untuk menyertai peraduan ini, para pelangggan hanya perlu berkunjung ke mana-mana bilik pameran Chevrolet berhampiran, pandu uji dan/atau servis kenderaan Chevrolet milik masing-masing sebelum tarikh tersebut berakhir. Setiap bulan, para peserta berpeluang memenangi hadiah menarik termasuklah Pakej Kamera Tahan Lasak Xiaomi Xiaoyi, kamera kereta/perakam video dan juga jersi Machester United.

    Bagi pemenang utama pula, bakal berpeluang menerima pakej pelancongan ke Hong Kong untuk dua orang termasuk tiket penerbangan dan penginapan di hotel.

     
     
  • Kawasaki W800 Final Edition 2016 – model terakhir ala-retro dengan enjin penyejukkan udara dari Kawasaki

    bg_16EJ800A_40ABRNDRF2CG_C-e1464853158293_BM

    Berikutan undang-undang emisi Euro 4 yang perlu dipatuhi oleh pengeluar motosikal di Eropah, kebanyakkan enjin dengan kapasiti besar dan disejukkan dengan sistem penyejukkan udara telah digugurkan penggunaannya. Ini turut berlaku pada Kawasaki, yang mengesahkan tahun ini merupakan tahun terakhir pengeluaran model ala-British Retro mereka iaitu Kawasaki W800.

    Demi pemeliharaan alam sekitar, enjin dua silinder selari berkapasiti besar dengan sistem penyejukkan yang memberikan imej British Retro tersebut tidak lagi relevan dan tidak lagi boleh diterima. Ini bermaksud enjin 773 cc silinder selari SOHC dengan empat injap setiap silinder tersebut tidak akan digunakan lagi dalam mana-mana model Kawasaki untuk tahun 2017 nanti.

    2016-Kawasaki-W800-Final-Edition_BM

    Diperkenalkan buat pertama kali pada 2011, Kawasaki W800 belum pernah diiktiraf sebagai sebuah model yang sangat laris, tetapi ia mempunyai peminat tegarnya yang tersendiri di Eropah. Ini kerana dengan kuasa 48 PS/65 Nm yang dihasilkan membolehkan ia berada pada kelas lesen memandu EU A2, yang membolehkan pemegang lesen memandu hanya menambah kelas A2 dengan sedikit ujian.

    “Bukan mudah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada sahabat lama, terutamanya model ikonik seperti W800. Memberikan penghormatan kepada siri W ini dengan edisi khas Final Edition adalah wajar untuk menamatkan pengeluaran jentera yang berjaya ini,” kata Morihiro Ikoma, Pengarah Perancangan Korporat Kawasaki Eropah dalam laporan motorcyclenews.

    Kawasaki W800 Final Edition akan diproduksi dalam kuantiti yang terhad, dan hadir dengan warna Candy Brown serta Sunset Orange sempena memperingati Kawasaki W1 650 cc yang dibuat pada tahun 1966. Kawasaki W1 yang asal (gambar di atas sebelah kiri) menrupakan model pertama Kawasaki dengan enjin empat lejang berkapasiti besar, diasaskan dari BSA A7 yang turut dikenali sebagai Shooting Star/Star Twin dari era 50’an.

    Harga Kawasaki W800 di Malaysia dianggarkan pada RM58,000. Saingan terdekat model tersebut ialah Triumph Bonneville Street Twin yang berkapasiti 900 cc dan dijual pada harga RM55,900 termasuk GST.

     
     
  • Lepasan Pusat Latihan Perantis Mercedes-Benz Malaysia diserap terus ke servis selepas jualan

    MBM-ATC-graduates_BM

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) semalam meraikan lepasan kumpulan ke-11 Pusat Latihan Perantis (ATC) program latihan Mekatronik Automotif mereka.

    “Sebagaimana Mercedes-Benz meraikan innovasi selama 130 tahun kami, kami bangga untuk menyaksikan bakat-bakat muda yang akan meneruskan tradisi dalam menyediakan pengalaman ‘Best or Nothing’ kepada pelanggan kami. Lepasan-lepasan dari pusat perantis ini membentuk tulang belakang dalam jaringan kami,” kata Presiden dan CEO MBM Dr Claus Weidner.

    Selepas latihan tiga tahun, lepasan ATC kini berkelayakan untuk menyediakan servis selepas jualan kepada pelanggan Mercedes-Benz, dan akan ditugaskan ke jaringan pengedar MBM seluruh negara.

    Semasa majlis sambutan tersebut, 25 lepasan menerima tiga sijil iaitu Sijil Latihan Mekatronik Automotif Mercedes-Benz, Sijil Kelayakan Juruteknik Penyelenggaraan Mercedes-Benz dan Sijil Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang menyamai Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia.

    Anugerah pelajar terbaik untuk kelas 2016 diberikan kepada Mohd Farhan Bin Mokhtar. “Saya benar-benar berterima kasih kepada MBM untuk peluang kerjaya ini, dan kepada tenaga pengajar kerana dedikasi serta tunjuk ajar mereka. Saya tidak sabar untuk memulakan kerjaya saya dalam industri automotif, dan akan menggunakan semua ilmu yang dipelajari semasa program latihan perantis untuk meningkatkan kerjaya saya,” kata lepasan yang berumur 24 tahun dari Alor Star itu.

    Lebih 13 tahun lalu, MBM telah melabur lebih dari RM30 juta dalam membangunkan ATC seluas 55,000 kaki persegi, yang terletak di Glenmarie, Shah Alam. Syarikat tersebut juga turut melabur RM3 juta setiap tahun untuk menjalankan program latihan berkenaan. Sehingga kini, 778 orang perantis telah menamatkan pengajian mereka di bawah inisiatif ini.

     
     
  • Aplikasi ‘Big Blue’ bagi teksi bakal dilancarkan Okt ini

    Malaysia-Taxi-02

    Satu lagi pengendali teksi, Big Blue Taxi Facilities, bakal melancarkan aplikasi ‘Big Blue’ pada Oktober ini. ‘Big Blue’ yang menyerupai aplikasi Uber dan GrabCar ini bertujuan membantu pemandu teksi di bawah kendaliannya untuk menjana pendapatan yang lebih terurus dan berdaya saing, laporan Bernama.

    Penasihatnya Datuk Shamsubahrin Ismail berkata aplikasi tersebut bakal dilancarkan pada Oktober dan orang ramai boleh memuat turunnya di ‘Google Play Store’ untuk Android dan ‘Apple Store’ bagi pengguna iPhone.

    “Aplikasi yang menelan belanja hampir RM700,000 itu adalah untuk membantu pemandu teksi mendapatkan hak mereka semula di samping meningkatkan mutu dan perkhidmatan teksi yang semakin dipandang enteng oleh masyarakat”, katanya baru-baru ini.

     
     
  • Enjin 3.9L V8 turbo berkembar Ferrari – enjin terbaik keseluruhan International Engine of the Year 2016

    Ferrari 488 GTB Maranello 12

    Enjin baharu 3.9 liter V8 dengan dua pengecas turbo dari Ferrari dinobatkan sebagai enjin terbaik keseluruhan dalam anugerah International Engine of the Year tahun ini.

    Enjin turbo berkapasiti lebih rendah ini merupakan kemenangan pertama yang diperolehi oleh Ferrari dalam sejarah anugerah tersebut dan turut mengungguli tiga kategori iaitu Enjin Baharu Terbaik, Enjin Berprestasi Terbaik dan Enjin 3.0 hingga 4.0 liter Terbaik. Ia menerima markah keseluruhan 331 markah meninggalkan juara tahun lalu iaitu enjin BMW i8 1.5 liter tiga-silinder turbo hibrid di tempat kedua dengan 278 markah. Enjin 3.0 liter boxer enam-silinder baharu dari Porsche dari 911 facelift pula berjaya meraih tempat ketiga dengan 267 markah.

    Boleh dilihat pada senarai pemenang, ia dimonopoli oleh enjin baharu yang dikecilkan kapasitinya serta disuapkan dengan pengecas turbo, bagi meningkatkan kecekapan bahan api disamping turut meningkatkan prestasi keseluruhannya.

    2016-IEOTY-Results_BM

    Enjin V8 3,902 cc dengan pengecas turbo berkembar ini merupakan enjin dari keluarga F154, kini menjana Ferrari 488 GTB dan ia adalah berkait rapat dengan enjin V8 3,855 cc turbo berkembar di dalam perut Ferrari California T yang telah kami uji Mac lalu.

    Enjin ini dipadankan dengan omboh, aci engkol, aci sesondol, kepala silinder, litar pelinciran takungan kering dan manifold ekzos baharu yang lebih ringan. Ia juga didesak dengan sepasang pengecas turbo IHI roller ball bearing yang lebih responsif dengan roda pemampat aloi titanium-aluminium.

    Semua padanan binaan tersebut membolehkan enjin ini mengekstrak kuasa sejumlah 670 PS pada takat 8,000 rpm dan tork maksima bermula 3,000 rpm berbanding enjin 4.5 liter NA V8 dari perut 458 Speciale terdahulu yang mampu menghasilkan 605 PS dan tork maksima 540 Nm. Enjin turbo berkembar ini juga 100 PS lebih berkuasa dari 458 Italia standard yang berkuasa 570 PS. Dengan enjin ini juga, 488 GTB mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tiga saat, 0-200 km/j dalam masa 8.3 saat dan kelajuan maksima dicatatkan melebihi 330 km/j.

    Senarai penuh pemenang mengikut kategori:

    International Engine of the Year: Ferrari 3.9-litre biturbo V8
    Best Sub 1-Litre: Ford 998cc three-cylinder turbo
    Best 1-Litre to 1.4-Litre: PSA Peugeot Citroen 1.2-litre three-cylinder turbo
    Best 1.4-Litre to 1.8-Litre: BMW 1.5-litre three-cylinder electric-gasoline hybrid
    Best 1.8-Litre to 2-Litre: Mercedes-AMG 2-litre turbo
    Best 2-Litre to 2.5-Litre: Audi 2.5-litre five-cylinder turbo
    Best 2.5-Litre to 3-Litre: Porsche 3-litre six-cylinder turbo
    Best 3-Litre to 4-Litre: Ferrari 3.9-litre biturbo V8
    Best Above 4-Litre: Ferrari 6.3-litre V12
    Best Green Engine: Tesla full-electric powertrain
    Best New Engine: Ferrari 3.9-litre biturbo V8
    Best Performance Engine: Ferrari 3.9-litre biturbo V8

     
     
  • DRB-Hicom catat kerugian untuk tahun kewangan 2016 kerana prestasi yang teruk ditunjukkan oleh Proton

    Proton_Iriz_Review_-019

    DRB-Hicom baru-baru ini menunjukkan hasil tahun kewangan mereka yang berakhir 31 Mac, 2016, dan ia bukanlah berita gembira buat mereka kerana mencatatkan kerugian bersih sejumlah RM991.9 juta. Menurut laporan The Star, penyebab utama kerugian tersebut adalah kerana prestasi yang teruk dicatatkan oleh Proton.

    “Kerugian ini sebahagian besarnya adalah kerana prestasi teruk dicatatkan oleh kumpulan Proton dengan jualan kenderaan yang rendah dalam suasana persaingan yang sangat sengit, ketidakstabilan pada kadar tukaran wang asing dan sentimen pengguna yang lemah.”

    “Kadar tukaran wang asing yang lemah menjejaskan kos bahan mentah Proton, kekurangan model baharu semasa tempoh tahun kewangan dan margin keuntungan yang berkurangan. Di tambah lagi dengan peruntukan yang dibuat oleh Proton berhubung beberapa caj yang tidak berulang secara langsung menjejaskan keseluruhannya,” jelas DRB-Hicom, dan menamabah jika hasil dari Proton dikecualikan, prestasi kumpulan tersebut berada pada tahap “boleh dipuji”.

    Proton_Perdana-10

    Meskipun dengan hasil yang menghampakan, DRB-Hicom kekal positif dan yakin dengan pelan pemulihan Proton, yang turut melibatkan pinjaman mudah RM1.5 bilion dari kerajaan. Ini turut termasuk pelancaran model baharu, bermula dengan Proton Perdana, dan diikuti dengan sama ada Persona atau Saga baharu. Proton juga telah menetapkan untuk memperkenal model baharu hasil usaha sama mereka dengan Suzuki akhir tahun ini, yang dikhabarkan akan diasaskan dari MPV Ertiga.

    Proton juga telah menyediakan pelan strategik untuk mengembangkan pasaran domestik dan antarabangsanya, yang akan dipantau oleh jawatankuasa khas diketuai oleh CEO Pemandu Datuk Seri Idris Jala.

    Pada masa yang sama tahun lalu, DRB-Hicom mencatatkan keuntungan RM300.19 juta. Pendapatan pada tahun kewangan 2015 dicatatkan berjumlah RM13.68 billion, dengan keuntungan sebelum cukai dicatatkan pada RM501.83 juta. Sementara itu, hasil tahun kewangan 2016 menunjukkan pendapatan jatuh sehingga 11% kepada RM12.17 billion, di mana syarikat tersebut mencatatkan kerugian sebelum cukai berjumlah RM821.27 juta.

     
     
  • Ford Mustang secara rasminya dilancarkan di Malaysia – 2.3L EcoBoost RM489k, 5.0L GT V8 RM599k

    Ford-Mustangs-2

    Ikon kereta American Muscle yang kini diberikan taraf kereta global dan sedang hangat dalam pasaran kereta sport seluruh dunia – Ford Mustang 2016, secara rasminya telah menembusi pasaran Malaysia. Ia dibawa khas oleh pengedar rasmi Ford iaitu Sime Darby Auto Connexion (SDAC), di mana Malaysia merupakan salah sebuah pasaran dalam Asia yang dipilih untuk menerima kereta ikonik dari Amerika ini.

    Seperti yang dijangka sebelum ini, Mustang generasi-keenam untuk pasaran Malaysia hadir dengan bentuk badan Fastback dan boleh dipilih dalam dua varian iaitu Mustang 2.3L EcoBoost dan juga Mustang GT 5.0L V8. Kedua-duanya diberikan spesifikasi Premium dengan tambahan Performance Pack sebagai standard.

    Kuasa yang dihasilkan pada enjin-enjin Mustang spesifikasi Malaysia ini adalah hampir sama dengan spesifikasi yang dijual di Eropah, di mana ia agak berbeza dengan model yang dipasarkan di Amerika Utara.

    Enjin V8 5.0 liter spesifikasi Malaysia menghasilkan kuasa 416 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 530 Nm pada takat 4,250 rpm (model pasaran Amerika menghasilkan kuasa 435 hp/542 Nm). Manakala enjin 2.3 liter EcoBoost empat siinder sebaris menghasilkan kuasa 317 PS pada takat 5,500 rpm dan tork 432 Nm pada takat 3,000 rpm (kuasa untuk spesifikasi Amerika ialah 310 hp/434 Nm).

    Kedua-dua varian dilengkapi dengan kotak gear ZF 6R80 enam-kelajuan automatik SelectShift, dengan penukar gear. Semasa prebiu yang dilakukan di Publika tahun lalu, tidak dinyatakan sama ada SDAC akan membawa masuk model yang dilengkapi dengan kotak gear manual Getrag MT-82 enam-kelajuan atau tidak, dan nampaknya setakat ini memang tiada.

    Kedua-dua varian didatangkan standard dengan lampu hadapan HID beserta lampu signatur, lampu belakang LED, lampu nyalaan siang, diffuser belakang, kawalan kelajuan, penghawa dingin dua zon, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, fungsi MyKey, upholstery balutan kulit, tempat duduk hadapan dengan kawalan suhu (pemanas/penyejuk) serta boleh dilaras dengan bantuan kuasa enam-hala.

    Turut hadir sebagai ciri standard termasuk penggilap cermin automatik, lampu hadapan automatik, ekzos keluli tahan karat dua tip (tip untuk 5.0 GT digilap), scuff plates berlampu, sistem infotainmen SYNC 2 dengan skrin sesentuh LCD lapan-inci dengan kamera undur serta hubungan Bluetooth dan USB.

    Spesifikasi Premium yang disertakan merangkumi suis pilihan mod pemanduan (Normal, Sport+, Track, Snow/Wet) yang diletakkan di konsol tengah. Tiada kawalan talaan penyerap hentak untuk mod-mod tersebut tetapi ia melibatkan talaan pada unit janakuasa dan perkara lain yang berkaitan casis.

    Sistem keselamatan yang didatangkan secara standard termasuk Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), cagak ISOFIX, sistem pemantau tekanan angin tayar, beg udara sisi tempat duduk dan langsir serta beg udara bahagian lutut untuk bahagian hadapan.

    Sembilan unit pembesar suara dibekalkan (iaitu set midline, tingkat taraf dari sistem asas yang hanya dilengkapi enam pembesar suara dan datang dengan skrin 4.2 inci). Logo Shaker pada konsol tengah pada kereta di dalam gambar (varian 2.3L EcoBoost berwarna merah dan 5.0 GT berwarna kuning) bukanlah peralatan dari pek Equipment Group 201A (yang menawarkan sistem audio Shaker Pro dengan 12 pembesar suara beserta unit amplifier) kerana tiada ciri Sistem Informasi Titik Buta (BLIS) dan cross-traffic alert dibekalkan untuk Mustang pasaran Malaysia.

    Performace Pack yang disertakan pada model 5.0 liter GT merangkumi roda aloi sepuluh jejari berkembar kemasan Ebony Black berdiameter 19-inci dan juga nisbah gear akhir 3.55:1, angkup brek hadapan enam-silinder Brembo dengan cakera berliang 380×34 mm, splitter hadapan, spring hadapan baharu dan juga talaan cesi unik.

    Agak menghairankan, kedua-dua varian tidak dinyatakan dilengkapi dengan Gauge Pack (merangkumi meter tambahan untuk bacaan tekanan minyak pelincir dan tekanan boost pada konsol tengah), yang mana sepatutnya diletakkan di bahagian tengah tiga liang penghawa dingin seperti yang dilihat pada kereta spesifikasi Malaysia. Gauge Pack ini sebenarnya adalah sebahagian dari kemasan spesifikasi Performance Pack.

    Performance Pack untuk varian 2.3 liter EcoBoost pula menampilkan roda aloi sepuluh jejari berkembar kemasan Ebony Black berdiameter 19-inci (roda asal 18-inci) dan juga nisbah akhir standard 3.15 pada LSD ditukar kepada 3.55.

    Pek tersebut juga merangkumi tingkat taraf sistem brek varian 2.3L kepada cakera berliang hadapan 352 x 32 mm (dengan angkup tetap aluminium empat-silnder) dan 330 x 25 mm cakera berliang belakang (dengan angkup terapung logam silinder tunggal 45 mm).

    Lima warna ditawarkan untuk kedua-dua varian iaitu Race Red, Oxford White, Shadow Black, Deep Impact Blue dan Magnetic. Hanya varian 5.0L GT menerima warna istimewa Triple Yellow Tri-Coat.

    Jun tahun lalu, SDAC telah mengeluarkan harga jangkaan untuk kedua-dua varian yang lebih rendah iaitu RM435k-RM450k untuk 2.3 litre EcoBoost dan RM550k-RM565k untuk 5.0 litre V8. Ford Mustang 2.3L EcoBoost dijual pada harga RM488,888, manakala model 5.0L GT V8 pula dijual pada harga RM598,888. Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    GALERI: Ford Mustang 5.0L GT V8

    GALERI: Ford Mustang 2.3L EcoBoost

     
     
  • MRT: Penutupan sementara Lebuhraya Cheras-Kajang mulai 3 hingga 4 Jun ini berlangsung selama 6 jam

    13240618_1158732670824799_3046574493822247103_n

    MMC-Gamuda KVMRT Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan berhubung penutupan sementara di Lebuhraya Cheras-Kajang yang melibatkan laluan KM13.2-KM14.2 (arah Kajang) dan KM15.4-KM14.2 (arah KL) dari 3 Jun hingga 4 Jun 2016. Ia melibatkan penutupan sepenuhnya selama enam jam dari jam 11 malam (3 Jun) hingga 5 pagi (4 Jun).

    Penutupan jalan ini melibatkan pengguna yang datang dari arah Kuala Lumpur dan Kajang, disebabkan pemasangan laluan pejalan kaki yang menghubungkan Stesen MRT Sri Raya.

    Sepanjang penutupan ini, pengguna jalan raya yang datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kajang akan dilencongkan ke susur Exit 703 (TELEKOM Intercharge) sebelum keluar semula ke Lebuhraya Cheras-Kajang menerusi Jalan Hulu Langat.

    Manakala pengguna jalan raya yang datang dari Kajang menuju ke Kuala Lumpur akan ke Exit 703 (TELEKOM Interchange) sebelum kembali ke Lebuhraya Cheras-Kajang menerusi Jalan Hulu Langat.

    Bagi pengguna jalan raya yang datang dari Taman Kota Cheras menuju ke Kajang dan Kuala Lumpur tidak akan dilencongkan. Begitu juga dengan pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur menuju ke Taman Kota Cheras juga tidak terjejas dengan penutupan ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026