Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GIIAS 2017: Honda Brio RS CVT versi Special Edition

    GIIAS 2017: Honda Brio RS CVT versi Special Edition

    Satu lagi model yang dipertontonkan oleh Honda ketika Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017 yang dibuka minggu lalu ialah model Brio RS CVT Special Edition. Jika anda rasa macam pernah nampak model ini, ia sebenarnya model yang sama diperkenalkan tahun lalu ketika Indonesia International Motor Show (IIMS), ketika Brio facelift membuat penampilan sulung.

    Bezanya, versi kali ini diberi beberapa pertambahan supaya ia tampil lain berbanding Brio RS CVT biasa. Antaranya ialah bahagian bawah bampar depan kini mengikut warna badan (sebelum ini tidak dicat pada RS standard), untuk disepadankan dengan warna Phoenix Orange Pearl. Bahagian belakang juga menerima penyudah yang sama, serta satu lagi ialah upholstery dwi-tona.

    Selebihnya sama sahaja antara kedua versi yang ada ketika ini. RS datang dengan rim 15-inci dengan tayar bersaiz 185/55, skirting sisi, lampu utama projektor dengan lampu panduan LED, cermin sisi kuasa elektrik dengan lampu isyarat LED.

    Honda Brio RS CVT Special Edition ini dikuasakan oleh enjin 1.2 liter empat-silinder petrol yang menghasilkan 90 PS pada 6,000 rpm kuasa dan tork sebanyak 110 Nm pada 4,800 rpm. Enjin piawaian Euro 4 SOHC i-VTEC ini dipadankan dengan transmisi CVT Earth Dreams Technology. Model edisi istimewa ini dijual pada harga 182 juta Rupiah (RM58,500), mahal 4 juta Rupiah berbanding Brio RS CVT biasa.

     
     
  • Toyota yakin segmen kereta eko semakin kuat di Thailand, bakal kuasai 25% dalam bahagian pasaran

    Toyota yakin segmen kereta eko semakin kuat di Thailand, bakal kuasai 25% dalam bahagian pasaran

    Toyota menjangkakan pasaran segmen Kereta Eko akan terus meningkat di Thailand, dan bakal mencapai 25% dalam bahagian pasaran jualan automotif di negara Gajah Putih berkenaan, lapor Bangkok Post.

    Segmen yang menyediakan kereta-kereta mampu milik dengan penggunaan bahan api yang efisien berkenaan telah menguasai 15% dari jumlah keseluruhan jumlah pengeluaran keseluruhan industri tahun lalu iaitu sebanyak 114,093 unit. Toyota menjangkakan ia akan meningkat kepada 160,000 unit tahun ini mewakili bahagian pasaran sebanyak 20%.

    “Kami percaya kenderaan dalam segmen kereta eko mempunyai potensi dalam tempoh berberapa tahun akan datang bagi mewakili sehingga 25% dari pasaran kereta di Thailand,” kata naib presiden eksekutif Toyota Motor Thailand Vudhigorn Suriyachantananont.

    Toyota yakin segmen kereta eko semakin kuat di Thailand, bakal kuasai 25% dalam bahagian pasaran

    Semalam Toyota melancarkan sedan Yaris Ativ untuk pasaran Thai, yang juga kereta eko kedua jenama berkenaan selepas Yaris hatchback – diperkenalkan pertama kali pada Oktober 2013. Jumlah jualan Yaris hatcback telah pun menjangkau angka 150,000 unit pada Mei tahun ini, sebagai tambahan kepada 51,200 unit yang dieksport ke lebih 70 negara.

    Walaupun Toyota bukan perintis bagi pasaran kereta eko di Thailand dan hanya mempunyai sebuah model untuk segmen berkenaan sebelum ini, jenama berkenaan kini merupakan peneraju bagi segmen tersebut.

    Tahun lalu Toyota berjaya menjual sejumlah 36,648 kereta eko dengan bahagian pasaran dalam segmen tersebut berjumlah 32%, diletakkan pada kedudukan paling atas berbanding lima jenama dari Jepun lain. Dengan pelancaran sedan Yaris Ativ, Toyota lebih optimis dengan mensasarkan jualannya akan meningkat kepada 38,000 unit pada tahun ini.

    Toyota yakin segmen kereta eko semakin kuat di Thailand, bakal kuasai 25% dalam bahagian pasaran

    Program kereta eko Thailand ini adalah skim yang diwujudkan oleh kerajaan Thailand bagi menggalakkan pembuat automotif negara berkenaan membina kereta-kereta yang cekap tenaga dan mampu milik. Selain dari mengambil bahagian dalam skim peringkat pertama dan kedua kereta eko ini, Toyota turut mempunyai kilang yang memproduksi kereta hibrid di Thailand.

    Jenama berkenaan telah menghasilkan Camry Hybrid di kilang tersebut, tetapi baru-baru ini diberikan keistimewaan oleh Lembaga Pelaburan untuk kenderaan hibrid elektrik bagi memasang 7,000 unit kereta setahun, menghasilkan 70,000 bateri dan memproduksi komponen-komponen lain, kesemuanya melibatkan pelaburan sebanyak 19.016 bilion baht.

    Untuk sedan Yaris Ativ, ia dibina berasaskan Vios generasi sedia ada. Kereta eko ini dijana enjin 1.2 liter Dual VVT-i yang sama pada Yaris, menghasilkan kuasa 86 PS dan tork 108 Nm, digandingkan bersama transmisi CVT automatik. Model tersebut dijual pada pasaran Thai dengan harga bermula 469,000 baht (RM60,506) hingga 619,000 baht (RM79,858).

    GALERI: Toyota Yaris Ativ

     
     
  • VIDEO: Volkswagen T-Roc – lagi teaser dikeluarkan

    Volkswagen T-Roc masih belum bersedia untuk membuat penampilan pertamanya, tetapi ia ditunjukkan dalam satu lagi video teaser. Volkswagen memberitahu, model kompak SUV mereka ini mempunyai rekaan yang progresif dan penuh dengan inovasi.

    Dalam video ini, boleh dilihat T-Roc mempunyai lampu utama dan lampu belakang rekaan tajam, dan pencahayaan bagi lampu belakang ini mempunyai bentuk yang moden. Pintu bahagian ruang simpanan belakang yang terkeluar dan bersambung dengan bahagian C-pillar juga sepatutnya dapat menghasilkan bukaan yang luas untuk memasukkan barang.

    Di dalam, skema warna yang digunakan sama seperti bahagian luar, dan unit hiburan skrin sesentuhnya disepadukan pada bahagian tengah papan pemuka. T-Roc akan ditawarkan dengan Active Info Display, yang juga boleh ditemui pada model Passat dan Tiguan terbaru.

    SUV kompak ini dibina di atas platform Modular Transverse Matrix MQB, sementara kuasa pula berkemungkinan datang daripada beberapa pilihan enjin petrol dan diesel. Ada juga yang mengatakan enjin hibrid 48-volt turut akan ditawarkan, diikuti oleh varian yang lebih fokus kepada prestasi iaitu R.

     
     
  • Sistem tol RFID dijangka dilaksana mulai Januari 2018

    Sistem tol RFID dijangka dilaksana mulai Januari 2018

    Pada 14 Ogos lalu, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) kendalian Anih Berhad dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang diuruskan oleh syarikat konsesi LPT2 Sdn Bhd, menjadi lebuhraya terakhir di Malaysia yang melaksanakan sistem pembayaran tol secara tunai (ETC). Sekaligus menjadikannya sejumlah 177 plaza tol di 31 lebuhraya di seluruh negara yang tidak lagi menggunakan kaedah tunai sebagai transaksi pembayaran tol.

    Sehubungan itu, Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Dato’ Ismail berkata, ETC ini akan ditambahkan dengan satu lagi sistem transaksi pembayaran tol baharu yang dipanggil sistem Pengenalan Frekuensi Radio atau Radio Frequency Identification (RFID) yang lebih maju dan terkini berbanding penggunaan Touch ‘n Go dan Smart Tag, laporan Sin Chew.

    Sistem ini telah mula menjalani ujian keberkesanannya sejak tahun 2015, di mana pembayaran tol secara elektronik dibuat dengan menggunakan tag khas ketika kenderaan melalui plaza tol. Menurut Ismail, sistem RFID ini dijangka akan diimplementasikan di lebuhraya di negara ini mulai 28 Januari 2018.

    Sistem tol RFID dijangka dilaksana mulai Januari 2018

    Di mana dengan sistem ini, pemandu tidak perlu memperlahankan kenderaan untuk membuat pembayaran tol apabila melewati palang RFID ini. Malah Tag RFID juga berfungsi seperti Touch ‘n Go dan perlu ditambah nilai apabila kredit di dalamnya makin berkurangan.

    Katanya, “Kami masih dalam peringkat perbincangan untuk mengimplementasikan sistem ini, tambahan pula berhadapan dengan beberapa isu teknikal. Namun buat masa ini, hanya kenderaan terpilih sahaja yang menggunakan sistem ini. Apa pun, mengikut jangkaan kami, sistem ini akan bersedia digunakan oleh pengguna jalan raya mulai 28 Januari 2018 dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat.”

    Ujian perintisnya secara rasmi telah pun bermula semalam dan lorong yang dilengkapi dengan RFID ditempatkan di lapan plaza tol di sekitar Lembah Klang. Walau bagaimana pun, buat masa ini hanya kenderaan polis sahaja yang boleh menggunakan lorong tersebut, dan bakal disusuli oleh jentera bomba dan ambulans tidak lama lagi. Jika semuanya berjalan seperti yang dirancangkan, akan ada sekurang-kurangnya satu lorong RFID di semua plaza tol menjelang tahun 2020.

     
     
  • Aston Martin Vantage Zagato Speedster dan Shooting Brake diumum akan sertai model Coupe dan Volante

    Aston Martin Vantage Zagato Speedster dan Shooting Brake diumum akan sertai model Coupe dan Volante

    Keluarga model Aston Martin Vantage Zagato akan bertambah apabila pengeluarnya mengumumkan dua lagi model iaitu Speedster dan Shooting Brake, yang akan menyertai model coupé dan roadster Volante sedia ada. Semasa pengumuman ini dibuat di Monterey Car Week di California, model Volante telah membuat penampilan sulungnya.

    Kenapa perlu ada Speedster apabila sudah ada Volante? Pertamanya, Speedster langsung tidak mempunyai bumbung, menunjukkan ia hanya boleh digunakan apabila cuaca cerah dan bagus. Di bahagian belakangnya, terdapat dua gelembung yang membantu aliran udara dari hadapan dan ini adalah satu rekaan unik Aston Martin sendiri.

    Model Shooting Brake sebenarnya lebih menarik, tetapi ia masih belum ditunjukkan secara penuh, kecuali lukisan digital bahagian tepinya yang menunjukkan badan rendah dan panjang, serta bumbung kaca penuh sampai ke belakang, dan diakhiri dengan cermin belakang yang condong. Bumbung ini juga mempunyai rekaan dua gelembung manakala ruang simpanannya dipersiap dengan kemasan yang mewah. Ia masih adalah model dua tempat duduk.

    Aston Martin Vantage Zagato Speedster dan Shooting Brake diumum akan sertai model Coupe dan Volante

    Selain daripada itu, dua kereta ini adalah sama seperti model Vanquish Zagato yang lain, dengan rekaan yang termasuk gril hadapan besar bersama motif ‘Z’ tiga dimensi, lekuk tepi pintu yang dalam serta lampu belakang LED yang mempunyai pencahayaan seperti bilah pisau. Di dalam, ia menampilkan kemasan gentian karbon herringbone, tombol kawalan gangsa anodised, sulaman motif ‘Z’ dan pilihan balutan kulit fully-aniline.

    Seperti juga model yang lain, model Speedster dan Shooting Brake ini dikuasakan oleh enjin AM11 V12 5.9 liter NA daripada Vanquish S, menghasilkan sehingga 600 PS. Kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik lapan kelajuan ZF yang dipanggil Touchtronic III.

    Speedster adalah model paling eksklusif yang akan dijual kepada umum, dengan hanya 28 buah sahaja yang akan dibina – bagi model coupé, Volante dan Shooting Brake, 99 unit ditawarkan. Penghantaran dua varian baru ini akan bermula pada tahun 2018, menjadikan jumlah pengeluaran keseluruhannya sebanyak 325 unit.

    GALERI: Aston Martin Vanquish Zagato Speedster


    GALERI: Aston Martin Vanquish Zagato Volante

     
     
  • Indonesia mahu kurangkan ‘cukai mewah’ sedan, sasar tambah pengeluaran lokal dan tingkatkan jualan

    Indonesia mahu kurangkan ‘cukai mewah’ sedan, sasar tambah pengeluaran lokal dan tingkatkan jualan

    Indonesia merupakan pasaran yang didominasi oleh MPV. Ini kerana ia mampu membawa lebih banyak penumpang dan muatan, namun di sebalik fakta itu, mengapa bukan model sedan yang memonopoli pasaran di sana? Pada tahun 2016, sedan hanya merangkumi sekitar 2% daripada 1.1 juta kenderaan yang dijual.

    Ini kerana sedan telah dikenakan kadar cukai yang sangat tinggi kerana termasuk di bawah kategori “barangan mewah” di dalam sistem, dan kereta jenis ini dikenakan cukai antara 30% hingga 40% disebabkan perkara ini. Berbanding antara 10% hingga 20% cukai yang dikenakan bagi MPV, dan sebab itulah sedan kurang diketengahkan oleh pengeluar kenderaan dan juga permintaan di kalangan masyarakat di sana.

    Walau bagaimana pun, senario ini akan berubah tidak lama lagi, apabila Indonesia merancang untuk mengurangkan cukai bagi jualan sedan domestik bagi mempromosikan negara itu sebagai hab pengeluaran bagi sedan, ujar menteri kewangannya kepada Reuters.

    Rancangan untuk memotong cukai jualan bagi sedan adalah termasuk dalam semakan semula Cukai Nilai Tambah dan Undang-undang Cukai Jualan Barangan Mewah negara berkenaan, di mana kerajaan akan mengusulkannya kepada parlimen tidak lama lagi, ujar Goro Ekanto, yang mengetuai kajian dasar pendapatan fiskal Kementerian Kewangan. “Berapa pengurangan dan impaknya akan dibincangkan sebelum keputusan dimuktamadkan,” tambahnya lagi.

    Menteri industri Indonesia Airlangga Hartanto berkata, dengan pengurangan cukai itu, kerajaan berharap para pengeluar kenderaan mampu mengeluarkan lebih banyak model sedan, bukan sahaja bagi pasaran domestik bahkan untuk dieksport. “Kami harap ia dapat meningkatkan lagi potensi untuk mengeksport sedan dan satu langkah berbuat demikian adalah menjajarkan semula cukai bagi sedan. Bagi pasaran global, permintaan terhadap sedan adalah lebih tinggi berbanding MPV dan SUV,” ujar Hartanto.

    Buat masa ini, sedan dengan enjin sehingga 1.5 liter menerima 30% cukai mewah, sementara enjin antara 1.5L hingga 3.0L pula dicukaikan sebanyak 40%. Ini membuatkan pengeluar kenderaan memilih untuk tidak memproduksi sedan di sana, lebih-lebih lagi mereka lebih cenderung memilih Thailand sebagai pusat serantau dan Malaysia bagi penggunaan domestik.

    Gaikindo, kelab pengeluar kereta yang menganjurkan acara tahunan GIIAS, telah mengusulkan tarif jualan bagi sedan kecil dikurangkan ke 10% bagi memastikan ia seiring dengan MPV bersaiz kecil.

     
     
  • Kawal selia bagi perkhidmatan Grab, Uber adalah perlu untuk pastikan keselamatan pemandu dan penumpang

    Kawal selia bagi perkhidmatan Grab, Uber adalah perlu untuk pastikan keselamatan pemandu dan penumpang

    Kerajaan menyatakan bahawa kawal selia yang dilakukan terhadap pemandu teksi konvensional serta penyedia perkhidmatan seperti Grab dan Uber adalah perlu bagi memastikan keselamatan semua pihak, terutama penumpang, lapor Bernama.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri menjelaskan, tiada sebab mengapa pemandu-pemandu perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian patut dikecualikan daripada peraturan sedia ada hanya kerana mereka menawarkan kadar tambang yang lebih murah.

    “Setiap peraturan yang dikenakan ke atas pemandu teksi konvensional turut dilaksanakan terhadap pemandu-pemandu perkhidmatan seperti Grab dan Uber, kerana ia bertujuan untuk menjamin keselamatan,” jelas Nancy.

    Kawal selia bagi perkhidmatan Grab, Uber adalah perlu untuk pastikan keselamatan pemandu dan penumpang

    27 Julai lalu, Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan undang-undang yang membolehkan kerajaan mengawal selia perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian seperti Grab dan Uber selepas ini. Di bawah undang-undang baru itu, pemandu perkhidmatan itu yang terlibat perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan, sama seperti yang dilakukan oleh teksi konvensional.

    Ini termasuk pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan berjadual bagi kenderaan yang digunakan serta mempamerkan kad pengenalan pemandu yang dikeluarkan oleh SPAD. Selain itu, perlu juga ada perlindungan insurans bagi pemandu, penumpang serta kenderaan yang digunakan oleh operator perkhidmatan itu.

    Nancy juga menambah, ini bertujuan untuk memastikan undang-undang yang dikenakan adalah adil dan sama-rata antara pemandu teksi biasa dan mereka dari perkhidmatan Uber atau Grab. Ia adalah selari dengan perancangan di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang diumumkan sebelum ini.

     
     
  • VIDEO: Kereta ‘recce’ untuk rali Volvo S60 milik M-Sport – lebih 15 tahun, tetapi masih lagi berkhidmat

    Jika anda pernah menonton video ‘on board‘ mana-mana perlumbaan rali, anda tentu perasan co-driver (juruarah) di sebelah pemandu membaca ‘pacenote‘ untuk memberi panduan kepada pemandu bukan? Untuk pengetahuan anda, pacenote untuk kebanyakkan perlumbaan rali termasuk kejohanan rali dunia (WRC) bukan diberikan oleh penganjur, tetapi perlu di buat sendiri oleh co-driver berkenaan.

    Jadi, untuk membuat pacenote tersebut, pemandu dan juruarah perlu masuk terlebih dahulu ke laluan-laluan Special Stage (SS) yang telah ditetapkan untuk membuat pacenote mereka sendiri – proses ini dipanggil ‘recce’ (dalam bahasa melayu, kita kerap menyebut ‘riki’ yang bermaksud meninjau terlebih dahulu, ini lah perkataan asalnya).

    Recce dilakukan sebelum berlangsungnya perlumbaan sebenar dan jalan-jalan yang bakal digunakan sebagai SS masih lagi belum ditutup dan masih boleh digunakan oleh orang awam. Jadi semasa proses ini kereta rali sebenar tidak boleh digunakan. Lazimnya setiap pasukan rali mempunyai kereta recce mereka sendiri, dan untuk pasukan rali M-Sport (yang mengendalikan pasukan rali dunia Ford) memilih untuk menggunakan Volvo S60 yang kini sudah pun berusia lebih 15 tahun.

    VIDEO: Kereta ‘recce’ untuk rali Volvo S60 milik M-Sport – lebih 15 tahun, tetapi masih lagi berkhidmat

    Video diatas dihasilkan oleh pihak Autosport yang diberikan peluang untuk memandu sendiri kereta recce Volvo S60 berkenaan. M-Sport menerima kereta berkenaan ketika Volvo belum lagi dimiliki oleh Geely tetapi masih di bawah naungan Ford. Kereta yang digunakan ini bukan sahaja berkhidmat untuk pemandu-pemandu rali Ford buat masa sekarang iaitu Sebastien Ogier dan Ott Tanak, malah turut digunakan oleh lagenda-lagenda Ford sebelum ini seperti Marcus Gronholm dan mendiang Colin McRae.

    Volvo S60 untuk pasaran Eropah ditawarkan dengan pilihan sistem AWD, jadi ia sangat sesuai untuk tugas recce berkenaan. Kereta recce ini diberikan sistem suspensi, sistem brek tangan yang diubahsuai bagi memudahkan aksi ‘handbrake turn’ serta diberikan roll cage, meter trip dan peralatan hubungan serta tempat duduk kereta rali sebenar.

    M-Sport pernah cuba untuk membuat recce menggunakan SUV Ford Kuga namun ia dirasakan tidak sesuai. Dengan menggunakan Volvo ini, pemandu lebih mudah untuk merasa permukaan jalan dan membuat jangkaan bagaimana jika menggunakan kereta rali sebenar pada jalan-jalan berkenaan ketika hari perlumbaan kelak.

    Walaupun sudah berusia lebih 15 tahun dengan bacaan meter perbatuan kini mencecah setengah juta km (kebanyakkan digunakan pada laluan rali dunia!), kereta-kereta recce Volvo S60 berkenaan masih lagi berkhidmat cemerlang dan pasukan bertaraf dunia dengan bajet besar seperti M-Sport ini masih lagi belum mahu menggantikannya dengan kereta-kereta yang lebih baharu.

     
     
  • BMW Z4 Concept – imej teaser kedua didedahkan, bakal diperkenalkan pada umum 17 Ogos ini

    BMW Z4 Concept – imej teaser kedua didedahkan, bakal diperkenalkan pada umum 17 Ogos ini

    Menjelang acara Pebble Beach Concours d’Elegance yang bakal berlangsung tidak lama lagi, BMW telah menyebarkan imej teaser bagi model konsep roadster baharu, yang dijangka bakal diperkenalkan pada 17 Ogos ini. Ia merupakan teaser kedua yang dikatakan adalah pra-tonton bagi Z4 generasi akan datang, yang bakal lahir hasil kerjasama antara BMW dan Toyota.

    Walau pun hanya mendedahkan sedikit sahaja imejnya, sekurang-kurangnya ia memberikan gambaran, rekaan yang penuh bergaya telah ditampilkan. Bahagian hadapannya nampak bersifat lebih kontemporari dengan gril ‘kidney’ berkembar yang menjadi trademark jenama ini, serta bonet yang lebih panjang. Malah lampu utamanya kelihatan agak garang, dengan lingkaran LED corona.

    Selain itu, model konsep ini juga memiliki corong fender (Air Breathers jika ikut bahasa BMW) dengan menampilkan garisan yang lebih maskular, melepasi cermin sisi yang lebih langsing. Cermin hadapan yang lebih bergaya pastinya membuatkan penampilan model ini begitu menyerlah.

    Seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini, BMW roadster baharu ini dibangunkan secara kerjasama dengan Toyota, di mana firma Jepun berkenaan bakal mengolahnya sebagai “Supra generasi baharu“. Malah kedua-dua model berkenaan juga berkongsi platform yang sama, namun masing-masing memiliki penggayaan dan penjana kuasa yang tersendiri, menurut yang dilaporkan.

    Perincian selanjutnya mengenai ‘Z4 Concept’ ini hanya akan didedahkan selepas tarikh yang dinyatakan di atas, tetapi BMW berkata versi produksi bagi pengganti E89 akan tiba pada tahun hadapan.

    GALERI: Prototaip BMW roadster baharu

     
     
  • PANDU UJI: Geely Boyue – tanggapan awal terhadap SUV pertama Proton, jangka diperkenalkan pada 2018

    PANDU UJI: Geely Boyue – tanggapan awal terhadap SUV pertama Proton, jangka diperkenalkan pada 2018

    Seperti yang sudah kita sedia maklum, pengambil-alihan sebanyak 49.9% pegangan kepentingan dalam Proton oleh Geely yang diumumkan Jun lalu mengakhiri proses pencarian rakan strategik bagi pengeluar kereta kebangsaan itu, yang sejak beberapa tahun terakhir ini berada dalam situasi sukar akibat jualan kenderaannya yang merosot. Kebergantungan terhadap pasaran tempatan semata-mata tidak lagi memadai seperti sejak awal penubuhan Proton 30 tahun dulu.

    Dalam situasi itu pun, Proton masih berusaha untuk menjadi lebih berdaya saing. Pertama kali dalam sejarah syarikat itu, Proton memperkenalkan empat model baru dalam tempoh setahun, pada 2016. Ini turut melibatkan pengenalan ciri penambahbaikan yang signifikan dalam memberikan penawaran produk yang lebih baik – misalnya, kotak gear CVT yang kini lebih senyap dan responsif seperti yang mula diperkenalkan pada Proton Persona.

    Kini, dengan kerjasama yang dimeterai itu, Proton akan memberi tumpuan untuk memperkenalkan model-model dari segmen yang sebelum ini tidak pernah diwakili oleh jenama itu di sini. Bukan itu saja, syarikat ini juga meletakkan matlamat untuk memperluaskan rangakaian pasaran eksportnya sebagai antara objektif utama kerjasama dengan Geely ini.

    Model pertama yang akan menjadi penawaran hasil usaha sama ini ialah sebuah SUV yang dilandaskan kepada model sedia ada pengeluar dari China itu, Geely Boyue. Ia dijangka akan mula dipasarkan di Malaysia tahun depan, pada tanda harga yang sangat berpatutan jika dibanding dengan kenderaan kelas yang sama dengannya.

    Baca laporan selanjutnya di sini

     
     
  • Toyota Yaris Ativ dilancarkan di Thailand – 1.2L, 7-beg udara dan VSC untuk semua varian, bermula RM60k

    Toyota Yaris Ativ dilancarkan di Thailand – 1.2L, 7-beg udara dan VSC untuk semua varian, bermula RM60k

    Toyota Thailand telah melancarkan model Yaris Ativ pada pasaran berkenaan setelah video teaser rasminya disiarkan berberapa hari lalu. Model ini dihasilkan berasaskan generasi Vios sedia ada pada pasaran negara tersebut, tetapi diberikann enjin 1.2 liter bagi membolehkan ia menerima insentif menerusi undang-undang Kereta Eko Thailand sama seperti saingan-saingannya iaitu Honda Brio Amaze, Mitsubishi Attrage dan juga Suzuki Ciaz.

    Yaris Ativ hadir dengan lima varian di Thailand iaitu J Eco, J, E, G dan S. Enjin 3NR-FE 1.2 liter Dual VVT-i empat silinder yang menjana model ini (enjin yang sama pada Yaris hatchback – juga dikelaskan sebagai kereta Eko di Thailand) mampu menjana 86 PS dan tork maksima 108 Nm. Kuasa dari enjin dipindahkan ke roda hadapan menerusi kotak gear Super CVT-i automatik.

    Walaupun menggunakan asas yang sama, model ini diberikan penggayaan unik yang berbeza dari Vios. Muka Yaris Ativ direka dengan gabungan lampu hadapan dan juga gril bersaiz besar berbentuk-V, manakala bahagian belakangnya pula menerima lampu kombinasi LED yang agak tirus.

    Toyota Yaris Ativ dilancarkan di Thailand – 1.2L, 7-beg udara dan VSC untuk semua varian, bermula RM60k

    Pada bahagian sisi, boleh disaksikan Yaris Ativ menerima garis-garis badan dengan karekternya tersendiri. Garis utama bermula dari ruang roda hadapan dan terus mengalir ke pintu belakang, manakala satu lagi garisan menghubungkan kedua-dua pembuka pintu dan kemudian mengalir kearah lampu belakang.

    Bagi kelengkapan pula, varian E, G dan S diberikan rim aloi 15-inci manakala varian J menerima rim besi 15-inci dan varian asas J Eco turut menerima rim besi dengan saiz lebih kecil iaitu 14-inci. Lampu projektor halogen diberikan pada varian G dan S manakala varian lain lebih rendah hanya dipadankan dengan lampu halogen reflektor.

    Pada bahagian dalaman pula, kesemua varian diberikan tempat duduk balutan fabrik. Model tertentu akan menerima tambahan balutan kulit atau urethane pada bahagian-bahagian seperti roda stereng dan kemasan-kemasan pintu (dengan jahitan benang merah), serta pilihan warna keseluruhan sama ada hitam atau beige, bergantung pada varian.

    Varian tertinggi S akan menerima kelengkapan penuh yang terdiri dari pemain audio utama dengan skrin sesentuh tujuh-inci, pendingin hawa automatik, paparan pelabagai info 4.2 inci, kluster instrumen Optitron, enam pembesar suara dan juga sistem kunci pintar bersama suis penghidup enjin.

    Kesemua varian Yaris Ativ akan menerima kelengkapan keselamatan standard yang sama iaitu tujuh-beg udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu), VSC, traction control, bantuan mula mendaki serta ABS lengkap dengan EBD dan BA – tahap yang agak tinggi untuk sebuah Kereta Eko mampu milik.

    Toyota Yaris Ativ dijual di pasaran Thailand dengan harga bermula 469,000 baht (RM60,506) untuk varian asas J Eco, 519,000 baht (RM66,957) untuk J, 549,000 baht (RM70,827) bagi varian G, manakala varian tertinggi S dijual pada harga 619,000 baht (RM79,858).

     
     
  • VIDEO: BMW M5 baharu – teaser mula didedah, diikuti pelancaran rasmi peringkat global pada 21 Ogos ini

    Pada 21 Ogos ini, BMW dikhabarkan bakal melancarkan model serba baharu F90 BMW M5, sebelum itu video teaser bagi pesaing Mercedes-AMG E 63 ini telah pun disebarkan.

    M5 baharu ini bakal dilengkapi dengan pacuan semua-roda buat pertama kalinya dalam sejarah selama 33 tahun, di mana BMW menggelarkannya sistem M xDrive. Sistem ini juga bersedia menyalurkan pemanduan lebih kepada roda belakang, dengan satu bahagiannya yang mengunci Active M Differential bagi mengalirkan tork dengan nisbah pada gandar belakang lebih banyak, membolehkan model ini melakukan aksi drift di selekoh. Berbanding bagi mod normal yang lebih banyak ‘kurang memberi’ pacuan pada roda belakang.

    Kuasa disalurkan ke enjin 4.4 liter pengecas turbo-berkembar V8 yang dipertingkatkan, dipadankan bersama kotak gear automatik konvensional lapan-kelajuan Steptronic dengan Drivelogic. Buat masa ini, keseluruhan kuasanya belum didedahkan, namun apa yang kami tahu, M5 baharu ini dianggar menggunakan bahan api (kombinasi) sekitar 10.5 l/100 km dan emisi C02 (kombinas) sekitar 241 g/km.

    Berdasarkan video ini, M5 baharu juga bakal ditawarkan dengan varian First Edition bersama pengkhususan khas oleh BMW Individual. Di mana ia pastinya penambahan yang lebih bersifat estetika berbanding M5 biasa, yang hanya akan didedahkan sewaktu pelancaran peringkat global ini.

    GALERI: F90 BMW M5

     
     
  • GIIAS 2017: Wuling Confero – MPV yang jadi model pertama hasil kerjasama SAIC-GM-Wuling di Indonesia

    GIIAS 2017: Wuling Confero – MPV yang jadi model pertama hasil kerjasama SAIC-GM-Wuling di Indonesia

    Pasaran MPV bajet di Indonesia mempunyai saingan baru selain daripada Mitsubishi Expander, iaitu Wuling Confero. Ini adalah sebuah model pertama hasil kerjasama SAIC-GM-Wuling di kilang yang memulakan operasi bulan lalu di Cikarang, Indonesia. Kilang tersebut memakan pelaburan sebanyak USD700 juta dan merupakan kilang kerjasama GM yang pertama di luar China, dengan kapasiti pengeluaran 120,000 kenderaan satu tahun.

    Dalam bahasa Latin, Confero adalah bermaksud “membawa bersama”, dan dianggap berpadanan untuk sebuah MPV keluarga. Tujuh varian ditawarkan, dengan harga dari RP128.8 juta (RM41,433) hinggalah Rp165.9 juta (RM53,365) untuk model paling tinggi Confero S LUX+.

    Semua varian Confero ini dikuasakan oleh enjin petrol 1.5 liter dengan kemampuan 107 hp dan 142 Nm tork di antara 3,800 hingga 4,400 rpm. Enjin DOHC DVVT empat silinder ini dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan dan tiada pilihan untuk transmisi automatik. Kuasa disampaikan ke roda belakang, seperti Toyota Avanza.

    Ukuran Wuling Confero adalah 4,530 mm panjang manakala lebarnya pula 1,691 mm, dan ini menjadikan ia 74 mm lebih panjang dan 44 mm kurang lebar berbanding Honda BR-V. Jarak roda pula agak panjang iaitu 2,720 mm (di tengah antara BR-V dan Expander), dan terdapat pilihan untuk tujuh tempat duduk (dua tempat duduk berasingan di baris kedua) atau lapan tempat duduk (susun atur 2-3-3).

    Antara kelengkapan lain yang ada pada Wuling Confero termasuk rim aloi 15 inci, pembuka pintu dan tingkap but kawalan jarak jauh, soket USB di tempat duduk baris kedua, pembuka tempat mengisi minyak elektrik (butang di papan pemuka), sistem pemerhatian tekanan angin tayar, pengesan jarak depan dan belakang, dua beg udara, serta brek ABS dan EBD.

    Berbanding Toyota Avanza, Daihatsu Xenia, Suzuki Ertiga dan Honda Mobilio, Wuling Confero mempertaruhkan ruang dan harga, yang hampir dengan kereta MPV mesra alam kos rendah (LCGC) lebih kecil seperti Toyota Calya dan Daihatsu Sigra.

     
     
  • GALERI: Volvo V40 T5 Drive-E Inscription facelift 2017

    GALERI: Volvo V40 T5 Drive-E Inscription facelift 2017

    Hatchcback lima-pintu Volvo V40 mula masuk ke pasaran Malaysia bermula 2013 (tidak termasuk model wagon generasi sebelumnya) dan sehingga kini ia hadir dalam pelbagai versi. Tahun lalu Volvo Cars Malaysia tidak lagi menjual V40 dengan versi T4 yang menggunakan enjin 1.6 liter dan dikaitkan dengan enjin EcoBoost dari Ford, manakala enjin 2.0 liter lima-silinder turbo pada versi T5 pula digantikan dengan enjin generasi baharu 2.0 liter empat silinder turbo Drive-E yang lebih berkuasa.

    Tahun ini, V40 sekali lagi menerima tingkat taraf, kali ini melibatkan perubahan facelift. Dilancarkan pada Jun lalu, V40 facelift menerima penyegaran pada bahagian luaran dan juga sedikit perbezaan pada bahagian dalaman. Untuk memberikan ia imej yang setara seperti SUV XC90 dan juga pasangan sedan S90 serta wagon V90, V40 kini menerima gril baharu dengan jeriji menegak menggantikan jeriji ‘egg-crate‘ sebelum ini, bersama logo ‘iron mark’ baharu yang lebih besar.

    Ia juga kini diberikan lampu hadapan signatur baharu bersama lampu nyalaan siang bina-dalam LED ‘Thor’s Hammer’ sama seperti barisan model-model flagship Volvo. Model baharu ini turut menerima lencana Inscription iaitu trim tertinggi dalam sesebuah model Volvo global (trim asas Kinetic, pertengahan Momentum dan tertinggi Inscription).

    GALERI: Volvo V40 T5 Drive-E Inscription facelift 2017

    Sedikit penyegaran dilakukan pada bahagian dalaman, antaranya kemasan Milled Aluminium kini menggantikan kemasan Shimmer Graphite pada model sebelum ini, manakala pada para bendul sisi juga diberikan plat dengan logo Inscription. Logo Iron Mark baharu Volvo bukan sahaja ditukar pada bahagian luar, malah pada roda stereng dan kunci kereta ini juga menerima logo baharu berkenaan.

    Bagi sistem pendingin hawa pula, ia masih mengekalkan ciri dan sistem asal, tetapi kini turut diberikan tambahan sistem Cleanzone (diberitahu dengan tanda yang dicetak pada liang pendingin hawa) bagi memberikan udara yang lebih bersih dan segar.

    Tiada perubahan diberikan pada unit janakuasa di mana V40 T5 facelift masih dijana enjin 2.0 liter turbo Drive-E berkuasa 245 hp dan tork maksima 350 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Walaupun pada luarannya nampak begitu ‘lembut’, hatchback ini sebenarnya mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.3 saat – 0.2 saat lebih pantas berbanding Volkswagen Golf GTI sedia ada bagi pasaran Malaysia.

    Volvo juga tidak membuat sebarang perubahan dari segi talaan suspensi mahupun dinamik keseluruhan model baharu ini. Jadi, pemanduannya masih lagi sama seperti model sebelum ini, yang telah kami ujinya dan anda boleh baca ulasan berkenaan DI SINI. Versi sebelum ini juga hadir dengan pilihan talaan berprestasi tinggi Polestar Optimisation, mengekstrak kuasa 253 hp/400 Nm dari enjin asal, suspensi lebih keras serta pelbagai lagi tingkat taraf lain – ulasan pandu ujinya juga boleh anda baca DI SINI.

    Sistem keselamatan dari model sebelumnya turut terus dibawa pada versi facelift ini. Ia termasuk City System; yang menurut Volvo merujuk kepada ciri dan teknologi Autonomous Emergency Braking (AEB) dan Collision Avoidance and Mitigation. Ia turut diberikan ciri lain seperti Blind Spot Information System (BLIS), Park Assist Pilot (PAP) serta Cross Traffic Alert (CTA).

    Empat pilihan warna ditawarkan kepada pelanggan; Luminous Sand (baru), Ice White, Onxy Black dan Osmium Grey. Volvo V40 T5 Inscription 2017 ini dijual pada harga atas jalan dengan GST tidak termasuk insuran RM180,888. Setiap pembelian V40 T5 Drive-E disertakan dengan perlindungan waranti lima tahun tanpa had perbatuan serta bantuan tepi jalan Volvo On Call juga selama lima tahun.

     
     
  • Ford GT ’67 Heritage Edition 2018 – keluaran terhad

    Ford GT ’67 Heritage Edition 2018 – keluaran terhad

    Pada tahun 1967, pasukan lumba Ford telah diiktiraf sebagai juara dalam perlumbaan Le Mans, menggunakan kereta GT40 Mark IV yang dipandu oleh Dan Gurney dan A.J. Foyt. Bagi memperingati perkara bersejarah tersebut, Ford Performance akan mengeluarkan model edisi terhad Ford GT ’67 Heritage Edition bagi model pasaran tahun 2018.

    Asas kereta ini, seperti yang diketahui daripada namanya adalah Ford GT 2017, yang diperkenalkan awal tahun ini dengan menggunakan enjin V6 3.5 liter EcoBoost berkuasa 647 hp dan 746 Nm tork. Bagi menjadikannya istimewa sebagai model peringatan, penampilannya diubah.

    Dari luar boleh dilihat supercar edisi terhad ini menggunakan warna Race Red, dengan jalur perlumbaan putih dan pakej kemasan gentian karbon yang terdedah. Di atas hud serta tepi pintunya terdapat nombor 1 seperti kereta lumba dan ia diperlengkap dengan rim 20 inci aluminium berwarna perak satin, skru berwarna hitam, angkup brek merah dan lapik cermin sisi warna perak.

    Di dalam pula, tempat duduk Ford GT ’67 Heritage Edition 2018 yang dibina daripada gentian karbon, serta roda stereng dibalut dengan kulit baru, bersama jahitan kontras berwarna merah. Tali pinggang keselamatan juga kini berwarna merah, manakala pedal penukar gear di stereng diwarnakan kelabu. Pada bahagian panel meter, tepi pintu dan x-brace pula, ia disudahi dengan kemasan seperti stainless steel berwarna gelap.

    Akhir sekali, sudah tentu terdapat lencana khas yang menandakan kereta ini adalah model keluaran istimewa dan beberapa bahagian lain seperti kemasan tepi pintu, corong pendingin hawa dan konsol tengah dibuat daripada gentian karbon.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025