Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Art of Speed 2018 bakal kembali lagi hujung bulan ini

    Saban tahun, acara Art of Speed (AOS) semakin mendapat perhatian meluas, tidak hanya daripada kelompok penggemar dunia kustom, malahan dari khalayak umum juga. Dan, untuk edisi ke-tujuh penganjurannya tahun ini, AOS akan kembali menemui anda pada 28-29 Julai nanti.

    AOS 2018 meneruskan kesinambungan penganjurannya yang sebelum ini dengan penyertaan serta skala aktiviti yang lebih besar. Dengan PETRONAS tampil sebagai penaja utama tahun ini, acara ini juga akan bekerja sama dengan satu lagi jenama “marketplace” terbesar di Malaysia, Mudah.my disamping banyak lagi jenama-jenama lain yang pernah disaksikan sebelum ini di AOS.

    Antara segmen atau tarikan utama AOS 2018 ialah Pertandingan Motosikal Binaan Khas Jemputan 2018 yang akan menampilkan lapan pembina tempatan dan Singapura yang akan bersaing untuk merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM15,000.

    Art of Speed 2018 bakal kembali lagi hujung bulan ini

    Mereka yang terlibat yang akan mempamerkan hasil kerja binaan motosikal kustom masing-masing ialah Rusty Factory (Ipoh, Perak), Soul Garage (Sg. Petani, Kedah), JZ Engineering & Service (Pasir Gudang Johor), No Die Cycles (Ampang, Selangor), Beautiful Machines (Kuala Lumpur), Dstreet Custom (Singapura), Kenstomoto (Kuala Lumpur) dan Skateture Custom Works (Kuching, Sarawak).

    Bagi peminat Hot Wheels pula, sambutan ulang tahun ke-50 jenama itu akan diadakan pada acara ini, bersama dengan kehadiran Pengurus Reka Bentuk Global Hot Wheels, Dmitriy Shakhmatov. Menarik tentang sambutan ini ialah turut akan berlangsung sesi pratonton model khas RWB Porsche 911 yang pertama kali akan ditunjukkan kepada umum sebelum pelancarannya tahun depan.

    Kaki barangan dan pakaian vintage juga tidak ketinggalan untuk diraikan dalam acara ini nanti. Segmen “Hail Vintage 2018” akan menampilkan pameran dan koleksi denim-denim dari tahun 1870an dengan nilai semasa keseluruhan barangan terbabit dianggarkan melebihi RM1 juta.

    Meneruskan tradisi penganjuran AOS pada tahun-tahun yang lalu, jemputan nama-nama besar dunia kustom global beserta beberapa kenderaan khas mereka turut akan mengambil tempat tahun ini. Antaranya ialah Nau Shima & Yuki Hitomi dari Tokyo Indians MC yang akan mempamerkan dua buat motosikal Indian Chief tahun 1947.

    Shige Suganuma, nama yang sudah sinonim dengan AOS pula dari MOONEYES akan membawakan sebuah motosikal Harley-Davidson Sportster 1978 MQQN Digger Show Bike dan sebuah kereta MQQN Bug Drag Race yang dibina oleh Masashi Tazaki dari One Low Japan dan akan dipandu oleh Yutaka Kijimoto yang turut akan berada di acara ini nanti.

    Selain itu, Mudah.my yang bekerjasama dengan Pa’din Musa akan menghasilkan sebuah motosikal kustom khas dari model motosikal cub Honda C70 yang akan dipamerkan ketika sepanjang acara ini berlangsung kelak. Jadi, tandakan kalendar anda dan jangan lepaskan peluang untuk turut serta dan berinteraksi dengan bakat-bakat dari luar negara yang akan berhimpun di MAEPS hujung bulan ini.

     
     
  • Toyota Supra generasi baharu terus guna kod casis ‘A’ – bakal buat kemunculan di Goodwood minggu depan

    Akaun Twitter Toyota Eropah telah membuat pengumuman bahawa pewaris kereta sport ikonik mereka – Toyota Supra generasi baharu akan membuat kemunculannya pada Goodwood Festival of Speed di UK minggu hadapan.

    Berbeza dengan kemunculannya di Geneva Mac lalu yang tampil sebagai jentera konsep perlumbaan Gazoo Racing, kehadirannya di Goodwood berkemungkinan dengan badan prototaip produksi sebenar tetapi masih lagi diberi pelekat penyamaran – berdasarkan gambar yang dimuat naik pada laman media sosial berkenaan.

    Apa yang menarik, Toyota nampaknya akan terus memberikan kod casis ‘A’ kepada Supra generasi baharu ini dengan memaparkan kod casis A90 pada badan kereta berkenaan – menandakan ia adalah ‘waris’ sebenar Supra generasi-generasi terdahulu. Kod casis ‘A’ ini diberikan buat pertama kali kepada Toyota Celica generasi pertama (A2#/A3#) bagi memberitahu bahawa ia adalah kereta sport flagship mereka dan diletakkan pada tangga paling atas.

    Nama ‘Supra’ muncul pada Celica generasi kedua pada model Celica Supra/Celica XX, bagi menunjukkan ia dari versi dengan enjin enam-silinder sebaris. Celica dan Supra dipisahkan pada generasi keempat di mana model enam-silinder terus menggunakan nama Supra dengan kod casis ‘A’ (A70), manakala nama Celica diberikan kepada kereta sport dalam segmen yang lebih kecil dengan kod casis ‘T’. Supra generasi baharu ini diberikan kod casis A90 sebagai sambungan dari kod casis A80 (JZA80) model sebelumnya.

    Prototaip Toyota Supra generasi baharu yang sedang diuji (kiri) dan Toyota Supra JZA80 generasi sebelumnya (kanan)

    Supra generasi baharu dibina bersama oleh Toyota dan BMW di mana pengeluar dari Jerman berkenaan membangunkan roadster Z4 generasi terkini di atas platform kereta sport yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan.

    Walau bagaimanapun, tidak seperti apa yang terjadi pada kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ, rekaan Supra ini jelas berbeza dari BMW Z4 yang tampil dengan bentuk badan roadster.

    Sehingga kini, tiada lagi perincian teknikal menyeluruh dari Toyota berkenaan Supra tersebut. Tetapi, ketua jurutera Tetsuya Tada (yang juga bertanggungjawab dalam projek Toyota 86 sebelum ini) mengesahkan Supra generasi baharu ini direka dengan titik graviti lebih rendah dari 86, mempunyai nisbah berat 50:50 dan difokuskan lebih terhadap pengendalian – berbeza dari Supra JZA80 dengan enjin 2JZ-GTE yang dilihat sebagai pemusnah supercar di laluan lurus.

    Tada juga menjelaskan bahawa Supra generasi baharu ini tidak akan hadir dengan kotak gear manual – dijangka mungkin akan diberikan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF seperti Z4 atau kotak gear automatik klac berkembar.

    GALERI: Toyota Supra generasi baharu dalam bentuk konsep perlumbaan Gazoo Racing

    GALERI: Spyshot prototaip Toyota Supra generasi baharu yang sedang diuji

     
     
  • Kementerian akan cantas pihak terlibat keluarkan “lesen terbang” – tidak kira JPJ, sekolah memandu

    Kementerian akan cantas pihak terlibat keluarkan “lesen terbang” – tidak kira JPJ, sekolah memandu

    Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat di dalam mengeluarkan lesen kopi-o atau lesen terbang, tidak kira ia dari pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau dari sekolah memandu, lapor The Sun.

    Menurut menterinya, Anthony Loke, masih ada lagi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mempromosi aktiviti seperti ini, dan kementerian komited untuk menamatkan amalan seperti ini sepenuhnya. Beliau berkata, jika pelakunya adalah sekolah memandu, lesen institusi itu akan dibatalkan jika di dapati bersalah. Manakala, sekiranya pelaku ialah pegawai JPJ sendiri, mereka akan dipecat.

    “Ketika ini masih ada lagi segelintir pihak yang mengiklankan aktiviti seperti ini di media sosial, mempromosi perkhidmatan mereka untuk membantu orang ramai mendapatkan lesen memandu dengan cara mudah tanpa melalui prosedur sepatutnya. Untuk ini, sesiapa saja yang terlibat akan dikenakan tindakan tegas, melibatkan siasatan pihak polis,” ujarnya.

    Kementerian itu juga telah mengumumkan rancangan untuk mewujudkan sistem memandu secara automasi, yang akan mengurangkan gangguan individu berkaitan dan mematikan budaya lesen kopi-o atau pakej sampai lulus yang diamalkan sejak lama dulu.

    Sistem berkenaan, yang dijangka diperkenalkan seawal tahun hadapan, hanya memerlukan calon pemandu mengambil ujian memandu mereka tanpa kehadiran pegawai penilai duduk disebelah. Calon sebaliknya akan dinilai melalui beberapa kamera oleh pegawai penilai yang duduk di bilik kawalan.

     
     
  • Bugatti Chiron Sport buat penampilan di Malaysia – bermula RM12 juta, tampil talaan lebih fokus untuk litar

    Bugatti Chiron Sport buat penampilan di Malaysia – bermula RM12 juta, tampil talaan lebih fokus untuk litar

    Baru sahaja diperkenalkan di Geneva Motor Show Mac tahun ini, kemudian mendarat di Singapura bulan lalu, kini versi lebih hardcore Bugatti Chiron digelar Chiron Sport sudah pun secara rasmi didedahkan di Malaysia hari ini dalam siri jelajahnya ke seluruh rantau ASEAN.

    Chiron Sport masih lagi dijana enjin yang sama dengan Chiron standard iaitu unit dengan 16-silinder bentangan W (W16) 8.0 liter bersama empat buah pengecas turbo menghasilkan 1,479 hp (1,500) PS dengan tork maksima 1,600 Nm. Kuasa juga masih dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan dan sistem AWD dari Haldex, membolehkan hypercar ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 420 km/j.

    Jadi apa yang membuatkan model ini lebih hebat dari versi biasa? Bugatti membina model Sport ini bagi membuatkan ia sebuah kereta yang lebih fokus terhadap penggunaan dalam litar berbanding jalan raya biasa. Oleh itu, suspensi model ini telah ditala 10% lebih keras, manakala fungsi Dynamic Torque Vectoring pada unit differential dalam gandar belakang dioptimakan bagi membolehkan tork antara roda dapat diagihkan secara berasingan apabila perlu.

    Bugatti Chiron Sport ini juga dibina 18 kg lebih ringan dari Chiron standard, dengan penggunaan komponen dari material gentian karbon yang lebih banyak. Antara komponen berkenaan termasuk stabiliser, penghadang intercooler dan juga batang pengelap cermin. Model ini juga menggunakan cermin yang lebih ringan pada bahagian belakang, deflector ekzos baru serta set rim baharu yang juga lebih ringan.

    Menurut Bugatti, Chiron Sport ini mampu mencatat masa lima saat lebih pantas berbanding Chiron biasa di litar ujian Nardo, dan ia “dapat mencapai potensi pengendalian penuh meskipun waktu mengambil selekoh pada kelajuan melebihi 200 km/j.”

    Untuk semua ini, Bugatti Chiron Sport dijual pada harga 2.65 juta Euro (RM12.53 juta) berbanding model asas yang dijual pada harga 2.5 juta Euro – ini adalah harga asal dari Bugatti sendiri dan tidak termasuk sebarang cukai-cukai yang sepatutnya. Model ini juga adalah sebahagian dari jumlah 500 buah keseluruhan Chiron yang akan dibina oleh Bugatti.

     
     
  • Ganti inflator beg udara Takata 79% selesai – HMSB

    Ganti inflator beg udara Takata 79% selesai – HMSB

    Honda Malaysia (HMSB) meneruskan usaha untuk memastikan pemilik kenderaan Honda yang terlibat dengan panggilan semula inflator beg udara agar segera tampil untuk menukar alat itu secepat mungkin. Syarikat itu bekerja rapat dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan menjelaskan bahawa stok alat ganti berkenaan 100% tersedia bagi kedua-dua sebelah pemandu dan penumpang.

    Penukaran alat ganti itu adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh Honda. Proses mengganti inflator berkenaan boleh dilakukan di mana-mana 92 pusat servis pengedar sah Honda di seluruh negara. Pelanggan digalakkan untuk membuat temujanji untuk memudahkan urusan penggantian itu.

    Selain itu, pelanggan juga boleh berbuat demikian di hab-hab bergerak Honda yang ada di pusat-pusat membeli belah utama serta dalam siri jelajah yang dianjurkan. Tidak lupa juga di stesen Petronas terpilih. Bagi lokasi-lokasi bergerak ini pula, pelanggan boleh datang terus dan tidak perlu membuat temujanji terlebih dahulu. Turut diperkenalkan sebelum ini ialah pasukan bergerak yang akan datang ke lokasi pelanggan untuk menukar alat berkaitan.

    Ganti inflator beg udara Takata 79% selesai – HMSB

    HMSB juga melakukan perkhidmatan yang sama bagi model-model import Honda yang tidak dijual oleh Honda Malaysia. Pemilik kenderaan status ini boleh menghubungi pengedar sah Honda untuk mengetahui maklumat lanjut tentang perkara yang sama. Semua kos alat ganti dan buruh juga tetap ditanggung oleh HMSB.

    Setakat 2 Julai 2018, HMSB menyatakan sebanyak 228,000 unit inflator beg udara Takata bahagian pemandu telah ditukarkan, menjadikan peratusan kerja-kerja penggantian mencapai 87%. Angka keseluruhan inflator bahagian pemandu dan penumpang yang telah ditukar kini adalah lebih daripada 465,000 unit, atau 79% selesai.

    Untuk menyemak status kereta Honda anda berkaitan panggilan semula ini, pelanggan boleh melayari laman www.productrecall.honda.com.my atau www.honda.com.my. Selain itu, boleh juga menghubungi talian tanpa tol 1-800-88-2020 atau kunjungi pengedar sah Honda di seluruh negara.

     
     
  • Proton 1-Tank Adventure – pertandingan pemanduan jimat bahan api, hadiah lebih RM100,000 untuk direbut

    Proton 1-Tank Adventure – pertandingan pemanduan jimat bahan api, hadiah lebih RM100,000 untuk direbut

    Proton mahu menunjukkan kehebatan kecekapan bahan api kenderaan mereka melalui penganjuran pertandingan 1-Tank Adventure, yang memerlukan pemilik pergi sejauh mungkin dengan isian satu tangki penuh. Lima pusingan awal akan dilakukan dari 17 Julai hingga 1 Ogos, iaitu di Pantai Timur, Tengah, Utara, Selatan serta Sabah. Pemenang setiap pusingan kemudiannya akan bertanding dalam pusingan akhir pada 4 dan 5 Ogos nanti.

    Pengeluar kenderaan tempatan ini juga menjanjikan pelbagai pengembaraan sepanjang perjalanan seperti penerokaan budaya setempat, makanan serta pemandangan yang bersejarah, dan penyertaan media serta selebriti. Pemenang akan dapat membawa pulang hadiah bernilai lebih daripada RM100,000. Kereta yang layak untuk menyertai pertandingan ini adalah Saga 1.3 CVT September 2016 ke atas, Iriz 1.3 CVT September 2014 ke atas dan Persona 1.6 CVT Ogos 2016 ke atas.

    Proton 1-Tank Adventure – pertandingan pemanduan jimat bahan api, hadiah lebih RM100,000 untuk direbut

    Untuk menyertai pertandingan ini, anda perlu memuat naik gambar kenderaan anda ke laman Facebook atau Instagram dengan tajuk “I want to participate!” dan letakkan tag @ProtonCarsOfficial (Facebook) atau @ProtonCars (Instagram). Anda juga perlu meletakkan tag model yang anda mahu sertai serta kawasan untuk pusingan awal. Apabila sudah, hantarkan screenshot status anda itu ke [email protected] bersama perincian diri anda.

    Tarikh tutup penyertaan adalah pada 12:00 pm 10 Julai. Anda boleh melihat informasi lanjut, terma serta syarat untuk pertandingan ini di laman rasmi Facebook Proton.

     
     
  • Volkswagen Polo Comfortline Vienna – dari RM76,228

    Volkswagen Polo Comfortline Vienna – dari RM76,228

    Model kompak daripada Volkswagen iaitu Polo kini ditawarkan di Malaysia dalam varian baru yang dinamakan sebagai Comfortline Vienna, dan ia dijual pada harga RM76,228 atas jalan tidak termasuk insurans. Pada harga ini, ia lebih mahal RM3,000 berbanding varian Comfortline, dan kebanyakan perbezaannya boleh dilihat pada bahagian dalam.

    Seperti yang anda boleh lihat pada namanya, varian baru ini menggunakan tempat duduk yang dibalut dengan kulit ‘Vienna’ dan bukannya fabrik ‘Livon’ seperti pada varian Comfortline. Selain balutan kulit ini, kenderaan tersebut turut didatangkan terus dengan penapis haba cermin oleh VW Tint.

    Selain daripada itu, kelengkapan yang ada pada varian baru ini masih lagi sama seperti Comfortline biasa, iaitu datang dengan sistem pengawal pendingin hawa Climatronic, head unit R340G dengan ciri App-Connect, lampu utama halogen dan rim aloi ‘Riverside’ 15 inci.

    Enjin juga masih sama, iaitu dikuasakan oleh unit empat silinder 1.6 liter NA MPI yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 105 PS pada 5,250 rpm dan 153 Nm tork pada 3,8000 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada roda hadapan melalui kotak gear automatik Aisin enam kelajuan dengan ciri Tiptronic.

     
     
  • Volkswagen Marketplace dilancar di M’sia – tempah kereta atas talian, nikmati tawaran istimewa, jaminan

    Volkswagen Marketplace dilancar di M’sia – tempah kereta atas talian, nikmati tawaran istimewa, jaminan

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) baru sahaja melancarkan secara rasmi Volkswagen Marketplace, iaitu satu platform atas talian untuk pelanggan menempah kenderaan Volkswagen dan menikmati pelbagai tawaran eksklusif.

    Bersempena dengan pelancaran platform ini, VPCM menawarkan 20 unit Passat 1.8 TSI Trendline Cyber pada harga cuma RM135,888 tidak termasuk insurans dan kos pendaftaran lain. Pada harga ini, pelanggan juga akan menerima jaminan biasa dan bantuan tepi jalan selama lima tahun, tetapi penyelenggaraan percuma yang ditawarkan selama tiga tahun sebelum ini dinaikkan menjadi lima tahun. Menjadikannya lebih menarik, VPCM turut memberi insurans percuma selama satu tahun dan kadar faedah serendah 0.88% setahun.

    Melihat kepada kelengkapan, varian ini mempunyai kelengkapan hampir sama seperti Passat 1.8 TSI Trendline Plus yang ditawarkan tahun lepas, dengan rim ‘Istanbul’ 17 inci, tempat duduk balutan kulit, penapis haba cermin, lampu utama halogen, pengawal pendingin hawa tiga zon Climatronic, pelarasan tempat duduk manual dan sistem infotainmen Composition dengan skrin sesentuh lima inci.

    Volkswagen Marketplace dilancar di M’sia – tempah kereta atas talian, nikmati tawaran istimewa, jaminan

    Nadi penggerak kenderaan ini masih adalah unit enjin 1.8 liter turbo TSI yang mampu menghasilkan 180 PS pada antara 5,100 hingga 6,200 rpm, dan 250 Nm tork pada antara 1,250 hingga 5,000 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear klac berkembar DSG tujuh kelajuan dan ditawarkan dalam pilihan empat warna iaitu Pure White, Deep Black, Indium Grey dan Reflex Silver.

    Untuk menempah kenderaan ini, pertamanya anda perlu pergi ke laman Marketplace, pilih model serta pengedar yang dimahukan, dan hantarkan perincian yang diperlukan. Bayaran tempahan sebanyak RM1,500 perlu dibayar, dan ia nanti akan ditolak daripada harga keseluruhan kenderaan yang dipilih. Wakil jualan Volkswagen selepas itu akan menghubungi anda untuk mengesahkan tempahan dan pembelian, seterusnya mendaftar kenderaan dan menyediakan ia untuk penyerahan.

    “Kenaikan jualan atas talian telah mengubah cara orang ramai membeli-belah, dan penjualan 12 Beetle dalam Lazada dalam tempoh cuma 20 minit telah mengesahkan kepercayaan kami bahawa rakyat Malaysia sudah bersedia dan boleh menerima pembelian kenderaan secara atas talian. Ini adalah satu pembangunan yang penting bagi jenama Volkswagen dan kami sangat teruja untuk membawa Volkswagen Marketplace ke Malaysia,” kata Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter.

     
     
  • Lambretta akan masuk pasaran M’sia secara rasmi?

    Lambretta akan masuk pasaran M’sia secara rasmi?

    Walaupun sekadar khabar angin yang belum disahkan, tetapi itu sudah cukup untuk membuatkan ramai penggemar skuter lama rasa teruja. Dari sumber yang dengan dengan industri, ada ura-ura yang memaklumkan kepada paultan.org bahawa jenama skuter terkenal Itali, iaitu Lambretta ada kemungkinan masuk ke pasaran Malaysia.

    Ini kerana, difahamkan ada pihak yang berminat untuk mengedarkan jenama motosikal terbabit di sini sudah mengadakan perbincangan dengan syarikat yang berpangkalan di Milan, Itali itu untuk mendapatkan hak pengedaran.

    Tetapi, semuanya masih diperingkat awal dan belum ada apa-apa yang dapat disahkan lagi setakat ini. Tetapi, melihat kepada suasana pasaran motosikal tempatan kini, dengan semakin banyak model-model motosikal besar serta skuter premium yang ditawarkan dalam pasaran, ia memberi isyarat bahawa tidak mustahil perkara ini boleh berlaku – terutamanya untuk menjadi pesaing kepada jenama Vespa di sini.

    Sumber lain dalam kerajaan pula mengukuhkan lagi khabar angin berkenaan, menyatakan perbincangan seumpama itu sudah pun berlangsung dan ketika ini hanya perlu diteruskan dengan urusan-urusan formaliti.

    Lambretta mula mengeluarkan skuter pada tahun 1947, dimulakan dengan A Model, atau 125M, yang hanya dijual di Itali ketika itu. Ketika ini, terdapat tiga model dalam barisan skuter moden Lambretta – V50, V125 dan V200, dengan sub-model terdiri daripada Special dan Special Flex. V125 datang dengan enjin 124.7 cc sejukan udara dengan silinder tunggal, sementara V200 pula menggunakan enjin sama dengan kapasiti 168.9 cc.

     
     
  • Audi e-tron – bahagian dalam disiar, cermin sisi digital

    Audi e-tron – bahagian dalam disiar, cermin sisi digital

    Sebelum ia dipertontonkan secara rasmi Ogos nanti, Audi telah mengeluarkan gambar bahagian dalam yang jelas bagi SUV elektrik terbaru mereka iaitu e-tron. Selain gambar yang agak banyak, pengeluar dari Jerman itu juga mendedahkan beberapa lagi perincian berkenaan model tersebut.

    Sebagai permulaan, e-tron akan mempunyai jarak roda 2,928 mm, dengan Audi memberitahu ruang yang disediakan mencukupi untuk lima penumpang bersama beg mereka. Sebagai tambahan, Audi juga mendakwa model ini mempunyai panjang bahagian dalam, ruang kepada (depan dan belakang) serta ruang kaki bagi penumpang baris kedua yang terbaik dalam kelasnya (segmen SUV saiz penuh).

    Selain daripada itu, Audi juga mendakwa kereta ini mampu mencapai tahap keselesaan akustik tertentu dengan sistem penebat dan kedap bunyi istimewa di semua zon yang dapat menyerap gangguan bunyi. Mereka turut menambah, pada kelajuan sekitar 85 km/j, bunyi udara hampir tidak kedengaran kepada penumpang.

    Audi e-tron – bahagian dalam disiar, cermin sisi digital

    Sama seperti model Audi lain yang dikeluarkan baru-baru ini (A6, A7 Sportback, A8 and Q8), banyak bahagian yang boleh dilihat pada bahagian dalamnya. Di depan pemandu terdapat panel instrumen digital yang boleh diubah mengikut suka, manakala bahagian papan pemuka utama diletakkan dengan satu lagi unit skrin untuk infotainmen. Bawah padanya terdapat satu lagi paparan kecil untuk pendingin hawa serta ciri lain.

    Setakat itu, semuanya kelihatan seperti sebuah model Audi yang moden, tapi apabila anda perhatikan lebih rapi, di tepi pintunya terdapat satu skrin OLED tujuh inci. Skrin ini memaparkan pandangan yang diperolehi daripada kamera tepi yang kini menggantikan cermin sisi seperti kereta biasa. Dengan sistem digital, pemandu boleh memilih tiga pandangan dalam sistem MMI untuk situasi berbeza iaitu pemanduan lebuh raya, membelok dan masuk parkir.

    Satu lagi ciri unik pada bahagian dalamnya adalah pemilih gear dan perehat tangan, yang mana menurut Audi, “nampak seperti terapung di atas konsol.” Bergantung kepada varian, pelbagai kemasan disediakan sebagai pilihan termasuk kulit Valcona dan brushed aluminium. Tempat duduk juga dilihat mempunyai corak seperti papan litar elektrik dan boleh dipilih dengan warna jahitan yang kontras.

    Sistem lain yang ditawarkan termasuk pakej lampu suasana yang dapat mengesan garis rekaan bahagian dalam, dan memberikan nyalaan pada lencana e-tron serta sistem bunyi Bang & Olufsen yang digunakan. Untuk sistem bunyi, ia didatangkan bersama 16 pembesar suara dan amplifier berkuasa sehingga 705 watt.

     
     
  • Volkswagen Golf R pasaran Eropah ‘hilang’ 10 PS kerana prosedur ujian penggunaan bahan api baharu

    Volkswagen Golf R pasaran Eropah ‘hilang’ 10 PS kerana prosedur ujian penggunaan bahan api baharu

    Dek kerana prosedur ujian penggunaan bahan api baharu Eropah yang semakin ketat, hot-hatch Volkswagen Golf R yang sebelum ini menjana 310 PS terpaksa diturunkan kepada hanya 300 PS, lapor Autocar.

    Prosedur yang digelar Worldwide Harmonised Light Vehicle Test Procedure (WLTP) yang menggantikan prosedur NEDC sebelum ini melibatkan ujian yang dilakukan pada dunia sebenar dan bukan hanya di dalam makmal, menyebabkan Volkswagen terpaksa mengubah sistem ekzos kereta tersebut bagi memastikan pengeluaran nitrogen oksida tidak melebihi kadar yang ditetapkan.

    “Dalam konteks homologasi baharu ini, ada adaptasi untuk pemulihan gas ekzos dan untuk pengeluaran kuasa. Mulai sekarang, model Golf R akan menampilkan enjin berkuasa 300 PS,” kata jurucakap Volkswagen kepada Autocar. Namun, perincian perubahan yang dibuat tersebut masih belum didedahkan.

    Walau bagaimanapun, kuasa yang dihasilkan pada enjin 2.0 liter turbo TSI Golf R pasaran Eropah ini masih lagi lebih besar dari versi pasaran Malaysia yang hanya menjana 290 PS/380 Nm.

    Prosedur WLTP ini bukan sahaja menjejaskan Volkswagen Golf R, malah turut melibatkan kereta berkuasa tinggi dari jenama lain. BMW M3 F30 misalnya, terpaksa dihentikan terus kerana kos untuk memadankan particulate filter khas pada sistem ekzos model tersebut tidak berbaloi dan M3 hanya akan muncul semula dengan generasi baharu G80 pada tahun 2020 nanti.

    Volkswagen Golf R 2018

     
     
  • Program pengambilan lesen B2 mudah SKSJ dihenti

    Program pengambilan lesen B2 mudah SKSJ dihenti

    Semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini, JPJ ada menganjurkan skim mendapatkan lesen B2 secara mudah untuk mereka yang kurang berkemampuan dan tinggal di kawasan pedalaman, dipanggil Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ). Skim ini sudah wujud sejak tahun 2009 dan melibatkan bayaran cuma RM200 dan latihan selama satu minggu.

    Walaubagaimanapun, dalam satu sidang media, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah memberitahu bahawa skim ini akan diberhentikan. Laporannya telah disiarkan oleh The Star dan selepas ini, semua orang perlu melalui proses pengambilan lesen yang biasa dilakukan oleh JPJ.

    “Sesiapa yang mahu mendapat lesen B2 perlu melalui prosedur biasa melalui institusi memandu. Ini adalah program yang diwujudkan oleh kerajaan sebelum ini. Kementerian telah memutuskan lesen tidak lagi akan diberi dengan cara ini,” tambah Loke.

    Berkenaan isu ‘lesen terbang’, Loke memberitahu tindakan akan diambil kepada sesiapa yang menawarkan servis yang dilarang ini dalam media sosial. “Kami telah menemui beberapa laman Facebook yang menawarkan servis ini. JPJ telah membuat laporan kepada pihak polis, dan juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata Loke yang turut memberitahu tindakan akan diambil kepada pegawai JPJ yang terlibat.

     
     
  • Jangan halang lalu lintas, parkir sesuka hati – PDRM

    Jangan halang lalu lintas, parkir sesuka hati – PDRM

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT) memberi amaran kepada orang awam supaya jangan membuat halangan termasuk parkir di laluan dilarang, parkir menghalang lalu lintas dan kenderaan yang membuat halangan.

    Menurut Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, hasil operasi Ops Halangan yang dijalankan di sekitar ibu kota semalam, pelbagai alasan diberikan kepada pengguna jalan raya, termasuklah hanya memarkir sekejap sahaja, laporan Harian Metro.

    Operasi dilaksanakan berikutan rungutan orang awam berhubung kesesakan jalan di kawasan berkenaan yang dikatakan berpunca akibat sikap pemandu yang meletak kenderaan mereka sesuka hati. Sebanyak 123 pengguna jalan raya disaman dalam operasi terbabit dengan pelbagai kesalahan berkaitan.

    “Antara kesalahan dilakukan termasuk berhenti terlalu lama sehingga menimbulkan halangan dan kesesakan lalu lintas serta ada pemandu meletakkan kenderaan di garisan kuning. Orang ramai perlu faham jalan ini sesak dan sekiranya pemandu tetap mahu meletakkan kenderaan di bahu jalan, ia hanya akan memburukkan keadaan sehingga menjadi sesak teruk,” katanya.

    Operasi diketuai Asisten Superintendan Mohd Hasbullah Saidin itu tertumpu kepada kenderaan yang sering membuat halangan termasuk parkir di laluan dilarang, parkir menghalang lalu lintas dan kenderaan yang membuat halangan.

    Zulkefly menambah, tindakan berterusan akan dijalankan bagi memastikan kelancaran trafik dan mendidik pemandu supaya tidak mementingkan diri ketika di jalan raya.

    Dalam masa yang sama, pihaknya berharap melalui operasi yang dijalankan itu dapat mendisiplinkan pengguna di ibu kota.

     
     
  • Harga RON 97 naik lapan sen menjadi RM2.58 seliter

    Harga RON 97 naik lapan sen menjadi RM2.58 seliter

    Harga bahan api RON 97 yang ditetapkan oleh kerajaan supaya mengikut sistem apungan telah menunjukkan penurunan selama tiga minggu berturut-turut, tetapi bagi tempoh 5 hingga 11 Julai ini, ia dinaikkan sebanyak lapan sen berbanding minggu lalu, menjadi RM2.58 bagi setiap liter.

    Sementara itu, harga bahan api lain, yang ditetapkan untuk menerima subsidi masih lagi sama iaitu RM2.20 seliter bagi RON 95, RM2.18 untuk diesel Euro 2M dan RM2.28 untuk diesel Euro 5 (sentiasa 10 sen lebih berbanding diesel Euro 2M).

    Untuk subsidi bahan api RON 95 dan diesel ini, hujung bulan lalu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan dikekalkan, iaitu sebanyak RM3 bilion untuk sehingga hujung tahun ini. Bergantung kepada harga bahan api dunia, jumlah ini walaubagaimanapun boleh berubah.

     
     
  • Toyota GAZOO Racing Festival, Vios Challenge bakal kembali bagi musim kedua, lebih ramai selebriti muda

    Toyota GAZOO Racing Festival, Vios Challenge bakal kembali bagi musim kedua, lebih ramai selebriti muda

    Berdasarkan sambutan menggalakkan ketika penganjuran musim pertama Toyota GAZOO Racing (TGR) Festival dan perlumbaan Vios Challenge sebelum ini, UMW Toyota Motor Sdn Bhd akan meneruskan penganjuran acara berkenaan bagi musim kedua.

    Pusingan pertama perlumbaan musim baru ini akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 2 hingga 4 Ogos. Ini diikuti pula oleh perlumbaan di MAEPS Serdang pada 19 hingga 21 Oktober, Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 22 hingga 24 Februari 2019 dan yang terakhir di Litar Antarabangsa Sepang pada 12 hingga 14 April 2019.

    Bakal menggunakan format yang sama seperti sebelumnya, tiga kategori akan dipertandingkan sekali lagi; terdiri daripada kategori Sporting, Super Sporting dan Promotional. Kategori Sporting bagi pelumba semi-profesional dan kategori Super Sporting bagi pelumba profesional.

    Toyota GAZOO Racing Festival, Vios Challenge bakal kembali bagi musim kedua, lebih ramai selebriti muda

    Kategori Promotional pula melibatkan pelumba selebriti. Janna Nick, Diana Danielle, Shawn Lee dan Syukri Yahaya yang berlumba ketika musim pertama akan ikut serta sekali lagi. Bakal memberi saingan kepada mereka ialah barisan enam muka baru yang akan terlibat di dalam musim kedua ini nanti.

    Mereka ialah Aiman Tino, Khai Bahar, Nabila Razali, Wany Hasrita, Akim Ahmad dan Nabil Ahmad. Seperti juga kumpulan selebriti pertama sebelum ini, semua mereka akan diberikan latihan menerusi Akedemi Vios untuk mempersiapkan diri bagi perlumbaan yang bakal berlangsung.

    Vios Challenge turut mengekalkan barisan penaja utama yang terlibat dari musim pertama. Ini termasuk Toyo Tyres, Denso, TRD Asia, Enkei, Moty’s, minuman tenaga Drive M7 dan Toyota Capital Services.

    Dalam majlis yang sama, UMWT turut mengumumkan arah tuju baru jenama itu, melalui platform “All About the Drive”. Dua perkara yang akan diberi tumpuan adalah untuk menzahirkan “pemanduan harian yang lebih menyeronokkan” serta menjadikan barisan produk sedia ada dan yang akan datang agar “lebih dikenali”.

    UMWT juga menyatakan komitmen syarikat itu untuk memberi komitmen yang lebih tinggi untuk mendekati golongan muda dengan lebih berkesan melalui saluran komunikasi digital.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025