Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton Iriz, Persona, Saga facelift dilancar di Brunei

    Proton Iriz, Persona, Saga facelift dilancar di Brunei

    Jumaat lalu, Proton telah melancarkan barisan model facelift Iriz, Persona dan Saga di Brunei – menjadikan negara berkenaan sebagai pasaran eksport pertama bagi model-model facelift tersebut. Selepas pelancaran tersebut, satu siri jelajah (roadshow) akan dimulakan pada 28 Januari ini.

    Selepas peningkatan jualan yang cemerlang pada 2019 iaitu sebanyak 55.7% dan Proton juga berjaya meraihkan kedudukan kedua dalam jadual jualan tahun tersebut. Malahan Proton juga berikrar untuk terus berusaha meningkatkan prestasi jualannya pada tahun 2020 di samping turut meningkatkan jualan eksport.

    Dengan matlamat jangka panjang Proton untuk menjadi jenama paling laris di Malaysia dan nombor tiga di ASEAN menjelang tahun 2027, ia adalah penting bagi syarikat ini untuk mengutamakan jualan eksport dalam perancangan jangka panjangnya itu.

    “Pasaran eksport akan memainkan peranan penting dalam kenaikan jualan tahunan Proton. Ketika menaik taraf model Iriz, Persona, Exora dan Saga tahun lepas, kami melakukannya dengan turut mengambil kira keperluan pasaran di luar negara selain Malaysia dan kini, tiga daripada kereta tersebut berada di pasaran Brunei.

    “Ia adalah permulaan yang baik untuk tahun 2020 tetapi dari semasa ke semasa, kami akan terus mencari peluang untuk mengeksport kereta kami ke lebih banyak negara,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Proton Iriz, Persona, Saga facelift dilancar di Brunei

    Selain daripada model yang dikemas kini itu, Proton juga akan berusaha untuk mengembangkan jualan SUV X70. Dengan model versi tahun 2020 yang telah pun mula dihasilkan di kilang pengeluaran baharu di Tanjung Malim yang dibina dengan kos sebanyak RM1.2 juta itu, Proton kini mempunyai pilihan untuk memperluaskan lagi penjualan SUV pintarnya itu.

    “Dengan memasarkan Proton X70 di pasaran luar adalah penting bagi pertumbuhan jualan kami pada masa akan datang, terutamanya di negara-negara ASEAN yang berdekatan. Ia akan menerajui pengenalan model Proton generasi akan datang yang kini sedang dibangunkan bersama Geely dan sekaligus akan mendekatkan jenama syarikat dengan pelanggan di pasaran-pasaran tersebut,” tambah Dr Li Chunrong.

    Model facelift Iriz, Persona dan Saga telah dilancarkan pada tahun lalu dengan rekaan baharu yang diinspirasikan berdasarkan X70 – termasuklah gril Infinite Weave, rekaan terkini Proton. Antara peningkatan yang ditampilkan termasuklah sistem infotainmen skrin sesentuh baharu untuk ketiga-tiga model. Saga juga menerima transmisi automatik empat-kelajuan baharu dari Hyundai, yang menggantikan CVT.

     
     
  • Land Rover Defender baharu dipertonton di Singapura

    Land Rover Defender baharu dipertonton di Singapura

    Land Rover Defender serba baharu telah pun diperkenalkan di Singapore Motor Show baru-baru ini, selepas beberapa bulan SUV ini didedahkan di Frankfurt Motor Show 2019.

    Model yang dipamerkan ini ialah Defender 110, di mana ia merupakan versi jarak roda yang lebih panjang bagi off-roader selain Defender 90. SUV ini berukuran 5,018 panjang (termasuk dengan roda simpanan yang ditempatkan di pintu belakang), berketinggian 1,967 mm, kelebaran 2,105 mm dengan jarak roda mencecah 3,022 mm.

    Defender baharu ini menggunakan senibina DX7 ciptaan syarikat pengeluar ini dan menampilkan binaan monocoque semua-aluminium, menjadikannya lebih sofistikated berbanding model terdahulu. Bagi penggayaannya, ia menampilkan sentuhan lama dan baharu, mengambil sedikit elemen yang asal seperti lampu utama berpetak dengan lampu belakang yang telah dimodenkan.

    Manakala gaya dalamannya lebih bersifat minimalis dan elegan. Kebanyakan fungsi dalaman model ini dikawal menerusi skrin sesentuh 10-inci yang terletak pada papan pemuka, sementara kawalan untuk transmisi dan sistem pacuan empat-roda pula terdiri daripada tuas dan dua rotary dial.

    Malahan terdapat juga beberapa ciri mewah yang ditampilkan, termasuklah kulit upholstery, paparan kluster instrumen digital, bumbung matahari, beberapa port kuasa dan kawalan suhu untuk corong belakang. Walau bagaimana pun, Defender tetap memiliki olahan yang lebih lasak termasuklah pemegang yang ranggi dan kemasan getah berketahanan tinggi.

    Untuk menyesuaikannya dengan laluan mencabar, Defender 110 memiliki jarak kelegaan tanah sehingga 900 mm, sementara sudut pendekatan, rampover dan ketibaan pula masing-masing 38, 28 dan 40 darjah. Ia turut mempunyai Terrain Response 2 dengan enam mod dan sistem suspensi udara pilihan yang berkeupayaan menaikkan kenderaan ini sehingga 75 mm dalam mod off-road, dengan tambahan 70 mm untuk menaikkan jarak ketinggiannya, yang keseluruhannya mencecah 145 mm apabila diperlukan.

     
     
  • Kalau betul handal, berlumba dalam litar, bukan tunjuk hebat di atas jalanraya dan menyusahkan orang lain

    Kalau betul handal, berlumba dalam litar, bukan tunjuk hebat di atas jalanraya dan menyusahkan orang lain

    Berlumba di jalanraya tidak menjadikan anda jaguh. Tetapi itulah juga yang kerap dapat dilihat, sebahagiannya oleh pemilik kereta sport dan supercar, yang ada waktunya menjadikan lebuhraya atau jalanraya awam sebagai litar mereka – memandu laju semberono dan membahayakan pengguna lain.

    Dalam kes terbaru, melalui sebuah video yang dikongsi di Facebook oleh Azman Nor, sebuah Renault Megane RS dilihat melanggar sebuah Proton Wira yang kemudian menyebabkannya berpusing dalam satu perlanggaran. Sikap dan insiden seperti inilah yang selalu menebalkan lagi tanggapan negatif umum terhadap kelompok peminat kereta dan motosikal yang kerap menghuni jalanraya seperti ini – yang kemudiannya akan menyusahkan orang lain sekaligus.

    Perlanggaran itu berlaku di sekitar jalan Ulu Yam Baru, sebuah lokasi atau jalan yang kerap menjadi tumpuan mat kereta (dan juga mat moto) untuk melepaskan geram dan ghairah memandu (menuju Batang Kali dan Genting Highlands). Memang laluan mendaki dengan selekoh yang ada di sepanjang kawasan itu selalu menjadi tarikan, tetapi permukaan dan persekitaran di situ juga sangat merbahaya.

    Jalannya biasa, hanya dua lorong dengan arah bertentangan, banyak selekoh dan titik buta, dengan permukaan jalan berlubang yang boleh membahayakan pemandu. Jika di sebelah malam pula, suasananya begitu gelap dan sunyi. Walaupun begitu keadaanya, masih ramai lagi hero-hero di belakang stereng yang kerap memandu secara tidak bertanggungjawab, melulu, laju dan sembarangan tanpa memikirkan pengguna jalanraya yang lain. Jika berlaku sesuatu yang tidak kena, dalam sekelip mata sahaja akibat yang akan menimpa adalah malapetaka.

    Kalau betul handal, berlumba dalam litar, bukan tunjuk hebat di atas jalanraya dan menyusahkan orang lain

    Tidak kira kenderaan apa yang anda pandu, dan secanggih manapun teknologi dan tayar yang ada pada kereta-kereta mahal anda, semua itu tidak akan dapat menyelamatkan suatu tindakan bodoh yang hanya mementingkan keseronokan sendiri – apa pagi kalau bukan berlumba di jalanraya. Sekali anda hilang kawalan dalam keadaan berkelajuan tinggi, hanya padah yang menanti.

    Memandu atau menunggang secara merbahaya adalah hal yang memberikan nama buruk kepada penggemar kereta dan motosikal. Terlalu banyak perkara lain yang memualkan kita, mengapa perlu untuk menambah lagi masalah kita semua? Tak perlu untuk menunggu sehingga semua orang awam membenci dan menentang minat kelompok yang gila kereta dan motosikal. Dan, penyelesaiannya juga sudah tersedia, dan sangat mudah.

    Jika ada di antara teman-teman anda yang merasakan diri handal berlumba, dan kerap memandu secara merbahaya di jalanraya awam, maka cabar atau ajaklah mereka untuk membuktikan ketangkasan dan kehebatan itu di dalam litar lumba yang sebenar. Siri perlumbaan yang ada, misalnya yang kami sendiri anjurkan seperti Malaysia Speed Festival (MSF) menawarkan pengalaman di litar dengan harga serendah RM300 untuk dua jam. Di situ, anda boleh memandu selaju mana yang anda mahu, asalakan tetap mematuhi beberapa peraturan.

    Kalau betul handal, berlumba dalam litar, bukan tunjuk hebat di atas jalanraya dan menyusahkan orang lain

    Jika anda minat dengan acara kepantasan atau time attack, banyak lagi acara yang boleh anda sertai, sebagai contoh Grass Racing Autosports (GRA) dan Sucimuci Motorsports. Acara ini turut mempertandingkan kategori bagi kereta biasa di jalanraya untuk turut berlumba dengan bayaran yang sangat berpatutan. Banyak lagi acara-acara yang akan berlangsung. Anda hanya perlu pilih yang mana satu dirasakan lebih sesuai, dan sertai.

    Jika masih ingin berlumba di jalanraya terbuka, ikut serta di dalam acara yang dianjurkan dengan sah dan mengambil kira persiapan berkaitan keselamatan. Sebagai contoh, tahun ini MSF akan menganjurkan MSF Touge Series untuk laluan mendaki, selekoh tajam dan sebagainya. Masuk dan tunjukkan bakat anda jika betul handal. Dengan semua pilihan yang ada ini, tidak ada alasan lagi untuk sesiapa pun berlumba atau nak “tunjuk terer” di jalan raya.

    Apa yang ingin kami sampaikan sebenarnya sangat mudah dan jelas; jangan berlumba atau memandu secara tidak bertanggungjawab di jalan raya. Patuhi semua peraturan atau undang-undang lalulintas yang ada, kerana bukan kita sahaja yang berada di atas jalan dan bergerak dalam satu-satu masa. Kami di paultan.org juga mematuhi peraturan yang sama, misalnya ketika melakukan pandu uji dan sebagainya. Asalkan itu jalan awam, maka janganlah kita hanya tahu pentingkan diri sendiri sahaja; nanti orang meluat.

     
     
  • Peugeot 2008 baharu dipamer di S’pore Motor Show

    Peugeot 2008 baharu dipamer di S’pore Motor Show

    Peugeot 2008 generasi kedua telah pun dipamerkan di Singapore Motor Show. Di bawah ini kami bawakan galeri foto bagi SUV segmen-B berkenaan. Telah pun didedahkan buat pertama kalinya di peringkat global pada Jun tahun lalu, 2008 kini dibangunkan dengan Common Modular Platform (CMP) ciptaan PSA Group dan turut mengadaptasi bahasa rekaan yang ada pada model terkini 208 dan 508.

    Pada bahagian hadapannya, gaya SUV baharu ini dipadankan dengan lampu utama yang diposisikan sedikit tinggi dengan lampu nyalaan siang LED “triple-claw” yang menjadi signatur Peugeot, bersama palang pencahayaan yang disambung ke bampar. Lencana “2008” berada di hujung bonet, betul-betul di atas gril enam-poin.

    Bonet baharu juga menyaksikan cermin hadapan lebih ke belakang, membuatkan 2008 baharu ini nampak lebih kepada gaya SUV tradisional. Untuk profil pula, kelihatan lipatan berbentuk segi tiga pada bahagian pintu membuatkan rupa model ini kelihatan lebih unik, bersama garisan tingkap yang dinaikkan dan juga dua tona warna badan. Ia merupakan pakej GT Line yang turut ditawarkan bersama grafik linear pada tiang-C.

    Lapisan hitam pada bahagian 2008 baharu ini juga bersifat tipikal umpama SUV lain, dan berbeza cirinya di tempatkan di bahagian gerbang roda yang menutupi aloi 18-inci yang dibaluti tayar siri 215/55. Melewati bahagian belakangnya pula, signatur “triple-claw” turut kelihatan pada lampu belakang LED yang disambungkan ke palang hitam yang tertera nama jenama kereta ini.

    Menjengah bahagian kabinnya pula, imej futuristik jelas kelihatan pada i-Cocpit yang turut digunakan pada model 208, di mana kluster instrumennya diletakkan di atas roda stereng kecil dengan paparan holografik.

    Lain-lain ciri yang turut ditampilkan pada bahagian kabin termasuklah skrin infotainmen “freestanding” 10-inci, pengecas tanpa wayar, port USB berkembar pada ruang hadapan dan belakang (termasuk satunya USB Type-C), 10-pembesar suara dan sistem bunyi Focal 515-watt.

    Peugeot turut mendakwa 2008 ini menawarkan ruang kaki pada tempat duduk penumpang belakang adalah yang paling beraar berbanding mana-mana kereta yang dibangunkan dengan platform CMP. 2008 ini telah dipertingkatkan ukuran panjangnya kepada 4.3 meter dan jarak rodanya pula 2.6 meter. Peningkatan ukuran panjangnya turut menambah kapasiti ruang but sebanyak 74 liter, kini menjadi 434 liter.

     
     
  • Honda GL1800 Gold Wing 2020 di M’sia – RM209k

    Honda GL1800 Gold Wing 2020 di M’sia – RM209k

    Bersekali dengan pengenalan model Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 2020 untuk pasaran tempatan, Boon Siew Honda turut memperkenalkan model tourer ikonik jenama itu di dalam penampilannya yang terkini, Honda GL1800 Gold Wing 2020. Motosikal ini dijual pada harga RM208,800 tidak termasuk insurans dan pendaftaran.

    Motosikal besar ini menggunakan enjin 1,833 cc enam-silinder (empat-injap setiap silinder) yang menjana sebanyak 124.7 hp pada 5,500 rpm manakala tork pula sebanyak 170 Nm pada 4,500 rpm. Unit ini dipadankan dengan sistem transmisi DCT. Antara ciri yang ditawarkan ialah Throttle By Wire (TBW) yang menyediakan empat mod tunggangan termasuk di dalam keadaan yang berbeza.

    Sistem berkenaan turut berkait dengan ciri Honda Selectable Torque Control (HSTC), penyerap hentak dan Dual Combined Brake System (D-CBS). Empat mod pemanduan yang dimaksudkan itu ialah TOUR yang lebih mengutamakan keselesaan dan kuasa untuk perjalanan; SPORT untuk memberikan kelebihan dari segi pecutan dengan suspensi yang lebih keras; ECON untuk penjimatan minyak dan terakhir, RAIN untuk tunggangan di dalam hujan. Antara ciri lain yang melengkapinya ialah Integrated Starter Generator (ISG) dan Hill Start Assist (HSA).

    Honda GL1800 Gold Wing 2020 di M’sia – RM209k

    Suspensi depan pula menggunakan tetapan jenis double wishbone sementara di belakang menggunakan jenis Pro-Arm; gandingan ini memberikan tetapan suspensi yang progresif dan mengutamakan keselesaan. Tahap serapan hentak juga boleh dilaraskan, dengan spring belakang menggunakan larasan elektrik untuk disesuaikan dengan mod tunggangan yang dipilih.

    Ruang kokpit menggunakan paparan TFT-LCD tujun-inci dengan paparan jelas dan mudah dilihat. Tidak ketinggalan, ia lengkap dengan ciri Apple CarPlay. Untuk kemudahan penunggan, ruang barangan yang tersedia juga luas; kotak belakang mampu memuatkan dua helmet penuh dalam satu masa.

    Honda GL1800 Gold Wing 2020 di M’sia – RM209k

    Motosikal ini mempunyai berat 380 kg, dengan jarak kelegaan tanah 130 mm. Kapasiti tangki minyaknya ialah 21.1 liter. Brek depan menggunakan cakera 320 mm x 4.5 mm hidraulik dengan kaliper enam-piston lengkap dengan sistem ABS kawalan elektronik. Bahagian depan pula menggunakan cakera 316 mm x 11 mm berliang dengan kaliper tiga-piston serta sistem ABS kawalan elektronik.

    Honda GL1800 Gold Wing 2020 ditawarkan dalam satu warna eksklusif Pearl Glare White. Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengeluar selama dua-tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Honda CBR1000RR-R Fireblade SP di M’sia – RM198k

    Honda CBR1000RR-R Fireblade SP di M’sia – RM198k

    Motosikal flagship Honda, CBR1000RR-R Fireblade SP 2020 kini telah diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Motosikal ini dijual pada harga RM198,800; belum termasuk cukai, insurans dan pendaftaran.

    Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 2020 ini menggunakan enjin 1,000 cc empat-silinder sebaris yang menghasilkan sebanyak 213 hp pada 14,500 rpm kuasa dengan tork puncak pula sebanyak 112.7 Nm pada 12,500 rpm. Transmisi yang digunakan adalah dari jenis manual enam-kelajuan dengan Quickshifter.

    Ini jentera untuk kegunaan di jalanraya yang menceduk ilham dan pendekatan daripada jentera lumba Honda Racing Corporation (HRC) di dalam program MotoGP. Banyak perkara di dalam senarai spesifikasi motosikal ini yang dilengkapi dengan peralatan prestasi tinggi dengan standard perlumbaan. Antaranya sistem ekzos yang dibangunkan khusus bersama Akrapovic dan diperbuat daripada material titanium.

    Honda CBR1000RR-R Fireblade SP di M’sia – RM198k

    Suspensi pula menggunakan sistem Ohlins Smart Electronic Control (S-EC) generasi kedua dengan pelbagai pilihan talaan. Fork Ohlin NPX yang digunakan juga menampilkan ciri “pressurised damping” bagi memberikan lebih serapan hentakan. Bersekali di dalam memberikan kestabilan pada motosikal ini ialah ciri Honda Electronic Steering Damper (HESD) tiga-tahap daripada Showa dan dikawal oleh Inertia Measurement Unit (IMU) yang disediakan oleh Bosch.

    Bagi sistem brek pula, ia menggunakan sistem Brembo sepenuhnya; cakera berkembar depan berukuran 330 mm dengan angkup Brembo STYLEMA empat-omboh dengan dua saluran ABS serta mod Sport/Track. Di belakang, cakera 220 mm digunakan, dengan angkup dua-piston juga dengan dua saluran ABS dan mod Sport/Track.

    Honda CBR1000RR-R Fireblade SP di M’sia – RM198k

    Selain itu, motosikal ini juga dipasangkan dengan inner fairing winglet dari jentera lumba MotoGP RCV213V untuk mengurangkan kemungkinan wheelie ketika memecut serta memperbaiki kestabilan ketika membrek. Berat motosikal ini ialah 201 kg, dengan kelegaan tanah 115 mm. Kapasiti tangki minyaknya 16.1 liter, dan menggunakan sistem suntikan PGM-FI.

    Maklumat pada ruangan kokpit dipaparkan pada skrin TFT-LCD berwarna. Motosikal ini ditawarkan hanya dalam warna Grand Prix Red dan boleh didapati di semua pengedar Honda Big Wing seluruh Malaysia.

     
     
  • Perodua D55L bakal tiba separuh kedua 2020: laporan

    Perodua D55L bakal tiba separuh kedua 2020: laporan

    Perodua dijangka bakal melancarkan SUV segmen-B dengan kod nama D55L pada separuh kedua tahun ini, menurut laporan kaji selidik Malaysian Industrial Development Finance (MIDF).

    Laporan yang turut disiarkan menerusi The Edge, firma terbabit menyatakan bahawa model terbabit akan diposisikan di bawah SUV tujuh-tempat duduk Aruz, di mana harganya di antara RM72,900 dan RM77,900.

    D55L ini sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan kembar Daihatsu Rocky/Toyota Raize, kedua-duanya yang telah pun berada di pasaran Jepun sejak November lalu. Dua model tersebut memiliki dimensi 3,995 mm panjang dan 1,695 mm lebar serta dijanakan oleh enjin 1.0 liter pengecas turbo tiga-silinder dengan output 98 PS dan tork 140 Nm, dipadankan bersama CVT.

    Buat masa ini, tiada sebarang perincian mengenai enjin dan transmisi bagi D55L, tetapi baru-baru ini Perodua dilihat telah menguji Daihatsu Thor di jalan raya di Malaysia, yang didatangkan dengan penjana kuasa yang sama.

    GALERI: Daihatsu Rocky yang dipertontonkan di Tokyo Motor Show 2019

     
     
  • TAS2020: Honda Civic EK9 Cyber Night Japan Cruiser 2020 dari Modulo – dah tak nampak Type R langsung!

    TAS2020: Honda Civic EK9 Cyber Night Japan Cruiser 2020 dari Modulo – dah tak nampak Type R langsung!

    Pembuat aksesori asli Honda, iaitu Modulo tahun ini ke Tokyo Auto Salon 2020 dengan dua model konsep yang diasaskan dari model lama yang berusia lebih 20 tahun, salah satunya adalah ini – Honda Civic EK9 Cyber Night Japan (CNJ) Cruiser 2020.

    Sebelum itu, saya beri amaran dulu kepada purist Honda EK9 – artikel ini mungkin akan menyebabkan anda sakit hati dan kecewa melihat sebuah Type R asli diperlakukan sebegini. Ya, menurut Modulo ini bukan Civic hatchback ‘kosong’ EK2 atau EK4, tetapi ia dihasilkan dari kerangka asli EK9 dan kemudian hampir semua ciri Type R sudah tidak kelihatan!

    Menurut apa yang kami faham, CNJ Cruiser ini mungkin adalah bayangan Modulo bagaimana rupanya jika EK9 masih diproduksi pada masa sekarang. Jadi anda boleh lihat pada bahagian luaran kereta ini, ia kelihatan seperti prop dalam filem Back to the Future, dan tiada langsung aura Type R sebenar yang terpancar. Chewah.

    TAS2020: Honda Civic EK9 Cyber Night Japan Cruiser 2020 dari Modulo – dah tak nampak Type R langsung!

    Lampu hadapan masih lagi mengekalkan bentuk kluster yang sama, tetapi ia diberikan grafik dalam yang kelihatan seperti pelindung luar diberikan warna sama dengan badan pada sebahagian besar lensanya, kemudian diserlahkan dengan jalur LED disekeliling. Tulisan ‘Civic’ turut diberikan pada lampu sebelah kiri.

    Bampar juga dirombak secara keseluruhan dengan gril atas bersegi kelihatan seperti gril dari Honda Accord CM, bersama liang udara sisi yang juga lebih bersegi dan lebih menonjol. Tiada sebarang logo ‘H’ dengan latar belakang merah diletakkan pada hidung kereta ini.

    Modulo juga telah mewarna kemasan jalur sisi badan dan juga skirt sisi EK ini dengan warna hitam. Jadi dengan warna badan perak bersama serlahan-serlahan hitam berkenaan, ia sekali lagi nampak ‘lebih EK4’ berbanding EK9. Cermin sisi standard kini digantikan dengan unit yang lebih nipis dan nampak lebih futurisktik.

    Rim juga telah membuang imej ‘perang’ pada Civic ini di mana ia dipadankan dengan rim 18-inci kemasan hitam dengan corak seperti turbin, dibaluti tayar Yokohama Advan. Hasil ‘selakan’ kami di bawah kereta ini, dapat diperhatikan bawah ia telah diberikan suspensi boleh laras bagi merendahkkan lagi badannya terhadap permukaan jalan.

    Di belakang, spoiler bumbung ‘congek’ EK9 telah dibuang dan digantik dengan spoiler yang lebih kecil. Seperti juga lampu hadapan, lampu belakang juga masih menggunakan kluster dan grafik sama, bersama jalur LED sekeliling berwarna oren.

    Bonet belakang tanpa pengelap cermin nampaknya masih lagi kekal, tetapi ruang nombor pendaftaran telah dibuang dan diratakan terus bagi memberikan laluan kepada kemasan bar hitam dengan lampu ‘Civic’ di tengah yang merentangi sepenuhnya serta kelihatan bersambung pada kemasan sama pada kedua-dua lampu belakang.

    TAS2020: Honda Civic EK9 Cyber Night Japan Cruiser 2020 dari Modulo – dah tak nampak Type R langsung!

    Tema yang sama turut di bawa ke dalam kabin. Tiada lagi elemen merah boleh dilihat pada karpet dan panel pintu, malah tempat duduk Recaro merah turut dibuka dan digantikan dengan tempat duduk Recaro Modulo berwarna hitam. Roda stereng Type R tiga jejari pula ditukarkan dengan roda stereng hitam sepenuhnya dengan unit beg udara lebih besar, tetapi Modulo masih mengekalkan tombol gear asli titanium EK9 pada kereta ini.

    Bagi memberikan perasaan ia seolah-olah memang sebuah model di bilik pameran pada tahun 2020, papan meter asal telah digantikan dengan panel instrumen yang nampak seperti diambil dari Honda S660, menampilkan takometer dengan jarum terapung bersama speedometer digital di tengah.

    Panel kawalan pendingin hawa juga telah digantikan dengan unit digital yang kelihatan sama dengan model-model terkini Honda. Slot untuk pemain audio utama 1-DIN dan juga corong penghembus udara tengah juga sudah tidak ada, digantikan dengan skrin infotainmen. Oh ya, pedal-pedal kaki asal juga telah dilapik dengan set pedal aloi Modulo terkini.

    Modulo tidak menyatakan apa-apa perubahan yang dilakukan pada bahagian mekanikal Honda Civic EK9 CNJ Cruiser 2020 berkenaan. Dalam keadaan standard, Civic EK9 Type-R dijana oleh enjin NA B161B 1.6 liter DOHC VTEC yang mampu menghasilkan kuasa 185 PS/160 Nm, digandingkan hanya dengan kotak gear manual-lima kelajuan bersama LSD, memacu roda hadapan.

     
     
  • TAS2020: Nissan Skyline V37 400R Sprint Concept – rupa lebih agresif, kuasa kekal 405 PS dan 400 Nm

    TAS2020: Nissan Skyline V37 400R Sprint Concept – rupa lebih agresif, kuasa kekal 405 PS dan 400 Nm

    Tahun sebelum ini, rasanya tiada satu pun Nissan Skyline V37 sedan dipamerkan oleh mana-mana pihak ketika berlangsungnya Tokyo Auto Show (TAS) 2019. Tapi, pada Julai lalu Nissan telah memperkenalkan versi facelift V37 dengan muka baharu yang membuatkan ia seakan sebuah GT-R R35 empat-pintu, bagi menyambung legasi yang ditinggalkan oleh Skyline GT-T ER34 empat pintu.

    Jadi tidak hairan, tahun ini saya rasa tak kurang dari 10-buah Skyline V37 facelift tersebut telah diubahsuai oleh pelbagai pihak dan di bawa ke Tokyo Auto Salon 2020. Salah satu daripadanya adalah ini – Nissan Skyline V37 400R Sprint Concept yang telah menerima sentuhan semula dari Nissan sendiri.

    Seperti namanya, Sprint Concept ini dihasilkan dari varian tertinggi V37 iaitu Skyline 400R (tiada kaitan dengan Skyline GT-R R33 400R dulu ya!), yang dijana oleh enjin VR30DDTT 3.0 liter V6 dengan dua pengecas turbo, menghasilkan kuasa 405 PS dan tork maksima 400 Nm dalam keadaan standard.

    TAS2020: Nissan Skyline V37 400R Sprint Concept – rupa lebih agresif, kuasa kekal 405 PS dan 400 Nm

    Dah cukup powerkan? Jadi untuk versi konsep ini tiada pengubahsuai enjin dilakukan, Nissan hanya memberikan rupa yang jauh lebih garang pada Skyline 400R Sprint Concept tersebut. Pada bampar hadapan, kereta ini diberikan liang udara sisi yang jauh lebih besar dan berotot, bersama splitter udara yang lebar dibawahnya. Kemudian sepasang liang udara diberikan pada bonet hadapan, membuatkan ia lebih mirip kepada R35 GT-R.

    Aliran udara dari splitter hadapan nampak seperti berterusan pada sirip yang dihasilkan pada bahagian skirt sisi, dan kemudian berakhir dengan spilter dan liang udara sisi pada bampar belakang. Skyline ini juga diberikan diffuser yang sangat agresif yang turut menempatkan sepasang corong ekzos bulat bersaiz besar.

    Lampu belakang dengan grafik dua bulat ikonik Skyline masih lagi kekal pada Sprint Concept ini. Manakala pada bahagian penutup but pula, sebuah spoiler ‘double wing‘ bersaiz besar diberikan. Bagi disesuaikan dengan kit badan yang jauh lebih ganas ini, satu set rim bersaiz 20-inci kemasan hitam matte dipadankan bersama tayar Michelin Pilot Sport 4.

    Untuk bahagian luaran, Sprint Concept ini disudahkan dengan warna dua-tona – badan asas hadir dengan warna putih, manakala bahagian atas bermula dari bonet hadapan, bumbung dan but belakang, serta semua bahagian kit badan tambahan diberikan warna hitam matte.

    Tidak ketinggalan jalur serlahan berwarna hijau pada gril hadapan, kesemua splitter udara, sekeliling rim, bonet hadapan dan juga spoiler belakang diberikan, bersama warna hijau yang sama pada semua angkup brek. Grafik dengan warna sama turut dilihat pada sisi badan dengan nombor ’20 2′, yang tidak diketahui apa maksudnya.

    Pada bahagian kabin, boleh dikatakan semua komponen masih lagi nampak standard, kecuali tempat duduk hadapan yang telah diganti dengan sepasang tempat duduk bucket dari Recaro yang dibalut semula menggunakan warna sama dengan upholsteri lain.

    Mungkin ramai lagi yang tidak tahu bahawa selepas dari model R34, Nissan telah memisahkan Skyline dan GT-R bagi membolehkan R35 GT-R tampil sebagai kereta sport sebenar, berbanding sebuah model yang diasaskan dari sebuah sedan keluarga seperti model-model sebelumnya.

    Strategi ini membuatkan nama Skyline itu sendiri agak tenggelam kerana model-model V35, V36 dan V37 dijual di luar Jepun dengan jenama mewah mereka iaitu Infiniti – Nissan Skyline V37 ini sendiri dikenali dengan nama Infiniti Q50 di Malaysia, menyebabkan ramai yang tidak sedar bahawa kita boleh membeli sebuah Skyline yang diedarkan sendiri oleh Tan Chong Motor.

     
     
  • Pendaftaran subsidi petrol untuk golongan M40 dijangka dibuka suku kedua 2020 – menteri KPDNHEP

    Pendaftaran subsidi petrol untuk golongan M40 dijangka dibuka suku kedua 2020 – menteri KPDNHEP

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memaklumkan pendaftaran subsidi petrol bagi isi rumah kumpulan berpendapatan sederhana (M40) dijangka dibuka pada awal suku kedua tahun ini.

    Katanya, KPDNHEP dan Kementerian Kewangan sedang mengkaji mekanisme yang lebih sesuai untuk menyalurkan subsidi berkenaan kepada penerima M40 sama ada melalui kad atau tunai.

    “Data untuk penerima bagi golongan B40 kami telah lengkapkan dan kaedah yang sesuai bagi pengagihan subsidi merupakan antara yang sedang dibincangkan oleh kedua-dua kementerian, bila program subsidi ini dilaksanakan kelak.

    “Pada ketika yang sama KPDNHEP menjalankan kajian untuk B40 (dan) berpendapat sumbangan tunai untuk pengagihan subsidi adalah lebih cekap berbanding kaedah lain, jadi dengan penangguhan (pelaksanaan subsidi) ini, ia memberi peluang kepada kedua-dua kementerian untuk mencapai satu keputusan sama,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Jelasnya lagi, program subsidi petrol dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengelakkan subsidi berkenaan digunakan oleh golongan mewah dan warga asing.

    “Rakyat perlu memahami bahawa kebaikan pelaksanaan petrol subsidi ini adalah kita ambil subsidi yang dinikmati oleh orang berada, orang kaya atau warga asing yang tinggal di negara kita dan beri kepada golongan yang layak,” katanya.

     
     
  • Proton buka pusat 3S baharu di Tawau, Sabah

    Proton buka pusat 3S baharu di Tawau, Sabah

    Proton telah melancarkan pusat 3S baharu yang terletak di Tawau, Sabah sebagai memberikan kemudahan untuk para pelanggannya yang menetap di daerah sekitarnya. Pusat 3S ini dikendalikan oleh Fook Loi Corporation (Sabah) Sdn Bhd, (Fook Loi) dan merupakan cawangan ke-empat di negeri berkenaan, yang diuruskannya selain di Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Sandakan.

    Majlis pelancarannya telah dirasmikan oleh Edmund Lim Meng Thong, Ketua Jualan Proton dan Datuk Anthony Chu Nyuk Loi, Pengerusi Fook Loi Corporation (Sabah) Sdn Bhd.

    Cawangan ini menawarkan pelanggan perkhidmatan jualan, servis dan jualan alat ganti. Pusat 3S ini mempunyai 10 ruang servis dan empat pengangkat serta ruang yang mampu memuatkan sehingga lima buah kereta di bilik pamerannya. Bagi menambah lagi keselesaan pelanggan, cawangan ini turut menyediakan kemudahan seperti sudut kanak-kanak, ruang minuman, pengecas komputer riba dan Wi-Fi percuma.

    Proton buka pusat 3S baharu di Tawau, Sabah

    Menurut Thomas Chiu Kui Yin, Pengarah Eksekutif Kumpulan Fook Loi Corporation (Sabah) Sdn Bhd, “Kami berasa sangat gembira dan berbangga kerana telah mengembangkan perniagaan kami di Sabah. Hari demi hari, perniagaan kami semakin berjaya, dan keputusan kami untuk terus melabur dalam PROTON adalah satu keputusan perniagaan yang tepat”.

    Setakat ini, Proton mempunyai pusat 3S dan 4S terbanyak beroperasi seluruh negara iaitu sebanyak 120 cawangan.

    “Dengan adanya cawangan-cawangan baharu dan dinaik taraf telah berjaya menarik minat pelanggan terhadap jenama Syarikat. Ini dapat dibuktikan melalui jualan Syarikat yang diraih iaitu melebihi 100,000 unit, dengan peningkatan lebih 56% berbanding 2018. Pencapaian ini adalah luar biasa dan kami sangat berterima kasih kepada semua pengedar dan kakitangan jualan Syarikat kerana telah memberikan usaha terbaik mereka,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

     
     
  • TAS2020: Suzuki Swift Sport Katana Edition muncul

    TAS2020: Suzuki Swift Sport Katana Edition muncul

    Seperti yang dijanjikan sebelum ini, Suzuki telah mendedahkan Swift Sport Katana Edition ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2020. Kereta berkenaan dihasilkan sempena kembalinya semula model motosikal lagenda Suzuki Katana dalam pasaran dua tahun lalu.

    Walau bagaimanapun, tiada perincian lengkap diumumkan oleh Suzuki berkenaan kereta ini. Juga tiada sebarang harga atau bila dijangka masuk ke pasaran, dan kami beranggapan ini hanyalah versi konsep istimewa yang dihasilkan hanya sebuah, tanpa versi produksi sebenar.

    Anda juga jangan terkeliru dengan Swift Katana Edition yang hanya dihasilkan 30-unit pada pasaran Belanda, kerana kedua-dua model ini adalah tidak sama sekali.

    TAS2020: Suzuki Swift Sport Katana Edition muncul

    Suzuki Swift Sport Katana Edition yang muncul di Makuhari Messe ini menampilkan kit badan yang lebih lebar dari model standard. Ia kemudiannya diserasikan dengan spoiler hadapan dan diffuser belakang yang lebih besar dan juga skrit sisi lebih lebar dan labuh.

    Rim 18-inci berwarna hitam dengan jalur merah sekeliling, dibaluti tayar Yokohama Advan Neova AD08R bersaiz 235/40R18 menghuni kesemua ruang roda Swift Katana ini. Sistem brek lebih baik dengan angkup berwarna merah lebih besar dan cakera yang mempunyai liang udara turut dapat dilihat disebalik rim berkenaan.

    Masih menggunakan tema warna perak-hitam-merah, Swift Katana versi baharu ini menampilkan grafik badan yang berbeza, dan nampak lebih ‘samurai’. Elemen hitam diberikan pada bumbung, pintu tailgate belakang cermin sisi dan bahagian bawah badan, manakala jalur merah pula diberikan pada bahagian atas spoiler hadapan, serta sisi badan yang turut diberikan grafik seperti dikelar pedang Katana.

    Pada bahagian dalaman pula, kemasan-kemasan berwarna merah pada Swift Sport standard telah ditukar dengan kemasan grafik titanium panas. Namun, kelengkapan lain nampak masih lagi kekal sama.

    Tidak dapat dipastikan sama ada Katana Edition menerima ubahsuai enjin atau tidak. Dalam versi standard, Swift Sport dijana oleh enjin K14C 1.4 liter turbo berkuasa 140 PS/230 Nm. Ia digandingkan dengan piihan sama ada kotak gear manual enam-kelajuan atau CVT automatik, memacu hanya roda hadapan.

     
     
  • TAS2020: Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited & 86 Black Limited Concept dipamer bersama

    TAS2020: Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited & 86 Black Limited Concept dipamer bersama

    Selain dari kemunculan Toyota GR Yaris sebagai kelahiran semula Toyota Celica GT-Four yang telah didedahkan pada Tokyo Auto Salon 2020, Toyota nampaknya bakal memperkenalkan semula satu lagi model moden dengan aura lagenda iaitu 86 Black Limited.

    Belum diumumkan bila ia akan produksi, malah tanpa apa-apa maklumat, Toyota 86 Black Limited Concept ini dipamerkan bersama model asal di sebelahnya iaitu Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited. Apa sebenarnya Black Limited ini?

    Untuk senang faham, saya mulakan dengan Trueno Black Limited terlebih dahulu. Toyota AE86 dihasilkan oleh Toyota bukanlah sebagai kereta rare atau dihadkan pengeluarannya dalam jumlah-jumlah tertentu. Ia adalah sebuah kereta sport ringan mampu milik pada era tersebut, yang diasaskan dari platform Corolla generasi sebelumnya (E70) untuk mengekalkan konfigurasi enjin depan pacuan belakang, dan diproduksi secara besar-besaran.

    TAS2020: Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited & 86 Black Limited Concept dipamer bersama

    Tetapi ketika penghujung hayat produksi AE86 ini pada tahun 1987, sebelum digantikan dengan generasi E90 selepasnya, Toyota mengambil keputusan untuk menghasilkan kumpulan terakhir model ini sebagai model edisi terhad bagi memberikan penghormatan.

    AE86 Black Limited ini dihasilkan hanya 400 unit, dan Toyota menghasilkannya dalam versi Sprinter Trueno (lampu pop-up) tanpa pilihan dari versi Levin, dengan spesifikasi varian GT-Apex – bermakna ia hadir dengan perincian penuh seperti tingkap berkuasa dan sistem pendingin hawa sebagai ciri standard.

    Kesemua 400 unit kereta berkenaan diberikan warna badan Black Metallic Clearcoat, kemudian emblem Trueno di hadapan, serta semua pelakat badan seperti ‘Trueno’ dan ‘Black Limited’ pada bahagian sisi serta “Apex Twin Cam 16” dan “Toyota Sprinter Trueno” di belakang hadir dengan warna emas.

    TAS2020: Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited & 86 Black Limited Concept dipamer bersama

    Jalur emas juga diberi di sepanjang sisi kereta ini, manakala rim 14-inci OEM “snowflake” Toyota yang turut boleh dijumpai pada model lain seperti Toyota Chaser dan Cresta turut disembur dengan warna emas. Perincian lain yang istimewa pada model ini adalah kemasan reflektor merah pada atas lampu belakang yang merentangi pintu tailgate turut dicetak dengan perkataan “Black Limited”.

    Dalam kabin, perkataan “Apex” pada tempat duduk depan turut diberikan sulaman benang emas, kemudian lampu pada panel meter serta pada papan kawalan sistem pendingin hawa diberi suluhan berwarna oren.

    Tiada sebarang perubahan mekanikal pada Black Limited ini berbanding Sprinter Trueno GT-Apex lain, dan ia kekal dijana enjin 1.6 liter Twin Cam 16 injap 4A-GE berkuasa 120 PS dan tork maksima 149 Nm. Kuasa hanya dipacu oleh gandar belakang menerusi kotak gear manual lima-kelajuan.

    Macam mana kita nak tahu adakah ini sebuah Black Limited palsu atau tulen memandangkan semua perincian istimewa tersebut boleh diubahsuai sendiri? Kesemua 400 unit model asli Black Limited ini menerima cetakan kod warna badan 204 iaitu Black Metallic Clearcoat pada plat pengenalan chasis (VIN), dan ini tidak boleh ditiru dan diubah.

    Disebabkan hype AE86 itu sendiri kini menjadi-jadi, harga untuk model edisi terhad hanya 400 unit tersebut sudah tentu melambung dengan sangat tinggi, sehingga ke tahap tidak masuk akal buat masa sekarang. Ini mungkin dorongan untuk Toyota menghasilkan kembali Black Limited ini terhadap model 86 generasi baharu berkenaan.

    Tambahan pula, model ini juga kini berada hampir ke penghujung hayat produksinya setelah diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2012, dan Toyota juga telah mengumumkan bahawa 86 generasi seterusnya sah akan dibangunkan dengan Subaru – Black Limited Concept tersebut mungkin akan turut menjadi versi selamat tinggal.

    Seperti yang disebut tadi, tiada langsung perincian rasmi yang diumumkan oleh Toyota. Pada pandangan mata kasar, Toyota 86 Black Limited Concept ini turut diberikan warna badan hitam metalik (mungkin dengan kod warna 204 yang sama), kemudian diberikan rim 17-inci pelbagai jejari seperti pada model edisi terhad 86 British Green Limited, dan juga angkup brek Brembo berwarna merah di hadapan.

    Manakala pada bahagian kabin, kesemua rekaan juga adalah hampir sama dengan 86 facelift lain, kecuali sulaman “86 Black Limited” dengan benang emas dilihat pada kemasan balutan Alcantara pada bahagian kiri papan pemuka.

    Sejak diperkenalkan dalam versi facelift pada tahun 2016, Toyota 86 pasaran Jepun sentiasa dijana oleh enjin NA 2.0 liter empat-silinder boxer D4-S FA20 – berkuasa 207 PS untuk versi enam-kelajuan manual, manakala versi automatik hanya menjana 200 PS – walaupun muncul dalam pelbagai versi.

    GALERI:Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited

    GALERI:Toyota 86 Black Limited Concept

     
     
  • TAS2020: Daihatsu Rocky Sporty Style dipamerkan

    TAS2020: Daihatsu Rocky Sporty Style dipamerkan

    Ketika Daihatsu Rocky – SUV segmen-B yang dikhabarkan akan menjadi model pengganti Perodua Kembara – tahun lalu, ia seperti biasa ia turut diperkenalkan dengan barisan aksesori asli penuh. Tiga tema ditawarkan kepada pembeli iaitu Elegance, Powerful, dan Sporty menampilkan personaliti berbeza. Sempena berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2020, kami berpeluang untuk melihat salah satu dari kit berkenaan iaitu Sporty kerana telah dipamerkan di booth Daihatsu.

    Set kit badan ini hadir dengan empat bahagian yang boleh ‘ditampal’ terus pada badan SUV ini, terdiri dari lip hadapan, skirt sisi, lip belakang dan juga spoiler belakang. Selain itu, pembeli turut boleh memilih aksesori luaran lain, termasuk kemasan hitam berkilat pada untuk perumah lampu kabus hadapan dan belakang, serlahan jalur merah pada gril hadapan dan kemasan tailgate belakang, penutup tangki petrol gentian karbon, dan juga rim enam-jejari 16-inci kemasan hitam.

    TAS2020: Daihatsu Rocky Sporty Style dipamerkan

    Dalam kabin, pakej Sporty ini turut menawarkan serlahan-serlahan merah-karbon yang boleh dilihat pada sekeliling pemegang dan panel dalaman pintu, perumah tuil penukar gear dan juga pada upholsteri hitam yang membaluti kesemua tempat duduk.

    Tiada sebarang perubahan mekanikal ditawarkan menerusi kit ini, dimana ia masih kekal dengan enjin 1.0 liter turbo tiga-silinder berkuasa 98 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm bermula 2,000 hingga 4,000 rpm, dipadankan bersama kotak gear automatik D-CVT.

     
     
  • RON 95 Euro 4M kini di semua stesen minyak BHPetrol

    RON 95 Euro 4M kini di semua stesen minyak BHPetrol

    Boustead Petroleum Marketing (BHPetrol) menjadi tambahan terbaru yang mengumumkan penjualan petrol BHPetrol Infiniti RON 95 Euro 4M disemua stesen minyak jenama itu. Ini adalah selari dengan tarikh 1 Januari 2020 yang digazetkan sebagai tarikh pengenalan standard petrol berkenaan di Malaysia. Setakat ini, BHPetrol memiliki lebih daripada 400 buah stesen di seluruh negara.

    Pemangku CEO syarikat itu, Ir Azizul Azily Ahmad berkata; “Kami telah mula mengedarkan BHPetrol Infiniti RON 95 Euro 4M sejak minggu terakhir 2019. Kini, kami berbangga untuk mengumumkan bahawa semua stesen minyak BHPetrol akan membekalkan dan menjual petrol RON 95 dengan dengan piawaian Euro 4M.”

    Dengan standard Euro 4M, bahan api mempunyai kurang kandungan sulfur pada kadar 50 parts per million (ppm), berbanding dengan Euro 2M yang mengandungi 500 ppm. Kandungan sulfur yang lebih rendah akan menyumbang kepada pengurangan pencamaran dari sisa pembakaran enjin kenderaan, serta mengurangkan tahap acid di dalam enjin dan mencegah sistem saluran minyak daripada tersumbat.

    BHPetrol juga memaklumkan bahawa petrol RON 95 Euro 4M syarikat itu mengandungi bahan aditif berprestasi tinggi yang sama digunakan pada RON 97 Euro 4M, yang bertindak membersih dan menghindarkan pembentukan mendapan serta mengurangkan geseran dalaman.

    “Bahan api BHPetrol Infiniti kami yang diimport kini lebih bersih dan dari gred yang lebih tinggi. Kami sertakan pakej aditif eksklusif di dalam formulasi maju ini tanpa sebarang kos tambahan kepada pelanggan untuk memberikan prestasi terbaik,” ujar Azizul.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025