Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Italjet Dragster 125 dan 200 dilancar – dari RM29,500

    Italjet Dragster 125 dan 200 dilancar – dari RM29,500

    Dipertonton terlebih dahulu kepada media awal minggu lalu, Italjet Dragster kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Dua versi ditawarkan iaitu Dragster 125 dan Dragster 200, dengan harga masing-masing RM29,500 dan RM34,800 tidak termasuk insurans.

    Perbezaan antara dua model ini hanya pada kapasiti enjin satu silinder penyejukan udara dengan sistem suntikan bahan apinya, iaitu Dragster 125 menggunakan kapasiti 124 cc manakala Dragster 200 berkapasiti 181 cc. Kuasanya masing-masing adalah 9.2 hp/10.5 Nm dan 17.2 hp/15.5 Nm.

    Enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik dengan sistem tali sawat, untuk menghantar kuasa kepada roda belakang yang menggunakan rim 13 inci, sementara rim hadapan menggunakan saiz 12 inci. Tayarnya masing-masing adalah bersaiz 140/70 dan 120/70.

    Untuk suspensi, Dragster 125 dan 200 ini menggunakan tetapan unik, di mana bahagian hadapannya dipasang dengan sistem lengan sebelah (seperti front yoke) yang dipadankan bersama penyerap yang boleh dilaras untuk mampatan dan pra beban sementara bahagian belakang menggunakan monoshock dengan pelarasan pra beban.

    Panel badan skuter ini adalah ringkas, dengan banyak bahagian yang terdedah, sementara semua lampunya menggunakan unit LED. Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk tangki bahan api sembilan liter, ABS dual-channel, angkup brek Brembo depan dan belakang, serta tinggi tempat duduk 770 mm. Berat keseluruhan Dragster adalah 140 kg.

    GALERI: Italjet Dragster 125

    GALERI: Italjet Dragster 200

     
     
  • KW hasilkan suspensi adaptif boleh laras untuk EV BMW i4 eDrive40 – berfungsi dengan elektronik OEM!

    KW hasilkan suspensi adaptif boleh laras untuk EV BMW i4 eDrive40 – berfungsi dengan elektronik OEM!

    Suspensi adaptif yang dipadankan pada kereta-kereta prestasi moden telah merubah sepenuhnya praktikaliti kenderaan-kenderaan sedemikian. Jika dahulu untuk mendapatkan pengendalian yang lebih baik keselesaan perlu dikorbankan kerana pemadanan set suspensi yang lebih keras, tetapi dengan suspensi adaptif, talaan antara selesa dan prestasi dapat dipilih semudah menekan butang mod pemanduan.

    Namun suspensi adaptif ini masih ada kekurangan, terutamanya bagi mereka yang mahukan kereta lebih rendah dari standard; tak kiralah sama ada mahukan kestabilan yang lebih baik, atau semata-mata mahukan rupa yang lebih agresif. Ini kerana untuk merendahkan kereta, sudah tentu suspensi aftermarket yang boleh dilaras ketinggiannya perlu digunakan, sekaligus tiada lagi fungsi suspensi adaptif dapat digunakan.

    Oleh itu, pembuat suspensi prestasi dari Jerman iaitu KW Suspension memperkenalkan siri suspensi KW Adaptive DDC Coilover Kit, iaitu kit suspensi yang memberikan fungsi larasan tinggi-rendah tetapi masih mengekalkan fungsi suspensi adaptif asal kereta berkenaan, dan ia boleh dipadankan secara plug & play dan terus berfungsi dengan mod pemanduan OEM kereta tersebut.

    Dan terbaharu, KW Adaptive DDC Coilover Kit berkenaan dihasilkan untuk model sedan elektrik penuh (EV) BMW iaitu i4 eDrive40 G26 yang dibekalkan dengan sistem suspensi adaptif M BMW. Dan menurut KW, kit suspensi logam tahan karat itu boleh menggantikan terus penyerap hentak adaptif BMW M pada model tersebut secara plug & play.

    KW hasilkan suspensi adaptif boleh laras untuk EV BMW i4 eDrive40 – berfungsi dengan elektronik OEM!

    Menerusi set suspensi KW DDC ini, pemilik boleh merendahkan BMW i4 eDrive40 mereka dalam julat 20 hingga 40 mm pada bahagian hadapan dan 15 hingga 35 mm pada bahagian belakang. Menurut KW, sistem ini dihasilkan dengan teknologi yang sama mereka gunakan dalam pembangunan suspensi OEM kereta elektrik hyper Rimac Nevera.

    Injap elektromagnetik di dalam penyerap hentak KW DDC tersebut akan bertindak balas dalam masa milisaat dan terus boleh dikawal serta dilaras sepenuhnya menerusi sistem elektronik OEM asas BMW, dan masih menggunakan penderia-penderia standard yang dibekalkan pada i4 eDrive40 berkenaan. Malah sistem lampu hadapan dengan larasan automatik yang berfungsi menerusi penderia yang terletak pada gandar belakang sedan EV tersebut juga masih berfungsi secara normal dengan menggunakan kit suspensi dari KW ini.

    “Sistem kawalan penyerap hentak BMW tidak perlu dinyah aktifkan, seperti kes-kes lain apabila memasang kit suspensi sport konvensional. Pelbagai kit coilover KW DDC Plug & Play sentiasa menampilkan pemadanan yang serasi bersama sistem OEM. Larasan semula atau mengubahsuai perisian kawalan suspensi BMW tidak diperlukan kerana injap DDC adalah dihasilkan khas untuk sistem BMW,” kata Florian Johann dari pasukan pengurusan jenama KW.

    Menurut KW, dalam mod Comfort, suspensi DDC KW ini masih menyerap hentakan dari permukaan jalan yang tidak elok tanpa mengorbankan kestabilan ketika mengambil selekoh, walaupun sedang menampung berat 2.2 tan sedan elektrik BMW i4 eDrive40 berkenaan. Malah keselesaan ketika olengan juga masih dikekalkan dalam mod-mod lain suspensi tersebut.

    “Ia kini lebih selesa pada permukaan jalan yang beralun berbanding suspensi konvensional i4 tanpa penyerap hentak adaptif. Dalam mod Sport, kereta elektrik ini memberikan karekternya yang tersendiri dengan perincian tipikal sebuah kereta sport BMW dan ia masih selesa dalam perjalanan jarak jauh,” jelas Johann lagi.

    BMW i4 eDrive40 ini telah membuat kemunculan pertamanya di Malaysia pada acara NEXTGen yang berlangsung pada Januari lalu. Ia kemudiannya diumumkan sudah boleh ditempah pada April, dan akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM389,800 untuk varian tunggal eDrive40 M Sport.

    Sedan elektrik ini digerakkan menggunakan satu motor elektrik berkuasa 340 PS (335 hp atau 240 kW) dan tork maksima 430, dihantar ke roda belakang melalui transmisi satu kelajuan. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dengan kelajuan maksima 190 km/j. Dengan bateri berkapasiti 83.9 kWj, BMW i4 eDrive40 boleh bergerak sejauh 590 km dengan satu cas penuh.

    GALERI: BMW i4 eDrive40 di Malaysia ketika acara NEXTGen 2022

     
     
  • Penutupan jalan, lencongan sempena LTdL 2022; peringkat 1 dari N9-KL mulai 12.30 t/hari ini – PDRM

    Penutupan jalan, lencongan sempena LTdL 2022; peringkat 1 dari N9-KL mulai 12.30 t/hari ini – PDRM

    Hari ini (11 Okt 2022), bermulanya kejohanan lumba basikal bertaraf antarabangsa, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang berlangsung sehingga 18 Oktober ini dengan melalui beberapa laluan di Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

    Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan akan melaksanakan penutupan jalan dan lencongan secara berperingkat bagi semua jenis kenderaan bagi mengawal kelancaran lalu lintas serta keselamatan di lokasi yang terlibat.

    Bagi peringkat 1 yang bakal dimulakan pada hari ini jam 12.30 tengahari, lokasi pelepasan adalah di Sekolah Kebangsaan Tunku Nasir, Seri Menanti, Negeri Sembilan dan dijangka sampai di KLCC pada jam 4.17 petang, yang melibatkan jarak 157.3 km.

    Menurut PDRM, laluan yang terlibat ialah Seri Menanti – Kuala Pilah – Senaling – Kampung Inas – Bukit Miku – Rembau – Pedas –Senawang – Seremban – Mantin – Beranang – Semenyih – Jalan Sg. Lalang –Jalan Sg. Tekali – Bukit Hantu – Pekan Batu 14 – Ampang Look Out Point – Ampang Waterfront – Jalan Taman Putra – Ampang Point – Balai Polis Jalan Tun Razak – Wisma MCA – KLCC.

    Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan anda dan mematuhi arahan anggota polis yang bertugas.

    Penutupan jalan, lencongan sempena LTdL 2022; peringkat 1 dari N9-KL mulai 12.30 t/hari ini – PDRM

    Penutupan jalan, lencongan sempena LTdL 2022; peringkat 1 dari N9-KL mulai 12.30 t/hari ini – PDRM

    Penutupan jalan, lencongan sempena LTdL 2022; peringkat 1 dari N9-KL mulai 12.30 t/hari ini – PDRM

    Penutupan jalan, lencongan sempena LTdL 2022; peringkat 1 dari N9-KL mulai 12.30 t/hari ini – PDRM

     
     
  • Bajet 2023 – caruman SKSPS PERKESO untuk sektor pengangkutan awam dan penghantar akan diwajibkan

    Bajet 2023 – caruman SKSPS PERKESO untuk sektor pengangkutan awam dan penghantar akan diwajibkan

    Pada tahun 2020, kerajaan telah memperkenalkan sumbangan kepada Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO, dengan pecahan 70% daripada kerajaan, dan 30% daripada pencarum. Dalam Bajet 2023 yang baru dibentangkan, sumbangan ini akan ditingkatkan lagi menjadi 80% daripada kerajaan dan 20% daripada pencarum.

    Langkah ini diambil bagi tujuan meringankan lagi beban golongan bekerja sendiri untuk membayar caruman PERKESO, dan diperluas kepada pemandu teksi dan pekerja gig (individu yang terlibat untuk menjalankan sesuatu tugas atau kerja melalui platform penyedia perkhidmatan atas aplikasi digital untuk mendapat upah) sektor teknologi maklumat.

    Selain daripada itu, pada tahun hadapan juga kerajaan akan mula mewajibkan caruman SKSPS kepada semua sektor pekerjaan sendiri terutamanya sektor berisiko tinggi secara berperingkat. Inisiatif ini akan bermula dengan sektor pengangkutan awam seperti pemandu, dan penghantaran barangan ataupun makanan.

     
     
  • Bajet 2023: Pengecualian cukai EV CBU dilanjutkan, fi AP EV untuk pengimport persendirian dikecualikan

    Bajet 2023: Pengecualian cukai EV CBU dilanjutkan, fi AP EV untuk pengimport persendirian dikecualikan

    Dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen sebentar tadi, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan bahawa insentif pengecualian cukai dan duti eksais bagi kenderaan elektrik penuh (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU) akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2024.

    Jadi insentif ini akan dipanjangkan dengan tambahan tempoh satu tahun kerana mengikut rancangan asalnya yang disebut pada Bajet 2022, ia hanya akan diberi sehingga 31 Disember 2023. Namun untuk insentif pengecualian cukai dan duti eksais bagi model-model EV pemasangan tempatan (CBU) adalah kekal hanya sehingga 31 Disember 2025.

    Dengan pengumuman baharu ini, pengeluar-pengeluar automotif dijangka akan memperkenalkan lebih banyak model EV yang diimport sepenuhnya ke pasaran tempatan kerana ia boleh dijual dengan harga lebih rendah, seterusnya dapat merancakkan dan mempecepatkan adaptasi peralihan teknologi tersebut ke dalam negara.

    Bajet 2023: Pengecualian cukai EV CBU dilanjutkan, fi AP EV untuk pengimport persendirian dikecualikan

    Selain itu, pengimport-pengimport persendirian juga akan dikecualikan dari bayaran fi approved permit (AP) untuk membawa model-model EV dari luar negara ke pasaran tempatan. Ini akan membolehkan pengimport-pengimport berkenaan menjual model-model EV dengan harga lebih rendah. Insentif pengecualian fi AP ini akan diberikan hanya untuk setahun, bermula pada 1 Januari hingga 31 Disember 2023.

    Apa yang diumumkan oleh Tengku Zafrul ini adalah seiring dengan apa yang disebut oleh Setiausaha Agung Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lokman Hakim Ali pada bulan lalu, mendedahkan bahawa kementeriannya mencadangkan lebih banyak insentif EV untuk dimasukkan dalam Bajet 2023.

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA), yang mewakili syarikat kereta di dalam negara baru-baru ini juga telah memohon agar insentif pengecualian cukai dan duti eksais diteruskan, tetapi persatuan berkenaan mahukan insentif tersebut diteruskan sehingga 10 tahun.

     
     
  • Bajet 2023 – ujian lesen motosikal B2 percuma, skim pembiayaan TEKUN Belia Mobilepreneur diteruskan

    Bajet 2023 – ujian lesen motosikal B2 percuma, skim pembiayaan TEKUN Belia Mobilepreneur diteruskan

    Semasa pembentangan Bajet 2023 yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebentar tadi, beliau mengumumkan bahawa “kerajaan bersetuju untuk menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal B2.”

    Perkara ini terletak di dalam fokus keempat keseluruhan Bajet 2023, yang memberi tumpuan kepada golongan belia, dan dibuat bagi membantu kumpulan B40 khususnya belia menjana pendapatan melalui perkhidmatan yang berkaitan dengan motosikal seperti penghantaran makanan.

    Seperti yang boleh anda lihat dalam kenyataan yang dikeluarkan, bayaran yang ditanggung hanya adalah untuk ujian lesen B2 (motosikal tidak melebihi 250 cc) sahaja, dan ini bermaksud kos lain seperti kelas dan pendaftaran perlu dibayar sendiri oleh pemohon. Ia adalah berbeza berbanding program myPSV, di mana “kerajaan bersetuju untuk menanggung bayaran bagi mendapatkan lesen teksi, bas dan e-hailing.”

    Berkenaan khidmat penghantaran bermotosikal, skim TEKUN Belia Mobilepreneur diteruskan lagi dengan kos RM10 juta. Melihat kepada perincian skim sama sebelum ini, ia melibatkan pembiayaan sehingga RM10,00 bagi setiap permohonan, dengan kadar faedah empat peratus setiap tahun dan tempoh bayaran balik antara satu hingga tiga tahun.

     
     
  • Bajet 2023: RM20 juta untuk bina litar Drag

    Bajet 2023: RM20 juta untuk bina litar Drag

    Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM20 juta untuk pembinaan litar Drag dalam pembentangan Bajet 2023 yang sedang berlangsung hari ini.

    Walau bagaimanapun beliau tidak memperincikan bagaimana peruntukan berkenaan akan digunakan – sama ada ia akan digunakan untuk pembinaan sebuah atau beberapa litar Drag berkenaan di seluruh negara.

    Apa yang diumumkan ini mungkin lanjutan apa yang disebut oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob pada Ogos lalu, yang menyatakan bahawa kerajaan bercadang untuk membina sebuah litar khusus bagi perlumbaan drag di setiap negeri.

    “Setakat ini sudah ada dua litar drag yang dibina iaitu di Terengganu dan Melaka,” kata PM ketika berlangsungnya acara RXZ Members 4.0 Tahun 2022 yang berlangsung di Terengganu International Drag Strip di Gong Badak 13 Ogos lalu, dan menambah apabila litar-litar yang dicadangkan itu siap, ia akan memberi peluang kepada golongan belia untuk membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.

     
     
  • PDRM tawar diskaun saman trafik sehingga 50% di Dataran Seri Jempol, N9 sehingga 9 Okt 2022

    PDRM tawar diskaun saman trafik sehingga 50% di Dataran Seri Jempol, N9 sehingga 9 Okt 2022

    Sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sembilan, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sehingga 50% bagi kesalahan terpilih selama tiga hari yang sudah pun bermula hari ini sehingga 9 Oktober 2022. Acara berkenaan berlangsung di Dataran Seri Jempol, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.

    Menurut PDRM, bayaran saman dengan diskaun berkenaan hanya boleh dilakukan di kaunter yang dibuka di tapak acara tersebut bermula jam 9 pagi hingga 9 malam.

    Walau bagaimana pun, PDRM berkata, pengurangan saman trafik ini tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara merbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, kesalahan yang dikategorikan tidak boleh dikompaun, kesalahan yang berstatus perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan berat, dan kesalahan ubahsuai ekzos kenderaan.

     
     
  • JPJ eBid: Siri plat nombor QRS bakal dibuka bidaan

    JPJ eBid: Siri plat nombor QRS bakal dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran bagi kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia bakal boleh dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Sarawak, QRS, bakal dibuka bidaan mulai 22 Oktober 2022. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 26 Oktober ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 27 Oktober 2022. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

    Untuk pengetahuan anda, kini tiada lagi larangan untuk menggunakan plat Sabah dan Sarawak di Semenanjung Malaysia. Walau anda berada di Semenanjung Malaysia, tapi teringin nak pakai siri plat nombor dari Sabah atau Sarawak, silakan.

     
     
  • Bajet 2023 — tentang hal automotif dan pengangkutan

    Bajet 2023 — tentang hal automotif dan pengangkutan

    Pembentangan Bajet 2023 bakal berlangsung pada 4pm hari ini oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen. Ia tiga minggu lebih awal daripada jadual asal yang ditetapkan sebelum ini, iaitu pada 28 Oktober 2023. Seperti biasa, kami akan membuat rangkuman liputan terhadap hal-hal berkaitan automotif dan pengangkutan.

    Bajet 2022 tahun lalu agak menarik kerana melibatkan perkembangan bagi industri EV di Malaysia, dengan kerajaan mengumumkan bahawa EV akan dikecualikan daripada duti import dan eksais serta cukai jalan untuk tempoh terhad.

    Tahun ini, ada jangkaan bahawa insentif EV ini akan dilanjutkan tempohnya — pengecualian 100% untuk EV CBU sehingga 31 Disember 2023, dan pengecualian 100% duti bagi EV CKD sehingga 31 Disember 2025. MITI memaklumkan sebelum ini yang pihaknya telah mencadangkan lebih banyak insentif EV dimasukkan dalam Bajet 2023.

    Sebagai tambahan kepada hal berkaitan automotif ini, kami juga akan memberi perhatian terhadap pengumuman tentang pengangkutan dan juga prasarana awam. Laporan langsung akan diberi kemaskini di sini, jadi terus kekal bersama kami. Apa yang anda harapkan daripada Bajet 2023 ini?

    Berikut antara hal-hal yang berkaitan dalam Bajet 2023:

      Pengangkutan awam

    • Untuk sistem pengangkutan bas rapid transit di Johor, sejumlah RM80 juta diperuntukkan.
    • Peruntukan RM180 juta untuk memperbaiki capaian dan laluan bas henti-henti yang akan memberi manfaat kepada pengguna di Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching.
    • Mengganti 18 buah bas henti-henti MARA di Kedah.
    • Pas perjalanan RM50 sebulan bagi yang menggunakan pengangkutan awam, My50 dilanjutkan untuk tempoh setahun lagi ke hadapan.
    • Bantuan untuk OKU bagi menggunakan e-hailing dengan peruntukan berjumlah RM10 juta dalam bentuk baucar.
    • Teknologi hijau

    • Peruntukan RM330 juta disediakan bagi tujuan membuat perolehan teknologi hijau dan penyediaan infrastruktur EV.
    • RM10 juta diperuntukkan untuk pembangunan aplikasi berasaskan teknologi frekuensi radio dan bluetooth bagi industri automotif di bawah Collaborative Research In Engineering, Science & Technologi Centre (CREST).
    • Jaringan lebuhraya dan jalanraya

    • Peruntukan RM510 juta disediakan untuk menambah baik kemudahan jaringan lebuhraya ke Pengerang. Ini termasuk binaan lorong memotong di Senai-Desaru Expressway dan menaik taraf Lebuhraya Utara-Selatan di Senai Utara-Pandan.
    • RM16.5 bilion diperuntukan untuk projek infrastruktur utama, melibatkan Lebuhraya Pan Borneo, RTS Link, Center Spine Road, ECRL dan Landasan keretapi berkembar Gemas-Johor Bahru. Jajaran laluan Pan Borneo dijangka siap sepenuhnya menjelang 2024.
    • MRT 2 Fasa 2, dari Stesen Kampung Batu ke Putrajaya Sentral akan beroperasi bermula Januari 2023.
    • Projek MRT3 diperuntukkan sebanyak RM50.2 bilion untuk melengkapkan rangkaian rel di Kuala Lumpur, melibatkan jarak 50.8 km. Fasa 1 (2028), Fasa 2 (2030). Unjuran perbelanjaan tahunannya pada 2023 adalah RM3.3 bilion.
    • Sukan permotoran

    • RM20 juta disediakan untuk pembinaan litar perlumbaan drag untuk menggalakkan belia berlumba dalam platform dan persekitaran yang betul dan selamat.
    • Prasarana luar bandar

    • Untuk infrastruktur luar bandar: Jalan raya dan perhubungan desa akan menerima peruntukan RM1.5 bilion, melibatkan laluan sepanjang 500 km dan memberi manfaat kepada 110,000 penduduk.
    • Untuk infrastruktur luar bandar: Lampu jalan kampung diberi peruntukan RM123 juta untuk pemasangan 6,800 unit lampu baru.
    • Untuk infrastruktur luar bandar: Membina 85 jambatan baru dengan peruntukan RM54 juta.
    • Pemberian penyelenggaraan jalan negeri (MARRIS) diperuntukkan sebanyak RM5.2 bilion untuk memperluas skop kerja penyelenggaraan jalan pertanian negeri dibawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian. Peruntukan ini juga boleh digunakan oleh kerajaan negeri untuk membaiki serta mengganti jalan, jambatan dan longkang yang rosak akibat banjir dan juga kelulusan untuk menggunakan peruntukan di luar skop.
    • EV dan infrastruktur

    • Anak syarikat Petronas, Gentari akan memasang panel solar di premis pejabat kerajaan dan komersial menjelang tahun 2024. Syarikat ini juga akan menyediakan 500 unit kemudahan pengecasan EV di seluruh negara.
    • Tenaga Nasional Berhad akan menerima RM165 juta untuk memasang bumbung solar dan menyediakan kemudahan pengecasan EV.
    • Pengecualian duti import dan eksais bagi EV CBU dilanjutkan hingga 31 Disember 2024.
    • Pengecualian yuran untuk Approved Permit (AP) bagi mengimport EV sehingga 31 Disember 2023.
    • Bagi pengilang kelengkapan pengecasan EV, mereka diberikan pengecuaian cukai 100% bagi pendapatan berkanun tahun taksiran 2023-2032. Mereka juga akan menerima pengeculian elaun cukai pelaburan 100%.
    • Lain-lain

    • Bagi mereka yang perlu mendapatkan lesen PSV untuk pemandu teksi, bas dan juga perkhidmatan e-hailing, kerajaan akan menanggung sepenuhnya kos lesen berkenaan di bawah inisiatif MyPSV.
    • Begitu juga mereka yang ingin mengambil lesen motosikal, kerajaan akan menanggung kos ujian memandu bagi lesen B2.
    • Geran one-off bernilai RM1 bilion diperuntukkan untuk syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) dan pemandu teksi yang berdaftar.
    • Pengecualian duti eksais bagi kenderaan pelancongan CKD sebanyak 50% bagi kereta sewa & pandu dan bas persiaran.
     
     
  • Honda Prologue 2024 didedah – SUV EV guna platform serta teknologi bateri GM, lebih besar daripada CR-V

    Honda Prologue 2024 didedah – SUV EV guna platform serta teknologi bateri GM, lebih besar daripada CR-V

    Honda akhirnya mendedahkan secara rasmi Prologue serba baru, iaitu sebuah SUV elektrik penuh yang akan mula dijual di Amerika Utara pada tahun 2024. Model ini merupakan satu kerjasama antara Honda dengan General Motors (GM), dan dibina atas platform elektrik modular serta teknologi bateri Ultium (turut digunakan pada Chevrolet Blazer EV) pengeluar dari Amerika Syarikat tersebut.

    Buat masa ini, Honda masih belum mendedahkan spesifikasi bagi EV baru ini, tetapi laporan mendakwa, ia berkemungkinan sama seperti Blazer EV. Model Chevrolet tersebut ditawarkan dalam versi yang menggunakan satu motor elektrik yang terletak sama ada di hadapan (FWD) ataupun belakang (RWD), serta satu pilihan lagi adalah yang menggunakan dua motor elektrik (AWD).

    Varian SS yang paling berkuasa menggunakan tetapan AWD, dengan kuasa sehingga 565 PS (557 hp atau 415 kW), dan tork 879 Nm, manakala jarak geraknya pula adalah 467 km. Antara semua varian yang ditawarkan, varian RS menyediakan jarak gerak paling jauh, iaitu 515 km dengan sekali cas penuh.

    Sementara perincian tentang penggeraknya masih dirahsiakan, perkara lain pula sudah didedahkan oleh Honda. Sebagai permulaan, dalam penawaran produk mereka, SUV elektrik ini akan diletakkan di atas CR-V baru dan selari dengan model Passport.

    Melihat kepada saiz, Prologue mencatat ukuran panjang 4,877 mm, lebar 1,989 mm, tinggi 1,643 mm dan jarak roda 3,094 mm. Jika dibandingkan dengan CR-V generasi keenam, ia 183 mm pebih panjang, 125 mm lebih lebar, 38 mm lebih rendah serta mempunyai jarak roda 394 mm lebih panjang.

    Reka bentuk Prologue dihasilkan oleh Honda Design Studio di Los Angeles. Membawa konsep rekaan ringkas dan bersih, anda juga boleh menyaksikan bahagian belakang yang kelihatan seakan model Range Rover Evoque, terutamanya lampu belakang. Menurut Honda, model yang ditunjukkan ini menggunakan rim 21 inci dan dilengkapi bumbung panoramik.

    Honda Prologue 2024 didedah – SUV EV guna platform serta teknologi bateri GM, lebih besar daripada CR-V

    Di dalam, Honda hanya menggunakan skrin sesentuh 11.3 inci untuk sistem infotainmen, sementara di bawahnya terdapat dua tombol dan susunan butang kawalan. Corong pendingin hawa dijadikan sama bentuk seperti kemasan jalur melintang di atas papan pemuka.

    Untuk panel instrumen pula terdapat skrin 11 inci di hadapan pemandu, sementara pada stereng dan konsol tengah tidak terdapat banyak butang kawalan. Di bahagian kiri papan pemuka terdapat beberapa butang untuk kawalan fungsi brek parkir elektronik, mod Sport serta sistem Lane Centring Assist.

    Menurut Honda, lebih banyak lagi perincian Prologue akan didedahkan dalam bulan-bulan yang mendatang, jadi sementara itu kita masih perlu menunggu untuk mengtahui lebih lanjut tentangnya.

     
     
  • Ford Ranger Raptor 2022 tiba di Malaysia – RM260k, 3.0L V6 Twin Turbo, 397 PS/583 Nm, ada anti-lag!

    Ford Ranger Raptor 2022 tiba di Malaysia – RM260k, 3.0L V6 Twin Turbo, 397 PS/583 Nm, ada anti-lag!

    Selepas model generasi baharu Ford Ranger tiba di Malaysia Julai lalu, kini tiba masanya varian prestasi tinggi untuk trak pikap berkenaan iaitu Ranger Raptor 2023 diperkenalkan secara rasmi di pasaran tempatan. Sama seperti pasaran Thailand, Malaysia menerima Raptor 2022 dengan enjin petrol EcoBoost 3.0L V6 Twin Turbo!

    Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM259,888, dan hadir dengan waranti pengeluar lima-tahun, atau 160,000 km, yang mana dulu. Pelanggan juga boleh memilih untuk melanjutkan tempoh jaminan dengan penawaran perlindungan melalui PremiumCare. Ini bermakna, Malaysia tidak termasuk dalam pasaran yang masih menerima enjin diesel 2.0L Twin Turbo dari model generasi sebelumnya seperti yang diumumkan oleh Ford sebelum ini.

    Malah Ranger Raptor 2022 pasaran Malaysia ini menerima enjin yang sama seperti Ford Bronco Raptor di Amerika Syarikat dengan talaan kuasa penuh 397 PS pada takat 5,650 rpm dan tork maksima 583 Nm pada takat 3,500 rpm, jauh lebih berkuasa dari Ranger Raptor 2023 3.0L V6 Twin Turbo pasaran Eropah yang hanya menjana 288 PS dan tork maksima 491 Nm.

    Ford Ranger Raptor 2022 tiba di Malaysia – RM260k, 3.0L V6 Twin Turbo, 397 PS/583 Nm, ada anti-lag!

    Enjin V6 baharu ini menampilkan blok silinder yang diperbuat dari material grafit-logam yang dipadatkan, yang menurut Ford ia adalah 75% lebih kuat dan 75% lebih tegar berbanding blok silinder besi tuang biasa. Manakala pengecas turbo untuk enjin ini pula menampilkan sistem anti-lag yang diambil dari teknologi kereta lumba, bagi memastikan penghantaran boost yang cepat setiap kali ia diperlukan.

    Menurut Ford, dalam mod Baja, turbin pada pengecas turbo berkenaan akan terus berputar selama tiga saat selepas pemandu melepaskan sepenuhnya pedal pendikit, membolehkan ia membekalkan respon pendikit dengan kadar sepenuhnya apabila pedal pendikit tersebut dikerah semula selepas itu tanpa sebarang lag.

    Enjin ini juga diberikan sistem ekzos aktif yang akan memberikan bunyi senyap tanpa mengganggu jiran dalam mod Quiet, dan memberikan bunyi yang jauh lebih garang dan agresif dalam mod Sport dan Baja. Menurut Ford, untuk mod Baja, ia akan memberikan bunyi seakan sistem paip terus, tetapi ia hanya untuk kegunaan off-road.

    Ford Ranger Raptor 2022 tiba di Malaysia – RM260k, 3.0L V6 Twin Turbo, 397 PS/583 Nm, ada anti-lag!

    Kuasa dari enjin berkenaan disalurkan kepada kotak gear automatik 10-kelajuan, sebelum memacu semua roda menerusi sistem pacuan-empat roda sepenuh masa, yang dibekalkan bersama transfer case dua-kelajuan, serta locking differential diberikan pada gandar belakang dan hadapan.

    Seperti sebelum ini, Ranger Raptor turut dibekalkan dengan mod pemanduan berbeza untuk permukaan tar dan juga off-road. Untuk jalan raya biasa, tiga mod pemanduan diberikan iaitu Normal, Sport dan Slippery. Manakala untuk pemanduan off-road pula ia menampilkan mod Rock Crawl (cengkaman dan momentum maksima pada permukaan licin),Sand, Mud dan Ruts, serta mod “perlumbaan rali padang pasir” iaitu Baja.

    Ford Ranger Raptor ini juga kini menerima sistem Trail Control iaitu sistem cruise control untuk jalan off-road, yang boleh digunakan oleh pemandu sekiranya mereka mahu menumpukan terhadap kawalan stereng ketika melalui laluan yang dengan permukaan mencabar. Sistem ini boleh beroperasi sehingga kelajuan maksima 32 km/j.

    Sistem suspensi pada Raptor ini turut berbeza dari Ranger biasa, bagi menangani kuasa lebih agresif dan juga untuk menampung pemanduan yang lebih ekstrem. Suspensi trak pikap ini direka semula sepenuhnya, kini dengan lengan kawalan atas dan bawah aluminium, diberikan sistem Watt’s Linkage pada gandar belakang, bersama penyerap hentak off-road dengan strok panjang yang masih dibekalkan oleh Fox.

    Penyerap hentak tersebut menampilkan injap pirau dalaman 2.5-inci bersama Teflon yang disalut minyak bagi mengurangkan geseran sehingga 50% berbanding model sebelum ini. Karekter lantunan semula, kadar spring, ketinggian kenderaan dan tetapan injap kini ditala bagi memberikan keseimbangan terbaik antara prestasi atas jalan raya serta off-road.

    Dengan sistem Bottom-Out Control yang progresif dari Fox, Ranger Raptor kini lebih stabil pada permukaan jalan tar. Sistem berkenaan akan memberikan daya menyerap hentak maksimum pada bahagian pergerakan 25% terakhir suspensi berkenaan, dan dapat mengelakkan bahagian belakang menjadi mendap ketika melakukan pecutan mendadak.

    Untuk rupa luaran, Ranger Raptor diberikan lampu hadapan dengan teknologi LED Matrix jalur LED berbentuk-C, serta Dynamic Bending yang membolehkan ia menyuluh mengikut haluan kereta. Tulisan “FORD” pada gril hadapan juga kini lebih garang, dan seperti biasa ia menerima fender flare yang lebih lebar untuk setiap ruang roda. Rim 17-inci yang diberikan pada Ranger Raptor ini adalah lebih lebar, dibaluti tayar all-terrain BF Goodrich KO2.

    Perincian istimewa lain yang turut dipadankan pada Ranger Raptor ini termasuk lampu belakang LED, pemijak sisi aluminium dengan logo Raptor serta plat pelindung bawah badan yang diperbuat dari logam berkekuatan tinggi setebal 2.3 mm. Plat pelindung berkenaan berfungsi untuk memberi perlindungan kepada komponen penting seperti radiator, sistem stereng, cross member hadapan, takung minyak pelincir enjin dan juga differential hadapan ketika ia meredah laluan lasak.

    Pada bahagian kabin pula, pemandu Ranger Raptor ini menerima paparan instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.4-inci, roda stereng sport balutan kulit dengan penanda pukul 12 kemasan oren dan logo Raptor di bawah, pedal penukar gear magnesium dan tombol gear elektronik. Ford turut menyatakan bahawa tempat duduk hadapan Ranger Raptor ini dihasilkan dengan inspirasi dari jet pejuang F22.

    Ford Ranger Raptor 2022 tiba di Malaysia – RM260k, 3.0L V6 Twin Turbo, 397 PS/583 Nm, ada anti-lag!

    Manakala untuk sistem infotainmen, Ranger Raptor diberikan skrin sesentuh 12-inci yang diposisikan secara menegak, dengan hubungan SYNC 4A (Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar diberikan standard), bersama sistem bunyi dari Bang & Olufsen dengan lapan pembesar suara. Kabin trak pikap ini juga dilengkapi dengan lampu suasana serta empat slot pengecas USB dan pengecas tanpa wayar Q.

    Bagi sistem keselamatan pula, Ranger Raptor 2023 pasaran Malaysia ini diberikan tujuh-beg udara, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera undur, sistem brek ABS dengan EBD dan kawalan kestabilan elektronik, bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, pemantau tekanan angin tayar dan kamera pemantau 360-darjah

    Ia juga menerima sistem bantuan pemanduan seperti cruise control adaptif dengan fungsi Stop & Go ketika trafik sesak, brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, bantuan kekal lorong, amaran keluar lorong, amaran titik buta dengan amaran dan bantuan brek lintasan trafik belakang, bantuan brek mengundur, bantuan stereng untuk mengelak dan bantuan parkir aktif serta tujuh-beg udara.

    Ford Ranger 2023 pasaran Malaysia ini turut hadir dengan warna hero globalnya iaitu Code Orange, bersama tiga warna lain iaitu Absolute Black, Arctic White dan Conquer Grey.

     
     
  • Mercedes me Store di M’sia – pengaktifan beberapa servis dengan yuran sekali sahaja, pelan langganan

    Mercedes me Store di M’sia – pengaktifan beberapa servis dengan yuran sekali sahaja, pelan langganan

    Mercedes-Benz Malaysia telah melancarkan Mercedes me Store yang menawarkan beberapa servis tambahan untuk semua kenderaannya. Ia adalah tambahan kepada servis Mercedes me yang diperkenalkan pada tahun 2019, yang didatangkan dengan aplikasi khas untuk peranti iOS dan Android. Dilancarkan bersama dengan model facelift GLC dan GLC Coupe, ia membolehkan pemilik Mercedes-Benz untuk berhubung secara terus dengan kenderaan mereka.

    Dengan adanya Mercedes me Store baharu ini membolehkan pelanggan membeli atau melanggan pakej yang boleh disepadukan dengan kenderaan mereka bagi mengaktifkan beberapa fungsi. Ini termasuklah Remote Package, yang membolehkan beberapa ciri telematik seperti mengunci dan membuka kunci pintu, tingkap dan bumbung suria secara kawalan, kawalan suhu pra-kemasukan, pengesan kenderaan, geofencing dan banyak lagi.

    Ia juga diberikan Navigation Package yang membolehkan panduan laluan dinamik berdasarkan data masa nyata. Kedua-dua Remote Package dan Navigation Package ini juga boleh dikombinasi dalam pilihan dua-dalam-satu yang dipanggil Excellence Package.

    Untuk makluman, pakej Remote dan Navigation diberikan standard untuk kereta yang ada Mercedes me, dengan beberapa pengecualian termasuk model asas A200 yang tidak ditmpilkan dengan Navigation Package. Memandangkan Mercedes me dilancarkan pada penghujung tahun 2019, pakej pada kenderaan sekitar tempoh itu berkemungkinan sudah tamat tempoh langgannnya. Maka Mercedes me Store menyediakan cara untuk memperbaharuinya. Beberapa model yang lebih terkini turut disertakan dengan langganan aktif yang perlu diperbaharui apabila tempoh tamat.

    Ciri tambahan lain termasuklah Individualisation Package yang meliputi Sound Experience dan permainan mini; Remote & Navigation Services untuk mengubah status pengecasan dan navigasi ke stesen pengecasan, manakala Hard Disc Navigation untuk akses tanpa had kepada semua data peta hasil storan fizikal secara offline. Selain itu, ia juga ada AMG Track Pace untuk penyimpanan data prestasi, yang telah pun diberikan secara standard untuk model AMG 45 dan 63, tetapi kini boleh diaktifkan untuk model 35 dan 43.

    Mercedes me Store di M’sia – pengaktifan beberapa servis dengan yuran sekali sahaja, pelan langganan

    Bergantung pada pakej, pengguna boleh membuat pembelian dengan sekali pembayaran sahaja atau melanggan secara pelan satu- atau tiga-tahun. Berikut adalah senarai lengkap pakej yang disediakan berserta dengan harganya (termasuk cukai perkhidmatan sebanyak 6%):

    • Remote Package – RM389 untuk langganan satu-tahun, RM914 untuk langganan tiga-tahun
    • Navigation Package – RM608 untuk langganan satu-tahun, RM1,438 untuk langganan tiga-tahun
    • Excellence Package (termasuk pakej Remote dan Navigation) – RM869 untuk langganan satu-tahun, RM2,049 untuk langganan tiga-tahun
    • Individualisation Package – RM400 untuk langganan satu-tahun, RM933 untuk langganan tiga-tahun
    • Remote & Navigation Services – RM220 untuk langganan tiga-tahun
    • Hard Disc Navigation – untuk pengaktifan dengan yuran sekali sahaja bernilai RM3,466
    • AMG Track Pace – untuk pengaktifan dengan yuran sekali sahaja bernilai RM1,120

    Mercedes-Benz Malaysia menyatakan bahawa perkhidmatan keselamatan dan penyelenggaraan penting yang disediakan semasa Mercedes me dilancarkan, seperti SOS E-call, pengurusan baik pulih/kerosakan kemalangan dan telediagnostik, akan kekal percuma.

    “Sejak dilancarkan di pasaran tempatan pada 2019, Mercedes me Connect telah menyediakan pengalaman digital yang mudah dengan tawaran yang dibuat khusus sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk meningkatkan lagi pengalaman pemanduan dan keselesaan pemilikan pelanggan kami,” kata Edmin Naidoo, timbalan presiden bagi perkhidmatan pelanggan di Mercedes-Benz Cars, Malaysia dan SEA II.

    Tambahnya lagi, “Mercedes me Connect bagaikan teman rapat pemilik Mercedes-Benz di Malaysia yang menjadikan kehidupan seharian lebih mudah. Dengan hampir 100% kadar gandingan pada Mercedes me Connect, kami yakin pelanggan sedia ada dan akan datang bakal melihat nilai dan menghargai pengalaman digital baharu.”

     
     
  • Lebuhraya DASH bakal dirasmikan — ini petanya

    Lebuhraya DASH bakal dirasmikan — ini petanya

    Berdasarkan hantaran di akan media sosial pengendalinya, Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) semakin hampir untuk dilancarkan secara rasmi tidak lagi. Hantaran yang dimaksudkan disertai dengan mesej yang memaklumkan bahawa lebuhraya berkenaan akan berada dalam Google Maps dan Waze sedikit masa lagi.

    Lebuhraya DASH mempunyai kepanjangan jarak 20.1 km dengan 13 susur keluar. Ia bermula dari Puncak Perdana di Shah Alam dan berakhir di Penchala di Damansara. Berikut adalah semua susur keluar yang terlibat:

    • Puncak Perdana
    • Alam Suria
    • Denai Alam
    • Kampung Melayu Subang
    • Pinggiran Subang
    • Subang Dua
    • Subang Airport
    • RRIM (Kwasa Damansara)
    • Surian
    • Seksyen 5 Kota Damansara
    • Sunway Damansara
    • Damansara Perdana
    • Penchala

    Lebuhraya DASH juga menghubungkan pengguna dengan beberapa lagi lebuhraya lain di Lembah Klang, seperti Lebuhraya Koridor Guthrie, NKVE, LDP dan Penchala Link. Kadar tol bagi laluan di sepanjang DASH bagaimanapun belum lagi diumumkan. Mungkin, tempoh awal pembukaannya ia akan beroperasi secara percuma, sama seperti yang dilakukan untuk Lebuhraya SUKE sebelum ini.

     
     
  • ERL beri 30% diskaun untuk tiket pergi-balik stesen Putrajaya, Cyberjaya pada 8 Okt sempena HSN 2022

    ERL beri 30% diskaun untuk tiket pergi-balik stesen Putrajaya, Cyberjaya pada 8 Okt sempena HSN 2022

    Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) telah mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 30% bagi tambang tiket pergi-balik bagi perkhidmatan tren KLIA Ekspres untuk stesen Putrajaya dan Cyberjaya. Tambang istimewa ini hanya ditawarkan pada 8 Oktober 2022 (sabtu) dari jam 5 pagi hingga 5 petang sempena dengan Hari Sukan Negara (HSN) 2022 yang bakal berlangsung esok di Dataran Istana Kehakiman, Putrajaya.

    Menurut ERL, untuk mendapatkan diskaun ini, pengguna perlu membeli tiket di kaunter tiket KL Sentral, Bandar Tasik Selatan atau Salak Tinggi. Dengan hanya sebut “Tambang Istimewa Hari Sukan Negara/Hari Sukan Negara Special Fares” semasa pembelian tiket membolehkan anda memperoleh diskaun terbabit.

    Jika membeli tiket di KL Sentral, kadar tambang berserta diskaun ialah RM19.60 bagi dewasa dan RM8.90 bagi kanak-kanak. Sekiranya membeli tiket di Bandar Tasik Selatan pula, tiket yang perlu dibayar ialah RM11 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak). Dan bagi yang membeli tiket di Salak Tinggi pula, hanya RM6.60 untuk dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak.

    Jadi, inilah masanya untuk merasa menaiki tren KLIA Ekpres dengan harga yang lebih murah, dan tak perlulah memandu ke Putrajaya atau Cyberjaya esok untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik sempena HSN 2022.

     
     
  • Honda Wave 125i baharu tiba di Thailand – beberapa ciri diubah termasuk lampu belakang serta meter

    Honda Wave 125i baharu tiba di Thailand – beberapa ciri diubah termasuk lampu belakang serta meter

    Bersama dengan pelancaran Forza 350 dan CRF300L Enduro Pro Edition, Honda Thailand juga telah memperkenalkan Wave 125i baharu untuk pasaran negara itu. Informasi berkenaan model ini agak terhad kerana laman web Honda Thailand masih sekadar menunjukkan Wave 125i yang lama, jadi gambar yang anda lihat ini diambil daripada siaran langsung yang dibuat melalui media sosial.

    Tidak banyak perubahan yang diberi pada bentuk luaran motosikal ini, tetapi di bahagian belakang terdapat lampu baru, yang menggunakan cermin putih, sementara di dalamnya barulah terdapat bahagian LED yang berwarna merah di tengah dan mentol kuning dengan pemantul cahaya di kedua-dua sisi untuk penunjuk arah.

    Kemudiannya untuk memaparkan operasi motosikal, terdapat panel meter baru yang menggunakan kombinasi petunjuk analog untuk kelajuan, serta panel LCD di bawahnya untuk kedudukan gear, tahap bahan api dan catatan jarak perjalanan. Di bahagian atas meter terdapat lampu amaran dan petunjuk operasi lain.

    Satu lagi penambah baikan yang dilakukan pada Wave 125i baru adalah tempat meletak barangan kecil di bahagian bawah pemegang, yang kelihatan seperti mampu memuatkan botol air atau barangan kecil lain. Seperti biasa, Wave 125i ini ditawarkan dalam versi asas yang menggunakan rim spoked dan penghidup enjin jenis tendang, sementara satu lagi versi datang dengan rim sport serta pemula enjin elektrik.

    Jika melihat kepada laporan media di sana, enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api PGM-FI 124.89 cc pada Wave 125i ini turut menerima sedikit perubahan yang dapat menjadikannya lebih senyap serta jimat bahan api. Suspensi pula dikatakan telah dilaras semula.

    Perincian lain Wave 125i masih sama seperti sebelum ini, termasuk ruang bawah tempat duduk 17 liter yang boleh menempatkan sebuah helmet, tangki bahan api 5.4 liter, lampu hadapan LED, brek cakera di hadapan dan brek dram di belakang.

     
     
  • Perodua jual 24,626 unit pada Sept 2022 – jumlah tahunan kini 196,354 unit, 64.9% lebih tinggi dari 2021

    Perodua jual 24,626 unit pada Sept 2022 – jumlah tahunan kini 196,354 unit, 64.9% lebih tinggi dari 2021

    Perodua telah mengumumkan sejumlah 24,626 unit kenderaannya telah terjual pada September 2022, di mana ia kurang sebanyak 5.4% berbanding 26,039 unit yang dicatatkan pada Ogos. Walau bagaimana pun, jumlah keseluruhan bagi jualan untuk suku ketiga tahun ini (3Q22) meningkat sebanyak 5% iaitu 69,011 unit berbanding suku kedua (2Q22) dengan 65,719 unit.

    “Peningkatan pendaftaran bagi 3Q22 menunjukkan bahawa kebanyakan isu utama dalam rantaian bekalan automotif telah pulih. Kini tiba masanya untuk menambah baik pengeluaran kerana kami perlu mengurangkan tempoh menunggu untuk pelanggan kami yang dihargai,” kata Presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad.

    Dengan angka yang direkodkan ini, jumlah keseluruhan jualan setakat ini (YTD) untuk sembilan bulan pertama tahun ini mencecah 196,354 unit, 64.9% lebih tinggi berbanding 119,093 unit yang dijual pada tempoh yang sama tahun lalu. Sasaran jualan untuk tahun ini ialah 247,800 unit.

    Perodua jual 24,626 unit pada Sept 2022 – jumlah tahunan kini 196,354 unit, 64.9% lebih tinggi dari 2021

    Peningkatan ketara tahun ke tahun sebahagian besarnya disebabkan oleh sekatan yang dikenakan pada 2021 untuk membendung penularan Covid-19, yang menghalang pengeluaran dan pendaftaran kenderaan. Ini juga refleksi mengikut perbandingan antara suku tahunan ke suku tahunan, kerana 3Q22 menyaksikan 216.5% lebih banyak penghantaran berbanding 3Q21. Untuk rekod, Perodua hanya menjual sekitar 21,803 unit antara Julai dan September tahun lepas.

    “Buat masa ini, kami memfokuskan untuk meningkatkan pengeluaran pada suku keempat tahun ini termasuk memaksimakan pengeluaran pada suku pertama tahun depan untuk memastikan semua pelanggan kami yang membuat tempahan semasa tempoh pengecualian cukai jualan akan menerima kereta mereka pada atau sebelum 31 Mac 2023,” kata Zainal.

    Sebelum ini, pada tarik akhir pengecualian SST (30 Jun 2022) Perodua menyatakan bilangan tempahan tertunggak yang layak untuk pengecualian adalah melebihi 200,000 unit. Bagi pengeluaran pula, bulan lalu menyaksikan jumlah kereta paling banyak dikeluarkan setakat tahun ini iaitu sebanyak 29,077 unit, manakala pengeluaran YTD berjumlah 206,387 unit.

     
     
  • ‘Proton’ Stevens Cipher Coupe 1996 dilelong di UK; kereta sport guna sistem mekanikal dari Putra!

    ‘Proton’ Stevens Cipher Coupe 1996 dilelong di UK; kereta sport guna sistem mekanikal dari Putra!

    Laman lelongan kenderaan di United Kingdom, Car and Classic telah menyenaraikan sebuah kereta sport dua pintu Stevens Cipher Coupe untuk di lelong bermula 21 Oktober ini.

    Jika anda lihat dengan teliti, bahagian luar kereta sport ini dihasilkan dengan pelbagai komponen dari Proton era 90’an termasuk pembuka pintu, cermin sisi, lampu isyarat membelok fender hadapan, dan yang paling jelas adalah rim 14-inci lima jejari dengan penutup tengah bertulis ‘Proton’!

    Kereta apa sebenarnya Stevens Chiper Coupe ni? Adakah ia projek rahsia dari Proton dari era berkenaan seperti jentera rali Proton Putra WRC? Kereta ini sebenarnya dihasilkan oleh Stevens Motors Company pada tahun 1996, iaitu syarikat milik Profesor Tony Stevens, seorang jurutera mekanikal dari UK. Chiper Coupe ini merupakan prototaip terakhir yang dihasilkan oleh Stevens dan dirancang untuk diproduksi secara besar-besaran, melibatkan kerjasama dari Proton.

    ‘Proton’ Stevens Cipher Coupe 1996 dilelong di UK; kereta sport guna sistem mekanikal dari Putra!

    Sebelum menghasilkan prototaip Chiper Coupe ini, Prof. Stevens pernah menghasilkan beberapa prototaip Chiper Roadster, antaranya menggunakan sistem mekanikal dari kereta Reliant Kitten dan juga Lada Samara. Prototaip-prototaip berkenaan pernah dibawa ke Motor Show dan pelbagai acara di UK, namun Stevens tidak berjaya mendapatkan pelabur untuk merealisasikan projek produksinya.

    Untuk Chiper Coupe ini, seperti yang anda boleh lihat, ia menggunakan kelengkapan mekanikal dari model Proton, secara spesifiknya model coupe Proton Putra. Namun Stevens sebenarnya menghasilkan kerangka logam tiub yang dikimpal rekaannya sendiri, bersama badan yang juga rekaan aslinya sendiri dihasilkan dengan material gentian kaca GRP, tetapi digandingkan dengan sistem rangkaian kuasa, mekanikal dan pelbagai komponen luaran dan dalaman yang diambil terus dari Proton Putra.

    Kerangka berkenaan direka bagi memuatkan enjin 4G93P 1.8 liter DOHC bersama kotak gear manual lima kelajuan dari Putra, dan ia masih dipasang melintang dalam konfigurasi enjin hadapan pacuan hadapan. Padanan ini membolehkan Stevens Chiper Coupe berkenaan mencapai kelajuan maksima 220 km/j.

    ‘Proton’ Stevens Cipher Coupe 1996 dilelong di UK; kereta sport guna sistem mekanikal dari Putra!

    Badan Coupe ini direka sebagai sebuah kereta sport sebenar dengan asas bentuk ‘dua-kotak’ (tanpa ekor di belakang), bersama muncung yang tirus dan tajam, garis bumbung landai ke belakang serta garis but yang agak tinggi. Ia diberikan lampu hadapan bulat berkembar yang ‘tertanam’ bagi mengekalkan ciri aerodinamik pada bahagian muncung, serta lampu bulat tunggal dibelakang dengan pintu hatch yang boleh dibuka sebagai sebuah liftback.

    Kabin Chiper Coupe ini menampilkan hampir keseluruhan komponen yang diambil terus dari Proton Putra. Ia termasuk papan pemuka, tempat duduk hadapan Recaro, tempat duduk belakang, sistem audio dengan pemain kaset Blaupunkt, konsol terowong tengah dan tombol gear. Namun tidak kelihatan roda stereng Momo dari Putra pada Chiper Coupe ini, tetapi diberikan roda stereng empat jejari dengan beg udara.

    Walau pintu Coupe ini tidak diberikan panel dalaman yang sama dengan Putra kerana berlainan bentuk, ia masih diberikan pembuka pintu dan pembuka tingkap manual dengan model-model Proton era 90’an.

    ‘Proton’ Stevens Cipher Coupe 1996 dilelong di UK; kereta sport guna sistem mekanikal dari Putra!

    Hanya sebuah Stevens Chiper Coupe ini pernah dibina, dan semestinya ia sangat-sangat rare. Jarak perjalanan yang dicatatkan hanya 1,911 batu (3,075 km) dan menurut Car and Classic, unit ini masih lagi dalam keadaan asli tanpa sebarang perubahan. Ketika Stevens Motor Company ditutup, Prof. Stevens sendiri membeli kereta ini bagi membolehkan ia terus berada di bawah jagaannya.

    Jika anda lihat pada roda kereta ini, rim 14-inci lima jejari dari Proton Putra berkenaan masih dibalut dengan tayar Sime Tyres Monza HR7 ‘Made in Malaysia’ yang dikilangkan pada minggu-16 tahun 1996! Sekiranya anda berjaya membida kereta ini kelak, anda akan turut menerima set manual asli dari Proton dan juga lukisan rekaan asal Cipher Coupe ini yang dilukis dan ditandatangani oleh Prof. Stevens sendiri.

    Prof. Tony Stevens pernah menyatakan bahawa Cipher Coupe ini merupakan “kereta terbaik yang pernah dihasilkan olehnya”. Sekiranya projek ini diteruskan dahulu, ia mungkin diproduksi di kilang Proton Shah Alam, dengan sasaran produksi sebanyak 50,000 unit! Namun hasrat terakhir Prof. Stevens tersebut tidak kesampaian kerana projek ini terpaksa dihentikan akibat kegawatan ekonomi yang berlaku ketika itu.

     
     
  • PANDU UJI: Kia Carnival 2.2D 7-Tempat Duduk High 2022 — boleh tapau MPV premium grey importer?

    PANDU UJI: Kia Carnival 2.2D 7-Tempat Duduk High 2022 — boleh tapau MPV premium grey importer?

    Yang mendominasi pasaran MPV premium atau mewah di sini secara umumnya adalah model-model terpakai daripada pengimport persendirian. Paling tidak, ini merupakan situasinya bagi model-model MPV besar yang popular — sebagai contoh, Toyota Estima, Alphard/Vellfire (walaupun antaranya ada yang pernah ditawarkan oleh pengedar rasmi di sini sebelum ini) misalnya.

    Sangat jarang ada penawaran yang menempati segmen ini daripada pengedar rasmi; yang banyak di atas jalan dari kelompok ini pula adalah kenderaan MPV untuk kegunaan komersial, bukan MPV premium untuk penumpang. Itu cerita lain. Tetapi, dengan Kia Carnival 2022 CKD yang ditawarkan dalam pasaran ketika ini, ia secara tak langsung menjadi sebuah model yang cukup menarik dan penting untuk diperhatikan.

    Walaupun tidak duduk dalam satu kelompok yang setara dengan Alphard/Vellfire dari segi saiz dan penawarannya, namun dengan harga jualannya yang berada di dalam kurungan yang hampir sama dengan model-model grey import yang dinyatakan itu menjadikannya sebagai pesaing yang tidak langsung, yang sangat wajar dipertimbangkan oleh mereka yang sedang mencari sebuah MPV besar, premium dan mewah.

    Lebih setanding dengan penawaran Kia Carnival 2022 ini di Malaysia sebenarnya adalah penawaran dari jenama “saudara” dari Korea Selatan sendiri, mana ada yang lain selain Hyundai. Ini kerana, jika dilihat daripada kapasiti atau konfigurasi tempat duduk, Hyundai Grand Starex pernah hadir dengan 11-tempat duduk juga. Tetapi ia diklasifikasikan sebagai kenderaan komersial, serta tempoh penawarannya untuk pasaran tempatan juga sudah agak lama. Tetapi ada satu lagi model MPV Hyundai yang terbaru, dengan nama Staria, sebagai ganti lawannya.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Beberapa jalan di Putrajaya ditutup pada 7-9 Okt sempena penganjuran acara Hari Sukan Negara 2022

    Klik untuk besarkan imej

    Sempena dengan sambutan Hari Sukan Negara 2022 di Putrajaya yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 8 Oktober ini, beberapa jalan di sana akan terlibat dengan penutupan sementara selama tiga hari mulai jam 3 pagi pada 7 Oktober sehingga 12 tengahmalam Ahad (9 Okt) ini.

    Menurut pengumuman yang dilakukan oleh KBS menerusi laman Facebook rasminya, jalan yang terlibat ialah Boulevard Presint 3 hingga Boulevard Presint 4 iaitu dari simpang empat Menara LPPSA hingga ke Lebuhraya Wadi Presint 4 di hadapan Galleria.

    Manakala Lebuh Setia (antara Menara KBS dan Galleria), Jalan P4Y (belakang Menara KBS) dan Lebuh Wadi (jalan antara Bangunan KETSA dan Bouleverd Presint 4) pula akan ditutup dari jam 7 pagi pada 7 Oktober hingga 12 tengahmalam pada 9 Oktober 2022.

    Justeru, semua pengguna jalan raya di kawasan terlibat diminta untuk patuhi isyarat papan tanda trafik dan arahan pihak yang bertugas serta lebih berhati-hati dalam pemanduan.

    Acara kemuncak bagi Hari Sukan Negara 2022 akan diadakan di hadapan Dataran Istana Kehakiman Putrajaya pada 8 Oktober dan antara aktiviti yang bakal dianjurkan ialah Neon Ride, Fun Ride, Fun Run dan Fun Walk. Selain itu, turut dianjurkan ialah pertandingan bola keranjang 3×3, Airapay Belia Berselawat, Skim & Surf Festival dan banyak lagi.