Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz C-Class All-Terrain 2022 didedah – wagon X206 rupa SUV, tinggi kendalian lebih 40mm

    Mercedes-Benz C-Class All-Terrain 2022 didedah – wagon X206 rupa SUV, tinggi kendalian lebih 40mm

    Disebabkan SUV semakin digemari buat masa kini, jadi bukanlah kejutan kenapa Mercedes-Benz mahukan sentuhan magis untuk C-Class baharu. Jadi ini satu lagi versi All-Terrain bagi model eksekutif kompak iaitu model kedua yang menggunakan nama tersebut selepas pelancaran E-Class pada enam tahun yang lalu.

    Bagi versi wagon X206 ini, yang sekali imbas memiliki rupa ala SUV yang diberikan penampilan cukup bergaya dan macho serta tampak lasak. Dengan menampilkan lapisan badan plastik hitam, dan fender flares dengan dekoratif krom pada skid plate hadapan dan belakang, serta pertambahan 40 mm untuk tinggi kendaliannya.

    Peningkatan jarak kelegaan tanah adalah hasil dari suspensi yang dinaikkan dan juga penggunaan tayar yang besar dengan roda berdiameter antara 17- dan 19-inci. Selain itu, peredam pasif diberikan secara standard, dengan empat-sambungan gandar hadapan yang turut menampilkan steering knuckles yang besar.

    Untuk kabinnya, All-Terrain didatangkan dengan ciri standard termasuk dalaman Avantgarde, disambungkan dengan roda stereng kemasan perak disekelilingnya dan tempat duduk sport dengan pilihan sama ada upholstery hitam, macchiato beige dan siena brown. Keunikan All-Terrain didatangkan dengan skrin khas untuk off-road yang diletakkan pada paparan digital 10.25-inci freestanding dan juga pilihan 12.3-inci, yang menunjukkan kecenderungan kenderaan, sudut stereng, koordinat dan kompas.

    Ia turut dilengkapi dengan pelbagai ciri yang menampakkan kemewahan termasuklah lampu utama Digital Light dengan guide line dan warning projection, Mercedes-Benz User Experience (MBUX), skrin sesentuh tengah 11.9-inci dan juga Driving Assistance Package yang dinaiktaraf.

    Mercedes-Benz C-Class All-Terrain 2022 didedah – wagon X206 rupa SUV, tinggi kendalian lebih 40mm

    All-Terrain akan ditawarkan dengan satu varian petrol dan diesel. C 300 akan menggunakan unit baharu M254 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan hamburan 258 PS dan tork 400 Nm. Walau bagaimana pun, enjin untuk varian diesel tidak dimaklumkan perinciannya, tetapi kalau ikut C-Class biasa, ia digandingkan dengan enjin OM654 2.0 liter dengan kuasa 163/380 NM untuk C 200 d, manakala C 220 d pula dengan 200 PS/440 Nm serta C 300 d dengan 265 PS/550 Nm.

    Kesemua model juga akan didatangkan dengan sistem mild hybrid 48-voltan dengan kuasa tambahan 20 PS/200 Nm, kotak gear automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan dan pacuan semua-roda 4Matic. Spesifik untuk All-Terrain diberikan dua mod pemanduan tambahan untuk sistem Dynamic SelectOffroad untuk pemanduan di jalan yang bertanah, berpasir dan berkerikil serta Offroad+ pula untuk kawalan turun bukit.

     
     
  • Harga minyak 19-25 Ogos – semua masih kekal

    Harga minyak 19-25 Ogos – semua masih kekal

    Bagi minggu bertarikh 19 hingga 25 Ogos 2021, semua harga bahan api utama di negara ini masih dikekalkan. Ini melibatkan tiga minggu berturut-turut, tiada perubahan bagi harga siling ketiga-tiga bahan api berkenaan.

    Ini termasuklah petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga RM2.74 seliter. Malahan untuk minggu yang sama, harga siling untuk petrol RON 95 yang masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Harganya tidak berubah sejak Februari yang lalu.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang masih kekal pada RM2.15 seliter, manakala gred Euro 5 B7 juga dikekalkan pada paras RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan, 25 Ogos 2021.

     
     
  • Perodua Ativa sumpahan Toyota Raize Modellista!

    Perodua Ativa sumpahan Toyota Raize Modellista!

    Ramai antara kita mungkin tertunggu-tunggu Perodua melancarkan Ativa pada Mac lalu kerana ia adalah alternatif lebih murah dari Proton X50 untuk sebuah SUV segmen-B yang benar-benar moden. Namun untuk ‘kaki-kaki’ ubahsuai Perodua, kehadiran Ativa ini sudah tentu memberikan satu ‘rahmat’ berbeza buat mereka.

    Ini kerana berberapa tahun kebelakangan ini Perodua sudah tidak lagi menghasilkan model berasaskan kembar Daihatsu dan Toyota di Jepun, sebaliknya mereka kini aktif membangunkan model tersendiri seperti Myvi generasi ketiga dan Bezza, serta hadir dengan model khas untuk pasaran Asia Tenggara seperti Axia.

    Ativa pula boleh dikatakan dihasilkan sebagai model global, menggunakan asas platform modular Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan mempunyai kembar seiras untuk pasaran domestik Jepun (JDM) iaitu Daihatsu Rocky dan juga Toyota Raize.

    Jadi boleh dijangka, memang akan ada Ativa yang akan ‘disumpah’ untuk menjadi Rocky atau Raize dalam masa terdekat selepas ia dilancarkan sama macam model-model Perodua berasaskan kembar JDM sebelum ini seperti Kancil, Kenari, Kelisa serta Myvi generasi pertama dan kedua.

    Perodua Ativa sumpahan Toyota Raize Modellista!

    Ativa varian tertinggi AV berwarna merah yang ditransformasikan kepada Toyota Raize seperti anda lihat ini adalah kereta kepunyaan Iman dari Klang, Selangor. Apa yang menarik untuk Ativa berbanding model-model ‘Perodua JDM’ sebelum ini adalah ia dilancarkan dalam masa yang hampir sama dengan kembarnya di Jepun, menerima kelengkapan yang sama canggih malah aksesori JDM aslinya boleh dibeli baru dari Jepun tanpa perlu menunggu aksesori terpakai di kedai halfcut.

    Dengan kelebihan ini, Iman telah menyarung bodypart lengkap luaran Toyota Raize kepada Ativa miliknya ini, dan ia bukan sekadar bodypart standard, tetapi kit asli Raize Modellista yang lengkap dan diterima dalam keadaan baru dari Jepun! Walau bagaimanapun, skirt sisi Modellista berkenaan masih belum boleh dipadankan pada Ativa ini kerana ia perlu ditukar sekali dengan fender hadapan Raize, yang turut telah ditempah oleh Iman.

    Seperti yang diberitahu tadi, Ativa sememangnya menerima spesifikasi yang hampir sama Rocky dan Raize, jadi pemilik yang mahu meng’JDM’kan kereta mereka kini tidak perlu lagi untuk menyalin enjin Jepun, kerana Ativa sudah pun diberikan enjin 1KR-VET 1.0 liter tiga-silinder turbo yang sama seperti kembarnya.

    Perodua Ativa sumpahan Toyota Raize Modellista!

    Namun Iman tidak membiarkan enjin tersebut dalam keadaan standard. Intercooler asal sudah tidak lagi digunakan, sebaliknya digantikan dengan intercooler Sard yang lebih besar, dan Iman tidak segan silu untuk memotong bampar asli dan Modellista berkenaan untuk memuatkan intercooler tersebut.

    Iman turut memadankan injap blow-off HKS SQV, manakala sistem ekzos disentuh semula menerusi pemadanan muffler dari Kakimoto Racing bagi menggantikan tabung asal Ativa.

    Brek Ativa ini juga menerima tingkat taraf yang agak ekstensif. Iman memilih untuk memadankan sistem brek gergasi AP Racing dengan enam omboh di hadapan, dan brek dram asal belakang juga menerima kit brek cakera AP Racing dengan angkup empat omboh. Manakala satu lagi angkup brek kecil yang anda lihat pada sistem brek belakang Ativa ini adalah khas hanya untuk brek parkir, yang disambungkan terus dengan kabel kepada tuil brek tangan asal.

    Set brek AP Racing berkenaan sebenarnya diambil dari kit yang dihasilkan untuk untuk Toyota Vellfire AGH30, dan sebab itulah sistem brek parkir manual tidak boleh dipadankan terus serta knuckle asal dengan empat nat tayar telah berubah kepada lima. Jadi Iman turut meningkat taraf rim asal Ativa ini kepada rim aloi Volks Racing TE37 18-inci. Ini bukan rim replika dari Thailand ya, tapi rim asli dari Jepun dan dibalut dengan tayar Pirelli Cinturato.

    Badan Ativa ini juga kelihatan lebih rendah dari standard kerana ia telah menerima set lengkap penyerap hentak boleh laras sepenuhnya Blitz Damper ZZ-R yang dihasilkan khas untuk Daihatsu Rocky dan Toyota Raize JDM.

    Ativa juga secara standard telah diberikan dengan papan pemuka dan panel meter digital yang seiras dengan Raize. Jadi untuk bahagian dalaman, Iman hanya menggantikan kesemua tempat duduk Ativa dan juga karpet kaki dengan komponen asli dari Raize. Iman turut sedang menunggu berberapa komponen lain dari Jepun seperti roda stereng Raize dengan logo Toyota di tengah serta kemasan-kemasan dalaman Modellista bagi melengkapkan transformasi ini.

    Selain itu, Iman turut telah memadankan set lengkap meter tambahan Defi Advance A1 yang diletakkan di tengah papan pemuka, memberikan bacaan suhu cecair penyejuk enjin, boost turbo, suhu minyak pelincir dan juga tekanan minyak pelincir.

    Sistem audio Ativa ini juga menerima tingkat taraf dengan kesemua pembesar suaranya telah ditukar kepada sistem dari Carrozeria. Menurut Iman, skrin utama Ativa ini masih lagi standard kerana Carrozeria masih belum melancarkan pemain utama yang dihasilkan untuk Rocky dan Raize di Jepun.

    Gambar-gambar yang kami paparkan ini merupakan set yang kami terima dari Iman. InsyaAllah setelah projek ini lengkap sepenuhnya, dan keadaan semasa kembali pulih untuk kami bergerak merentas sempadan, kami akan aturkan sesi penggambaran lengkap untuk Ativa Iman ini, serta memberikan perincian lebih lengkap kepada anda.

    GALERI: Toyota Raize JDM lengkap dengan kit Modellista

     
     
  • Dana GO+ Touch ‘n Go eDompet kini patuh Shariah

    Dana GO+ Touch ‘n Go eDompet kini patuh Shariah

    Kumpulan Touch ‘n Go dan Principal Asset Management hari ini mengumumkan bahawa e-Cash Fund, dana yang digunakan untuk produk Touch ‘n Go Go+, kini patuh Shariah. Ini menjadikan dana GO+ sebagai produk eDompet patuh Shariah pertama di Malaysia.

    Selain itu, GO+ masih kekal sebagai produk yang sama seperti dilancarkan Mac lalu. Melalui dana ini, pelanggan TnG eDompet boleh memanfaatkan pelaburan pasaran wang berisiko rendah dengan serendah RM10 dan mendapat pulangan dalam kadar yang sama dalam sehari, dan boleh menggunakan dana itu untuk transaksi eDompet.

    “Ketika pertama kali melancarkan GO+, ada permintaan daripada pengguna agar dana yang digunakan itu patuh Shariah. Kami mendengar cadangan mereka. Kini, kami mempunyai sebuah produk yang lebih merangkum berbanding sebelumnya, dan selari dengan matlamat kami untuk membawakan perkhidmatan kewangan asas kepada semua,” ujar CEO Kumpulan Touch n Go, Effendy Shahul Hamid.

    GO+ adalah langkah pertama TnG ke arah perkhidmatan kewangan digital, yang didasarkan kepada Principal e-Cash Fund, sebuah dana pasaran wang diuruskan oleh Principal. Kerjasama itu mempertemukan kepakaran TnG eDompet dalam teknologi dan eko-sistem bersama kepakaran Principal dalam strategi pelaburan dan pengurusan dana.

    “Kami memberi tumpuan untuk menawarkan penyelesaian pelaburan yang inklusif agar sekuriti kewangan boleh diakses oleh semua. Sebagai pelopor kewangan, mengenal pasti coran dan memenuhi keperluan pelanggan untuk penyelesaian patuh Sharian telah membolehkan perniagaan Islamik kami terus tumbuh menjadi lebih kuat,” jelas CEO Principal Asset Management, Munirah Khairuddin.

    Setakat ini, GO+ mempunyai lebih daripada 1.2 juta pengguna. Produk kewangan ini tersedia kepada pengguna Touch n Go eDompet warga negara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.

     
     
  • Pembukaan semula operasi sekolah memandu — JPJ ajukan kepada kementerian untuk tindakan segera

    Pembukaan semula operasi sekolah memandu — JPJ ajukan kepada kementerian untuk tindakan segera

    Selepas beberapa sektor kini dibenarkan dibuka semula minggu ini, termasuk pusat cuci kenderaan, pengusaha sekolah memandu bagaimanapun masih tertunggu-tunggu keputusan yang sama untuk membolehkan mereka kembali menyambung operasi.

    Ini menyebabkan mereka yang ingin mendapatkan lesen memandu masih tertanya-tanya bila penantian itu dapat ditamatkan, lapor Utusan Malaysia. Dilaporkan baru-baru ini, penutupan penuh sekolah memandu sejak 1 Jun lalu telah memberi kesan kepada setengah juta individu di negara ini, dengan 80% daripadanya merupakan lepasan SPM dan remaja yang ingin mendapatkan lesen untuk membolehkan mereka bekerja.

    Sedar tentang masalah itu, JPJ memaklumkan akan membawa perkara berkenaan untuk dibincangkan oleh Kementerian Pengangkutan untuk diambil tindakan lanjut. Menjawab pertanyaan media berkaitan hal itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim menjelaskan agensi berkenaan sedang membantu untuk menyelesaikan masalah itu, dan akan memberikan cadangannya kepada kementerian.

    Beliau berkata keputusan untuk membenarkan pembukaan semula sekolah memandu tidak berada di bawah kuasa JPJ, yang hanya menjalankan penguatkuasaan dan pematuhan berdasarkan akta pengangkutan jalan dan undang-undang berkaitan, tetapi jabatan itu akan membawa perkara berkenaan kepada kementerian.

    “Untuk saya, memang sekolah memandu selayaknya juga dibuka. Tetapi, JPJ hanyalah agensi pelaksana, dan keputusan untuk membenarkan operasi semua adalah kuasa kementerian dan kerajaan. Saya akan membawakan perkara ini kepada kementerian untuk mencari jalan penyelesaian terbaik, dalam masa terdekat,” ujarnya.

    Sama seperti perniagaan lain, sekolah memandu telah berdepan dengan pelbagai cabaran akibat pandemik ini. Awal tahun ini, ia ditutup apabila PKP 2.0 dikenakan sejak 13 Januari, tetapi dibenarkan dibuka semula bermula 12 Februari.

     
     
  • Triumph siar teaser Speed Triple RR dengan fairing

    Triumph siar teaser Speed Triple RR dengan fairing

    Pengeluar motosikal dari United Kingdom, Triumph Motorcycles telah menyiarkan teaser sebuah model baru yang dinamakan sebagai Speed Triple RR. Bersama teaser ini, ia dikatakan cuma sebagai sebuah rekaan prototaip, dan kita masih tidak mengetahui sama ada model produksi sebenar akan dikeluarkan ataupun tidak.

    Bagi yang mengenali jenama ini, Speed Triple adalah model naked yang telah melalui beberapa generasi dan ia menggunakan enjin tiga silinder lebih besar berbanding ‘adiknya’, Street Triple. Dalam barisan model yang ditawarkan sekarang, Speed Triple dipacu enjin 1,160 cc yang boleh menghasilkan kuasa sehingga 177.5 hp dan 125 Nm tork.

    Walaubagaimanapun, Speed Triple RR yang ditunjukkan di dalam teaser ini mempunyai fairing hadapan (setakat yang boleh dilihat adalah pada bahagian atas sahaja), menjadikan ia kelihatan lebih kepada sebuah Daytona, iaitu model sports Triumph yang mempunyai fairing penuh. Daytona paling besar pernah dikeluarkan oleh Triumph adalah Daytona 955i yang berada dalam pasaran hingga tahun 2006.

    Triumph mungkin mempunyai alasan sendiri kenapa tidak menggunakan nama Daytona pada model prototaip yang ditunjukkan dalam teaser ini, dan kita cuma akan mengetahuinya apabila ia ditunjukkan secara penuh, mungkin tidak lama lagi. Anda ada sebab yang boleh difikirkan? Mungkin fairing yang digunakan hanya pada bahagian atas dan bawah masih terdedah?

    Daripada pemerhatian kami, bahagian pemegang model yang ditunjukkan dalam teaser ini sedikit rendah berbanding Speed Triple, tetapi tidak terlalu rendah seperti kebiasaan pada model Daytona yang memberi keutamaan kepada tunggangan sporty. Bentuk fairing pula lebih ke arah moden, bukan seperti cafe racer, dan seperti sudah siap untuk produksi kerana datang dengan lampu serta cermin sisi.

     
     
  • Proton Iriz 2022 vs Perodua Myvi — kami bandingkan kos selenggara untuk tempoh lima tahun/100,000 km

    Proton Iriz 2022 vs Perodua Myvi — kami bandingkan kos selenggara untuk tempoh lima tahun/100,000 km

    Sebelum ini kami telah tunjukkan perbezaan kos selenggara Proton Iriz 2022 facelift berbanding model tahun 2019, yang menyaksikan ada pertambahan kos. Untuk pemilikan dalam tempoh lima tahun atau 100,000 km, ia kini menelan kos selenggara sebanyak RM3,583.17 jika mengikut jadual servis oleh Proton — ini melibatkan perningkatan kos sebanyak RM531.37 berbanding sebelum ini.

    Jadi, bagaimana pula jumlah kos keseluruhan baru ni jika dibandingkan dengan model segmen B paling popular di Malaysia, Perodua Myvi? Untuk itu, kami dapatkan data daripada jadual servis rasmi Myvi dan susunkan semua ada untuk anda lihat perbezaannya.

    Sebelum itu, perlu juga dinyatakan bahawa Iriz 2019 adalah sedikit lebih murah untuk diselenggara berbanding Myvi, dengan kos RM3,051.80 berbanding RM3,163.31 bagi tempoh lima tahun. Dengan model terbaru ini pula, ini bukan lagi ceritanya — beza kos antara keduanya adalah RM419.86.

    Proton Iriz 2022 vs Perodua Myvi — kami bandingkan kos selenggara untuk tempoh lima tahun/100,000 km

    Seperti yang kami perhatikan sebelum ini, sebab utama peningkatan kos selenggara Iriz adalah disebabkan penukaran lebih kerap bagi penapis udara K95 untuk kabin dan coolant radiator, serta termasuk sekali caj buruhnya. Hal-hal lain kekal sama seperti sebelum ini.

    Myvi tidak dilengkapi dengan penapis N95 untuk kabinnya, dan ia menggunakan penapis kabin biasa yang hanya perlu ditukar tiga kali bagi tempoh lima tahun. Malah, Myvi juga hanya perlu menukar coolant radiatornya dua kali sahaja berbanding tiga kali yang diperlukan Iriz. Kurang kekerapan barangan perlu diservis ini telah menyumbang kepada kurangnya kos selenggara, begitu juga dengan harga alat ganti yang lebih murah.

    Sebaliknya, Myvi memerlukan minyak enjin sintetik penuh dan palam pencucuh iridium untuk enjinnya, kedua-dua barangan ini lebih tinggi kosnya bagi tempoh lima tahun berbanding pada Iriz. Transmisi automatik empat-kelajuan Myvi juga memerlukan penukaran minyak yang lebih kerap berbanding CVT Iriz, yang hanya perlu ditukar sekali pada 60,000 km.

    Proton Iriz 2022 vs Perodua Myvi — kami bandingkan kos selenggara untuk tempoh lima tahun/100,000 km

    Perlu juga dinyatakan bahawa beberapa barangan untuk servis ini seperti penapis udara enjin ditukar tidak terlalu kerap pada Myvi; Perodua mencadangkan gantian dibuat hanya bagi setiap 20,000 km di bawah program pilihan Pro Care syarikat itu.

    Senarai barangan servis lain yang tersenarai dalam Pro Care termasuklah penukaran minyak brek, servis tayar (jajaran, imbangan dan rotasi tayar), tukar palam pencucuh, dan servis major untuk pendingin hawa. Jika anda mengambil kira semua yang ada dalam pilihan Pro Care selain daripada servis berjadual standardnya, maka jumlah akhir akan jadi lebih tinggi.

    Seperti selalu, kos pemilikan keseluruhan akan jadi lebih daripada apa yang anda bayar di pusat servis. Anda juga perlu mengambil kira penggunaan bahan api yang boleh jadi sangat berbeza mengikut cara pemanduan, serta bahagian lain seperti tayar.

    Klik untuk besarkan

    Kos tayar pula kini mungkin akan lebih tinggi bagi Iriz, memandangkan saiz rim yang digunakan kini lebih besar, 16-inci berbanding 15-inci sebelum ini bagi varian Excecutive dan Premium, sementara Myvi masih menggunakan rim 15-inci. Lain-lain peralatan yang boleh haus dan kurang berkesan mengikut masa tentunya seperti pad brek, penyerap hentak dan bateri juga perlu dimasukkan dalam kos keseluruhan.

    Jadi, inilah dia. Myvi lebih murah untuk diselenggara bagi tempoh lima tahun berbanding Iriz, tetapi perlu juga diingatkan jika dibahagikan perbezaan kos itu kepada lima tahun, perbezaan antara keduanya hanyalah melibatkan RM84 lebih mahal untuk Iriz bagi setahun.

     
     
  • Nissan Z 2023 didedahkan – 3.0L V6, 400 hp dan 475 Nm, 6-kelajuan manual, rupa sama dengan Z Proto!

    Nissan Z 2023 didedahkan – 3.0L V6, 400 hp dan 475 Nm, 6-kelajuan manual, rupa sama dengan Z Proto!

    Selepas hampir setahun didedahkan sebagai model prototaip yang digelar Z Proto, Nissan hari ini memperkenalkan secara rasmi kereta sport Z generasi ke-tujuh – kali ini tiada lagi angka diberikan pada nama kereta sport tersebut di mana di pasaran Amerika Syarikat ia dikenali sebagai Nissan Z 2023, manakala di Jepun ia diberi nama sebagai Nissan Fairlady Z 2023.

    Pendedahan globalnya yang dibuat di AS hari ini menyaksikan penampilan istimewa adik kepada bintang Fast and Furious, mendiang Paul Walker iaitu Cody Walker. Nissan Z akan mula dijual di pasaran berkenaan bermula pada musim bunga 2022 dengan tiga varian iaitu Sport, Performance dan juga model edisi terhad Proto Spec. Manakala di Jepun, ia akan tiba di bilik pameran pada musim sejuk 2022 nanti.

    Z generasi baharu ini menerima enjin yang sama seperti Infiniti Q50/Nissan Skyline V37 JDM iaitu enjin VR30DDTT 3.0 liter V6 dengan pengecas turbo berkembar, menghasilkan 400 hp dan tork maksima 475 Nm. Berbanding enjin VQ37VHR 3.7 liter V6 tanpa pengecas turbo pada Nissan 370Z Z34 sebelum ini, enjin pada Z 2023 tersebut menghasilkan kuasa 64 hp lebih besar dan tork 30% lebih kuat.

    Ia didatangkan standard dengan kotak gear enam-kelajuan manual dan menampilkan opsyen transmisi sembilan-kelajuan automatik. Seperti enam generasi Z sebelum ini, kuasa dari enjin dialirkan sepenuhnya hanya ke roda belakang, dengan model Performance menerima LSD jenis mekanikal pada gandar belakang.

    Nissan Z 2023 didedahkan – 3.0L V6, 400 hp dan 475 Nm, 6-kelajuan manual, rupa sama dengan Z Proto!

    Model dengan transmisi manual diberikan sekali sistem Launch Control (hanya untuk model Performance), Downshift Rec Matching (heel and toe automatik) serta aci pacu dari kotak gear ke gandar belakang yang diperbuat dari komposit gentian karbon.

    Manakala bagi versi automatik pula ia menerima pedal penukar gear, sistem Launch Control untuk kesemua model, serta dua mod pemanduan iaitu Standard dan Sport. Mod Standard dihasilkan untuk pemanduan seharian dan jarak jauh yang selesa.

    Manakala mod Sport pula akan melepaskan kesemua kuasanya bagi memberikan pecutan lebih pantas, rasa stereng lebih sporty, bunyi aktif palsu lebih mengujakan serta sistem kawalan dinamik yang ditala lebih sesuai untuk pemanduan jalan berliku.

    Menurut Nissan, walaupun Z 2023 ini kembali menggunakan pengecas turbo seperti 300ZX Z32 dan menghasilkan kuasa yang lebih besar, talaan yang dibuat pada casis, sistem penyejukan, suspensi dan stereng oleh pasukan jurutera mereka memastikan ia masih memberikan “rasa yang sama” pada model-model sebelum ini.

    Nissan Z 2023 didedahkan – 3.0L V6, 400 hp dan 475 Nm, 6-kelajuan manual, rupa sama dengan Z Proto!

    Kerangka badan model generasi baharu ini dikeraskan lagi, talaan untuk kelajuan tinggi dan selekoh dibuat dalam tempoh yang lama, sistem stereng bantuan kuasa elektrik ditala bagi memberikan rasa mekanikal yang kuat, serta tayar hadapan yang lebih lebar membolehkan prestasi di selekoh meningkat 13% dari sebelum ini.

    Nissan Z 2023 juga diberikan suspensi hadapan jenis double wishbone aluminium dengan geometri baharu, menampilkan sudut caster lebih besar bagi memberikan kestabilan jalan lurus lebih baik.

    Ia juga menerima penyerap hentak monotube baharu untuk hadapan dan belakang yang menampilkan diameter lebih besar dari 370Z, memberikan daya serapan 20% lebih baik bagi membantu meminimakan impak ketika melalui jalan yang tidak rata, mempertingkatkan prestasi mengikut jalan serta kestabilan pengendalian.

    Seperti yang terdedah sebelum ini, model produksi sebenar Nissan Z 2023 menampilkan yang hampir 100% sama dengan prototaip Z Proto yang membuat kemunculannya pada September tahun lalu, iaitu rupa retro yang diinspirasikan dari model Z generasi pertama S30 Nissan Fairlady 240Z/Datsun 240Z 1969, yang disifatkan sebagai “tradisi dan teknologi moden.”

    Nissan Z 2023 didedahkan – 3.0L V6, 400 hp dan 475 Nm, 6-kelajuan manual, rupa sama dengan Z Proto!

    Ia diberikan bonet hadapan yang panjang bersama bonjol tengah berbentuk-V, dan juga dua lagi bonjol sisi yang masing-masing berhubung terus dengan lampu hadapan. Nissan turut memberikan perincian yang diinspirasikan dari model ‘homologation special’ 240ZG iaitu pada lampu utama dan lampu nyalaan siang LED hadapan yang kelihatan seperti lampu bulat yang diberikan pelindung lutsinar dan juga spoiler ekor itik di but belakang (hanya untuk model Performance).

    Menurut Nissan, spoiler berkenaan menghasilkan tekanan positif pada titik di mana pintu hatch dan spoiler bertemu, bagi mengelakkan bahagian berkenaan terangkat.

    Sekali tengok, bampar hadapan Z Proto ini kelihatan seperti bampar model generasi Z33 350Z, tapi jika anda lihat dengan lebih teliti, ia sebenarnya masih diinspirasikan dari 240Z yang menggunakan spoiler hadapan tambahan seperti watak anime/manga Wangan Midnight, ‘Devil-Z’. Nissan mendakwa bahawa spoiler hadapan tersebut dihasilkan menerusi pengetahuan mereka ketika membangunkan GT-R R35 bagi menggunakan zon tekanan negatif.

    Pada bahagian sisi, garis badan Nissan Z ini tidak boleh dinafikan bahawa ia sama seperti 240Z. Ia tampil dengan bumbung yang curam kebelakang dan juga tingkap cermin sisi belakang yang bersaiz kecil bersama logo ‘Z’ di sebelah. Untuk menambah imej retro model ini, ia turut diberikan satu jalur kemasan krom sepanjang atas tingkap terus ke sisi pintu hatch.

    Nissan Z 2023 didedahkan – 3.0L V6, 400 hp dan 475 Nm, 6-kelajuan manual, rupa sama dengan Z Proto!

    Di belakang, Nissan menyatakan lampu dan juga keselurhan panel berwarna hitam pada bahagian tersebut dan juga lampu LED 3D adalah diinspirasikan model generasi keempat Z32 300ZX. Namun ia tidak kelihatan janggal kerana 240Z juga menampilkan lampu belakang dengan elemen rekaan dua bar melintang.

    Bampar belakang Nissan Z 2023 ini menerima kemasan diffuser gentian karbon yang besar dan turut menempatkan dua tip ekzos. Apa yang berbeza dengan model prototaip tahun lalu, versi produksi ini menampilkan reflektor berwarna merah pada bahagian sisi bampar belakang serta lencana Z diletakkan berhampiran lampu belakang sebelah kanan.

    Nissan Z generasi baharu ini ditawarkan dalam tiga warna badan satu tona, dan enam warna badan dua-tona (bumbung berwarna Super Black) termasuk dua warna badan baharu iaitu Seiran Blue dan Ikazuchi Yellow. Bagi model Sport, ia diberikan rim 18-inci dengan lebar 9J bersama tayar 245/45R18. Manakala model Performance dan Proto Spec pula, ia menerima rim aloi forger dari Rays Engineering 19-inci dengan lebar 9.5J dan tayar 255/40R19 di hadapan, dan rim lebar 10J bersama tayar 275/35R19 di belakang.

    Kabin Nissan Z 2023 ini juga terus diinspirasikan dari rekaan kabin 240Z, malah turut menerima input dari lagenda sukan permotoran professional – salah seorangnya adalah pemandu Super GT500 Nissan, Tsugio Matsuda bagi memastikan ia dihasilkan sebagai kabin yang ideal dalam pelbagai situasi pemanduan.

    Nissan Z 2023 didedahkan – 3.0L V6, 400 hp dan 475 Nm, 6-kelajuan manual, rupa sama dengan Z Proto!

    Anda boleh lihat dengan jelas rekaan ikonik roda stereng tiga jejari ‘deep dish’ dan juga ‘meter tiga-beradik’ analog pada bahagian atas tengah papan pemukan sama seperti S30Z diterapkan pada Nissan Z 2023 ini. Namun rekaan tersebut diubah sedikit di mana meter berkenaan memberikan bacaan boost turbo, putaran turbin dan volt dan ia lebih dihalakan kepada pemandu.

    Ia juga diadun bersama teknologi moden dengan kelengkapan seperti panel instrumen digital sepenuhnya dengan skrin TFT bersaiz 12.3-inci, menampilkan takometer besar di tengah yang memberikan bacaan redline pada kedudukan pukul 12, memudahkan pemandu melihat shift point untuk menukar gear.

    Selain itu, Nissan Z 2023 ini turut diberikan skrin sesentuh untuk sistem infotainmen bersaiz 8-inci yang diletakkan secara serong, bersama suis-suis kawalan sistem pendingin hawa yang berdekatan dengan tombol gear bagi memudahkan pemandu.

    Tidak seperti kereta sport moden lain yang diberikan brek parkir elektronik, Z masih menerima tuil brek tangan manual, yang sudah tentu diperlukan untuk pemanduan lebih sporty seperti melakukan hand brake turn atau memulakan drift. Tema warna untuk bahagian kabin ini juga tampil dengan pilihan retro iaitu Graphite, merah dan biru.

    Nissan turut mendakwa bahawa tempat duduk untuk Z 2023 ini juga dihasilkan dari pengetahuan mereka ketika membina GT-R R35. Tempat duduk tersebut menerima penggunaan material sued yang lebih banyak pada perehat badan bagi menyerap getaran lateral awal pada badan, untuk memberikan pemanduan lebih selesa serta mengurangkan pergerakan badan ketika kereta dipandu agresif di selekoh.

    Bagi model Proto Spec, ia hanya dihasilkan sebanyak 240 unit. Ia diasaskan dari model Performance, dan seperti namanya, model ini diberikan perincian yang memberikan ia rupa seakan model prototaip Z Proto. Perincian berkenaan termasuk angkup brek berwarna kuning dengan logo Z, rim kemasan gangsa, serta bahagian dalaman dengan upholsteri dan serlahan-serlahan berwarna kuning.


     
     
  • Ola Electric keluaran India sudah boleh ditempah – harga dari RM4.6k, banyak kelengkapan berteknologi

    Ola Electric keluaran India sudah boleh ditempah – harga dari RM4.6k, banyak kelengkapan berteknologi

    Ola Electric S1 dan S1 Pro yang anda lihat ini mungkin adalah skuter elektrik paling berteknologi tinggi yang berada di pasaran sekarang. Meskipun rupanya ada persamaan dengan skuter elektrik lain, kelengkapan yang diberi bukan sahaja menggunakan teknologi yang biasanya ada pada motosikal, tetapi juga kereta.

    Produk keluaran syarikat dari India ini akan ditawarkan dalam dua versi iaitu Ola S1 dan Ola S1 Pro. Harga sebenarnya masih belum didedahkan tetapi ia diberitahu bermula dari 79,999 rupee (RM4,562). Tempahan untuk dua model ini sudah dibuka melalui laman web rasmi syarikat, dengan bayaran awal 499 rupee sementara penghantaran kepada pelanggan dikatakan bermula pada bulan Oktober.

    Ola S1 menggunakan motor elektrik 8.5 kW yang dibangunkan sendiri oleh Ola, dan mampu memberikan tork maksimum 58 Nm. Spesifikasi terperinci baterinya tidak diberitahu tetapi Ola S1 dikatakan mampu memberikan jarak gerak 121 km dengan sekali cas penuh dan laju maksimum 90 km/j, sementara S1 Pro pula boleh mencapai 181 km dan 115 km/j.

    Di hadapan penunggang, terdapat skrin sesentuh tujuh inci yang dikuasakan oleh pemproses 1.8 GHz Quadcore dengan RAM 3 Gb, sambungan Bluetooth serta GPS binaan dalam. Selain kawalan sentuh, penunggang juga boleh menggunakan arahan suara untuk mengawal sistem ini kerana ia dilengkapi dengan mikrofon serta pembesar suara.

    Sudah tentu, dengan adanya sambungan Bluetooth, pelbagai lagi fungsi dapat digunakan apabila ia disambungkan kepada telefon pintar, seperti paparan informasi penting termasuk tahap bateri dan jarak, lokasi sebenar, memainkan muzik, memaparkan mesej serta membuat panggilan. Malah, untuk memulakan enjin juga, pemilik cuma perlu menyentuh skrin dan membawa telefon bimbit dekat kepada motosikal.

    Kelengkapan serta fungsi yang dinyatakan tadi mungkin nampak biasa, tetapi Ola S1 ada beberapa lagi keistimewaan. Seperti motosikal mewah atau berkuasa tinggi, ia dilengkapi dengan cruise control (Ola S1 Pro) Hill Hold Control, gear undur serta sistem amaran apabila motosikal keluar daripada jarak keliling yang telah ditetapkan oleh pemilik.

     
     
  • Puspakom Glenmarie, Teluk Kumbar dibuka semula, perkhidmatan trak, van mobiliti kembali beroperasi

    Puspakom Glenmarie, Teluk Kumbar dibuka semula, perkhidmatan trak, van mobiliti kembali beroperasi

    Kini kilang pemasangan kenderaan dan juga bilik pameran telah boleh beroperasi semula, sekaligus aktiviti membeli dan menjual kenderaan kembali berjalan selepas beberapa bulan ia tertangguh disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Selain itu, perkhidmatan Puspakom turut ditagih, jadi cawangan yang ditutup sementara untuk kerja-kerja disinfeksi dan sanitasi telah pun kembali beroperasi.

    Dalam masa yang sama Puspakom telah mengumumkan trak dan van mobiliti bagi unit pemeriksaan di sekitar Johor juga telah kembali beroperasi. Bagi menempah perkhidmatan tersebut untuk ke lokasi anda, bolehlah menghubungi talian 07-3530789.

    Selain itu, cawangan Glenmarie di Selangor dan Teluk Kumbar di Pulau Pinang juga telah kembali beroperasi sejak kelmarin. Sebelum ini, Puspakom Glenmarie telah ditutup sejak 30 Julai lalu, manakala cawangan Teluk Kumbar pula, ditutup sejak 12 Ogos. Waktu operasi bagi cawangan yang telah dibuka semula itu ialah dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

    Seperti biasa, jika anda ingin mendapatkan perkhidmatan di Puspakom, hendaklah membuat tempahan slot temujanji secara dalam talian dan pilih cawangan mana yang dipilih. Malahan baru-baru ini juga Puspakom tidak lagi membenarkan daftar masuk (check-in) secara manual (tulis dalam buku log), dan hanya pelanggan yang menunjukkan status rendah risiko (low risk) menerusi aplikasi MySejahtera sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam premis.

    Turut dimaklumkan, Puspakom Langkawi telah ditutup sejak kelmarin untuk kerja-kerja disinfeksi dan sanitasi, sehingga ke tarikh yang bakal diberitahu kelak. Semua pembayaran yang telah dibuat untuk temujanji berjadual sepanjang penutupan akan dipulangkan secara automatik. Anda boleh membuat temujanji bahari apabila cawangan terbabit dibuka semula kelak. Jika anda menerima mesej peringatan MyPuspakom, sila abaikan.

     
     
  • CEO Sepang beri kenyataan tentang kehilangan tajaan daripada Petronas, rancangan masa hadapan

    CEO Sepang beri kenyataan tentang kehilangan tajaan daripada Petronas, rancangan masa hadapan

    Dalam satu sidang akhbar bersama wakil media Malaysia, ketua pegawai eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Azhan Shafriman Hanif telah menekankan bahawa usaha untuk membangunkan bakat lumba motosikal dalam negara dari akar umbi masih lagi berjalan dan akan diteruskan. Apabila tajaan Petronas sudah berakhir, SIC tidak akan terlibat lagi dengan Sepang Racing Team (SRT) dan kedua-duanya akan diletakkan sebagai entiti yang berbeza.

    “Ya, SRT, atau apa pun ia tahun depan, akan diletakkan di bawah Datuk Razlan Razali dan akan bersaing dalam MotoGP, manakala pasukan Moto2 dan Moto3 akan dibubarkan. Berkenaan apa perancangan beliau, saya biarkan pada beliau dan pasukan untuk menerangkan sendiri pada masa yang sesuai,” kata Shafriman.

    Petronas telah menamatkan kontrak tajaan mereka bersama SIC dalam pasukan MotoGP tahun ini, dan pihak pengurusan litar sekarang menjemput mana-mana pihak, besar atau kecil untuk menjadi penaja sama ada untuk sukan permotoran ataupun acara lain di litar.

    CEO Sepang beri kenyataan tentang kehilangan tajaan daripada Petronas, rancangan masa hadapan

    “Kami terbuka untuk sebarang penajaan tetapi sudah tentu, dengan keadaan industri (sukan permotoran) yang sedang sukar sekarang dan bajet dikurangkan, kami boleh faham. Kami juga terbuka untuk meneroka jalan lain bagi tajaan bukan tradisional untuk pembangunan pembangunan sukan permotoran di Malaysia, tambah Shafriman.

    Petronas, melalui cabang produk pelincir Petronas Lubricants dan jenama Sprinta sebelum ini mempunyai kontrak selama lima tahun untuk tajaan pasukan lumba. Tujuan kontrak ini adalah untuk membawa pelincir Petronas lebih ke hadapan di persada global dan sumber kami mengatakan MotoGP dianggap sebagai satu platform yang ideal.

    “Seperti yang dinyatakan dalam siaran akhbar oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sasaran untuk kontrak ini berjaya dicapai,” kata Shafriman, “tetapi nanti masih akan ada peluang untuk SIC bekerjasama dengan Petronas di masa hadapan.” Apabila ditanya sama ada ini akan melibatkan hanya satu acara atau perlumbaan, Shafriman menjawab, “peluang untuk bekerjasama dengan Petronas dan penaja lain sentiasa ada.”

    CEO Sepang beri kenyataan tentang kehilangan tajaan daripada Petronas, rancangan masa hadapan

    Untuk baki perlumbaan tahun 2021 ini, SIC mempunyai empat pelumba yang bersaing dalam kejuaraan FIM CEV iaitu Hakim Danish dan Sharul Ezwan dalam European Talent Cup, Syarifuddin Azman dalam kategori Moto3 FIM CEV dan Adam Norrodin dalam Moto2 FIM CEV.

    Berkenaan perancangan bagi pelumba motosikal muda Malaysia yang bersaing di Eropah sekarang, Shafriman memberitahu, perancangan untuk memperkuatkan lagi pasukan sudah ada, termasuk mengambil pengayuh basikal Olimpik negara, Josiah Ng sebagai pelatih kecergasan fizikal dan mental. Selain daripada itu, mereka juga mengambil personaliti TV dan sukan permotoran, Nurul Alis Aidil Akhbar untuk melaksanakan tugas perhubungan awam SIC Racing Team.

    “Kami masih belum berhenti membangunkan bakat lumba muda dalam negara, dengan sasaran meletakkan mereka di pentas dunia. Tetapi, ini juga bermakna terdapat kriteria prestasi yang perlu dicapai, dan kami tidak mahu mengambil penunggang Malaysia hanya mereka warga Malaysia sahaja,” jelas Shafriman.

    CEO Sepang beri kenyataan tentang kehilangan tajaan daripada Petronas, rancangan masa hadapan

    “Pelumba kita di Malaysia mempunyai banyak bakat dan kami membuat sasaran memberikan mereka platform untuk mengembangkan lagi bakat tersebut,” kata beliau. Shafriman bagaimanapun bersikap realistik terhadap peluang pelumba muda SIC untuk diangkat naik ke MotoGP dan dua lagi perlumbaan dalam kejuaraan sama, iaitu Moto2 dan Moto3.

    Dalam menjawab persoalan sama ada pelumba Malaysia akan berhadapan keadaan lebih sukar kerana tiada lagi pasukan yang ditaja oleh warga Malaysia dalam MotoGP, Shafriman berkata, “ya, keadaan akan lebih sukar. Sudah tentu, tak pernah ada sesuatu yang dikatakan sebagai promosi automatik di dalam kelas premier. Kedudukan dalam pasukan adalah berdasarkan prestasi. Ini bermakna mereka perlu bekerja lebih keras dan bersaing dengan semua pelumba untuk mendapatkan tempat.”

     
     
  • MAA alu-alukan keputusan kerajaan benarkan sektor automotif beroperasi semula selepas rugi RM14 bilion

    MAA alu-alukan keputusan kerajaan benarkan sektor automotif beroperasi semula selepas rugi RM14 bilion

    Keputusan kerajaan untuk membenarkan jualan kenderaan dan pengilangan automotif disambung di negeri-negeri yang kini berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) disambut baik oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA). Persatuan itu memaklumkan, pembukaan semula sektor automotif ini tepat pada masanya memandangkan banyak syarikat berkaitan automotif berada dalam keadaan genting akibat pandemik dan juga PKP yang dikenakan.

    MAA yang sebelum ini telah menyuarakan gesaan terhadap kerajaan supaya membuka semula sektor automotif untuk membolehkan jualan kenderaan dan operasi dikilang disambung semula dengan SOP ketat, berkata bahawa industri automotif tempatan telah mencatatkan kerugian yang besar memandangkan kilang pemasangan, pusat edaran kenderaan dan cawangan jualan ditutup sepenuhnya sejak 1 Jun 2021 akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

    Menurut Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad, industri berkenaan telah kerungian lebih daripada RM14 bilion sepanjang Jun dan Julai akibat penutupan penuh operasi. “Ini hanya melibatkan kesan disebabkan oleh jualan kenderaan dalam pasaran tempatan,” jelasnya.

    MAA alu-alukan keputusan kerajaan benarkan sektor automotif beroperasi semula selepas rugi RM14 bilion

    Aishah menambah, penutupan operasi peniagaan itu sebenarnya memberi kesan yang lebih luas terhadap eko-sistem automotif tempatan. “Ahli persatuan kami juga banyak menanggung rugi melibatkan eksport kenderaan dan komponen serta jualan alat ganti dalam pasaran tempatan. Secara keseluruhannya, semua kerugian ini adalah sangat besar dan tidak dijangkakan awalnya,” tambah Aishah.

    Menurutnya lagi, pengedar kenderaan telah menerima kesan paling besar akibat PKP, terutama sekali perniagaan yang bergantung sepenuhnya kepada pendapatan daripada jualan kenderaan baru. Sebahagian besar kelompok ini berdepan dengan masalah aliran tunai yang teruk memandangkan mereka tidak boleh menjual apa-apa untuk menjana pendapatan. Ini menjurus pula kepada kesukaran mengekalkan tenaga kerja, terutamanya penasihat jualan.

    Aishah turut menambah sekiranya penutupan sektor ini berterusan, industri ini tidak akan dapat bertahan dengan sendirinya. “Ramai di antara kami yang terhimpit. Kami telah gunakan sebahagian besar simpanan selama setahun setengah ini. Jadi, adalah sangat melegakan apabila kerajaan akhirnya membenarkan perniagaan disambung untuk menghidupkan kembali indsutri ini,” jelasnya.

    MAA alu-alukan keputusan kerajaan benarkan sektor automotif beroperasi semula selepas rugi RM14 bilion

    Jualan dan pengeluaran kenderaan bagi tempoh dua setengah bulan terakhir ini menjadi cerminan betapa parahnya situasi. Bagi Jun, hanya 1,921 unit dan 7,086 unit pada Julai — jauh daripada angka asal sekitar 45,000 hingga 50,000 unit sebulan. Begitu juga dengan pengeluaran kenderaan, Jun dan Julai hanya menyaksikan masing-masing hanya 276 unit dan 2,775 unit dikeluarkan, berbeza dengan angka 40-50k unit bagi bulan-bulan biasa sebelum ini.

    Berkaitan vaksinansi, ahli MAA telah menyahut seruan kerajaan untuk mendaftar program berkenaan untuk semua pekerjanya. Banyak syarikat telah memulakan program vaksinasi untuk membolehkan seramai mungkin pekerja menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, sementara pekerja di beberapa lagi syarikat telah menerima suntikan penuh ketika ini.

     
     
  • JPJ tawar 70% diskaun saman mulai 18 Ogos sehingga 16 September 2021 sempena Hari kemerdekaan ke-64

    JPJ tawar 70% diskaun saman mulai 18 Ogos sehingga 16 September 2021 sempena Hari kemerdekaan ke-64

    Sempena dengan sambutan hari kemerdekaan Malaysia yang ke-64 yang bertemakan “Malaysia Prihatin” bagi tahun 2021, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) memberikan tawaran pengurangan pembayaran saman sehingga 70%. Ia bertujuan untuk meringankan beban rakyat, selaras dengan kemelut ekonomi yang melanda segenap lapisan masyarakat di negara ekoran daripada pandemik Covid-19.

    Menurut JPJ, tawaran pengurangan tersebut adalah untuk semua saman JPJ yang boleh dikompaun, kecuali kes yang masih dalam sebutan pihak Mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap atau perbicaraan.

    “Pengurangan kompaun yang bermula pada 18 Ogos sehingga 16 September 2021 ini, akan diberikan kepada semua notis saman yang telah dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), serta Kaedah-Kaedah dan Perintah-Perintah di bawahnya, termasuklah kes yang masih dalam tindakan Senarai Hitam (blacklist).

    JPJ tawar 70% diskaun saman mulai 18 Ogos sehingga 16 September 2021 sempena Hari kemerdekaan ke-64

    Pengurangan ke atas notis saman tersebut adalah berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem mySIKAP JPJ,” kata kenyataan JPJ.

    Walau bagaimanapun, bagi pesalah-pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam (blacklist), pesalah dikehendaki untuk hadir semula ke pejabat JPJ (Cawangan ataupun Negeri), bagi tujuan proses dokumentasi semula, sebelum sebarang urusan pembayaran dapat dilakukan.

    Tambahnya lagi, tawaran ini turut diberikan kepada semua saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih berkuatkuasa dengan syarat pembayaran dilakukan dalam tempoh yang dinyatakan iaitu sehingga 16 September 2021.

    Urusan pembayaran notis saman ini boleh dibuat di semua pejabat JPJ Negeri, cawangan dan UTC, kiosk atau secara atas talian melalui portal mySIKAP JPJ.

     
     
  • Renault Hippie Caviar Hotel — konsep van camper EV dengan khidmat layanan dan kontena logistik

    Renault Hippie Caviar Hotel — konsep van camper EV dengan khidmat layanan dan kontena logistik

    Renault telah menunjukkan sebuah rekaan konsep van “camper” yang dikenali Hippie Caviar Hotel, sebuah rekaan yang yang membawakan “pengalaman hotel 5-bintang” terhadap rutin penggunanya.

    Bakal dipertontonkan di Düsseldorf Motor Show yang bermula 27 Ogos ini, rekaan konsep berkenaan menggunakan asas van Trafic, dan telah disertakan dengan kerus panjang yang boleh diubah menjadi tempat tidur berdimensi 145 cm x 195 cm yang boleh dipadang di dalam atau luar kenderaan.

    Kemasan dalaman terdiri daripada kayu eksotik, gentian asli (linen dan wool) serta foam berasaskan tumbuhan, sementara warna dan material yang digunakan pula mengambil ilham dan semangat tahun-tahun 1960an.

    Renault Hippie Caviar Hotel — konsep van camper EV dengan khidmat layanan dan kontena logistik

    Dua tataletak boleh dimanfaatkan; yang pertama tataletak “cosy” di mana kerusi panjang dan kerusi sudut diletakkan dalam kedudukan untuk ruang ala kawasan lounge, dan disertai oleh “rooftop terrace” yang lengkap dengan meja kopi dan sepasang penyandar, yang boleh diakses menggunakan tangga.

    Yang kedua ialah tetaletak “contemplation”, seperti yang ditunjukkan dalam gambar. Katil terletak di bawah pintu belakang, dengan tirai penghadang memberikan privasi dan perlindungan dari cuaca bagi kedua-dua sisi.

    Pengalaman perkhemahan premium ini dibayangkan pula dengan adanya sebuah kontena untuk bilik air, tempat pengecasan elektrik dan fungsi lain ke lokasi yang ditentukan oleh pelanggan, sebagai tambahan kepada servis layanan yang boleh dipesan secara dalam talian dan dihantar ke van berkenaan menggunakan drone.

    Renault Hippie Caviar Hotel — konsep van camper EV dengan khidmat layanan dan kontena logistik

    Van Tarfic kini dalam generasinya yang ketiga, dengan versi facelift telah dilancarkan dalam bentuk Trafic Combi form untuk kegunaan pengangkutan umum dan keluarga besar, sementara versi SpaceClass dan Signature menyediakan tempat duduk VIP dan ruang kelas perniagaan. Dalam tataletak biasa seperti ini, Trafic menyediakan 1,800 liter kapasiti kargo, atau boleh memuatkan sembilan penumpang dewasa.

    Tiga pilihan enjin diesel ditawarkan ketika pelancarannya; ini termasuk dCi 150 dengan transmisi manual dan EDC klac berkembar automatik; dCi 110 dengan transmisi manual; dan dCi 170 dengan transmisi EDC automatik sahaja.

    Ciri bantuan pemanduan yang ada pada Trafic facelift ini termasuk kawalan melayar adaptif, brek kecemasan dalam bandar aktif, amaran penukaran lorong, amaran titik buta dan beg udara rekaan baru untuk dua penumpang di depan.

     
     
  • Kawasaki Z900RS diperbaharui – skema warna baru, suspensi belakang Ohlins, fork USD boleh laras

    Kawasaki Z900RS diperbaharui – skema warna baru, suspensi belakang Ohlins, fork USD boleh laras

    Sejak diperkenalkan kepada dunia buat kali pertama pada tahun 2017, Kawasaki Z900RS telah beberapa kali diberikan peningkatan dan untuk model tahun 2022 ia terus lagi diperbaharui. Perkara pertama sudah tentu adalah penampilan, di mana ia sekarang didatangkan dengan pilihan warna emas/hitam seperti model Z1 tahun 1970-an.

    Satu lagi bahagian yang dipertingkat adalah suspensi, di mana Z900RS 2022 dipasang dengan monoshock belakang Ohlins yang boleh dilaras untuk pra beban dan lantunan, sementara di hadapan pula menggunakan fork USD 41 mm yang boleh dilaras sepenuhnya untuk pra beban, lantunan dan mampatan. Menjadikannya lebih menarik, fork tersebut dicat warna emas.

    Bahagian lain tidak diubah, termasuk enjin iaitu unit empat silinder 848 cc yang mampu menghasilkan 111 hp pada 8,500 rpm dan 98.5 Nm tork pada 6,500 rpm. Kuasa disampaikan ke roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan yang dilengkapi klac slip and assist, serta sistem pacuan rantai.

    Kawasaki Z900RS diperbaharui – skema warna baru, suspensi belakang Ohlins, fork USD boleh laras

    Untuk bahagian brek, Z900RS menggunakan tetapan cakera 300 mm berkembar dengan angkup empat piston di hadapan dan tetapan cakera tunggal di belakang. Berat keseluruhan model yang berbentuk klasik ini adalah 215 kg dan ia dilengkapi dengan tangki bahan api 17 liter.

    Di Malaysia, pengedar motosikal Kawasaki sudah senyap beberapa tahun tanpa ada sebarang model baru yang dilancarkan, dan bagi Z900RS, semasa tiba, ia dijual pada harga RM67,900 bagi versi standard, RM69,900 bagi versi SE dan RM72,372 bagi versi Cafe Racer.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024