Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Petron jadi bahan api rasmi perlumbaan MSF Merdeka Enduro 2020, semua pelumba terima petrol Blaze100

    Petron jadi bahan api rasmi perlumbaan MSF Merdeka Enduro 2020, semua pelumba terima petrol Blaze100

    Petron akan menjadi rakan bahan api rasmi untuk perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF) Merdeka Enduro, yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 Ogos ini.

    Syarikat berkenaan akan menyediakan petrol RON100 berprestasi tinggi Blaze100 yang akan digunakan secara eksklusif oleh semua pelumba yang berlumba dalam MSF Merdeka Enduro, iaitu sebahagian perlumbaan Merdeka Race 2020 yang akan berlangsung pada hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

    “Kami bersyukur dengan sokongan dari Petron – jelas ada potensi yang besar dalam MSF, di mana mereka dapat lebih dekat dengan hati dan jiwa segmen automotif menerusi sukan permotoran,” kata prinsipal MSF, Adian Yein.

    Perlumbaan Merdeka Race ini akan diadakan dalam format Enduro, di mana ia akan berlangsung selama 45-minit, dan pelumba wajib masuk ke pit dalam masa 10-minit. Ia adalah format yang terbaik untuk pelumba merasai perbezaan petrol beroktana tinggi tersebut, di mana mereka perlu berlumba dalam jumlah lap yang banyak dengan suhu ekstrem di Sepang.

    Petron jadi bahan api rasmi perlumbaan MSF Merdeka Enduro 2020, semua pelumba terima petrol Blaze100

    Dilancarkan pada awal 2016, Blaze100 merupakan petrol dengan RON 100 pertama di Malaysia. Ia juga dikenali sebagai petrol berprestasi tinggi pertama di Malaysia, memberikan prestasi enjin yang mengkagumkan, serta respon dan pecutan enjin yang baik. Ia juga memberikan perlindungan enjin, kadar perbatuan dan juga ekonomi bahan api yang lebih baik.

    Ini kerana Blaze100 diberikan formulasi TriAction Advantage oleh Petron, yang mengandungi tiga aditif utama iaitu detergen sintetik-sepenuhnya, penambahbaik pembakaran organik, dan juga pengubah geseran, yang akan membantu bahan api tersebut terbakar dengan lebih efisien, sekaligus memberikan tindak balas enjin, kebersihan dan juga ekonomi bahan api yang lebih baik.

    Walau bagaimanapun dengan situasi pandemik Covid-19 dan kita masih lagi berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), acara ini akan berlangsung tanpa penonton di SIC. Tetapi, semua aksi perlumbaan ini boleh anda ikuti secara langsung menerusi laman Facebook MSF dan Facebook Sepang Circuit, serta ulangannya akan disiarkan di televisyen menerusi saluran Astro Arena 801/802 HD minggu berikutnya.

     
     
  • Aplikasi Moovit bantu pengguna dapat info sebenar lokasi bas Rapid KL, Go KL dan SMART Selangor

    Aplikasi Moovit bantu pengguna dapat info sebenar lokasi bas Rapid KL, Go KL dan SMART Selangor

    Rapid Bus Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan pengendali operasi perkhidmatan bas Rapid KL, Go KL dan SMART Selangor, telah mengumumkan ketersediaan maklumat sebenar (real-time) lokasi bas menerusi aplikasi Moovit. Ia berupaya memanfaatkan ribuan pengguna perkhidmatan bas awam di Lembah Klang dan Selangor.

    “Pengumuman ini adalah berikutan kerjasama kami dengan Moovit, yang merupakan sebahagian inisiatif Rapid Bus untuk menjalinkan kolaborasi bersama pembangun aplikasi pihak ketiga yang terpilih. Sebelum ini kita telah melancarkan perkongsian data real-time bersama Google Maps pada 18 Jun yang lepas.

    “Kedua-dua inisiatif ini menandakan satu titik baharu di dalam perkongsian data kedudukan bas secara real-time bagi kemudahan para pelanggan kami. Inisiatif-inisiatif kolaboratif ini adalah pelopor kepada inisiatif perkongsian data terbuka yang akan datang,” kata CEO Rapid Bus, Encik Muhammad Yazurin Sallih.

    Selain menggunakan data yang dikongsikan melalui kolaborasi ini, Moovit juga menggunakan data yang dikumpulkan daripada sumber-sumber lain.

    Dengan aplikasi Moovit, para penumpang dapat menyemak lokasi semasa sebenar (real time) yang dikongsikan oleh Rapid Bus bagi bas Rapid KL bagi laluan-laluan bas di Lembah Klang termasuk bagi bas perantara MRT, perantara LRT, Go KL dan beberapa laluan-laluan perkhidmatan bas SMART Selangor yang terpilih.

    Malah Rapid Bus turut merancang untuk meluaskan rangkuman data lokasi kepada perkhidmatan bas perantara MRT, Rapid Penang di Pulau Pinang dan Rapid Kuantan di Pahang.

    Selain daripada maklumat perjalanan bas, perkongsian data ini melalui Moovit turut menyajikan pilihan perjalanan lain seperti kombinasi perkhidmatan bas dan rel, memberikan maklumat hentian bas dan jangkaan masa perjalanan.

    Dengan adanya kemudahan maklumat perjalanan ini melalui aplikasi telefon pintar, para penumpang boleh menanti bas mereka sambil bersantai atau melakukan aktiviti lain sementara menunggu ketibaan bas. Para pengguna perkhidmatan bas Rapid KL boleh memuat turun aplikasi Moovit daripada Google Play atau Apple App Store.

     
     
  • Kia Sorento PHEV 2021 – 1.6L turbo, 264 PS, 350 Nm

    Kia Sorento PHEV 2021 – 1.6L turbo, 264 PS, 350 Nm

    Kia Motors telah pun mendedahkan perincian mengenai SUV perdana segmen-B keluarannya yang dikatakan lebih berkuasa dan efisien, Sorento Plug-in Hybrid. Di Eropah, Sorento yang dielektrifikasikan ini merupakan versi kedua selepas Sorento Hybrid (230 PS dan 350 Nm), tetapi telah diberikan pacuan elektrik sepenuhnya.

    Sorento PHEV ini dijanakan oleh enjin yang sama dengan versi hibrid iaitu 1.6 liter pengecas turbo GDI, yang mampu menghasilkan sehingga 180 PS dan tork 265 Nm. Enjin ini juga telah digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 67 kW (91 PS) yang mampu membekalkan tork sebanyak 304 Nm, menjadikan keseluruhan kuasa yang terhasil mencecah 264 PS dan tork 350 Nm.

    Pacuan disalurkan ke semua roda menerusi transmisi automatik enam-kelajuan. Kia berkata kotak gear boleh menghamburkan kuasa sepenuhnya ke kedua-dua enjin dan motor elektrik secara selari, hasilnya “ia memberikan respons pendikitan dalam apa jua kelajuan.” Motor elektrik ini juga dilapisi dua tahap proses laminasi untuk meningkatkan penyempurnaannya.

    Kia Sorento PHEV 2021 – 1.6L turbo, 264 PS, 350 Nm

    Bateri polimer lithium-ion 13.8 kWh yang ditempatkan di bawah lantai merupakan unit penyejukan-air (pertama bagi Kia), yang berkeupayaan menguruskan haba secara optimum dan efisien untuk pek bateri bervoltan tinggi. Pengeluar kenderaan ini walau bagaimana pun belum memberikan homolog buat Sorento PHEV, jadi penggunaan bahan api, pelepasan CO2, masa pengecasan dan anggaran elektrik sepenuhnya masih belum diberikan.

    Namun demikian, menurut Kia, Sorento PHEV ini tidak berkompromi soal ruang but, dan ia masih mengekalkan konfigurasi tujuh-tempat duduk. Baterinya direka untuk tidak mengambil banyak ruang pada bahagian but, jadi PHEV ini masih berkapasiti 175 liter apabila semua tujuh tempat duduknya berkedudukan biasa berbanding 179 liter buat versi Hybrid. Manakala model bukan-hibrid pula dengan kapasiti 189 liter bagi ruang but.

    Selain itu, bahagian kabin juga banyak yang dikekalkan, namun diberikan panel instrumen digital penuh 12.3-inci yang direka semula dengan grafik dan dail baharu. Malah paparan skrin sesentuh tengah 10.25-inci juga dipertingkatkan, membolehkan pemandu mengesan poin pengecasan kenderaan ‘on-the-go’. Lain-lain ciri yang didatangkan termasuklah ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem bunyi Bose 12-inci, sistem Mood Lighting 64-warna dan sistem telematik UVO Connect.

    Kia Sorento PHEV 2021 – 1.6L turbo, 264 PS, 350 Nm

    Bagi aspek keselamatannya, ia menampilkan Sistem Bantuan Pemandu Termaju ciptaan Kia sendiri yang merangkumi Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan dengan pejalan kaki, penunggang basikal dan pengesan kenderaan, Paparan Pandangan Sekeliling, Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta, Bantuan Had Kelajuan Pintar, kawalan kelajuan adaptif, Bantuan Pemanduan Lebuhraya, Bantuan Mengelak Pelanggaran Parkir Mengundur, Bantuan Mengelak Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang dan sistem Brek Pelbagai-Pelanggaran.

    Ketua perancangan produk Kia Motor Eropah, Pablo Martinez Masip berkata, “Model PHEV ini akan terus berkembang di seluruh Eropah, dan Sorento baharu ini akan menjadi model elektrifikasi yang lebih besar, praktikal dan versatil.” Jualan bagi Sorento PHEV ini akan bermula di beberapa pasaran Eropah terpilih mulai awal 2021, dan ia akan didatangkan dengan waranti tujuh-tahun atau 150,000 km secara standard. Produksi bagi model ini dilaksanakan di fasiliti pengeluaran Kia di Hwasung, Korea.

     
     
  • Lexus RX Black Line 2021 — edisi terhad 1,000 unit

    Lexus RX Black Line 2021 — edisi terhad 1,000 unit

    Lexus kini memperkenalkan pula tambahan terbaru bagi siri edisi istimewa Black Line melibatkan SUV RX. Ditawarkan bagi varian RX 350 atau RX 450h, tetapi kemasan Black Line ini hanya disediakan dalam penampilan F Sport sahaja.

    Ciri khas pada RX Black Line ialah rim 20-inci, gril gelap, hiasan grafik di sisi badan dan perumah cermin sisi yang juga dalam warna hitam. Dua pilihan warna luaran yang disediakan ialah Ultra White dan warna baru, Grecian Water. Tambahan lain termasuk lencana F Sport, serta penyerap hentak F Sport di depan dan belakang.

    Di dalam, kerusi semuanya menerima balutan kulit hitam dengan benang putih dan biru sebagai standard. Bagi kemasan F Sport, ia juga datang dengan panel instrumen serta perincian aluminium. Bagi kemasan khusus edisi Black Line, ia termasuk alas lantai, key glove dengan benang biru serta dua beg kembara khas buatan Zero Halliburton.

    Lexus RX Black Line 2021 — edisi terhad 1,000 unit

    Kedua-duanya diberikan kemasan penyudah hitam dengan logo yang dicetak secara laser, serta bahagian dalamannya menggunakan alas pelapik dengan motif corak yang sama ada pada gril Lexus berserta logonya. Beg berkenaan akan dipos ke alamat pilihan pelanggan.

    Hanya 750 unit RX 350 Black Line dan 250 unit RX450h Black Line akan dikeluarkan untuk pasaran US. Masing-masing akan dijual pada harga US$50,635 (RM211k) dan US$51,885 (RM216k). Lain-lain model Lexus yang tampil dalam edisi Black Line ini termasuk NX, ES dan GS.

     
     
  • Hyundai Kona akan dilancarkan suku ke-4 2020 – RM115,000, ada Smart Sense, CBU dari Korea

    Hyundai Kona akan dilancarkan suku ke-4 2020 – RM115,000, ada Smart Sense, CBU dari Korea

    Selepas diumumkan sudah boleh ditempah, Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) mendedahkan sedikit lagi perincian berkenaan Hyundai Kona untuk pasaran tempatan – ia bakal dilancarkan pada suku keempat tahun ini dan kita akan menerima unit yang diimport sepenuhnya (CBU).

    Menurut HSDM, Kona pasaran Malaysia akan diimport sepenuhnya dari kilang Hyundai Motor Company (HMC) Ulsan yang terletak di Korea Selatan. Kehadiran crossover segmen-B ini akan melengkapkan lagi model SUV Hyundai di Malaysia yang sekarang ini dibarisi oleh SUV segmen-C Hyundai Tucson dan SUV segmen-D Hyundai Santa Fe.

    “Kami teruja dengan pelancaran Kona dan ia adalah produk baharu sepenuhnya untuk kami dalam segmen ini dan kami yakin respon yang baik akan diterima oleh Kona. SUV kompak mempunyai permintaan yang tinggi bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global,” kata Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung.

    “Pasaran SUV dan SUV kompak kini sedang berkembang secara eksponen jadi kami nampak potensi pasaran yang besar untuk semua SUV kami, termasuk Santa-Fe 7-tempat duduk, dan Tucson 5-tempat duduk dan juga model baharu seterusnya ini – Kona yang disasarkan kepada generasi lebih muda,” kata Low lagi.

    HSDM mengesahkan bahawa Kona pasaran Malaysia bakal menerima lampu hadapan, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, pilihan warna badan yang ekstrovet bersama serlahan kontras pada bumbung, paparan head-up dengan skrin aktif, skrin infotainmen utama terapung 7-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan juga sistem bantuan pemanduan Hyundai Smart Sense.

    Untuk rekaan dalaman, Kona pasaran Malaysia akan diberikan tema warna yang menonjol bersama serlahan jahitan dengan benang kontras pada tempat duduk dan roda stereng, serta tali pinggang keledar dalam pelbagai warna.

    Berdasarkan laporan sebelum ini, pasaran Malaysia hampir pasti akan menerima model paling berkuasa dijana 1.6 liter turbo berkuasa 177 PS/265 Nm digandingkan dengan kotak gear tujuh-kelajuan klac berkembar automatik. Ini juga bermaksud, berbanding pesaing terdekatnya yang lain seperti Honda HR-V, Toyota C-HR dan Mazda CX-3, Kona adalah model paling berkuasa dan satu-satunya crossover segmen-B di Malaysia dengan enjin petrol turbo, sekurang-kurangnya sebelum Proton X50 dilancarkan.

    Kona dihasilkan dengan dimensi 4,165 mm panjang, 1,800 mm lebar manakala jarak rodanya pula adalah 2,600 mm. Berbanding Honda HR-V, SUV Korea ini adalah 129 mm lebih pendek tetapi 28 mm lebih lebar dan 55 mm lebih rendah. Untuk jarak roda pula, Kona diukur 10 mm lebih pendek berbanding HR-V.

    Harga yang dibayangkan oleh HSDM ini iaitu bermula RM115,000 juga nampak begitu menarik. Ini kerana buat masa sekarang varian tertinggi Honda HR-V iaitu dari versi RS dijual pada harga RM118,582, Toyota C-HR berharga RM144,336, dan Mazda CX-3 pula berharga RM126,829. Semua harga yang dinyatakan ini adalah harga selepas potongan cukai jualan yang diumumkan kerajaan dan akan kekal sekurang-kurangnya sehingga hujung Disember ini.

    Hyundai Kona akan dilancarkan suku ke-4 2020 – RM115,000, ada Smart Sense, CBU dari Korea

    Jika anda ingin menempah crossover kompak ini, anda hanya perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM288. Untuk membuat tempahan, anda perlu mendaftar minat menerusi laman rasmi Hyundai Malaysia terlebih dahulu. Selepas data anda diperolehi, barulah pegawai dari Hyundai akan menghubungi anda dalam tempoh 48 jam hari bekerja berikutnya.

    Setelah lengkap dua langkah ini, barulah anda membuat bayaran tempahan berkenaan di pengedar Hyundai bertauliah, dan mereka yang berjaya membuat tempahan ini akan sekali lagi dihubungi oleh Hyundai Malaysia bagi menerima jemputan eksklusif ke majlis pelancaran rasmi Hyundai Kona ke pasaran tempatan.

    GALERI: Hyundai Kona 1.6 T-GDI di KLIMS 2018

    GALERI: Hyundai Kona Electric di KLIMS 2018

     
     
  • #JOMTEKSI dengan Touch ‘n Go eWallet – dapatkan pulangan tunai (cashback) sehingga RM4 untuk tambang teksi anda sehingga 31 Disember

    #JOMTEKSI dengan Touch ‘n Go eWallet – dapatkan pulangan tunai (<em>cashback</em>) sehingga RM4 untuk tambang teksi anda sehingga 31 Disember

    #JOMTEKSI – Ia inklusif, mudah dan bermanfaat untuk semua rakyat Malaysia.

    Dengan adanya telefon pintar yang telah mengubah gaya hidup hari ini, berapa ramai di antara kita yang masih mengambil teksi dengan cara lama? Industri teksi juga sejak beberapa tahun ini bergelut untuk memenangi semula tanggapan dan keyakinan pengguna. Oleh yang demikian, TNG Digital berhasrat untuk mewujudkan ekosistem mobiliti transformatif untuk industri ini.

    Dengan platform Touch ‘n Go eWallet, TNG Digital memperkenalkan inisiatif #JOMTEKSI yang bermatlamat untuk membantu pemandu-pemandu teksi menjana pendapatan tambahan dengan cara mempromosikan perkhidmatan mereka kepada penumpang melalui kempen-kempen #JOMTEKSI. Dalam mewujudkan platform digital untuk perkhidmatan teksi konvensional di mana perjalanan ditempah dan dibayar menggunakan Touch ‘n Go eWallet, aplikasi tempatan ini mula menjejak kaki dalam arena street-hailing.

    Usaha ini turut mempercepat pendigitalan industri teksi dalam beberapa aspek, termasuk menggalakkan para pemandu teksi untuk lebih celik teknologi, menyediakan peluang untuk mereka berinteraksi dengan penumpang secara digital. Pemandu teksi yang berminat untuk menyertai inisiatif #JOMTEKSI juga turut boleh mendaftar secara dalam talian yang lebih mudah dengan TNG Digital.

    #JOMTEKSI dengan Touch ‘n Go eWallet – dapatkan pulangan tunai (<em>cashback</em>) sehingga RM4 untuk tambang teksi anda sehingga 31 Disember

    “Kami berganding bahu bersama para pemandu teksi untuk menawarkan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang telus, mudah dan selamat melalui Touch ‘n Go eWallet. Dengan cara ini, pemandu teksi juga dapat memperluaskan rangkaian penumpang, khususnya bagi mereka yang telahpun memanfaatkan teknologi dalam kehidupan seharian,” jelas CEO TNG Digital, Ignatius Ong.

    “Selain itu, sebagai eWallet pilihan bagi inisiatif ePENJANA, kami juga menggalakkan pengguna Touch ‘n Go eWallet untuk menggunakan kredit ePENJANA bernilai RM50 mereka bagi inisiatif #JOMTEKSI, serta mendapat pulangan tunai (cashback) yang lumayan,” tambahnya. Digandakan dengan promosi #lebihbanyakekstra untuk pengguna, Touch ‘n Go eWallet kekal menjadi pelopor yang terus berinovasi dalam menjadikan industri teksi lebih inklusif dan mantap, serta menyumbang kepada segmen mobiliti keseluruhannya dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara tanpa tunai,” ujar Ong lagi.

    “Ia sangat mudah. Saya hanya mengimbas kod QR di dalam teksi menggunakan Touch ‘n Go eWallet untuk melakukan pembayaran perjalanan saya. Malah, saya juga menggunakan eWallet ini dalam hampir kesemua urusan harian di mana saja; dari membeli barang dapur, kepada membayar bil melalui aplikasi ini dan juga membuat pembayaran untuk perjalanan teksi,” ujar Mohd Zulkapli, 62, seorang penumpang yang berkongsi pengalaman tanpa tunainya bersama Touch ‘n Go eWallet.

    #JOMTEKSI dengan Touch ‘n Go eWallet – dapatkan pulangan tunai (<em>cashback</em>) sehingga RM4 untuk tambang teksi anda sehingga 31 Disember

    #JOMTEKSI boleh diakses melalui aplikasi EzCab dan bayaran boleh dibuat melalui Touch ‘n Go eWallet. Pemandu-pemandu teksi juga kini boleh mendaftar untuk inisiatif #JOMTEKSI secara dalam talian dengan mudah, bagi mendapatkan Touch ‘n Go eWallet dan juga kod QR individu.

    Berbanding sistem sebelumnya, mereka perlu menghantar borang secara manual di bawah syarikat di mana pemandu teksi itu bertugas. Kini, ada lima syarikat teksi yang dilantik sebagai rakan kepada #JOMTEKSI, dan syarikat-syarikat tersebut ialah EzCab, PicknGo, Koperasi Putrajaya & Cyberjaya Sdn Bhd, Comfort Taxi serta Sunlight Taxi.

    Selepas mengisi e-borang pendaftaran dengan lengkap serta lampiran dokumen sokongan, pemandu akan menerima kit pemula melalui pusat pendaftaran yang telah dipilih oleh pemandu. Kit pemula tersebut mengandungi kod QR untuk kegunaan penumpang, serta barangan lain termasuk cenderahati Touch ‘n Go eWallet. Keseluruhan proses ini akan mengambil masa selama 14 hari.

    Para pengguna juga ada manfaat tersendiri. Nikmati pulangan tunai cashback RM1 semasa anda membayar tambang teksi menggunakan Touch ‘n Go eWallet, yang boleh anda gunakan sehingga empat transaksi dalam sebulan, atau dapatkan pulangan tunai sehingga RM4. Promosi ini sah sehingga 31 Disember 2020 dan hanya untuk 10,000 tuntutan terawal sahaja. Untuk maklumat lanjut mengenai promosi ini, klik di sini.

    Manfaat ini juga boleh dinikmati di kaunter-kaunter teksi terpilih. Nikmati rebat RM1 dengan segera apabila anda membayar tambang teksi menggunakan Touch ‘n Go eWallet di kaunter teksi Sunway Pyramid. Promosi ini terhad kepada 1,000 tuntutan terawal sahaja.

    Rebat segera RM1 ini juga boleh didapati dengan pembayaran melalui Touch ‘n Go eWallet di kaunter teksi KL Sentral, tetapi hanya sah pada hari Rabu dan Khamis sahaja, untuk 300 tuntutan terawal. Promosi rebat RM1 ini akan berlangsung hingga 30 September 2020. Klik di sini untuk ketahui dengan lebih lanjut.

    #JOMTEKSI dengan Touch ‘n Go eWallet – dapatkan pulangan tunai (<em>cashback</em>) sehingga RM4 untuk tambang teksi anda sehingga 31 Disember

    Pada tahun 2019, #JOMTEKSI memperkenalkan wajah baru bagi lima hentian teksi di Putrajaya dan Cyberjaya, iaitu di Putrajaya Sentral, D’Pulze, Tamarind Square, Shaftsbury Square dan di depan Universiti LimKokWing di Cyberjaya.

    Cyberview Sdn Bhd, pemaju hab teknologi Cyberjaya juga banyak membantu dalam usaha ini selaras dengan aspirasinya untuk Cyberjaya dan Putrajaya berfungsi sebagai suatu platform untuk permulaan transformasi ekosistem teksi di negara ini. Semua hentian ini telah dikemaskini dengan port USB yang membolehkan penumpang mengecas peranti digital mereka, dengan elektrik yang dijana dari panel solar yang turut menyediakan pencahayaan untuk waktu malam.

    Untuk maklumat lanjut mengenai #JOMTEKSI, klik di sini.

     
     
  • Kedah cadang laksana larangan rentas sempadan daerah susulan penularan Kluster Tawar – MB

    Kedah cadang laksana larangan rentas sempadan daerah susulan penularan Kluster Tawar – MB

    Susulan penularan Kluster Tawar yang kian membimbangkan, kerajaan Kedah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan agar melaksanakan larangan rentas sempadan daerah di negeri terbabit.

    Menurut Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, pihaknya sangat berharap cadangan itu dipertimbangkan berikutan hanya Kerajaan Pusat mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan larangan itu.

    “Sehingga kini kerajaan negeri masih menunggu pengumuman daripada Kerajaan Pusat setelah cadangan itu dinyatakan semalam.

    “Kita hantar cadangan sama untuk dipertimbangkan sekali lagi hari ini dan saya dimaklumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa beliau akan memanggil KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk bermesyuarat dengan segera,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Kedah cadang laksana larangan rentas sempadan daerah susulan penularan Kluster Tawar – MB

    Tambah beliau, cadangan larangan rentas sempadan daerah itu mempunyai beberapa peraturan yang harus dipatuhi penduduk setempat.

    “Yang dalam kawasan (daerah) itu boleh keluar, boleh berniaga cuma dia tak boleh rentas ke kawasan lain. Sebabnya kita nampak Kluster Tawar ini sudah merebak ke banyak tempat. Orang Baling duduk dalam Baling sahaja, senang kita nak kawal penularan wabak COVID-19. Apa pun kita kena tunggu kelulusan Kerajaan Persekutuan kerana kerajaan negeri tiada kuasa dalam bidang ini,” katanya.

    Semalam KKM mengesahkan Kluster Tawar kini telah mempunyai 73 kes positif COVID-19. Setakat ini, seramai 4,051 individu disaring di tiga negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak bagi mengesan rantaian penularan jangkitan yang berpunca daripada Kluster Tawar.

    Selain Kluster Tawar, terdahulu Kluster Sivagangga mula wujud di negeri terbabit hingga menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Bersasar Secara Pentadbiran di empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap dilaksanakan. Walau bagaimana pun PKPD di mukim berkenaan telah pun tamat semalam.

     
     
  • RUU Pengangkutan Jalan 2020 diluluskan; Penjara 5-10 tahun jika pandu melulu hingga sebabkan kematian

    RUU Pengangkutan Jalan 2020 diluluskan; Penjara 5-10 tahun jika pandu melulu hingga sebabkan kematian

    Semalam, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 seperti yang dibentang oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebelum ini. Di mana pindaan yang membabitkan 15 fasal utama dan menyentuh 13 Seksyen Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) diluluskan tanpa pindaan menerusi undian suara.

    Memetik laporan Berita Harian, Ka Siong ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan berkata, antara pindaan utama adalah ke atas hukuman sedia ada, membabitkan kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen memandu.

    “Pemindaan ini menumpukan tiga aspek utama iaitu pemanduan di bawah pengaruh dadah, alkohol serta secara melulu dan merbahaya,” katanya.

    Selain itu, pindaan kesalahan bagi memandu dalam keadaan mengantuk hingga menyebabkan kemalangan atau kematian pengguna jalan raya lain yang dikategorikan sebagai pemanduan secara melulu atau berbahaya turut diluluskan oleh Dewan Rakyat.

    RUU Pengangkutan Jalan 2020 diluluskan; Penjara 5-10 tahun jika pandu melulu hingga sebabkan kematian

    Antara kandungan pindaan lain dalam RUU ini ialah kadar alkohol yang akan ditetapkan 22 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter (ml) nafas; 50 miligram (mg) alkohol dalam 100ml darah atau 67mg alkohol dalam 100ml air kencing.

    RUU yang dipinda ini turut melibatkan takrifan semula kenderaan mikromobiliti, termasuk basikal lajak sebagai kenderaan motor, selain meminda hukuman kepada denda minimum RM1,000 atau maksimum RM5,000 dan penjara tidak melebihi 12 bulan, jika sabit kesalahan.

    Bagi Seksyen 41 iaitu memandu secara melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian, jika disabit kesalahan, hukuman penjara antara lima ke 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun bagi sabitan pertama.

    Walau bagaimana pun, pesalah juga boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun, denda RM50,000 ke RM100,000 atau hilang kelayakan lesen selama 10 tahun bagi sabitan berikutnya. Selain itu, tempoh hilang kelayakan lesen bagi kesalahan mengikut Seksyen 42 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan dinaikkan kepada minimum lima tahun, manakala 10 tahun bagi sabitan seterusnya.

    RUU Pengangkutan Jalan 2020 diluluskan; Penjara 5-10 tahun jika pandu melulu hingga sebabkan kematian

    Denda bagi kesalahan Seksyen 43 iaitu memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa, dinaikkan kepada minimum RM5,000 atau maksimum RM10,000, manakala antara RM10,000 hingga RM15,000, bagi sabitan seterusnya. Pesalah juga boleh dipenjara bagi tempoh maksimum 12 bulan dalam dua-dua keadaan.

    Seksyen 44 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah hingga menyebabkan kematian akan memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun, denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun, bagi sabitan pertama. Pesalah juga berdepan hukuman penjara minimum 15 tahun atau maksimum 20 tahun, denda antara RM100,000 hingga 150,000 dan hilang kelayakan lesen selama 20 tahun, bagi sabitan seterusnya.

    Bagi kes menyebabkan kecederaan, pesalah berdepan hukuman penjara minimum tujuh tahun atau maksimum 10 tahu, denda antara RM30,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum tujuh tahun, bagi sabitan pertama. Pesalah juga boleh dipenjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun, denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen selama 10 tahun, bagi sabitan seterusnya.

    RUU Pengangkutan Jalan 2020 diluluskan; Penjara 5-10 tahun jika pandu melulu hingga sebabkan kematian

    Seksyen 45 iaitu menjaga kenderaan di bawah pengaruh alkohol atau dadah pula akan memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun, denda antara RM1,000 hingga RM5,000 dan hilang kelayakan lesen minimum dua tahun, bagi sabitan pertama. Pesalah juga berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan hilang kelayakan lesen minimum lima tahun, bagi sabitan seterusnya.

    Seksyen 45A iaitu memandu atau menjaga kenderaan dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan akan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun, denda minimum RM10,000 atau maksimum RM30,000 dan hilang kelayakan lesen minimum dua tahun, bagi sabitan pertama. Pesalah akan berdepan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, denda minimum RM20,000 atau maksimum RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum lima tahun, bagi sabitan seterusnya.

    Hukuman bagi kesalahan mengikut Seksyen 45B iaitu Ujian Nafas dan Seksyen 45C berkaitan Pengadaan Spesimen Bagi Analisis, akan dipinda kepada penjara maksimum dua tahun, denda minimum RM10,000 atau maksimum RM30,000 bagi sabitan pertama. Pesalah akan dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda RM20,000 atau maksimum RM50,000, bagi sabitan seterusnya.

     
     
  • Hyundai Kona – tempahan dibuka, dianggar RM115,000

    Selepas menyiarkan teaser, Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) mengumumkan bahawa SUV segmen-B Hyundai Kona kini sudahpun boleh ditempah. Tanpa perincian berkenaan spesifikasi model untuk pasaran tempatan, HSDM cuma menyatakan Kona akan di jual pada harga bermula “RM115,000”.

    Jika anda ingin menempah crossover kompak ini, anda hanya perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM288. Untuk membuat tempahan, anda perlu mendaftar minat menerusi laman rasmi Hyundai Malaysia terlebih dahulu. Selepas data anda diperolehi, barulah pegawai dari Hyundai akan menghubungi anda dalam tempoh 48 jam hari bekerja berikutnya.

    Setelah lengkap dua langkah ini, barulah anda membuat bayaran tempahan berkenaan di pengedar Hyundai bertauliah, dan mereka yang berjaya membuat tempahan ini akan sekali lagi dihubungi oleh Hyundai Malaysia bagi menerima jemputan eksklusif ke majlis pelancaran rasmi Hyundai Kona ke pasaran tempatan.

    Hyundai turut menayang video teaser baharu untuk Kona, dan hampir pasti kita akan menerima model paling berkuasa dijana 1.6 liter turbo berkuasa 177 PS/265 Nm digandingkan dengan kotak gear tujuh-kelajuan klac berkembar automatik. Ini juga bermaksud, berbanding pesaing terdekatnya yang lain seperti Honda HR-V, Toyota C-HR dan Mazda CX-3, Kona adalah model paling berkuasa dan satu-satunya crossover segmen-B di Malaysia dengan enjin petrol turbo, sekurang-kurangnya sebelum Proton X50 dilancarkan.

    Kona dihasilkan dengan dimensi 4,165 mm panjang, 1,800 mm lebar manakala jarak rodanya pula adalah 2,600 mm. Berbanding Honda HR-V, SUV Korea ini adalah 129 mm lebih pendek tetapi 28 mm lebih lebar dan 55 mm lebih rendah. Untuk jarak roda pula, Kona diukur 10 mm lebih pendek berbanding HR-V.

    Harga yang dibayangkan oleh HSDM ini juga nampak begitu menarik. Ini kerana buat masa sekarang varian tertinggi Honda HR-V iaitu dari versi RS dijual pada harga RM118,582, Toyota C-HR berharga RM144,336, dan Mazda CX-3 pula berharga RM126,829. Semua harga yang dinyatakan ini adalah harga selepas potongan cukai jualan yang diumumkan kerajaan dan akan kekal sekurang-kurangnya sehingga hujung Disember ini.

    Menurut satu lagi laporan tahun lalu, Hyundai Kona turut dirancang untuk ditawarkan dalam versi elektrik sepenuhnya di Malaysia, menerusi kaedah sewaan/pajakan rasmi, dengan sokongan penuh servis selepas jualan oleh pengeluar.

    GALERI: Hyundai Kona 1.6 T-GDI di KLIMS 2018

    GALERI: Hyundai Kona Electric di KLIMS 2018

     
     
  • Geely dan Volvo – fakta nombor 10 tahun kerjasama

    Lebih 10 tahun lalu, pada 2 Ogos 2010 menjadi detik rasmi jenama dari Sweden iaitu Volvo Cars yang sebelum itu bernaung di bawah Ford, diambil alih sepenuhnya gergasi automotif China, Zhejiang Geely Holding (ZGH) apabila rundingan berkenaan lengkap. Pengambilalihan tersebut bukan sekadar memberikan keuntungan pada sebelah pihak, sebaliknya ia membawa perubahan dan perkembangan yang sangat besar untuk kedua-dua jenama.

    Bagi meraikan ulangtahun sedekad kerjasama bersejarah ini, Geely telah menyiarkan satu video yang mengandungi fakta nombor berkenaan apa yang telah mereka kecapi dari mula sehingga ke hari ini.

    Pertama sekali adalah pendapatan. Pada tahun 2009, Volvo Cars mencatatkan pendapatan sebanyak 95.7 bilion krona Sweden (SEK), manakala Geely Auto pula memperolehi pendapatan 14.069 bilion yuan China (CNY). Setelah berberapa tahun kerjasama ini berlangsung, kedua-dua syarikat tersebut berjaya melangkaui angka 100-bilion di mana Volvo mencapai SEK274.12 bilion dan Geely merekodkan CNY106.6 bilion.

    Untuk keuntungan bersih pula, Volvo mencatatkan kerugian SEK5.19 bilion pada 2009, manakala Geely pula untung sejumlah CNY1.319 bilion pada tahun sama. Namun pada tahun 2019, Volvo berjaya mencatatkan keuntungan bersih SEK14.3 bilion, manakala keuntungan Geely meningkat 10 kali ganda dengan CNY12.674 bilion pada tahun 2018.

    Angka keuntungan yang meningkat ini sudah tentu diterjemahkan dari jumlah jualan tahunan kereta kedua-dua jenama. Tahun lalu, Volvo berjaya menjual sebanyak 705,000 unit kenderaan, berbanding hanya 335,000 unit pada tahun 2009. Jualan Geely menunjukkan peningkatan yang jauh lebih tinggi di mana mereka menjual 327,000 unit pada 2009, dan mencapai angka jualan tahunan sejuta pada tiga tahun kebelakangan ini, di mana angka terkini adalah pada 2019 dengan jualan 1.362 juta unit.

    Dalam senarai 500 syarikat terbaik berdasarkan pendapatan iaitu Fortune Global 500, Geely pertama kali disenaraikan pada tahun 2012 dengan menduduki tangga ke 475. Manakala tahun lalu, syarikat tersebut berada di tempat lebih tinggi iaitu pada kedudukan ke 220.

    Produk-produk baharu merupakan faktor utama dalam peningkatan angka-angka tadi. Geely berjaya mengembangkan pusat-pusat R&D mereka dari hanya sebuah di China pada 2009, sehingga mencapai 10 buah di serata dunia pada tahun 2020, termasuk salah satunya di Malaysia yang ditubuhkan bersama Proton.

    Ini membolehkan kerja-kerja R&D menghasilkan empat platform utama yang menjadi asas kepada kebanyakkan model Geely dan Volvo, termasuk B-segment Modular Architecture (BMA), Pure-electric Modular Architecture (PMA), Compact Modular Architecture (CMA) dan Scalable Product Architecture (SPA).

    Seiring dengan pendapatan dan untuk memenuhi pelbagai pasaran, kerjasama Geely-Volvo ini turut telah menubuhkan pelbagai jenama dan syarikat baharu, serta pengambilan ‘ahli-ahli baharu’ di bawah satu payung sepanjang 10-tahun ini termasuk Geometry, smart, Polestar, the London Electric Vehicle Company (LEVC), Lotus, Lynk & Co dan Proton.

    Geely Holding bukan sahaja menaung jenama-jenama automotif biasa, tetapi turut terlibat dalam industri pengangkutan darat dan udara seperti Terrafugia, Volocopter, CaoCao, StarRides, serta satelit orbit rendah menerusi Geespace.

    Tiada tanda-tanda momentum perkembangan ini akan perlahan dalam masa terdekat, dan Geely berharap mereka akan berada dalam kumpulan 10 pengeluar automobil terbaik di dunia pada masa hadapan.

     
     
  • Mitsubishi Grandis, Delica, Space Gear, Pajero – model tujuh tempat duduk Mitsubishi sebelum Xpander

    Mitsubishi Grandis, Delica, Space Gear, Pajero – model tujuh tempat duduk Mitsubishi sebelum Xpander

    Sebelum Xpander diperkenalkan, Mitsubishi sebenarnya sudah banyak menghasilkan model tujuh tempat duduk termasuklah Grandis, Space Wagon (Chariot), Delica, Space Gear dan paling terkenal di negara kita sejak tahun 90-an, Pajero.

    Bermula dengan Chariot, model ini muncul pada tahun 1983 dengan pilihan enjin petrol dari 1.6 liter hingga 2.0 liter, sementara enjin diesel 1.8 liter pula mula ditawarkan pada tahun 1984. Pada tahun sama, Chariot juga didatangkan dengan pilihan pacuan empat roda bagi model 2.0 liter dan pilihan enjin turbo 1.8 liter SOHC bagi versi MR Turbo.

    Chariot generasi pertama terus dikeluarkan sehingga tahun 1991, sehinggalah ia diganti oleh model yang lebih besar dan mempunyai jarak roda lebih panjang. Model ini datang dengan beberapa pilihan enjin empat silinder termasuk 4G93 1.8 liter, 4G63 2.0 liter dan 4G64 2.4 liter.

    Mitsubishi Grandis, Delica, Space Gear, Pajero – model tujuh tempat duduk Mitsubishi sebelum Xpander

    Selain daripada itu, model generasi ini juga menyaksikan pengenalan versi turbo 4WD keluaran terhad yang dipanggil sebagai Resort Runner GT. Ia menggunakan enjin sama seperti Lancer Evolution dan Galant VR-4, dan menghasilkan kuasa 230 PS untuk versi manual dan 220 PS untuk versi automatik.

    Chariot generasi ketiga diperkenalkan pada tahun 1997 dengan badan yang lebih besar, untuk memberi lebih ruang kepada pengguna dan dipanggil sebagai Chariot Grandis. Dari ladder frame, kerangkanya diubah kepada jenis monocoque dan dua lagi enjin ditambah sebagai pilihan iaitu unit empat silinder 2.4 liter dan V6 3.0 liter.

    Pada tahun 2003, Mitsubishi Grandis diperkenal untuk menggantikan Chariot, dan ia ditawarkan dengan enjin petrol empat silinder 2.4 liter MIVEC 4G69 dan diesel turbo empat silinder 2.0 liter. Bergantung kepada pasaran, pilihan transmisi yang disediakan adalah antara manual lima kelajuan, automatik empat kelajuan atau manual enam kelajuan untuk versi enjin diesel.

    Selepas Grandis diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2005, model facelift pula memasuki pasaran pada tahun 2007, dengan menawarkan kuasa 165 PS dan 217 Nm tork, hasil penggunaan enjin petrol empat silinder 2.4 liter MIVEC dan gabungan transmisi automatik empat kelajuan INVECS-II.

    Pada tahun 2010, MPV 2.4 liter ini sekali lagi diberi peningkatan dengan senarai kelengkapan yang lebih banyak, termasuk lampu utama xenon boleh laras sendiri, head unit skrin sesentuh LCD dengan navigasi satelit, paparan kamera undur, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin serta pintu ruang barangan belakang bukaan elektrik.

    Model Delica mempunyai penampilan lebih ranggi. Nama itu diambil daripada ‘Delivery Car’ dan sebenarnya sudah digunakan sejak tahun 1968 pada van Mitsubishi yang mempunyai bumbung tinggi seperti Coach Deluxe tahun 1971 dan Star Wagon Exceed 4WD tahun 80-an dan 90-an.

    Mitsubishi Grandis, Delica, Space Gear, Pajero – model tujuh tempat duduk Mitsubishi sebelum Xpander

    Bermacam jenis enjin ditawarkan untuk model ini, dan bagi model generasi ketiga, ia datang dengan enjin petrol dari 1.4 liter hingga 2.4 liter dan diesel 2.5 liter. Enjin diesel 2.6 liter NA juga ada disediakan, bersama pilihan transmisi sama ada automatik empat kelajuan atau manual lima kelajuan.

    Delica generasi keempat dikenali dengan nama Space Gear dan kali ini ia tidak lagi ditawarkan dengan versi trak seperti sebelumnya. Model ini juga melihatkan kedudukan enjinnya ditarik lebih ke hadapan sekaligus menjadikan bonet hadapan juga lebih panjang.

    Kapasiti enjin juga ditambah lagi untuk model generasi keempat, dan kini pilihannya terdiri daripada unit petrol empat silinder 2.4 liter atau V6 3.0 liter, sementara untuk versi diesel turbo pula ia terdiri daripada unit 2.5 liter dan 2.8 liter, bergantung kepada pasaran.

    Space Gear kemudiannya diganti oleh Delica generasi kelima pada tahun 2014, dan ia dipanggil sebagai ‘MPV Utiliti Sport pertama di dunia’ pada masa itu. Meskipun di Indonesia Delica cuma datang dengan pacuan dua roda dan nampak lebih kepada untuk kegunaan atas jalan biasa berbanding Space Gear, ia masih mempunyai jarak dari tanah 190 mm, dipasang dengan tayar profail tinggi dan suspensi panjang.

    Pada tahun 2018 muncul pula Delica D:5, yang mempunyai penampilan lebih radikal berbanding generasi sebelumnya. Lampu utama model ini lebih nipis, manakala lampu siang pula dibentukkan menegak. Bawah bonetnya terdapat enjin diesel turbo 2.2 liter DI-D berkuasa 170 hp dan 392 Nm tork.

    Kuasa ini disampaikan kepada semua tayar melalui transmisi automatik lapan kelajuan, dan sistem pacuannya mempunyai tiga mod. Tiga baris tempat duduk masih digunakan pada model ini tetapi ia cuma boleh menempatkan enam penumpang kerana baris kedua menggunakan tempat duduk jenis berasingan.

    Mitsubishi Grandis, Delica, Space Gear, Pajero – model tujuh tempat duduk Mitsubishi sebelum Xpander

    Selain penggemar offroad, pengguna jalan raya lain juga ramai yang minat dengan Pajero di Malaysia. Pada tahun 2014 ia telah diberikan facelift kedua bagi model generasi keempat. Pajero asalnya diperkenalkan pada tahun 1982 dan menjadi popular kerana mempunyai kemampuan meredah jalan offroad, tetapi masih memberikan rasa pengendalian seperti kereta jalan biasa.

    Pajero generasi kedua muncul pada tahun 1991 dengan sistem Super Select 4WD yang menyediakan kedua-dua pacuan empat roda sepanjang masa dan separuh masa. Pada waktu itu, sistem ini adalah yang pertama bagi 4WD jenama Jepun dan ia menawarkan pemandu dengan pilihan high range RWD, high range 4WD, high range 4WD dengan differential tengah yang dikunci dan low range 4WD dengan differential tengah yang dikunci.

    Perubahan paling besar bagi Pajero adalah pada generasi ketiga apabila ia menggunakan badan monocoque, dengan ladder frame bersepadu menggantikan binaan body-on-frame. Tetapan ini menjadikan badannya lebih ringan dan pada masa sama masih lagi kuat berbanding rekaan sebelumnya. Tangki minyak pula diubah dan diletakkan antara dua gandarnya bagi memberi agihan berat lebih baik dan memperbaiki jarak kelegaan dari tanah.

    Model generasi ketiga ini juga menyaksikan pengenalan enjin petrol V6 3.8 liter yang mempunyai kuasa 203 PS, dan terus diguna untuk model generasi keempat yang tiba pada tahun 2006. Pada model facelift generasi keempat, enjin ini dinaik taraf untuk memberikan kuasa 250 PS dan 329 Nm tork, bersama transmisi automatik lima kelajuan dan sistem pacuan Super Select 4WD. Akhirnya pada tahun 2019, Mitsubishi membuat keputusan menghentikan pengeluaran Pajero dan memperkenalkan model Final Edition.

    Dari situ, Mitsubishi berharap legasi model ini dapat disambung oleh Xpander di Malaysia seiring bersama satu lagi model tujuh tempat duduk mereka, iaitu Outlander. Jika dibandingkan dengan pesaing paling dekatnya iaitu Honda BR-V, Xpander mempunyai kelebihan dengan saiz yang lebih besar.

    Jika dibandingkan lagi dengan model Honda itu, Xpander juga mempunyai jarak roda 113 mm lebih panjang dan ruang bahagian dalam yang lebih luas termasuklah ruang simpanan barang di belakang. Tempat duduk belakang Xpander juga boleh dilipat rata untuk memuatkan barang yang besar dan panjang, sementara tempat duduk BR-V cuma penyandarnya sahaja yang boleh dilipat.

    Mitsubishi Grandis, Delica, Space Gear, Pajero – model tujuh tempat duduk Mitsubishi sebelum Xpander

    Tidak dinafikan, Malaysia memang menerima Xpander agak lambat berbanding negara jiran, tetapi model yang akan tiba nanti adalah model facelift dan kita tidak perlu risau dengan masalah kereta baru kerana ia mungkin telah diatasi setelah beberapa tahun diperkenalkan – pertama kali di Indonesia pada tahun 2017.

    Enjin yang mempunyai kemungkinan paling tinggi diperkenalkan pada Xpander pasaran Malaysia adalah unit petrol empat silinder 1.5 liter NA 4A91 yang berkuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan 141 Nm tork pada 4,000 rpm, bersama padanan kotak gear automatik empat kelajuan yang menghantar kuasa kepada roda hadapan. Di Indonesia, mereka juga mempunyai pilihan kotak gear manual lima kelajuan.

    Melihat kepada cara Mitsubishi Motors Malaysia menetapkan harga model jualannya sebelum ini, Xpander dijangka dijual pada harga antara RM80,900 hingga RM90,000. Adakah ini akan menjadi kenderaan tujuh tempat duduk pilihan anda?

    GALERI: Mitsubishi Chariot

    GALERI: Mitsubishi Delica Space Gear 4WD

    GALERI: Mitsubishi Delica D:5 2019

    GALERI: Mitsubishi Pajero

    GALERI: Mitsubishi Xpander facelift di Indonesia

     
     
  • MRR2 siap dinaiktaraf, mampu kurangkan kesesakan di laluan keluar masuk ke pantai timur – Menteri

    MRR2 siap dinaiktaraf, mampu kurangkan kesesakan di laluan keluar masuk ke pantai timur – Menteri

    Projek menaik taraf Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Persimpangan Taman Melati, Gombak, yang telah pun siap sepenuhnya dijangka mampu mengurangkan kesesakan di laluan keluar masuk ke pantai timur, khususnya pada musim perayaan.

    Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, projek bernilai RM106.83 juta itu membabitkan pelebaran laluan daripada tiga kepada lima lorong di persimpangan berkenaan.

    “Pada hari biasa, laluan keluar masuk menghala ke Plaza Tol Gombak menerima jumlah kenderaan sekitar 80,000 hingga 120,000 dan ia bertambah teruk sewaktu musim balik kampung semasa perayaan sehingga mencecah 180,000 kenderaan sekali gus menyebabkan kesesakan yang agak kritikal.

    “Diharap projek ini dapat memberikan manfaat kepada pengguna jalan raya dalam membantu mengurangkan kesesakan di MRR2 dan juga Terminal Bersepadu Gombak yang masih dalam pembinaan,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    MRR2 siap dinaiktaraf, mampu kurangkan kesesakan di laluan keluar masuk ke pantai timur – Menteri

    Beliau turut berkata projek itu juga bakal memudahkan laluan masuk ke pusat Terminal Bersepadu Gombak, menyuraikan kesesakan lalu lintas dan memendekkan masa perjalanan selain mewujudkan rantaian perkhidmatan awam yang lebih selesa untuk ke Lembah Klang dan pusat bandar raya.

    “Dijangkakan terminal itu akan siap sepenuhnya pada April atau Mei tahun depan sebelum Aidilfitri,” katanya.

    Projek menaik taraf jalan MRR2 ini telah dilaksanakan secara kontrak reka dan bina dan peruntukannya diperoleh menerusi Dana Mudahcara Kerjasama Awam Swasta (PPP) yang disalurkan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.

    Ia dimulakan pada 13 September 2016 dan telah siap sepenuhnya pada 2 Ogos tahun lepas dengan tempoh tanggungan kecacatan adalah selama dua tahun sehingga 2 Ogos 2021.

     
     
  • Honda Vario kini dengan grafik baharu – dari RM7,499

    Honda Vario kini dengan grafik baharu – dari RM7,499

    Selepas diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada tahun 2018, Honda Vario kini dijual dengan grafik baru yang terdiri daripada warna Force Silver Metallic, Pearl Magellanic Black dan Sword Silver Metallic. Harga untuk Vario yang menggunakan tiga warna ini adalah RM7,499 sementara versi Repsol dijual pada harga RM7,699.

    Vario 150 dikuasakan oleh enjin satu silinder 149.3 cc SOHC dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan mampu menghasilkan 12.9 hp pada 8,500 rpm serta 13.4 Nm tork pada 5,000 rpm, dihantar ke roda belakang melalui transmisi automatik V-Matic.

    Selain lampu yang kesemuanya menggunakan unit LED, skuter ini turut dilengkapi dengan sistem kunci pintar, butang pemula enjin, panel meter gabungan LCD dan digital, serta sistem idling stop (enjin mati ketika berhenti dan hidup semula secara automatik apabila pendikit dipulas).

    Brek menggunakan unit cakera di hadapan dan dram di belakang. Tiada sistem ABS tetapi ia diganti dengan Combined Brake System (CBS). Kelengkapan lainnya adalah termasuk tangki bahan api 5.5 liter, ruang simpanan 18 liter bawah tempat duduk, fork teleskopik, satu penyerap di belakang dan rim 14 inci.

    Harga yang diberitahu adalah tidak termasuk insurans serta cukai jalan, dan setiap pembelian datang dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu).

     
     
  • Jaguar XE facelift kini di M’sia — R-Dynamic 2.0L, 300 PS, RM396k dengan pengecualian cukai jualan 50%

    Jaguar XE <em>facelift</em> kini di M’sia — R-Dynamic 2.0L, 300 PS, RM396k dengan pengecualian cukai jualan 50%

    Jaguar Land Rover Malaysia kini memperkenalkan Jaguar XE 2020 versi facelift untuk pasaran tempatan. Pertama kali ditunjukkan di peringat global pada Februari 2019, model ini hanya ditawarkan dengan tingkat kemasan R-Dynamic sahaja di sini.

    Model ini dikuasakan dengan enjin 2.0 liter Ingenium dalam konfigurasi P300, dengan output yang dihasilkan ialah 300 PS dan 5,500 rpm dan 400 Nm antara 1,500 rpm hingga 4,500 rpm. Digandingkan bersama transmisi automatik ZF 8HP45 lapan-kelajuan, kereta pacuan roda belakang ini memecut 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat dan laju maksimum 250 km/j.

    Perubahan penampilan luaran bagi versi terbaru ini antaranya melibatkan rekaan lampu utama LED yang baru, dengan DRL berbentuk J. Bampar depan juga menerima sentuhan rekaan baru, dan pada versi R-Dynamic ia memberikan penampilan yang lebih sporty dan ketara dengan bahagian inlet yang lebih menonjol berbanding versi lamanya.

    Jaguar XE <em>facelift</em> kini di M’sia — R-Dynamic 2.0L, 300 PS, RM396k dengan pengecualian cukai jualan 50%

    Di belakang, rekaan bampar dan lampu LED juga baru, dengan dua muncung ekzos bersepadu. Versi R-Dynamic ini juga menerima kemasan gelap pada perinciannya serta penggunaan rim 18-inci dengan beberapa rekaan baru.

    Di dalam, kabinnya dilengkapi dengan kerusi gaya sport dengan benang warna kontras, pedal gear krom satin dan treadplate R-Dynamic. Selain itu beberapa bahagian diberikan rekaan baru, seperti roda stereng yang diwarisi dari I-Pace serta pemilih gear SportShift baru dan juga suis JaguarDrive Control.

    Konsol tengah juga diberikan rombakan rekaan, dan kini menampilkan sistem infotainmen Touch Pro Duo dengan dua skrin beresolusi tinggi. Skrin 10-inci di atas memaparkan akses kepada sistem infotainmen, tunjuk arah dan fungsi media, sementara skrin 5.5-inci di bawahnya memaparkan akses kepada kawalan pendingin hawa, lengkap dengan dail rotari dinamik.

    Jaguar XE <em>facelift</em> kini di M’sia — R-Dynamic 2.0L, 300 PS, RM396k dengan pengecualian cukai jualan 50%

    Kluster instrumen untuk pemandu pula bersaiz 12.3-inci digital. Sambungan kepada telefon melalui Apple CarPlay/Android Auto serta pengecasan tanpa wayar turut tersedia. Tidak lupa, fungsi Smart Settings, yang menggunakan kepintaran buatan untuk mempelajari kecenderungan pemandu secara individual dan melaraskan kerusi, cermin, audio dan pendingin hawa secara automatik.

    Harga bagi Jaguar XE R-Dynamic facelift dijual pada harga bermula RM395,831 (tidak termasuk cukai dan insurans). Harga berkenaan sudah termasuk pengecualian cukai jualan 50% hingga hujung tahun ini. Kereta ini datang dengan dengan program Jaguar Care, termasuk di dalamnya jaminan lima-tahun, pakej servis percuma dan bantuan tepi jalan selama tiga tahun.

     
     
  • Hyundai M’sia tunjuk teaser Kona ‘akan datang’

    Hyundai M’sia tunjuk <em>teaser</em> Kona ‘akan datang’

    Selepas foto spyshot Hyundai Kona yang baru-baru ini sempat dirakamkan di sekitar Ara Damansara, yang turut menempatkan Hyundai-Sime Darby Motors, pengedar jenama berkenaan di Malaysia telah pun menunjukkan teaser menerusi laman Facebook. Foti yang dimuat naik memaparkan sedikit imej papan pemuka crossover ini, dengan kapsyen “A glance of the ‘upcoming’ interior. You Drive it. You Define it.”

    Kelihatan beberapa elemen yang ditampilkan pada papan pemuka termasuklah lingkaran dengan warna badan pada corong pendingin hawa, tuil gear dan butang penghidup enjin. Foto di bawah menunjukkan dua pilihan warna bagi Kona iaitu lime green dan hitam. Dengan pilihan warna Lime Green didatangkan dengan dua-tona iaitu hitam di bahagian bumbung.

    Pernah dipertontonkan oleh HSDM di KL International Motor Show (KLIMS) 2018, model ini tertunda untuk dilancarkan berikutan penularan wabak pandamik COVID-19. Walau bagaimana pun, dengan pendedahan oleh HSDM sendiri, kebarangkalian crossover ini bakal dilancarkan tidak lama lagi.

    Jika dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi, Kona boleh dianggap sebagai SUV segmen-B paling berkuasa berbanding pesaingnya yang lain seperti Mazda CX-3, Honda HR-V dan Toyota C-HR yang sedia ada di pasaran kerana ia dilengkapi enjin dengan suapan pengecas turbo iaitu 1.6 liter turbo berkuasa 177 PS/265 Nm digandingkan dengan kotak gear tujuh-kelajuan klac berkembar automatik.

    Kona memiliki dimensi 4,165 mm panjang, 1,800 mm lebar manakala jarak rodanya pula adalah 2,600 mm. Berbanding Honda HR-V, SUV Korea ini adalah 129 mm lebih pendek tetapi 28 mm lebih lebar dan 55 mm lebih rendah. Untuk jarak roda pula, Kona diukur 10 mm lebih pendek berbanding HR-V.

    SUV ini menampilkan rekaan yang agak tersendiri berbanding saingannya yang lain, dengan lampu nyalaan siang tirus diletakkan pada bahagian atas, manakala lampu utamanya terletak pada bahagian bampar – rekaan unik dengan konsep seperti ditampilkan pada Citroen C4 Cactus. Ia turut menampilkan gril signatur “cascading” seperti model-model terkini Hyundai.

    Susunan yang sama turut boleh dilihat pada bahagian belakang dengan menampilkan lampu tirus pada bahagian atas, dan juga lampu kombinasi lain pada bahagian bawah. Menurut Hyundai, karekter unik pada Kona ini adalah hasil gabungan rekaan lampu-lampu yang digelar “lampu komposit”, gril “cascading” dan juga rekaan badan yang seolah-olah diberikan perisai.

    Kona turut ditawarkan dengan pelbagai pilihan enjin dan transmisi bergantung pada pasaran. Antaranya enjin 2.0 liter MPI Atkinson berkuasa 149 PS/179 Nm (dipadankan dengan transmisi auto enam-kelajuan, 0-100 km/j dalam 10 saat dan kelajuan maksima 194 km/j), manakala di Eropah dan Singapura, ia hadir dengan enjin turbo lebih kecil iaitu 1.0 liter T-GDI tiga silinder yang dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Enjin berkenaan mampu menjana 120 PS/172 Nm dan pecutan 0-100 km/j dapat dicapai dalam masa 12 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 181 km/j.

    Untuk versi elektrik pula, ia dijana motor elektrik berkuasa 204 ps/395 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat. Ia disuap dengan bateri 64 kWj, membolehkan ia dipandu dalam jarak 482 km dengan satu cas penuh. Versi dijana bateri 39.2 kWj juga ditawarkan, dengan kuasa hanya 135 PS, dan jarak perjalanan hanya 300 km.

    GALERI: Hyundai Kona 1.6 Turbo di KLIMS 2018

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.40
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 16, 2024